Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Peugeot tawar promosi servis penyelenggaraan percuma lima tahun – semua model, semua alat ganti

    Peugeot tawar promosi servis penyelenggaraan percuma lima tahun – semua model, semua alat ganti

    Stellantis Malaysia mengumumkan promosi servis penyelenggaraan percuma lima tahun bermula 1 September. Ia dikatakan sebagai satu promosi ‘istimewa, tempoh terhad’ dan ditawarkan untuk semua model dan varian Peugeot di Malaysia, termasuk 408, 2008, 3008, 5008 dan Landtrek.

    Promosi servis penyelenggaraan percuma lima tahun ini meliputi kos alat ganti untuk 10 kali servis dalam masa lima tahun. Ini diambil berdasarkan jadual penyelenggaraan dengan selang servis setiap 10,000 km atau enam bulan, mana yang datang dahulu. Pelanggan cuma perlu membayar kos upah.

    “Pelanggan adalah keutamaan kami, dan kami teruja untuk memperkenalkan promo servis penyelenggaraan percuma lima tahun ini sebagai salah satu usaha untuk meningkatkan lagi pengalaman pemilikan Peugeot. Penjimatan daripada servis percuma lima tahun ini, bersama jaminan tambahan tujuh tahun pastinya akan memberi ketenangan kepada pemilik Peugeot, bagi tempoh yang lebih panjang,” kata pengarah urusan Stellantis Malaysia, Jamie Francis Morais.

    Kenderaan baru Peugeot datang dengan pakej jaminan tujuh tahun atau 200,000 km, yang termasuk jaminan pengilang tiga tahun dan tambahan jaminan empat tahun yang dikatakan sama seperti jaminan pengilang oleh Stellantis. Perincian jaminan tersebut ada di sini.

     
     
  • Volvo ES90 dalam teaser – sedan elektrik perdana pengganti S90, akan diperkenal tahun 2025

    Volvo ES90 dalam teaser – sedan elektrik perdana pengganti S90, akan diperkenal tahun 2025

    Anda rasa Volvo tidak akan mengeluarkan sedan lagi? Ini dia, syarikat dari Sweden itu membuktikan sebaliknya apabila mengeluarkan teaser pendek ES90 semasa acara 90/90 yang berlangsung semalam, sebelum ia didedahkan secara penuh Mac tahun hadapan.

    Melalui huruf E yang terdapat pada namanya, kita boleh mengetahui ia adalah sedan elektrik yang terletak tinggi dalam barisan model Volvo, dan merupakan pengganti kepada S90 yang sudah berusia lapan tahun. Namun disebabkan permintaan untuk kenderaan elektrik sedang menurun sekarang, S90 mungkin masih boleh bertahan sedikit masa lagi sebelum dihentikan untuk jualan.

    Tiada maklumat terperinci yang dikeluarkan untuk ES90 ini, kecuali beberapa imej gelap yang menunjukkan susun atur serta bentuk cermin sama seperti S90. Turut boleh dilihat adalah pembuka pintu yang boleh tenggelam sama rata dengan badan serta cermin sisi tanpa bingkai – kedua-dua ciri ini diambil daripada EX90.

    Volvo ES90 dalam teaser – sedan elektrik perdana pengganti S90, akan diperkenal tahun 2025

    Bukan setakat itu, ada lagi bahagian lain yang dikongsi dengan SUV tersebut – ES90 akan dibina atas platform Scalable Product Architecture (SPA2) generasi kedua sama seperti EX90, dan ini menunjukkan ia juga akan mendapat pilihan motor penggerak dan bateri yang sama.

    Ini termasuklah model Single Motor pacuan roda belakang berkuasa 279 PS (205 kW)/490 Nm, Twin Motor pacuan semua roda 408 PS (300 kW)/770 Nm dan Twin Motor Performance 517 PS (380 kW)/910 Nm.

    Berkenaan jarak gerak, model RWD EX90 dengan bateri 104 kWh dapat mencatat 580 km, manakala pek 111 kWh yang diberikan pada model AWD dapat membawa kenderaan sehingga 614 km. Dengan badan yang lebih ringan dan aerodinamik berbanding EX90 (2.8 tan), ES90 sepatutnya dapat memberi jarak gerak lebih baik melalui pakej yang sama.

    Sementara EX90 dikeluarkan di South Carolina, Amerika Syarikat, ES90 ini pula dikatakan akan dibuat di kilang kerjasama Geely dan Volvo di Zhejiang, China. Ini mungkin kerana ES90 direka untuk negara itu dan jualan sedan di sana juga masih lagi kuat. Bagaimanapun, ia masih akan memasuki pasaran sedunia lain.

     
     
  • PLUS dedah 34% kemalangan maut di lebuhrayanya tahun lalu babitkan kenderaan berat dan komersial

    PLUS dedah 34% kemalangan maut di lebuhrayanya tahun lalu babitkan kenderaan berat dan komersial

    Sebanyak 34% daripada kemalangan maut yang berlaku di lebuhraya kendalian PLUS Malaysia Berhad (PLUS) berpunca daripada nahas membabitkan kenderaan berat dan komersial direkodkan pada tahun lalu, menurut Pengarah Urusan PLUS, Datuk Nik Airina Nik Jaffar.

    Tambahnya, sejumlah 21% kemalangan di Lebuhraya PLUS dikenal pasti membabitkan jenis kenderaan sama biarpun komposisi kenderaan berat dan komersial di lebuh raya kendalian syarikat konsesi itu hanyalah 10%, laporan Berita Harian.

    Beliau berkata demikian menerusi Persidangan Keselamatan Kenderaan Berat (HEVTEC) 2024 anjuran PLUS dengan kerjasama Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya (MIROS) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) yang bertujuan mencari pendekatan dan langkah terbaik mengurangkan risiko kemalangan membabitkan kenderaan berat.

    “Ini kerana, impak kemalangan membabitkan kenderaan berat adalah amat besar kepada pengguna lebuhraya, menyebabkan kesesakan teruk selain pelancongan trafik susulan penutupan laluan. Tempoh pengalihan serta pembersihan juga sering mengambil masa panjang dan memerlukan penggunaan jentera berat dan peralatan khas. Ini boleh menjejaskan dan menyukarkan perjalanan pengguna lain.

    “Berdasarkan pemerhatian, kenderaan berat dengan muatan lebih berisiko tinggi terbabit dalam kemalangan. Justeru, kami berharap semua operator kenderaan berat memainkan peranan dan mematuhi had muatan dibenarkan bagi meningkatkan lagi tahap keselamatan di lebuh raya,” katanya.

    Beliau turut berkata, PLUS sentiasa memberi penekanan utama dan komitmen terhadap inisiatif meningkatkan tahap keselamatan di lebuh raya selari objektif serta Pelan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (PKJRM) 2022-2030.

    Beliau berkata, PKJRM 2022-2030 mengetengahkan visi dan misi yang menyasarkan pengurangan 50% jumlah kematian nahas jalan raya pada 2030, berasaskan jumlah kematian pada 2019. Bagi mencapai matlamat PKJRM, katanya, PLUS juga sudah melaksanakan pelbagai inisiatif melalui Konsep 5E iaitu kejuruteraan, penguatkuasaan, pendidikan, tindak balas kecemasan dan penilaian.

    “Isu keselamatan jalan raya adalah tanggungjawab bersama. Ia menuntut tanggungjawab dan komitmen daripada semua pihak, termasuk pengendali lebuh raya, badan kerajaan, sektor swasta, pemain industri dan orang awam. Dengan wujudnya usaha kolaboratif antara pelbagai pihak berkepentingan seperti Lembaga Lebuhraya, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Pengangkutan Jalan, MIROS dan PERKESO, PLUS yakin ia akan menyumbang kepada peningkatan secara holistik dalam aspek keselamatan jalan raya,” katanya.

     
     
  • Hyundai Ioniq 5 EV 2025 — model facelift varian XRT ranggi untuk off-road, suspensi 23 mm lebih tinggi

    Hyundai Ioniq 5 EV 2025 — model facelift varian XRT ranggi untuk <em>off-road</em>, suspensi 23 mm lebih tinggi

    Hyundai telah memperkenalkan EV Ioniq 5 2025 yang dikemaskini di Amerika Syarikat, melibatkan peningkatan kapasiti bateri, jarak perjalanan dan ciri baru. Model facelift itu juga membuat penampilan pertama dalam varian XRT yang lebih ranggi — untuk kegunaan di permukaan jalan yang lebih mencabar.

    Pembaharuan rekaan luar termasuklah bampar depan dan belakang serta spoiler baru. Selain itu, Ioniq 5 2025 ini juga menerima rim yang lebih aerodinamik serta lebih banyak pilihan warna luaran (Atlas White Matte, Ecotronic Gray Matte, Celadon Gray Matte). Bahagian badan, pintu depan dan belakang serta tiang B kini juga diperkukuh untuk memberikan perlindungan lebih baik bagi hentaman sisi.

    Di dalam, kawalan pendingin juga direka semula, dengan konsol tengah baru dengan kawalan suhu kerusi depan fizikal serta stereng baru. Ada juga pengecas tanpa wayar di kedudukan baru untuk memudahkan lagi penggunaan.

    Hyundai Ioniq 5 EV 2025 — model facelift varian XRT ranggi untuk <em>off-road</em>, suspensi 23 mm lebih tinggi

    Sistem infotainmennya pula dari generasi baru, terdiri daripada sistem tunjuk arah audio/video 12.3-inci yang turut menampilkan ciri Apple CarPlay tanpa wayar dan Android Auto untuk semua varian. Ada juga ciri kemaskini perisian secara Over-The-Air (OTA) untuk memastikan kereta ini sentiasa dikemaskini sistemnya.

    Kapasiti bateri kini dipertingkat bagi barisan model standard, dari 58 kWh kepada 63 kWh, sementara bagi versi model long range, dari 77.4 kWh kepada 84 kWh. Hyundai mendakwa jarak perjalanan daripada peningkatan ini adalah sekitar 32 km.

    Selain itu, Hyundai Ioniq 5 2025 untuk pasaran AS ini juga dilengkapi dengan pengecas ciri Tesla North American Charging Standard (NACS), yang membolehkannya memanfaatkan lebih 17,000 pengecas dalam rangkaian Supercharger Tesla tanpa memerlukan adapter.

    Hyundai Ioniq 5 EV 2025 — model facelift varian XRT ranggi untuk <em>off-road</em>, suspensi 23 mm lebih tinggi

    Didatangkan sebagai ciri standard bagi Ioniq 5 2025 ini ialah adapter Combined Charging System (CCS). Menurut Hyundai, bermula suku keempat tahun ini, semua EV yang dijual oleh syarikat itu di AS akan dilengkapi hanya dengan pengecas NACS sahaja.

    Bagi varian XRT, Hyundai memposisikannya di antara model standard yang dipertingkat ini dengan versi prestasi Ioniq 5 N — ia direka untuk mereka yang ingin membawa EV melangkaui jalan berturap biasa. Ditawarkan hanya dengan pacuan dua motor AWD dengan bateri 84 kWh, varian XRT mempunyai rekaan depan dan belakang yang lebih garang dengan bampar khusus, skirting sisi dan kemasan lengkung tayar corak samaran digital.

    Kereta ini juga diberikan banyak kemasan warna hitam di sekelilingnya, termasuk untuk perumah cermin sisi dan keliling tingkap hinggalah ke bahagian lencananya. Rimnya pula bersaiz 18-inci dalam warna hitam kesat, dengan tema corak pixel digital yang sama di permukaannya.

    XRT juga mempunyai jarak kelegaan tanah yang lebih banyak, dengan suspensi yang 23 mm lebih tinggi. Ini meningkatkan lagi sudut menghampiri permukaan bagi kereta ini kepada 19.8-darjah (17.5-darjah bagi varian bukan XRT), serta sudut perlepasannya kepada 30.0-darjah berbanding 25.4-darjah bagi model standard.

    Di dalam, XRT dilengkapi dengan balutan kerusi H-Tex dengan corak dan logo unik KRT, tikar kaki XRT yang khusus serta pelapik bumbung hitam. Nampak cukup ranggi EV ini untuk off-road?

    Hyundai Ioniq 5 Limited 2025

    Hyundai Ioniq 5 XRT 2025

     
     
  • Rapid Bus hantar 25 bas mesra-OKU dan 30 pemandu ke Sarawak bagi membawa atlet Para Sukma 2024

    Rapid Bus hantar 25 bas mesra-OKU dan 30 pemandu ke Sarawak bagi membawa atlet Para Sukma 2024

    Rapid Bus akan menghantar sebanyak 25 buah bas ke Sarawak sebagai tanda sokongan terhadap penganjuran Para Sukma 2024, yang bakal berlangsung pada 20 hingga 28 September ini. Ia akan digunakan untuk membawa para atlet dan pegawai sepanjang penganjuran sukan terbabit.

    Bas berkenaan akan dibawa menggunakan kapal laut yang berlepas dari Jeti Awal Idaman, Pulau Indah, Pelabuhan Klang esok (6 September) dan dijangka akan tiba ke Kucing pada 13 September ini.

    Menurut Rapid Bus, bas ‘single-deck’ ini mempunyai ciri universal iaitu mesra golongan orang kurang upaya (OKU) yang mempunyai ruang yang luas bagi memudahkan pergerakan atlet-atlet Para Sukma yang berkerusi roda.

    “Kerjasama antara Rapid Bus dan kerajaan negeri Sarawak menunjukkan komitmen Rapid Bus dalam menghargai sumbangan komuniti OKU dalam pembinaan negara, termasuk bidang sukan,” kata COO Rapid Bus, Ku Jamil Zakaria.

    Seramai 44 kakitangan Rapid Bus termasuk 30 pemandu bas dan 14 kakitangan sokongan akan tiba di Kuching secara berperingkat antara 13 hingga 15 September ini, dan pemandu bas juga akan menjalani latihan mengenai laluas bas di sana sebelum Para Sukma bermula.

     
     
  • Livan 9 di Indonesia – versi bateri EV bagi Proton X90

    Livan 9  di Indonesia – versi bateri EV bagi Proton X90

    Jenama di bawah kumpulan Geely, Livan bakal menawarkan SUV tujuh-tempat duduk janaan bateri-elektrik baharu untuk pasaran Indonesia, dengan membawa masuk Livan 9, berdasarkan perkongsian Anastasya Mukti menerusi paultan.org Automotive/Car Discussion Group di Facebook.

    Livan 9 merupakan BEV yang dibangunkan berasaskan Geely Haoyue dan juga boleh diibaratkan seperti Proton X90, dan menurut perkongsian terbabit, Livan 9 berukuran 4,845 mm panjang, 1,890 mm lebar dan memiliki jarak roda mencecah 2,825 mm. Sebagai perbandingan, Proton X90 berukuran 4,830 mm panjang, 1,900 mm lebar, 1,764 mm tinggi dengan jarak roda 2,805 mm.

    Menurut sumber, Livan 9 akan ditawarkan dengan dua pilihan kapasiti bateri iaitu 52.56 kWh dan 66.57 kWh, dengan kedua-duanya merupakan unit NMC buatan CATL. Dengan bateri ini, masing-masing menawarkan jarak gerak hingga 380 km dan 470 km mengikut ujian standard domestik China CLTC. Selain itu, motor tunggalnya pula memberikan kuasa hingga 204 PS dan tork 310 Nm dengan pacuan disalurkan ke roda hadapan.

    Livan 9  di Indonesia – versi bateri EV bagi Proton X90

    Aletra bakal melancarkan MPV bateri-elektrik di Indonesia

    Berkenaan dengan namanya, jenama Livan akan dijual sebagai Aletra di Indonesia, dan beroperasi di bawah PT Sinar Armada Globalindo (PT SAG). Pada bulan lalu, telah didedahkan jenama Aletra ini sedang membuat persiapan untuk melancarkan MPV elektrik di Indonedia, salah satunya berasaskan Geely/Livan Maple 80V L, di mana ia merupakan versi elektrik bagi Geely Jiaji L.

    Jenama Livan ini sebenarnya masih baru, ditubuhkan pada tahun 2022 hasil gabungan antara Geely kepunyaan Shanghai Maple dengan Lifan Technology, dan menjalin kerjasama antara Lifan Group dan Geely Qizheng (dimiliki oleh Zhejiang Geely Holding).

     
     
  • Proton catat jualan tahunan lebih 100,000 unit untuk tahun ke-6 berturut-turut; permintaan X50 terus tinggi

    Proton catat jualan tahunan lebih 100,000 unit untuk tahun ke-6 berturut-turut; permintaan X50 terus tinggi

    Proton hari ini mengumumkan bahawa ia telah menjual sebanyak 12,690 unit kenderaan (domestik dan eksport) sepanjang Ogos 2024. Ini menjadikan jumlah jualan kumulatif tahunannya untuk lapan bulan pertama tahun ini berjumlah 101,489 unit, secara tidak langsung mencatatkan jumlah jualan tahunan melebihi 100,000 unit untuk tahun ke-enam berturut-turut.

    Menurut Proton, jumlah volum industri (TIV) untuk pasaran automotif Malaysia dianggarkan telah meningkat sebanyak 1.3% bulan ke bulan kepada kira-kira 72,678 unit pada bulan Ogos. Secara keseluruhan, angka tahun hingga kini (YTD) untuk TIV dianggarkan sebanyak 534,766 unit, bersamaan dengan peningkatan sebanyak 6.2% berbanding tahun 2023.

    Dengan rekod jualan terbaharu ini membolehkan Proton mengukuhkan kedudukannya dalam pasaran automotif Malaysia menerusi pegangan bahagian pasaran dianggarkan sebanyak 19%. Proton menyatakan bahawa prestasi ini bukan sahaja dipacu oleh jumlah jualan yang kukuh untuk Proton X50 untuk bulan kedua berturut-turut, malah ia disebabkan jumlah jualan eksport yang meningkat dua kali ganda berbanding bulan Julai didorong oleh jualan di Brunei yang mencatatkan rekod tertinggi.

    Permintaan X50 kembali meningkat selepas ia dilancarkan dalam versi kemaskini ‘RC’ pada awal Jun lalu. Sebanyak 2,440 unit telah dihantar kepada pelanggan sepanjang bulan Ogos, mencatatkan jualan melebihi 2,000 unit sebulan untuk kali ketiga tahun ini. Secara keseluruhan sebanyak 15,229 unit X50 telah terjual untuk lapan bulan pertama tahun ini, menjadikan SUV segmen-B tersebut sebagai SUV terlaris Proton.

    Proton catat jualan tahunan lebih 100,000 unit untuk tahun ke-6 berturut-turut; permintaan X50 terus tinggi

    Manakala sedan segmen-A Saga masih menjadi model terlaris Proton dengan jualan sebanyak 6,211 unit pada Ogos. Walaupun ia agak menurun berbanding 7,855 unit yang dictaatkan pada Julai, jualan kumulatif tahunan untuk Saga telahpun mencapai aanga 48,904 unit, atau 6.7% lebih tinggi berbanding tempoh sama tahun lalu.

    Untuk model-model Proton yang lain, jualan sedan segmen-C Proton S70 adalah sebanyak 1,205 unit, manakala sedan segmen B Proton Persona mencatatkan jualan sebanyak 1,452 unit, menjadikan jumlah jualan sehingga kini sebanyak 13,116 unit.

    Sementara itu, hatchback segmen B Proton Iriz pula terjual sebanyak 403 unit pada Ogos, menjadikan jumlah jualan tahunannya sehingga kini berjumlah 3,719 unit.

    “Memandangkan ekonomi domestik yang berdaya tahan, dengan pertumbuhan KDNK diunjurkan pada 4% hingga 5%, Proton bersetuju dengan keputusan Persatuan Automotif Malaysia (MAA) untuk meningkatkan unjuran TIV setahun penuh kepada 765,000 unit dan kami kekal optimistik mengenai potensi pertumbuhan lanjut dalam industri automotif tempatan. Pasaran automotif Malaysia terus kukuh, dan ini dicerminkan dalam jumlah jualan kami yang melebihi 100,000 unit untuk tahun keenam berturut-turut dengan tempoh berbaki empat bulan lagi dalam tahun 2024,” kata naib CEO Proton, Roslan Abdullah.

    Proton catat jualan tahunan lebih 100,000 unit untuk tahun ke-6 berturut-turut; permintaan X50 terus tinggi

    “Walaupun terdapat banyak persaingan tahun ini daripada jenama baru, sambutan pasaran terhadap model kemas kini terbaru Proton – Proton X50 2024 dan Proton X70 2025 – adalah positif dengan angka tempahan yang kukuh dilihat di seluruh negara. Ini adalah bukti keberkesanan penambahbaikan yang telah dibuat dan menunjukkan betapa pentingnya mempunyai rangkaian pusat 3S/4S yang terkemuka di pasaran untuk memenuhi keperluan pelanggan kami,” tambahnya lagi.

    Untuk eksport pula, Brunei mencatat rekod jualan sebanyak 120 unit pada Ogos iaitu peningkatan 100% berbanding bulan sebelumnya. Saga juga kekal sebagai model eksport paling laris dengan jumlah yang dibawa ke pasaran luar pada Ogos adalah 140 unit. Secara keseluruhan Proton telah mengeksport sebanyak 2,110 unit serai Januari tahun ini.

    “Sebagai salah satu pasaran eksport pertama kami, Proton mempunyai sejarah panjang dengan pembeli kereta Brunei yang bermula sejak Proton Saga generasi pertama. Terima kasih atas usaha gigih Pad Motors Proton Brunei dan rangkaian model pintar terbaru kami. Jenama itu telah mengalami pembaharuan di negara tersebut dan telah membawa kepada pencapaian jualan bulan rekod pada bulan Ogos,” tambah Roslan.

     
     
  • Geely EX5 – nama kembar Proton eMas 7 untuk pasaran global, bakal didedah di Eropah pada 10 Sept

    Kalau di Malaysia nama “EX5” popular untuk sebuah kapcai ikonik keluaran Honda, namun nama yang sama di pilih oleh Geely untuk SUV EV segmen-C yang baru dilancarkan di China bulan lalu iaitu Galaxy E5 (juga merupakan kembar Proton eMas 7 di Malaysia) bagi pasaran global.

    Geely EX5 ini bakal membuat kemunculan Frankfurt pada 10 September ini, iaitu penampilan sulungnya untuk pasaran luar China. Masih belum ada sebarang spesifikasi diumumkan bagi versi pasaran Eropah tersebut, tetapi menerusi video yang disiarkan, Geely menyifatkan SUV ini akan menjanjikan “keselesaan, jarak gerak yang mengkagumkan, dan rupa yang menarik perhatian”.

    Ini merupakan model pertama Geely yang dihasilkan terus dalam versi pemanduan sebelah kiri (LHD) dan kanan (RHD). Sebelum ini Proton ada menyatakan bahawa ia terlibat dengan pembangunan model ini dari peringkat awal melibatkan 230 pekerjanya, dan juga perkongsian kos pembangunan.

    Geely EX5 – nama kembar Proton eMas 7 untuk pasaran global, bakal didedah di Eropah pada 10 Sept

    Di China, semua varian bagi Galaxy E5 ini menerima satu motor elektrik yang memacu roda hadapan berkuasa 218 PS dan tork maksima 320 Nm, membolehkan ia memecut dari 0-100 km/j dalam masa 6.9 saat.

    Namun ia ditawarkan dalam dua versi bateri lithium logam fosfat (LFP) “bilah pendek” Aegis yang dibangunkan oleh Geely sendiri bermula bateri berkapasiti 49.52 kWj dengan jarak perjalanan 440 km atau kapasiti 60.22 kWj yang memberikan jarak 530 km mengikut kitaran ujian CLTC. Untuk pasaran Eropah kelak mungkin Geely akan mengumumkan jarak gerak dalam ujian lebih realistik iaitu WLTP.

    Antara perincian lain yang dilengkapkan pada Galaxy E5 dan mungkin turut ditawarkan pada EX5 termasuk paparan instrumen digital dengan skrin 10.2-inci, paparan head-up, skrin infotainmen bersaiz 15.4-inci yang beroperasi dengan sistem Flyme Auto, serta sistem audio 16-pembesar suara Flyme Audio termasuk pembesar suara yang diletakkan pada perehat kepala tempat duduk pemandu.

    Walaupun secara teorinya Geely boleh menghasilkan EX5 ini dalam versi pemanduan sebelah kanan kerana ia telah pun disediakan oleh Proton, tidak diketahui sama ada ia akan dijual di UK atau tidak. Ini kerana laporan dari Autocar sebelum ini menyebut bahawa Proton akan kembali semula ke pasaran UK tidak lama lagi, dan eMas 7 mungkin menjadi pemangkinnya di pasaran berkenaan.

    GALERI: Geely Galaxy E5 pasaran China

    GALERI: Prototaip Proton eMas 7 di Malaysia

     
     
  • Volvo EX30 di Malaysia — sah ada versi dua motor AWD, 428 PS, 543 Nm, 0-100 km/j 3.6 saat, jarak 450 km

    Volvo EX30 di Malaysia — sah ada versi dua motor AWD, 428 PS, 543 Nm, 0-100 km/j 3.6 saat, jarak 450 km

    Semalam, kami bawakan gambar awal kehadiran rasmi Volvo EX30 di Malaysia. Dan hari, wakil kami, Gerard Lye berkesempatan memandu model Volvo paling kecil ini dan berkongsi beberapa perkara tentang model berkenaan, termasuklah galeri lengkapnya.

    Antara perkara yang turut dapat disahkan ialah EX30 akan ditawarkan juga dalam versi paling lengkap Twin Motor Performance, yang menjana sebanyak 428 PS (315 kW) dan 543 Nm tork. Ini membolehkan SUV kecil ini untuk memecut 0-100 km/j dalam masa 3.6 saat dan mencapai laju maksimum 180 km/j yang dihadkan secara elektronik.

    Ini angka prestasi yang sama mampu di jana oleh smart #1 Brabus — kedua-dua model ini berkongsi platform Sustainable Experience Architecture (SEA) dan motor yang sama, serta dilengkapi dengan bateri nickel manganese cobalt (NMC) 69 kWh yang menawarkan jarak 450 km dan menyokong pengecasan DC sehingga 175 kW yang membolehkan pengecasan SoC 10%-80% dalam masa 26.5 minit.

    Volvo EX30 di Malaysia — sah ada versi dua motor AWD, 428 PS, 543 Nm, 0-100 km/j 3.6 saat, jarak 450 km

    Penawaran varian AWD ini untuk Malaysia agak mengejutkan, kerana bahkan di Indonesia — yang menerima EX30-nya dari Malaysia — hanya ditawarkan dalam versi pacuan roda belakang (RWD). Varian yang ini berkongsi motor dengan smart #1 Pro dan Premium, yang menjana 272 PS (200 kW) dan 343 Nm.

    Di rantau ini, dua varian RWD ditawarkan — versi paling asas Plus Single Motor menggunakan bateri lithium iron phosphate (LFP) 51 kWh yang membekalkan jarak 337 km, sementara Ultra Single Motor Extended Range menerima bateri NMC 66 kWh dengan jarak 474 km dengan sekali cas. Memandangkan semua model ini dipasang di Malaysia, kemungkinan ia juga akan ditawarkan di sini — tetapi masih belum ada apa-apa pengesahan setakat ini.

    Apa pun, unit AWD yang ditunjukkan ini, kelihatannya seperti dari varian paling tinggi Ultra tersebut — kerana ia dilengkapi juga dengan bumbung panoramik (tetap, tiada ciri pelindung matahari berkuasa), sistem kamera 360-darjah dan kerusi depan larasan kuasa dengan fungsi memori dan larasan lumbar. Ini bermakna ia juga menyokong pengecasan AC 22 kW (berbanding hanya 11 kW yang biasa), dan memendekkan tempoh pengecasan dari 8 jam kepada 4 jam.

    Volvo EX30 di Malaysia — sah ada versi dua motor AWD, 428 PS, 543 Nm, 0-100 km/j 3.6 saat, jarak 450 km

    Lain-lain kelengkapan untuk Ultra termasuklah lampu utama Thor’s Hammer LED, bumbung kontras Onyx Black Metallic, rim aloi 19-inci dua tona, sistem tanpa kunci dan butang penghidup enjin, kawalan pendingin dua-zon, kerusi balutan fabrik dan kulit buatan Nordico (warna Indigo), sembilan pembesar suara, sistem bunyi Harman Kardon 1,050-watt, Park Pilot Assist dan pintu ruang baranga belakang bebas kendalian tangan. Kerana ini model Volvo, ciri penuh seperti Pilot Assist Level 2 juga berkemungkinan besar disertakan sekali.

    Menjdi sebahagian daripada model siri 30 — sebelum ini pernah ada model C30 hatchback tiga pintu — EX30 merupakan model paling kecil Volvo setakat ini. Ia mempunyai ukuran dimensi 4,223 mm panjang, 1,837 mm lebar dan 1,555 mm tinggi — ini masing-masing 202 mm, 26 mm dan 97 mm kurang berbanding XC40. Jarak rodanya pula ialah 2,650 mm, 52 mm lebih pendek berbanding XC model yang paling kecil. Sebagai konteks, EX30 lebih pendek 220 mm berbanding MINI Countryman SE yang baru, dan 33 mm lebih panjang daripada Lexus LBX.

    Ciri kawalan lain seperti kawalan pendingin dan pelarasan cermin sisi semuanya telah disepadukan di dalam skrin sentuh 12.3-inci menegak di tengah papan pemukanya. Ia juga lengkapi dengan servis Google lain seperti Google Maps, Google Assistant dan Play Store, serta sambungan tanpa wayat untuk Apple CarPlay buat pertama kali.

    Volvo juga meneruskan usaha untuk menggunakan bahan kitar semula dalam EX30. Misalnya, kemasan biru dalam kereta yang dilihat ini adalah dari gentian denim, sementara kulit buatan Nordico memanfaatkan PET dari botol air yang dibuang.

    Ruang but belakangnya menyediakan kapasiti 318 liter. Dengan merebahkan penyandar tempat duduk, kapasiti berkenaan akan bertambah kepada 904 liter — selain itu ada juga ruang but hadapan seluas tujuh liter.

    Volvo EX30 akan dilancarkan di Malaysia pada 25 September nanti, dituruti dengan acaran pandu uji pelanggan yang bertempat di KL Base di Sungai Besi bermula 26-29 Semtember. Ketika ini juga Volvo Car Malaysia (VCM) sedang mengadaan peradan di Instagram, membolehkan pengguna memuat naik gambar kereta ini dengan pelekat samaran dan akan memilih 30 daripadanya untuk memenangi baucar RM100 untuk kafe-kafe terpilih.

    Untuk harga, masih belum diketahui. Apa yang pasti, kerana ia lebih kecil, EX30 akan dijual di bawah harga XC40 Recharge Ultimate (RM278,888).

     
     
  • Harga minyak 5-11 September 2024 – petrol RON97 dan diesel masing-masing turun 2 sen seliter

    Harga minyak 5-11 September 2024 – petrol RON97 dan diesel masing-masing turun 2 sen seliter

    Kementerian Kewangan (MOF) mengumumkan bahawa bagi tempoh 5 hingga 11 September 2024, harga runcit bagi diesel di Semenanjung diturunkan lagi sebanyak 2 sen seliter, menjadi RM3.16 seliter. Walau bagaimana pun harga diesel untuk Sabah dan Sarawak masih dikekalkan pada RM2.15 seliter.

    Manakala untuk tempoh yang sama, petrol RON 97 juga diturunkan 2 sen seliter, kini menjadi RM3.40 seliter. Manakala harga runcit bagi RON 95 yang telah mencapai harga siling masih dikekalkan pada paras RM2.05 seliter.

    Menurut MOF, kerajaan akan terus memantau kesan perubahan harga minyak mentah dunia serta mengambil langkah yang bersesuaian bagi memastikan kebajikan dan kesejahteraan rakyat terus terpelihara.

    Pertengahan Julai lalu, Kementerian Ekonomi berkata, buat masa ini, kerajaan masih meneliti dan menilai semula subsidi dan bantuan yang diberikan kepada rakyat termasuk petrol RON95.

    “Kerajaan juga sedang meneliti keperluan pelaksanaan rasionalisasi subsidi ke atas petrol RON95. Walau bagaimanapun, buat masa ini, tumpuan dan keutamaan akan diberikan kepada pelaksanaan subsidi diesel sehingga penyasaran subsidi diesel menjadi stabil, sekaligus mencapai objektif yang ditetapkan.
    Kerajaan pada masa ini masih meneliti dan menilai semula subsidi dan bantuan yang diberikan kepada rakyat, termasuk petrol RON95,” katanya.

     
     
  • Honda M’sia tawar promosi Sept 2024 – diskaun hingga RM12k buat Civic; CR-V, City HB dapat rebat

    selepas negara meraikan Hari Merdeka, tidak lama lagi giliran Hari Malaysia pula untuk disambut dengan semangat penuh patriotik oleh rakyat Malaysia. Mengambil tema yang bersesuaian, ‘One Nation, Triple Joy’, Honda Malaysia menawarkan kempen jualan sepanjang September 2024 dengan menawarkan diskaun dan rebat sehingga RM12,000. Ia membabitkan kesemua modelnya yang diproduksi pada tahun ini.

    Diskaun paling besar untuk bulan ini ialah untuk Civic, dengan rebat sebanyak RM12,000 bagi varian E dan V, manakala RS petrol dan hibrid diberikan diskaun sehingga RM10,000. Bermakna, sedan segmen-C yang hensem ini ditawarkan pada harga di bawah RM120k.

    Bagi City pula, diskaun yang diberikan dari RM3,000 (RS petrol) hingga RM7,000 (V). Manakala varian asas S dan model spesifikasi tertinggi RS hybrid diberikan diskaun sebanyak RM5,000, sementara spesifikasi pertengahan E pula mendapat rebat berjumlah RM6,000. Mengapa diskaun yang diberikan berubah-ubah antara bulan dan varian? Ini kerana ia bergantumg pada pasang surut pengeluaran berbanding permintaan.

    Honda M’sia tawar promosi Sept 2024 – diskaun hingga RM12k buat Civic; CR-V, City HB dapat rebat

    Klik untuk besarkan

    Untuk barisan SUV Honda pula, bermula dengan WR-V, varian S dan E ditawarkan dengan diskaun sebanyak RM5,000, manakala varian V dan RS pula diberikan rebat RM6,500. Jika mahukan HR-V pula, varian 1.5L NA S dan turbo asas E diberikan diskaun RM3,000 dan RM5,000 untuk V. Manakala varian RS hybrid pula diberikan diskaun sekitar RM1,000.

    Bagi City Hatchback dan CR-V yang ‘terlepas’ dari kempen jualan bulanan sebelum ini, telah menyertai senarai pada pertengahan Ogos lalu menerusi kempen Jiwa Madani. Kini hatchback segmen-B ini ditawarkan dengan diskaun RM3,000 untuk varian E dan V, sementara CR-V pula diberikan rebat sebanyak RM4,000 untuk varian E dan RM2,000 bagi S. Tiada promosi diberikan untuk varian RS bagi kedua-dua model berkenaan.

    Berkenan dengan penawaran kempen jualan Honda Malaysia ini? Jika ya, cepat-cepatlah ke bilik pameran Honda berhampiran untuk pandu uji dan tempahan. Promosi ini adalag untuk kenderaan yang didaftarkan mulai hari ini hingga 30 September 2024.

     
     
  • GWM Haval H6 HEV 2024 di Malaysia – dianggar bawah RM145k, 1.5 Turbo Hybrid, lawan terus Proton X70

    GWM Haval H6 HEV 2024 di Malaysia – dianggar bawah RM145k, 1.5 Turbo Hybrid, lawan terus Proton X70

    Isnin lalu GWM Malaysia telahpun mengumumkan bahawa tempahan untuk SUV segmen-C Haval H6 Hybrid sudah pun mula dibuka. Dan kali ini kami bawakan galeri penuh model berkenaan dan beberapa maklumat tambahan sebelum ia dilancarkan secara rasmi di sini tak lama lagi.

    Sebelum ini syarikat tersebut sudahpun memberitahu bahawa Haval H6 ini akan dihasilkan secara pemasangan tempatan (CKD) menerusi kilang EPMB yang terletak di Melaka. Namun kami diberitahu, buat permulaan 100 unit pertama Haval H6 pasaran Malaysia ini akan ditawarkan sebagai model yang diimport sepenuhnya (CBU) terlebih dahulu.

    Ia akan dijual dalam satu varian sahaja di Malaysia, iaitu varian spesifikasi tinggi Ultra. Seperti yang diumumkan tempoh hari, harga anggaran Haval H6 Hybrid ini adalah di bawah RM145,000.

    GWM Haval H6 HEV 2024 di Malaysia – dianggar bawah RM145k, 1.5 Turbo Hybrid, lawan terus Proton X70

    Model ini dihasilkan dengan dimensi panjang 4,683 mm, lebar 1,886 mm dan tinggi 1,724 mm. Jarak rodanya pula adalah sejauh 2,738 mm, lebih jauh berbanding saingan-saingan terdekatnya seperti Proton X70 (2,670 mm), Honda CR-V (2,660 mm) dan Mazda CX-5 (2,700 mm).

    Manakala untuk unit rangkaian kuasa, ia menggabungkan enjin empat silinder 1.5 liter turbo berkuasa 150 PS/230 Nm dengan motor elektrik 177 PS/300 Nm yang disepadukan dalam transmisi DHT dua kelajuan. Ini membolehkan kuasa keseluruhan yang dibekalkan adalah 243 PS dan 530 Nm, dengan penggunaan bahan api di sekitar 5.2l/100 km.

    Antara perincian standard yang diberikan pada Haval H6 Hybrid Ultra pasaran Malaysia ini termasuk lampu hadapan LED matrix, gril hadapan ‘Star Matrix’, bumbung sutina panaromik dan rim aloi 19-inci dalam kemasan hitam berkilat.

    GWM Haval H6 HEV 2024 di Malaysia – dianggar bawah RM145k, 1.5 Turbo Hybrid, lawan terus Proton X70

    Manakala pada bahagian kabin, ia menerima sistem pendingin hawa dua-zon, liang penghembus kabin belakang, cermin pandang belakang auto-malap, pintu tailgate bantuan kuasa, pengecas telefon pintar tanpa wayar Qi, tempat duduk ‘bos’ untuk penumpang hadapan dengan suis larasan pada bahagian bahu, paparan head-up dan sistem audio dengan lapan pembesar suara.

    Tidak seperti unit yang dipertontonkan di Malaysia tahun lalu, unit yang kami lihat hari ini menampilkan warna tema kabin berbeza iaitu hitam-kelabu cerah dengan kemasan-kemasan perapi berwarna seakan tembaga.

    Untuk kelengkapan keselamatan pula, ia diberikan enam-beg udara, kamera 360-darjah, sistem bantuan parkir, dan juga sistem bantuan pemanduan termaju (ADAS) dengan fungsi seperti brek kecemasan automatik, cruise control adaptif kelajuan penuh, bantuan kesesakan trafik, amaran lintasan trafik belakang serta bantuan tukar lorong.

    Dalam pengumuman yang dibuat dua hari lalu, GWM Malaysia turut menyatakan bahawa pelanggan yang menempah (dengan yuran tempahan RM1,000) akan menerima ganjaran istimewa bernilai RM3,000, serta ditawarkan dengan waranti enjin selama 10-tahun atau sejuta kilometer (yang mana sampai dahulu) dan juga waranti untuk sistem hibrid elektrik selama 8-tahun atau sejuta kilometer (yang mana sampai dahulu).

    Kedua-dua waranti berkenaan hanya sah untuk pemilik pertama dan didaftarkan sebagai kenderaan persendirian sahaja. Untuk sistem hibrid elektrik tersebut komponen yang terlibat dalam waranti yang ditawarkan adalah termasuk kotak gear Dedicated Hybrid Transmission (DHT), bateri dan kabel voltan tinggi dan juga kotak komputer kawalan transmisi (TCU).

     
     
  • Volkswagen pertimbang tutup kilang di Jerman untuk kurangkan kos, atasi saingan sengit jenama China

    Volkswagen pertimbang tutup kilang di Jerman untuk kurangkan kos, atasi saingan sengit jenama China

    Dalam usaha untuk mengurangkan kos dan menyelaraskan perbelanjaannya dalam menghadapi persaingan yang semakin sengit terhadap jenama-jenama automatif China, Volkswagen sedang mempertimbangkan untuk menutup salah satu kilangnya di Jerman, lapor Reuters. Sekiranya langkah ini benar-benar diambil, ia adalah pertama kali dalam sejarah untuk Volkswagen menutup kilangnya di Jerman.

    Dalam satu memo kepada kakitangan yang dikeluarkan semalam, Volkswagen menyatakan bahawa ia tidak boleh menolak penutupan kilang di pasaran domestik itu atau menamatkan program keselamatan pekerjaan yang telah dilaksanakan sejak 1994 bagi mengelakkan pemberhentian pekerjaan sehingga 2029. Namun semua langkah yang bakal diambil akan dibincangkan terlebih dahulu bersama majlis kerjanya.

    Manakala semakan oleh lembaga syarikat itu menentukan bahawa jenama di bawah Volkswagen AG memerlukan penstrukturan semula yang menyeluruh. “Dalam keadaan semasa, penutupan kilang di tempat produksi kenderaan dan komponen juga tidak lagi boleh diketepikan,” kata syarikat itu dalam memo yang dikeluarkan tersebut.

    “Industri automotif Eropah berada dalam situasi yang sangat mencabar dan serius. Persekitaran ekonomi menjadi lebih sukar, dan pesaing baharu memasuki pasaran Eropah. Jerman khususnya sebagai lokasi pembuatan semakin ketinggalan dari segi daya saing,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Volkswagen, Oliver Blume.

    Volkswagen pertimbang tutup kilang di Jerman untuk kurangkan kos, atasi saingan sengit jenama China

    Jenama Volkswagen, iaitu jenama yang menyumbang sebahagian besar daripada jumlah jualan Volkswagen Group, dilaporkan menjadi jenama pertama dalam kumpulan itu yang menjalankan pengurangan kos bagi menyasarkan penjimatan €10 bilion (RM48 bilion) menjelang 2026, kerana ia cuba menyelaraskan perbelanjaan untuk bertahan dalam tempoh peralihan kepada kenderaan elektrik sepenuhnya.

    Majlis kerja syarikat itu berikrar akan memberikan tentangan hebat terhadap rancangan lembaga eksekutif. Ia menambah bahawa Volkswagen sedang mempertimbangkan untuk menyingkirkan satu kilang kenderaan yang besar dan satu kilang komponen di Jerman.

    Manakala sebelum ini penganalisis telah menamakan kilang produksi syarikat itu di Osnabrueck, di Lower Saxony dan Dresden, di Saxony, sebagai sasaran yang berpotensi untuk ditutup.

    Volkswagen pertimbang tutup kilang di Jerman untuk kurangkan kos, atasi saingan sengit jenama China

    Ketua majlis kerja Daniella Cavallo berkata dalam temu bual di intranet Volkswagen bahawa pengurusan syarikat telah membuat “banyak keputusan yang salah” dalam beberapa tahun kebelakangan ini, termasuk tidak melabur dalam penghasilan model hibrid atau membangunkan kenderaan elektrik bateri mampu milik dengan lebih pantas.

    Cavallo berkata bahawa berbanding menutup kilang, lembaga itu sepatutnya mengurangkan kerumitan dan menggunakan kelebihan yang ada pada seluruh sinergi dalam kumpulan automotif itu.

    Sementara itu, kesatuan IG Metall menyifatkan pengumuman itu sebagai keputusan tidak bertanggungjawab yang “menggoncang asas” Volkswagen, iaitu majikan perindustrian terbesar di Jerman dan pengeluar kereta terkemuka Eropah berdasarkan hasil. Volkswagen tidak pernah menutup mana-mana kilangnya kecuali fasilitinya di Westmoreland, Pennslyvania, Amerika Syarikat pada 1998.

     
     
  • Tesla keluarkan fungsi parkir tanpa pemandu Actually Smart Summon (ASS), belum boleh diguna di M’sia

    Tesla keluarkan fungsi parkir tanpa pemandu Actually Smart Summon (ASS), belum boleh diguna di M’sia

    Tiga tahun selepas beralih kepada Tesla Vision kamera sahaja untuk sistem bantuan pemandu Autopilot, Tesla kini memperkenalkan kembali fungsi parkir automatik tanpa pemandu Smart Summon, yang kini turut dinamakan semula sebagai Actually Smart Summon (ASS).

    Menurut laporan Electrek, ciri ini telah ditambah kepada beberapa kenderaan Tesla Vision terpilih melalui kemas kini 2024.27.20, nersama ciri bantuan letak kereta kawalan jauh Summon yang kini dipanggil sebagai Dumb Summon. Kenyataan yang dikeluarkan memberitahu, ia masih berfungsi seperti sebelum ini, dengan pengguna boleh menetapkan lokasi dalam aplikasi Tesla, dan tekan skrin telefon supaya kenderaan boleh bergerak sendiri. Apabila skrin dilepaskan, kenderaan akan berhenti.

    Tesla memberitahu, mereka mahu menambah integrasi dengan HomeLink dan kawalan pintu garaj myQ, serta meningkatkan lagi jarak gerak kenderaan tanpa pemandu. Tesla juga mahu membuat sesuatu yang tidak memerlukan pengguna menekan skrin telefon sepanjang masa. Sebagai makluman, kedua-dua fungsi Dumb Summon dan ASS ini masih dalam fasa beta, dan Tesla memberi amaran bahawa pengguna masih bertanggungjawab sepenuhnya dan perlu memerhati kenderaan mereka sepanjang masa.

    Dalam satu muatan di X, Elon Musk memberitahu, ASS akan dikeluarkan kepada umum minggu hadapan, memberi petunjuk ia akan dimasukkan kepada semua kenderaan Tesla Vision pada waktu itu. Sebelum ini, Musk pernah memberitahu, fungsi itu akan dikeluarkan untuk umum pada September 2022.

    Perlu kami beritahu bahawa kedua-dua Summon dan Smart Summon ini tidak pernah diaktifkan untuk pasaran Malaysia, sama seperti fungsi Full Self Driving (pilihan tambahan berharga RM32,000). Kami jangkakan perkara sama berlaku pada Dumb Summon dan ASS, tetapi memandangkan Musk menggunakan ayat “wide release‘, harapan itu masih ada.

     
     
  • BYD Xia diperkenal – MPV plug-in hybrid 1.5L Turbo, motor elektrik 260 PS, harga dari RM184k di China

    BYD Xia diperkenal – MPV plug-in hybrid 1.5L Turbo, motor elektrik 260 PS, harga dari RM184k di China

    Semasa Chengdu Motor Show 2024 di China, BYD telah memperkenalkan MPV terbaru mereka yang dipanggil ringkas sebagai Xia. Saiznya agak besar dengan ukuran panjang 5.145 mm, lebar 1,970 mm, tinggi 1,805 mm dan jarak roda 3,045 mm.

    Sebagai perbandingan, satu lagi MPV keluaran BYD, iaitu Denza D9, mencatat ukuran panjang 5,250 mm, lebar 1,950 mm, tinggi 1,920 mm dan jarak roda 3,110 mm. Semasa acara ini, Xia yang ada di situ dikunci dan bahagian dalamnya tidak dapat dilihat, tetapi menurut laporan Car News China, ia mempunyai tujuh tempat duduk dengan susunan 2-2-3.

    Menggerakkan Xia adalah pakej plug-in hybrid (PHEV) DM-i generasi kelima syarikat itu, yang menggabungkan motor elektrik 260 PS sebagai pemacu utama, bateri Blade serta enjin 1.5L turbo sebagai range extender.

    Dalam laporan Car News China lagi, BYD memberitahu bahawa MPV Xia ini boleh bergerak dengan kuasa elektrik penuh sehingga jarak 200 km dan membawa ciri seperti pakej ADAS DiPilot serta servis ketersambungan DiLink.

    Memegang badannya ke atas jalan adalah suspensi adaptif, tetapi tidak menggunakan spring udara seperti Denza N7. Rim adalah bersaiz 18 inci, dan unit yang dipamerkan ini dilihat menggunakan tayar Michelin e-Primacy berukuran 235/60R18.

    Di China, BYD Xia akan mula dijual tahun ini juga, dengan harga bermula 300,000 yuan (RM184,012).

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (-0.04)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.90 (-0.04)
EURO 5 B7 RM3.10 (-0.04)
Last Updated Aug 14, 2025