Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Mercedes-Benz Autohaus Batu Pahat dilancarkan

    Mercedes-Benz Autohaus Batu Pahat dilancarkan

    Mercedes-Benz Malaysia (MBM) dengan kerjasama pengedar bertauliah, BR Jaya, telah melancarkan Mercedes-Benz Autohaus baharu di Batu Pahat, Johor. Fasiliti ini merupakan sebahagian daripada pelaburan bernilai RM1 juta untuk bahagian selatan, dan ini merupakan Autohaus pertama di Johor di kalangan lima rangkaian pengedar di negeri berkenaan.

    Dengan seluas 22,373 kaki persegi, Mercedes-Benz BR Jaya Autohaus mematuhi Mercedes-Benz Presentation System II (MPS II), dan memenuhi identiti korporat terkini pembuat kenderaan terbabit. Turut menempatkan 10 bilik pameran, Autohaus ini juga turut dilengkapi dengan fasiliti 3S, dan mampu menyelenggara sehingga 160 buah kenderaan sebulan.

    Bagi meningkatkan lagi perkhidmatan untuk pelanggan, Autohaus turut menawarkan “Door to Door Zero Mileage Car Carrier Service” di mana kenderaan pelanggan akan diambil dari rumah dan dibawa ke Pusat Servis Mercedes-Benz BR Jaya di Batu Pahat dengan menggunakan trak untuk dibaiki atau diselenggara. Apabila selesai, kenderaan tersebut akan dikembalikan terus ke rumah pelanggan.

    “Ini merupakan tanda penghargaan dan sokongan daripada rangkaian pengedar kami yang telah lama berusaha memperkukuhkan lagi jenama Mercedes-Benz di Malaysia. Pelanggan di bahagian selatan kini mampu menerima perkhidmatan selepas jualan yang terbaik daripada kami,” ujar presiden dan CEO Mercedes-Benz Malaysia Claus Weidner.

    “Sebagai Autohaus pertama di Johor, BR Jaya sangat berbangga menjadi sebahagian daripada perkembangan Mercedes-Benz di sini. Kami juga sangat teruja untuk memberikan perkhidmatan terbaik buat para pelanggan yang mempercayai kredibiliti kami bagi perkhidmatan selepas jualan,” tambah pengarah urusan BR Jaya, Lee Chee Hong.

     
     
  • Nissan Patrol Rali Paris-Dakar 1987 direstorasi semula

    Jika berbicara tentang Rali Paris-Dakar (kini lebih dikenali sebagai Rali Dakar), tentunya kita akan sentiasa terbayang akan Mitsubishi Pajero yang merupakan antara ‘watak penting’ dari Jepun dalam perlumbaan rali padang pasir sejauh lebih dari 13,000 km, merentasi Eropah, Algeria, Niger, Mali, Mauritania dan Senegal tersebut. Namun untuk pengetahuan anda, Nissan juga menyertai perlumbaan berkenaan pada era 80’an menggunakan jentera Nissan Patrol.

    Pada tahun 1987, dua buah Nissan Patrol Fanta Limon disediakan untuk Rali Paris-Dakar oleh sekumpulan juruteknik dan jurutera Pusat Teknikal Nissan Eropah (NTCE) setelah hasil yang agak memberangsangkan ketika mereka menyertai berberapa rali berskala kecil dengan jentera berkuasa diesel pada tahun sebelumnya. Patrol yang dibina berkenaan menggunakan enjin turbo diesel 2,800 cc empat-silinder, menjana kuasa 146 hp.

    Patrol Fanta Limon bernombor 212 tidak bernasib baik kerana telah terbalik dan tidak menamatkan perlumbaan. Tetapi sebuah lagi Patrol yang bernombor 211 bukan sahaja telah berjaya menamatkan perlumbaan, malah telah merangkul tempat kesembilan secara keseluruhan, tempat pertama dalam kategori diesel, seterusnya menjadi jentera berenjin diesel paling berjaya dalam sejarah rali berkenaan ketika itu.

    Setelah tamatnya perlumbaan, Patrol Fanta Limon berkenaan terus direhatkan di sebuah muzium di selatan Sepanyol. Namun, 28 tahun kemudian, sekumpulan jurutera NTCE menjejaknya semula dan mengambil keputusan untuk merestorasinya semula, sebagai menghormati warisan kejayaan mereka.

    Proses restorasi berkenaan bermula pada tahun 2014, dan hanya lengkap sepenuhnya tahun ini. Masa dua tahun diambil untuk menyiapkannya kerana ini merupakan projek sambilan mereka, yang hanya berjalan pada setiap hujung minggu.

    “Enjinnya dalam keadaan yang sangat teruk. Ia adalah mustahil untuk dihidupkan kerana kebanyakkan komponen telah terkakis dengan teruk. Gandar hadapan telah mengalami kerosakan, tetapi bahagian yang paling teruk adalah komponen elektrik, yang telah dirosakkan dengan teruk oleh tikus,” kata juruteknik Juan Villegas, salah seorang ahli yang terlibat dalam restorasi berkenaan.

    “Kami mahukan kereta ini sama seperti keadaan asalnya dari semua segi, dan kami bertuah kerana mempunyai lukisan dan manual servis lama,” tambah Villegas. Juruteknik berkenaan turut menyatakan mereka melakukan larasan akhir sama dengan larasan yang dilakukan pada perlumbaan Paris-Dakar 1987.

    Nissan Patrol Rali Paris-Dakar 1987 direstorasi semula

    Pasukan restorasi ini menerima dana “Performance Innovation” dari Nissan, yang sememangnya dikhaskan untuk projek sedemikian. Menurut syarikat berkenaan lagi, krew pasukan tersebut terpaksa mencari alat ganti di seluruh Eropah untuk melengkapkan tugas ini. Jika tidak memperolehi komponen new old stock (NOS), mereka terpaksa membeli komponen terpakai dan merestorasinya semula.

    Setelah projek ini selesai, pasukan restorasi itu membawa semula Patrol Fanta Limon bernombor 211 tersebut ke Senegal. Pedro Diaz Illan yang menguruskan bahagian kejuruteraan elektrikal dan elektronik bukan sahaja terlibat dalam projek restorasi ini, malah dia juga merupakan ahli NTCE asal yang membina Patrol berkenaan dan kini masih lagi bertugas di NTCE.

    “Fikiran, hati, dan jiwa kami telah diserahkan untuk projek ini dan ia bukanlah mudah,” kata Illan dan menambah, “tetapi untuk melihat semula kereta ini berada di padang pasir adalah fantastik.”

     
     
  • Grab perkenalkan program kesetiaan GrabRewards

    Grab perkenalkan program kesetiaan GrabRewards

    Grab telah mengumumkan pelancaran GrabRewards versi Beta, sebuah program kesetiaan pelanggan yang pertama bagi penumpang perkhidmatan itu dirantau ini. Ia akan ditawarkan bermula minggu ini kepada pelanggan terpilih di Indonesia, Malaysia, Singapura dan Filipina, serta Thailand dan Vietnam.

    Penumpang boleh mengumpulkan mata ketika mereka menggunakan khidmat GrabCar dan GrabTaxi biasa dan layak untuk menerima ganjaran berupa perkhidmatan Grab secara percuma atau pun dengan potongan harga. GrabRewards terdiri daripada empat peringkat; Platinum, Gold dan Silver yang diberikan kepada pelanggan yang kerap menggunakan khidmat berkenaan, serta tahap Member bagi pengguna biasa lainnya.

    Pelanggan yang terpilih bagi pelancaran versi Beta ini akan dimasukkan di dalam satu daripada empat peringkat berkenaan, yang akan ditentukan oleh penggunaan GrabCar atau GrabTaxi mereka bagi tempoh enam bulan terakhir. Mata akan dikumpul berdasarkan jenis kenderaan dan khidmat yang digunakan, jarak perjalanan dan jumlah tambang keseluruhan yang dibayar.

    Grab perkenalkan program kesetiaan GrabRewards

    Semua perkhidmatan GrabBike, GrabCar, GrabShare dan GrabTaxi di keenam-enam negara menggunakan bayaran tunai atau GrabPay (tanpa menggunakan kod promosi) menerima mata ganjaran bagi program berkenaan. Ganjaran yang akan diberikan adalah dalam bentuk perjalanan percuma atau dengan diskaun, termasuk bagi perjalanan dari atau ke lapangan terbang.

    Pengguna Platinum akan diberi keutamaan di mana mereka akan diberikan pilihan untuk tempahan yang dilakukan. Sebagai tambahan, pelanggan Platinum eksklusif juga layak terhadap nombor hotline yang menyediakan bantuan segera kepada ahli-ahli di dalam peringkat itu. Boleh dicapai melalui aplikasi, hotline berkenaan akan disediakan dalam tempoh beberapa minggu lagi.

    Pelanggan boleh menyemak dan menuntut ganjaran daripada Grab dan rakan-rakan kongsi yang terlibat di dalam katalog program berkenaan, yang boleh dicapai terus dari dalam aplikasi Grab. Di Malaysia, rakan kongsi yang terlibat adalah seperti Agoda, Althea, dahmakan, Flexiroom, Fraser Hospitality, ServisHero, Reebonz dan Uniqlo.

     
     
  • VIDEO: Volvo S60 Polestar TC1 vs trak Iron Knight

    Ogos lalu, Volvo Truck telah mendedahkan jentera baharu yang direka untuk memecahkan rekod iaitu The Iron Knight – trak 4.5 tan yang dibekalkan dengan kuasa 2,400 hp dan tork maksima 6,000 Nm, dijana dari enjin diesel D13 12.8 liter yang diubahsuai dan disuap dengan empat pengecas turbo serta telah dinobatkan sebagai trak terpantas di dunia selepas mencatatkan kelajuan maksima 276 km/j.

    Jadi, untuk memperlihatkan bagaimana kebolehan berlumba trak ini, ia diuji untuk berentap dengan jentera perlumbaan sebenar dalam siri Kejohanan Touring Car Dunia (WTCC) iaitu Volvo S60 Polestar TC1. Jentera ini dikuasakan dengan enjin petrol 1.6 liter dengan pengecas turbo, menghasilkan kuasa 400 hp/470 Nm serta baharu sahaja memenangi perlumbaan pusingan di Shanghai, China.

    Dengan berat hanya 1,100 kg, S60 Polestar TC1 mampu memecut dari 0-100 km/j dalam masa hanya 4.6 saat – percaya atau tidak, catatan masa untuk pecutan ini adalah sama seperti trak The Iron Knight!

    Perlumbaan kedua-dua jentera ini dijalankan di litar Mantorp Park, Sweden dan dijalankan dalam dua disiplin iaitu perlumbaan drag dalam jarak suku batu serta perlumbaan litar penuh (Iron Knight diberikan handicap untuk bermula dahulu dan dikejar oleh S60). Iron Knight dipandu oleh pemandu yang sama yang meletakkannya dalam buku rekod dunia sebelum ini iaitu Boije Ovebrink, manakala S60 juga dipandu oleh pemandunya sendiri dalam WTCC iaitu Thed Bjork.

    Siapa yang akan memenangi perlumbaan ini? Tonton sendiri video ini untuk mengetahui keputusannya.

     
     
  • Ferrari J50 – edisi terhad 10 unit khas untuk Jepun

    Ferrari J50 – edisi terhad 10 unit khas untuk Jepun

    Bagi menyambut ulang tahun ke 50 Ferrari di Jepun, jenama Itali tersebut mengeluarkan sebuah model khas yang dinamakan J50. Seperti juga F60 America, kenderaan edisi terhad ini hanya akan dihasilkan sebanyak 10 unit, dan mengikut tradisi model siri fuori Ferrari, setiap satunya akan menggunakan perincian khas seperti yang dimahukan pelanggan.

    Ferrari J50 menggunakan asas daripada 488 Spider, mengekalkan enjin 3.9 liter twin turbo, tetapi mempunyai lebihan kuasa sebanyak 20 PS, menjadi keseluruhannya 690 PS. Ferrari tidak mengeluarkan sebarang perincian prestasi tetapi apa yang boleh dijangka, ia pastinya boleh mencatat pecutan dan kelajuan maksimum lebih tinggi.

    Walaubagaimanapun, kelajuan bukanlah sesuatu yang menjadikan model ini istimewa, tetapi adalah rekaannya. Menurut Ferrari, rekaan badan yang digunakan pada J50 ini adalah serba baru dan “membawa konsep rekaan futuristik radikal”. Ini bagaikan memberi petanda konsep rekaan tersebut mungkin akan digunakan pada model masa hadapan Ferrari.

    Bahagian hadapan Ferrari J50 dilihat menjunam lebih rendah ke bawah dan mempunyai ruang saluran udara gentian karbon, bersama lampu utama LED yang nipis. Terdapat juga kemasan garis hitam yang bermula sepanjang garisan bonet hadapan, bersambung ke tepi pintu dan saluran udara di tepi.

    Bahagian lain yang menjadi tumpuan adalah cermin pintu yang lebih menjunam dan mempunyai garisan yang bersambung ke bonet, yang mana kini lebih rendah pada bahagian tengahnya. Pada bahagian belakang, penutup lutsinar daripada polycarbonate menampakkan bahagian enjin dan berbentuk membonjol.

    Ini adalah antara pembangunan ciri aerodinamik yang diguna pada J50 dan udara boleh mengalir terus ke spoiler belakang. Pada bahagian lain, radiator pula diletakkan lebih hampir dan diffuser belakang mempunyai rekaan baru yang menjadikan ia nampak lebih tegap.

    Kemasan akhir lain yang ada termasuk lampu belakang empat bulatan yang membawa kembali rekaan seperti Ferrari 360 dan rim 20 inci khas untuk model edisi terhad ini. Di dalam, kemasan khas digunakan untuk tempat duduk, dan tiada bumbung lipat mekanikal seperti model asasnya. Sebaliknya, pemilik akan mendapat bumbung gentian karbon berasingan.

     
     
  • Toyota dedahkan Yaris WRC 2017 secara rasmi, dipandu oleh Jari-Matti Latvala dan Juho Hänninen

    Toyota dedahkan Yaris WRC 2017 secara rasmi, dipandu oleh Jari-Matti Latvala dan Juho Hänninen

    Secara rasminya Toyota telah mendedahkan jentera Yaris WRC 2017 dan juga barisan pemandu yang akan mewakili mereka dalam Kejohahan Rali Dunia (WRC) tahun hadapan, setelah 17 tahun menarik diri siri kejohanan rali berkenaan.

    Pusingan pertama WRC 2017 yang akan berlangsung di Monte Carlo bulan hadapan akan menyaksikan Yaris WRC tersebut akan dipandu oleh pasangan utama Jari-Matti Latvala bersama juru arah Miikka Anttila dan Juho Hänninen dibantu juru arah Kaj Lindström.

    Latvala dari Finland yang sebelum ini pernah mewakili pasukan rali dunia Ford dan Volkswagen berpengalaman dalam 169-perlumbaan WRC dengan kemenangan sebanyak 16-kali serta dinobatkan sebagai naib juara WRC sebanyak tiga-kali. “Saya mulakan karier rali saya dengan Toyota Corolla GT pada 2001 dan penglibatan secara kompetitif pertama saya dalam WRC dengan memandu Corolla WRC pada 2003 di Estonia; jadi, dalam banyak perkara, saya rasa seperti pulang semula ke tempat asal,” kata Latvala.

    “Saya sangat gembira untuk menyertai pasukan Toyota Gazoo Racing WRC pada peringkat permulaan pasukan baharu ini dan mengetuai pengembaraan baharu bersama mereka. Saya rasa bertuah menjadi sebahagian dari kisah ini dan saya berharap kami akan mencapai kejayaan besar bersama,” tambahnya lagi.

    Pemandu kedua, Juho Hänninen yang juga dari Finland pula merupakan juara Kejohanan Rali Antara benua (IRC) pada tahun 2010 dan juga juara S-WRC pada tahun 2011, memandu Skoda Fabia S2000. Dalam pasukan Toyota Gazoo WRC ini, Hänninen akan dibantu Kaj Lindström – juru arah berpengalaman dalam WRC sejak 1996 dan pernah berpasangan dengan Tommi Makinen dalam pasukan rali dunia Subaru.

    Seorang lagi pelumba rali Finland yang juga baru dinobatkan sebagai juara WRC2, Esapekka Lappi juga menyertai pasukan baharu ini dan akan bertindak sebagai pemandu uji. Melengkapkan pasukan ini, lagenda dan juara WRC sebanyak empat-kali yang juga dari Finland, Tommi Makinen akan mengemudi pasukan Toyota Gazoo WRC sebagai Prinsipal Pasukan.

    Berdasarkan undang-undang WRC tahun hadapan yang menyasarkan kebolehan jentera-jentera bertanding memberikan sensasi seperti era Group-B pada 80’an dahulu, Yaris WRC akan dikuasakan oleh enjin 1.6 liter turbo suntikan terus dengan diameter unit restrictor dibenarkan sebesar 36 mm, membolehkan ia menjana lebih dari 380 ps.

    Kuasa akan dialirkan ke keempat-empat roda menerusi kotak gear hidraulik enam-kelajuan bersama sistem pacuan semua roda yang turut diberikan dua-unit LSD mekanikal serta seunit LSD aktif pada bahagian tengah dengan pilihan pembahagian tork. Undang-undang baharu ini juga membenarkan kereta-kereta yang bertanding dibina lebih lebar, membolehkan Yaris WRC ini menerima kelengkapan aerodinamik yang lebih ekstrem dengan dimensi keseluruhan; panjang 4,085mm dan lebar 1,875mm.

    Toyota dedahkan Yaris WRC 2017 secara rasmi, dipandu oleh Jari-Matti Latvala dan Juho Hänninen

    “Yaris WRC merupakan kereta yang direka dengan baik dan mempunyai potensi yang menakjubkan. Undang-undang baharu membenarkan kebebasan yang lebih luas semasa pembinaannya,” kata Makinen dan menambah,”walaupun kami belum lagi meneroka kesemua kemampuannya, boleh kami nyatakan kereta ini boleh diharap dan laju. Saya benar-benar tidak sabar untuk melihat hasilnya pada situasi perlumbaan.”

    Menurut pengerusi dan presiden global Toyota, Akio Toyoda atau dikenali sebagai Morizo, Toyota kembali semula ke kancah WRC untuk membina “kereta yang lebih baik” kerana perlumbaan berkenaan akan memberikan cabaran dan peluang baharu untuk tenaga kerja mereka, meneroka teknologi dan pengalaman baharu pada pelbagai keadaan jalan di seluruh dunia.

    Morizo turut menghargai individu-individu terdahulu yang memberikan hubungan rapat antara Toyota dan rali seperti mendiang Ove Andersson yang melancarkan dan mengetuai pasukan rali Toyota pada era 70’an, mendiang Björn Waldegård yang melonjakkan nama Toyota dalam persada WRC pada era 80’an, serta Carlos Sainz, Juha Kankkunen dan Didier Auriol yang membolehkan Toyota mendominasi WRC pada era 90’an.

     
     
  • Laluan motosikal di Lebuhraya Persekutuan siap dinaiktaraf dan diperbaiki pada 17 Disember ini

    Laluan motosikal di Lebuhraya Persekutuan siap dinaiktaraf dan diperbaiki pada 17 Disember ini

    Kerja-kerja menaiktaraf dan memperbaiki laluan motosikal di sepanjang Lebuhraya Persekutuan, yang menelan belanja sebanyak RM3.13 juta, dijangka siap pada 17 Disember ini. Ia disahkan oleh Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin d Dewan Rakyat, laporan The Sun Daily.

    Menurut Rosnah, kerja-kerja menaiktaraf melibatkan pemasangan isyarat amaran, mengecat semula garisan jalan, membaiki lampu jalan dan mengganti serta membetulkan semula penutup longkang yang hilang. Beliau turut menambah kertas cadangan untuk kerja-kerja menaiktaraf laluan motosikal bagi fasa seterusnya yang melibatkan peruntukan sebanyak RM29 juta telah pun diusulkan pada Bajet 2017.

    Kenyataan daripada Rosnah ini adalah bagi menjawab soalan yang dikemukakan oleh Senator Datuk Koh Chin Wah. Malah Rosnah turut menambah, “Berdasarkan peruntukan bajet bagi tahun hadapan, Jabatan Kerja Raya (JKR) telah pun berbincang dengan beberapa agensi terlibat termasuk Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), PLUS dan SPRINT, bagi tujuan yang sama iaitu menaiktaraf dan memperbaiki laluan motosikal.”

    Selain itu, beliau trurut berkata, berdasarkan perancangan, kerja-kerna pembinaan fizikal untuk projek yang diusulkan ini dijangka akan bermula pada suku kedua tahun 2017.

     
     
  • KL MRT: Tambang RM3.40 secara elektronik bagi 12 stesen fasa satu; kadar berbeza untuk bayaran tunai

    KL MRT: Tambang RM3.40 secara elektronik bagi 12 stesen fasa satu; kadar berbeza untuk bayaran tunai

    Akhirnya, yang dinantikan bakal tiba; perkhidmatan MRT fasa satu, di laluan Sungai Buloh-Kajang (SBK) akan memulakan perkhidmatannya pada Jumaat ini, 16 Disember 2016, memetik laporan The Sun.

    Fasa pertama ini melibatkan 12 stesen dengan jarak perjalanan 23 km dari Sungai Buloh ke Semantan. 12 stesen yang dimaksudkan ialah Sungai Buloh, Kampung Selamat, Kwasa Damansara, Kwasa Sentral, Kota Damansara, Surian, Mutiara Damansara, Bandar Utama, Taman Tun Dr Ismail, Phileo Damansara, Pusat Bandar Damansara dan Semantan.

    Tambang bagi perkhidmatan fasa pertama ini juga ditawarkan pada kadar yang sangat berpatutan; pengguna akan dikenakan RM3.40 bagi keseluruhan perjalanan melibatkan 12 stesen berkenaan bagi kaedah pembayaran elektronik. Sementara itu, bagi bayaran tunai pula kadarnya ialah RM3.90.

    KL MRT: Tambang RM3.40 secara elektronik bagi 12 stesen fasa satu; kadar berbeza untuk bayaran tunai

    Fasa dua bagi jajaran SBK yang sama pula melibatkan jarak 28 km dan 19 stesen – dari Semantan ke Kajang – dijadualkan akan bermula pada Julai 2017. Rapid Rail Sdn Bhd juga mengumumkan sudah mengumumkan kadar tambah keseluruhan bagi perkhidmatan itu kelak.

    Bagi kaedah bayaran elektronik, ia akan bermula serendah RM1 bagi perjalanan satu hentian hingga kadar maksimum RM5.50 bagi laluan penuh Sungai Buloh ke Kajang, melibatkan 31 stesen hentian semuanya. Bagi bayaran tunai pula, kadarnya lebih tinggi; bermula RM1.10 hingga RM6.40.

    Setiap tren akan membawa kapasiti empat gerabak, dengan jumlah 1,200 penumpang dalam satu masa. Pada waktu puncak, kekerapannya adalah dalam tempoh 3.5 minit di antara tren. Bagi memudahkan pengguna juga, 14 tempat letak kenderaan bertingkat dan kawasan terbuka dengan kapasiti 8,000 ruang parkir akan disediakan disepanjang laluan 51 km jajaran SBK berkenaan.

    KL MRT: Tambang RM3.40 secara elektronik bagi 12 stesen fasa satu; kadar berbeza untuk bayaran tunai

    Terdahulu, Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Rail Sdn Bhd, Datuk Zohari Sulaiman turut mengesahkan sejumlah 120 bas perantara MRT akan disediakan di 26 laluan terpilih di setiap 12 stesen terlibat antara Sungai Buloh dan Semantan.

    Maklumat lanjut berkaitan perkhidmatan ini serta kadar tambang yang dikenakan boleh dirujuk di laman www.myrapid.com.my atau di stesen-stesen MRT.

     
     
  • KL MRT: Fasa 1 Sg. Buloh-Semantan mula beroperasi 16 Dis ini, Fasa 2 Semantan-Kajang hampir siap 95%

    KL MRT: Fasa 1 Sg. Buloh-Semantan mula beroperasi 16 Dis ini, Fasa 2 Semantan-Kajang hampir siap 95%

    Malaysia bakal mencatatkan lagi satu sejarah dalam sektor pengangkutan apabila fasa pertama Transit Aliran Massa (MRT) akan memulakan perkhidmatannya dari Sungai Buloh ke Semantan mulai 16 Disember ini.

    Menurut Mass Rapid Transit Corp (MRT Corp), dengan pelaksanaan projek MRT ini, selain daripada memantapkan pengangkutan awam darat, ia akan turut membuka peluang perniagaan yang baharu, sekali gus meletakkan imej Kuala Lumpur sebaris dengan bandar raya utama di dunia.

    Malah MRT Corp turut menjangkakan pengurangan kira-kira 160,000 buah kereta di jalan raya di Lembah Klang bila perkhidmatan MRT Sungai Buloh-Kajang (SBK) beroperasi sepenuhnya Julai 2017.

    Pengarah Komunikasi Strategik dan Perhubungan Stakeholder Datuk Najmuddin Abdullah berkata beliau optimistik dengan pengurangan kenderaan memasuki bandaraya memandangkan perkhidmatan itu dijangka mengangkut 400,000 penumpang setiap hari, laporan Bernama.

    Najmuddin turut berkata kebanyakan stesen akan terletak di lokasi strategik di kawasan perumahan padat demi memenuhi keperluan orang ramai untuk berulang alik ke bandaraya.

    Kawasan itu termasuk Damansara, Kota Damansara, Mutiara Damansara, Bandar Utama, Taman Tun Dr Ismail, Phileo Damansara, Semantan, Bukit Dukung, Batu Sebelas Cheras, Bandar Tun Hussein Onn, dan Taman Suntex. Di mana sebelum ini, kawasan-kawasan itu tidak pernah mendapat perkhidmatan rel bandar.

    Setiap tren mempunyai empat gerabak dengan kapasiti penumpang sebanyak 1,200 orang, pada kekerapan setiap 3.5 minit. Manakala bagi kemudahan parkir, terdapat sejumlah 14 tempat letak kereta bertingkat dan terbuka mengandungi 8,000 petak di stesen-stesen sepanjang 51 km laluan SBK.

    KL MRT: Fasa 1 Sg. Buloh-Semantan mula beroperasi 16 Dis ini, Fasa 2 Semantan-Kajang hampir siap 95%

    “Ini memberi impak signifikan dalam mengurangkan kesesakan trafik hari ini, di samping penumpang berpendapatan rendah dan pertengahan akan mendapat manfaat besar dari perkhidmatan ini.

    “Ini kerana mereka boleh mengelakkan belanja bila menggunakan kereta, kenaikan harga minyak, kadar tol, bayaran parkir yang tinggi di pusat bandar dan pelbagai lagi,” kata beliau.

    Katanya, tambang perkhimdatan MRT SBK adalah dalam kemampuan setiap orang antara RM1 hingga RM6.40 berdasarkan jarak perjalanan.

    Projek MRT SBK bernilai RM23 bilion itu yang meliputi jarak 51 km dengan 31 stesen adalah sebahagian daripada Program Transformasi Ekonomi (ETP) yang dipelopori oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

    Manakala bagi Fasa 2 pula, ia meliputi baki 19 stesen antara Semantan dan Kajang sejauh 30 km dan dijadual beroperasi Julai depan, disahkan sudah hampir 95% siap.

    Menurut Pengarah Projek MRT Sungai Buloh-Kajang, Marcus Karakashian, ia termasuk semua kerja struktur stesen, sistem rel dan tren.

    “Kami jangkakan ujian perjalanan bagi fasa kedua dilakukan seawalnya pada Januari depan sebelum beroperasi pada Julai tahun yang sama,” katanya.

     
     
  • M’sia, Singapura meterai perjanjian 2 hala bagi HSR

    M’sia, Singapura meterai perjanjian 2 hala bagi HSR

    Projek pelaksanaan Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura bakal menjadi realiti apabila semalam kedua-dua negara telah menandatangangi perjanjian dua hala. HSR ini akan mengurangkan masa perjalanan antara dua bandar itu kepada hanya 90 minit.

    Majlis pemeteraian perjanjian itu pada Pemukiman Pemimpin Malaysia-Singapura Ketujuh telah berlangsung semalam dan turut disaksikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan rakan sejawatannya dari Singapura, Lee Hsien Loong, laporan Bernama.

    Perjanjian itu adalah susulan kepada memorandum persefahaman (MoU) yang dimeterai oleh kedua-dua negara pada 19 Julai, ditandatangani oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Abdul Rahman Dahlan dan Menteri Koordinasi Pengangkutan dan Infrastruktur Singapura Khaw Boon Wan.

    Ia turut meliputi aspek teknikal, keselamatan dan kastam, imigresen dan kuarantin (CIQ) berhubung HSR.

    Dalam sidang media bersama Lee selepas pemeteraian perjanjian itu, Najib berkata Malaysia dan Singapura komited dengan tarikh akhir projek itu pada 2026.

    M’sia, Singapura meterai perjanjian 2 hala bagi HSR

    “Melihat kepada saiz dan kerumitan projek itu, 10 tahun merupakan satu tempoh yang agak singkat, yang bermakna kita perlu bekerja keras dan memberi tumpuan untuk menangani semua cabaran yang dihadapi,” katanya.

    Landasan sepanjang 350km itu melibatkan lapan hentian iaitu Bandar Malaysia, Putrajaya, Seremban, Ayer Keroh, Muar, Batu Pahat, Iskandar Puteri dan Singapura.

    Najib berkata Malaysia dan Singapura berharap pelantikan Rakan Kongsi Pembangunan Bersama dan penawaran tender sistem berkenaan dapat dilaksanakan pada tahun depan.

    “Pada suku keempat 2017, kami juga akan mengeluarkan tender antarabangsa bagi sistem yang akan dipilih untuk HSR,” katanya.

    Mengenai cabaran untuk menepati tempoh siap dan anggaran kos, Najib berkata projek HSR adalah projek yang berdaya maju dan mampu untuk mendapatkan pembiayaan jangka panjang.

    Tambahnya lagi, “Kami tidak menjangka masalah dalam mendapatkan pembiayaan jangka panjang, malah, sesiapa yang mahu mengambil bahagian dalam projek ini boleh mengemukakan cadangan kewangan kepada kami untuk dipertimbangkan sebagai sebahagian daripada pakej.”

    M’sia, Singapura meterai perjanjian 2 hala bagi HSR

    Ditanya sama ada HSR akan diperluaskan ke wilayah utara, Najib berkata tiada perancangan untuk itu berikutan tumpuan kini untuk menyiapkan landasan kereta api Kuala Lumpur-Singapura mengikut jadual masa dan bajet.

    Lee berkata HSR akan mengubah cara interaksi dan menjalankan perniagaan antara Kuala Lumpur dan Singapura dengan lebih baik.

    “Ia akan memakan masa dan projek ini adalah rumit. Kita membuat komitmen jangka panjang tetapi kami mempunyai keazaman politik yang tinggi di kedua-dua pihak untuk memastikan projek itu dilaksanakan dengan betul dan jaya. Saya berharap untuk menaiki tren pertama dalam tempoh 10 tahun akan datang,” katanya.

    Mengenai persaingan bagi projek HSR, Lee berkata beliau menjangka akan terdapat bidaan yang kompetitif namun Malaysia dan Singapura akan memilih yang terbaik.

    Menurut kenyataan bersama yang dikeluarkan sempena Pemukiman Pemimpin Malaysia-Singapura Ketujuh, jawatankuasa dua hala akan diwujudkan untuk menyelia semua aspek projek itu dan perkara lain yang dinyatakan dalam perjanjian itu.

     
     
  • Masih ramai yang memandu secara bahaya – Bomba

    Masih ramai yang memandu secara bahaya – Bomba

    Ramai pemandu di Malaysia yang masih mengamalkan cara pemanduan yang berbahaya, termasuk membawa muatan melebihi had dan tidak mematuhi had laju, sekaligus menjadi antara punca utama berlakunya kemalangan maut di negara ini.

    Menurut Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Datuk Soiman Jahid, walaupun pelbagai usaha dan kempen keselamatan diadakan, cara itu terbukti kurang memberi kesan terhadap pengguna jalan raya untuk mengamalkan pemanduan berhemah, laporan Bernama.

    “Pelbagai pihak termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Majlis Keselamatan Jalan Raya (MKJR) malah pemilik konsesi lebuh raya juga telah melakukan pelbagai usaha termasuk menjalankan penyelenggaraan bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya. Namun kemalangan maut tetap berlaku,” ujarnya ketika mengulas punca kemalangan maut yang sering berlaku di jalan raya di negara ini termasuk kes terbaharu yang menyebabkan enam sekeluarga maut dalam satu kemalangan jalan raya di susur keluar Plaza Tol Chukai, Lebuhraya Pantai Timur 2, Kemaman, Sabtu lalu.

    Tambahnya, sebaik sahaja menerima panggilan kecemasan, JBPM akan terus ke kawasan kemalangan dalam masa 10 minit untuk membantu mengeluarkan mangsa yang terlibat.

    “Walau bagaimana pun, kita berharap masyarakat khususnya para pemandu di negara ini agar sentiasa mengamalkan pemanduan yang berhemah, pastikan had laju dipatuhi dan had muatan kenderaan tidak melebihi daripada yang dibenarkan bagi mengelak kemalangan maut terus berlaku di negara ini,” katanya.

     
     
  • VIDEO: Spoon Civic Type-R Turbo – satu-satunya FD2R di dunia dengan pemandu di bahagian tengah

    Tahun lalu, pada pusingan ketiga siri Kejuaraan Global Time Attack (juga pusingan yang dikenali sebagai Super Lap Battle) yang diadakan di litar Buttonwillow Raceway, California, Honda Civic Type-R FD2R Spoon berjaya meraih tempat pertama dalam kategori Unlimited FF (Front engine, Front wheel drive) dengan catatan masa 1 minit 45.5 saat.

    Untuk memperbaiki catatan masa berkenaan serta bagi mengekalkan ia kompetitif untuk bertanding dalam saingan yang lebih sengit, Go Tuning – pengedar sah perlalatan Spoon Sports di Amerika Utara – telah melakukan pengubahsuaian yang agak drastik pada kerangka Civic berkenaan iaitu memindahkan kedudukan pemandu di bahagian tengah.

    Menurut ketua Spoon Sports USA/GO Tuning Aaron Wang, kedudukan pemandu yang dialihkan kebahagian tengah berkenaan dibuat bagi membolehkan roll cage baharu dipasang pada FD2R ini. Roll cage baharu tersebut dibina bukan sahaja untuk mempertingkatkan keselamatan, malah ia menyumbang kepada ketegaran kerangka yang lebih kuat seterusnya memberikan pengendalian yang lebih baik.

    Tiada maklumat bagaimana ubahsuai berkenaan dilakukan. Namun agak jelas dalam video ini, tiada lagi panel tunnel pada bahagian lantai bagi membolehkan tempat duduk pemandu diletakkan. Kolum stereng pada bahagian tengah pula dihubungkan pada gear pinan rak stereng yang masih berada pada bahagian kanan kabin.

    Spoon Civic Type-R ini masih dipandu oleh pelumba yang sama dari tahun lalu iaitu Dai Yoshihara – pemandu dari Jepun yang sudah pun menetap di Amerika dan juga bekas juara kejohanan drift Formula D. Menurut Yoshihara, memandu sebuah kenderaan dengan kedudukan pemandu di bahagian tengah bukan masalah baginya kerana beliau tidak bermasalah untuk memandu kereta di bahagian kiri mahupun kanan. Tetapi, dengan kerangka badan kereta yang kini lebih tegar, menjadikan perubahan paling besar ialah terhadap karekter pemanduan kereta ini.

    Boss Spoon Sports, Tatsuru Ichisama juga hadir dari Jepun ke perlumbaan berkenaan. “Kami sentiasa mencabar diri kami untuk menjadikan kereta ini lebih laju, untuk membolehkan kereta ini berlumba lebih lama. Saya rasa cabaran yang diambil oleh Dai dan GO Tuning terhadap jentera Time Attack baharu ini adalah sesuatu yang revolusioner. Inovasi seperti ini tidak terus diterjemahkan kepada kelajuan, tetapi ia akan menjadi asas yang kukuh untuk pembangunan akan datang,” jelas beliau.

    “Untuk membina kereta yang laju, kuasa adalah satu perkara, tetapi perkara yang paling penting untuk dicapai adalah pengendalian yang terbaik. Jika anda memandu hanya pada laluan lurus, kuasa adalah segalanya. Tetapi pada litar seperti ini, pengendalian, brek dan keseimbangan casis menjadi titik penentu. Mengalihkan pemandu ke bahagian tengah adalah logik, tetapi saya pasti mereka semua berkongsi ‘sakit kepala’ yang sama,” tambah Ichisima-san lagi.

    Walau bagaimanapun atas masalah teknikal yang melanda pasukan berkenaan tahun ini, jentera tersebut hanya mampu mencatatkan masa 1 minit 45.8 saat, 0.3 saat lebih perlahan dari tahun lalu. Tetapi, ia masih lagi mampu untuk mencapai kedudukan ketiga terpantas dalam kelasnya, 2 saat di belakang pendahulu perlumbaan.

    Tiada perincian berkenaan kemaskini ubahsuai terbaharu terhadap sistem mekanikal lain kereta ini. Namun mengikut spesifikasi tahun lalu, Civic FD2R ini masih menggunakan enjin DOHC i-VTEC 2.0 liter K20A yang diberikan pelbagai komponen dalaman dari Spoon, omboh dan rod penghubung dari 5Zigen, spring-spring injap dari TODA serta suapan pengecas turbo T04S HKS.

    Talaan berkenaan memberikan kuasa keseluruhan 430 whp (wheel horse power – kuasa akhir yang diukur pada roda, bukan pada crankshaft), dialirkan ke kotak gear Spoon Sports, berserta peralatan transmisi lain seperti klac dan LSD, juga dari Spoon.

    Kereta ini sebenarnya dibina di Jepun oleh 5Zigen untuk Spoon bagi mencatatkan rekod lap terpantas dilitar ikonik Tsukuba. Dengan talaan lebih dari 500 whp, rekod Civic ini dilitar berkenaan adalah 58.222 saat.

     
     
  • Subaru Impreza raih Kereta Tahunan Jepun 2016-2017

    Subaru Impreza raih Kereta Tahunan Jepun 2016-2017

    Subaru Impreza telah meraih anugerah Kereta Tahunan Jepun 2016-2017. Impreza generasi kelima ini memperoleh markah sebanyak 420 mata, mendahului Toyota Prius (371) dan B9 Audi A4 (149, yang memenangi anugerah Kereta Import Tahunan). Ini merupakan kali kedua Fuji Heavy Industries (FHI) menerima pengiktirafan itu, selepas model Legacy memenanginya pada tahun 2003. Mazda MX-5 merupakan pemenang anugerah yang sama pada tahun lalu.

    Impreza terbaharu telah pun diperkenalkan di New York Auto Show pada Mac lalu. Ia dilancarkan di Jepun pada 13 Oktober lalu dan mensasarkan jualan bulanan sebanyak 2,500 unit, walau bagaimana pun telah menerima tempahan sebanyak empat kali ganda iaitu mencecah 11,050 unit.

    FHI berkata permintaan yang memberangsangkan ini didorong oleh penukaran jenama oleh para pelanggan, iaitu mewakili 51% daripada jumlah tempahan. Di mana kini Impreza menjadi daya tarikan utama di kalangan para pelanggan di negara matahari terbit itu.

    Subaru Impreza raih Kereta Tahunan Jepun 2016-2017

    Kedua-dua versi Impreza iaitu sedan dan hatch adalah hasil binaan Subaru Global Platform baharu. Ia telah dipertingkatkan tahap ketegarannya dari 70% ke 100% berbanding model terdahulu, serta pusat gravitinya turut direndahkan sebanyak 5 mm. Manakala suspensinya juga telah dilaraskan bagi keselesaan yang lebih baik dan Active Torque Vectoring turut membantu mempertingkatkan lagi dinamiknya. Malah jentera ini juga lebih panjang dan lebih lebar berbanding model terdahulu.

    Penjana kuasa Impreza ini adalah hasil versi yang disemak semula dari enjin FB20 2.0 liter suntikan-terus empat-boxer. Dengan 80% bahagian yang telah disusun semula, enjin ini mampu menghamburkan kuasa sebanyak 152 hp, iaitu lebih empat hp berbanding sebelum ini. Malahan Linertronic CVT turut dipertingkatkan bagi nisbah yang lebih padu, pendikitan yang lebih baik dan memberikan lebih penjimatan bahan api. Ia turut dilengkapi dengan Symmetrical AWD sebagai standard.

    Ia turut ditawarkan dengan EyeSight ciptaan Subaru sendiri iaitu fungsi keselamatan aktif. Malah ia merupakan kereta pertama yang diproduksi oleh jenama dari Jepun yang turut menyertakan beg udara pelindungan pejalan kaki sebagai standard.

    GALERI: Subaru Impreza 2017

     
     
  • Borneo Safari International Offroad Challenge 2016 – Mitsubishi Triton lepasi ujian getir tanpa masalah

    Borneo Safari International Offroad Challenge 2016 – Mitsubishi Triton lepasi ujian getir tanpa masalah

    Sebagai kanak-kanak yang membesar pada era 90’an dan sangat meminati apa jua yang beroda empat, siri penjelajahan 4×4 ‘Camel Trophy’ merupakan antara rancangan televisyen yang sangat saya gemari. Sudah tentu, untuk menyertai penjelajahan sedemikian merupakan impian kanak-kanak saya sejak itu.

    Namun tahukah anda, Malaysia yang kaya dengan hutan hujan tropika sebenarnya merupakan tumpuan penggemar 4×4 dari seluruh dunia dan kita mempunyai siri-siri penjelajahan yang agak mencabar. Borneo Safari International Off-Road Challange yang mula diperkenalkan sejak tahun 1990 merupakan antara yang terbaik di Malaysia, malahan ia turut diiktiraf sebagai yang paling mencabar di Asia Tenggara.

    Saya berpeluang untuk menyertai Borneo Safari edisi ke-26 yang berlangsung tahun ini. Ini merupakan kali kedua saya menyertainya (kali pertama pada tahun 2012) tetapi pertama kali bersama dengan pasukan Mitsubishi Motors Malaysia (MMM) dan berpeluang untuk memandu trak pikap Mitsubishi Triton sepanjang ekspedisi ini.

    Untuk MMM pula, edisi kali ini juga merupakan yang kedua bagi mereka. Tahun lalu, MMM mempertaruhkan dua buah Triton VGT Turbo, dan kedua-dua berjaya menamatkan ekspedisi berkenaan dengan jayanya. September lalu, MMM telah melancarkan Triton versi dipertingkat, dijana dengan enjin 2.4 liter MIVEC Turbo yang lebih berkuasa.

    Selain dari rakan-rakan dari media lain, pasukan MMM untuk Borneo Safari 2016 juga disertai oleh Akina Teo serta drifter dan atlit sukan permotoran tempatan – Leona Chin.

    Sebelum ini, kami telah pun menguji sejauh mana kecekapan bahan api dan prestasi enjin baharu berkenaan berbanding enjin terdahulu. Pada Borneo Safari 2016 ini pula, ia merupakan medan terbaik bagi saya untuk menguji kemampuan Triton tersebut sebagai sebuah trak pikap 4×4 di ‘habitat’ sebenarnya.

    Dua buah Triton MIVEC Turbodiesel (dengan transmisi manual dan transmisi automatik) telah disediakan untuk menyertai dua buah Triton VGT Turbodiesel (juga dengan versi manual dan automatik) terdahulu untuk pengembaraan tahun ini. Untuk membezakan kedua-duanya, model VGT Turbo sebelum ini masih mengekalkan celoreng hijau-hitam pada keseluruhan badannya, dan model baharu MIVEC Turbodiesel diberikan celoreng merah-hitam.

    Oleh kerana laluan ekspedisi Borneo Safari ini diklasifikasikan sebagai hardcore, kesemua Triton yang disediakan perlu dilakukan pengubahsuaian. Badan kesemua Triton ini telah ‘diangkat’ dari casis sebanyak dua-inci dengan spacer bagi mendapatkan kelegaan tanah yang lebih tinggi. Ia juga menerima perisai-perisai disekeliling badan yang terdiri dari bampar hadapan keluli, bar-bar perlindungan di bahagian sisi dan belakang serta lampu-lampu sorot dan light bar tambahan.

    Keempat-empat Triton ini juga menerima suspensi yang dikhaskan untuk kegunaan off-road, serta tayar-tayar M/T yang ekstrem dari Giti Tyres (tayar-tayar seperti ini biasanya tidak boleh dibeli terus dari kedai dan perlu dibeli terus dari pengedar secara ‘bulk’ menerusi kelab-kelab 4×4). Unit snorkel juga diberikan bagi memastikan kesemua Triton ini boleh ‘menyelam’ dengan selamat ketika meredah sungai.

    Satu lagi senjata wajib untuk ekspedisi laluan extra hardcore Borneo Safari ini adalah unit winch. Kesemua Triton MMM ini menerima winch elektrik bagi memastikannya boleh melepaskan diri ketika tersangkut pada permukaan tanah liat yang teruk.

    Walau bagaimanapun, enjin dan transmisi kesemua Triton ini adalah standard tanpa sebarang pengubahsuaian kerana ianya sudah lebih dari cukup untuk pengembaraan ini. Model lama VGT turbo dijana oleh enjin 2.5 liter Turbodiesel DI-D berkuasa 178 PS pada takat 4,000 rpm dan tork maksima 400 Nm pada 2,000 rpm. Manakala untuk model versi dipertingkat pula, ia dijana oleh enjin 2.4 liter MIVEC Turbodiesel berkuasa 181 PS pada takat 3,500 rpm dan tork maksima 430 Nm pada takat 2,500 rpm.

    Untuk transmisi automatik, kedua-dua enjin lama dan baharu menggunakan kotak gear lima-kelajuan yang sama (dengan mod penukaran manual). Tetapi untuk versi manual pula, enjin 2.5 DI-D lama dipadankan dengan kotak gear lima-kelajuan, manakala untuk MIVEC Turbodiesel 2.4 liter pula menerima kotak gear enam-kelajuan baharu.

    Borneo Safari International Offroad Challenge 2016 – Mitsubishi Triton lepasi ujian getir tanpa masalah

    Pengembaraan sejauh lebih 400 km ini mengambil masa selama lapan hari. Upacara flag-off dilakukan di hadapan bangunan Sabah Tourism Board yang terletak di Jalan Gaya, Kota Kinabalu pada 30 Oktober. Lebih dari 450 jentera 4×4 akan bermula di sini. Untuk pengetuahuan anda, ekspedisi ini bukan sekadar pengembaraan, ada juga sebahagian kenderaan yang menyertai Borneo Safari sebagai ‘competitor’ yang akan berlumba secara ‘time-trial’ pada Special Stage (SS) yang disediakan sepanjang perjalanan.

    Sebaik dilepaskan, kami menuju ke SS pertama yang terletak di Tuaran sebelum memulakan perjalanan diatas permukaan jalan tar berliku mendaki bukit ke Ranau melalui jalan Tamparuli-Pekan Nabalu-Pekan Ranau. Memandu jentera sebenar yang diubahsuai untuk kegunaan off-road pada permukaan jalan tar bukanlah sesuatu yang menyeronokkan. Tayar M/T ekstrem yang sangat berat membuatkan trak pikap ini agak malas ketika mula bergerak. Malah bunga tayar yang begitu kasar membuatkan kereta bergegar ketika dipandu perlahan sekitar 20 km/j.

    Tetapi apa yang saya perasan, model baharu yang dipertingkat mempunyai kadar NVH yang sememangya lebih baik. Pada model VGT 2.5 liter, bukan sahaja bunyi tayar yang masuk ke dalam kabin, malah bunyi ngauman enjin turut kedengaran. Ini berbeza dengan model 2.4 liter MIVEC di mana hanya bunyi berdengung dari bunga tayar yang kasar didengari ketika memandu di atas jalan raya berturap.

    Perjalanan off-road kami bermula di Ranau, untuk menuju ke tapak perkhemahan hari pertama yang terletak di Kampung Tibabar. Walaupun laluan hari pertama ini hanya melibatkan jalan permukaan tanah bercampur batu kerikil, kami terpaksa juga untuk menyeberang dua batang sungai tanpa jambatan untuk sampai ke destinasi.

    Hari kedua, perjalanan off-road adalah sedikit mencabar melibatkan pendakian berberapa bukit tinggi dengan permukaan tanah liat dan lecak, serts sudah pasti menyeberang lagi berberapa batang sungai tanpa jambatan sebelum sampai ke tapak perkhemahan hari kedua di Kampung Garung, Kota Marudu.

    Pemanduan hari kedua ini sudah mula membuatkan kami teruja dengan talaan-talaan off-road yang diberikan pada Triton-Triton ini. Ketika memandu Triton VGT 2.5 manual, saya kerap menggunakan gear satu dengan padanan gear sistem pacuan empat roda 4L. Nisbah gear satu pada model ini cukup panjang dan mudah digunakan untuk mendaki bukit yang curam serta licin.

    Tetapi untuk mendapatkan ‘cruising speed‘ yang selesa ketika merangkak menaiki bukit agak sukar kerana jika anda masuk ke gear dua, tork pada enjin seolah-olah sudah hilang separuh. Jadi, kaki yang benar-benar lembut diperlukan untuk mengawal pedal pendikit pada kedudukan gear satu bagi mendapatkan perjalanan yang lancar untuk situasi ini.

    Lain pula halnya ketika beralih ke Triton MIVEC Turbodiesel 2.4 liter manual. Atas kertas, mungkin dapat dilihat perbezaan kuasa kuda dan tork antara enjin ini hanya sekadar 3 ps/30 Nm. Namun, ketika sistem MIVEC berkenaan ‘dibuka’, lengkok kuasa dan tork yang diberikan lebih awal benar-benar membantu dalam situasi sukar sebegini.

    Ditambah pula dengan kotak gear enam-kelajuan baharu dengan nisbah yang lebih tepat, pendakian bukit curam yang licin membolehkan saya mendapatkan ‘sweet spot‘ dengan mudah menggunakan gear dua dan tiga.

    Saya juga sempat memandu Triton MIVEC turbodiesel versi automatik. Tiada kekurangan kuasa berbanding versi manual pada model ini, malah ia menjadikan pemanduan off-road lebih mudah tanpa perlu mengawal pedal klac (untuk thrill pastinya manual lebih seronok!). Mod manual pada transmisi ini juga sangat membantu terutamanya ketika menurun bukit curam yang licin – kawal kedudukan gear dan stereng, berjaga-jaga pada pedal brek, trak pikap ini agak mudah untuk menurun bukit sedemikian dengan bantuan cengkaman dari sistem 4WD.

    Menyentuh sistem 4WD, untuk model transmisi manual MIVEC Turbodiesel, pertukaran dari sistem 2H, 4H dan 4L kini tidak perlu lagi menggunakan tuil gear konvensional seperti model sebelum ini dimana ia diberikan suis putar yang diletakkan dibelakang tuil gear utama, sama seperti pada model transmisi automatik.

    Hari ketiga, konvoi kami masih lagi tersangkut di tapak perkhemahan Kg. Garung bagi mengelakkan kesesakan berlaku di laluan extra hardcore iaitu bekas laluan pembalakan yang telah ditinggalkan lebih dari 20 tahun, menghubungkan daerah Ranau dan Kota Marudu. Dengan cuaca yang kurang elok, menambahkan lagi kesukaran pada laluan berlumpur ini. Sebenarnya, sehari sebelum ini, pasukan ‘scout‘ rasmi Borneo Safari terlebih dahulu telah masuk ke laluan berkenaan dan hanya mampu berjalan sejauh tidak sampai empat kilometer!

    Konvoi mula masuk ke laluan extra hardcore tersebut yang menuju ke Kg. Gana, Kota Marudu. Laluan itu sebenarnya hanyalah sejauh 40 km, tetapi dengan jalan yang sangat sukar, konvoi hanya tiba ke destinasi empat hari selepas itu. Tiada kawasan perkhemahan khas sepanjang perjalanan dan khemah dibuka di mana sahaja yang dirasa sesuai setelah hari mula gelap.

    Tanpa penukaran gandar hidup pada bahagian hadapan, nisbah akhir gear juga yang tidak diubahsuai serta tiada penukaran unit pengecas turbo yang lebih besar seperti jentera-jentera lain yang menyertai ekspedisi ini, kesemua Triton berjaya keluar dari hutan tebal dan menuju ke pekan Kota Marudu, kemudian bergerak semula ke Kota Kinabalu pada 6 November untuk menamatkan pengembaraan tanpa apa-apa kerosakan besar.

    Seperti juga pengalaman pada 2012, semangat yang ditunjukkan oleh keluarga besar Borneo Safari tidak pernah berubah. Suasana di dalam hutan adalah hampir sama dengan perkemahan-perkemahan pengakap yang saya sertai semasa dibangku sekolah dahulu. Di dalam hutan, senyuman sentiasa dilontarkan oleh setiap peserta, semua lawak adalah sangat kelakar, semua topik perbualan adalah sangat menarik, dan semua makanan yang diperolehi secara automatik menjadi sangat sedap (tukang masak ‘chuck wagon’ pasukan MMM memang seorang chef yang pernah berkhidmat di hotel lima-bintang!).

    Syabas diucapkan kepada urusetia Borneo Safari kerana berjaya mengekalkan momentum acara berkenaan selama 26 tahun. Setinggi-tinggi tahniah juga kepada MMM yang bukan sahaja menyediakan jentera yang boleh diharap kepada kami, malah mempunyai pasukan ekspedisi Borneo Safari yang lengkap, teratur serta profesional!

    GALERI: Gambar Rasmi Borneo Safari International Off-Road Challenge dari MMM

     
     
  • KTM RC16 – jentera MotoGP untuk pasaran awam akan mula dijual pada tahun 2018, RM563k, terhad 100 unit

    KTM RC16 – jentera MotoGP untuk pasaran awam akan mula dijual pada tahun 2018, RM563k, terhad 100 unit

    Sebelum ini sekadar khabar angin, akhirnya ketua pegawai eksekutif KTM, Stefan Peirer mengesahkan bahawa syarikatnya akan memasarkan motosikal KTM RC16, iaitu motosikal model sama yang digunakan dalam perlumbaan MotoGP kepada pasaran awam. Perkara ini diberitahu kepada laman web Jerman, Speedweek, dan tambah beliau, ia hanya akan terhad kepada 100 unit sahaja.

    Dikuasakan oleh enjin 1,000 cc V4 90 darjah, model versi jualan awam ini akan direndahkan kuasanya menjadi 240 PS, iaitu 30 PS kurang berbanding jentera sebenar yang digunakan dalam MotoGP yang berkuasa 270 PS.

    Menurut Peirer lagi, selain jumlah kuasa yang sedikit kurang ini, KTM akan memastikan model untuk jualan awam ini mempunyai spesifikasi paling hampir dengan jentera MotoGP dan mereka sebolehnya cuba untuk menawarkannya pada harga yang lebih rendah berbanding apa yang dilakukan oleh Honda dengan model RC213V-S pada harga 185,000 Euro (RM869,214). Harga anggaran untuk KTM RC16 jualan awam adalah sekitar 100,000 hingga 120,000 Euro (RM470,000 – RM563,000).

    Walaupun dibuka untuk jualan awam, KTM RC16 tidak akan mendapat sebarang kelulusan untuk kegunaan jalan biasa dan hanya boleh ditunggang di dalam kawasan tertutup seperti litar.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (-0.04)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.90 (-0.04)
EURO 5 B7 RM3.10 (-0.04)
Last Updated Aug 14, 2025