Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Lebuhraya NPE dan Besraya ditutup dari tengahmalam Sabtu untuk IJM Allianz Duo Highway Challenge 2024

    Lebuhraya NPE dan Besraya ditutup dari tengahmalam Sabtu untuk IJM Allianz Duo Highway Challenge 2024

    Makluman buat pengguna Lebuhraya Pantai Baharu (NPE) dan Lebuhraya Sungai Besi (Besraya), sila ambil perhatian. Kedua-dua lebuhraya berkenaan akan ditutup sepenuhnya dari tengahmalam Sabtu ini sehinnga jam 11 pagi Ahad, 8 September 2024.

    Penutupan lebuhraya terbabit adalah bagi kelancaran acara larian IJM Allianz Duo Highway Challenge 2024. Acara larian tahunan ini melibatkan empat kategori iaitu 5 km, 10 km, half marathon 21 km dan full marathon 42.195 km, dengan garisan pemula dan penamat di Sunway Pyramid.

    Bagi kategori Full Marathon, laluannya meliputi kedua-dua Lebuhraya NPE dan Besraya, membawa pelari ke Maluri di Cheras dan kembali ke Sunway Pyramid. Manakala untuk pelari half marathon, ia meliputi laluan sepanjang Lebuhraya NPE. Masa pelepasan untuk Full Marathon pada jam 3 pagi, manakala untuk half marathon pula bermula sebelum jam 5.30 pagi. Manakala untuk kategori 10 km pula, akan dilepaskan sejam selepas itu.

    Untuk pengguna kedua-dua lebuhraya yang perlu ke mana-mana destinasi, sila rancang perjalanan anda sewajarnya dan gunakan laluan alternatif. Untuk para peserta acara larian ini, anda boleh parkir kenderaan di dalam Sunway Pyramid dan elakkan parkir di merata tempat yang tidak dibenarkan termasuk menghalang lalu lintas.

    Lebuhraya NPE dan Besraya ditutup dari tengahmalam Sabtu untuk IJM Allianz Duo Highway Challenge 2024

     
     
  • Honda HR-V facelift 2025 diperkenalkan di Australia; bakal tiba ke rantau ASEAN pula selepas ini?

    Honda HR-V facelift 2025 diperkenalkan di Australia; bakal tiba ke rantau ASEAN pula selepas ini?

    Selepas diperkenalkan di Jepun Mac lalu, kini Honda HR-V generasi ke-3 dalam versi facelift kini sudah dibawa ke pasaran Australia. Menerusi imej yang disiarkan, model tingkat taraf untuk pasaran Australia ini menampilkan rupa yang sama seperti versi JDM yang digelar sebagai Vezel di sana.

    Jika tidak dilihat dengan teliti, rupa bahagian luaran versi facelift ini masih lagi nampak sama seperti model sebelumnya. Namun jika diperhatikan betul-betul, anda akan perasan bahawa model kemaskini ini menampilkan bentuk gril yang sedikit berbeza dengan bahagian bawahnya lebih lebar.

    Kedua-dua lampu hadapan juga kini dihubungkan antara satu sama lain menerusi satu kemasan bar perak pada bahagian atas gril. Manakala di belakang, grafik LED pada lampu turut dikemaskini yang kini menampilkan lebih elemen jalur melintang.

    Untuk lampu hadapan, ia kini dipertingkat dengan LED projektor yang menampilkan sistem Adaptive Driving Beam. Sistem ini membolehkan beberapa bahagian lampu tingginya dipadamkan bagi mengelakkan pemandu lain silau.

    Honda HR-V facelift 2025 diperkenalkan di Australia; bakal tiba ke rantau ASEAN pula selepas ini?

    Tiada imej kabin disiapkan oleh Honda Australia untuk HR-V facelift ini. Namun berdasarkan model pasaran Jepun, ia hanya melibatkan perubahan kecil iaitu pada bahagian konsol gear, di mana ia tidak lagi menampilkan rekaan yang seperti fokus untuk pemandu.

    Namun Honda Australia ada menyatakan bahawa aplikasi dan servis Honda Connect sudahpun ditawarkan buat pertama kali di pasaran itu menerusi model facelift ini dengan langganan secara percuma selama lima tahun.

    Sebanyak tiga varian HR-V facelift ini ditawarkan di Australia, di mana varian asas diberikan enjin petrol sepenuhnhya, manakala varian pertengahan e:HEV X dan varian tertinggi e:HEV L menerima unit rangkaian kuasa hibrid i-MMD.

    Untuk versi petrol penuh, HR-V ini digerakkan dengan enjin 1.5 liter i-VTEC NA berkuasa 121 PS dan tork maksima 145, digandingkan dengan kotak gear CVT – tidak ada pilihan enjin turbo seperti di Malaysia untuk HR-V pasaran Australia ini.

    Honda HR-V facelift 2025 diperkenalkan di Australia; bakal tiba ke rantau ASEAN pula selepas ini?

    Kabin Honda Vezel facelift pasaran Jepun

    Manakala untuk versi hibrid e:HEV, ia menggandingkan enjin 1.5 liter DOHC i-VTEC berkuasa 105 PS/127 Nm yang dalam kebanyakkan masa hanya berfungsi untuk mengecas bateri hibrid, bersama dua motor elektrik; motor lebih kecil bertindak sebagai starter-generator, dan satu lagi motor berkuasa 131 PS/253 Nm berfungsi untuk memacu roda hadapan.

    Untuk keselamatan, Honda HR-V facelift ini menerima sistem bantuan pemanduan Honda Sensing yang dipertingkat, ditambah dengan fungsi Traffic Jam Assist yang menawarkan pemanduan separa autonomi Tahap 2 pada kelajuan rendah. Ia juga tampil dengan dua warna baharu iaitu Slate Grey dan Botanical Green bagi menggantikan warna Meteoroid Grey.

    Kebiasaannya selepas satu-satu model Honda itu dilancarkan di Australia, ia pastinya akan tiba pula ke pasaran ASEAN tidak lama selepas itu. Juga lazimnya ia akan mendarat di Thailand dan Indonesia terlebih dahulu, dan barulah masuk ke Malaysia. Mungkin HR-V facelift ini akan dilancarkan di sini awal tahun depan?

    GALERI: Honda Vezel facelift 2025 pasaran Jepun

     
     
  • GOyang-GOyang Merdeka dengan Caltex Rewards dan TnG eWallet untuk pulangan tunai RM8 — lagi jimat!

    GOyang-GOyang Merdeka dengan Caltex Rewards dan TnG eWallet untuk pulangan tunai RM8 — lagi jimat!

    Nak tahu cara mudah untuk jimat RM8 bagi pembelian bahan api?

    Kempen GOyang-GOyang Merdeka oleh Caltex Rewards dan Touch ‘n Go eWallet menawarkan pulangan tunai RM8 Touch ‘n Go eWallet apabila anda membelanjakan minimum RM31 untuk bahan api dalam satu resit melalui fungsi “Pay” dalam aplikasi. Promosi tersebut berlangsung dari 31 Ogos hingga 16 September 2024 di semua stesen Caltex di seluruh negara, atau sehingga 10,000 penebusan pertama telah dibuat, yang mana lebih awal.

    Pertama, anda perlu daftar untuk Caltex Rewards sekarang jika belum berbuat demikian, kerana kempen ini hanya untuk ahli sahaja. Jika anda tidak biasa dengan penggunaan fungsi GOyang-GOyang dalam TnG eWallet, ia sebenarnya sangat mudah. Buka aplikasi berkenaan secara manual dan cari ikon GOyang di laman utamanya, atau beri respon terhadap notifikasi yang tertera jika anda berada dalam radius 5 km dari stesen Caltex.

    Goyangkan telefon anda untuk mendapatkan baucar pulangan tunai RM8 Caltex, yang akan disertakan dengan lokasi stesen Caltex terdekat. Pergi ke stesen pilihan anda dan bayar di dalam melalui Smart Payment Terminal dengan mengimbas kod QR keahlian Caltex Rewards (masukkan nombor telefon juga boleh), diikuti dengan pembayaran menggunakan Touch ‘n Go eWallet.

    Jika anda memenuhi kriteria pembelian minimum, pulangan tunai RM8 akan terus diberikan dan akan tertera di dalam TnG eWallet anda. Memang semudah itu, tetapi anda perlu mendaftar dengan Caltex Rewards dan imbas kod QR sebelum pembayaran. Terus GOyang!

     
     
  • Volkswagen Passat Pro 2024 tiba di China – besar dari wagon di Eropah; 2.0L TSI 220 PS, DSG 7-kelajuan

    Volkswagen Passat Pro 2024 tiba di China – besar dari wagon di Eropah; 2.0L TSI 220 PS, DSG 7-kelajuan

    Sementara Eropah menerima kehadiran Volkswagen Passat generasi ke-sembilan sebagai Variant, versi wagon sahaja, berbeza dengan China yang masih menggemari bentuk sedan tradisional. Menerusi penganjuran Chengdu Motor Show tahun ini, Passat Pro telah diperkenalkan di sana, sebagai alternatif kepada Magotan.

    Dengan visual yang berbeza dari Magotan, yang merupakan produk kerjasama antara Volkswagen dengan FAW, Passat Pro didatangkan dari usahasama SAIC-Volkswagen dan berkongsi wajah yang sama dengan Variant di Eropah, tetapi dengan bentuk sedan di belakang dan lampu belakangnya juga mirip.

    Ditawarkan dengan dua kemasan iaitu Pioneer Edition dan Starry Sky Edition, bersama pilihan kit Black Warrior yang memberikan penampilan lebih sporty. Pakej tambahan ini termasuk bampar hadapan yang lebih agresif dengan serlahan hitam pada cermin sisi dan kemasan tingkap.

    Berbanding dengan abangnya di Eropah, Passat Pro buatan Chian ini lebih panjang dan berukuran 5,006 mm panjang, 1,850 mm lebar, 1,489 mm tinggi dan jarak roda pula 2,871 mm. Menjadikan ia 89 mm lebih panjang dari wagon dan mempunyai ruang tambahan cecah 30 mm antara gandar. Magotan terkini juga mempunyai jarak roda yang sama dengan Passat Pro tetapi keseluruhan panjangnya kurang 16 mm.

    Bagi dalamannya, bentangan umum bagi papan pemuka lebih kurang sama dengan model Eropah. Ciri kelengkapannya termasuk kluster instrumen digital 10.3-inci, skrin sesentuh infotainmen sentral 15-inci, skrin sesentuh 11.6-inci untuk penumpang hadapan, paparan utama dengan teknologi realiti tambahan, sistem bunyi Harman Kardon dengan 16-pembesar suara, 30-warna bagi sistem pencahayaan ambien, sistem wangian dalam kereta dan tempat duduk dengan fungsi ventilasi, pemanas dan urut.

    Di bawah bonetnya, Passat Pro dikuasai enjin 2.0 liter pengecas turbo empat-silinder sebaris TSI yang mampu menghasilkan 220 PS (217 hp atau 162 kW) dan tork 350 Nm, dengan pacuan disalurkan ke roda hadapan menerusi transmisi dwi-klac (DCT) tujuh-kelajuan.

    Harga bagi sedan ini akan diumumkan kelak, namun pra-tempahannya telah mula diterima. Walau pun Passat Pro berada di pasaran China, namun SAIC Volkswagen tetap akan terus menawarkan Passat spesifikasi China yang dijual sejak tahun 2019 dan diperkenalkan versi facelift pada 2022.

     
     
  • Lebih ramai yang maut di jalan raya berbanding Covid-19, 6k penunggang motosikal maut setiap tahun – TPM

    Lebih ramai yang maut di jalan raya berbanding Covid-19, 6k penunggang motosikal maut setiap tahun – TPM

    Kita baru sahaja pulih dari pandemik Covid-19, di mana wabak berkenaan telah menyebabkan beribu-ribu orang kehilangan nyawa. Namun tahukah anda jumlah kematian yang disebabkan oleh kemalangan jalan raya sebenarnya adalah lebih tinggi dari Covid-19?

    Menurut Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dalam laporan Astro Awani, jumlah kematian akibat nahas jalan raya di Malaysia kini pada tahap membimbangkan dan ia melebihi jumlah kematian akibat virus Corona tersebut.

    Zahid menegaskan bahawa usaha mencegah kemalangan jalan raya bukan hanya melibatkan peranan Kementerian Pengangkutan semata-mata, sebaliknya ia harus membabitkan kerjasama antara pelbagai agensi.

    “Atas sebab itu, lebih banyak usaha perlu dibuat untuk meningkatkan kesedaran awam sebagai langkah pencegahan terutama apabila melihat statistik kemalangan jalan raya berkenaan.

    “Malaysia antara negara di Asia Tenggara yang berdepan isu ini terutama melibatkan penunggang motosikal walaupun kadar kematian per 100,000 orang menurun daripada 27 peratus pada 2000 kepada 22.5 peratus pada 2019, ia tetap antara tertinggi di dunia,” katanya pada sidang media selepas melancarkan Persidangan Keselamatan Jalan Raya Asia (Kereta) 2024 di Putrajaya semalam.

    Lebih ramai yang maut di jalan raya berbanding Covid-19, 6k penunggang motosikal maut setiap tahun – TPM

    Beliau turut berkongsi satu lagi statistik yang membimbangkan di mana lebih daripada 6,000 kematian akibat nahas membabitkan penunggang motosikal setiap tahun. Menurutnya dengan jumlah kematian tersebut, jika disatukan mereka yang maut dalam satu kawasan ia adalah umpama mempunyai kawasan perkuburan hampir sama dengan keluasan enam padang bola.

    Atas faktor tersebut, Zahid menegaskan bahawa ini adalah sebab utama mengapa kerajaan memperkenalkan dasar semua motosikal baharu dengan enjin berkapasiti 150cc dan ke atas wajib memiliki sistem brek anti-kunci (ABS) bermula 1 Januari tahun depan.

    Rentetan itu, beliau berharap insiatif diambil kerajaan dapat mengurangkan kadar nahas jalan raya terutama membabitkan penunggang dan pembonceng motosikal memandangkan mereka menjadi penyumbang besar iaitu 65 peratus daripada jumlah kematian nahas tahun lalu.

    Dalam acara yang sama juga Zahid menyatakan bahawa kerajaan turut bercadang untuk menurunkan had laju di kawasan sekolah kepada 30 km/j berbanding 40 km/j buat masa sekarang. Sekiranya langkah ini membuatkan hasil, ia akan turut diperluaskan di kawasan lain.

    Dalam masa sama Ahli Parlimen Bagan Datuk itu turut memuji langkah proaktif Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dengan menggalakkan pekerja yang menggunakan motosikal untuk mencarum. Beliau menjelaskan, sumbangan di bawah Perkeso itu penting dalam memastikan kebajikan penunggang terjamin sekiranya terlibat kes kemalangan jalan raya.

     
     
  • GWM Poer Sahar Off-Road Edition diperkenal – enjin diesel 2.4L turbo 184 PS/480 Nm, petrol V6 3.0L turbo

    GWM Poer Sahar Off-Road Edition diperkenal – enjin diesel 2.4L turbo 184 PS/480 Nm, petrol V6 3.0L turbo

    Awal tahun ini Great Wall Motor (GWM) telah memperkenalkan trak pikap hibrid Poer Sahar HEV semasa Bangkok International Motor Show 2024, dan sekarang muncul pula versi lebih lasak bagi trak tersebut yang dipanggil sebagai Poer Sahar Off-Road Edition. Ia dibawa untuk pameran di Chengdu Motor Show 2024.

    Versi yang disasarkan untuk penggunaan lebih lasak ini datang dalam dua pilihan enjin, iaitu diesel turbo 2.4 liter berkuasa 135 kW (184 PS) dan tork 480 Nm, dan V6 petrol 3.0 liter turbo. Sebagai perbandingan, enjin petrol turbo pada versi HEV mampu menghasilkan kuasa 244 PS/380 Nm, dan kuasa keseluruhan 351 PS/615 Nm.

    Sistem penggerak trak ini terdiri daripada transmisi automatik sembilan kelajuan GWM sendiri, serta differential kunci mekanikal BorgWarner di hadapan, tengah dan belakang. Dalam keadaan standard ia datang dengan rim 18 inci dan tayar Cooper Discoverer AT3 bersaiz 265/65R18.

    Dengan panjang keseluruhan lebih 5.4 meter dan lebar ruang dalam 1.6 meter, Poer Sahar diangkat oleh pengeluarnya sebagai trak pikap double cab paling besar, lebar dan selesa dalam kelasnya, sambil mempunyai tempat duduk belakang yang boleh disandarkan sehingga 33 darjah.

    Untuk versi Off-Road Edition ini, tempat duduk tersebut dinaik taraf dengan sistem pelarasan elektrik, sementara pintu ruang barangan belakang menggunakan jenis yang dibuka secara biasa dan bukannya ke tepi seperti Poer Sahar HEV. Turut diberi pada versi Off-Road Edition ini adalah penutup ruang barangan belakang, bar besi di hadapan dan belakang, serta corong udara tinggi (snorkel).

    Berkenaan sistem bantuan pemandu, Poer Sahar Off-Road Edition dilengkapi sistem ADAS Level 2, yang termasuk Adaptive Cruise Control dan Intelligent Cruise Control. Di China, Poer Sahar Off-Road Edition dijual pada harga bermula 178,800 yuan (RM109,765) untuk Advanced, 188,800 yuan (RM115,895) untuk High-End dan 249,800 yuan (RM153,340) untuk Traverse.

     
     
  • Pemilik Isuzu D-Max di seluruh negara berhimpun dan berkonvoi raikan Hari Kemerdekaan yang ke-67

    Pemilik Isuzu D-Max di seluruh negara berhimpun dan berkonvoi raikan Hari Kemerdekaan yang ke-67

    default

    Isuzu Malaysia telah berjaya menghimpunkan pemilik trak pikap Isuzu D-Max serentak di seluruh negara pada hujung minggu lalu bagi bersama-sama meraikan Hari Kemerdekaan Malaysia yang ke-67 tahun menerusi acara Konvoi Merdeka Isuzu 2024.

    Menurut syarikat tersebut, seramai kira-kira 3,300 peserta telah menyertai acara ini dengan melibatkan sebanyak sekitar 900 unit Isuzu D-Max yang berkumpul di 36 cawangan Isuzu di seluruh negara, dari Alor Setar hingga ke Keningau.

    Selepas berhimpun di cawangan-cawangan Isuzu yang ditetapkan, peserta-peserta acara ini bergerak mengikut konvoi ke destinasi pilihan di kawasan masing-masing. Pelbagai pengisian aktiviti diatur untuk peserta bersantai meraikan Hari Merdeka menerusi acara berkenaan, antaranya santapan durian, merakit jeram, glamping, mencari harta karun, berkelah dan banyak lagi.

    Ini bukan kali pertama Isuzu Malaysia meraikan Hari Kemerdekaan dengan cara yang sama. Tahun lalu sebanyak 600 buah Isuzu D-Max dapat dikumpulkan menerusi Konvoi Merdeka 66 yang turut berlangsung serentak di seluruh negara.

    “Susulan daripada kejayaan Konvoi Merdeka 66, pemilik D-Max telah menyuarakan kepuasan serta keinginan mereka untuk terlibat lagi dalam acara serupa yang telah berhasil memupuk pertalian lebih erat dalam kalangan mereka. Disebabkan itu, kami berhasrat untuk meneruskan lagi aktiviti berkenaan,” jelas Ketua Pegawai Eksekutif Isuzu Malaysia,
    Shunsuke Okazoe.

    Beliau juga sempat melepaskan peserta konvoi di cawangan Isuzu Indah Utara di Alor Setar, Kedah yang melibatkan sebanyak 80 buah Isuzu D-Max dalam perjalanan menuju Tasoh Lake Resort di Perlis sempena acara ini.

     
     
  • Influencer habis tiga jam untuk cas EV, hanya dapat 229 km, tak cukup sampai rumah — video tular

    <em>Influencer</em> habis tiga jam untuk cas EV, hanya dapat 229 km, tak cukup sampai rumah — video tular

    Keresahan tentang jarak perjalanan EV muncul lagi melalui satu video tular di Instagram. Seorang influencer, Iman Kamil yang memandu MG4 Xpower di Lebuhraya Pantai Timur (LPT) arah barat berhenti untuk mengecas kenderaannya menggunakan pengecas Gentari 50 kW DC di Kawasan R&R Gambang pada jam 2.05 pm, dengan SoC baterinya berbaki 19%, seperti yang tertera dalam videonya.

    Di sana, ada dua lagi EV sedang menunggu giliran untuk mengecas — sebuah Tesla Model Y dan Model 3. Hanya ada satu pengecas di lokasi. EV pertama selesai sekitar 2.45 pm, dan EV satu lagi selesai sekitar 3.40 pm. Selepas Iman selesai mengecas dengan SoC baterinya pada tahap 96% (mula mengecas ketika SoC 14%), masa sudah mencecah 5.05 pm. Jarak yang diperoleh ketika itu ialah 229 km, sedangkan untuk sampai ke rumahnya ialah 227 km — dia perlu berhenti untuk mengecas sekali lagi.

    Banyak perkara yang dinyatakan dalam videonya itu sahih — EV memang tidak sesuai untuk perjalanan jarak jauh. Dan antara masalah yang masih membelenggu pengguna EV antaranya jumlah pengecas pantas yangt tidak banyak dan pengguna pengecas yang tidak bertimbang rasa.

    Untuk menunggu lebih daripada sejam setengah hanya untuk menggunakan pengecas EV adalah perkara yang melelahkan. Iman mungkin boleh buat pusingan U untuk menggunakan pengecas di R&R Gambang arah timur (yang lebih pantas dengan 90 kW setiap pengecas) sebelum membuat pusingan U sekali lagi dan memerlukan masa yang lebih singkat. Seperti dinyatakannya, ini belum lagi melibatkan situasi ketika musim perayaan, yang barisan menunggu tentunya lebih panjang.

    Namun, video Iman juga mengecualikan beberapa faktor lain yang menarik untuk diperhatikan. Pertama, lihat kadar penggunaan kuasa keretanya: 29.8 kWh bagi setiap 100 km. Ini sangat tinggi, dan memberi petunjuk bahawa dia mungkin memandu laju yang menyumbang kepada penggunaan bateri tidak cekap berbanding pemanduan biasa yang lebih sederhana.

    Satu lagi petunjuk yang mungkin menyumbang perkara ini tertera di paparan instrumennya — dia menetapkan had laju untuk kawalan melayar adaptif pada 160 km/j. Ini juga menjadi punca penggunaan tenaga EV-nya tidak cekap dan sistem akan menggunakan banyak tenaga untuk memberikan prestasi berterusan seperti itu. Untuk rekod, kapasiti bateri MG4 Xpower ialah 64 kWh sahaja, bukanlah terlalu besar.

    Sekadar perbandingan, ketika rakan sekerja kami Hafriz Shah meluangkan masa menggunakan model EV yang sama, bacaan yang diperoleh adalah antara 16 dan 16.5 kWh bagi setiap 100 km dalam keadaan pemanduan yang pelbagai, yang memberikan jarak sekitar 380 km untuk satu cas penuh. Ini hampir menyamai jarak WLTP yang didakwa boleh dicapai oleh MG4 Xpower tersebut, iaitu 385 km. Walaupun dengan penggunaan 20 kWh per 100 km pun akan memberikan 310 km jarak, dan cukup untuk dia sampai ke destinasi akhir tanpa perlu berhenti sekali lagi untuk mengecas.

    Selain itu, turut dibangkitkan ialah etika penggunaan pengecas. Iman merungut mengatakan pengguna sebelumnya menggunakan pengecas hingga penuh, dengan tempoh lebih 47 minit. Ini memang kurang bertimbang rasa, kerana jelas ada pengguna lain yang sedang menunggu giliran. Tetapi, Iman bahkan lebih teruk kerana menggunakan pengecas itu selama 1 jam 20 minit untuk tiba ke kapasiti bateri 96% itu.

    <em>Influencer</em> habis tiga jam untuk cas EV, hanya dapat 229 km, tak cukup sampai rumah — video tular

    Sepatutnya, Iman tidak perlu menunggu selama itu. Mengecas hingga 80% tetap akan menyebabkannya beredar agak lewat, tetapi itu lebih baik daripada menghabiskan masa tiga jam di situ. Lebih penting, dengan memandu secara lebih cekap, dia boleh sampai ke destinasi lebih awal, tanpa perlu berhenti cas sekali lagi (walaupun dengan 20 kWh per 100 km, 80% cas akan memberikan jarak sekitar 250 km).

    Jurang masa itu sangat penting, dan walaupun memandu 160 km/j sekali pun tidak akan membolehkannya tiba dalam kadar waktu yang sama selepas itu. Tambahan pula, pengecas pantas DC hanya dicadangkan untuk mencapai tahap 80% sahaja bagi bateri nickel manganese cobalt (NMC) seperti yang digunakan MG4 Xpower tersebut, untuk menjamin jangka hayatnya supaya lebih lama.

    Jadi, dua pengajaran yang boleh diraih daripada kejadian ini. Pertama, setiap kali anda perlu menggunakan pengecasa EV awam, bertimbang rasalah terhadap pengguna yang lain. Kedua, jika anda memandu EV, memandulah dengan lebih cekap dan berhemah dan tidak memecut untuk mendapatkan bacaan jarak yang sepatutnya.

     
     
  • Canada bakal kenakan tarif 100% untuk EV dari China

    Canada bakal kenakan tarif 100% untuk EV dari China

    Canada telah umumkan yang negara itu akan mengenakan tarif 100% ke atas EV China yang diimport dari sana sebagai cerminan terhadap langkah sama yang diambil oleh Amerika Syarikat dan Kesatuan Eropah (EU). Menurut laporan BBC, Canada bersama sekutu lain di Barat mendakwa pengeluar kenderaan di China memanfaatkan secara tidak adil subsidi kerajaan untuk industri EV. Duti 25% ke atas bes dan aluminium China juga sedang dirancang.

    “Kami sedang mengubah sektor automotif Canada untuk menjadi pemain global dalam membangunkan kenderaan untuk masa depan, tetapi pemain seperti China telah memilih untuk memanfaatkan secara tidak adil kelebihan dalam pasaran global,” jelas Perdana Menteri Canada, Justin Trudeau.

    Sebagai maklum balas, China menyifatkan keputusan Canadai itu sebagai satu bentuk “perlindungan perdagangan” yang “menyalahi peraturan Organisasi Perdagangan Dunia (WTO).” Jurucakap dari Kementerian Perdagangan China memaklumkan yang langkah tersebut “sangat menjejaskan sistem ekonomi global, serta peraturan ekonomi dan perdagangan,” dan menambah Canada perlu memperbetulkan keputusan itu.

    Pada Mei tahun ini, Amerika Syarikat mengumumkan bakal mengenakan tariff empat kali ganda ke atas EV dari China, sementara Kesatuan Eropah memaklumkan peningkatan tariff sebanyak 38.1% akan dikenakan untuk tujuan sama. Bagaimanapun EU mengubah semula rancangan itu terhadap EV Tesla buatan China kepada hanya 9% daripada rancangan asal 20.8%, susulan daripada permintaan Tesla untuk diberikan penilaian individu.

    Tarif EV China yang akan dikenakan oleh Canada ini akan turut melibatkan EV buatan Tesla di Shanghai Gigafactory. Penganalasis perpendapat import kenderaan jenama itu akan beralih dari Amerika Syarikat atau Eropah sekiranya Tesla tidak dapat mengurangkan tarif tersebut. Canada merupakan pasaran keenam terbesar untuk Tesla tahun ini, maka untuk mengelakkan kenaikan harga akibat tarif adalah sangan penting untuk pengeluarnya.

     
     
  • Aerotrain KLIA dijangka beroperasi semula pada 31 Januari 2025 — bas perantara tetap diteruskan

    Aerotrain KLIA dijangka beroperasi semula pada 31 Januari 2025 — bas perantara tetap diteruskan

    Setelah lama tergendala, perkhidmatan Aerotrain di Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA) dijangka akan mula beroperasi semula pada 31 Januari 2025. Bernama melaporkan, perkara itu dikongsi oleh Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, yang memaklumkan dua aerotrain telah tiba di Malaysia minggu lalu.

    Kedua-dua set aerotrain terbabit kini sedang di dalam fasa pemasangan yang akan diikuti oleh fasa pemeriksaan selepas itu. “Fasa berkenaan akan mengambil masa selama empat bulan,” jelas Loke. Pemeriksaan dinamik pula akan bermula Oktober nanti, yang bakal menyaksikan aerotrain terbabit diuji menggunakan landasan sebenar. “Jadi jika anda melihat ada aerotrain sedang beroperasi dalam masa terdekat, itu ada fasa ujian untuk memastikan kelancarannya,” tambahnya.

    Beliau juga memaklumkan bahawa Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) perlu memantau secara dekat dan pastikan semua proses serta ujian dilakukan dengan betul supaya tiada lagi penangguhan. “Tahun depan sangat penting untuk negara, kerana bakal menjadi tuan rumah perjumpaan ASEAN dan antarabangsa yang lain. Kita mahu aerotrain ini sudah sedia beroperasi,” jelas beliau.

    Keseluruhannya, MAHB bakal menerima tiga set aerotrain, setiap satunya dengan tiga gerabak yang mempu menampung seramai 270 penumpang. Set ketiga dijangka tiba di Malaysia Oktober ini dan akan digunakan sebagai unit simpanan kepada dua aerotrain lagi. Dengan penyambungan perkhidmatan aerotrain ini tahun depan, bas perantara juga akan terus beroperasi sebagai pilihan kepada penumpang yang kini kian bertambah.

    Sebelum ini, projek penggantian aerotrain tersebut dijangka siap pada 31 Mac 2025. Tempoh ini bagaimanapun dipercepat dua bulan melalui kontrak yang dimeterai pada 14 Jun antara Malaysia Airports (Sepang), Alstom Transport Systems (Malaysia) dan IJMC-Pestech JV, yang merupakan syarikat kerjasama antara IJM Construction dan Pestech Technology.

    Sistem aerotrain mula beroperasi sejak pelancaran KLIA pada 1998, dengan set tren asal sepatutnya ditukar selepas tender di buka pada Julai 2020. Pada September 2022, MAHB umumkan permulaan program penggantian aerotrain, yang akan diselesaikan pada Mac 2025 dan dikendalikan oleh pemenang bidaan tender, Pestech Technology. Sepanjang tempoh peralihan ini, bas perantara diperkenalkan untuk menampung perkhidmatan aerotrain yang beroperasi secara berjadual terhad.

    Pada Mac 2023 pula, perkhidmatan aerotrain digantung sepenuhnya sebagai langkah berjaga-jaga susulan berlakunya kerosakan besar. MAHB mengeluarkan notis pembatalan kepada Pestech Technology bagi projek berkenaan pada Ogos tahun yang sama, dan memberikannya kepada Alstom Transport Systems (Malaysia) dan IJMC-Pestech. Kontrak baru itu melibatkan tambahan 15% kos dengan nilai RM456.1 juta tidak termasuk operasi dan penyelenggaraan.

     
     
  • Geometry Xingyuan didedah di China – saingan BYD Dolphin, jarak gerak 410 km; ini Proton eMas 5?

    Geometry Xingyuan didedah di China – saingan BYD Dolphin, jarak gerak 410 km; ini Proton eMas 5?

    Geely telah menyiarkan gambar-gambar rasmi awalan untuk model EV kompak baharunya di bawah jenama Geometry (atau dikenali juga sebagai Geome) iaitu Geometry Xingyuan. Ia merupakan sebuah hatchback yang bakal bersaing terus dengan BYD Dolphin di pasaran China.

    Xingyuan menampilkan dimensi panjang 4,135 mm, lebar 1,805 mm, tinggi 1,570 mm dan jarak roda 2,650 mm. Jadi berbanding Dolphin, hatchback EV Geometry ini adalah 155 mm lebih pendek dan jarak roda 50 mm lebih dekat, tetapi 35 mm lebih lebar, manakala tinggi kedua-duanya adalah sama.

    Ia juga nampak lebih comel dengan badan yang direka lebih banyak elemen bulat, lampu hadapan berbentuk-titisan air, pembuka pintu tenggelam, lampu belakang berbentuk oval dan juga warna badan dua-tona menampilkan bumbung berwarna hitam.

    Geometry Xingyuan didedah di China – saingan BYD Dolphin, jarak gerak 410 km; ini Proton eMas 5?

    Manakala pada bahagian dalaman, hatchback EV ini diberikan tema warna yang cerah, papan pemuka dan juga panel pintu menampilkan nyalaan dengan grafik seakan pemandangan bandar, bersama paparan instrumen digital, skrin infotainmen bersaiz agak besar dan juga roda stereng dua jejari.

    Perincian-perincian yang boleh dilihat menerusi gambar adalah termasuk pad pengecas telefon pintar yang terletak di bawah liang penghembus udara tengah. Manakala pada bahagian konsol terowong terdapat tombol gear bersaiz kecil, dua pemegang cawan, ruang storan kecil dan juga ruang storan lebih besar dan tersembunyi tarletak di bawahnya.

    Menerusi maklumat yang disiarkan oleh Kementerian Industri dan Teknologi Informasi (MIIT) China bulan lalu, Geometry Xingyuan ini ditawarkan dengan dua pilihan kapasiti bateri iaitu 30.12 kWj untuk jarak gerak 310 km (CLTC) dan 40.16 kWj untuk jarak gerak 410 km (CLTC).

    Geometry Xingyuan didedah di China – saingan BYD Dolphin, jarak gerak 410 km; ini Proton eMas 5?

    Bergantung pada varian, ia akan digerakkan oleh motor elektrik tunggal berkuasa 79 PS (58 kW) atau 116 PS (85 kW), kedua-duanya hanya memacu roda hadapan dengan kelajuan maksima 135 km/j. Ketika dilancarkan di China kelak, Geome Xingyuan ini akan dijual pada harga sekitar 80,000 yuan (kira-kira RM49k).

    Jika anda perhatikan bentuk sisi Geometry Xingyuan ini dilihat seakan sama dengan siluet model hatchback yang muncul dalam teaser jenama EV Proton iaitu eMas (dieja e.MAS) baru-baru ini. Jadi ada kemungkinan besar ini merupakan satu lagi model EV Proton eMas yang akan dilancarkan selepas eMas 7 pada penghujung tahun ini. Adakah Xingyuan akan dijelmakan sebagai Proton eMas 5 yang akan dijual pada harga di bawah RM100k?

     
     
  • Kereta sadai libat kos tinggi untuk DBKL setiap tahun

    Kereta sadai libat kos tinggi untuk DBKL setiap tahun

    Masalah kenderaan tersadai bukan setakat menyusahkan orang dan menyakitkan mata, tetapi untuk mengalih dan melupuskannya juga memerlukan kos yang tinggi. Ini sesuatu yang diutarakan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

    Katanya, jumlah besar terpaksa dibelanjakan setiap tahun untuk mengatasi masalah ini, dan hanya sedikit sahaja pulangan kewangan yang diperoleh – lapor The Star. Pengarah eksekutif (Pembangunan Sosioekonomi) DBKL, Ismadi Sakirin memberitahu, DBKL membelanjakan jutaan ringgit setiap tahun untuk mengalihkan kenderaan tersadai ini daripada jalan, tapi hanya mendapat sedikit sahaja pulangan melalui lelongan.

    “Kami membelanjakan jutaan ringgit hanya untuk menguruskan kenderaan sadai ini setiap tahun dan sebahagian besar kosnya pergi ke bahagian logistik – penggunaan lori, kren dan trak tunda – dan membayar gaji lebih masa kepada pekerja,” kata beliau.

    Kereta sadai libat kos tinggi untuk DBKL setiap tahun

    Ismadi memberitahu, proses ini memakan masa kerana DBKL hanya mempunyai 14 trak tunda. “Dalam kes tertentu, kami perlu menggunakan kren untuk mengangkat kenderaan tersebut daripada tempat yang sempit. Jika kenderaan itu terlalu besar untuk akses, kami perlu menunggu masa lain untuk menggunakan pengangkut yang lebih sesuai,” kata beliau.

    Sebagai tambahan, prosedur panjang untuk mengalih dan melupuskan kenderaan tersadai boleh mengambil masa sehingga enam bulan atau lebih, bermula dengan notis 14 hari. Beliau berkata, proses ini biasanya terganggu oleh pemilik yang cuba mengelak tanggungjawab dengan meletakkan kenderaan mereka di tempat lain.

    “Notis diletakkan pada kenderaan, seterusnya memberikan masa 14 hari untuk pemilik mengalihkannya. Walaubagaimanapun, ada pemilik yang cuba mengelak proses ini dengan hanya membawa kenderaan mereka ke tempat lain. Ini memaksa kami untuk memulakan kembali proses dari awal dengan mengeluarkan notis sekali lagi,” kata beliau.

    Kereta sadai libat kos tinggi untuk DBKL setiap tahun

    Selepas tempoh 14 hari, kenderaan tersadai ini kemudiannya ditunda ke depoh simpanan, di mana DBKL membuat pengesahan statusnya dengan agensi seperti Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan polis. “Semasa kami mengambil kenderaan ini, kami perlu membuat laporan polis. Terdapat kemungkinan kenderaan tersebut adalah kenderaan curi atau digunakan untuk membuat jenayah,” kata beliau.

    Pemilik kemudiannya diberikan tempoh tiga ke enam bulan untuk mengambil kembali kenderaan mereka, dan jika ini tidak dibuat, kenderaan tersebut akan dijual secara lelong kepada syarikat besi buruk. Tambah Ismadi, lelongan ini biasanya dibuat sekali setiap tahun dan melibatkan 500 hingga 1,000 buah kenderaan. Pulangan yang diterima cuma sekitar RM300,000.

    Awal tahun ini, kerajaan telah memperkenalkan e-Dereg, iaitu satu platform dalam talian untuk memudahkan proses membatalkan pendaftaran kenderaan sekiranya mereka mahu melupuskan kenderaan tersebut, melalui Authorised Automotive Treatment Facility (AATF).

     
     
  • MATTA Fair 2024, 6-8 Sept di MITEC – bas perantara Rapid KL percuma dari KL Sentral, Sunway Putra Mall

    MATTA Fair 2024, 6-8 Sept di MITEC – bas perantara Rapid KL percuma dari KL Sentral, Sunway Putra Mall

    MATTA Fair kini kembali dan akan berlangsung hujung minggu ini dari 6 hingga 8 September 2024. Ia akan dianjurkan di Malaysia International Trade and Exhibition Centre (MITEC), bukan lagi di PWTC, inilah peluang untuk anda yang mencari pakej percutian dan pelancongan dengan harga yang lebih berpatutan.

    Tapi teragak-agak mahu ke sana kerana masalah kesesakan lalu lintas dan juga parkir? Jangan risau, kawan-kawan. Anda boleh menggunakan bas perantara percuma untuk ke MITEC. Disediakan oleh Rapid KL, bas perantara percuma ini disediakan dari jam 8 pagi sehingga 10 malam selama tiga hari berturut-turut.

    Kekerapan ketibaan bas adalah setiap lima hingga 10 minit namun tertakluk kepada keadaan trafik. Lokasi mengambil dan menurunkan penumpang adalah di KL Sentral (Hentian Bas Balai Ketibaan ERL KLIA) dan juga hentian bas di Sunway Putra Mall (bertentangan PWTC).

    Untuk terus memberi insentif kepada penggunaan bas percuma ini, penganjur pameran Malaysian Association of Tour & Travel Agents turut menawarkan hadiah menarik. Untuk menyertai, anda hanya perlu imbas kod QR di tempat menunggu atau dalam bas dan ikut arahan yang diberikan. Selamat berlibur di MATTA Fair 2024!

     
     
  • GWM Tank 500 akan tiba di Malaysia tahun hadapan?

    GWM Tank 500 akan tiba di Malaysia tahun hadapan?

    Great Wall Motor (GWM) Tank 500, yang ditunjukkan kali pertama semasa Bangkok Motor Show pada tahun 2023 berkemungkinan tiba ke pasaran Malaysia tidak lama lagi. Ini diketahui berdasarkan maklumat daripada sumber yang berada dalam syarikat itu sendiri. Tahun lepas, Tank 500 juga diperkenalkan dengan sistem plug-in hybrid Hi4-T.

    Penggerak ini menggabungkan enjin petrol empat silinder 2.0 liter turbo bersama motor elektrik yang disepadukan pada transmisi sembilan kelajuannya, dan disambung kepada sistem pacuan empat roda. Bateri untuk sistem hibrid itu pula berada di bahagian belakang casis.

    Mempunyai kapasiti 37.1 kWh, bateri hibrid ini dikatakan boleh memberi jarak gerak elektrik penuh 110 km, sementara secara keseluruhannya pula, penggerak ini mampu menghasilkan kuasa 408 PS dan tork 750 Nm.

    Semasa Chengdu Motor Show 2024 yang sedang berlangsung sekarang juga Tank 500 ada dipamerkan, dalam versi Black Warrior Edition yang mempunyai penampilan serba gelap. Kemasan yang biasanya berwarna krom juga dihitamkan, termasuk gril hadapan, keliling tingkap, pada bampar serta rim.

    Konsep sama digunakan pada bahagian dalam, dengan tempat duduk yang dibalut kulit hitam serta kemasan kayu coklat untuk memberi kontras. Kelengkapan dalam kabin masih kekal, termasuk panel instrumen 12.3 inci serta skrin sesentuh 16.2 inci di tengah untuk infotainmen.

    Mengikut laporan daripada Car News China, Tank 500 dijual di sana pada harga 335,000 yuan (RM205,995). Jika masuk ke Malaysia nanti, anda rasa berapa harganya? Tank 300 dijual di sini pada harga RM250k.

     
     
  • Puspakom teruskan perkhidmatan sebagai pemegang lesen pemeriksaan kenderaan pertama di Malaysia

    Puspakom teruskan perkhidmatan sebagai pemegang lesen pemeriksaan kenderaan pertama di Malaysia

    Walau pun telah menamatkan gelaran sebagai penyedia tunggal perkhidmatan pemeriksaan kenderaan pada 31 Ogos lalu, kini Puspakom Sdn Bhd (Puspakom) memulakan operasi sebagai pemegang lesen pemeriksaan kenderaan yang pertama di Malaysia sejak 1 September 2024.

    Ketua Pegawai Eksekutif Puspakom, Mahmood Razak Bahman berkata, anugerah lesen operasi ini membuka peluang bagi Puspakom untuk menjadi entiti yang lebih lestari dan kompetitif dalam sektor automotif Malaysia.

    “Puspakom berbangga menjadi pemegang lesen pemeriksaan kenderaan pertama negara, dan akan terus mengekalkan misi kami untuk menjadikan pengangkutan jalan raya yang lebih selamat melalui pemeriksaan kenderaan. Ketika persiapan untuk menghadapi landskap yang kompetitif, kami telah merangka pelan yang komprehensif untuk penambahbaikan agar kami lebih bersedia pada masa hadapan. Ini termasuk naik taraf dalam perkhidmatan pelanggan, produk dan perkhidmatan baharu serta penggunaan Kecerdasan Buatan (AI) untuk menjadikan Puspakom bersedia untuk persaingan,” kata Mahmood.

    Puspakom teruskan perkhidmatan sebagai pemegang lesen pemeriksaan kenderaan pertama di Malaysia

    Tambahnya, Puspakom juga akan memanfaatkan pengalaman selama 30 tahun, digabungkan dengan teknologi, untuk kekal sebagai pilihan utama pelanggan di seluruh negara.

    “Persaingan bermakna, kami perlu lebih baik daripada syarikat lain, dan pengalaman tiga dekad Puspakom tidak dapat ditandingi. Apabila kami menggabungkannya dengan AI, kami dapat menjadikan perkhidmatan kami lebih cekap. Kecekapan bermakna kami dapat mengembalikan masa produktiviti kepada pelanggan, sambil menyediakan lebih banyak slot pemeriksaan kepada pasaran.

    “Suatu ketika dahulu, pemeriksaan kami mengambil masa lebih daripada 75 minit. Hari ini, dengan penggunaan teknologi serta aliran kerja yang lebih baik, secara purata kami menyelesaikan pemeriksaan dalam 34 minit. Puspakom tetap komited untuk menyediakan perkhidmatan terbaik meskipun kini berhadapan dengan pemain baru dalam industri pemeriksaan kenderaan,” kata Mahmood.

    Puspakom juga telah memulakan operasi selama 16 jam sehari sebagai percubaan di mana cawangan Glenmarie di Shah Alam kini beroperasi dalam dua syif, bermula pada jam 7 pagi sehingga 11 malam.

    “Percubaan operasi selama 16 jam ini adalah sebahagian daripada usaha kami untuk memperbaiki penyampaian perkhidmatan. Percubaan ini bertujuan untuk mengumpulkan data dari segi cabaran operasi dan penerimaan pelanggan. Walaupun cawangan Glenmarie hanya untuk kereta persendirian, ia akan membolehkan kami mendapatkan data yang diperlukan dan membuat penambahbaikan sebelum melaksanakannya di lebih banyak cawangan,” jelas Mahmood.

    Menurut Puspakom, waktu operasi yang lebih panjang akan dilaksanakan di kawasan tumpuan pasaran utama setelah fasa percubaan berjaya dan data yang diperoleh dikaji. Fasa percubaan di Glenmarie akan berakhir pada 3 Januari 2025.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (-0.04)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.90 (-0.04)
EURO 5 B7 RM3.10 (-0.04)
Last Updated Aug 14, 2025