Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Mark Zuckerberg tayang ‘MPV’ Porsche Cayenne & 911 GT Touring yang ditempah dari West Coast Custom

    Mark Zuckerberg tayang ‘MPV’ Porsche Cayenne & 911 GT Touring yang ditempah dari West Coast Custom

    Satu ketika dahulu, CEO Meta (sebelum ini Facebook) Mark Zuckerberg mungkin dikenali sebagai seorang yang rendah diri dengan gambarnya ke mana-mana bersama keluarga hanya memandu sebuah Honda Jazz tersebar di internet. Namun baru-baru ini menerusi akaun instagramnya, Zuckerberg menayangkan sebuah Porsche Cayenne Turbo GT yang telah diubahsuai menjadi sebuah MPV!

    MPV tersebut telah dibina khas oleh West Coast Custom (WCC), iaitu firma ubahsuai kenderaan yang terkenal menerusi rancangan realiti TV MTV Pimp My Ride satu ketika dahulu. Porsche tersebut dibuat khas untuk isteri Zuckerberg iaitu Pricilla Chan.

    Zuckerberg meminta WCC membuat projek ini selepas isterinya meminta kereta baharu untuk kegunaan setiap hari. Seperti yang anda boleh lihat, bukan hanya jarak roda Cayenne tersebut sahaja yang dipanjangkan, malah pintu belakang turut diganti dengan pintu gelangsar seperti sebuah MPV sebenar.

    Mark Zuckerberg tayang ‘MPV’ Porsche Cayenne & 911 GT Touring yang ditempah dari West Coast Custom

    Dalam keadaan standard, Cayenne Turbo GT sememangnya sudah menerima enjin petrol 4.0 liter V8 turbo berkembar yang mampu menghasilkan kuasa 650 hp dan tork maksima 849 Nm. Ini sudah lebih dari cukup walaupun badan Cayenne tersebut telah dipanjangkan dan boleh memuatkan lebih banyak penumpang dan barangan di dalamnya.

    Sebenarnya WCC bukan hanya mengambil tugas untuk mengubahsuai Porsche milik Pricilla. Pada hari yang sama firma berkenaan turut menyerahkan Porsche 911 GT3 Touring milik Mark Zuckerberg yang telah dilayangkan dengan warna sama bagi memberikan imej ‘sepasang’ pada kedua-dua kenderaan tersebut. Dan menurut laporan CarExpert, 911 GT3 milik Mark tersebut adalah dari varian kotak gear manual!

     
     
  • Cycle & Carriage kembali jual kenderaan Peugeot – anjur pameran bergerak, diskaun sehingga RM42k

    Cycle & Carriage kembali jual kenderaan Peugeot – anjur pameran bergerak, diskaun sehingga RM42k

    Selepas selesai menandatangani perjanjian pengedaran dengan Stellantis Malaysia Ogos lalu, Cycle & Carriage kini kembali menjual kenderaan Peugeot dalam negara. Merancakkan lagi kerjasama itu, satu pameran bergerak, selama sebulan di Sunway Geo Avenue, sehingga 16 November.

    Antara model yang dipamerkan di pusat membeli-belah itu adalah 408 yang dipanggil oleh Peugeot sebagai sebuah fastback crossover, SUV tujuh tempat duduk 5008 dan SUV 3008. Turut dibawa adalah satu-satunya trak pikap jenama Eropah, iaitu Landtrek.

    Seperti biasa, apabila ada acara seperti ini, pasti juga ada tawaran istimewa. Untuk itu, Cycle & Carriage menyediakan diskaun kedai sehingga RM42k, iaitu untuk 5008. Kemudiannya untuk 3008 anda boleh mendapat penjimatan sehingga RM40,000, manakala untuk Landtrek tersedia diskaun sehingga RM30,000.

    Cycle & Carriage kembali jual kenderaan Peugeot – anjur pameran bergerak, diskaun sehingga RM42k

    Setiap model SUV Peugeot ini didatangkan dengan jaminan selama tujuh tahun, sementara Landtrek pula diberikan jaminan lima tahun. Pakej penyelenggaraan percuma lima tahun diberikan kepada semua model.

    Bagi memberikan khidmat lebih baik kepada pelanggan Peugeot, pusat pameran dan servis Cycle & Carriage Batu Caves dan Georgetown akan dibuka kembali tidak lama lagi.

     
     
  • VEP: Malaysia beri jaminan tindakan saman belum dilaksanakan, hanya notis peringatan dikeluarkan

    VEP: Malaysia beri jaminan tindakan saman belum dilaksanakan, hanya notis peringatan dikeluarkan

    Menteri Pengangkutan, Anthony Loke mengesahkan bahawa Malaysia masih belum melaksanakan tindakan saman terhadap kenderaan asing berpendaftaran Singapura yang memasuki negara ini melalui Tambak Johor dan Lebuhraya Laluan Kedua Malaysia-Singapura (Linkedua) yang masih belum mendaftar atau mengaktifkan Permit Masuk Kenderaan (VEP).

    Menurut beliau, pada dua hari pertama pelaksanaan VEP iaitu mulai 1 Okt lalu, jumlah kenderaan dari repbulik berkenaan yang memasuki Malaysia menerusi Johor dilihat menurun, namun ia kembali normal pada hari ketiga dan seterusnya, laporan Berita Harian.

    “Laporan harian yang diperoleh mendapati jumlah kenderaan Singapura yang masuk ke negara ini melalui laluan darat di Tambak Johor dan Linkedua kembali pulih dan normal sebaik jaminan tiada tindakan saman dikenakan dalam tempoh terdekat.

    “Tindakan penguatkuasaan termasuk saman hanya akan dilakukan secara berfasa dengan notis peringatan dikeluarkan kepada pemilik dan pemandu kenderaan yang belum mendaftar. Kita berikan mereka tempoh lagi untuk memohon sebelum tindakan diambil yang akan diumumkan nanti,” katanya.

    Tambahnya, setakat ini pihak kementerian tidak menetapkan tempoh tertentu untuk melaksanakan penguatkuasaan penuh.

    Walau bagaimana pun, katanya, pemilik kenderaan Singapura diminta supaya segera mendaftar, memasang dan mengaktifkan tag RFID VEP bagi mengelakkan sebarang kesulitan ketika memasuki dan keluar dari Malaysia.

    “Kita menggesa pihak vendor untuk memperbanyakkan lokasi pendaftaran bagi memudahkan lagi permohonan dan mengelakkan kesesakan. Kita tak boleh sediakan lokasi pendaftaran di Singapura kerana pendaftaran ini bidang kuasa kita, melainkan ada kerjasama dengan syarikat di sana, itu biar vendor yang fikirkan,” katanya.

    Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah mengeluarkan data bahawa setakat 30 September 2024, pihaknya telah mengeluarkan 112,658 tag identifikasi frekuensi radio (RFID) VEP kepada kenderaan persendirian dan komersial bernombor pendaftaran Singapura. Daripada jumlah itu, sejumlah 75,412 tag RFID sudah digunakan sejak pelaksanaan VEP di laluan darat Malaysia-Singapura, manakala 37,246 tag lagi masih belum diaktifkan.

     
     
  • Perodua Alza MPV segmen-B terlaris di Malaysia, jauh tinggalkan Mitsubishi Xpander dan Toyota Veloz

    Perodua Alza MPV segmen-B terlaris di Malaysia, jauh tinggalkan Mitsubishi Xpander dan Toyota Veloz

    Berdasarkan data JPJ untuk lapan bulan pertama 2024, Perodua Alza kini mendominasi sepenuhnya pasaran MPV segmen-B di Malaysia dengan mencatatkan pendaftaran sebanyak 28,967 unit antara Januari dan Ogos tahun ini. Ia jauh meninggalkan MPV bukan nasional nombor 1 di Malaysia iaitu Mitsubishi Xpander yang mencatatkan pendaftaran sebanyak 5,902 unit, dan tempat ketiga pula adalah Toyota Veloz dengan pendaftaran sebanyak 4,433 unit.

    Kelebihan bagi Alza generasi kedua ini sudah tentu atas faktor perincian yang banyak dan juga harga yang rendah ditawarkan oleh Perodua. Dilancarkan pada Julai 2022, model ini dibina berasaskan platform generasi baharu Daihatsu New Global Architecture (DNGA) yang jauh lebih moden berbanding versi generasi pertama yang telah dijual selama 13-tahun.

    Dengan enjin 2NR-VE 1.5 liter empat silinder dipadankan bersama kotak gear D-CVT serta pelbagai perincian seperti lampu hadapan LED automatik, enam beg-udara, brek kecemasan automatik dan banyak lagi untuk varian paling asas, Alza dijual pada harga bermula RM62,500 hingga RM75,500.

    Perodua Alza MPV segmen-B terlaris di Malaysia, jauh tinggalkan Mitsubishi Xpander dan Toyota Veloz

    Klik untuk besarkan

    Bagi Toyota Veloz, ia sebenarnya merupakan kembar Perodua Alza dan diproduksi dikilang yang sama iaitu di kilang Perodua Manufacturing Sdn Bhd (PMSB) Sungai Choh. Dengan harga RM20,000 lebih mahal dan dilancarkan tiga bulan lewat selepas Alza, Veloz menerima muka yang berbeza, lampu nyalaan siang LED sebagai ciri standard, ruang roda yang nampak lebih lasak, jarak kelegaan tanah 30 mm lebih tinggi, Android Auto dan Apple CarPlay tanpa wayar, pengecas tanpa wayar, larasan teleskopik pada roda stereng dan pelbagai lagi.

    Data yang dibekalkan oleh JPJ ini hanyalah sehingga bulan Ogos, jadi ia tidak termasuk model facelift Mitsubishi Xpander yang baru dilancarkan bulan lalu. Xpander mula dijual pada 2020 dan ketika itu ditawarkan dengan harga RM92k. Harga tersebut kemudiannya naik dari masa ke masa, tetapi masih mampu kekal sebagai MPV segmen-B paling laris di Malaysia dengan jualan tahunan sebanyak 10,000 unit secara purata.

    Mitsubishi Xpander facelift masih lagi ditawarkan dalam versi pemasangan tempatan (CKD) menerusi kilang di Pekan, Pahang. Ia juga masih menerima enjin 4A91 1.5 liter empat silinder, dan tidak seperti pasaran lain yang telah beralih ke kotak gear CVT, model pasaran Malaysia ini masih kekal menggunakan kotak gear automatik empat kelajuan konvensional.

    Antara pembaharuan yang diberikan pada Xpander facelift tersebut termasuk rombakan rupa pada bahagian muka dan belakang, rim aloi 17-inci, papan pemuka dan roda stereng baharu, penghawa dingin digital, brek parkir elektronik dengan auto-hold, port USB-C dan USB-A pada bahagian belakang perehat tangan hadapan, dan ia kini ditawarkan dalam dua varian berbeza.

     
     
  • Toyota tangguh produksi EV di Amerika Syarikat sehingga 2026 kerana permintaan semakin menurun

    Toyota tangguh produksi EV di Amerika Syarikat sehingga 2026 kerana permintaan semakin menurun

    Toyota sepatutnya akan memulakan produksi model elektrik penuh (EV) di Amerika Syarikat hujung 2025 atau awal 2026, namun disebabkan penjualan model-model dalam segmen tersebut dalam pasaran global kini sedang menurun, rancangan itu akan ditangguhkan sehingga tarikh yang belum ditentukan pada 2026.

    “Kami masih fokus terhadap [kenderaan bateri elektrik] global kami dengan sasaran 1.5 juta menjelang 2026,” kata jurucakap Toyota Scott Vazin kepada BBC News dan menambah bahawa syarikatnya merancang untuk memperkenalkan lima hingga tujuh model EV ke pasaran AS.

    Menurut berita itu lagi pada awal tahun ini Toyota telah mengumumkan bahawa ia melabur sebanyak 1.3 bilion USD pada kilangnya yang terletak di Kentucky untuk membina SUV tiga baris tempat duduk, serta rancangan untuk membina satu lagi kilang EV di Indiana.

    Bagi menyokong pasaran tersebut, Toyota turut mempercepatkan produksi bateri lithium-ion menerusi kilang di Carolina Utara yang dijangka bakal memulakan operasi tahun hadapan, menurut laporan itu lagi.

    Kelembapan dalam jualan EV ini telah menyebabkan banyak pengeluar kenderaan menilai semula strategi mereka. Volvo misalnya yang sebelum ini berikrar untuk hanya menjual model elektrik pada 2030 telah mengubah sasaran tersebut bulan lalu dengan menyatakan masih akan menawarkan model hibrid pada waktu itu.

    Manakala Mercedes-Benz pada Julai lalu telah mengumumkan ia kini membuat pelaburan besar untuk membangunkan semula enjin pembakaran dalaman bagi digunakan pada model-model akan datang.

     
     
  • EON bersedia lancarkan Proton eMas 7 – pratonton eksklusif di bilik pameran Glenmarie tidak lama lagi

    EON bersedia lancarkan Proton eMas 7 – pratonton eksklusif di bilik pameran Glenmarie tidak lama lagi

    EON, yang merupakan kumpulan pengedaran Proton terbesar di Malaysia dengan memiliki tidak kurang daripada 10 cawangan di seluruh negara, kini bersesia untuk melancarkan kenderaan elektrik (EV) pertama nasional, Proton eMas 7.

    Syarikat ini telah pun mewujudkan laman web khusus untuk eMas 7 yang akan datang, di mana pihak yang berminat boleh mendaftarkan minat mereka terhadap SUV elektrik itu.

    Selain itu, EON juga telah mengesahkan bahawa bilik pameran Proton eMas kini sedang dalam kerja-kerja persiapan dan akan dibuka tidak lama lagi di EON Glenmarie, betul-betul bersebelahan pusat pintar 3S sedia ada. Apabila beroperasi kela, ia akan menyertai barisan pengedar automotif EON termasuk Proton, Mitsubishi, Isuzu, Audi, Volkswagen, Daihatsu dan smart.

    EON juga merancang untuk mengadakan pratonton eksklusif Proton eMas 7 menjelang akhir bulan ini, di mana pelanggan yang berminat akan dapat membuat pra-tempah model baharu yang hangat itu. Bahkan memberikan jaminan bahawa anda akan menjadi antara yang pertama menerima penghantaran EV pertama Proton sejurus selepas pelancarannya.

    Proton eMas 7 dirancang akan dilancarkan pada hujung tahun ini dan dijangka menawarkan penjana kuasa yang sama dengan Geely Galaxy E5. Di mana E5 menawarkan motor hadapan tunggal yang mampu menghasilkan 218 PS (160 kW) dan tork 320 Nm, dengan pecutan dari 0 ke 100 km/j dalam 6.9 saat. Ia juga menawarkan dua pilihan bateri iaitu 49.52 kWh dengan jarak gerak 440 km mengikuta kitaran CLTS dan 60.22 kWh yang mampu mencapai hingga 530 km dalam pengecasan tunggal.

    Buat masa ini, ia sedang giat menjalankan ujian tempatan yang meluas menjelang pelancarannya, termasuklah menyemak semula talaan suspensi untuk pasaran Malaysia, yang diawasi oleh pasukan pengendalian Proton. SUV elektrik segmen-C ini juga akan menjalani ujian meredah air sedalam 400 mm yang dilakukan khas untuk pasaran kita, di mana tahap tersebut lebih tinggi berbanding dari E5 sendiri.

    Proton eMas 7 juga bakal dipamerkan di paultan.org Auto Car Expo (ACE) 2024 yang akan berlangsung pada 26-27 Oktober ini di Setia City Convention Centre (SCCC). Di mana buat pertama kalinya, orang ramai boleh melihat sendiri rekaan kabinnya. Tiada bayaran tiket dikenakan. Bagi anda yang berminat dengan EV pertama Proton ini, anda sudah boleh mengisi pendaftaran minat menerusi laman web khas EON ini.

     
     
  • Benda Napoleon Bob 250 dipertonton di Malaysia – masuk pasaran awal tahun hadapan, RM20k-RM25k

    Benda Napoleon Bob 250 dipertonton di Malaysia – masuk pasaran awal tahun hadapan, RM20k-RM25k

    Bersempena dengan pembukaan wakil pengedar MForce Bestshop baru di Ipoh semalam, MForce Bike Holdings Sdn Bhd telah mempertontonkan Benda Napoleon Bob 250, yang dijangka dijual di pasaran awal tahun hadapan pada harga anggaran antara RM20k ke RM25k.

    Napoleon Bob 250 adalah sebuah motosikal berkonsep bobber, dengan menyediakan kedudukan menunggang santai, satu tempat duduk serta rim 18 inci yang dibalut tayar tebal bersaiz 130/80 di hadapan dan 160/70 di belakang.

    Menggerakkan motosikal ini adalah enjin dua silinder V 249 cc penyejukan cecair berkuasa 25 hp pada 9,000 rpm dan 25 Nm pada 5,500 rpm, yang dihantar kepada roda belakang melalui transmisi enam kelajuan dan sistem rantai.

    Bahagian suspensi Napoleon Bob 250 menampilkan keunikan tersendiri dengan di bahagian hadapannya selain terdapat fork teleskopik biasa, terdapat satu lagi sambungan penyerap melintang yang menyediakan pelarasan lantunan di kedua-dua sisi. Di belakang juga terdapat dua penyerap hentak melintang (hanya pelarasan pra beban), dengan sambungan beberapa linkage.

    Memaparkan informasi penting kepada penunggang adalah meter TFT berbentuk bulat, sementara di bahagian keselamatan ia datang dengan ABS dual-channel yang disambungkan kepada brek cakera hadapan dan belakang, serta sistem kawalan cengkaman. Berat keseluruhan Napoleon Bob 250 adalah 182 kg dan ia datang dengan tangki bahan api 9.5 liter.

     
     
  • GAC Aion M8/E9 ditemui di Malaysia – MPV hibrid yang akan datang untuk saing Toyota Alphard/Vellfire?

    GAC Aion M8/E9 ditemui di Malaysia – MPV hibrid yang akan datang untuk saing Toyota Alphard/Vellfire?

    Segmen MPV mewah kini melibatkan banyak saingan termasuk daripada pengeluar China, dengan Zeekr sudah mula membuka tempahan untuk 009 hari ini dan BYD mengesahkan ketibaan Denza D9 ke Malaysia awal tahun hadapan. Tidak lama lagi, GAC juga mungkin menyertai segmen ini kerana pembaca kami, Owen Tan telah menghantar gambar Aion M8 yang ditemui di sini.

    Dijual di China sebagai Trumpchi M8, MPV mewah tiga baris tempat duduk generasi kedua daripada GAC ini didedahkan kali pertama pada September 2022 dan ditawarkan dengan enjin petrol, hibrid dan juga plug-in hybrid (PHEV). Bagi model PHEV, ia mempunyai gaya tersendiri, dengan menggunakan gril jalur melintang, berbanding menegak pada M8 biasa.

    Mencatat ukuran 5,212 mm panjang, 1,893 mm lebar, 1,823 mm tinggi dan jarak antara roda 3,070 mm, M8 secara asasnya lebih besar berbanding Toyota Alphard dan Vellfire, tetapi terletak lebih rendah.

    GAC Aion M8/E9 ditemui di Malaysia – MPV hibrid yang akan datang untuk saing Toyota Alphard/Vellfire?

    Untuk M8 versi petrol di China, ia menggunakan enjin petrol empat silinder 2.0 liter turbo berkuasa 255 PS dan 400 Nm, dihantar kepada roda hadapan oleh transmisi automatik lapan kelajuan. Model hibrid pula melibatkan gabungan enjin sama berkuasa 190 PS dan 320 Nm, dengan sistem daripada Toyota yang termasuk transmisi e-CVT serta motor elektrik 184 PS/270 Nm.

    Versi PHEV yang dipanggil sebagai E9 mendapat enjin petrol turbo 190PS/330 Nm, yang digabungkan bersama motor elektrik 182 PS/300 Nm serta Dedicated Hybrid Transmission (DHT) dua kelajuan. Kuasa keseluruhan yang mampu dihasilkan adalah 373 PS dan 630 Nm, membolehkan ia memecut 0-100 km/j dalam masa 8.8 saat.

    Tenaga penggerak elektriknya datang daripada bateri ternary lithium-ion dengan kapasiti 25.57 kWh, mampu memberikan jarak gerak elektrik sehingga 106 km mengikut kitaran WLTC. Menurut GAC, jarak gerak keseluruhan yang mampu diberikan adalah 1,032 km, manakala penggunaan bahan api pula 6.05 l/100 km. Cas menggunakan AC akan mengambil masa 3.5 jam untuk penuh, manakala DC pula 30 minit.

    Menggunakan susun atur tempat duduk 2-2-3, MPV mewah ini datang dengan tempat duduk kapten di baris kedua dan setiap satunya diberikan dengan skrin sesentuh lima inci. Di hadapan, pemandu disediakan dengan panel instrumen digital 12.3 inci manakala skrin infotainmen di tengah bersaiz 14.6 inci. Bertentangan dengan penumpang hadapan terdapat satu lagi skrin 12.3 inci, sementara penumpang belakang disediakan dengan skrin 15.6 inci di bumbung.

    Kelengkapan yang disediakan pada E9 di China adalah termasuk rim 18 inci, cermin privasi, bumbung panoramik, lampu suasana, tempat duduk baris pertama dan kedua larasan kuasa, pintu but bukaan kuasa, sistem tanpa kunci, kawalan pendingin hawa tiga zon, balutan kulit serta pengecas tanpa wayar.

    Menjalankan fungsi sistem bantuan pemandu Adigo Pilot pada MPV ini adalah pelbagai kelengkapan yang termasuk 10 kamera, 12 radar ultrasonik dan empat radar gelombang, yang memberikan fungsi Autonomous Emergency Braking, Lane Keep Assist, Adaptive Cruise Control dengan Traffic Jam Assist, Blind Spot Monitoring, Rear Cross Traffic Alert, Park Assist dan pemerhati keliling kenderaan.

    GALERI: GAC Trumpchi E9 PHEV

    GALERI: GAC Trumpchi M8

     
     
  • Nissan GT-R R36 perlu dihasilkan oleh orang muda generasi baru, bukan orang lama – Hiroshi Tamura

    Nissan GT-R R36 perlu dihasilkan oleh orang muda generasi baru, bukan orang lama – Hiroshi Tamura

    Tahukah anda bahawa ‘Godfather of Modern Nissan GT-R’ Hiroshi Tamura kini berada di Malaysia? Ini kerana beliau bakal menjadi tetamu acara GT-R Festival yang akan berlangsung di Crowne Plaza Penang Straits City pada 4-6 Oktober ini dan telah pun tiba di Ibu negara semalam. Dengan kesempatan ini, penulis diberi peluang untuk menemuramah beliau oleh pihak penganjur acara tersebut.

    Nissan GT-R R35 sudahpun berada sekitar 16-tahun dalam pasaran, jadi untuk bertanyakan berkenaan model tersebut agak tidak relevan lagi. Jadi penulis membawa perbualan dengan Tamura-san tentang masa depan GT-R dengan bertanyakan beliau berkenaan teknologi elektrifikasi yang dikhabarkan bakal diterapkan pada model tersebut.

    Menurut Tamura-san, beliau tidak boleh menjawab tentang halatuju Nissan pada masa akan datang kerana beliau kini bukan lagi kakitangan tetap Nissan, tetapi merupakan duta Nissan untuk model-model sport seperti GT-R dan Z.

    Bagi yang belum mengetahui, Hiroshi Tamura mula berkhidmat dengan Nissan sebagai jurutera bermula pada tahun 1984. Tiga tahun selepas itu beliau kemudiannya berpindah ke Autech, iaitu subsidiari Nissan yang bertanggungjawab menghasilkan pengubahsuaian terhadap model-model jenama tersebut.

    Nissan GT-R R36 perlu dihasilkan oleh orang muda generasi baru, bukan orang lama – Hiroshi Tamura

    Pada 1993, Tamura-san berpindah semula ke Nissan, kali ini menyertai jabatan perancangan produk untuk model Maxima Cefiro. Beliau kemudiannya menyertai jabatan perancangan produk untuk Skyline GT-R dan terlibat dalam pembangunan R34 GT-R. Hiroshi Tamura dinamakan sebagai Ketua Pakar Produk pada 2006, dan sejak daripada itu beliau lebih dikenali sebagai Bapa GT-R Moden bagi menghormati sumbangannya terhadap pembangunan GT-R R35.

    Tamura bukan hanya dikenali sebagai salah seorang ekskutif Nissan, beliau juga merupakan individu yang dikenali dalam budaya ubahsuai kereta di Jepun. Mempunyai hubungan rapat dengan penala seperti ‘Smokey Nagata’ dari Top Secret, Hiroshi Tamura mempunyai sebuah Nissan GT-R R32 yang dimiliki sejak berumur 35-tahun, ditala bagi menghasilkan kuasa 600 hingga 800 hp.

    Berbalik pada cerita masa hadapan GT-R, Tamura-san menyatakan bahawa buat masa sekarang Nissan sendiri belum mengesahkan sama ada model generasi baharu nanti akan menggunakan enjin pembakaran dalaman sepenuhnya, diberikan unit rangkaian kuasa hibrid elektrik atau akan digerakkan dengan kuasa elektrik sepenuhnya.

    Beliau menyatakan model berkenaan kini masih dalam peringkat memikirkan solusi terbaik berkenaan unit rangkaian kuasa yang akan digunakan kerana ia sangat rumit dan perlu mengambil kira banyak aspek termasuk apa yang akan ditentukan oleh pembuat dasar pada masa hadapan, apa yang pelanggan mahu, keuntungan yang akan dihasilkan oleh syarikat dan banyak lagi.

    Nissan GT-R R36 perlu dihasilkan oleh orang muda generasi baru, bukan orang lama – Hiroshi Tamura

    Jadi model berkenaan mungkin akan muncul sekurang-kurangnya kira-kira lima tahun dari sekarang iaitu sekitar 2028 atau 2029. Buat masa ini Nissan masih belum melakukan apa-apa pembangunan terhadap model tersebut, dan ia masih diperingkat mencari solusi yang paling sesuai untuk menentukan unit rangkaian kuasa yang akan digunakan.

    Jadi Tamura-san menyatakan sekiranya ada mana-mana media menyiarkan berita berkenaan model generasi R36 tersebut, ia hanyalah khabar angin semata-mata. “Saya belum buat apa-apa, Nissan belum buat apa-apa, macam mana anda semua tahu berkenaannya (R36)?,” kata Tamura-san.

    Secara peribadi, Tamura menyatakan bahawa beliau tidak tahu apa yang akan terjadi pada masa hadapan lebih-lebih lagi dengan halatuju pembuat dasar seperti Kesatuan Eropah (EU) yang mahu mengharamkan penjualan kenderaan dengan enjin pembakaran dalaman pada 2035. Tetapi untuk pelanggan buat masa sekarang yang sukakan kereta sport, sudah tentu mereka lebih suka dengan pendekatan ‘petrolhead’ lama dengan faktor seperti enjin pembakaran dalaman, turbo berkembar, bunyi yang dihasilkan dan pelbagai lagi.

    Dan sebab itulah mengapa Nissan Z generasi baharu masih menerima enjin V6 dengan dua pengecas turbo tanpa sistem hibrid, kerana ini adalah permintaan dari pelanggan buat masa sekarang, jelas Tamura.

    Nissan GT-R R36 perlu dihasilkan oleh orang muda generasi baru, bukan orang lama – Hiroshi Tamura

    Namun teknologi lama ini mungkin tidak lagi akan ada pada masa hadapan atas pelbagai faktor sama ada untuk melindungi bumi atau untuk mengikut halatuju pembuat dasar atas sebab-sebab yang politikal. Oleh itu secara jujur, Tamura-san enggan menjawab apa-apa berkenaan GT-R untuk masa hadapan, kerana ini bukan lagi perkara yang membabitkan generasi yang telah bersara sepertinya, sebaliknya adalah tugas generasi baharu untuk menghasilkannya mengikut keadaan semasa.

    Dalam sesi pertemuan ini, Tamura-san turut berkongsi sebuah buku meja kopi yang dihasilkan oleh jabatan pemasaran Nissan atas permintaannya. Dalam buku berkenaan penuh dengan gambar-gambar serta maklumat berkenaan Nissan GT-R R35 serta sejarahnya. Namun di muka surat terakhir buku berkenaan, Tamura-san mahukan gambar seorang kanak-kanak yang bermain dengan kereta main GT-R, dan ini adalah mesej beliau bahawa masa hadapan GT-R adalah bergantung kepada generasi muda seterusnya, dan ia semua bermula dari impian kanak-kanak.

    “Jika model generasi baharu ini nanti muncul pada tahun 2030, saya ketika itu sudah berumur 70-tahun. Jadi orang muda, ini tugas anda,” katanya. Tamura-san turut menyatakan beliau telah diminta untuk mengajar jurutera generasi baharu untuk menghasilkan kereta sports baharu Nissan, namun beliau menolak kerana pada pendapatnya nasihat dari orang dari generasi terdahulu mungkin akan merosakkan generasi seterusnya kerana ia tidak berada dalam zaman yang sesuai.

    Nissan GT-R R36 perlu dihasilkan oleh orang muda generasi baru, bukan orang lama – Hiroshi Tamura

    Tamura-san turut memberitahu bahawa beliau sendiri hanya melihat model konsep Nissan Hyper Force Concept yang digambarkan sebagai GT-R masa hadapan ketika ia didedahkan kepada umum di Japan Mobility Show 2023, dan tidak menerima undangan untuk melihatnya lebih awal serta memberikan pendapatnya ketika ia sedang dibangunkan.

    Beliau menyifatkan model konsep yang diilhamkan dari kereta lumba Nissan Skyline RS Silhouette Formula yang pernah dipandu oleh Masahiro Hasemi tersebut sebagai ‘pelik’ ketika pertama kali melihatnya, tetapi tidak menyatakan bahawa ia adalah cantik atau hodoh kerana menghormati idea berkenaan.

    Ini kerana perasaan ‘pelik’ itu sebenarnya sudahpun dirasai pada model-model sebelum ini. “Saya dah tua, saya dah berumur 62-tahun. Semasa saya muda, ketika model generasi R32 diperkenalkan, ia menerima reputasi yang cukup buruk (dari orang ramai kerana bentuk yang pelik). Tetapi sekarang, ia adalah legenda kan?” kata Tamura yang menyatakan ketika itu ramai yang berharap R32 tampil dengan rupa seperti model lebih lama iaitu GT-R generasi pertama, KPGC10 Hakosuka.

    Nissan GT-R R36 perlu dihasilkan oleh orang muda generasi baru, bukan orang lama – Hiroshi Tamura

    “Saya juga hasilkan model konsep GT-R generasi R35 sedia ada, ‘ini pelik Tamura-san, kami tak suka enjin V6 dan bla bla bla, ia mesti enjin enam-silinder sebaris’, begitu banyak rungutan datang dari pihak pemasaran,” katanya dan menyambung “ketika itu konsep berkenaan pelik, tapi sekarang ia rekaan yang hebat”.

    Bagi acara GT-R Festival yang berlangsung di Pulau Pinang hujung minggu ini, ia turut akan membuat percubaan mencatatkan rekod dalam Malaysia Book of Records sebagai perhimpunan GT-R terbesar di Malaysia pernah diadakan. Ia juga sebenanrnya merupakan ‘acara pemanas’ sebelum berlangsungnya Tokyo Auto Salon Kuala Lumpur (TASKL) 2024 yang akan berlangsung di Pusat Pameran & Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), bermula 8 hingga 10 November ini.

    Anda kini sudah boleh membeli tiket TASKL 2024 secara atas talian menerusi laman web rasmi mereka, dan dengan menambah RM28 anda layak untuk menyertai cabutan bertuah yang menawarkan hadiah sebuah Honda Civic Type R FK8.

     
     
  • JPJ eBid: Siri JXL dan QS_V sedia untuk dibida

    Bagi yang memerlukan, siri nombor pendaftaran terkini dari Johor dan Sarawak yang bersedia untuk dibida menerusi platform dalam talian, JPJ eBid.

    Menurut Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), siri nombor pendaftaran terkini dari Johor, JXL sudah pun dibuka bidaan mulai hari ini, 4 Oktober. Bidaannya akan berakhir jam 10 malam pada 8 Oktober. Keputusannya akan dikeluarkan sehari selepas bidaan ditutup iaitu pada 9 Oktober 2024. Keseluruhan proses kini secara dalam talian, dan pembida akan menerima berita baik (atau buruk) menerusi e-mel.

    Manakala siri nombor pendaftaran terkini Sarawak, QS_V, bakal dibuka bidaan mulai 7 Oktober 2024. Tempoh bidaannya berlangsung selama lima hari dan akan ditutup pada 11 Oktober, tepat jam 10 malam. Seperti biasa, keputusannya akan keluar pada keesokan harinya, 12 Oktober 2024.

    Disebabkan sekarang ini banyak urusan yang boleh dibuat secara dalam talian, jadi kalau nak dapatkan nombor pendaftaran kenderaan terkini, anda boleh lakukan sendiri tanpa menggunakan khidmat pihak ketiga (termasuk runner), malah boleh menjimatkan kos serta masa. Anda boleh rujuk artikel kami sebelum ini berkenaan dengan JPJ eBid termasuk cara-cara yang diperlukan untuk membida nombor pendaftaran yang diingini.

     
     
  • Toyota Alphard, Vellfire 2024 di Malaysia; dari RM438k

    Toyota Alphard, Vellfire 2024 di Malaysia; dari RM438k

    Berikut merupakan galeri penuh bagi Toyota Alphard 2024 yang diperkenalkan sekali bersama Vellfire 2024 pada Oktober 2023 untuk pasaran tempatan. Kedua-dua MPV mewah ini dijual dengan jurang harga yang agak ketara di antara mereka, mencecah RM100k perbezaannya. Alphard 2024 dijual dengan harga RM538,000, manakala Vellfire 2024 dengan harga RM438,000 — kedua-duanya harga atas jalan belum termasuk insurans.

    Alphard generasi keempat untuk pasaran Malaysia ini dilengkapi dengan enjin baru T24A- FTS 2.4 liter pengecas turbo intercooler Dual VVT-i empat-silinder sebaris, yang menggantikan unit terdahulu 2GR-FE 3.5 liter. Enjin baru ini memberikan janaan sebanyak 278 PS (205 kW) pada 6,000 rpm, dengan tork 430 Nm antara 1,700 hingga 3,600 rpm — torknya melibatkan peningkatan sebanyak 19.1% atau 69 Nm berbanding yang lama.

    Padanan penjana kuasa ini membolehkan Alphard 2.4T Executive Lounge mencapai kelajuan maksimum 180 km/j, dengan kadar penggunaan bahan apinya sekitar 9.0 liter bagi setiap 100 km. Sistem suspensinya pula memanfaatkan jenis MacPherson strut dengan penstabil untuk bahagian depan dan jenis double wishbone dengan penstabil di bahagian belakang.

    Toyota Alphard, Vellfire 2024 di Malaysia; dari RM438k

    Toyota Alphard 2.4T Executive Lounge ini mempunyai ukuran 5,010 mm panjang, 1,850 mm lebar, 1,950 mm tinggi dengan jarak rodanya mencecah 3,000 mm, dengan ketinggian dari permukaan tanah 158 mm.

    Wajah hadapan Alphard 2.4T Executive Lounge tampil lebih garang dengan lampu utama baru dengan rekaan agak nipis, dengan unit LED yang disambungkan dengan lampu membelok, lampu sudut dan lampu nyalaan siang. Umpama rekaan tiga-dimensi, lampu utama dengan konsep ‘Tri-LED headlamp’ berkenaan disambungkan juga secara terus dengan gril yang besar dengan paten ala berlian kemasan krom.

    Jalur krom turut merentangi bahagian sisi, dari panel atas tingkap hadapan bersambung ke tingkap belakang. Penampilan elegannya ditambahkan dengan rim aloi ringan rekaan baharu 10-jejari bersaiz 19-inci yang dibaluti tayar Michelin Primacy 225/55 R19.

    Toyota Alphard, Vellfire 2024 di Malaysia; dari RM438k

    Di belakang, jalur krom dari sisi juga menghiasi spoiler. Kemasan yang sama juga ditammpilkan pada atas lampu kombinasi belakang LED dengan logo Toyota dan perkataan Alphard di bahagian tengah sebelum plat nombor. Perkataan Executive Lounge pula ditempatkan di bahagian sisi kiri bawah.

    Ciri luaran lain yang turut diberikan untuk Alphard 2.4T Executive Lounge termasuklah unit LED bagi lampu kabus hadapan dan belakang serta bilah pengelap cermin hadapan automatik dengan penderia hujan.

    Di dalam, ia menggabungkan kemasan kulit dan urat kayu, berserta dengan dua bumbung kaca panorama tetap yang mewujudkan suasana kemewahan. Kokpit pemandu direka dengan teliti bagi memberikan akses mudah kepada suis dan kawalan mekanikal. Tempat duduknya juga lebih lebar dan lebih selesa jika dibandingkan dengan Vellfire. Dengan balutan kulit Premium Nappa, tempat duduk pemandu, penumpang hadapan dan barisan kedua turut dilengkapi dengan sistem pemanasan dan pengudaraan, serta fungsi urutan eksklusif.

    Tempat duduk pemandu diberikan larasan kuasa lapan-arah dengan fungsi memori, manakala empat-larasan kuasa bagi tempat duduk penumpang hadapan. Istimewa untuk barisan pertama, ia diberikan tempat duduk Executive Lounge VIP dengan beberapa fungsi khas termasuk kawalan remote ala telefon pintar dengan panel pelbagai-operasi, perehat tangan dengan VIP Large Type, sistem walk-in larasan kuasa, meja kecil dengan cermin vanity dan ottoman. Untuk barisan ketiga pula, tempat duduknya boleh dipisahkan dengan nisbah 50:50 bagi menambahkan ruang penyimpanan barangan di belakang.

    Alphard 2.4T Executive Lounge juga ditampilkan dengan paparan head-up unit (HUD) baharu TFT warna penuh bersaiz 12.3-inci, Paparan Pelbagai Informasi (MID) skrin sesentuh 14-inci dengan fungsi paparan audio, dan ketersambungan Apple CarPlay dan Android Auto. Ia juga diberikan roda stereng tilt & telescopic balutan kulit dengan kemasan kayuan yang disertakan bersama suis elektrostatik.

    Teknologi Touch Tracer juga ditampilkan bagi memudahkan pemandu melihat informasi penting kenderaan menerusi paparan, dengan pergerakan mata yang minimal. Hanya perlu tekan perlahan mana-mana butang kawalan pada roda stereng dan fungsi diagram akan muncul pada paparan digital kluster instrumen.

    Toyota Alphard, Vellfire 2024 di Malaysia; dari RM438k

    Buat pertama kalinya, Toyota memperkenalkan rocker switch pada pemegang pintu untuk lebih memudahkan operasi mengaktifkan bukaan pintu, hanya tolak ke kiri atau kanan suis terbabit untuk membuka atau menutup pintu. Pintu tailgate juga boleh dibuka secara kawalan remote, selain bukaan secara manual dan suisnya terletak pada sisi lampu belakang, bagi mengelakkan individu yang membuka pintu tersebut berdiri betul-betul di hadapan tailgate dan perlu beralih ke tepi atau berganjak lebih belakang apabila tailgate mula dibuka.

    Bagi perincian lanjut berkaitan Toyota Alphard Executive Lounge 2024 ketika pelancarannya, boleh dibaca lanjut di sini. Sementara itu, bagi galeri penuh Vellfire 2024 pula ada di sini.

    Toyota Alphard vs Vellfire 2024 di Malaysia

    Toyota Alphard Executive Launch 2024

     
     
  • Proton eMas 7 tempuh 2,000 km pusing seluruh negara

    Proton eMas 7 tempuh 2,000 km pusing seluruh negara

    Proton eMas 7 yang bakal dilancarkan nanti kini sedang dalam rangka jelajah keliling negara, melibatkan jarak perjalanan sejauh 2,000 km dan akan dilepaskan esok, 5 Oktober dan akan melalui semua negeri di negara ini.

    Menurut Proton, SUV elektrik yang akan diperkenalkan ini sedang dalam fasa akhir ujian untuk menyesuaikannya kepada keperluan penggunaan di Malaysia. Dengan jolokan “e.Mas 7 Tour”, kembara ini adalah lanjutan daripada perjalanan Geely Galaxy E5 sebelum ini, yang menempuh jarak 3,700 km dari Guiyang, China ke Malaysia.

    Kini giliran kembarnya untuk meneruskan cabaran tersebut: Proton eMas 7 akan melalui jalan tempatan dan akan membuat persinggahan untuk menikmati antara lain makanan tempatan yang ada, bermula dari Negeri Sembilan dan berakhir di Sarawak pada 29 November nanti.

    Bahagian pertama bagi eMas 7 Tour ini akan melibatkan laluan bermula dari Pusat Kecemerlangan Proton di Shah Alam menuju Negeri Sembilan, Melaka dan Johor. Perjalanan ini juga akan melibatkan hentian di pusat pengecasan dan lokasi makanan popular yang membolehkan orang awam untuk melihat model berkenaan dari dekat.

    Proton eMas 7 tempuh 2,000 km pusing seluruh negara

    “Proton eMas 7 Tour ini merupakan permulaan bagi perjalanan mengujakan jenama ini, yang membawakan model EV pertama kami dengan rekaan yang menonjol serta memberi ruang untuk kami mempamerkan perkembangan teknologi dan inovasi yang telah dilakukan,” jelas CEO Pro-Net, Zhang Qiang yang turut menguruskan jenama smart di sini.

    Siri jelajah eMas 7 ini akan turut menampilkan seorang pengacara, dan di setiap negeri, individu terkenal tempatan akan menyertai kembara ini di lokasi makan popular untuk acara mesra pengunjung. Kembara ini juga akan membuat lawatan ke cawangan pengedar eMas dan pembikinan kandungan digital.

    Bagi Lembah Kelang, Proton eMas 7 akan dipamerkan di paultan.org ACE 2024 yang akan berlangsung di Pusat Persidangan Setia City (SCCC) pada 26-27 Oktober 2024. Ruang kabin EV berkenaan juga akan ditunjuk buat pertama kali di sana.

     
     
  • Tidak patuhi teknikal termasuk culas selenggara antara punca kemalangan babit kenderaan komersil

    Tidak patuhi teknikal termasuk culas selenggara antara punca kemalangan babit kenderaan komersil

    Kemalangan yang membabitkan kenderaan komersil seakan sukar untuk dibendung kerana ada syarikat terbabit yang gagal mematuhi aspek teknikal yang ditetapkan. Ini termasuklah culas menyelenggara kenderaan, sekaligus menjadi antara punca kemalangan membabitkan kenderaan komersil itu, kata Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Aedy Fadly Ramli.

    Jelas beliau, apabila berlaku kemalangan, pihaknya akan menjalankan Pemeriksaan dan Audit Keselamatan (JISA) ke atas kenderaan terbabit, laporan Berita Harian.

    “Daripada audit JISA yang kita jalankan, kebanyakan kenderaan itu tidak mematuhi aspek teknikal yang sepatutnya dibenarkan. Ini mungkin disebabkan kurangnya penyelenggaraan pada kenderaan itu sendiri. Tetapi dari segi pemanduan, kebanyakan pemandu mempunyai skil dan terlatih, namun ada pemandu yang mempunyai pelbagai saman tertunggak dan pelbagai kesalahan lain termasuk penyalahgunaan dadah,” katanya.

    Tidak patuhi teknikal termasuk culas selenggara antara punca kemalangan babit kenderaan komersil

    Berkenaan dengan Op Khas Kenderaan Perdagangan di seluruh negara bermula 1 hingga 31 Oktober ini, Aedy berkata, setakat ini sebanyak 8,701 notis saman dikeluarkan sepanjang operasi berkenaan dengan 32,178 kenderaan diperiksa dalam tempoh tiga hari pelaksanaan operasi terbabit. Ia melibatkan 12,282 kenderaan barangan, 1,274 (perkhidmatan awam) dan lain-lain kenderaan (18,622).

    “Fokus utama operasi untuk tindakan tegas terhadap pemandu atau pemilik kenderaan perdagangan yang gagal mematuhi peraturan ditetapkan mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) dan Kaedah-Kaedah di bawahnya, Akta Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan 1987 (Akta 334) dan Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (Akta 715).

    “Operasi ini juga bagi mengesan kesalahan dilakukan kenderaan perdagangan terutama yang melebihi muatan susulan kes kemalangan maut membabitkan lori. Kesalahan paling banyak direkodkan berkaitan notis JPJ (P) 22 atau teknikal (6,430), arah periksa Seksyen 61 (1) (990 notis) dan kira-kira 339 notis bagi arah timbang (Seksyen 63(3) untuk kenderaan melebihi muatan serta lain-lain,” katanya.

    Operasi khas ini turut dijalankan dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Agensi Antidadah Kebangasaan (AADK).

     
     
  • BYD Seal kekal EV paling laris di Malaysia mengatasi Tesla Model 3 – BYD, Tesla kuasai tempat lima teratas

    BYD Seal kekal EV paling laris di Malaysia mengatasi Tesla Model 3 – BYD, Tesla kuasai tempat lima teratas

    Merujuk kepada data pendaftaran kenderaan JPJ yang terbaru, BYD Seal terus menjadi kenderaan elektrik (EV) paling laris di Malaysia dari bulan Januari ke Ogos 2024. Dalam tempoh lapan bulan pertama 2024 ini, 2,267 buah Seal didaftar, mengatasi 2,217 Atto 3 dan 1,978 unit Tesla Model 3.

    Mengikuti rapat selepas itu adalah Tesla Model Y, dengan jumlah 1,851 unit (sebelum ini berada di hadapan Model 3), manakala BYD Dolphin masih di tempat kelima dengan catatan 1,119 unit. Boleh dilihat di sini, lima tempat teratas adalah milik BYD dan Tesla, dengan keseluruhannya 5,603 unit untuk BYD dan 3,829 unit untuk Tesla.

    Namun, melihat kepada bulan Ogos sahaja, Tesla Model 3 adalah EV paling laris dengan catatan 379 unit, mengatasi BYD Atto 3 (227 unit), Seal (205 unit) dan Dolphin (101 unit). Tesla Model Y hanya terjual sebanyak 57 unit pada bulan Ogos, dan ini mungkin kerana ramai yang menunggu untuk versi facelift Juniper. MINI Countryman SE yang baru dilancarkan Mei lalu mula mendapat sambutan dan berjaya dijual sebanyak 87 unit.

    Kembali kepada jumlah untuk bulan Januari ke Ogos, Omoda E5 yang merupakan satu-satunya EV Chery kekal berada di tempat keenam dengan jualan 471 unit, dan 42 daripadanya terjual dalam bulan Ogos. Untuk tempat ketujuh dan kelapan, ia melibatkan gabungan dua model, iaitu masing-masing Ora Good Cat dan 07, dan smart #1 dan #3. Ini kerana data yang dikeluarkan hanya menamakan mereka sebagai ‘Ora’ dan ‘Brabus’.

    Seterusnya, MG4 EV yang dilancarkan Mac lalu kini mencatat jualan 353 unit bagi lapan bulan pertama tahun ini, sementara pengeluar yang mempunyai model paling banyak dalam senarai 20 teratas adalah BMW – i5 (293 unit), iX2 (253 unit), i4 (186 unit), i7 (177 unit) dan iX (169 unit).

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (-0.04)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.90 (-0.04)
EURO 5 B7 RM3.10 (-0.04)
Last Updated Aug 14, 2025