Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Kereta lumba Proton S70 R3 – gambar rasmi didedah

    Kereta lumba Proton S70 R3 – gambar rasmi didedah

    Semalam Proton sudahpun menyiarkan video terbaharu untuk kereta lumba S70 yang dibina oleh sayap perlumbaannya iaitu Proton R3 yang bakal digunakan dalam perlumbaan Sepang 1000KM (S1K) pada bulan hadapan. Dan hari ini satu kenyataan rasmi telah dihantar kepada kami, bersama beberapa gambar rasmi kereta lumba tersebut.

    “Setelah tidak bertanding dalam tiga perlumbaan 1000km Sepang yang lalu, Proton teruja untuk kembali ke grid permulaan pada 2024. Proton S70 R3 menandakan satu pencapaian baru bagi jenama ini apabila kita membawa model yang dibangunkan bersama Geely ke dalam persaingan buat kali pertama. Banyak cabaran perlu diatasi untuk sampai ke tahap ini dengan pelbagai pengubahsuaian dibuat pada kereta standard bagi memastikan ia mematuhi peraturan yang ditetapkan,” kata naib CEO Proton Roslan Abdullah.

    “Namun, terima kasih kepada pasukan R3 yang berdedikasi, kami telah berjaya mencapai matlamat bersedia untuk perlumbaan pada bulan November.

    Kereta lumba Proton S70 R3 – gambar rasmi didedah

    “Walaupun ia merupakan kereta baru, Proton menyahut cabaran untuk menempatkan dua unit S70 R3 dalam perlumbaan dan bukannya menggunakan model lama yang terbukti sebagai pilihan alternatif. Kami bertekad untuk membuktikan kemampuan model sedan Proton terbaru di litar perlumbaan. Walaupun kami menjangkakan persaingan dari pasukan yang telah aktif bertanding selama tiga tahun lepas, kami percaya bahawa pengajaran yang diperoleh dari perlumbaan akan membantu kami membina kereta yang lebih baik untuk pelanggan di masa depan,” tambahnya.

    Walau bagaimanapun, Proton masih belum mengumumkan spesifikasi kereta lumba ini. Namun berdasarkan video yang disiarkan semalam, dengan jelas enjin yang disumbat dalam perut sedan tersebut adalah enjin Campro 1.6L S4PH, bukan enjin GEP 1.5 liter tiga-silinder asal seperti model produksi sebenar S70.

    Enjin ini telah terbukti tahan dan berkuasa digunakan dalam kereta-kereta lumba Proton R3 termasuk Satria Neo, Preve, Suprima S, Iriz dan Saga, membolehkan pasukan tersebut menang lima gelaran juara S1K untuk tahun 2012, 2014, 2017, 2018 dan 2019.

    Untuk versi terakhir yang dipadankan pada Saga dan juga Iriz yang memenangi S1K untuk tahun 2018 dan 2019, enjin Campro S4PH berkenaan mampu menghasilkan lebih dari 200 hp pada roda hadapan, dan ia digandingkan dengan kotak gear manual perlumbaan jenis dog box.

    S70 ini merupakan kereta lumba pertama Proton R3 yang dibina menggunakan asas dari model yang dibangunkan dengan kerjasama Geely. Menerusi gambar rasmi yang lebih terperinci disiarkan hari ini pula mendedahkan bahawa rupa luaran kereta lumba sebenar Proton S70 R3 tersebut agak berbeza berbanding model konsep ‘mock-up’ yang didedahkan ketika berlangsungnya Malaysia Autoshow 2024 Mei lalu.

    Ia nampaknya tidak menggunakan kit badan yang sama seperti model produksi, di mana spoiler hadapan diganti dengan unit yang lebih besar sama seperti kereta lumba Iriz dan Saga sebelum ini, dan tidak dipadankan dengan skirt sisi. Namun spoiler belakang masih nampak serupa seperti versi konsep.

    Juga dapat dilihat S70 R3 ini turut menerima set brek perlumbaan dengan sudut camber suspensi hadapan yang ditala dengan sudut negatif. Manakala pada bahagian dalaman, S70 ini turut menerima perlatan-peralatan yang sama seperti kereta-kereta lumba R3 yang lain sebelum ini termasuk paparan instrumen perlumbaan Motec, tempat duduk perlumbaan dari Recaro, rollcage, set padel box AP Racing, tangki bahan api perlumbaan dengan sistem isian pantas dari ATL, jek pneumatik yang diintegrasikan dengan kerangka badan dan pelbagai lagi.

    Proton S70 R3 ini dibangunkan berdasarkan regulasi kelas MTC yang bukan sahaja untuk S1K, malah turut sah digunakan untuk perlumbaan Malaysian Championship Series (MCS). Regulasi MTC tersebut memerlukan kereta yang bertanding menggunakan enjin produksi yang boleh diubahsuai dengan sesaran maksima 1.6 liter tanpa pengecas turbo, dan ia adalah seiras dengan undang-undang Group A FIA yang memerlukan ia menggunakan kerangka badan sebenar sama seperti model yang dijual untuk jalan raya.

    GALERI: Kereta lumba Proton S70 R3 Concept

    GALERI: Gambar rasmi Proton S70 R3 Concept

     
     
  • Harga minyak 10-16 Oktober – semua tidak berubah

    Harga minyak 10-16 Oktober – semua tidak berubah

    Seperti kebiasaan pada hari Rabu, Kementerian Kewangan (MOF) mengumumkan harga minyak semasa, dan bagi tarikh bermula 10 hingga 16 Oktober ini, ia dikekalkan bagi ketiga-tiga bahan api utama yang ditawarkan di pasaran.

    Bermakna, untuk Semenanjung, harga diesel masih lagi RM2.95 seliter bagi B10 Euro 5 dan B20, manakala B7 Euro 5 pula dijual pada harga RM3.15 seliter. Sementara itu bagi Sabah dan Sarawak pula, diesel terus dijual pada harga RM2.15 seliter.

    Untuk petrol RON 97 pula, harganya kekal seperti minggu lepas, iaitu RM3.19 seliter, manakala petrol RON 95 dikekalkan pada harga siling seperti yang ditetapkan pada tahun 2021, iaitu RM2.05 seliter.

    Harga ini akan diguna pakai bermula jam 12 tengah malam ini, sehingga Rabu minggu hadapan, 16 Oktober 2024. Format harga mingguan bagi bahan api sudah dilaksanakan sejak awal tahun 2019.

     
     
  • ACE 2024: Miliki Ford Ranger dari RM1,192 sebulan — rebat RM4k atau pakej servis lima-tahun

    ACE 2024: Miliki Ford Ranger dari RM1,192 sebulan — rebat RM4k atau pakej servis lima-tahun

    Auto Car Expo (ACE) 2024, yang ditaja bersama oleh Carro bakal berlangsung pada 26-27 Oktober 2024 di Pusat Persidangan Setia City (SCCC) dan masuk adalah percuma!

    Untuk trak pikap, Ford Ranger turut akan dipamerkan di ACE 2024. Sebagai sebuah trak pikap yang berprestasi, praktikal serta tampil dengan rekaan yang menawan, Ranger juga ditawarkan dalam pelbagai varian untuk memenuhi keperluan pengguna yang berbeza.

    Barisan modelnya termasuklah Ranger XL, yang dijual dengan harga dari RM115,888* atau RM1,192 sebulan*. Walaupun varian paling asas, XL turut dilengkapi dengan sistem infotainmen SYNC 4A dengan skrin sentuh 10.1-inci, dengan sokongan Apple CarPlay dan Android Auto.

    Juga ada ialah kluster instrumen digital lapan-inci yang tidak hanya memamarkan maklumat penting pemanduan seperti speedometer dan tachometer, tetapi ada juga maklumat berkaitan teknologi bantuan pemandu dan mod pamanduan atas jalan dan off-road untuk memudahkan pemandu.

    ACE 2024: Miliki Ford Ranger dari RM1,192 sebulan — rebat RM4k atau pakej servis lima-tahun

    Di atas XL, ada pula XLT yang bermula dari harga RM128,888* atau RM1,325 sebulan*. Dengan ciri sama seperti XL, XLT menerima tambahan sistem kawalan pendingin pintar dengan dua zon serta corong pendingin di belakang untuk lebih keselesaan.

    Sokongan lepas jualan Ranger juga tidak membebankan pemilik dengan adanya Pelan Servis Lanjutan yang akan menjaga penyelenggaraan trak anda hingga lima-tahun bergantung kepada pelan yang dipilih. Hanya alat ganti tulen akan digunakan oleh juruteknik Ford yang bertauliah untuk memastikan keselesaan dan keselamatan kenderaan pemilik.

    Turut ditawarkan ialah lanjutan jaminan PremiumCARE untuk memastikan komponen utama Ranger pelanggan dilindungi lebih lama. Pelan berkenaan bermula serendah RM2,300 dan pelanggan akan menikmati manfaat tambahan seperti kereta ganti jika diperlukan.

    Di ACE 2024, kedua-dua Ranger XL dan XLT ditawarkan dengan rebat RM4,000 atau Pelan Servis Lanjutan Ford lima-tahun. Jangan lepaskan peluang keemasan ini nanti.

    ACE 2024: Miliki Ford Ranger dari RM1,192 sebulan — rebat RM4k atau pakej servis lima-tahun

    Selain Ford, jenama yang turut akan berada di ACE 2024 termasuklah Toyota, Proton, Perodua, Volkswagen, BYD, Mitsubishi, MG serta smart dan eMas yang diuruskan oleh Pro-Net.

    Semua jenama tersebut juga akan turut disertai juga oleh BMW/MINI (menerusi Auto Bavaria), Mercedes-Benz (menerusi Hap Seng Star) dan Volvo (menerusi Sime Darby Swedish Auto), serta beberapa jenama lagi di bawah kendalian EON yang turut akan mewakili jenama smart dan Audi, serta Cycle & Carriage dengan jenama Peugeot dan Leapmotor. Untuk motosikal, akan ada jenama BMW Motorrad, serta tidak lupa Trapo yang pelbagai produk melalui Exosystem-nya.

    Seperti PACE, pengunjung ke ACE 2024 turut berpeluang memandu uji barisan kenderaan dari pelbagai jenama yang menyertai acara tersebut. Dan, tidak hanya kenderaan baru yang akan dipamerkan: kenderaan terpakai juga akan dibawa — dengan pelbagai tawaran menarik untuk dinikmati oleh pelanggan, yang tidak ditawarkan di tempat lain.

    ACE 2024: Miliki Ford Ranger dari RM1,192 sebulan — rebat RM4k atau pakej servis lima-tahun

    Ini menjadikan ACE 2024 sebuah acara yang perlu anda kunjungi, kerana akan ada promosi awal sempena hujung tahun yang akan diberikan oleh jenama yang terlibat. Tidak ketinggalan, akan ada juga tawaran berasingan daripada kami di paultan.org.

    200 pelanggan terawal yang membuat tempahan mana-mana kereta baru akan menerima baucar gabungan bernilai RM2,500, yang terdiri daripada RM500 baucar filem penapis haba/coating V-Kool, RM500 baucar Dodomat, RM500 baucar penapis udara Blueair, RM500 baucar untuk balutan kulit kustom DK Schweizer serta RM500 baucar dari Kuzig Glanz untuk filem pelindung cat badan kenderaan.

    Akan ada banyak lagi promosi yang akan diumumkan sempena ACE 2024. Jadi terus perhatikan ruangan ini untuk maklumat lanjut. Tandakan kalender — 26-27 Oktober 2024 — dan jumpa nanti di SCCC. Masuk adalah percuma!

    *Harga permulaan adalah berdasarkan harga di Semenanjung Malaysia. Harga adalah harga jualan atas jalan belum termasuk insurans.

     
     
  • GWM Haval H6 HEV 2024 dilancarkan di Malaysia; RM140k, 243 PS, waranti enjin & hibrid 1 juta KM

    GWM Haval H6 HEV 2024 dilancarkan di Malaysia; RM140k, 243 PS, waranti enjin & hibrid 1 juta KM

    GWM Malaysia hari ini secara rasminya telah pun melancarkan Haval H6 pada pasaran Malaysia. Ia ditawarkan hanya dalam satu varian iaitu HEV Ultra yang datang dengan unit rangkaian kuasa hibrid petrol elektrik, dijual pada harga atas jalan tanpa insuran RM139,800.

    Operasi pemasangan tempatan (CKD) model ini telah pun bermula di mana kilang milik EP Manufacturing Berhad (EPMB) yang terletak di Taman Perindustrian Hicom Pegoh, Melaka tersebut telahpun mula menghasilkan unit pertamanya bulan lalu. Namun sebelum ini kami difahamkan bahawa bagi 100 unit pertama adalah unit CBU yang diimport terus dari China.

    Model ini dihasilkan dengan dimensi panjang 4,683 mm, lebar 1,886 mm dan tinggi 1,724 mm. Jarak rodanya pula adalah sejauh 2,738 mm, lebih jauh berbanding saingan-saingan terdekatnya seperti Proton X70 (2,670 mm), Honda CR-V (2,660 mm) dan Mazda CX-5 (2,700 mm).

    GWM Haval H6 HEV 2024 dilancarkan di Malaysia; RM140k, 243 PS, waranti enjin & hibrid 1 juta KM

    Manakala untuk unit rangkaian kuasa, ia menggabungkan enjin empat silinder 1.5 liter turbo berkuasa 150 PS/230 Nm dengan motor elektrik 177 PS/300 Nm yang disepadukan dalam transmisi DHT dua kelajuan. Ini membolehkan kuasa keseluruhan yang dibekalkan adalah 243 PS dan 530 Nm, dengan penggunaan bahan api di sekitar 5.2l/100 km.

    Antara perincian standard yang diberikan pada Haval H6 Hybrid Ultra pasaran Malaysia ini termasuk lampu hadapan LED matrix, gril hadapan ‘Star Matrix’, bumbung suria panaromik dan rim aloi 19-inci dalam kemasan hitam berkilat.

    Manakala pada bahagian kabin, ia diberikan skrin infotainmen 12.3-inci dengan sokongan Android Auto dan Apple CarPlay dan juga paparan instrumen digital dengan skrin 10.25-inci.

    GWM Haval H6 HEV 2024 dilancarkan di Malaysia; RM140k, 243 PS, waranti enjin & hibrid 1 juta KM

    Perincian standard lain yang turut diberikan termasuk sistem pendingin hawa dua-zon dengan pembersih udara ion negatif, liang penghembus kabin belakang, lampu suasana kabin, cermin pandang belakang auto-malap, pintu tailgate bantuan kuasa dengan penderia kaki, pengecas telefon pintar tanpa wayar Qi, tempat duduk ‘bos’ untuk penumpang hadapan dengan suis larasan pada bahagian bahu, paparan head-up dan sistem audio dengan lapan pembesar suara.

    Lima warna badan ditawarkan untuk Haval H6 pasaran Malaysia ini iaitu Energy Green, Sun Black, Ayers Silver, Hamilton White dan Crayon Grey. Manakala pada sebelah dalam ia menerima balutan kulit Nappa dengan tema yang menggabungkan warna hitam dan putih serta perapi-perapi kemasan Rose Gold.

    Untuk kelengkapan keselamatan pula, ia diberikan enam-beg udara, kamera 360-darjah, sistem bantuan parkir, dan juga sistem bantuan pemanduan termaju (ADAS) dengan fungsi seperti brek kecemasan automatik, cruise control adaptif kelajuan penuh, bantuan kesesakan trafik, amaran lintasan trafik belakang serta bantuan tukar lorong.

    Setiap pembelian Haval H6 HEV ini ditawarkan dengan waranti kenderaan dari pengeluar selama 7 tahun atau 200,000km. Ia juga diberikan waranti khas untuk enjin selama 10-tahun atau sejuta kilometer (yang mana sampai dahulu) dan juga waranti untuk sistem hibrid elektrik selama 8-tahun atau sejuta kilometer (yang mana sampai dahulu).

    Waranti enjin dan sistem hibrid berkenaan hanya sah untuk pemilik pertama dan didaftarkan sebagai kenderaan persendirian sahaja. Untuk sistem hibrid elektrik tersebut komponen yang terlibat dalam waranti yang ditawarkan adalah termasuk kotak gear Dedicated Hybrid Transmission (DHT), bateri dan kabel voltan tinggi dan juga kotak komputer kawalan transmisi (TCU).

    Khas untuk pembeli terawal, GWM Malaysia menawarkan rebat sebanyak RM3,000 bagi mereka yang tempahan sebelum 20 Oktober 2024. Selain itu pembeli yang mendaftar Haval H6 mereka pada tahun 2024 turut akan menerima pakej servis percuma (termasuk kos buruh dan alat ganti) selama 5 tahun. Manakala jika anda merupakan seorang pemilik mana-mana kenderaan jenama Haval, GWM Malaysia turut memberikan rebat tambahan sebanyak RM3,000 sekiranya embelli SUV ini.

    Sebelum dilancarkan, kami telahpun menguji SUV ini dan laporan pandu uji tersebut boleh anda baca pada PAUTAN INI.

     
     
  • Indonesia sasar laksana biodiesel B50 pada 2025, jimatkan kos import bahan api RM86b setahun

    Indonesia sasar laksana biodiesel B50 pada 2025, jimatkan kos import bahan api RM86b setahun

    Indonesia merancang untuk melaksanakan campuran wajib 50% minyak sawit biodiesel menjelang awal tahun depan. Menurut bakal Presiden Indonesia, Prabowo Subianto, itu akan mengurangkan perbelanjaan import bahan api Indonesia sebanyak US$20 bilion (RM85.6 bilion) setahun, lapor Reuters.

    Indonesia merancang untuk meningkatkan campuran dalam biodieselnya daripada 35% kepada 40% menjelang Januari tahun depan dalam usahanya untuk mengurangkan import bahan api dan emisi dari bahan api fosil.

    Persatuan Pengeluar Bahan Api Bio Indonesia (APROBI), pula memaklumkan, pengeluar biodiesel memerlukan masa untuk menguji campuran biodiesel B50 dan untuk meningkatkan kapasiti pengeluaran bagi memenuhi permintaan.

    “Sesetengah pengeluar biodiesel mungkin perlu masang kelengkapan baru untuk memenuhi standard, dan ini memerlukan enam bulan. Setelah itu, ujian komersialisasi, yang turut memerlukan ujian ke atas kenderaan serta ujian penyimpanannya juga memerlukan enam bulan,” jelas pakar biodiesel Institut Teknologi Bandung, Tatang Hernas Soerawidjaja.

    Indonesia sasar laksana biodiesel B50 pada 2025, jimatkan kos import bahan api RM86b setahun

    Di Malaysia, mandat untuk campuran biodiesel B30 merupakan sebahagian daripada Rancangan Peralihan Tenaga Kebangsaan (NETR) yang dilancarkan pada Ogos tahun lalu, yang telah meletakkan sasaran tahun 2030 untuk mandat B30 berkenaan dilaksanankan

    Ketika ini, jualan runcit diesel campuran B7 dibezakan dengan penggunaan kepala pam biru, manakala campuran B10 pula menggunakan kepala pam hitam di semua stesen minyak. Setakat minggu lalu, diesel B10/B20 diijual dengan harga RM2.95 seliter, sementara campuran B7 dengan harga RM3.15 seliter. Diesel di Sabah dan Sarawak kekal RM2.15 seliter.

    Beberapa produk trak komersial seperti Mercedes-Benz dan Mitsubishi Fuso telah mempersiap kenderaan mereka untuk boleh menggunakan campuran biodiesel yang lebih tinggi. Sebagai contoh, Mercedes Actros dan Arocs 2024, serta Mitsubishi Fuso Canter TF 2024 yang baru dilancarkan boleh menggunakan biodiesel B30.

     
     
  • Denza D9 sah masuk Malaysia — BYD lantik Sime Darby Auto Imports sebagai pengimport sub-jenama

    Denza D9 sah masuk Malaysia — BYD lantik Sime Darby Auto Imports sebagai pengimport sub-jenama

    Seperti dijangkakan, BYD akan membawa masuk sayap jenama mewahnya Denza ke pasaran Malaysia. Perkara itu semakin jelas dengan pelantikan Sime Darby Auto Imports sebagai pengimport rasminya dan BYD Malaysia akan bertindak sebagai pengedar produk Denza di negara ini. Perjanjian tersebut ditandatangani semalam oleh kedua-dua pihak dan BYD Auto Industry.

    Pengeluar dari China itu memaklumkan syarikat itu ingin menyediakan pilihan yang pelbagai kepada pelanggan di Malaysia melalui inovasi barisan produk Denza. “Kami berbesar hati untuk bekerjasama dengan Sime Darby Auto Imports untuk membawa masuk Denza ke pasaran Malaysia, sekaligus menjadi penanda aras baru bagi BYD dalam usaha kami untuk melebarkan penawaran EV di Asia Tenggara,” jelas Pengurus Besar, Bahagian Jualan Auto Asia Pasifik BYD, Liu Xueliang.

    Denza D9 sah masuk Malaysia — BYD lantik Sime Darby Auto Imports sebagai pengimport sub-jenama

    Pengarah Urusan, Perniagaan Strategik dan Pemasangan Sime Darby Motors, Dennis Ho berkata, termeterainya perjanjian tersebut secara rasmi turut menjadi penanda aras baru bagi syarikat itu dalam kerjasamanya dengan BYD. “Kami ingin mengeratkan lagi kerjasama dengan BYD melalui usaha terbaru ini, memperluas kehadiran kami dalam pasaran EV disamping mempelbagaikan lagi portfolio EV Sime Darby. Kami komited untuk memainkan peranan penting dalam mempercepat pertumbuhan EV di Malaysia dan dengan kehadiran Denza, ia akan menyumbang dengan lebih kukuh ke arah itu,” jelasnya.

    Masih belum ada sebarang kenyataan rasmi tentang barisan produk yang akan ditawarkan, model pertama yang dijangka akan diperkenalkan di sini ialah Denza D9 MPV, mungkin sekitar suku pertama 2025 nanti.

     
     
  • Aveta VTM 250 dilancar untuk pasaran Malaysia – enjin 250 cc, enam kelajuan, dua varian, harga dari RM13k

    Aveta VTM 250 dilancar untuk pasaran Malaysia – enjin 250 cc, enam kelajuan, dua varian, harga dari RM13k

    Pengedar motosikal Aveta di Malaysia, Aveta Global Marketing Sdn Bhd melancarkan sebuah model baru, VTM 250 yang ditawarkan dalam dua varian iaitu RM12,988 untuk LX dan RM13,388 untuk M. Jaminan yang diberikan adalah selama satu tahun atau 10,000 km.

    Menggerakkan VTM 250 ini adalah enjin satu silinder empat lejang 250 cc dengan SOHC, sistem suntikan bahan api dan penyejukan minyak, digabungkan bersama transmisi enam kelajuan, mampu menghasilkan 18.8 hp pada 8,500 rpm dan 18 Nm pada 6,500 rpm.

    Bagi varian LX, ia datang dengan padanan rim 21 inci dengan tayar 90/90 di hadapan dan 18 inci dengan tayar 120/80 di belakang, sementara M pula diberikan dengan rim spoked 17 inci dengan tayar 110/70 di hadapan dan 130/70 di belakang.

    Suspensi yang terdiri daripada fork USD dan monoshock dengan pelarasan pra beban diberikan pada VTM 250 ini namun disebabkan oleh rim yang berbeza, ketinggiannya juga menjadi berbeza dengan LX terletak lebih tinggi, iaitu 305 mm dari tanah, manakala M pula 290 mm.

    Untuk brek, kedua-dua varian mendapat tetapan cakera di hadapan dan belakang, tetapi M dinaik taraf dengan sistem ABS (single-channel hadapan), menjadi antara sebab harganya juga lebih tinggi.

    Berat keseluruhan VTM 250 adalah 125 kg dan ia datang dengan tangki bahan api lapan liter. Untuk varian LX, ia ditawarkan dalam dua warna iaitu merah dan hijau, sementara M pula tersedia dalam warna merah dan biru.

    GALERI: Aveta VTM 250 LX

    GALERI: Aveta VTM 250 M

     
     
  • Proton eMas sah guna janaan sama seperti Geely Galaxy E5 — 218 PS/320 Nm, 0-100 km/j dalam 6.9 saat

    Proton eMas sah guna janaan sama seperti Geely Galaxy E5 — 218 PS/320 Nm, 0-100 km/j dalam 6.9 saat

    Proton eMas 7 Tour kini sedang berlangsung, yang akan membawa EV berkenaan merentas jarak sejauh 2,000 km mengelilingi seluruh negara. Selesai di Negeri Sembilan, Melaka dan Johor, Proton umumkan pula kembara berkenaan akan bergerak ke Perak, P. Pinang, Kedah dan Perlis pula bermula Jumaat.

    Lebih menarik, hantaran berkenaan turut menyatakan yang eMas 7 boleh mencapai kelajuan 0-100 km/j dalam masa 6.9 saat — angka yang sama dengan Geely Galaxy E5. Ini secara tidak langsung mengesahkan yang kedua-dua model terbabit menggunakan sistem janaan yang sama — motor tunggal di depan yang menghasilkan sebanyak 218 PS (160 kW) dan 320 Nm tork. Geely menawarkan dua pilihan bateri, 49.52 kWj dengan jarak CLTC sejauh 440 km dan 60.22 kWj dengan jarak hingga 530 km dengan sekali cas.

    Di atas kertas, pecutan 6.9 saat itu juga menjadikannya kereta Proton pertama yang mampu memecut sepantas itu setakat ini, jauh lebih pantas berbanding Satria GTi dahulu dengan 7.8 saat, dan X50 Flagship yang didakwa sepantas 7.9 saat.

    Proton eMas sah guna janaan sama seperti Geely Galaxy E5 — 218 PS/320 Nm, 0-100 km/j dalam 6.9 saat

    Proton eMas 7 yang merupakan versi pemanduan sebelah kanan bagi Geely Galaxy E5, bukanlah rebadge semata. Proton mendakwa syarikat itu telah melakukan pelbagai ujian tempatan dan telah meminta untuk dilakukan 49 ujian tambahan — sebahagiannya unik untuk Proton — bagi memastkan eMas 7 mampu memenuhi piawaian global dan tempatan. Ini termasuklah ujian prestasi dengan beban dan kawalan kestabilan.

    eMas 7 juga mempunyai kemampuan meredah air setinggi 400 mm, yang bahkan lebih tinggi berbanding kembar Geely-nya. Bahagian suspensinya juga didakwa telah diberikan talaan khusus untuk pasaran tempatan. Ia lebih keras berbanding spesifikasi China, memberikan keselesaan dan kawalan yang lebih baik sekaligus.

    Proton eMas 7 akan dipamerkan di acara Auto Car Expo (ACE) 2024 anjuran paultan.org yang akan berlangsung pada 26-27 Oktober 2024 di Pusat Persidangan Setia City (SCCC). Jangan lupa untuk berkunjung ke sana untuk melihat Proton eMas 7 dari dekat.

     
     
  • Kereta lumba Proton S70 R3 sah guna enjin Campro 1.6L dan kit aero lebih agresif dari versi konsep

    Kereta lumba Proton S70 R3 sah guna enjin Campro 1.6L dan kit aero lebih agresif dari versi konsep

    Minggu lalu Proton telah menyiarkan video pertama berkenaan kereta lumba terbaharunya iaitu Proton S70 yang ‘telah hidup’ dibina oleh pasukan Proton R3 dan bersedia untuk perlumbaan Sepang 1000KM (S1K) pada bulan November nanti. Malam tadi satu lagi video berkenaan kereta Lumba tersebut disiarkan, kali ini menampilkan naib CEO Proton Roslan Abdullah yang menerangkan mengapa S70 dipilih sebagai jentera lumba baharu jenama itu.

    Apa yang menarik, video ini turut menyiarkan rakaman ketika sesi shakedown pertama Proton S70 R3 tersebut di Litar Antarabangsa Petronas Sepang pada 2 Oktober lalu, dan dengan jelas enjin yang disumbat dalam perut sedan tersebut adalah enjin Campro 1.6L S4PH!

    Enjin ini telah terbukti tahan dan berkuasa digunakan dalam kereta-kereta lumba Proton R3 termasuk Satria Neo, Preve, Suprima S, Iriz dan Saga, membolehkan pasukan tersebut menang lima gelaran juara S1K untuk tahun 2012, 2014, 2017, 2018 dan 2019.

    Untuk versi terakhir yang dipadankan pada Saga dan juga Iriz yang memenangi S1K untuk tahun 2018 dan 2019, enjin berkenaan mampu menghasilkan lebih dari 200 hp pada roda hadapan, dan ia digandingkan dengan kotak gear manual perlumbaan jenis dog box.

    Dalam video ini juga mendedahkan bahawa rupa luaran kereta lumba sebenar Proton S70 R3 ini agak berbeza berbanding model konsep ‘mock-up’ yang didedahkan ketika berlangsungnya Malaysia Autoshow 2024 Mei lalu. Ia nampaknya tidak menggunakan kit badan yang sama seperti model produksi, di mana spoiler hadapan diganti dengan unit yang lebih besar sama seperti kereta lumba Iriz dan Saga sebelum ini, dan tidak dipadankan dengan skirt sisi. Namun spoiler belakang masih nampak serupa seperti versi konsep.

    Juga dapat dilihat S70 R3 ini turut menerima set brek perlumbaan dengan sudut camber suspensi hadapan yang ditala dengan sudut negatif. Manakala pada bahagian dalaman, S70 ini turut menerima perlatan-peralatan yang sama seperti kereta-kereta lumba R3 yang lain sebelum ini termasuk paparan instrumen perlumbaan Motec, tempat duduk perlumbaan, rollcage, set padel box, tangki bahan api perlumbaan dengan sistem isian pantas dan pelbagai lagi.

    Kereta lumba Proton S70 R3 sah guna enjin Campro 1.6L dan kit aero lebih agresif dari versi konsep

    Proton S70 R3 ini dibangunkan berdasarkan regulasi kelas MTC yang bukan sahaja untuk S1K, malah turut sah digunakan untuk perlumbaan Malaysian Championship Series (MCS). Regulasi MTC tersebut memerlukan kereta yang bertanding menggunakan enjin produksi yang boleh diubahsua dengan sesaran maksima 1.6 liter tanpa pengecas turbo, dan ia adalah seiras dengan undang-undang Group A FIA yang memerlukan ia menggunakan kerangka badan sebenar sama seperti model yang dijual untuk jalan raya.

    Ini merupakan kereta lumba pertama Proton R3 yang dibina menggunakan asas dari model yang dibangunkan dengan kerjasama Geely. Dalam video ini En. Roslan menyatakan bahawa walaupun kereta-kereta lumba Proton R3 sedia ada yang telah terbukti masih boleh memberikan kemenangan kepada pasukan itu, mereka perlu menghasilkan satu kereta lumba baharu bagi mencabar diri sendiri menggunakan platform baharu ini.

    Beliau turut mendedahkan bahawa pasukan R3 sendiri yang meminta untuk membangunkan kereta lumba baharu ini ketika S70 masih sedang dibangunkan bersama Geely.

    GALERI: Kereta lumba Proton S70 R3 Concept

    GALERI: Gambar rasmi Proton S70 R3 Concept

     
     
  • Tokyo Auto Salon Kuala Lumpur 2024 dijangka lebih meriah, terus disokong penala-penala Jepun

    Tokyo Auto Salon Kuala Lumpur 2024 dijangka lebih meriah, terus disokong penala-penala Jepun

    Tokyo Auto Salon Kuala Lumpur (TASKL) 2024 secara rasminya diumumkan akan berlangsung pada 8 hingga November ini, diadakan di tempat sama penganjuran kali pertamanya tahun lalu iaitu di di Pusat Pameran & Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC).

    Acara ini dianjurkan oleh Element X Strategies sebagai Pemegang Lesen Rasmi Tunggal dan MUSE Group Asia sebagai Penganjur Bersama, dengan kerjasama San Ei Corporation sebagai pemilik harta intelek Tokyo Auto Salon, dan Persekutuan Tokyo Auto Salon. Buat masa sekarang Malaysia masih merupakan satu-satunya negara yang diberi hak untuk menganjurkan Tokyo Auto Salon di luar Jepun.

    Bagi tahun ini TASKL menampilkan ruang acara seluas iaitu 170,000 kaki persegi berbanding 130,000 kaki persegi tahun lalu. Ia akan membawa semula penala-penala terbaik Jepun ke Malaysia antaranya Smoky Nagata dari Top Secret, Veilside, Trust/Greddy dan lain-lain. Selain itu jenama seperti Option, Tomica dan juga San Ei Corporation turut dibawa bagi memberikan suasana seperti benar-benar di Makuhari Messe.

    Tokyo Auto Salon Kuala Lumpur 2024 dijangka lebih meriah, terus disokong penala-penala Jepun

    Sebanyak 300 kereta ubahsuai akan dipamerkan pada acara ini, di mana 15 unit daripadanya dibawakan khas dari Jepun. Antara aktiviti yang akan berlangsung termasuk pertandingan autoshow yang akan diadili oleh juri dari kalangan penala-penala Jepun, perhimpunan kelab-kelab kereta, jualan baran-barang kenderaan, demonstrasi drift, cabaran perlumbaan simulator, pertandingan audio kenderaan, pertandingan pop & bang dan juga persembahan-persembahan secara langsung.
     
    Bagi yang mengumpul kereta model skala, TASKL 2024 turut bakal menampilkan model edisi terhad Nissan GT-R R33 Nismo 400R yang dihasilkan sempena acara ini. Ia merupakan model diecast keluaran Inno64 dalam skala 1/64, menampilkan warna chameleon dan juga logo TASKL 2024 pada bahagian sisi. Untuk membeli kereta ini, anda perlulah membeli tiket terlebih dahulu sama ada secara atas talian atau di kaunter, sementara stok masih ada.
     
    Acara ini turut menawarkan hadiah cabutan bertuah iaitu sebuah Honda Civic Type R FK8 yang diberikan kit dan beberapa peralatan dari Mugen. Kereta tersebut merupakan model 2019 tetapi masih belum didaftarkan di Malaysia, dan menerima beberapa peralatan tingkat taraf termasuk kit badan Mugen, tombol gear Mugen, lampu belakang Mugen, set rim aloi forged Rays Engineering TE37 berdiameter 20-inci dan juga sistem ekzos aftermarket.

    Untuk membolehkan anda layak mendapat peluang memenangi FK8 tersebut, pengunjung terlebih dahulu perlu membeli tiket dan kemudian membuat bayaran tambahan sebanyak RM28. Tiket bertuah berkenaan akan dicabut di pentas utama pada pukul 8 malam hari terakhir acara itu berlangsung iaitu pada 10 November 2024. Sekiranya pemenang tersebut tidak berada di tapak acara berkenaan, pihak penganjur akan menghubunginya melalui telefon.

    Namun sekiranya tiga kali panggilan tidak dijawab, penganjur akan membuat cabutan yang lain. Sekiranya panggilan dijawab, pemenang tersebut masih perlu menjawab tiga soalan mudah bagi melayakkannya sebagai pemenang Civic Type R tersebut. Walau bagaimanapun kos untuk pendaftaran termasuk insuran, cukai jalan, pengangkutan dan lain-lain yang berkaitan perlu ditanggung oleh pemenang.

    Tiket untuk TASKL 2024 kini sudahpun mula dijual atas talian menerusi laman web rasmi acara ini. Pengunjung masih boleh membeli tiket berkenaan menerusi kaunter yang dibuka di MITEC, namun ia mesti dibeli sebelumnya pukul 6 petang pada 10 November.

    Selain itu, sebuah BMW E36 325i yang telah diubahsuai juga turut ditawarkan sebagai hadiah menerusi pertandingan yang dianjurkan oleh salah satu pempamer di TASKL 2024 ini iaitu YRN Custom. Pertandingan ini dibuka untuk semua pengunjung TASKL 2024 yang telah berbelanja sekurang-kurangnya RM15, dan pemenang akan diumum pada 10 November.

    “Dengan 91,000 pelawat yang direkodkan di Tokyo Auto Salon Kuala Lumpur yang julung kali diadakan pada 2023, kami perlu meningkatkan tahap acara kami tahun ini. Jangkaan daripada peminat akan terus meningkat dan yakinlah, kami telah menyusun rancangan yang tidak akan mengecewakan mereka,” kata Pengarah dan Ketua Pegawai Eksekutif Element X Strategies Jason Yap.

    “Seperti acara asal di Jepun, banyak perancangan dan persiapan telah dilakukan untuk memastikan pameran tahun ini terus mengatasi jangkaan peminat,” tambahnya

    “Penala dan pempamer Jepun yang mengambil bahagian pada 2023 sangat terkejut dengan penerimaan peminat Malaysia yang mereka akan kembali dengan cara yang lebih besar tahun ini,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MUSE Asia Encik Riduwan Matni pula.

    Tiket biasa untuk acara itu dijual pada harga RM60 untuk sehari, manakala pas untuk tiga hari turut ditawarkan dengan harga RM120. Tiket untuk kanak-kanak berumur antara 6 dan 12 tahun pula dijual pada harga RM30 sehari dan RM60 untuk pas 3 hari. Kanak-kanak di bawah umur 6 tahun pula boleh masuk secara percuma, manakala untuk pemegang kad OKU (termasuk 1 penjaga jika diperlukan) pula berhak mendapat potongan 50% daripada harga tiket.

    Tahun ini TASKL turut memperkenalkan tiket Express Lane berharga RM80 sehari bagi membolehkan anda ‘memotong barisan pada hari acara tersebut berlangsung. Untuk lebih istimewa, anda juga boleh membeli pas VIP berharga RM150 sehari yang melayakkan pemegang tiket akses percuma ke ruang lounge VIP.

    Tak cukup dengan itu pihak penganjur juga menyediakan akses istimewa Black Tag pada harga RM1,500. Dengan Black Tag ini anda akan menerima keistimewaan termasuk akses untuk 3 hari penuh termasuk ke lounge Black Tag dan Japan Pavillion Cars, parkir valet percuma, barangan-barangan eksklusif TASKL 2024 dan banyak lagi.

     
     
  • Ducati Scrambler Icon Dark, Full Throttle 2025 didedah

    Ducati Scrambler Icon Dark, Full Throttle 2025 didedah

    Ducati memperkenalkan dua varian baru untuk Scrambler 803, dipanggil sebagai Icon Dark dan Full Throttle. Dua model ini membawa penampilan yang berbeza, sementara ciri teknikal masihnya tidak berubah seperti Scrambler generasi kedua yang diperkenalkan pada tahun 2022.

    Bagi Icon Dark, secara asasnya ia sama sahaja seperti Scrambler Icon yang merupakan versi asas, tetapi ia dijadikan serba gelap dengan sebahagian besar panel serta enjinnya menggunakan warna hitam. Kemudiannya, tiada panel penghadang lumpur di bawah bahagian belakang tempat duduk, dan tempat meletak nombor plet dijadikan lebih ringkas.

    Full Throttle juga mendapat perincian bahagian belakang yang sama, tetapi kemudiannya ia ditambah dengan panel tepi yang menempatkan nombor 62 (simbolik tahun Ducati Scrambler pertama diperkenalkan), penghadang lumpur hadapan yang pendek seperti Nightshift serta pemegang yang lebih rendah.

    Sebagai varian Scrambler 803 yang paling tinggi, Full Throttle didatangkan secara standard dengan ekzos Termignoni, quickshifter serta lampu penunjuk arah LED Ducati Performance. Meskipun sebelum ini sudah ada Scrambler Full Throttle, ia cuma ditawarkan dalam warna merah, sementara model baru ini menggunakan warna gabungan hitam dan emas.

    Seperti yang dinyatakan awal tadi, bahagian mekanikal tidak berubah, bermula dengan enjin yang menggunakan unit Desmodue dua silinder L 803 cc penyejukan udara yang digabungkan bersama transmisi enam kelajuan untuk menghasilkan kuasa 73 hp pada 8,250 rpm dan tork 65.2 Nm pada 7,000 rpm.

    Melalui penggunaan sistem ride-by-wire, Scrambler ini dapat menyediakan dua mod tunggangan (Road dan Wet), kawalan cengkaman dan Cornering ABS. Informasi penting motosikal dipaparkan melalui skrin TFT 4.3 inci berwarna penuh dan ia juga boleh disambung kepada telefon pintar (pilihan tambahan).

    Rim aluminium berbeza saiz digunakan pada Scrambler, iaitu 18 inci dengan tayar 110/80 di hadapan dan 17 inci dengan tayar 180/55 di belakang. Memegangnya masing-masing adalah fork USD 41 mm dan monoshock Kayaba dengan pelarasan pra beban, sementara brek pula terdiri daripada unit cakera tunggal 330 mm dengan angkup Brembo empat piston di hadapan dan cakera tunggal 245 mm dengan angkup satu piston di belakang.

    Perincian lain Scrambler Icon Dark dan Full Throttle juga adalah sama, termasuk berat tanpa minyak 176 kg, tangki bahan api 14.5 liter serta tinggi tempat duduk 795 mm.

    GALERI: Ducati Scrambler Icon Dark 2025

    GALERI: Ducati Scrambler Full Throttle 2025

     
     
  • ACE 2024: Kereta Volkswagen idaman dari RM159,990 — rebat hingga RM38k, servis percuma 5-tahun

    ACE 2024: Kereta Volkswagen idaman dari RM159,990 — rebat hingga RM38k, servis percuma 5-tahun

    Sudah bersedia untuk Auto Car Expo (ACE) 2024, yang ditaja bersama oleh Carro? Acara ini bakal berlangsung pada 26-27 Oktober 2024 di Pusat Persidangan Setia City (SCCC). Masuk adalah percuma!

    Antara jenama yang akan ikut serta ialah Volkswagen. Melalui kempen Love? Volkswagen yang sedang berlangsung, anda akan jimat sebanyak RM38k bagi model Touareg R-Line dan RM36k untuk Arteon R-Line 4Motion — menjadikan harga masing-masing model tersebut RM434k dan RM264k.

    Jika inginkan SUV tujuh-tempat duduk, ada Tiguan Allspace, dengan varian pertengahan Elegance diberikan potongan harga sebanyak RM30k, menjadikan harganya RM165,590. Bagi varian paling rendah, Life ia dijual dengan harga RM149,590 (jimat RM17k) atau varian R-Line yang paling tinggi dengan enjin 2.0 liter TSI dan 4Motion dengan harga RM233k (jimat RM14k).

    Tidak ketinggalan, model Golf GTI dalam penawaran Mk8 terkini juga ditawarkan dengan harga RM244k, melibatkan penjimatan sebanyak RM9k. Turut akan dipamerkan di ACE 2024 ialah Golf GTI Edition 50! Semua model ini ditawarkan dengan penyelenggaraan percuma lima-tahun, jaminan tanpa had perbatuan lima-tahun serta bantuan tepi jalan lima-tahun.

    ACE 2024: Kereta Volkswagen idaman dari RM159,990 — rebat hingga RM38k, servis percuma 5-tahun

    Selain Volkswagen, jenama yang turut akan berada di ACE 2024 termasuklah Toyota, Proton, Perodua, Ford, BYD, Mitsubishi, MG serta smart dan eMas yang diuruskan oleh Pro-Net.

    Semua jenama tersebut juga akan turut disertai juga oleh BMW/MINI (menerusi Auto Bavaria), Mercedes-Benz (menerusi Hap Seng Star) dan Volvo (menerusi Sime Darby Swedish Auto), serta beberapa jenama lagi di bawah kendalian EON yang turut akan mewakili jenama smart dan Audi, serta Cycle & Carriage dengan jenama Peugeot dan Leapmotor. Untuk motosikal, akan ada jenama BMW Motorrad, serta tidak lupa Trapo yang pelbagai produk melalui Exosystem-nya.

    Seperti PACE, pengunjung ke ACE 2024 turut berpeluang memandu uji barisan kenderaan dari pelbagai jenama yang menyertai acara tersebut. Dan, tidak hanya kenderaan baru yang akan dipamerkan: kenderaan terpakai juga akan dibawa — dengan pelbagai tawaran menarik untuk dinikmati oleh pelanggan, yang tidak ditawarkan di tempat lain.

    ACE 2024: Kereta Volkswagen idaman dari RM159,990 — rebat hingga RM38k, servis percuma 5-tahun

    Ini menjadikan ACE 2024 sebuah acara yang perlu anda kunjungi, kerana akan ada promosi awal sempena hujung tahun yang akan diberikan oleh jenama yang terlibat. Tidak ketinggalan, akan ada juga tawaran berasingan daripada kami di paultan.org.

    200 pelanggan terawal yang membuat tempahan mana-mana kereta baru akan menerima baucar gabungan bernilai RM2,500, yang terdiri daripada RM500 baucar filem penapis haba/coating V-Kool, RM500 baucar Dodomat, RM500 baucar penapis udara Blueair, RM500 baucar untuk balutan kulit kustom DK Schweizer serta RM500 baucar dari Kuzig Glanz untuk filem pelindung cat badan kenderaan.

    Akan ada banyak lagi promosi yang akan diumumkan sempena ACE 2024. Jadi terus perhatikan ruangan ini untuk maklumat lanjut. Tandakan kalender — 26-27 Oktober 2024 — dan jumpa nanti di SCCC. Masuk adalah percuma!

     
     
  • ACE 2024: Jimat hingga RM42k untuk kereta Peugeot, Cycle & Carriage — jaminan 7-tahun, dari RM88k

    ACE 2024: Jimat hingga RM42k untuk kereta Peugeot, Cycle & Carriage — jaminan 7-tahun, dari RM88k

    Dalam tempoh kurang lebih dua minggu lagi acara Auto Car Expo (ACE) 2024 anjuran paultan.org — dengan penaja bersama Carro — bakal berlangsung. Bertempat di Pusat Persidangan Setia City (SCCC) acara berkenaan akan diadakan pada 26-27 Oktober 2024 dan melibatkan pelbagai jenama serta tawaran promosi yang sukar dilepaskan.

    Antara jenama yang akan ikut serta ialah Peugeot. Cycle & Carriage kembali menjual kenderaan Peugeot di Malaysia selepas menandatangi perjanjian dengan Stellantis Malaysia pada Ogos lalu, dan akan mempamerkan barisan kenderaan Peugeot sempena ACE 2024 dengan tawaran menarik.

    Anda berpeluang untuk menikmati penjimatan sebanyak RM42,000. Penjimatan maksimum itu ditawarkan untuk model Peugeot 5008 yang merupakan sebuah SUV tujuh-tempat duduk yang kini dijual dengan harga RM143,388. Selain itu, SUV lima-tempat duduk Peugeot 3008 ditawarkan dengan penjimatan RM40,000, dengan harga bermula RM129,388.

    ACE 2024: Jimat hingga RM42k untuk kereta Peugeot, Cycle & Carriage — jaminan 7-tahun, dari RM88k

    Inginkan yang lebih berbeza? Boleh pertimbangkan trak pikap Peugeot Landtrek, satu-satunya trak pikap dengan lencana jenama Eropah di sini. Ia boleh menjadi milik anda dengan harga dari RM88,388, atau dengan penjimatan RM30,000 dari harga asal. Tidak ketinggalan ialah Peugeot 408 turut akan dipamerkan di ACE 2024.

    Peugeot 3008 dan 5008 didatangkan juga dengan jaminan tujuh-tahun, sementara Landtrek dengan jaminan lima-tahun. Semua kenderaan datang dengan servis penyelenggaraan percuma selama lima-tahun untuk alat ganti, dan anda boleh menambah RM6,000 untuk menikmati servis penyelenggaraan untuk alat ganti dan tenaga kerja untuk lima tahun. Tawaran ini sah untuk model keluaran tahun 2023, selagi stok masih ada.

    Selain Peugeot, jenama yang turut akan berada di ACE 2024 termasuklah Toyota, Proton, Perodua, Ford, BYD, Volkswagen, Mitsubishi, MG serta smart dan eMas yang diuruskan oleh Pro-Net.

    Semua jenama tersebut juga akan turut disertai juga oleh BMW/MINI (menerusi Auto Bavaria), Mercedes-Benz (menerusi Hap Seng Star) dan Volvo (menerusi Sime Darby Swedish Auto), serta beberapa jenama lagi di bawah kendalian EON yang turut akan mewakili jenama smart dan Audi. Untuk motosikal, akan ada jenama BMW Motorrad, serta tidak lupa Trapo yang pelbagai produk melalui Exosystem-nya.

    ACE 2024: Jimat hingga RM42k untuk kereta Peugeot, Cycle & Carriage — jaminan 7-tahun, dari RM88k

    Seperti PACE, pengunjung ke ACE 2024 turut berpeluang memandu uji barisan kenderaan dari pelbagai jenama yang menyertai acara tersebut. Dan, tidak hanya kenderaan baru yang akan dipamerkan: kenderaan terpakai juga akan dibawa — dengan pelbagai tawaran menarik untuk dinikmati oleh pelanggan, yang tidak ditawarkan di tempat lain.

    Ini menjadikan ACE 2024 sebuah acara yang perlu anda kunjungi, kerana akan ada promosi awal sempena hujung tahun yang akan diberikan oleh jenama yang terlibat. Tidak ketinggalan, akan ada juga tawaran berasingan daripada kami di paultan.org.

    200 pelanggan terawal yang membuat tempahan mana-mana kereta baru akan menerima baucar gabungan bernilai RM2,500, yang terdiri daripada RM500 baucar filem penapis haba/coating V-Kool, RM500 baucar Dodomat, RM500 baucar penapis udara Blueair, RM500 baucar untuk balutan kulit kustom DK Schweizer serta RM500 baucar dari Kuzig Glanz untuk filem pelindung cat badan kenderaan.

    Akan ada banyak lagi promosi yang akan diumumkan sempena ACE 2024. Jadi terus perhatikan ruangan ini untuk maklumat lanjut. Tandakan kalender — 26-27 Oktober 2024 — dan jumpa nanti di SCCC. Masuk adalah percuma!

     
     
  • MINI Cooper S 5-Door 2024 dipertonton di M’sia – 2.0L turbo petrol 204 PS/300 Nm; jangkaan dari RM293k

    MINI Cooper S 5-Door 2024 dipertonton di M’sia – 2.0L turbo petrol 204 PS/300 Nm; jangkaan dari RM293k

    MINI Cooper S 5-Door generasi-F65 telah pun dipertontonkan di Malaysia, bersama pelancaran tempatan bagi crossover elektrik MINI Aceman SE. Model generasi-F65 ini diperkenalkan di peringkat dunia pada Jun lalu, dan ia merupakan semakan yang lebih meluas bagi model enjin pembakaran dalaman generasi-F55.

    Dijangka ditawarkan pada harga dari RM293,000 untuk Cooper S 5-Door, dengan Waranti Lanjutan MINI dan Pakej Servis dianggarkan lebih kurang RM10,400, dengan jumlah keseluruhan mencecah RM303,400, menurut BMW Group Malaysia.

    Penjana kuasa bagi MINI Cooper S 5-Door ini ialah 2.0 liter pengecas turbo empat-silinder sebaris petrol yang mampu menghasilkan 204 PS dan tork 300 Nm, memacu roda hadapan menerusi transmisi automatik dwi-klac tujuh-kelajuan. Membolehkannya dipecut dari 0-100 km/j dalam 6.8 saat dan kelajuan maksimum cecah 242 km/j.

    Kelengkapan standard yang diberikan termasuklah roda aloi dua-tona ‘Slide Spoke’ 18-inci, lampu utama dengan bantuan lampu tinggi, kemasan penutup cermin dan bumbung kontras, lampu belakang LED dengan signitur tiga pilihan lampu.

    Di dalamnya, Cooper S 5-Door menerima upholstery tempat duduk kulit Vescin vegan dan kemasan tekstil biru kontras, sementara kemasan papan pemuka dan pintu pula dengan fabik kitar semula polister dua-tona.

    Kelengkapan dalaman bagi Cooper S 5-Door F65 ini termasuklah skrin sesentuh OLED diameter 9.4-inci dijanakan oleh MINI Operating System 9, dengan membawakan MINI Experience Modes Also termasuk akses selesa, pakej cermin luaran dan dalaman serta pilihan mod pemanduan, bersama cermin pandang belakang anti silau dan cagak tempat duduk kanak-kanak ISOFIX.

    Bagi sistem bantuan dan keselamatan, ia diberikan amaran ketibaan lorong dan amaran menukar lorong, amaran pelanggaran hadapan, amaran trafik lintasan belakang, kawalan kelajuan aktif dengan fungsi stop-and-go, bantuan kawalan lorong, bantuan pengehad kelajuan, bantuan parkir tambahan dan bantuan mengundur serta Remote 3D View.

    Sekali lagi, harga jangkaan bagi MINI Cooper S 5-Door generasi F-65 terkini ini dari RM293,000, dengan Waranti Lanjutan MINI dan Pakej Servis dianggarkan lebih kurang RM10,400, dengan jumlah keseluruhan mencecah RM303,400, menurut BMW Group Malaysia.

     
     
  • ACE 2024 oleh paultan.org akan berlangsung 26-27 Oktober ini — pandu uji, baucar dan promosi menanti!

    ACE 2024 oleh paultan.org akan berlangsung 26-27 Oktober ini — pandu uji, baucar dan promosi menanti!

    Auto Car Expo (ACE) anjuran paultan.org bakal kembali untuk edisi tahun 2024, dengan Carro sebagai penaja bersama dan bakal berlangsung pada hujung minggu 26-27 Oktober 2024 bertempat di Pusat Persidangan Setia City (SCCC). Masuk adalah percuma untuk semua pengunjung.

    Lanjutan kepada penganjurannya yang terdahulu, acara berasaskan jualan kenderaan ini bakal membawakan pelbagai barisan odel kenderaan dari pelbagai jenama. Antara jenama yang akan ikut serta sepanjang acara ini berlangsung ialah Toyota, Proton, Perodua, Ford, BYD, Volkswagen, Mitsubishi, MG serta smart dan eMas yang diuruskan oleh Pro-Net.

    Semua jenama tersebut juga akan turut disertai oleh BMW/MINI (menerusi Auto Bavaria), Mercedes-Benz (menerusi Hap Seng Star) dan Volvo (menerusi Sime Darby Swedish Auto), serta beberapa jenama lagi di bawah kendalian EON yang turut akan mewakili jenama smart dan Audi, serta Cycle & Carriage akan mempamerkan jenama Peugeot dan Leapmotor. Untuk motosikal, akan ada jenama BMW Motorrad, serta tidak lupa Trapo yang pelbagai produk melalui Exosystem-nya.

    ACE 2024 oleh paultan.org akan berlangsung 26-27 Oktober ini — pandu uji, baucar dan promosi menanti!

    Sama seperti PACE, pengunjung ke ACE 2024 berpeluang memandu uji barisan kenderaan daripada jenama yang menyertai acara tersebut. Dan, tidak hanya kenderaan baru yang akan dipamerkan: kenderaan terpakai juga akan ditawarkan — dengan pelbagai tawaran menarik untuk dinikmati oleh pelanggan, yang tidak ditawarkan di tempat lain.

    Ini menjadikan ACE 2024 sebuah acara yang perlu anda kunjungi, kerana akan ada promosi awal sempena hujung tahun yang akan diberikan oleh jenama yang terlibat. Tidak ketinggalan, selain tawaran daripada setiap jenama yang terlibat, akan ada juga tawaran berasingan daripada kami di paultan.org.

    ACE 2024 oleh paultan.org akan berlangsung 26-27 Oktober ini — pandu uji, baucar dan promosi menanti!

    200 pelanggan terawal yang membuat tempahan mana-mana kereta baru akan menerima baucar gabungan bernilai RM2,500, yang terdiri daripada RM500 baucar filem penapis haba/coating V-Kool, RM500 baucar Dodomat, RM500 baucar penapis udara Blueair, RM500 baucar untuk balutan kulit kustom DK Schweizer serta RM500 baucar dari Kuzig Glanz untuk filem pelindung cat badan kenderaan.

    Akan ada banyak lagi promosi yang akan diumumkan sempena ACE 2024. Jadi terus perhatikan ruangan ini untuk maklumat lanjut. Tandakan kalender — 26-27 Oktober 2024 — dan jumpa nanti di SCCC.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (-0.04)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.90 (-0.04)
EURO 5 B7 RM3.10 (-0.04)
Last Updated Aug 14, 2025