Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Hyundai N Vision 74 sah akan diproduksi – termasuk dalam 21 model EV baharu dilancar menjelang 2030

    Hyundai N Vision 74 sah akan diproduksi – termasuk dalam 21 model EV baharu dilancar menjelang 2030

    Sekejap jadi, sekejap tak jadi. Namun dalam pembentangan Hari Pelabur Hyundai 2024 baru-baru ini, Hyundai akhirnya secara rasmi mengumumkan bahawa model konsep Hyundai N Vision 74 yang muncul pada 2022 bakal dihasilkan sebagai model produksi sebenar yang bakal dijual di bilik pameran!

    Model berkenaan tersenarai dalam 21 model EV baharu yang akan dilancarkan menjelang 2030. Namun Hyundai masih belum memperincikan anggaran masa sebenar bila ia akan dilancarkan dan juga unit rangkaian kuasa yang akan digunakan – sama ada serupa dengan versi konsep yang digerakkan oleh sel bahan api hidrogen untuk menggerakkan motor elektrik, atau EV penuh menggunakan bateri.

    Hyundai N vision 74 ini didedahkan pada Julai 2022, dan ia diumumkan sebagai ‘makmal ujian bergerak prestasi tinggi’ bagi membolehkan Hyundai menjalankan proses penyelidikan dan pembangunan unit rangkaian kuasa yang lebih jitu. Kereta konsep ini dibekalkan dengan dua motor elektrik untuk memacu gandar belakang yang berkuasa lebih dari 671 hp (500 kW) dan tork maksima melebihi 900 Nm, didakwa boleh mencapai kelajuan melebihi 250 km/j.

    Hyundai N Vision 74 sah akan diproduksi – termasuk dalam 21 model EV baharu dilancar menjelang 2030

    Motor elektrik tersebut menerima kuasa dari bateri berkapasiti 62.4 kWh bersama kebolehan mengecas cepat 800-volt. Manakala untuk sistem sel bahan api hidrogen yang digunakan untuk menghasilkan kuasa untuk disimpan pada bateri, ia menerima tangki berkapasiti 4.2 kg yang boleh dipenuhkan dalam masa 5 minit, dengan stack sel bahan api 85 kW (maksimum 95 kW). Ini membolehkan N Vision 74 tersebut bergerak dalam jarak lebih 600 km.

    Namun apa yang paling menarik adalah rekaan luarannya. Bentuk retro seperti mesin masa Delorean DMC 12 Doc Brown pada kereta konsep ini sebenarnya diilhamkan dari model konsep Hyundai Pony Coupe yang didedahkan pada 1974 direka oleh pereka lagenda Itali, Giorgetto Giurgaro. Hyundai menyatakan bahawa bentuk profil dinamik, permukaan dan tiang-B yang unik pada N Vision 74 ini ditiru terus dari Pony Coupe Concept 1974.

    Ia kemudiannya diberikan kit aerodinamik seakan kereta rali Group B era 80’an, menampilkan kesemua fender yang direka lebar dan berpetak, spoiler ‘sodok’ di hadapan, diffuser yang agresif pada bampar belakang serta spoiler belakang dengan sayap gergasi.

    Manakala lampu hadapan dan belakang dibentuk menyerupai lampu Pony Coupe Concept menggunakan susunan lampu Parametric Pixel seperti pada model EV produksi Hyundai Ioniq 5 dan Ioniq 6. Gril hadapan N Vision 74 ini juga menggunakan mesh seiras Pony Coupe. Manakala untuk roda, ia diberikan rim seakan rim kereta lumba jenis aerodisc era 80’an yang bersaiz besar, sesuai dengan rekaan kit aero retro yang diberikan.

    Beberapa khabar angin telah bertiup sebelum ini menyatakan bahawa model konsep ini akan dijelmakan dalam versi produksi sebenar, dan Hyundai kemudiannya mengeluarkan kenyataan untuk menafikannya. Jadi dengan pengumuman rasmi ini maka tamatlah sebarang spekulasi dan kita tunggu sahaja model sebenar disiapkan dan diperkenalkan dalam pasaran kelak.

     
     
  • Toyota Camry 2024 sudah mendarat di Singapura – hanya varian Elegance 2.5L hybrid berkuasa 231 PS

    Toyota Camry 2024 sudah mendarat di Singapura – hanya varian Elegance 2.5L hybrid berkuasa 231 PS

    Toyota Camry generasi ke-sembilan yang membuat kemunculan sulung globalnya pada November tahun lalu kini sudahpun tiba ke rantau Asia Tenggara, dengan Singapura menjadi pasaran pertama Camry dengan kod casis XV80 itu. Pada pasaran berkenaan, Camry ditawarkan hanya dalam satu varian iaitu Camry Elegance dengan harga SGD246,888 (sekitar RM821k) termasuk Sijil Hak Memiliki Kenderaan (COE).

    Model varian tunggal tersebut menerima unit rangkaian kuasa hibrid yang menggandingkan enjin A25A-FXS 2.5 liter empat silinder NA berkuasa 188 PS pada takat 6,000 rpm dan tork maksima 221 Nm bermula 3,200 hingga 5,200 rpm, bersama motor elektrik 1VM berkuasa 136 PS dan tork 208 Nm. Secara keseluruhan, Camry ini dibekalkan kuasa penuh 231 PS.

    Motor elektrik tersebut menerima tenaga dari bateri lithium ion, dan kuasa putaran dialihkan ke roda hadapan menerusi transmisi CVT elektronik. Had laju ditetapkan pada 180 km/j dan Camry hybrid ini menelan petrol hanya 5.1 liter untuk perjalanan 100 km. Dengan penghasilan emisi CO2 kini pada kadar 115 g/km membolehkan Camry tersebut berada dalam kelas A2 untuk Skim Emisi Kenderaan (VES) terkini di Singapura.

    Toyota Camry 2024 sudah mendarat di Singapura – hanya varian Elegance 2.5L hybrid berkuasa 231 PS

    Model generasi baharu ini menampilkan dimensi 4,920 mm panjang, 1,840 mm lebar, 1,455 mm tinggi dan jarak roda sejauh 2,825 mm. Jadi berbanding model generasi sedia ada yang masih dijual di Malaysia, Camry XV80 berkenaan adalah 35 mm lebih panjang, tetapi dimensi lain masih lagi sama.

    Camry pasaran Singapura ini hadir dengan rupa luaran yang sama seperti model yang diperkenalkan di Amerika Syarikat akhir tahun lalu. Ia menerima muka hadapan dengan rekaan ‘Jerung Hammerhead‘ seperti model-model baharu Toyota yang lain, menampilkan lampu utama berbentuk-C yang bersambung dengan lampu nyalaan siang dan gril hadapan.

    Manakala pada bampar hadapan ia diberikan gril bersaiz besar yang disertakan dengan tirai udara tersembunyi pada bahagian bawah. Sementara di belakang, ia turut menampilkan lampu yang juga menerima rekaan berbentuk-C, bersama penutup but yang direka terbina sekali bersama spoiler ‘ekor itik’.

    Toyota Camry 2024 sudah mendarat di Singapura – hanya varian Elegance 2.5L hybrid berkuasa 231 PS

    Antara kelengkapan standard yang dibekalkan pada Camry pasaran Singapura ini termasuk rim aloi 18-inci dengan tayar 235/45R18, lampu hadapan LED, lampu nyalaan signa LED, lampu kabus LED hadapan dan belakang, lampu belakang LED, pedal penukar gear, tempat duduk hadapan larasan kuasa, paparan head-up, paparan instrumen digital dengan skrin 12.3-inci, mod pemanduan Eco, Normal dan Sport, penderia hujan, upholsteri kulit, pendingin hawa tiga zon, dan bumbung suria panaromik.

    Ia juga diberikan skrin infotaimen bersaiz 12.3-inci yang menyokong fungsi Apple CarPlay tanpa wayar dan Android Auto, dan bunyinya disalurkan menerusi sistem audio JBL dengan sembilan pembesar suara.

    Sedan segmen-D ini turut menerima kabin belakang yang mewah, disertakan dengan perincian seperti panel kawalan sesentuh bina-dalam pada perehat tangan untuk melaras sudut tempat duduk, pelindung cahaya cermin belakang, pendingin hawa dan juga sistem audio. Manakala ruang but pula menyediakan ruang seluas 500 liter.

    Bagi kelengkapan keselamatan, Camry ini diberikan dengan lapan beg-udara secara standard, dan diberikan sistem bantuan pemanduan seperti brek kecemasan automatik, (dengan parking support), cruise control adaptif, bantuan pengesan lorong, amaran keluar lorong, lampu tanggi automatik, pemantau titik buta, kamera 360-darjah dan pengenal tanda trafik.

    Sebanyak sembilan warna badan ditawarkan untuk Camry pasaran Singapura ini iaitu Platinum White Pearl Mica, Silver Metallic, Precious Metal, Attitude Black Mica, Emotional Red 3, Previous Bronze dan Dark Blue Mica. Sementara kabin pula boleh dipilih dalam tiga tema warna iaitu Fromage, Hitam dan Kuning Perang.

    Di Malaysia pasaran sedan segmen-D dilihat semakin terancam di mana tempatnya kini sedang beransur-ansur diganti dengan lambakan model-model SUV dan juga sedan jenama premium dari Eropah yang kini ditawarkan pada julat harga lebih kurang sama.

    Nissan Teana sudah lama tiada, manakala jualan Honda Accord juga telah dihentikan dari pasaran Malaysia mulai tahun ini. Dengan saingan hanya tinggal dari Volkswagen Arteon dan Mazda 6 yang kedua-duanya juga dilihat berada ‘di penghujung usia’, adakah UMW Toyota berminat untuk membawa masuk Camry XV80 ini bagi menggantikan model XV70 yang menerima facelift kali terakhir pada 2022?

     
     
  • Porsche Macan Turbo 2024 di Malaysia — 639 PS, 0-100 km/j 3.3 saat, jarak 591 km WLTP; dari RM635k

    Porsche Macan Turbo 2024 di Malaysia — 639 PS, 0-100 km/j 3.3 saat, jarak 591 km WLTP; dari RM635k

    Jun lalu, Sime Darby Auto Performance (SDAP) mempertontonkan buat pertama kali model Porsche Macan Turbo 2024 dengan maklumat awal untuk pasaran Malaysia: model yang kini telah beralih sepenuhnya menjadi model EV. Empat varian ditawarkan untuk model ini, dan unit yang ditampilkan ini merupakan varian paling tinggi, Turbo dengan harga jualan RM635,000.

    Di bawahnya ada pula Macan 4S dengan harga RM525,000, Macan 4 dengan harga RM445,000 dan Macan yang paling asas dengan harga RM430,000. Dengan adanya insentif EV ketika ini, versi elektrik sepenuhnya ini adalah lebih murah berbanding Macan generasi pertama terdahulu, dengan enjin pembakaran dalaman, yang dijual antara harga RM469,000 dan RM895,000.

    Dibangun menggunakan Premium Platform Electric (PPE), Macan menampilkan senibina 800V membolehkannya menggunakan penyerap hentak suspensi udara dengan dua-injap, yang merupakan kawalan penyerap hentak elektronik Porsche Active Suspension Management (PASM) buat pertama kali sebagai ciri standardnya.

    Porsche Macan Turbo 2024 di Malaysia — 639 PS, 0-100 km/j 3.3 saat, jarak 591 km WLTP; dari RM635k

    Secara ringkas, perbezaan bagi setiap varian adalah seperti berikut:

    Macan Turbo

    • Output motor elektrik: 584 PS (577 hp atau 430 kW); 639 PS (630 hp atau 470 kW) dan 1,130 Nm dengan overboost; AWD
    • Pecutan 0-100 km/j: 3.3 saat
    • Laju maksimum: 260 km/j
    • Bateri: 100 kWh kasar (95 kWh boleh guna) nickel manganese cobalt (NMC)
    • Jarak (WLTP): 591 km
    • Pengecasan AC: 11 kW; 0-100% SoC dalam 10 jam
    • Pengecasan DC: 270 kW; 10-80% dalam 21 minit
    • Cukai jalan (berdasarkan output nominal): RM1,240

    Macan 4S

    • Output motor elektrik: 448 PS (443 hp atau 330 kW); 516 PS (510 hp atau 380 kW) dan 820 Nm dengan overboost; AWD
    • Pecutan 0-100 km/j: 4.1 saat
    • Laju maksimum: 240 km/h
    • Bateri: 100 kWh kasar (95 kWh boleh guna) nickel manganese cobalt (NMC)
    • Jarak (WLTP): 606 km
    • Pengecasan AC: 11 kW; 0-100% SoC dalam 10 jam
    • Pengecasan DC: 270 kW; 10-80% dalam 21 minit
    • Cukai jalan (berdasarkan output nominal): RM665

    Macan 4

    • Output motor elektrik: 387 PS (382 hp atau 285 kW); 408 PS (402 hp atau 300 kW) dan 650 Nm dengan overboost; AWD
    • Pecutan 0-100 km/j: 5.2 saat
    • Laju maksimum: 220 km/h
    • Bateri: 100 kWh kasar (95 kWh boleh guna) nickel manganese cobalt (NMC)
    • Jarak (WLTP): 613 km
    • Pengecasan AC: 11 kW; 0-100% SoC dalam 10 jam
    • Pengecasan DC: 270 kW; 10-80% dalam 21 minit
    • Cukai jalan (berdasarkan output nominal): RM515

    Macan

    • Output motor elektrik: 340 PS (335 hp atau 250 kW); 360 PS (355 hp atau 265 kW) dan 563 Nm dengan overboost; RWD
    • Pecutan 0-100 km/h: 5.7 saat
    • Laju maksimum: 220 km/h
    • Bateri: 100 kWh kasar (95 kWh boleh guna) nickel manganese cobalt (NMC)
    • Jarak (WLTP): 641 km
    • Pengecasan AC: 11 kW; 0-100% SoC dalam 10 jam
    • Pengecasan DC: 270 kW; 10-80% dalam 21 minit
    • Cukai jalan (berdasarkan output nominal): RM395

    Porsche Macan Turbo 2024 di Malaysia — 639 PS, 0-100 km/j 3.3 saat, jarak 591 km WLTP; dari RM635k

    Dari segi dimensi, Macan generasi kedua lebih besar daripada model terdahulunya, dengan ukuran 4,784 mm panjang (+58 mm), 1,938 mm lebar (+11 mm), 1,622 mm tinggi (+26 mm) dan jarak roda 2,893 mm (+86 mm). Saiz lebih besar ini memberi kelebihan kepada ruang: 540 liter berbanding 488 liter sebelumnya. Dengan kerusi belakang direbahkan, ruang barangan akan menjadi seluas 1,348 liter.

    Dengan ketiadaan enjin pula memberikan ruang tambahan 84 liter di depan, yang boleh dibuka dengan hanya menggerakkan tangan di lencana Porsche — gerakan yang sama juga akan membuka dua pintu pengecas di setiap sisinya.

    Dari segi rekaan, Macan generasi kedua ini tampil dengan garis bumbung yang lebih rendah ala 911, menjadikannya berimej SUV lebih sporty. Bahagian depan juga dengan bahagian utama lebih rendah, dengan bukaan sayap lebih ketara dan disertai rekaan lampu utama terpisah. Kluster empat lampu di atas itu adalah LED DRL, dengan lampu utamanya diletakkan di kedudukan lebih rendah. Bagi varian Turbo, tirai udaranya lebih kelihatan dan disertakan dengan bilah warna badan.

    Di belakang, lampu LED lebar penuh dengan ejaan Porsche mendominasi. Sedikit di atas, terletak spoiler adaptif yang akan diaktifkan ketika memerlukan lebih banyak downforce dan akan tersorok sekiranya tidak diperlukan. Dengan bukaan aktif penyejukan di bahagian depan, pelindung fleksibel di bahagian bawah badan kereta yang tertutup penuh serta tirau udara dan diffuser menjadikan bacaan rintangan anginnya 0.25.

    Di dalam, Macan meminjam banyak persamaan dengan kabin Taycan, misalnya dengan kehadiran tiga paparan di papan pemuka. Dua daripadanya adalah ciri standard: kluster instrumen melengkung 12.6-inci serta skrin sentuh di tengah 10.9-inci. Sebagai pilihan, skrin sentuh untuk penumpang bersaiz 10.9-inci boleh ditambah.

    Porsche Macan Turbo 2024 di Malaysia — 639 PS, 0-100 km/j 3.3 saat, jarak 591 km WLTP; dari RM635k

    Satu ciri baru yang pertama kali ditampilkan untuk Macan ialah head-up display dengan augmented realiti yang boleh memancarkan imej kepada pemandu dengan jarak 10 meter dan bersamaan dengan saiz paparan 87-inci. Infotainmen dikenalikan oleh Porsche Communication Management (PCM) yang kini menggunakan Android Automotive OS. Fungsi seperti bantuan suara digital Hey Porsche, aplikasi boleh dimuat turun serta kesepaduan Apple CarPlay dan Android Auto turut tersedia.

    Pilihan kustom juga banyak disediakan, termasuklah 72 pilihan warna badan (13 standard dan 59 istimewa) serta lapan rekaan rim. Ruang dalaman juga diberikan lapan pilihan warna dengan tujuh pakej dan empat pakej kemasan.

     
     
  • SAIC Malaysia perluas rangkaian pengedar MG — lokasi di Puchong, Skudai, Juru, Alor Setar, Sibu, Miri

    SAIC Malaysia perluas rangkaian pengedar MG — lokasi di Puchong, Skudai, Juru, Alor Setar, Sibu, Miri

    SAIC Motor Malaysia telah mengumumkan penambahan lima cawangan dalam rangkaian pengedar jenama MG di seluruh negara, melibatkan kawasan Utara dan Pantai Timur di Semenanjung Malaysia, serta di Malaysia Timur menjelang hujung tahun ini.

    Rangkaian jualan dan servis MG ketika ini mempunyai 14 bilik pameran dan lapan pusat servis di seluruh negara. Ketika preview model MG5 dan MG HS minggu lalu, SAIC Motor Malaysia memaklumkan sasaran untuk mempunyai 35 lokasi rangkaiannya di seluruh negara menjelang penghujung 2025.

    “Kami berbesar hati mengalu-alukan semua pengedar yang terlibat ke dalam keluarga MG. Kesungguhan serta kepakaran mereka selari dengan misi kami untuk memberikan pengalaman MG yang tersendiri kepada semua pelanggan. Dengan perluasan rangkaian pengedar ini, ia akan memudahkan lagi capaian terhadap model terkini kami, membolehkan lebih ramai pelanggan melihat sendiri kualiti dan inovasi yang dibawa oleh MG,” ujar Pengarah Urusan SAIC Motor Malaysia, Steven Du.

    SAIC Malaysia perluas rangkaian pengedar MG — lokasi di Puchong, Skudai, Juru, Alor Setar, Sibu, Miri

    Lima cawangan yang dimaksudkan ialah:

    SV Auto Haus Sdn. Bhd. (MG Motor Puchong)
    GF-4, Tower 2 @ PFCC, Jalan Puteri 1/2,
    Bandar Puteri Puchong, 47100 Puchong, Selangor
    Operating hours: Mon-Sat (9am-6pm), Sun & PH (10am-5pm)

    YM MG Auto Sdn Bhd (MG Motor Skudai)
    No. 11, Jalan Tun Abdul Razak (Susur 4), Pusat Bandar, 80000, Johor Bahru
    Operating hours: Mon-Sat (9am-7pm), Sun & PH (10am-7pm)

    Weststar Technics Sdn Bhd (MG Motor Juru)
    Lot 1810 & 1811, Jalan Perusahaan Auto City,
    North-South, Juru Interchange, 13600 Prai, Penang
    Operating hours: Mon-Sat (9am-5.30pm), Sun & PH (10am-4pm)

    Auto Galery Group of Companies (MG Motor Alor Setar) — beroperasi pertengahan September
    Lot 10201, Susuran Kerabung, Off Persiaran Bandar Baru Mergong,
    05150 Bandar Baru Mergong, Alor Setar, Kedah
    Operating hours: Mon-Sat (9am-5.30pm), Sun & PH (10am-4pm)

    Borneoland Automobile Sdn Bhd (MG Motor Sibu & Miri) — beroperasi pertengahan September/awal Oktober

    MG5 2024

    MG HS Standard

    MG HS Lux

    MG Cyberster 2024

     
     
  • smart #5 didedahkan – SUV bersaiz besar lima tempat duduk, rupa lasak, jarak gerak CLTC sehingga 740 km

    smart #5 didedahkan – SUV bersaiz besar lima tempat duduk, rupa lasak,  jarak gerak CLTC sehingga 740 km

    Jenama subsidiari Mercedes-Benz iaitu smart seringkali dikaitkan dengan model-model kompak bagi kegunaan bandar seperti smart fortwo. Namun bagi model terbaharu smart yang dibina bersama Geely selepas #1 dan #3 dikenali sebagai #5, smart nampaknya bukan lagi jenama yang fokus terhadap kenderaan bersaiz kecil.

    Ini kerana selepas membuat kemunculan sulung global di Australia hari ini, smart #5 didedahkan sebagai sebuah SUV dengan saiz lebih besar dari Honda CR-V, menampilkan panjang keseluruhan 4,705 mm dan juga jarak roda sejauh 2,900 mm! Namun SUV ini hanya hadir dalam konfigurasi lima-tempt duduk, tanpa varian dengan tiga-baris tempat duduk.

    Rekaan bagi smart #5 ini juga berbeza dengan #1 dan #3, di mana kedua-dua SUV awalan tersebut tampil dengan rupa seperti batu pantai, sementara #5 direka dengan imej SUV lebih lasak dengan rupa asas seperti Mercedes-Benz GLB.

    smart #5 didedahkan – SUV bersaiz besar lima tempat duduk, rupa lasak,  jarak gerak CLTC sehingga 740 km

    Juga tiada lampu nipis dan tirus pada bahagian muka dan belakang #5 ini, sebaliknya ia menerima lampu dengan rekaan lebih bersegi. Manakala rekaan gril kemasan perak pada bahagian bampar hadapan pula tampil seakan bullbar, dan ia diserasikan dengan panel skid plate belakang yang bersaiz besar.

    Pengaruh Mercedes-Benz GLB jelas pada bahagian sisi, terutamanya pada bahagian tiang-D yang nampak bersegi. Identiti smart yang dikekalkan pada #5 ini termasuk pintu yang direka tanpa kerangka cermin, pembuka pintu yang tenggelam, dań juga bahagian sisi ringkas tanpa garis-garis badan yang rumit.

    Set rim bersaiz besar dipadankan pada SUV ini, dipadankan bersama penutup tengah dengan logo smart “terapung” yang kekal pada kedududkannya walaupun roda berputar.

    Model ini turut ditawarkan dalam versi #5 Summit Edition yang nampak lebih lasak. Ia didatangkan dengan pakej Adventurers’ Collection, menampilkan aksesori off-road seperti rak bumbung bersama tangga sisi dan bar lampu, pemijak kaki sisi, cangkuk penunda yang boleh disorok berkuasa elektrik dan juga pelindung-pelindung bawah badan.

    Menurut smart, #5 ini mempunyai kemampuan menunda sehingga 1,600 kg. Namun spesifikasi teknikalnya masih belum diumum penuh. Dibangunkan dengan asas elektrikal 800-watt (pertama untuk smart) dan juga bateri 100 kWj, smart #5 ini boleh bergerak sejauh 740 km dalam kitaran ujian CLTC, dan juga teknologi pengecas ultra-pantas 4C.

    Dalam laman sesawang rasmi Kementerian Industri dan Teknologi Maklumat (MIIT) China ada mendedahkan bahawa ia ditawarkan dalam tiga varian unit rangkaian kuasa, bermula dengan model motor tunggal pacuan roda belakang berkuasa 363 PS, model dwi motor pacuan semua roda berkuasa 587 PS, dan varian dengan lencana Brabus juga dwi-motor AWD dengan kuasa keseluruhan 636 PS.

    smart #5 didedahkan – SUV bersaiz besar lima tempat duduk, rupa lasak,  jarak gerak CLTC sehingga 740 km

    Pada bahagian kabin, papan pemuka dengan rekaan asas seperti oblong smart #5 ini menampilkan tiga skrin utama yang terdiri dari skrin paparan instrumen 10.3-inci, dan juga sepasang skrin berkembar 13-inci AMOLED beresolusi 2.5k masing-masing terletak di bahagian tengah dan penumpang hadapan.

    Skrin infotainmen tersebut menggunakan antara muka “Crystal Prism” menampilkan avatar baharu iaitu Leo si Singa bagi menggantikan avatar musang dan cheetah masing-masing dalam #1 dan #3, dihasilkan menerusi grafik 3D dinamik yang dibina pada menggunakan Unreal Engine.

    Ia dikuasakan oleh cip AMD V2000 baharu yang dikatakan menawarkan hampir dua kali ganda kuasa pengkomputeran berbanding cip Snapdragon 8295 dari Qualcomm. Sistem ini juga dipadankan dengan fungsi arahan suara yang digabung bersama AI.

    smart #5 didedahkan – SUV bersaiz besar lima tempat duduk, rupa lasak,  jarak gerak CLTC sehingga 740 km

    Selain skrin instrumen, pemandu juga diberikan paparan head-up AR bersaiz 25.6-inci. Manakala untuk hiburan, smart #5 ini disertakan dengan sistem bunyi signatur dari Senheiser menampilkan 20-pembesar suara termasuk pembesar suara tengah boleh keluar dari papan pemuka, dan juga pembesar suara mudas alih yang boleh dipadankan dengan projektor 1080p bina dalan.

    Bahagian dalam SUV ini juga diberikan tempat duduk hadapan yang boleh dibaringkan sehingga 121 darjah balutan kulit, tempat duduk belakang yang juga boleh dibaringkan dan datang bersama “mod comfort kawalan satu-butang” yang membolehkan ruang kaki dilaras lebih luas.

    Manakala untuk ruang but pula, ia menyediakan storan berkapasiti 1,530 liter tidak termasuk ruang storan tambahan bawah lantai berkapasiti 110 liter dan juga but pada bahagian hadapan dengan ruang tambahan 72-liter.

     
     
  • Xpeng Bermaz pertimbang projek CKD di Malaysia

    Xpeng Bermaz pertimbang projek CKD di Malaysia

    Xpeng memasuki pasaran Malaysia dengan model pertamanya, G6, iaitu sebuah SUV elektrik penuh berharga RM165,820 yang akan bersaing dengan Tesla Model Y – kedua-duanya diimport terus (CBU) dari China. Menurut laporan sebelum ini, Tesla memang tidak mempunyai perancangan untuk membuka kilang di Malaysia, tetapi bagi Xpeng, terdapat kemungkinan modelnya akan dipasang di sini kemudian nanti.

    Perkara ini diketahui sewaktu sidang media yang dibuat selepas G6 dilancarkan Selasa lalu, di mana soalan sama ada Xpeng Bermaz mempunyai rancangan untuk pemasangan tempatan (CKD) diajukan kepada panel yang hadir.

    “Seperti yang anda tahu, kenderaan EV sangat berbeza dengan kenderaan ICE. Sehingga kerajaan umumkan polisi yang jelas, barulah pemain industri akan memikirkan secara cermat, kerana seperti yang anda tahu, jumlah jualan masih tidak cukup. Tidak masuk akal untuk CKD,” kata CEO kumpulan Bermaz Auto Group, Datuk Francis Lee Kok Chuan.

    “Bateri menyumbang kepada 30-40% daripada kos sebuah kereta, jadi adakah anda bersedia untuk membuka kilang bateri di sini? Rasanya tidak, jadi dari mana anda nak dapat lokalisasi tersebut? Anda akan dapat daripada cermin, tayar, rim, kemasan dalaman, tempat duduk – ini adalah perkara biasa yang dibuat. Tapi berapa banyak lokalisasinya, kami tidak tahu,” tambah beliau.

    “Sudah tentu, kami juga tidak mengabaikan ruang ini. Kami juga sedang berbincang dengan Xpeng untuk langkah seterusnya berkenaan CKD, tetapi kami perlu bersedia. Seperti yang anda tahu, CKD mengambil masa lama untuk berhasil, jadi kami perlu rancang sekarang. Malah, kami sedang berbincang dengan Xpeng berkenaan projek CKD sekarang. Mereka akan menghantar satu pasukan ke sini untuk melawat kilang dan melihat bagaimana sesuatu boleh dibuat,” kata Lee.

    Untuk masa sekarang, Bermaz Auto memasang Kia Carnival dan Sorento (dijual oleh Dinamikjaya Motors) serta beberapa model Mazda (dijual oleh Bermaz Motor) di kilang Inokom di Kulim, Kedah. Jika G6 dipasang di dalam negara, ia akan menjadi EV pertama syarikat itu yang dipasang di sini dan akan membawa manfaat lain.

    Berdasarkan insentif EV yang ditawarkan oleh kerajaan sekarang, EV CBU dikecualikan daripada cukai import dan duti eksais sehingga 31 Disember 2025. Sementara itu, EV CKD pula mendapat pengecualian cukai sehingga 31 Disember 2027 – komponen yang digunakan untuk EV pemasangan tempatan juga dikecualikan daripada cukai sehingga tempoh sama.

     
     
  • Proton ingin kukuhkan posisi di M’sia Timur menerusi X70 2025 – sumbang 24% perkongsian pasaran

    Proton ingin kukuhkan posisi di M’sia Timur menerusi X70 2025 – sumbang 24% perkongsian pasaran

    Susulan pelancaran rasmi Proton X70 facelift 2025 pada 15 Ogos lalu, buat pertama kalinya Proton telah mengadakan majlis pelancaran berasingan SUV ini untuk pasaran Malaysia Timur, dengan memilih Kota Kinabalu, Sabah, sebagai lokasinya.

    Dalam majlis yang berlangsung semalam, Roslan Abdullah, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Proton berkata, Malaysia Timur juga merupakan pasaran penting buat jenama ini. “Sejak tahun 2018 hingga Julai 2024, jumlah jualan model Proton di Sabah meningkat sebanyak 214%, iaitu daripada 3093 unit kepada 9697 unit. Manakala untuk Sarawak pula, ia juga meningkat sebanyak 98%, dari 3621 unit kepada 7176 unit.

    “Sehingga ke tarikh berkenaan, pasaran Malaysia Timur telah menyumbang sebanyak 10,159 unit atau meningkat sebanyak 151%, sekaligus menyumbang sebanyak 24%, naik sebanyak 15%, untuk keseluruhan perkongsian pasaran untuk Proton di Malaysia.”

    Tambah Roslan, Saga juga mendahului keseluruhan barisan model Proton di pasaran Malaysia Timur, dengan jualannya mencecah 1,000 unit sebulan pada tahun ini, berbanding sekitar 163 unit pada tahun 2018. Malahan Saga juga dinobatkan sebagai kereta terlaris secara keseluruhan di Sabah pada tahun 2021 dan 2023.

    Untuk Sabah dan Sarawak, X70 facelift 2025 juga ditawarkan dengan empat varian berbeza bermula Standard dijual pada harga RM100,800, Executive berharga RM112,800, Premium berharga RM125,800 dan Premium X berharga RM128,800. Kesemua angka yang dinyatakan ada harga atas jalan tanpa insuran. Harga tersebut adalah RM2,000 lebih tinggi berbanding yang ditawarkan untuk pasaran Semenanjung Malaysia.

    Kesemua varian Proton X70 facelift ini dijana oleh enjin 1.5 liter tiga-silinder turbo dengan sistem suntikan bahan api terus (T-GDi) yang menghasilkan kuasa 177 PS dan tork maksima 255 Nm. Kuasa disalurkan hanya pada roda hadapan menerusi kotak gear klac berkembar automatik tujuh-kelajuan 7DCT yang telah dikemaskini.

    Antara elemen baharu yang ditampilkan pada bahagian luarannya ialah bampar hadapan, fender sisi, lampu utama, gril dan juga penutup bonet dengan hampir kesemua rekaan yang disalin dari Geely Boyue facelift yang didedahkan pada 2022.

    Untuk kabinnya pula, rekaan asas yang masih sama seperti sebelum ini, tetapi diberikan beberapa kemasan dan tema warna berbeza bagi menyegarkan penampilannya, bersama pelbagai tingkat taraf kelengkapan yang lebih baik. Antara ciri yang dipertingkatkan termasuklah roda stereng, kluster paparan instrumen kombinasi digital LCD dan skrin untuk sistem infotaimen kini bersaiz 12.3-inci.

    Proton ingin kukuhkan posisi di M’sia Timur menerusi X70 2025 – sumbang 24% perkongsian pasaran

    Bagi aspek keselamatan pula, antara ciri yang ada ialah kunci automatik ketika pengguna menjauhi kenderaan, pintu tailgate bukaan tanpa sentuh automatik (tiada lagi penderia bukaan kaki) kamera 360-darjah yang jelas serta diberikan sistem pemantau tekanan tayar (TPMS), dan juga sistem-sistem keselamatan pasif yang ada sama seperti sebelum ini.

    Untuk sistem keselamatan aktif pula, sistem bantuan pemanduan termaju (ADAS) turut diberikan untuk varian Premium dan Premium X. Sistem ini diberikan 13 fungsi bagi membolehkan ia kini mencapai pemanduan autonomi Tahap 2, berbanding hanya Tahap 1 pada model sebelum ini. Antara fungsi tersebut ialah brek kecemasan automatik (AEB) dan amaran perlanggaran depan; ACC dengan Stop/Go+ Intelligent Cruise Control; amaran penukaran lorong, penghindar penukaran lorong dan beberapa ciri lain.

    “Kami sangat teruja untuk memperkenalkan Proton X70 2025 ke Malaysia Timur, yang juga penting kerana mempunyai peluang untuk meningkatkan bahagian pasaran. Dengan pelancaran X70 2025 di sini, ia juga dapat membantu Proton untuk memperkukuh komitmen dan posisi kami di Malaysia Timur. Malahan kami juga menaruh harapan agar X70 2025 ini mampu menerajui pasaran SUV premium di Malaysia Timur,” kata Dr Li Chunrong, Ketua Pegawai Eksekutif, Proton.

    GALERI: Proton X70 2025 Premium X

    GALERI: Proton X70 2025 Premium

    GALERI: Proton X70 2025 Executive

     
     
  • Harga minyak 29 Ogos-4 Sept – petrol RON97 dan diesel masing-masing turun 5 sen seliter

    Harga minyak 29 Ogos-4 Sept – petrol RON97 dan diesel masing-masing turun 5 sen seliter

    Bagi tempoh 29 Ogos hingga 4 September 2024, Kementerian Kewangan (MOF) mengumumkan bahawa harga runcit bagi diesel di Semenanjung diturunkan lagi sebanyak 5 sen seliter, menjadi RM3.18 seliter. Walau bagaimana pun harga diesel untuk Sabah dan Sarawak masih dikekalkan pada RM2.15 seliter.

    Manakala untuk tempoh yang sama, petrol RON 97 juga diturunkan 5 sen seliter, kini menjadi RM3.42 seliter. Manakala harga runcit bagi RON 95 yang telah mencapai harga siling masih dikekalkan pada paras RM2.05 seliter.

    Pertengahan Julai lalu, Kementerian Ekonomi berkata, buat masa ini, kerajaan masih meneliti dan menilai semula subsidi dan bantuan yang diberikan kepada rakyat termasuk petrol RON95.

    “Kerajaan juga sedang meneliti keperluan pelaksanaan rasionalisasi subsidi ke atas petrol RON95. Walau bagaimanapun, buat masa ini, tumpuan dan keutamaan akan diberikan kepada pelaksanaan subsidi diesel sehingga penyasaran subsidi diesel menjadi stabil, sekaligus mencapai objektif yang ditetapkan.
    Kerajaan pada masa ini masih meneliti dan menilai semula subsidi dan bantuan yang diberikan kepada rakyat, termasuk petrol RON95,” katanya.

     
     
  • BYD e6 MPV elektrik dilihat di Malaysia — untuk kegunaan dalaman; akan dijual di sini atau tidak?

    BYD e6 MPV elektrik dilihat di Malaysia — untuk kegunaan dalaman; akan dijual di sini atau tidak?

    BYD e6 kini sudah mula dilihat di Malaysia, dua tahun selepas ia diumumkan akan tiba untuk pasaran di sini. Unit dalam gambar ini dilihat diletak di luar bilik pameran BYD di Ara Damansara, dengan sebuah lagi unit warna biru yang ada berdekatan, di dalam premis. Kedua-duanya belum didaftarkan dan didakwa untuk kegunaan dalaman syarikat.

    Masih belum diketahui sama ada MPV elektrik generasi kedua ini akan dijual di sini ataupun tidak. Pada September 2022, model ini beserta Atto 3 disahkan akan menjadi model terawal BYD untuk pasaran Malaysia. Atto 3 dilancarkan pada Disember tahun yang sama, tetapi e6 tidak dapat dipastikan statusnya sejak itu.

    BYD e6 MPV elektrik dilihat di Malaysia — untuk kegunaan dalaman; akan dijual di sini atau tidak?

    Kemudian, Dolphin dan Seal pula dilancarkan. Selepas itu, model BYD M6 yang merupakan versi lain bagi e6 pula disebut-sebut akan menjadi MPV lima-tempat duduk untuk pasaran ini — kemungkinan untuk kegunaan komersial, misalnya untuk program Teksiku. Namun, tiada apa-apa perkembangan susulan itu.

    Menggunakan asal model Song Max, MPV berkenaan pernah dijual di pasaran Singapura pada 2021, begitu juga di Thailand. Dikuasakan oleh motor elektrik di depan dengan janaan kuasa 95 PS (94 hp atau 70 kW) dan 180 Nm, ia dilengkapi bateri lithium iron phosphate (LFP) Blade 71.7 kWh, yang menawarkan jarak 520-522 km (WLTP dalam bandar) atau 415 km (WLTP gabungan) dengan satu cas penuh.

    BYD e6 MPV elektrik dilihat di Malaysia — untuk kegunaan dalaman; akan dijual di sini atau tidak?

    Untuk pengecasan, e6 dilengkapi dengan pengecas dalaman 40 kW AC (Type 2), membolehkan ia dicas dalam masa 1.8 jam. Pengecasan pantas DC (CCS2) pula dengan kadar 60 kW membolehkan pengecasan dalam masa 1.5 jam. Jadi, MPV ini akan diperkenalkan secara rasmi di sini atau tidak?

     
     
  • Jalan Masjid India ditutup kepada lalulintas susulan tanah mendap, akan luaskan penutupan jalan – polis

    Jalan Masjid India ditutup kepada lalulintas susulan tanah mendap, akan luaskan penutupan jalan – polis

    Susulan tanah mendap yang dikesan pada awal pagi tadi berdekatan sebuah pondok polis iaitu pada jarak kira-kira 50 meter dari lokasi insiden tanah jerlus di Jalan Masjid India, Kuala Lumpur, baru-baru ini, keseluruhan jalan terbabit kini ditutup kepada lalulintas.

    Bernama melaporkan pita kuning Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut dipasang sepanjang jalan dari Masjid India hingga Maybank di Jalan Bunus. Bagaimanapun, pejalan kaki masih dibenar melalui sebahagian jalan itu yang tidak terjejas manakala kedai di kawasan sekitar dibuka seperti biasa.

    Menurut Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Suliezmy Affendy Sulaiman,perbincangan sedang dilakukan untuk memperluas penutupan jalan dan perkembangan lanjut akan dimaklum kemudian.

    Insiden tanah jerlus pada Jumaat lalu menyebabkan seorang wanita dikenali sebagai Vijayaletchumy, 48 tahun, dari India hilang selepas terjatuh ke lubang sedalam lapan meter dengan operasi mencari dan menyelamat mangsa memasuki hari keenam hari ini.

     
     
  • Xpeng tidak akan terlibat dengan perang harga di M’sia — tiada diskaun, harga bahkan mungkin naik nanti

    Xpeng tidak akan terlibat dengan perang harga di M’sia — tiada diskaun, harga bahkan mungkin naik nanti

    Ketika pengenalan Xpeng G6 semalam, pengedarnya Xpeng Bermaz menegaskan yang syarikat itu tidak akan terlihat dengan perang harga yang sedang menjadi amalan pengeluar kenderaan di China ketika ini.

    Dalam tempoh beberapa bulan lalu, banyak syarikat memotong harga jualan bagi model kenderaan mereka, terutama sekali jenis NEV (termasuk hibrid dan EV) di China untuk mengukuhkan kedudukan jualan dalam pasaran. Perkara sama juga telah berlaku di Malaysia, seperti yang dapat dilihat melalui tindakan Tesla dan smart melalui model-model yang diperkenalkan di sini.

    CEO Bermaz Auto Group, Datuk Francis Lee Kok Chuan bagaimanapun percaya yang harga Xpeng G6 adalah sangat kompetitif dan akan diterima oleh pelanggan. Ketika pelancaran, G6 dijual dengan harga bermula RM165,820 atas jalan tidak termasuk insurans untuk varian asas 580 Pro, manakala varian paling tinggi 755 Pro dengan harga RM185,820.

    Xpeng tidak akan terlibat dengan perang harga di M’sia — tiada diskaun, harga bahkan mungkin naik nanti

    Beliau juga menegaskan yang Bermaz tidak akan memberikan potongan harga kepada kereta baru dalam masa terdekat untuk menjaga nilai jangka panjang kenderaan pelanggan. Malahan, menurut beliau, ada kemungkinan yang harga kenderaan Xpeng akan naik di masa hadapan, selari dengan peningkatan kemaskini dan kelengkapan yang diberikan kelak.

    Berkaitan angka jualan pula, beliau tidak menyebut sebarang angka, sebaliknya menekankan yang syarikat itu akan memberi perhatian terhadap pembangunan jenama terlebih dahulu berbanding jualan dan keuntungan dalam masa terdekat. “Mengapa Bermaz memilih Xpeng sebagai rakan niaga dan bukannya jenama kenderaan China yang lain adalah kerena Xpeng tidak menekankan perihal jualan. Kebanyakan pengeluar China meletakkan jualan sebagai keutamaan. Di sini, kita bahkan belum ada prasarana yang cukup untuk EV,” ujarnya.

    “Kami ingin membangunkan sebuah jenama kenderaan, dan ingin memastikan mampu menampung dan memenuhi keperluan pelanggan terlebih dahulu. Kami memilih Xpeng kerena kedua-dua syarikat mempunyai matlamat dan falsafah yang sama: mengutamakan pelanggan terlebih dahulu sebelum yang lainnya,” tambahnya lagi.

     
     
  • Yamaha MT-09 automatik Y-AMT dilancar di Thailand – harga lebih mahal daripada MT-09 versi prestasi, SP

    Yamaha MT-09 automatik Y-AMT dilancar di Thailand – harga lebih mahal daripada MT-09 versi prestasi, SP

    Beberapa bulan lalu Yamaha memperkenalkan inovasi baru mereka kepada dunia, iaitu transmisi automatik Y-AMT untuk motosikal, dan antara model terawal yang menggunakannya adalah MT-09. Ia sudah memasuki beberapa pasaran, termasuk negara jiran, Thailand.

    Melalui transmisi Y-AMT ini, tiada lagi tuil klac di sebelah kiri pemegang, dan penunggang boleh menukar gear dengan hanya menekan butang naik dan turun di bahagian kiri pemegang, atau membiarkan transmisi itu menukar gear secara sendiri kerana ia adalah transmisi automatik.

    Selain daripada transmisi itu, spesifikasi MT-09 ini kebanyakannya adalah sama dengan MT-09 biasa, jadi kami tertarik untuk melihat perbezaan harganya. Di Thailand, MT-09 tersedia dalam tiga versi, iaitu Standard, SP dan Y-AMT, dengan harga masing-masing adalah 447,000 baht (RM57,000), 489,000 baht (RM62,400) dan 519,000 baht (RM66,212).

    Seperti yang anda boleh lihat, harga MT-09 Y-AMT bukan setakat lebih tinggi daripada versi standard yang mempunyai spesifikasi sama, malahan sekitar RM4k lebih mahal berbanding MT-09 SP yang datang dengan fork Kayaba, monoshock Ohlins, quickshifter serta brek Brembo Stylema.

    Ini sekaligus menimbulkan persoalan sama ada berbaloikah untuk anda memilih versi transmisi automatik ini, jika versi Standard adalah RM9k lebih murah, sedangkan spesifikasi masih lagi sama. Jika anda sudah terasa seperti malas untuk menarik tuil klac, pemilihan versi SP yang sudah mempunyai quickshifter juga tidak memerlukan tarikan tuil apabila motosikal sudah bergerak, malahan datang dengan beberapa lagi kelengkapan prestasi.

    Di Malaysia, MT-09 versi biasa dijual pada harga RM54,998 tidak termasuk insurans (harga yang diumumkan pada tahun 2022), dan sekiranya mengambil peningkatan harga seperti yang dilihat di pasaran Thailand tadi, harga untuk MT-09 Y-AMT boleh menjadi sehingga RM65k atau mungkin lebih lagi.

     
     
  • Proton eMas7 dibangun serentak, kongsi kos dengan Geely Galaxy E5, cepatkan masa pengeluaran – CEO

    Proton eMas7 dibangun serentak, kongsi kos dengan Geely Galaxy E5, cepatkan masa pengeluaran – CEO

    Kalau anda perasan, sehari selepas Proton eMas 7 didedahkan di Malaysia, kembarnya untuk pasaran China iaitu Geely Galaxy E5 dilancarkan secara rasmi di pasaran tersebut, selepas pratonton dibuat di sana tiga bulan sebelum itu. Tempoh berkenaan adalah jauh lebih cepat berbanding pengenalan model-model Proton yang diasaskan oleh model-model Geely sebelum ini.

    Dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh Proton hari ini, CEO syarikat itu Dr. Li Chunrong mengesahkan bahawa eMas 7 sememangnya dibangunkan serentak dengan Galaxy E5 dan ia melibatkan perkongsian kos pembangunan bersama kedua-dua jenama automotif tersebut.

    “eMAS 7 bukan sahaja EV pertama Proton, tetapi ia juga merupakan model Proton pertama yang dibangunkan secara serentak dengan pasukan di Geely. Ini membolehkan masa pengeluaran yang lebih singkat untuk versi pemanduan sebelah kanan (RHD) dan juga menghasilkan kecekapan yang lebih tinggi serta perkongsian kos pembangunan.

    Proton eMas7 dibangun serentak, kongsi kos dengan Geely Galaxy E5, cepatkan masa pengeluaran – CEO

    “Bukti kejayaan akhir usaha ini adalah penerimaan pembeli di Malaysia dan pasaran eksport kami. Bagi memastikan hasil yang positif, setiap langkah dalam pembangunan, pemasaran, jualan, dan perkhidmatan selepas jualan bagi model ini telah diberi perhatian penuh oleh Proton,” kata Dr. Li.

    Ketika mendedahkan eMas 7 ini kepada media awal bulan ini, Proton menyatakan bahawa seramai 230 orang tenaga kerjanya telah menyertai pasukan pembangunan model ini bersama Geely secara keseluruhan. Manakala untuk Geely, Galaxy E5 merupakan model pertamanya yang dihasilkan terus dengan variasi pemanduan sebelah kiri (LHD) dan RHD.

    eMas 7 dan Galaxy E5 merupakan model yang diasaskan dari platform Global Intelligent New Energy Architecture (GEA), atau untuk Proton ia dikenali sebagai platform Global Modular Architecture (GMA). Platform ini juga sebenarnya adalah evolusi yang diasaskan dari Sustainable Experience Architecture (SEA) yang dibangunkan oleh Geely untuk digunakan oleh jenama-jenama dibawah naungannya yang lain.

    Proton eMas7 dibangun serentak, kongsi kos dengan Geely Galaxy E5, cepatkan masa pengeluaran – CEO

    Buat masa sekarang, Proton eMas 7 ini sedang giat diuji di Malaysia dan antara proses pembangunan yang masih sedang dijalankan adalah proses penyesuaian iklim tempatan. Selain dilihat ‘merayau’ ke sana-sini bagi tujuan tersebut, unit prototaip berkenaan turut akan menyertai perarakan Hari Kemerdekaan negara yang ke-67 pada 31 Ogos ini.

    Proton masih belum mendedahkan sebarang spesifikasi eMas 7 untuk pasaran Malaysia yang bakal dilancarkan menjelang hujung tahun ini, namun boleh dijangka ia akan ditawarkan dengan unit rangkaian kuasa yang sama seperti Galaxy E5.

    Di China Geely Galaxy E5 digerakkan dengan satu motor elektrik yang memacu roda hadapan berkuasa 218 PS dan tork maksima 320 Nm, membolehkan ia memecut dari 0-100 km/j dalam masa 6.9 saat. Bagi membezakan varian, ia ditawarkan dalam dua versi bateri lithium logam fosfat (LFP) “bilah pendek” Aegis yang dibangunkan oleh Geely sendiri bermula bateri berkapasiti 49.52 kWj dengan jarak perjalanan 440 km atau kapasiti 60.22 kWj yang memberikan jarak 530 km mengikut kitaran ujian CLTC.

     
     
  • BYD pintas jualan global Nissan dan Honda dalam suku kedua 2024, nombor 7 dalam ranking dunia

    BYD pintas jualan global Nissan dan Honda dalam suku kedua 2024, nombor 7 dalam ranking dunia

    BYD telah mencatatkan jualan sebanyak 980,000 unit pada pada suku kedua 2024 iaitu bermula April hingga Jun lalu, membolehkan pengeluar automotif China itu berada di tempat ke-tujuh secara keseluruhan dalam carta jualan kenderaan global, lapor Nikkei Asia yang mengambil data dari firma penyelidikan Marklines.

    Jualan tersebut menunjukkan peningkat sebanyak 40% berbanding tempoh sama tahun lalu dengan jualan sebanyak 700,000 unit, ketika itu BYD sudahpun berada di tangga ke-10 memintas Nissan dan Suzuki Motor. Manakala untuk tahun ini, BYD turut telah memintas jualan global satu lagi gergasi automotif Jepun iaitu Honda buat pertama kali.

    Laporan ini menyebut peningkatan jualan BYD ini adalah dipacu permintaan terhadap kenderaan elektrik (EV) dengan harga yang lebih mampu milik, dengan momentum jualan di China pada Jun naik sebanyak 35%. BYD turut mencatatkan jualan eksport luar China mencecah 105,000 unit atau sekitar tiga kali ganda dari sebelum ini.

    BYD pintas jualan global Nissan dan Honda dalam suku kedua 2024, nombor 7 dalam ranking dunia

    Malah ketika jualan BYD meningkat naik, jualan untuk jenama-jenama besar lain seperti Toyota Motor dan Volkswagen Group mengalami penurunan. Namun Toyota masih kekal sebagai jenama paling laris di dunia dengan jumlah jualan sebanyak 2.63 juta unit.

    Honda, seperti diketahui sebelum ini sedang bergelut dipasaran seperti China dengan jumlah penurunan sehingga 40% dan ia turut bakal menurunkan jumlah produksi di Thailand sekitar 30%, semuanya kerana ketiadaan model EV yang boleh bersaing.

    Untuk skop yang lebih luas, China telah mengeksport sebanyak 2.79 juta kenderaan untuk tempoh separa tahun ini, atau 780,000 lebih banyak berbanding Jepun. Dua lagi jenama China iaitu Geely dan Chery juga tersenarai dalam carta 20 teratas untuk jualan global April hingga Jun 2024 ini.

     
     
  • Proton eMas 7 akan buat penampilan umum pertama sempena Hari Kebangsaan, tema Jalur Gemilang

    Proton eMas 7 akan buat penampilan umum pertama sempena Hari Kebangsaan, tema Jalur Gemilang

    Kepada yang ingin melihat penampilan Proton eMas 7 di ruang awam untuk pertama kali sebelum dilancarkan, anda boleh melaku itu ketika sambutan Hari Kebangsaan ke-67 yang akan berlangsung pada Sabtu ini. eMas 7 akan menjadi satu daripada kenderaan yang ikut serta dalam barisan 25 kenderaan Proton yang lain untuk acara tersebut.

    Untuk ini, eMas 7 juga akan mengenakan pelekat samaran khusus yang diwakili oleh warna Jalur Gemilang. Mula dipertontonkan kepada media pada 2 Ogos lalu, EV pertama Proton ini dijangka akan dilancarkan pada hujung tahun ini.

    Selain tampil dalam perarakan Hari Kebangsaan, aktiviti ujian serta penyesuaian iklim untuk Proton eMas 7 telah semakin giat dijalankan kini. Unit yang sedang diuji dan menggunakan pelekat samaran sering kali dilihat oleh orang ramai kerana program ujian ketahanan, pengecasan, pemanduan dan perisian terus dijalankan bagi memastikan EV nasional pertama Malaysia itu memenuhi keperluan dan jangkaan pelanggan selepas diperkenalkan kelak.

    Proton eMas 7 akan buat penampilan umum pertama sempena Hari Kebangsaan, tema Jalur Gemilang

    “Disamping meraikan perjalanan masa lalu kami, Proton juga prihatin dengan masa hadapan industri automotif. Oleh itu, kami mengambil keputusan untuk menyertakan Proton eMas 7 dalam barisan perarakan Hari Kebangsaan walaupun sebelum pelancarannya, dengan mengenakan pelekat samaran warna Jalur Gemilang,” ujar Dr. Li Chunrong, Ketua Pegawai Eksekutif Proton.

    Proton kini berusia 41 tahun turut merupakan sebahagian penting dalam sejarah Malaysia dan kisah
    perindustrian ekonomi negara. Perarakan Hari Kebangsaan kali ini akan memperlihatkan Proton membariskan 25 kenderaan keluarannya setakat ini, termasuklah dari Proton Saga asal hinggalah kepada Proton X70 2025 yang baru saja dilancarkan dua minggu lalu.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (-0.04)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.90 (-0.04)
EURO 5 B7 RM3.10 (-0.04)
Last Updated Aug 14, 2025