Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Renault, Nissan guna platform sama untuk EV baharu

    Renault dan Nissan akan bekerjasama dalam membangunkan platform baharu bagi model kereta elektrik (EV) Zoe dan Leaf generasi akan datang, menurut Automotive News Europe. Malahan kerjasama di antara kedua-dua syarikat ini bagi mempertingkatkan lagi skala ekonomi, menurut matlamat yang ditetapkan oleh Carlos Ghosn selaku pengerusi dan CEO Renault-Nissan Alliance.

    Di mana kedua-dua model kenderaan berkenaan akan berkongsi motor elektrik yang sama, tetapi boleh tampil dengan penggayaan yang tersendiri, ujar Arnaud Deboeuf, timbalan kanan presiden Renault-NIssan BV. Malah kedua-dua model juga akan bersaing dalam segmen yang sama, namun buat masa ini, Deboeuf enggan mendedahkan perincian lebih lanjut termasak mungkin ada perubahan saiz pada kenderaan terbabit.

    Bukan itu sahaja, beliau juga tidak memaklumkan jangka waktu untuk memperkenalkan Leaf dan Zoe baharu, tetapi memberikan sedikit gambaran, ia akan berlaku selepas Leaf facelift pada 2018. Laman berita Perancis Les Echos melaporkan Zoe akan menjadi model pertama Renault-Nissan Alliance yang menggunakan platform EV baharu itu sebelum tahun 2020.

    Walau pun berkongsi komponen, namun Renault dan Nissan mungkin akan menggunakan sel bateri yang berbeza, dengan pembelian terdahulu dari LG Chem, sementara Nissan pula akan mengeluarkan bateri sendiri, hasil kerjasama Automotive Energy Supply Corporation, bersama NEC. Walau bagaimana pun, Nikkei Asian Review melaporkan bahawa Nissan sedang mencari peluang untuk menghentikan kerjasama tersebut dan berpendapat membeli daripada pembekal luar lebih menjimatkan.

     
     
  • Toyota C-HR terima kit talaan TRD dan Modelista

    Serentak dengan pelancaran Toyota C-HR di Jepun, divisi perlumbaan dan aksesori rasmi jenama berkenaan iaitu Toyota Racing Development (TRD) dan Modelista turut melancarkan barisan aksesori mereka untuk SUV segmen-B berkenaan. Kit-kit menyeluruh ini bukan sahaja melibatkan aspek estetika, malah ia turut melibatkan tingkat taraf mekanikal khususnya dari TRD.

    TRD hadir dua pakej rekaan berbeza, yang mana kedua-duanya memberikan imej berbeza dan tersendiri. Kit pertama dari TRD digelar Agressive Style, menampilkan imej agresif untuk kegunaan jalan raya. Kit ini hadir dengan spoiler hadapan (dengan atau tanpa lampu nyalaan siang LED), skirt sisi, diffuser belakang dan juga spoiler tailgate belakang bersaiz kecil, yang kesemuanya menampilkan rekaan yang agak agresif. Kemasan gril hadapan baharu juga diberikan dengan pilihan warna hitam atau perak.

    Satu lagi kit dari TRD digelar Extreme Style yang memberikan imej lebih kepada sebuah kenderaan lasak kepada C-HR. Kit ini hadir dengan spoiler hadapan yang lebih kecil, pelindung fender lebih lebar, mud flap serta spoiler tailgate berwarna hitam.

    Kedua-dua pakej ini boleh dipadankan dengan roda aloi TRD TF6 berdiameter 18-inci sama ada berwarna hitam atau perak. TRD turut menawarkan roda aloi berdiemter 17-inci dari pengeluar lain iaitu Works WIL-02D, Kyoho CDF 1 dan Tom’s TH-01.

    Pada bahagian dalaman pula, TRD menawarkan sarung tempat duduk lebih sporty dibuat menggunakan material yang boleh menyerap hentakan digelar Exgel, diletakkan pada perehat belakang dan kedua-dua belah pad sisi. Sarung ini juga menawarkan upholsteri urethene rendah daya geseran serta pegangan badan yang lebih kuat.

    Selain itu, kit TRD ini turut menawarkan suis penghidup enjin jenis tekan, sarung untuk kunci pintar, set mentol penunjuk serta pelindung pemegang pintu.

    TRD turut menawarkan motion control beam (MCB) untuk suspensi C-HR yang didakwa boleh menyerap atau mengecilkan getaran badan yang terjadi semasa kereta ini bergerak, meningkatkan ketegaran badan serta meningkatkan respon, mengurangkan kelajuan golekan dan meningkatkan ground contact feel keempat-empat tayar. Sistem pemantauan tekanan angin tayar juga disertakan dengan penerima berbentuk seperti kunci pintarnya yang tersendiri.

    Pakej kit yang ditawarkan oleh Modelista juga terbahagi kepada dua. Yang pertama digelar Boost Impulse Style, menampilkan rekaan yang juga agak agresif pada spoiler hadapan, skirt sisi dan kemasan bawah bampar belakang. Ia juga menerima kemasan gril hadapan, liang sisi palsu dan juga spoiler tailgate.

    Pakej kedua pula digelar Elegant Ice Style, menampilkan kit aero yang lebih lembut dan elegan pada kit-kit aeronya. Selain itu, pakej ini turut hadir bersama elemen krom pada cermin sisi, pintu dan juga pembuka pintu.

    Kedua-dua pakej ini turut diberikan lampu LED pada cermin sisi, antena dan juga kemasan nombor pendaftaran belakang, kemasan pada tip ekzos, serta pilihan roda aloi Modelista berdiameter antara 17- hingga 19-inci.

    Modelista juga hadir dengan aksesori untuk bahagian dalaman C-HR yang terdiri dari kemasan akhir berwarna biru atau titanium, set lampu kabin LED, lampu puddle LED pintar dan juga lampu LED pada bahagian kargo belakang. Lampu jalur LED turut diberikan mengelilingi tuil gear.

    GALERI:Toyota C-HR TRD

    GALERI:Toyota C-HR Modelista

     
     
  • Crossover 7 tempat duduk Mitsubishi akan masuk fasa pengeluaran tahun 2017; versi Nissan akan cabar BR-V

    Crossover 7 tempat duduk Mitsubishi akan masuk fasa pengeluaran tahun 2017; versi Nissan akan cabar BR-V

    Dengan Mitsubishi Motors juga kini sebahagian daripada perikatan Nissan-Renault, sebuah crossover tujuh tempat duduk yang akan dipasarkan menggunakan jenama Nissan dan Mitsubishi boleh menjadi model kerjasama pertama antara syarikat pengeluar dari Jepun itu. Ini adalah berdasarkan laporan daripada Bangkok Post.

    Dalam laporan itu juga ada menyebut bahawa sumber kedudukan tinggi di Nissan mendedahkan bahawa model tersebut, yang dibangunkan menggunakan asas daripada model konsep Mitsubishi XM akan memberi cabaran kepada Honda BR-V. Model konsep tersebut pertama kali ditunjuk semasa Gaikindo Indonesia International Auto Show (GIIAS) sebagai sebuah kenderaan tujuh tempat duduk dengan tiga barisan.

    Versi crossover Mitsubishi kemungkinan besar akan diperkenalkan terlebih dahulu kepada pasaran Asean berbanding model Nissan, seperti yang dilaporkan oleh Autonetmagz yang mengatakan bahawa pengeluaran model baru tersebut akan bermula pada tahun 2017 di kilang Mitsubishi di Bekasi, Jawa Barat, Indonesia. Gambar spyshot prototaip yang ditutup rapi juga menunjukkan bentuknya tidak lari jauh daripada model konsep XM.

    Dengan itu, Nissan berkemungkinan besar akan mengambil model tersebut untuk dimasukkan dalam barisan penawaran modelnya bagi pasaran lain, meskipun masih belum pasti sama ada ia akan menjadi model yang sekadar ditukar lencananya atau lebih komprehensif seperti X-Gear baru contohnya. Apa pun, kerjasama Nissan dengan Mitsubishi juga akan melibatkan model lain termasuk pembangunan model pikap Nissan Navara dan Mitsubishi Triton generasi seterusnya.

    Syarikat-syarikat ini juga akan berkerjasama dalam bahagian kenderaan elektrik, di mana pembangunan dan pembelian komponen secara bersama dapat mengurangkan kos. Pada masa ini, Mitsubishi menawarkan model elektrik i-MiEV manakala Nissan pula mempunyai Leaf.

    GALERI: XM Concept semasa GIIAS 2016

     
     
  • SPYSHOT: Volkswagen Tiguan generasi kedua dalam video, model CKD akan dipasarkan pada tahun 2017

    Semasa pelancaran Passat B8 bulan lalu, Volkswagen Passenger Cars Malaysia (VPCM) mendedahkan bahawa SUV Tiguan generasi kedua akan diperkenalkan di Malaysia pada tahun 2017, dan akan dipasang di Pekan, Pahang (CKD). Kewujudan Tiguan ini di Malaysia sudah dipastikan apabila pembaca kami, “Tan Tai Chi” menjumpainya atas jalan dan direkod dalam satu video. Kenderaan tersebut didapati menggunakan no plat perdagangan Pahang.

    Masih tidak dapat dipastikan spesifikasi sebenar Tiguan pemasangan tempatan ini kerana masih terlalu awal, tetapi secara amnya, ia adalah lebih besar berbanding Tiguan sebelum ini, iaitu 60 mm lebih panjang, 30 mm lebih lebar dan jarak roda 77 mm lebih panjang. Ruang but juga lebih besar 145 liter, menjadi 615 liter, atau 1,655 liter apabila tempat duduk belakang dilipat.

    Tiguan baru dipertonton pertama kali semasa IAA 2015 dan ia dibina atas platform modular MQB yang turut digunakan untuk Golf Mk7. Penampilannya lebih ‘tajam’ dan duduk 33 mm lebih rendah berbanding asal. Dengan teknologi baru ini juga, walaupun saiz bertambah, beratnya masih dapat dikurangkan sebanyak 50 kg.

    Enjin biasa Volkswagen iaitu TSI turbo dan TDI boleh didapati pada kenderaan ini, dan dengan pengiktirafan Euro 6, enjin tersebut 24 peratus lebih cekap dalam penggunaan bahan api. Turut boleh didapati adalah pacuan semua roda 4Motion dengan penyambung (coupling) Haldex generasi kelima.

    Suis pengawal 4Motion Active Control baru juga boleh didapati pada konsol tengah, dengan empat pilihan profail – dua untuk jalan biasa (Onroad dan Snow), dan dua mod offroad (Offroad dan Offroad Individual). Tiguan AWD mempunyai ruang kelegaan 11 mm lebih tinggi, (200 mm), dan terdapat bahagian bampar hadapan khas dengan sudut menjunam 25.6 darjah. SUV ini boleh didapati dalam varian kelengkapan Trendline, Comfortline dan Highline. Untuk yang lebih sporty, pakej R-Line juga disediakan.

    GALERI: Volkswagen Tiguan semasa Frankfurt Motor Show 2015

     
     
  • VIDEO:Nissan Leaf digunakan sebagai kereta tunda tanpa pemandu untuk memindahkan stok di kilangnya

    Nissan menggunakan hatchback elektrik sepenuhnya (EV) Leaf sebagai kereta tunda tanpa pemandu bagi tujuan pengangkutan untuk memindahkan stok-stok kereta di kawasan kilangnya yang terletak di Oppama, Jepun.

    Leaf yang dibina khas ini merupakan sebahagian dari sistem Intelligent Vehicle Towing (IVT) yang kini sedang diuji di kilang berkenaan untuk memindahkan kereta-kereta yang telah siap dari barisan pemasangan ke pelabuhan bersepadu.

    Sistem ini direka seakan sistem penghantaran automatik lain yang kini digunakan secara meluas di kilang-kilang, tetapi ia berfungsi tanpa infrastruktur khas seperti jalur magnetik atau rel, serta mampu membawa barang yang lebih besar.

    VIDEO:Nissan Leaf digunakan sebagai kereta tunda tanpa pemandu untuk memindahkan stok di kilangnya

    Setiap Leaf yang ditugaskan ini dilengkapi dengan kamera dan pengimbas laser yang boleh mengesan garisan penanda, bendul, kereta, orang dan juga objek-objek lain. Ia juga diberikan peta dan laluan yang telah di pratakrif bagi membolehkan ia berubah mengikut keperluan pengangkutan dalam kilang berkenaan.

    Kesemua Nissan Leaf ini akan dihubungkan kepada sistem pemantauan trafik berpusat bagi mengesan kedudukan, kelajuan, status serta bateri setiap kereta berkenaan. Ia juga turut mengawal dan membenarkan kereta mana yang perlu bergerak dahulu sekiranya dua buah kereta bertemu di simpang.

    Menurut Nissan, sistem IVT ini telah dipasang hampir setahun lalu dan sekitar 1,600 ujian telah dijalankan. Setakat ini Nissan masih lagi belum menyatakan sama ada akan meneruskan ujian tersebut di kilang Oppama, tetapi mereka “akan mengkaji kemungkinan” untuk menggunakan sistem IVT ini di kilang lain, sama ada di dalam atau di luar Jepun.

    VIDEO:Nissan Leaf digunakan sebagai kereta tunda tanpa pemandu untuk memindahkan stok di kilangnya

    Selain sebagai memudahkan kerja pengangkutan di kilang, maklumat dari hasil ujian ini turut akan digunakan pada teknologi pemanduan sendiri Nissan yang akan digunakan untuk tujuan komersial.

    Sebelum ini, Nissan telah pun melancarkan sistem pemanduan sendiri yang digelar ProPilot generasi pertama dan telah dipadankan pada MPV Nissan Serena generasi terbaharu. Sistem berkenaan berfungsi seakan sistem adaptive cruise control dan sterengnya hanya boleh berfungsi sendiri pada satu laluan jalan sahaja.

    Walau bagaimanapun, Nissan menyatakan sistem berkenaan akan dikemaskini dari masa ke masa dan akan sempurna sebagai sistem pemanduan sendiri yang boleh berfungsi di lebuhraya pelbagai lorong menjelang 2018, serta mampu berfungsi sendiri di persimpangan jalan pada tahun 2020.

     
     
  • HSR: Singkatkan masa perjalanan domestik, Negeri Sembilan rancang sambungan laluan Seremban-KLIA

    HSR: Singkatkan masa perjalanan domestik, Negeri Sembilan rancang sambungan laluan Seremban-KLIA

    Pelaksanaan High-Speed Rail (HSR) antara Kuala-Lumpur-Singapura tidak hanya memendekkan waktu perjalanan antara kedua negara, tetapi turut menyingkatkan waktu perjalanan bagi destinasi domestik.

    Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, projek yang turut melibatkan sebuah hentian di Seremban itu misalnya akan turut membolehkan pengguna bergerak dari bandar itu ke Johor Bahru dalam masa kurang daripada setengah jam, memetik laporan Bernama.

    “Jadi, dengan adanya stesen di Seremban nanti, kami merancang agar stesen berkenaan turut akan dihubungkan dengan KLIA, yang turut akan mewujudkan sebuah lokasi pusat baharu yang akan menjadi sebahagian daripada rancangan pembangunan yang dikenali sebagai Malaysia Vision Valley (MVV). Ini juga akan menggiatkan perkembangan rangkaian pengangkutan awam di dalam negara,” jelas beliau.

    Semalam, Malaysia dan Singapura menandatangani perjanjian dua hala yang akan menjadikan hal itu sebagai kenyataan di antara kedua-dua negara, memendekan tempoh perjalanan KL-Singapura yang melibatkan jarak kira-kira 350 km kepada hanya 90 minit dengan keretapi moden berkelajuan maksimum sekitar 300 km/j.

     
     
  • Kekerapan perkhidmatan tren perlu dipertingkat – Liow

    Kekerapan perkhidmatan tren perlu dipertingkat – Liow

    Bagi mencapai sistem pengangkutan awam terutamanya tren yang lebih efisien di negara ini, Kementerian Pengangkutan menyarankan agar penyedia perkhidmatan terbabit mempertingkatkan kekerapan tren kepada 90 saat atau 1.5 minit pada masa akan datang.

    Menurut menterinya, Datuk Seri Liow Tiong Lai, pengalamannya semasa lawatan ke Moscow, Russia baru-baru ini, kekerapan sistem pengangkutan Transit Aliran Massa (MRT) di negara itu ditetapkan pada 1.5 minit dengan keupayaan membawa 8.5 juta penumpang setiap hari, laporan Berita Harian.

    “Dengan kekerapan tren pada setiap 1.5 minit, orang awam yang menggunakan pengangkutan tersebut di negara berkenaan tidak perlu menunggu lama. Justeru, kita juga berharap dapat mencapai sasaran berkenaan pada suatu hari dan ia juga adalah sebahagian daripada transformasi dalam pengangkutan awam negara,” ujarnya ketika berucap dalam majlis makan malam Kementerian Pengangkutan semalam.

    Dalam masa yang sama, beliau turut memberi contoh, kekerapan perkhidmatan komuter Keretapi Tanah Melayu Bhd (KTM) berjaya ditambah baik daripada sejam kepada setengah jam dan yang terbaharu ialah 15 minit. Malahan melalui pelaksanaan Landasan Berkembar Lembah Klang (KVDT), tempoh menunggu komuter akan disingkatkan kepada 7.5 minit menjelang 2019 dan dikurangkan lagi kepada 3.5 minit.

     
     
  • GALERI: Peugeot 208, 2008 facelift dipertontonkan

    Pada awal bulan ini, Peugeot Malaysia telah pun mengesahkan model facelift bagi 208 dan 2008 mula dibuka tempahannya. Bakal dilancarkan tidak lama lagi, baru-baru ini kedua-dua model tersebut juga telah dipertontonkan di Queensbay Mall, Pulau Pinang. Lewat petang ini, model 208 dan 2008 facelift telah diprebiu di Saujana Subang untuk tontonan pihak media.

    Model 208 dan 2008 facelift ini telah diberikan sedikit suntikan peningkatan bagi bahagian luaran. Bagi 208 facelift ini, ia menerima kombinasi gril dan bampar baharu, bersama lampu utama signatur baharu dengan dwi-tona berwarna hitam yang lebih terang dan bezel krom. Untuk bahagian belakang pula, ia menerima padanan kluster lampu LED-penuh dengan motif cakaran yang menonjol.

    Manakala untuk 2008 pula, ia telah diberikan sedikit prubahan pada bahagian hadapan dengan menampilkan gril melintang baharu, di samping lampu utama dan sambungan gerbang roda hitam yang diperkemaskini serta scuff plates baharu bagi menyerlahkan lagi gaya SUV kompak tersebut.

    Bukan sahaja bahagian luarannya, kedua-dua model ini turut diberikan perubahan mekanikal. Jika model terdahulu, ia menerima enjin 1.6 liter 122 PS/160 Nm dan dipadankan dengan transmisi auto empat-kelajuan. Namun kedua-dua model facelift ini ditampilkan dengan enjin baharu 1.2 liter PureTech yang mampu menghamburkan output 112 PS dan 205 Nm, bersama transmisi automatik enam-kelajuan Aisin.


    Bagi 208, ia mampu dipacu dari 0-100 km/j dalam hanya 9.8 saat dan mampu mencapai kelajuan maksimum sehingga 190 km/j. Manakala penggunaan bahan apinya sekitar 4.5 l/100 km bagi kitaran kombinasi. Model versi lama pula memerlukan 10.7 saat bagi 0-100 km/j dan penggunaan bahan api sekitar 6.7 l/100 km. Kelajuan maksimum tidak berubah.

    Manakala untuk model 2008 pula, kini ia mampu mencapai 9.9 saat bagi 0-100 km/j, kelajuan maksimum sehingga 188 km/j dan lebih kurang 4.8 l/100 km. Sebagai perbandingan, model pre-facelift hanya 11.2 saat bagi 0-100 km/j, kelajuan maksimum 190 km/j dan menggunakan 6.5 l/100 km.

    Untuk aspek keselamatan, kedua-duanya menerima enam beg udara dan kawalan kestabilan elektronik, seperti sebelum ini. Tiada harga yang diumumkan buat masa ini, namun mungkin ia tidak jauh berbeza dengan harga sedia ada iaitu RM85,888 untuk model 208 lima-pintu hatchback dan RM119,888 bagi 2008 crossover.

    GALERI: Peugeot 208 facelift

    GALERI: Peugeot 2008 facelift

     
     
  • Peugeot Malaysia bakal lancar 5 model baharu untuk 2017 – 208 PureTech, SUV 2008 PureTech, 3008 serba baharu, 5008 serba baharu dan MPV Traveller

    Nasim Sdn Bhd telah mengumumkan untuk tahun 207, sebanyak lima model baharu Peugeot akan dilancarkan untuk pasaran Malaysia. Selain 208 PureTech dan 2008 SUV PureTech yang mula dipertontonkan di khalayak umum dan juga tempahan juga telah dibuka, model baharu yang diumumkan itu termasuklah SUV 3008 serba baharu, 5008 serba baharu dan Traveller yang merupakan MPV lapan-tempat duduk.

    Model facelift bagi hatchback 208 dan SUV kompak 2008 dipadankan dengan enjin baharu iaitu 1.2 liter PureTech dengan output 112 PS dan tork 205 Nm. Ia digabungkan dengan transmisi automatik enam-kelajuan Aisin.

    Selain itu, 208 facelift menerima kombinasi gril dan bampar baharu, bersama lampu utama dengan dwi-tona berwarna hitam yang lebih terang dan bezel krom. Untuk bahagian belakang pula, ia menerima padanan kluster lampu LED-penuh dengan motif cakaran yang menonjol.

    Manakala bagi 2008 pula telah menjalani sedikit perubahan dengan gril hadapan melintang baharu, di samping lampu utama dan sambungan gerbang roda hitam yang diperkemaskini serta scuff plates baharu bagi menyerlahkan lagi gaya SUV tersebut.

    Sebelum ini, Nasim turut mengesahkan Peugeot 3008 serba baharu iaitu daripada generasi kedua pula dijangka akan dilancarkan pada suku kedua 2017. Enjin petrol dengan unit 1.6L THP 165 S&S dan transmisi automatik enam-kelajuan tetap menjadi pilihan. Malah terdapat ura-ura enjin 1.2L PureTech 130 S&S akan ditawarkan, namun perkara ini masih belum disahkan lagi.

    Antara perubahan yang dibawa bagi SUV ini ialah bahagian dalam yang lebih premium, rekaan papan pemuka i-Cockpit yang lebih maju, bahan binaan baharu dan kemasan yang boleh mengatasi tahap beberapa kenderaan mewah lain. Selain itu, khabarnya ia juga bakal dilengkapi dengan bumbung panoramik, pintu but belakang yang boleh dibuka tanpa sentuhan, manakala kelengkapan pilihan pula terdiri daripada sistem audio Focal Premium 10-pembesar suara serta Driver Sport Pack.

    Peugeot 5008 serba baharu juga menanti giliran untuk diperkenalkan di pasaran tempatan. Berubah karakteristik daripada MPV dan kini menjadi SUV, 5008 serba baharu ini masih kekal dengan kapasiti tujuh-tempat duduk.

    Buat setakat ini, spesifikasi bagi pasaran Malaysia masih belum didedahkan. Namun jika ikut pada model yang dipertontonkan di Paris Motor Show 2016 lalu, elemen yang dipertaruhkan termasuklah reka letak papan pemuka i-Cockpit Peugeot, yang pertama kali diperkenalkan pada model 208.

    Selain itu, ia turut menampilkan stereng bersaiz lebih kompak, skrin sentuh lapan-inci dan paparan meter resolusi tinggi 12.3-inci, tempat duduk hadapan dengan sokongan badan penuh, serta sistem urutan pelbagai titik, sistem hi-fi premium, pengecaj Qi tanpa wayar bagi telefon pintar, navigasi TomTom dan bumbung panoramik kaca.

    5008 serba baharu ini dibangunkan di atas Efficient Modular Platform (EMP2) dan 95 kg lebih ringan berbanding versi MPV yang terdahulu. Bagi penjana kuasa, ia menggunakan enjin petrol Euro 6 1.2L PureTech 130 dan 1.6L PureTech 165. Malah turut mendatangkan pilihan enjin diesel 1.6L BlueHDi 100, 1.6L BlueHDi 120 dan 2.0L BlueHDi 150. Bagi varian tertinggi GT, ia dilengkapi enjin 2.0L BlueHDi 180.

    Model terakhir yang disahkan akan tiba di pasaran Malaysia untuk 2017 ialah MPV lapan-tempat duduk Peugeot Traveller. Ia merupakan unit pemasangan tempatan (CKD) yang bakal dipasang di Gurun, Kedah, Traveller juga mungkin akan dieksport ke negara Asia sekiranya ada permintaan.

    Menurut Peugeot, Traveller dibina menggunakan Efficient Modular Platform (EMP2) PSA yang turut digunakan pada kereta penumpang dan juga SUV, menjadikan ia 100-400 kg lebih ringan dari pesaingnya. Buat masa ini, spesifikasi bagi pasaran tempatan juga masih belum didedahkan.

    Namun jika berdasarkan pasaran Eropah, Traveller dijana dengan lima pilihan enjin diesel BlueHDI. Enjin 1.6 liter dan 2.0 liter Euro 6 berkenaan mampu menjana kuasa dari 95 hp hingga 180 hp, serta kesemuanya dipadankan dengan sistem auto start-stop dan kotak gear enam-kelajuan (manual dan automatik). Tiada pilihan enjin petrol ditawarkan buat masa sekarang.

    Antara ciri yang ditampilkan termasuklah pintu gelangsar tanpa sentuh (diaktifkan menggunakan kaki pada bahagian juntaian belakang), paparan head-up dan sistem bacaan papan tanda dengan saranan had laju, tingkap belakang yang boleh dibuka, panel bumbung kaca, Brek Keselamatan Aktif dan suis lampu tinggi automatik, navigasi kawalan suara baharu dan informasi trafik masa sebenar, kamera undur VisioPark dengan pandangan tinggi 180 darjah serta zum untuk pandangan belakang, dan Amaran Perhatian Pemandu.

     
     
  • Toyota C-HR dilancarkan di Jepun – penawaran di dalam dua versi enjin, 1.2L turbo dan juga 1.8L hibrid

    Toyota C-HR dilancarkan di Jepun – penawaran di dalam dua versi enjin, 1.2L turbo dan juga 1.8L hibrid

    Toyota kini secara rasminya melancarkan model crossover kompak C-HR untuk pasaran Jepun. Ia sudah mula berada di pusat pengedar jenama itu. Dengan perkembangan terbaharu ini, Toyota mensasarkan jualan 6,000 unit model dengan nama “Coupe-High Rider” itu di pasaran negara asalnya tersebut.

    Toyota C-HR merupakan model kedua yang dibangun menggunakan platform modular Toyota New Global Architecture (TNGA) selepas model Prius versi terkini. Pengeluarnya menjanjikan prestasi pemanduan yang responsif, hasil daripada penalaan suspensi dan ujian global yang dijalankan. Platform berkenaan juga disifatkan 65% lebih kukuh berbanding platform pada model segmen C Toyota sebelum ini.

    Dua pilihan enjin ditawarkan untuk pasaran Jepun, sebuah enjin kapasiti kecil dengan bantuan turbo serta enjin hibrid. Pertama, enjin 1.2L turbocaj 8NR-FTS dengan janaan kuasa 115 PS dan 185 Nm tork. Model JDM ini dipadankan dengan sistem transmisi Super CVT-i dengan mod “sequential shiftmatic” tujuh kelajuan, dan 4WD.

    Sementara itu, versi hibrid dijangka mendapat sambutan hangat di sana; mampu memberikan bacaan penggnunaan petrol 30.2 km/l bagi kitaran ujian Jepun (15.4 km/l bagi 1.2L). Unit utamanya menggunakan enjin 1.8 liter VVT-i Atkinson Cycle empat silinder, motor elektrik dan kotak gear CVT – gandingan yang sama melengkapi Prius. Versi ini hanya datang dengan sistem pacuan 2WD.

    Toyota juga menjelaskan bahawa kedua-dua versi ini diiktiraf memberikan tahap pembebasan ekzos yang 75% lebih rendah daripada “Piawaian Pembebasan Ekzos 2005” Jepun dan kedua-duanya menikmati pengurangan cukai bagi kenderaan mesra alam. Pakej Toyota Safety Sense P Collision Avoidance Assist ditawarkan sebagai ciri standard bagi kedua-duanya.

    Juga menjadi ciri standard bagi semua varian (S-T, G-T, S dan G; T untuk turbo) ialah brek parkir elektrik, stereng 3-spoke balutan kulit dan masukan tanpa kunci/push start. Varian G dan G-T dipasangkan rim 18 inci, lampu kabus LED bahagian depan, blind spot monitor, sensor sonar bantuan parkir bahagian depan dan belakang dan tempat duduk gabungan fabrik-kulit.

    Harga di Jepun pula bermula dari 2,516,400 yen (RM97,359) bagi versi 1.2L S-T hingga 2,905,200 yen (RM112,027) bagi versi Hybrid G. Model ini sudah tentu sangat dinanti-nantikan untuk pasaran ASEAN, termasuk Malaysia. Apa lagi setelah pesaingnya, Honda HR-V kini menikmati perhatian dan data jualan yang memberangsangkan, Toyota C-HR sudah tentu mempunyai tempatnya yang tersendiri, walaupun sedikit lewat kedatanganya.

     
     
  • Mercedes-Benz E-Class Coupe C238 kini ditampilkan

    Mercedes-Benz E-Class Coupe C238 kini ditampilkan

    Mercedes-Benz E-Klasse Coupé; 2016; Exterieur: designo hyazinthrot metallic, AVANTGARDE ;
    Mercedes-Benz E-Class Coupé; 2016; exterior: designo hyacinth red metallic, AVANTGARDE;

    Satu lagi ahli keluarga baru bagi keluarga W213 E-Class diperkenalkan oleh Mercedes-Benz iaitu C238 Mercedes-Benz E-Class Coupé. Selepas bertahun-tahun dikenali sebagai E-Class hanya pada nama (model sebelum ini, termasuk CLK yang datang sebelumnya sebenarnya diasaskan daripada C-Class), kereta baru ini akhirnya berkongsi asas yang sama dengan model sedan. Ini adalah kali pertama sejak model C124 akhir tahun 80-an dan awal 90-an.

    Nyata ia adalah sebuah kereta yang bergaya, dengan kebanyakan konsep rekaan diambil daripada model sedan, tetapi model dua pintu ini juga mempunyai dua bonjolan di atas bonet seperti model AMG.

    Dilihat dari tepi, kereta ini mempunyai garis bumbung yang rendah, sehingga ke belakang. Seperti juga model yang digantikannya, kereta baru ini mempunyai cermin segi tiga di belakang, yang membolehkan semua cermin diturunkan. Tiada tiang tengah B-pillar pada kenderaan ini dan cermin tepi juga tidak mempunyai kerangka.

    Mercedes-Benz E-Class Coupe C238 kini ditampilkan

    Mercedes-Benz E-Klasse Coupé; 2016; Exterieur: designo hyazinthrot metallic, AVANTGARDE ;
    Mercedes-Benz E-Class Coupé; 2016; exterior: designo hyacinth red metallic, AVANTGARDE;

    Pada bahagian belakang, terdapat lengkung roda yang lebih kembung dan menjadikan kereta ini nampak lebih tegap manakala lampu belakang yang rata dan tempat nombor plat yang rendah diambil daripada model C dan S-Class. Seperti juga model sedan, coupé ini mempunyai lampu belakang yang berkilau.

    Kemasan model coupé ini walaubagaimanapun adalah berbeza dengan model sedan. Ia datang secara standard dengan pakej Avantgarde, dengan lambang bintang tiga bucu yang besar di tengah gril berbentuk permata kromnya. Brek pula menggunakan cakera berliang. Juga terdapat kit AMG Line yang memberikan bampar hadapan, belakang dan skirting tepi lebih sporty, bersama rim gaya AMG.

    Memandangkan ia kini betul-betul menggunakan asas daripada E-Class sedan, coupé baru ini adalah lebih besar berbanding model yang digantinya, yang menggunakan asas C-Class. Dengan ukuran 4,826 mm panjang, 1,860 mm lebar dan 1,430 mm tinggi, ia adalah 123 mm lebih panjang, 74 mm lebih lebar dan 32 mm lebih tinggi berbanding sebelum ini. Jarak roda 2,873 mm yang dicatat sekarang juga adalah 113 mm lebih panjang. Ini sekaligus memberikan lebih ruang dalaman, terutamanya untuk penumpang belakang.

    Di dalam, ia hampir serupa seperti model sedan, dengan menampilkan Widescreen Cockpit bersama skrin 12.3 inci, pad sesentuh Touch Control di stereng untuk mengawal panel meter dan skrin COMAND di tengah, dan kemasan sepanjang papan pemuka. Corong pendingin hawa pada model ini juga adalah baru, dikatakan diambil daripada kereta konsep IAA.

    Turut dilengkapi adalah inovasi teknikal termasuk pengecas telefon tanpa wayar Qi, kunci digital dengan ciri NFC, brek kecemasan automatik Active Brake Assist, ciri pemanduan sendiri separa Drive Pilot dan Remote Parking Pilot. Kereta ini turut menggunakan lampu utama Multibeam LED dengan 84 diode nyalaan sendiri dan membolehkan lampu tinggi dipasang sepanjang masa tanpa menyilaukan pengguna jalan raya dari arah bertentangan.

    Mercedes-Benz E-Class Coupe C238 kini ditampilkan

    Mercedes-Benz E-Klasse Coupé; 2016 ;
    Mercedes-Benz E-Class Coupé; 2016;

    Semasa pelancarannya, E-Class Coupé akan datang dengan piihan empat enjin, termasuk 2.0 liter turbodiesel baru pada model E 220 d yang berkemampuan 194 hp pada 3,800 rpm dan 400 Nm tork di antara 1,600 hingga 2,800 rpm. Ia mampu memecut 0-100 km/j dalam masa 7.4 saat dan mencapai kelajuan maksimum 242 km/j dan penggunaan bahan api bercampur 4.o L/100 km.

    Untuk varian enjin petrol, unit 2.0 liter turbo empat silinder akan menguasakan varian E 200 dan E 300 dengan masing-masing kuasa sebanyak 184 hp/ 300 Nm dan 245 hp/ 370 Nm. Varian paling tinggi adalah E 400 4Matic, yang mendapat pacuan empat roda dan kuasa 333 hp dan tork 480 Nm daripada enjin V6 3.0 liter twin-turbo. Semua model E-Class Coupé menggunakan transmisi automatik sembilan kelajuan 9G-Tronic.

    Suspensi Direct Control juga dipasang secara standard pada semua model, menjadikan coupé ini 15 mm lebih rendah daripada model sedan. Juga terdapat sistem penyerap adaptif Dynamic Body Control, bersama suspensi udara Air Body Control. Suspensi ini dikawal berdasarkan mod pemanduan Dynamic Select.

     
     
  • SPYSHOT: Alpine versi jelmaan semula sedang diuji

    SPYSHOT: Alpine versi jelmaan semula sedang diuji

    Susulan dari prebiu model konsep Renault Alpine Vision sebelum ini, akhirnya kereta sport dengan warisan konsep enjin tengah pacuan belakang dari Perancis berkenaan dilihat diuji diatas jalan raya awam, dengan bentuk hampir ke versi produksi. Model baharu ini direka seolah-olah jelmaan semula model klasik Alpine A110, dan dijangka bakal dijana enjin 2.0 liter empat-silinder turbo berkuasa 250 hp.

    Muka versi produksi ini dilihat mengambil terus rekaan dari Alpine Vision, yang terdiri dari lampu utama dan lampu kabus yang ‘ditanam’ pada bampar hadapan serta lampu nyalaan siang yang direka seperti gelang terletak di dalam lampu-lampu utama. Begitu juga pada bahagian belakang, ia menerima lampu kombinasi dengan rekaan grafik “X” serta tip ekzos yang terletak pada bahagian tengah, sama seperti model konsep.

    Setelah dilancarkan nanti, Alpine dijangka akan memberikan saingan sengit terhadap Audi TT S dan Porsche Cayman, walaupun jumlah kuasa 250 hp yang dibekalkan agak rendah berbanding TT S dan Cayman. Tetapi, berat keseluruhan Alpine dijangka 300 kg lebih ringan dari Cayman, iaitu 1,100 kg, membolehkan ia memberi tentangan dalam kelas tersebut.

    SPYSHOT: Alpine versi jelmaan semula sedang diuji

    Sejak dari penubuhannya pada 1955, Alpine merupakan jenama bebas yang hanya menggunakan enjin dari Renault. Namun, atas pelbagai krisis yang dihadapi, jenama berkenaan diambil alih sepenuhnya oleh Renault pada tahun 1973. Alpine terakhir yang diproduksi adalah model A610 pada tahun 1995, dan pengumuman untuk menghidupkan semula jenama berkenaan dibuat pada tahun 2007, tetapi terpaksa dibekukan pada tahun 2009 kerana krisis yang dihadapi Renault.

    Pada 2012, pembuat kereta sport British iaitu Caterham telah membeli 50% kepentingan Alpine dari Renault dan projek baharu akan melibatkan kerjasama kedua-dua jenama berkenaan. Walau bagaimanapun, Renault membeli semula keseluruhan kepentingan tersebut dari Caterham, dan sekarang Alpine merupakan milik penuh pengeluar dari Perancis itu.

     
     
  • Panggilan semula beg udara Takata diperluaskan di Amerika – McLaren, Ferrari, Tesla antara yang terlibat

    Panggilan semula beg udara Takata diperluaskan di Amerika – McLaren, Ferrari, Tesla antara yang terlibat

    Pentadbiran Keselamatan Trafik Lebuhraya Nasional Amerika Syarikat (NHTSA) telah mengumumkan senarai baharu dalam siri panggilan semula paling besar dalam sejarah iaitu inflator beg udara Takata. Senarai baharu ini menyaksikan lebih dari 20 model berprestasi tinggi akan menjalani proses panggilan semula berkenaan.

    Laporan dari Independent Testing Coalition (ITC) iaitu konsortium yang terdiri daripada 10 pembuat kereta sebelum ini menyebut, kajian dijalankan mendapati ada tiga elemen yang menyebabkan inflator beg udara itu pecah sebelum meletupkan beg udara dan mendatangkan kecederaan pada penumpang. Elemen berkenaan adalah kompoun ammonium nitrat, pemasangan inflator tersebut yang tidak kalis lembapan dengan efektif serta perubahan suhu dan kelembapan.

    Tiga elemen berkenaan menjadikan inflator itu tidak stabil dan membuatkan ianya meletup, seterusnya serpihan dari ‘botol’ logam berkenaan mampu mendatangkan kecederaan serius yang boleh menyebabkan maut. Setakat ini, tujuh kematian telah direkodkan disebabkan masalah ini, yang turut melibatkan pengguna di Malaysia.

    Panggilan semula beg udara Takata diperluaskan di Amerika – McLaren, Ferrari, Tesla antara yang terlibat

    Apa yang memeranjatkan, senarai panggilan semula kali ini turut melibatkan model-model yang menggunakan inflator tanpa ammonium nitrat. Menurut NHTSA, Ferrari merupakan antara jenama yang mempunyai model paling banyak terlibat dalam sesi panggilan semula kali ini. Kesemua barisan model 2016-2017 jenama eksotik dari Itali berkenaan terlibat, antaranya 488 GTB, 488 Spider, F12tdf, F60 dan juga GTC4Lusso.

    Tesla juga tersenarai dalam panggilan semula ini buat kali pertama, membabitkan semua sedan model S 2012-2016. Kereta sport lain yang terlibat termasuk Audi R8 2017, Audi TT 2016, Mclaren 570S 2016-2017, Fisker Karma 2012, Lexus LFA 2012 dan juga McLaren P1 2011-2015.

     
     
  • Proton anjur promosi akhir tahun; diskaun sehingga RM8k – libatkan tiga model dengan tawaran berbaloi

    Seperti biasa, hujung tahun merupakan antara tempoh popular pengeluar kenderaan di Malaysia mengadakan promosi dengan tawaran yang mengujakan. Proton tidak ketinggalan untuk mengambil bahagian di dalam hal ini; syarikat itu menawarkan potongan harga sehingga RM8,000 serta pakej servis percuma.

    Tawaran dan penjimatan paling menarik ialah bagi model Suprima S. Hatchback lima pintu dalam segmen C itu diberikan diskaun RM8,000. Proton Iriz pula kini RM6,000 lebih murah, sementara Preve ditawarkan dengan potongan RM5,000. Ketiga-tiga model ini didatangkan dengan pakej servis percuma selama dua tahun.

    Tiada potongan harga bagi model Persona, bagaimanapun ia memang didatangkan dengan pakej servis percuma selama dua tahun. Semua tawaran ini sah bagi kenderaan yang didaftarkan sebelum 31 Disember ini. Selain Proton, pesaingnya Perodua turut mengumumkan tawaran istimewa bagi model-model keluaran jenama itu.

    Misalnya, Bezza diberikan diskaun RM5,000. Nampak seperti waktu yang berbaloi untuk mempertimbangkan pembelian kenderaan dari dua pengeluar nasional ini.

     
     
  • Lexus LC 500, LC 500h didedahkan dengan terperinci

    Lexus LC 500, LC 500h didedahkan dengan terperinci

    Lexus akhirnya mendedahkan perincian penuh berserta gambar coupé baru Lexus LC – sebuah model dua pintu bergaya yang dihasilkan berdasarkan model konsep LF-LC tahun 2012. Seperti yang dilaporkan sebelum ini, kereta sports baru jenama ini datang dalam dua variasi iaitu LC 500 dan LC 500 h hibrid.

    Ciri rekaan adalah antara tarikan utama pada LC, dan menurut ketua jurutera Lexus, Koji Sato, ia adalah satu cabaran yang getir untuk mengekalkan penampilan seperti kereta konsep sebelum ini. Sebagai contoh, masa enam bulan diambil untuk mereka semula geometri penyambung suspensi hadapan bagi mendapatkan garis bonet yang rendah, sementara lampu utama LED yang nipis menjadikan overhang kereta ini pendek.

    Juga pada bahagian hadapan, gril spindle unik Lexus menggunakan warna krom, dan mempunyai rekaan tautan baru – kepadatan rekaan tersebut semakin berkurangan apabila ia semakin meregang di sepanjang bahagian tengah kenderaan. Lampu siang LED berasingan menambah gaya unik yang dihasilkan oleh lampu utama tiga LED.

    Lexus LC 500, LC 500h didedahkan dengan terperinci

    Garis bumbung serta penggunaan kaca menimbulkan sesuatu yang dipanggil oleh Lexus sebagai bayangan unik, dengan c-pillar berwarna hitam yang menimbulkan visual bumbung tersebut seperti terapung. Hiasan krom pada bumbung tersebut menimbulkan rasa elegan, dengan penjuru belakangnya dihasilkan untuk kelihatan seperti pedang tradisional Jepun.

    Pada bahagian belakang, garis luar gril tadi dibawa juga ke belakang, tetapi pada garisan keliling lampu belakang, sebelum ditarik ke luar untuk mengikuti tempat letak no plat dan hujung luar ekzos. Lampu belakang itu sendiri mempunyai cermin yang menghasilkan pantulan tiga dimensi siri grafik berbentuk L. Pembeli boleh memilih sama ada rim 20 inci atau 21 inci.

    Aerodinamik juga antara perkara penting yang diambil kira pada kenderaan ini. Selain salur udara dan pembelah angin yang boleh dilihat di hadapan dan sisi, bahagian bawah kenderaan juga direka dengan barang-barang yang selari dengan laluan udara dan boleh keluar dengan lancar ke bahagian diffuser belakang. Spoiler aktif yang boleh naik pada kelajuan 80 km/j disediakan sebagai pilihan tambahan.

    Tempat duduk yang disediakan adalah jenis 2+2 dan kokpitnya bertumpu kepada pemandu, dengan terdapat pembahagi tengah di antara pemandu dan penumpang. Tahap pinggang pemandu diletakkan serendah mungkin kepada titik tengah graviti kenderaan, dan Lexus memberitahu bahawa hud dan panel meter yang rendah serta A-pillar yang nipis membantu penglihatan ke bahagian luar kenderaan, walaupun duduk rendah.

    Kedudukan di dalam LC seperti kereta lumba, dengan kaki melunjur masuk ke ruang yang luas di bawah papan pemuka. Tempat duduknya, menampilkan binaan dua bahagian berasingan untuk keselesaan dan boleh memegang dengan baik, sementara tempat duduk sports yang disediakan sebagai pilihan pula didatangkan dengan lebih sokongan.

    Semua butang yang berkaitan dengan pemanduan seperti pedal penukar gear, suis pemilih mod pemanduan, butang pemula dan tombol gear diletakkan berhampiran dengan stereng manakala paparan informasi pula diletakkan pada kedudukan yang mudah dilihat dan pemandu tidak perlu mengalih mata terlalu jauh. Paparan meter dan informasi jenis TFT LCD dengan bulatan tengah yang bergerak adalah unit yang dibangunkan daripada model LFA.

    LC diletakkan atas platform Global Architecture – Luxury (GA-L) baru, yang menggunakan gabungan bahan besi biasa serta yang berkekuatan tinggi, aluminium serta gentian karbon. Untuk membahagikan berat dengan lebih baik, enjin yang terletak di hadapan dibawa 50 mm ke belakang, dan tayar simpanan diganti dengan tayar run-flat. Dengan itu, bateri juga boleh diletakkan di belakang dan but boleh dijadikan lebih besar.

    Disebabkan titik graviti yang rendah, LC masih dapat memberikan keselesaan dan tugas menyerap dijalankan oleh unit multilink di hadapan dan belakang. Setiap bahagian dibangunkan untu memberikan kestabilan dan karekter stereng yang lebih tepat.

    Pemilik LC boleh memilih pakej tambahan Lexus Dynamic Handling, yang menggunakan Variable Gear Ratio Steering (VGRS), Active Rear Steering (ARS) dan stereng kuasa elektrik untuk meningkatkan tindak balas stereng dan rasa yang lebih terus semasa mengambil selekoh di kelajuan tinggi. Juga terdapat limited-slip differential untuk pecutan sewaktu membelok yang lebih stabil bersama Vehicle Stability Control (VSC) dan ARS untuk mengelak understeer dan oversteer.

    Lexus LC 500, LC 500h didedahkan dengan terperinci

    LC 500 dikuasakan oleh enjin V8 Atkinson-cycle NA 5.0 liter yang diambil daripada model GS F dan RC F. Enjin ini mempunyai teknologi VVT-i dan sistem suntikan terus D-4S, dengan penyambung rod diperkuat dan injap titanium. Untuk menyampaikan angin dengan lebih baik kepada enjin, terdapat dua saluran udara, manakala penyerap juga digunakan untuk mengurangkan bunyi dan gegaran.

    Secara keseluruhan, enjin ini boleh menghasilkan 471 hp pada 7,100 rpm dan 540 Nm pada 4,800 rpm. Ini seterusnya membolehkan LC 500 memecut 0-100 km/j di bawah 5.4 saat dan kuasa tersebut disampaikan oleh kotak gear automatik 10 kelajuan dengan nisbah yang diletakkan lebih rapat.

    Antara ciri baru lain pada transmisi ini adalah pengawal AI-Shift dengan penukar mod pemanduan. Ia boleh memilih nibah yang optimum bukan sahaja berdasarkan kelajuan dan penggunaan pendikit, tetapi juga berdasarkan sejarah pemanduan yang direkod. Ini membolehkan kotak gear tersebut menganggar perlakuan dan kemahuan pemandu, meskipun pemandu tidak mengusik butang pemilih mod pemanduan. Torque converter juga baru pada unit ini.

    Lexus LC 500, LC 500h didedahkan dengan terperinci

    Sementara itu, LC 500h pula menggunakan enjin V6 3.5 liter dengan Dual VVT-i yang dipadankan dengan sistem Multi Stage Hybrid yang terdiri daripada motor elektrik yang mendapat kuasa daripada bateri lithium-ion 311 V. Transmisi yang digunakan pula adalah unit automatik empat kelajuan.

    Datang standard pada semua model LC adalah Lexus Safety System + serba lengkap, termasuk Pre-Collision System dengan Pedestrian Detection, Pre-Collision Brake Assist, All-Speed Dynamic Radar Cruise Control, Lane Departure Alert dengan Steering Assist dan Vehicle Sway Warning dan Intelligent High Beam.

    Lexus LC dibuat di kilang Motomachi, yang sebelum ini mengeluarkan LFA. Barisan pengeluaran telah diubah suai untuk menghasilkan LC, dan kebanyakan individu yang bekerja menghasilkan LFA, kini bertukar untuk menghasilkan LC.

    GALERI: Lexus LC 500

    GALERI: Lexus LC 500h

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (-0.04)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.90 (-0.04)
EURO 5 B7 RM3.10 (-0.04)
Last Updated Aug 14, 2025