Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Pekema lantik 23 pengedar menjelang palancaran EV Dongfeng Box — pusat pameran di Cyberjaya, KD

    Pekema lantik 23 pengedar menjelang palancaran EV Dongfeng Box — pusat pameran di Cyberjaya, KD

    Central Auto Distributor (CADB) selaku sebuah anak syarikat kepada Persatuan Penjual dan Pengimport Kenderaan Melayu Malaysia (Pekema) telah melantik 23 pengedar di seluruh negara menjelang pelancaran EV Dongfeng Box di Malaysia. Turut akan disediakan ialah dua bilik pameran utama yang bertempat di Wisma Yayasan Pekema di Cyberjaya dan Kota Damansara.

    Dongfeng Box dipertontonkan bulan lalu yang turut merupakan penampilan sulung peringkat global bagi versi pemanduan sebelah kanan model terbabit yang dijangka akan dilancarkan Oktober ini. Pekema juga sudah menandatangani MoU dengan NexV Manufacturing untuk pemasangan CKD nanti: kumpulan pertama EV berkenaan bagaimanapun akan dibawa masuk dari China.

    Untuk pasaran Malaysia, CADB bakal menawarkan dua varian, E3 dan E2 (Dongfeng Box ini merupakan pesaing langsung bagi model BYD Dolphin). Dari spesifikasi ringkas yang ditunjukkan, model ini akan menggunakan bateri jenis lithium iron phosphate (LFP) dan menurut CADB, ini memberikan kemampuan janaan kuasa sebanyak 95 PS (70 kW) serta juga 160 Nm tork, dengan laju maksimum yang boleh dicapai ialah 140 km/j.

    Pekema lantik 23 pengedar menjelang palancaran EV Dongfeng Box — pusat pameran di Cyberjaya, KD

    Kapasiti baterinya ialah 31.45 kWh bagi varian E2, dengan jarak yang boleh dicapai ialah 330 km, sementara varian lebih tinggi, E3 menerima kapasiti bateri 42.3 kWh dengan jarak yang mampu diberikan ialah 430 km (10 km lebih berbanding BYD Dolphin Standard Range) — semua ini mengikut kitaran ujian CLTC versi China.

    Dongfeng tidak mendedahkan input maksimum bagi pengecasan DC bagi Box ini, dengan sekadar memaklumkan bahawa pengecasan dari 30%-80% akan mengambil masa 30 minit. Ini tempoh yang sama untuk E2 dan E3, dengan E3 boleh menampung kapasiti watt yang lebih — jika dilihat untuk pengecasan AC, memang benar: E2 dengan input 3.3 kW sementara bagi E3 dengan input 6.6 kW.

    Dongfeng Box di Malaysia mempunyai ukuran seperti berikut: 4,000 mm panjang, 1,800 mm lebar, 1,540 mm tinggi dengan jarak roda 2,650 mm.

    Dongfeng Box E3

    Dongfeng Box E2

     
     
  • GWM Haval H6 HEV – operasi CKD sudah bermula di Melaka, penghantaran pertama mula Oktober ini

    GWM Haval H6 HEV – operasi CKD sudah bermula di Melaka, penghantaran pertama mula Oktober ini

    GWM Malaysia membuat pengumuman bahawa proses pemasangan tempatan (CKD) untuk SUV segmen-C dengan jenama Haval iaitu Haval H6 HEV yang bakal dilancarkan di Malaysia tidak lama lagi kini telahpun bermula, dan unit pertama sudahpun keluar dari barisan pemasangan berkenaan.

    Operasi pemasangan kit CKD Haval H6 ini dibuat menerusi kilang milik EP Manufacturing Berhad (EPMB) yang terletak di Taman Perindustrian Hicom Pegoh, Melaka. Menurut GWM Malaysia lagi, penghantaran terawal kepada pelanggan akan dibuat pada Oktober ini, dan setiap unit SUV tersebut akan melalui pelbagai pemeriksaan kualiti yang ketat dan ujian keselamatan di atas litar.

    Bila tarikh pelancaran sebenar masih belum diumumkan. Namun GWM telah mengesahkan bahawa untuk pasaran Malaysia Haval H6 ini akan ditawarkan hanya dalam satu varian sahaja di Malaysia, iaitu varian spesifikasi tinggi Ultra. Seperti yang diumumkan tempoh hari, harga anggaran Haval H6 Hybrid ini adalah di bawah RM145,000.

    Model ini dihasilkan dengan dimensi panjang 4,683 mm, lebar 1,886 mm dan tinggi 1,724 mm. Jarak rodanya pula adalah sejauh 2,738 mm, lebih jauh berbanding saingan-saingan terdekatnya seperti Proton X70 (2,670 mm), Honda CR-V (2,660 mm) dan Mazda CX-5 (2,700 mm).

    Manakala untuk unit rangkaian kuasa, ia menggabungkan enjin empat silinder 1.5 liter turbo berkuasa 150 PS/230 Nm dengan motor elektrik 177 PS/300 Nm yang disepadukan dalam transmisi DHT dua kelajuan. Ini membolehkan kuasa keseluruhan yang dibekalkan adalah 243 PS dan 530 Nm, dengan penggunaan bahan api di sekitar 5.2l/100 km.

    Antara perincian standard yang diberikan pada Haval H6 Hybrid Ultra pasaran Malaysia ini termasuk lampu hadapan LED matrix, gril hadapan ‘Star Matrix’, bumbung sutina panaromik dan rim aloi 19-inci dalam kemasan hitam berkilat.

    Manakala pada bahagian kabin, ia menerima sistem pendingin hawa dua-zon, liang penghembus kabin belakang, cermin pandang belakang auto-malap, pintu tailgate bantuan kuasa, pengecas telefon pintar tanpa wayar Qi, tempat duduk ‘bos’ untuk penumpang hadapan dengan suis larasan pada bahagian bahu, paparan head-up dan sistem audio dengan lapan pembesar suara.

    Untuk kelengkapan keselamatan pula, ia diberikan enam-beg udara, kamera 360-darjah, sistem bantuan parkir, dan juga sistem bantuan pemanduan termaju (ADAS) dengan fungsi seperti brek kecemasan automatik, cruise control adaptif kelajuan penuh, bantuan kesesakan trafik, amaran lintasan trafik belakang serta bantuan tukar lorong.

    Tempahan untuk model ini sudahpun dibuka pada awal bulan ini, dan GWM Malaysia mengumumkan bahawa pelanggan yang menempah (dengan yuran tempahan RM1,000) akan menerima ganjaran istimewa bernilai RM3,000, serta ditawarkan dengan waranti enjin selama 10-tahun atau sejuta kilometer (yang mana sampai dahulu) dan juga waranti untuk sistem hibrid elektrik selama 8-tahun atau sejuta kilometer (yang mana sampai dahulu).

    Kedua-dua waranti berkenaan hanya sah untuk pemilik pertama dan didaftarkan sebagai kenderaan persendirian sahaja. Untuk sistem hibrid elektrik tersebut komponen yang terlibat dalam waranti yang ditawarkan adalah termasuk kotak gear Dedicated Hybrid Transmission (DHT), bateri dan kabel voltan tinggi dan juga kotak komputer kawalan transmisi (TCU).

    Selain dari unit CKD yang dipasang di Melaka ini, GWM Malaysia sebenarnya telah membawa sebanyak 100 unit stok awalan Haval H6 HEV ini dalam versi yang diimport sepenuhnya (CBU) dari China. Kami telahpun menguji SUV ini dan laporan pandu uji tersebut boleh anda baca pada PAUTAN INI.

    GALERI: GWM Haval H6 HEV 2024 pasaran Malaysia

     
     
  • BYD panggil semula hampir 100k unit EV keluarannya di China; ada masalah elektronik dan risiko kebakaran

    BYD panggil semula hampir 100k unit EV keluarannya di China; ada masalah elektronik dan risiko kebakaran

    Menurut pihak Pentadbiran Negeri untuk Peraturan Pasaran (SAMR) China, BYD telahpun memfailkan panggilan semula hampir 100,000 unit kenderaan keluarannya untuk pasaran tempatan kerana berlaku kesalahan dalam proses pengilangan yang mungkin akan mengakibatkan kebakaran, lapor CarNewsChina yang memetic sumber dari laman ITHome.

    Panggilan semula tersebut akan membabitkan 96,714 hatchback EV segmen-B BYD Dolphin serta SUV EV segmen-C BYD Atto 3 (atau dikenali sebagai Yuan Plus di China), dan ia akan bermula pada hari ini iaitu 30 September 2024. 87,762 unit dari jumlah tersebut merupakan kenderaan yang diproduksi bermula 4 Februari hingga 26 Disember 2023, manakala 8,952 unit selebihnya diproduksi lebih awal iaitu bermula 2 November hingga 19 Jun 2023.

    Untuk lebih spesifik berkenaan masalah tersebut, BYD menyatakan bahawa sebahagian kenderaan yang diproduksi dalam masa berkenaan telah dipadankan dengan unit pengawal pemasangan kolum stereng kuasa elektrik (CEPS) yang tidak melalui proses pembuatan yang betul.

    BYD panggil semula hampir 100k unit EV keluarannya di China; ada masalah elektronik dan risiko kebakaran

    Apabila penutup komponen tersebut ditutup, ia mungkin akan mengganggu kapasitor pada papan litar elektronik pengawal itu, yang kemudiannya akan menyebabkan keretakan kecil berlaku pada kapasitor di dalamnya. Keretakan tersebut mungkin akan menjadi besar ketika kenderaan digunakan, yang kemudiannya akan menyebabkan litar pintas, panas melampau, dan berpotensi menyebabkan kebakaran.

    Bagi mengatasi masalah ini, pengedar-pengedar BYD di China akan memasang pelapik penebat pada pengawal tersebut bagi mengelakkan berlakunya masalah lain yang berkaitan dengan keselamatan. Proses ini tidak akan mengenakan sebarang cas kepada pelanggan, dan BYD akan menghubungi pelanggan yang terlibat menerusi emel, WeChat dan panggilan telefon. Malah BYD turut mewujudkan talian servis khas untuk pelanggan yang terlibat dalam panggilan semula ini.

    CarNewsChina menyatakan bahawa ini merupakan panggilan semula terbesar yang pernah dibuat oleh BYD dalam sejarah. Kami difahamkan model-model pasaran Malaysia tidak terlibat dengan panggilan semula berkenaan. Ini kerana Malaysia merupakan pasaran pemanduan sebelah kanan yang berbeza dengan pasaran China yang menggunakan konfigurasi pemanduan sebelah kiri, mungkin dibekalkan dengan komponen berbeza.

     
     
  • WCE: Kutipan tol di Seksyen 1 Banting-SKVE dilaksanakan mulai 12.01 t/malam pada 30 Sept 2024

    WCE: Kutipan tol di Seksyen 1 Banting-SKVE dilaksanakan mulai 12.01 t/malam pada 30 Sept 2024

    West Coast Expressway (WCE) telah mengumumkan bahawa kutipan tol bagi Jajaran Seksyen 1, yang menghubungkan Persimpangan Bertingkat Banting ke Persimpangan Bertingkat Lebuhraya Lembah Klang Selatan (SKVE), akan bermula pada 30 September 2024 (Isnin) jam 12.01 tengah malam.

    Kadar tol bagi kenderaan Kelas 1 di WCE yang memasuki plaza tol Banting adalah RM2.34 bagi memasuk laluan masing-masing dari Ayer Hitam, SKVE Saujana Putra, Teluk Panglima Garang dan Pulau Indah. Manakala kenderaan Kelas 1 yang memasuki SKVE pula akan dikenakan kadar RM3.92 di Ayer Hitam, RM2.11 di SKVE Saujana Putra, RM1.07 di Teluk Panglima Garang dan RM4.54 di Pulau Indah. Lihat jadual di bawah untuk perincian lebih jelas.

    Kadar tol untuk Seksyen 1 WCE diintegrasi sepenuhnya dengan persimpangan Lebuhraya Lembah Klang Selatan (SKVE) melalui persimpangan Tanjung Dua Belas.

    Klik untuk besarkan imej

    Kadar tol integrasi WCE/SKVE untuk kenderaan Kelas 1 yang memasuki plaza tol Ayer Hitam ialah RM6.26, RM4.45 di SKVE Saujana Putra, RM3.41 di Teluk Panglima Garang dan RM6.88 di Pulau Indah.

    Kadar ini mengambil kira keseluruhan perjalanan pengguna lebuh raya, termasuk bahagian yang dilalui di SKVE, kata pengendali lebuh raya itu.

    Seksyen 1 WCE telah dilancarkan pada 30 Ogos lalu, dan laluan di sepanjang bahagian itu adalah bebas tol sehingga 29 September 2024 (Ahad ini) . Seksyen 1 adalah bahagian paling selatan lebuh raya itu, menjangkau 12.5 km dari Banting, Selangor ke Taiping, Perak di sepanjang pantai barat semenanjung.

    Kutipan tol Seksyen 1 ini akan dilaksanakan secara elektronik sepenuhnya menggunakan kad Touch ‘N Go, Smart Tag dan RFID. Pengguna dinasihatkan supaya mempunyai baki kredit yang mencukupi dalam kad Touch ‘n Go dan e-dompet mereka sebelum memulakan perjalanan.

     
     
  • JPJ eBid: Nombor pendaftaran istimewa siri PETRA dibuka bidaan – bagi menyokong agenda sifar karbon

    JPJ eBid: Nombor pendaftaran istimewa siri PETRA dibuka bidaan – bagi menyokong agenda sifar karbon

    Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah mengumumkan Nombor Pendaftaran Istimewa (NPI) siri PETRA dibuka untuk bidaan bermula hari ini menerusi platform dalam talian JPJ eBid.

    Bidaannya akan berlangsung selama lima hari iaitu sehingga jam 10 malam pada 2 Oktober (Rabu ini) dan keputusannya akan dikeluarkan pada keesokannya harinya, 3 Oktober 2024. Keseluruhan proses kini secara dalam talian, dan pembida akan menerima berita baik (atau buruk) menerusi e-mel.

    Menurut JPJ, NPI Siri PETRA merupakan inisiatif kerajaan dalam menyokong Agenda sifar karbon melalui peralihan tenaga dan transformasi air menjelang 2050. Singkatan PETRA ini juga adalah sinonim dengan penjenamaan yang ingin diketengahkan melalui promosi dan kesedaran serta kepentingan agenda peralihan tenaga.

    NPI Siri PETRA telah dilancarkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa Program Madani Rakyat 2024 Sarawakku Sayang yang berlangsung hari ini.

     
     
  • Tokyo Auto Salon KL 2024 tawar hadiah Honda Civic Type R FK8 dengan kit Mugen untuk cabutan bertuah

    Tokyo Auto Salon KL 2024 tawar hadiah Honda Civic Type R FK8 dengan kit Mugen untuk cabutan bertuah

    Pihak penganjur Tokyo Auto Salon Kuala Lumpur (TASKL) 2024 hari ini mengumumkan bahawa pengunjung acara berkenaan bakal ditawarkan dengan sebuah Honda Civic Type R FK8 sebagai hadiah cabutan bertuah!

    Kereta tersebut merupakan model 2019 tetapi masih belum didaftarkan di Malaysia, dan menerima beberapa peralatan tingkat taraf termasuk kit badan Mugen, tombol gear Mugen, lampu belakang Mugen, set rim aloi forged Rays Engineering TE37 berdiameter 20-inci dan juga sistem ekzos aftermarket.

    TASKL 2024 bakal berlangsung di tempat yang sama seperti tahun lalu iaitu di Pusat Pameran & Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), bermula 8 hingga 10 November ini. Untuk membolehkan anda layak mendapat peluang memenangi FK8 tersebut, pengunjung terlebih dahulu perlu membeli tiket dan kemudian membuat bayaran tambahan sebanyak RM28.

    Tokyo Auto Salon KL 2024 tawar hadiah Honda Civic Type R FK8 dengan kit Mugen untuk cabutan bertuah

    Tiket bertuah berkenaan akan dicabut di pentas utama pada pukul 8 malam hari terakhir acara itu berlangsung iaitu pada 10 November 2024. Sekiranya pemenang tersebut tidak berada di tapak acara berkenaan, pihak penganjur akan menghubunginya melalui telefon.

    Namun sekiranya tiga kali panggilan tidak dijawab, penganjur akan membuat cabutan yang lain. Sekiranya panggilan dijawab, pemenang tersebut masih perlu menjawab tiga soalan mudah bagi melayakkannya sebagai pemenang Civic Type R tersebut. Walau bagaimanapun kos untuk pendaftaran termasuk insuran, cukai jalan, pengangkutan dan lain-lain yang berkaitan perlu ditanggung oleh pemenang.

    Tiket untuk TASKL 2024 kini sudahpun mula dijual atas talian menerusi laman web rasmi acara ini. Pengunjung masih boleh membeli tiket berkenaan menerusi kaunter yang dibuka di MITEC, namun ia mesti dibeli sebelumnya pukul 6 petang pada 10 November.

    Tiket biasa untuk acara itu dijual pada harga RM60 untuk sehari, manakala pas untuk tiga hari turut ditawarkan dengan harga RM120. Tiket untuk kanak-kanak berumur antara 6 dan 12 tahun pula dijual pada harga RM30 sehari dan RM60 untuk pas 3 hari. Kanak-kanak di bawah umur 6 tahun pula boleh masuk secara percuma, manakala untuk pemegang kad OKU (termasuk 1 penjaga jika diperlukan) pula berhak mendapat potongan 50% daripada harga tiket.

    Tahun ini TASKL turut memperkenalkan tiket Express Lane berharga RM80 sehari bagi membolehkan anda ‘memotong barisan pada hari acara tersebut berlangsung. Untuk lebih istimewa, anda juga boleh membeli pas VIP berharga RM150 sehari yang melayakkan pemegang tiket akses percuma ke ruang lounge VIP.

    Tak cukup dengan itu pihak penganjur juga menyediakan akses istimewa Black Tag pada harga RM1,500. Dengan Black Tag ini anda akan menerima keistimewaan termasuk akses untuk 3 hari penuh termasuk ke lounge Black Tag dan Japan Pavillion Cars, parkir valet percuma, barangan-barangan eksklusif TASKL 2024 dan banyak lagi.

    Tokyo Auto Salon KL 2024 tawar hadiah Honda Civic Type R FK8 dengan kit Mugen untuk cabutan bertuah

    Buat masa sekarang Malaysia masih merupakan satu-satunya negara yang diberi hak untuk menganjurkan Tokyo Auto Salon di luar Jepun. Acara ini dihoskan di Malaysia oleh Element X Strategies sebagai Pemegang Lesen Rasmi Tunggal dan MUSE Group Asia sebagai Penganjur Bersama, dengan kerjasama San Ei Corporation sebagai pemilik harta intelek Tokyo Auto Salon, dan Persekutuan Tokyo Auto Salon.

    Tahun lalu acara yang membawa penala-penala utama Jepun seperti Top Secret, Spoon, HKS dan Greddy lebih dekat kepada peminat tempatan telah menarik seramai 91,000 pengunjung menerusi tapak acara seluas 130,000 kaki persegi yang disediakan. Tahun ini acara tersebut dibuat pada tapak lebih besar iaitu 170,000 kaki persegi dan dijangka akan menarik lebih ramai pengunjung.

     
     
  • PANDU UJI: Toyota Yaris G Limited – bukan model ‘kejuruteraan sticker’, hanya 600 unit; berbaloi ke?

    PANDU UJI: Toyota Yaris G Limited – bukan model ‘kejuruteraan sticker’, hanya 600 unit; berbaloi ke?

    Tahukah anda Toyota Yaris untuk pasaran ASEAN generasi sedia sudah berada dalam pasaran sejak 2014? Model yang kita terima pada 2019 sebenarnya merupakan model yang telah masuk ke fasa facelift besar pertama yang diperkenalkan pada 2017. Dan berbanding kembar sedannya iaitu Vios yang kini sudah muncul dalam versi generasi baharu menggunakan platform Daihatsu New Global Architecture (DNGA), hayat Yaris NSP151 ini nampaknya masih lagi panjang.

    Ini kerana pasaran hatchback juga sekarang ini semakin mengecil kerana pengguna semakin berminat terhadap SUV, dan sebab itulah untuk model generasi DNGA, Toyota memperkenalkan Yaris Cross terlebih dahulu yang telahpun dilancarkan di Indonesia dan Thailand. Malah ketika Vios NGC120 membuat kemunculan sulung pada 2022, Toyota masih dalam peringkat kajian pasaran untuk menghasilkan Yaris berdasarkan platform DNGA tersebut.

    Namun untuk tidak menghampakan peminat-peminat hatchback, Yaris generasi sedia ada masih ditawarkan oleh Toyota di pasaran Asia Tenggara. Jadi untuk pasaran Thailand, Yaris NSP151 diperkenalkan dalam satu lagi versi facelift pada 2023 dengan menerapkan signatur rekaan jerung hammerhead terbaharu Toyota bagi memastikan ia masih relevan.

    Untuk pasaran Malaysia, UMW Toyota nampaknya tiada lagi tanda-tanda untuk memperkenalkan versi facelift tersebut. Namun pada April lalu, Yaris pasaran Malaysia telah pun diperkenalkan dalam satu lagi varian baharu yang dikenali sebagai Yaris G Limited.

    Model ini diasaskan dari varian G sedia ada, tetapi menerima beberapa penambahan komponen istimewa dan dijual pada harga atas jalan tanpa insuran RM99,600. Seperti namanya, model ini juga dihasilkan hanya terhad sebanyak 600 unit sahaja. Jadi apa beza Yaris G Limited ini dengan Yaris G biasa? Adakah ia seperti kebanyakkan model-model istimewa lain yang hanya menampilkan ‘kejuruteraan sticker‘ sahaja?

    Baca selanjutnya di sini

     
     
  • Sejumlah 62,635 pemilik kenderaan Singapura telah mengaktifkan tag RFID VEP setakat 25 Sept 2024 – JPJ

    Sejumlah 62,635 pemilik kenderaan Singapura telah mengaktifkan tag RFID VEP setakat 25 Sept 2024 – JPJ

    Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Malaysia telah memaklumkan bahawa setakat 25 September 2024, sejumlah 62,635 kenderaan persendirian Singapura telah mengaktifkan tag RFID Permit Kemasukan Kenderaan Asing (VEP) sebagai persediaan penguatkuasaan VEP di sempadan darat Malaysia-Singapura.

    “Semua kenderaan asing Singapura yang belum memiliki VEP masih boleh memasuki Malaysia seperti biasa. Walau bagaimanapun, semua pemilik kenderaan persendirian Singapura yang belum mendapatkan tag RFID VEP akan diberi peringatan di pintu masuk untuk segera mendaftar, memasang dan mengaktifkan tag RFID VEP.

    “Mereka boleh berbuat demikian di mana-mana pusat pemasangan VEP seperti di Pejabat TCSens yang terletak Danga Bay, Johor Bahru selain di Akademi JPJ Wilayah Selatan, Johor Bahru. Dua pusat pemasangan lain termasuk di Pejabat JPJ Johor, Taman Daya, Johor Bahru dan VEP Collection Centre di Woodlands,” kata JPJ menerusi kenyataan yang dikeluarkan.

    Sejumlah 62,635 pemilik kenderaan Singapura telah mengaktifkan tag RFID VEP setakat 25 Sept 2024 – JPJ

    JPJ turut menambah, Notis Amaran akan diberi kepada pemilik kenderaan persendirian Singapura sebelum meninggalkan Malaysia sekiranya masih belum memiliki VEP. Pendaftaran dan maklumat lanjut berkenaan tag RFID VEP boleh layari melalui laman sesawang https://vep.jpj.gov.my/

    Mulai 1 Oktober tahun ini, kenderaan berdaftar Singapura yang memasuki Malaysia perlu mempunyai VEP, yang akan digunakan untuk pembayaran tol serta caj RM20 setiap caj kemasukan. Mereka yang ditangkap tanpa VEP boleh didenda sehingga RM2,000 atau penjara sehingga enam bulan jika disabit kesalahan.

    VEP bertindak seperti “kad pengenalan” untuk kenderaan yang memasuki Malaysia dan akan membolehkan pihak berkuasa untuk mengesan kesalahan trafik. Pemandu kenderaan Singapura digesa menyelesaikan saman trafik tertunggak mereka sebelum meninggalkan Malaysia, di mana JPJ akan mengambil tindakan penguatkuasaan mulai 1 Januari 2025.

     
     
  • Cyclone RC600 Centennial Legend Edition di China – enjin empat silinder 550 cc, panel seperti jentera lumba

    Cyclone RC600 Centennial Legend Edition di China – enjin empat silinder 550 cc, panel seperti jentera lumba

    Semasa berada China International Motorcycle Trade Exhibition (CIMA 2024), kami sempat menyaksikan pelancaran sebuah model baru, Cyclone RC600 Centennial Legend Edition untuk pasaran negara itu. Ia merupakan sebuah model keluaran terhad 100 unit sahaja dan dilengkapi dengan pelbagai aksesori lumba sebagai naik taraf berbanding model biasa.

    Bagi yang tidak kenal, Cyclone adalah satu jenama di bawah pengeluar motosikal besar China, Zongshen, dan beberapa model juga ada dipasarkan di Malaysia di bawah syarikat MForce Bike Holdings Sdn Bhd termasuk menggunakan jenama KTNS.

    Menjadikan model RC600 keluaran terhad ini istimewa pertamanya adalah panel badan dengan pelbagai ciri aerodinamik yang rekaannya diberitahu mengambil banyak inspirasi daripada ikan pari serta winglet besar di hadapan seperti jentera MotoGP.

    Menggerakkannya adalah enjin dua silinder selari 550 cc penyejukan cecair, yang dipadankan bersama transmisi enam kelajuan dengan klac jenis assist & slipper, mampu menghasilkan kuasa 58.3 hp pada 8,500 rpm dan tork 55 Nm pada 6,500 rpm.

    Memegang rim 17 incinya adalah fork USD boleh laras di hadapan dan monoshock dengan pelarasan pra beban di belakang. Tugas membrek pula dijalankan oleh cakera tunggal dengan angkup J.Juan empat piston di hadapan, serta cakera tunggal dengan angkup satu piston di belakang – sistem ABS diberikan secara standard.

    Turut diberikan adalah quickshifter serta panel meter TFT 6.5 inci, bersama kelengkapan lain seperti tangki bahan api 15 liter, soket pengecas USB serta sistem kawalan cengkaman. Berat keseluruhan motosikal ini adalah 186 kg.

     
     
  • JKT, JPJ bakal bincang mekanisme undang-undang bagi tangani isu lambakan kenderaan tersadai

    JKT, JPJ bakal bincang mekanisme undang-undang bagi tangani isu lambakan kenderaan tersadai

    Jabatan Kerajaan Tempatan (JKT) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bakal mengadakan mesyuarat untuk membincangkan mekanisme undang-undang terbaik bagi menangani isu lambakan kenderaan tersadai di seluruh negara, laporan Bernama.

    Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, antara perkara yang perlu dihalusi ialah bidang kuasa pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk menarik kenderaan tersadai serta masalah yang dihadapi dalam mengenal pasti pemilik kenderaan terbabit.

    “Saya difahamkan sekiranya melebihi tempoh masa tertentu maka PBT ada kuasa untuk ambil (tarik kenderaan). Cuma, hal itu kita kena kaji dengan Akta Pengangkutan Jalan (1987) dan lihat bagaimana PBT di bawah kerangka undang-undang boleh laksanakan perkara berkenaan,” katanya.

    Beliau berkata demikian bagi mengulas satu laporan akhbar tempatan baru-baru ini yang mendedahkan bahawa terdapat kira-kira 2,112 kenderaan tersadai di 64 Perumahan Awam dan Projek Perumahan Rakyat.

    Dalam masa yang sama, beliau turut mengingatkan semua pemilik kenderaan diingatkan untuk tidak membiarkan kenderaan tersadai kerana ia akan menyebabkan pelbagai masalah seperti menghalang lalu lintas, ruang parkir tidak mencukupi serta pencemaran.

    “Saya tidak mahu menyalahkan mana-mana pihak, tetapi ini merupakan tanggungjawab kita bersama,” katanya.

    Baru-baru ini, Harian Metro melaporkan dianggarkan 2,112 kenderaan tersadai yang ‘menghantui’ penduduk di 64 Perumahan Awam (PA) dan Projek Perumahan Rakyat (PPR) sejak puluhan tahun lalu. Daripada jumlah itu, kira-kira 888 kereta tersadai manakala selebihnya adalah motosikal yang sesetengahnya hanya tinggal rangka.

     
     
  • Kerajaan akan sediakan peruntukan baiki dan tambah baik laluan sedia di Pelabuhan Klang – Anwar Ibrahim

    Kerajaan akan sediakan peruntukan baiki dan tambah baik laluan sedia di Pelabuhan Klang – Anwar Ibrahim

    Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan kerajaan akan menyediakan peruntukan untuk membaiki dan menambahbaik laluan sedia ada di sepanjang Pelabuhan Klang, laporan Berita Harian.

    Ketika berucap dalam majlis pecah tanah untuk Westport 2 di sana pagi tadi, beliau berkata, langkah tersebut merupakan antara usaha kerajaan mengembang prasarana dan infrastruktur di pelabuhan utama negara.

    Walau bagaimana pun, katanya, cadangan membina laluan baharu bagi mengatasi kesesakan di pelabuhan itu akan diteliti, memandangkan ia memerlukan komitmen kewangan yang tinggi.

    “Mahu buat jalan besar baharu, itu kita ambil masa. Cadangan itu saya setuju. Saya balik ke pejabat nanti, saya akan minta ia diteliti. Buat masa ini kita luluskan peruntukan baiki jalan raya sedia ada,” katanya.

    Kerajaan akan sediakan peruntukan baiki dan tambah baik laluan sedia di Pelabuhan Klang – Anwar Ibrahim

    Pada pertengahan Januari lalu, Jabatan Kerja Raya (JKR) berkata Lebuhraya Pulau Indah yang terletak berhampiran dengan Westport merupakan salah satu jalan yang paling rosak teruk di negara ini. Ia disebabkan jalan terbabit merupakan laluan utama kepada kenderaan berat termasuk yang melebihi muatan yang berulang alik ke Westport hingga mengakibatkan keadaan jalan di situ menyedihkan.

    Malahan jalan di sepanjang Pelabuhan Klang juga antara ‘laluan panas’ yang sering berlaku kes kemalangan jalan raya termasuk yang melibatkan kenderaan berat seperti treler. Mungkin memang sudah tiba masanya pihak berwajib mengambil langkah yang lebih proaktif dalam mengatasi atau pun mengurangkan keadaan jalan yang menyediahkan terutamanya yang menjadi salah satu penyebab kemalangan jalan raya.

    Begitu juga dengan pengusaha syarikat pengangkutan yang perlu menitikberatkan soal keselamatan kepada para kakitangannya yang bekerja sebagai pemandu kenderaan berat supaya lebih bertanggungjawab terhadap keadaan kenderaan dan peraturan jalan raya.

     
     
  • Mitsubishi Xpander facelift 2024 vs 2020 – bahagian luar, dalam dan kelengkapan dinaik taraf – dari RM100k

    Mitsubishi Xpander facelift 2024 vs 2020 – bahagian luar, dalam dan kelengkapan dinaik taraf – dari RM100k

    Setelah lama ditunggu, Mitsubishi Xpander facelift akhirnya tiba di Malaysia. Ia dilancarkan minggu lalu, dan sesi pandu uji yang dibuat untuk wakil media baru-baru ini memberikan peluang untuk kami meletakkannya bersebelahan dengan model lama yang dilancarkan pada tahun 2020.

    Kami perhatikan ramai yang memberi komen berkenaan harga model baru ini. Tetapi untuk pengetahuan, harga Xpander telah beberapa kali naik sejak ia dilancarkan dan kali terakhir ia berada pada RM100,980. Jadi, model facelift baru ini sebenarnya sedikit murah, iaitu dijual bermula RM99,980 untuk varian asas dan RM109,980 untuk Plus – lagipun ini ditambah lagi dengan penampilan serta bahagian dalam yang baru.

    Bermula di bahagian luar, Xpander ini menggunakan muka Dynamic Shield lebih moden, dan anda boleh melihat grilnya lebih rata dan berwarna hitam, tempat nombor plet diletakkan lebih rendah, lampu utama LED dengan bentuk T (boleh didapati dengan unit projector), kemasan krom lebih tebal di tengah serta susunan dan kemasan lampu kabus yang direka semula.

    Mitsubishi Xpander facelift 2024 vs 2020 – bahagian luar, dalam dan kelengkapan dinaik taraf – dari RM100k

    Rekaan rim juga diubah, dan bukan setakat itu, ia sudah bertambah besar dengan saiz 17 inci berbanding 16 inci sebelum ini. Pada bahagian belakang, lampunya kini menggunakan LED, dengan kemasan berbentuk T seperti hadapan dan bahagian bawah bampar direka semula.

    Jika anda teliti lebih lagi, perubahan lampu ini juga menyebabkan bentuk pintu but itu berubah dan cermin belakangnya tidak lagi sama. Pada varian Plus, Xpander facelift ini didatangkan dengan spoiler yang berwarna hitam.

    Bukan setakat luar, bahagian dalam juga menerima perubahan besar dengan keseluruhan papan pemuka adalah baru. Bentuknya kini lebih mendatar dan kemas, dengan di bahagian tengah terdapat kemasan berwarna maroon, manakala tempat duduk boleh didapati dengan balutan kulit, iaitu untuk varian Plus.

    Berkenaan teknologi, skrin sesentuh untuk sistem infotainmen masih lagi bersaiz sembilan inci, tetapi kini adalah unit OEM sendiri daripada Mitsubishi. Sama seperti sebelumnya, ia boleh disambung dengan Apple CarPlay dan Android Auto, dan mengeluarkan bunyi melalui enam pembesar suara.

    Turut diubah adalah konsol tengah, yang kini menempatkan unit kawalan pendingin hawa digital (masih ada butang untuk suhu dan tahap angin), manakala brek tangan diubah kepada jenis butang elektronik. Lebihan ruang yang terhasil daripada perubahan ini digunakan untuk meletakkan perehat tangan lebih besar, yang juga mempunyai tempat tisu di dalamnya.

    Tempat duduk baris kedua juga diberikan dengan perehat tangan, bersama dua tempat untuk meletak cawan. Akhir sekali, roda stereng menggunakan unit baru, dengan bahagian tengah yang berbentuk bulat dan dikatakan mendapat inspirasi daripada model Lancer Evolution X.

    Kelengkapan lain kenderaan ini tidak berubah, dan ia masih didatangkan dengan sistem masuk tanpa kunci, butang pemula enjin, panel paparan informasi 4.2 inci, lampu dan pengelap cermin automatik, kawalan pendingin hawa belakang serta kamera undur. Varian Plus kemudiannya ditambah dengan kamera 360 darjah, pengecas Qi tanpa wayar, dash cam depan dan belakang serta panel hiasan tepi pintu. Walaubagaimanapun pada aspek keselamatan, Xpander hanya datang dengan dua beg udara dan kawalan stabiliti – tiada sistem bantuan pemandu lain.

    Ciri praktikaliti yang dikenali pada model Xpander ini terus kekal, dengan tempat duduk baris kedua boleh lipat melalui satu pergerakan sahaja, serta ruang barangan belakang 495 liter – boleh menjadi 837 liter apabila tempat duduk baris ketiga dilipat.

    Enjin juga tidak berubah, dengan ia masih dipacu oleh unit empat silinder petrol 4A91 1.5 liter MIVEC yang dipadankan bersama transmisi automatik empat kelajuan untuk menghasilkan 105 PS pada 6,000 rpm dan tork 141 Nm pada 4,000 rpm. Di sebalik badannya, bahagian suspensi ditala semula dengan penyerap belakang yang lebih besar dan menjadikan pemanduan lebih selesa, serta jarak kelegaan dari tanah yang bertambah tinggi 20 mm, menjadi 225 mm. Tahap kedap bunyi juga sudah bertambah baik.

    Mitsubishi Xpander Plus 2024

    Mitsubishi Xpander 2020

     
     
  • Ford Ranger XLT Plus Special Edition 2024 di Malaysia — tampil ranggi, terhad 300 unit, RM143,888

    Ford Ranger XLT Plus Special Edition 2024 di Malaysia — tampil ranggi, terhad 300 unit, RM143,888

    Berikut ada galeri penuh bagi Ford Ranger XLT Plus Special Edition 2024 yang baru saja diperkenalkan oleh Sime Darby Auto ConneXion (SDAC). Versi SE ini didatangkan dengan beberapa perincian hitam kesat dan kelengkapan tambahan, dan dijual dengan harga RM143,888 atas jalan tidak termasuk insurans di Semenanjung, atau RM149,388 untuk Malaysia Timur dan terhad kepada 300 unit sahaja.

    Ia menggunakan asas dari Ranger XLT Plus. Kelainan yang diberi termasuklah kemasan fender hitam kesat, palang sport di belakang dalam warna hitam kesat, pelekat hiasan Ranger di bahagian sisi badan serta pelekat sport lain juga dalam hitam kesat.

    Turut disertakan ialah scuff plate tepi pintu dengan lampu LED dan logo Ranger, serta pemegang cawarn di depan corong pendingin sisi bahagian depan. Ford Ranger XLT Plus Special Edition ini boleh dipilih dalam dua warna, iaitu Meteor Grey atau Absolute Black.

    Ranger XLT Plus dikuasakan oleh enjin 2.0-liter biturbo diesel yang menjana sebanyak 210 PS dan 500 Nm tork, dan dipadankan dengan transmisi automatik 10-kelajuan serta sistem Electronic Shift-On-The-Fly 4WD dari Ford sendiri. Kelengkapan lainnya termasuklah skrin sentuh 10.1-inci dengan Apple CarPlay dan Android Auto, kawalan pendingin dua zon dan kluster instrumen digital.

    Ranger XLT Plus Special Edition 2024 dipamerkan di Ford Experience Hub di Setia City Mall, yang berlangsung bermula hari ini hingga 29 September. 20 pelanggan terawal yang membeli trak pikap melalui sistem tempahan dalam talian SDAC juga akan menerima baucar minyak bernilai RM3,000.

     
     
  • Le Tour de Langkawi 2024 – Beberapa jalan di 9 negeri bakal ditutup, dilencongkan mulai 29 Sept-6 Okt

    Le Tour de Langkawi 2024 – Beberapa jalan di 9 negeri bakal ditutup, dilencongkan mulai 29 Sept-6 Okt

    Acara berbasikal tahunan berprestij, Le Tour de Langkawi (LTdL) 2024 bakal membuka tirainya pada hujung minggu ini. Penganjurannya kali ini melibatkan kayuhan secara keseluruhan sejauh 1,190 km, yang bermula di Langkawi pada 29 September ini untuk peringkat pertama.

    Walau bagaimana pun, acara ‘Domestique Ride’ akan dianjurkan esok (28 Sept) di daerah berkenaan yang akan melibatkan 15 jalan di sana ditutup dan dilencongkan secara berperingkat. Jalan yang terlibat ialah Jalan Padang Matsirat, Lencongan Putra 1, Penarak, Ayer Hangat, Pantai Kok, Kuala Teriang, Nyiur Chabang dan Ulu Melaka. Turut ditutup Jalan Makam Mahsuri, Mata Air, Padang Matsirat, Lapangan Terbang, Kuala Muda, Teluk Baru, Temonyong, Bukit Malut dan Padang Matsirat.

    Manakala pada 29 September pula, LTdL 2024 akan bermula untuk peringkat 1 dengan kayuhan sejauh 96.5 km yang melibatkan laluan yang sama, justeru jalan berkenaan akan ditutup dan dilencongkan bermula jam 8 pagi.

    Klik untuk besarkan imej

    Untuk peringkat 2 yang bakal berlangsung pada 30 Sept (Isnin), ia melibatkan laluan bermula Arau menuju ke Butterworth. Sebanyak 24 jalan akan ditutup dan dilencongkan mulai jam 11 pagi. Antara jalan di daerah yang terlibat ialah Jalan Tuanku Syed Sirajuddin (Arau), Jitra, Yan, Sungai Petani, Tikam Batu, Bagam Ajam dan berakhir di Padang Merdeka di Butterworth.

    Bagi peringkat 3 pula, kayuhan akan diteruskan di Taiping hingga ke Cameron Highland pada 1 Okt pula, ia melibatkan jalan di sekitar Zoo Taiping, Changkat Jering, Padang Rengas, Kuala Kangsar, Gopeng, Sungai Siput, Brincang dan berakhir di Tanah Rata (Cameron Highlands).

    Kayuhan LTdL 2024 diteruskan ke peringkat 4 pada 2 Okt yang melibatkan laluan dari Kuala Kubu Baru (Selangor) hingga ke Bentong, Pahang. Jalan di daerah terlibat termasuklah Jalan Ampang Pechah, pekan Kuala Kubu Baru, Gap, pekan Raub, Jalan Lurah Bilut, Bentong, Lebuhraya Kuala Lumpur, Gua Musang hingga ke Dataran Bentong.

    Klik untuk besarkan imej

    Untuk peringkat 5 pula, ia melibatkan laluan Kuala Lumpur ke Melaka pada 3 Okt ini. Ia akan bermula di hadapan KLCC pada jam 11 pagi dan antara jalan yang akan dilalui ialah Jalan Ampang, Jalan Bukit Belacan, Hulu Langat, Semenyih, Beranang, Seremban, Senawang, Alor Gajah, dan berakhir di Melaka International Trade Centre (MITC).

    Keesokan harinya (4 Okt), peringkat 6 akan diteruskan dari Batu Pahat hingga ke Kulai yang akan melalui daerah Kluang, Rengit, Benut dan berakhir di Jalan Kulai-Sedenak. Manakala peringkat 7 pada 5 Okt, rombongan LTdL 2024 akan ke Miri hingga Bintulu di Sarawak dengan kayuhan bermula di Miri Waterfront dan berakhir di Lasar Kenyalang di Bintulu.

    Peringkat terakhir LTdL edisi tahun ini akan diadakan di sekitar Bintulu, dan antara jalan yang bakal dilewati sepanjang kayuhan ialah Jalan Pantai Tanjung Batu, Jalan Tun Openg, Lebuhraya Miri, Jalan Tun Ahmad Zaidi, dan berakhir di Jalan Rakawi Yusof.

    Justeru, pengguna jalan raya di laluan terbabit (boleh rujuk info grafik di atas untuk maklumat lanjut), dinasihati agar merancang perjalanan anda, dan patuhi arahan polis trafik serta petugas yang berada di lokasi acara.

     
     
  • Honda panggil balik model CB350RS, CB350, CB300F, CB300R, H’ness CB350 – masalah beberapa komponen

    Honda panggil balik model CB350RS, CB350, CB300F, CB300R, H’ness CB350 – masalah beberapa komponen

    Honda mengeluarkan notis panggilan balik untuk model CB350, CB350RS, H’ness CB350, CB300R dan CB300F atas beberapa sebab termasuk yang melibatkan bahagian enjin dan sensor.

    Untuk model-model yang dinyatakan tadi, satu masalah yang dikongsi untuk kesemuanya adalah sensor kelajuan roda hadapan dan belakang. Setakat yang diberitahu, prosedur acuan komponen tersebut tidak dilakukan dengan betul dan boleh menyebabkan air masuk seterusnya merosakkan sensor tersebut.

    Jika sensor ini tidak berfungsi dengan betul (atau rosak terus), ia boleh menyebabkan ralat kepada meter kelajuan, sistem kawalan cengkaman serta ABS. Lebih teruk lagi, sistem brek boleh menjadi tidak efektif.

    Kemudiannya untuk CB300R, ia ditambah dengan penukaran penutup crankcase di bahagian kanan. Ini kerana bahagian itu dikesan bermasalah, boleh bocor dan mengeluarkan minyak. Dalam keadaan paling teruk, minyak yang memancut boleh kena ke bahagian panas dan menyebabkan kebakaran, atau terkena kepada tayar dan menyebabkan gelinciran.

    Pergi pula kepada model 350 iaitu CB350, CB350RS dan H’ness CB350, masalah sensor roda yang dinyatakan tadi ditambah lagi dengan panggilan balik untuk penukaran camshaft yang dikatakan tidak mengikut proses pengeluaran yang sepatutnya dan boleh menjejaskan prestasi enjin.

    Model CB350RS dan H’ness CB350 melibatkan jumlah bahagian bermasalah paling banyak dalam panggilan balik ini, dengan kesemuanya ada empat bahagian. Selain sensor roda dan camshaft, turut perlu ditukar adalah lampu belakang yang dikatakan boleh mudah masuk air kerana proses pembuatan yang tidak betul. Ini adalah untuk model keluaran Oktober 2020 hingga Januari 2023.

    Honda panggil balik model CB350RS, CB350, CB300F, CB300R, H’ness CB350 – masalah beberapa komponen

    Satu lagi komponen adalah bank angle sensor. Sama juga seperti komponen lain di atas, proses pembuatannya dikesan bermasalah, boleh menyebabkan air masuk, seterusnya meningkatkan kebarangkalian sensor itu rosak dan motosikal tidak boleh bergerak. Panggilan balik komponen ini dibuat untuk model keluaran Oktober 2020 hingga Disember 2021.

    Notis panggilan balik ini dibuat oleh Honda Big Wing India, dan kesemua model yang terlibat dikeluarkan sendiri oleh kilang di sana. Untuk dalam negara kita, setakat ini Boon Siew Honda belum mengeluarkan sebarang notis namun kita tahu, CB350RS yang dilancarkan Jun lalu juga datang dari negara itu.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (-0.04)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.90 (-0.04)
EURO 5 B7 RM3.10 (-0.04)
Last Updated Aug 14, 2025