Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Mercedes-Benz Actros, Arocs 2024 tiba di Malaysia – kini dengan enjin Euro 5, boleh guna biodiesel B30

    Mercedes-Benz Actros, Arocs 2024 tiba di Malaysia – kini dengan enjin Euro 5, boleh guna biodiesel B30

    Sementara Malaysia masih lagi menggunakan tahap emisi Euro 4 untuk kenderaan baru, Hap Seng Trucks Distribution (HSTD) telah melangkah lebih ke hadapan dengan memperkenalkan Mercedes-Benz Actros baru, yang datang dengan enjin Euro 5. Acara pelancarannya turut melibatkan pengenalan Arocs yang lebih fokus kepada offroad untuk pasaran Malaysia, dan juga datang dengan enjin lebih mesra alam.

    Secara keseluruhannya ada tiga varian untuk Actros dan dua varian untuk Arocs. Bagi Actros, varian permulaan Actros 2033 4×2 digerakkan oleh enjin diesel turbo enam silinder sebaris 10.7 liter berkuasa 326 PS pada 1,600 rpm dan tork 1,700 Nm pada 1,100 rpm, manakala varian 2640 6×2 di atasnya ditingkatkan kepada 394 PS dan 1,900 Nm. Mereka yang memerlukan lebih kuasa boleh mendapatkan varian 2645 6×2, yang menggunakan enjin OM471 12.8 liter dengan kuasa 449 PS dan tork 2,200 Nm.

    Mercedes mendakwa, enjin baru ini dapat memberikan pengurangan penggunaan bahan api sehingga tujuh peratus berbanding enjin Euro 3 sebelum ini. Kedua-dua kabin ClassicSpace L-cab dan StreamSpace yang lebih tinggi ada disediakan untuk Actros, dengan StreamSpace disediakan sebagai pilihan untuk model 2640 dan diberikan secara standard untuk 2645. Berat GCW keseluruhan adalah 44 tan untuk 2033, dan 68 tan untuk varian lain.

    Arocs yang disasarkan untuk penggunaan di atas jalan tidak berturap hanya disediakan dalam versi 6×4 dengan kabin ClassicSpace, dengan varian 3340 menggunakan enjin OM470 394 PS (GCW 80 tan) dan 3348 dipertingkat dengan enjin OM471 berkuasa 476 PS/2,300 Nm (GCW 120 tan). Semua enjin ini dipadankan bersama transmisi manual automatik Powershift 3, dengan 12 kelajuan untuk Actros dan 16 kelajuan untuk Arocs.

    Actros dan Arocs mendapat penarafan Euro 5 melalui penggunaan Selective Catalytic Reduction (SCR) AdBlue, yang menyuntikkan aqueous urea ke dalam ekzos untuk mengurangkan pembebasan nitrous oksida. Semua enjin boleh menggunakan biodiesel B30, yang mahu diperkenalkan oleh kerajaan menjelang tahun 2030. Selang masa servis masih tidak berubah dan boleh mencecah sehingga 55,000 km.

    Selain perubahan enjin, rupa Actros ini kebanyakannya masih lagi sama, kecuali lampu DRL LED berbentuk kening yang kini diberikan secara standard. Anda juga boleh memilih logo Mercedes-Benz berlampu serta rekaan bampar dengan bucu besi yang dapat mengurangkan risiko kerosakan dan merendahkan kos baik pulih berbanding bampar plastik.

    Arocs pula dapat dikenali melalui penggunaan pelindung lampu serta pemijak kaki lebih besar, dengan tapak getah. Trak ini juga datang dengan sistem engine braking prestasi tinggi yang boleh memberikan tambahan kuasa henti sehingga 130 kW (176 PS) berbanding biasa.

    Pada bahagian lain, suspensi telah dinaik taraf dengan spring belakang parabolic kegunaan berat (berbanding suspensi udara Actros), serta penyerap dan anti-roll bar yang ditala semula. Turut disediakan adalah gandar belakang planetary, yang dapat memberikan GCW lebih tinggi bagi Arocs, berbanding Actros yang menggunakan gandar hyphoid.

    Mercedes-Benz Actros, Arocs 2024 tiba di Malaysia – kini dengan enjin Euro 5, boleh guna biodiesel B30

    Masuk ke dalam Actros dengan enjin 10.7 liter baru kini lebih mudah hasil daripada lantai yang 279 mm lebih rendah, sementara papan pemuka untuk kedua-dua Actros dan Arocs tidak berubah. Daripada aspek keselamatan, trak ini boleh didapati dengan Autonomous Emergency Braking, Lane Keeping Assist dan Driver Attention Monitor.

    Sistem telematik Trac360 diberikan secara standard untuk Actros dan Arocs, dengan HSTD mendakwa ia dapat membenarkan pengguna serta pengurus perniagaan untuk meningkatkan penggunaan kenderaan mereka. Sistem ini dapat mengesan lokasi trak serta jalan yang dilalui untuk memahami tingkah laku pemandu dan memberi bantuan jika kenderaan dicuri.

    GALERI: Mercedes-Benz Actros 2033 4×2 ClassicSpace

    GALERI: Mercedes-Benz Actros 2640 6×2 ClassicSpace

     
     
  • MyDigital ID untuk log masuk MyJPJ dibatalkan – pengguna boleh akses aplikasi JPJ itu seperti biasa

    MyDigital ID untuk log masuk MyJPJ dibatalkan – pengguna boleh akses aplikasi JPJ itu seperti biasa

    Sejak semalam ramai rakyat Malaysia merungut kerana ‘gagal’ untuk mendaftar aplikasi MyDigital ID yang diperlukan untuk log masuk aplikasi MyJPJ. Malah sistem aplikasi MyDigital ID seakan tidak ‘padu’ dan ‘tergendala’ dalam tempoh waktu yang agak lama untuk menyudahkan proses pendaftaran.

    Ekoran ‘kelemahan’ MyDigital ID, lewat petang ini, Menteri Pengangkutan (MoT) Anthony Loke mengumumkan bahawa integrasi aplikasi itu dengan MyJPJ yang sepatutnya bermula 10 Oktober ini dibatalkan buat masa ini. Bernama melaporkan, Loke turut berkata, kini orang ramai boleh mengakses aplikasi MyJPJ seperti biasa.

    Menurut beliau lagi, arahan yang dikeluarkan menerusi paparan ‘pop-uo’ di aplikasi MyJPJ sebelum ini bukanlah arahan rasmi yang dikeluarkan oleh kementeriannya. Malah, katanya lagi, maklumat yang disalurkan menerusi ‘pop-out’ itu mungkin telah mengelirukan orang ramai. Justeru, paparan terbabit telah pun ‘dibuang’ bagi mengelakkan orang ramai terus keliru.

    Tambah beliau, walau bagaimana pun, kementeriannya menyokong penggunaan MyDigital ID namun proses pengintegrasian dengan aplikasi MyJPJ perlu dibuat secara ‘back-end’, supaya ia tidak memberi apa-apa masalah kepada pengguna.

    Sejak semalam, terdapat paparan di aplikasi MyJPJ, log masuk tunggal menggunakan MyDigital ID akan dikuatkuasakan bermula 10 Oktober ini. Di mana MyDigital ID boleh digunakan sebagai kaedah log masuk untuk perkhidmatan dalam talian. Kaedah log masuk tunggal bererti penggunaan log masuk yang boleh digunakan untuk semua perkhidmatan dalam talian tanpa memerlukan nama pengguna dan kata laluan selain MyDigital ID.

    Walau bagaimana pun, menjenguk laman Facebook JPJ Melaka yang memuat naik entri malam ini, yang mengajak orang ramai mendaftar MyDigital ID secara terus di cawangannya di mana kaunter pendaftaran dibuka sehingga 30 Okt ini. Namun apabila ramai netizen yang memaklumkan perkara ini telah dibatalkan oleh MOT, admin JPJ Melaka ternyata beria-ia ‘mempertahankan’ aplikasi ini termasuk berkata “…cuma jangan menyesal kalau tak daftar…” Perkara ini dilihat sangat mengelirukan orang ramai kerana kenyataan yang ‘bertindan’ antara yang dikeluarkan oleh Loke dan pihak JPJ sendiri. Apa pun kita nantikan kenyataan rasmi (sekiranya ada) dari pihak JPJ sendiri.

     
     
  • Harga minyak 3-9 Okt – Semuanya masih dikekalkan

    Harga minyak 3-9 Okt – Semuanya masih dikekalkan

    Kementerian Kewangan (MOF) mengumumkan bahawa bagi minggu bertarikh 3 hingga 9 Oktober 2024, harga runcit bagi ketiga-tiga bahan api utama dikekalkan. Di mana harga diesel untuk Semenanjung dikekalkan pada RM2.95 seliter. Begitu juga harga diesel untuk Sabah dan Sarawak masih dikekalkan pada RM2.15 seliter.

    Manakala untuk tempoh yang sama, petrol RON 97 juga dikekalkan pada harga RM3.19 seliter. Ini termasuk juga dengan harga runcit bagi RON 95 yang telah mencapai harga siling masih dikekalkan pada paras RM2.05 seliter.

    Pertengahan Julai lalu, Kementerian Ekonomi berkata, buat masa ini, kerajaan masih meneliti dan menilai semula subsidi dan bantuan yang diberikan kepada rakyat termasuk petrol RON95.

    “Kerajaan juga sedang meneliti keperluan pelaksanaan rasionalisasi subsidi ke atas petrol RON95. Walau bagaimanapun, buat masa ini, tumpuan dan keutamaan akan diberikan kepada pelaksanaan subsidi diesel sehingga penyasaran subsidi diesel menjadi stabil, sekaligus mencapai objektif yang ditetapkan.
    Kerajaan pada masa ini masih meneliti dan menilai semula subsidi dan bantuan yang diberikan kepada rakyat, termasuk petrol RON95,” katanya.

     
     
  • Trak pikap EV Riddara RD6 dari Geely sudah boleh ditempah di Thailand – RM172k, dilancar Nov 2024

    Trak pikap EV Riddara RD6 dari Geely sudah boleh ditempah di Thailand – RM172k, dilancar Nov 2024

    Selepas mengumumkan kedatangannya ke Thailand Julai lalu, Riddara, iaitu nama pasaran global untuk jenama Radar dari Geely kini mengumumkan bahawa pra-tempahan untuk trak pikap EV RD6 yang bakal dilancarkan di sana pada November nanti sudahpun dibuka.

    Bagi pelanggan terawal di Thailand yang menempah trak pikap ini akan menerima kadar faedah pembiayaan lebih rendah dan juga pengecas rumah secara percuma. Menurut portal automotif Thailand Headlightmag yang mendedahkan ‘Eco Sticker’ model ini, RD6 akan dijual pada harga 1.349 juta baht (RM171,757) dan menampilkan jarak gerak 455 km untuk satu cas penuh bateri.

    Jenama Riddara bukan hanya akan digunakan pada trak pikap ini, malah untuk semua model dibawah jenama Radar yang dieksport keluar dari China. Menurut laman CarExpert, nama tersebut terpaksa ditukar kerana permohonan Geely untuk mendapatkan tanda dagang gagal disebabkan nama “Radar” telah digunakan oleh syarikat tayar dari Singapura, Omni United yang telah memegang hak untuk jenama Radar Tires.

    RD6 merupakan trak pikap yang dihasilkan dari Multiplex Attached Platform (MAP), iaitu platform yang diasaskan dari platform Sustainable Experience Architecture (SEA). Ia diperkenalkan sejak November 2022 dalam versi motor tunggal pacuan roda belakang, kemudian turut ditawarkan dalam versi dua motor pacuan semua roda pada awal tahun ini.

    Ia dihasilkan dengan dimensi 5,260 mm panjang, 1,900 mm lebar, 1,830 mm tinggi serta jarak roda sejauh 3,120 mm. Jadi trak pikap EV ini sebenarnya mempunyai saiz yang hampir sama dengan Toyota Hilux yang tampil dengan dimensi 5,325 mm panjang, 1,900 mm lebar, 1,815 mm tinggi dan jarak roda 3,085 mm.

    Rupa keseluruhan Radar RD6 ini dihasilkan oleh pusat rekaan Geely Group Britain, memberikan ‘perisa British’ pada trak pikap ini. Pada bahagian muka, ia diberikan lampu hadapan yang kelihatan agak sama dengan lampu dari SUV Geely Haoyue/Proton X90, tetapi digandingkan dengan gril hadapan yang lebih kecil.

    Untuk Riddara RD6 pasaran Thailand, ia mungkin hanya ditawarkan hanya dalam versi pacuan roda belakang. Untuk versi ini ia menerima motor tunggal berkuasa 272 hp (200 kW) dan tork maksima 384 Nm diletakkan pada gandar belakang, memberikan pecutan 0-100 km sekitar 6 saat. Kalau anda perasan, angka kuasa yang dihasilkan sebenarnya sama dengan smart #1, jadi ia mungkin barkongsi unit rangkaian kuasa yang sama.

    Motor berkenaan disuap dengan kuasa elektrik yang dibekalkan dari bateri LFP 63 kWj untuk varian asas, dan juga bateri NMC 86 kWj untuk varian lebih tinggi. Pilihan bateri ini memberikan jarak gerak 385 hingga 517 km berdasarkan kitaran ujian CLTC di China.

    Ia boleh dicas dengan sistem AC 7 kW yang boleh memenuhkan bateri dari 20 hingga 100% dalam masa 7.9 hingga 11 jam, manakala dengan pengecas pants DC (maksimum 120 kW) cas dari 30 hingga 80% boleh dipenuhkan dalam 30 minit untuk bateri 63 kWj dan 32 minit untuk bateri 86 kWj. Fungsi vehicle-to-load (V2L) 6 kW juga diberikan membolehkan ia memberikan kuasa kepada pelbagai kelengkapan elektrik.

    Walaupun pasaran EV sedang berkembang di Thailand buat masa sekarang, dan negara itu memang terkenal dengan penggunaan trak pikap yang meluas, masih belum ada lagi trak pikap EV dijual di sana. Oleh itu Riddara RD6 ini mungkin akan menjadi trak pikap EV pertama masuk ke pasaran Thailand selepas ia dilancarkan kelak.

     
     
  • Mitsubishi Outlander PHEV 2025 didedah – bateri 22.7 kWh, rekaan dan kelengkapan diberi peningkatan

    Mitsubishi Outlander PHEV 2025 didedah – bateri 22.7 kWh, rekaan dan kelengkapan diberi peningkatan

    Mitsubishi telah memperkenalkan Outlander PHEV generasi keempat, yang akan dijual di Jepun tidak lama lagi, diikuti pasaran 20 negara Eropah. Selain daripada itu, versi bukan PHEV juga diberitahu akan diberi peningkatan pada tahun hadapan, dengan versi kedua-dua penggerak ini akan ditawarkan di pasaran Amerika Syarikat, Australia dan New Zealand.

    Perubahan paling ketara adalah pada penggerak Outlander PHEV, yang telah dipertingkat dengan bateri berkapasiti 22.7 kWh – sebelum ini 20 kWh. Menurut Mitsubishi, jarak gerak elektrik model ini telah naik menjadi 86 km, mengikut kitaran WLTP.

    Pek bateri yang lebih besar ini juga dapat memberikan kuasa berterusan 108% lebih tinggi berbanding sebelum ini, hasil daripada rintangan dalam bateri yang sudah berkurang. Sistem penyejukan yang lebih baik pula membenarkan bateri ini untuk mengeluarkan potensi penuhnya, manakala sistem pam haba memastikan penggunaan yang lebih lama dalam keadaan cuaca sejuk.

    Enjin pembakaran dalaman yang digunakan masih tidak berubah, iaitu unit petrol empat silinder sebaris 2.4 liter NA, dengan kuasa 136 PS (134 hp atau 100 kW) dan tork 203 Nm. Motor elektrik di hadapan masih menghasilkan kuasa 116 PS (114 hp atau 85 kW) dan tork 255 Nm, manakala motor di belakang berkuasa 136 PS (134 hp atau 100 kW) dan tork 195 Nm. Padanan ini melengkapkan sistem AWC (Super All Wheel Control).

    Jumlah kuasa keseluruhan yang dihasilkan adalah 306 PS (302 hp atau 225 kW), membenarkan ia memecut 0-100 km/j dalam masa 7.9 saat – laju maksimum dalam mod EV adalah 135 km/j. Mitsubishi memberitahu, kapasiti tangki bahan api telah ditingkatkan kepada 53 liter dan jarak gerak hibrid boleh mencecah sehingga 844 km. Penggunaan bahan api didakwa boleh mencatat serendah 0.8 l/100 km.

    Tiga mod pemanduan disediakan, termasuk EV (elektrik sahaja), Series Hybrid (enjin menghasilkan elektrik apabila perlu) dan Parallel Hybrid (kedua-dua motor elektrik dan enjin bekerjasama). Pengurusan kuasa pula disediakan dalam mod Normal (mengoptimakan pemanduan EV/Hybrid secara automatik), EV, Save (mementingkan tahap bateri) dan Charge (mengecas semula bateri).

    Bateri pada model ini boleh dicas menggunakan sama ada sambungan Type 2 atau CHAdeMO, dengan sokongan pengecasan kenderaan ke rumah, jadi kuasa boleh dihantar antara rumah dan kenderaan apabila perlu – berguna jika ada gangguan bekalan kuasa.

    Mitsubishi Outlander PHEV 2025 didedah – bateri 22.7 kWh, rekaan dan kelengkapan diberi peningkatan

    Mitsubishi juga mengesahkan terdapat tetapan suspensi yang ditala semula, dibuat daripada aluminium ringan kekuatan tinggi untuk mengurangkan berat dan memberikan pemanduan lebih baik. Ia boleh dipilih dalam mod Normal, Eco, Power, Tarmac, Gravel, Snow dan Mud, sementara tetapan stereng juga diperbaiki. Satu lagi bahagian yang ditambah baik adalah brek, dengan cakera bersaiz 350 mm dipasang di hadapan belakang – rim boleh datang dalam unit 18 atau 20 inci.

    Berkenaan dimensi, Outlander PHEV baru ini tidak mencatat sebarang beza dengan ukuran panjang 4,719 mm, lebar 1,862 mm, tinggi 1,750 mm dan jarak roda 2,704 mm. Penampilannya juga tidak banyak berubah, dengan gril hadapan dikatakan mempunyai penutup aktif.

    Rekaan rim 20 inci baru adalah antara bahagian yang terlibat dalam peningkatan ini, bersama dengan pilihan warna Moonstone Grey dan lampu belakang yang mempunyai bentuk pencahayaan baru serta cermin lutsinar. Bahagian dalam juga tidak banyak berubah, dengan skrin sesentuhnya kini bertambah besar menjadi 12.3 inci – sebelum ini sembilan inci.

    Sistem infotainmen kenderaan ini juga mendapat sambungan Android Auto tanpa wayar, sebagai tambahan kepada sambungan Apple CarPlay tanpa wayar yang ada sebelum ini, manakala sistem bunyi Yamaha dengan 12 pembesar suara pada varian tinggi menggantikan sistem Bose sebelum ini.

    Antara sistem bantuan pemandu yang terdapat pada Outlander PHEV ini adalah Forward Collision Mitigation dengan Autonomous Emergency Braking, Rear Automatic Emergency Braking, Blind Spot Monitoring dengan Lane Change Assist, Lane Departure Warning, Lane Keep Assist, Adaptive Cruise Control, Traffic Sign Recognition dan sistem pemerhati pemandu baru.

    Meskipun Malaysia sebelum ini ada menerima Outlander generasi ketiga, dalam versi CKD, tetapi model generasi keempat tidak masuk. Walaubagaimanapun, unit PHEV generasi keempat pernah dilihat atas jalan, menaikkan spekulasi Outlander ini akan kembali.

     
     
  • Nenek 79-tahun di Jepun masih pandu Mazda RX-7 dengan kotak gear manual kerana pengaruh Initial D

    Nenek 79-tahun di Jepun masih pandu Mazda RX-7 dengan kotak gear manual kerana pengaruh Initial D

    Walaupun menampilkan rupa yang sangat evergreen dan juga prestasi pemanduan yang begitu baik, agak jarang untuk kita lihat sebuah Mazda RX-7 FD3S dipandu setiap hari sebagai pengangkutan utama kerana enjin wankel rotary yang digunakan seringkali dikaitkan dengan penggunaan bahan api dan juga kos penyelenggaraan yang tinggi.

    Namun perkara ini tidak menghalang seorang nenek bernama Naoko Nishimoto yang berumur 79-tahun dari Wilayah Nagasaki di Jepun untuk memandu kereta sport tersebut sebagai pengangkutan hariannya. Malah RX-7 milik Nishimoto ini juga adalah dari versi yang menggunakan kotak gear manual lima-kelajuan!

    Cerita tentang Nishimoto bersama RX-7 kesayangannya ini telah disiarkan oleh berita stesen TV tempatan KTN TV Nagasaki. Nishimoto yang suka dengan kucing, bercucuk tanam dan juga bermain piano memberitahu dia mula suka dengan Mazda RX-7 ini setelah mengikuti siri anime Initial D.

    Selain dari watak utama Takumi Fujiwara yang menyebabkan Toyota AE86 diburu di seluruh dunia, Initial D juga telah menaikkan populariti Mazda RX-7 dari generasi FC3S dan FD3S yang digunakan oleh watak adik-beradik Takahashi.

    “Saya menonton anime Initial D, dan saya rasa ia ada babak perlumbaan yang begitu bergaya,” kata Nishimoto dan memberitahu bahawa dia tertarik dengan salah satu jentera yang digunakan dalam siri animasi itu. “Jadi saya bagitahu anak lelaki saya, ‘yang ini cantik’. Dia cakap ini adalah Mazda dan saya terus pergi beli,” tambahnya.

    Nishimoto memulakan pencariannya di pengedar-pengedar kereta seluruh Nagasaki, dan akhirnya membeli sebuah RX-7 FD3S berwarna Perak, ketika itu umurnya sudahpun mencapai 55-tahun. Dan sehingga kini RX-7 tersebut sudah dimiliki selama 24-tahun dan ia dipandu setiap hari.

    Nenek 79-tahun di Jepun masih pandu Mazda RX-7 dengan kotak gear manual kerana pengaruh Initial D

    “Saya rasa kereta ini seperti melekat ke permukaan jalan dan ia bergerak sangat lancar. Ini merupakan rasa seronok yang tidak boleh digambarkan. Sangat bagus jika anda dapat pandu dan rasanya sendiri,” kata Nishimoto lagi.

    Walau bagaimanapun Nishimoto mengambil keputusan untuk menjual Mazda RX-7 kesayangannya ini selepas hari jadinya yang ke-80 Disember nanti. Ini kerana dia mahu membatalkan lesen memandunya serta khuatir kereta ini akan terbiar sekiranya dia sudah tidak boleh memandu kelak.

    “Ya, ia merupakan kereta yang masih boleh saya pandu, jadi saya harap dapat bertemu dengan orang yang baik apabila menjualnya nanti,” katanya. Namun sebelum kereta ini menemui pemilik baharu, Nishimoto akan terus memandunya setiap hari.

     
     
  • MSF perkenal kategori Myvi Cup dalam perlumbaan MSF Superturismo; bermula pusingan ke-6 Nov ini

    MSF perkenal kategori Myvi Cup dalam perlumbaan MSF Superturismo; bermula pusingan ke-6 Nov ini

    Sebagai sebahagian usaha bagi terus menawarkan perlumbaan peringkat akar umbi dengan bajet yang rendah, Malaysia Speed Festival (MSF) kini secara rasmi memperkenalkan siri Myvi Cup sebagai salah satu kategori dalam kejuaraan MSF Superturismo.

    Pengenalan siri baharu ini adalah susulan kejayaan siri Saga Cup yang telah dianjurkan oleh MSF sejak 2016. Untuk Myvi Cup, perlumbaan pengenalannya akan bermula pada pusingan ke-6 MSF Superturismo 2024 iaitu pada 10 November ini di Litar Antarabangsa Petronas Sepang.

    Myvi Cup merupakan inisiatif sendiri yang diambil oleh pihak MSF tanpa bantuan mana-mana pihak. Dengan jumlah Myvi yang begitu banyak di atas jalan raya dan pernah dinobatkan sebagai kereta paling laris di Malaysia sejak sekian lama, bagi mendapatkan sebuah Myvi bagi diubahsuai menjadi jentera lumba bukanlah sesuatu yang sukar.

    Siri ini dibuka untuk semua generasi Myvi yang dijual di Malaysia dalam pelbagai jenis dan kapasiti enjin. Ia akan dibahagikan kepada dua kategori iaitu Pro dan Casual, di mana kedua-dua kategori ini dibezakan dengan tahap kemahiran pemandu yang akan dinilai oleh penganjur perlumbaan.

    MSF perkenal kategori Myvi Cup dalam perlumbaan MSF Superturismo; bermula pusingan ke-6 Nov ini

    Seperti Saga Cup, kenderaan-kenderaan yang digunakan untuk menyertai perlumbaan ini perlulah menggunakan hanya komponen terpilih yang dibenarkan untuk ditukar atau ditingkat taraf bagi tujuan keselamatan. Kereta-kereta yang bertanding juga perlu disediakan dan dilengkapi peralatan-peralatan keselamatan yang telah disyaratkan.

    Bagi memastikan perlumbaan dilangsungkan dengan adil, ada beberapa parameter yang akan dikawal selia oleh penganjur. Sebagai contoh, semua kereta perlulah menggunakan angkup brek hadapan dan juga brek dram belakang asal Myvi. Namun peserta masih boleh menaiktaraf sistem brek berkenaan menggunakan cakera berliang dan ditebuk, pad brek, kasut brek dan hos-hos sistem brek aftermarket yang boleh dipadankan secara terus tanpa ubahsuai serta mengekalkan dimensi yang sama.

    Kereta-kereta lumba Myvi Cup ini juga perlu mengekalkan blok enjin asal bersama untuk throttle body dan juga manifold kemasukan asal dari kilang. Komponen-komponen ini boleh diubahsuai, tetapi pada bahagian luarannya mesti nampak standard.

    MSF perkenal kategori Myvi Cup dalam perlumbaan MSF Superturismo; bermula pusingan ke-6 Nov ini

    Tiada sebarang komponen tambahan seperti penyuntik bahan api dan hos-hos tambahan dibenarkan untuk dipasang. Pelumba-pelumba juga mesti menggunakan kotak komputer enjin (ECU) asal Myvi, tetapi diberikan kelonggaran untuk menalanya semula dengan cara reflash ECU atau menambah komputer dan unit pengawal tambahan. Penggunaan kotak komputer aftermarket jenis stand alone adalah di larang.

    Enjin-enjin tersebut juga wajib digandingkan dengan kotak gear asal Myvi, namun pengubahsuaian pada nisbah akhir adalah dibenarkan. Nisbah-nisbah gear lain juga dibenarkan untuk ditukar, tetapi masih perlu menggunakan set gear jenis helical. Penggunaan gigi gear jenis tegak seperti dog-box dan juga sistem penukaran gear jenis sequential pada kotak gear adalah dilarang.

    Malah kesemua kereta juga perlu mengekalkan konfigurasi pacuan roda hadapan dan tidak dibenarkan untuk menggunakan unit LSD.

    “Falsafah perlumbaan di MSF adalah sentiasa menjadikan persaingan lebih mudah diakses dan mampu dimiliki oleh orang ramai, dan Saga Cup telah terbukti berjaya berkembang dengan lebih daripada 75 kereta dan hampir 200 pemandu mengambil bahagian setiap pusingan,” kata Prinsipal MSF Superturismo Adian Yein Khalid.

    “Myvi sudah pasti model paling popular di Malaysia hari ini – ia telah wujud selama bertahun-tahun sehingga ia sering dirujuk sebagai ‘king’ di atas jalan raya – dan oleh itu pengenalan Myvi Cup hanyalah satu langkah semula jadi ke arah membawa lebih banyak kepelbagaian ke dalam perlumbaan bermotor.

    “Ia juga merupakan kereta yang jauh lebih moden berbanding Proton Saga generasi terdahulu dan ini sekali lagi akan memberikan peserta satu lagi cabang untuk meningkat naik. Dan bertentangan dengan kepercayaan, Myvi telah menunjukkan bahawa ia sangat pantas dan sama kompetitif di trek,” tambah Adian lagi.

     
     
  • Puspakom melanjutkan operasi pada Sabtu untuk bulan ini – 12 dan 19 Okt 2024, 17 cawangan terlibat

    Puspakom melanjutkan operasi pada Sabtu untuk bulan ini – 12 dan 19 Okt 2024, 17 cawangan terlibat

    Jika anda tidak berkesempatan menghantar kenderaan untuk pemeriksaan Puspakom pada waktu bekerja, jangan risau. Dimaklumkan bahawa ada beberapa cawangan Puspakom akan melanjutkan operasi sehingga hari Sabtu, dengan menetapkan dua tarikh tambahan bagi bulan ini.

    Tarikh berkenaan ialah pada 12 dan 19 Oktober ini, dan ia melibatkan beberapa cawangan terpilih di seluruh negara, yang beroperasi dari jam 8 pagi hingga 5 petang.

    Kali ini, lanjutan operasi berkenaan melibatkan sebanyak 17 cawangan Puspakom. Semua pelanggan yang mahukan perkhidmatan pemeriksaan kenderaan dikehendaki membuat temujanji secara dalam talian menerusi MyPuspakom – tiada kunjungan secara walk-in dibenarkan. Berikut merupakan cawangan yang terlibat:

    Lembah Klang

    • Wangsa Maju
    • Cheras
    • Shah Alam
    • Padang Jawa

    Utara

    • Sungai Petani
    • Mak Mandin (Pulau Pinang)
    • Gopeng (Perak)

    Selatan

    • Alor Gajah (Melaka)
    • Seremban
    • Johor Bahru
    • Kluang
    • Senai
    • Pasir Gudang

    Pantai Timur

    • Kuantan
    • Kota Bharu

    Malaysia Timur

    • Kota Kinabalu
    • Kota Samarahan
     
     
  • JAC T9 bakal dilancarkan di Malaysia – spesifikasi trak pikap diesel 2.0L untuk pasaran tempatan tersebar?

    JAC T9 bakal dilancarkan di Malaysia – spesifikasi trak pikap diesel 2.0L untuk pasaran tempatan tersebar?

    Sebelum ini kami pernah melaporkan bahawa JAC Motors mempunyai perancangan untuk membuat pelaburan di Malaysia, dan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz memberitahu dalam Facebook, syarikat itu mahu menjadikan Malaysia sebagai hab pengeluaran dan eksport kenderaan komersial ASEAN, termasuk trak pikap.

    Antara yang terawal dijangka tiba adalah T9, dan risalah jualannya telah sampai ke tangan kami. Tertulis di situ, trak pikap ini akan ditawarkan dalam satu spesifikasi sahaja, dengan antara kelengkapan yang diberi adalah seperti kamera 360 darjah HD, lampu suasana 64 warna, pengecas tanpa wayar, sambungan Apple CarPlay dan Android Auto serta skrin infotainmen 10.4 inci menegak.

    Di dalam risalah itu juga tertulis bahawa Evolvelectric Motors merupakan pengedar bagi JAC Motors. Laman webnya masih belum lengkap, tetapi syarikat itu dikatakan sudah tertubuh sejak Oktober 2023.

    Berkenaan keselamatan, trak ini dilihat mempunyai sistem ADAS Level 2, dengan dilengkapi Active Cruise Control, Autonomous Emergency Braking, Forward Collision Warning, Lane Departure Warning, Lane Keep Assist, Lane Change Assist dan Blind Spot Monitor. Beg udara kesemuanya ada tujuh, dan semua ini menyumbang kepada penarafan lima bintang dalam Australasian NCAP (ANCAP).

    Menggerakkan JAC T9 adalah enjin diesel 2.0 liter CTI bersama gabungan transmisi automatik ZF lapan kelajuan, menghasilkan 170 PS/410 Nm untuk disampaikan kepada empat rodanya, yang menggunakan rim 18 inci. Pilihan warna yang tersedia adalah merah, hitam, kelabu, perak dan putih, manakala jaminan yang diberi adalah selama lima tahun atau 300,000 km.

    Di China, JAC T9 ini dikenali sebagai JAC Hunter, dan ia sudah dilancarkan sejak tahun 2021, dengan model T9 ini adalah versi facelift yang dinaik taraf pada tahun 2023. Ia juga sudah mula berada di pasaran Australia dan Afrika Selatan sejak awal tahun ini.

    GALERI: Trak pikap JAC T9

     
     
  • Mitsubishi akan perkenal SUV konsep tujuh tempat duduk di Filipina – asas Xforce, lawan Honda BR-V?

    Mitsubishi akan perkenal SUV konsep tujuh tempat duduk di Filipina – asas Xforce, lawan Honda BR-V?

    Mitsubishi menunjukkan komitmen mereka kepada pasaran ASEAN dengan memberitahu akan memperkenalkan sebuah model SUV konsep tujuh tempat duduk semasa Philippine International Motor Show 24 hingga 27 Oktober nanti. Kenderaan ini dikatakan menggabungkan “seni buatan warisan” dengan komitmen mereka untuk membangunkan kenderaan yang memenuhi keperluan unik pasaran.

    Hanya satu gambar teaser disiarkan dan setakat ini masih belum ada sebarang perincian berkenaan kenderaan tersebut. Banyak spekulasi mengatakan ini adalah Pajero Sport generasi baru, tetapi kenderaan yang sebegitu pastinya lebih berpetak dan mempunyai bahagian hadapan dan belakang yang lebih panjang.

    Sebaliknya, kami menjangka kereta konsep baru ini adalah petunjuk kepada X-Force versi tiga tempat duduk. Konsep rekaan sama di antara keduanya boleh dilihat pada lampu hadapan dan belakang dengan bentuk T, garis bonet serta lekuk roda belakang. Namun, kenderaan di dalam gambar mempunyai beberapa rekaan unik termasuk gril seperti Outlander serta c-pillar yang lebih tebal.

    Mitsubishi akan perkenal SUV konsep tujuh tempat duduk di Filipina – asas Xforce, lawan Honda BR-V?

    Jika benar ini adalah Xforce tiga baris tempat duduk, ia akan meletakkan Mitsubishi di satu kedudukan tersendiri dengan menawarkan SUV segmen B tujuh tempat duduk yang dibina atas platform kereta penumpang biasa. Pesaing terdekatnya adalah Honda BR-V, tetapi model itu menggunakan asas daripada WR-V yang lebih kecil, sementara Xforce mempunyai saiz yang lebih hampir kepada HR-V. Sebagai bayangan, saiznya mungkin seperti Xpander, tetapi lebih panjang, lebar dan mempunyai bentuk crossover.

    Kita juga boleh menjangkakan kereta produksi hasil daripada model konsep ini akan menggunakan enjin sama seperti Xforce dan Xpander, iaitu unit empat silinder 1.5 liter NA 4A91 yang mampu menghasilkan 105 PS pada 6,000 rpm dan tork 141 Nm pada 4,000 rpm, digabungkan bersama transmisi CVT untuk menyampaikan kuasa kepada roda hadapan.

    Xforce pernah dilihat di Malaysia awal tahun ini, dan ia mungkin akan dilancarkan pada tahun hadapan, memandangkan Mitsubishi Motors Malaysia (MMM) sekarang sedang sibuk dengan Xpander facelift dan Triton baru. Jadinya, kita juga boleh mendapat gambaran SUV tujuh tempat duduk ini tidak akan tiba dalam masa terdekat.

    GALERI: Mitsubishi Xforce di Indonesia

     
     
  • Beberapa jalan utama di KL akan ditutup pada 5-6 Oktober sempena Standard Chartered Marathon 2024

    Beberapa jalan utama di KL akan ditutup pada 5-6 Oktober sempena Standard Chartered Marathon 2024

    Sempena dengan acara larian Kuala Lumpur Standard Chartered Marthon (KLSCM) 2024, beberapa jalan utama di pusat bandar Kuala Lumpur akan ditutup pada 5 hingga 6 Oktober ini. Menurut Ketua Polis KL, CP Dato’ Rusdi Mohd Isa, Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) KL dengan kekuatan 361 anggota/pegawai polis akan ditugaskan untuk mengawal penutupan jalan yang terlibat pada tarikh berkenaan. Lokasi pelepasan dan ketibaan peserta adalah di Dataran Merdeka.

    Pada 5 Oktober, penutupan jalan akan dilaksanakan antara jam 5 pagi hingga 12 tengahari. Ia melibatkan Jalan Kinabalu/Jalan Leboh Pasar, Jalan Leboh Ampang/Jalan Tun Perak, Jalan Parlimen, Dataran Merdeka, Bulatan Dato Onn, Jalan Kuching, Jalan Dato Onn, Jalan Sultan Ismail, Jalan Raja Laut, Jalan Tuanku Abdul Rahman, Jalan Raja Abdullah, Jalan Ampang, Jalan P.Ramlee, Jalan Perak, Jalan Sultan Salahuddin, Jalan Tugu dan Jalan Tun Ismail.

    Klik untuk besarkan

    Manakala pada 6 Oktober pula, waktu penutupan jalan adalah dari jam 3 pagi hingga 12 tengahari. Jalan yang terbabit ialah Jalan Kinabalu, Jalan Kasturi, Jalan Leboh Pasar, Jalan Leboh Ampang, Jalan Tun Perak, Jalan Masjid India, Jalan Tuanku Abdul Rahman, Jalan Dang Wangi, Jalan Raja Abdullah, Jalan Melaka, Jalan Sultan Ismail, Jalan P.Ramlee, Jalan Raja Chulan, Jalan Nagasari, Jalan Hang Tuan dan Jalan Kg Pandan.

    Ia juga melibatkan Jalan Imbi, Jalan Tun Razak, Jalan Bukit Bintang, Jalan Delima, Jalan Inai, Jalan Conlay, Jalan Persiaran KLCC, Jalan Kia Peng, Jalan Pinang, Jalan Ampang, Jalan Yap Kwan Seng, Jalan Mayang, Jalan Ampang Hilir, Jalan Jelatek, Lebuhraya AKLEH menghala ke MRR2 dan memasuki DUKE,Jalan Putra, Jalan Tugu, Jalan Raja Abdullah, Jalan Dewan Sultan Sulaiman, dan Bulatan Segambut.

    Laluan bagi setiap kategori; Klik untuk besarkan

    Acara larian KLSCM 2024 edisi ke-15 ini, melibatkan penyertaan seramai 45,000 peserta dengan kategori 3 KM, 5 KM dan 10 KM yang berlangsung pada 5 Oktober serta 42 KM (Full Marathon) dan 21 KM (Half Marathon) pada 6 Oktober.

    Memandangkan banyak jalan utama ditutup dan ruang parkir pasti terhad, para peserta dinasihati menggunakan pengangkutan awam seperti LRT dan MRT. Rapid KL bakal mengumumkan kedua-dua perkhidmatan rel berkenaan akan beroperasi lebih awal dari waktu biasa pada kedua-dua tarikh berkenaan.

    Untuk peserta yang terlibat, jangan lupa ambil race kit anda di Hall 6, Kuala Lumpur Convention Centre pada 3-4 Okt, 11 pagi hingga 8 malam untuk semua kategori, dan 5 Okt (10 pagi-6 petang) untuk kategori Full Marathon dan Half Marathon.

     
     
  • Kereta lumba Proton S70 R3 bersedia untuk berlumba dalam Sepang 1000KM; guna enjin Campro 1.6L NA?

    Kereta lumba Proton S70 R3 bersedia untuk berlumba dalam Sepang 1000KM; guna enjin Campro 1.6L NA?

    Mei lalu divisi sukan permotoran Proton iaitu R3 telahpun mendedahkan kereta lumba terbaharunya iaitu Proton S70 R3 yang bakal mengambil bahagian dalam perlumbaan ketahanan Sepang 1000KM (S1K) tahun ini. Namun ketika itu ia masih dalam bentuk ‘konsep’, iaitu mock-up yang belum siap sepenuhnya.

    Petang semalam laman Facebook rasmi Proton telah menyiarkan satu video menunjukkan bahawa kereta lumba berkenaan sudah ‘bernyawa’ dan ‘menjerit’ dalam rpm tinggi di atas mesin dyno, serta telah dibawa keluar untuk diuji di atas litar ujian Proton di Shah Alam!

    Dalam video tersebut boleh dilihat S70 R3 berkenaan sedang ditala bersama oleh jurutera perlumbaan R3, Shamsul Fariz, kemudian ketua mekanik pasukan tersebut Haji Osman Jailani turut membawa naib CEO Proton Hj Roslan Abdullah menguji kereta lumba itu di litar ujian kelajuan tinggi Proton.

    Kereta lumba S70 R3 sebenar ini masih menampilkan kit aero yang sama seperti versi konsep sebelum ini, dengan menggunakan kit badan sama yang ditawarkan pada model jalan raya, tetapi spoiler ekor itik pada but digantikan dengan spoiler rekaan R3 yang jauh lebih besar.

    Selain itu, ia juga dipadankan dengan set rim keluaran tempatan iaitu Raxer Wheels, dari siri RP10X yang dibina bersama bekas ketua divisi Proton R3 satu ketika dahulu iaitu Tengku Djan Ley. Rim berkenaan disarung dengan tayar perlumbaan S1K, Hankook Ventus TD bersaiz 195/55R15.

    Dalam video ini juga dapat dilihat ia sudahpun menerima set brek perlumbaan dengan sudut camber suspensi hadapan yang ditala dengan sudut negatif. Manakala pada bahagian dalaman, S70 ini turut menerima perlatan-peralatan yang sama seperti kereta-kereta lumba R3 yang lain sebelum ini termasuk paparan instrumen perlumbaan Motec, tempat duduk perlumbaan, rollcage, set padel box, tangki bahan api perlumbaan dengan sistem isian pantas dan pelbagai lagi.

    Kereta lumba Proton S70 R3 bersedia untuk berlumba dalam Sepang 1000KM; guna enjin Campro 1.6L NA?

    Namun sebarang visual dari ruang enjin masih belum didedahkan. Kereta lumba ini dihasilkan dengan undang-undang MTC yang digunakan dalam perlumbaan S1K dan siri Malaysia Championship Series (MCS), iaitu undang-undang yang hampir sama seperti regulasi Group A FIA.

    Sebelum ini kami jangkakan jentera ini masih akan menggunakan enjin asal 1.5 liter tiga silinder GEP3 dari model produksi kerana undang-undang berkenaan memerlukan kereta yang berlumba menggunakan enjin produksi sebenar sebagai asas, kemudian menerima pengubahsuaian menyeluruh menggunakan komponen-komponen dalaman perlumbaan sebenar dan kapasitinya ditingkatkan sehingga 1.6 liter, tanpa menggunakan pengecas turbo.

    Walau bagaimanapun, bunyi jeritan enjin pada jentera lumba Proton S70 R3 ini tidak kedengaran langsung seperti enjin tiga-silinder. Sebaliknya ia menghasilkan bunyi yang sama seperti enjin Campro 1.6 liter yang digunakan pada kereta-kereta lumba Saga, Iriz, Preve dan Suprima S pasukan R3 sebelum ini.

    Kereta lumba Proton S70 R3 bersedia untuk berlumba dalam Sepang 1000KM; guna enjin Campro 1.6L NA?

    Ini mungkin mengesahkan khabar angin yang bertiup sebelum ini yang mengatakan bahawa jentera lumba S70 baharu ini masih menggunakan enjin Campro S4PH Twin Cam 16 injap berkenaan. Dalam kereta-kereta lumba sebelum ini, enjin tersebut menghasilkan kuasa lebih dari 200 hp pada roda hadapan, dan ia digandingkan dengan kotak gear manual perlumbaan jenis dog box.

    Proton S70 ini merupakan kereta lumba pertama pasukan R3 yang diasaskan dari model keluaran bersama kerjasama Geely. Kami difahamkan bahawa dua buah kereta lumba tersebut telah di bina untuk perlumbaan S1K tahun ini, dan sesi shakedown pertamanya di Litar Antarabangsa Sepang Petronas akan berlangsung hari ini.

    Jadi ini merupakan kebangkitan semula pasukan Proton R3 ke dalam kancah sukan permotoran sebenar sejak ‘direhatkan’ selepas berakhirnya S1K 2019. Sejak penganjuran pertama S1K bermula pada tahun 2009, Proton R3 telah pun berjaya merangkul sebanyak lima gelaran juara, termasuk gelaran juara tiga-tahun berturut-turut iaitu pada 2017, 2018 dan 2019, di mana dua gelaran terakhir berkenaan dirangkul dengan Proton Iriz.

    GALERI: Kereta lumba Proton S70 R3 Concept

    GALERI: Gambar rasmi Proton S70 R3 Concept

     
     
  • Nissan Kicks e-Power bakal dilancarkan di Malaysia – didedahkan oleh pengedar Bayan Lepas, Pulau Pinang

    Nissan Kicks e-Power bakal dilancarkan di Malaysia – didedahkan oleh pengedar Bayan Lepas, Pulau Pinang

    Susulan pengesahan Edaran Tan Chong Motor (ETCM) selaku pengedar rasmi Nissan di Malaysia berhubung dengan teknologi pacuan hibrid Nissan e-Power yang akan tiba di Malaysia, laman Facebook seorang konsultan jualan berpusat di Bayan Lepas, Pulau Pinang turut mendedahkan Nissan Kicks e-Power akan hadir di rangkaian pengedaran tempatan tidak lama lagi.

    Sebelum ini, ETCM berkata model hibrid e-Power akan dilancarkan di Malaysia pada suku ke-empat tahun ini. Kicks e-Power dipacukan oleh motor elektrik berkuasa 129 PS/280 Nm yang dipadankan bersama unit 1.2 liter naturally-aspirated tiga-silinder. Walau bagaimana pun, tiada sambungan pemacu mekanikal ke roda pacuan, dan ia dijanuakan oleh bateri 2.06 kWh.

    Kicks e-Power ini mampu dipecut dari 0-100 km/j dalam 9.5 saat, dengan angka penjimatan bahan apinya didakwa sekitar 21.7 km per liter. Dengan ketibaan Nissan Kicks e-Power ini ke Malaysia yang memasuki segmen SUV hibrid, akan bersaing dengan Honda HR-V e:HEV dan Toyota Corolla Cross Hybrid, sebagai tambahan kepada kehadiran varian model enjin pembakaran dalaman (ICE) dan EV dari China.

    Nissan Kicks e-Power bakal dilancarkan di Malaysia – didedahkan oleh pengedar Bayan Lepas, Pulau Pinang

    Bagi yang mengikuti perkembangan model ini pasti akan menyedari bahawa ini adalah model generasi pertama yang menghampiri penghujung kitaran hayatnya, kerana model generasi kedua baharu telah diperkenalkan untuk pasaran AS pada Mac tahun ini.

    Selain SUV hibrid ini, Nissan sendiri mempunyai rancangan untuk memperkenalkan lebih banyak model e-Power, malah jenama ini sedang melakukan persiapan untuk melancarkan Serena generasi-C28 yang pernah dilihat diuji di Malaysia.

    e-Power yang dilengkapi untuk MPV tersebut diberikan motor elektrik 163 PS/315 Nm dan kuasanya dipadankan dengan enjin 1.4 liter HR14DDe naturally-aspirated tiga-silinder petrol (98 PS/123 Nm) yang mengecas bateri 1.77 kWh. Seperti tatapan pada Kicks, MPV hibrid ini juga tiada sambungan pemacu mekanikal ke roda pacuannya.

    GALERI: Nissan Kicks e-Power di Malaysia

     
     
  • BYD Malaysia sahkan model pasaran tempatan tiada risiko kebakaran, tak terlibat dengan panggilan semula

    BYD Malaysia sahkan model pasaran tempatan tiada risiko kebakaran, tak terlibat dengan panggilan semula

    Sime Darby Motors iaitu syarikat yang mengendalikan BYD Malaysia hari ini mengeluarkan kenyataan mengesahkan bahawa panggilan semula untuk model hatchback EV segmen-B BYD Dolphin dan SUV EV segmen-C BYD Yuan Plus di China yang diumumkan baru-baru ini tidak melibatkan pasaran Malaysia.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan itu, panggilan semula tersebut dibuat oleh BYD Auto Industry Co., Ltd. dan BYD Automobile Co., Ltd. untuk unit-unit tertentu model BYD Dolphin dan BYD Yuan Plus (dikenali sebagai Atto 3 di sini), di mana kumpulan dan model-model berkenaan hanya untuk pasaran tempatan di China serta tidak melibatkan pasaran luar.

    Dalam laporan yang disiarkan oleh CarNewsChina tempoh hari, panggilan semula tersebut akan membabitkan 96,714 BYD Dolphin serta BYD Yuan Plus, dan ia akan bermula pada 30 September 2024. 87,762 unit dari jumlah tersebut merupakan kenderaan yang diproduksi bermula 4 Februari hingga 26 Disember 2023, manakala 8,952 unit selebihnya diproduksi lebih awal iaitu bermula 2 November hingga 19 Jun 2023.

    BYD Malaysia mengesahkan bahawa Dolphin dan Atto 3 di sini tidak terlibat dengan panggilan semula yang berlangsung di China sekarang kerana masalah elektronik dengan risiko boleh berlakunya kebakaran. Lebih perincian pada artikel di bawah.

    BYD Malaysia sahkan model pasaran tempatan tiada risiko kebakaran, tak terlibat dengan panggilan semula

    Untuk lebih spesifik berkenaan masalah tersebut, BYD menyatakan bahawa sebahagian kenderaan yang diproduksi dalam masa berkenaan telah dipadankan dengan unit pengawal pemasangan kolum stereng kuasa elektrik (CEPS) yang tidak melalui proses pembuatan yang betul.

    Apabila penutup komponen tersebut ditutup, ia mungkin akan mengganggu kapasitor pada papan litar elektronik pengawal itu, yang kemudiannya akan menyebabkan keretakan kecil berlaku pada kapasitor di dalamnya. Keretakan tersebut mungkin akan menjadi besar ketika kenderaan digunakan, yang kemudiannya akan menyebabkan litar pintas, panas melampau, dan berpotensi menyebabkan kebakaran.

    Bagi mengatasi masalah ini, pengedar-pengedar BYD di China akan memasang pelapik penebat pada pengawal tersebut bagi mengelakkan berlakunya masalah lain yang berkaitan dengan keselamatan. Proses ini tidak akan mengenakan sebarang cas kepada pelanggan, dan BYD akan menghubungi pelanggan yang terlibat menerusi emel, WeChat dan panggilan telefon. Malah BYD turut mewujudkan talian servis khas untuk pelanggan yang terlibat dalam panggilan semula ini.

    CarNewsChina menyatakan bahawa ini merupakan panggilan semula terbesar yang pernah dibuat oleh BYD dalam sejarah.

     
     
  • Yamaha siar teaser sportbike baru – akan didedah 9 Oktober ini, R9 dengan enjin tiga silinder 890 cc?

    Yamaha siar teaser sportbike baru – akan didedah 9 Oktober ini, R9 dengan enjin tiga silinder 890 cc?

    Yamaha Motor USA hari ini membuat kejutan dengan mengeluarkan satu video teaser yang memberi gambaran kepada ketibaan sebuah sportbike baru pada 9 Oktober nanti. Tiada perincian jelas yang diberi bersama video ini, tetapi ada beberapa bayangan yang boleh diambil sebagai petunjuk.

    Rupa motosikal itu cuma dapat dilihat secara kabur, tetapi kita tahu ia adalah sebuah sportsbike dengan fairing penuh. Dalam dunia motosikal, ramai yang menjangkakan ini adalah R9, yang menggunakan asas daripada MT-09 atau XSR900.

    Turut boleh dilihat melalui video itu adalah lampu hadapannya, yang mempunyai rekaan lebih unik berbanding R1 atau R7, kerana menggunakan bentuk yang berlainan di antara bahagian kiri dan kanannya. Lampu projector bulat berada di sebelah kiri, dan lampu DRL bergaris tajam berada di sebelah kanan.

    https://www.youtube.com/watch?v=SjPp4nMJdCU

    Selain daripada itu, kita juga ditunjukkan dengan aksi motosikal tersebut membuat burnout dan berlalu pergi, memberi fokus kepada roda belakangnya yang nampak berbeza berbanding R1 dan R7 kerana menggunakan rim lima cabang.

    Bayangan ini adalah R9 juga boleh dibaca melalui kiraan detik yang terhenti di sembilan, selain tarikh 9 Oktober serta ayat “A new era is Rising” yang menggunakan huruf R besar pada perkataan Rising. Jika benar ini adalah R9, kita boleh menjangkakan sebuah sportsbike yang dipacu oleh enjin tiga silinder 890 cc dengan kuasa yang boleh mencecah 119 PS dan 93 Nm.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (-0.04)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.90 (-0.04)
EURO 5 B7 RM3.10 (-0.04)
Last Updated Aug 14, 2025