Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Paip pecah punca permukaan jalan rosak di Jln Sultan Ismail – kerja baikpuih dijangka selesai dalam 24 jam

    Paip pecah punca permukaan jalan rosak di Jln Sultan Ismail – kerja baikpuih dijangka selesai dalam 24 jam

    Pengurusan Air Selangor (Air Selangor) berkata kerja-kerja membaiki paip pecah di jalan susur di Jalan Sultan Ismail sedang dijalankan. Seperti yang dilaporkan oleh The Star, semalam syarikat konsesi berkenaan berkata kerja baik pulih tersebut dijangka akan selesai dalam tempoh 24 jam, bergantung pada cuaca.

    Malahan syarikat berkenaan juga menafikan dakwaan bahawa berlaku mendapan di sepanjang jalan terbabit, seperti mana spekulasi yamg timbul susulan video yang tular menerusi media sosial yang memaparkan limpahan air keluar dari lubang berkenaan yang merosakkan permukaan jalan. Kawasan berkenaan juga ditutup kepada lalu lintas dan kelihatan pihak Bomba turut berada di lokasi berkenaan.

    “Dimaklumkan bahawa, berdasarkan hasil siasatan yang dijalankan mendapati terdapat paip Air Selangor yang telah pecah dan telah menyebabkan kerosakan pada permukaan jalan,” kata Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menerusi perkongsian di Facebook rasminya.

     
     
  • Omoda C9 ditunjuk di Malaysia — 2.0L turbo 261 PS/400 Nm, 2WD/AWD, dijual oleh Jaecoo dari RM185k

    Omoda C9 ditunjuk di Malaysia — 2.0L turbo 261 PS/400 Nm, 2WD/AWD, dijual oleh Jaecoo dari RM185k

    Jaecoo Malaysia hari ini mempertontonkan sebuah lagi model SUV untuk pasaran Malaysia selepas Jaecoo J7 dan J8 yang juga pernah ditunjuk sebelum ini. Model yang dimaksudkan ialah Omoda C9, yang menjadi model premium Omoda pertama bakal dipasarkan oleh Jaecoo untuk pasaran tempatan.

    Omoda 5 dan Omoda E5 yang dilancarkan di Malaysia sebelum ini akan terus dipasarkan dan dikendalikan di bawah Chery Malaysia — kedua-dua syarikat tersebut bernaung di bawah payung yang sama.

    Omoda C9 dijangka akan dilancarkan di Malaysia pada Disember nanti, dan akan dipasang di kilang Chery Shah Alam. Dua varian akan ditawarkan — versi 2WD dengan harga anggaran RM185,000 manakala versi AWD dengan harga RM195,000.

    Omoda C9 ditunjuk di Malaysia — 2.0L turbo 261 PS/400 Nm, 2WD/AWD, dijual oleh Jaecoo dari RM185k

    Omoda C9 merupakan SUV dalam segmen D, dan mempunyai ukuran dimensi 4,775 mm panjang, 1,920 mm lebar, 1,671mm tinggi dengan jarak antara roda 2,800 mm. Ketinggian dari permukaan tanahnya pula ialah 165 mm, dengan kemampuan meredah air setinggi 450 mm.

    SUV ini menampilkan gril rekaan matriks berlian dengan lampu nyalaan siang bentuk sigma. Selain ciri kawalan adaptif pintar dan lampu depan LED, SUV ini dilengkapi juga dengan cermin depan akustik yang mengurangkan tahap kebisingan di dalam kenderaan.

    Ia juga hadir dengan sistem pintar tanpa kunci dengan ciri NFC yang boleh dikunci secara automatik ketika pemandu menjauhi kenderaan. Omoda C9 juga dilengkapi dengan rim bersaiz 20-inci, serta sistem suspensi adaptif penuh terdiri daripada jenis McPherson Strut di depan dan multi-link di belakang.

    Omoda C9 ditunjuk di Malaysia — 2.0L turbo 261 PS/400 Nm, 2WD/AWD, dijual oleh Jaecoo dari RM185k

    Untuk enjin, Omoda C9 dipacu oleh unit 2.0 TGDI petrol empat-silinder sebaris (sama dengan model Chery Tiggo 8 Pro) yang menjana sebanyak 261 PS hp dan 400 Nm, digandingkan dengan transmisi automatik lapan-kelajuan. Ditawarkan dalam dua versi, Omoda C9 pacuan dua roda (2WD) menyediakan tiga-mod pemanduan, manakala versi pacuan semua roda (AWD) menawarkan tujuh-mod pemanduan bagi kegunaan dalam bandar dan juga off-road. Kapasiti ruang but barangan di belakang mempunyai kapasiti dari 660 liter hingga 1,783 liter.

    Bagi aspek keselamatan, Omoda C9 antara lain dilengkapi Sistem Bantuan Pemandu Lanjutan (ADAS) 2.5 dengan Pengesanan Titik Buta (BSD), Amaran Pembukaan Pintu (DOW), Amaran Keluar Lorong (LDW), Pencegahan Keluar Lorong (LDP), Bantuan Pertukaran Lorong (LCA) dan Bantuan Mengekalkan Lorong Kecemasan (ELKA). Untuk ketenangan fikiran tambahan, bahagian badan C9 diperbuat daripada 85% keluli kekuatan tinggi dan dilengkapi dengan tujuh-beg udara.

    Di dalam, SUV ini dilengkapi juga dengan skrin HD tunggal 24.6-inci, pengecas tanpa wayar Qi 50W, ruang pendingin untuk barangan di bahagian konsol tengah, stereng dengan paddle shifter, kawalan pendingin tiga-zon dengan sistem haruman (yang menggunakan catridge dengan tiga wangian berbeza yang boleh ditentukan melalui skrin sentuh) dan kawalan kualiti udara serta ruang dalam dengan sentuhan mewah.

    Papan pemuka serta kerusi balutan kulit premium menyerlahkan lagi perincian mewah ruang kabinnya. Untuk pemandu, kerusinya adalah larasan elektrik lapan-arah dengan enam fungsi memori. Selain itu, model ini turut mempunyai corong pendingin di bahagian tiang untuk penumpang belakang. Penyandar kerusi belakang juga menggunakan larasan kuasa elektrik.

    Model ini menggunakan menggunakan sistem audio Sony dengan 14-pembesar suara. Dari luar, ia dilengkapi dengan pemegang pintu tersembunyi, manakala dari dalam ia menggunakan butang untuk membuka pintu, ciri sama seperti model Tesla.

    Oleh kerana Omoda C9 ini sebuah SUV premium, pelanggannya akan menghantar kenderaan untuk tujuan servis di pusat servis Jaecoo dan bukannya di pusat servis Chery.

    Omoda C9 di Malaysia

     
     
  • Zeekr 009 dilancar di Thailand – 612 PS, jarak gerak EV 582 km; RM395k, murah dari Toyota Alphard/Vellfire

    Zeekr 009 dilancar di Thailand – 612 PS, jarak gerak EV 582 km; RM395k, murah dari Toyota Alphard/Vellfire

    Zeekr 009 telah pun dilancarkan di Thailand, selepas beberapa bulan model yang lebih kecil Zeekr X mula dijual di sana pada Julai lalu. Kedua-duanya merupakan kenderaan elektrik (EV) yang telah dibuka pra-tempahan sejak Mac.

    Untuk pasaran Thailand, ia ditawarkan dengan varian tunggal yang dipanggil Flagship AWD berharga 3.099 juta baht (sekitar RM395k). Sekaligus membuatkan MPV Zeekr ini lebih murah berbanding pesaingnya iaitu Toyota Alphard dan Vellfire yang ditawarkan pada harga dari 4.129 juta hingga 4.499 juta baht (RM526k hingga RM573k).

    Flagship AWD menerima dua motor elektrik yang menyalurkan keseluruhan kuasa cecah 612 PS (603 hp atau 450 kW) dan tork 693 Nm. Motor berkenana dikuasakan oleh bateri nickel manganese cobalt (NMC) 116 kWh yang memberikannya jarak gerak hingga 582 km mengikut standard WLTP, dengan pecutan 0-100 km/j cecah 4.5 saat dan kelajuan maksimum hingga 230 km/j.

    Untuk pengecasan, 009 boleh menggunakan pengecas pantas DC berkapasiti 310 kW, atau pun pengecas 5C seperti yang jenama ini iklankan. ‘C’ bermakna berapa banyak kali bateri tersebut boleh dicas dalam tempoh satu jam, dan jika menggunakan DC, status pengecasan 10-80% mampu dicapai dalam sekitar 11.5 minit. Tatapan ini lebih kurang sama dengan apa yang ditawarkan di Hong Kong, salah satu pasaran pertamanya yang menerima 009 dalam versi pemanduan sebelah-kanan.

    Kelengkapan standard yang diberikan untuk 990 spesifikasi Thailand ini termasuklah suspensi udara, roda aloi 20-inci, bentangan enam-tempat duduk (2+2+2) dengan kerusi executive lounge pada barisan kedua, kluster instrumen digital 10.25-inci, sistem infotainmen skrin sesentuh 15.4-inci, paparan penumpang belakang 17-inci, paparan utama, sistem suara sekeliling Yamaha, pintu gelangsar kuasa, bumbung kaca panoramik dua-seksyen, tailgate kuasa dan sistem bantuan pemandu termaju.

    Bagi aspek warna, di Thailand, 009 ditawarkan dengan rona Crystal White dengan padanan dalaman hitam, Electric Blue dengan dalaman kelabu/putih serta Phantom Black dengan dalaman hitam atau biru/putih. Ia turut diberikan waranti lima-tahun atau 150,000 km untuk kenderaan, dan motor serta bateri diberikan perlindungan selama lapan-tahun/180,000 km.

    Model 009 dan X telah disahkan bakal dipasarkan di Malaysia namun ia masih belum dilancarkan di sini. Thailand telah menerima kedua-dua model tahun ini, manakala Singapura telah pun melancarkan X pada bulan lalu. Adakah anda menantikan model ini yang boleh dijadikan sebagai alternatif kepada Alphard/Vellfire?

     
     
  • Modenas Versys 650 SE tiba di Malaysia – datang terus dengan beg tepi, dua pilihan warna, dari RM43,600

    Modenas Versys 650 SE tiba di Malaysia – datang terus dengan beg tepi, dua pilihan warna, dari RM43,600

    Satu lagi model yang diperkenalkan oleh Modenas hari ini bersama Z900RS SE adalah Versys 650 SE, yang ditawarkan dalam dua warna iaitu Metallic Spark Black pada harga RM43,600 dan Candy Lime Green/Metallic Flat Spark Black berharga RM44,200 (tidak termasuk insurans).

    Membezakan model ini berbanding Versys 650 biasa yang dilancarkan pada tahun lepas adalah ia datang terus dengan beg tepi berkapasiti 56 liter, yang menggunakan kunci sama untuk menghidupkan enjin motosikal dan menggunakan konsep warna sama seperti badan.

    Bahagian lain tidak mempunyai sebarang beza, bermula dengan enjin, yang menggunakan unit dua silinder selari DOHC 649 cc bersama kotak gear enam kelajuan, menghasilkan kuasa 65.7 hp pada 8,500 rpm dan tork 61 Nm pada 7,000 rpm.

    Modenas Versys 650 SE tiba di Malaysia – datang terus dengan beg tepi, dua pilihan warna, dari RM43,600

    Memegang rim 17 inci pada Versys 650 ini adalah suspensi yang terdiri daripada fork teleskopik 41 mm dengan pelarasan pra beban dan lantunan di hadapan, serta monoshock dengan pelarasan pra beban di belakang.

    Pada bahagian kokpit terdapat panel instrumen TFT bersaiz 4.3 inci, yang selain menunjukkan pelbagai informasi penting melalui paparan berwarna, juga boleh disambungkan kepada telefon bimbit secara bluetooth menggunakan aplikasi Kawasaki Rideology. Sekiranya ada panggilan atau mesej, notifikasi akan dipaparkan pada skrin.

    Pada bahagian keselamatan, model ini datang dengan sistem ABS dan kawalan cengkaman dua mod, sementara kelengkapan lain yang disediakan adalah termasuk tangki bahan api 21 liter, lampu hadapan LED serta penghadang angin boleh laras secara manual. Berat keseluruhan Versys 650 tanpa beg tepi adalah 219 kg.

     
     
  • Kawasaki Z900RS SE tiba di Malaysia – suspensi belakang Ohlins, brek Brembo, harga RM73,300

    Kawasaki Z900RS SE tiba di Malaysia – suspensi belakang Ohlins, brek Brembo, harga RM73,300

    Modenas selaku pengedar rasmi motosikal Kawasaki di Malaysia mengumumkan ketibaan Z900RS SE, iaitu satu versi prestasi bagi model moden klasik tersebut. Ia dijual pada harga RM73,300 tidak termasuk insurans dan tiba hanya dalam satu warna sahaja iaitu Metallic Flat Spark Black/Metallic Matte Carbon Gray.

    Daripada model asas seperti yang diperkenalkan di Malaysia pada tahun 2022 (harga RM63,800), model ini kemudiannya dipertingkat dengan monoshock belakang Ohlins S46 boleh laras sepenuhnya, bersama tombol pelarasan pra beban, serta fork hadapan berwarna emas yang ditala semula.

    Kemudiannya di bahagian brek, cakera 300 mm berkembar di hadapan di naik taraf dengan angkup Brembo M4.32 bagi meningkatkan prestasinya. Bahagian lain semuanya masih kekal sama seperti Z900RS biasa.

    Menggerakkan Z900RS adalah enjin empat silinder 848 cc sama seperti Z900, dipadankan bersama transmisi enam kelajuan (klac slip and assist), mampu menghasilkan kuasa 111 hp pada 8,500 rpm dan 98.5 Nm tork pada 6,500 rpm.

    Panel meternya menggunakan gabungan analog dan skrin LCD di tengah, sementara kelengkapan lain yang disediakan adalah termasuk tangki bahan api 17 liter, rim 17 inci, brek ABS, kawalan cengkaman serta lampu LED. Berat keseluruhan motosikal ini adalah 215 kg.

     
     
  • Peralihan monsun bermula 24 Sept – berwaspada, rancang perjalanan; dapatkan insurans bencana alam

    Peralihan monsun bermula 24 Sept – berwaspada, rancang perjalanan; dapatkan insurans bencana alam

    Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) telah mengumumkan bahawa fasa peralihan monsun dijangka bermula esok, 24 September 2024 dan berlangsung sehingga awal November ini.

    Oleh yang demikian, orang ramai dinasihati agar berwaspada dengan perubahan cuaca dan sentiasa peka dengan perkembangan terkini mengenai ramalan cuaca dan amaran yang dikeluarkan oleh jabatan berkenaan menerusi laman web rasmi dan juga saluran media sosial rasmi, serta boleh memuat turun aplikasi myCuaca atau pun hubungi 1-300-22-1638 untuk sebarang informasi berkaitan.

    MetMalaysia dalam kenyataannya berkata wilayah barat dan pedalaman Semenanjung Malaysia, serta barat Sabah dan Sarawak tengah boleh mengalami angin dari pelbagai arah, yang boleh membawa kepada ribut petir.

    Peralihan monsun bermula 24 Sept – berwaspada, rancang perjalanan; dapatkan insurans bencana alam

    Menjelang perubahan corak cuaca, insiden tanah runtuh telah berlaku di Brinchang di Cameron Highlands kelmarin yang mengakibatkan sebuah kenderaan mengalami kerosakan akibat tiang tumbang, lapor The Star.

    Malahan dalam tempoh seminggu ini, negeri di utara tanahair iaitu Kedah, Perlis dan Pulau Pinang juga mengalami ribut petir dan hujan lebat yang mengakibatkan beberapa daerah dilanda banjir kilat. Fenomena air pasang besar serentak dengan hujan lebat turut memburukkan lagi keadaan di beberapa daerah termasuk di Kuala Perlis dan Butterworth.

    Justeru, bagi pemilik kenderaan, jangan lupa untuk mendapatkan insurans kerosakan akibat banjir atau bencana alam (special perils) untuk kenderaan anda. Dengan adanya insurans bencana alam ini, jika kenderaan kita rosak akibat banjir atau bencana alam lain (termasuk pokok tumbang dan sebagainya), tidaklah kita begitu ‘sengsara’ menanggung kos baikpulih kenderaan kita. Ini kerana, tanpa perlindungan insurans sebegini, kos baikpulih kenderaan yang rosak akibat bencana alam adalah besar dan memang membebankan.

    Beberapa tahun lalu, kami telah kumpulkan bayaran insurans bencana alam ini, daripada beberapa penyedia insurans utama Malaysia, termasuk AIA, AIG, Allianz, AXA, Etiqa, Kurnia, MPI Generali, MSIG, RHB, Takaful dan Tokio Marine. Kadarnya adalah antara 0.15% hingga 0.5% daripada jumlah keseluruhan perlindungan kenderaan anda. Mungkin tahun ini ada perubahan yang dilakukan oleh syarikat insurans, sila rujuk mereka untuk mendapatkan sebut harga yang sahih.

    Apa pun, sekiranya berlaku hujan lebat dan anda parkir kenderaan di kawasan yang berisiko banjir, sila alihkan kenderaan anda ke tempat yang lebih selamat. Atau sekiranya anda tidak pasti adakah lokasi terbabit selamat mahu pun tidak, sila bertambah peka dan jenguk selalu keadaan sekeliling. Jika air banjir sudah mula memasuki kawasan terbabit, bertindaklah dengan segera.

    Sekiranya anda sedang memandu dan laluan terbabit dinaiki air, jangan nak main redah saja. Kita tidak tahu bahaya apa yang menanti di hadapan. Pastikan laluan terbabit selamat untuk dilalui, atau gunakan jalan alternatif jika masih berkesempatan. Jangan mengambil risiko meredah laluan tersebut, bimbang kenderaan anda terperangkap di tengah-tengah banjir dan kemungkinan besar tidak dapat bergerak langsung. Bukan setakat kenderaan anda mungkin mengalami kerosakan, bahkan keselamatan anda dan penumpang juga berada dalam bahaya.

     
     
  • Geely Galaxy E5 di Malaysia — kembar Proton eMas 7 redah 3,700 km; eMas 7 bakal jelajah seluruh negara

    Geely Galaxy E5 di Malaysia — kembar Proton eMas 7 redah 3,700 km; eMas 7 bakal jelajah seluruh negara

    Kembar Proton eMas 7, Geely Galaxy E5 kini sudah berada di Malaysia selepas melengkapkan perjalanan siri jelajah dunianya di Asia Tenggara. Ini juga memberi ruang penampilan penuh model Proton eMas 7 yang ketika ini belum lagi ditunjukkan sepenuhnya, terutama bahagian dalaman.

    Ada empat unit Geely Galaxy E5 kelihatan di bilik pameran di Pusat Kecemerlangan Proton Jumaat lalu, dengan masing-masing telah meliputi jarak 3,700 km. Bermula dari Guiyang, China, kereta berkenaan melintasi Xishuangbanna Dai Autonomous Prefecture, Laos dan Thailand sebelum tiba di Malaysia. Perjalanan berkenaan turut dirumitkan oleh taufan Yagi yang mengakibatkan banjir teruk di Laos.

    Ini kali pertama Galaxy E5/eMas 7 dilihat tanpa sebarang pelekat samaran — kedua-duanya nampak sama kecuali lencana yang digunakan sahaja. Rimnya juga dalam saiz yang lebih besar, 19-inci. Penampilan penuh Galaxy E5 ini juga membolehkan kita mengetahui bagaimana keadaan dalamannya, walaupun ini versi pemanduan sebelah kiri dan berbeza daripada eMas 7.

    Geely Galaxy E5 di Malaysia — kembar Proton eMas 7 redah 3,700 km; eMas 7 bakal jelajah seluruh negara

    Papan pemukanya nampak hadir dengan rekaan ringkas dan bersih dengan bahagian konsol tengah berlekuk dengan ruang di sekitar pemandu dalam warna Ivory. Stereng bujurnya mungkin menjadi satu-satunya rekaan yang tampak agresif dalam ruang kabin tersebut.

    Banyak kelengkapan teknologi boleh dilihat ada di dalam Galaxy E5 ini, antaranya paparan instrumen 10.2-inci tirus dan skrin sentuh 15.4-inci yang menggunakan sistem operasi Flyme Auto yang dibangunkan bersekali dengan Meizu, syarikat telefon pintar milik pengasas Geely, Li Shufu. Belum pasti sama ada Proton eMas 7 juga akan menggunakan sistem yang sama. Tiada Apple CarPlay atau Android Auto pada E5 ini.

    Lain-lain kelengkapan yang tersedia adalah seperti bumbung kaca panoramik yang luas, pengecas tanpa wayar Qi 50-watt, ruang simpanan besar di bawah konsol tengah dan sistem bunyi Flyme Audio dengan 16-pembesar suara. Kerusi depan juga larasan kuasa dengan fungsi memori, pemanas dan berliang.

    Kabin Galaxy E5 juga dilengkapi 33 ruang simpanan barangan, termasuk laci di bawah corong pendingin dan di bawah kerusi, serta 51 liter ruang simpanan di bawah lantai di ruang but.

    Galaxy E5 menggunakan pacuan roda depan, dikuasakan oleh motor elektrik tunggal yang menjana 218 PS (160 kW) dan 320 Nm, membolehkannya memecut 0-100 km/j dalam masa 6.9 saat. Ia dilengkapi bateri lithium iron phosphate (LFP) Aegis “short blade” buatan Geely, dengan platform Global Intelligent New Energy Architecture (GEA), membolehkan baterinya disepadukan dengan struktur badan kenderaan — cell-to-body (CTB).

    Dua saiz bateri ditawarkan — unit 49.52 kWh dengan jarak CLTC 440 km, dan 60.22 kWh dengan jarak 530 km dengan sekali cas. Geely tidak menyatakan kapasiti pengecasannya, hanya memaklumkan dari keadaan 30%-80% DC memerlukan 20 minit, sementara untuk AC dari 10%-100% memerlukan sembilan jam (7.5 jam untuk pilihan bateri yang lebih kecil). Kereta yang dilihat ini menggunakan kepala pengecas piawaian China, GB/T, dan model Proton tentunya akan menggunakan jenis CCS2.

    Menurut Proton, perjalanan jauh Galaxy E5 ke Malaysia ini mempamerkan ketahanannya. “Kejayaan memandu sejauh 3,700 km dari China ke Malaysia adalah sangat penting. EV baru ini menempuh keadaan cuaca dan permukaan yang mencabar, termasuk banjir dan tetap berhasil tiba di sini,” ujar CEO Pro-Net, Zhang Qiang.

    Tamatnya perjalanan Geely Galaxy E5 ini, maka baton kini diserahkan pula kepada eMas 7 yang akan mengadakan perjalanannya ke seluruh negara bermula 5 Oktober. Unit prototaip berkenaan dijangka akan dipandu sejauh 2,000 km di Semenanjung, Sabah dan Sarawak. Orang awam boleh melihat kereta ini di lokasi utama di Putrajaya pada 25 September dan Shah Alam pada 26 September.

     
     
  • GAC Aion Hyptec HT kini di Thailand – pintu gull-wing macam Tesla, bermula RM183k; Malaysia selepas ini?

    GAC Aion Hyptec HT kini di Thailand – pintu gull-wing macam Tesla, bermula RM183k; Malaysia selepas ini?

    SUV EV dari China dengan rupa seperti Tesla Model Y tetapi mempunyai pintu belakang gull-wing seperti Tesla Model X iaitu GAC Aion Hyptec HT telahpun dilancarkan secara rasmi di Thailand. Jika anda minat dengan model ini, ia ada kemungkinan besar akan dilancarkan di Malaysia tidak lama lagi kerana sudahpun dipamerkan di acara Malaysia Autoshow Mei lalu.

    Untuk pasaran Thai, Hyptec HT ini ditawarkan dalam dua varian iaitu model asas Premium dengan pintu biasa di belakang, dan juga varian Luxury Gull-Wing iaitu varian yang diberikan pintu unik tersebut. Walau bagaimanapun, kedua-dua varian ini masih menerima kelengkapan yang sama, dan hanya dibezakan oleh pintu belakang berkenaan sahaja.

    Oleh itu semua varian GAC Aion Hyptec HT ini menerima hanya satu motor elektrik yang memacu roda belakang, menghasilkan kuasa 340 PS (250 kW) dan tork 430 Nm, membolehkan ia memecut dari 0-100 km/j dalam masa 5.8 saat sebelum mencapai kelajuan maksima 183 km/j.

    GAC Aion Hyptec HT kini di Thailand – pintu gull-wing macam Tesla, bermula RM183k; Malaysia selepas ini?

    Motor berkenaan menerima kuasa dari bateri LFP berkapasiti 83.3 kWj bagi memberikan jarak gerak sejauh 620 km dalam kitaran ujian NEDC. Untuk mengecas, ia menyokong sistem AC dengan kadar 11 kW dan juga sistem pengecas pantas DC sehingga 280 kW yang membolehkan bateri dipenuhkan dari 10-70% dalam masa 15 minit. Sistem vehicle-to-load (V2L) dengan membekalkan kuasa pada kadar 3.3 kW untuk kegunaan peralatan elektrik lain juga diberikan.

    Tidak kira versi gull-wing atau tidak, pintu hadapan dan belakang GAC Aion Hyptec HT ini diberikan sistem kawalan elektrik untuk buka dan tutup. Secara keseluruhan 12 penderia dipasang pada sekeliling badannya bagi mengesan sebarang objek serta untuk mengelakkan sebarang kemalangan.

    Seperti kebanyakkan model-model EV dari China yang lain, Hyptec HT ini juga diberikan papan pemuka ringkas tanpa banyak butang, dan kawalan kebanyakkan fungsi dibuat menerusi skrin bersaiz 14.6-inci di tengah. Pemandu pula menerima skrin paparan instrumen digital yang leper bersaiz 8.8-inci, dan roda stereng bersaiz kecil yang juga seperti diinspirasikan dari rekaan Tesla.

    GAC Aion Hyptec HT kini di Thailand – pintu gull-wing macam Tesla, bermula RM183k; Malaysia selepas ini?

    Antara perincian dalaman lain yang turut diberikan termasuk upholsteri kulit Nappa, fungsi pengurut pada tempat duduk hadapan, mod VIP dan mod tidur untuk tempat duduk belakang, sistem bunyi Dolby Atmos dengan 22-pembesar suara, serta bumbung panaromik bersaiz besar.

    Model ini dijual pada harga bermula 1,449,000 baht (RM183,129) untuk varian Premium dan 1,749,000 baht (RM220,996) untuk model Luxury Gull-Wing. Setiap pembelian akan diberikan waranti selama lapan-tahun atau 240,000 km. Ia turut menerima waranti seumur hidup bateri EV, namun hanya untuk pemilik pertama sahaja. Jika kereta ini dijual, bateri berkenaan hanya dilindungi waranti selama lapan tahun atau 240,000 km. GAC Aion Thailand turut memberikan kemaskini OTA sepanjang hayat dan juga pengecas rumah secara percuma.

    Sekiranya ia dilancarkan di Malaysia kelak, SUV ini mungkin dikenali sebagai GAC Aion Hyper HT, seperti ketika ia dipamerkan di Malaysia Autoshow Mei lalu. Berapa agak-agak harganya nanti? Sebagai panduan, Tesla Model Y di sini dijual pada harga bermula RM191,000, manakala Xpeng G6 yang baru dilancarkan baru-baru ini dijual pada harga RM165,820 hingga RM185,820.

    GALERI:GAC Aion Hyptec HT di GIIAS 2024

     
     
  • Honda Vario 160 terima dua warna baru – RM10,198

    Honda Vario 160 terima dua warna baru – RM10,198

    Boon Siew Honda (BSH) Sdn Bhd mengumumkan ketibaan dua warna baru untuk Vario 160 iaitu biru dan merah, dijual pada harga RM10,198 tidak termasuk insurans. Warna ini adalah sebagai pilihan tambahan kepada warna hijau dan biru matte yang diperkenalkan Julai lalu, dengan harga jualan RM10,498.

    Tiada perbezaan spesifikasi di antara dua Vario 160 yang berlainan harga ini, dan ia masih sama seperti waktu ia dilancarkan kali pertama untuk pasaran Malaysia tahun 2022 lalu. Penggeraknya adalah enjin satu silinder penyejukan cecair 157 cc SOHC yang mampu menghasilkan kuasa 15.4 PS pada 8,500 rpm dan 13.8 Nm tork pada 7,000 rpm.

    Dalam keadaan standard, Vario 160 datang dengan sistem ABS, tetapi hanya single-channel untuk brek cakera hadapan, sementara brek cakera belakang tidak disambungkan dengan sistem tersebut. Rim menggunakan unit 14 inci, dibalut tayar 100/80 di hadapan dan 120/70 di belakang.

    Honda Vario 160 terima dua warna baru – RM10,198

    Kesemua lampu skuter ini menggunakan unit LED, dan kelengkapan lain yang diberi adalah termasuk sistem kunci pintar, soket pengecas USB Type A, ruang simpanan bawah tempat duduk 18 liter, panel instrumen digital. Tangki bahan api berkapasiti 5.5 liter.

    Selain Vario 160, BSH juga ada menjual Vario 125, yang mempunyai bentuk asas sama seperti Vario 150, tetapi digerakkan oleh enjin satu silinder SOHC, suntikan bahan api, penyejukan cecair berkapasiti 124.9 cc, yang berkuasa 11.5 hp pada 8,500 rpm dan 11.74 Nm pada 5,000 rpm.

     
     
  • ZEEHO masuk pasaran Malaysia – lancar skuter elektrik AE4 3 kW, jarak gerak 63 km, harga RM6,999

    ZEEHO masuk pasaran Malaysia – lancar skuter elektrik AE4 3 kW, jarak gerak 63 km, harga RM6,999

    Jenama khas bawah CFMoto untuk motosikal elektrik, iaitu ZEEHO kini sudah tiba di Malaysia dengan model pertamanya untuk pasaran, AE4 dijual pada harga RM6,999 tidak termasuk insurans ataupun rebat. Ia disediakan dalam pilihan empat warna, iaitu Velocity Gray, Nebula White dan Helios Orange.

    Skuter elektrik ini digerakkan oleh motor elektrik 1.6 kW pada hab roda belakang, yang mendapat kuasa daripada bateri 74V 27Ah (tidak boleh dibawa keluar) dan secara keseluruhannya boleh menghasilkan 3 kW (4 hp) dan mencapai laju maksimum 65 km/j.

    Selain daripada itu, ZEEHO mendakwa AE4 boleh melakukan pecutan 0-30 km/j dalam masa tidak sampai 3.5 saat, manakala jarak geraknya dengan tahap bateri penuh boleh mencecah 63 km mengikut ujian World Motorcycle Test Cycle (WMTC).

    Walaupun merupakan produk permulaan dalam barisan model ZEEHO, AE4 ini masih datang dengan pelbagai teknologi termasuk brek ABS, kawalan cengkaman, dua mod tunggangan, panel meter LCD berwarna, cruise control, sistem kunci pintar, lampu LED dan hill hold control.

    Di bawah tempat duduknya terdapat ruang simpanan berkapasiti 31 liter, dan kelengkapan lain yang disediakan adalah termasuk rim 12 inci dengan brek cakera di hadapan dan belakang, ruang kaki luas serta penyerap hentak belakang dengan pelarasan pra beban.

     
     
  • Polis tahan warga asing yang sengaja lompat di depan kenderaan bergerak hingga menyebabkan kemalangan

    Polis tahan warga asing yang sengaja lompat di depan kenderaan bergerak hingga menyebabkan kemalangan

    Polis telah menahan seorang lelaki yang disyaki sengaja melompat di hadapan sebuah kereta yang sedang bergerak sehingga mengakibatkan kemalangan di Bandar Sungai Long baru-baru ini. Menurut Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof, suspek dipercayai warga asing dan bekerja sebagai tukang cuci.

    Tambahnya, suspek yang mengalami cedera ringan meninggalkan tempat kejadian sebelum butirannya diambil. Kejadian yang dilaporkan berlaku pada 17 September 2024 turut menyebabkan dua buah kenderaan mengalami kerosakan akibat perbuatan suspek berusia 32 tahun itu.

    Kes disiasat mengikut Seksyen 336 Kanun Keseksaan kerana membahayakan nyawa atau keselamatan orang lain yang boleh dihukum penjara tiga bulan atau denda RM500, atau kedua-duanya sekali. Selain itu, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 6(1)(C) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak mempunyai dokumen pengenalan diri. Polis menggesa mereka yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu agar tampil membantu siasatan.

    Menurut paparan video insiden yang dirakamkan menerusi dashcam kereta terlibat, suspek kelihatan menunggu kenderaan untuk melepasi persimpangan berkenaan namun secara tiba-tiba bertindak menerpa dan ‘mencampakkan’ dirinya di hadapan Honda CR-V berkenaan, sekaligus membuatkan ia dilanggar dari arah belakang oleh sebuah Perodua Myvi.

     
     
  • BYD E-Vali diperkenal di Eropah – van komersil elektrik, sehingga 204 PS, jarak gerak 250 km WLTP

    BYD E-Vali diperkenal di Eropah – van komersil elektrik, sehingga 204 PS, jarak gerak 250 km WLTP

    ‘Serangan’ dari jenama-jenama China terhadap lawan-lawannya dari Eropah bukan hanya tertumpu pada kenderaan elektrik (EV) untuk penumpang, malah kini turut melibatkan kenderaan komersil. Memperkenalkan BYD E-Vali, iaitu van EV yang dihasilkan untuk pasaran kenderaan komersil ringan (LCV) Eropah yang akan berhadapan terus dengan Ford E-Transit, Renault Master dan lain-lain!

    BYD E-Vali ini didedahkan ketika berlangsungnya acara IAA Transportation di Hannover, Jerman dan bakal mula dijual di benua berkenaan pada 2025. Versi standard E-Vali ini menampilkan badan berukuran 5,995 mm panjang dan ruang kargo berkapasiti 491 kaki padu, manakala versi yang lebih besar pula mempunyai badan sepanjang 6,995 mm dengan ruang kargo sebesar 632 kaki padu. Bergantung varian, kapasiti mengangkut beban van ini adalah antara 700 dan 1,450 kg.

    Bagi memaksimakan penggunaan ruang, BYD E-Vali ini menampilkan rekaan berkotak seperti saingan-saingannya yang lain. Ia diberikan muka yang menampilkan sepasang lampu hadapan petak, bersama dua baris ‘kening’ LED yang kelihatan seperti bersambung dengan gril.

    BYD E-Vali diperkenal di Eropah – van komersil elektrik, sehingga 204 PS, jarak gerak 250 km WLTP

    Bagi memudahkan barang dimuatkan dalam ruang kargo, BYD E-Vali ini menampilkan pintu sisi gelangsar sepanjang 467 mm. Ia juga diberikan pintu belakang 435 mm dengan bahangian bendul yang rendah untuk memudahkan barang berat diangkat ke atas van ini.

    Manakala untuk pemandu dan kelindan, ia diberikan papan pemuka yang menampilkan banyak ruang storan dan juga skrin infotainmen 12.8-inci serta paparan instrumen digital. E-Vali ini juga boleh diubahsuai bagi kegunaan perniagaan yang spesifik.

    Untuk unit rangkaian kuasa, E-Vali ditawarkan dalam versi pacuan belakang dengan motor elektrik tunggal berkuasa 136 PS (100 kW), atau versi lebih berkuasa dengan dua motor yang memacu roda hadapan dan belakang menghasilkan kuasa keseluruhan 204 PS (150 kW).

    BYD E-Vali diperkenal di Eropah – van komersil elektrik, sehingga 204 PS, jarak gerak 250 km WLTP

    Kedua-dua pilihan konfigurasi motor elektrik tersebut digandingkan dengan bateri litium logam fosfat (LFP) dengan kapasiti 80.64 kWj, bagi membolehkan van ini bergerak dalam jarak antara 220 dan 250 km dalam kitaran ujian WLTP.

    Bateri tersebut boleh dicas dengan sistem AC dengan kapasiti maksima 22 kW, dan juga sistem pengecas pantas DC sehingga 188 kW yang membolehkan cas dipenuhkan dari 10-80% dalam masa 30 minit. Ia juga menerima sistem vehicle-to-load (V2L) yang membolehkan kuasa dari bateri digunakan oleh peralatan elektrik lain untuk membuat kerja.

     
     
  • JSPT KL ‘anjur’ program muhasabah diri untuk 32 mat rempit – kena dengar tazkirah selepas solat subuh

    JSPT KL ‘anjur’ program muhasabah diri untuk 32 mat rempit  – kena dengar tazkirah selepas solat subuh

    Ini bukan kali pertama Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur ‘menganjurkan’ program muhasabah untuk mat rempit yang berjaya dicekup dalam operasi penguatkuasaan lalu lintas. Terbaru, pada malam minggu lalu, seramai 32 remaja termasuk seorang pelajar sekolah yang bakal menduduki SPM tidak lama lagi telah dibawa ke Balai Polis Tun HS Lee selepas Operasi Samseng Jalanan atas pelbagai kesalahan.

    Menurut perkongsian menerusi Facebook JSPT KL, remaja-remaja terbabit bukan sahaja diambil tindakan dibawa balik untuk dokumentasi, malah telah dibawa ke surau untuk didedahkan dengan program Muhasabah Diri bersama “mat rempit” dengan mendengar tazkirah selepas solat subuh.

    Ketua Jabatan Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata, kesemua individu tersebut dibawa ke Balai Polis Tun HS Lee bagi proses dokumentasi. Dalam operasi ini juga sebanyak 157 saman telah dikeluarkan atas pelbagai kesalahan termasuk tiada lesen memandu, tiada nombor pendaftaran, motosikal diubahsuai dan lain-lain.

    “Selesai dokumentasi, mereka turut didedahkan dengan motivasi, solat subuh berjemaah dan dilanjutkan dengan tazkirah ringkas di Surau An Nazahah, JSPT KL. Program yang bersifat keagamaan dan ilmiah ini, diharap akan memberikan kesedaran kepada pesalah-pesalah mat rempit yang ditahan sekitar Jalan Tun Razak awal pagi tadi (semalam),” katanya.

    Di mana pengisian program seperti solat subuh berjemaah dan tazkirah yang memberi fokus kearah kesedaran tentang keburukan merempit dan keselamatan diri serta pengguna jalan raya yang lain telah disampaikan oleh Inspektor Zambri dari Unit Penguatkuasa JSPT KL.

    Selain itu, pesalah –pesalah mat rempit ini juga telah ditunjuk ajar dengan ⁠beberapa perkara seperti cara – cara yang betul dalam mengambil air sembahyang, laungan Azan serta iqomat dan kaedah menyampaikan tazkirah secara ringkas.

    “Pendekatan secara keagamaan dan ilmiah kepada remaja diharapkan dapat membantu remaja warisan negara ini untuk menunjukkan akhlak mulia kepada masyarakat.

    “Ibu bapa juga disarankan agar lebih perihatin dalam mendidik anak–anak dan menjadikan mereka rakan untuk berkongsi pengalaman dan masalah yang mereka hadapi. Secara tidak langsung ianya dapat mengurangkan fokus mereka terhadap aktiviti yang melanggar undang–undang jenayah atau lalulintas,” tambah JSPT KL.

     
     
  • PANDU UJI: GWM Haval H6 HEV 2024 – boleh bersaing dengan lawan dari Jepun, Korea dan Proton X70?

    PANDU UJI: GWM Haval H6 HEV 2024 – boleh bersaing dengan lawan dari Jepun, Korea dan Proton X70?

    Akhir-akhir ini GWM Malaysia nampak agak sibuk dengan sub-jenama EVnya iaitu Ora, dan terbaharu ia turut membawa SUV off-road dengan casis ladder frame, Tank. Dalam perancangannya untuk aktif semula dalam pasaran Malaysia, jenama Haval juga telah di bawa semula ke sini dengan membuka tempahan untuk Haval H6 baru-baru ini.

    Dan sebelum pelancarannya yang bakal dibuat bila-bila masa sahaja dari sekarang (dijadualkan pada suku ke-3 tahun ini), penulis bersama rakan-rakan media yang lain telah diberikan peluang untuk merasai sendiri prestasi SUV ini menerusi satu sesi pandu uji yang bermula dari Pusat 3S GWM USJ menuju ke Desaru, Johor.

    H6 yang diterima untuk pasaran Malaysia ini merupakan model generasi ketiga yang telah diperkenalkan di China sejak 2020. Di sini, H6 hanya ditawarkan dalam varian hibrid (HEV), di mana varian itu membuat kemunculan sulung globalnya di Thailand pada Mac 2021.

    Baca artikel selanjutnya di sini

     
     
  • Toyota Tundra versi pemanduan sebelah kanan lulus untuk dijual di Australia bermula November ini

    Toyota Tundra versi pemanduan sebelah kanan lulus untuk dijual di Australia bermula November ini

    Toyota Australia telah mengumumkan trak pikap bersaiz penuh yang dibina untuk pasaran Amerika Syarikat iaitu Tundra bakal dijual di negara berkenaan pada November ini, sebaik sahaja ia menerima kelulusan dari Toyota Motor Corporation di Jepun.

    Kelulusan yang dimaksudkan tersebut adalah proses kejuruteraan semula ia dibuat bagi mengubah model pemanduan sebelah kiri (LHD) yang dibuat di Amerika Syarikat kepada versi pemanduan sebelah kanan (RHD) untuk dijual di Australia.

    Kerja-kerja kejuruteraan ini telah dibuat oleh Walkinshaw Automotive Group, dan model dalam versi RHD tersebut kelak akan diproduksi di fasiliti syarikat tersebut yang terletak di Melbourne, Australia. Toyota juga mengesahkan bahawa ini merupakan kali pertama ia bekerjasama dengan pihak ketiga dalam projek sedemikian.

    “Tundra telah direka semula sepenuhnya oleh jurutera Toyota yang bekerjasama rapat dengan Walkinshaw dan menggunakan banyak bahagian dan komponen daripada model Toyota lain seperti Land Cruiser 300 Series untuk memastikan standard kualiti yang paling tinggi,” kata Naib Presiden Toyota Australia Sean Hanley.

    Toyota Tundra versi pemanduan sebelah kanan lulus untuk dijual di Australia bermula November ini

    Untuk permulaan Tundra hanya akan ditawarkan dalam varian kemasan Limited ketika dilancarkan nanti, kemudian akan diikuti oleh varian tertinggi pada suku kedua 2025. Kedua-dua varian berkenaan hanya akan ditawarkan dengan unit rangkaian kuasa hibrid i-Force Max yang menghasilkan kuasa keseluruhan 437 hp dan tork maksima 790 Nm.

    Ia menggandingkan enjin petrol V35A-FTS 3.5 liter V6 turbo dan juga unit motor elektrik (juga berfungsi sebagai generator) yang diletakkan di antara enjin dan transmisi. Motor generator tersebut menerima kuasa yang dibekalkan oleh bateri hibrid nikel-logam 288-volt yang disimpan di bawah tempat duduk belakang.

    Kuasa dialirkan ke roda menerusi sistem 4WD separa-masa dengan transfer case jenis dual range. Tundra pasaran Australia ini juga disahkan mempunyai kapasiti brek tunda setinggi 4.5 tan.

    Antara perincian standard untuk Toyota Tundra Limited pasaran Australia ini termasuk rim aloi 20-inci, lampu hadapan LED, tempat duduk balutan kulit dengan larasan elektrik, pemanas dan liang pengudaraan, skrin infotainmen 14-inci dengan sokongan Apple CarPlay tanpa wayar dan Android Auto hubungan wayar, penghawa dingin dua-zon dan pengawal brek treler.

    Manakala varian tertinggi yang belum didedahkan namanya akan diberikan gril hadapan lebih unik, rim aloi kemasan hitam, bahagian belakang dengan serlahan hitam, bumbung panaromik dan juga beberapa perubahan estetika lain.

    Ia juga menerima tingkat taraf bahagian kabin dengan diberikan fungsi pengurut pada tempat duduk hadapan, pemanas dan liang pengudaraan pada tempat duduk belakang, pemanas pada roda stereng, kolum stereng larasan kuasa dan paparan head-up 10.9-inci. Lebih perincian untuk model ini akan diumum hampir pada pelancarannya kelak.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (-0.04)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.90 (-0.04)
EURO 5 B7 RM3.10 (-0.04)
Last Updated Aug 14, 2025