Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • MyDigital ID untuk MYJPJ ditangguh, bukan dibatalkan

    MyDigital ID untuk MYJPJ ditangguh, bukan dibatalkan

    Integrasi di antara MyDigital ID dengan aplikasi MyJPJ tidak dibatalkan, sebaliknya ia ditangguhkan buat masa ini, kata CEO MyDigital ID Sdn Bhd CEO Mohd Mirza Mohd Noor.

    Beliau menjelaskan menjelaskan bahawa penagguhan itu tidak seharusnya ditafsirkan sebagai pembatalan, tetapi sebagai sebahagian daripada strategi keseluruhan untuk memastikan ciri ini berjaya dilaksanakan dan meningkatkan pengalaman pengguna, laporan Bernama.

    “(Menteri Pengangkutan Anthony Loke) baru sahaja mengumumkan penangguhan pelaksanaan ciri ‘Log Masuk Tunggal’, yang membolehkan pengguna log masuk hanya dengan satu akaun. Dalam tempoh penagguhan ini, pengguna masih boleh memilih untuk menggunakan log masuk MyJPJ sedia ada atau ID MyDigital mereka untuk mengakses aplikasi,” kata Mirza dalam satu kenyataan yang dikeluarkan.

    Tambahnya, beliau mengetahui laporan pengguna menghadapi masalah mengakses aplikasi MyJPJ dengan ID MyDigital baharu mereka, namun jumlah itu tidak ramai berbanding lebih 150,000 pengguna yang berjaya mendaftar.

    “Orang ramai digalakkan untuk menghubungi MyDigital ID Sdn Bhd bagi sebarang pertanyaan lanjut mengenai program MyDigital ID atau perkara berkaitan. Syarikat ini yang bertanggungjawab untuk menyelia pelaksanaan ID digital dan maklumat projek berkaitan,” kata Mirza.

    Pada Rabu lalu, Loke mengumumkan pengguna MyJPJ tidak perlu MyDigital ID untuk log masuk aplikasi berkenaan mulai 10 Oktober ini.

     
     
  • Tren LRT, MRT mulakan operasi seawal 3.30 pagi Sabtu ini, 1.30 pagi pada Ahad sempena KLSCM 2024

    Berita baik untuk peserta acara larian Kuala Lumpur Standard Chartered Marathon (KLSCM) 2024 pada 5 dan 6 Oktober ini, jika anda ke lokasi acara larian berkenaan yang berlangsung di Dataran Merdeka, Rapid KL memaklumkan bahawa perkhidmatan tren bagi MRT dan LRT akan beroperasi lebih awal pada kedua-dua hari berkenaan.

    Menurut Rapid KL, bagi perkhidmatan LRT, ia melibatkan stesen terpilih untuk laluan Ampang, Sri Petaling dan Kelana Jaya, yang akan memulakan operasi mulai jam 3.30 pagi pada 5 Okt (Sabtu) dan seawal 1.30 pagi pada 6 Okt (Ahad), dan kekerapan ketibaan tren adalah setiap 15 minit.

    Manakala untuk perkhidmatan MRT pula, ia juga melibatkan stesen terpilih bagi laluan Kajang dan Putrajaya, yang akan memulakan operasi seawal waktu yang sama dengan LRT, namun kekerapan ketibaan tren adalah setiap 20 minit.

    Seperti yang Rapid KL maklumkan, hanya stesen terpilih sahaja yang akan terlibat dengan waktu operasi diawalkan ini. Untuk LRT Laluan Kelana Jaya, ia melibatkan stesen Putra Height, USJ 21, Glenmarie, Kelana Jaya, Taman Jaya, KL Sentral, Pasar Seni, Masjid Jamek (anda boleh turun di sini dan berjalan kaki kira-kira 300 meter ke Dataran Merdeka), Jelatek dan Gombak.

    Tren LRT, MRT mulakan operasi seawal 3.30 pagi Sabtu ini, 1.30 pagi pada Ahad sempena KLSCM 2024

    Rujuk peta laluan bagi stesen MRT/LRT yang terlibat

    Manakala untuk LRT Laluan Sri Petaling, melibatkan Putra Height, IOI Puchong Jaya, Kinrara BK5, Awan Besar, Bukit Jalil, Bandar Tasik Selatan, Masjid Jamek, Bandaraya dan Sentul Timur. Untuk LRT Laluan Ampang, stesen terlibat ialah Sentul Timur, Bandaraya, Masjid Jamek, Pandan Indah, Cempaka, dan Ampang.

    Bagi MRT Laluan Kajang, ia melibatkan stesen Kwasa Damansara, Phileo Damansara, Pasar Seni (anda boleh bertukar ke LRT untuk ke Masjid Jamek), Bukit Bintang, Tun Razak Exchange (TRX), Bandar Tun Hussein Onn dan Kajang. Untuk MRT Putrajaya pula, stesen terlibat ialah Kwasa Damansara, Sungai Buloh, Kg. Batu, TRX (anda boleh tukar ke laluan Kajang dan keluar di Pasar Seni dan naik pula LRT ke Masjid Jamek) dan Putrajaya Sentral.

    Malahan pihak pengurusan acara KLSCM 2024, Dirigo Event juga menyediakan tambang percuma pada Sabtu ini dari jam 3.30 pagi hingga 6 pagi dan dari 1.30 pagi hingga 6 pagi pada Ahad ini. Kadar tambang standard akan dikenakan pada waktu operasi biasa.

    Untuk pengetahuan anda, penutupan jalan utama di sekitar pusat bandar KL akan dilaksanakan pada pagi esok dan Ahad bagi menjayakan acara larian ini. Rujuk artikel PENUTUPAN JALAN untuk mengetahui senarai jalan yang terlibat. Sekiranya ingin ke KL pada hujung minggu ini, sila rancang perjalanan anda sewajarnya.

     
     
  • Zeekr X – tempahan di Malaysia dibuka; anggaran bawah RM180k, sehingga 428 PS, 440 km WLTP

    Zeekr X – tempahan di Malaysia dibuka; anggaran bawah RM180k, sehingga 428 PS, 440 km WLTP

    Selain dari MPV EV 009, hari ini Zeekr Malaysia turut membuka tempahan untuk SUV EV kompak Zeekr X. Harga rasminya belum diumumkan, tetapi ia dianggar di bawah RM180,000, dan tempahan boleh dibuat menerusi PAUTAN INI dengan yuan RM2,000.

    Bagi pasaran Malaysia, Zeekr X ditawarkan dalam dua varian iaitu Premium RWD dan Flagship AWD. Model asas Premium RWD diberikan satu motor tunggal untuk memacu roda belakang berkuasa 272 PS dan tork maksima 343 Nm, membolehkan ia memecut dari 0-100 km/j dalam masa 5.6 saat. varian Flagship AWD pula diberikan satu lagi motor tambahan untuk memacu roda hadapan bagi menghasilkan 428 PS dan tork 543 Nm, membolehkan pecutan sama dibuat hanya 3.8 saat.

    Namun kedua-duanya menerima bateri NMC berkapasiti 66 kWj, membolehkan varian Premium RWD bergerak sejauh 440 km dalam kitaran WLTP, manakala varian Flagship AWD yang lebih berkuasa pula mencatatkan jarak gerak 420 km untuk satu cas penuh bateri.

    Zeekr X – tempahan di Malaysia dibuka; anggaran bawah RM180k, sehingga 428 PS, 440 km WLTP

    Kelajuan maksima kedua-duanya ditetapkan pada 190 km/j dan ia menyokong cas pantas DC dengan kapasiti maksima 150 kW, membolehkan cas dipenuhkan dari 10-80% dalam masa 30 minit.

    Spesifikasi ini macam pernah nampak bukan? Ya, ini kerana Zeekr merupakan satu lagi kembar yang dibina berasaskan unit rangkaian kuasa dan Sustainable Experience Architecture (SEA) dari Geely sama dengan smart #1 dan Volvo EX30 yang sudah dilancarkan di Malaysia.

    Ia menampilkan dimensi panjang 4,432 mm, lebar 1,836 mm, tinggi 1,566 mm dan juga jarak roda yang sama sepenuhnya dengan smart #1 iaitu sejauh 2,750 mm.

    Zeekr X – tempahan di Malaysia dibuka; anggaran bawah RM180k, sehingga 428 PS, 440 km WLTP

    Bagi pasaran Malaysia, Zeekr X disahkan menerima perincian seperti lampu hadapan LED penuh, lampu nyalaan siang LED, paparan instrumen digital dengan skrin 8.8-inci, dan juga skrin sesentuh 14.6-inci untuk sistem infotainmen.

    Kelengkapan keselamatan yang dibekalkan pula termasuk tujuh beg udara dan juga sistem bantuan pemanduan termaju (ADAS) dengan fungsi seperti brek kecemasan automatik, cruise control adaptif, bantuan tukar lorong, kawalan pengekal tengah lorong, bantuan kekal lorong, pemantau titik buta, amaran lintasan trafik hadapan dan belakang, bantuan parkir dan pemantau pemandu.

    Lima warna badan ditawarkan untuk pasaran tempatan iaitu Crystal White, Mist Grey, Grid Grey, Palace Beige dan Pine Green. Manakala bahagian dalaman pula datang dengan tema warna gandingan Charcoal Black dan Stone Grey.

    GALERI: Zeekr X di BIMS 2024

     
     
  • Proton X70 2025 mula terima kemaskini OTA – pemilik boleh guna sambungan tanpa wayar Apple CarPlay

    Kini pemilik Proton X70 facelift 2025 sudah boleh menggunakan ketersambungan tanpa wayar bagi Apple CarPlay selepas sistem OTA dikemaskinikan, sekaligus menjadikan X70 FL ini sebagai model pertama bagi Proton yang didatangkan dengan fungsi berkenaan secara rasmi.

    Seperti dilaporkan sebelum ini, Apple CarPlay tanpa wayar dipasang ke dalam sistem infotanmen baharu SUV ini, tetapiia masih tidak boleh digunakan ketika dilancarkan kerana Proton masih bertungkus lumus untuk menguruskan hal pensijilannya, kini semuanya selesai dan bersedia untuk digunakan.

    Pemilik Proton X70 facelift Syafiq Ismail berkongsi paparan pautan telefon pintarnya dengan skrin kereta menerusi paultan.org Automotive/Car Discussion Group di Facebook, menunjukkan skrin perumah Apple CarPlay pada X70 FL baharu dengan skrin Infotainment Head Unit (IHU) yang lebih besar bersaiz 12.3-inci.

    Proton X70 2025 mula terima kemaskini OTA – pemilik boleh guna sambungan tanpa wayar Apple CarPlay

    Difahamkan Proton mula mengemaskini OTA secara berperingkat, dan dijangka semua pemilik X70 FL baharu ini bakal menikmati fungsi terkini ini. Pasti teruja bukan? Maklumlah, ia merupakan ciri terkini yang diberikan buat pertama kalinya untuk model Proton.

    Untuk pengetahuan, skrin sesentuh ‘terapung’ 12.3-inci baharu ini dikuasakan oleh Atlas 2.0. Perkakasan IHU ini telah pun dipertingkan kepada dwi prosesor quad-core, RAM berkapasiti 4GB dan storan 32GB. Kini ia juga diberikan port USB-C, dengan masih mengekalkan USB-A yang boleh disambunglan dengan semua kabel. Selain itu, ciri baharu lain termasuklah panel dekor papan pemuka, kemasan hitam berkilat dengan integrasi pencahayaan ambien 72-warna bersama fungsi ‘berirama’, serta panel meter digital 7.0-inci yang diberikan wajah baharu.

    GALERI: Proton X70 facelift 2025, Premium X

     
     
  • Zeekr 009 – tempahan di Malaysia kini dibuka; 603 hp/693 Nm, bawah RM370k, 6- & 7-tempat duduk

    Zeekr 009 – tempahan di Malaysia kini dibuka; 603 hp/693 Nm, bawah RM370k, 6- & 7-tempat duduk

    Jenama EV mewah dari Geely iaitu Zeekr sudahpun rasmi bertapak di Malaysia sejak Jun lalu yang dioperasikan oleh Sentinel Automotive, dan kini ia telahpun mengumumkan bahawa tempahan untuk MPV EV Zeekr 009 secara rasmi dibuka untuk pasaran tempatan. Harga rasmi belum lagi diumumkan namun ia disahkan akan dijual pada harga di bawah RM370,000.

    Untuk pasaran Malaysia, Zeekr 009 akan ditawarkan dalam varian asas Luxury 7-tempat duduk dan varian paling mewah Ultra Luxury 6-tempat duduk. Namun kedua-duanya menerima versi dua motor yang memacu semua roda menghasilkan kuasa 603 hp dan tork maksima 693 Nm, membolehkan ia memecut dari 0-100 km/j dalam masa hanya 4.5 saat!

    Model pasaran Malaysia ini disahkan menerima bateri NMC berkapasiti 116 kWj, membolehkan ia bergerak sejauh 582 km dalam kitaran ujian WLTP. Dengan sistem pengecas pantas DC membolehkan kuasa dipenuhkan dari 10% hingga 80% dalam masa hanya 30 minit.

    Sama seperti model-model Zeekr yang lain, 009 diasaskan dari platform Sustainable Experience Architecture atau SEA binaan Geely. Ia menampilkan dimensi panjang 5,209 mm, lebar 2,024 mm, tinggi 1,856 mm dan jarak roda sejauh 3,205 mm. Jadi saiz MPV dari Zeekr ini jelas lebih besar dari Alphard kerana model keluaran Toyota berkenaan hanya dihasilkan dengan dimensi panjang 4,945 mm, lebar 1,850 mm serta jarak roda 3,000 mm.

    Apa yang menarik, 009 ini juga merupakan asas kepada kembarnya dalam versi lebih mewah iaitu Volvo EM90. Namun berbeza dengan MPV Volvo yang lebih mewah berkenaan hanya digerakkan oleh motor tunggal berkuasa 272 PS/343 Nm bagi memacu roda belakang.

    Zeekr 009 pasaran Malaysia ini menerima tempat duduk hadapan dan pemandu larasan kuasa 12-hala dengan fungsi memori, pengurut dan liang udara serta suis ‘bos’ pada bahagian penumpang. Untuk tempat duduk baris kedua ia diberikan rel gelangsar elektrik sepanjang 1.1 meter, manakala pada baris ketiga ia diberikan fungsi mudah masuk dan keluar dengan suis elektrik satu butang.

    Zeekr 009 – tempahan di Malaysia kini dibuka; 603 hp/693 Nm, bawah RM370k, 6- & 7-tempat duduk

    Bagi varian enam-tempat duduk pula, ia menerima tempat duduk Sofaro First Class Aeronautic pada baris kedua yang menampilkan perehat tangan lebar, perehat kaki boleh laras, liang udara serta fungsi pengurut dan memori.

    Selain itu model pasaran Malaysia ini juga disahkan menerima lampu hadapan Matrix LED pintar, paparan instrumen digital dengan skrin LCD HD penuh 10.25-icni, paparan head-up AR 35.95-inci, pengecas telefon pantar tanpa wayar 50W dan sembilan port pengecas USB Type C.

    Untuk sistem infotainmen, MPV ini diberikan skrin sesentuh OLED 15.05-inci dengan sokongan Apple CarPlay dan Android Auto, skrin kabin belakang pada bumbung OLED 17-inci bersama skrin smart bar untuk baris kedua, serta sistem bunyi Yamaha dengan 30 pembesar suara termasuk laman perehat kepala tempat duduk.

    Zeekr 009 – tempahan di Malaysia kini dibuka; 603 hp/693 Nm, bawah RM370k, 6- & 7-tempat duduk

    MPV ini menerima konfigurasi suspensi jenis double wishbone yang dipadankan bersama suspensi udara dengan fungsi larasan ketinggian automatik. Zeekr mendakwa kabin 009 ini hanya menghasilkan bunyi serenade 64.5 dB pada kelajuan 120 km/j.

    Untuk keselamatan pula Zeekr 009 pasaran Malaysia ini diberikan sistem pemantau pemandu (DMS) bagi mengesan tahap kecergasan pemandu, kamera 360 darjah dan perekod video digital, Kawalan kekal lorong (LLC), cruise control adaptif (ACC), sokongan pengelak pelanggaran hadapan (CMSF) dan belakang (CMSR), brek parkir kecemasan dan lain-lain.

    Tiga warna badan ditawarkan untuk Zeekr 009 ini iaitu Phantom Black, Electric Blue dan Crystal White Pearl. Ia boleh dipadankan dengan upholsteri kulit Nappa dalam kabin dengan pilihan tema warna hitam, Stone Grey dan Polar White atau Midnight Blue dan Polar White.

    Tempahan Zeekr 009 ini boleh dibuat secara dalam talian menerusi laman web rasmi Zeekr Malaysia pada PAUTAN INI. Setiap tempahan perlu disertakan dengan yuran sebanyak RM4,000.

     
     
  • MG5 dilancar di Malaysia – sedan segmen C dengan harga seperti City/Vios, 1.5L NA CVT, dari RM86,900

    MG5 dilancar di Malaysia – sedan segmen C dengan harga seperti City/Vios, 1.5L NA CVT, dari RM86,900

    Selepas dipertontonkan kepada media Ogos lalu, MG5 kini dilancarkan secara rasmi untuk pasaran Malaysia, dalam satu varian yang diimport (CBU) dari Thailand, pada harga RM93,900 tidak termasuk insurans. Walaubagaimanapun sebagai pengenalan, SAIC Motor Malaysia membuat promosi rebat sebanyak RM7,000, menjadikan harganya cuma RM86,900.

    Harga ini meletakkan MG5 dalam lingkungan yang sama seperti Honda City dan Toyota Vios, tetapi ia mempunyai saiz hampir dengan sedan segmen C seperti Civic. Mencatat panjang 4,675 mm dan lebar 1,842 mm, MG5 hanya 3 mm lebih pendek dan 40 mm lebih lebar berbanding Civic, manakala jarak roda 2,680 mm pula meletakkannya hampir dengan Toyota Corolla (2,700 mm) dan Civic (2,735 mm).

    Enjin MG5 pula lebih sesuai untuk dibandingkan dengan sedan segmen B, kerana ia menggunakan unit 1.5 liter empat-silinder DOHC NA berkuasa 114 PS pada takat 6,000 rpm dan tork maksima 150 Nm pada takat 4,500 rpm. Menyampaikan kuasa kepada roda hadapan adalah kotak gear i-CVT automatik bersama lapan-kelajuan maya.

    MG5 dilancar di Malaysia – sedan segmen C dengan harga seperti City/Vios, 1.5L NA CVT, dari RM86,900

    Untuk kelengkapan standard, MG5 datang dengan lampu utama LED automatik, DRL, bumbung suria boleh buka, lampu belakang LED, rim 17 inci, tempat duduk balutan kulit (larasan elektrik untuk pemandu), kawalan pendingin hawa automatik satu zon dengan penapis udara PM2.5 dan corong belakang, enam pembesar suara, cruise control serta brek parkir elektronik dengan fungsi Auto Hold.

    Di depan pemandu disediakan panel instrumen digital tujuh inci, sementara di bahagian tengah papan pemuka terdapat skrin sesentuh 10.25 inci untuk sistem infotainmen dengan boleh disambung kepada Apple CarPlay, Android Auto serta memancarkan paparan kamera 360 darjah. Bawah padanya terdapat beberapa butang kawalan pendingin hawa dan tahap bunyi audio.

    Pada bahagian keselamatan, kereta ini datang dengan enam beg udara, Electronic Stability Program (ESP), EBD, EBA dan pakej MG Pilot yang termasuk Blind Spot Monitoring, Rear Cross Traffic Alert, Lane Departure Warning, Lane Change Assist dan Rear Collission Warning. AEB bagaimanapun tidak disediakan.

    MG5 disediakan dalam pilihan lima warna iaitu Dynamic Red, Arctic White, Black Pearl, Camden Grey dan Nuclear Yellow seperti dalam gambar. SAIC Motor Malaysia memberikan jaminan lima tahun tanpa had batuan untuk kereta ICE mereka ini, manakala bahagian enjin dan transmisi diberikan jaminan berasingan selama tujuh tahun tanpa had batuan.

    Sebagai perbandingan, Honda City dijual pada harga antara RM84,900 hinga RM99,900 bagi varian petrol, manakala Toyota Vios pula datang dengan harga jualan antara RM89,600 ke RM95,500. Proton S70 yang menggunakan enjin 1.5L turbo DCT pula dijual pada harga antara RM73,800 ke RM94,800.

    GALERI: MG5 yang dipertonton awal di Malaysia

     
     
  • Proton jual 11,269 unit kereta pada Sept 2024, YTD turun 3% – S70, X50, X70, X90 terlaris dalam kelas

    Proton jual 11,269 unit kereta pada Sept 2024, YTD turun 3%  – S70, X50, X70, X90 terlaris dalam kelas

    Proton hari ini mengumumkan prestasi jualannya untuk September 2024, di mana pengeluar automotif nasional itu menyatakan bahawa ia telah menjual sebanyak 11,269 unit kenderaan (domestik dan eksport) sepanjang bulan lalu. Ini membolehkan jumlah jualan tahunannya hingga kini (YTD) sudahpun mencapai 112,758 unit.

    Dengan angka berkenaan membolehkan Proton kekal sebagai jenama nombor dua terlaris di Malaysia dengan pegangan bahagian pasaran sebanyak 20.1% untuk bulan September dan 19.1% untuk YTD keseluruhan tahun 2024. Namun jika dibandingkan jumlah YTD pada September 2023 dengan jumlah jualan sebanyak 116,832 unit, jumlah jualan kumulatif Proton untuk sembilan bulan pertama tahun ini sebenarnya telah turun sebanyak 3%

    Menurut Proton pasaran automotif Malaysia secara keseluruhannya dilihat merosot pada September 2024. Jumlah volum industri (TIV) dianggarkan menurun ke tahap terendah dalam tempoh 17 bulan dengan hanya mencapai 56,067 unit, iaitu pengurangan sebanyak 22.2% berbanding bulan sebelumnya. “Namun, jumlah anggaran YTD untuk TIV masih lebih baik berbanding 2023, dengan jumlah volum hampir 590,000 unit, iaitu 3% lebih baik daripada tahun lepas,” kata Proton.

    Proton jual 11,269 unit kereta pada Sept 2024, YTD turun 3%  – S70, X50, X70, X90 terlaris dalam kelas

    Walaupun begitu, tiga model SUV Proton iaitu X50, X70 dan X90 menjadi model terlaris dalam segmen masing-masing sepanjang bulan lalu. SUV paling kecil iaitu Proton X50 mencatatkan jualan sebanyak 1,771 unit bagi membolehkan ia kekal sebagai SUV segmen-B paling laris di Malaysia bulan lalu, dan jualan kumulatif tahunannya kini mencapai 17,000 unit.

    Manakala jualan Proton X70 pula melonjak dengan merekodkan pendaftaran sebanyak 1,466 unit bulan lalu untuk menjadi model terlaris dalam segmen SUV segmen-C, selepas ia disegarkan menerusi model facelift terkini yang dilancarkan pada 19 Ogos lalu. Menurut Proton ini merupakan jualan bulanan tertinggi dicatatkan oleh X70 sejak Disember 2022 serta hampir dua kali ganda jualan yang dicapai pada Ogos lalu. Ini menjadikan jumlah kumulatif tahunannya mencapai 5,482 setakat ini untuk 2024.

    Bagi Proton X90, SUV segmen-D ini turut kembali menjadi model terlaris dalam kelasnya dengan jumlah jualan sebanyak 217 unit, menjadikan jumlah YTDnya sebanyak 2,724 unit, juga didakwa kini sedang mendahului pasaran.

    Untuk sedan segmen-C Proton S70 pula, ia terjual sebanyak 1,013 sepanjang September 2024 menyebabkan ia hanya mampu berada di kedudukan kedua bulan lalu. Walau bagaimanapun dengan jualan kumulatif mencapai 14,768 unit untuk sembilan bulan pertama tahun ini, S70 masih lagi kekal sebagai sedan segmen-C terlaris di Malaysia secara keseluruhan.

    Kereta paling laris Proton bulan lalu masih lagi model paling mampu milik yang ditawarkan iaitu Saga dengan jumlah jualan 5,162 unit sepanjang September. Saga masih menghuni tempat kedua dalam carta jualan sedan segmen-A di Malaysia dan jumlah jualan YTD 2024 kini mencecah 54,066 unit.

    Selain itu, sedan segmen-B Proton Persona mencatatkan jualan sebanyak 1,295 unit, manakala kembar hatchbacknya Proton Iriz terjual sebanyak 345 unit sepanjang September 2024.

    “September secara tradisional adalah bulan yang perlahan bagi industri automotif, dan 2024 juga tidak terkecuali. Pengurangan dalam volum Proton adalah jauh lebih kecil berbanding penurunan dalam TIV. Ini menunjukkan cabaran sukar bagi suku akhir tahun untuk industri automotif. Dengan dua model SUV yang baru diperbaharui dan sebuah sedan yang memasuki tahun penuh pertama jualannya, Proton yakin mempunyai produk yang diperlukan untuk meningkatkan volum jualan dalam tiga bulan akan datang,” kata CEO Proton Edar, Roslan Abdullah.

    “Ini akan diperkukuh dengan aktiviti promosi kami dan tidak lama lagi, kami akan melancarkan kempen di seluruh negara untuk memberi ganjaran kepada pelanggan kami dengan hadiah dan ganjaran yang menarik. Pada masa yang sama, usaha kami untuk memberikan pengalaman jenama premium di pusat jualan dan meningkatkan perkhidmatan selepas jualan akan diteruskan sebelum kemuncaknya dengan pelancaran model EV pertama kami pada bulan Disember,” tambahnya.

     
     
  • Kawasaki W230 diperkenal – model klasik dengan enjin satu silinder 233 cc, transmisi enam kelajuan

    Kawasaki W230 diperkenal – model klasik dengan enjin satu silinder 233 cc, transmisi enam kelajuan

    Kawasaki dalam diam telah memperkenalkan sebuah motosikal baru berbentuk klasik di Thailand, iaitu W230. Ia mengikut konsep rekaan seperti W800, tetapi datang dengan saiz serta enjin yang lebih kecil.

    Menggerakkan W230 adalah enjin satu silinder penyejukan udara, SOHC, 233 cc suntikan bahan api, yang mampu menghasilkan 17 hp pada 7,000 rpm dan 18.9 Nm pada 5,800 rpm. Kuasa ini kemudiannya disampaikan kepada roda belakang melalui transmisi enam kelajuan serta sistem rantai.

    Selari dengan konsep klasik yang dibawa, W230 datang dengan rim spoked berwarna krom, dengan saiz 18 inci dibalut tayar 90/90 di hadapan dan 17 inci dengan tayar 110/90 di belakang.

    Kawasaki W230 diperkenal – model klasik dengan enjin satu silinder 233 cc, transmisi enam kelajuan

    Meskipun adalah sebuah motosikal yang ringkas, W230 masih diberi dengan sistem brek ABS dual-channel, untuk membantu kecekapan brek yang terdiri daripada cakera tunggal 237 mm di hadapan dan 186 mm di belakang.

    Informasi penting motosikal termasuk kelajuan dan tahap rpm dipaparkan melalui meter analog berbentuk bulat, bersama panel LCD kecil di bahagian bawah. Suspensi terdiri daripada fork teleskopik di hadapan, dan dua penyerap hentak di belakang.

    Secara keseluruhannya W230 mencatat berat 143 kg dan datang dengan tangki bahan api 12 liter. Tinggi tempat duduk adalah 745 mm. Di Thailand, W230 dijual dalam pilihan warna Pearl Ivory/Ebony, pada harga bermula 149,900 baht (RM19,200).

     
     
  • Peugeot e-408 2025 diperkenal – EV dengan kuasa sehingga 213 PS, jarak gerak WLTP cecah 453 km

    Peugeot e-408 2025 diperkenal – EV dengan kuasa sehingga 213 PS, jarak gerak WLTP cecah 453 km

    Peugeot telah memperkenalkan 408 versi elektrik penuh, sebagai tambahan kepada varian petrol dan plug-in hybrid sedia ada. Dipanggil sebagai e-408, crossover fastback ini dibina atas platform E-EMP2 (Efficient Modular Platform) dan akan masuk ke pasaran untuk bersaing dengan Tesla Model 3 serta Polestar 2.

    Secara visual, e-408 ini tidak banyak berbeza dengan 408 biasa dan masih mengekalkan konsep rekaan yang sama. Cumanya untuk meningkatkan ciri aerodinamik, bampar hadapan, bukaan udara serta kemasan bawah berhampiran roda hadapan dibentuk semula, selain bahagian bawah kenderaan ditutup menggunakan panel yang rata.

    Tenaga penggerak datang daripada bateri nickel manganese cobalt (NMC) berkapasiti 58.2 kWh, yang dikatakan mampu memberi jarak gerak sehingga 453 km mengikut standard WLTP. Sementara e-3008 dan e-5008 boleh didapati dengan bateri 98 kWh, e-408 ini pula tidak datang dengan pilihan tersebut.

    Selain pengecas AC 11 kW yang disediakan bersama, e-408 juga boleh menerima pengecasan pantas DC pada kadar maksimum 120 kW – 10-80% dalam masa lebih sedikit daripada 30 minit dan jarak gerak 100 km setelah dicas 10 minit.

    Bateri ini menggerakkan motor elektrik hadapan yang berkuasa 213 PS (210 hp atau 157 kW) dan tork 345 Nm. Jumlah ini boleh didapati apabila berada dalam mod Sport, iaitu salah satu daripada tiga mod yang disediakan. Dalam mod Normal, kuasa dihadkan kepada 190 PS (188 hp atau 140 kW) dan tork 300 Nm, manakala dalam mod Eco ia dikurangkan lagi menjadi 170 PS (168 hp atau 125 kW) dan 270 Nm.

    Bahagian dalam masih mengekalkan susun atur i-Cockpit, dengan skrin sesentuh infotainmen 10 inci, dan kelengkapan lain yang diberi adalah seperti lampu suasana, sistem bunyi Focal 10 pembesar suara serta sistem bantuan pemandu yang sama seperti 408 biasa.

    Melalui program Allure Care, kenderaan elektrik ini diberikan jaminan sehingga lapan tahun atau 160,000 km, yang dikatakan sebagai tempoh paling panjang bagi sebuah kereta jenama Eropah.

     
     
  • Chery Tiggo 8 Pro e+ facelift 2025 muncul di MITI Day – versi PHEV akan dilancar di Malaysia tak lama lagi?

    Chery Tiggo 8 Pro e+ facelift 2025 muncul di MITI Day – versi PHEV akan dilancar di Malaysia tak lama lagi?

    Chery Malaysia telah membawa model Tiggo 8 Pro e+ facelift untuk dipamerkan pada orang awam ketika berlangsungnya MITI Day 2024 di Menara MITI baru-baru ini. Sebelum ini Tiggo 8 dalam versi plug-in hybrid (PHEV) itu telahpun dipamerkan di Malaysia Auto Show awal tahun ini, namun unit yang dibawa ke MITI Day ini adalah dari versi facelift 2025.

    Model kemaskini ini bukan hanya menampilkan muka dengan bampar dan lampu hadapan baharu, malah ia turut memberikan lebih banyak perubahan pada bahagian lain termasuk pembuka pintu jenis tenggelam dan juga papan pemuka baharu di dalam kabin.

    Walau bagaimanapun unit yang dibawa untuk dipamerkan ini ada sedikit perincian yang pelik – ia merupakan model PHEV tetapi mengenakan bampar facelift untuk model petrol sepenuhnya. Namun ini sebenarnya bukan baharu untuk Chery Malaysia – model Tinggo 7 Pro pasaran tempatan misalnya, kita menerima bampar yang sama seperti model PHEV pasaran China (dengan serlahan-serlahan biru) walaupun hanya dibekalkan dengan enjin petrol penuh.

    Chery Tiggo 8 Pro e+ facelift yang dipamerkan di MITI Day menampilkan penggayaan seperti model petrol penuh di China (seperti gambar unit berwarna putih sebelah atas, unit di baris bawah merupakan model PHEV sebenar di China)

    Unit yang dipamerkan ini juga masih dalam versi pemanduan setelah kiri. Unit rangkaian kuasa Tiggo 8 Pro e+ ini menggandingkan enjin 1.5 liter turbo yang sama seperti Omoda 5 menghasilkan 156 PS dan tork maksima 230 Nm, dan juga dua motor elektrik bersama kotak gear Dedicated Hybrid Transmission (DHT) tiga kelajuan yang diintegrasikan. Unit rangkaian kuasa ini membekalkan 326 PS dan tork 545 Nm secara keseluruhan.

    Pada pasaran China, Tiggo 8 Pro e+ ditawarkan dengan dua saiz bateri bermula yang paling kecil mampu memberikan jarak gerak elektrik sepenuhnya sejauh 42 km mengikut kitaran WLTP, manakala bateri lebih besar berkapasiti 19.27 kWj membolehkan ia bergerak sejauh 80 km tanpa enjin petrol dihidupkan. Kesemua model menyokong pengecas pantas DC hingga 29 kW, dan juga pengecas AC 6.6 kW. Varian dengan bateri yang lebih besar juga memberikan fungsi vehicle-to-load (V2L) sehingga 3.3 kW.

    Menurut Chery, sistem PHEV yang dibekalkan ini mempunyai sembilan mod operasi termasuk mod motor elektrik tunggal, mod motor elektrik berkembar, mod fungsi series dan extended range, mod direct engine drive dan mod parallel drive. Jangan salah faham dengan mod motor tunggal atau mod motor berkembar kerana kedua-dua motor berkenaan hanya memacu roda hadapan.

    Bahagian dalaman Chery Tiggo 8 facelift versi petrol penuh pasaran China

    Manakala empat mod selebihnya adalah berkaitan dengan sistem pemulihan tenaga iaitu mod pengecasan dan parkir, mod pengecasan dan pemanduan, mod brek penjanaan semula tenaga motor tunggal dan mod brek penjanaan semula tenaga motor berkembar.

    Sebelum ini juga Chery Malaysia telah mengumumkan bahawa Tiggo 8 Pro e+ ini akan dilancarkan disini dalam versi pomasangan tempatan (CKD) sama seperti Tiggo 8 Pro dalam versi petrol sepenuhnya. Sehingga kini masih belum ada petunjuk bila pelancarannya tersebut akan dibuat, namun dengan kemunculannya di MITI Day ini mungkin menandakan ia semakin hampir.

    GALERI: Chery Tiggo 8 Pro e+ PHEV facelift 2025 pasaran China

    GALERI: Chery Tiggo 8 Pro facelift 2025 pasaran China

     
     
  • MG5 sedan akan dilancarkan petang ini — tonton pelancarannya secara live di Facebook pada 5.30pm

    MG5 sedan akan dilancarkan petang ini — tonton pelancarannya secara <em>live</em> di Facebook pada 5.30pm

    MG Motor Malaysia bakal memperkenalkan secara rasmi model terbaru syarikat itu untuk pasaran tempatan, MG5 sedan pada 5.30 petang ini dan boleh ditonton secara langsung menerusi laman Facebook rasmi mereka. Ia pertama kali dipertontonkan kepada umum di sini pada Ogos lalu.

    MG5 ini dijangka akan dijual dengan harga di bawah RM100k, dan merupakan unit yang akan diimport dari Thailand. Sudah juga diperkenalkan untuk pasaran Indonesia dengan nama MG5 GT, sedan ini mempunyai ukuran dimensi 4,675 mm panjang, 1,842 mm lebar, 1,473 mm tinggi dan jarak roda 2,680 mm. Ia merupakan sedan dalam segmen C, dan akan bersaing dengan model seperti Honda Civic, Toyota Corolla dan Mazda 3.

    Malaysia juga akan menerima MG5 dengan spesifikasi yang sama dengan dua negara jiran terbabit: enjin 1.5 liter NA empat silinder yang menjana sebanyak 114 PS pada 6,000 rpm dengan tork maksimum 150 Nm pada 4,500 rpm. Enjin ini digandingkan dengan kotak gear CVT lapan-kelajuan maya.

    Rekaan luarannya antara lain menerapkan perincian seperti lampu hadapan automatik LED dengan lampu nyalaan siang, cermin sisi kawalan elektrik, bumbung suria dan juga set rim aloi ‘Tomahawk’ 17-inci.

    Di dalam kabin, ia dilengkapi tempat duduk pemandu larasan elektrik enam-hala, tempat duduk balutan kulit hitam dengan serlahan merah, paparan instrumen digital penuh dengan skrin 7-inci, skrin infotainmen 10.25-inci dengan sokongan Apple CarPlay dan Android Auto serta enam pembesar suara.

    SAIC Motor Malaysia selaku pengedar rasmi kenderaan MG di Malaysia sebelum ini memaklumkan MG5 akan datang dengan perlindungan waranti pengeluar selama lima-tahun tanpa had perbatuan untuk kenderaan, bersama waranti berasingan untuk unit rangkaian kuasa (enjin dan transmisi) selama tujuh-tahun tanpa had perbatuan.

    Ikuti pelancaran rasminya petang ini untuk tahu lebih lanjut tentang penawaran MG5 sedan di Malaysia.

     
     
  • Plaza Tol Simpang Ampat, Ayer Keroh di Lebuhraya PLUS ditutup hari ini sempena LTdL 2024, dari 1 t/hari

    Plaza Tol Simpang Ampat, Ayer Keroh di Lebuhraya PLUS ditutup hari ini sempena LTdL 2024, dari 1 t/hari

    Buat pengguna Lebuhraya Utara-Selatan, ini ada makluman buat anda. PLUS telah mengumumkan bahawa plaza tol Simpang Ampat dan Ayer Keroh, di Melaka, akan ditutup sementara hari ini. Di mana penutupan kedua-dua plaza tol berkenaan adalah bagi memberikan kelancaran acara berbasikal Le Tour de Langkawi (LTdL) 2024 yang akan melalui kawasan berkenaan.

    Penutupan terbabit melibatkan kedua-dua laluan masuk dan keluar plaza tol berkenaan. Di mana penutupan melibatkan Plaza Tol Simpang Ampat dijangka akan dilaksanakan sekitar jam 1 tengahari ini. Manakala penutupan Plaza Tol Ayer Keroh pula dijadualkan pada jam 1.30 tengahari.

    Jika anda ingin melalui kawasan berkenaan, diharap dapat merancang semula perjalanan anda supaya ‘tidak bertembung’ dengan waktu penutupan plaza tol terbabit. Teruskan memandu berhati-hati dan moga selamat sampai ke destinasi.

     
     
  • MBSA nak ‘payung’ minyak percuma untuk 500 motosikal pada 10 Okt ini di Kota Kemuning

    MBSA nak ‘payung’ minyak percuma untuk 500 motosikal pada 10 Okt ini di Kota Kemuning

    Sempena dengan Ulang Tahun Bandar Raya Shah Alam Ke-24, Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) telah mengumumkan program Jom Isi Minyak Motosikal Percuma Siri 3 yang bakal diadakah pada 10 Oktober ini. Ia akan berlangsung di Stesen Minyak Petronas Kota Kemuning 1, Persiaran Anggerik Mokara, Seksyen 31, Kota Kemuning mulai jam 11.30 pagi. Menurut MBSA, walau bagaimana pun, tawaran ini terhad untuk 500 buah motosikal terawal sahaja.

    Pprogram Jom Isi Minyak Motosikal Percuma untuk siri 1 telah diadakan pada 2 April lalu di Seksyen 7 yang melibatkan 300 motosikal terawal. Kemudian program yang sama iaitu untuk siri 2 dianjurkan pada 23 Mei lalu di Persiaran Metafasa, Seksyen U16, yang juga memberikan minyak percuma kepada 300 motosikal.

    Menerusi laporan Sinar Harian, yang memetik kenyataan Pengarah Korporat dan Perhubungan Awam MBSA, Mohd Azhar Mohd Sharif, inisiatif ini adalah usaha berterusan membantu komuniti di dalam kawasan pentadbiran MBSA dan sebagai salah satu program kemasyarakatan untuk merapatkan hubungan perpaduan, ukhwah silaturahim dengan masyarakat.

    Menurutnya, mereka yang terpilih merupakan kumpulan sasaran seperti penghantar makanan, penjawat awam, pekerja industri, serta penuntut pusat pengajian tinggi di kawasan sekitar. Di mana setiap penunggang motosikal menerima petrol percuma bernilai RM10,

    “Program ini juga merupakan sebahagian daripada Matlamat Pembangunan Lestari (SDGs) iaitu Tiada Kemiskinan (SDG 1), dan Bandar dan Masyarakat Lestari (SDG 11) serta sejajar dengan dengan komitmen untuk menjadikan MBSA sebagai pihak berkuasa tempatan (PBT) yang prihatin,” tambah beliau.

     
     
  • Mercedes-Benz Actros, Arocs 2024 tiba di Malaysia – kini dengan enjin Euro 5, boleh guna biodiesel B30

    Mercedes-Benz Actros, Arocs 2024 tiba di Malaysia – kini dengan enjin Euro 5, boleh guna biodiesel B30

    Sementara Malaysia masih lagi menggunakan tahap emisi Euro 4 untuk kenderaan baru, Hap Seng Trucks Distribution (HSTD) telah melangkah lebih ke hadapan dengan memperkenalkan Mercedes-Benz Actros baru, yang datang dengan enjin Euro 5. Acara pelancarannya turut melibatkan pengenalan Arocs yang lebih fokus kepada offroad untuk pasaran Malaysia, dan juga datang dengan enjin lebih mesra alam.

    Secara keseluruhannya ada tiga varian untuk Actros dan dua varian untuk Arocs. Bagi Actros, varian permulaan Actros 2033 4×2 digerakkan oleh enjin diesel turbo enam silinder sebaris 10.7 liter berkuasa 326 PS pada 1,600 rpm dan tork 1,700 Nm pada 1,100 rpm, manakala varian 2640 6×2 di atasnya ditingkatkan kepada 394 PS dan 1,900 Nm. Mereka yang memerlukan lebih kuasa boleh mendapatkan varian 2645 6×2, yang menggunakan enjin OM471 12.8 liter dengan kuasa 449 PS dan tork 2,200 Nm.

    Mercedes mendakwa, enjin baru ini dapat memberikan pengurangan penggunaan bahan api sehingga tujuh peratus berbanding enjin Euro 3 sebelum ini. Kedua-dua kabin ClassicSpace L-cab dan StreamSpace yang lebih tinggi ada disediakan untuk Actros, dengan StreamSpace disediakan sebagai pilihan untuk model 2640 dan diberikan secara standard untuk 2645. Berat GCW keseluruhan adalah 44 tan untuk 2033, dan 68 tan untuk varian lain.

    Arocs yang disasarkan untuk penggunaan di atas jalan tidak berturap hanya disediakan dalam versi 6×4 dengan kabin ClassicSpace, dengan varian 3340 menggunakan enjin OM470 394 PS (GCW 80 tan) dan 3348 dipertingkat dengan enjin OM471 berkuasa 476 PS/2,300 Nm (GCW 120 tan). Semua enjin ini dipadankan bersama transmisi manual automatik Powershift 3, dengan 12 kelajuan untuk Actros dan 16 kelajuan untuk Arocs.

    Actros dan Arocs mendapat penarafan Euro 5 melalui penggunaan Selective Catalytic Reduction (SCR) AdBlue, yang menyuntikkan aqueous urea ke dalam ekzos untuk mengurangkan pembebasan nitrous oksida. Semua enjin boleh menggunakan biodiesel B30, yang mahu diperkenalkan oleh kerajaan menjelang tahun 2030. Selang masa servis masih tidak berubah dan boleh mencecah sehingga 55,000 km.

    Selain perubahan enjin, rupa Actros ini kebanyakannya masih lagi sama, kecuali lampu DRL LED berbentuk kening yang kini diberikan secara standard. Anda juga boleh memilih logo Mercedes-Benz berlampu serta rekaan bampar dengan bucu besi yang dapat mengurangkan risiko kerosakan dan merendahkan kos baik pulih berbanding bampar plastik.

    Arocs pula dapat dikenali melalui penggunaan pelindung lampu serta pemijak kaki lebih besar, dengan tapak getah. Trak ini juga datang dengan sistem engine braking prestasi tinggi yang boleh memberikan tambahan kuasa henti sehingga 130 kW (176 PS) berbanding biasa.

    Pada bahagian lain, suspensi telah dinaik taraf dengan spring belakang parabolic kegunaan berat (berbanding suspensi udara Actros), serta penyerap dan anti-roll bar yang ditala semula. Turut disediakan adalah gandar belakang planetary, yang dapat memberikan GCW lebih tinggi bagi Arocs, berbanding Actros yang menggunakan gandar hyphoid.

    Mercedes-Benz Actros, Arocs 2024 tiba di Malaysia – kini dengan enjin Euro 5, boleh guna biodiesel B30

    Masuk ke dalam Actros dengan enjin 10.7 liter baru kini lebih mudah hasil daripada lantai yang 279 mm lebih rendah, sementara papan pemuka untuk kedua-dua Actros dan Arocs tidak berubah. Daripada aspek keselamatan, trak ini boleh didapati dengan Autonomous Emergency Braking, Lane Keeping Assist dan Driver Attention Monitor.

    Sistem telematik Trac360 diberikan secara standard untuk Actros dan Arocs, dengan HSTD mendakwa ia dapat membenarkan pengguna serta pengurus perniagaan untuk meningkatkan penggunaan kenderaan mereka. Sistem ini dapat mengesan lokasi trak serta jalan yang dilalui untuk memahami tingkah laku pemandu dan memberi bantuan jika kenderaan dicuri.

    GALERI: Mercedes-Benz Actros 2033 4×2 ClassicSpace

    GALERI: Mercedes-Benz Actros 2640 6×2 ClassicSpace

     
     
  • MyDigital ID untuk log masuk MyJPJ dibatalkan – pengguna boleh akses aplikasi JPJ itu seperti biasa

    MyDigital ID untuk log masuk MyJPJ dibatalkan – pengguna boleh akses aplikasi JPJ itu seperti biasa

    Sejak semalam ramai rakyat Malaysia merungut kerana ‘gagal’ untuk mendaftar aplikasi MyDigital ID yang diperlukan untuk log masuk aplikasi MyJPJ. Malah sistem aplikasi MyDigital ID seakan tidak ‘padu’ dan ‘tergendala’ dalam tempoh waktu yang agak lama untuk menyudahkan proses pendaftaran.

    Ekoran ‘kelemahan’ MyDigital ID, lewat petang ini, Menteri Pengangkutan (MoT) Anthony Loke mengumumkan bahawa integrasi aplikasi itu dengan MyJPJ yang sepatutnya bermula 10 Oktober ini dibatalkan buat masa ini. Bernama melaporkan, Loke turut berkata, kini orang ramai boleh mengakses aplikasi MyJPJ seperti biasa.

    Menurut beliau lagi, arahan yang dikeluarkan menerusi paparan ‘pop-uo’ di aplikasi MyJPJ sebelum ini bukanlah arahan rasmi yang dikeluarkan oleh kementeriannya. Malah, katanya lagi, maklumat yang disalurkan menerusi ‘pop-out’ itu mungkin telah mengelirukan orang ramai. Justeru, paparan terbabit telah pun ‘dibuang’ bagi mengelakkan orang ramai terus keliru.

    Tambah beliau, walau bagaimana pun, kementeriannya menyokong penggunaan MyDigital ID namun proses pengintegrasian dengan aplikasi MyJPJ perlu dibuat secara ‘back-end’, supaya ia tidak memberi apa-apa masalah kepada pengguna.

    Sejak semalam, terdapat paparan di aplikasi MyJPJ, log masuk tunggal menggunakan MyDigital ID akan dikuatkuasakan bermula 10 Oktober ini. Di mana MyDigital ID boleh digunakan sebagai kaedah log masuk untuk perkhidmatan dalam talian. Kaedah log masuk tunggal bererti penggunaan log masuk yang boleh digunakan untuk semua perkhidmatan dalam talian tanpa memerlukan nama pengguna dan kata laluan selain MyDigital ID.

    Walau bagaimana pun, menjenguk laman Facebook JPJ Melaka yang memuat naik entri malam ini, yang mengajak orang ramai mendaftar MyDigital ID secara terus di cawangannya di mana kaunter pendaftaran dibuka sehingga 30 Okt ini. Namun apabila ramai netizen yang memaklumkan perkara ini telah dibatalkan oleh MOT, admin JPJ Melaka ternyata beria-ia ‘mempertahankan’ aplikasi ini termasuk berkata “…cuma jangan menyesal kalau tak daftar…” Perkara ini dilihat sangat mengelirukan orang ramai kerana kenyataan yang ‘bertindan’ antara yang dikeluarkan oleh Loke dan pihak JPJ sendiri. Apa pun kita nantikan kenyataan rasmi (sekiranya ada) dari pihak JPJ sendiri.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (-0.04)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.90 (-0.04)
EURO 5 B7 RM3.10 (-0.04)
Last Updated Aug 14, 2025