Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Harga minyak 26 Sept-2 Okt – Semuanya dikekalkan

    Harga minyak 26 Sept-2 Okt – Semuanya dikekalkan

    Bagi minggu bertarikh 26 September hingga 2 Oktober 2024, Kementerian Kewangan (MOF) mengumumkan bahawa harga runcit bagi ketiga-tiga bahan api utama dikekalkan. Di mana harga diesel untuk Semenanjung dikekalkan pada RM2.95 seliter. Begitu juga harga diesel untuk Sabah dan Sarawak masih dikekalkan pada RM2.15 seliter.

    Manakala untuk tempoh yang sama, petrol RON 97 juga dikekalkan pada harga RM3.19 seliter. Ini termasuk juga dengan harga runcit bagi RON 95 yang telah mencapai harga siling masih dikekalkan pada paras RM2.05 seliter.

    Pertengahan Julai lalu, Kementerian Ekonomi berkata, buat masa ini, kerajaan masih meneliti dan menilai semula subsidi dan bantuan yang diberikan kepada rakyat termasuk petrol RON95.

    “Kerajaan juga sedang meneliti keperluan pelaksanaan rasionalisasi subsidi ke atas petrol RON95. Walau bagaimanapun, buat masa ini, tumpuan dan keutamaan akan diberikan kepada pelaksanaan subsidi diesel sehingga penyasaran subsidi diesel menjadi stabil, sekaligus mencapai objektif yang ditetapkan.
    Kerajaan pada masa ini masih meneliti dan menilai semula subsidi dan bantuan yang diberikan kepada rakyat, termasuk petrol RON95,” katanya.

     
     
  • Produksi Proton Saga kotak gear manual tamat tak lama lagi; stok terakhir ditawar hingga hujung tahun

    Produksi Proton Saga kotak gear manual tamat tak lama lagi; stok terakhir ditawar hingga hujung tahun

    Jika anda mahukan Proton Saga dengan kotak gear manual lima-kelajuan, ada baiknya anda bertindak segera untuk menempah model tersebut sekarang. Ini kerana kami baru sahaja disahkan oleh Proton bahawa produksi untuk varian tersebut akan ditamatkan tidak lama lagi, dan jualannya pula bakal berakhir menjelang hujung tahun ini.

    Perkara ini diberitahu oleh Proton kepada wakil kami, Hafriz Shah. Buat masa sekarang Saga dengan kotak gear manual ini hanya ditawarkan pada varian paling asas iaitu 1.3 Standard MT, dijual pada harga atas jalan RM34,800. Ia datang dengan perincian standard seperti lampu hadapan halogen, rim besi 14-inci, sistem brek dengan ABS dan EBD tetapi tidak diberikan sistem kawalan kestabilan elektronik.

    Sekiranya varian 1.3 Standard MT ini dihentikan jualannya kelak, ini bermakna Proton tidak lagi menawarkan sebarang model dengan kotak gear manual. Sebelum ini Proton turut telah menggugurkan pilihan kotak gear manual untuk Iriz dan juga Persona bermula pada versi facelift 2022 yang dilancarkan pada Ogos 2021.

    Produksi Proton Saga kotak gear manual tamat tak lama lagi; stok terakhir ditawar hingga hujung tahun

    Proton Iriz 1.3 Standard MT 2019

    Penyebab utama model-model manual ini dihentikan pengeluarannya adalah kerana permintaannya yang terlalu rendah dan tidak mencapai skala ekonomi yang diperlukan. Pada 2019 Proton menyatakan bahawa hanya lima peratus Saga, tiga peratus Iriz dan dua peratus Persona yang dipadankan dengan kotak gear manual terjual.

    Jumlah kesemua unit-unit dengan kotak gear manual tersebut adalah tidak sampai 2,700 unit, atau kurang empat peratus dari jumlah keseluruhan 67,000 unit ketiga-tiga model itu terjual pada waktu itu.

    Jadi satu-satunya kereta baharu mampu milik dengan kotak gear manual yang boleh anda di bilik pameran selepas ini hanyalah Axia ‘Rahmah’, iaitu Perodua Axia generasi pertama dalam varian paling asas E yang dilancarkan semula pada Jun tahun lalu.

    Model berkenaan diproduksi semula dan dijual di bilik pameran bersama Axia generasi kedua untuk memenuhi permintaan pasaran, kerana model baharu yang diasaskan dari platform Daihatsu New Global Architecture (DNGA) tersebut sudah tidak ditawarkan dengan kotak gear manual.

     
     
  • Beberapa lokasi di Shah Alam dilanda banjir kilat petang ini – berwaspada, rancang perjalanan anda

    Beberapa kawasan di sekitar Shah Alam dilaporkan sedang dilanda banjir kilat selepas hujan lebat turun dalam tempoh lebih sejam sebentar tadi. Menerusi perkongsian netizen di laman media sosial Facebook, antara lokasi yang dinaiki air banjir ialah Jalan Kebun, Kota Kemuning dan Sri Muda.

    Beberapa hari lalu, Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) mengumumkan bahawa fasa peralihan monsun telah pun bermula dan dijangka berlangsung sehingga awal November ini. Justeru, orang ramai dinasihati agar berwaspada dengan perubahan cuaca dan sentiasa peka dengan perkembangan terkini mengenai ramalan cuaca dan amaran yang dikeluarkan oleh jabatan berkenaan menerusi laman web rasmi dan juga saluran media sosial rasmi, serta boleh memuat turun aplikasi myCuaca atau pun hubungi 1-300-22-1638 untuk sebarang informasi berkaitan.

    Justeru, kami menasihati pemilik kenderaan supaya mendapatkan insurans kerosakan akibat banjir atau bencana alam (special perils) untuk kenderaan anda. Dengan adanya insurans bencana alam ini, jika kenderaan kita rosak akibat banjir atau bencana alam lain (termasuk pokok tumbang dan sebagainya), tidaklah kita begitu ‘sengsara’ menanggung kos baikpulih kenderaan kita. Ini kerana, tanpa perlindungan insurans sebegini, kos baikpulih kenderaan yang rosak akibat bencana alam adalah besar dan memang membebankan.

    Beberapa tahun lalu, kami telah kumpulkan bayaran insurans bencana alam ini, daripada beberapa penyedia insurans utama Malaysia, termasuk AIA, AIG, Allianz, AXA, Etiqa, Kurnia, MPI Generali, MSIG, RHB, Takaful dan Tokio Marine. Kadarnya adalah antara 0.15% hingga 0.5% daripada jumlah keseluruhan perlindungan kenderaan anda. Mungkin tahun ini ada perubahan yang dilakukan oleh syarikat insurans, sila rujuk mereka untuk mendapatkan sebut harga yang sahih.

    Apa pun, sekiranya berlaku hujan lebat dan anda parkir kenderaan di kawasan yang berisiko banjir, sila alihkan kenderaan anda ke tempat yang lebih selamat. Atau sekiranya anda tidak pasti adakah lokasi terbabit selamat mahu pun tidak, sila bertambah peka dan jenguk selalu keadaan sekeliling. Jika air banjir sudah mula memasuki kawasan terbabit, bertindaklah dengan segera.

    Sekiranya anda sedang memandu dan laluan terbabit dinaiki air, jangan nak main redah saja. Kita tidak tahu bahaya apa yang menanti di hadapan. Pastikan laluan terbabit selamat untuk dilalui, atau gunakan jalan alternatif jika masih berkesempatan. Jangan mengambil risiko meredah laluan tersebut, bimbang kenderaan anda terperangkap di tengah-tengah banjir dan kemungkinan besar tidak dapat bergerak langsung. Bukan setakat kenderaan anda mungkin mengalami kerosakan, bahkan keselamatan anda dan penumpang juga berada dalam bahaya.

     
     
  • Jualan EV merosot – Persatuan Pengeluar Automobil Eropah minta EU buat penilaian semula sasaran emisi

    Jualan EV merosot – Persatuan Pengeluar Automobil Eropah minta EU buat penilaian semula sasaran emisi

    Persatuan Pengeluar Automobil Eropah (ACEA) telah meminta Kesatuan Eropah (EU) untuk membuat penilaian semula terhadap sasaran tahap emisi untuk kereta dengan enjin pembakaran dalaman berikutan jualan untuk kenderaan elektrik (EV) di benua berkenaan terus merudum bulan lalu.

    Menurut persatuan itu lagi, peralihan kepada kenderaan sifar emisi kini “sangat mencabar, dengan kekuathiran terhadap untuk mencapai sasaran pengurangan emisi untuk kereta dan van yang semakin meningkat,” dan undang-undang sedia ada tidak mengambil kira peralihan dalam geopolitik dan keadaan ekonomi dalam beberapa tahun kebelakangan ini serta “ketidakupayaan yang wujud dalam undang-undang untuk disesuaikan dengan perkembangan dunia sebenar” semakin menghakis daya saing sektor ini.

    Ini akan mengakibatkan “denda berjumlah berbilion euro” untuk pengeluar-pengeluar kenderaan iaitu ahli persatuan itu, di mana kos tersebut boleh digunakan terhadap usaha peralihan kepada emisi sifar, serta boleh mengakibatkan pengurangan produksi yang tidak sepatutnya berlaku, kehilangan pekerjaan, dan melemahkan pembekalan dan nilai rantaian Eropah ketika rantau tersebut berhadapan dengan saingan sengit dari rantau lain yang turut membuat kereta, kata ACEA.

    Jualan EV merosot – Persatuan Pengeluar Automobil Eropah minta EU buat penilaian semula sasaran emisi

    Persatuan itu juga menambah bahawa industri “tak mampu lagi untuk menunggu” untuk undang-undang emisi CO2 di rantau itu untuk disemak semula pada 2026 dan 2027, kerana “langkah segera dan bermakna” diperlukan untuk menaikkan semula jualan kenderaan yang kini sedang merudum, serta untuk mengembalikan semula tahap kompetitif industri serta mengurangkan kelemahan dalam rantau tersebut.

    ACEA juga menyatakan bahawa keperluan segera terhadap semakan itu juga perlu untuk sektor kenderaan tugas berat, bagi memastikan aspek penting infrastruktur sektor berkenaan boleh dipertingkatkan mengikut masa. Oleh itu ACEA menyatakan ia bersedia untuk membincangkan pakej bantuan jangka pendek untuk sasaran pengurangan emisi 2025 bagi kereta dan van, serta “semakan pantas, komprehensif dan mantap bagi Peraturan CO2 untuk kedua-dua kereta dan trak,” ditambah dengan undang-undang sekunder yang disasarkan.

    Jualan kereta baharu di Eropah menurun sebanyak 18.3% secara keseluruhan pada Ogos 2024. Dari jumlah itu, jualan untuk kenderaan elektrik bateri (BEV) menunjukkan penurunan sebanyak 43.9% kepada 92,627 unit, daripada 165,204 unit dalam tempoh yang sama tahun lalu menurut ACEA. Sementara itu, bahagian pasaran yang dipegang oleh BEV di rantau tersebut turun 21% berbanding bulan yang sama pada tahun sebelumnya.

    Jualan EV merosot – Persatuan Pengeluar Automobil Eropah minta EU buat penilaian semula sasaran emisi

    Ia turut menambah bahawa untuk lapan bulan pertama 2024 menyaksikan 902,011 BEV terjual di EU, mewakili 12.6% daripada pasaran. Penurunan jumlah jualan ini didorong oleh penurunan jualan di dua pasaran terbesar untuk BEV di Eropah iaitu Jerman (turun 68.8%) dan Perancis (turun 33.1%).

    Jualan untuk model hibrid plug-in (PHEV) juga menurun sebanyak 22.3% bulan lepas, dan menyumbang 7.1% daripada pasaran kereta EU, turun daripada 7.4% tahun lepas dengan 45,590 unit terjual. Satu-satunya segmen yang mencatat peningkatan jualan adalah kenderaan hibrid elektrik, naik 6.5% kepada 201,552 unit pada Ogos 2024.

    Jualan untuk kenderaan yang dijana sepenuhnya oleh petrol juga jatuh 17.1%, manakala jualan model-model diesel di benua berkenaan jatuh 26.4% dalam tempoh sama.

     
     
  • Ford Ranger XLT Plus Special Edition diperkenalkan — 300 unit, kemasan fender, palang sports; RM144k

    Ford Ranger XLT Plus Special Edition diperkenalkan — 300 unit, kemasan fender, palang sports; RM144k

    Sime Darby Auto ConneXion (SDAC) memperkenalkan Ford Ranger XLT Plus Special Edition versi edisi terhad 300 unit bagi trak pikap generasi semasa yang dilancarkan pada 2022. Versi SE ini didatangkan dengan beberapa perincian hitam kesat dan kelengkapan tambahan, dan dijual dengan harga RM143,888 atas jalan tidak termasuk insurans di Semenanjung, atau RM149,388 untuk Malaysia Timur.

    Varian SE ini menggunakan asas dari Ranger XLT Plus. Kelainan yang diberi termasuklah kemasan fender hitam kesat, palang sport di belakang dalam warna hitam kesat, pelekat hiasan Ranger di bahagian sisi badan serta pelekat sport lain juga dalam hitam kesat.

    Turut disertakan ialah scuff plate tepi pintu dengan lampu LED dan logo Ranger, serta pemegang cawarn di depan corong pendingin sisi bahagian depan. Ford Ranger XLT Plus Special Edition ini boleh dipilih dalam dua warna, iaitu Meteor Grey atau Absolute Black.

    Ranger XLT Plus dikuasakan oleh enjin 2.0-liter biturbo diesel yang menjana sebanyak 210 PS dan 500 Nm tork, dan dipadankan dengan transmisi automatik 10-kelajuan serta sistem Electronic Shift-On-The-Fly 4WD dari Ford sendiri. Kelengkapan lainnya termasuklah skrin sentuh 10.1-inci dengan Apple CarPlay dan Android Auto, kawalan pendingin dua zon dan kluster instrumen digital.

    Ranger XLT Plus Special Edition ada dipamerkan di Ford Experience Hub di Setia City Mall, yang berlangsung bermula hari ini hingga 29 September. 20 pelanggan terawal yang membeli trak pikap melalui sistem tempahan dalam talian SDAC juga akan menerima baucar minyak bernilai RM3,000.

    Kali terakhir versi Ranger yang diperkenalkan di Malaysia ialah Ford Ranger Stormtrak yang lebih garang dan lengkap berbanding Wildtrak, dengan harga RM181,888 pada Mei lalu dan hanya ditawarkan dalam 200 unit sahaja.

     
     
  • BHPetrol, KKDW bersama bangunkan stesen minyak di luar bandar di Pahang, Kelantan, Johor, P.Pinang

    BHPetrol, KKDW bersama bangunkan stesen minyak di luar bandar di Pahang, Kelantan, Johor, P.Pinang

    BHPetrol telah memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) bagi membangunkan beberapa buah stesen minyak, pemasangan panel solar fotovoltaik (PV) dan penempatan produk industri kecil sederhana (IKS) di BHPetromart di kawasan luar bandar di seluruh semenanjung, laporan Bernama.

    MoU terbabit turut ditandatangani antara BHPetrol dengan lapan agensi di bawah kementerian terbabit termasuk Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA), Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (PERDA), Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (KESEDAR), Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH) dan Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (KEJORA).

    Ia turut melibatkan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah (FELCRA) dan anak syarikat Majlis Amanah Rakyat (MARA), MARA Incorporated Sdn Bhd (MARA Inc.). Majlis tersebut disaksikan oleh Timbalan Perdana Menteri (TPM) Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

    Dalam ucapannya, Ahmad Zahid yang juga Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah berkata, BHPetrol melabur sebanyak RM45 juga untuk membangunkan 10 buah stesen minyak di lapan lokasi yang telah dimuktamadkan, dengan dua lagi lokasi masih dalam penelitian.

    BHPetrol, KKDW bersama bangunkan stesen minyak di luar bandar di Pahang, Kelantan, Johor, P.Pinang

    Lokasi yang telah dimuktamadkan untuk pembangunan stesen minyak baharu ini termasuklah Kampung Awah di Temerloh, Pahang, Sri Gading Batu Pahat dan Bandar Penawar di Johor, Taman Kesedar Putra 2 dan Tumbi Rapat, Jeli di Kelantan dan Kubang Menerong di Pulau Pinang.

    Manakala MARA Inc. memperuntukkan RM1.5 juta bagi pemasangan panel solar PV di 50 stesen minyak BHPetrol sedia ada. Di mana Inisiatif itu sebagai langkah permulaan bagi transformasi ke arah tenaga boleh baharu (TBB) selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI yang bermatlamat untuk pengurangan 45% dalam pelepasan karbon menjelang tahun 2030 dan langkah untuk menjadi negara neutral karbon menjelang 2050 serta langkah ke aras teknologi hijau dan Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG).

    TPM turut berkata langkah kementerian itu merupakan satu lagi langkah yang diambil untuk mengurangkan jurang antara luar bandar dan bandar bagi memastikan pertumbuhan ekonomi yang lebih seimbang dan inklusif. Beliau turut merakamkan penghargaan kepada BHPetrol di atas peranannya dalam kerjasama strategik dengan KKDW.

     
     
  • Jabatan Perdagangan AS cadang pengharaman teknologi kenderaan terhubung China dari jalan raya

    Jabatan Perdagangan AS cadang pengharaman teknologi kenderaan terhubung China dari jalan raya

    Jabatan Perdagangan Amerika Syarikat telah mencadangkan pengharaman perisian dan peranti utama berkaitan teknologi keterhubungan oleh pengeluar China daripada digunakan di negara itu atas alasan keselamatan negara. Begitu juga dengan teknologi sama yang memgandungi komponen dari Russia.

    Cadangan itu adalah peningkatan dalam sekatan terhadap kenderaan perisian dan komponen dari China selepas Presiden AS, Joe Biden mengumumkan beberapa tarif baru ke atas barangan dari China, termasuklah duti ke atas kenderaan elektrik buatan China yang akan dinaikkan daripada 25% kepada 100%.

    “Jabatan Perdagangan AS telah mengeluarkan notis cadangan yang jika dipertimbangkan nanti, akan menghalang jualan atau pengimportan kenderaan berketerhubungan yang memanfaatkan teknologi tertentu, serta pengimportan komponen berkaitan itu sendiri daripada negara tersebut, terutamanya dari China dan Russia,” jelas sebuah kenyataan yang dikeluarkan.

    Walaupun kenderaan terhubung menawarkan banyak kelebihan, ia juga membawa ancaman yang semakin meningkat menurut jabatan itu. “Teknologi ini merangkumi sistem komputer yang mengawal pergerakan kenderaan dan mengumpul data sensitif pemandu dan penumpang dan juga dari kamera dan sensor yang membolehkan pemanduan autonomous dan merakam maklumat terperinci berkaitan infrastruktur Amerika,” jelas kenyataan itu lagi.

    Jabatan Perdagangan AS cadang pengharaman teknologi kenderaan terhubung China dari jalan raya

    Jika peraturan ini diluluskan, AS akan mengharamkan kenderaan China daripada pasaran negara itu, dan akan memaksa pengeluar kenderaan Amerika dan negara lain untuk mengeluarkan perisian dan peranti utama yang dibekalkan oleh China daripada kenderaan mereka yang dijual di Amerika Syarikat.

    Ini turut melibatkan ujian kenderaan autonomous daripada pengeluar China di atas jalan Amerika Syarikat, lapor Reuters. Peraturan ini bermaksud semua kenderaan yang dibuat di China akan diharamkan; bagaimanapun, jabatan itu memaklumkan pengeluar China masih boleh memohon “kebenaran khas” sebagai pengecualian.

    Pemerintahan Biden sebelum ini membangkitkan keresahan tentang pengumpulan data terhadap pemandu di AS dan infrastrukturnya oleh kenderaan terhubung yang berhasal dari China, serta kemungkinan manipulasi luar yang dihubungkan melalui internet.

     
     
  • Volvo EX30 dilancarkan di Malaysia – bermula RM189k, 3 varian, sehingga 428 PS/543 Nm dan 476 km WLTP

    Volvo EX30 dilancarkan di Malaysia – bermula RM189k, 3 varian, sehingga 428 PS/543 Nm dan 476 km WLTP

    Model EV paling kecil dari Volvo iaitu SUV Volvo EX30 hari ini secara rasminya dilancarkan di Malaysia selepas lebih setahun ia membuat kemunculan sulung globalnya. Bagi pasaran tempatan, EX30 ini ditawarkan dalam tiga varian iaitu EX30 Plus, EX30 Ultra, dan versi paling berkuasa EX30 Ultra Twin Performance.

    Buat permulaan, EX30 pasaran Malaysia ini akan ditawarkan dalam versi diimport sepenuhnya (CBU) dari China terlebih dahulu untuk unit-unit terawal. Selepas ini ia akan dijual dalam versi pemasangan tempatan (CKD) yang dihasilkan oleh kilang Volvo Shah Alam.

    Berkenaan harga pula, EX30 Plus dijual pada harga atas jalan tanpa insuran RM188,888, EX30 Ultra berharga RM208,888, manakala EX30 Ultra Twin Performance pula berharga RM228,888. Setiap pembelian model ini disertakan dengan waranti selama lima-tahun tanpa had perbatuan, bersama waranti bateri selama lapan-tahun tanpa had perbatuan dan juga servis percuma selama lima-tahun.

    Volvo EX30 dilancarkan di Malaysia – bermula RM189k, 3 varian, sehingga 428 PS/543 Nm dan 476 km WLTP

    Bagi varian EX30 Plus dan EX30 Ultra, digerakkan hanya dengan sebuah motor elektrik berkuasa 272 PS/343 Nm yang hanya memacu roda belakang. Ini membolehkan kedua-dua varian ini memecut dari 0-100 km/j dalam masa 5.3 saat.

    Manakala varian tertinggi EX30 Ultra Twin Motor Performance pula diberikan dua motor elektrik masing-masing memacu gandar hadapan dan belakang, memberikan kebolehan sistem pacuan roda pada SUV ini dengan kuasa keseluruhan 428 PS dan tork maksima 543 Nm. Pecutan 0-100 km/j boleh dibuat hanya dalam masa 3.6 saat, menjadikan ia model produksi Volvo paling pantas pernah dihasilkan.

    Namun ketiga-tiga varian ini dibekalkan dengan bateri yang sama iaitu bateri nikel mangan kobalt (NMC) berkapasiti 69 kWj. Ini membolehkan model dengan motor tunggal bergerak sejauh 476 km dalam kitaran ujian WLTP, manakala model dengan dua motor yang lebih pantas pula boleh bergerak sejauh 450 km dengan satu cas penuh bateri.

    Volvo EX30 dilancarkan di Malaysia – bermula RM189k, 3 varian, sehingga 428 PS/543 Nm dan 476 km WLTP

    Bateri berkenaan mampu menerima pengecas AC dengan input maksima 11 kW bagi membolehkan kuasa dipenuhkan dalam masa 7.5 jam. Manakala dengan pengecas pantas DC yang mampu menangani sehingga 153 kW pula membolehkan jumlah cas dipenuhkan dari 10-80% hanya dalam masa 26.5 minit. Spesifikasi EX30 pasaran Malaysia ini nampaknya jauh lebih baik dari versi pasaran Indonesia yang ditawarkan hanya dalam versi motor tunggal dan bateri LFP 51 kWj yang memberikan jarak gerak 476 km.

    Jika dilihat pada spesifikasi unit rangkaian kuasa, angka yang ditunjukkan adalah sama seperti smart #1. Ini kerana kedua-dua SUV EV tersebut dibina berdasarkan platform Sustainable Experience Architecture (SEA) yang sama. Bagi EX30 ini ia menampilkan ukuran panjang 4,223 mm, lebar 1,837 mm, tinggi 1,555 mm dan jarak roda sejauh 2,650 mm.

    Ia bukan sahaja lebih kecil dari Volvo XC40 dan C40 (217 mm lebih pendek dan 36 mm kurang lebar), malah EX30 ini juga lebih kecil dari kembarnya dari smart #1 yang dihasilkan dengan panjang 4,270 mm dan jarak roda sejauh 2,750 mm

    Volvo EX30 dilancarkan di Malaysia – bermula RM189k, 3 varian, sehingga 428 PS/543 Nm dan 476 km WLTP

    Dengan platform yang dikongsi dengan model-model dibawah jenama Geely yang lain pula, EX30 ini turut menampilkan rekaan yang lebih berkotak, berbeza dari XC40. Namun ia masih tampil dengan signatur utama sebuah Volvo iaitu lampu hadapan dengan lampu nyalaan siang ‘Tukul Thor’ (kali ini dihasilkan dengan susunan LED piksel).

    Ia juga diberikan keempat-empat ruang roda yang ‘berotot’, manakala lampu belakangnya pula direka seakan bentuk-C serta dihubungkan kedua-duanya menerusi jalur LED nipis di atas dan bawah. Jadi walaupun EX30 ini bersaiz kecil, ia masih tampil dengan rupa yang gagah dan lincah.

    Manakala dalam kabin, EX30 tampil dengan rekaan ringkas, terutamanya pada papan pemuka yang bukan sahaja tiada suis fizikal, malah turut tidak mempunyai paparan instrumen untuk pemandu. Kesemua maklumat berkenaan dipaparkan pada hanya satu skrin utama di tengah bersaiz 12.3-inci yang diletakkan secara menegak.

    Skrin berkenaan dikuasakan oleh Android Automotive Operating System (AAOS) yang mengintegrasikan fungsi Google Service seperti Google Maps dan Google Assistant. Ia juga menjadi pusat untuk mengawal fungsi-fungsi lain dalam SUV ini termasuk sistem pendingin hawa. Namun ada beberapa butang fizikal diberikan pada roda stereng, dan ia hanya untuk mengawal beberapa fungsi.

    Kabin EX30 ini juga direka bagi menampilkan ruang storan yang versatil, tetapi dalam masa yang sama mengurangkan penggunaan pelbagai komponen. Sebagai contoh, untuk sistem audio Harman Kardon pada SUV ini menampilkan soundbar yang dihasilkan secara bina-dalam pada papan pemuka, bagi menggantikan pembesar suara pada pintu depan di mana bahagian tersebut dihasilkan dengan ruang storan lebih besar.

    Bagi kelengakapan, model asas EX30 Plus menerima perincian standard seperti rim aloi 19-inci, sistem pemantau angin tayar, sistem kuci pintar yang dibekalkan dengan kunci kad dan tag, pintu tailgate belakang bantuan kuasa, sistem pendingin hawa dua-zon dengan penderia PM2.5, pad pengecas tanpa wayar dan tempat duduk hadapan larasan manual.

    Varian asas ini juga menerima sistem bantuan pemanduan termaju (ADAS) yang memberikan fungsi cruise control adaptif, penderia parkir hadapan dan belakang, pengelak pelanggaran, brek kecemasan automatik, bantuan kekal lorong, amaran keluar loroang, pemantau titik buta bersama bantuan stereng, amaran lintasan trafik dengan brek automatik, pemantau pemandu dan kamera undur.

    Untuk varian EX30 Ultra pula ia menerima tambahan humbug suria panaromik, kamera 360-darjah, sistem bantuan parkir Park Pilot Assist dan juga tempat duduk hadapan larasan elektrik dengan sokongan lumbar empat-hala untuk pemandu. Varian Ultra Twin Performance pula menerima kelengakapan yang sama seperti EX30 Ultra, dibezakan hanya dengan unit rangkaian kuasa yang lebih berprestasi.

    Lima warna badan ditawarkan untuk EX30 pasaran Malaysia ini iaitu Cloud Blue, Moss Yellow, Crystal White, Vapour Grey dan Onyx Black. Kesemua pilihan warna badan ini dipadankan dengan kabin berwarna Indigo yang menampilkan upholsteri gandingan farbik dan kulit sintetik Nordico serta panel-panel kemasan denim dihasilkan dari bahan kitar semula dań juga liang udara berwarna biru.

     
     
  • Polis beri 50% diskaun saman pada 27-29 Sept dalam program Madani Zon Sarawak di Boulevard Mall, Miri

    Polis beri 50% diskaun saman pada 27-29 Sept dalam program Madani Zon Sarawak di Boulevard Mall, Miri

    Sempena dengan Program Madani Rakyat 2024 Zon Sarawak yang akan berlangsung dari 27 hingga 29 September 2024, bertempat di Pekarangan Boulevard Mall, Miri, Sarawak, Polis Diraja Malaysia (PDRM) bakal menawarkan pengurangan bayaran saman trafik sehingga 50% bagi kesalahan terpilih. Kaunter pembayaran saman berkenaan akan dibuka dari jam 9 pagi hingga 4 petang.

    Seperti amalan sebelum ini, pemberian diskaun saman ini tidak ditawarkan untuk kesalahan seperti saman lampu isyarat merah, saman menggunakan lorong kecemasan, saman memotong secara berbahaya dan saman memotong di garisan kembar

    Ini termasuk juga dengan saman Kemalangan, saman Non Compund (NC), saman bicara mahkamah, saman melibatkan lori, saman ubahsuai ekzos dan saman Ops Selamat tahun semasa.

    Jadi, jika anda berada di Miri atau sekitarnya pada tarikh berkenaan, jangan lupa ambil peluang ini untuk mendapatkan kadar diskaun bagi saman trafik terpilih. Sila lunaskan tunggakan saman yang ada bagi mengelakkan nama disenarai hitam atau disekat untuk pembaharuan cukai jalan atau lesen memandu.

     
     
  • Singapura lanjut insentif EV sehingga 31 Disember 2025; rebat untuk kereta hibrid dipotong 50%

    Singapura lanjut insentif EV sehingga 31 Disember 2025; rebat untuk kereta hibrid dipotong 50%

    Kerajaan Singapura telah pun mengumumkan bahawa pemberian insentif bagi menggalakkan penggunaan kenderaan tenaga bersih yang diperkenalkan pada 2021 akan diteruskan sehingga 31 Disember 2025.

    Perkara ini disahkan menerusi kenyataan bersama yang dikeluarkan oleh Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) dan juga Agensi Alam Sekitar Nasional (NEA) republik berkenaan mengenai lanjutan Insentif Penerimaan Awalan EV (EEAI) tersebut.

    Pemilik yang mendaftarkan kereta elektrik dan teksi pada 2025 akan terus menerima rebat sebanyak 45% daripada yuran pendaftaran tambahan (ARF), tetapi ia kini dihadkan pada SGD15,000 berbanding SGD20,000 sebelum ini. Juga, tingkat SGD0 ARF untuk kereta elektrik dan teksi juga akan dilanjutkan sehingga 31 Disember 2025.

    Singapura lanjut insentif EV sehingga 31 Disember 2025; rebat untuk kereta hibrid dipotong 50%

    ARF ialah cukai utama yang dikenakan semasa pendaftaran kenderaan di Singapura dan dikira berdasarkan peratusan (kadar ARF) nilai pasaran terbuka (OMV) kenderaan, iaitu anggaran kos kenderaan sebelum cukai.

    Skim Emisi Kenderaan (VES), yang mengenakan rebat atau surcaj ke atas kenderaan yang dijual di Singapura berdasarkan kadar emisi yang dihasilkan juga telah disemak semula menyebabkan harga untuk kenderaan bukan EV telah terjejas.

    Rebat bagi kenderaan dengan kadar emisi berada dalam jumlah kumpulan A2, yang kebanyakkannya adalah kereta hibrid akan dikurangkan sebanyak 50% dari SGD5,000 kepada hanya SGD2,500 bermula 1 Januari 2025. Sementara VES kumpulan A1 iaitu untuk kebanyakkan EV akan kekal pada SGD25,000.

    Singapura lanjut insentif EV sehingga 31 Disember 2025; rebat untuk kereta hibrid dipotong 50%

    “Dengan rebat VES yang disemak semula berkuat kuasa dan EEAI yang diteruskan, pembeli akan terus menikmati penjimatan kos gabungan sehingga SGD40,000 daripada ARF untuk kereta elektrik dalam tempoh tersebut. Kebanyakan model kereta elektrik akan menikmati tahap rebat yang sama seperti hari ini,” tulis kenyataan bersama itu.

    Dalam kenyataan itu juga mendedahkan bahawa sekitar 20,000 unit EV telah menerima manfaat dari rebat VES dan/atau EEAI tersebut.

    “Kedua-dua EEAI dan VES bersama-sama dapat mengurangkan jurang kos antara kereta tenaga lebih bersih (termasuk kereta elektrik dan hibrid) dan kereta dengan enjin pembakaran dalaman, dan telah membantu meningkatkan penggunaan kereta tenaga bersih. Pendaftaran kereta tenaga lebih bersih telah meningkat kepada sekitar 80% daripada semua pendaftaran kereta baharu antara Januari 2024 dan Ogos 2024,” tambah kenyataan itu lagi.

     
     
  • SYM Husky ADV 300 masuk Malaysia tahun depan – enjin 278 cc 25.5 hp, meter TFT, kawalan cengkaman

    SYM Husky ADV 300 masuk Malaysia tahun depan – enjin 278 cc 25.5 hp, meter TFT, kawalan cengkaman

    Satu lagi model di bawah payung MForce Bike Holdings Sdn Bhd, yang diberitahu akan tiba pada tahun depan adalah SYM Husky ADV 300. Ia ada dipamerkan semasa China International Motorcycle Trade Exhibition (CIMA 2024) awal bulan lalu dan di sini kami sediakan gambarnya.

    Menggunakan asas daripada model Joyride 300, Husky ADV 300 ini kemudiannya diubah untuk memberikan penampilan sebuah motosikal adventure pada skuter, sama seperti Husky ADV 150 yang dilancarkan di pasaran Malaysia April lalu pada harga RM9,998.

    Seperti yang dapat diketahui melalui namanya, Husky ADV 300 ini menggunakan enjin lebih besar, iaitu unit satu silinder SOHC penyejukan cecair 278 cc dengan sistem suntikan bahan api elektronik yang dipadankan bersama transmisi CVT dan mendapat penarafan emisi Euro 5. Kuasa yang mampu dihasilkan adalah 25.5 hp pada 8,000 rpm dan 26 Nm pada 6,000 rpm.

    Rim pada Husky ADV 300 berlainan saiz antara hadapan dan belakang, iaitu masing-masing 15 inci dengan tayar 120/70 dan 14 inci dengan tayar 140/70. Memegangnya adalah fork teleskopik di hadapan dan dua penyerap hentak dengan pelarasan pra beban di belakang.

    Kemudahan lain yang disediakan oleh Husky ADV 300 ini adalah termasuk panel meter TFT tujuh inci, soket pengecas USB-C dan USB-A, sistem kunci pintar, lampu utama projector LED serta tangki bahan api 16 liter. Pada bahagian keselamatan, skuter ini datang dengan sistem ABS pada brek cakera hadapan dan belakangnya, serta kawalan cengkaman.

     
     
  • Pembuat EV yang terima insentif di Thailand perlu hasilkan komponen utama di negara itu bermula 2026

    Pembuat EV yang terima insentif di Thailand perlu hasilkan komponen utama di negara itu bermula 2026

    Bagi memastikan pembuat-pembuat EV yang telah menerima insentif dari kerajaannya dapat benar-benar memacu industri automotif tempatan, Thailand kini mensyaratkan syarikat-syarikat tersebut untuk menghasilkan tiga komponen utama EV di negara berkenaan, dan bukan sekadar memasang model-model itu dengan kit CKD yang diimport dari luar sepenuhnya.

    Syarat ini akan bermula pada 2026 nanti dan ia selari dengan permulaan produksi EV di negara tersebut seperti yang telah diumumkan dalam rancangan asal.

    Menurut ketua pengarah jabatan eksais Thailand Ekniti Nitithanprapas, tiga komponen utama berkenaan termasuk motor elektrik, unit reducer (yang berfungsi seperti kotak gear untuk model dengan enjin pembakaran dalaman), dan juga unit inverter iaitu komponen yang mengubah arus DC dari bateri kepada AC bagi dibekalkan kepada motor.

    Syarat baharu ini diumumkan selepas pengenalan fasa pertama (3.0) dan fasa kedua (3.5) langkah promosi EV di Thailand, lapor Bangkok Post.

    Pembuat EV yang terima insentif di Thailand perlu hasilkan komponen utama di negara itu bermula 2026

    Di bawah langkah sokongan EV ini, syarikat yang mengambil bahagian dikehendaki memproduksi EV secara tempatan dan menghasilkan jumlah yang sama seperti jualan model-model yang telah diimport sepenuhnya sebelum ini pada tahun pertama. Sekiranya syarikat tersebut gagal memenuhi keperluan produksi tempatan pada tahun kedua, ia mesti mengeluarkan 1.5 kali ganda jumlah jualan.

    Jabatan itu menyatakan bahawa keperluan ini telah mewajibkan pengeluar kereta untuk mewujudkan pangkalan produksi di Thailand, yang membawa kepada pelaburan dan industri baharu. Setakat ini, pengeluar kereta yang mengambil bahagian dalam program itu telah secara beransur-ansur membina hab pengeluaran di Thailand, dengan jumlah nilai pelaburan lebih 80 bilion baht setakat ini.

    Sebelum ini lembaga pelaburan (BoI) negara itu telah meluluskan langkah untuk menggalakkan pelaburan dalam pembuatan bateri EV, di mana pelaburan peringkat modul menerima pengecualian cukai pendapatan korporat lapan tahun, dan pelaburan peringkat pek mendapat pengecualian lima tahun, walaupun ia tidak disubsidi oleh langkah promosi EV. Walau bagaimanapun, pelaburan peringkat sel menikmati pengecualian cukai selama lapan tahun dan menerima subsidi daripada dana berkenaan.

     
     
  • VW Polo akhiri produksi di Eropah selepas 40 tahun – Afrika Selatan kini pengeluar tunggal di seluruh dunia

    VW Polo akhiri produksi di Eropah selepas 40 tahun – Afrika Selatan kini pengeluar tunggal di seluruh dunia

    Volkswagen telah menamatkan produksi bagi model Polo di Eropah selepas 40 tahun apabila syarikat itu mengalihkan tumpuan kepada kenderaan elektrik (EV) pula. Menurut laporan Automotive News Europe, Polo mula dipasang di kilang pengeluar tersebut di Pamplona, Sepanyol sejak 1984, tetapi fasiliti terbabit akan diubah untuk memasang dua model kecil EV baharu yang berasaskan platform MEB bermula tahun 2026.

    Walau bagaimana pun, Polo tidak akan ‘hilang’ begitu sahaja kerana ia masih merupakan model penting untuk jenama itu, dengan hanya lebih 90,000 unit terjual dalam lapan bulan pertama tahun ini, sekaligus menjadi kereta ke-lapan terlaris di seluruh Eropah. Kini, Afrika Selatan akan menjadi satu-satunya negara yang mengeluarkan Polo di kilang Kariega Volkswagen.

    Sepanjang 40 tahun ini, lebih 8.4 juta unit Polo telah dikeluarkan di Sepanyol. Walaupun ia masih mendapat tempat di pasaran masa kini, namun jualan model itu telah diatasi oleh crossover kecil seperti T-Roc. Walaupun EV baharu akan menyertai barisan pemasangan di Pamplona, ​namun ​Volkswagen akan terus memproduksi T-Cross dan Taigo di kemudahan yang sama.

    Bagi EV yang berasaskan platform MEB yang akan dilancarkan pada masa akan datang, terdapat laporan menyebut bahawa salah satunya ialah model di bawah jenama Skoda yang dipanggil Epiq, sementara satu lagi dikatakan akan menggunakan lencana ID.2all (sebelum ini ditampilkan sebagai model konsep pada Mac lalu), dan kedua-duanya akan menggunakan platform versi pacuan roda-hadapan.

     
     
  • smart #5 mulakan pra-jualan di China – dari RM145k; RWD dan AWD; hingga 646 PS, jarak gerak EV 740 km

    smart #5 mulakan pra-jualan di China – dari RM145k; RWD dan AWD; hingga 646 PS, jarak gerak EV 740 km

    smart #5 kini telah pun mula dibuka pra-jualan di China dengan harga pengenalan bermula 245,000 yuan (sekitar RM145k). Model terbesar dari jenama ini dirancang akan dilancarkan pada hujung Oktober dan ditawarkan dengan beberapa pilihan penjana kuasa.

    Bermula dengan varian pacuan roda-belakang (RWD) yang didatangkan bersama motor elektrik sama ada dengan kuasa 340 PS (335 hp atau 250 kW) atau 363 PS (358 hp atau 267 kW). Disertai dengan dua varian pacuan semua-roda (AWD) sama ada berkuasa 587 PS (579 hp atau 432 kW) atau 646 PS (637 hp atau 475 kW).

    Kedua-dua varian AWD berkongsi motor elektrik yng sama dengan bahagian hadapan memberikan 224 PS (221 hp atau 165 kW), berbeza dengan unit di belakang. Untuk varian biasa AWD, motor elektrik belakang mampu memberikan 363 PS (358 hp atau 267 kW), sementara motor belakang bagi spesifikasi tertinggi Brabus pula mampu menghamburkan kuasa pada 421 PS (416 hp atau 310 kW).

    Dua pek bateri ditawarkan, termasuk unit lithium iron phosphate (LFP) 76-kWH yang ditampilkan pada varian RWD untuk jarak 570 km dan 660 km, menurut laporan CarNewsChina. Pilihan lain ialah bateri nickel manganese cobalt (NMC) 100-kwh yang dipadankan pada varian AWD sama ada dengan jarak gerak 720 atau 740 km. Kesemua angka ini adalah berdasarkan standard CLTC yag dipraktik di China.

    smart #5 dibangunkan dengan platform PMA2+ bersama binaan elektrikal 800V, yang menyokong pengecas pantas DC pada kelajuan 4C – ‘C’ membawa maksuk berapa banyak bateri itu boleh dicas dalam tempoh satu jam. Menurut syarikat ini, jarak 500 km boleh dicapai dalam hanya pengecasan selama 15 minit.

    Model ini juga ditawarkan dengan lapan pilihan warna iaitu Saturn Beige, Terra Green, Pulsar Ruby, Meta Black, Grain White, Cyber Silver, Laser Red, dan Future Brown. Sementara untuk bahagian kabinnya ditawarkan dengan enam warna. Kelengkapan yang turut diberikan termasuklah kluster instrumen digital 10.3-inci, skrin sesentuh penumpang hadapan dan AMOLED centre berkembar 13-inci dengan resolusi 2.5k, sistem bunyi Sennheiser dengan 20-pembesar suara dan pembesar suara boleh alih.

    Memiliki dimensi berukuran 4,705 mm panjang, 1,920 mm lebar, 1,705 mm tinggi dan jarak roda cecah 2,900 mm, the #5 ini merupakan kenderaan elektrik bersaiz besar. Sebagai makluman, #5 lima-tempat duduk ini lebih panjang berbanding Hyundai Ioniq 5, Honda CR-V dan versi jarak roda lebih panjang bagi BMW iX1.

    GALERI: smart #5

     
     
  • Kempen Sentuhan Ikhlas galak pengguna lebuhraya bayar tol guna kad MyDebit untuk bantu golongan B40

    Kempen Sentuhan Ikhlas galak pengguna lebuhraya bayar tol guna kad MyDebit untuk bantu golongan B40

    Amanat Lebuhraya Rakyat (ALR) dengan kerjasama penyedia pembayaran kad MyDebit, Payments Network Malaysia (PayNet) hari ini telah melancarkan kempen Sentuhan Ikhlas, iaitu program tanggungjawab sosial korporat (CSR) di mana setiap pembayaran tol menggunakan kad MyDebit akan memberi peluang untuk membantu keluarga B40 di seluruh Malaysia.

    Menurut ALR, pengguna-pengguna yang menggunakan lebuhraya seliaannya iaitu KESAS, LDP, SMART dan SPRINT kini boleh menyumbang dengan mudah di mana-mana 152 lorong tol MyDebit untuk meringankan beban golongan yang memerlukan, di mana dana berkenaan akan disalur menerusi Yayasan MyKasih.

    Matlamat akhir inisiatif ini adalah untuk menyumbang sebanyak RM500,000 sekiranya 5 juta transaksi MyDebit berjaya direkodkan di semua plaza tol terlibat dalam masa dua bulan. ALR menyatakan bahawa dana ini akan disampaikan secara berperingkat; RM100,000 selepas 1 juta transaksi dicapai; RM150,000 pada 2.5 juta transaksi dicapai; dan RM250,000 apabila mencapai 5 juta transaksi.

    “Setiap transaksi MyDebit di lebuhraya-lebuhraya kami memberi impak keluarga yang memerlukan. Kami berharap inisiatif ini akan memberi sumber inspirasi kepada lebih ramai pengguna untuk bersama-sama kami menyertai kempen Sentuhan Ikhlas ini,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan ALR, Sazally Bin Saidi.

    “Mereka menghargai kerjasama yang dijayakan oleh Amanat Lebuhraya Rakyat dan PayNet untuk menyokong 1,000 keluarga yang layak menerima bantuan makanan dan keperluan. Dengan adanya usaha murni ini, ia dapat melahirkan masyarakat yang penyayang selain dapat membentuk peribadi yang mulia,” kata Yayasan MyKasih pula.

    Selain dari menyumbang, inisiatif ini juga adalah bertujuan untuk menggalakkan pembayaran tol menggunakan kad MyDebit, di mana hampir setiap orang di Malaysia mempunyai kad ATM yang mempunyai fungsi MyDebit, dan penggunaannya adalah selamat kerana ia dilindungi dengan penyulitan data peringkat bank dengan sistem pengesanan penipuan, serta lebih mudah digunakan kerana pengguna tidak perlu membuat tambah nilai, kata ALR dalam kenyataan yang dikeluarkan.

    “PayNet teruja melihat MyDebit diintegrasikan dalam kehidupan seharian para pemandu, sambil menyumbang kepada komuniti yang kurang berkemampuan. Melalui Sentuhan Ikhlas, setiap transaksi MyDebit membuka peluang untuk kita bersama-sama mencipta impak positif,” kata Pengarah Kanan, Bahagian Komersial PayNet, Azrul Fakhzan Bin Mainor.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (-0.04)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.90 (-0.04)
EURO 5 B7 RM3.10 (-0.04)
Last Updated Aug 14, 2025