Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Hyundai Ioniq 5 N dilancar di Thailand – RM480k, lebih murah dari Honda Civic Type R FL5, 650 PS/770 Nm

    Hyundai Ioniq 5 N dilancar di Thailand – RM480k, lebih murah dari Honda Civic Type R FL5, 650 PS/770 Nm

    EV prestasi tinggi pertama dengan lencana ‘N’ Hyundai iaitu Ioniq 5 N kini secara rasmi telah dilancarkan di Thailand, selepas ia membuat kemunculan sulung di negara tersebut ketika berlangsungnya Bangkok International Motorshow 2024 April lalu.

    Di sana Ioniq 5 N ini diumum dijual pada harga 3,790,000 baht atau RM479,500. Mahal? Sebagai perbandingan Honda Civic Type R FL5 dijual di Thailand pada harga 3,990,000 baht atau RM504,800, berbanding di Malaysia hot-hatch itu dijual pada harga RM399,900.

    Hyundai Ioniq 5 N ini diasaskan dari crossover EV Ioniq 5 standard, diberikan prestasi dan juga rupa yang lebih agresif. Ia menampilkan badan 50 mm lebih lebar dan ia 20 mm lebih rendah yang terhasil kerana ia memerlukan tayar dan juga diffuser belakang yang lebih lebar untuk prestasi pemanduan yang lebih baik.

    Hyundai Ioniq 5 N dilancar di Thailand – RM480k, lebih murah dari Honda Civic Type R FL5, 650 PS/770 Nm

    Kerangka Ioniq 5 N ini juga telah dipertingkat. Berbanding Ioniq 5 biasa, kerangka Ioniq 5 N ini menerima 42 titik kimpalan yang lebih banyak bersama bahan perekat badan 2.1 meter lebih panjang. Cagak-cagak motor elektrik dan bateri juga dipertkuatkan, manakala subframe belakang dan hadapan juga dipertingkat dengan ketegaran sisi lebih kuat.

    Untuk unit rangkaian kuasa, Ioniq 5 N yang masih diasaskan dari platform E-GMP ini menerima dua buah motor elektrik masing-masing pada gandar hadapan dan belakang – jadi Ioniq 5 N ini merupakan jentera produksi jalan raya pertama Hyundai N yang menampilkan sistem AWD, memberikan peluang bagi sayap perlumbaan itu memindahkan pengetahuan mereka dari Kejohanan Rali Dunia (WRC) yang telah disertai sejak 2014 kepada model produksi yang dijual di bilik pameran.

    Kedua-dua motor berkenaan dipadankan pada gandar pacuan berintegrasi (IDA) yang diinspirasikan dari jentera WRC sebenar, bagi memastikan ia tahan asakan dari motor elektrik berkuasa tinggi. Motor yang memacu gandar hadapan menghasilkan kuasa 226 PS, manakala motor pada gandar belakang pula berkuasa 385 PS.

    Hyundai Ioniq 5 N dilancar di Thailand – RM480k, lebih murah dari Honda Civic Type R FL5, 650 PS/770 Nm

    Secara keseluruhan, ia menghasilkan kuasa gabung 609 PS, dan meningkat kepada 650 PS bersama tork maksima 770 Nm apabila mod N Grin Boost (NGB) diaktifkan. Ini membolehkan Ioniq 5 N tersebut memecut dari 0-100 km/j dalam masa hanya 3.4 saat (3.5 saat jika NGB tidak digunakan), sebelum mencapai kelajuan maksima 260 km/j (Ioniq 5 biasa hanya mampu dipandu sehingga 185 km/j).

    Dengan pengetahuan yang dikutip dari Kejohanan Rali Dunia (WRC), Hyundai N turut memberikan fungsi N Drift Optimizer pada Ioniq 5 N. Menerusi fungsi ini, pemandu dapat melakukan aksi drift dengan lebih lama, malah turut boleh memulakan drift dengan teknik clutch kick seperti jentera enjin pembakaran dalaman pacuan roda belakang yang diberikan kotak gear manual menerusi fungsi Torque Kick Drift.

    Antara perincian menarik yang turut disertakan pada Ioniq 5 N ini termasuk sistem N Active Sound + dan juga N e-Shift, iaitu sistem yang akan memberikan bunyi seakan bunyi enjin sebenar dan rasa tukaran gear seperti kotak gear DCT.

    Bagi menghasilkan N Active Sound tersebut, Ioniq 5 N diberikan 10-pembesar suara (lapan dalam kabin dan dua lagi di luar) bagi memberikan tiga tema bunyi berbeza iaitu Ignition, Evolution dan Supersonic. Bagi bunyi Ignition, ia memberikan bunyi seakan enjin petrol 2.0 liter turbo pada model Hyundai N sebelum ini (i30 N, Kona N dan sebagainya), lengkap dengan dengan bunyi pop & bang.

    Hyundai Ioniq 5 N ini telahpun membuat kemunculan sulung di Malaysia pada awal bulan ini menerusi acara Sime Darby Motors Automania yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil. Bila ia akan dilancarkan masih belum diketahui, namum kami difahamkan sebanyak tiga unit telah di bawah ke sini, dan ia mungkin akan dijual pada harga RM388k.

    GALERI: Hyundai Ioniq 5 N di BIMS 2024

    GALERI: Hyundai Ioniq 5 N diprebiu di Malaysia

     
     
  • JAC Motors bakal labur di Malaysia bagi CKD, hab eksport untuk ASEAN; trak pikap T9 bakal tiba di sini?

    JAC Motors bakal labur di Malaysia bagi CKD, hab eksport untuk ASEAN; trak pikap T9 bakal tiba di sini?

    Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz melalui Facebook telah mendedahkan bahawa JAC Motors, pengeluar kenderaan komersial dari China, merancang untuk melabur di Malaysia.

    “Hari ini (semalam), JAC Motors, peneraju global dalam pembuatan kenderaan komersial, telah membincangkan rancangan pelaburan meraka di Malaysia. Pelaburan ini bukan sahaja akan mencipta lebih banyak peluang pekerjaan berkemahiran tinggi, tetapi juga memperkukuh keupayaan tempatan dalam pengeluaran trak pikap dan kenderaan komersial elektrik serta hibrid,” kata Zafrul.

    Walaupun JAC Motors terkenal terutamanya dengan kenderaan komersialnya termasuk trak pikap, van serta trak penghantaran, syarikat itu juga ada menawarkan kenderaan penumpang iaitu model sedan, hatchback dan SUV.

    Tambah Zafrul, “Dengan rancangan JAC Motors untuk menjadikan Malaysia hab bagi pengeluaran dan eksport kenderaan komersial ke ASEAN, negara kita kini berada di barisan hadapan untuk memacu teknologi hijau dan meningkatkan daya saing dalam industri automotif. Pelaburan ini juga akan menyumbang kepada pembangunan rantaian bekalan automotif tempatan dan mengukuhkan industri komersial negara.”

    Walau bagaimana pun, beliau tidak menyebut lokasi fasiliti pemasangan tempatan (CKD) yang bakal dibina itu. Adakah JAC Motors merancang untuk membawa masuk model trak pikap T9 ke pasaran Malaysia? T9 telah pun dibawa masuk ke Afrika Selatan, Australia dan ada laporan menyebut kebarangkalian ia akan tiba di Malaysia.

    Untuk pasaran global, trak pikap double-cab ini ditawarkan dengan beberapa varian enjin. Bagi enjin pembakaran dalaman (ICE), ia diberikan unit 2.0 liter empat-silinder turbo-diesel dengan hamburan kuasa 125 kW fdan tork 410 Nm. Satu lagi versi enjin ICE ialah 2.0 liter empat-silinder turbo-petrol dengan kuasa 168 kW dan tork 380 Nm.

    Manakala untuk varian kenderaan elektrik-bateri (BEV), ia hadir dengan pek bateri LFP berkapasiti 88 kWh yang dikatakan mampu mencapai jarak gerak hingga lebih 400 km bagi satu pengecasan tunggal. Untuk varian Plug-in Hybrid, ia hadir dengan kombinasi enjin 2.0 liter turb0-diesel dengan pek bateri LFP 26.8 kWh dan dikatakan mampu memberikan penjimatan bahan api iaitu sekitar 30 km bagi setiap liter. Kesemua varian ICE dan PHEV ini dilengkapi transmisi automatik ZF lapan-kelajuan.

    Trak pikap JAC T9

     
     
  • Ambil gambar, viralkan kenderaan modified, polis akan cari sampai ke rumah — Ketua Polis Kedah

    Ambil gambar, viralkan kenderaan <em>modified</em>, polis akan cari sampai ke rumah — Ketua Polis Kedah

    Khalayak awam di Kedah digesa untuk mengambil gambar kenderaan yang diubahsuai yang dilihat atas jalan, dan viralkannya dan polis Kedah akan mengambil tindakan susulan. Ini adalah cara untuk mengekang lumba haram atau aktiviti samseng jalanan dan mat rempit, ujar Ketua Polis Kedah, Datuk Fisol Salleh.

    “Saya mahu rakyat di Kedah, bila ternampak kenderaan yang di”modified” ini, tangkap gambar (dan video) mereka, tak kira kereta atau motosikal, atau bahkan basikal. Jika motosikal modified itu tidak mengikut spesifikasi yang dibenarkan, misalnya menggunakan tayar sotong, buang brek, tukar karburetor dan sebagainya, ambil gambar dan viralkan,” jelasnya seperti dilaporkan Bernama.

    “Pihak polis kemudiannya akan menjejaki mereka sampai ke rumah,” tambah beliau.

    Beliau turut memaklumkan yang perintah penguatkuasan telah dikeluarkan kepada semua ibupejabat polis di daerah di Kedah, terutama kepada jabatan trafik dan berkaitan. Kerjasama dari semua pihak, terutama dari masyarkat adalah sangat penting untuk memastikan aktiviti seperti mat rempit dikekang.

     
     
  • Pengenalan semula GST, Cukai Barangan Mewah (HVGT) bakal diumum dalam Belanjawan 2025 — RHB

    Pengenalan semula GST, Cukai Barangan Mewah (HVGT) bakal diumum dalam Belanjawan 2025 — RHB

    Selain program subsidi petrol bersasar untuk RON95, Belanjawan 2025 juga akan memperkenalkan semula Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST), lapor Bernama. Menurut penganalisis RHB Investment Bank, Alexander Chia, Malaysia ketika ini sedang melihat untuk memperluas asas cukainya memandangkan kedudukan kerajaan perpaduan di bawah Perdana Menteri, Anwar Ibrahim dilaporkan cukup stabil untuk melaksanakan hal tersebut.

    “Kami yakin bahawa kerajaan akan mengambil langkah ke depan yang lebih bermakna melibatkan subsidi dan juga perluasan sumber cukainya untuk mengurangkan difisit tahunan, sekaligus memberikan lebih banyak ruang bagi pelaburan infrastruktur dan mencipta peluang baru untuk mengawal hutang negara.

    “Dari sudut ini, dua usaha utama yang bakal ditentukan adalah penyelarasan semula subsidi petrol RON95 dan pengenalan semula GST yang serasi dengan pelaksanaan penuh e-Invois,” ujar Chia dalam nota kajiannya.

    Pengenalan semula GST, Cukai Barangan Mewah (HVGT) bakal diumum dalam Belanjawan 2025 — RHB

    GST pertama kali diperkenalkan pada April 2015 pada kadar 6% (yang telah menurunkan harga sebahagian kenderaan baru) tetapi dibatalkan pada 2018 selepas kerajaan Pakatan Harapan mengambil alih kuasa, dan digantikan dengan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) sebanyak 10%. GST belum pernah dilaksanakan semula setelah itu.

    RHB menjangkakan ketika pembentangan Belanjawan 2025 pada 18 Oktober nanti, ia akan memberi tumpuan terhadap penjimatan tahunan dengan keutamaan terhadap kumpulan berpendapatan rendah. Ia juga akan menunjukkan komitmen untuk perubahan serta penglibatan inisiatif yang jelas, seperti memperluas asas sumber cukai negara. Dijangkakan defisit tahunan yang disasarkan akan diturunkan kepada 3.5% daripada KDNK, daripada 4.3% tahun ini.

    Turut ada kemungkinan yang pembentangan itu nanti akan menyaksikan juga pengenalan Cukai Barangan Mewah (HVGT) yang tertangguh sebelum ini, walaupun belum jelas kadar cukai yang akan dikenakan, jenis barangan yang terkesan dan had nilai yang terlibat. Cukai ini sepatutnya mula dilaksanakan pada Mei lalu dengan had nilai terlibat sebanyak RM200,000 untuk kereta dengan kadar antara 5% hingga 10%, tetapi ditangguhkan untuk membolehkan kerajaan memperhalus kerangka dasar dan perundangan berkaitannya.

     
     
  • Leapmotor C10 dipertontonkan di khalayak umum mulai hujung minggu ini – dilancarkan bulan depan

    Leapmotor C10 dipertontonkan di khalayak umum mulai hujung minggu ini – dilancarkan bulan depan

    Minggu lalu, Leapmotor C10 telah pun dipertontonkan secara rasmi kepada pihak media. Bermula hujung minggu ini pula, SUV elektrik dari China yang dibawa masuk oleh Stellantis ini akan dipamerkan di khalayak umum iaitu di Plaza Arkadia, Desa Parkcity pada 28-29 September, menurut perkongsian jenama ini melalui media sosial.

    Lambang LP pada kereta membawa makna ‘Ling Pao’ iaitu nama Cina bagi Leapmotor, dan C10 merupakan model pertama dari jenama berkenaan yang dibawa masuk oleh Stellantis Malaysia. Ia merupakan SUV bersaiz besar, dengan dimensi berukuran 4,739 mm panjang dan 1,900 mm lebar, dengan jarak roda 2,825 mm, dan C10 besar sedikit berbanding Chery Tiggo 8 Pro versi enjin pembakaran dalaman. Bagi versi EV, C10 ini bersaing dengan BYD Atto 3 dan Proton eMas 7.

    Dalam sesi tontonan untuk pihak media, Stellantis menayangkan C10 dalam versi pacuan roda-belakang motor-tunggal. Untuk pasaran global termasuk Australia, motornya memiliki kuasa 218 PS (160 kW) dan dijanakan oleh bateri lithium iron phosphate (LFP). Di China, ia menawarkan dua kapasiti bateri iaitu
    52.9 kWh dan 69.9 kWh, tetapi untuk pasaran global, sepatutnya ia menerima pek yang lebih besar.

    Leapmotor C10 dipertontonkan di khalayak umum mulai hujung minggu ini – dilancarkan bulan depan

    Jarak geraknya mencecah 420 km mengikut standard WLTP. Walau bagaimana pun, belum disahkan tentang pengecas AC sama ada pada kadar 11 atau 22 kW, begitu juga dengan kadar maksimum pengecas DC. Laman web Leapmotor ada berkata baterinya boleh mencapai status pengecasan dari 30 hingga 80% dalam masa 30 minit.

    Di Australia, C10 ditawarkan dengan dua varian iaitu Style dan Design. Varian Design diberikan roda aloi 20-inci (Style menerima unit 18-inci), tempat duduk upholstery kulit silikon Oeko-Tex (yang dikatakan kalis cecair dan mesra-bayi) dan juga tailgate kuasa.

    Kelengkapan lain untuk kedua-dua varian termasuklah skrin sesentuh infotainmen 14-6-inci dengan navigasi satelit, WiFi, Bluetooth (tetapi tiada ketersambungan Apple CarPlay dan ANdroid Auto), kluster instrumen digital 10.25-inci serta sistem kawalan suhu automatik dwi-zon.

    Leapmotor C10 dipertontonkan di khalayak umum mulai hujung minggu ini – dilancarkan bulan depan

    Manakala kelengkapan standard untuk kedua-dua varian ialah bumbung kaca panoramik dengan tirai suria elektrik, sistem bunyi dengan 12-pembesar suara, tempat duduk hadapan dengan fungsi pemanas/ventilasi, pengecas tanpa wayar, pencahayaan ambien dan kad kunci NFC, di mana ia ditempatkan di konsol tengah untuk menghidupkan EV ini.

    Malah turut disebutkan versi global bagi C10 ini akan menerima suspensi talaan Maserati. Manakala untuk kelengkapan bantuan pemanduan dan keselamatan, C10 diberikan tujuh beg udara dan kelengkapan ADAS Tahap 2 dengan 16 fungsi (versi eksport tidak menerima Lidar seperti yang dilihat pada kereta domestik ini) dan kamera 360-darjah. Stellantis juga menjangkakan EV ini bakal menerima penarafan lima-bintang dari Euro NCAP tidak lama lagi.

    Setakat ini, Stellantis Malaysia belum mendedahkan harganya, tetapi berkata C10 mungkin ditawarkan pada harga yang lebih kurang dengan “EV paling terkenal di Malaysia”. Jika mereka maksudkan BYD Atto 3, ia ditawarkan pada RM149,800 untuk varian tunggal Extended Range, jadi mungkin Leapmotor ingin menetapkan harganya umpama “saiz Civic, harga City”, taktik yang dipopularkan oleh Proton. Apa pun, nantikan pelancarannya yang dijangka akan berlangsung pada Oktober ini.

    GALERI: Leapmotor C10 di Malaysia

     
     
  • Rasionalisasi subsidi petrol RON95 akan diperinci dalam Belanjawan 2025 bulan depan – RHB IB

    Rasionalisasi subsidi petrol RON95 akan diperinci dalam Belanjawan 2025 bulan depan – RHB IB

    RHB Investment Bank Bhd (RHB IB) menjangkakan bahawa perincian lebih lanjut berkenaan rasionalisasi subsidi petrol RON95 bakal dibawa dalam Belanjawan 2025 yang akan dibentangkan pada 18 Oktober nanti, manakala perlaksanaannya bakal bermula akhir tahun ini, lapor Bernama.

    “Kami yakin kerajaan akan melakar kemajuan yang lebih bermakna dalam subsidi dan inisiatif untuk meluaskan asas cukai bagi mengurangkan lagi defisit fiskal, mewujudkan ruang utama untuk pelaburan infrastruktur, dan menghasilkan peluang untuk mengawal hutang negara,” kata Penganalisis RHB IB, Alexander Chia dalam nota yang dikeluarkan.

    “Dalam aspek ini, dua inisiatif utama yang masih belum diputuskan adalah rasionalisasi subsidi untuk petrol RON95 dan pengenalan semula GST yang bersesuaian dengan pelaksanaan penuh e-invois,” tambahnya lagi.

    Rasionalisasi subsidi petrol RON95 akan diperinci dalam Belanjawan 2025 bulan depan – RHB IB

    Buat masa sekarang petrol RON95 dijual pada harga siling yang ditetapkan oleh kerajaan sejak Februari 2021 iaitu RM2.05 seliter. Manakala rasionalisasi untuk bahan api diesel pula telah bermula pada 10 Jun lalu untuk Semenanjung Malaysia.

    Langkah itu menyaksikan harga diesel naik sebanyak RM1.20, dijual pada harga RM3.35 sliter ketika itu. Namun selepas beberapa ketika ia diapungkan, harga bahan api berkenaan dilihat menurun mengikut harga minyak mentah dunia dan ia kini berharga RM2.95 seliter. Manakala harga diesel di Sabah dan Sarawak masih kekal RM 2.15 seliter.

    April lalu Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli menegaskan bahawa langkah kerajaan untuk mengurangkan subsidi petrol tetap akan dilaksanakan tahun ini dalam usaha untuk mengecilkan defisit fiskal negara.

     
     
  • Pengedar Proton eMas tunjuk Geometry Xingyuan di China – EV kecil ini akan ke Malaysia sebagai eMas 5?

    Pengedar Proton eMas tunjuk Geometry Xingyuan di China – EV kecil ini akan ke Malaysia sebagai eMas 5?

    Baru-baru ini para pengedar Proton eMas telah membuat kunjungan rasmi ke Hangzhou, China, untuk melawat fasiliti beberapa model buatan kumpulan Geely.

    Antara yang dikongsikan oleh mereka menerusi Facebook, klip video yang turut memaparkan model Geometry Xingyuan iaitu kenderaan berwarna hijau yang anda boleh saksikan di bawah. Xingyuan telah dibawa keluar untuk dipertontonkan, seperti memberikan bayangan ia sengaja ditunjukkan kepada kumpulan pengedar ini, tidak seperti beberapa model lain yang kekal diletakkan di bahagian dalam fasiliti.

    Ini merupakan amalan biasa yang dilakukan dalam lawatan ke fasiliti pengeluar oleh syarikat kereta di mana ia mempertontonkan model yang bakal dilancarkan di pasaran tertentu, jadi dengan kehadiran Xingyuan yang ditunjukkan kepada pengedar Malaysia ini mungkin membawa bayangan ia juga bakal diperkenalkan di pasaran kita. Adakah namanya telah ditetapkan sebagai Proton eMas 5 selepas model Geely E5/Proton eMas 7 yang juga akan dilancarkan di Malaysia tidak lama lagi?

    Geometry Xingyuan merupakan EV mampu milik yang bersaiz lebih kecil berbanding Geely E5, dan ia berukuran 4,135 mm panjang, 1,805 mm lebar, 1,570 mm tinggi dengan jarak roda 2,650 mm.

    Malahan dimensinya juga lebih kecil berbanding BYD Dolphin yang dijual di Malaysia, yang berukuran 1,290 mm panjang, 1,770 mm lebar, 1,570 mm tinggi dan jarak roda 2,700 mm, dan ia juga berbeza daripada Dolphin untuk pasaran China yang lebih kecil berbanding Geometry Xingyuan.

    Ada media di China melaporkan bahawa Xingyuan akan menggunakan pek bateri lithium iron phosphate (LFP) bersumberkan-CATL dengan kapasiti 30.12 kWh yang menawarkan jarak gerak hingga 310 km dan 40.16 kWh pula dengan 410 km, kedua-duanya mengikut standard ujian CLTC.

    Di dalamnya, Xingyuan akan menerima skrin infotainmen besar yang diletakkan di bahagian tengah papan pemuka, panel instrumen digital di hadapan pemandu dan juga roda stereng dua-jejari. Ia juga ditawarkan dengan dua konfigurasi bagi motor sama ada dengan kuasa keseluruhan 79 PS atau 116 PS, dengan kelajuan maksimum cecah 135 km/j.

    GALERI: Geometry Xingyuan

     
     
  • Toyota harap enjin 2.0L generasi baharunya boleh ganti enjin 2JZ; hasilkan kuasa antara 300-400 HP

    Toyota harap enjin 2.0L generasi baharunya boleh ganti enjin 2JZ; hasilkan kuasa antara 300-400 HP

    Mei lalu Toyota bersama sekutunya iaitu Mazda dan Subaru telah berikrar akan terus menghasilkan enjin pembakaran dalaman, dan dalam masa yang sama gergasi automotif Jepun tersebut turut menunjukkan enjin empat-silinder sebaris generasi baharu berkenaan yang dihasilkan dalam beberapa variasi iaitu 1.5 liter turbo, 1.5 liter NA dan 2.0 liter turbo.

    Menerusi video yang telah disiarkan oleh saluran YouTube Toyota Times, varian paling berkuasa dari tiga enjin tersebut iaitu versi 2.0 liter empat-silinder turbo telah ditunjukkan diletakkan pada sebuah kereta prototaip, dan dapat disaksikan ia menghasilkan bunyi dan juga pecutan yang cukup sporty.

    Toyota belum lagi mengumumkan sebarang spesifikasi enjin berkenaan, namun beberapa perinciannya telah didedahkan menerusi laporan dari jurnalis laman Kuruma-News yang turut menyertai acara tersebut.

    Laporan itu mendedahkan bahawa enjin berkenaan sebenarnya disumbatkan pada sebuah Lexus IS generasi sedia ada, dan ia ditala bagi menghasilkan kuasa 400 HP serta boleh menjerit pada redline yang ditetapkan pada 7,100 rpm! Seperti yang anda boleh lihat dalam video, enjin berkenaan dilengkapi dengan pedal penukar pada roda stereng menandakan ia digandingkan dengan kotak gear automatik.

    Dan dalam acara yang sama, Kuruma News mendedahkan bahawa Toyota turut menunjukkan enjin yang sama ditala dengan kuasa 300 HP dengan tahap redline pada 6,200 rpm, dan unit ini telah disumbat pada trak pikap Toyota Hilux serta digandingkan dengan kotak gear manual enam-kelajuan!

    “Kedua-dua enjin ini memberikan rasa pecutan yang ringan dari kedudukan pegun, dan ia hampir tiada turbo lag, dan seseungguhnya ia memberikan rasa ‘seronok untuk dipandu’,” tulis laporan berkenaan.

    Enjin-enjin generasi baharu ini dihasilkan oleh Toyota dengan sasaran bagi memberikan alternatif kepada teknologi EV, direka bagi memudahkan ia dipadankan dengan sistem elektrifikasi. Namun dengan pendedahan ini nampaknya enjin-enjin tersebut turut akan membolehkan Toyota hadir dengan pelbagai lagi model prestasi tinggi dengan lencana GR.

    Toyota harap enjin 2.0L generasi baharunya boleh ganti enjin 2JZ; hasilkan kuasa antara 300-400 HP

    Dan ia turut disokong oleh kenyataan yang dibuat oleh salah seorang jurutera Toyota dalam acara tersebut bahawa enjin 2.0 liter empat silinder baharu ini disasarkan akan menjadi penerus kepada enjin lagenda Toyota iaitu 2JZ! “Toyota mempunyai enjin yang terkenal di seluruh dunia digelar sebagai enjin 2JZ. Saya sasarkan enjin baharu ini akan lebih baik dari enjin tersebut,” katanya.

    Enjin 2JZ merupakan enjin 3.0 liter enam-silinder sebaris yang dipadankan pada pelbagai model coupe dan sedan Toyota pada era 90’an seperti Soarer, Chaser, Aristo dan pelbagai lagi. Dan versi paling popular sudah tentu adalah dari varian 2JZ-GTE yang dipadankan dengan pengecas turbo dan boleh ditemui dalam perut Toyota Supra generasi ke-empat.

    Walaupun sudah tidak lagi digunakan dalam model-model terkini Toyota, enjin 2JZ tersebut masih lagi menjadi pilihan dalam dunia sukan permotoran kerana ia mampu menampung penghasilkan kuasa sehingga 1,000 HP.

    Sebelum ini pelbagai khabar angin bahawa Toyota bakal menghidupkan semula beberapa lagi model lagendanya seperti Celica dan MR2, jadi enjin ini mungkin akan dipadankan pada model-model tersebut. Dan dengan pemadanan enjin prototaip itu pada badan Hilux, tidak mustahil Toyota turut ada perancangan untuk menghasilkan trak pikap berprestasi tinggi bagi berhadapan terus dengan Ford Ranger Raptor!

     
     
  • BMW 520i M Sport sertai 5 Series G60 menerusi ‘Sky5pace’ di KL – varian ICE sporty, dari RM350k

    BMW 520i M Sport sertai 5 Series G60 menerusi ‘Sky5pace’ di KL – varian ICE sporty, dari RM350k

    BMW Group Malaysia sedang menganjurkan acara untuk meraikan pelanggannya dengan menampilkan barisan 5 Series G60. Acara berkenaan dipanggil ‘SKY5PACE’ berlangsung di tingkat enam, Menara Permata Sapura, bersebelahan Hotel Grand Hyatt dan pintu utama KL Convention Centre.

    Dengan menyajikan latar belakang pemandangan pusat bandaraya yang indah termasuk Menara Berkembar Petronas, acara ini mempamerkan barisan 5 Series G60 di Malaysia yang terdiri daripada i5 eDrive40 M Sport, i5 M60 xDrive, 520i janaan enjin pembakaran dalaman (ICE) dan model terkini 520i M Sport. Selain itu, ia turut mempamerkan model BMW i7 xDrive60 M Sport dan BMW 750e xDrive M Sport.

    “Hari ini, dengan BMW 520i M Sport pemasangan tempatan bersama model elektrik sepenuhnya BMW i5 eDrive40 M Sport, kami berbesar hati dapat menceritakan kisah kejayaan evolusi BMW 5 Series di Malaysia. Malah, BMW 5 Series generasi kelima adalah kenderaan BMW pertama yang dipasang di sini pada 2004, menandakan 20 tahun komitmen BMW Group Malaysia kepada Malaysia sebagai hab di Asia Tenggara, untuk pemasangan kenderaan premium untuk rantau ini,” kata Benjamin Nagel, MD BMW Group Malaysia.

    BMW 520i M Sport sertai 5 Series G60 menerusi ‘Sky5pace’ di KL – varian ICE sporty, dari RM350k

    Tambahnya, “BMW Group Malaysia masih lagi kekal sebagai pengeksport dan pengeluar terbesar bagi kenderaan premium di rantau ini dengan lebih 10,000 unit telah dieksport sejak tahun 2018.”

    520i M Sport, sama seperti 520i biasa, dijanakan oleh enjin 2.0 turbo empat-silinder dengan bentangan sistem hibrid 48V. Ia mampu menghasilkan 208 PS dan tork 330 Nm yang dipacu ke roda belakang menerusi transmisi automatik lapan-kelajuan. Pecutan 0-100 km/j mampu dicapai dalam 7.5 saat dan kelajuan maksimum mencecah 230 km/j.

    Seperti yang kami tunjukkan buat tatapan anda menerusi acara Sime Darby Motors Automania awal bulan ini, kemasan M Sport memberikan G60 imej yang lebih sporty termasuk penampilan bampar yang lebih agresif, sentuhan Shadowline (hitam berkilat) dan roda aloi gaya 935 M dua-jejari 19-inci. Kedua-dua varian 520i turut menerima gril kidney Iconic Glow secara standard.

    BMW 520i M Sport sertai 5 Series G60 menerusi ‘Sky5pace’ di KL – varian ICE sporty, dari RM350k

    Di dalamnya, 520i diberikan kulit quilted Veganza, tempat duduk hadapan sport dan anthracite headliner. Elemen M Sport pula terdiri daripadan kemasan rhombicle aluminium, sentuhan M rona perak gekap, roda stereng M; sementara untuk varian bukan M Sport pula menerima kemasan kayuan grey blue ash.

    Kelengkapan standard lain termasuklah suspensi pasif, lampu utama LED adaptif dengan bantuan lampu tinggi, kawalan suhu empat-zon, Comfort Access dengan tailgate kuasa, tempat duduk hadapan larsan kuasa dengan fungsi memori untuk bahagian pemandu, pencahayaan ambien, tirai suria, pad pengecas tanpa wayar, BMW Live Cockpit Professional (kluster instrumen digital 12.3-inchi, skrin sesentuh 14.9-inci) dan sistem bunyi Harman Kardon dengan 12-pembesar suara.

    Sistem bantuan pemanduan untuk model ini termasuklah Driving Assistant Plus, yang terdiri daripada sistem bantuan berasaskan radar dan kamera, dengan Kawalan kelajuan Aktif bersama fungsi Stop & Go, Bantuan Kawalan Lorong dan Stereng serta Amaran Ketibaan Lorong. Turut diberikan ialah Bantuan Parkir Tambahan.

    BMW 520i M Sport dijual pada harga bermula RM349,800 atas jalan tidak termasuk insurans, ia RM17K lebih mahal berbanding 520i asas tanpa M-Sport yang diperkenalkan pada Mei lalu. Ia merupakan harga pakej. Manakala dengan pakej BMW Service & Repair Inclusive yang termasuk waranti lima-tahun dan penyelenggaran yang bernilai RM26,900, ini menjadikan harga atas jalan 520i M Sport mencecah RM376,700 tanpa insurans.

    GALERI: BMW 520i M Sport G60 di SKY5PACE

    GALERI: BMW 520i M Sport G60

     
     
  • Honda X-ADV 750 dapat perubahan gaya, peningkatan ciri dan penambah baikan untuk model tahun 2025

    Honda X-ADV 750 dapat perubahan gaya, peningkatan ciri dan penambah baikan untuk model tahun 2025

    Skuter gaya adventure Honda X-ADV 750 yang mula diperkenalkan kepada dunia pada tahun 2017 sebelum ini sudah menerima peningkatan, iaitu pada tahun 2021, dan kini bagi model tahun 2025 beberapa perubahan lagi dibuat termasuk pada aspek penampilan, elektronik serta bahan yang digunakan.

    Untuk gaya, X-ADV 2025 ini tampil lebih agresif dengan perubahan paling ketara adalah di bahagian hadapannya, dan bagi menjadikannya lebih mesra alam, beberapa panel dibuat menggunakan bahan kitar semula termasuk panel skirting tepi serta penghadang angin hadapan.

    Lampu hadapan juga adalah baru, dan bukan setakat itu, ia juga menempatkan lampu siang (DRL) yang bersepadu dengan lampu penunjuk arah – Honda mendakwa ini adalah yang pertama di dunia untuk motosikal produksi.

    Bagi penghadang angin hadapan, bentuknya nampak seakan sama, tetapi Honda telah menjadikan operasi pelarasan lima tahap secara manualnya lebih mudah bagi pengguna dengan hanya tiga pergerakan sebelah tangan (sebelum ini lima pergerakan dan perlu menggunakan dua tangan).

    Pergi ke bahagian kokpit, X-ADV 2025 diberikan skrin TFT lima inci berwarna baru, yang bukan sahaja mempunyai paparan baru, tetapi juga mempunyai skrin yang ditambah baik supaya kurang silau dan mudah dilihat.

    Sama seperti model sebelumnya, sistem operasi skrin ini, selain menunjukkan informasi serba lengkap berkenaan motosikal, juga boleh disambung kepada telefon pintar melalui aplikasi Honda RoadSync dan memaparkan navigasi turn-by-turn.

    Honda X-ADV 750 dapat perubahan gaya, peningkatan ciri dan penambah baikan untuk model tahun 2025

    Tiada perubahan dibuat pada enjin dua silinder selari 745 cc SOHC, penyejukan cecair skuter ini, dengan masih menghasilkan kuasa 57.8 hp pada 6,750 rpm dan tork 69 Nm pada 4,750 rpm, tetapi talaan transmisi DCT enam kelajuan yang dipadankan bersamanya dijadikan lebih lancar untuk waktu mula bergerak dan kelajuan rendah (pacuan rantai ke roda belakang).

    Empat mod tunggangan disediakan pada X-ADV, dengan setiap satunya mempunyai tahap penyampaian kuasa, engine braking dan kawalan cengkaman HSTC sendiri, sementara satu lagi mod iaitu User membolehkan penunggang melaras sendiri setiap tahap itu mengikut kegemaran.

    Mod tunggangan ini turut berhubung dengan tetapan penukaran gear transmisi, yang juga mempunyai lima tahap termasuk User yang boleh diubah. Bagi tetapan HSTC, dua daripada tiga tahap yang disediakan, iaitu Gravel dan Rain telah ditambah baik untuk model tahun 2025, dan ia juga boleh ditutup terus jika mahu.

    Pembaharuan akhir untuk X-ADV 2025 adalah di bahagian tempat duduk, dengan tambahan 10% lagi bahan urethane untuk menambahkan keselesaannya, serta bentuk yang lebih kurus supaya kaki lebih mudah menjejak tanah. Tinggi tempat duduk X-ADV 2025 adalah 820 mm dan jarak leganya dari tanah adalah 165 mm. Ciri cruise control kini diberikan secara standard.

    Kelengkapan lain X-ADV 2025 masih lagi sama, termasuk fork USD 41 mm boleh laras (pra beban dan lantunan) di hadapan dan monoshock dengan pelarasan pra beban di belakang, yang memegang masing-masing rim spoked 17 inci dengan tayar 120/70 dan 15 inci dengan tayar 160/60. Kedua-dua brek hadapan dan belakang menggunakan tetapan cakera, dengan di hadapan mendapat cakera berkembar 296 mm dan angkup empat piston.

    Selain poket barangan di bawah bar pemegang, terdapat juga ruang simpanan 22 liter bersama pengecas USB-C di bawah tempat duduk X-ADV ini, sementara barangan lain yang disediakan adalah termasuk semua lampu jenis LED, penghadang bawah enjin aluminium, penghadang tangan, tongkat tengah, kunci pintar, Emergency Stop Signal (ESS) dan lampu penunjuk arah mati sendiri. Berat keseluruhannya adalah 237 kg.

    Selain tiga warna baru yang disediakan untuk X-ADV 2025 ini, iaitu Graphite Black, Pearl Glare White dan Matte Deep Mud Gray, ia juga ditawarkan dengan warna istimewa yang menggabungkan warna Matte Gold Finch Yellow dengan pelekat grafik khas.

     
     
  • Harga minyak 26 Sept-2 Okt – Semuanya dikekalkan

    Harga minyak 26 Sept-2 Okt – Semuanya dikekalkan

    Bagi minggu bertarikh 26 September hingga 2 Oktober 2024, Kementerian Kewangan (MOF) mengumumkan bahawa harga runcit bagi ketiga-tiga bahan api utama dikekalkan. Di mana harga diesel untuk Semenanjung dikekalkan pada RM2.95 seliter. Begitu juga harga diesel untuk Sabah dan Sarawak masih dikekalkan pada RM2.15 seliter.

    Manakala untuk tempoh yang sama, petrol RON 97 juga dikekalkan pada harga RM3.19 seliter. Ini termasuk juga dengan harga runcit bagi RON 95 yang telah mencapai harga siling masih dikekalkan pada paras RM2.05 seliter.

    Pertengahan Julai lalu, Kementerian Ekonomi berkata, buat masa ini, kerajaan masih meneliti dan menilai semula subsidi dan bantuan yang diberikan kepada rakyat termasuk petrol RON95.

    “Kerajaan juga sedang meneliti keperluan pelaksanaan rasionalisasi subsidi ke atas petrol RON95. Walau bagaimanapun, buat masa ini, tumpuan dan keutamaan akan diberikan kepada pelaksanaan subsidi diesel sehingga penyasaran subsidi diesel menjadi stabil, sekaligus mencapai objektif yang ditetapkan.
    Kerajaan pada masa ini masih meneliti dan menilai semula subsidi dan bantuan yang diberikan kepada rakyat, termasuk petrol RON95,” katanya.

     
     
  • Produksi Proton Saga kotak gear manual tamat tak lama lagi; stok terakhir ditawar hingga hujung tahun

    Produksi Proton Saga kotak gear manual tamat tak lama lagi; stok terakhir ditawar hingga hujung tahun

    Jika anda mahukan Proton Saga dengan kotak gear manual lima-kelajuan, ada baiknya anda bertindak segera untuk menempah model tersebut sekarang. Ini kerana kami baru sahaja disahkan oleh Proton bahawa produksi untuk varian tersebut akan ditamatkan tidak lama lagi, dan jualannya pula bakal berakhir menjelang hujung tahun ini.

    Perkara ini diberitahu oleh Proton kepada wakil kami, Hafriz Shah. Buat masa sekarang Saga dengan kotak gear manual ini hanya ditawarkan pada varian paling asas iaitu 1.3 Standard MT, dijual pada harga atas jalan RM34,800. Ia datang dengan perincian standard seperti lampu hadapan halogen, rim besi 14-inci, sistem brek dengan ABS dan EBD tetapi tidak diberikan sistem kawalan kestabilan elektronik.

    Sekiranya varian 1.3 Standard MT ini dihentikan jualannya kelak, ini bermakna Proton tidak lagi menawarkan sebarang model dengan kotak gear manual. Sebelum ini Proton turut telah menggugurkan pilihan kotak gear manual untuk Iriz dan juga Persona bermula pada versi facelift 2022 yang dilancarkan pada Ogos 2021.

    Produksi Proton Saga kotak gear manual tamat tak lama lagi; stok terakhir ditawar hingga hujung tahun

    Proton Iriz 1.3 Standard MT 2019

    Penyebab utama model-model manual ini dihentikan pengeluarannya adalah kerana permintaannya yang terlalu rendah dan tidak mencapai skala ekonomi yang diperlukan. Pada 2019 Proton menyatakan bahawa hanya lima peratus Saga, tiga peratus Iriz dan dua peratus Persona yang dipadankan dengan kotak gear manual terjual.

    Jumlah kesemua unit-unit dengan kotak gear manual tersebut adalah tidak sampai 2,700 unit, atau kurang empat peratus dari jumlah keseluruhan 67,000 unit ketiga-tiga model itu terjual pada waktu itu.

    Jadi satu-satunya kereta baharu mampu milik dengan kotak gear manual yang boleh anda di bilik pameran selepas ini hanyalah Axia ‘Rahmah’, iaitu Perodua Axia generasi pertama dalam varian paling asas E yang dilancarkan semula pada Jun tahun lalu.

    Model berkenaan diproduksi semula dan dijual di bilik pameran bersama Axia generasi kedua untuk memenuhi permintaan pasaran, kerana model baharu yang diasaskan dari platform Daihatsu New Global Architecture (DNGA) tersebut sudah tidak ditawarkan dengan kotak gear manual.

     
     
  • Beberapa lokasi di Shah Alam dilanda banjir kilat petang ini – berwaspada, rancang perjalanan anda

    Beberapa kawasan di sekitar Shah Alam dilaporkan sedang dilanda banjir kilat selepas hujan lebat turun dalam tempoh lebih sejam sebentar tadi. Menerusi perkongsian netizen di laman media sosial Facebook, antara lokasi yang dinaiki air banjir ialah Jalan Kebun, Kota Kemuning dan Sri Muda.

    Beberapa hari lalu, Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) mengumumkan bahawa fasa peralihan monsun telah pun bermula dan dijangka berlangsung sehingga awal November ini. Justeru, orang ramai dinasihati agar berwaspada dengan perubahan cuaca dan sentiasa peka dengan perkembangan terkini mengenai ramalan cuaca dan amaran yang dikeluarkan oleh jabatan berkenaan menerusi laman web rasmi dan juga saluran media sosial rasmi, serta boleh memuat turun aplikasi myCuaca atau pun hubungi 1-300-22-1638 untuk sebarang informasi berkaitan.

    Justeru, kami menasihati pemilik kenderaan supaya mendapatkan insurans kerosakan akibat banjir atau bencana alam (special perils) untuk kenderaan anda. Dengan adanya insurans bencana alam ini, jika kenderaan kita rosak akibat banjir atau bencana alam lain (termasuk pokok tumbang dan sebagainya), tidaklah kita begitu ‘sengsara’ menanggung kos baikpulih kenderaan kita. Ini kerana, tanpa perlindungan insurans sebegini, kos baikpulih kenderaan yang rosak akibat bencana alam adalah besar dan memang membebankan.

    Beberapa tahun lalu, kami telah kumpulkan bayaran insurans bencana alam ini, daripada beberapa penyedia insurans utama Malaysia, termasuk AIA, AIG, Allianz, AXA, Etiqa, Kurnia, MPI Generali, MSIG, RHB, Takaful dan Tokio Marine. Kadarnya adalah antara 0.15% hingga 0.5% daripada jumlah keseluruhan perlindungan kenderaan anda. Mungkin tahun ini ada perubahan yang dilakukan oleh syarikat insurans, sila rujuk mereka untuk mendapatkan sebut harga yang sahih.

    Apa pun, sekiranya berlaku hujan lebat dan anda parkir kenderaan di kawasan yang berisiko banjir, sila alihkan kenderaan anda ke tempat yang lebih selamat. Atau sekiranya anda tidak pasti adakah lokasi terbabit selamat mahu pun tidak, sila bertambah peka dan jenguk selalu keadaan sekeliling. Jika air banjir sudah mula memasuki kawasan terbabit, bertindaklah dengan segera.

    Sekiranya anda sedang memandu dan laluan terbabit dinaiki air, jangan nak main redah saja. Kita tidak tahu bahaya apa yang menanti di hadapan. Pastikan laluan terbabit selamat untuk dilalui, atau gunakan jalan alternatif jika masih berkesempatan. Jangan mengambil risiko meredah laluan tersebut, bimbang kenderaan anda terperangkap di tengah-tengah banjir dan kemungkinan besar tidak dapat bergerak langsung. Bukan setakat kenderaan anda mungkin mengalami kerosakan, bahkan keselamatan anda dan penumpang juga berada dalam bahaya.

     
     
  • Jualan EV merosot – Persatuan Pengeluar Automobil Eropah minta EU buat penilaian semula sasaran emisi

    Jualan EV merosot – Persatuan Pengeluar Automobil Eropah minta EU buat penilaian semula sasaran emisi

    Persatuan Pengeluar Automobil Eropah (ACEA) telah meminta Kesatuan Eropah (EU) untuk membuat penilaian semula terhadap sasaran tahap emisi untuk kereta dengan enjin pembakaran dalaman berikutan jualan untuk kenderaan elektrik (EV) di benua berkenaan terus merudum bulan lalu.

    Menurut persatuan itu lagi, peralihan kepada kenderaan sifar emisi kini “sangat mencabar, dengan kekuathiran terhadap untuk mencapai sasaran pengurangan emisi untuk kereta dan van yang semakin meningkat,” dan undang-undang sedia ada tidak mengambil kira peralihan dalam geopolitik dan keadaan ekonomi dalam beberapa tahun kebelakangan ini serta “ketidakupayaan yang wujud dalam undang-undang untuk disesuaikan dengan perkembangan dunia sebenar” semakin menghakis daya saing sektor ini.

    Ini akan mengakibatkan “denda berjumlah berbilion euro” untuk pengeluar-pengeluar kenderaan iaitu ahli persatuan itu, di mana kos tersebut boleh digunakan terhadap usaha peralihan kepada emisi sifar, serta boleh mengakibatkan pengurangan produksi yang tidak sepatutnya berlaku, kehilangan pekerjaan, dan melemahkan pembekalan dan nilai rantaian Eropah ketika rantau tersebut berhadapan dengan saingan sengit dari rantau lain yang turut membuat kereta, kata ACEA.

    Jualan EV merosot – Persatuan Pengeluar Automobil Eropah minta EU buat penilaian semula sasaran emisi

    Persatuan itu juga menambah bahawa industri “tak mampu lagi untuk menunggu” untuk undang-undang emisi CO2 di rantau itu untuk disemak semula pada 2026 dan 2027, kerana “langkah segera dan bermakna” diperlukan untuk menaikkan semula jualan kenderaan yang kini sedang merudum, serta untuk mengembalikan semula tahap kompetitif industri serta mengurangkan kelemahan dalam rantau tersebut.

    ACEA juga menyatakan bahawa keperluan segera terhadap semakan itu juga perlu untuk sektor kenderaan tugas berat, bagi memastikan aspek penting infrastruktur sektor berkenaan boleh dipertingkatkan mengikut masa. Oleh itu ACEA menyatakan ia bersedia untuk membincangkan pakej bantuan jangka pendek untuk sasaran pengurangan emisi 2025 bagi kereta dan van, serta “semakan pantas, komprehensif dan mantap bagi Peraturan CO2 untuk kedua-dua kereta dan trak,” ditambah dengan undang-undang sekunder yang disasarkan.

    Jualan kereta baharu di Eropah menurun sebanyak 18.3% secara keseluruhan pada Ogos 2024. Dari jumlah itu, jualan untuk kenderaan elektrik bateri (BEV) menunjukkan penurunan sebanyak 43.9% kepada 92,627 unit, daripada 165,204 unit dalam tempoh yang sama tahun lalu menurut ACEA. Sementara itu, bahagian pasaran yang dipegang oleh BEV di rantau tersebut turun 21% berbanding bulan yang sama pada tahun sebelumnya.

    Jualan EV merosot – Persatuan Pengeluar Automobil Eropah minta EU buat penilaian semula sasaran emisi

    Ia turut menambah bahawa untuk lapan bulan pertama 2024 menyaksikan 902,011 BEV terjual di EU, mewakili 12.6% daripada pasaran. Penurunan jumlah jualan ini didorong oleh penurunan jualan di dua pasaran terbesar untuk BEV di Eropah iaitu Jerman (turun 68.8%) dan Perancis (turun 33.1%).

    Jualan untuk model hibrid plug-in (PHEV) juga menurun sebanyak 22.3% bulan lepas, dan menyumbang 7.1% daripada pasaran kereta EU, turun daripada 7.4% tahun lepas dengan 45,590 unit terjual. Satu-satunya segmen yang mencatat peningkatan jualan adalah kenderaan hibrid elektrik, naik 6.5% kepada 201,552 unit pada Ogos 2024.

    Jualan untuk kenderaan yang dijana sepenuhnya oleh petrol juga jatuh 17.1%, manakala jualan model-model diesel di benua berkenaan jatuh 26.4% dalam tempoh sama.

     
     
  • Ford Ranger XLT Plus Special Edition diperkenalkan — 300 unit, kemasan fender, palang sports; RM144k

    Ford Ranger XLT Plus Special Edition diperkenalkan — 300 unit, kemasan fender, palang sports; RM144k

    Sime Darby Auto ConneXion (SDAC) memperkenalkan Ford Ranger XLT Plus Special Edition versi edisi terhad 300 unit bagi trak pikap generasi semasa yang dilancarkan pada 2022. Versi SE ini didatangkan dengan beberapa perincian hitam kesat dan kelengkapan tambahan, dan dijual dengan harga RM143,888 atas jalan tidak termasuk insurans di Semenanjung, atau RM149,388 untuk Malaysia Timur.

    Varian SE ini menggunakan asas dari Ranger XLT Plus. Kelainan yang diberi termasuklah kemasan fender hitam kesat, palang sport di belakang dalam warna hitam kesat, pelekat hiasan Ranger di bahagian sisi badan serta pelekat sport lain juga dalam hitam kesat.

    Turut disertakan ialah scuff plate tepi pintu dengan lampu LED dan logo Ranger, serta pemegang cawarn di depan corong pendingin sisi bahagian depan. Ford Ranger XLT Plus Special Edition ini boleh dipilih dalam dua warna, iaitu Meteor Grey atau Absolute Black.

    Ranger XLT Plus dikuasakan oleh enjin 2.0-liter biturbo diesel yang menjana sebanyak 210 PS dan 500 Nm tork, dan dipadankan dengan transmisi automatik 10-kelajuan serta sistem Electronic Shift-On-The-Fly 4WD dari Ford sendiri. Kelengkapan lainnya termasuklah skrin sentuh 10.1-inci dengan Apple CarPlay dan Android Auto, kawalan pendingin dua zon dan kluster instrumen digital.

    Ranger XLT Plus Special Edition ada dipamerkan di Ford Experience Hub di Setia City Mall, yang berlangsung bermula hari ini hingga 29 September. 20 pelanggan terawal yang membeli trak pikap melalui sistem tempahan dalam talian SDAC juga akan menerima baucar minyak bernilai RM3,000.

    Kali terakhir versi Ranger yang diperkenalkan di Malaysia ialah Ford Ranger Stormtrak yang lebih garang dan lengkap berbanding Wildtrak, dengan harga RM181,888 pada Mei lalu dan hanya ditawarkan dalam 200 unit sahaja.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (-0.04)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.90 (-0.04)
EURO 5 B7 RM3.10 (-0.04)
Last Updated Aug 14, 2025