Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Dodge Challenger GT 2017 – jentera 305 hp AWD

    2017-dodge-challenger-gt-02-850x463-bm

    Jika mengikut jumlah jualan, Dodge Challenger mungkin tidak dapat menyaingi Ford Mustang dan Chevrolet Camaro tetapi ia tetap adalah antara kereta muscle coupe Amerika yang gagah. Kali ini, bagi model Challenger GT 2017, ia mendapat senjata tambahan untuk bersaing – pacuan empat roda.

    Ia adalah kereta muscle Amerika dua pintu pertama yang dilengkapi dengan sistem pacuan semua roda, memberikan penggemar kenderaan jenis ini keyakinan untuk memandu dalam apa jua keadaan cuaca eksklusif kepada jenama Dodge, kata syarikat itu. Ia juga datang pada waktu yang tepat, dengan musim sejuk yang akan datang, seperti yang ditunjukkan dalam gambar.

    Challenger GT datang dengan sistem pacuan AWD seperti pada Dodge Charger AWD dengan
    active transfer case dan pemutus hubungan gandar depan. Ia akan mengubah penyampaian kuasa antara RWD dan AWD secara lancar tanpa sebarang input daripada pemandu. Pada keadaan biasa, gandar hadapan tidak akan mendapat kuasa dan semuanya akan pergi ke gandar belakang. Terdapat juga tiga mod ESC dan boleh ditutup sepenuhnya untuk menghasilkan drift.

    2017-dodge-challenger-gt-06-850x463-bm

    Di bawah hudnya yang panjang terdapat enjin Pentastar V6 3.6 liter, berkemampuan 305 hp pada 6,350 rpm dan 363 Nm tork pada 4,800 rpm (90% boleh didapati antara 1,800 hingga 6,400 rpm), dipadankan dengan transmisi automatik lapan kelajuan TorqueFlite bersama pedal penukar di stereng. Tiada penukar gear manual dengan versi AWD ini.

    Butang Super Track Pak pada Challenger GT akan mengaktifkan Dodge Performance Pages dan ciri launch control, dipaparkan pada skrin sesentuh 8.4 inci. Informasi seperti masa reaksi, masa 0-60 bsj, kuasa G dan masa pusingan boleh diperhatikan dan turut dipaparkan pada skrin tujuh inci di meter.

    Kit standard termasuk rim 19 inci Hyper Black, lampu kabus projector, spoiler belakang, sistem bantuan letak kereta ParkSense dan kamera undur ParkView. Di dalam, tempat duduk dibalut dengan kulit Nappa, dilengkapi pemanas pada tempat duduk dan stereng, skrin sesentuh dengan sistem Uconnect dengan Apple CarPlay dan Android Auto dan enam pembesar suara Alpine dengan amplifier 276-watt.

     
     
  • Audi lancar Informasi Lampu Isyarat pertama di USA

    audi-vehicle-to-infrastructure-2

    Audi USA telah memperkenalkan Traffic Light Information atau Informasi Lampu Isyarat, bagi teknologi Vehicle-to-Infrastructure (V2I) di Las Vegas, Nevada, menjadikannya sebagai pembuat kereta pertama yang tampil dengan rekaan itu. Ia bakal diaplikasikan pada Audi A4, Q7 dan allroad 2017, serta ditawarkan untuk pelanggan yang melanggan sistem telematik Audi Connect Prime dari Disember tahun ini.

    Apakah yang dimaksudkan dengan V2I? Mudah saja, anggap ia sebagai “komunikasi” antara kenderaan dengan infrastruktur di sekelilingnya, iaitu bagi teknologi yang diperkenalkan oleh Audi ini, sistem itu akan menghantar informasi lampu isyarat kepada pemandu. Di mana informasi tersebut akan disampaikan dalam masa-nyata daripada sistem pengurusan trafik Las Vegas yang memantau lampu isyarat ke kenderaan menerusi sambungan data 4G LTE yang dipasang di dalam kenderaan.

    Apabila kenderaan menghampiri lampu isyarat, paparan informasi ini akan memaklumkan waktu yang tinggal sehingga isyarat bertukar ke hijau menerusi kluster instrumen yang dipasang pada unit paparan utama kenderaan. Menurut Audi, “informasi tambahan ini membantu mengurangkan rasa tekanan pada pemandu dengan memberitahu masa yang tinggal untuk lampu isyarat itu bertukar ke warna hijau.”

    Elemen ini adalah pengenalan bagi V2I, yang juga dipercayai berkeupayaan untuk disambungkan dengan sistem lain pada kenderaan (mula/berhenti, navigasi dan perkhidmatan ramalan) bagi mempertingkatkan pengalaman pemanduan untuk beberapa aspek termasuk penjimatan, masa memandu atau pengurusan trafik.

    “Aplikasi V2I dan perkhidmatan Informasi Lampu Isyarat ini adalah bagi kegunaan masa hadapan. Malah kami berbangga memperkenalkan pendekatan inovatif di di Las Vegas termasuklah beberapa demostrasi pemanduan yang lain,” ujar presiden Audi USA, Scott Keogh.

     
     
  • Korea Selatan akan dakwa eksekutif Volkswagen dan syarikat atas sebab iklan emisi yang tidak benar

    Volkswagen Jetta CKD 15

    Skandal Dieselgate masih lagi berlum berakhir di Korea Selatan, di mana pihak berkuasa di sana akan mengemukakan aduan jenayah terhadap lima bekas dan eksekutif semasa Volkswagen di sana, serta saman berjumlah 37.3 bilion won (RM142.5 juta) kepada syarikat itu untuk iklan emisi yang tidak betul. Ini adalah berdasarkan daripada laporan Reuters.

    Saman oleh Suruhanjaya Keadilan Perdagangan (FTC) ini adalah rekod untuk iklan yang salah di Korea Selatan, dan susulan kepada pemberhentian semua jualan Volkswagen di negara itu sejak bulan Ogos. FTC memberitahu mereka akan meminta pendakwa untuk menyiasat eksekutif termasuk timbalan presiden jualan Audi di Amerika, André Konsbruck.

    Menurut FTC, Volkswagen membuat “kenyataan yang salah, ditokok tambah dan mengelirukan” dalam iklan mereka, dengan terma hukuman daripada penjara hingga dua tahun atau denda sehingga 150 juta won. Volkswagen mengiklankan kereta mereka sebagai kenderaan mesra alam yang mematuhi standard pencemaran udara, tetapi sebenarnya mempunyai alat yang dapat mengaburi ujian yang dilakukan kerajaan, kata FTC.

    Audi Volkswagen Korea (AWK) menyatakan setakat ini belum diberitahu secara rasmi oleh suruhanjaya tersebut berkenaan saman itu. “AVK komited untuk membina semula keyakinan pada pihak berkuasa, pelanggan dan pemegang saham di Korea,” kata wakilnya dalam satu kenyataan yang dibuat.

    Ini bukan kali pertama Korea Selatan mengambil tindakan terhadap Volkswagen berkenaan Dieselgate. Negara itu sebelum ini pernah mengeluarkan sama kepada pengeluar kenderaan Jerman itu sebanyak 17.8 bilion (RM67.9 juta) untuk penipuan emisi, dan menangkap seorang eksekutif Volkswagen tempatan atas tuduhan termasuk penyelewengan dokumen dan pencabulan undang-undang kualiti udara.

    Penggantungan jualan kenderaan Volkswagen di Korea Selatan sejak bulan Ogos telah menyekat perkembangan jenama itu dalam pasaran yang dikuasai oleh Hyundai-Kia. Ia adalah pasaran yang kecil bagi Volkswagen tetapi terdapat permintaan tinggi jenama import seperti Audi dan Bentley oleh warga Korea yang berpendapatan tinggi.

     
     
  • Perodua Eco Challenge 2017 kembali dengan kelainan; peserta bakal hasilkan komponen kenderaan sebenar

    perodua-eco-challenge-2017

    Perodua Eco Challenge (PEC) 2017 yang mula dianjurkan pada 2009 akan kembali dengan pembaharuan; peserta kali ini akan dikehendaki untuk mencadangkan penghasilan komponen sebenar yang inovatif, yang akan dipertimbangkan untuk kegunaan model-model Perodua akan datang.

    Sejak diperkenalkan dahulu, bagi tempoh 2009 hingga 2013, PEC lebih tertumpu kepada mereka semula atau memperkemas model sedia ada Perodua dengan tujuan untuk menghasilkan jentera yang jimat bahan api; orientasi utamanya ketika itu adalah terhadap prestasi penjimatan bagi jarak jauh.

    Namun, bagi 2017, institusi pendidikan tinggi yang terlibat akan memberi tumpuan kepada aspek kajian dan pembagunan (R&D) dan akan berkerjasama dengan pasukan R&D Perodua serta vendor-vendornya untuk menghasilkan komponen-komponen prototaip untuk kegunaan sebenar kenderaan yang dihasilkan syarikat itu.

    Sebanyak 21 institusi dijemput untuk turut serta pada November 2016, di mana 10 daripadanya dipilih untuk bertanding di dalam siri tahun 2017 nanti. Perodua akan memberi dana permulaan (maksimum RM15,000 daripada Perodua dan tambahan selebihnya dariada vendor, bergantung kepada projek) untuk membangunkan idea dan pada April 2017, 10 institusi berkenaan akan berkerja dengan bahagian R&D Perodua dan vendornya untuk penilaian akhir pembangunan komponen prototaip yang dicadangkan.

    “PEC 2017 sangat unik dan hadir dengan format baharu bagi 2017. Mereka perlu menghasilkan bahagian atau komponen pada kenderaan yang merangkumi unsur ECO (Environment, Creativity, Originality) yang kemudiannya akan diterapkan untuk digunakan pada model Perodua,” ujar Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Datuk Dr Aminar Rashid Salleh.

    Peranan bahagian R&D Perodua dan vendor-vendornya adalah untuk menasihati dan membimbing peserta dalam memupuk budaya kerja sebenar bagi setiap proses dan kaedah yang terlibat. Sebaik sahaja komponen yang direka itu siap, ia akan dinilai oleh barisan juri pada Disember 2017. Markah akan diberikan secara berperingkat, berdasarkan perkembangan dan keterlibatan berkumpulan.

    Peserta akan dinilai dari empat kategori utama; rekaan, kertas kerja cadangan, pembangunan komponen dan bahagian kenderaan serta penilaian keseluruhannya. Hadiah yang menanti peserta pula adalah dari RM1,000 hingga RM20,000. Jumlah keseluruhan nilai hadiah yang dipertandingkan ialah sekitar RM80,000.

    Senarai institusi-institusi yang terlibat:
    Universiti Teknologi Petronas (UTP)
    Universiti Kuala Lumpur (UNIKL)
    Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)
    Universiti Teknologi Mara (UiTM)
    Politeknik Ungku Omar (PUO)
    Universiti Malaya (UM)
    Universiti Teknologi Malaysia (UTM)
    Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTEM)
    Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS)
    Universiti Malaysia Pahang (UMP)

     
     
  • Motul Sepang 12 Hour Endurace Race hujung minggu ini – empat pelumba tempatan sedia beri cabaran

    2015-race-start

    Sabtu ini akan berlangsung perlumbaan Motul Sepang 12 Hour Endurace Race di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) dan ia adalah kali ke 17 dianjurkan sejak tahun 2000 dan tugas mempromosinya dijalankan oleh SRO Motorsport Group yang berpusat di London, United Kingdom.

    Mereka yang berminat untuk menonton perlumbaan selama 12 jam yang melibatkan pelbagai kenderaan seperti Ferrari, Lamborghini, McLaren, Porsche, Mercedes dan Audi ini tidak perlu membayar tiket untuk masuk ke Grandstand, tetapi bagi bahagian paddock, terdapat pas berharga RM106.

    Perlumbaan ini akan bermula pada jam 12 tengahari, Sabtu dan berlangsung sehingga jam 12 tengah malam. Sebelum bermula, kenderaan lumba yang juga boleh digunakan di atas jalan raya biasa akan dipamerkan sekitar kawasan litar sebagai acara sokongan untuk pengunjung.

    Empat pelumba Malaysia akan turut serta memberi cabaran dalam perlumbaan ini, terdiri daripada Dominic Ang, Datuk Adrian D’Silva, Melvin Ho, dan Douglas Khoo. Pelumba lain pula datang dari seluruh dunia termasuk Amerika, Eropah, Australia dan negara-negara Asia lain.

     
     
  • Ford Fiesta generasi baharu – imej render untuk sedan

    new-ford-fiesta-theo-render-1

    Baru-baru ini Ford telah memperkenalkan model Fiesta generasi akan datang, di mana ia ditampilkan dengan beberapa varian – Trend, Active, ST-Line, Titanium dan Vignale. Walau pun ditampilkan dengan pelbagai visual luaran, namun kesemuanya adalah hatchback sahaja. Pakar imej render, Theophilus Chin telah pun membuat lakaran bayangan untuk Fiesta baharu ini bagi versi sedan.

    Dengan menggunakan Fiesta Titanium sebagai asas, model sedan ini menerima padanan lampu belakang yang lebih langsing bagi menggantikan unit yang sedikit besar pada model hatchback, serta dipadankan dengan kekemasan krom. Bahagian belakang yang dipanjangkan juga telah direndahkan sedikit, dengan garisan yang lebih mantap merintangi bahagian pemegang pintu hingga ke lampu belakang. Ada iras Mazda 2 Sedan kan?

    Fiesta baharu ini ditawarkan dengan enjin petrol dan diesel, dengan pilihan transmisi termasuk manual lima-kelajuan, manual enam-kelajuan dan automatik enam-kelajuan. Penjana kuasa bagi petrol termasuklah 1.1 liter dan 1.0 liter EcoBoost dengan berapa talaan (70 PS hingga 140 PS), sementara enjin diesel 1.5 liter TDCi pula memberikan kuasa 85 PS dan 120 PS.

    new-ford-fiesta-theo-render-2

    Selain perubahan tersebut, Fiesta juga telah diberikan penambahbaikan bahagian casis, dengan suspensi ‘double-bonded’ yang lebih keras berbanding sebelum ini untuk memberikan respons stereng yang leboh padu, menurut Ford. Bukan itu sahaja, ia juga bakal dilengkapi dengan pelbagai lagi bantuan pemanduan termasuk bantuan parkir aktif dengan parkir tegak-lurus, kawalan kelajuan aktif dan banyak lagi.

    Bergantung pada variannya, Ford Fiesta serba baharu ini juga akan dipadankan dengan roda keluli 15- atau 16-inci, atau roda aloi dengan ukuran 15-,16-, 17- dan 18-inci. Ia turut ditawarkan dengan warna baharu iaitu Blue Wave, Chrome Copper, Milano Grigio, dan Ruby Red. Manakala warna sedia ada yang turut dikekalkan ialah Absolute Black, Blazer Blue, Bohai Bay Mint, Deep Impact Blue, Frozen White, Magnetic, Moondust Silver dan Race Red.

    GALERI: Ford Fiesta akan datang

     
     
  • Honda MSX125 dilancarkan di Malaysia – RM11,128

    Honda MSX125 dilancarkan di Malaysia – RM11,128

    Boon Siew Honda menambah barisan model sedia adanya dengan sebuah ‘mini-moto’ untuk pasaran Malaysia, iaitu model MSX125 atau juga dikenali sebagai Grom. Ketibaan model ini sekaligus memberikan saingan terus kepada Kawasaki Z125 Pro dan Benelli TnT135 yang baru dilancarkan awal minggu ini.

    MSX125 yang dibawa ke Malaysia ini adalah model facelift terbaru yang sudah diperkenalkan di Thailand awal tahun ini, melihatkan penggunaan gaya badan lebih moden bersama lampu hadapan LED dua baris dan lampu belakang juga LED. Pada bahagian meter pula, unit yang digunakan adalah jenis LCD, dan mempunyai pelbagai informasi.

    Honda MSX125 dikuasakan oleh enjin satu silinder 125 cc SOHC berpenyejukan udara dan dipadankan bersama transmisi empat kelajuan, mampu menghasilkan sehingga 9.7 hp pada 7,000 rpm dan 11 Nm tork pada 5,250 rpm. Tangki minyak yang disediakan adalah berkapasiti 5.7 liter dan tugas memastikan penggunaannya cekap dilaksana sistem suntikan bahan api PGM-FI.

    Walaupun mungkin ada yang mengatakan jumlah kuasa ini tidak seberapa, ia dianggap mencukupi untuk badan kecil MSX125 seberat 103 kg ini dan menawarkan tunggangan yang lincah dan serba mudah. Ukuran motosikal ini adalah 1,755 mm panjang, 730 mm lebar dan 1,000 mm tinggi. Jarak di antara roda pula adalah 1,200 mm.

    Bagi memberikan serapan yang lebih mantap, MSX125 menggunakan fork hadapan jenis terbalik 31 mm manakala di belakang pula terdapat monoshock yang dipasang pada lengan ayun. Melengkapinya adalah rim aloi 12 inci dan dipasang dengan tayar 120/70 di hadapan dan 130/70 di belakang. Brek pula adalah set cakera 220 mm dan angkup dua piston di hadapan dan cakera 190 mm dan angkup satu piston di belakang. Tiada sistem ABS untuk unit pasaran Malaysia buat masa ini.

    Honda MSX125 dijual pada harga RM11,128.94 (termasuk GST, tanpa insurans) bersama jaminan selama dua tahun atau 20,000 km dan ditawarkan dalam dua warna iaitu Hyper Yellow dan Burning Red. Sebagai perbandingan, pesaingnya, Kawasaki Z125 Pro dijual di Malaysia pada harga RM10,435 (termasuk GST, tanpa insurans), manakala Benelli TnT135 pula RM8,469 (termasuk GST, tanpa insurans).

    Kami akan menyediakan anda dengan lebih banyak gambar sebenar MSX125 sebaik berpeluang mendekatinya di Litar Sepang petang nanti.

    GALERI: Honda MSX125 di Litar Sepang

    GALERI: Honda MSX125 di Thailand

     
     
  • Toyota 86 generasi seterusnya akan dibangunkan, bakal diperkenalkan sekitar tahun 2018-2019

    Toyota GT86 Initial D Concept 2

    Menurut laporan Autocar, Toyota 86/GT86 generasi berikutnya disahkan akan dibangunkan dan model berkenaan dijangka bakal muncul sekitar tahun 2018-2019.

    “GT86 kini dalam peringkat di mana ia sedang dirancang untuk pengeluaran generasi seterusnya. Apabila ketua jurutera dilantik kemudian kami akan bergerak,” kata ketua Toyota Eropah Karl Schlicht. “GT86 akan terus dibina. Kereta berkenaan mempunyai peranannya yang besar. Kami tidak akan meninggalkan perniagaan berkenaan. Kereta yang sporty menempuhi fasa mereka tersendiri. Menjadi niat kami untuk terus bersama kereta berkenaan,” tambah beliau merujuk kepada rekod jualan awal yang memberangsangkan.

    Toyota 86 sedia ada merupakan sebuah Coupe dengan enjin bentangan Boxer empat-silinder tanpa induksi paksaan, memacu roda belakang dan dibina bersama Subaru. Subaru turut keluar dengan model kembarnya yang diberi nama BRZ. Kerjasama ini dijangka akan diteruskan untuk model seterusnya tetapi masih belum diumumkan secara rasmi.

    toyota-gt86-rear-e1474263503753_bm

    “Adakah kami akan membinanya bersama Subaru? Saya tidak tahu. Tetapi untuk membawa semula konsep yang sama, dengan enjin yang rendah, kami perlu melakukannya. Banyak alasan mengapa kami perlu terus bersama dengan Subaru,” kata Schlicht. Salah satu sebab mengapa pengendalian 86 begitu bagus adalah kerana pusat gravitinya yang rendah menerusi penggunaan enjin Boxer dari Subaru.

    Sebelum ini, model-model konsep 86 dalam bentuk shooting brake dan convertible telah ditampilkan, namun model dengan ciri bumbung boleh dibuka berkenaan dijangka tidak akan dibina. “Kami tidak melakukannya pada model sedia ada. Ia tidak bermaksud pengedar tidak menyukainya, tetapi kerana banyak lagi perkara lain yang perlu kami dahulukan yang mana saya tidak fikir kami mempunyai lebih kapasiti untuk melakukannya,” jelas Schlicht.

    Generasi seterusnya Toyota 86 ini akan diletakkan di bawah Toyota Supra generasi terbaharu dalam barisan kereta sport Toyota. Supra berkenaan kini sedang dibina bersama BMW, yang menggunakan platform sama dengan Z4 generasi seterusnya iaitu Z5. “Kerjasama berkenaan berjalan lancar. Ia sedang dijalankan di Eropah. Versi kami adalah berbeza dari yang dibangunkan oleh BMW,” kata Schlicht.

     
     
  • Rapid KL umum tujuh stesen LRT Laluan Ampang dibuka lewat 11 Dis ini bagi pelaksanaan naik taraf trek

    LRT-rail-pix-Bernama_PT_BM

    Rapid KL telah mengeluarkan kenyataan mengumumkan tujuh stesen LRT Laluan Ampang antara stesen Ampang dan Miharja akan dibuka lewat iaitu jam 9 pagi pada 11 Disember ini (Ahad). Ia bagi membolehkan kerja-kerja fasa terakhir perpindahan ke sistem isyarat yang baharu.

    Menurut kenyataan yang turut dimuat naik di laman media sosial Facebook rasmi mereka, pembukaan tujuh stesen iaitu Ampang, Cahaya, Cempaka, Pandan Indah, Pandan Jaya, Maluri dan Miharja, dilewatkan dengan tiga jam bagi membenarkan kerja-kerja penaikan taraf sistem isyarat, yang akan bermula pada tengah malam dan memerlukan sembilan jam untuk menyelesaikan tugasan berkenaan.

    Manakala perkhidmatan di Stesen Chan Sow Lin dan seluruh Laluan Sri Petaling antara Putra Heights dan Sentul Timur akan beroperasi seperti biasa dari 6 pagi hingga tengah malam.

    “Kerja-kerja penaikan taraf itu akan bermula serta merta selepas perkhidmatan pada 10 Disember berakhir kerana Rapid KL mahu meminimakan ketidak-selesaan di kalangan para pelanggannya. Semasa ketiadaan perkhidmatan LRT di tujuh stesen itu, perkhidmatan bas pengantara percuma akan disediakan oleh perkhidmatan bas Rapid KL,” tambah kenyataan berkenaan.

    Selain sepanduk, poster dan notis, staf terlibat juga akan diletakkan di stesen-stesen terbabit bagi membantu penumpang dalam penggunaan bas pengantara dan untuk maklumat yang berkaitan.

    Para pengguna juga boleh mendapat maklumat penuh mengenai perkhidmatan bas pengantara di www.myrapid.com.my ataupun dengan mengikut Rapid KL di laman Facebook atau twitter @myrapid.

     
     
  • MV Agusta akan dipasang di Malaysia, pusat 3S dibuka

    mv-agusta-signing-ceremony-bm-4

    Motosikal jenama terkenal dari Itali iaitu MV Agusta akan membuat kemunculan semula di Malaysia apabila satu perjanjian dibuat dengan DNC Asiatic Holdings Sdn Bhd untuk pengedaran dan pemasangan motosikal jenama itu di Malaysia. Sebuah syarikat khas turut ditubuhkan untuk tugas itu dan dinamakan Moto Varese Asiatic Sdn Bhd.

    Majlis menandatangani perjanjian kerjasama ini dilakukan oleh pengarah eksekutif DNC Asiatic Holdings Sdn Bhd, Hu Ying, pengarah urusan Moto Varese Asiatic Sdn Bhd, Zamry Abu Samah dan pengurus negara timur MV Agusta Motor SpA, Judah Sangaran.

    Dengan adanya perjanjian ini, Moto Varese Asiatic akan memasarkan varian terpilih daripada 8 model MV Agusta yang ada dan semua model ini akan dipasang di kilang DNC Asiatic Holdings Sdn Bhd di Olak Lempit, Selangor. Ini adalah kilang sama yang mengeluarkan motosikal Demak, cuma ia ditambah dengan baris khas untuk motosikal MV Agusta.

    mv-agusta-signing-ceremony-bm-1

    Pemasangan tempatan ini hanyalah untuk pasaran Malaysia sahaja dan buat masa ini, tiada sebarang komponen tempatan yang digunakan. Semua komponen untuk motosikal tersebut akan diimport, cuma pemasangannya sahaja dijalankan oleh DNC Asiatic Holdings Sdn Bhd.

    Tiga model MV Agusta terawal yang akan dipasang dan diedarkan oleh Moto Varese Asiatic adalah Brutale 800, Brutale 1090 dan Turismo Veloce. Ia kemudiannya akan diikuti oleh semua model lain MV Agusta yang ada. Untuk menyediakan khidmat kepada pengguna baru dan sedia ada MV Agusta, sebuah pusat 3S juga akan dibuka di Batu Caves, Selangor berserta pelbagai lagi aktiviti promosi lain. Turut dinyatakan adalah pembukaan dua lagi pusat pameran sebelum tahun 2017 berakhir.

    Menurut Sangaran, MV Agusta sentiasa adalah jenama motosikal yang ‘super premium’. Dengan pemasangan tempatan ini, mereka tidak menjanjikan sebarang penurunan harga yang banyak, tetapi ia akan menjadi lebih kompetitif dengan jenama lain apabila mula berada di pasaran awal tahun 2017.

     
     
  • JPJ tawar diskaun bagi kadar kompaun kesalahan tiada lesen memandu atau sudah tamat tempoh

    malaysian-driving-license-001

    Sebelum ini telah viral di laman media sosial yang menyatakan bahawa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan menaikkan saman bagi pemandu yang memperbaharui lesen memandu mereka yang telah tamat tempoh. Walau bagaimana pun perkara ini telah pun dinafikan oleh JPJ sendiri.

    Pagi ini, pihak JPJ juga telah mengeluarkan kenyataan mengumumkan tawaran diskaun bagi kadar kompaun kepada pengguna jalan raya yang tidak mempunyai lesen memandu atau lesen telah tamat tempoh. Di mana pengurangan kompaun daripada jumlah maksimum RM300 itu ditawarkan secara berperingkat kepada pemandu kenderaan dan juga penunggang motosikal yang melakukan kesalahan itu.

    Di bawah Seksyen 26(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, pemandu kenderaan atau penunggang motosikal yang didapati memandu atau menunggang tanpa lesen memandu atau lesen mereka tamat tempoh, boleh dikenakan kompaun maksimum sebanyak RM300.

    Walau bagaimana pun, sekiranya pesalah menjelaskan kompaun dalam tempoh yang ditetapkan, kadar pengurangan bayaran akan ditawarkan kepada mereka. Kadar yang dimaksudkan adalah seperti di bawah ini:

    jpj-license-expire-compound

    Pembaharuan lesen memandu yang telah tamat tempoh boleh dibuat di semua pejabat JPJ mahupun agensi yang dilantik tanpa dikenakan kompaun. Walau bagaimana pun, ia hanya tertakluk kepada lesen memandu yang tamat tempoh tidak lebih daripada tiga tahun.

    JPJ juga ingin menasihati orang ramai agar tidak mudah terpengaruh dan mempercayai sebarang mesej JPJ melalui media sosial dan aplikasi WhatsApp yang tidak mempunyai sumber sah. Sekiranya terdapat sebarang kemusykilan, orang awam dinasihatkan untuk merujuk terus kepada jabatan ini dan tidak turut serta menyebarkan salah faham.

     
     
  • Dulu bantah, kini Big Blue Taxi sokong Uber, Grabcar

    big-blue-taxi-01-850x579-bm

    Di dalam perkembangan terbaharu, nampak gayanya individu yang sebelum ini lantang mengecam perkhidmatan Grabcar dan Uber telah berubah fikiran dan mengubah nada pandangannya. Memetik laporan Malay Mail Online, pemilik Big Blue Taxi Sevices, Datuk Shamsubahrin Ismail kini menyokong pula pelaksanaan dan pindaan undang-undang terhadap perkhidmatan Uber dan Grabcar.

    Kenyataan ini dikeluarkan selepas tiga hari syarikat itu kerugian RM8,000 setelah dilarikan oleh seorang daripada pemandunya sendiri. Lelaki berusia dalam lingkungan 50an dan menghilangkan diri sejak itu, telah berkhidmat bersama Big Blue Taxi selama enam tahun. “Saya telah membantunya selama ini dan begini cara dia membalas budi,” ujar Shamsubahrin.

    Beliau telah membuat laporan polis terhadap lelaki itu, dan akan mendakwa syarikat teksi di mana pemandu yang menghilangkan diri itu memperoleh permitnya, dan akan dibawa ke mahkamah. Kes berkenaan akan difailkan di bawah Seksyen 43 Akta Pengangkutan Awam Darat, yang menyatakan syarikat boleh dipertanggungjawabkan sekiranya pemandu teksi didapati bersalah di atas sebarang kelakuannya.

    Shamsubahrin mendakwa ini kali pertama bagi mana-mana syarikat teksi akan dibawa ke mahkamah di bawah seksyen berkenaan. “Undang-undang sedia ada sudah mantap, tetapi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) perlu lebih cekap dan proaktif dalam menguatkuasakannya dalam memastikan pemandu yang tidak beretika agar tidak boleh berkerja sebagai pemandu teksi,” tambahnya.

    Ketika mengulas tentang perkhidmatan Uber dan Grabcar, Shamsubahrin berkata disebabkan pemandu teksi enggan berubah untuk berdepan dengan saingan daripada dua perkhidmatan itu, beliau kini menggesa agar kerajaan mempercepatkan kelulusan untuk mengawal selia perkhidmatan berkenaan. “Saya menyokong agar kerajaan meluluskan perkhidmatan Uber dan Grabcar,” tambah beliau.

    Nada ini sama sekali berlainan daripada beberapa kenyataan yang dikeluarkannya sebelum ini. Sebagai contoh, individu yang sama mengecam penggunaan Proton Iriz untuk perkhidmatan Uber kerana dikatakan tidak sesuai untuk membawa penumpang, serta ingin menghalang pemandu Uber dan Grab daripada mengambil penumpang dibeberapa kawasan.

     
     
  • Go Auto meterai perjanjian teknikal dengan Fukuta Taiwan- bakal jadi hab kenderaan elektrik di Asia

    photo-2

    Go Automobile Manufacturing (Go Auto) telah memeterai perjanjian teknikal dengan Fukuta Electric & Machinery Company Ltd Taiwan (Fukuta) baru-baru ini bagi membangunkan ekosistem kenderaan elektrik (EV). Perjanjian ini menjadikan Malaysia sebagai hab pengeluar dan komponen EV di pasaran ASEAN.

    Selaras dengan Dasar Automotif Negara (NAP), Malaysia telah menetapkan sasaran satu juta jumlah jualan industri (TIV) menjelang 2020, di mana 10% daripadanya ialah EV. Penglibatan Go Auto dalam membangunkan EV dan komponen berteknologi tinggi adalah hasil daripada Program STRIKE yang dianjurkan oleh MIGHT Technology Nurturing.

    STRIKE adalah satu program bersepadu baharu dalam pelaksanaan Rancangan Malaysia ke-11 yang bertujuan membuka peluang kepada syarikat tempatan bagi memajukan industri Teknologi Hijau. STRIKE memfokuskan kepada empat kluster utama iaitu Tenaga Boleh Diperbaharui (solar), Mobiliti Hijau, Bahan Bio-Degradasi dan Bandar Pintar. Go Auto mengetuai kluster Mobiliti Hijau semasa program STRIKE dijalankan memandangkan Go Auto adalah syarikat peneraju utama yang membangunkan ekosistem EV.

    Majlis perjanjian Go Auto-Fukuta disempurnakan oleh Pengarah Eksekutif Go Auto, Dato’ SM Azli Tan Sri SM Nasimuddin Kamal bersama Pengarah Urusan Fukuta, Gordon Chang dalam lawatan kerja yang berlangsung pada November lalu.

    Turut serta dalam majlis perjanjian itu ialah Profesor Abu Talib Othman bagi mengetuai Pembangunan Modal Insan dalam Teknologi Hijau dan Pengarah Bahagian Kejuruteraan Automotif, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Dato’ Ir. Hj. Mohamad Dalib juga turut hadir yang berperanan sebagai pemantau bagi memastikan Go Auto menepati syarat pematuhan yang ditetapkan JPJ.

    “Antara objektif kerjasama kedua-dua pihak adalah membangunkan fasiliti Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) bagi sistem EV seperti pembuatan komponen “High Efficiency Power Motor” dan sistem transmisi, termasuk fasiliti pengeluaran bagi tujuan pasaran tempatan dan eksport. Kolaborasi itu juga turut membabitkan pembinaan prototaip bas, teksi dan trak makanan EV.

    “Fukuta memiliki pengalaman luas dalam industri EV membabitkan pembangunan “High Efficiency Power Motor”, pengeluaran peralatan tulen (OEM), dan pembuatan rekaan tulen (ODM).” “High Efficiency Power Motor” buatan Fukuta mendapat sijil pengiktirafan antarabangsa menerusi Pertubuhan Standard Antarabangsa (ISO) dan Sijil Penyiapan dan Pematuhan China (CCC) serta mendapat pengiktirafan CSA/C/US,” kata Azli.

    Fukuta mula mengeluarkan kereta sport elektrik secara besar-besaran pada tahun 2007. Fukuta juga adalah penerima anugerah industri nasional pertama di Taiwan. Selain itu, ia turut bertanggungjawab membangunkan tren kuasa untuk model-model Tesla Motor. Selain Tesla Motor, pelanggan utama Fukuta ialah Luxgen dan Alta Motors.

    Sejak ditubuhkan, Fukuta telah menerima pelbagai pengiktirafan di Taiwan dalam komitmen syarikat itu membangunkan dan mengeluarkan sistem transmisi dan motor. Antara kejayaan terbesar Fukuta adalah membina motor kuasa bagi model-model EV, Tesla Motor. Kilang Fukuta berkeluasan 5,950 meter persegi dengan perolehan jualan sebanyak AS$40 juta (RM179 juta).

    f01_figure

    Bagi mengukuhkan lagi ekosistem di dalam Teknologi Hijau, selain komponen “ High Efficiency Power Motor”, Go Auto juga membangunkan komponen lain iaitu bateri EV dan sistem kawalan komunikasi (Telematics). Semua komponen itu akan dibangunkan oleh kumpulan vendor Go Auto di bawah program pembangunan vendor (PPV) yang dianjurkan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

    Menerusi program tersebut, Go Auto bakal melahirkan banyak vendor baharu bagi mengeluarkan dan membekalkan komponen EV, seterusnya melahirkan lebih banyak peluang pekerjaan di dalam Mobiliti Hijau seperti yang diunjurkan di dalam Program STRIKE.

    Di dalam lawatan kerja yang sama , selain Fukuta, Go Auto juga memeterai perjanjian dengan Higer, iaitu syarikat pengeluar bas elektrik yang akan dipasarkan di Malaysia menjelang akhir 2017.

    Tambah Azli lagi, rancangan pembangunan fasiliti dan pembangunan sedang berjalan lancar. Fasiliti yang bakal dibina dianggarkan mempunyai kapasiti pengeluaran pada peringkat permulaan sebanyak 10,000 unit setahun.

     
     
  • CEO Mazda sahkan tiada rancangan untuk membina kereta sport rotari ganti barisan siri RX sebelum ini

    Mazda RX-Vision 19

    Walaupun kereta konsep RX-Vision telah dipamerkan di Tokyo Motor Show 2015 dan enjin rotari turbo generasi baharu digelar SkyActiv-R dilaporkan sudah pun dipatenkan, namun temuramah Automotive News bersama CEO Mazda Masamichi Kogai mengesahkan, generasi terbaharu kereta sport siri RX (RX-3, RX-4, RX-7 dan RX-8), serta kereta-kereta sport lain yang lebih besar dari MX-5 sememangnya tiada dalam rancangan untuk pembinaan oleh syarikat berkenaan.

    Walau bagaimanapun, Kogai menyatakan bahawa ini bukanlah titik noktah untuk enjin rotari Mazda. “Jika kami bermula untuk memproduksi semula enjin rotari, kami akan pastikan ia akan bertahan lama. Kami perlu memastikan ia memenuhi undang-undang pencemaran udara pada masa akan datang. Kami masih lagi menjalankan usaha R&D kami untuk mengatasi apa jua isu yang perlu kami tangani terhadap emisi dan juga kecekapan bahan api,” jelas Kogai.

    Tetapi, enjin berkenaan akan berfungsi sebagai enjin penambah jarak (range extender – rujuk fungsi pada Nissan Note e-Power) dan bukan sebagai enjin utama, sebagai usaha Mazda beralih kepada teknologi elektrik. Mazda juga tiada rancangan untuk mengeluarkan kereta sport elektrik dengan enjin penambah jarak ini, dan Kogai juga turut menambah MX-5 “mungkin memberikan pengalaman yang lebih menyeronokkan.”

    Buat masa sekarang, Mazda sedang menumpukan kepada teknologi SkyActiv generasi baharu yang bakal diperkenalkan pada Mac 2019. Teknologi baharu berkenaan bakal memperluaskan penggunaan teknologi elektrik, dengan kerjasama dari Toyota bagi membangunkan kereta-kereta elektrik sepenuhnya dan hibrid plug-in.

    Dalam kemeriahan yang dilihat bermula semula di Jepun dengan model-model jelmaan semula ikon-ikon 90’an seperti Honda NSX dan Toyota Supra, disamping Nissan GT-R, berita ini sedikit sebanyak agak mendukacitakan peminat-peminat kereta sport JDM bukan?

    GALERI: Mazda RX-Vision di Tokyo Motor Show 2015

     
     
  • Demak kini aktif keluarkan 15 model, turut dieksport

    demak-factory-bm-1

    Demak Marketing Sdn Bhd, sebuah anak syarikat kepada DNC Asiatic Holdings Sdn Bhd sudah beroperasi sejak tahun 2002, dan kini mempunyai tiga kilang pemasangan motosikal, masing-masing satu di Kuching Sarawak, Olak Lempit, Selangor dan Sri Lanka.

    Bagi setiap kilang tersebut, masing-masing mampu mengeluarkan secara maksimum 36,000, 200,000 dan 72,000 unit motosikal setiap tahun. Walaubagaimanapun, pada masa ini, hanya 54,000 unit dikeluarkan di Olak Lempit dan 12,000 di Sarawak setiap tahun.

    Dari tempoh ia mula beroperasi, lebih 60 model telah dikeluarkan oleh Demak tetapi kini, yang aktif dikeluarkan adalah 15 model, antaranya Evo Z yang menjadi model paling laris, Skyline GT, DXT 250, DVS 110, Transtar, Tropica, DTM 150/ 200 dan ECO110.

    Bagi kilang di olak Lempit, Selangor, ia terletak di kawasan seluas 260,000 kaki persegi dan kini adalah kemudahan utama Demak, di mana selain untuk pasaran tempatan, ia turut dieksport ke negara luar termasuk Sri Lanka, Vietnam dan Myanmar. Pada masa hadapan, Demak turut melihat kemungkinan memasuki pasaran Iran.

    Bergantung pada model, alat ganti tempatan pada motosikal Demak boleh mencapai tahap sehingga 70 peratus, manakala bahagian enjin pula diimport daripada Taiwan dan China. Bagi model tertentu, beberapa bahagian turut diimport dari negara seperti Vietnam, China, Thailand dan Indonesia.

    demak-factory-bm-26

    Menurut wakil daripada bahagian operasi kilang Demak di Olak Lempit, sebelum ini, semua acuan (mold) untuk produk mereka berada di Taiwan, tetapi kini telah dibawa kembali ke Malaysia atas sebab-sebab tertentu.

    Kilang di Olak Lempit ini mempunyai seramai 100 pekerja (di bahagian kilang sahaja) dan kebanyakannya terdiri daripada warga negara luar termasuk dari Bangladesh, China dan Filipina. Untuk bahagian pengurusan pula, kebanyakannya adalah warga tempatan.

    Untuk menyokong jualan oleh sebanyak 540 pengedarnya, Demak sudah mempunyai enam pusat servis rasmi masing-masing di Johor Bahru, Kuantan, Sungai Petani, Ipoh, Kota Kinabalu dan paling besar di Batu Caves, Selangor.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (-0.04)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.90 (-0.04)
EURO 5 B7 RM3.10 (-0.04)
Last Updated Aug 14, 2025