Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Pengarah, Ketua Cawangan negeri bakal berdepan tindakan tegas jika kaunter tidak dibuka – KP JPJ

    Pengarah, Ketua Cawangan negeri bakal berdepan tindakan tegas jika kaunter tidak dibuka – KP JPJ

    Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Aedy Fadly Ramli telah memberikan amaran kepada Pengarah dan Ketua Cawangan (KC) JPJ negeri yang bakal berdepan tindakan tegas sekiranya membiarkan kaunter perkhidmatan tidak dibuka seperti sepatutnya atau tidak berada di bawah pengawasan sewajarnya, laporan Bernama.

    Katanya, perkhidmatan kaunter yang efisien amat ditekankan memandangkan fokus utama jabatan di bawah kendaliannya adalah untuk menambah baik sistem penyampaian kepada orang ramai.

    “Fokus kita ketika ini adalah perkhidmatan di kaunter dan perkara ini turut ditegaskan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, yang mahu setiap kaunter tidak dibiarkan tanpa pengawasan atau daripada lima yang ada, hanya dua kaunter dibuka. Mana-mana Pengarah Negeri dan KC tidak menjalankan tugas dengan baik dan kaunter tidak dibuka, mereka akan diambil tindakan,” katanya.

    Aedy Fadly berkata, sebagai jabatan kerajaan yang mencecah usia 78 tahun, anggota dan pegawai JPJ sepatutnya sudah matang dan memahami kehendak serta keperluan orang awam apabila berurusan di kaunter.

    Pengarah, Ketua Cawangan negeri bakal berdepan tindakan tegas jika kaunter tidak dibuka – KP JPJ

    Bagi memastikan perkhidmatan kaunter berada di tahap terbaik, beliau bersama pengarah dari ibu pejabat di Putrajaya akan melakukan lawatan mengejut melalui penyamaran bagi melihat sendiri penugasan kakitangan di semua cawangan JPJ seluruh negara.

    “Selepas ini, mungkin saya turun pakai topi, berkaca mata dan berseluar jeans lawat (JPJ setiap negeri). Saya juga mungkin hantar pengarah di ibu pejabat sebab kalau saya kerap turun mungkin orang kenal,” katanya.

    Walau bagaimana pun, beliau berpuas hati dengan tindakan segera semua JPJ negeri dalam melaksanakan inisiatif dan penambahbaikan diperkenalkan beliau serta pengurusan tertinggi lain. Antaranya menyediakan pegawai pemudah cara dikenali JPJ Assist berperanan membantu dan menyantuni pelanggan yang mendapatkan perkhidmatan di jabatan itu.

    “Kita akan memperhebatkan hebahan mengenai 38 perkhidmatan atau urus niaga dalam talian disediakan JPJ yang ketika ini kurang disedari umum. Kita yakin boleh mengurangkan bilangan orang awam datang ke kaunter, sekali gus mengurangkan kesesakan pelanggan serta masa menunggu,” katanya.

     
     
  • JPJ eBid: Siri ANS dan SD-X bakal sedia dibida

    Bagi yang memerlukan, siri nombor pendaftaran terkini dari Perak dan Sabah bakal bersedia untuk dibida menerusi platform dalam talian, JPJ eBid.

    Menurut Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), siri nombor pendaftaran terkini dari Perak, ANS bakal dibuka bidaan mulai 20 September ini. Bidaannya akan berakhir jam 10 malam pada 24 September. Keputusannya akan dikeluarkan sehari selepas bidaan ditutup iaitu pada 25 September 2024. Keseluruhan proses kini secara dalam talian, dan pembida akan menerima berita baik (atau buruk) menerusi e-mel.

    Manakala siri nombor pendaftaran terkini Sabah, SD-X, bakal dibuka bidaan mulai 28 September 2024. Tempoh bidaannya berlangsung selama lima hari dan akan ditutup pada 2 Oktober, tepat jam 10 malam. Seperti biasa, keputusannya akan keluar pada keesokan harinya, 3 Oktober 2024.

    Disebabkan sekarang ini banyak urusan yang boleh dibuat secara dalam talian, jadi kalau nak dapatkan nombor pendaftaran kenderaan terkini, anda boleh lakukan sendiri tanpa menggunakan khidmat pihak ketiga (termasuk runner), malah boleh menjimatkan kos serta masa. Anda boleh rujuk artikel kami sebelum ini berkenaan dengan JPJ eBid termasuk cara-cara yang diperlukan untuk membida nombor pendaftaran yang diingini.

     
     
  • Perodua Online Booking kini live — tempah Axia, Bezza, Myvi, Ativa dll; pilih warna, GearUp; RM100

    Perodua Online Booking kini <em>live</em> — tempah Axia, Bezza, Myvi, Ativa dll; pilih warna, GearUp; RM100

    Pelanggan kini sudah boleh membuat tempahan kereta baru Perodua di mana saja atau tanpa meninggalkan rumah dengan pengenalan ciri Perodua Online Booking (POB) kini beroperasi.

    Anda boleh membuat tempahan kereta baru Perodua melalui laman web rasminya (pergi ke tab ‘Our Models’ dan klik ‘Book Now’) dengan yuran tempahan boleh dipulangkan bernilai RM100 (tertakluk kepada terma dan syarat). Pilih model yang diinginkan, warnanya serta pilihan GearUp; kemudian masukkan butiran anda, pilih cawangan dan penasihat jualan (SA) yang dikehendaki; dan bayar RM100 menerusi FPX dan selesai.

    Selepas membuat bayaran ini, anda boleh teruskan permohonan untuk pinjaman sewa-beli secara dalam talian daripada bank yang disenaraikan. Resit yuran tempahan akan diemel, dan anda boleh mengetahui status terkini tempahan menerusi aplikasi UFirst Perodua. Jika anda bukan ahli UFirst, SA anda akan membantu aspek menandatangani dokumen dalam masa 24 jam. Lebih mudah untuk muat turun aplikasi berkenaan, dan akan membantu pengalaman pemilikan anda kelak.

    Perodua Online Booking kini <em>live</em> — tempah Axia, Bezza, Myvi, Ativa dll; pilih warna, GearUp; RM100

    Proses tempahan ini turut mempunyai pilihan untuk trade-in — pilih kotak tersebut dan penasihat jualan anda akan membuat apa yang perlu ke atas kereta sesama tersebut. Bagi pinjaman sewa-beli, anda boleh pilih untuk berurusan dengan SA (dan bukannya memohon terus secara dalam talian) atau lakukannya menerusi aplikasi UFirst sebaik sahaja menandatangani pesanan jualan e-Kenderaan. Semuanya akan ditunjukkan, anda hanya perlu ikut langkah tersebut.

    Namun, membuat tempahan secara dalam talian ini bukanlah cara untuk mendapatkan tempoh menunggu yang lebih pendek. Ia akan dilayan sama seperti tempahan biasa yang dibuat dicawangan, dan anggaran tempoh menunggu adalah bergantung kepada cawangan yang dipilih itu.

    Sekiranya anda telah membuat tempahan secara fizikal di cawangan Perodua, jangan buat tindanan tempahan secara POB ini. Sistem tidak akan membenarkan pelanggan meneruskan tempahan kedua sekiranya tempahan pertama belum didaftarkan. Jika ingin membuat tempahan berikutnya, hubungi SA atau bilik pameran berdekatan. Hal yang sama jika anda ingin membuat lebih daripada satu tempahan — hubungi SA anda.

    Pelanggan juga boleh membeli kereta untuk ahli keluarga mereka dengan memasukan butiran penerima dalam borang. Bagi yang bukan warganegara Malaysia juga boleh menggunaan POB, tetapi kereta terbabit perlu didaftarkan di Malaysia.

    Inilah perkara yang perlu anda tahu tentang POB. Namun, adalah lebih elok untuk pelanggan mencuba terlebih dahulu kereta yang ingin ditempah itu sebelum membuat sebarang keputusan (anda boleh memohon untuk pandu uji secara dalam talian dan SA akan menghubungi anda dalam tempoh 24 jam), tetapi jika anda memang sudah bulat hati dengan pilihan, POB akan memudahkan lagi urusan anda.

    Peranan bilik pameran dan SA tetap ada dalam proses ini, hanya langkahnya dipermudahkan untuk semua yang terlibat. Dah cuba nanti boleh kongsikan pengalaman dengan kami.

     
     
  • Proton eMas 7 jalani ujian tempatan 100k KM sebelum dilancar; boleh ‘selam’ banjir lebih dalam dari Geely E5

    Proton eMas 7 jalani ujian tempatan 100k KM sebelum dilancar; boleh ‘selam’ banjir lebih dalam dari Geely E5

    Sebelum ini kita sudah tahu bahawa kembar Proton eMas7 dan Geely Galaxy E5 (atau Geely EX5 untuk pasaran global) dibangunkan bersama kedua-dua jenama tersebut, bukan hanya melibatkan 230 tenaga kerja dari Proton, malah termasuk perkongsian kos pembangunan. Tapi kenapa versi dari Geely berkenaan dapat dilancarkan terlebih dahulu di China berbanding Proton di Malaysia?

    Dalam kenyataan yang baru dikeluarkan oleh Proton hari ini mendedahkan bahawa, selepas pembangunan awalnya yang dibuat di China, Proton eMas 7 kini dalam proses untuk disesuaikan pula untuk keadaan sebenar di Malaysia sebelum ia dilancarkan di sini menjelang hujung tahun ini.

    Menurut Proton, sebanyak enam prototaip eMas 7 kini sedang berkeliaran ke seluruh semenanjung Malaysia, diuji dan dibuat penyesuaian bagi memastikan model produksi sebenarnya nanti boleh bertahan serta sesuai dengan keadaan jalan raya dan juga cuaca di sini.

    Empat ujian jalan raya telah dirancang dalam program pembangunan tempatan ini termasuk Ujian Adaptasi Ketahanan (DAT), Ujian Elektrikal Jalan Raya (ERT), ujian untuk Sistem Bantuan Pemanduan Termaju (ADAS) dan Ujian Kebolehpercayaan Kualiti (QRT). Selain itu Proton turut membuat penyesuaian pada sistem infotainmen, sistem navigasi bina-dalam dan juga servis telematik eMas 7 ini.

    Proton eMas 7 jalani ujian tempatan 100k KM sebelum dilancar; boleh ‘selam’ banjir lebih dalam dari Geely E5

    Buat masa sekarang jurutera-jurutera Proton sedang menjalankan ujian DAT dengan mensimulasikan keadaan trafik dan keadaan di Malaysia, serta mengemaskini peta sistem navigasi, mengoptimakan capaian frekuensi radio, menguji keterhubungan internet pada kawasan pendalaman dan jalan di kawasan pergunungan serta stesen keretapi.

    Proton turut menyatakan bahawa ia juga sedang menguji sistem ADAS di banyak tempat termasuk di tempat parkir pusat membeli-belah, persimpangan jalan, dan jalan dengan pelbagai ketinggian.

    Juga sehingga kini ujian jalan raya sejauh 10,000 km sebagai sebahagian dari ujian ERT bagi memastikan fungsi-fungsi elektronik pada eMas 7 ini diintegrasikan sepenuhnya dan lancar ke dalam sistem elektrikal.

    Komponen-komponen perisian penting juga telah dilokalisasikan, dengan membuat alih bahasa Bahasa Cina kepada Bahasa Inggeris Malaysia dalam sistem infotainment Flyme Auto, dan tidak mengambil jalan pintas dengan hanya menggunakan proses translasi secara generik.

    Manakala dalam ujian ketahanan, Proton menyatakan bahawa ia memohon dan mengimplementasikan 49 proses ujian tambahan, di mana sebahagiannya hanya dibuat oleh Proton bagi memastikan eMas 7 ini memenuhi standard tempatan dan global.

    Antara ujian tambahan berkenaan termasuk ujian prestasi beban dan juga kawalan kestabilan. Proton turut membuat pelarasan agar eMas 7 ini mampu meredah air pada paras maksimum 400 mm – lebih dalam dari spesifikasi pada Geely Galaxy E5 – bagi memastikan ia diberikan perlindungan tambahan sekiranya berhadapan dengan situasi banjir.

    Ujian meredah air berkenaan dibuat di litar ujian Proton di Malaysia pada Julai lalu. Turut dilakukan di litar ujian berkenaan termasuk ujian melalui jalan berbonggol yang sama seperti keadaan sebenar jalan raya di Malaysia. Beberapa masalah telah ditemui ketika ujian-ujian tersebut dibuat, dan ia kini sudahpun diselesaikan.

    Akhir sekali Proton akan membuat ujian QRT yang disasarkan untuk menempuh jarak sejauh 100,000 km. Dalam sesi ini beberapa ujian akan dibuat termasuk ujian pecutan, prestasi brek dan penggunaan tenaga, dan juga ujian perisian. Proton turut akan menghantar eMas 7 ini ke makmal ASEAN NCAP bagi membuat ujian pelanggaran dan keselamatan bateri.

    eMas 7 dan Galaxy E5 merupakan model yang diasaskan dari platform Global Intelligent New Energy Architecture (GEA), atau untuk Proton ia dikenali sebagai platform Global Modular Architecture (GMA). Platform ini juga sebenarnya adalah evolusi yang diasaskan dari Sustainable Experience Architecture (SEA) yang dibangunkan oleh Geely untuk digunakan oleh jenama-jenama dibawah naungannya yang lain.

    Proton masih belum mendedahkan sebarang spesifikasi eMas 7 untuk pasaran Malaysia, namun boleh dijangka ia akan ditawarkan dengan unit rangkaian kuasa yang sama seperti Galaxy E5. Di China Geely Galaxy E5 digerakkan dengan satu motor elektrik yang memacu roda hadapan berkuasa 218 PS dan tork maksima 320 Nm, membolehkan ia memecut dari 0-100 km/j dalam masa 6.9 saat.

    Bagi membezakan varian, ia ditawarkan dalam dua versi bateri lithium logam fosfat (LFP) “bilah pendek” Aegis yang dibangunkan oleh Geely sendiri bermula bateri berkapasiti 49.52 kWj dengan jarak perjalanan 440 km atau kapasiti 60.22 kWj yang memberikan jarak 530 km mengikut kitaran ujian CLTC.

     
     
  • JPJ sita 21 MPV mewah buat perkhidmatan ‘kereta sapu’ – caj cecah RM1k untuk perjalanan KL-S’pura

    JPJ sita 21 MPV mewah buat perkhidmatan ‘kereta sapu’ – caj cecah RM1k untuk perjalanan KL-S’pura

    Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menyita 21 MPV mewah yang menawarkan perkhidmatan haram ‘kereta sapu’ menerusi operasi khas yang dijalankan di sekitar Lembah Klang dari 2-6 September. Ketua Pengarah JPJ Datuk Aedy Fadly Ramly berkata, operasi seumpama itu julung kali diadakan bagi membanteras aktiviti ‘ulat teksi sapu mewah’ yang menyasarkan pelancong asing yang menginap di hotel lima bintang serta di tempat tarikan pelancong.

    “Kami telah menerima banyak laporan mengenai aktiviti ini dan siasatan mendapati modus operandi mereka menggunakan aplikasi khas dan bantuan orang tengah dalam misi mereka mengaut keuntungan secara tidak bertanggungjawab,” kata Aedy Fadly semalam, laporan Sinar Harian. Tambahnya, ada yang mengenakan caj sehingga S$300 (RM996) untuk perjalanan dari KL ke Singapura berbanding caj biasa RM300.

    Beliau turut berkata, selain merampas MPV seperti Toyota Alphard, Hyundai Starex, Hyundai Staria dan Toyota Innova, pihaknya turut mengeluarkan 45 saman kepada pemilik kenderaan berkenaan atas pelbagai kesalahan seperti salah guna lesen kenderaan, tidak memiliki lesen memandu kompeten (CDL) dan CDL tamat tempoh. Pemandunya pula kebanyakannya lelaki tempatan berumur 30-an.

    Kes disiasat mengikut Seksyen 23 (2) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang boleh didenda sehingga RM10,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya sekali.

    Aedy Fadly menegaskan ‘kereta sapu’ mewah terbabit tidak mempunyai insurans dan boleh membahayakan para penumpang sekiranya berlaku kejadian tidak diingini.

    “JPJ memandang serius dan tidak berkompromi serta akan terus melaksanakan penguatkuasaan ke atas mana-mana pemilik atau pemandu yang didapati salah guna LKM kenderaan persendirian. JPJ juga sentiasa komited memastikan keselamatan setiap pengguna jalan raya dan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pengguna yang berterusan melanggar peraturan ditetapkan,” katanya.

     
     
  • Kia buka pusat latihan APAC baharu di Glenmarie – hab global ke-5 selepas Jerman, USA, Rusia dan UAE

    Kia buka pusat latihan APAC baharu di Glenmarie – hab global ke-5 selepas Jerman, USA, Rusia dan UAE

    Untuk pengetahuan anda, ibu pejabat Kia Asia Pasifik sebenarnya berada di Kuala Lumpur, jadi tidak hairanlah mengapa jenama ini membuka pusat latihan APAC di Glenmarie, Shah Alam. Fasiliti ini merupakan hab latihan global kelima jenama ini, selepas membukanya di Jerman, Rusia, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Amerika Syarikat.

    Kia berkata pusat baharu itu akan “menerajui cara dalam memupuk budaya inovasi dan perkhidmatan di seluruh rantau APAC,” sambil menambah bahawa ia akan menyediakan kakitangan operasi, jualan dan selepas jualan anak syarikat dan pengedarnya dengan kemahiran dan pengetahuan menyeluruh yang diperlukan dalam industri automotif.

    Kia buka pusat latihan APAC baharu di Glenmarie – hab global ke-5 selepas Jerman, USA, Rusia dan UAE

    “Malaysia dipilih daripada 34 pasaran kami di APAC sebagai pemilihan lokasi strategiknya, membolehkan kami memenuhi keperluan industri yang berkembang sambil mengekalkan pasukan kami di barisan hadapan dalam kemajuan teknologi,” kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kia Asia Pasifik, Kevin Ahn.

    Fasiliti ini dilengkapi dengan bilik kelas yang dilengkapi paparan berteknologi tinggi untuk pengajaran teori, bengkel lengkap untuk sesi praktikal, pusat sumber kenderaan berkomputer, simulator pembaikan maya dan alat khusus seperti peralatan diagnostik. Pelatih juga akan mendapat akses kepada model terbaharu Kia seperti EV6, EV9 dan EV5 dan EV3 yang akan datang bagi tujuan latihan praktikal.

    Kia buka pusat latihan APAC baharu di Glenmarie – hab global ke-5 selepas Jerman, USA, Rusia dan UAE

    Kia menambah bahawa kemudahan dan kaedah latihan pusat latihan tersebut mencerminkan piawaian global Kumpulan Hyundai Motor, dan lokasinya bersebelahan dengan pusat 3S sekaligus memberikan pelatih pendedahan langsung kepada senario dunia sebenar.

    Peserta yang berada di pusat latihan ini akan menerima pensijilan daripada Kia APAC setelah tamat program mereka, mengesahkan kemahiran dan kepakaran mereka dalam rangkaian global syarikat. Menurut syarikat itu lagi, pusat latihan tersebut juga mampu menampung sehingga 80 pelatih pada bila-bila masa. Kia menyasarkan untuk melatih sehingga 3,000 orang setiap tahun bagi memenuhi keperluan di kesemua 34 pasaran di rantau Asia Pasifik.

     
     
  • Aplikasi perkhidmatan van berdasarkan permintaan Kumpool kini dijenamakan sebagai Kummute

    Aplikasi perkhidmatan van berdasarkan permintaan Kumpool kini dijenamakan sebagai Kummute

    Perkhidmatan perkongsian van (ride-hailing) Kumpool Ride telah mengumumkan penjenamaan baharu, kini dikenali sebagai Kummute. Perubahan nama itu juga telah menyaksikan rombakan jenama terbabit dan menyediakan “cara yang lebuh mudah untuk berulang alik,” walau pun tidak memperincikan lebih lanjut mengenainya. Malah perubahan nama terbabit juga telah dinyatakan menerusi kemaskini di laman aplikasi Apple App Store dan Google Play.

    Kumpool atau kini Kummute merupakan program perkhidmatan perkongsian van yang dimulakan di Johor Bahru, tetapi pada tahun 2022, ia mula berkembang di Lembah Klang, bermula di Subang Jaya dan kemudian Petaling Jaya. Perkhidmatan ini berdasarkan permintaan penumpang yang menempahnya menerusi aplikasi yang disediakan, di mana ia menyediakan laluan, masa yang ditetapkan oleh penyedia perkhidmatan serta lokasi mengambil/menurunkan penumpang

    Aplikasi perkhidmatan van berdasarkan permintaan Kumpool kini dijenamakan sebagai Kummute

    Menerusi aplikasi yang disediakan, pengguna perlu memilih lokasi mengambil dan menurunkan penumpang sebelum membuat tempahan. Selepas tempahan dibuat, pengguna perlu membeli tiket digital dengan mengimbas kod QR. Pengguna dinasihati berada di tempat mengambil penumpang sekurang-kurangnya 10-15 minit terlebih dahulu dan menunggu van yang disediakan sampai.

    Sejak beroperasi di Lembah Klang, penyedia perkhidmatan van ini turut bekerjasama dengan Rapid KL, yang menyediakan kemudahan mengambil dan menurunkan penumpang LRT di lokasi yang tidak dilalui oleh bas perantara.

    Matlamat perkhidmatan ini adalah untuk meningkatkan kebolehcapaian pengangkutan awam dengan menangani isu-isu yang terdapat dalam sistem bas tradisional, termasuk kekurangan perhentian bas dan kekerapan perkhidmatan mungkin bermasalah. Kummute juga sesuai untuk anda yang tidak mahu memandu ke lokasi kerana kesesakan lalu lintas atau malas nak mencari tempat letak kenderaan terutamanya di kawasan yang sibuk.

     
     
  • Kamera AWAS baharu di KM 431.55 Bukit Beruntung-Sg Buaya arah selatan Lebuhraya PLUS – sedang diuji

    Kamera AWAS baharu di KM 431.55 Bukit Beruntung-Sg Buaya arah selatan Lebuhraya PLUS – sedang diuji

    Perhatian untuk pengguna Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS). Tidak lama lagi, kamera baharu pengesan kelajuan Automated Awareness Safety System (AWAS, sebelum ini dikenali sebagai AES) bakal beroperasi di laluan Bukit Beruntung – Sg Buaya arah selatan di lebuhraya berkenaan. Atau lokasi paling tepatnya iaitu di KM 431.55.

    Ia diumumkan oleh PLUS melalui pengumuman keselamatan baru-baru ini, mengatakan bahawa ujian ‘Hari 0’ untuk penyepaduan tapak dan penentukuran kamera AWAS dengan pelaksanaan penutupan lorong.

    Kamera ini menggunakan peranti Ekin Spotter baharu, bagi menggantikan kamera AES Redflex yang telah digunakan lebih sedekad. Sebelum ini, JPJ berkata, penggantian kamera lama adalah disebabkan masalah kerosakan besar dan ia tidak lagi tidak mendapat sokongan daripada pihak pengeluarnya.

    Kamera AWAS baharu di KM 431.55 Bukit Beruntung-Sg Buaya arah selatan Lebuhraya PLUS – sedang diuji

    Kamera AWAS baharu yang telah dipasang di Lebuhraya ELITE

    Kamera baharu ini telah pun dipasang dan diuji berdekatan KM17.2 Lebuhraya ELITE menuju ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). Walau pun beerbentuk tiang hitam, ia memiliki Automated Number Plate Recognition (ANPR) dengan kelengkapan kamera jalan modular yang boleh ditugaskan dengan beberapa fungsi berbeza melalui pemasangan beberapa modul berlainan.

    Menurut JPJ, dalam peranti yang digunakan sebagai kamera had laju ini, antara elemen lain yang dapat dilihat turut melengkapinya ialah sensor kelajuan, lampu flash putih serta module kamera peninjau. Turut ditawarkan untuk Ekin Spotter ialah modul untuk lampu beacon dan bandar, pembesar suara, antena serta hotspot wifi. Menurut laman web Ekin, peranti Spotter ini mampu menjalankan tinjauan berkualiti tinggi untuk siang dan malam, serta mampu meninjau kawasan yang lebih luas dan merakam video beresolusi tinggi.

    Pada Jun 2023, kerajaan berkata, akan memasang lebih banyak kamera AWAS untuk meningkatkan penguatkuasaan lalu lintas. Menurut Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Hasbi Habibollah, kajian yang dijalankan oleh Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) menunjukkan tahap pematuhan pengguna jalan raya kepada peraturan had laju dan isyarat lalu lintas di lokasi pemasangan kamera itu telah mencecah sehingga 99%.

     
     
  • Mercedes-Benz GLC350e 2024 di Malaysia — X254 PHEV; 313 PS, 550 Nm, jarak EV 131 km, RM399k

    Mercedes-Benz GLC350e 2024 di Malaysia — X254 PHEV; 313 PS, 550 Nm, jarak EV 131 km, RM399k

    Ketika pengenalan model E-Class W214 2024 hari ini, Mercedes-Benz Malaysia (MBM) turut memperkenalkan sebuah lagi model SUV GLC350e 4MATIC versi pemasangan tempatan dari Pekan, Pahang. Ia dijual dengan harga RM398,888 untuk Semenanjung Malaysia.

    Varian plug-in hybrid berkenaan kini mampu memberikan jarak elektrik hingga 131 km mengikut kitaran WLTP. Model GLC terbaru ini juga dilengkapi dengan ciri bantuan pemanduan canggih Driving Assistance Package Plus, serta dengan kemampuan untuk off-road.

    Mercedes-Benz GLC350e 4MATIC ini memanfaatkan enjin 2.0L turbocas empat-silinder petrol yang menghasilkan 204 hp (150 kW) pada 6,100 rpm dengan tork 320 Nm dari 2,000 hingga 4,000 rpm. Turut digandingkan dengan enjin ini ialah sebuah motor elektrik dengan kuasa 100 kW dan tork 440 Nm — ini memberikan janaan output keseluruhan bagi Mercedes-Benz GLC350e 4MATIC ini sebanyak 313 hp (230 kW) dan tork 550 Nm.

    Mercedes-Benz GLC350e 2024 di Malaysia — X254 PHEV; 313 PS, 550 Nm, jarak EV 131 km, RM399k

    Bateri lithium-ion voltan tinggi dengan kapasiti 25.4 kWh (model global GLC300e datang dengan bateri 31.2 kWh) membekalkan kuasa elektrik kepada motornya, sekaligus membolehkan pecutan 0-100 km/j dalam masa 6.7 saat. Kereta ini boleh mencapai laju maksimum 218 km/j. Untuk pengecasan dalaman pula mampu menampung hingga 11 kW AC untuk pengecas tiga-fasa biasa dan memerlukan masa dua jam. Tidak seperti E350e yang baru dilancarkan, model GLC ini tidak dilengkapi dengan pengecasan DC.

    Rekaan Mercedes-Benz GLC350e 4MATIC ini sama dengan model global GLC300 dengan kelengkapan bodykit AMG Line, lampu utama projektor LED Digital Light dengan ciri lampu tinggi adaptif, bumbung kaca panoramik, landasan bumbung aluminium, rim 20-inci AMG.

    Mercedes-Benz GLC350e 2024 di Malaysia — X254 PHEV; 313 PS, 550 Nm, jarak EV 131 km, RM399k

    Di dalam, ia masih mengekalkan rekaan sama dengan GLC sebelum ini dengan dilengkapi skrin sentuh infotainmen 11.9-inci dengan Mercedes-Benz User Experience (MBUX), dengan kawalan pendingin di dalamnya juga. Paparan instrumen 12.3-inci juga ada, dengan sambungan Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar, pengecas Qi dan sistem bunyi Burmester 3D dengan 15-pembesar suara.

    Kelengkapan AMG Line yang ada untuk varian GLC ini antaranya stereng dan pedal aloinya. Untuk kerusi, balutan kulit buatan Artico digunakan, dengan kemasan logam, kerusi larasan kuasa dengan fungsi memori dan laran lumbar serta pelindung tingkap belakang manual.

    Ruang but dibuka tanpa pengendalian tangan, dengan kapasiti ruang yang tersedia 490 liter — kurang daripada GLC300 yang mempunyai 620 liter — yang turut menempatkan baterinya. Kelengkapan lain termasuklah sistem tanpa kunci, butang penghidup enjin, pendingin dua-zon dan sistem kamera 360-darjah.

    Paling penting Mercedes-Benz GLC350e 4MATIC sudah didatangkan dengan ciri Driving Assistance Package Plus, yang membawakan kemampuan pemanduan semi-autonomous tahap dua untuk GLC di Malaysia. Ini melibatkan ciri seperti AEB, kawalan melayar adaptif Distronic dengan Stop/Go, bantuan ke tengah lorong, peninjau titik buta dengan penghindar pelanggaran dan amaran lintasan trafik depan dan belakang dengan Auto Brake. Turut disertakan ialah ciri Pre-Safe Impulse Side. Tujuh beg udara datang sebagai ciri standard.

    Gambar Rasmi Mercedes-Benz GLC350e 2024

     
     
  • Honda WR-V Special Edition di Malaysia – RS dapat ciri ekstra Modulo, 99 unit; harga sama RM107,900

    Honda WR-V Special Edition di Malaysia – RS dapat ciri ekstra Modulo, 99 unit; harga sama RM107,900

    Selain Honda City SE, Honda Malaysia turut memperkenalkan WR-V Special Edition. Sama seperti City SE, WR-V SE ini turut ditawarkan hanya 99 unit sahaja, dan ditambah dengan pakej aksesori Modulo, tanpa ada kos ekstra.

    WR-V SE ini secara asasnya adalah varian RS, yang dijual pada harga atas jalan RM107,900 tanpa insurans. Tidak seperti City SE yang hanya akan memasuki bilik pameran pada minggu hadapan, WR-V SE ini telah pun dipamerkan.

    Ciri kelengkapan luaran yang diberikan kepada WR-V RS membolehkannya menjadi SE ini ialah spoiler di bawah hadapan Modulo, spoiler di bawah bahagian belakang dan spoiler sisi serta mendapat kemasan paip ekzos baharu. Ketika dilancarkan pada tahun lalu, pek komponen ekstra ini ditawarkan pada harga RM3,175, namun untuk unit SE ini, tiada sebarang kos tambahan dikenakan.

    Di dalamnya, SE ditambahkan dengan kemasan pemijak tepi, perakam video digital hadapan, dan penutup panel lining di belakang, bersama lencana SE di belakang. Juga sama seperti City SE, WR-V SE ini juga hanya ditawarkan dengan satu warna luaran sahaja iaitu Stellar Diamond Pearl.

    Selain daripada itu, tiada perubahan lain termasuk bahagian mekanikalnya. WR-V masih dijanakan enjin yang sama, seperti City iaitu unit L15ZF 1.5 liter naturally-aspirated empat-silinder sebaris DOHC i-VTEC dengan tujahan kuasa 121 PS (119 hp atau 89 kW) pada 6,600 rpm dan tork 145 Nm pada 4,300 rpm, dengan pacuan disalurkan ke roda hadapan menerusi CVT.

    Spesifikasi untuk SUV ini dalam versi RS masih dikekalkan, termasuk gril berkotak-kotak krom, roda aloi dua-tona 17-inci dibaluti tayar 215/55 dan kemasan/jahitan kontras merah pada tempat duduk balutan kombinasi kulit/fabrik.

    Kelengkapan standard untuk semua varian termasuk skrin sesentuh Digital Audio tujuh-inci dengan ketersambungan Apple CarPlay dan Android Auto, sistem kamera sisi Honda LaneWatch, dua port USB di hadapan, kamera undur pelbagai-sudut, dan dua penderia parkir belakang.

    Manakala varian tertinggi termasuk RS turut diberikan lampu utama LED, lampu nyalaan siang LED, lampu kabus hadapan LED serta sistem kawalan suhu automatik zon-tunggal dan perehat tangan tengah di tempat duduk belakang.

     
     
  • Mitsubishi Xpander 2024 facelift dibuka tempahan di Malaysia — wajah baru, masih 4AT, anggaran RM115k

    Mitsubishi Xpander 2024 <em>facelift</em> dibuka tempahan di Malaysia — wajah baru, masih 4AT, anggaran RM115k

    Selepas hampir empat tahun sejak mula dijual di sini sejak tahun 2020 dan setelah mencapai angka pengeluaran CKD ke-40,000, Mitsubishi Motors Malaysia (MMM) kini memperkenalkan model facelift bagi MPV tujuh-tempat duduk keluarannya, Xpander 2024. Model pemasangan tempatan (CKD) itu kini sudah mula dikeluarkan dari kilangnya di Pekan, Pahang dan kini dibuka untuk tempahan dengan harga pengenalan RM115k yang sah untuk tempoh terhad sahaja.

    Xpander 2024 akan dilancarkan dalam bulan ini, dan sempena pengenalannya ini, seramai 500 pelanggan terawal Xpander yang mendaftar tempahan secara dalam talian melalui Mitsubishi Online Showroom akan menerima Naturehike Camping Wagon bernilai RM400 secara percuma.

    Jadi, apa yang baru dengan Xpander 2024? Pertama sekali, unit yang sedang anda lihat ini adalah varian Xpander Plus yang paling tinggi yang ditawarkan. Dan untuk bahagian luarannya, memang banyak pembaharuan yang diberikan.

    Mitsubishi Xpander 2024 <em>facelift</em> dibuka tempahan di Malaysia — wajah baru, masih 4AT, anggaran RM115k

    Wajah depannya secara keseluruhan adalah serba baru. Antara yang paling ketara ialah rekaan bamparnya baru, dengan ruang untuk nombor plat diturunkan ke bawah lagi. Bahagian bawah bamparnya pula menembatkan lampu kabus dengan kemasan perak. Untuk varian Plus, ia akan menggunakan banyak kemasan perak/krom di bahagian bamparnya sebagai perbezaan dari varian asas yang lebih banyak mengenakan kemasan dan perincian hitam.

    Bahagian lampu utamanya di bampar juga lebih besar dengan bentuk ‘T’ yang lebih jelas, dengan adanya kemasan krom/perak juga. Lampu utama ini juga ada lima kluster yang menempatkan lampu LED automatik. Bahagian lampu DRL pula masih terletak di atas, dengan bentuk keseluruhan nipis dan memberikan imej tajam.

    Bahagian gril yang menempatkan logo Mitsubishi juga tampil lebih ringkas dengan dua jalur kelabu gelap, sementara gril jaring di bawahnya meliputi kawasan yang lebih besar juga di bahagian bawahnya. Bahagian krom bentuk C di sekitar lampu utama pula kali ini lebih tebal visualnya. Secara keseluruhan, wajah depan Mitsubishi Xpander 2024 ini nampak lebih sibuk dan moden berbanding model lama.

    Mitsubishi Xpander 2024 <em>facelift</em> dibuka tempahan di Malaysia — wajah baru, masih 4AT, anggaran RM115k

    Dari sisi, ada beberapa penambahbaikan turut dilakukan, antaranya melibatkan penggunaan visor untuk setiap tingkapnya. Selain itu, rim 17-incinya (dengan saiz tayar 255/55) juga diberikan rekaan dua-tona yang baru. Di bahagian bawah pintu, kemasan atau bodykit yang disertakan menggunakan warna perak, yang tidak ada sebelum ini.

    Bahagian belakang pula kini dipasangkan spoiler besar yang sedikit sebanyak dapat menyuntik imej lebih sporty bagi MPV bukan-nasional yang paling laris di Malaysia ini. Sama seperti di depan, rekaan bampar belakang juga baru, melibatkan elemen terkini seperti bahagian reflektor yang menegak, selain rekaan lampu belakang yang baru yang lebih kemas dalam perumah gelap.

    Kedudukan nama Xpander juga kini lebih rendah di bawah. Bahagian bawah bampar, yang ditandai dengan warna perak itu juga rekaan baru, yang selari dengan rekaan wajah depannya. Tidak ketinggalan, daripada unit yang ditunjukkan ini juga dapat dilihat adanya ciri dashcam untuk Xpander.

    Seperkara lagi yang membezakan Xpander facelift 2024 ini daripada model lama ialah ketinggiannya dari tanah — Xpander 2024 diberikan tambahan ketinggian sebanyak 20 mm, kini dengan jarak dari permukaan tanah ialah 225 mm. Jika dibandingkan dengan model pesaingnya yang lain, Xpander mempunyai kelebihan 5 mm berbanding Perodua Aruz. Bagi Toyota Veloz dan Perodua Alza pula, masing-masing mempunyai ketinggian 190 mm dan 160 mm — ini bermakna Xpander mempunyai kelebihan sekitar 65 mm ketinggian dari permukaan tanah.

    Di dalam pula, antara penambahbaikan yang dibuat ialah pengenalan kawalan pendingin digital. Selain itu, ciri brek parkir (EPB) juga ada menggantikan brek tangan yang biasa sebelum ini. Kemasan ruang dalamannya juga lebih menarik dengan adanya bahagian balutan kulit buatan berwarna coklat seperti yang dapat dilihat di papan pemuka yang juga hadir dengan rekaan baru, serta di pintu dan juga perehat lengan di tengah.

    Selain itu, penumpang belakang juga diberikan perehat lengan boleh lipat di tengahnya. Tersedia juga slot pengecas USB — satu USB-A dan satu USB-C — untuk digunakan di belakang. Corong blower pendingin juga ada untuk penumpang belakang di bumbung, dan boleh dilaras kekuatannya.

    Bagaimanapun, dari segi mekanikal tidak banyak yang berubah. Xpander menggunakan enjin 1.5 liter Mivec DOHC 16-injap yang menghasilkan kuasa sebanyak 105 PS pada 6,000 rpm dan 141 Nm pada 4,000 rpm. Ini masih lagi digandingkan dengan transmisi automatik 4AT yang lama, walaupun versi facelift ini di pasaran luar sudah ditawarkan dengan CVT.

    Bagi suspensi, bahagian depan menggunakan jenis MacPherson strut dengan palang penstabil, manakala di belakang menggunakan jenis torsion beam. Untuk brek pula ia menggunakan jenis cakera berliang di depan dan brek dram di belakang.

    Sekadar makluman, Mitsubishi Xpander mempunyai ukuran dimensi 4,475 mm panjang, 1,750 mm lebar, 1,730 mm tinggi serta jarak roda 2,775 mm. Kapasiti tangki minyak ialah 45 liter. Bagi ruang untuk barangan, dengan kerusi barisan ketiga direbahkan, Xpander menyediakan kapasiti 495 liter. Untuk aspek keselamatan, Xpander dilengkapi antaranya dengan dua beg udara, ABS, Isofix, EBD, bantuan mula mendaki (HSA), sistem isyarat berhenti kecemasan (ESS) — masih belum ada sistem bantuan pemanduan canggih seperti AEB dan amaran penukaran lorong dsb.

    Selain itu Xpander Plus 2024 ini turut dilengkapi dengan kamera tinjauan sekeliling (varian asas hanya diberikan kamera undur), perakam video digital DVR depan dan belakang, sensor undur, spoiler, scuff plate, balutan kulit buatan, dan karpet ruang kaki.

    Mitsubishi Xpander Plus 2024

     
     
  • Honda City Special Edition – V dapat ekstra Modulo, Platinum White Pearl sahaja, terhad 99 unit; RM95,200

    Honda City Special Edition – V dapat ekstra Modulo, Platinum White Pearl sahaja, terhad 99 unit; RM95,200

    Honda City facelift dengan kelengkapan Modulo, spesifikasi Thailand, untuk ilustrasi sahaja. Nota: Malaysia tidak menerima roda seperti ini

    Honda Malaysia telah memperkenalkan Honda City Special Edition (SE), dengan memadankan pakej aksesori Modulo untuk varian V. Berita baiknya, tiada kenaikan harga asas untuk V, begitu juga dengan City SE ini yang terhad sebanyak 99 unit sahaja, dengan harga atas jalan RM95,200 tanpa insurans.

    Foto yang anda lihat di atas merupakan City facelift yang dilengkapi aksesori Modulo untuk pasaran Thailand. Untuk City SE yang baru diperkenalkan ini, masih belum berada di bilik pameran dan jadi belum ada imej untuk model versi Malaysia. Mungkin ia lebih kurang sama dengan apa yang Thailand dapat, kecuali rekaan roda aloinya sahaja yang berbeza.

    Ciri kelengkapan yang ditambah untuk City V untuk menjadikannya sebagai SE ialah spoiler di bawah hadapan Modulo, spoiler di bawah bahagian belakang dan spoiler sisi. Di dalamnya, SE ditambahkan dengan kemasan pemijak sisi, pencahayaan lantai, perakam video digital hadapan dan juga alas bahagian trunk, serta tidak ketinggalan lencana SE untuk melengkapkan lagi pakej varian ini. Bukan itu sahaja, SE hanya boleh didapati dalam warna Platinum White Pearl sahaja.

    Tiada perubahan mekanikal atau kelengkapan lain, dan City FE ini masih menggunakan enjin 1.5 liter naturally-aspirated empat-silinder sebaris DOHC i-VTEC dengan tujahan kuasa 121 PS (119 hp atau 89 kW) pada 6,600 rpm dan tork 145 Nm pada 4,300 rpm, dengan pacuan disalurkan ke roda hadapan menerusi CVT.

    Kelengkapan untuk City V termasuk lampu utama LED automatik, kemasukan tanpa kunci dan butang penghidup enjin dengan walk away auto lock, kawalan suhu automatik zon-tunggal, sistem kamera pandangan sisi Honda LaneWatch dan unit utama skrin sesentuh Display Audio lapan-inci bersama Android Auto dan Apple CarPlay dengan wayar. Varian V juga diberikan roda aloi 16-inci dibaluti tayar profil 185/55.

     
     
  • Mercedes-Benz E-Class 2024 di Malaysia — W214 E200 mild-hybrid dan E350e PHEV, dari RM356k-RM419k

    Mercedes-Benz E-Class 2024 di Malaysia — W214 E200 <em>mild-hybrid</em> dan E350e PHEV, dari RM356k-RM419k

    Mercedes-Benz E-Class W214 akhirnya tiba di Malaysia selepas 17 bulan membuat penampilan sulung di peringkat global. Model generasi keenam ini diperkenalkan terus dalam bentuk CKD dari Pekan, Pahang — dua varian dengan elektrifikasi ditawarkan sebagai permulaan.

    Mercedes-Benz E200 Avantgarde mild-hybrid diperkenalkan dengan harga RM355,888, manakala varian E350e AMG Line plug-in hybrid dijual dengan harga RM418,888. Semua angka ini belum termasuk insurans, tetapi sudah termasuk jaminan empat tahun tanpa had perbatuan serta jaminan enam-tahun/100,000 km untuk bateri.

    Kedua-dua varian ini dikuasakan oleh enjin petrol empat-silinder turbocas yang sama, yang digandingkan dengan motor elektrik dan juga transmisi automatik sembilan kelajuan. Yang membezakannya ialah kuasa yang dijana oleh motor, dan untuk E200, adanya motor Integrated starter-generator (ISG) yang memberikan lonjakan pecutan:

    Mercedes-Benz E200 Avantgarde – RM355,888

    • Enjin 2.0 liter M254 turbo empat-silinder
    • 204 PS pada 5,800 rpm, 320 Nm tork dari 1,600-4,000 rpm
    • Motor elektrik – 23 PS, 205 Nm tork
    • Transmisi automatik sembilan-kelajuan 9G-Tronic
    • Pacuan roda belakang
    • 0-100 km/j dalam 7.5 saat
    • Laju maksimum 240 km/j
    • Penggunaan minyak dari 6.7 hingga 7.2 liter per 100 km

    E350e menggunakan unit enjin yang sama tetapi dengan kuasa elektrik yang lebih besar, dengan kapasiti bateri juga lebih besar, sekaligus memberikannya prestasi lebih tinggi.

    Mercedes-Benz E350e AMG Line – RM418,888

    • Enjin 2.0 liter M254 turbo empat-silinder
    • 204 PS pada 5,800 rpm, 320 Nm tork dari 1,600-4,000 rpm
    • Motor elektrik – 129 PS, 440 Nm tork
    • Output keseluruhan sistem 313 PS, 550 Nm
    • Transmisi automatik sembilan-kelajuan 9G-Tronic
    • Pacuan roda belakang
    • Bateri 25.4 kWh lithium-ion
    • 0-100 km/j dalam 6.4 saat
    • Laju maksimum236 km/j
    • Jarak gerak elektrik sepenuhnya 100 hingga 118 km
    • Penggunaan minyak 0.6 liter per 100 km

    Pemanduan elektrik sepenuhnya bagi E350e boleh mencapai laju 140 km/j. Ia juga menyokong pengecasan pantas DC sehingga 55 kW, dengan kadar bateri 10-80% hanya memerlukan pengecasan 20 minit (cas penuh memerlukan sekitar 30 minit). Dengan pengecas dalaman 11 kW, satu cas penuh menggunakan wallbox AC akan memerlukan dua jam.

    E-Class W214 ini menggunakan suspensi dengan tetapan Agility Control serta penyerap hentak pilihan frekuensi pasif. E200 datang dengan tetapan suspensi yang lebih rendah sebanyak 15 mm. Tiada ciri stereng roda belakang untuk kedua-duanya.

    Model ini dibangun menggunakan Modular Rear Architecture (MRA2) generasi kedua. Ukuran dimensi sedan ini adalah seperti berikut: 4,950 mm panjang, 1,880 mm lebar, 1,468 mm tinggi. Ini menjadikannya 15 mm lebih panjang, 28 mm lebih lebar dan 8 mm lebih tinggi daripada model W213 sebelumnya — jarak rodanya 2,961 mm, juga 22 mm lebih panjang.

    Mercedes-Benz E-Class 2024 di Malaysia — W214 E200 <em>mild-hybrid</em> dan E350e PHEV, dari RM356k-RM419k

    Reka bentuk umum luarannya seperti tidak terlalu berbeza, namun penampilannya banyak diubah. Antara yang unik di bahagian luar ialah gril heksagon dengan logo Mercedes-Benz yang besar, dengan wajah depannya membawa kesinambungan dengan model elektrik penuh EQ yang lain. Untuk lampu, E200 dilengkapi LED reflektor biasa, dengan projektor Digital Light hanya untuk E350e.

    Bahagian sisi W214 ini antaranya dilengkapi ciri pemegang pintu tersorok. Garis bahagian atasnya juga diagihkan menjadi dua, yang memberi lebih penekanan terhadap fender depan dan belakang. Di belakang pula, lampunya menghuni dengan kelebaran penuh, dengan sentuhan rekaan berganda yang sama dengan lampu depan. Untuk varian E350e, imejnya lebih garang dengan kelengkapan kemasan AMG Line — bampar lebih agresif, skirting sisi lebih ketara serta diffuser belakang yang bersekali dengan dua muncung ekzosnya. Untuk rim, E200 menggunakan saiz 19-inci gaya turbin, manakala E350e menggunakan saiz 20-inci.

    Perubahan yang lebih banyak dilakukan di bahagian dalam — hanya stereng sahaja yang masing menggunakan rekaan dari model terdahulu. Selebihnya adalah serba baru, dengan ciri Mercedes-Benz User Experience (MBUX) yang mempunyai skrin instrumen digital 12.3-inci dan skrin sentuh untuk infotainmen yang lebih besar 14.4-inci.

    Skrin tengah juga menjadi antaramuka bagi banyak kawalan untuk kereta ini, termasuk kawalan pendingin. MBUX generasi ketiga yang ada ini pula boleh juga mempelajari habit pemandu dan mencadangkan operasi automatik bagi sesetengah fungsi yang selalu digunakan itu. Ada juga app store yang lebih meluas dengan aplikasi pihak ketiga yang tersedia termasuk TikTok, Angry Bird, Zoom dsb. Bagi E350e ia turut disertakan skrin penumpang bersaiz 12.3-inci, yang menjadi sebahagian daripada MBUX Superscreen.

    Lagi perbezaan bahagian dalaman E350e ialah lampu ambient aktif serta komponen AMG Line seperti pedal aloi. Papan pemuka bagi kedua-dua varian ini menggunakan balutan kulit buatan Artico serta kemasan kayu — dengan logo sinonim bintang Mercedes-Benz turut kelihatan. Luas ruang barangan di belakang bagi E200 ialah 615 liter, sementara bagi E350e ialah 460 liter disebabkan baterinya yang turut menghuni ruang berkenaan.

    Kelengkapan standard lain termasuklah sistem tanpa kunci, butang penghidup enjin, pancaran logo di luar, kawalan pendingin automatik dua-zon, kerusi depan larasan kuasa dengan fungsi memori dan larasan lumbar, balutan kulit buatan Artico, pelindung matahari untuk cermin, navigasi Augmented Reality, Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar, tujuh-pembesar suara, Park Assist, sistem kamera 360-darjah dan bukaan berkuasa untuk but.

    E350e pula menerima tambahan ciri kerusi balutan kulit tulen berliang dengan ciri pemanas, bumbung kaca panoramik dan 22-pembesar suara dengan sistem bunyi Burmester 4D Surround 730-watt.

    Aspek keselamatan pula terdiri antaranya daripada pakej Driver Assistance Plus yang membolehkan pemanduan semi-autonomous tahap dua. Ia terdiri daripada ciri AEB, kawalan melayar adaptif Distronic dengan Stop/Go, bantuan ke tengah lorong, bantuan stereng evasif, bantuan berhenti kecemasan dan peninjau titik buta. Satu lagi ciri standard ialah Pre-Safe Impulse Side.

    Mercedes-Benz E200 2024

    Mercedes-Benz E350e 2024

     
     
  • 2024 Mercedes-Benz C350e PHEV video review – does the W206 plug-in hybrid bring the best of ICE and EV?

    The Mercedes-Benz C350e AMG Line plug-in hybrid arrived in Malaysia in February this year, with official pricing of RM338,888 on-the-road without insurance announced in May.

    Badged the C300e in other markets, the plug-in hybrid C-Class is badged C350e in Malaysia as the nameplate has been well-established in this market, and so it is for the plug-in hybrid variant of the W206 here.

    Mercedes-Benz claims that the plug-in hybrid is the ideal halfway house between pure internal combustion and fully electric powertrains, and to that end the C350e packs a 25.4 kWh lithium-ion battery powering a 129 PS/440 Nm electric motor that is integrated into the nine-speed automatic transmission.

    This is good for a claimed EV range of 117 km on the WLTP cycle, and can go up to 140 km/h on battery power alone. The battery can be charged at up to 11 kW AC, bringing a full charge in two hours.

    The aforementioned 129 PS/440 Nm e-motor augments a 2.0 litre turbocharged inline-four cylinder petrol engine that produces 204 PS at 6,100 rpm and 320 Nm of torque from 2,000 rpm to 4,000 rpm, bringing a combined output of 313 PS and 550 Nm, enabling a 0-100 km/h run in 6.1 seconds and a 245 km/h maximum.

    In Malaysia, the drive battery is covered by a six-year, 100,000 km warranty that is in addition to the standard four-year manufacturer’s warranty.

    Standard kit for the W206-generation C350e includes Digital Light LED headlamps with Adaptive Highbeam Assist Plus, a panoramic sunroof, 18-inch AMG five-spoke alloy wheels, Thermatic dual-zone climate control (with rear vents), and a Nappa leather sports steering wheel.

    There’s also Artico man-made leather upholstery, metal-weave trim, powered front seats with memory function, ambient lighting, manual sunblinds for the left and right rear doors, a wireless charging pad, Guard 360, Keyless-Go, AMG floor mats and Hands-Free Access.

    Does the W206 Mercedes-Benz C350e really combine the best of internal combustion and battery power? Watch the video review here as our man Hafriz Shah evaluates the PHEV.

    This review is sponsored by BHPetrol Infiniti RON97 Euro4M. Use referral code BHPxPAULTAN when you download the BHPetrol eCard app to receive free 200 ePoints! Get the BHPetrol eCard mobile app for Android devices on Google Play, here, and for iOS devices on the Apple App Store, here.

     
     
  • Pemilik kenderaan Singapura boleh ambil tag RFID VEP di Woodlands mulai hari ini – caj servis SGD39

    Pemilik kenderaan Singapura boleh ambil tag RFID VEP di Woodlands mulai hari ini – caj servis SGD39

    Bermula hari ini (12 Sept), pemilik kenderaan Singapura sudah boleh mengambil tag RFID permit kemasukan kenderaan (VEP) dari pusat informasi yang bertempat di tingkat tiga, 186 Woodlands Industrial Park E5, laporan CNA.

    Perkhidmatan ambil-sendiri (self-collection) di Woodlands itu akan dikenakan caj perkhidmatan sebanyak SGD39 (RM130) selain yuran pemprosesan berjumlah RM10 (SGD3). Sebelum ini, pengambilan tag VEP hanya boleh dilakukan di Johor Bahru iaitu di Danga Bay, atau pemandu kenderaan boleh memilih untuk penghantaran melalui pos.

    Mulai 1 Oktober tahun ini, kenderaan berdaftar Singapura yang memasuki Malaysia perlu mempunyai VEP, yang akan digunakan untuk pembayaran tol serta caj RM20 setiap caj kemasukan. Mereka yang ditangkap tanpa VEP boleh didenda sehingga RM2,000 atau penjara sehingga enam bulan jika disabit kesalahan.

    Menurut laporan berkenaan, pemandu yang memilih untuk mengambil tag RFID dari Woodlands akan ditawarkan untuk memasangnya pada kenderaan mereka, sama ada pada cermin hadapan atau lampu hadapan bergantung pada kesesuaian. Bagi pemandu yang memilih untuk menerima tag RFID secara penghantaran pula, mereka akan menerima versi yang direka untuk dipasang pada lampu hadapan.

    VEP bertindak seperti “kad pengenalan” untuk kenderaan yang memasuki Malaysia dan akan membolehkan pihak berkuasa untuk mengesan kesalahan trafik. Pemandu kenderaan Singapura digesa menyelesaikan saman trafik tertunggak mereka sebelum meninggalkan Malaysia, di mana JPJ akan mengambil tindakan penguatkuasaan mulai 1 Januari 2025.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (-0.04)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.90 (-0.04)
EURO 5 B7 RM3.10 (-0.04)
Last Updated Aug 14, 2025