Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Kembar Proton eMas7, Geely EX5 bakal dijual di Thailand, Indonesia & Australia; muncul di Frankfurt

    Kembar Proton eMas7, Geely EX5 bakal dijual di Thailand, Indonesia & Australia; muncul di Frankfurt

    Kembar SUV EV Proton eMas7, Geely Galaxy E5 akhirnya membuat kemunculan sulung pertamanya untuk pasaran luar China dengan diperkenalkan ketika berlangsungnya Automechanika Frankfurt 2024 di Jerman. Seperti yang diumum tempoh hari, untuk pasaran global SUV ini akan dikenali sebagai Geely EX5.

    “EX5 telah dihasilkan untuk menjadi pemain peneraju kelas dalam segmen yang paling kompetitif. Dengan lebih ruang, dinamik pemanduan lebih baik, dan pengalaman menaikinya yang dipertingkat,” kata naib presiden kanan Geely Holding Group, Victor Yang.

    Geely juga mengesahkan bahawa EX5 ini turut akan dijual di rantau Asia Tenggara selain Malaysia seperti Thailand dan Indonesia dengan jenama Geely, bukan Proton eMas7. Ia juga disahkan turut akan masuk ke pasaran Australia dan Norway.

    Proton eMas 7 dan Geely EX5 ini dibangunkan bersama dari awal melibatkan 230 tenaga kerja dari Proton dan kedua-dua jenama ini turut berkongsi kos pembangunannya. Ini membolehkan EX5 menjadi model pertama Geely yang dihasilkan terus dalam versi pemanduan sebelah kiri (LHD) dan sebelah kanan (RHD).

    Kembar Proton eMas7, Geely EX5 bakal dijual di Thailand, Indonesia & Australia; muncul di Frankfurt

    Geely Galaxy E5 pasaran China

    Untuk Proton, proses pembangunan bersama ini juga membolehkan ia membawa model ini lebih cepat ke pasaran tempatan. Kemunculan sulung eMas 7 di Malaysia ini telah dibuat pada 2 Ogos lalu, dan pelancaran rasmi bagi Geely Galaxy E5 di China pula berlangsung sehari selepas itu. Proton eMas dijangka bakal dilancarkan di sini pada penghujung tahun ini.

    Ia merupakan model yang diasaskan dari platform Global Intelligent New Energy Architecture (GEA), atau untuk Proton ia dikenali sebagai platform Global Modular Architecture (GMA). Platform ini juga sebenarnya adalah evolusi yang diasaskan dari Sustainable Experience Architecture (SEA) yang dibangunkan oleh Geely untuk digunakan oleh jenama-jenama di bawah naungannya yang lain.

    Geely Galaxy E5/EX5 dan Proton eMas7 menampilkan dimensi 4,615 mm panjang, 1,901 mm lebar, 1,670 mm tinggi dengan jarak roda 2,750 mm. Jadi SUV ini merupakan lawan terus kepada BYD Atto 3 yang hadir dalam saiz dan kelengkapan hampir sama.

    Kembar Proton eMas7, Geely EX5 bakal dijual di Thailand, Indonesia & Australia; muncul di Frankfurt

    Geely Galaxy E5 pasaran China

    Spesifikasi untuk EX5 masih belum diumumkan, namun di dijangka sama seperti Galaxy E5 di China. Di pasaran tersebut semua varian bagi Galaxy E5 ini menerima satu motor elektrik yang memacu roda hadapan berkuasa 218 PS dan tork maksima 320 Nm, membolehkan ia memecut dari 0-100 km/j dalam masa 6.9 saat.

    Namun ia ditawarkan dalam dua versi bateri lithium logam fosfat (LFP) “bilah pendek” Aegis yang dibangunkan oleh Geely sendiri bermula bateri berkapasiti 49.52 kWj dengan jarak perjalanan 440 km atau kapasiti 60.22 kWj yang memberikan jarak 530 km mengikut kitaran ujian CLTC. Untuk pasaran Eropah mungkin Geely akan mengumumkan jarak gerak dalam ujian lebih realistik iaitu WLTP.

    Antara perincian lain yang dilengkapkan pada Galaxy E5 dan mungkin turut ditawarkan pada EX5 termasuk paparan instrumen digital dengan skrin 10.2-inci, paparan head-up, skrin infotainmen bersaiz 15.4-inci yang beroperasi dengan sistem Flyme Auto, serta sistem audio 16-pembesar suara Flyme Audio termasuk pembesar suara yang diletakkan pada perehat kepala tempat duduk pemandu.

    GALERI: Geely Galaxy E5 pasaran China

    GALERI: Prototaip Proton eMas 7 di Malaysia

     
     
  • JPJ eBid: Siri PRM dan DFD bakal dibuka untuk bidaan

    Bagi yang mencari-cari plat nombor pendaftaran untuk kenderaan baharu, ini ada lagi dua pilihan siri yang baru diumumkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ). Seperti biasa, bidaan dibuka menerusi platform dalam talian, JPJ eBid.

    Siri plat nombor dari Pulau Pinang, PRM, bakal dibuka bidaannya mulai 21 September 2024. Diberikan tempoh bidaan selama lima hari dan ia akan berakhir jam 10 malam pada 25 September ini. Keputusannya akan dikeluarkan pada keesokan harinya, 26 September 2024. Keseluruhan proses adalah secara dalam talian, dan pembida akan menerima berita baik dan buruk juga menerusi e-mel.

    Manakala bagi siri nombor pendaftaran terkini dari Kelantan, DFD, bakal dibuka bidaannya mulai 22 September 2024. Diberikan tempoh bidaan selama lima hari dan ia akan berakhir jam 10 malam pada 26 September ini. Keputusannya akan dikeluarkan pada keesokan harinya, 27 September 2024.

    Dah tak perlu nak dapatkan khidmat pihak ketiga termasuk runner yang adakalanya menetapkan kadar caj yang tidak masuk akal. Jadi, anda boleh lakukan sendiri bidaan ini. Untuk mengetahui cara-cara untuk membida menerusi JPJ eBid, anda boleh KLIK PAUTAN INI.

     
     
  • Harga minyak 12-18 September 2024 – petrol RON97 dan diesel masing-masing turun 15 sen seliter

    Harga minyak 12-18 September 2024 – petrol RON97 dan diesel masing-masing turun 15 sen seliter

    Bagi tempoh 12 hingga 18 September 2024, Kementerian Kewangan (MOF) mengumumkan bahawa harga runcit bagi diesel di Semenanjung diturunkan lagi sebanyak 15 sen seliter, menjadi RM3.01 seliter. Walau bagaimana pun harga diesel untuk Sabah dan Sarawak masih dikekalkan pada RM2.15 seliter.

    Manakala untuk tempoh yang sama, petrol RON 97 juga diturunkan 15 sen seliter, kini menjadi RM3.25 seliter. Namun demikian, harga runcit bagi RON 95 yang telah mencapai harga siling masih dikekalkan pada paras RM2.05 seliter.

    “Sejak 8 Ogos 2024 sehingga kini, Kerajaan telah menurunkan harga runcit diesel di Semenanjung Malaysia sebanyak 34 sen, dan harga runcit RON97 sebanyak 22 sen. Kerajaan akan terus memantau perkembangan pasaran dan menyesuaikan harga runcit bahan api berdasarkan turun naik pasaran minyak global, sambil menyokong kestabilan harga bagi menjamin kesejahteraan dan kesejahteraan rakyat yang berterusan,” kata MOF menerusi kenyataan yang dikeluarkan.

    Pertengahan Julai lalu, Kementerian Ekonomi berkata, buat masa ini, kerajaan masih meneliti dan menilai semula subsidi dan bantuan yang diberikan kepada rakyat termasuk petrol RON95.

    “Kerajaan juga sedang meneliti keperluan pelaksanaan rasionalisasi subsidi ke atas petrol RON95. Walau bagaimanapun, buat masa ini, tumpuan dan keutamaan akan diberikan kepada pelaksanaan subsidi diesel sehingga penyasaran subsidi diesel menjadi stabil, sekaligus mencapai objektif yang ditetapkan.
    Kerajaan pada masa ini masih meneliti dan menilai semula subsidi dan bantuan yang diberikan kepada rakyat, termasuk petrol RON95,” katanya.

     
     
  • GALERI: Ducati Hypermotard 698 Mono – dari RM71k

    GALERI: Ducati Hypermotard 698 Mono – dari RM71k

    Isnin lalu bersempena dengan pembukaan pusat pameran baru di Johor Bahru, Ducati Malaysia melancarkan Hypermotard 698 Mono, yang ditawarkan dalam dua varian iaitu standard pada harga RM70,900 dan RVE berharga RM77,900.

    Disebabkan keadaan di sana yang agak sesak, kami tidak dapat memberikan anda gambar motosikal sebenar dan sekarang barulah kami dapat tunjukkan unit yang dipamerkan di Ducati Petaling Jaya. Jika berminat, anda boleh ke sana untuk melihatnya sendiri, dan melalui maklumat yang kami dapat, kumpulan pertama yang masuk di Malaysia sudah habis dijual dan menunggu untuk kumpulan kedua yang akan tiba pada bulan hadapan.

    Membawa karekter sebuah supermotard, model ini dipacu oleh enjin baru Superquadro Mono, yang berkapasiti 659 cc, dengan teknologi injap Desmodromic dan injap intake titanium, menghasilkan kuasa 77.5 hp pada 9,750 rpm dan tork 64 Nm pada 8,000 rpm. Transmisi adalah unit enam kelajuan dengan klac jenis slipper.

    Menjadikan tunggangan Hypermotard 698 Mono ini lebih mengujakan, ia cuma mencatat berat 151 kg, dan mempunyai pelbagai teknologi yang diambil daripada model Ducati yang lebih tinggi, seperti Cornering ABS, Ducati Traction Control (DTC), Ducati Wheelie Control (DWC), Engine Brake Control (EBC) dan Ducati Power Launch (DPL).

    Ini adalah tambahan kepada empat mod tunggangan yang disediakan, serta beberapa lagi ciri yang dapat membantu penunggang seperti pelarasan kuasa enjin tiga tahap, ABS empat tahap (dua dengan fungsi Slide-By-Brake dan satu hanya mengaktifkan ABS pada roda hadapan sahaja) dan Wheelie Control empat tahap (perisian Ducati Performance dengan Wheelie Assist untuk bantuan wheelie lebih lama dijual secara berasingan).

    GALERI: Ducati Hypermotard 698 Mono – dari RM71k

    Hypermotard 698 Mono ini datang dengan rim aluminium 17 inci, yang dipegang oleh suspensi yang terdiri daripada fork USD Marzocchi 45 mm boleh laras sepenuhnya di hadapan dan monoshock Sachs boleh laras sepenuhnya di belakang. Brek pula terdiri daripada unit tunggal cakera 330 mm dengan angkup Brembo M4.32 empat piston di hadapan dan cakera 245 mm dengan angkup satu piston di belakang.

    Tangki bahan api Hypermotard 698 Mono mempunyai kapasiti 12 liter dan untuk versi RVE, ia datang dengan grafik khas serta quickshifter yang boleh digunakan untuk naik dan turun gear. Jika ini masih tidak cukup, anda juga boleh menambah pakej prestasi yang termasuk ekzos Termignoni, talaan khas serta Wheelie Assist, yang dijual secara berasingan.

     
     
  • Triumph siar teaser model moden klasik RS baru

    Triumph siar teaser model moden klasik RS baru

    Triumph akan memperkenalkan sebuah model baru tidak lama lagi dan teaser untuknya sudah mula disiar di dalam media sosial. Bayangan utama yang wujud adalah ini model prestasi dalam barisan moden klasik mereka, berdasarkan bentuk tangki serta lencana RS yang terdapat padanya.

    Biasanya model prestasi seperti ini akan dikeluarkan untuk model yang lebih tinggi, jadi kami menjangkakan ia daripada kategori 1200. Untuk mengatakan ia adalah Thruxton 1200 mungkin tidak, kerana bar pemegangnya masih terletak di atas dan bukannya jenis clip-on.

    Jadi, yang tinggal adalah Speed Twin 1200. Dalam keadaan standard, model ini datang dengan enjin dua silinder selari 1,200 cc penyejukan udara berkuasa 100 PS, serta kelengkapan berspesifikasi tinggi seperti brek Brembo M50 di hadapan.

    Bagi dua bahagian ini, ia kelihatan sama seperti yang digunakan pada model dalam teaser dan kita boleh menjangkakan bahagian lain dipertingkat untuk menaikkan prestasinya. Suspensi contohnya, yang menggunakan fork Marzocchi dan dua penyerap hentak di belakang mungkin dinaik taraf kepada unit yang berprestasi serta boleh dilaras. Lagipun, di dalam teaser itu, fork yang digunakan berwarna emas.

    Kelengkapan lain yang datang dengan Speed Twin 1200 adalah termasuk rim aluminium 17 inci, meter analog berbentuk bulat, transmisi enam kelajuan serta tangki bahan api 14.5 liter. Di Malaysia, model ini dijual pada harga bermula RM77,000 tidak termasuk insurans.

     
     
  • JPJ siar kempen panggil balik terkini model termasuk Toyota, Mercedes-Benz, motosikal Suzuki, Honda

    Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah menyiarkan kempen panggilan balik (product recall) Siri 3/2024 bagi beberapa model kenderaan yang terlibat oleh syarikat pengeluar. Menurut JPJ, untuk siri kali ini, pihaknya menyenaraikan model kenderaan yang terlibat berdasarkan kepada rekod yang diterima yang membabitkan jenama Mercedes Benz, Toyota dan motosikal keluaran Suzuki serta Boon Siew Honda.

    Toyota

    • Vios (tahun buatan Mac 2023-Februari 2024) – 24,345 unit

    Mercedes-Benz

    Suzuki

    • V-Storm 800DE (tahun buatan 2023) – 220 unit
    • Burgman Street EX (2024) – 125 unit

    Boon Siew Honda

    Menurut JPJ, pihak pengeluar akan menghubungi pemilik-pemilik kenderaan yang berkenaan untuk membuat penetapan tarikh temujanji serta membawa kenderaan untuk pemeriksaan dan menjayakan aktiviti pemanggilan semula yang dilaksanakan ini.

    “Aktiviti pemanggilan semula produk ini penting bagi mengelakkan kemalangan berlaku disebabkan oleh kecacatan pada struktur atau peralatan yang ada pada kenderaan tersebut. Keselamatan kenderaan juga adalah penting bagi menjamin pemanduan dan keselesaan pemilik semasa dalam perjalanan. Semestinya pemilik tidak mahu memandu kenderaan dengan masalah teknikal yang berpotensi membahayakan, mengancam nyawa dan pengeluar akan membuat pemulihan tanpa sebarang kos kepada pemilik.

    “Kerjasama di antara pemilik-pemilik kenderaan dan juga pengeluar diharapkan dapat menjayakan aktiviti ini supaya penamatan aktiviti pemanggilan semula dapat diselesaikan dalam tempoh yang singkat,” kata JPJ.

    Tambahnya, tempoh penyelesaian bagi aktiviti panggilan balik ini adalah bergantung sepenuhnya kepada kerjasama yang diberikan oleh pemilik kenderaan.

    “Sebagai pemilik kenderaan, sila pastikan data maklumat anda di pihak JPJ dan mana-mana pihak yang berkaitan adalah yang terkini bagi memudahkan anda dihubungi sekiranya kenderaan anda terlibat dalam mana-mana aktiviti panggilan balik,” sambung JPJ lagi.

     
     
  • Honda HR-V facelift 2025 dilancar di Thailand pada 28 Nov – rekaan e:HEV RS didedah; 253 Nm, 25.6 km/l

    Honda HR-V facelift 2025 dilancar di Thailand pada 28 Nov – rekaan e:HEV RS didedah; 253 Nm, 25.6 km/l

    Honda Thailand telah mengumumkan akan melancarkan HR-V facelift tahun ini menerusi penganjuran Thailand International Motor Expo pada 28 November 2024. Menjelang pelancarannya itu, syarikat tersebut menyebarkan imej terawal crossover yang ditampilkan dengan imej lebih segar yang telah diperkenalkan di Jepun awal Mac lalu.

    Kereta yang ditunjuk ini merupakan varian e:HEV RS, dengan perubahan penggayaan yang melibatkan lampu utama LED yang direka semula dan gril hadapan yang lebih lebar menampilkan rekaan trapezoidal mesh dan serlahan krom di dalamnya. Selain itu, lencana Honda dan RS kini diposisikan lebih tinggi pada gril, yang berbeza pada RS sebelum ini yang miliki gril lebih menegak dan pin krom di dalamnya.

    Lain-lain semakan termasuk lampu belakang lebar sepenuhnya dengan palang pencahayaan yang disambungkan pada klusterm roda aloi baharu serta warna baharu Sand Khaki Pearl (yang telah ditawarkan buat HR-V pre-facelift di Indonesia) dipadankan dengan bumbung hitam untuk imej dua-tona. Bahagian dalamnya pula lebih kurang sama dengan model semasa tetapi dinaiktaraf dengan unit utama skrin sesentuh Advanced Touch 8-inci baharu yang menyokong Android Auto dan Apple CarPlay tanpa wayar.

    Untuk penjana kuasanya, tiada perubahan seperti sebelum, dengan enjin 1.5 liter naturally-aspirated kitaran-Atkinson dan dipadankan bersama e-CVT dan dua motor elektrik. Motor pacuan pada model pre-facelift ini menghasilkan 131 PS dan 252 Nm, dengan mendakwa penjimatan bahan api mencecah 25.6 km/l.

    Dalam sistem Honda e:HEV, enjinnya berfungsi sebagai generator yang membantu menyepadukan motor elektrik, yang bertindak sebagai starter. Motor kedua yang lebih besar majoriti memacu roda hadapan pada kebanyakan masa, tetapi ketika dalam kelajuan tinggi, enjin akan menyalurkan pacuan terus menerusi lock-up clutch yang lebih memberikan penjimatan berbanding motor elektrik dalam situasi ini.

    Walaupun Thailand akan mendapat HR-V yang dipertingkatkan tahun ini, kita mungkin perlu menunggu lebih lama kerana model segmen-B ini tidak dijangka tiba sehingga tahun depan. Honda Malaysia telah pun mengesahkan ia akan melancarkan dua model tahun ini, dengan salah satunya ialah City Hatchback facelift yang mula dijual di sini pada bulan Mei. Dan Civic dijangka menjadi model kedua kerana pengenalan globalnya berlangsung lebih awal pada bulan Januari iaitu dua bulan lebih awal daripada HR-V.

     
     
  • Sarawak terima dua unit pertama trem tanpa landasan Sistem Transit Aliran Autonomi (ART) hujung tahun ini

    Sarawak terima dua unit pertama trem tanpa landasan Sistem Transit Aliran Autonomi (ART) hujung tahun ini

    Dua unit pertama trem tanpa landasan Sistem Transit Aliran Autonomi (ART) janaan hidrogen untuk kegunaan sebagai pengangkutan awam di Kuching bakal tiba di Sarawak dari China menjelang akhir tahun ini, umum Sarawak Metro.

    Salah satu unit pertama tersebut, digelar ‘golden train’ dengan jaluran kuning pada bahagian luarnya, telah ditauliahkan di kemudahan pembuatan Syarikat CRRC Zhuzhou Institute di Yibin, China, laporan
    The Star.

    Menteri Pengangkutan Sarawak Datuk Seri Lee Kim Shin menerusi kenyataannya berkatam sebanyak 38 unit ART dijadualkan akan tiba di negeri terbabit secara berperingkat mulai tahun ini. Daripada jumlah itu, sebanyak lima unit telah siap dipasang sepenuhnya, dan selebihnya akan tiba di negeri terbabit sebagai unit pra-pemasangan dalam tempoh beberapa tahun akan datang.

    “Saya percaya seluruh dunia memberi perhatian kepada apa yang kita lakukan dalam mengubah sistem pengangkutan awam, terutamanya usaha kita dalam menggunakan tenaga bersih, dalam kes ini hidrogen hijau,” kata Lee, sambil menambah bahawa usaha sedang dilakukan untuk meneroka kemajuan dalam teknologi hidrogen terutamanya bagi mengurangkan kos pengeluaran hidrogen hijau untuk keperluan pengangkutan awam Sarawak.

    Menurut The Star, trem tanpa landasan ART ini telah dinaik taraf daripada prototaip yang digunakan untuk latihan ‘proof of concept’ tahun lepas, dan kenderaan itu kini mampu mendaki cerun sehingga 10% kecerunan dan boleh digunakan dalam pelbagai persekitaran jalan raya, dan mampu mencapai kelajuan sehingga 80 km/j. Ia juga akan mempunyai ruang khusus untuk memuatkan bagasi, kerusi roda dan basikal lipat.

    ART akan membentuk ‘tulang belakang’ bagi Sistem Pengangkutan Bandar Kuching (KUTS), dan sistem trem tanpa landasan akan meliputi laluan sepanjang 70 km melalui tiga landasan kereta api dan 31 stesen dalam fasa pertamanya. Ia l dijangka bermula secara berperingkat pada suku keempat 2025, bermula dengan Laluan Biru (Laluan 1) dari Rembus di Kota Samarahan ke Hikmah Exchange di tengah Kuching.

    Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Abang Openg, menamakan trem tersebut sebagai ‘Bulan’, sempena dengan nama keretapi pertama Sarawak yang beroperasi mulai 1841 hingga 1946, sebelum perkhidmatannya ditamatkan ketika zaman penjajahan Jepun.

     
     
  • Selangor kini guna mesin Jetpatcher bernilai RM1 juta untuk tampal jalan; siap 10-15 minit satu lubang

    Selangor kini guna mesin Jetpatcher bernilai RM1 juta untuk tampal jalan; siap 10-15 minit satu lubang

    Kerajaan negeri Selangor telahpun menyerahkan jentera tampalan jalan Jetpatcher yang bernilai RM1 juta kepada InfraSel Sdn Bhd bagi memudahkan syarikat penyelenggaraan tersebut menjalankan kerja-kerja menampal jalan di sekitar negeri berkenaan.

    Menurut Pengerusi Jawatankuasa Tetap Infrastruktur dan Pertanian Selangor Izham Hashim dalam laporan Harian Metro, mesin yang dibeli dari United Kingdom itu akan digunakan bermula di daerah Kuala Selangor dan diikuti daerah lain mengikut keutamaan.

    “Jetpatcher berteknologi canggih ini mempunyai banyak kelebihan seperti menjimatkan masa dan kos operasi berbanding kaedah konvensional,” katanya.

    Beliau menjelaskan berbanding kaedah konvensional, Jetpatcher terus membawa bancuhan panas, yang suhunya kekal 45 darjah.

    “Jetpatcher ini boleh menyiapkan satu lubang sekitar 10 hingga 15 minit, satu lori ada 2.5 meter padu bancuhan. Kalau operasi tampalan berterusan, Jetpatcher boleh menyiapkan 80 lubang sederhana besar dengan tampalan lebih cepat,” katanya.

    Walau bagaimanapun Izham menyatakan penggunaan mesin ini masih dalam tempoh percubaan dan setakat ini seramai 15 petugas sedang menjalankan latihan untuk mengendalikan Jetpatcher tersebut. Beliau menambah kerajaan negeri akan akan menambah lagi jumlah mesin tersebut sekiranya ia memberikan kesan yang baik kepada pengurusan penyelenggaraan lubang jalan-jalan di Selangor.

     
     
  • Suzuki Swift Sport 2025 dapat 1.4T 4-silinder hibrid-ringkas; 150 PS/240 Nm, 6-kelajuan manual dan auto

    Suzuki Swift Sport 2025 dapat 1.4T 4-silinder hibrid-ringkas; 150 PS/240 Nm, 6-kelajuan manual dan auto

    Suzuki Swift Concept 2024

    Dengan pengenalan Suzuki Swift Concept pada Oktober tahun lalu yang memperlihatkan hatchback generasi ke-empat akan datang, Swift Sport dijangka akan tiba pada hujung tahun ini atau pun seawal 2025, menurut Best Car Web.

    Sementara Swift generasi-keempat akan dikuasai enjin hibrid-ringkas tiga-silinder sebaris, manakala Swift Sport pula akan terus menampilkan penjana kuasa 1.4 liter pengecas turbo empat-silinder sebaris petrol, dengan tatapan hibrid-ringkas 48-voltan.

    Ia didakwa boleh menghasilkan kuasa mencecah 150 PS dan tork 240 Nm, dengam tambahan 15 PS dan 59 Nm yang disumbangkan oleh motor pacuan elektrik, menurut Best Car Web.

    Suzuki Swift Sport 2025 dapat 1.4T 4-silinder hibrid-ringkas; 150 PS/240 Nm, 6-kelajuan manual dan auto

    Suzuki Swift Sport generasi ZC33S

    Penerbitan Jepun berkenaan turut mendakwa Swift Sport akan datang juga akan terus ditawarkan sama ada transmisi automatik atau manual enam-kelajuan, dengan bentangan pacuan roda-hadapan dan seberat 960 kg.

    Bagi dimensi luarannya, penerbitan berkenaan juga mendakwa Swift Sport akan datang ini berukuran 3,990 mm panjang, 1,750 mm lebar dan 1,500 mm tinggi dengan jarak roda 2,450 mm; manakala Suzuki Swift Concept berukuran 3,860 mm panjang, 1,695 mm lebar, 1,500 mm tinggi dengan jarak roda cecah 2,450 mm.

    Dengan kedatangan generasi baharu bagi Suzuki Swift Sport yang dijangka tiba hujung tahun ini atau awal 2025, hatchback prestasi ini dijangka berharga dari 2.3 juta yen hingga 2.5 juta yen (RM70k hingga RM76k) di Jepun.

     
     
  • BYD M6 2024 di Thailand — MPV elektrik jana hingga 204 PS, 530 km jarak, dari RM107k; Malaysia bila?

    BYD M6 2024 di Thailand — MPV elektrik jana hingga 204 PS, 530 km jarak, dari RM107k; Malaysia bila?

    Kurang dua bulan selepas BYD M6 membuat penampilan sulung Asia Tenggara di Indonesia, MPV elektrik berkenaan kini diperkenalkan pula di Thailand. Model facelift dari model e6 terdahulu ini tampil dalam dua varian, tetapi kali ini dengan enam-tempat duduk sebagai ciri standard.

    Harga pula sedikit rendah berbanding di Indonesia. Versi Dynamic bermula dari 829,900 baht (RM106,800), sementara varian Extended dengan bateri yang lebih besar dengan harga 929,900 baht (RM119,600). Kedua-dua varian ini juga lebih berkuasa daripada model e6-nya yang lama.

    Semua varian M6 dikuasakan oleh motor elektrik di depan, dengan versi Dynamic kini menjana sebanyak 163 PS (120 kW) berbanding 95 PS (70 kW) pada e6, manakala tork pula naik dari 180 Nm kepada 310 Nm. Bagi varian Extended, yang menggunakan motor yang sama dengan Atto 3, ia menghasilkan 204 PS (150 kW). Ini membolehkan dua varian M6 ini masing-masing memecut dari 0-100 km/j dalam masa 10.1 saat dan 8.6 saat.

    BYD M6 2024 di Thailand — MPV elektrik jana hingga 204 PS, 530 km jarak, dari RM107k; Malaysia bila?

    Seperti model BYD yang lain, ia menggunakan bateri Blade lithium iron phosphate (LFP). Versi Dynamic diberikan kapasiti bateri 55.4 kWh dan menyediakan jarak NEDC sejauh 420 km, sementara Extended dengan bateri lebih besar iaitu 71.8 kWh dan didakwa mampu memberikan jarak 530 km dengan sekali cas. M6 menyokong pengecasan pantas DC sehingga 85 kW, dan 115 kW untuk Extended, dengan kadar pengecasan 10-80% bagi Extended boleh dicapai dalam masa 40 minit. Untuk pengecasan AC pula terhad kepada 7 kW untuk semua.

    Dari segi rekaan, M6 kelihatan moden berbanding e6. Wajah depan misalnya menggunakan imej yang sama dengan model-model terkini BYD, dengan palang perak lebar sepenuhnya menghubungkan bahagian lampu LED multi-projektor yang diberi sentuhan baru. Ini disertai juga dengan kemasan bampar bentuk sayap yang bersambung juga dengan bukaan udara kecil dengan kemasan kromnya.

    Bahagian belakang juga diberi rekaan baru, dengan lampu belakang lebih lebar yang disertai jalur kron nipis. Lencana BYD lebih ringkas juga tertera, dan tiada lagi tulisan panjang “Build Your Dreams” yang lama. Lagi kemasan krom digunakan di bahagian bawah, untuk memberikan imej matang dan menarik, sebelum turut dilengkapi dengan rim 17-inci sebagai ciri standard.

    BYD M6 2024 di Thailand — MPV elektrik jana hingga 204 PS, 530 km jarak, dari RM107k; Malaysia bila?

    Di dalam, perubahan tidak terlalu ketara. Yang dikekalkan ialah rekaan papan pemuka, meter analog (dengan paparan multi-info lima-inci) dan teks “Build Your Dreams” dalam font baru, tetapi kini diberikan kemasan ala kayu dan konsol tengah yang direka semula dengan tuil gear yang besar menggantikan tombol bulat. Skrin boleh pusing di tengahnya pula kini lebih besar, dari 10.1-inci kepada 12.8-inci — sama seperti Dolphin. Apple CarPlay juga datang sebagai ciri standard.

    Kelengkapan lain yang ada termasuklah sistem tanpa kunci, butang penghidup enjin, kad kunci NFC, pendingin automatik, cermin pandang belakang anti-silau, kawalan melayar, kerusi balutan kulit buatan, fungsi vehicle-to-load (V2L), sistem kamera 360-darjah dan enam pembesar-suara. Extended menerima tambahan landasan bumbung, bumbung kaca panoramik, kerusi depan berliang larasan kuasa, pengecas tanpa wayar Qi dan pintu ruang barangan berkuasa.

    BYD M6 2024 di Thailand — MPV elektrik jana hingga 204 PS, 530 km jarak, dari RM107k; Malaysia bila?

    Bagi aspek keselamatan, M6 datang dengan enam-beg udara, kawalan kestabilan dan amaran bukaan pintu. Tidak seperti di Indonesia, ia hanya menerima beberapa ciri bantuan pemandu sebagai standard, seperti AEB, kawalan melayar adaptif, dan bantuan ke tengah lorong. Extended pula menerima tambahan ciri bantuan mengekalkan lorong, peninjau titik buta, amaran lintasan trafik di belakang dengan brek auto dan juga amaran bukaan pintu.

    Ada kemungkinan M6 turut akan masuk pasaran Malaysia? Jualan MPV kini semakin baik — naik 11% bagi tempoh separuh pertama tahun ini. e6 sebelum ini memang ada ura-ura akan dipasarkan di sini, jadi versi elektrik M6 ini juga mungkin akan mengikut jalan sama. Sama ada jadi kenyataan atau tidak, itu kita lihat nanti.

    BYD M6 di GIIAS 2024

     
     
  • Kerajaan Jepun tawar hingga RM10.48b beri subsidi bateri EV kepada Toyota, Nissan, Subaru, Mazda

    Kerajaan Jepun tawar hingga RM10.48b beri subsidi bateri EV kepada Toyota, Nissan, Subaru, Mazda

    Jepun telah menjanjikan sehingga AS$2.4 bilion (RM10.48 bilion) subsidi untuk pengeluaran bateri kenderaan elektrik, laporan Reuters.

    Sokongan kewangan yang dijanjikan adalah untuk 12 projek bagu penyimpanan bateri atau untuk alat ganti, bahan dan peralatan pengeluarannya, kata menteri ekonomi, perdagangan dan industri Jepun, Ken Saito. Sokongan kewangan oleh kerajaan Jepun ini akan menyokong pelaburan oleh Toyota dan Nissan, serta projek bersama yang Panasonic jalankan dengan Subaru dan Mazda, kata Saito.

    “Kami berharap usaha ini akan mengukuhkan rantaian bekalan bateri simpanan dan daya saing industri bateri simpanan di Jepun,” Saito. Sokongan kewangan untuk pengeluaran bateri akan membantu meningkatkan kapasiti pengeluaran tahunan negara untuk bateri sekitar 50%, daripada 80 GWj kepada 120 GWj, lapor penerbitan berkenaan.

    Kerajaan Jepun tawar hingga RM10.48b beri subsidi bateri EV kepada Toyota, Nissan, Subaru, Mazda

    Toyota akan melabur sejumlah 245 bilion yen (RM7.46 bilion) dengan anak syarikat bateri Prime Planet Energy & Solutions dan Primearth EV Energy untuk meningkatkan kapasiti pengeluaran bagi bateri pepejal dan prisma sebanyak 9 GWj.

    Laporan Reuters turut menyebut, bekalan bateri daripada anak syarikat Toyota akan bermula pada November 2026, dan rancangan itu termasuk pembinaan loji bateri di wilayah Hyogo dan Fukuoka.

    Nissan berkata dalam satu kenyataan bahawa ia telah menerima pensijilan daripada kerajaan Jepun untuk rancangan menghasilkan bateri fosfat besi litium, dan pembuat kereta itu merancang untuk memadankan bateri berkenaan dalam kenderaan kompak mukai 2028, menyasarkan kapasiti pengeluaran domestik sebanyak 5 GWj setiap tahun.

    Sementara itu, Panasonic Energy dan Subaru berkata dalam satu kenyataan bersama bahawa kedua-dua syarikat itu akan menubuhkan kilang di wilayah Gunma untuk membekalkan bateri litium-ion silinder mulai 2028.

    Panasonic Energy akan membekalkan Subaru dengan bateri litium-ion silinder daripada sebuah kilang di Osaka mulai 2027, dan jumlah pelaburan sebanyak 463 bilion yen (RM14.1 bilion) menyasarkan untuk mencapai kapasiti bateri tahunan 16 GWj daripada kilang Gunma menjelang 2030, manakala 4 GWj lagi setiap tahun akan datang dari kilang Osaka, menurut syarikat tersebut.

    Panasonic Energy juga akan membuat bateri EV untuk Mazda mulai 2027 di kilangnya di Suminoe dan Kaizuka, yang akan diuruskan oleh Mazda, menurut kenyataan bersama Panasonic dan Mazda.

     
     
  • JPJ kenal pasti cara perbaiki perkhidmatan di kaunter — empat perkara untuk kurangkan tempoh menunggu

    JPJ kenal pasti cara perbaiki perkhidmatan di kaunter — empat perkara untuk kurangkan tempoh menunggu

    JPJ telah mengenal pasti beberapa cara untuk menambahbaik perkhidmatan di kaunternya di seluruh negara. Empat perkara itu disenaraikan dalam sebuah kenyataan oleh Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly bin Ramli susulan kunjungan Ketua Setiausaha Negara (KSN), Datuk Seri Shamsul Azri Abu Bakar ke kaunter JPJ di Galeria, Putrajaya awal bulan ini. KSN mengarahkan perubahan dijalankan dalam masa seminggu.

    JPJ menjelaskan ada beberapa perkara yang perlu diberi perhatian segera, terutamanya berkaitan penambahbaikan perkhidmatan kaunter untuk mengurangkan kesesakan dan masa menunggu untuk pelanggan.

    Satu daripadanya adalah untuk menyediakan Pegawai Bantuan JPJ untuk memberi panduan kepad pelanggan terhadap transaksi yang boleh dilakukan secara dalam talian. Pegawai akan mendekati pelanggan yang sedang berbaris dan menilai sama ada urusan mereka boleh dilakukan dalam talian atau sebaliknya. Jika ya, beri panduan proses berkenaan kepada mereka. JPJ juga menambah, pihaknya turut menggalakkan pelanggan untuk memperbaharui lesen memandu serta cukai jalan mereka dalam talian melalui aplikasi MyJPJ dan portal MySIKAP.

    JPJ kenal pasti cara perbaiki perkhidmatan di kaunter — empat perkara untuk kurangkan tempoh menunggu

    Jabatan itu juga akan memperbaiki sistem JPJeQ untuk membolehkan pelanggan mendapatkan nombor barisan dengan cara mengimbas kod QR. Pelanggan kemudian akan menerima makluman tersebut menerusi telefon mereka.

    JPJ juga akan melaksanakan pembaikan terhadap prosedur operasi standard (SOP) untuk transaksi melibatkan lesen kenderaan dan pemandu yang melibatkan dokumen atau borang fizikal, agar digantikan dengan versi digital yang boleh diisi sebelum tiba di kaunter JPJ.

    “JPJ berharap bahawa penambahbaikan yang akan dilakukan itu boleh mengurangkan kesesakan dan tempoh menunggu di kanter JPJ, sekaligus memberikan perkhidmatan lebih baik kepada pelanggan,” ujar Shamsul.

    Jangan lupa, cukai jalan dan lesen kini boleh diperbaharui dalam talian, jadi muat turun aplikasi MyJPJ dan tak perlu lagi beratur panjang di kaunter.

     
     
  • Kerajaan Malaysia bersedia gubal undang-undang untuk sokong pembangunan kenderaan autonomous

    Kerajaan Malaysia bersedia gubal undang-undang untuk sokong pembangunan kenderaan autonomous

    Kerajaan Malaysia sedang mempertimbangkan untuk meminda undang-undang untuk menyokong pendigitalan dan pembangunan kenderaan autonomous, laporan New Straits Times.

    “Kita perlu mengambil langkah untuk masa depan kerana mungkin sekarang ia belum sampai peringkat arus perdana. Tetapi mungkin dalam 10, 20 tahun, kebanyakan sistem pengangkutan awam kita tidak lagi menggunakan manusia sebagai pemandu. Boleh dipandu sendiri. Kini, kebanyakannya masih memerlukan pemandu,” kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke.

    Beliau berkata, kerajaan sedang mengambil langkah awal untuk menilai sejauh mana ia boleh dilaksanakan sebelum memutuskan apakah pindaan perundangan boleh dibuat untuk menyokong pendigitalan kenderaan. Loke menambah, pada masa ini tiada garis masa kerana bukti konsep (PoC) untuk pengangkutan awam autonomous masih dijalankan.

    “Di Kementerian Pengangkutan, kami sedia membantu. Saya percaya perkara ini perlu diteliti melalui contoh dari negara lain yang sudah mempunyai rangka kerja undang-undang. Setakat ini, Malaysia belum mempunyai rangka kerja undang-undang untuk kenderaan autonomous, jadi kita perlu melihat contoh dari luar negara sebagai rujukan,” kata Loke selepas demonstrasi 5G yang dijalankan pada bas autonomous eMoovit Technology semalam.

    Tambahnya, Kmenterian pPengangkutan bersedia untuk memudahkan pembangunan kenderaan autonomous dari segi perundangan. “Kita juga perlu melihat pengkomersialannya, kerana tidak ada gunanya mempunyai rangka kerja undang-undang tanpa penggunaan praktikalnya,” katanya.

     
     
  • Super GT Malaysia 2025 bakal tampil pelumba ‘wild card’ tempatan diganding dengan pelumba Indonesia

    Super GT Malaysia 2025 bakal tampil pelumba ‘wild card’ tempatan diganding dengan pelumba Indonesia

    Selain dari menyaksikan pertarungan antara pasukan-pasukan lumba dari Jepun, ada satu lagi sebab mengapa peminat sukan bermotor tempatan perlu hadir ke perlumbaan Autobacs Super GT pusingan ketiga 2025 yang akan dilangsungkan di Litar Antarabangsa Sepang Petronas nanti – menurut penganjur acara tersebut, seorang pelumba dari Malaysia akan diberikan tiket ‘wild card’ untuk berlumba dalam perlumbaan berkenaan.

    Ketika sesi soal jawab yang berlangsung selepas majlis menandatangi perjanjian penganjuran acara tersebut di Putrajaya petang tadi, Rakan Pengurusan Haro Sports & Entertainment Fahrizal Hasan mengesahkan perkara ini dan menurutnya pelumba Malaysia berkenaan akan digandingkan dengan seorang pelumba dari Indonesia bagi menghangatkan lagi perlumbaan tersebut.

    Namun Fahrizal masih belum memperincikan kategori mana dan jentera apa yang pasangan pelumba Malaysia-Indonesia itu akan gunakan untuk perlumbaan tersebut.

    Secara tradisinya, Super GT masih dilangsungkan dalam dua kategori iaitu GT500 dan GT300, di mana kedua-duanya dilangsungkan serentak, dilepaskan dengan cara rolling start, serta setiap kereta perlu menampilkan dua orang pelumba.

    Super GT Malaysia 2025 bakal tampil pelumba ‘wild card’ tempatan diganding dengan pelumba Indonesia

    Perjanjian yang ditandatangi petang tadi adalah di antara Haro Sports & Entertainment sebagai pemegang hak dan promoter untuk pusingan Super GT di Malaysia bersama GT Association (GTA) sebagai pemegang hak perlumbaan Super GT. Dalam perjanjian itu, Malaysia bukan hanya menjadi penganjur untuk musim 2025, malah untuk musim 2026 dan 2027.

    Untuk acara yang berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang Petronas tahun hadapan, ia merupakan perlumbaan Super GT musim 2025 pusingan ketiga, akan berlangsung pada 27 hingga 28 Jun. Ia merupakan satu-satunya pusingan Super GT 2025 yang dilangsungkan diluar Jepun, dan yang pertama sejak 2019.

    Pusingan di Sepang ini sepatutnya berlangsung pada musim 2020 dalam format perlumbaan malam, namun ia terpaksa dibatalkan kerana Pandemik Covid-19 yang melanda dunia ketika itu. Sepang juga pernah menganjurkan perlumaan Super GT ini bermula musim 2000 hingga 2013.

    Sebanyak lapan pusingan perlumbaan dirancang untuk siri perlumbaan Super GT bagi musim 2025 ini, bermula dengan pusingan pertama yang akan dilangsungkan di Litar Antarabangsa Okayama pada 12 hingga 13 April. Seperti biasa, pusingan di Malaysia ini dijangka akan menyajikan aksi berlainan dari perlumbaan-perlumbaan di Jepun bukan sahaja dilangsungkan dalam cuaca panas, malah ia boleh hujan tanpa dijangka.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (-0.04)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.90 (-0.04)
EURO 5 B7 RM3.10 (-0.04)
Last Updated Aug 14, 2025