Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Ducati Hypermotard 698 Mono dilancar untuk pasaran Malaysia – enjin satu silinder 659 cc, dari RM70,900

    Ducati Hypermotard 698 Mono dilancar untuk pasaran Malaysia – enjin satu silinder 659 cc, dari RM70,900

    Model produksi pertama Ducati yang menggunakan enjin satu silinder, iaitu Hypermotard 698 Mono kini sudah tiba di Malaysia dengan harga jualan RM70,900 untuk versi standard dan RM77,900 untuk RVE, tidak termasuk insurans.

    Membawa karekter sebuah supermotard, model ini dipacu oleh enjin baru Superquadro Mono, yang berkapasiti 659 cc, dengan teknologi injap Desmodromic dan injap intake titanium, menghasilkan kuasa 77.5 hp pada 9,750 rpm dan tork 64 Nm pada 8,000 rpm. Transmisi adalah unit enam kelajuan dengan klac jenis slipper.

    Menjadikan tunggangan Hypermotard 698 Mono ini lebih mengujakan, ia cuma mencatat berat 151 kg, dan mempunyai pelbagai teknologi yang diambil daripada model Ducati yang lebih tinggi, seperti Cornering ABS, Ducati Traction Control (DTC), Ducati Wheelie Control (DWC), Engine Brake Control (EBC) dan Ducati Power Launch (DPL).

    Ini adalah tambahan kepada empat mod tunggangan yang disediakan, serta beberapa lagi ciri yang dapat membantu penunggang seperti pelarasan kuasa enjin tiga tahap, ABS empat tahap (dua dengan fungsi Slide-By-Brake dan satu hanya mengaktifkan ABS pada roda hadapan sahaja) dan Wheelie Control empat tahap (perisian Ducati Performance dengan Wheelie Assist untuk bantuan wheelie lebih lama dijual secara berasingan).

    Hypermotard 698 Mono ini datang dengan rim aluminium 17 inci, yang dipegang oleh suspensi yang terdiri daripada fork USD Marzocchi 45 mm boleh laras sepenuhnya di hadapan dan monoshock Sachs boleh laras sepenuhnya di belakang. Brek pula terdiri daripada unit tunggal cakera 330 mm dengan angkup Brembo M4.32 empat piston di hadapan dan cakera 245 mm dengan angkup satu piston di belakang.

    Tangki bahan api Hypermotard 698 Mono mempunyai kapasiti 12 liter dan untuk versi RVE, ia datang dengan grafik khas serta quickshifter yang boleh digunakan untuk naik dan turun gear.

    GALERI: Ducati Hypermotard 698 Mono

    GALERI: Ducati Hypermotard 698 Mono RVE

     
     
  • Malaysia sah anjurkan pusingan Autobacs Super GT di Litar Sepang untuk musim 2025, 2026 dan 2027!

    Malaysia sah anjurkan pusingan Autobacs Super GT di Litar Sepang untuk musim 2025, 2026 dan 2027!

    Seperti yang telah didedahkan dalam kalender Autobacs Super GT untuk musim hadapan yang telah disiarkan baru-baru ini, Malaysia telah disahkan bakal menganjurkan semula perlumbaan Autobacs Super GT untuk musim hadapan. Dan menerusi majlis menandatangi perjanjian penganjuran acara tersebut di Putrajaya petang ini, perlumbaan itu bukan hanya diadakan di Litar Antarabangsa Sepang untuk musim 2025 sahaja, malah ia turut disahkan akan diadakan juga untuk musim 2026 dan 2027!

    Perjanjian tersebut ditandatangi antara Haro Sports & Entertainment sebagai pemegang hak dan promoter untuk pusingan Super GT di Malaysia bersama GT Association (GTA) sebagai pemegang hak perlumbaan Super GT.

    Perjanjian untuk menjadi tuan rumah perlumbaan dari 2025 hingga 2027 itu ditandatangani antara Rakan Pengurusan Haro Sports & Entertainment Fahrizal Hasan dan Presiden dan CEO GTA Masaaki Bandoh, disaksikan oleh Timbalan Menteri Pelancongan, Kesenian Dan Kebudayaan Yang Berhormat Khairul Firdaus Akbar Khan. Turut hadir pada majlis itu ialah Ketua Pegawai Eksekutif Litar Antarabangsa Petronas Sepang Azhan Shafriman Hanif dan Setiausaha Agung Persatuan Sukan Permotoran Malaysia (MAM) S. N. Nanthan.

    Untuk acara yang berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang Petronas tahun hadapan, ia merupakan perlumbaan Super GT musim 2025 pusingan ketiga, akan berlangsung pada 27 hingga 28 Jun. Ia merupakan satu-satunya pusingan Super GT 2025 yang dilangsungkan diluar Jepun, dan yang pertama sejak 2019.

    Malaysia sah anjurkan pusingan Autobacs Super GT di Litar Sepang untuk musim 2025, 2026 dan 2027!

    Pusingan di Sepang ini sepatutnya berlangsung pada musim 2020 dalam format perlumbaan malam, namun ia terpaksa dibatalkan kerana Pandemik Covid-19 yang melanda dunia ketika itu. Sepang juga pernah menganjurkan perlumaan Super GT ini bermula musim 2000 hingga 2013.

    Sebanyak lapan pusingan perlumbaan dirancang untuk siri perlumbaan Super GT bagi musim 2025 ini, bermula dengan pusingan pertama yang akan dilangsungkan di Litar Antarabangsa Okayama pada 12 hingga 13 April. Seperti biasa, pusingan di Malaysia ini dijangka akan menyajikan aksi berlainan dari perlumbaan-perlumbaan di Jepun bukan sahaja dilangsungkan dalam cuaca panas, malah ia boleh hujan tanpa dijangka.

    “Saya amat berbesar hati kerana GTA, pasukan-pasukan dan pelumba-pelumba sekali lagi sebulat suara bersetuju untuk kembali ke Malaysia,” kata Fahrizal.

    “Sebagai satu-satunya pusingan luar negara untuk Super GT, Malaysia mempunyai kelebihan yang kukuh untuk meletakkannya sebagai destinasi Pelancongan Sukan pilihan bukan sahaja di peringkat serantau, tetapi di peringkat global. Oleh itu, perlumbaan di Malaysia ini bukan sahaja akan dipromosikan secara besar-besaran di dalam negara tetapi juga di seluruh rantau Asia dan seterusnya,” tambahnya lagi.

    Fahrizal menyatakan bahawa pihaknya menjangkakan acara ini akan menarik sekurang-kurangnya 80,000 orang pengunjung sepanjang dua hari ia berlangsung. Perlumbaan ini akan terus dilangsungkan dengan persekitaran seperti karnival, jadi pengunjung bukan hanya datang untuk menyaksikan perlumbaan, malah boleh menyertai pelbagai aktiviti menarik dan berinteraksi dengan pelumba dan pasukan kegemaran masing-masing.

    Antaranya sesi sesi pit terbuka, pit walk, grid walk, circuit safari (pengunjung boleh melihat kereta lumba bergerak dalam litar dengan menaiki bas yang disediakan), dan pelbagai reruai jualan yang dibuka.

    Secara tradisinya, Super GT masih dilangsungkan dalam dua kategori iaitu GT500 dan GT300, di mana kedua-duanya dilangsungkan serentak, dilepaskan dengan cara rolling start, serta setiap kereta perlu menampilkan dua orang pelumba.

    Namun untuk mereka yang mungkin sudah lama tidak mengikuti perlumbaan ini, kereta-kereta GT500 terkini sudahpun dibina berdasarkan undang-undang FIA Class 1 Touring Car, iaitu undang-undang sama digunakan oleh kejohanan DTM yang berlangsung di Jerman.

    Malaysia sah anjurkan pusingan Autobacs Super GT di Litar Sepang untuk musim 2025, 2026 dan 2027!

    Oleh itu kesemua kereta lumba GT500 terbaharu kini menampilkan casis jenis spaceframe, menggunakan enjin 2.0 liter empat silinder turbo dan memacu roda belakang. Tiga pengeluar automotif utama Jepun masih lagi berlumba dalam kategori ini iaitu Nissan dengan Z GT500, Toyota dengan GR Supra GT500 dan juga Honda dengan Civic Type R GT.

    Sementara untuk kategori GT300, kebanyakkan pasukan kini menggunakan jentera dalam spesifikasi FIA GT3 seperti Mercedes-AMG GT3, Nissan GT-R Nismo GT3 dan pelbagai lagi. Namun masih ada pasukan yang masih menggunakan jentera-jentera ‘Mother Chassis’ (MC), iaitu jentera lumba yang dibina berasaskan kereta-kereta produksi yang diambil dari bilik pameran, dan juga jentera yang dibina berdasarkan JAF-GT300.

    Antara jentera MC GT300 yang akan bertanding termasuk GR Supra pasukan Green Brave Racing yang dibina oleh salah satu pengedar Toyota di Jepun iaitu Saitama Toyopet, dan juga jentera yang menggunakan enjin boxer empat-silinder dalam perlumbaan ini iaitu Subaru BR-Z GT300 dibangunkan dengan spesifikasi JAF-GT300.

    Sekali lagi diingatkan, perlumbaan Super GT pusingan Malaysia akan berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang Petronas pada 27 hingga 28 Jun 2025. Namun jualan tiketnya masih belum dibuka, dan akan diumumkan tidak lama lagi.

     
     
  • Bintang badminton M. Thinaah pilih Chery Omoda 5 – diskaun 30% untuk atlet separuh akhir di Olimpik

    Bintang badminton M. Thinaah pilih Chery Omoda 5 – diskaun 30% untuk atlet separuh akhir di Olimpik

    Bintang badminton negara, Thinaah Muralitharan kini menjadi salah seorang pemilik Chery Omoda 5 di Malaysia. Chery Malaysia telah memuat naik foto atlet beregu badminton berusia 26 tahun kelahiran Klang ini yang telah menerima SUV berwarna hitam yang ditempahnya baru-baru ini.

    “Bintang badminton Olimpik Thinaah Muralitharan baru sahaja membawa pulang Omoda 5 baharu. Prestasi cemerlang beliau di gelanggang tahun ini, terutamanya di Sukan Olimpik Paris 2024, benar-benar mencerminkan semangat kecemerlangan dan keanggunan yang sama, seperti yang diterjemahkan oleh Omoda 5,” kata Chery Malaysia.

    Tambahnya, “Kami berbesar hati mengalu-alukan kehadiran Thinaah Muralitharan dalam keluarga Chery dan berharap perjalanan beliau lebih menguja, sama ada di dalam mahu pun di luar gelanggang.”

    Thinaah, pasangan bergu kepada Pearly Tan, menyertai pemain badminton kebangsaan Aaron Chia, Soh Wooi Yik dan Lee Zii Jia yang menerima SUV keluaran Chery sebaik sahaja mereka kembali dari Paris. Di mana, pasangan beregu Aaron dan Wooi Yik, serta Zii Jia menerima Tiggo 7 Pro setiap seorang selepas berjaya membawa pulang pingat gangsa buat Malaysia.

    Dalam masa yang sama, Chery Malaysia turut menawarkan diskaun sebanyak 30% untuk mana-mana model janaan petrol keluaran Chery iaitu Tiggo 8 Pro dan Omoda 5 kepada semua pemegang pingat dan atlet yang berjaya melayakkan diri hingga ke pusingan separuh akhir. Bukan itu sahaja, diskaun sebanyak 15% pula diberikan untuk lain-lain atlet yang turut berjuang di dalam Olimpik Paris 2024.

    Dijanakan oleh enjin 1.5 liter turbo empat-silinder dengan 156 PS/230 Nm, Chery Omoda 5 ditawarkan pada harga RM99,800 untuk varian C dan RM118,800 buat varian tertinggi H. Antara ciri kelengkapannya termasuklah tempat duduk pemandu larasan kuasa, tailgate kuasa bukaan bebas-tangan, bumbung suria, bantuan pengehad kelajuan, pengesan isyarat trafik dan juga kamera 360-darjah.

     
     
  • Jaecoo buka bilik pameran pertama di Kota Kinabalu

    Jaecoo buka bilik pameran pertama di Kota Kinabalu

    Jaecoo kini telah melabarkan sayap ke Malaysia Timur dengan pembukaan sebuah pengedar baru di Kota Kinabalu, Sabah. Bilik pameran dengan imej “geometrik” yang menonjol itu dikendalikan oleh Universal Jaecoo, dan terletak di Jalan Limau Manis Iramanis, yang bersambung dengan jalan utama bandar, Jalan Lintas.

    Kemudahan tersebut yang sebelum ini merupakan pengedar bagi Land Rover, mempunyai kapasiti untuk menampung 200 pengunjung sebulan dan menyediakan perkhidmatan jualan dan lepas jualan yang lengkap. Ia juga mempunyai ruang menunggu untuk pelanggan yang lengkap dengan hidangan kopi dan teh, sambungan internet pantas dan juga ruang sembahyang.

    “Malaysia Timur merupakan pasaran yang penting untuk kami. Pengunjung akan dilayani dengan pengalaman pemilikan yang premium yang mencerminkan intipati jenama Jaecoo — From Classic, Beyond Classic. Kami percaya model J7 sesuai dengan kehendak dan selera pelanggan di Sabah, dan Jaecoo ingin memenuhi permintaan itu,” ujar Naib Presiden Eksekutif, Chery Corporate Malaysia, Leo Chen.

    Jaecoo buka bilik pameran pertama di Kota Kinabalu

    Bilik pameran ini akan mempamerkan kedua-dua versi J7 (pacuan depan dan AWD). “Penasihat jualan terlatih kami juga bersedia untuk melayani sebarang pertanyaan tentang produk dan boleh juga aturkan permintaan untuk pandu uji. Kami juga yakin sedang berada di landasan yang betul dalam pasaran dan berupaya untuk memperluaskan lingkungan pelanggan di Sabah,” jelas Naib Presiden Jaecoo Malaysia, Emily Lek.

    Pengarah Urusan Universal Jaecoo, Chok Yun Kiong menambah: “Pasukan di Universal Jaecoo kini bersedia untuk memberikan yang terbaik kepada pelanggan kami di Sabah. Kami teruja kerana diberi kepercayaan untuk membawa jenama Jaecoo, yang sekaligus menjadi cerminan terhadap kemampuan kami sebagai pengedar kenderaan yang memahami pasaran di tempatan di sini.”

     
     
  • Proton Saga CKD mula diproduksi di Mesir, kendalian ESAF – 120 unit CKD pertama telah dihantar keluar

    Proton Saga CKD mula diproduksi di Mesir, kendalian ESAF – 120 unit CKD pertama telah dihantar keluar

    Proton telah mengumumkan bahawa Saga akan dipasang secara tempatan (CKD) di Mesir, dikendalikan oleh Ezz Elsewedy Automotive Factories (ESAF), setelah menjalinkan kerjasama dengan pengedar tempatan Ezz Elarab pada November tahun lalu. Dengan pelaburan berjumlah lebih USD15 juta (sekitar RM65 juta), projek CKD ini dikatakan mampu mencapai kapasiti pengeluaran sekitar 50,000 unit untuk tahun yang akan datang.

    Hari ini, pengumuman Proton turut menyaksikan penghantaran 150 unit pertama bagi Saga CKD yang dihantar ke Mesir, yang merupakan versi pemanduan sebelah-kiri untuk pasaran berkenaan. Proton telah memasuki pasaran negara tersebut pada November 2018. Buat masa ini, hanya model Saga yang dijual di sana, dengan penawaran tiga varian sejak Disember 2020. Sebelum ini, ia diimport (CBU) terus dari Malaysia.

    Permulaan operasi CKD di Mesir akan membolehkan Proton memanfaatkan negara itu sebagai hab serantau untuk mengeluarkan kereta bagi dijual di rantau Timur Tengah Afrika Utara (MENA), yang telah lama dirancang sebelum ini.

    Projek itu juga selaras dengan Program Pembangunan Industri Automotif Mesir (AIDP) yang dilancarkan November lalu, yang bertujuan untuk mempromosikan pemasangan CKD, dalam masa yang sama mengurangkan import CBU.

    Proton kini mempunyai lima projek CKD luar negara di bawah kendaliannya, termasuk di Pakistan, Bangladesh, Sri Lanka, Kenya dan Mesir. Syarikat itu menyasarkan untuk meningkatkan kuantiti eksportnya kepada 10,000 unit pada tahun-tahun akan datang. Menurut Steven Xu, pengarah jualan antarabangsa Proton, syarikat itu mengeksport kira-kira 5,000 kereta pada 2022 dan kini memasarkan produknya di 20 buah negara.

     
     
  • JPJePlate untuk EV dilancarkan — Rekaan ikut format Euro dengan bendera Malaysia, ciri RFID; RM98

    JPJePlate untuk EV dilancarkan — Rekaan ikut format Euro dengan bendera Malaysia, ciri RFID; RM98

    Kementerian Pengangkutan telah memperkenalkan plat lesen khas (rekaan plat khas, RPK) khusus untuk kenderaan elektrik. JPJePlate dilancarkan oleh Menteri Pengangkutan, Anthony Loke di Cyberjaya pagi tadi.

    JPJePlate ini bukanlah siri nombor plat EV (misalnya “EV 1” hingga “EV 9999”) tetapi sebaliknya merupakan rekaan plat khas yang berbeza daripada plat biasa sedia ada (plat hitam dan aksara putih). Bagaimanapun, kementerian turut memperkenalkan siri nombor plat “EV” khusus untuk kereta elektrik. Bidaannya dibuka bermula hari ini hingga 13 September.

    Selain daripada itu, nombor plat di bawah sistem pendaftaran kenderaan ketika ini (misalnya huruf V untuk Wilayah Persekutuan, B untuk Selangor dsb) boleh digunakan untuk JPJePlate, tetapi hanya untuk EV sahaja. Paling utama, penampilan format untuk plat baru ini adalah berbeza.

    JPJePlate untuk EV dilancarkan — Rekaan ikut format Euro dengan bendera Malaysia, ciri RFID; RM98

    Macam plat Eropah?

    Seperti yang dapat dilihat dalam gambar, RPK ini menggunakan font baru. Ini kerana ia tidak melibatkan aksara dilekatkan ke atasnya, tetapi sebaliknya ditekap ke atas plat yang diperbuat daripada aluminium. Warna plat dan aksara juga bertukar: latarnya putih (dengan ciri pemantul cahaya), dengan tulisan aksara hitam (dengan ciri hologram anti-pemalsuan).

    Di sudut kiri plat, akan ada perbezaan warna dan juga bendera Malaysia serta kod pengenalan negara yang dihadirkan dengan jalur keselamatan holographic. Warna hijau dipilih kerana ia EV, dengan ada kemungkinan warna lain juga akan diperkenalkan kelak.

    Jika rekaan plat ini kelihatan sama seperti rekaan dan format yang digunakan di Eropah, itu memang betul. RPK ini, yang berukuran 11 cm x 52 cm, diperoleh daripada sebuah syarikat Jerman dengan pengkhususan terhadap pengenalan kenderaan, Tonnjes.

    Ia merupakan IDePlate dengan kod QR dan disepadukan dengan cip RFID pasif RAIN (RAdio frequency IdentificatioN) yang menggunakan protokol GS1 UHF Gen2. Elemen RFID ini belum disertakan, namun ciri berkenaan boleh diperkenalkan kelak bagi kegunaan untuk disepadukan dengan sistem pengangkutan pintar (ITS), termasuk untuk pilihan pembayaran.

    JPJePlate untuk EV dilancarkan — Rekaan ikut format Euro dengan bendera Malaysia, ciri RFID; RM98

    Kenapa plat baru?

    Menurut kementerian, idea disebalik pengenalan rekaan plat baru ini adalah sebagai projek perintis untuk membezakan antara kenderaan bebas emisi dengan kenderaan jenis pembakaran dalaman (ICE) lain.

    Fasa pertamanya hanya akan melibatkan kenderaan bateri-elektrik sahaja, dan bukan untuk kenderaan hibrid, PHEV atau ICE. Sebabnya, plat berbeza ini akan memudahkan pasukan keselamatan dalam mengenalpasti jenis kenderaan EV ini, dan mengambil langkah yang perlu dan betul, misalnya ketika berlaku kemalangan.

    JPJePlate untuk EV dilancarkan — Rekaan ikut format Euro dengan bendera Malaysia, ciri RFID; RM98

    Siapa yang boleh menggunakan plat EV?

    Seperti dinyatakan tadi, JPJePlate hanya boleh digunakan untuk kenderaan elektrik sahaja, dan diwajibkan penggunaannya untuk pemilik EV bermula hari ini. Perancangan jangka panjangnya tentulah semua EV yang baru didaftarkan nanti akan menggunakan RPK tersebut — sebarang keputusan akhir akan bergantung kepada hasil pemerhatian perintis ini.

    Bermula hari ini juga, JPJePlate boleh dipesan melalui lapan rasmi jpjeplate.jpj.gov.my. Sebagai permulaan, plat baru EV ini hanya boleh diperoleh daripada beberapa syarikat pengeluar OEM yang menjual EV atau rakan niaganya yang dilantik, dengan permohonan boleh dibuat secara dalam talian melalui portal atau aplikasi khas RPK.

    Selain itu, pemilik EV sedia ada yang sudah didaftarkan akan diberi pilihan untuk beralih kepada JPJePlate ini untuk kenderaan mereka bermula November nanti, dengan pendaftaran minat sudah mula dibuka.

    Langkah pertama ke arah piawaian plat untuk semua kereta baru pada masa hadapan?

    Inilah tujuan umumnya, tetapi perjalanan masih jauh. Dalam taklimat yang diberikan, kementerian berkenaan mendedahkan Malaysia antara 5% negara di peringkat global yang masih menggunakan plat tradisional, dan akan beralih kepada teknologi yang lebih maju tersebut.

    Usaha untuk memperkenalkan plat baru ini adalah untuk meneroka piawaian baru bagi plat lesen bagi untuk semua kenderan baru yang didaftarkan di Malaysia, dan menghapuskan penggunaan plat fancy atau yang tidak mengikut peraturan dan mengurangkan peluang untuk mengklon kenderaan.

    Jika berhasil untuk diseragamkan RPK ini ke atas semua kenderaan tak kira sistem janaannya kelak, maka semua pendaftaran kereta baru di sini akan menggunakan JPJePlate. Bagaimanapun, ini tidak bermaksud RPK ini wajib digunakan ke atas semua kenderaan yang sudah didaftarkan dan masih berada di atas jalan ketika ini. Format plat sedia ada ketika ini masih boleh digunakan.

    JPJePlate untuk EV dilancarkan — Rekaan ikut format Euro dengan bendera Malaysia, ciri RFID; RM98

    Berapa kos untuk RPK ini, dan apa yang akan diperoleh?

    Memang ada kos yang terlibat. Harga JPJePlate ini ialah RM98, dan pengguna akan menerima plat aluminium depan dan belakang (dengan ciri RFID) serta plat lesen ketiga dalam bentuk pelekat keselamatan yang dilekatkan di cermin utama.

    Turut mengandungi cip RAIN RFID dan kod QR, IDeStix berkenaan mempunyai fungsi yang sama dengan plat depan, menyediakan satu lagi lapisan identifikasi keselamatan untuk kenderaan — ia tidak boleh ditanggalkan untuk dipindah milik/tempat, dan akan rosak jika ada percubaan untuk melakukan itu.

    Vendor tempatan yang dilantik untuk mengeluarkan plat RPK ini ialah Handal Ceria, dan semua proses yang terlibat berkaitan plat ini dalam fasa perintis akan dilakukan oleh syarikat terbabit. Buat masa ini, pendaftaran bagi plat EV baru ini hanya melalui syarikat pengeluar OEM yang menjual EV atau rakan niaga mereka yang dilantik, dengan permohonan boleh dilakukan secara dalam talian melalui portal atau aplikasi khas RPK.

    Selepas permohonan diproses, plat akan diserahkan melalui beberapa cara:

    • Serahan standard — satu atau dua hari untuk Semenanjung Malaysia; tiga atau empat hari untuk Malaysia Timur (tiada caj tambahan, sudah termasuk dengan kos plat).
    • Serahan ekspres — pesanan yang dibuat sebelum 10 pagi akan dihantar pada hari yang sama (ada kos tambahan, bergantung jarak).
    • Ambil sendiri — dari pejabat Handal Ceria di Cyberjaya.

    Dalam taklimat berkenaan juga dinyatakan, masa terbaik untuk menghantar permohonan bagi pendaftaran nombor yang sudah tersedia adalah dalam masa lima hari sebelum serahan kenderaan kepada pelanggan. Untuk plat nombor semasa, permohonan boleh dibuat setelah selesai eDaftar, menggunakan pendaftaran kawasan.

    Proses pemasangan

    Pemasangan JPJePlate dan pelekat cermin depannya akan dilakukan oleh pengedar kenderaan atau rakan niaganya (bermaksud jika memilih untuk ambil sendiri, ini perlu dilakukan oleh staf rakan niaga tersebut).

    Dua jenis pemasangan telah diluluskan untuk RPK ini. Yang dicadangkan adalah untuk plat berkenaan dipasang menggunakan skru keselamatan ke kenderaan terbabit — menurut Handal Ceria, ini cara yang dicadangkan untuk memastikan tahap keselamatan tertinggi daripada kecurian, kerana akan menyukarkan penanggalan plat terbabit.

    Satu lagi adalah cara biasa, menggunakan pemegang plat 52 cm x 11 cm yang boleh memuatkan RPK tersebut. Kelonggaran pemasangan ini diberikan hasil daripada maklum balas bahawa sebahagian pemilik kenderaan khuatir akan berlaku kerosakan terhadap kereta ketika pemasangan.

    Siap pasang, gambar pemasangan itu perlu diambil (depan, belakang dan cermin depan) dan dimuat naik ke seksyen pendaftaran dalam portal/aplikasi RPK. Ini bagi memastikan pemasangan telah selesai dan dilakukan dengan betul. Syarikat tersebut memaklumkan, proses kelulusan selepas muat naik gambar ini tidak akan memakan masa lama.

    Berkaitan penggantian RPK sekiranya kereta terbabit terlibat kemalangan dan memerlukan unit yang baru, proses permohonan bagi penggantiannya adalah sama seperti pendaftaran baru.

    Perbezaan JPJePlate baru dengan plat format lama.

    Jaminan dan penggantian

    Sekiranya kenderaan terlibat dana kemalangan dan memerlukan JPJePlate baru, proses permohonannya adalah sama dengan permohonan plat baru juga. Kos pula akan dikenakan RM70 untuk plat depan, sementara plat belakang RM30 dan RM35 untuk pelekat cermin depan.

    JPJePlate ini juga datang dengan jaminan yang menepati piawaian ISO 7591 dan DIN 74069, bermula dari tarikh ia dikilangkan. Plat ini juga diberikan jaminan 10-tahun ke atas kesan karat dan 10-tahun juga bagi kehilangan data RFID.

    Ia juga diberikan jaminan tujuh-tahun terhadap kerosakan RFID dan jaminan lima-tahun terhadap pengelupasan permukaan dan pemudaran warna (berdasarkan ISO 7591). Jaminan bagaimanapun tidak melibatkan kerosakan akibat pengabaian selenggaraan, seperti vandalisme, salah guna dan kerosakan yang disengajakan.

    Ketika ini, RPK hanya datang dalam satu saiz lebar seperti yang dinyatakan. Oleh itu, bagi kenderaan yang menggunakan format plat segi empat biasa perlu menggunakan pemegang plat lebar jika mereka ingin menggunakan JPJePlate ini.

     
     
  • Siri plat nombor istimewa ‘EV’ kini di JPJ eBid – khas untuk kenderaan elektrik, bidaan berakhir pada 13 Sept

    Siri plat nombor istimewa ‘EV’ kini di JPJ eBid – khas untuk kenderaan elektrik, bidaan berakhir pada 13 Sept

    Khas untuk bakal pemilik kenderaan elektrik (EV) yang sedang menanti unit yang ditempah, anda kini boleh membida siri plat nombor istimewa ‘EV’ menerusi platform dalam talian, JPJ eBid. Mula dibuka hari ini, tempoh bidaan adalah selama lima hari, bakal berakhir jam 10 malam pada 13 September ini. Seperti biasa, keputusannya akan dikeluarkan keesokan harinya.

    Untuk makluman, semua nombor kini dibuka untuk dibida kecuali EV1, di mana ia telah pun dimiliki oleh seorang VVIP. Tak perlu susah payah menekanya, kerana ia akan diumumkan dalam masa terdekat ini, kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke dalam majlis pelancaran JPJePlate di Cyberjaya pagi tadi.

    Tidak seperto siri plat nombor istimewa mahu pun siri negeri biasa, plat EV ini hanya untuk pendaftaran kenderaan elektrik sahaja. Dan tidak seperti plat istmewa lain, siri EV ini akan ‘memasuki produksi’ tidak lama lagi, dan mulai sekarang, semua EV di Malaysia akan menggunakan plat EV, dan ia akan diikuti dengan EVA, EVB dan seterusnya.

    JPJ berkata, permohonan dan rayuan nombor pendaftaran khas EV untuk dibatalkan, tidak akan dilayan. Malah plat EV ini tidak boleh digunakan oleh kenderaan bukan-EV. Kesemua bayaran yuran pendaftaran dan amaun bidaan yang berjaya merupakan hasil kerajaan dan ia tidak akan dipulangkan.

     
     
  • Toyota Raize hanya dapat 1 Bintang dalam ujian NCAP Amerika Latin; hanya diberi 2-beg udara, tiada ADAS

    Toyota Raize hanya dapat 1 Bintang dalam ujian NCAP Amerika Latin; hanya diberi 2-beg udara, tiada ADAS

    Kembar kepada Perodua Ativa dan Daihatsu Rocky, Toyota Raize hanya menerima penarafan 1 Bintang dalam ujian pelanggaran keselamatan Program Penilaian Kereta Baharu untuk Amerika Latin (Latin NCAP) yang dibuat baru-baru ini.

    Menurut Latin NCAP, Raize menerima markah 40.54% dalam perlindungan penumpang dewasa, 71.57% untuk perlindungan penumpang kanak-kanak, 58.7% untuk perlindungan pejalan kaki dan pengguna jalan raya yang terdedah, serta 58.14% dalam bantuan keselamatan.

    Dalam laporan ini juga menyatakan impak dari pelanggaran hadapan menunjukkan struktur yang tidak stabil dan hanya memberikan perlindungan marginal pada dada pemandu. Manakala impak pelanggaran sisi pula menunjukkan perlindungan kecil pada dada dan ada komponen yang berkaitan masuk ke dalam kawasan penumpang, meningkatkan risiko kecederaan kepada penumpang.

    Menurut Latin NCAP lagi, oleh kerana perlindungan kepala sisi tidak standard, Raize diberikan markah sifar dalam ujian hentaman tiang sisi dan dikenakan penalti kerana kekurangan perlindungan kepala di barisan hadapan dan belakang.

    Toyota Raize hanya dapat 1 Bintang dalam ujian NCAP Amerika Latin; hanya diberi 2-beg udara, tiada ADAS

    Walau bagaimanapun, hasil ujian yang dilakukan oleh Latin NCAP ini tidak boleh dikaitkan dengan Perodua Ativa di Malaysia kerana model yang dijual di rantau berkenaan sememangnya dibekalkan dengan aspek keselamatan yang rendah. Raize tersebut diimport dari Indonesia dan bukan dari Jepun, di mana ia hanya dibekalkan dengan dua beg-udara, sistem ESC serta tanpa sebarang sistem bantuan pemanduan termaju (ADAS).

    “Adalah mengecewakan kerana Toyota sekali lagi terlibat dalam penjualan kereta dengan keselamatan rendah untuk negara tertentu di rantau ini, seperti Raize. Kami tahu bahawa jenama itu boleh mencapai prestasi yang lebih baik dalam keselamatan kenderaan, jadi kami sangat menyeru syarikat itu untuk mempertimbangkan semula strategi peralatan keselamatannya dan mensubjekkan modelnya kepada penilaian keselamatan supaya pengguna mengetahui prestasi sebenar mereka,” kata pengerusi Latin NCAP, Stephan Brodziak.

    Bagi Perodua Ativa di Malaysia, varian paling asas 1.0T X sudahpun dibekalkan dengan enam-beg udara dan juga beberapa fungsi sistem bantuan pemanduan seperti brek kecemasan automatik (AEB) dengan pengesan pejalan kaki dan pengayuh basikal, amaran dan perlindungan keluar lorong, Kawalan salah pijak pedal dan juga amaran gerak kenderaan hadapan.

    Dalam ujian ASEAN NCAP yang dibuat pada 2021 menggunakan protokol terkini yang lebih ketat, Perodua Ativa menerima penarafan 5-Bintang untuk kesemua empat kategori ujian iaitu Perlindungan Penumpang Dewasa (AOP), Perlindungan Penumpang Kanak-Kanak (COP), bantuan keselamatan serta keselamatan kepada penunggang motosikal (termasuk pemerhati titik buta dan perlindungan pejalan kaki).

     
     
  • Touch ‘n Go perkenal kad edisi terhad HotWheels buat kali ketiga; RM25, dihasilkan hanya 2,000 keping

    Touch ‘n Go perkenal kad edisi terhad HotWheels buat kali ketiga; RM25, dihasilkan hanya 2,000 keping

    Touch ‘n Go Sdn Bhd sekali lagi bekerjasama dengan jenama kereta die-cast tiga-inci Hotwheels bagi menghasilkan kad Touch ‘n Go edisi terhad untuk diburu oleh pengumpul.

    Kad baharu ini ditawarkan hanya sebanyak 2,000 keping dengan harga RM25 sekeping, dan hanya boleh dibeli di Pusat Jualan Touch n’ Go NU Sentral and Bangsar South. 

    Ini merupakan kali ketiga Touch n’ Go memperkenalkan kad edisi terhad HotWheels. Diasaskan dari kad dengan cip NFC terbaharu Touch n’ Go yang boleh ditambah nilai menggunakan aplikasi Touch n’ Go e-wallet, ia datang dengan rekaan grafik baharu menampilkan tema dua-tona biru-hijau.

     
     
  • Kadar tol boleh diturunkan jika kos pembangunan lebuhraya dapat dikawal sebaiknya – Anwar Ibrahim

    Kadar tol boleh diturunkan jika kos pembangunan lebuhraya dapat dikawal sebaiknya – Anwar Ibrahim

    Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata kadar tol mungkin boleh diturunkan jika kos pembangunan lebuh raya dapat dikawal, selain tidak berlakunya ketirisan dan rasuah.

    Kata beliau lagi, kos pembangunan lebuh raya sebenarnya boleh dikurangkan namun meningkat disebabkan terlalu banyak bayaran yang dikeluarkan untuk proses kelulusan, laporan Bernama.

    “Ini mesti dihentikan. Saya percaya Kementerian Kerja Raya, Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) untuk projek yang seterusnya, pastikan kelulusan disegerakan. Ini boleh berlaku kalau semua bertanggungjawab dan berasakan ini (projek lebuhraya) projek rakyat,” katanya ketika merasmikan kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Seremban (arah selatan).

    Kadar tol boleh diturunkan jika kos pembangunan lebuhraya dapat dikawal sebaiknya – Anwar Ibrahim

    Beliau yang turut mengakui kebimbangan mengenai kadar tol sering disuarakan orang ramai selain menyifatkan ia sebagai munasabah.

    Pada akhir Februari lalu, Anwar berkata, konsesi tol bagi lebuhraya di sekitar Kuala Lumpur boleh dirunding semula apabila keadaan kewangan negara bertambah baik.

    Beliau mengakui bersetuju dengan pandangan mengenai terlalu banyak plaza tol di sekitar ibu negara, namun pemansuhan tol tidak dapat dilakukan kerana kerajaan terikat dengan perjanjian. Katanya, pemansuhan tol akan menyebabkan perbelanjaan tambahan berikutan terdapat perjanjian yang dibuat bersama syarikat konsesi.

     
     
  • MINI Countryman S 2024 di Malaysia – model U25 hibrid ringkas dengan kuasa 218 PS, 360 Nm, RM349k

    MINI Countryman S 2024 di Malaysia – model U25 hibrid ringkas dengan kuasa 218 PS, 360 Nm, RM349k

    BMW Group Malaysia telah membuat kejutan dengan memperkenalkan MINI Countryman S All4 U25 di acara Sime Darby Motor Automania hari ini. Model hibrid ringkas itu menyertai model elektrik SE dan John Cooper Works yang dilancarkan sebelum ini, dan daripada aspek prestasi, ia kurang sedikit berbanding JCW.

    Tapi, harganya tidak berbeza banyak, kerana Countryman S baru ini dijual pada harga RM348,888 tidak termasuk insurans – RM105,000 lebih mahal berbanding Cooper S Countryman F60 JCW, dan hanya RM41,000 kurang berbanding JCW lengkap yang berharga RM389,888.

    Bersamanya datang jaminan dua tahun tanpa had batuan, dan jika anda memilih pakej waranti dan servis empat tahun, ia akan menjadi RM359,288 tidak termasuk insurans. Model ini diimport sepenuhnya dari Leipzig, Jerman, dan kami jangkakan, pemasangan tempatan akan dibuat tidak lama lagi bagi menurunkan harganya.

    Countryman S ini nampak sama seperti SE, tetapi motor elektrik berkembar diganti dengan enjin petrol empat silinder 2.0 liter turbo B48, yang menghasilkan kuasa 204 PS antara 5,000 ke 6,500 rpm dan tork 320 Nm 1,500 ke 4,000 rpm. Sedikit lagi kuasa, iaitu 20 PS dan 55 Nm diberikan sebagai tambahan oleh motor elektrik, sekaligus menjadikan kuasa keseluruhannya 218 PS and 360 Nm.

    Enjin ini dipadankan bersama kotak gear automatik lapan kelajuan dan sistem pacuan semua roda, membolehkan ia memecut 0-100 km/j dalam masa 7.1 saat, sebelum mencapai kelajuan 228 km/j. Penggunaan bahan api berada di tahap 6.8 l/100 km mengikut kitaran WLTP.

    Bentuk lencana S yang digunakan pada model ini sama seperti SE, tetapi diwarnakan merah berbanding hijau. Ia juga datang dengan pakej Favoured, yang membawa kemasan berwarna Vibrant Silver, skid plate hiasan dan pilihan warna bumbung dan cermin sisi sama ada Piano Black atau Vibrant Silver. Rim bersaiz 20 inci.

    MINI Countryman S 2024 di Malaysia – model U25 hibrid ringkas dengan kuasa 218 PS, 360 Nm, RM349k

    Di bahagian dalam, Countryman S ini menggunakan fabrik 3D di bahagian papan pemuka dan panel pintu hadapan, sementara di belakang ia bertukar menjadi Vintage Brown. Melalui pakej Favoured ini juga, kereta ini datang dengan tempat duduk JCW yang dibalut kulit tiruan Vescin Beading yang berwarna sama ada Vintage Brown atau Dark Petrol.

    Berkenaan teknologi, anda akan mendapat skrin sesentuh OLED bulat berukuran 9.4 inci yang bukan sahaja boleh digunakan untuk mengawal pendingin hawa, tetapi juga memaparkan kelajuan. Ia beroperasi menggunakan MINI Operating System 9 berasaskan Android dan datang dengan fungsi kawalan suara “Hey MINI”, sementara di hadapan pemandu terdapat panel head-up display.

    Turut diberikan adalah pemancar lampu papan pemuka yang boleh bertukar corak mengikut mod pemanduan, navigasi augmented reality, MINI Digital Key Plus berasaskan telefon pintar, MINI Driving Sounds dan kamera 360 darjah dengan Remote 3D View.

    Barangan lain yang diberikan secara standard adalah termasuk sistem tanpa kunci, pemancar logo MINI di luar, tempat duduk hadapan larasan kuasa dengan fungsi memori dan mengurut di bahagian pemandu, kawalan pendingin hawa dua zon serta sistem bunyi Harman Kardon dengan 12 pembesar suara. Bagi menempatkan bateri sistem hibridnya, ruang barangan menjadi sedikit kecil, iaitu 450 liter, dan apabila semua tempat duduk belakang lipat, ia menjadi 1,450 liter.

    Daripada aspek keselamatan, Countryman S datang terus dengan pakej Driving Assistant, yang memberikan Autonomous Emergency Braking, Lane Keeping Assist, Blind Spot Monitoring, Rear Collision Warning, Rear Cross Traffic Alert dan Parking Assistant Plus.

    Kereta ini juga datang dengan semua kelengkapan untuk Driving Assistant Plus, yang memberikan Adaptive Cruise Control dengan fungsi stop and go, Lane Centring Assist dan Traffic Sign Recognition, tetapi anda perlu membayar yuran langganan RM202 sebulan untuk mengaktifkannya. Cara lain, anda boleh membayar RM4,481 dan ia akan diaktifkan sepanjang hayat kenderaan.

     
     
  • Volvo C40 Recharge 2024 dengan aksesori bernilai RM43k di M’sia; rim 20-inci, pemijak sisi, cermin digital

    Volvo C40 Recharge 2024 dengan aksesori bernilai RM43k di M’sia; rim 20-inci, pemijak sisi, cermin digital

    Volvo C40 Recharge merupakan SUV versi lebih sporty berbanding XC40 yang menampilkan bumbung yang direka seakan coupe. Walaupun dalam keadaan standard ia sudah cukup memukau, Volvo Cars Malaysia masih menawarkan pelbagai aksesori asli untuk SUV ini bagi menjadikan ia lebih ‘mengancam’ dan pemilik dapat mentransformasi C40 mereka untuk kelihatan lebih tersendiri.

    Unit yang anda lihat ini merupakan C40 Recharge yang datang dalam warna badan Onyx Black serta telah dilengkapi dengan pelbagai aksesori asli yang bernilai RM43k, dan ia kini sedang dipamerkan di Sime Darby Motors AutoMania yang berlangsung di Tempat Parkir B Stadium Nasional Bukit Jalil bermula hari ini hingga Ahad.

    Aspek yang paling menonjol pada C40 ini sudah tentu pada set rodanya yang telah ditingkat taraf menggunakan rim aloi berdiamter 20-inci dalam kemasan hitam bagi menggantikan rim 19-inci standard. Rim tersebut dibalut dengan tayar Pirelli P Zero Elect dengan saiz 235/45R20 di hadapan dan 255/40R20 di belakang.

    Volvo C40 Recharge 2024 dengan aksesori bernilai RM43k di M’sia; rim 20-inci, pemijak sisi, cermin digital

    Turut diberikan dalam pakej aksesori tersebut termasuk pemijak sisi aloi dengan getah pada bahagian yang dipijak, dan juga cermin pandang belakang digital pada sebelah dalam kabin.

    Awal tahun ini Volvo C40 Recharge telah menerima tingkat taraf untuk versi 2024. Ia kini menerima bateri lebih besar berkapasiti 82 kWj berbanding 78 kWj sebelumnya ini. Bateri baharu tersebut membolehkan jarak geraknya dengan satu cas penuh mencapai 550 km, naik 100 km berbanding versi sebelumnya itu.

    Selain daripada itu, bateri baru ini juga boleh menerima pengecas pantas DC sehingga 200 kW (sebelum ini 150 kW), membolehkan kadar cas dari 10-80% dipenuhkan dalam masa hanya 28 minit.

    Kuasa keseluruhan C40 Recharge 2024 ini masih lagi berjumlah 408 PS/670 Nm, namun agihan kuasa versi kemaskini ini lebih banyak dialirkan pada roda belakang – ia diberikan motor elektrik berkuasa 159 PS di hadapan dan 249 PS di belakang, berbanding 204 PS untuk kedua-dua unit sebelum ini. Padanan ini membolehkannya memecut dari 0-100 km/j dalam masa 4.7 saat.

    Model 2024 ini juga kini datang dengan lampu utama Pixel LED dengan teknologi matriks bagi menggantikan lampu reflektor LED sebelumnya. Lampu baharu ini menampilkan 84 LED individu pada setiap unit dan diberikan fungsi lampu tinggi adaptif.

    Walaupun dengan semua penambahan ini, harga C40 Recharge masih lagi kekal sama, iaitu RM288,888 (atas jalan tidak termasuk insuran). Setiap pembeliannya diberikan waranti pengeluar selama lima tahun tanpa had perbatuan, jaminan bateri lapan tahun atau 160,000 km, pakej servis lima tahun atau 100,000 km, bantuan tepi jalan selama lima tahun, serta langganan Servis Digital untuk akses kepada Google Assistant, Google Maps, Google Play Store dan aplikasi Volvo Cars untuk fungsi kawalan jauh secara perfume juga selama lima tahun.

     
     
  • Sime Darby Automania 2024 — Stadium Bukit Jalil, 6-8 September; model baru, tawaran istimewa menanti

    Sime Darby Automania 2024 — Stadium Bukit Jalil, 6-8 September; model baru, tawaran istimewa menanti

    Sime Darby Motors Automania sedang berlangsung bermula hari ini hingga 8 September 2024 bertempat di perkarangan Stadium Bukit Jalil, mempamerkan semua jenanam dan kenderaan di bawah portfolio syarikat itu. Ini termasuklah BMW, MINI, BMW Motorrad, Hyundai, Jaguar Land Rover, Ford, BYD serta kenderaan terpakai dari Auto Selection.

    Jika sedang mencari kenderaan baru, pengunjung juga boleh memandu uji barisan kenderaan yang ada di acara berkenaan. Tidak ketinggalan ialah tawaran menarik khusus yang disediakan, melibatkan rebat, hadiah percuma dan banyak lagi.

    Pengunjung juga dihidangkan dengan beberapa model yang baru dilancarkan seperti BYD Atto 3 2024 dan BMW 520i M Sport. Varian Dynamic untuk BYD Seal juga dilancarkan hari ini, dengan harga dari RM163,800 (tidak termasuk insurans).

    Hyundai juga ada mempamerkan model EV sport prestasi Ioniq 5 N di acara berkenaan. Model berkenaan turut disertai oleh Santa Fe facelift yang baru dilancarkan, kini dalam versi pemasangan tempatan (CKD) dan ditawarkan dalam tiga varian.

    Hari ini merupakan hari pertama Sime Darby Motors Automania, dan berbaki lagi dua hari sepanjang hujung minggu ini. Jangan ketinggalan untuk mengetahui pelbagai tawaran istimewa yang diberikan ini. Jumpa di Stadium Bukit Jalil, 6-8 September 2024.

     
     
  • Nissan sahkan rancangan hasilkan semula Silvia sedang dirangka, guna teknologi elektrifikasi

    Nissan sahkan rancangan hasilkan semula Silvia sedang dirangka, guna teknologi elektrifikasi

    Dalam sesi temuramah bersama media Australia di Abu Dhabi baru-baru ini, naib presiden Nissan untuk strategi produk global, Ivan Espinosa mengesahkan bahawa syarikatnya kini dalam rangka untuk menghidupkan semula kereta sport Nissan Silvia selepas model tersebut dihentikan pengeluarannya sejak 2002.

    Menurut Espinosa dalam laporan Drive, Nissan kini sedang membuat perancangan untuk menghasilkan sebuah kereta sport yang lebih murah untuk diletakkan di bawah model Z dan GT-R. “Kami dalam peringkat akhir untuk proses awalan bagi menggambarkan bagaimana rupa sebenar seni bina asasnya”, jelas Espinosa.

    Menurutnya lagi, penghasilan kereta sport ini semestinya perlu mengambil kira aspek skala ekonomi dan amat penting untuk membolehkan ia dijual di seluruh dunia tanpa masalah. Jadi dengan mengambilkira sekali undang-undang emisi yang ketat di Eropah sekarang, kereta sport generasi baharu dengan harga lebih mampu milik ini semestinya perlu dihasilkan dengan teknologi elektrifikasi.

    “Anda perlu cari sesuatu yang boleh dijual secara global bagi memastikan ia mempunyai cukup skala”, kata Espinosa. Namun beliau tidak menjelaskan sama ada model yang dirancang tersebut menggunakan unit rangkaian kuasa hibrid yang menampilkan enjin pembakaran dalaman dengan bantuan motor elektrik, atau dijana sepenuhnya oleh kuasa elektrik dari bateri (BEV).

    Nissan sahkan rancangan hasilkan semula Silvia sedang dirangka, guna teknologi elektrifikasi

    “Bagi menghasilkan sesuatu yang boleh dijual dalam masa yang sama, [anda juga perlu jadi] antara yang pertama, perlu saya katakan [kereta sport] dengan elektrifikasi. Saya tidak akan menjelaskan lebih terperinci, cukup mengatakan bahawa ia menerima teknologi elektrifikasi, [dan dengan] kereta sport elektrifikasi yang berpotensi, aset ini perlu dibangunkan dari asas.

    “Ini memerlukan tahap pelaburan yang serius, dan inilah yang sukar untuk dibuktikan buat masa sekarang. Tetapi saya cuba, seperti yang saya katakan selalu saya tanam dalam otak, tiga kereta sport dalam barisan saya, GT-R, Z dan ‘satu lagi’. Dan ‘satu lagi’ dalam kepada saya ini digelar sebagai Silvia. Sekarang, adakah kami akan hasilkannya? Saya cuba,” katanya lagi.

    Di Jepun, Nissan sebenarnya mempunyai dua model prestasi tinggi dengan lencana Nismo yang menggunakan unit rangkaian kuasa dengan teknologi elektrifikasi iaitu Ariya Nismo dan Aura Note Nismo 4WD. Ariya, sudah tentu merupakan model EV penuh dengan dua motor elektrik bagi memacu semua roda.

    Sementara Aura Note Nismo merupakan model hibrid yang menggunakan unit rangkaian kuasa e-Power Nissan. Ia menampilkan enjin petrol 1.2 liter berkuasa 82 PS yang hanya berfungsi untuk mengecas bateri, sementara tayar hadapan dipacu oleh motor elektrik berkuasa 136 PS/300 Nm, dan tayar belakang pula digerakkan oleh motor elektrik berkuasa 82 PS/100 Nm.

    Nissan sahkan rancangan hasilkan semula Silvia sedang dirangka, guna teknologi elektrifikasi

    Walau bagaimanapun unit-unit rangkaian kuasa ini berbeza dari karekter asal Nissan Silvia. Sejak generasi pertamanya iaitu CSP311 yang muncul pada 1965 hingga model generasi terakhir S15, Silvia sentiasa merupakan kereta sport pacuan roda belakang.

    Espinosa juga menegaskan bahawa dia tidak mahu berkerjasama dengan syarikat lain dalam penghasilan Silvia generasi baharu ini seperti yang dibuat oleh Toyota dan BMW dalam pembangunan GR Supra A90 dan Z4 G29, tetapi dia tidak tahu sama ada syarikat sependapat dengannya atau tidak.

    Namun Espinosa menyatakan bahawa walaupun kerja-kerja rangka awal ini sudah dimulakan, dia sendiri tidak dapat memberikan jaminan bahawa Silvia akan kembali ditawarkan dalam pasaran.

    “Untuk penjelasan 100%, saya tidak pasti sama ada kami akan hasilkannya, tetapi ini merupakan sesuatu yang mahu saya lakukan sekiranya kami boleh lakukannya. Saya cuba untuk menjadikan ia berjalan, saya cuba untuk menjadikannya kenyataan. Ia bukan perkara mudah. Ia tidak mudah kerana pasaran kereta sport kini semakin mengecil,” katanya.

    Nissan sahkan rancangan hasilkan semula Silvia sedang dirangka, guna teknologi elektrifikasi

    Espinosa juga menyatakan bahawa sekiranya projek ini menjadi kenyataan, beliau mahukan Silvia berada semula dalam pasaran menjelang akhir dekad ini.

    Nissan sebelum ini dilihat cuba untuk menghasilkan kereta sport pacuan belakang yang ringan bagi berhadapan terus dengan Toyota 86. Pada 2013, ia mendedahkan model konsep Nissan IDx Freeflow dan Nissan IDx Nismo, dengan rupa diinspirasikan dari ‘poor man BMW’ Datsun Bluebird SSS 510 yang popular pada era 70’an.

    Namun projek tersebut tidak diteruskan ke peringkat produksi kerana menurut Nissan ia mungkin tidak mendapat sambutan, dan kos untuk membangunkannya juga agak tinggi kerana Nissan perlu menghasilkan platform baharu khas untuknya bagi tujuan itu.

     
     
  • PANDU UJI: Honda City Hatchback facelift 2024 taruhan gaya menawan; sensasi prestasi dikekalkan

    PANDU UJI: Honda City Hatchback facelift 2024 taruhan gaya menawan; sensasi prestasi dikekalkan

    Kehadirannya di pasaran memang sebagai menggantikan Honda Jazz, namun sejak dilancarkan pada tahun 2022, Honda City Hatchback di Malaysia tidaklah diibaratkan sebagai ‘pisang goreng panas’, seperti yang pernah dikecapi Jazz. Walau pun popularitinya berskala biasa, namun ia tetap ada daya tarikan yang tersendiri.

    Pada Mei tahun ini, Honda Malaysia telah melancarkan versi facelift terkini bagi City Hatchback dengan menawarkan lima varian iaitu paling asas adalah S berharga RM85,900, diikuti E (RM90,900), V (RM95,900), varian baharu RS (RM100,900) dan e:HEV RS pula ditawarkan pada harga RM112,900. Kesemuanya adalah harga atas jalan tanpa insurans.

    Bagi varian tanpa hibrid, ia dijanakan oleh enjin 1.5 liter naturally-aspirated empat-silinder sebaris DOHC i-VTEC dengan hamburan kuasa 121 PS (119 hp atau 89 kW) pada 6,600 rpm dan tork 145 Nm pada 4,300 rpm, dengan pacuannya disalurkan ke roda hadapan menerusi CVT.

    PANDU UJI: Honda City Hatchback facelift 2024 taruhan gaya menawan; sensasi prestasi dikekalkan

    Manakala bagi varian e:HEV RS, ia masih dilengkapi dengan sistem hibrid Intelligent Multi-Mode Drive (i-MMD) yang sama, dengan roda hadapannya dipacukan oleh motor elektrik berkuasa 109 PS (107 hp atau 80 kW) dan tork 253 Nm.

    Motor elektrik itu dikuasakan oleh bateri lithium-ion yang dicas oleh motor elektrik kedua yang disambungkan ke enjin 1.5 liter naturally-aspirated DOHC i-VTEC empat-silinder Atkinson yang mampu menghamburkan kuasa hingga 98 PS (80 kW) pada 5,600 hingga 6,400 rpm dan tork cecah 127 Nm pada 4,500 hingga 5,000 rpm. Pacuan kuasanya disalurkan ke roda hadapan menerusi transimisi satu-kelajuan (digelar E-CVT).

    Walau pun tiada perubahan yang dilakukan untuk penjana kuasanya, namun kami tetap memandu ujinya. Baca kisah selanjutnya menerusi pengalaman kami mengendalikan jentera yang Honda dakwa sebagai The Coolest Hatcback ini.

    Baca artikel selanjutnya di sini

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (-0.04)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.90 (-0.04)
EURO 5 B7 RM3.10 (-0.04)
Last Updated Aug 14, 2025