Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Modenas perkenal logo dan identiti jenama baharu

    Modenas perkenal logo dan identiti jenama baharu

    Motosikal dan Enjin Nasional (MODENAS), yang merupakan anak syarikat kepada DRB-Hicom Berhad hari ini memperkenalkan secara rasmi logo dan identiti jenama baru, yang dibuat serasi dengan hala tujunya ke arah pengembangan global, teknologi baru serta produk lebih mesra alam.

    Melihat pertamanya kepada logo baru tersebut, ia menerapkan elemen “Road Star”, dengan boleh dilihat mempunyai bentuk separuh daripada bintang, sementara konsep warna biru dan putih masih lagi dikekalkan seperti sebelum ini.

    Model pertama yang menggunakan logo baru ini turut dilancarkan semasa majlis yang sama, iaitu Kriss 110 Fi, yang kini didatangkan dengan beberapa peningkatan. Sementara pada Kriss 100 Fi ini logo tersebut berwarna krom, ia juga boleh datang dalam warna platinum bergantung kepada model.

    Modenas perkenal logo dan identiti jenama baharu

    “Visi baharu kami akan membawa keseronokan yang menghubungkan orang dan komuniti, dengan menyediakan nilai, teknologi, dan produk lestari di peringkat global,” kata ketua pegawai eksekutif Modenas, Roslan Roskan.

    Melihat kepada Kriss 110 Fi baru yang dilancarkan, ia antaranya dinaik taraf dengan enjin yang kini mematuhi tahap emisi Euro 4, sistem suntikan bahan api serta rim aluminium 17 inci dengan tayar tanpa tiub. Perincian lanjut berkenaannya boleh dibaca di sini.

     
     
  • Modenas Kriss 110 Fi dilancar untuk pasaran Malaysia – dari RM4,600, enjin suntikan bahan api Euro 4

    Modenas Kriss 110 Fi dilancar untuk pasaran Malaysia – dari RM4,600, enjin suntikan bahan api Euro 4

    Bersempena dengan pengenalan logo serta imej jenama baru hari ini, Modenas turut melancarkan Kriss 110 Fi yang menerima beberapa peningkatan termasuk yang menjadikannya lebih moden dan mesra alam.

    Dua varian ditawarkan untuk Kriss 110 Fi baru ini, iaitu asas, yang menggunakan brek dram di hadapan dan belakang, pada harga RM4,599 dan di atasnya terdapat varian yang mendapat brek cakera hadapan, dijual pada harga RM4,998. Harga yang dinyatakan ini tidak termasuk insurans.

    Peningkatan utama Kriss 110 baru ini adalah di bahagian enjin, dengan ia kini menggunakan sistem suntikan bahan api elektronik (EFI) dan emisi juga dijadikan lebih baik dengan kini mendapat penarafan Euro 4.

    Bukan setakat itu, bahagian roda juga dinaik taraf dengan kini rim aluminium 17 incinya tidak lagi menggunakan tiub. Tayar bersaiz 70/90 di hadapan dan 80/90 di belakang. Ini adalah sama bagi varian brek dram dan juga brek cakera.

    Perincian lain motosikal ini masih tidak berubah termasuk enjin asasnya, iaitu unit satu silinder SOHC penyejukan udara 107 cc bersama padanan kotak gear empat kelajuan. Pada waktu artikel ini ditulis, spesifikasi penuh belum didedah, tetapi melihat kepada model karburetor sebelum ini, kuasanya adalah 6.6 hp pada 8,000 rpm dan 6.7 Nm tork pada 6,000 rpm.

    Kriss 110 Fi ini juga didatangkan dengan lampu hadapan multi reflector, pengecas USB di bawah tempat duduk, lampu kecemasan (hazard light), panel meter paparan kedudukan gear, tangki bahan api berkapasiti 4.2 liter dan pemula enjin jenis elektrik.

     
     
  • MSF Merdeka Race Petronas Primax 2024 – pesta perlumbaan di Sepang hujung minggu ini!

    MSF Merdeka Race Petronas Primax 2024 – pesta perlumbaan di Sepang hujung minggu ini!

    MSF Merdeka Race yang dianjurkan oleh Malaysia Speed Festival (MSF) kembali lagi ke Litar Antarabangsa Petronas Sepang untuk edisi 2024, bakal berlangsung pada hujung minggu ini iaitu dari 31 Ogos hingga 1 September, kali ini dikuasakan oleh Petronas Primax.

    Untuk tahun ini, MSF Merdeka Race bukan hanya diadakan sebagai pusingan perlumbaan keempat untuk siri MSF 2024, malah ia akan dilangsungkan sekali dengan perlumbaan dalam disiplin ‘Time Attack’ iaitu MSF MegaLap Time Attack 2024. Secara keseluruhan seramai 400 pelumba akan mengambil bahagian, untuk perlumbaan kereta dan motosikal sempena menyambut Hari Kemerdekaan negara yang ke-67 ini.

    ‘Pesta’ ini akan bermula dengan MSF Megalap Time Attack yang akan berlangsung pada pukul 7 malam Sabtu (31 Ogos 2024), di mana ia akan menyajikan aksi pelbagai jentera ‘rasaksa’ berkuasa tinggi yang akan cuba mencatatkan rekod lap terpantas di litar Sepang.

    Aksi di dalam litar bersambung pada hari Ahad (1 September 2024) yang akan menyaksikan perlumbaan bermula dengan acara MSF Superbikes yang merangkumi 12 lap melibatkan enam kelas perlumbaan dengan lebih 70 pelumba. Ini akan diikuti dengan Piala MSF Saga Merdeka 75 iaitu perlumbaan “mini enduro” selama 75 minit dengan dua pemandu bagi setiap kereta, yang bakal menyaksikan ketahanan kereta-kereta lumba Proton Saga generasi pertama yang masih menggunakan enjin siri 4G1X bersama karburator asal.

    Acara kemuncak untuk hujung minggu ialah Perlumbaan Merdeka – yang diadakan secara tradisinya sempena memperingati hari kebangsaan – iaitu perlumbaan endurance atau jangkamasa panjang melibatkan 340 pelumba dan 170 kereta yang akan bertarung di dalam 6 kelas perlumbaan berbeza melibatkan 99-lap di Litar Antarabangsa Petronas Sepang yang sejauh 5.543km tersebut, naik dari 88-lap tahun lalu.

    “Kami amat berbesar hati dan mengalu-alukan penglibatan Petronas di dalam Perlumbaan Merdeka tahun ini. Perlumbaan Merdeka telah berkembang menjadi salah satu acara tahunan yang paling dinanti-nantikan dalam kalendar perlumbaan tempatan untuk peminat kerana kepelbagaian kelas perlumbaan yang ditawarkan. Dengan sokongan Petronas, kami berharap dapat meningkatkan lagi pengalaman dan keterujaan ini untuk para peserta dan peminat perlumbaan bergerak ke hadapan,” kata Pengasas MSF Adian Yein Khalid ketika berlangsungnya majlis pelancaran MSF Merdeka Race 2024 di Rud Karting Gamuda Cove petang tadi.

    Enam kelas perlumbaan yang dipertandingkan dalam Perlumbaan Merdeka termasuk: Rennplatz Standard Production; Rennplatz Standard Production Max; Vision HKS Super Touring; Vision HKS GT86 x BRZ Racing Cup; Super 1800; and MSF Super Production. Secara keseluruhan sejumlah RM50,000 berbentuk hadiah wang tunai disediakan untuk dimenangi tiga pemenang teratas dalam kesemua enam kelas perlumbaan.

    Kelas Rennplatz Standard Production dan Rennplatz Standard Production Max akan menawarkan hadiah wang tunai yang paling lumayan dengan juara berpeluang memenangi wang tunai RM6,200 manakala RM2,950 dan RM1,850 diperuntukkan bagi pemenang tempat kedua dan ketiga.

    Juara kategori Vision HKS Super Touring dan Vision HKS GT86 x BRZ Racing Cup, akan menerima habuan wang tunai berjumlah RM5,700. Sebanyak RM2,950 dan RM1,850 akan menjadi milik pemenang tempat kedua dan ketiga. Sementara itu, juara, tempat kedua dan ketiga kelas MSF Super 1800 dan MSF Super Production akan menerima RM4,200 dan RM1,750 dan RM1,050.

    Buat pertama kalinya, hadiah wang berjumlah RM1,000 untuk juara dan RM300 dan RM200 masing-masing untuk pemenang tempat kedua dan ketiga, juga akan ditawarkan kepada pemenang dalam perlumbaan MSF Superbikes. Enam kelas perlumbaan dua roda termasuk: Super Rookie; GP X; GP Pro; GP Masters; All-Stars; dan Super Sport.

    Untuk MSF MegaLap Time Attack pada hari Sabtu (31 Ogos 2024), pas akses paddock berharga RM20 dan boleh didapati dari Paddock Trek Selatan. Acara bermula pada pukul 7 malam hingga 11 malam.

    Untuk perlumbaan pada Ahad (1 September 2024), pintu akan dibuka bermula jam 3 petang dan pas akses Paddock Trek Utara dijual pada harga RM35 manakala caj parkir adalah RM10. Pas boleh diperolehi di pintu masuk ke Trek Utara pada hari perlumbaan. Kemasukan ke grandstand utama untuk penonton pada kedua-dua hari adalah percuma.

     
     
  • Pengendali Rapid KL, Prasarana berdepan serangan siber — jamin perkhidmatan harian tidak tergendala

    Pengendali Rapid KL, Prasarana berdepan serangan siber — jamin perkhidmatan harian tidak tergendala

    Pengendali tren dan bas Rapid KL, Prasarana telah mengesahkan berita bahawa pihaknya terlibat dalam satu kejadian berkaitan keselamatan siber yang memberi kesan terhadap sebahagian daripada sistem dalamannya. Syarikat itu menjelaskan, pasukan keselamatan sibernya telah mengenal pasti punca dan sedang menguruskan perkara itu, yang turut melibatkan pencerobohan capaian terhadap sebahagian sistemnya.

    “Kami sedang menguruskan situasi ini. Kami juga bekerjasama dengan pakar keselamatan siber untuk menyiasat dan mengambil langkah yang sepatutnya. Yang menjadi keutamaan kami adalah keselamatan dan kepercayaan terhadap pengangkutan awam. Kami mengesahkan yang kejadian ini tidak memberi kesan terhadap operasi harian kami,” jelas syarikat itu dalam satu kenyataan yang dikeluarkan semalam.

    Prasarana memaklumkan pihaknya bekerjasama dengan Agensi Keselamatan Siber Kebangsaan (NACSA) dan Keselamatan Siber Malaysia untuk memastikan semua langkah telah diambil. Kerjasama ini adalah untuk memberikan maklum balas menyeluruh dan melindungi sistem mereka.

    “Kami akan memberikan kemaskini berkaitan hal ini. Tumpuan kami ketika ini adalah untuk menyelesaikan masalah tersebut secepat mungkin bagi memastikan perkhidmatan kami sentiasa dapat memenuhi keperluan awam,” ujar kenyataan itu lagi.

     
     
  • Mitsubishi rai pemilik unit ke-40,000 Xpander CKD di Malaysia; terima baucar percutian bernilai RM10,000!

    Mitsubishi rai pemilik unit ke-40,000 Xpander CKD di Malaysia; terima baucar percutian bernilai RM10,000!

    Mitsubishi Motors Malaysia (MMM) hari ini mengumumkan bahawa MPV segmen-B tujuh-tempat duduk, Mitsubishi Xpander yang telah mula dipasang dan dijual pada pasaran tempatan sejak hampir empat tahun lalu kini sudahpun mencapai angka 40,000 unit. Bagi meraikan detik bersejarah ini, pemilik Xpander bertuah tersebut iaitu Puan Zaty Ewany dipilih sebagai pemenang peraduan “Mencari Pemilik Xpander ke-40,000” yang telah pun berlangsung bermula bulan lalu.

    Puan Zaty yang merupakan seorang guru dan Ibu kepada lima anak dari Selising, Pasir Putih Kelantan itu menerima hadiah berupa baucar percutian RM10,000, dan ia disampaikan sendiri oleh CEO MMM, Shinya Ikeda dalam satu majlis yang dilangsungkan di pengedar bertauliah MMM, RIF Auto Sdn Bhd.

    “Apabila kami melancarkan Xpander pada akhir 2020, visi kami adalah untuk mencipta kenderaan yang bukan sahaja memenuhi pelbagai keperluan pelanggan kami tetapi juga memperkayakan gaya hidup pemiliknya. Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk merakamkan ucapan terima kasih yang tulus kepada pelanggan setia kami, rakan kongsi perniagaan MMM, dan rakan media yang kepercayaan dan sokongan mereka menjadi asas kejayaan kami,” kata Ikeda.

    Mitsubishi Xpander terus dihasilkan dalam versi pemasangan tempatan (CKD) ketika dilancarkan di Malaysia menerusi kilang Hicom Automotive Manufacturers Sdn Bhd di Pekan Pahang. Unit pertama yang disiapkan menerusi kilang tersebut keluar pada Oktober 2020, dan penghantaran kepada pelanggan bermula sebulan selepas itu.

    GALERI: Mitsubishi Xpander pasaran Malaysia

     
     
  • Xpeng G6 2024 dilancar di M’sia — murah dari Tesla Model Y, hingga 570 km WLTP, harga bermula RM166k

    Xpeng G6 2024 dilancar di M’sia — murah dari Tesla Model Y, hingga 570 km WLTP, harga bermula RM166k

    Bermaz Xpeng Sdn Bhd selaku pengedar tunggal jenama kenderaan Xpeng dari China di Malaysia hari ini memperkenalkan secara rasmi model Xpeng yang pertama untuk pasaran tempatan, Xpeng G6. Model ini hadir dalam dua varian berbeza — Xpeng G6 580 Pro (Standard Range) dengan harga RM165,820 dan juga G6 755 Pro (Long Range) dengan harga RM185,820 — harga atas jalan tidak termasuk insurans. Di Malaysia, Xpeng G6 berentap secara berdepan dengan Tesla Model Y.

    Ingin dikenali sebagai Xpeng G6 Smart Coupe SUV, ia merupakan sebuah kenderaan crossover kelima yang diperkenalkan oleh pengeluarnya, Xpeng Inc. di Auto Shanghai 2023 dan merupakan model pertama jenama itu dan dibawa secara CBU untuk pasaran Malaysia. Xpeng G6 memanfaatkan platform Smart Electric Platform Architecture 2.0 (SEPA 2.0) dengan binaan 800-volt generasi baru.

    Ia merupakan sebuah binaan teknologi bersepadu yang membawakan penyelesaian senibina lebih canggih, yang akan digunakan untuk pengembangan penawaran model akan datang jenama itu. Ia juga memanfaatkan rekaan yang ringan dan kedudukan pusat graviti rendah untuk memberikan dinamik pemanduan yang lebih baik. Kerangka badannya terdiri daripada campuran aluminium ringan yang turut memberikan ketahanan untuk keselamatan.

    Xpeng G6 2024 dilancar di M’sia — murah dari Tesla Model Y, hingga 570 km WLTP, harga bermula RM166k

    Xpeng G6 dilengkapi bateri jenis lithium iron phosphate (LFP) berkapasiti 66 kWj bagi varian G6 580 Pro. Ini membolehkan janaan kuasa dari motor elektrik yang terletak di belakang membekalkan sebanyak 259 PS (255 hp atau 190 kW) dan 440 Nm tork. Pecutan 0-100 km/j dicapai dalam masa 6.6 saat, manakala laju maksimum yang mampu dicapai ialah 200 km/j. Jarak perjalanannya pula sehingga 435 km (WLTP). Angka yang dipaparkan sebagai varian model ini — 580 dan 755 — sebenarnya merujuk kepada jarak perjalanan yang diberikan mengikut kitaran CLTC di China.

    Bagi varian paling tinggi, Xpeng G6 755 Pro pula menggunakan bateri jenis Nickel Manganese Cobalt (NMC) berkapasiti 87.5 kWj yang membekalkan kuasa sebanyak 286 PS (282 hp atau 210 kW) dengan tork yang sama 440 Nm, membolehkan pecutan 0-100 km/j dicapai dalam masa 6.2 saat menuju laju maksimum 200 km/j. Jarak perjalanan yang mampu diberikan pula adalah sehingga 570 km (WLTP).

    Untuk pengecasan, model ini boleh menggunakan pengecas AC (Type 2) dengan kapasiti maksimum 11 kW, dengan kadar 5%-100% SoC boleh dicapai dalam masa 7.5 jam untuk Standard Range manakala 9.5 jam untuk Long Range. Pengecasan pantas DC pula melibatkan input yang berbeza untuk kedua-dua varian ini — varian G6 580 Pro mampu menampung input 215 kW, sementara varian 755 Pro pula mempunyai kapasiti input pengecasan 280 kW — kadar pengecasan dari 10%-80% boleh dicapai dalam masa 20 minit bagi kedua-dua varian ini.

    Xpeng G6 2024 dilancar di M’sia — murah dari Tesla Model Y, hingga 570 km WLTP, harga bermula RM166k

    Selain itu, G6 juga lengkap dengan fungsi vehicle-to-load (V2L) dengan kapasiti 3.3 kW dengan adapternya perlu didapatkan sendiri kerana tidak disediakan.

    Dari sudut dimensi, Xpeng G6 mempunyai ukuran 4,753 mm panjang, 1,920 mm lebar, 1,650 mm tinggi dengan jarak roda 2,890 mm. Ukuran ini hampir sama dengan dimensi Tesla Model Y yang mempunyai 4,751 mm panjang, 1,920 mm lebar, 1,624 mm tinggi dengan jarak roda 2,891 mm. G6 mempunyai ruang but 571 liter yang boleh dilanjutkan menjadi 1,374 liter dengan penyandar kerusi belakang (lipatan 60:40) direbahkan.

    Tentang perbezaannya dengan Tesla Model Y, model asasnya menawarkan jarak 455 km (WLTP), dengan 0-100 km/j dalam masa 6.9 saat dan laju maksimum 217 km/j (Tesla tidak menyatakan output model ini di laman rasmi). Varian Model Y yang lebih tinggi hadir dengan pacuan Long Range All-Wheel Drive, dengan harga RM238,000 dan RM280,000 untuk versi Performance — Xpeng G6 hanya hadir dengan tetapan 2WD sahaja.

    Selain perbezaan dari segi sistem dan output janaan kuasa, kedua-dua varian Xpeng G6 ini hadir dengan kelengkapan yang sama. Ini termasuklah lampu utama LED automatik, cermin sisi dengan pemanas, bukaan pintu elektrik, bumbung kaca panoramik, pintu ruang barangan belakang berkuasa, pengilap cermin dengan sensor, sistem pintar tanpa kunci, stereng dengan pemanas, pelantar pengacasan tanpa wayar 50W, sistem bunyi dengan 18-pembesar suara (jenama Xopera) serta sistem pendingin dua-zon dengan corong di belakang serta penapis PM2.5.

    Kemasan dalaman boleh dipilih antara hitam atau kelabu dengan balutan kulit buatan, dengan kerusi larasan kuasa di depan dengan bukaan liang (hanya untuk pemanas di belakang). Untuk paparan, ia menggunakan set cip Qualcomm Snapdragon 8155 dengan perisian operasi Xmart OS dengan skrin kluster instrumen digital 10.2-inci serta skrin sentuh 14.96-inci di tengah.

    Sistem infotainem pula datang dengan bantuan suara digital dan menyokong sambungan 4G, kemaskini over-the-air (OTA), navigasi pintar serta sambungan tanpa wayar untuk Android Auto dan Apple CarPlay.

    Dari segi keselamatan, Xpeng G6 ini antara lain dilengkapi dengan tujuh beg udara dan child lock elektronik. Ia juga hadir dengan sistem bantuan aktif pemandu Xpilot 2.5 yang memanfaatkan rangkaian lima radar gelombang-milimeter, 12 penderia ultrasonik dan 12 kamera HD 360-darjah yang dikuasakan oleh set cip Nvidia Orin-X — yang turut memaparkan pandangan trafik panoramik untuk pemandu di kluster instrumennya.

    Ciri keselamatan aktif ini juga turut terdiri daripada barisan ciri seperti Adaptive Cruise Control (ACC) dengan Stop & Go, Lane Centering Control (LCC), Active Lane Change (ALC), Enhanced Auto Parking Assist (EAP 2.0), Auto Exit Parking Assist (AEP) dan Straight Summon melalui aplikasi mudah alih Xpeng, Driver State Monitoring (DSM), Autonomous Emergency Braking (AEB), Intelligent High Beam (IHB), Blind-spot Detection (BSD), Lane Departure Warning (LDW), Lane Keeping Assist (LKA), Emergency Lane Keeping (ELK), Rear Cross-Traffic Alert (RCTA) dan Rear Collision Warning (RCW).

    Melalui aplikasi mudah alihnya, turut tersedia fungsi seperti pemeriksaan status kenderaan, kunci dan membuka kunci pintu, status tekanan tayar serta mengawal pendingin. Satu ciri uniknya ialah Enhanced Auto Parking Assist (EAP 2.0) yang membantu pemandu untuk masuk ruang parkir secara depan, mengiring atau bersudut dengan atau tanpa garisan tersedia. Pengguna boleh juga memanfaatkan fungsi Auto Exit Parking Assist (AEP) menerusi aplikasi mudah alih untuk mengeluarkan kenderaan dari petak parkir.

    Terdapat lima pilihan warna disediakan — Midnight Black, Silver Frost, Artic White, Graphite Grey dan Fiery Orange. Ia hadir dengan jaminan pengeluar selama lima-tahun/120,000 km, sementara bateri diberikan jaminan lapan-tahun atau 160,000 km (yang mana dahulu).

    Dengan tambahan RM4,300, pelanggan boleh mendapatkan pengecas wallbox fasa tinggan 7 kW, harga termasuk pemasangan. Ada juga pilihan untuk pengecas tiga-fasa berkapasiti 11 kW dengan kos tambahan RM5,000.

    Xpeng G6 755 Pro Long Range

    Xpeng G6 580 Pro Standard Range

     
     
  • Volkswagen Golf Fan Fest 2024 kumpul 370 Golf, catat himpunan terbesar dalam Malaysia Book Of Records

    Volkswagen Golf Fan Fest 2024 kumpul 370 Golf, catat himpunan terbesar dalam Malaysia Book Of Records

    Volkswagen Golf Fan Fest 2024, acara yang dianjurkan oleh Volkswagen Passenger Cars Malaysia (VPCM) untuk meraikan ulangtahun ke-50 Volkswagen Golf telah dilangsungkan dengan jayanya pada 24 Ogos lalu di Litar Antarabangsa Sepang. Dan paling manis, acara berkenaan telah berjaya mencatatkan rekod dalam Malaysian Book of Records sebagai “Perhimpunan Volkswagen Golf Terbesar”.

    Sejumlah 370 unit Volkswagen Golf dari pelbagai generasi dan varian berjaya dihimpunkan oleh VPCM pada satu tempat bagi mencatatkan rekod tersebut. Sijil rekod berkenaan telah disampaikan kepada pengarah urusan VPCM, Denyu Bostandzhiev pada hari itu juga.

    Selain dari berhimpun, turut diadakan ketika perhimpunan ini berlangsung adalah acara ‘Golf Showdown’ di mana pemilik-pemilik VW Golf dapat menonjolkan kereta kesayangan masing-masing untuk merebut pelbagai hadiah menarik. Sebanyak lima kategori yang dipertandingkan dalam Golf Showdown ini iaitu Timeless Legends (Mk1 dan Mk2), Modern Classic (Mk3 dan Mk4), Era Definers (Mk5 dan Mk6), Next Gen Masters (Mk7 dan Mk8) serta Most Hardcore Golf (Mk1 hingga Mk8).

    Bukan hanya perhimpunan statik, pemilik Golf yang gemar memandu juga berpeluang menonjolkan kemahiran masing-masing dalam acara ‘Golf Gymkhana’ dan acara pemanduan litar. Pengunjung juga berpeluang merasai kemampuan sebenar model paling berkuasa dalam barisan model Golf yang dipandu pemandu professional menerusi sesi Golf R Drift Taxi Rides.

    Pelbagai acara juga dilangsungkan di Paddock Club Litar Antarabangsa Sepang ini antaranya peringkat akhir peraduan Volkswagen’s Biggest Golf Fan yang membabitkan lapan finalis bertanding untuk merebut hadiah utama dan meraih gelaran ‘Peminat Golf no.1’ di Malaysia.

    Juga ada ruang pameran khas menyajikan kesemua lapan generasi Golf untuk mengenang sejarah 50 tahun model ikonik ini, serta penampilan model edisi khas yang baru sahaja didedahkan baru-baru ini iaitu Golf GTI Edition 50 yang dipadankan kit badan Oettinger dan pelbagai aksesori menarik.

    Pengunjung juga dapat melibatkan diri dalam perbincangan ilmiah dan juga bengkel yang merangkumi pelbagai aspek pemilikan – kisah kehidupan sebenar bersama nasihat langsung. Pasukan pengajar pemanduan profesional juga turut memberi ceramah dan berkongsi petua tentang pemanduan defensif serta asas-asas penting dalam pemanduan harian yang tidak diajar oleh sekolah memandu.

    Acara ini turut memberikan keseronokan untuk seisi keluarga dengan disediakan simulator perlumbaan, trek Tamiya dan seni pasir untuk kanak-kanak, serta banyak makanan dan minuman seperti Kopi Beetle, Koppiku, Softsrve, Strangers at 47 dan Tutti Frutti.

    Volkswagen Golf Fan Fest 2024 ini disokong oleh Trapo, Bridgestone, Kuzig Glanz Detailing, Mangala Estate, Maxtag dan Sony, dan pengunjung diberikan tawaran eksklusif daripada rakan kongsi acara tersebut. Trapo menawarkan 15% di seluruh kedai termasuk filem penapis, coating dan PPF, serta pakej depan penuh filem PPF Trapo Pro+ pada harga RM2,999 (bernilai RM3,700).

     
     
  • JPJ eBid: Siri SJH dan SMQ bakal dibuka bidaan

    Bagi yang mencari-cari plat nombor pendaftaran untuk kenderaan baharu, ini ada lagi pilihan siri baharu yang kedua-duanya dari Sabah telah diumumkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ). Seperti biasa, bidaan dilakukan menerusi platform dalam talian, JPJ eBid.

    Siri plat nombor SJH, bakal dibuka bidaan mulai 5 September 2024. Diberikan tempoh bidaan selama lima hari dan ia akan berakhir jam 10 malam pada 9 September ini. Keputusannya akan dikeluarkan pada keesokan harinya, 10 September 2024. Keseluruhan proses adalah secara dalam talian, dan pembida akan menerima berita baik dan buruk juga menerusi e-mel.

    Manakala bagi siri nombor pendaftaran SMQ pula, bidaannya akan dibuka mulai 12 September 2024. Ia berlangsung selama lima hari dan akan berakhir jam 10 malam pada 16 September 2024. Keputusannya akan dikeluarkan sehari selepas bidaan ditutup iaitu pada 17 September ini.

    Dah tak perlu nak dapatkan khidmat pihak ketiga termasuk runner yang adakalanya menetapkan kadar caj yang tidak masuk akal. Jadi, anda boleh lakukan sendiri bidaan ini. Untuk mengetahui cara-cara untuk membida menerusi JPJ eBid, anda boleh KLIK PAUTAN INI.

     
     
  • Polis JB guna bas untuk ‘pukat’ mat rempit; 115 motosikal disita dalam operasi bersama JPJ, JAS

    Polis JB guna bas untuk ‘pukat’ mat rempit; 115 motosikal disita dalam operasi bersama JPJ, JAS

    Polis Johor Bahru Selatan telah mengendalikan operasi bersepadu di Jalan Skudai-Pantai Lido, Johor Bahru yang bermula jam 5 petang pada Ahad baru-baru ini dan berakhir kira-kira 1 pagi Isnin, melibatkan lebih 100 anggota dan pengawai penguatkuasa beberapa agensi, menurut Buletin TV3.

    Menariknya, operasi bersepadu tersebut turut menggunakan dua buah bas bagi menghalang atau menyekat pergerakan mat rempit dari melarikan diri selepas menyedari kehadiran pihak berkuasa di lokasi berkenaan. Menerusi rakaman yang dikongsikan, sekurang-kurangnya seorang penunggang motosikal dapat dicekup, sementara dua lagi penunggang sempat melarikan diri.

    Di belakang bas berkenaan, terdapat beberapa lagi kenderaan polis. Malah beberapa motosikal yang ditunggangi anggota penguatkuasa yang memakai baju biasa turut menyekat pergerakan trafik di persimpangan lampu isyarat.

    Menerusi kenyataan yang dikeluarkan, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, ACP Raub Selamat berkata, tindakan itu membuahkan hasil apabila 286 individu bersama 257 buah kenderaan telah diperiksa. Di mana sebanyak 153 saman atas pelbagai kesalahan turut dikeluarkan termasuk tidak mempunyai lesen memandu, ubahsuai struktur kenderaan dan pelbagai kesalahan lain.

    Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) juga telah mengeluarkan saman 54 saman mengikut seksyen Akta Pengangkutan Jalan 1987 atas pelbagai kesalahan. Manakala Jabatan Alam Sekitar (JAS) mengeluarkan 46 saman dan 52 notis arah periksa terhadap individu yang menunggang motosikal yang mengeluarkan bunyi melebihi paras yang ditetapkan.

    Selain itu, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Johor Bahru Selatan turut menahan seorang lelaki warga tempatan berumur 28 tahun kerana positif dadah jenis metahamphetamine setelah menjalani ujian saringan air kencing. Kesalahan disiasat di bawah seksyen 15(1)(a) akta dadah berbahaya 1952. Jika disabit kesalahan, pesalah boleh dikenakan hukuman penjara sehingga tiga tahun dan denda sehingga RM5,000.00 serta menjalani pengawasan polis selama dua tahun.

    “Kerjasama dengan agensi-agensi yang terlibat itu merupakan langkah positif dalam memastikan keselamatan dan meningkatkan kesedaran di kalangan pengguna jalan raya terutama penunggang motosikal tentang undang-undang dan peraturan lalu lintas,” katanya lagi.

     
     
  • VinFast dilapor akan keluar dari pasaran Thailand; hanya 5 bulan bertapak, pengedar belum sempat buka

    VinFast dilapor akan keluar dari pasaran Thailand; hanya 5 bulan bertapak, pengedar belum sempat buka

    Pengeluar automotif dari Vietnam, VinFast baru sahaja mengumumkan kemasukan rasminya ke pasaran Thailand ketika berlangsungnya Bangkok International Motor Show (BIMS) April lalu dengan menandatangani kerjasama bersama 15 pengedar, serta mensasarkan untuk melancarkan pelbagai model EV sebelum akhir tahun ini di sana.

    Walau bagaimanapun tidak sampai lima bulan perjanjian itu berlangsung, VinFast dilaporkan pula mahu keluar dari pasaran Thailand. Perkara ini dilaporkan oleh portal automotif Thailand, Headlightmag dalam satu hantaran Facebook yang dibuat yang menyatakan khabar yang bertiup menunjukkan VinFast Thailand telah menghentikan semua operasi mereka.

    Menurut Headlightmag lagi, VinFast mengambil keputusan tersebut kerana ia tidak mampu untuk bersaing dalam perang harga dari jenama-jenama EV dari China yang sedang berlangsung di Thailand buat masa sekarang. Manakala pengedar-pengedar yang terlibat kini sedang memfailkan tuntutan pampasan atas kerugian yang perlu ditanggung dari pelaburan tersebut.

    VinFast dilapor akan keluar dari pasaran Thailand; hanya 5 bulan bertapak, pengedar belum sempat buka

    Berita ini muncul beberapa hari selepas VinFast dilaporkan menangguhkan pembukaan jaringan pengedar di Thailand atas alasan kelembapan jualan kenderaan penumpang di Thailand buat masa sekarang. VinFast juga dikatakan kini sedang mencari negara ASEAN lain untuk bertapak, dengan sasaran untuk masuk ke pasaran Filipina.

    Manakala dalam laporan Bloomberg, VinFast dilapor membuat kenyataan yang disiarkan menerusi email menyatakan bahawa ia akan “membuat penilaian dengan berhati-hati” masa untuk mula menjual model-model EVnya di Thailand. “Kami telah menangguhkan pelancaran pengedar kami di Thailand untuk memastikan infrastruktur dan operasi kami sejajar dengan piawaian global VinFast,” kata syarikat itu dalam kenyataan yang dikeluarkan.

    Sebelum ini syarikat tersebut mengumumkan cita-cita besarnya untuk melebarkan pasarannya sekurang-kurangnya ke 50 negara tahun ini, serta mahu membina kilang pemasangan baharu di Indonesia susulan pelancaran model VF5 di sana. Namun dengan pelbagai laporan yang muncul, VinFast nampaknya kini sedang bergelut dengan pelbagai cabaran dan mungkin perlu mengubah rangcangannya.

    Selain dari masalah yang berlaku di Thailand ini, bulan lalu VinFast turut mengumumkan ia perlu menangguhkan pembukaan kilangnya di North Carolina, Amerika Syarikat sehingga tiga tahun iaitu pada 2028, untuk mengurus perbelanjaan jangka pendek “dengan lebih berkesan” dan menumpukan sumber pada sasaran pertumbuhan jangka pendek.

    VinFast sebelum ini turut dilihat telah menguji dua modelnya di sini iaitu VF e34 dan VF5. Namun sehingga sekarang masih belum ada kenyataan rasmi sama ada ia akan membuka operasinya di Malaysia atau tidak.

     
     
  • BYD Seal 06 GT 2024 terdedah sebelum pelancaran rasmi di China – hot-hatch EV sehingga 421 PS

    BYD Seal 06 GT 2024 terdedah sebelum pelancaran rasmi di China – <em>hot-hatch</em> EV sehingga 421 PS

    BYD bakal memperluaskan lagi portfolio barisan model-model EVnya, dan tak lama lagi ia bakal melancarkan hot-hatch yang diberi nama Seal 06 GT. Namun sebelum pendedahan rasminya dibuat di Chengdu Motor Show lewat bulan ini, maklumat-maklumat awalannya sudahpun tersiar di laman sesawang rasmi Kementerian Industri dan Teknologi Maklumat (MIIT) China.

    Model konsep untuk Seal 06 GT ini telah pun dipamerkan di Auto China 2024 yang berlangsung di Beijing April lalu, tampil dengan kit badan yang agak liar dikenali sebagai Ocean-M. Untuk model produksi sebenar ini tiada kit aero tersebut diberikan, namun ia masih tampil dengan bentuk badan dan rekaan lampu-lampu yang sama.

    Hatchback ini juga diberitahu akan diletakkan di antara Seal sedan dan Dolphin dalam hieraki model BYD. Berdasarkan maklumat dari laman MIIT tersebut, model produksi Seal 06 GT ini akan ditawarkan dalam versi motor tunggal pacuan roda belakang berkuasa 218 PS dan juga versi pacuan semua roda dengan dua motor berkuasa 421 PS. Jadi ia nampaknya bakal berhadapan terus dengan MG4 EV XPower yang tampil dengan kuasa keseluruhan 435 PS.

    Namun dari segi saiz, Seal 06 GT ini adalah sedikit lebih besar dengan dimensi 4,630 mm panjang, 1,880 mm lebar, 1,490 mm tinggi dan jarak roda sejauh 2,820 mm, berbanding MG4 EV XPower menampilkan dimensi 4,287 mm panjang, 1,836 mm lebar, 1,516 mm tinggi dan jarak roda 2,705 mm.

    Bahagian kabin hot-hatch ini menerima rekaan yang disifatkan sebagai organik menampilkan banyak rekaan berlengkuk diberikan. Skrin paparan instrumen dan infotainmen juga agak besar, manakala liang penghembus udara tengah terletak agak ke bawah dan bersambung dengan bahagian konsol terowong.

    BYD Seal 06 GT 2024 terdedah sebelum pelancaran rasmi di China – <em>hot-hatch</em> EV sehingga 421 PS

    Ketika masih dalam bentuk konsep Ocean-M, BYD menyatakan bahawa model produksinya nanti mungkin akan dijual pada harga antara 150,000 hingga 200,000 yuan (sekitar RM91k hingga RM122k). Di Malaysia BYD Seal sedan dijual pada harga atas jalan tanta insuran bermula RM180,430 untuk model asas Premium (Extended Range) yang berkuasa 313 PS menerusi satu motor tunggal pacuan belakang, manakala model varian tertinggi Performance dengan dua motor AWD berkuasa 530 PS pula dijual pada harga RM200,430.

    Sekiranya model hatchback ini diletakkan dibawah satu anak tangga berbanding Seal sedan, ia mungkin akan dijual pada harga lebih rendah sekiranya dibawa ke Malaysia kelak. Anda rasa bagaimana, adakah model dengan rupa lebih sporty ini akan mendapat lebih sambutan di sini?

     
     
  • GALERI: Kia EV9 2024 di Malaysia – 6 /7 tempat duduk; GT-Line, 385 PS AWD; jarak gerak 505 km; dari RM370k

    GALERI: Kia EV9 2024 di Malaysia – 6 /7 tempat duduk; GT-Line, 385 PS AWD; jarak gerak 505 km; dari RM370k

    Dilancarkan di pasaran Malaysia pada awal Jun lalu, kini kami membawakan pula galeri foto SUV elektrik penuh Kia EV9 2024 untuk tatapan anda. Bagi pasaran tempatan, ia didatangkan dengan model import sepenuhnya (CBU), EV9 ditawarkan dengan dua versi, kedua-duanya berkongsi pengayaan GT-Line dan penjana kuasa yang sama.

    Untuk galeri ini, ia merupakan versi tujuh-tempat duduk yang dijual pada harga atas jalan RM369,668 tanpa insurans, manakala satu lagi versi ialah enam-tempat duduk yang berharga sedikit tinggi iaitu mencecah RM374,668. Setiap pembeliannya didatangkan dengan waranti pengeluar lima-tahun/150,000 km, waranti bateri lapan-tahun/160,000 km serta lapisan cermin gelap V-Zion.

    Untuk penjana kuasanya, SUV elektrik tiga-barisan tempat duduk ini dijana oleh bateri bervoltan tinggi 99.8 kWh, dan dilengkapi dengan dua motor elektrik yang menyalurkan kuasa ke gandar hadapan dan belakang menerusi transmisi e-Shift. Satu pengecasan penuh membolehkan EV9 mencapai jarak gerak hingga 505 km. Janaan kuasa keseluruhannya mencecah 380 hp dan 700 Nm tork. Membolehkannya dipecut dari 0-100 km/j dalam 5.3 saat dan kelajuan maksimum cecah 200 km/j.

    GALERI: Kia EV9 2024 di Malaysia – 6 /7 tempat duduk; GT-Line, 385 PS AWD; jarak gerak 505 km; dari RM370k

    Baterinya boleh dicas menggunakan pengecas AC Type 2 dengan 11 kW yang akan mengambil masa sekitar 10 jam 30 minit untuk penuh. Dengan pengecas pantas DC CCS2 350 kW pula, ia boleh dicas dari 10%-80% dalam 24 minit. Dengan sistem pengecas Integrated Charging Control Unit (ICCU), model ini juga lengkap dengan ciri vehicle-to-load (V2L) berkapasiti hingga 3.6 kW untuk membekalkan kuasa bagi aksesori dan peranti elektrik.

    Kia EV9 2024 merupakan model kedua Kia yang menggunakan Electric Global Modular Platform (E-GMP). Ia mempunyai ukuran dimensi 5,010 mm panjang, 1,980 mm lebar, 1,755 mm tinggi dengan jarak roda 3,100 mm. Jarak kelegaan tanahnya pula cecah 177 mm.

    Suspensinya menggunakan jenis MacPherson di hadapan dan jenis multi-link di belakang. Manakala sistem breknya pula menggunakan cakera berliang untuk kedua-dua bahagian hadapan dan belakang.

    Bagi kelengkapan luarannya, EV9 ini dtberikan lampu utama projektor LED automatik rekaan-kiub, lampu nyalaan siang LED, lampu belakang LED, lampu kabus belakang LED, pengilap cermin dengan pengesan hujan, roda aloi 21-inci dengan tayar 285/45, bumbung suria, tailgate kuasa, dan penderia parkir sekeliling. EV9 spesifikasi Malaysia juga menerima kamera yang ditempatkan pada cermin sisi, dengan visual video dipaparkan pada paparan khas berhampiran tiang-A di dalam kenderaan.

    GALERI: Kia EV9 2024 di Malaysia – 6 /7 tempat duduk; GT-Line, 385 PS AWD; jarak gerak 505 km; dari RM370k

    Di dalam, EV9 2024 menampilkan papan pemuka panoramik apungan yang seakan bersambung dari roda stereng hingga ke bahagian tengah kabin. Ia dilengkapi dengan dua skrin sentuh 12.3-inci yang disepadukan dengan skrin paparan 5-inci digital, butang penghidup enjin, brek parkir elektronik dan cermin pandang belakang paparan penuh jenis kamera.

    Selain itu, SUV elektrik ini juga diberikan sistem audio Meridian® dengan 14-pembesar suara, suis mod pemanduan, pedal penukar gear di belakang stereng, pendingin hawa automatik dua-zon, pengecas telefon pintar tanpa wayar, dua unit soket kuasa serta empat unit USB port.

    Kedua-dua varian ini menawarkan konfigurasi barisan pertama dan kedua tempat duduk dengan rekaan ala lounge, menyerlahkan sisi kemewahan dan keselesaannya. Bagi tempat duduk pemandu, ia diberikan ciri larasan kuasa empat-arah dengan fungsi mengurut dan Premium Relaxion. Manakala untuk tempat duduk penumpang hadapan, ia juga hadir dengan larasan kuasa dua-arah dengan fungsi Premium Relaxion — dengan semua kerusi dibalut dengan kulit.

    Bagi aspek keselamatan, Kia EV9 2024 dilengkapi dengan ciri standard yang merangkumi 10-beg udara (hadapan pemandu dan penumpang, bahagian lutut pemandu, sisi, tirai dan sisi tengah), ABS, Kawalan Kestabilan Elektronik (ESC), Bantuan Keluar Selamat (SEA), Sistem Kawalan Cengkaman (TCS), EBD, Bantuan Brek (BA), Kepekaan Penumpang Belakang (ROA), cagak ISOFIX untuk barisan kedua dan ketiga serta Kawalan Bantuan Mula Mendaki (HAC).

    Bukan itu sahaja, SUV ini turut tampil dengan Ciri Keselamatan Termaju yang terdiri daripada Bantuan Lampu Tinggi (HBA), Bantuan Pengelak Pelanggaran Parkir (PCA), Bantuan Mengelak Pelanggaran Titik Buta (BCA), Bantuan Pelanggaran Trafik Lintasa Belakang (RCCA), Pemantauan Pandangan Titik Buta (BVM, Bantuan Kekal Lorong (LKA), Amaran Perhatian Pemandu (DAW), Bantuan Ikut Lorong (LFA2), Kawalan kelajuan Pintar (SCC) dan Bantuan Mengelak Pelanggaran Hadapan (FCA2).

    Model CBU dari Korea Selatan ini ditawarkan dengan lima pilihan warna iaitu Ocean Blue, Snow White Pearl, Pebble Gray, Aurora Black Pearl dan Iceberg Green. Adakah dengan sistem mekanikal dan ciri kelengkapan yang diberikan, adakah EV9 2024 ini dilihat berpadanan dengan harga yang ditetapkan? Kongsikan pendapat anda menerusi ruangan komen di bawah.

     
     
  • Volvo EX30 bakal dilancar di Malaysia 25 September ini

    Volvo EX30 bakal dilancar di Malaysia 25 September ini

    Selepas membuka pendaftaran minat untuk EV terbaharu EX30 secara dalam talian baru-baru ini, Volvo Cars Malaysia dalam satu emel pemasaran mendedahkan bahawa model berkenaan bakal dilancarkan di sini pada 25 September nanti.

    Model ini dijangka akan terus diperkenalkan dalam versi pemasangan tempatan (CKD) di Malaysia, di mana ia telah dilihat dibawa oleh lori pengangkut tempoh hari, berkemungkinan merupakan unit-unit yang bakal dieksport keluar menerusi Pelabuhan Klang selepas ia disiapkan oleh kilang Volvo di Shah Alam.

    Volvo EX30 ini merupakan SUV EV paling kecil ditawarkan oleh Volvo, didedahkan pada peringkat global Jun tahun lalu, dan pada separuh pertama tahun ini sahaja sebanyak 48,000 unit EX30 telah terjual di seluruh dunia. Ia juga sudahpun dilancarkan di Thailand pada September tahun lalu, dengan unit yang di bawa dari China, tetapi mungkin selepas ini akan digantikan dengan stok yang diimport dari Malaysia.

    Di Thailand EX30 ditawarkan dalam tiga varian. Dua varian paling rendah iaitu Core Single Motor Extended Range dan Ultra Single Motor Extended Range digerakkan hanya dengan sebuah motor elektrik berkuasa 272 PS/343 Nm yang hanya memacu roda belakang.

    Volvo EX30 bakal dilancar di Malaysia 25 September ini

    Manakala varian tertinggi Ultra Twin Motor Performance pula diberikan dua motor elektrik masing-masing memacu gandar hadapan dan belakang, memberikan kebolehan sistem pacuan roda pada SUV ini dengan kuasa keseluruhan 428 PS dan tork maksima 543 Nm.

    Namun ketiga-tiga varian berkenaan menampilkan bateri nikel mangan kobalt (NMC) berkapasiti 69 kWj. Ini membolehkan model dengan motor tunggal bergerak sejauh 480 km dalam kitaran ujian WLTP, manakala model dengan dua motor yang lebih pantas pula boleh bergerak sejauh 460 km dengan satu cas penuh bateri.

    Bateri berkenaan mampu menerima pengecas AC dengan input maksima 11 kW bagi membolehkan kuasa dipenuhkan dalam masa 7.5 jam. Manakala dengan pengecas pantas DC yang mampu menangani sehingga 153 kW pula membolehkan jumlah cas dipenuhkan dari 10-80% hanya dalam masa 26.5 minit.

    Volvo EX30 bakal dilancar di Malaysia 25 September ini

    Model ini juga telah dilancarkan di Indonesia, tetapi ia hanya ditawarkan dalam versi motor tunggal pacuan belakang sahaja, namun hadir dengan dua jenis bateri berbeza. Varian asas yang digelar Plus di sana menawarkan bateri lithium logam fosfat (LFP) berkapasiti 51 kWj untuk jarak gerak 344 km. Manakala varian paling tinggi yang digelar Ultra Extended Range pula diberikan bateri NMC 69 kWj untuk jarak gerak sejauh 479 km.

    Masih belum ada bayangan spesifikasi EX30 yang ditawarkan di Malaysia kelak. Dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh VCM hari baru-baru ini, hanya beberapa perincian yang disebut membayangkan ia akan diberikan pada model pasaran Malaysia nanti seperti sistem bantuan parkir baharu, antara muka sistem infotainmen yang intuitif dengan Google Built-in, sistem Pilot Assist yang dinaik taraf dan kesedaran sekeliling 360° yang lebih selamat dan dibantu oleh kamera, sensor dan radar.

    Harga untuk model pasaran Malaysia juga masih belum diberikan sebarang bayangan, namun harga jualannya di dua pasaran ASEAN lebih besar tadi mungkin boleh dijadikan panduan. Di Thailand, EX30 dijual pada harga bermula 1.59 juta baht (RM209,061) sehingga 1.89 juta baht (RM248,506), manakala di Indonesia pula ia dijual pada harga bermula 890,000,000 rupiah (RM253,636) hingga 1,160,000,000 rupiah (RM330,615).

    GALERI:Volvo EX30 di GIIAS 2024

     
     
  • GALERI: Yamaha PG-1 versi ubah suai pelbagai gaya

    GALERI: Yamaha PG-1 versi ubah suai pelbagai gaya

    Semasa pelancaran Yamaha PG-1 Sabtu lalu, Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) turut mempamerkan beberapa buah kapcai gaya adventure tersebut dalam versi yang sudah diubah suai oleh pembina tempatan dan juga yang menggunakan aksesori daripada Yamaha sendiri.

    Pelbagai konsep cuba diketengahkan, dan yang berwarna kuning contohnya mungkin boleh dipanggil sebagai ‘bratstyle‘. Lebih sesuai digunakan dalam kawasan bandar, antara ubah suai yang menyerlah adalah seperti pemegang, tempat duduk serta sissy bar di belakang.

    Kemudiannya beberapa perincian lain dibuat bagi menyesuaikan gayanya termasuk fender lebih tinggi, lampu bulat kecil berwarna kuning, meter analog bulat, fender belakang pendek serta penyerap hentak belakang dengan tabung gas.

    Berada di sebelahnya adalah satu lagi PG-1, tetapi dengan konsep yang berbeza, iaitu cafe racer. Sesuai dengan karekter tersebut, pemegangnya diletakkan lebih rendah, tempat duduk hanya tinggal satu dan fender hadapan juga lebih pendek. Untuk menjadikannya unik, di bahagian kiri terdapat tempat untuk meletakkan skateboard.

    PG-1 berwarna hijau gelap dengan celoreng hitam pula tampil dengan gaya lebih ganas, dipasang pelindung pada tempat-tempat penting dan ada antara aksesori yang digunakan datang sendiri daripada Yamaha. Menurut HLYM, aksesori ini turut akan dijual secara pakej melalui pengedarnya.

    Satu lagi contoh PG-1 yang dibawa dipasang dengan aksesori Givi, iaitu beg di bahagian tepi dan belakang, lengkap bersama tapaknya. Kemudian di bahagian tengah pemegang juga diletakkan satu lagi beg khas untuk barang-barang kecil.

     
     
  • Marshal tahan kenderaan lain di pusingan-U untuk bagi laluan pada konvoi motosikal berkuasa tinggi

    Marshal tahan kenderaan lain di pusingan-U untuk bagi laluan pada konvoi motosikal berkuasa tinggi

    Berkali-kali Polis DiRaja Malaysia (PDRM) memberikan amaran bahawa semua pengiring atau marshal kumpulan konvoi sama ada kereta mahu pun motosikal tidak dibenarkan sama sekali mengawal lalu lintas sesuka hati.

    Walau bagaimana pun, amaran PDRM ini sering kali ‘dipandang sepi’ oleh segelintir individu yang ‘dilantik’ sebagai marshal untuk menghalang kenderaan lain semata-mata mahu memberikan laluan kepada kumpulan konvoi yang diiringinya.

    Perkongsian dari laman X/Twitter oleh @update11111 yang memaparkan rakaman dashcam bertarikh 25 Ogos 2024, kira-kira jam 8.39 pagi, memaparkan aksi seorang marshal menghalang laluan di pusingan-U hadapan Hotel Flamingo, Ampang, bagi memberikan laluan kumpulan konvoi motosikal berkuasa besar.

    Walau bagaimana pun, pemandu yakni kenderaan yang merakam visual ini, tidak memberhentikan kenderaanya, sebaliknya meneruskan perjalanan melewati konvoi berkenaan.

    Marshal tahan kenderaan lain di pusingan-U untuk bagi laluan pada konvoi motosikal berkuasa tinggi

    Video yang dikongsikan ini mendapat perhatian para netizen yang rata-ratanya mengecam tindakan kumpulan konvoi terbabit. Malah ada yang menyarankan agar ahli konvoi terbabit mendapatkan khidmat polis pengiring untuk kelancaran perjalanan, dan tidak kurang juga yang meminta supaya PDRM mengambil tindakan sewajarnya terhadap marshal kumpulan konvoi ini yang selamba halang lalulintas.

    PDRM sebelum ini banyak kali berkata, orang awam atau pengguna jalan raya berhak untuk mengingkari perintah marshal ini sekiranya mereka melakukan tugas-tugas trafik seperti meminta anda memberikan laluan, memberhentikan kenderaan di persimpangan jalan, melencongkan kenderaan anda dan pelbagai lagi.

    “Mana-mana individu atau kumpulan yang menjalankan tugas trafik tanpa anggota trafik boleh diambil tindakan di bawah Seksyen 21 Akta Polis 1967 atau Seksyen 79(2) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” kata PDRM menerusi kenyataan yang pernah dikeluarkan beberapa tahun yang lalu.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (-0.04)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.90 (-0.04)
EURO 5 B7 RM3.10 (-0.04)
Last Updated Aug 14, 2025