Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Pemegang lesen B2/B1 boleh semak kelayakan, mohon tukar ke B di Institut Memandu mulai hari ini

    Pemegang lesen B2/B1 boleh semak kelayakan, mohon tukar ke B di Institut Memandu mulai hari ini

    Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengumumkan bahawa pemegang Lesen Memandu Malaysia (LMM) Kelas B2/B1 yang layak boleh membuat permohonan bagi mengikuti Program Khas Peralihan Lesen Memandu Malaysia (LMM) Kelas B2/ B1 kepada LMM Kelas B di mana-mana Institut Memandu (IM) yang terpilih di seluruh Malaysia bermula hari ini, 1 Oktober 2024.

    Ia adalah selaras dengan pengumuman Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkenaan Program Khas Peralihan Lesen Memandu Malaysia (LMM) Kelas B2/ B1 Kepada LMM Kelas B.

    “Pemegang LMM Kelas B2/ B1 boleh membuat semakan syarat-syarat kelayakan bagi Program Khas Peralihan Lesen Memandu Malaysia (LMM) Kelas B2/ B1 kepada LMM Kelas B melalui aplikasi MyJPJ, portal mySIKAP awam (https://public.jpj.gov.my) atau berkunjung ke kaunter JPJ.

    Pemegang lesen B2/B1 boleh semak kelayakan, mohon tukar ke B di Institut Memandu mulai hari ini

    “Sekiranya layak, pemohon boleh hadir ke mana-mana IM yang terpilih di seluruh Malaysia yang menawarkan Lesen Memandu Motosikal Kelas B dan mendaftar untuk mengikuti program tersebut dan pemegang lesen hendaklah membuat pengesahan kendiri kesihatan tubuh badan/fizikal/minda semasa pendaftaran di IM,” kata JPJ menerusi kenyataan yang dikeluarkan.

    Dalam masa yang sama, JPJ turut berkata, kadar siling fi kepada IM bagi ini adalah RM160. “Kadar fi ini adalah merangkumi pendaftaran dan insurans pelajar, kursus peralihan dan penyesuaian (dua Jam), fi perkhidmatan (termasuk sewaan kenderaan dan litar) dan fi ujian JPJ,” tambahnya lagi.

    Program Khas Peralihan Lesen Memandu Malaysia (LMM) Kelas B2/B1 Kepada LMM Kelas B adalah bertujuan untuk menaik taraf pemegang Lesen Memandu Malaysia (LMM) Kelas B2/ B1 kepada Kelas B tertakluk kepada syarat-syarat yang ditetapkan dan tiada lagi permohonan baharu bagi mendapatkan LMM Kelas B1 di IM.

    Pemegang lesen B2/B1 boleh semak kelayakan, mohon tukar ke B di Institut Memandu mulai hari ini

    Syarat-syarat terbabit ialah individu yang telah memegang LMM kelas B1 atau B2 secara aktif untuk tempoh berterusan minima 10 tahun. Di mana syarat ini bagi memastikan tahap kompetensi dan pengalaman pemanduan kenderaan motosikal bagi mana-mana individu sebelum beralih kepada motosikal berkuasa besar. Selain itu, pemohon hendaklah bebas daripada sebarang senarai hitam, tunggakan saman, sekatan urus niaga, rekod sabitan kesalahan berat atau sebarang perkara belum selesai di bawah Akta 333.

    Syarat seterusnya ialah perlukan pengesahan sihat tubuh badan/fizikal/minda secara deklarasi kendiri oleh individu, menghadiri dan lulus program peralihan dan penyesuaian untuk kenderaan motosikal berkuasa 500cc ke atas di IM melibatkan program amali penunggangan, informasi pemanduan selamat dan informasi pemanduan/pengoperasian motosikal berkuasa besar untuk tempoh dua jam.

    Sebelum ini, Loke turut berkata pengesahan tahap keupayaan mengendalikan motosikal berkuasa besar dikeluarkan oleh Qualified Training Officer (QTO) di IM. “Pengesahan ini amat penting bagi memastikan tahap kompetensi dan keupayaan seseorang mengendalikan motosikal berkuasa besar demi meningkatkan tahap keselamatan pemanduan individu tersebut,” katanya.

     
     
  • MyDigital ID diperlukan untuk log masuk aplikasi MyJPJ – berkuatkuasa mulai 10 Okt, sila daftar segera!

    Sila klik untuk besarkan imej

    Buka saja aplikasi MyJPJ untuk memperbaharui lesen memandu digital, terbaca pula arahan untuk mendaftar MyDigital ID ini. Menurut paparan di aplikasi MyJPJ, log masuk tunggal menggunakan MyDigital ID akan dikuatkuasakan bermula 10 Oktober ini. Maka, pengguna aplikasi MyJPJ dinasihati agar mendaftar segera MyDigital ID bagi mengelakkan sebarang kesulitan log masuk.

    Apa itu MyDigital ID? Menurut laman web rasminya, MyDigital ID yang dibangunkan oleh MIMOS ini merupakan sistem pengenalan diri yang sah dan selamat untuk kegunaan dalam talian. Di mana sistem ini memperoleh rujukan dan maklumat daripada pangkalan data MyKad dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

    MyDigital ID boleh digunakan sebagai kaedah log masuk untuk perkhidmatan dalam talian. Kaedah log masuk tunggal bererti penggunaan log masuk yang boleh digunakan untuk semua perkhidmatan dalam talian tanpa memerlukan nama pengguna dan kata laluan selain MyDigital ID.

    Sila klik untuk besarkan imej

    Pendaftaran MyDigital ID adalah percuma untuk semua rakyat Malaysia. Selepas berjaya mendaftar (oh penulis terpaksa melakukan tujuh kali percubaan untuk mendaftar aplikasi ini dalam tempoh sejam, sistem asyik ‘hang’ saja…), Sijil Kuasa MyDigital ID akan dikeluarkan dan ia sah digunakan selama satu tahun selepas tarikh pendaftaran. Di mana ia adalah salah satu ciri keselamatan MyDigital ID. Selepas tarikh luput, pengguna perlu memperbaharui pendaftaran.

    Untuk mendaftarnya, pengguna boleh membuat pilihan sama ada memuat turun (download) aplikasi MyDigital ID ini secara dalam talian (iOS, Android, atau Huawei) atau pun melalui kios yang disediakan di seluruh negara. Menariknya, bila semak senarai kios yang disediakan, selain di mana-mana cawangan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), ia juga disediakan di kebanyakan cawangan Tealive di seluruh negara. Walau pun anda memilih untuk mendaftar di mana-mana kios, anda masih perlu download aplikasi ini ke dalam telefon pintar anda.

    Untuk mendaftar, isikan alamat e-mel dan masukkan OTP yang dihantar ke e-mel anda. Kemudian, masukkan butiran diri iaitu nama penuh dan nombor MyKad anda. Seterusnya, anda perlu mengambil gambar hadapan dan belakang MyKad anda. Kemudian tetapkan kata laluan (password) untuk akaun anda. Selesai pendaftaran, barulah anda akan mendapat Sijil Kuasa MyDigital ID ini. Tetapi kena tunggu 10 Oktober 2024 untuk mengetahui fungsi sebenar MyDigital ID ini untuk aplikasi MyJPJ.

      Apa yang perlu anda tahu mengenai MyDigital ID ini:

    • Sekiranya telefon pintar pengguna hilang atau rosak, pengguna hanya perlu membatalkan MyDigital ID di kios atau peranti, dan perlu mendaftar semula. Aplikasi MyDigital ID tidak boleh digunakan oleh orang lain tanpa kata laluan pengguna sebenar.
    • Sekiranya aplikasi MyDigital ID telah dinyahpasang atau dipadamkan dari telefon pintar, Sijil Digital akan menjadi tidak sah. Pengguna perlu membatalkan MyDigital ID di kios, dan perlu mendaftar semula.
    • Pengguna boleh membatalkan MyDigital ID di mana-mana kios. Dokumen pengenalan diri perlu untuk proses pembatalan.
    • MyDigital ID tidak sama dengan PADU. MyDigital ID adalah sistem pengenalan diri secara digital yang memudahkan individu mengakses dan melaksanakan urusan transaksi dalam talian, manakala PADU adalah pangkalan data yang mengandungi profil penduduk warganegara dan pemastautin tetap yang menetap di Malaysia.
     
     
  • Regas Premium Auto lancar pusat 4S BMW dinaiktaraf dengan konsep Retail.NEXT di Kuching, Sarawak

    Regas Premium Auto lancar pusat 4S BMW dinaiktaraf dengan konsep Retail.NEXT di Kuching, Sarawak

    Regas Premium Auto telah melancarkan pusat 4S BMW yang dinaiktaraf, berlokasi di Kuching, Sarawak. Kini menampilkan konsep Retail.NEXT, fasiliti tersebut lebih lengkap untuk memberi perkhidmatan terbaik buat jenama BMW, MINI, BMW Motorrad dan BMW Premium Selection.

    Berkeluasan 5,670 kaki persegi, pengedaran 4S tersebut kini menyediakan ruang menunggu untuk pelanggan yang lebih selesa, dengan sudut warisan yang menempatkan model klasik BMW 700 Coupe. Dengan kakitangan seramai 76 orang yang bersedia memberikan perkhidmatan jualan dan selepas jualan yang diperlukan oleh para pelanggan. Sementara itu, ruang parkir juga disediakan dengan kemudahan pengecas AC dan DC.

    “Sejak penubuhannya pada 2011, Regas Premium telah menjadi rakan kongsi dalam rangkaian kami, secara konsisten menyampaikan perkhidmatan jualan dan selepas jualan yang cemerlang untuk pelanggan BMW kami. Mereka juga memainkan peranan penting dalam memajukan mobiliti elektrik di Sarawak, selain memperjuangkan pembangunan infrastruktur pengecasan yang komprehensif di negeri ini,” kata Benjamin Nagel, Pengarah Urusan di BMW Group Malaysia.

    Tambah beliau, “Kami menghargai komitmen mereka yang tidak berbelah bahagi untuk menyampaikan ‘Sheer Driving Pleasure’, yang dibuktikan dengan sumbangan tahunan mereka yang berjumlah lebih 500 kenderaan bagi seluruh portfolio BMW kami sambil turut menyokong standard kecemerlangan kami dalam menyediakan pengalaman pemilikan premium kepada pelanggan kami.”

    Pengarah Urusan Regas Premium Auto Kuching, Gavin Tay, pula berkata, “Memasuki tahun ke-13 kami beroperasi di Sarawak, kami sangat teruja untuk mempersembahkan ruang yang diberi nafas baharu di Kuching yang kini dipertingkatkan dengan reka bentuk dalaman kontemporari Runcit.NEXT, di mana pelanggan boleh menikmati semua yang menjadikan pengalaman pemilikan kenderaan kami begitu unik serta premium. Pelanggan juga boleh bersantai di kafe kami dengan ruang rehat dan ruang tempat duduk premium, serta menikmati sudut warisan kami yang menampilkan BMW 700 Coupé, dan banyak lagi.”

    Bilik pameran Regas Premium Auto Kuching showroom terletak di No. 8, Jalan Tun Jugah, Kuching dan beroperasi setiap hari dari ham 8.30 pagi hingga 5 petang dari Isnin hingga Jumaat, dari 8.30 pagi hingga 3 petang pada Sabtu dan dari 10 pagi hingga 2 petang untuk setiap Ahad dan cuti umum. Manakala bengkel pula beroperasi setiap hari dari jam 8.30 pagi hingga 5 petang pada Isnin hingga Sabtu, tetapi ditutup pada Ahad dan cuti umum.

     
     
  • MG5 akan dilancar di Malaysia 3 Oktober ini – 1.5L NA

    MG5 akan dilancar di Malaysia 3 Oktober ini – 1.5L NA

    MG Malaysia mengumumkan, sedan MG5 yang dipertontonkan Ogos lalu akhirnya akan dilancarkan 3 Oktober ini. Seperti yang diberitahu semasa pra tontonnya, harga MG5 ini dijangka berada di bawah RM100k, dan ia akan diimport (CBU) dari Thailand.

    Di Indonesia, MG5 ini sudah pun dijual dengan menggunakan nama MG5 GT, dan ia mencatat ukuran 4,675 mm panjang, 1,842 mm lebar, 1,473 mm tinggi dan jarak roda sejauh 2,680 mm. Antara model saingannya adalah Honda Civic, Toyota Corolla dan Mazda 3.

    Sama seperti Thailand dan Indonesia, kita di Malaysia dijangka menerima MG5 yang dijana oleh enjin 1.5 liter empat-silinder NA berkuasa 114 PS pada takat 6,000 rpm dan tork maksima 150 Nm pada takat 4,500 rpm. Ia digandingkan dengan kotak gear CVT automatik bersama lapan-kelajuan maya.

    Untuk rupa luaran, model yang dipamerkan sebelum ini menunjukkan perincian seperti lampu hadapan automatik LED dengan lampu nyalaan siang, cermin sisi kawalan elektrik, bumbung suria dan juga set rim aloi ‘Tomahawk’ berdiameter 17-inci.

    Dalam kabin pula, ia dilengkapi tempat duduk pemandu larasan elektrik enam-hala, upholsteri tempat duduk kulit hitam dengan serlahan merah, paparan instrumen digital penuh dengan skrin 7-inci, skrin infotainmen 10.25-inci dengan sokongan Apple CarPlay dan Android Auto serta enam pembesar suara.

    SAIC Motor Malaysia yang merupakan pengedar rasmi kenderaan MG di Malaysia juga sebelum ini pernah memberitahu MG5 ini akan datang dengan perlindungan waranti pengeluar selama lima-tahun tanpa had perbatuan untuk kenderaan, bersama waranti berasingan untuk unit rangkaian kuasa (enjin dan transmisi) selama tujuh-tahun tanpa had perbatuan.

     
     
  • Honda Malaysia beri diskaun RM80k untuk Civic Type R FL5 dalam promo Oktober 2024, sekarang RM320k!

    Honda Malaysia beri diskaun RM80k untuk Civic Type R FL5 dalam promo Oktober 2024, sekarang RM320k!

    Honda Malaysia memang agak agresif dalam promosi-promosi yang dijalankan tahun ini. Dan untuk pembuka suku keempat tahun ini, promosi yang ditawarkan turut membabit model paling mahal dalam barisan modelnya iaitu Honda Civic Type R FL5!

    Dalam kempen Oktober 2024 yang dinamakan ‘Unwrap Big Savings’ ini, Honda Malaysia memberikan diskaun sehingga RM80,000 untuk Honda Civic Type R FL5 tersebut. Ini menjadikan harga jualan untuk hot-hatch terpantas di Litar Nürburgring berkenaan adalah RM320k, hampir sama seperti harga model generasi FK8 sebelum ini.

    Kebetulan, penulis baru berpeluang memandu uji Honda Civic Type R tersebut baru-baru ini dan anda boleh baca laporan pandu uji berkenaan pada PAUTAN INI. Jadi dengan diskaun yang begitu banyak yang diberikan, memang agak jiwa kacau juga sebenarnya.

    Kalau harga tersebut masih dilihat belum mampu milik, anda boleh juga mengintai untuk membeli Honda Civic sedan kerana ia turut ditawarkan dengan diskaun yang agak besar. Untuk Civic varian E dan V Honda Malaysia memberikan diskaun sehingga RM12,000, manakala varian RS petrol dan hibrid e:HEV diskaun yang diberikan adalah RM10,000. Ini bermakna harga jualan untuk Honda Civic dalam tempoh promo ini bermula dari bawah RM120k.

    Honda City juga diberikan diskaun bermula RM3,000 (untuk S dan RS petrol) sehingga RM8,000 (E dan V). Manakala varian hibrid RS e:HEV pula diberikan diskaun sebanyak RM5,000.

    Model-model SUV Honda juga tidak ketinggalan diberikan diskaun untuk promo Oktober ini. Bagi WR-V, pembeli varian asas S akan menerima diskaun RM5,000, manakala varian E, V dan RS pula diberikan diskaun RM8,000. Untuk HR-V pula, varian asas 1.5L NA S dan Turbo E diberikan diskaun sebanyak RM3,000, sementara varian V diberikan diskaun sehingga RM5,000. HR-V hibrid RS e:HEV juga ditawarkan dengan diskaun, namun ia hanya sebanyak RM1,000.

    Honda Malaysia beri diskaun RM80k untuk Civic Type R FL5 dalam promo Oktober 2024, sekarang RM320k!

    City Hatchback dan CR-V yang sebelum ini tidak disenarai dalam promo Jiwa Madani bermula pertengahan Ogos lalu, kini turut diberikan diskaun dalam kempen Oktober ini. Bagi City Hatchback yang kini turut hadir dengan warna Phoenix Orange Pearl baharu, ia diberikan diskaun sebanyak RM3,000 untuk semua varian termasuk varian RS. Manakala CR-V pula diberikan diskaun sebanyak RM4,000 untuk varian 1.5L S dan 1.5L E.

    Promosi Unwrap Big Savings ini akan berlangsung selama sebulan iaitu untuk kereta yang didaftarkan bermula hari ini sehingga 31 Oktober 2024.

    GALERI: Honda Civic Type R FL5

     
     
  • Honda City Hatchback kini disediakan dalam warna Phoenix Orange Pearl – harga masih sama, dari RM86k

    Honda City Hatchback kini disediakan dalam warna Phoenix Orange Pearl – harga masih sama, dari RM86k

    Honda City Hatchback facelift, yang baru sahaja dilancarkan Mei lalu kini diberikan sedikit peningkatan. Ia sekarang boleh didapati dalam warna Phoenix Orange Pearl baru, sebagai pilihan tambahan kepada warna sedia ada lain.

    Ini bermakna, anda juga masih boleh mendapatkan hatchback segmen B tersebut dalam warna Ignite Red Metallic, Lunar Silver Metallic (petrol sahaja) dan Meteoroid Grey. Warna Platinum White Pearl yang memerlukan tambahan bayaran RM300 juga masih tersedia.

    Harga bagaimanapun masih tidak berubah – RM85,900 untuk 1.5 S, RM90,900 untuk 1.5 E, RM95,900 untuk 1.5 V, RM100,900 untuk 1.5 RS dan RM112,900 untuk e:HEV RS hybrid. Selain daripada penampilan baru, semua varian City Hatchback ini juga sekarang datang secara standard dengan pakej keselamatan Honda Sensing.

    City Hatchback digerakkan oleh sama ada enjin petrol empat silinder NA 1.5 litre DOHC i-VTEC 121 PS/145 Nm dengan gabungan transmisi CVT atau motor elektrik 109 PS/253 Nm yang mendapat kuasa daripada enjin Atkinson-cycle 1.5 liter 98 PS/127 Nm pada varian e:HEV RS.

    Honda City Hatchback facelift RS e:HEV 2024

    Honda City Hatchback facelift RS 2024

     
     
  • Polis Thai jelaskan slip pembaharuan lesen memandu Malaysia tidak diterima, perlu bawa lesen fizikal/digital

    Polis Thai jelaskan slip pembaharuan lesen memandu Malaysia tidak diterima, perlu bawa lesen fizikal/digital

    Umum mengetahui bahawa Malaysia telah mula melaksanakan lesen memandu digital (e-LMM) yang dipaparkan menerusi aplikasi MyJPJ, dan setiap kali memperbaharuinya, sama ada kaunter JPJ ataupun ejen seperti Pos Malaysia dan MyEG, kita hanya memperoleh slip LLM sahaja. Jika memperbaharuinya melalui laman mySIKAP, anda perlu menandakan pilihan slip pembaharuan.

    Walau bagaimana pun, masih ramai rakyat Malaysia yang menganggap slip pembaharuan lesen tersebut boleh dipakai jika mahu memandu di luar negara termasuklah ke Thailand. Sebenarnya tidak ya, tuan-tuan dan puan-puan!

    Baru-baru ini, seorang pegawai polis Thailand telah berkongsi perkara yang sama menerusi video yang berdurasi 2.27 minit di akaun TikTok @dadunayu.thai. Beliau menggunakan bahasa Melayu dengan dialek Kelantan-Pattani yang pastinya membantu kita untuk lebih memahami apa yang ingin diperjelaskan.

    Katanya, rakyat Malaysia yang memandu ke Thailand masih perlu membawa lesen fizikal atau digital yang sah pada setiap masa. Jika tiada lesen fizikal, pemandu Malaysia masih boleh menunjukkan paparan lesen digital menerusi aplikasi MyJPJ.

    Polis Thai jelaskan slip pembaharuan lesen memandu Malaysia tidak diterima, perlu bawa lesen fizikal/digital

    Tambah beliau lagi, walau bagaimana pun, ada sesetengah polis di Thailand mungkin tidak menerima lesen digital itu. Justeru, bagi memudahkan lagi urusan, katanya, pemandu dari Malaysia disarankan mencetak lesen berkenaan di Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sebelum memasuki sempadan Thailand.

    Pada Ogos tahun lalu, Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata bahawa urusan lesen memandu adalah tertakluk kepada undang-undang negara lain. Katanya, JPJ tidak berhenti mengeluarkan salinan fizikal lesen memandu, dan ia disediakan untuk mereka yang memerlukannya. “Jika mereka ingin memandu di negara yang memerlukan lesen fizikal, mereka boleh memohon di kaunter JPJ semasa memperbaharui (lesen),” katanya.

    JPJ juga pernah menyatakan dengan jelas bahawa slip pembaharuan LMM ini hanya boleh digunakan di Malaysia dan tidak sah di negara luar. Jika anda mahu memandu di negara lain, anda perlu pergi ke kaunter JPJ untuk mendapatkan kad fizikal dan bayar RM20. Sama juga dengan lesen digital, ia tidak boleh digunakan di negara luar dan anda perlu mendapatkan kad fizikal dari JPJ. Ada negara tertentu juga memerlukan permit memandu antarabangsa (IDP), yang mana kalau anda memerlukannya, terdapat bayaran tambahan lain.

    @dadunayu.thai Ingin memandu di Thailand? Berikut adalah tips penting untuk rakyat Malaysia menggunakan lesen memandu di Thailand. #LesenMemandu #MemanduDiThailand #RakyatMalaysia #TravelTips #SelamatDiJalan #PelancongMalaysia #PerjalananSelamat #JalanThailand #MemanduSelamat#fypp ♬ เสียงต้นฉบับ – preedee

     
     
  • Mitsubishi Triton 2025 dibuka tempahan di Malaysia — kini ada Single Cab anggaran RM102k, Athlete RM170k

    Mitsubishi Triton 2025 dibuka tempahan di Malaysia — kini ada Single Cab anggaran RM102k, Athlete RM170k

    Selepas pengenalan sulung peringkat globalnya Julai tahun lalu, Mitsubishi Triton serba baru akhirnya akan tiba di Malaysia dalam masa terdekat. Model generasi keenam trak pikap berkenaan itu kini mula dibuka untuk tempahan bagi pasaran tempatan.

    Mitsubishi Motors Malaysia (MMM) akan menawarkan lima varian bagi Triton 2025 ini, bermula dari Triton Single Cab high-rider baru (varian sama sebelum ini diisi oleh Triton Quest dalam versi doubel-cab dan low-rider) hinggalah ke varian paling tinggi, Triton Athlete. Harga anggaran ialah dari RM102,000 bagi Single Cab, hingga RM170,000 bagi Athlete.

    MMM menggariskan enam poin utama bagi Triton baru ini. Yang dimaksudkan ialah penggayaan yang lebih kental (melalui pendekataan rekaan Beast Mode), prestasi yang dipertingkat (dengan enjin 2.4L turbodiesel baru, jana 204 PS/470 Nm), saiz badan lebih besar (casis ‘mega-frame’ baru), kecekapan pengendalian maksimum, keselamatan yang dipertingkat (Active Yaw Control, ADAS) dan kelengkapan keselesaan ala SUV (pengecas tanpa wayar, Apple CarPlay/Android Auto, ruang simpanan).

    Mitsubishi Triton 2025 dibuka tempahan di Malaysia — kini ada Single Cab anggaran RM102k, Athlete RM170k

    Menurut MMM, varian Single Cab dikuasakan oleh enjin 2.4-liter turbodiesel dengan janaan 184 PS dan 430 Nm. Ini merupakan talaan tahap pertengahan bagi unit enjin 4N16 VGT serba baru yang melengkapinya, dengan talaan paling tinggi menjana 204 PS/470 Nm (mungkin diberikan untuk varian Athlete). Ini bermakna, talaan paling asas dengan janaan 150 PS/330 Nm tidak akan ditawarkan di sini.

    Triton generasi kelima ketika ini menggunakan enjin 2.4L dengan janaan 181 PS/430 Nm untuk semua varian, kecuali bagi Quest yang paling asas dengan hanya 110 PS/200 Nm dari enjin bukan-VGT 2.5 liter, dan digandingkan dengan transmisi manual lima-kelajuan dan pacuan roda belakang. Selain daripada perbezaan janaan sebanyak 74 PS/230 Nm — ini satu angka yang besar — Single Cab terbaru ini juga menerima transmisi 6MT dan sistem pacuan 4WD. Bagi Athlete pula, ia menerima peningkatan sebanyak 20 PS/40 Nm.

    Triton Single Cab terbaru ini juga mempunyai ruang kargo belakang yang paling besar dalam segmennya — 2,340 mm panjang dan 1,580 mm lebar. Triton Double Cab juga kini mempunyai saiz yang lebih besar berbanding model generasi kelima: 5,360 mm panjang, 1,930 mm lebar dan 1,815 mm tinggi — ini 55 mm lebih panjang, 115 mm lebih lebar dan 35 mm lebih tinggi. Jarak rodanya pula ialah 3,130 mm — 130 mm lebih panjang.

    Mitsubishi Triton 2025 dibuka tempahan di Malaysia — kini ada Single Cab anggaran RM102k, Athlete RM170k

    Sistem pacuan empat roda Super Select 4WD-II pula penampilkan empat mod — 2H (pacuan roda belakang), 4H (pacuan 4WD sepenuh masa), 4HLc (differential tengah dikunci) dan 4LLc (differential tengah dikunci dalam gear rendah). Ia kini turut dilengkapi ciri Active Yaw Control (AYC), yang memperbaiki kemampuan di selekoh dengan mengenakan sedikit brek untuk roda depan sebelah dalam ketika di selekoh.

    Spesifikasi Thailand menunjukkan yang Triton baru ini lengkap dengan sistem ADAS, termasuk ciri Forward Collision Mitigation (AEB) dan Blind Spot Warning with Lane Change Assist dan Rear Cross Traffic Alert (RCTA). Tambahan terbaru bagi model generasi keenam ini ialah ciri Adaptive Cruise Control.

    500 pelanggan terawal yang menempah Triton terbaru ini secara dalam talian di Mitsubishi Online Showroom akan menerima kotak simpanan barang 60L bernilai RM450.

    Sekadar perbandingan, Triton Athlete generasi kelima ketika ini dijual dengan harga RM155,900 atas jalan tidak termasuk insurans. Jika harga anggaran Triton Athlete generasi baru ini tidak lari jauh, ia akan melibatkan perbezaan harga sebanyak RM14k, antaranya kesan daripada penawaran enjin baru yang ada. Selain itu, Toyota juga baru saja menaikkan harga Hilux, kini dengan RM173,280 bagi varian 2.8L GR Sport.

     
     
  • MPV EV BYD M6 akan dilancar di Malaysia tak lama lagi – hingga 204 PS/310 Nm, jarak gerak 530 km NEDC

    MPV EV BYD M6 akan dilancar di Malaysia tak lama lagi – hingga 204 PS/310 Nm, jarak gerak 530 km NEDC

    Kami difahamkan bahawa MPV tiga-baris tempat duduk dengan unit rangkaan kuasa elektrik sepenuhnya (EV) BYD M6 bakal dilancarkan di Malaysia tidak lama lagi. MPV ini telah pun masuk ke pasaran ASEAN bermula dengan Indonesia pada Julai lalu dan kemudian ia turut dilancarkan di Thailand.

    Ogos lalu BYD dilihat telah membawa MPV e6 ke Malaysia, namun unit berkenaan dikatakan hanya untuk kegunaan dalaman. M6 merupakan versi lebih mewah berbanding e6, tetapi setakat ini masih belum ada sebarang bayangan spesifikasi dan varian M6 yang akan ditawarkan pada pasaran tempatan kelak.

    Di Indonesia M6 hadir dengan versi enam- dan tujuh-tempat duduk, dijual pada harga bermula 379 juta rupiah (RM109,500) sehingga 429 juta rupiah (RM123,900). Manakala di Thailand, MPV ini hanya ditawarkan dalam versi enam-tempat duduk dengan harga bermula 829,900 baht (RM106,800) hingga 929,900 baht (RM119,600).

    MPV EV BYD M6 akan dilancar di Malaysia tak lama lagi – hingga 204 PS/310 Nm, jarak gerak 530 km NEDC

    BYD M6 ini juga ditawarkan dengan dua varian unit rangkaian kuasa di mana kedua-duanya ada di pasaran Indonesia dan Thailand. Varian asas (dikenali sebagai Dynamic di Thailand) dipadankan dengan motor elektrik tunggal berkuasa 163 PS (120 kW) dan tork 310 Nm, membolehkan ia memecut dari 0-100 km/j dalam masa 10.1 saat.

    Manakala varian tertinggi Extended (dikenali sebagai Superior di Indonesia) pula juga menerima motor elektrik tunggal tetapi dengan kuasa lebih besar iaitu 205 PS (150 kW). Bagi varian ini, ia boleh medecut dari 0-100 km/j dalam masa 8.6 saat.

    Bagi menggerakkan MPV ini, model asas menerima bateri litium logam fosfat (LFP) Blade berkapasiti 55.4 kWj yang membolehkan ia bergerak sejauh 420 km dalam kitaran NEDC. Manakala varian lebih tinggi menerima bateri LFP Blade dengan kapasiti lebih besar iaitu 71.8 kWj, membolehkan ia bergerak sejauh 530 km juga dalam kitaran ujian NEDC.

    MPV EV BYD M6 akan dilancar di Malaysia tak lama lagi – hingga 204 PS/310 Nm, jarak gerak 530 km NEDC

    Untuk mengecas pula, M6 menyokong pengecasan pantas DC sehingga 85 kW, dan sehingga 115 kW untuk Extended. Ini membolehkan kadar pengecasan dari 10-80% bagi varian Extended boleh dicapai dalam masa 40 minit. Untuk pengecasan AC pula terhad kepada 7 kW untuk semua varian.

    M6 dan e6 barkongsi rupa asas yang sama, tetapi M6 datang dengan kemasan-kemasan yang namaak lebih baik. Pada bahagian muka misalnya, M6 hadir dengan rekaan signatur model-model terkini BYD, dengan rekaan gril atas berbentuk bar menghubungkan bahagian lampu LED multi-projektor yang diberi sentuhan baru. Ia juga diberikan kemasan bampar berbentuk sayap yang bersambung juga dengan bukaan udara kecil dengan kemasan kromnya.

    Manakala di belakang M6 diberikan lampu kombinasi lebih lebar yang disertakan jalur krom nipis. Lencana BYD lebih ringkas juga tertera, dan tiada lagi tulisan panjang “Build Your Dreams” yang lama. Lagi kemasan krom digunakan di bahagian bawah, untuk memberikan imej matang dan menarik. Dan untuk melengkapkan rupanya MPV ini menerima rim 17-inci sebagai ciri standard.

    Namun pada sebelah dalam rekaan M6 ini masih banyak yang sama seperti e6. Rekaan papan pemuka, meter analog (dengan paparan multi-info lima-inci) dan teks “Build Your Dreams” dalam font baru masih nampak sama, tetapi M6 menerima kemasan ala kayu dan konsol tengah yang direka semula dengan tuil gear yang besar menggantikan tombol bulat. Skrin boleh pusing di tengahnya pula kini lebih besar, dari 10.1-inci kepada 12.8-inci — sama seperti Dolphin. Apple CarPlay juga datang sebagai ciri standard.

    Antara perincian lain yang turut dibekalkan termasuk sistem tanpa kunci bersama butang penghidup sistem, kad kunci NFC, pendingin automatik, cermin pandang belakang anti-silau, cruise control, tempat duduk balutan kulit sintetik, fungsi vehicle-to-load (V2L), sistem kamera 360-darjah dan enam pembesar-suara. Varian Extended pula menerima tambahan rel bumbung, bumbung kaca panoramik, kerusi depan berliang larasan kuasa, pengecas tanpa wayar Qi dan pintu ruang barangan berkuasa.

    Untuk keselamatan pula M6 datang dengan enam-beg udara, kawalan kestabilan dan amaran bukaan pintu. Model pasaran Indonesia hanya menerima beberapa ciri bantuan pemandu sebagai standard, seperti AEB, kawalan melayar adaptif, dan bantuan ke tengah lorong. Manakala varian Extended pula menerima tambahan ciri bantuan mengekalkan lorong, peninjau titik buta, amaran lintasan trafik di belakang dengan brek auto dan juga amaran bukaan pintu.

    GALERI: BYD M6 di GIIAS 2024

     
     
  • Peugeot Malaysia tawar kereta ganti untuk pelanggan sekiranya kereta mereka ‘tersadai’ di pusat servis

    Peugeot Malaysia tawar kereta ganti untuk pelanggan sekiranya kereta mereka ‘tersadai’ di pusat servis

    Peugeot yang kini diuruskan oleh Stellantis Malaysia mengumumkan bahawa ia akan memberikan kereta ganti untuk pelanggan gunakan sekiranya kereta mereka ‘tersadai’ di pusat servis kerana untuk diperbaiki atau menunggu alat ganti tiba.

    Menurut syarikat itu kelayakan pelanggan untuk mendapatkan servis ini adalah dinilai berdasarkan kes demi kes termasuk kes seperti kereta berkenaan tidak boleh digunakan atas sebab keselamatan, masalah sehingga ia tidak boleh dipandu, atau beberapa keadaan lain yang tidak dijangka. Sudah tentu ia tertakluk kepada terma dan syarat.

    Pelanggan juga akan ditawarkan dengan kereta gantian sekiranya kenderaan mereka terpaksa diletakkan lebih lama di pusat servis kerana ketiadaan alat ganti yang diperlukan. Sekiranya kenderaan ganti daripada Peugeot Malaysia sendiri tidak cukup, syarikat berkenaan akan menyediakan kenderaan sewa sebagai ganti tanpa sebarang kos.

    Peugeot Malaysia tawar kereta ganti untuk pelanggan sekiranya kereta mereka ‘tersadai’ di pusat servis

    Julai lalu pengarah urusan Stellantis Malaysia Jamie Morais berkata bahawa Peugeot Malaysia kini telah berjaya mengurangkan kes yang masih belum diselesaikan sebanyak 95% iaitu dari 2,500 kes kepada hanya 117 kes.

    Setelah mengambil semula hak pengedaran Peugeot pada pasaran Malaysia Mac lalu, Stellantis telah menawarkan waranti selama tujuh-tahun untuk model baharu Peugeot yang dijual, atau pelanggan boleh memilih waranti selama lima-tahun dengan diberikan rebat dari harga jualan kereta tersebut.

     
     
  • Toyota Hilux di Malaysia naik harga sehingga RM4,200 – kamera 360, pengecas Qi untuk varian tinggi

    Toyota Hilux di Malaysia naik harga sehingga RM4,200 – kamera 360, pengecas Qi untuk varian tinggi

    Di pasaran negara lain, Toyota Hilux telah diberikan pelbagai peningkatan, termasuk varian GR Sport Wide Tread dan facelift yang memperkenalkan sistem hibrid ringkas 48 volt. Waalubagaimanapun, itu masih belum tiba di Malaysia, dan sebaliknya kita cuma mendapat sedikit peningkatan, yang juga menaikkan harganya sehingga RM4,200.

    Jika dibandingkan dengan tahun lepas, harga varian asas 2.4 MT single cab (masih dalam generasi kelapan) kini naik RM1,000 menjadi RM104,800, manakala 2.4V AT double cab sekarang lebih tinggi RM3,700, dijual pada RM145,880.

    Varian paling tinggi menyaksikan peningkatan paling banyak, iaitu 2.8 Rogue AT dan 2.8 GR Sport AT yang masing-masing berharga RM163,080 dan RM173,280 – RM4,200 lebih tinggi berbanding sebelumnya. Varian pertengahan, iaitu 2.4E double cab bagaimanapun masih dijual pada harga sama iaitu RM117,880 untuk versi manual dan RM119,880 untuk versi automatik.

    Toyota Hilux di Malaysia naik harga sehingga RM4,200 – kamera 360, pengecas Qi untuk varian tinggi

    Ada antara peningkatan harga itu ditimbal balik dengan pemasangan kamera 360 darjah pada 2.5V, 2.8 Rogue dan 2.8 GR Sport, serta pengecas Qi tanpa wayar untuk Rogue dan GR Sport. Barangan ini disediakan sebagai pilihan tambahan untuk varian double cab lain – RM6,590 untuk kamera 360 darjah (dimasukkan sekali dengan skrin sesentuh sembilan inci) dan RM490 untuk pengecas tanpa wayar.

    Tiada perubahan lain dibuat pada Hilux ini, yang mana ia masih digerakkan oleh sama ada enjin empat silinder diesel turbo 2.4 liter 2GD-FTV 150 PS/400 Nm atau 1GD-FTV 204 PS/500 Nm – kuasa varian GR Sport ditingkatkan kepada 224 PS dan 550 Nm pada tahun lepas. Anda juga mendapat pilihan transmisi manual atau automatik enam kelajuan serta sistem pacuan empat roda.

     
     
  • TGR Malaysia Vios Challenge musim ke-7 pusingan-2; pelumba pelapis negara teruskan penguasaan

    TGR Malaysia Vios Challenge musim ke-7 pusingan-2; pelumba pelapis negara teruskan penguasaan

    Siri perlumbaan satu pengeluar Vios Challenge musim ke-7 yang dianjur oleh Toyota Gazoo Racing Malaysia telah pun melangsungkan pusingan keduanya pada hujung minggu lalu. Berbanding pusingan pertama yang menggunakan sepenuhnya Litar Antarabangsa Petronas Sepang, cabaran bagi pusingan kedua ini kembali ke bahagian Selatan litar berkenaan dengan jarak hanya 2.706km dan berlangsung sebanyak 20-lap.

    Seperti yang diketahui sebelum ini, Vios Challenge musim ke-7 hanya menampilkan tiga kategori iaitu Super Sporting, Sporting dan Rookie di mana kategori promotional untuk selebriti telah digugur. Namun untuk dua kategori utama selain Rookie, siri perlumbaan ini telah menarik pelumba-pelumba luar negara seperti Thailand, Singapura dan India.

    RACE 1 (28 September 2024)

    TGR Malaysia Vios Challenge musim ke-7 pusingan-2; pelumba pelapis negara teruskan penguasaan

    Untuk kelas pemandu profesional iaitu Super Sporting, penampilan pelumba-pelumba ‘otai’ jelas makin kurang. Bagi Race 1, ia didominasi sepenuhnya oleh pelumba yang lahir dari kelas Rookie iaitu Amer Harris memandu untuk pasukan Laser Motor Racing. Amer bukan sahaja bermula dari petak pertama perlumbaan selepas mencatatkan masa terpantas dalam sesi kelayakan, malah dia tidak mampu dicabar oleh pelumba lain, menamatkan Race 1 ini di kedudukan pertama dengan berada 5.2 saat di hadapan berbanding kelompok kedua.

    Namun pelbagai drama tetap berlaku dalam perlumbaan ini bermula dari selekoh pertama untuk lap pertama, di mana juara kategori Super Sporting tiga kali, Tengku Djan Ley gagal mengawal keretanya ketika membrek dan merempih William Ho dari pasukan Toyotsu Racing, menyebabkan kedua-duanya tidak dapat meneruskan perlumbaan.

    Safety car keluar untuk memimpin perlumbaan akibat dari insiden ini. Dan selepas ia dimulakan semula, Amer sekali lagi menjarakkan kedudukannya, sementara Freddie Ang dari pasukan Telagamas Toyota terpaksa bertempur hebat Hayden Haikal dari pasukan TD Racing untuk mempertahankan tempat kedua.

    TGR Malaysia Vios Challenge musim ke-7 pusingan-2; pelumba pelapis negara teruskan penguasaan

    Walau bagaimanapun di saat akhir perlumbaan, Hayden Haikal melepaskan podium tempat ketiganya kepada rakan sepasukan Mitchell Cheah yang berada di belakang, disebabkan Mitchell kini mempunyai lebih peluang untuk bergelar juara keseluruhan.

    “Hayden dan saya berada dalam pasukan yang sama dan ini merupakan perlumbaan pertamanya dalam Musim 7, jujur ​​saya katakan bahawa beberapa strategi pasukan sedang dimainkan untuk membolehkan saya mengukuhkan kedudukan saya dalam kejuaraan keseluruhan,” kata Cheah.

    “Melangkah masuk ke hujung minggu ini, saya tidak terlalu berharap kerana ini adalah kali pertama saya memandu kereta lumba Vios generasi baharu ini, dan ini perlumbaan pertama saya dalam Vios Challenge kategori Super Sporting. Kereta baharu ini memerlukan saya untuk lebih fokus ketika memandu dan dari segi brek, terdapat beberapa pelarasan yang perlu saya lakukan sebagai pemandu tetapi syukur kami berjaya membawanya pulang dalam P1,” kata Amer pula.

    TGR Malaysia Vios Challenge musim ke-7 pusingan-2; pelumba pelapis negara teruskan penguasaan

    Untuk Rookie Class yang berlangsung sekali dengan Super Sporting, tempat pertama dirangkul oleh Brandon Ho, diikuti oleh Amirul Afiq dan Raja Amirul Syauqat.

    “Saya habiskan Pusingan 1 dengan sedikit kecewa terhadap prestasi saya dan saya mengambil sedikit masa untuk menyemak banyak rakaman video on-board untuk melihat bagaimana saya boleh bertambah baik dalam Pusingan 2, dan jaga diet saya serta menguatkan mental dan kecergasan fizikal saya. Ia benar-benar membuahkan hasil dan saya mempunyai permulaan yang baik dalam perlumbaan 1 dari petak pertama. Saya sangat gembira,” kata Ho.

    Pelumba muda juga menguasai kelas Sporting untuk pemandu amatur, di mana seorang lagi alumni program pembangunan pemandu muda Gazoo Racing dan kelas Rookie iaitu Elson Lew memenangi perlumbaan ini. Seorang lagi pemandu muda, Amirul Haikal dari pasukan Super Evergreen Motorsport berada 3.7 saat di belakang untuk berada di tempat kedua.

    TGR Malaysia Vios Challenge musim ke-7 pusingan-2; pelumba pelapis negara teruskan penguasaan

    Wakil pelumba berpengalaman untuk podium Race 1 ini hanya diwakili oleh Kenneth Koh dari pasukan PCM Group Racing Team yang berjaya merangkul tempat ketiga.

    “Perlumbaan agak baik dan saya berjaya melepaskan diri daripada petak pertama. Amirul rapat tetapi saya hanya perlu mengekalkan ketenangan,” kata Lew yang memandu untuk pasukan BAE Racing by ES Yang.

    RACE 2 (29 September 2024)

    TGR Malaysia Vios Challenge musim ke-7 pusingan-2; pelumba pelapis negara teruskan penguasaan

    Perlumbaan kategori Super Sporting dan juga Rookie terpaksa ditangguhkan seketika kerana ribut dan hujan yang turun terlalu lebat, memaksa pengarah perlumbaan untuk mengarahkan semua kereta yang telah pun bersedia di petak permulaan untuk pulang semua ke pit masing-masing.

    Perlumbaan bermula lewat kira-kira 20 minit selepas itu, namun keadaan litar masih lagi basah. Dengan kaedah susunan grid terbalik berdasarkan keputusan Race 1, petak pertama dihuni oleh Nabil Azlan, diikuti abangnya sendiri Naquib Azlan, serta Hayden Haikal, Mitchell Cheah, Freddie Ang dan pemenang hari sebelumnya iaitu Amer Harris di petak ke-6.

    Sebaik sahaja semua pelumba dilepaskan secara rolling start, Hayden Haikal berjaya memintas Naquib pada selekoh pertama. Naquib lebih kucar-kacir selepas itu bertarung dengan cengkaman tayar pada permukaan basah sehingga jatuh ke tempat ke-6. Penguasaan Nabil di hadapan juga tidak bertahan kerana dalam lap yang sama Hayden berjaya memintasnya untuk menjadi pendahulu perlumbaan.

    TGR Malaysia Vios Challenge musim ke-7 pusingan-2; pelumba pelapis negara teruskan penguasaan

    Kedudukan Nabil terus jatuh lagi selepas itu dengan dipintas oleh Mitchell Cheah dan Freddie Ang. Hayden terus selesa berada di hadapan sehingga barisan penamat memberikan kemenangan pertamanya untuk musim ini. Cheah dan Ang bertarung hebat bagi merebut tempat kedua, tetapi akhirnya naib juara menjadi milik Freddie Ang, dan Mitchell Cheah sekali lagi berada di tempat ketiga.

    “Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua orang yang menjadikan perkara ini kenyataan…pada asasnya saya cuba untuk membiasakan diri dengan kereta ketika sesi latihan dan kelayakan. Saya bergelut sedikit dalam perlumbaan pertama tetapi keadaan cuaca basah hari ini banyak membantu saya. Saya suka hujan dan saya harap saya akan kembali untuk Pusingan 3,” kata Hayden yang kembali berlumba dalam Vios Challenge selepas terlepas Pusingan 1.

    Dalam kelas Rookie, Brandon Ho yang perlu bermula dari grid ke-6 mengikut kaedah susunan grid terbalik dan juga perlu membawa beban weight ballast yang lebih banyak tidak menghalangnya untuk sekali lagi berada di podium pada Race 2, dengan menghabiskan perlumbaan di tempat ketiga.

    TGR Malaysia Vios Challenge musim ke-7 pusingan-2; pelumba pelapis negara teruskan penguasaan

    Adam Mikail yang sebelum ini telah memenangi dua perlumbaan di Pusingan-1 seakan mula mendapat rentaknya kembali dengan sekali lagi menang pada Race 2 Pusingan-2 ini. Manakala tempat kedua pula di huni oleh Raja Amirul.

    Untuk kategori Sporting, perlumbaan bermula bersih dengan tiada sebarang insiden berlaku di selekoh pertama. Shafiq Shamsudin dari pasukan Race Rally KL yang bermula di petak ketiga walau bagaimanapun berjaya memintas Eric Yong dari pasukan Bae Racing.

    Kejutan berlaku di selekoh terakhir litar Selatan Sepang ini di mana sembilan buah kereta telah terkeluar dari litar termasuk pendahulu perlumbaan iaitu Choo Yong Choon dari pasukan Heiwa Racing membolehkan Shafiq memimpin perlumbaan. Insiden berkenaan turut membolehkan Elson Yew yang bermula pada grid keenam dengan grid terbalik berada di kedudukan ke-4.

    TGR Malaysia Vios Challenge musim ke-7 pusingan-2; pelumba pelapis negara teruskan penguasaan

    Elson yang kelihatan selesa dengan jenteranya mula menyerang Eric dan Choo yang berada di hadapan, dan akhirnya dia berjaya berada di kedudukan kedua pada selekoh pertama lap ke-4. Dan pada lap ke-8, Shafiq pula dipintas oleh Elson yang mempamerkan pemanduan semakin garang.

    Nasib malang terus menimpa Shafiq ketika mempertahankan tempat kedua dengan bertarung dengan Kenneth Koh dan pelumba muda Thailand yang baru berumur 16-tahun iaitu Panithan Rakpaibulsombut, keretanya mula menghadapi masalah mekanikal dan terpaksa keluar dari perlumbaan.

    Selepas 20-lap, Elson Lew masih berada di hadapan untuk menjadi juara dua perlumbaan berturut-turut dalam satu pusingan. Kenneth Koh juga sekali lagi berjaya naik ke podium kali ini di kedudukan kedua, manakala tempat ketiga menjadi milik Panithan Rakpaibulsombut yang memandu untuk pasukan RUK Team Nexzter PMC 52.

    TGR Malaysia Vios Challenge musim ke-7 pusingan-2; pelumba pelapis negara teruskan penguasaan

    “Masuk ke Pusingan 2, saya mempunyai perasaan yang sangat baik. Saya lebih yakin dan saya terpantas dalam kedua-dua latihan tidak rasmi dan rasmi serta kelayakan. Sudah tentu ia adalah hujung minggu terbaik perlumbaan yang saya alami,” kata Lew yang berumur 21 tahun.

    “Strategi dalam Race 2 hanyalah untuk berusaha lebih baik dan sebaik sahaja saya mendahului, tugas saya adalah untuk menjarakkan jurang sebanyak yang saya boleh. Sebagai pemandu saya cuba untuk konsisten dan kekal fokus dan saya rasa itulah yang memenangi perlumbaan saya hujung minggu ini,” tambahnya.

    Pusingan ketiga yang juga pusingan terakhir Vios Challenge musim ke-7 ini akan berlangsung pada 3 hingga 5 Januari 2025. Dan berbeza dengan dua pusingan sebelum ini yang tidak dibuka kepada orang ramai, finale untuk musim ke-7 itu nanti akan kembali diadakan sebagai Festival serta kepada orang ramai dengan pelbagai acara menarik termasuk hiburan serta aktiviti rekreasi dan keluarga.

     
     
  • Stesen minyak Shell baharu di KM230.0 di Hentian Sebelah Pedas Linggi Selatan mula beroperasi

    Stesen minyak Shell baharu di KM230.0 di Hentian Sebelah Pedas Linggi Selatan mula beroperasi

    PLUS Malaysia Berhad (PLUS) telah mengumumkan pembukaan rasmi Stesen Minyak Shell yang baharu di KM230.0 Hentian Sebelah Pedas Linggi (arah selatan), Lebuhraya Utara-Selatan bermula jam 10 pagi tadi.

    Menurut syarikat konsesi lebuhraya ini, dengan pembukaan stesen minyak baharu ini secara tidak langsung memberikan kemudahan kepada pada pengguna lebuhraya bagi tujuan mengisi minyak, berehat sejenak mahu pun mendapatkan barangan keperluan lain.

    Malahan sekiranya kawasan hentian sebelah tersebut ditutup untuk penyelenggaraan atau pun naik taraf, pengguna lebuhraya masih boleh singgah di stesen minyak tersebut bagi tujuan menggunakan kemudahan lain termasuk tandas dan surau.

     
     
  • Mitsubishi Fuso Canter TF 2024 tiba di Malaysia – enjin 3.0L turbo Euro 5 boleh guna biodiesel B30, ABS, ESP

    Mitsubishi Fuso Canter TF 2024 tiba di Malaysia – enjin 3.0L turbo Euro 5 boleh guna biodiesel B30, ABS, ESP

    Selain Mercedes-Benz Actros dan Arocs, Hap Seng Trucks Distribution (HSTD) juga telah melancarkan Mitsubishi Fuso Canter terbaru di Malaysia, yang menggunakan enjin diesel Euro 5. Dengan ini, syarikat itu telah membawa jentera yang lebih mesra alam dan kurang emisi.

    Lori kegunaan ringan baru yang dilancarkan ini adalah daripada generasi kelapan dengan nama kod TF, ditawarkan dalam empat rangka dan propshaft asal terus dari Jepun, dengan jarak roda antara 3,400 ke 4,750 mm. Dengannya, pemilik tidak perlu melakukan sebarang modifikasi untuk memenuhi keperluan mereka.

    Kesemuanya digerakkan oleh enjin empat silinder diesel turbo 3.0 liter 4P10 yang berkemampuan 150 PS pada 2,839 rpm dan tork 370 Nm antara 1,400 ke 2,839 rpm. Pembeli boleh memilih antara dua kotak gear iaitu manual lima kelajuan, atau AMT enam kelajuan Duonic dengan klac berkembar – transmisi dual klac pertama untuk kegunaan komersial.

    Canter baru ini juga tidak lagi menggunakan selective catalytic reduction (SCR) AdBlue dan digantikan dengan pengitar semula gas ekzos (EGR) serta penapis diesel (DPF) demi mencapai kelulusan Euro 5. Enjin ini juga boleh digunakan dengan biodiesel B30, membawa makna ia sudah bersedia untuk mandat kerajaan berkenaan B30 sebelum ia dilaksanakan pada tahun 2030.

    Semua model mempunyai berat dengan muatan (BDM) 7.5 tan, kecuali untuk 150 HRX manual, kerana ia ditingkatkan kepada 8.55 tan. Suspensi terdiri daripada leaf spring di hadapan dan belakang, dengan penyerap teleskopik berkembar serta anti-roll bar di hadapan, bersama dengan penyerap tunggan dan gandar hyphoid di belakang. Brek cakera diberikan pada semua roda.

    Canter generasi kelapan ini boleh dikenali melalui muka baru yang mempunyai grafik berbentuk V besar, lampu utama dengan pemantul cahaya petak serta gril terpisah. Di dalam, keadaannya serba ringkas dan penukar gear diletakkan pada papan pemuka. Konsol tengah pula lebih seperti kereta dengan menempatkan head unit, butang pengawal pendingin hawa serta ruang simpanan besar.

    Mitsubishi Fuso Canter TF 2024 tiba di Malaysia – enjin 3.0L turbo Euro 5 boleh guna biodiesel B30, ABS, ESP

    Model Duonic AMT 150 GRP (Premium) dipertingkat lagi dengan cermin pandang belakang digital serta skrin sesentuh dengan sambungan Apple CarPlay dan Android Auto. Dari aspek keselamatan, semua model datang dengan beg udara pemandu, ABS, kawalan stabiliti serta sistem override brek yang menutup pendikit apabila pedal minyak dan brek ditekan secara tidak sengaja.

    Sama seperti Actros dan Arocs, Canter ini datang dengan telematik Trac360 secara standard, yang dikatakan dapat membenarkan pengguna serta perniagaan meningkatkan penggunaan kenderaan mereka. Sistem ini dapat mengesan kedudukan lori serta jalan yang dilalui bagi memahami perangai pemandu dan membantu mencari kembali kenderaan sekiranya dicuri.

    GALERI: Mitsubishi Fuso Canter MT 150 HRX 2024

    GALERI: Mitsubishi Fuso Canter Duonic AMT 150 GRP 2024

    GALERI: Enjin Mitsubishi Fuso 4P10

     
     
  • Honda City Special Edition 2024 — varian V dengan bodykit Modulo, Pearl White, 99 unit sahaja; RM95,200

    Honda City Special Edition 2024 — varian V dengan bodykit Modulo, Pearl White, 99 unit sahaja; RM95,200

    Awal September, Honda Malaysia mengumumkan penawaran Honda City Special Edition 2024. Kini, kami bawakan galeri penuh model terbabit kepada perhatian anda.

    Ia secara asasnya merupakan penawaran varian V sebelum ini yang dilengkapi dengan pakej aksesori Modulo seperti yang boleh diperhatikan dalam gambar, tanpa dikenakan sebarang kenaikan harga. Hanya 99 unit disediakan, Honda City Special Edition 2024 ini dijual dengan harga RM95,200 belum termasuk insurans.

    Kelengkapan yang ditambah ialah spoiler Modulo di bawah wajah depan, spoiler bawah di bahagian belakang dan spoiler sisi. Di dalam, model SE ini ditambah dengan kemasan pemijak sisi, pencahayaan lantai, perakam video digital hadapan dan juga alas bahagian ruang barangan di belakang, serta tidak ketinggalan lencana SE untuk melengkapkan lagi perbezaannya. Bukan itu sahaja, SE hanya boleh didapati dalam warna Platinum White Pearl sahaja.

    Bagaimanapun, tiada perubahan mekanikal diberikan, dan City SE ini masih menggunakan enjin 1.5 liter NA empat-silinder sebaris DOHC i-VTEC dengan janaan kuasa 121 PS (119 hp atau 89 kW) pada 6,600 rpm dan tork 145 Nm pada 4,300 rpm. Pacuan disalurkan ke roda hadapan menerusi CVT.

    Kelengkapan lain untuk City V yang menjadi asasnya termasuk lampu utama LED automatik, kemasukan tanpa kunci dan butang penghidup enjin dengan walk away auto lock, kawalan suhu automatik zon-tunggal, sistem kamera pandangan sisi Honda LaneWatch dan unit utama skrin sesentuh Display Audio lapan-inci bersama Android Auto dan Apple CarPlay dengan wayar. Varian V juga diberikan roda aloi 16-inci dibaluti tayar profil 185/55.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (-0.04)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.90 (-0.04)
EURO 5 B7 RM3.10 (-0.04)
Last Updated Aug 14, 2025