Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Yamaha PG-1 masuk pasaran Malaysia – RM6,998

    Yamaha PG-1 masuk pasaran Malaysia – RM6,998

    Bersempena dengan Karnival GenBlu yang berlangsung di Johor Bahru, Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) telah melancarkan sebuah motosikal baru yang dipanggil sebagai PG-1. Membawa gaya ranggi, model ini ditawarkan dalam dua warna dan dijual pada harga RM6,998 tidak termasuk insurans.

    Menggerakkan PG-1 adalah enjin satu silinder 114 cc suntikan bahan api, penyejukan udara dan digabungkan bersama transmisi empat kelajuan untuk menghasilkan kuasa 9.0 PS pada 7,000 rpm dan tork 9.5 Nm pada 5,500 rpm.

    Dalam keadaan standard, PG-1 didatangkan dengan rim 16 inci bersama tayar bertiub saiz 90/100 di hadapan dan belakang, sementara brek pula menggunakan unit cakera di hadapan dan dram di belakang. Tiada fungsi ABS disediakan pada motosikal ini.

    Kelengkapan lain yang disediakan adalah termasuk tempat duduk jenis terpisah, fork teleskopik, dua penyerap hentak di belakang, meter analog dengan penunjuk kedudukan gear, tongkat tengah, pemula enjin elektrik serta tangki bahan api 5.1 liter.

    Membawa reka bentuk ringkas, PG-1 dapat memberi peluang kepada pemilik untuk mengubah suai motosikal mengikut keperluan dan kegemaran, sementara HLYM juga ada menjual beberapa pakej aksesori dengan harga bermula RM1,200.

     
     
  • PANDU UJI: Honda Civic Type R FL5 – penamat sempurna untuk pengakhiran sebuah kisah lagenda

    PANDU UJI: Honda Civic Type R FL5 – penamat sempurna untuk pengakhiran sebuah kisah lagenda

    Tidak seperti Toyota, Subaru dan Mazda yang masih percaya enjin pembakaran dalaman masih lagi diperlukan, Honda adalah salah satu jenama Jepun yang mensasarkan untuk beralih menjadi jenama elektrik sepenuhnya pada masa hadapan. Jadi sebelum model generasi terkini Civic Type R didedahkan pada 2022, Honda sebelum itu sudah pun menyatakan bahawa model yang dikenali dengan kod FL5 ini adalah model prestasi tinggi terakhir Honda yang menggunakan enjin petrol penuh digandingkan dengan kotak gear manual.

    Jadi untuk generasi seterusnya kelak, Civic Type R mungkin bakal hadir dengan digerakkan sepenuhnya oleh motor elektrik, atau mungkin sekurang-kurangnya menerima unit rangkaian kuasa hibrid i-MMD seperti model generasi baharu Honda Prelude, di mana enjin petrol yang diberikan diberikan tugas utama untuk mengecas bateri, sementara roda dipacu secara primari oleh motor elektrik.

    Untuk itu, Honda Civic Type R FL5 ini perlu dihasilkan secara ‘ultimate’ oleh Honda, mengumpulkan segala pengetahuannya bagi menghasilkan sebuah jentera pacuan roda hadapan dengan enjin pembakaran dalaman sepenuhnya yang bukan sahaja laju, malah seronok untuk dipandu, menerusi ilmu yang dipelajari dari litar lumba, tetapi masih sah digunakan di atas jalan raya.

    Baca artikel selanjutnya di sini

     
     
  • Pemandu kenderaan Singapura yang miliki tunggakan saman trafik berdepan tindakan mulai 1 Jan 2025

    Pemandu kenderaan Singapura yang miliki tunggakan saman trafik berdepan tindakan mulai 1 Jan 2025

    Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap pemandu kenderaan Singapura yang mempunyai tunggakan saman trafik di Malaysia bermula 1 Januari 2025. Laporan The Straits Times menyebut, warga Singapura mencatatkan lebih 35,000 saman antara tahun 1990 hingga Jun 2024, dengan keseluruhannya mencecah RM3.5 juta.

    Walaupun tiada tindakan diambil terhadap pemandu setakat ini, mereka digesa menyelesaikan saman tersebut ketika Malaysia bersiap sedia untuk melaksanakan sistem permit masuk kenderaan (VEP) pada 1 Oktober tahun ini. VEP bertindak seperti “kad pengenalan” untuk kenderaan yang memasuki Malaysia dan akan membolehkan pihak berkuasa mengesan kesalahan trafik.

    Pemandu Singapura yang memasuki dua pusat pemeriksaan Johor di Kompleks Sultan Iskandar melalui Tambak Johor serta Kompleks Sultan Abu Bakar melalui LinKedua dikehendaki mendapatkan VEP. Tanpa VEP, mereka boleh dinafikan masuk ke Johor atau didenda sehingga RM2,000. Sistem VEP menggunakan tag RFID yang dikeluarkan oleh JPJ dan berharga RM10 setiap satu.

    Saman trafik tertunggak boleh dibayar melalui MyBayar PDRM atau MyEG, dan warga asing boleh menggunakan nombor pasport mereka untuk membuat akaun di portal berkenaan. Jurucakap JPJ berkata selepas sistem VEP dikuatkuasakan mulai 1 Oktober ini, semua pemandu kenderaan warga asing perlu menjelaskan saman trafik mereka sebelum meninggalkan Malaysia.

    Walau bagaimana pun, penguatkuasaan itu akan dilaksanakan secara berperingkat, di mana antara 1 Oktober dan 31 Disember, kenderaan asing dengan saman trafik tertunggak masih dibenarkan masuk dan keluar dari Malaysia. Namun, mulai 1 Januari 2025, penguatkuasaan penuh akan dilaksanakan.

     
     
  • Jualan EV BMW pintas Tesla di Eropah buat pertama kali pada Julai 2024; Dacia Sandero model terlaris

    Jualan EV BMW pintas Tesla di Eropah buat pertama kali pada Julai 2024; Dacia Sandero model terlaris

    Berdasarkan data dari firma analisis JATO Dynamic, jualan untuk Julai 2024 bagi model-model elektrik penuh (EV) dari BMW telah pun memintas jualan Tesla di Eropah. Sepanjang bulan itu, BMW telah berjaya menghantar sebanyak 14,869 unit EV kepada pelanggannya di benua berkenaan, membolehkan ia memintas Tesla buat pertama kali yang mencatatkan jualan 14,561 unit.

    JATO Dynamic juga menyatakan bahawa jualan model-model EV BMW telah bertumbuh sebanyak 35% berbanding tempoh sama tahun lalu, yang disifatkan menampilkan prestasi jualan yang kuat berbanding jualan Tesla yang jatuh 16%.

    “Walaupun Tesla Model Y dan 3 kedua-duanya terus mendominasi kedudukan BEV (kenderaan elektrik bateri) tahun-ke-kini (YTD), mereka baru-baru ini kehilangan tempat dalam pasaran”, kata JATO Dynamic dalam kenyataan yang dikeluarkan.

    Jualan EV BMW pintas Tesla di Eropah buat pertama kali pada Julai 2024; Dacia Sandero model terlaris

    “Model Y bukan lagi kenderaan terlaris di Eropah dan ia jatuh di kedudukan kesembilan dalam ranking kenderaan keseluruhan bulan Julai [di kalangan EV]. Model terbaharu BMW – termasuk iX1, i4, dan i5 – menunjukkan prestasi yang baik pada bulan Julai, manakala iX2 baharu mencatatkan lebih daripada 1,300 unit. Pendaftaran model elektrik BMW jelas mengatasi pendaftaran model Mercedes dan Audi,” tambah kenyataan itu lagi.

    Manakala untuk jenama-jenama lain, Volkswagen menjadi jenama EV ketiga terlaris dengan 12,213 unit, diikuti Volvo dengan 10,533 unit, Audi dengan 8,618 unit, Mercedes-Benz dengan 8,365 unit, Peugeot dengan 6,361 unit, Hyundai dengan 6,492 unit, Kia dengan 6,034 unit dan Renault pula dengan 5,638 unit.

    Untuk skop yang lebih luas, model-model BEV mencatatkan jualan keseluruhan sebanyak 139,244 unit di Eropah sepanjang Julai 2024, jauh lebih banyak berbanding model-model plug-in hybrid (PHEV) yang mencatatkan jualan sebanyak 74,237 unit.

    Jualan EV BMW pintas Tesla di Eropah buat pertama kali pada Julai 2024; Dacia Sandero model terlaris

    Tesla Model Y masih lagi model yang paling laris dalam segmen BEV, diikuti oleh Volvo EX30 dan Volkswagen ID.4. Manakala bagi segmen PHEV, Volvo XC60 berjaya menewaskan Ford Kuga untuk merampas tempat pertama, manakala BMW X1 berada di tempat ketiga.

    Dalam kenyataan ini JATO Dynamics turut menyatakan dalam bahawa permintaan untuk EV di Eropah jatuh pada Julai 2024, dengan bahagian pasarannya berkurangan daripada 14.6% pada Julai 2023 kepada 13.5%.

    “Faktor kurang jelas terhadap insentif untuk – dan masa depan – EV terus memberikan halangan kepada pengguna mempertimbangkan EV. Faktor-faktor ini, di samping nilai sisa EV yang rendah menyumbang kepada penurunan yang dilihat pada bulan Julai,” kata Felipe Munoz, penganalisis global di JATO Dynamics.

    Secara keseluruhan, model-model yang dijana oleh enjin pembakaran dalaman sepenuhnya masih menjadi pilihan utama di Eropah. Dacia Sandero dinobatkan sebagai model paling laris di Eropah pada Julai 2024 dengan jumlah jualan 22,398 unit, naik 34% berbanding tempoh sama tahun lalu.

    Ia diikuti oleh Volkswagen T-Roc dan Toyota Yaris Cross masing-masing di tempat kedua dan ketiga. Manakala Volkswagen pula masih jenama paling laris di sana, diikuti Toyota dan BMW. Secara keseluruhan, 1.03 juta kenderaan telah didaftarkan di Eropah pada Julai 2024, atau 1.5% lebih daripada pada Julai 2023.

     
     
  • E-Invois akan beri kesan terhadap jualan kenderaan apabila dilaksanakan sepenuhnya — TA Securities

    E-Invois akan beri kesan terhadap jualan kenderaan apabila dilaksanakan sepenuhnya — TA Securities

    Walaupun kerajaan menjangkakan pelaksanaan e-Invois hanya akan memberikan kesan yang sedikit terhadap jumlah keseluruhan industri (TIV) atau jualan kenderaan di Malaysia, TA Securities menyatakan sebaliknya. Dalam satu nota kajian yang diterbitkan semalam, firma itu menyatakan bahawa pelaksanaan e-Invois dijangka akan memberikan “kesan besar terhadap jualan kenderaan” jika ia dilaksanakan sepenuhnya kelak, lapor The Edge.

    “Menurut penganalisa automotif kami, ia akan berlaku apabila pelaksanaan e-Invois ini diwajibkan ke atas semua pembayar cukai, tidak kira berapa pendapatan atau keuntungan tahunan mereka. Sistem baru ini dijangka akan menyukarkan pembeli yang ingin mendapatkan pinjaman penuh yang pernah ditawarkan ketika ini oleh sesetengah agen jualan,” jelas firma tersebut.

    Dalam fasa pertama pelaksanaan sistem tersebut ketika ini, yang bermula pada 1 Ogos lalu dan melibatkan sekitar 3,500 syarikat dengan keuntungan tahunan melebihi RM100 juta, dengan kerajaan memberikan tempoh penagguhan selama enam bulan kepada pembayar cukai bagi memastikan proses pelaksanaannya berjalan lancar. Dinyatakan juga sebelumnya bahawa sebahagian besar syarikat pengedar kenderaan tidak meraih keuntungan tahunan yang melebihi angka tersebut, dan disebabkan itu kesan ketika ini tidak dirasakan.

    E-Invois akan beri kesan terhadap jualan kenderaan apabila dilaksanakan sepenuhnya — TA Securities

    Fasa kedua pula bakal bermula pada Januari tahun depan dan akan melibatkan syarikat dengan keuntungan tahunan antara RM25 juta hingga RM100 juta, dan pada 1 Julai 2025, semua pembayar cukai dijangka akan beralih sepenuhnya kepada e-Invois ini, tidak termasuk mereka yang meraih pendapatan tahunan di bawah RM150,000.

    Apabila ini berlaku, situasi “pinjaman penuh” untuk pembelian kenderaan atau invois yang dilambungkan akan berakhir, dan akan memberi kesan kepada mereka yang melakukan pembelian kenderaan dengan cara tersebut. Bagaimanapun, bagaimana keadaan ini akan memberi kesan kepada angka jualan kenderaan masih belum diketahui dengan jelas.

    “Untuk industri automotif, ini bermakna proses pembelian akan menjadi lebih telus, dengan amalan invois yang dilambungkan akan berakhir, dan akan memberi kesan terhadap bagaimana transaksi jualan kenderaan akan dilakukan dan dibiayai,” ujar firma berkenaan. Mereka juga menambah bahawa e-Invois ini akan mempunyai kesan yang terhad ke atas syarikat automotif yang mempunyai cabang pembiayaan pembelian kenderaan dalaman.

     
     
  • Proton melebar sayap ke Trinidad & Tobago — 261 unit X50, X90 dieksport ke Caribbean sepanjang 2024

    Proton melebar sayap ke Trinidad & Tobago — 261 unit X50, X90 dieksport ke Caribbean sepanjang 2024

    Proton telah menjalin kerjasama dengan ANSA Motors Limited di Trinidad dan Tobago (T&T), sebuah negara di kepulauan Carribean, sejak Mac lalu. Susulan daripada itu, sebanyak 261 unit X50 dan X90 telah dieksport ke sana setakat ini — ini merupakan 10% daripada sasaran eksport Proton, yang menjadikan keseluruhan kenderaan yang telah dieksport ke sana menjadi 366 unit.

    Proton X50 dan X90 telah dilancarkan di sana pada Mac tahun ini, dan dengan permintaan yang semakin bertambah, ANSA Motors mengambil keputusan untuk menaikkan sasaran jualan tahun ini kepada 300 unit. Syarikat itu dipilih oleh Proton berdasarkan rekod dan latar belakang automotif yang mengagumkan untuk pasaran di sana.

    Walaupun dengan populasi yang sekecil 1.5 juta orang, industri automotif di T&T mencerminkan perkembangan yang sama seperti di negara membangun lain, dengan pembeli kenderaan sedang beralih kepada kenderaan dengan teknologi elektrikfikasi. “Dengan perkembangan ekonomi yang pesat di sana, permintaan terhadap kenderaan dan yang mewah semakin bertambah, maka pengenalan jenama Proton di sana juga diterima dengan baik,” jelas Proton.

    Proton melebar sayap ke Trinidad & Tobago — 261 unit X50, X90 dieksport ke Caribbean sepanjang 2024

    Dengan adanya lebih daripada 25 anak syarikat di seluruh Caribbean, Kumpulan Syarikat ANSA McAL merupakan satu daripada konglomerat terbesar di T&T. Ditubuhkan pada 1919, anak syarikatnya, ANSA Motors telah menjadi peneraju dalam industri automotif. Syarikat yang berusia 105 tahun itu menjadi pengedar Ford yang pertama di Caribbean dan menjadi peneraju penting industri automotif, dan menjadi subjek kajian sekolah tempatan.

    “Teknologi dan harga kenderaan Proton adalah kekuatan yang diharap akan menyebelahi kami dan kami yakin dengan masa depannya di sini. Kami memerlukan jenama yang memberi nilai terbaik dalam segmen yang belum kami wakili, dan Proton memenuhi keperluan itu,” jelas Ketua Perniagaan Serantau ANSA Motors, Jerome Borde.

    Sejak dilancarkan, Proton telah mengeksport 6,501 unit model siri X-nya ke 18 negara, termasuk antaranya ke T&T, Brunei, Mesir, Nepal dan Ghana.

     
     
  • Tesla masih berminat bekerjasama termasuk bantu Malaysia jadi hab utama teknologi hijau di rantau ini

    Tesla masih berminat bekerjasama termasuk bantu Malaysia jadi hab utama teknologi hijau di rantau ini

    Semalam, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz telah mengadakan pertemuan dengan delegasi Tesla Malaysia, bertempat di Menara MITI, Putrajaya.

    Menerusi perkongsiannya di laman Facebook rasminya, Zafrul berkata, perbincangan dengan Tesla Malaysia turut memberi fokus kepada kemajuan dan pelaksanaan Skim AP Peneraju Global Battery Electric Vehicle (BEV).

    “Sehingga akhir Julai 2024, Tesla telah berjaya memasang 52 unit pengecas Supercharger dengan kapasiti 250kW, 54 unit pengecas Wall Connector AC, dan lebih 4,500 unit pengecas rumah di Semenanjung Malaysia. Dengan pelaburan yang mencecah USD13.5 juta, Tesla menunjukkan komitmen yang kukuh terhadap pembangunan infrastruktur pengecasan EV di negara kita.

    “Kami juga berbincang mengenai potensi besar teknologi penyimpanan tenaga bateri yang dijangka dapat menyumbang kepada peningkatan kecekapan tenaga dan kestabilan grid elektrik Malaysia. Teknologi ini berpotensi untuk mengurangkan kos tenaga dan memperkukuhkan infrastruktur tenaga nasional kita,” kata Zafrul.

    Selain itu, tambahnya, Tesla turut menekankan sokongan terhadap ekosistem tempatan dengan melibatkan sembilan syarikat Malaysia dalam pembangunan infrastruktur pengecasan EV serta kerjasama dengan institusi pengajian tinggi tempatan untuk pemindahan ilmu dan pembangunan modal insan.

    “Kerjasama ini dijangka akan memacu Malaysia sebagai hab utama teknologi hijau di rantau ini. Semoga usaha bersama ini terus berkembang, membawa manfaat besar kepada ekonomi, teknologi, dan tenaga lestari negara kita,” sambungnya lagi.

    Walau bagaimana pun, Zafrul tidak pula berkongsi makluman adakah beliau ada menyelitkan isu Tesla yang dikatakan membatalkan rancangan bagi membina kilang pengeluarannya di Asia Tenggara, seperti khabar angin yang bertebaran baru-baru ini.

    Sebelum ini, Zafrul berkata, MITI juga tidak pernah mengumumkan bahawa Tesla akan membuka kilangnya di negara ini. “Memang kita adakan perbincangan dengan Elon Musk dalam usaha menarik pelaburan, tetapi Tesla tidak pernah membuat komitmen untuk membuka kilang di sini,”katanya.

     
     
  • Persimpangan ke Landmark Residence hala Kajang di Lebuhraya Grand Saga ditutup pada 24 Ogos ini

    Persimpangan ke Landmark Residence hala Kajang di Lebuhraya Grand Saga ditutup pada 24 Ogos ini

    Grand Saga Sdn Bhd selaku pengendali Lebuhraya Cheras-Kajang (Grand Saga) memaklumkan bahawa persimpangan menghala ke Landmark Residence (menghala ke Kajang) akan ditutup buat sementara waktu pada Sabtu ini (24 Ogos). Selain itu, pihaknya juga akan menutup satu lorong menghala ke Sungai Long pada tempoh yang sama.

    Ia adalah bagi kelancaran kerja-kerja pemotongan pokok (tree pruning work) di lokasi terbabit, dan penutupan persimpangan berkenaan bermula jam 10 pagi hingga selesai.

    “Bagi pengguna yang ingin menuju ke Landmark Residence (arah Kajang), boleh memasuki EXIT 706 (Sg. Long) menghala ke arah Sg. Long dan membuat pusing U di Jalan Sg. Long. Kami ingin memohon maaf atas segala kesulitan yang dialami,” kata syarikat tersebut.

    Justeru, untuk pengguna Lebuhraya Grand Saga yang melalui lokasi terlibat, disarankan untuk rancang perjalanan anda dan cari jalan alternatif untuk ke destinasi yang ditujui. Teruskan berhati-hati di jalan raya dan gandakan fokus pemanduan anda terutamanya dalam keadaan cuaca yang tidak menentu ini.

     
     
  • Volkswagen Golf Fan Fest 2024 rai ulangtahun ikon ke-50 – pesta percuma untuk semua di Sepang 24 Ogos

    Volkswagen Golf Fan Fest 2024 rai ulangtahun ikon ke-50 – pesta percuma untuk semua di Sepang 24 Ogos

    Bagi meraikan ulangtahun ke-50 Volkswagen Golf yang jatuh pada tahun ini, Volkswagen Passenger Cars Malaysia (VPCM) bakal menganjurkan festival besar-besaran hujung minggu ini. Sama ada anda pemilik atau peminat model ikonik tersebut, semuanya dijemput hadir ke Golf Fan Fest 2024 yang akan dilangsungkan di Litar Antarabangsa Sepang pada Sabtu ini, 24 Ogos 2024 dan masuk adalah percuma.

    Sambutan Jubli Emas untuk Volkswagen Golf ini akan dilangsungkan secara besar-besaran. Antara sorotan acara utama yang akan berlangsung termasuk percubaan untuk mencatatkan rekod dalam Malaysia Book of Records untuk perhimpunan terbesar pemilik dan peminat Volkswagen Golf.

    Ada juga acara ‘Golf Showdown’ (penyertaan kini sudah penuh) di mana pemilik-pemilik VW Golf dapat menonjolkan kereta kesayangan masing-masing dan berpeluang memenangi pelbagai hadiah menarik. Ada lima kategori yang dipertandingkan dalam Golf Showdown ini iaitu Timeless Legends (Mk1 dan Mk2), Modern Classic (Mk3 dan Mk4), Era Definers (Mk5 dan Mk6), Next Gen Masters (Mk7 dan Mk8) serta Most Hardcore Golf (Mk1 to Mk8).

    Bagi yang suka memandu dengan laju, turut diadakan acara ‘Golf Gymkhana’ (penyertaan kini sudah penuh) bagi membolehkan pemilik-pemilik Golf mempertaruhkan kemahiran masing-masing. Manakala bagi yang belum memiliki model-model Golf ini, anda juga berpeluang merasai kemampuan sebenar model paling berkuasa dalam barisan model Golf yang dipandu pemandu professional menerusi sesi Golf R Drift Taxi Rides. Acara pemanduan litar Golf GTI juga dibuka untuk orang ramai (tempat terhad).

    Volkswagen Golf Fan Fest 2024 rai ulangtahun ikon ke-50 – pesta percuma untuk semua di Sepang 24 OgosVolkswagen Golf Fan Fest 2024 rai ulangtahun ikon ke-50 – pesta percuma untuk semua di Sepang 24 Ogos

    Manakala lapan finalis peraduan Volkswagen’s Biggest Golf Fan turut akan bertanding untuk merebut hadiah utama dan meraih gelaran ‘Peminat Golf no.1’ di Malaysia ketika berlangsungnya Volkswagen Golf Fan Fest 2024 ini nanti.

    Anda juga perlu datang ke Sepang Sabtu ini jika mahu lebih mengetahui sejarah 50 tahun Volkswagen Golf. Ini kerana lapan generasi Golf akan dipamerkan pada acara tersebut dan anda boleh saksikan bagaimana Golf boleh berevolusi dalam masa yang sama masih mengekalkan identiti nama ikonik itu.

    Namun anda tidak dibenarkan untuk memandu uji model-model klasik ini. Turut dipamerkan adalah model edisi khas yang baru sahaja didedahkan baru-baru ini iaitu Golf GTI Edition 50, menampilkan kit badan Oettinger dan pelbagai aksesori menarik.

    Juga akan diadakan perbincangan ilmiah dan juga bengkel yang merangkumi pelbagai aspek pemilikan – kisah kehidupan sebenar bersama nasihat langsung. Pasukan pengajar pemanduan profesional juga akan memberi ceramah dan berkongsi petua tentang pemanduan defensif serta asas-asas penting dalam pemanduan harian yang tidak diajar oleh sekolah memandu.

    Golf Fan Fest ini ialah acara untuk semua orang, bukan hanya ‘kaki Golf’, dan anda turut boleh membawa semua ahli keluarga ke sini. Akan ada simulator perlumbaan, trek Tamiya dan seni pasir untuk kanak-kanak, dan banyak makanan dan minuman seperti Kopi Beetle, Koppiku, Softsrve, Strangers at 47 dan Tutti Frutti.

    Acara ini disokong oleh Trapo, Bridgestone, Kuzig Glanz Detailing, Mangala Estate, Maxtag dan Sony, dan anda boleh mendapatkan tawaran eksklusif daripada rakan kongsi acara ini. Trapo menawarkan 15% di seluruh kedai termasuk filem penapis, coating dan PPF, serta pakej depan penuh filem PPF Trapo Pro+ pada harga RM2,999 (bernilai RM3,700) yang boleh anda minta ketika acara ini berlangsung.

    Sekali lagi, Golf Fan Fest 2024 anjuran VPCM ini akan berlangsung di Paddock Utara Litar Antarabangsa Sepang (lihat peta di atas) dari 11 pagi hingga 8 malam pada 24 Ogos. Sama ada anda seorang peminat tegar Golf atau peminat kereta yang sentiasa mengagumi Golf dari jauh ada sesuatu yang tersedia untuk anda di Sepang Sabtu ini. Kemasukan adalah percuma.

    GALERI: Volkswagen Golf GTI Edition 50

     
     
  • MG Cyberster 2024 buat kemunculan sulung di Malaysia – roadster EV 544 PS bakal dilancar di sini

    MG Cyberster 2024 buat kemunculan sulung di Malaysia – roadster EV 544 PS bakal dilancar di sini

    Selain dari sedan MG5 dan juga SUV segmen-C MG HS, hari ini SAIC Motor Malaysia turut mendedahkan kereta sports MG Cyberster untuk dipratonton buat pertama kali di sini. Cyberster merupakan roadster pertama MG selepas jenama British tersebut diambil alih oleh syarikat automotif China berkenaan.

    MG Cyberster ini membuat kemunculan sulung globalnya pada April 2023, dan ia dikatakan sebagai penerus model-model roadster klasik MG seperti MGA dan MGB. Ia diperkenalkan dalam dua versi iaitu versi pacuan roda belakang dengan hanya satu motor elektrik, dan juga versi pacuan semua roda yang lebih berkuasa dibekalkan dengan dua motor elektrik.

    Unit yang dibawa hari ini merupakan dari varian pacuan roda belakang. Model ini dilengkapi dengan motor berkuasa 340 PS dan tork maksima 475 Nm yang membolehkannya memecut dari 0-100 km/j dalam masa 5 saat, sebelum mencapai kelajuan maksimum 195 km/j.

    MG Cyberster 2024 buat kemunculan sulung di Malaysia – roadster EV 544 PS bakal dilancar di sini

    Manakala untuk versi pacuan semua roda pula, jumlah kuasa keseluruhan yang dihasilkan dari kedua motor adalah 544 PS dan tork maksima 725 Nm. Ini membolehkan model tersebut memecut dari pegun hingga 100 km/j dalam masa hanya 3.2 saat dan mencapai kelajuan maksimum 201 km/j.

    Kedua-dua model ini dibekalkan dengan bateri sama berkapasiti 77 kWj, membolehkan varian pacuan roda belakang bergerak sejauh 509 km, dan versi AWD hanya sejauh 444 km dengan satu cas penuh (standard WLTP). Ia menyokong pengecas pantas DC yang membolehkan bateri dipenuhkan dari 10 hingga 80% dalam masa 38 minit, sementara dengan sistem pengecas on-board 7 kW memerlukan masa 10.5 jam untuk memenuhkan bateri dari 10 hingga 100%.

    Namun dengan unit rangkaian kuasa elektrik tersebut menyebabkan berat MG Cyberster ini ditimbang melebihi dua tan, jauh dengan karekter asal roadster MG yang menampilkan berat yang rendah sebagai kelebihan.

    MG Cyberster 2024 buat kemunculan sulung di Malaysia – roadster EV 544 PS bakal dilancar di sini

    Dari segi rekaan pula, Cyberster dikatakan mengambil inspirasi dari model MGB. Ia menampilkan muncung seperti ikan jerung dengan lampu LED hadapan dengan bentuk seperti badam. Manakala di belakang, ia berikan lampu yang direka seperti bendera Union Jack. Untuk menambah nilai estetika, MG Cyberster menerima pintu yang dibuka ke atas seperti kepak kupu-kupu.

    Walau bagaimanapun SAIC Motor masih belum memberikan kepastian bila sebenarnya MG Cyberster ini akan dilancarkan di sini, dan harganya juga masih dalam peringkat perbincangan. Di Thailand, MG Cyberster ini hanya ditawarkan dalam versi pacuan semua roda, dijual pada harga 2,499,000 baht (RM318,500). Mungkin untuk versi pacuan roda belakang boleh ditawarkan pada harga sekitar RM300k di sini?

     
     
  • Beberapa lokasi di KL dilanda banjir kilat, tanah runtuh di Taman Bukit Raya; sila rancang perjalanan anda

    Susulan hujan lebat melanda ibu negara petang ini, dilaporkan berlakunya banjir kilat di beberapa lokasi di sekitar Kuala Lumpur. Ini termasuklah di Segambut ByPass, Jalan Sultan Azlan Shah, Jalan Pahang, Jalan Genting Klang, Jalan Dutamas, Jalan Kepong, Jalan Kuching dan Jalan Tun Ismail berhampiran hospital veterinar, menurut Jabatan Penerangan WPKL.

    Berita Harian pula melaporkan, banjir kilat juga melanda ruang parkir di sekitar Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) hingga menenggelamkan puluhan kenderaan yang diletakkan berdekatan Sungai Gombak ditenggelami air.

    Banjir kilat sejak jam 4.30 petang itu mengakibatkan limpahan air Sungai Gombak naik hingga membanjiri WTC dan sebuah hotel berhampiran. Malahan kejadian banjir turut menenggelamkan puluhan kenderaan yang diletakkan di bekas tapak Hentian Bas Putra, yang kini dijadikan tempat letak kereta awam.

    Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Kuala Lumpur pula memaklumkan terdapat kejadian tanah runtuh di kawasan Taman Bunga Raya di Jalan genting Klang-Kem Wardieburn. Insiden tanah runtuh ini turut menyebabkan kesesakan lalu lintas dari Jalan Pahang menuju ke Lebuhraya MRR2.

    Untuk yang perlu melalui lokasi yang terlibat, jika boleh, tangguhkan perjalanan anda, tetapi jika terpaksa, rancanglah perjalanan anda sewajarnya termasuk mencari laluan alternatif bagi mengelakkan anda terperangkap dalam kesesakan trafik yang teruk dan elakkan meredah laluan yang ditenggelami air banjir kerana kita tidak tahu risiko yang menanti.

    Mungkin banjir tersebut boleh menyebabkan kerosakan pada kenderaan anda, bahkan jika hujan lebat berserta dengan angin kuat, takut pula ada pokok yang tumbang dan terkena kenderaan anda. Ini juga memberikan bahaya terhadap keselamataan anda sendiri.

    Dalam situasi sebegini, sudah pasti insurans kerosakan akibat banjir atau bencana alam (special perils) untuk kenderaan adalah sangat penting. Dengannya, kita boleh merasa sedikit tenang jika dalam keadaan tidak disangka, kereta tenggelam akibat banjir atau bencana alam lain.

     
     
  • Chery Tiggo 7 Pro diserah kepada Aaron Chia dan Soh Wooi Yik yang menangi pingat gangsa Olimpik Paris

    Chery Tiggo 7 Pro diserah kepada Aaron Chia dan Soh Wooi Yik yang menangi pingat gangsa Olimpik Paris

    Seperti yang dijanjikan, Chery Malaysia telah pun menyerahkan hadiah penuh bermakna buat atlet Malaysia yang berjaya meraih pingat di dalam Olimpik Paris 2024. Dalam majlis ringkas yang berlangsung di bilik pamerannya di Bandar Bukit Puchong, Chery Malaysia telah meraikan pasangan bergu badminton negara, Aaron Chia dan Soh Wooi Yik dengan menghadiahkan seunit SUV Tiggo 7 Pro bagi setiap seorang selepas berjaya meraih pingat gangsa dalam kejohanan sukan dunia itu.

    Pemain perseorangan Lee Zii Jia yang turut memenangi pingat yang sama, juga menerima model SUV yang sama, walau bagaimana pun, beliau tidak dapat menghadiri majlis tersebut kerana sedang menyertai kejohanan di luar negara.

    Turut hadir di dalam majlis berkenaan ialah Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, yang juga mengumumkan ketiga-tiga atlet berkenaan turut menerima RM100,000 setiap seorang di atas kejayaan memperoleh pingat untuk Malaysia. “Kami percaya bahawa sukan adalah elemen penyatuan bagi Malaysia. Kami menggalakkan sektor swasta untuk memainkan peranan mereka dalam memberi ganjaran kepada atlet apabila mereka berjaya membawa pulang pingat. Apa yang membuatkan sumbangan Chery istimewa adalah mereka meraikan semua pemenang pingat,”kata Yeoh.

    Chery Tiggo 7 Pro diserah kepada Aaron Chia dan Soh Wooi Yik yang menangi pingat gangsa Olimpik Paris

    Timbalan Presiden Chery Malaysia Michael Chew pula berkata, “Kami berasa amat bangga atas kemenangan Aaron, Wooi Yik dan Zii Jia dan kami ingin menghadiahkan setiap seorang dengan CHERY TIGGO 7 PRO yang baru atas pencapaian luar biasa mereka di Sukan Olimpik Paris. Kecekalan, ketabahan, dan kegigihan mereka sepanjang Sukan Olimpik benar-benar memberi inspirasi, dan kami berbangga untuk meraikan kejayaan mereka dengan kenderaan yang mencerminkan sifat-sifat ini.”

    Bukan setakat itu sahaja, Chery Malaysia turut menawarkan semua pemegang pingat dan atlet yang berjaya melayakkan diri hingga ke pusingan separuh akhir (termasuk pemain bergu wanita Pearly Tan dan Thinaah Muralitharan serta atlet angkat berat Aniq Kasdan) diskaun sebanyak 30% untuk mana-mana model janaan petrol keluaran Chery iaitu Tiggo 8 Pro dan Omoda 5. Manakala diskaun sebanyak 15% pula diberikan untuk mana-mana atlet Malaysia yang turut bertanding dalam Olimpik Paris 2024.

    Dilancarkan pada Jun, Tiggo 7 Pro merupakan SUV lima-tempat duduk segmen-C yang bersaing rapat dengan Proton X70. Ia ditawarkan pada harga RM123,800 tanpa insurans dan dijanakan oleh enjin 1.6 liter pengecas turbo empat-silinder petrol yang mampu menghasilkan 197 PS dan tork 290 Nm. Pacuannya disalurkan ke roda hadapan menerusi transmisi dwi-klac basah tujuh-kelajuan.

    GALERI: Chery Tiggo 7 Pro

     
     
  • MG HS didedah untuk pasaran Malaysia – 1.5L Turbo, lawan Proton X70, harga dianggar RM130k-RM150k

    MG HS didedah untuk pasaran Malaysia – 1.5L Turbo, lawan Proton X70, harga dianggar RM130k-RM150k

    Serentak dengan pengenalan MG5, SAIC Motor Malaysia hari ini turut memperkenalkan sekali SUV segmen-C MG HS yang juga bakal dilancarkan di sini tak lama lagi. Model ini akan hadir dalam versi diimport sepenuhnya (CBU) dari Thailand, ditawarkan dalam dua varian iaitu varian asas MG HS Standard dan juga varian tertinggi MG HS Lux, dan harga anggarannya pula bermula masing-masing dibawah RM130,000 hingga RM150,000.

    Kedua-dua model ini digerakkan dengan unit rangkaian kuasa yang sama iaitu menggandingkan enjin 1.5 liter turbo berkuasa 162 PS pada takat 5,600 rpm dan tork maksima 250 Nm bermula 1,700 rpm hingga 4,400 rpm, bersama kotak gear klac berkembar automatik tujuh-kelajuan yang memacu hanya roda hadapan.

    Sama seperti Thailand dan Indonesia, kita di Malaysia masih menerima MG HS dalam versi generasi pertama, bukan model generasi baharu yang didedahkan di Goodwood Festival of Speed bulan lalu. Dari segi saiz ia dihasilkan dengan dimensi 4,574 mm panjang, 1,876 mm lebar, 1,664 mm tinggi dengan jarak roda sejauh 2,720 mm.

    MG HS didedah untuk pasaran Malaysia – 1.5L Turbo, lawan Proton X70, harga dianggar RM130k-RM150k

    Jadi berbanding saingan sekelasnya iaitu Proton X70, MG HS ini adalah 48 mm lebih panjang, 45 mm lebih lebar serta jarak roda 50 mm lebih jauh. Model ini juga menampilkan suspensi topang McPherson di hadapan bersama sistem multilink di belakang.

    Pada sebelah luar MG HS Standard menerima kelengkapan seperti lampu hadapan LED automatik bersama lampu nyalaan siang, lampu belakang LED, cermin sisi Kawalan elektrik, rel bumbung, spoiler belakang dan juga rim aloi 17-inci.

    Manakala MG HS Lux ditambah dengan bumbung suria panaromik, pintu tailgate belakang bantuan kuasa, pengelap Fermin hadapan dengan penderia hujan dan set roda ditingkat taraf dengan rim aloi 18-inci kemasan Diamond Cut. Selain itu MG HS Lux ini turut boleh dikenali menerusi angku brek hadapan dan belakang yang serlahkan dengan kemasan merah.

    MG HS didedah untuk pasaran Malaysia – 1.5L Turbo, lawan Proton X70, harga dianggar RM130k-RM150k

    Manakala dalam kabin, MG HS Standard diberikan perincian termasuk upholsteri kulit hitam, tempat duduk hadapan Kawalan elektrik (6-hala pemandu, 4-hala penumpang), paparan instrumen analog dengan skrin pelbagai-info 7-inci, skrin infotainmen 10.1-inci dengan sokongan Apple CarPlay dan Android Auto, dihubungkan kepada empat pembesar suara.

    Model asas ini juga diberikan sistem pendingin hawa zon tunggal dengan penapis udara PM 2.5 dan liang penghembus kabin belakang, dan juga empat port USB.

    Untuk MG HS Lux pula bahagian dalamannya dipertingkat dengan paparan instrumen digital dengan skrin 12.3-inci, tempat duduk Sport, mod pemanduan Super Sport, pedal penukar gear, enam-pembesar suara, lampu suasana 64-warna dan penghawa dingin dua zon.

    Bagi sistem keselamatan, kedua-dua varian ini dibekalkan standard dengan enam-beg udara, kawalan kestabilan elektronik, kawalan brek ketika selekoh, Active Rollover Protection, bantuan mula mendaki, kawalan menurun cerun dan juga kamera undur.

    Varian lebih tinggi MG HS Lux pula menerima kamera 360-darjah dan juga tambahan sistem bantuan pemanduan termaju (ADAS) MG Pilot, menampilkan fungsi termasuk Amaran Pelanggaran Hadapan, cruise control adaptif, bantuan kesesakan trafik, Amaran dan Pengelak Keluar Lorong dan Bantuan Tukar Lorong, Pengesan Titik Buta, Amaran Pelangganra Belakang, Amaran Lintasan Trafik Belakang dan Amaran Bukaan Pintu.

    Empat warna badan ditawarkan untuk pasaran Malaysia ini iaitu Dynamic Red, Arctic White, Black Pearl dan Camden Grey. SAIC Motor Malaysia turut memberikan perlindungan waranti pengeluar selama lima-tahun tanpa had perbatuan untuk kenderaan, bersama waranti berasingan untuk unit rangkaian kuasa (enjin dan transmisi) selama tujuh-tahun tapa had perbatuan.

    Jika anda mahu melihat MG HS ini lebih dekat, ia akan dibawa untuk dipamerkan di bilik-bilik pameran MG iaitu 23 hingga 26 Ogos di Glenmarie dan Juru, 30 Ogos hingga 2 September di Cheras dan Chan Sow Lin, 6 hingga 9 September di Klang dan Setia Alam, 13 hingga 17 September di Plentong dan Skudai (Johor), dan 20 hingga 23 September di Seremban dan Melaka.

    MG HS Standard

    MG HS Lux

     
     
  • MG5 didedah di Malaysia – dianggar bawah RM100k, 1.5L NA, saiz Civic dengan harga seperti City

    MG5 didedah di Malaysia – dianggar bawah RM100k, 1.5L NA, saiz Civic dengan harga seperti City

    SAIC Motor Malaysia hari ini mendedahkan rupa dan spesifikasi untuk sedan MG5 untuk pasaran tempatan yang bakal dilancarkan tidak lama lagi. Ditawarkan hanya dalam satu varian, model ini diumum bakal dijual pada harga anggaran di bawah RM100,000. Ia datang dalam versi diimport sepenuhnya (CBU) dari Thailand.

    Walaupun pada pasaran luar MG5 ini bertanding dalam kelas segmen-C seperti Honda Civic, untuk pasaran Malaysia SAIC Motor meletakkan model ini dalam saingan segmen-B. Ia menampilkan dimensi 4,675 mm panjang, 1,842 mm lebar, 1,473 mm tinggi dan jarak roda sejauh 2,680 mm. Jadi berbanding Honda City, MG5 ini adalah 86 mm lebih panjang, 94 mm lebih lebar dan jarak rodanya adalah 80 mm lebih jauh.

    Sama seperti Thailand dan Indonesia, kita di Malaysia menerima MG5 yang dijana oleh enjin 1.5 liter empat-silinder NA berkuasa 114 PS pada takat 6,000 rpm dan tork maksima 150 Nm pada takat 4,500 rpm. Ia digandingkan dengan kotak gear CVT automatik bersama lapan-kelajuan maya.

    MG5 didedah di Malaysia – dianggar bawah RM100k, 1.5L NA, saiz Civic dengan harga seperti City

    Manakala untuk casis, ia berikan suspensi topang McPherson di hadapan dan torsion beam di belakang. Bonus untuk sedan segmen-B ini, ia dibekalkan dengan brek cakera pada sebelah belakang dan juga sistem brek elektronik bersama fungsi auto-hold.

    Untuk rupa luaran, ia nampak serupa dengan model pasaran Indonesia yang kami jumpa di GIIAS 2024 sebelum ini. Ia diberikan perincian seperti lampu hadapan automatik LED dengan lampu nyalaan siang, cermin sisi kawalan elektrik, cermin suria dan juga set rim aloi ‘Tomahawk’ berdiameter 17-inci.

    Dalam kabin pula, MG5 pasaran Malaysia menerima perincian seperti tempat duduk pemandu larasan elektrik enam-hala, upholsteri tempat duduk kulit hitam dengan serlahan merah, paparan instrumen digital penuh dengan skrin 7-inci, skrin infotainmen 10.25-inci dengan sokongan Apple CarPlay dan Android Auto serta enam pembesar suara.

    MG5 didedah di Malaysia – dianggar bawah RM100k, 1.5L NA, saiz Civic dengan harga seperti City

    Ia juga menerima sistem pendingin hawa zon tunggal dengan kawalan digital, disertakan bersama liang penghembus udara untuk kabin belakang.

    Dan bagi kelengkapan keselamatan, MG5 pasaran Malaysia ini dibekalkan dengan enam-beg udara, kawalan kestabilan elektronik, kawalan traction, dan kawalan brek ketika selekoh.

    Sistem bantuan pemanduan termaju (ADAS) MG Pilot juga diberikan secara standard, menampilkan fungsi termasuk Amaran Keluar Lorong dan Bantuan Tukar Lorong, Pengesan Titik Buta, Amaran Pelangganra Belakang dan juga Amaran Lintasan Trafik Belakang.

    Lima warna badan ditawarkan untuk pasaran Malaysia ini iaitu Nuclear Yellow, Dynamic Red, Arctic White, Black Pearl dan Camden Grey.

    SAIC Motor Malaysia turut memberikan perlindungan waranti pengeluar selama lima-tahun tanpa had perbatuan untuk kenderaan, bersama waranti berasingan untuk unit rangkaian kuasa (enjin dan transmisi) selama tujuh-tahun tanpa had perbatuan.

    Jika anda mahu melihat MG5 ini lebih dekat, ia akan dibawa untuk dipamerkan di bilik-bilik pameran MG iaitu 23 hingga 26 Ogos di Petaling Jaya, 30 Ogos hingga 2 September di Puchong, 6 hingga 9 September di Klang, 13 hing 17 September di Muar (Johor), dan 20 hingga 23 September di Melaka.

     
     
  • Proton eMas 5 EV dibayangkan — Geometry Xingyuan, lawan BYD Dolphin dengan 116 PS, jarak 410 km

    Proton eMas 5 EV dibayangkan — Geometry Xingyuan, lawan BYD Dolphin dengan 116 PS, jarak 410 km

    Selepas Proton eMas 7 diumumkan dan menanti tarikh pelancaran rasminya di Malaysia, menarik juga untuk melontarkan pertanyaan model EV apa pula yang akan hadir di bawah jenama itu nanti? Bulan lalu, dalam iklan teaser EV bagi pengenalan eMas 7, ada juga pembayang sebuah lagi sedan dari S70 (berkemungkinan versi hibrid) dan sebuah lagi SUV kecil misteri yang ditunjukkan.

    Sebelum ini juga Kementerian Industri dan Teknologi Informasi (MIIT) China telah menaikkan maklumat berkenaan EV baru yang bakal dilancarkan oleh salah satu jenama EV Geely, Geometry Xingyuan yang merupakan sebuah hatchback segmen-B yang bakal menjadi pesaing terus bagi BYD Dolphin. Apa yang menarik, bentuk sisi Geometry Xingyuan ini dilihat seakan sama dengan siluet model hatchback yang muncul dalam teaser jenama EV Proton yang dimaksudkan itu.

    Proton eMas 5 EV dibayangkan — Geometry Xingyuan, lawan BYD Dolphin dengan 116 PS, jarak 410 km

    Jadi, gambar yang disertakan ini adalah sebuah bayangan digital dari model Proton eMas 5 seperti yang telah dihasilkan oleh pereka Theophilus Chin — dia turut menggunakan gambar rasmi bagi smart #3 untuk imej bayangan ini.

    Dari segi saiz, Geometry Xingyuan ini menampilkan ukuran 4,135 mm panjang, 1,805 mm lebar, 1,570 mm tinggi dengan jarak roda 2,650 mm. Berbanding BYD Dolphin, hatchback EV Geometry ini adalah 155 mm lebih pendek, 35 mm lebih lebar serta jarak roda pula 50 mm lebih pendek.

    Proton eMas 5 EV dibayangkan — Geometry Xingyuan, lawan BYD Dolphin dengan 116 PS, jarak 410 km

    Di depan, rekaan lampunya bujur jelas kelihatan, begitu juga dengan bukaan udara kecil serta kemasan menegak krom yang ada. Rim dua-tona warnanya unik, serta bahagian tiang C menyerupai apa yang ada pada kereta EV smart berkenaan, menjadikan eMas 5 ini juga ada penampulan bumbung terapung. Lencana dan tulisan nama Proton juga dihadirkan dengan ketara.

    Geometry Xingyuan ditawarkan dalam dua pilihan motor elektrik tunggal, iaitu unit 79 PS (58 kW) dan 116 PS (85 kW), dengan kedua-duanya hanya memacu roda hadapan. Model tersebut bakal ditawarkan dengan dua pilihan kapasiti bateri iaitu 30.12 kWj untuk jarak gerak 310 km dan 40.16 kWj untuk jarak gerak 410 km.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (-0.04)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.90 (-0.04)
EURO 5 B7 RM3.10 (-0.04)
Last Updated Aug 14, 2025