Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • FASTrack Iskandar didedah – hab sukan permotoran dengan litar FIA Grade 1 rekaan Hermann Tilke

    fastrackcity-launch_bm

    Walaupun jangkaan siap sepenuhnya yang dijadualkan tahun ini agak tersasar, namun projek hab sukan sukan permotoran FASTrack Iskandar yang akan dibangunkan di Nusajaya, Johor tersebut dilihat positif setelah majlis pendedahan rekaannya dijalankan semalam, bertempat di Studio Pinewood Iskandar Malaysia. Majlis yang dirasmikan oleh Perdana Menteri Malaysia Dato’ Sri Najib Razak turut mendedahkan projek berkenaan disasarkan untuk disiapkan sepenuhnya pada tahun 2019.

    Bandar pemotoran berkenaan terletak Gerbang Nusajaya, Iskandar Puteri, Johor, iaitu 10-minit dari jambatan Linkedua yang menghubungkan Malaysia dan Singapura serta ia menampilkan litar utama yang bakal diberikan penarafan Grade 1 dari Federation Internationale Automobile (FIA) yang bermaksud ia layak untuk menganjurkan perlumbaan Formula 1.

    Litar berkenaan direka oleh Hermann Tilke, yang turut bertanggungjawab merekabentuk litar Sepang, Litar Antarabangsa Bahrain, Litar Marina Bay Singapura, Litar Yas Marina Abu Dhabi dan pelbagai lagi. Untuk litar Fastrack Iskandar ini, ia akan menampilkan permukaan beralun dengan perbezaan 60 meter untuk memberi lebih cabaran kepada pemandu, mengambil kesempatan pada bentuk muka bumi asal kawasan tersebut.

    Ia juga bakal dilengkapi dengan sistem lampu yang membolehkan perlumbaan dijalankan pada waktu malam seperti Grand Prix Singapura. Litar ini boleh dibahagikan kepada tujuh konfigurasi berbeza dengan tiga litar penuh, tiga litar utara dan satu litar selatan. Bahagian beralun berkenaan terletak di bahagian utara, manakala bahagian selatan akan diberikan laluan tegak bagi membolehkan jentera-jentera perlumbaan mencatatkan kelajuan 313 km/j.

    “Ini merupakan konsep sukan permotoran paling mengujakan yang pernah saya sertai,” kata Tilke dan menambah bahawa beliau percaya mereka boleh membina litar yang unik untuk hiburan dalam sukan permotoran.

    Selain dari litar utama tersebut, FASTrack City turut akan berperanan sebagai hab sukan permotoran dan turut dilengkapi dengan litar kart Commission Internationale De Karting (CIK) sepanjang 1.5 km, litar hill climb, taman 4×4 lengkap dengan laluan off-road berhalangan serta kawasan advance handling untuk latihan keselamatan jalan raya bagi memastikan ia memenuhi keperluan kebanyakkan cabangan dalam sukan permotoran.

    Bandar permotoran berkenaan turut akan dibangunkan outlet-outlet makananan dan minuman, serta fasiliti hospitaliti lain seperti hotel empat-bintang, pusat riadah keluarga serta taman tasik bagi membolehkan FASTrack City ini sebagai eko-sistem automotif yang akan memenuhi Projek Rel Berkelajuan Tinggi (HSR) Singapura-Kuala Lumpur serta visi Iskandar Malaysia untuk menjadi sebuah bandar metropolis yang sibuk.

    Apa yang lebih menarik, FASTrack City bakal mempunyai “Auto Vault” iaitu garaj yang boleh digunakan pemilik-pemilik Supercar untuk menyimpan jentera mereka dengan sistem keselamatan yang tinggi. Tiada perincian lanjut berkenaan garaj ini, tetapi ia mungkin seperti konsep yang dibuat oleh Ascari Race Resort di Sepanyol.

    Projek ini merupakan usahasama antara FASTrack Autosports yang dimiliki secara majoriti oleh Peter Lim, hartawan dari Singapura serta Kerabat Di-Raja Johor sebagai rakan kongsi, dan UEM Land. Projek bernilai RM3.5 bilion ini telah diumumkan buat pertama kali pada tahun 2012.

    Pengarah FASTtrack Iskandar, Barry Kan berkata, “FASTrack Iskandar telah mengambil banyak masa dan usaha bagi mendapatkan rekaan akhir dan konsep pembangunan gaya hidup ini.

    “Kami teruja bahawa kami hanya tinggal selangkah lagi bagi membina fasiliti premier sukan permotoran bersepadu sepenuhnya di Asia yang akan menjadi destinasi yang harus dilawati oleh peminat sukan permotoran di rantau ini.”

     
     
  • Volkswagen Passenger Cars Malaysia umum program pembaikkan ‘goodwill’ 2-tahun untuk kotak gear DSG

    volkswagen-beetle-dune-31

    Gemar dengan prestasi tukaran gear pantas serta respon yang cepat pada kotak gear DSG Volkswagen tetapi gusar dengan ketahanannya? Volkswagen Passenger Cars Malaysia (VPCM) kini mengumumkan program “VPCM Customer Care Goodwill,” yang memberikan pembaikkan goodwill dua-tahun tambahan kepada transmisi klac berkembar Direct Shift Gearbox(DSG) pada kereta-kereta VW yang diproduksi sehingga Disember 2013 dengan perbatuan sehingga 200,000 km. Waranti ini akan bermula selepas berakhirnya waranti lima tahun pada kereta-kereta berkenaan.

    Program ini akan membolehkan pemilik menerima pembaikkan goodwill selama dua-tahun untuk kotak gear DSG mereka yang terdiri dari alat ganti ketika pembaikan berkenaan (jika diperlukan), dengan kos buruh yang minima. Waranti alat ganti dua-tahun tambahan, bermula dari saat penukaran alat ganti berkenaan akan diberikan 100% untuk alat ganti dan kos buruh.

    Sebagai tambahan, pembaikan goodwill ini turut diberikan kepada komponen terpilih (termasuk enjin 1.4 liter twin charged sebelum ini) untuk kereta-kereta Volkswagen yang telah pun berusia lebih lima-tahun dan tiada lagi perlindungan waranti, tetapi berdasarkan kes-demi-kes. Menurut VPCM, ia akan dijelaskan di pusat-pusat servis VW yang bertauliah menggunakan nombor pengenalan kenderaan (VIN) pada sistem atas talian mereka. Program goodwill ini juga mungkin akan melibatkan perkongsian kos untuk alat ganti dan kos buruh bersama pelanggan dan VPCM.

    Seperti pada waranti standard alat ganti Volkswagen, alat ganti yang yang ditukar dan dibayar pada pusat servis bertauliah VW akan menerima waranti dua tahun, tidak termasuk alat ganti wear and tear. VPCM menjelaskan, untuk melayakkan pelanggan menerima “VPCM Customer Care Goodwill” ini bagi transmisi DSG dan komponen lain, pelanggan perlu mempunyai rekod servis penuh di pusat servis VW bertauliah.

    VPCM turut memberitahu, program pertukaran alat ganti (parts exchange) pada komponen terpilih juga disediakan kepada pelanggan, dan Pakej Ekonomi untuk model-model lama VW yang berusia lebih dari lima tahun turut sedang dirangka dan akan diimplementasikan di pusat servis VW bertauliah dan akan diumumkan tidak lama lagi.

     
     
  • JPJ nafi kenaikan saman bagi lesen tamat tempoh

    JPJ_Roadblock2

    Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menafikan maklumat palsu yang heboh di media sosial yang menyatakan bahawa pihak berkuasa berkenaan akan menaikkan saman bagi pemandu yang memperbaharui lesen memandu mereka yang telah tamat tempoh.

    Dalam satu kenyataan seperti dilaporkan The Sun, JPJ memandang serius hal berkenaan kerana ia boleh menyebabkan salah faham dalam kalangan pengguna dan orang ramai. JPJ juga menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah percaya kepada khabar angin yang tersebar di media sosial dan WhatsApp.

    Sebarang ketidak-pastian boleh dirujuk terus kepada JPJ. “Pengguna jalan raya yang memandu kereta atau menunggang motosikal dengan lesen yang sudah tamat tempoh akan dikenakan saman maksimum RM300,” seperti yang dijelaskan dalam kenyataan terbabit.

     
     
  • Polis akan ambil tindakan terhadap ‘ulat trafik’

    polis operasi PT

    Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyangkal dakwaan pernah melantik mana-mana orang awam menjadi orang tengah bagi membolehkan orang ramai mendapatkan bayaran saman trafik yang lebih rendah.

    Menurut Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Noor Rashid Ibrahim, orang awam yang ingin membuat bayaran saman, hanya boleh berbuat demikian melalui kaunter bayaran saman yang disediakan. Malah PDRM akan mengambil tindakan terhadap sesiapa yang bertindak menjadi ‘ulat trafik’ atau orang tengah yang mengambil wang daripada orang ramai untuk membayar saman, laporan Bernama.

    “Polis akan ambil tindakan penguatkuasaan terhadap mereka yang cuba berbuat demikian. Polis akan menahan ulat-ulat ini kerana mengganggu ketenteraman awam,” katanya kepada pihak media ketika diminta mengulas laporan muka depan sebuah akhbar tempatan mengenai kehadiran orang tengah atau ‘ulat’ yang menawarkan perkhidmatan mendapatkan diskaun bagi bayaran saman PDRM dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

     
     
  • Nissan Note – kereta eco Thailand akan dilancar tahun depan, janjikan harga lebih menarik dan mampu milik

    nissan-note-e-power-30_bm

    Menurut laporan dalam Bangkok Post, Nissan bersedia untuk melancarkan model Note di Thailand tahun hadapan sebagai sebahagian daripada pelaksanaan fasa perancangan kenderaan eco Thai. Note adalah sebuah kenderaan lima tempat duduk dengan bentuk badan hatchback dan bumbung yang tinggi seperti Honda Jazz. Note terbaru dengan sistem hibrid range extender telah diperkenalkan di Jepun pada bulan Oktober lalu.

    Nissan adalah antara yang peneraju dalam fasa pertama program kenderaan eco Thai sejak tahun 2007, dan pada masa ini menjual March dan Almera di sana. Dengan 258,727 unit telah terjual, pembuat kenderaan dari Jepun itu juga menjadi syarikat kereta yang paling banyak menjual kenderaan eco, di hadapan Mitsubishi (133,005) dan Toyota (129,985).

    Kedua-dua Almera sedan dan March hatchback di Thailand dikuasakan oleh enjin tiga silinder 1.2 liter, bersama padanan sama ada transmisi manual lima kelajuan atau automatik CVT. Enjin HR12DE ini adalah enjin sama seperti yang terdapat pada Note e-Power di Jepun, cuma ia ditambah dengan motor elektrik daripada model Leaf EV.

    Enjin petrol tersebut tidak disambung terus kepada tayar hadapan, tetapi kepada motor elektrik – satu sistem unik yang boleh anda baca di sini. Model ini mungkin tidak akan dapat menjadi kenderaan eco Thai kerana ia seharusnya mampu milik untuk orang ramai.

    Fasa kedua pelan kenderaan eco Thailand menjanjikan lebih banyak kenderaan yang mampu milik, dengan pemotongan cukai eksais kepada 12 hingga 14 peratus, berbanding 17 peratus pada fasa pertama. Dilancarkan pada penghujung tahun 2013, fasa kedua ini menarik penyertaan daripada Mazda, Ford, GM, SAIC Motor-CP (MG) dan Volkswagen, menyertai Nissan, Honda, Mitsubishi, Suzuki dan Toyota yang sudah terlibat sejak fasa pertama. Mazda adalah antara yang terawal mengeluarkan model dalam fasa kedua (dengan Mazda2), tetapi GM menarik diri tahun lepas.

    GALERI: Nissan Note e-Power pasaran Jepun

     
     
  • PANDU UJI: Toyota Innova 2.0G – ciri lebih premium; mampukah ia menjadi MPV popular di Malaysia?

    toyota-innova-2-0-g-at-3_bm

    Sebelum ini, Toyota Innova bukanlah sebuah MPV yang begitu popular di Malaysia sejak kedatangannya ke negara ini sedekad yang lalu iaitu bagi menggantikan model Toyota Unser. Mungkin lebih ramai yang cenderung memilih MPV yang bersaiz lebih kecil (dengan harga yang lebih murah, pastinya) seperti Toyota Avanza, Nissan Grand Livina, Perodua Alza dan Proton Exora. Jika yang lebih berkemampuan, mungkin lebih tertarik untuk memilih abangnya yang bersifat mewah iaitu Toyota Alphard dan Toyota Vellfire.

    Mungkin ada yang berpendapat, Innova generasi pertama dan beberapa model facelift, tidak begitu menarik perhatian. Malah ada juga yang menyifatkan harganya agak mahal. Macam-macamlah tangapan itu ini, begitu begini.

    Namun kehadiran model Innova baharu generasi kedua ke Malaysia yang dilancarkan petang tadi dengan membawakan sejumlah perubahan termasuk imej yang lebih premium, memungkinkah ia akan mengubah anggapan bahawa MPV ini lebih berketerampilan.

    Baca artikel selanjutnya di sini

     
     
  • Toyota TNGA – perincian awal sistem enjin, transmisi dan hibrid didedahkan, akan diperkenalkan pada 2017

    toyota-tnga-engine-1-850x601_bm

    Toyota telah mengumumkan perincian awal bagi barisan sistem janaan kuasa yang akan digunakan bagi program platform modular Toyota New Global Architecture (TNGA). Rancangan itu bakal menyaksikan pengenalan 17 versi berlainan bagi sembilan enjinnya, serta 10 versi bagi empat transmisi – termasuk transmisi automatik pelbagai gear dan juga dari jenis continuously variable transmission (CVT) – serta 10 versi daripada enam sistem hibrid dalam tempoh lima tahun akan datang.

    Dibangunkan bersekali untuk TNGA, barisan “Dynamic Force Engines” akan diperkenalkan bermula 2017, dan pengeluarnya mensasarkan unit-unit baharu ini dijangka akan dipasangkan lebih daripada 60% kenderaannya yang dijual setiap tahun untuk pasaran Jepun, Amerika Syarikat, Eropah dan China menjelang 2021.

    Enjin-enjin baharu ini menggunakan teknologi pembakaran berkelajuan tinggi dengan sistem kawalan pemboleh-ubah. Ia juga mencapai kecekapan suhu yang lebih baik, membolehkan penghasilan output lebih tinggi, disebabkan oleh pengurangan kehilangan tenaga yang dikaitkan dengan sistem ekzos/penyejukan serta pergerakan bahagian mekanikal.

    toyota-tnga-transmission-3-850x464_bm

    Barisan itu termasuk enjin 2.5 liter empat-silinder suntikan terus baharu, yang didakwa antara enjin dengan kecekapan suhu terbaik dunia pada kadar 40% bila digunakan pada kenderaan janaan petrol dan 41% bagi penggunaan dalam sistem hibrid.

    Turut diumumkan pada peringkat ini ialah dua transmisi automatik baharu; Direct-Shift 8AT lapan-kelajuan dan Direct-Shift 10AT 10 kelajuan. Unit-unit ini memiliki julat gear yang lebih luas serta torque converter kompak berprestasi tinggi yang baharu dibangunkan.

    Untuk mengurangkan kehilangan tenaga dan meningkatkan kecekapan transmisi, permukaan gigi gear diproses menggunakan teknik baharu untuk mendapatkan kadar geseran yang lebih rendah ketika gear dimasukkan, serta konfigurasi bahan geseran yang digunakan di dalam klac telah dipertingkatkan untuk mengurangkan kehilangan tork sehingga 50% ketika dalam pusingan jika dibandingkan dengan transmisi enam-kelajuan konvensional.

    Toyota juga mendedahkan pembangunan Hybrid Synergy Drive, dengan pengenalan sistem baharu yang berprestasi tinggi Multistage THS II bagi kenderaan pacuan belakang. Diperkemas untuk penggunaan enjin 2.5 liter, sistem berkenaan menawarkan prestasi pecutan dari keadaan pegun dengan rasa yang langsung.

    Sistem untuk kenderaan plug-in hybrid (PHEV) turut menerima peningkatan. Sistem pacuan dual-mode membolehkan motor elektrik – yang terdahulu digunakan hanya sebagai generator – untuk membekalkan kuasa pemanduan secara langsung.

    Ini memberi kesan lebih baik kepada prestasi pemanduan, walaupun dalam mod EV. Bateri lithium-ion dengan kapasiti besar yang meningkatkan jarak perjalanan dalam mod EV kepada 60 km juga sebahagian daripada pembaharuan yang dilakukan.

    Selari dengan unit janaan kuasa baharu TNGA ini, Toyota juga mengumumkan syarikat itu akan memberikan tumpuan kepada pembangunan teknologi hibrid. Syarikat itu kini ingin menyusun semula struktur pembangunannya bermula tahun depan dan menambah jumlah tenaga kerja individu bagi pembangunan teknologi hibrid kepada 30% dalam tempoh lima tahun akan datang.

     
     
  • Volvo V90 Cross Country – pakej prestasi Polestar

    Volvo V90 Cross Country – pakej prestasi Polestar

    Volvo V90 merupakan model terkini yang ditawarkan dengan pakej Polestar Performance Optimisation, yang turut melibatkan peningkatan janaan kuasa pada wagon berkenaan.

    Ditawarkan bagi model yang dilengkapi dengan enjin T6, D5 atau D4 (semuanya dengan sistem AWD), pakej berkenaan turut menambah baik maklum balas pendikit kereta berkenaan, kepantasan dan ketepatan penukaran gear serta prestasi enjin secara keseluruhannya.

    Dengan peningkatan itu, enjin T6 pada V90 Country Cross kini menghasilkan 334 hp (daripada 320 hp) dan 440 Nm tork (daripada 400 Nm). Sementara itu, enjin D4 menyediakan 200 hp (daripada 190 hp) dan 440 Nm (daripada 400 Nm).

    Volvo V90 Cross Country – pakej prestasi Polestar

    “Untuk memasukkan V90 Cross Country, sebuah crossover dengan imej lasak, ke dalam program ini adalah sesuatu yang penting kepada operasi kami untuk kelangsungan binaan kenderaan SPA pada kenderaan Volvo Cars. Produk kami menawarkan kepada pelanggan yang cenderung kepada prestasi sebuah pengalaman pemanduan yang lain,” ujar ketua pegawai operasi Polestar, Niels Moller.

    Volvo turut melanjutkan penawaran ini kepada ahli kenderaan dari sini 90 yang lain – XC90 D4. Bagi kedua-dua model dengan sistem pacuan roda hadapan mahupun AWD, kuasa yang dijana dengan pakej berkenaan ialah 200 hp (daripada 190 hp). Bagi tork, sistem pacuan roda depan menerima 460 Nm (daripada 420 Nm) manakala versi AWD ialah 440 NM (daripada 400 Nm).

    Bagi pengguna di Malaysia yang berminat dengan pakej daripada Polestar ini pula, Volvo Cars Malaysia turut menawarkan beberapa pakejnya bagi model V40 T5, XC60 (T5 dan T6) dan S60 T6. Selain daripada peningkatan pada janaan kuasanya, turut terlibat ialah pada bahagian casis, sistem masukan dan ekzos, roda serta ruang dalaman dan rekaan luaran.

     
     
  • Benelli TnT135 dilancarkan – harga bermula RM8,469

    benelli-tnt135-launch-bm-1

    Sebuah lagi ‘mini moto’ kini tiba di pasaran Malaysia iaitu dari Benelli melalui model TnT135. Ia akan memberi saingan kepada Kawasaki Z125 Pro yang sudah berada di pasaran Malaysia hampir satu tahun dan Honda MSX125 yang akan dilancarkan tidak lama lagi. Dengan badan kecil, motosikal jenis ini menawarkan tunggangan yang menyeronokkan terutamanya di dalam bandar.

    Benelli TnT135 menggunakan enjin 134.7 cc satu silinder empat strok yang berkuasa 12.6 hp pada 9,000 rpm dan 10.8 Nm tork pada 7,000 rpm, dan penyampaian bahan api dilakukan oleh sistem suntikan elektronik (EFI). Dari enjin, kuasa akan disampaikan melalui kotak gear lima kelajuan dan klac yang digunakan adalah daripada jenis wet multi plate.

    Bagi memastikan pengendaliannya baik, TnT135 dilengkapi dengan sistem suspensi hadapan jenis fork terbalik 41 mm manakala di belakang pula terdapat penyerap tunggal berserta pelarasan pra beban. Tugas membrek pula dilaksanakan oleh sistem cakera 220 mm bersama angkup dua piston di hadapan dan cakera 190 mm dan angkup satu piston di belakang.

    Kedua-dua rim hadapan dan belakang TnT135 adalah bersaiz 12 inci dan ia dibalut dengan tayar 120/70 di hadapan dan 130/70 di belakang. Ukuran motosikal ini adalah 1,750 mm panjang, 1,025 mm tinggi, manakala tempat duduknya pula berketinggian 780 mm, kelegaan dari tanah 160 mm dan jarak di antara roda 1,215 mm. Secara keseluruhannya motosikal ini mempunyai berat kering 116 kg dan menyediakan tangki minyak 7.2 liter.

    Dengan semua ciri-ciri ini, Benelli TnT135 diberikan status kenderaan cekap tenaga (EEV) oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Malaysia dan juga mencatat tahap emisi Euro 4.

    Benelli TnT135 dijual pada harga asas bermula RM8,469 (termasuk GST, tanpa insurans) dan ia ditawarkan dalam pilihan dua warna iaitu merah dan putih, bersama jaminan selama satu tahun atau 10,000 km. Untuk masa terhad, Benelli Malaysia menawarkan kepada 200 pembeli pertama TnT135 sebuah topi keledar Givi M60.0 Skid Off Road yang berharga RM371.

    GALERI: Benelli TnT135 semasa MotoGP di Litar Sepang

     
     
  • Caltex Power Diesel Euro 5 dilancarkan di Malaysia

    caltex-power-diesel-launch-3

    Caltex menjadi jenama pengeluar bahan api terkini yang memeperkenalkan diesel Euro 5 untuk pasaran Malaysia. Chevron Malaysia hari ini melancarkan Caltex Power Diesel dengan Techron D bertempat di stesen minyaknya di Glenmarie.

    Ia menjadi stesen pertama Caltex yang menjual bahan api berkenaan. Di posisikan sebagai bahan api diesel ultra-premium bagi Caltex, ia dijual pada harga RM1.95 seliter pada bulan Disember ini – 10 sen lebih tinggi berbanding diesel Euro 2M biasa.

    Seperti diesel Euro 5 yang lain, Caltex Power Diesel mengandungi kandungan sulfur yang lebih rendah daripada 10 part per miliion (ppm), jika dibandingkan dengan 500 ppm bagi diesel Euro 2M. Untuk itu, ia lebuh serasi dengan enjin diesel pada kenderaan moden dan kurang pembebasan bahan cemar.

    Bagi diesel Euro 5 Caltex, ia turut ditambahn dengan Techron D, kini dengan tiga kali lebih kuasa pembersihan enjin berbanding dahulu. Bahan aditif berkenaan didakwa mampu membersihkan penyuntik minyak, mengembalikan kehilangan kuasa dan memperbaiki pecutan dan penjimatan minyak.

    Menurut Caltex lagi, selepas menjalankan ujian makmal, Caltex Power Diesel berupaya menghasilkan 10% tambahan kuasa berbanding diesel biasa tanpa bahan aditif. Selain stesen Caltex di Glenmarie, Caltex Power Diesel ini turut sudah mula dijual di Bandar Laguna Merbok di Sungai Petani, Kedah.

    Chevron Malaysia itu juga merancang untuk menjualnya di 20 stesen lagi menjelang hujung tahun ini, dan meningkat kepada 50 di awal tahun hadapan.

     
     
  • Paris, Madrid, Mexico City bakal haramkan penggunaan kenderaan diesel menjelang tahun 2025

    paris-car-free-day-sept-25-1

    Kenderaan diesel tidak akan digunakan lagi di jalan raya di Paris, Madrid, Athens dan Mexico City menjelang tahun 2025, jika perancangan ini ditunaikan oleh datuk bandar sedia ada, laporan BBC. Komitmen yang dibuat di Mexico dalam satu mesyuarat dwi-tahunan antara ketua bandar, yang turut mengemukakan cadangan untuk menggunakan kenderaan alternatif dan mempromosikan aktiviti berjalan serta berbasikal.

    Penggunaan bahan api diesel dalam kereta dan pengangkutan telah diteliti sejak beberapa tahun kebelakangan ini, atas faktor kebimbangan kesan asap-asap diesel serta kualiti udara yang kian tercemar. Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) turut berkata, dianggarkan tiga juta kematian setiap tahun yang berpunca daripada pendedahan terhadap pencemaran udara.

    Malahan enjin diesel juga telah dikesan menjadi penyumbang kepada masalah ini dengan dua kaedah iaitu menerusi penghasilan bahan zarah (atau particulate matter – PM) dan nitrogen oksida (NOx). Di mana PM yang halus yang boleh memasuki organ seperti paru-paru boleh menyebabkan penyakit kardiovaskular dan mendorong kematian.

    Manakala NOx boleh menyebabkan kesukaran bernafas, waima bagi seseorang individu yang tidak mempunyai sejarah penyakit berkaitan pernafasan. Di mana nitrogen dioksida (NO2) juga boleh menyebabkan kesihatan seseorang terganggu, menyebabkan radang paru-paru (pencetus penyakit asma dan bronkitis) dan boleh meningkatkan risiko serangan jantung dan strok. Kenderaan diesel merupakan penyumbang terbesar bagi tahap tertinggi NO2 di Eropah.

    vw-jetta-tdi-us-spec

    Mungkin kita sangkakan cuaca di Eropah sejuk dan udaranya bersih, tetapi Agensi Alam Sekitar Eropah (EEA) telah memberikan amaran bahawa pencemaran udara telah menyebabkan sekitar 467,000 kematian pramatang di benua tersebut setiap tahun.

    Malah penduduk yang tinggal di kawasan bandar berhadapan dengan risiko yang lebih tinggi, sekitar 85% terdedah dengan bahan zarah (PM 2.5) pada tahap yang boleh membinasakan, menurut WHO. Partikel yang sangat halus ini (kurang daripada 0.0025 mm pada diameter) adalah terlalu kecil untuk dikesan oleh mata atau hidung, dan ia boleh menyebabkan penyakit jantung, asma dan kanser paru-paru.

    “Ia bukan lagi rahsia di Mexico City, kita sedang berhadapan dengan dua masalah besar iaitu pencemaran udara dan trafik. Dengan memperluaskan pengangkutan alternatif sebagai pilihan termasuk sistem subway dan Bus Rapid Transport, malah kami juga akan melabur bagi insfastruktur berbasikal dan mahu mengurangkan kadar kesesakan di jalan raya,” ujar datuk bandar Mexico City Angel Mancera.

    “Bandar kita sedang melaksanakan pelan perancangan besar-besaran termasuk akan mengharamkan penggunaan kenderaan yang boleh mencetuskan pencemaran dari jalan raya, membantu penduduk Paris dengan kehidupan yang lebih sihat. Impian kami mahukan ruang udara yang lebih bersih, termasuk mengikut jejak langkah bandar Tokyo yang telah melaksanakan perkara yang sama,” ikrar datuk bandar Paris Anne Hidalgo pula.

    exhaust-smoke-a1

    Bandar Perancis juga telah mengambil langkah yang sama dengan mengurangkan penggunaan kenderaan diesel, Kenderaan yang didaftar sebelum 1997 telah pun diharamkan daripada memasuki kawasan bandar, dengan larangan tersebut dipertingkatkan setiap tahun sehingga 2020. Sehari pada setiap bulan, laluan popular Champs-Élysées turut ditutup pada trafik, sementara jalan sepanjang 3 km berhadapan dengan bank di Seine juga hanya dibuka untuk pejalan kaki sahaja.

    Langkah ini dilihat befektif. Malahan laporan BBC juga menyatakan bandar Barcelona turut melaksakan laluan berbasikal untuk orang ramai dan telah berjaya mengurangkan pelepasan CO2 lebih kurang 9,000 tan – yang setara dengan penggunaan lebih 34 juta km pemanduan kenderaan.

    Malahan reputasi buruk diesel turut melibatkan pembuat kenderaan termasuk Volkswagen yang didapati menipu di dalam ujian bahan api tersebut yang terbongkar sejak beberapa tahun ini. Malahan jenama Eropah lain juga turut melabur dalam bahan api tersebut juga dilihat bakal menukar strategi mereka bagi mengatasi masalah yang dinyatakan ini.

     
     
  • Seat Leon Cupra facelift – 300 hp, 380 Nm, pilihan AWD

    seat-leon-cupra-st-facelift-850x400-bm

    Barisan model facelifit Seat Leon sudah dipertontonkan Oktober lalu, tetapi tanpa versi paling tinggi Cupra hot hatch. Kini, ia telah muncul dan Sat Leon Cupra facelift ini dipadatkan dengan lebih kuasa berbanding sebelum ini.

    Enjin 2.0 TSI yang digunakan pada Leon Cupra kini mampu menghasilkan 300 hp dan 300 Nm tork, dari tahap 1,800 hingga 5,500 rpm. Jumlah ini bersamaan 10 hp dan 30 Nm lebh banyak berbanding kereta yang digantinya, menjadikan Leon Cupra model Seat paling berkuasa bagi siri tersebut. Untuk menjadikannya lebih mantap, Leon Cupra boleh didapati dengan kotak gear automatik klac berkembar DSG.

    Selain peningkatan kuasa, perkara baru lain adalah penawaran pacuan empat roda, tetapi hanya untuk yang mempunyai badan wagon ST dan kotak gear DSG. Leon Cupra ST DSG 4Drive sekaligus mengenangkan kembali kepada model Leon Cupra AWD generasi pertama yang dikeluarkan dari tahun 2000.

    seat-leon-cupra-facelift-850x386-bm

    Didatangkan standard untuk semua Leon Cupra adalah kawalan casis adaptif (DCC), stereng progresif dan electronic self-locking differential. Melalui Cupra Drive Profile pula, pemandu boleh memilih lima mod – Comfort, Sport, Eco, Individual dan paling ganas, Cupra.

    Leon Cupra baru juga mendapat manfaat lain seperti yang diterima pada semua model Leon facelift baru. Selain gaya yang lebih ‘tajam’, ia juga dilengkapi dengan sistem bantuan pemandu seperti Traffic Jam Assist, Lane Assist, Adaptive Cruise Control dan Pedestrian Protection, serta kemudahan lain seperti brek tangan elektrik dan sistem kemasukan dan pemula enjin tanpa kunci.

    Sistem informasi dan hiburan yang digunakan adalah yang terkini bagi jenama itu, digelar Media System Plus, lengkap bersama skrin sesentuh lapan inci. Leon terbaru ini juga boleh didapati dengan Connectivity Box di konsol tengah yang termasuk dengan pengecas telefon tanpa wayar dan amplifier antena GSM untuk kawasan yang kurang liputan. Penghantaran kenderaan ini akan bermula pada bulan Februari 2017 di Eropah.

     
     
  • Perjanjian konsesi tol PLUS masih dibincang – Johari

    toll plaza plus

    Perjanjian Konsesi Tol dengan Projek Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) disemak semula oleh kerajaan dengan syarikat berkenaan bagi memperincikan isu kenaikan kadar tol yang tidak seimbang.

    Menurut Menteri Kewangan II, Datuk Johari Abdul Ghani, buat masa ini, ia masih mengikut perjanjian terdahulu yang dijangka tamat pada 31 Disember 2038, laporan Berita Harian.

    “Kita belum dapat maklumat lengkap dan seboleh mungkin kerajaan tidak mahu menaikkan kadar tol,” katanya kepada pihak media selepas Majlis Pengagihan Bantuan Persekolahan ‘Jom Ke Sekolah’ di sini, hari ini. Hadir sama dalam majlis tersebut ialah Pengarah Urusan PLUS, Datuk Noorizah Abd Hamid dan Pengarah Urusan Pemegang Konsesi Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (DUKE) – Ekovest Bhd, Datuk Seri Lim Keng Cheng.

     
     
  • Vanguard Roadster – penampilan sulung prototaip

    vanguard-roadster-7-850x565-2

    Vanguard Roadster, sebuah motosikal prototaip, akan membuat penampilan umumnya yang pertama ketika pameran motosikal New York minggu ini. Direka oleh FXE Industries, jenama Vanguard ini adalah merupakan usaha Francois-Xavier Terny dan jurutera rekaan, Edward Jacobs; yang terdahulu berasal dari Confederate Motorcycles.

    Difahamkan model ini menggunakan enjin 1,917 cc V-Twin dengan janaan tork 149.1 Nm. Tidak dapat dipastikan sama ada ia menggunakan rantai atau tali sawat sebagai medium bagi pacuan akhir. Di bahagian depan, lampu utamanya dinyalakan menggunakan enam LED. Fork depan di’pegang’ dengan kukuh oleh pengapit triple-clamp.

    Brek pula ia menggunakan dari binaan Brembo. Namun, tidak kelihatan apa-apa saluran hidraulik menuju ke bahagian kaliper brek dari tuil pada pemenang. Begitu juga ketiadaan hos-hos, atau wayar yang menyambung atau sebagai saluran minyak yang jelas kelihatan pada Vanguard Roadster ini. Secara tidak langsung, itu memberikannya penampilan yang berlainan dan futuristik.

    Bahagian belakangnya pula kelihatan seperti dibangunkan melalui bahagian blok yang terpisah, dengan penggunaan swingarm tunggal. yang turut menampung ruang bagi tangki minyak. Penyerap hentak belakang juga terselindung di dalam perumah tersendiri.

    Pra-pesan untuk Vanguard Roadster ini telah dibuka, dan akan dibangunkan secara terhad kepada 200 unit bagi edisi pertamanya, pada 2018. Ia dijual pada harga US$29,995 (RM133,251). Turut di dalam perancangan ialah dua lagi varian berbeza, cruiser dan racer bagi model ini.

     
     
  • VIDEO: Lexus LIT IS dibalut 41,999 LED, grafik boleh bertukar dengan melambai tangan, mengikut lagu

    Lexus nampaknya membawa aktiviti pemasaran kenderaan ke tahap baru dengan munculnya model Lexus LIT ini. Ia muncul dalam satu video muzik artis bernama Dua lipa bertajuk The One dan bukannya sekadar satu mainan grafik komputer. Kereta sebenarnya wujud dan boleh bergerak.

    Kenderaan asas yang digunakan adalah model IS 2017 dan yang membezakannya adalah luaran kenderaan ini dibalut penuh dengan LED, atau lebih tepat, sebanyak hampir 42,000 LED. Bukan setakat di bahagian badannya sahaja, malah gril juga dilengkapi dengan LED.

    Sistem yang digunakan untuk lampu LED interaktif ini membolehkan grafiknya bertukar sama ada melalui lambaian tangan, ataupun mengikut lagu yang dipasang pada sistem audionya. Dengan ciri ini, Lexus LIT IS digelar sebagai sebuah kenderaan yang ekspresif. Bagi melengkapkan ‘skrin LED’ ini, Lexus menggunakan 5,280 kaki wayar, dan untuk menyalakannya, 1,487 watt kuasa diperlukan. Bagi setiap meter, paparan yang terhasil bersaiz 50 pixel.

    Jangan terlalu teruja kerana tidak mungkin Lexus akan menawarkan ciri LED ini untuk kenderaan yang diguna di atas jalan raya biasa kerana ia pastinya akan mengganggu perhatian pengguna lain, dan di dalam video tersebut telah diletakkan notis bahawa Lexus LIT IS hanyalah sebuah kenderaan edisi khas dan bukan untuk jualan. Apapun, ia sesuatu yang menarik.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (-0.04)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.90 (-0.04)
EURO 5 B7 RM3.10 (-0.04)
Last Updated Aug 14, 2025