Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Honda BR-V dijumpai di M’sia, papan pemuka terdedah

    Honda BR-V dijumpai di M’sia, papan pemuka terdedah

    Kenderaan jenis SUV tujuh tempat duduk terbaru Honda iaitu BR-V akan dilancarkan dalam suku pertama tahun hadapan, dan kenderaan ini sudah pernah dipamerkan di MIECC, Serdang November lalu. Malah, tempahan juga sudah dibuka. Namun, sepanjang masa itu, Honda cukup pandai menyembunyikan bahagian papan pemuka kenderaan tersebut sehinggalah gambar pembaca paultan.org, Akmal Azmi ini sampai kepada kami.

    Kelihatan pada bahagian kabin kenderaan ini terdapat roda stereng daripada Civic FD (bukannya seperti Brio yang terdapat pada unit Indonesia), dengan butang pengawal multimedia, pendingin hawa automatik, papan pemuka dua tona warna dan tempat duduk kulit. Berkemungkinan ini adalah varian tertinggi yang akan ditawarkan.

    Sementara itu, bagi bahagian luar, walaupun sudah dikenali ramai, masih lagi menggunakan pelekat penyamaran di beberapa bahagian. Mungkin ia dilakukan untuk menyembunyikan kemasan krom, pemegang pintu dan lencana yang boleh menyatakan spesifikasi BR-V ini. Seperti yang pernah dilihat sebelum ini, rim 16 inci dengan rekaan seperti kipas masih lagi dikekalkan pada kenderaan ini.

    Honda BR-V akan dikuasakan oleh enjin 1.5 liter SOHC i-VTEC, seperti yang terdapat pada model Jazz dan City. Ia mampu menghasilkan 120 PS dan 145 Nm tork, dengan kuasa disampaikan kepada roda hadapan melalui kotak gear CVT Earth Dreams. Tujuh tempat duduk pada kenderaan ini dibahagikan kepada tiga baris, dan bagi tempat duduk belakang, ia boleh dilipat dengan mudah, memberi ruang simpanan seluas 539 liter.

    Turut diperlengkap BR-V adalah tali pinggang keledar three-point untuk semua penumpang, dan ia juga menerima penarafan lima bintang dalam ujian ASEAN NCAP (model dengan ESC). Sementara menunggu pelancarannya nanti, anda juga boleh membaca pengalaman kami memandu model ini di Thailand.

    GALERI: Honda BR-V dipamerkan di MIECC

     
     
  • MAA: Angka jualan November 2016 sedikit meningkat – jualan bagi tempoh sama tahun lalu turun 13.7%

    MAA: Angka jualan November 2016 sedikit meningkat – jualan bagi tempoh sama tahun lalu turun 13.7%

    Seperti yang dijangkakan oleh Persatuan Automotif Malaysia (MAA) sebelum ini, jumlah jualan kenderaan bagi bulan November 2016 adalah sedikit tinggi berbanding bulan Oktober. November mencatatkan kenaikan 2.5% atau pertambahan 1,206 unit kenderaan; keseluruhannya, angka jualan kenderaan November ialah 49,085 unit.

    Peningkatan berkenaan disumbangkan oleh pelancaran model-model baharu, dengan penawaran istimewa serta potongan harga dan diskaun menjadi antara tarikan utama. Bagaimana pun, jumlah jualan keseluruhan tahunan (TIV) bagi tempoh yang sama berbanding tahun lalu ialah 597,306 unit; 13.7% lebih rendah.

    Sama seperti bulan lalu, MAA sekali lagi menjangkakan jualan pada Disember 2016 akan meningkat, memandangkan pengeluar kenderaan sedang giat mengadakan promosi akhir tahun dalam usaha terakhir untuk mencapai sasaran jualan bagi stok tahun ini.

    Selain itu, ada juga kemungkinan pelanggan akan membuat pembelian atas faktor kenaikan harga kenderaan yang dijangka akan berlaku pada 2017 – ini juga tidak sukar untuk diagak; lihat sahaja kedudukan mata wang RM dalam pasaran dunia yang masih lemah.

    Tahun lalu menyaksikan sejumlah 666,674 unit kenderaan didaftarkan, dan pada awal tahun 2016, MAA menjangkakan penurunan sebanyak 2.5% bagi TIV tahun ini. Dengan hanya berbaki sebulan sahaja lagi bagi 2016, dan jumlah jualan bagi tempoh sama tahun lalu yang menurun sebanyak 13.7% itu, jualan keseluruhan tahun ini bakal menyaksikan penurunan ketara.

    Juga tidak terlalu sukar untuk memahami puncanya; keadaan ekonomi yang suram dan sentimen pengguna. Perkembangan yang sama dihadapi oleh pasaran automotif di Thailand, misalnya, serta industri-industri lain dalam negara seperti pasaran hartanah.

     
     
  • Volvo jalin kerjasama dengan Kidzania – didik kanak-kanak tentang keselamatan jalan raya dan kenderaan

    Volvo jalin kerjasama dengan Kidzania – didik kanak-kanak tentang keselamatan jalan raya dan kenderaan

    Volvo Car Malaysia, bersama Volvo Trucks Malaysia mengumumkan satu kerjasama dengan KidZania Kuala Lumpur, bertujuan memupuk budaya keselamatan kenderaan pada kanak-kanak, dan meningkatkan kemahiran hidup mereka.

    Kerjasama ini akan menyaksikan Volvo Car Malaysia membina sebuah pusat pengedar di dalam bandar mesra kanak-kanak KidZania, dan mereka boleh mengalami kerja sebagai pengedar dan pereka kenderaan. Ini juga dapat membantu kanak-kanak tersebut meningkatkan kemahiran komunikasi, dengan memberikan pembentangan jualan kenderaan, atau menyatakan kreativiti masing-masing melalui satu perisian khas berkenaan gaya serta ciri keselamatan kenderaan.

    Selain itu, mereka juga boleh mempelajari kepentingan duduk dengan betul dalam kenderaan, yang berkemungkinan besar melibatkan penggunaan tempat duduk kanak-kanak yang betul.

    “Di Volvo, kami sentiasa berusaha untuk menjadikan dunia ini tempat yang selamat untuk semua pengguna jalan raya – satu bahagian besar untuk memastikannya adalah melalui pembelajaran. Kami dapati masih terdapat kurang pemahaman berkenaan penggunaan tempat duduk kanak-kanak yang betul di Malaysia,” kata pengarah urusan Volvo Car Malaysia, Lennart Stegland.

    Sementara itu bagi Volvo Truck Malaysia pula, mereka mensasarkan kepada kepekaan jalan raya yang melibatkan trak bersaiz besar. Antara program yang akan dijalankan adalah kempen ‘Berhenti, Tengok, Lambai’ dan kelas pengajaran mengesan titik buta dan etika atas jalan yang betul.

     
     
  • Mazda bakal pamerkan CX-5, CX-3, 2 terkini dan MX-5 RF yang ditala pada Tokyo Auto Salon 2017

    Selain dari Toyota dan Honda, Mazda turut akan membawa model-model istimewa mereka ke pameran kenderaan ubahsuai tahunan terulung di Jepun, Tokyo Auto Salon (TAS), yang akan diadakan pada Januari 2017.

    Untuk TAS edisi kali ini, SUV CX-5 dan MX-5 RF versi standard serta versi ubahsuai bakal dipamerkan di ruang pameran Mazda. Kedua-dua model versi ubahsuai ini akan diberikan kit badan istimewa serta roda aloi yang lebih besar. Khas untuk MX-5 RF, ia akan diberikan rim aloi BBS.

    Tidak ketinggalan, Mazda 2 dan CX-3 terkini yang dilengkapi G-Vectoring Control dan juga sentuhan ubahsuai turut akan dipamerkan, bersama jentera perlumbaan Global Mazda MX-5 Cup. Sebuah MX-5 yang dicat dengan warna solid merah klasik – sinonim dengan MX-5 generasi terdahulu – berlainan dari warna signatur Soul Red Metallic terkini turut akan dipamerkan.

     
     
  • Honda tunjuk kenderaan yang akan dibawa ke Tokyo Auto Salon 2017 – beberapa van dan kereta lumba

    Tokyo Auto Salon 2017 direncanakan berlangsung pada bulan Januari, tetapi Honda sudah mula menunjukkan barisan kenderaan yang akan dibawa ke pameran kenderan ubahsuai itu, dan ia melibatkan beberapa model van mini syarikat tersebut.

    Pertamanya adalah dua kenderaan konsep yang diasaskan daripada model Freed – Modulo X dan Active. Bagi Freed Modulo X, ia menggunakan kit badan yang lebih agresif, dengan hiasan jalur merah, memberikan perbezaan warna pada keseluruhan badannya yang berwarna putih. Freed Active pula memberi daya tarikan kepada mereka yang gemar meneroka, dengan kedudukan yang nampak lebih tinggi dan hiasan berwarna hijau terang.

    Kedua-dua kenderaan ini akan dipamerkan di ruang Modulo, termasuk sebuah StepWGN Modulo X edisi khas yang memperkenalkan skema warna baru kepada van mini tersebut, dan hampir serupa seperti Modulo X (terdapat beberapa bahagian yang diberi kemasan warna merah).

    Di bahagian Mugen pula, sebuah kenderaan konsep yang dinamakan Infinite Guru akan membuat penampilan pertama, dan gambarnya masih belum dikeluarkan. Kenyataan yang dikeluarkan memberitahu kereta ini kecil, berbentuk lebih bulat dan satu impian Mugen. Menyertai kenderaan konsep ini adalah kita badan untuk Freed yang termasuk spoiler hadapan dan bawah belakang, lampu LED tambahan, skirting tepi, sayap belakang, lencana berlampu dan pilihan dua jenis rim.

    Kenderaan lain yang akan dibawa oleh Honda untuk pameran adalah termasuk S660 Bruno Leather Edition, yang memberi fokus kepada bahagian dalam lebih premium berbanding sporty, kereta Formula One McLaren MP4-31 dan NSX-GT yang akan digunakan untuk perlumbaan Super GT tahun hadapan.

     
     
  • Toyota Gazoo Racing bakal pamerkan model konsep Yaris dan Prius c TGR di Tokyo Auto Salon 2017?

    Toyota Gazoo Racing bakal pamerkan model konsep Yaris dan Prius c TGR di Tokyo Auto Salon 2017?

    Dalam laporan sebelum ini, divisi perlumbaan Toyota iaitu Toyota Gazoo Racing (TGR) dikhabarkan bakal membina kereta-kereta berprestasi tinggi untuk jalan raya, disasarkan untuk bersaing dengan Mercedes-AMG dan BMW M. Terkini, TGR mengumumkan mereka akan membawa dua buah model konsep berprestasi tinggi iaitu Yaris TGR dan Prius c TGR ke Tokyo Auto Salon 2017 pada Januari ini.

    Perkara ini telah dihangatkan lagi apabila Toyota Europe mengesahkan mereka akan membina hatchback berprestasi tinggi yang diinspirasikan dari Yaris WRC. Menurut laporan Auto Express, Yaris berkenaan mungkin akan menggunakan unit janakuasa Yaris Hybrid versi prestasi tinggi atau enjin 1.5liter turbo dari C-HR Racing, dan dijangka akan digelar sebagai Yaris Gazoo.

    Dalam pengumuman berkenaan, imej lakaran Yaris tersebut turut disiarkan sebagai teaser. Ia digambarkan akan disertakan dengan kit badan yang agresif, roda, brek dan juga spoiler belakang yang lebih besar. Imej tersebut juga agak seiras dengan imej teaser model konsep Yaris dan Prius c TGR yang disiarkan oleh Toyota Gazoo Racing.

    Toyota Gazoo Racing kini memegang tanggunjawab sebagai divisi rasmi perlumbaan Toyota dan sejak tahun lalu, Toyota Racing, Lexus Racing dan Gazoo Racing telah disatukan di bawah TGR. Buat masa sekarang, TGR mengendalikan dan membina jentera-jentera perlumbaan Toyota dalam perlumbaan World Endurance Championship dan Kejohanan Rali Dunia (WRC)

    Setakat ini, Gazoo Racing telahpun memproduksi model-model talaan istimewa untuk jalan raya edisi terhad dalam pasaran domestik Jepun di bawah jenama GRMN (Gazoo Racing Masters of Nürburgring) dan G’s.

    Dalam TAS 2017 yang akan datang ini juga, Toyota Gazoo Racing akan mempamerkan jentera perlumbaan GT3 baharu Lexus Gazoo Racing yang diasaskan dari R F coupé, Toyota Yaris WRC serta C-HR yang diberi sentuhan kit talaan TRD, Modellista dan juga peralatan tulen Toyota yang lain.

     
     
  • BYD lantik Leonardo DiCaprio sebagai duta jenama

    BYD lantik Leonardo DiCaprio sebagai duta jenama

    Aktor terkemuka Hollywood, Leonardo DiCaprio, yang bukan sahaja seorang pelakon berbakat besar dan juga aktivis alam sekitar, malah baru-baru beliau telah dilantik sebagai duta jenama bagi kenderaan elektrik buatan China, BYD.

    Dengan perlantikan ini, DiCaprio dipertanggungjawabkan untuk mempromosikan “kenderaan cekap tenaga baharu” syarikat ini yang juga sebagai sebahagian daripada kempen “Cool the Earth by 1°C” bagi menjayakan “Ekosistem Tenaga Kosong Emisi”. Malahan DiCaprio juga akan bekerjasama dengan BYD sepanjang 2017 ini dalam usaha untuk “mengetengahkan dan mengumumkan pembangunan baharu” bagi barisan kenderaan di China.

    “Leonardo DiCaprio layak diangkat sebagai inspirasi di seluruh dunia atas usahanya yang mahu menyelamatkan ekologi alam sekitar,” ujar pengurus besar perhubungan awam dan jenama BYD Sherry Li. Sambungnya lagi, “Sebagai duta jenama kami di China, kami gembira dapat bekerjasama dengan beliau dalam meningkatkan kesedaran berhubung perubahan iklim menerusi penggunaan kenderaan tenaga baharu ini.”

    DiCaprio pula berpendapat, “Semua manusia di dunia ini kini sedar akan bahawa kenderaan yang menggunakan bahan api fosil adalah kurang efisien dan merupakan ancaman utama pada bumi. Maka saya sangat teruja untuk menyertai usaha bagi menambahkan lagi penggunaan kenderaan yang lebih mesra alam sekitar di China dan tempat lain.”

     
     
  • Mercedes S-Class Coupe PD75SC WB oleh Prior Design dengan sentuhan lebih elegan dan agresif

    Mercedes S-Class Coupe PD75SC WB oleh Prior Design dengan sentuhan lebih elegan dan agresif

    Bagi menambahkan lagi imej elegan yang diserlahkan oleh Mercedes-Benz S-Class Coupe, Prior Design telah tampil dengan kit penggayaan yang digelar PD75SC Wide-Body, dengan “menghantar isyarat yang lebih jelas tentang pendahulu lebuhraya.”

    Dengan beberapa elemen yang diperbuat daripada campuran Duraflex-fibreglass, kit badan tersebut termasuklah bampar hadapan dengan lip spoiler, hud, fender, skirt sisi dengan bilah sisi, tiga kepingan spoiler belakang, dan bampar belakang dengan dua-unit peresap.

    Dengan kehadiran elemen tambahan ini, membuatkan S-Class Coupe kini 20 cm lebih lebar pada gandar belakang dan 12 cm di hadapan berbanding versi standard. Malahan ia turut ditampilkan dengan kit suspensi dari H&R yang dipasang pada jentera ini, sekaligus mengurangkan sedikit gantungan ketinggiannya.

    Sentuhan kemasan terakhir termasuk menampilkan roda PD4 berukuran 22-inci (dengan tayar 265/30 untuk hadapan dan 315/25 di belakang), bersama keluli tahan karat, sistem ekzos empat segi bagi “menambahkan lagi bunyinya”. Walau bagaimana pun, foto ruang dalaman tidak disertakan, namun mengikut hasil kerja Prior Design yang lain, ia turut memberika pilihan pengkhususan untuk pengguna.

     
     
  • Volkswagen Tiguan Allspace – SUV 7-tempat duduk bakal diperkenalkan di Detroit bulan hadapan

    Volkswagen Tiguan Allspace  – SUV 7-tempat duduk bakal diperkenalkan di Detroit bulan hadapan

    Volkswagen telah menyebarkan lakaran bagi Tiguan Allspace baharu, yang bakal diperkenalkan di North American International Auto Show di Detroit, bulan hadapan. SUV tujuh-tempat duduk ini dijangka akan dilancarkan di Amerika Utara, China dan Eropah pada musim panas hadapan.

    Bagi Tiguan versi Eropah bersaiz XL, ia akan menggunakan gelaran ‘Allspace’, tetapi untuk Amerika Utara serta China, ia sekadar dikenali sebagai Tiguan.

    Volkswagen Tiguan Allspace  – SUV 7-tempat duduk bakal diperkenalkan di Detroit bulan hadapan

    Dengan tambahan 110 mm jarak roda, sekaligus ia akan memberikan ruang kabun yang lebih luas. Tiguan generasi kedua yang diperkenalkan di Frankfurt 2015, memang sedia lebih besar berbanding model asal. Bagi versi lima-tempat duduk, ia 60 mm lebih panjang dan 30 mm lebih lebar, berbanding Typ 5N , dengam 77 mm jarak roda yang lebih panjang. Manakala ruang but pula lebih 145 liter, menjadikannya 615 liter, atau 1,655 liter sekiranya tempat duduk belakang dibaringkan.

    Memandangkan VW sedang membangunkan Tiguan yang lebih besar, ia juga merancang untuk memperkenalkan versi bersaiz sederhana untuk pasaran Malaysia pada tahun hadapan sebagai model pemasangan tempatan. Malah kelibatnya juga telah dikesan diuji di Pantai Timur baru-baru ini.

    GALERI: Volkswagen Tiguan semasa Frankfurt Motor Show 2015

     
     
  • Implementasi Biodiesel B10 di M’sia bakal kurangkan kesan karbon dan pencemaran alam – MPOB

    Implementasi Biodiesel B10 di M’sia bakal kurangkan kesan karbon dan pencemaran alam – MPOB

    Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) berkata dalam satu kenyataannya, inisiatif Biodiesel B10 (adunan 10% minyak kelapa sawit metil ester dengan 90% diesel petroleum) kerajaan dijangkakan dapat memberi manfaat ketara kepada alam sekitar, terutama hasil daripada pengurangan pelepasan gas rumah hijau dan pencemaran, bagi menjayakan kesan automotif mesra alam, menurut laporan Bernama.

    Menurut kenyataan tersebut lagi, penggunaan B10 juga akan menghasilkan manfaat positif kepada industri, ekonomi, komersil dan sosial di negara ini secara keseluruhannya.

    MPOB turut mengatakan, Indonesia telah melaksanakan Program B20 sejak Januari tahun ini dan setakat ini, belum ada masalah teknikal dilaporkan. Lembaga berkenaan menjelaskan, pengusaha pengangkutan Malaysia akan terus mempunyai pilihan sama ada menggunakan diesel B7 perindustrian atau diesel euro 5.

    “MPOB akan terus meningkatkan penglibatan pengusaha pengangkutan dan semua pihak berkepentingan dalam industri automotif bagi menangani segala kebimbangan mengenainya,” katanya.

    Mengulas berkenaan penangguhan pelaksanaan program B10 dan B7 kepada 2017 dibuat oleh Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Mah Siew Keong pada 15 Nov lepas, MPOB berkata, “Keputusan menangguhkan mandat itu dibuat atas dasar tidak mahu membebankan pengguna dengan sebarang kenaikan harga diesel ekoran harga minyak sawit mentah yang tinggi pada masa ini.”

    Implementasi program biodiesel B10 ini telah ditangguhkan berberapa kali. Kerajaan pada mulanya memperkenalkan bahan api berkenaan pada Jun lalu, tetapi ia telah ditangguhkan kerana data yang tidak mencukupi menyatakan ia memenuhi spesifikasi pengeluar-pengeluar kenderaan.

    Implementasi berkenaan kemudiannya dijadualkan pula untuk dilaksanakan bulan hadapan, namun ia diumumkan ditangguhkan sekali lagi ke tarikh yang masih belum ditetapkan kerana kerajaan mahu memperkasakan program tersebut untuk mempertingkatkannya dengan dua jenis campuran serta untuk tidak membebankan orang ramai.

     
     
  • Lapan pakej Lebuhraya Pan Borneo Sarawak dilancar

    Lapan pakej Lebuhraya Pan Borneo Sarawak dilancar

    Lebuhraya Pan Borneo bagi Sarawak yang sedang pun giat dibina menyaksikan lagi lapan pakej telah dilancarkan semalam. Pelancaran sebahagian daripada 11 pakej jajaran Lebuhraya Pan Borneo Sarawak yang keseluruhannya sepanjang 1,089 km ini, telah disempurnakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

    Dengan nilai RM12.5 bilion, pakej-pakej tersebut ialah Sematan ke Jambatan Sungai Moyan sepanjang 95km, persimpangan Pantu ke Batang Skrang (89km), Batang Skrang ke Jambatan Sungai Awik (68km) dan Jambatan Sungai Awik ke Persimpangan Bintangor (64km).

    Malah ia turut melibatkan Jambatan Sungai Kua ke Jambatan Sungai Arip sepanjang 64km, Jambatan Sungai Arip ke Persimpangan Bintulu (65km), Persimpangan Bakun ke Sungai Tangap (77 km) dan Persimpangan Sungai Tangap ke Pujut Link Road (80km), laporan Bernama.

    Ia merupakan fasa pertama pelaksanaan Lebuhraya Pan Borneo Sarawak membabitkan berjumlah keseluruhan RM16.5 bilion dan dijangka siap dalam tempoh lima tahun iaitu pada 2021.

    Menurut Najib, fasa kedua pembinaan Lebuhraya Pan Borneo pula akan memberi fokus untuk memastikan perjalanan dari Sematan ke Sabah berjalan lancar tanpa sebarang kerenah birokrasi.

    Malahan pada Oktober lalu, Brunei turut menyatakan hasrat untuk bersama-sama Malaysia bagi membina rangkaian Lebuhraya Pan Borneo bagi menghubungkan kedua-dua buah negara ini.

     
     
  • ETCM perkenalkan Pakej Prestasi Nismo Nissan Teana untuk peringkat global di M’sia – harga bermula RM6k

    Edaran Tan Chong Motor Sdn Bhd (ETCM) hari ini telah memperkenalkan pakej Prestasi Nismo untuk sedan segmen-D Nissan Teana. Pakej prestasi berkenaan bukan sahaja didedahkan buat pertama kali di Malaysia, malah ia sebenarnya pengenalan sulung untuk peringkat global.

    Pakej Prestasi Nismo untuk Nissan Teana ini didedahkan sendiri oleh dua orang pelumba GT500 Nismo iaitu Tsugio Matsuda dan Ronnie Quintarelli serta mula boleh ditempah mulai hari ini, manakala pelanggan dijangka akan menerimanya pada Januari tahun hadapan.

    Pelanggan akan diberi pilihan dalam dua jenis pakej iaitu Nismo Aero Package yang berharga RM6,201 dan juga Nismo Performance Package yang berharga RM16,960. Kesemua harga yang dinyatakan ini adalah termasuk GST.

    Untuk Nismo Aero Package, pelanggan akan menerima bampar hadapan dan belakang, skirt sisi, spoiler but dan juga kemasan pada tip ekzos. Kesemua peralatan ini turut diberikan pada Nismo Performance Package tetapi ditambah dengan set spring sport untuk merendahkan kereta ini sebanyak 30 mm, serta rim aloi Nismo LMX6 yang dibina bersama Rays Engineering kemasan hitam berkilat dan krom berdiameter 18-inci, dibaluti tayat Michelin Pilot Sport 4.

    Menurut Nissan, pakej prestasi untuk Teana ini adalah diinspirasikan dari kepakaran Nismo dalam dunia perlumbaan, dan dihasilkan dengan standard ketat dari Nismo. Secara keseluruhan, pakej ini memberikan imej baharu yang lebih sporty dan garang kepada Teana.

    Pakej prestasi Nismo untuk Teana ini dikelaskan sebagai peralatan yang dipasang di kilang dan memenuhi Standard Kualiti Global Nissan. Ia turut dilindungi dengan waranti selama tiga tahun atau 100,000 km, yang mana sampai dahulu.

    ETCM perkenalkan Pakej Prestasi Nismo Nissan Teana untuk peringkat global di M’sia – harga bermula RM6k

    Kedua-dua pakej ini ditawarkan untuk semua varian Teana pasaran Malaysia iaitu varian asas 2.0XE, varian pertengahan 2.0XE serta varian tertinggi 2.5XV. Ia juga boleh dipadankan pada kesemua lima warna standard Teana di dalam brosur iaitu Storm Blue, Brilliant White, Diamond Black, Tungsten Silver dan Bronze Gold. Pakej ini bukan sahaja untuk kereta-kereta baharu, malah pemilik Teana sedia ada juga turut boleh memilikinya secara berasingan.

    Tiada sebarang talaan kuasa enjin diberikan pada pakej ini di mana Teana dengan enjin 2.0 liter MR20DE CVTC masih kekal berkuasa 136 PS/190 Nm, manakala enjin 2.5 liter empat silinder QR25DE Twin CVTC juga kekal dengan 173 PS/234 Nm. Kedua-dua enjin ini dipadankan dengan kotak gear Xtronic CVT, memacu roda hadapan.

     
     
  • Fasa 1 MRT Sungai Buloh-Kajang mula beroperasi – kami telah mencuba perkhidmatan tren baharu ini

    Fasa 1 MRT Sungai Buloh-Kajang mula beroperasi – kami telah mencuba perkhidmatan tren baharu ini

    Satu lagi sejarah bagi sistem pengangkutan awam negara terlakar apabila fasa pertama Transit Aliran Massa (MRT) telah memulakan perkhidmatannya dari Sungai Buloh ke Semantan, Damansara Heights, hari ini. Ia telah pun dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semalam dengan majlis perasmiannya dilaksanakan di stesen Kwasa Damansara.

    Malahan Perdana Menteri turut mengumumkan perkhidmatan MRT ini ditawarkan secara percuma selama sebulan sehingga 16 Januari 2017. Ini termasuk perkhidmatan bas perantara. Tambang hanya akan dikenakan bermula 17 Januari 2017.

    Maka, pastinya penulis sendiri tidak melepaskan peluang untuk merasai pengalaman menggunakan perkhidmatan tren baharu ini. Bersama Danny Tan dari paultan.org, Jason Chung dari paultan.org/ch dan jurufoto Sherman Sim, kami berempat mencuba tren baharu ini di beberapa buah stesen yang telah beroperasi di bawah Fasa 1 ini.

    Kami memulakan perjalanan dari stesen Kwasa Sentral. Menurut MRT Corporation, terdapat sejumlah 14 tempat letak kenderaan bertingkat dan terbuka mengandungi 8,000 petak di stesen-stesen sepanjang 51 km laluan SBK.

    Tempat letak kenderaan di Stesen Sungai Buloh (kiri) & Stesen Kwasa Sentral (kanan)

    Untuk Fasa 1 ini, daripada 12 buah stesen, hanya enam daripadanya yang disediakan kawasan tempat letak kenderaan, sama ada bangunan bertingkat atau pun terbuka dengan konsep ‘Park ‘N’ Ride’. Stesen terbabit ialah Sungai Buloh, Kwasa Damansara, Kwasa Sentral, Bandar Utama, Phileo Damansara dan Pusat Bandar Damansara.

    Selain itu, kami turut mendapati tempat letak kenderaan bertingkat di stesen Pusat Bandar Damansara masih belum siap sepenuhnya. Malah Sherman terpaksa meletakkan keretanya di bahu jalan (illegal parking) kerana ‘ketiadaan tempat yang sewajarnya buat masa ini.

    Namun ketika kami membuat tinjauan di kawasan tempat letak kenderaan bertingkat di Stesen Sungai Buloh dan terbuka di Stesen Kwasa Sentral, kami sempat bertanya pada petugas MRT terbabit. Di Stesen Sungai Buloh, disediakan kawasan tempat letak kenderaan bertingkat, ia bakal dicaj RM1.05 untuk jam pertama dan kemudian RM2.20 bagi setiap jam yang berikutnya. Manakala di Kwasa Sentral pula, RM2 untuk jam pertama dan RM1.10 setiap jam yang berikutnya. Manakala caj untuk motosikal masih belum diumumkan. Petugas terbabit turut memberitahu, jika menggunakan kad Touch ‘n Go sebagai transaksi, kadar caj akan menjadi sedikit murah berbanding secara tunai.

    Fasa 1 MRT Sungai Buloh-Kajang mula beroperasi – kami telah mencuba perkhidmatan tren baharu ini

    Jika mengikut senarai caj tempat letak kenderaan (rujuk carta di atas) yang dipaparkan menerusi laman web MRT Corporation ini, kadar yang ditetapkan adalah sekali masuk atau per entry. Sedikit kekeliruan daripada segi informasi mengenai perkara ini. Walau bagaimana pun, difahamkan, kadar yang dikeluarkan oleh MRT Corporation tersebut hanya digunapakai sekiranya operator pengurusan tempat letak kenderaan di bawah syarikat yang sama. Namun sekiranya ia menggunakan khidmat pihak ketiga, mungkin kadar caj yang ditetapkan sama atau ada sedikit perbezaan.

    Walau bagaimana pun, ada pilihan lain buat pengguna untuk ke mana-mana stesen MRT iaitu dengan menaiki bas perantara yang dikendalikan dengan kerjasama antara MRT Corp dan Prasarana Malaysia Berhad melalui Rapid Bus. Untuk fasa pertama ini, sebanyak 140 buah bas akan disediakan, manakala 160 buah bas lagi bagi fasa kedua.

    Di mana sebanyak 26 laluan bas (sila dapatkan jadual perhentian bas menerusi laman web mymrt.com) dari stesen ke stesen digerakkan untuk fasa pertama ini dengan jumlah keseluruhan jaraknya iaitu 256.3km. Sebanyak tiga hingga lima bas beroperasi pada setiap laluan tersebut dengan kekerapannya selama 10-15 minit setiap satu. Ia dilengkapi tempat duduk selesa, ruang khas untuk Orang Kelainan Upaya (OKU) dan kamera keselamatan (CCTV) dan ia boleh memuatkan sehingga 62 penumpang pada satu-satu masa.

    Tambang yang akan digunakan ialah hanya RM1 bagi setiap perjalanan dengan transaksi secara tunai atau pun menggunakan kad Touch ‘n Go. Namun bagi warga emas berusia 60 tahun ke atas, OKU yang berdaftar di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan semua pelajar (sekolah rendah, menengah, kolej dan universiti) layak untuk menerima diskaun sebanyak 50%. Hanya tunjukkan Mykad (bagi warga emas), kad OKU atau kad Pelajar apabila menaiki bas terbabit.

    Fasa 1 MRT Sungai Buloh-Kajang mula beroperasi – kami telah mencuba perkhidmatan tren baharu ini

    Ok, bercerita pula pengalaman kami menaiki tren MRT ini buat pertama kali. Memandangkan Perdana Menteri ‘menghadiahkan’ tambang percuma selama sebulan ini, jadi tiket tidak perlu dibeli. Ini memberikan kesempatan untuk orang ramai mencuba perkhidmatan ini. Apatah lagi, cuti sekolah masih berlangsung, maka ramai ibubapa membawa anak masing-masing menaiki MRT. Suasana agak sibuk terutamanya di stesen yang utama termasuk Stesen Sungai Buloh, Mutiara Damansara dan Bandar Utama.

    Dari Kwasa Sentral, kami menuju ke Stesen Sungai Buloh yang melalui dua lagi stesen iaitu Kwasa Damansara dan Kg.Selamat. Stesen Sungai Buloh merupakan salah satu stesen pertukaran iaitu dengan perkhidmatan KTM Komuter Sungai Buloh. Jarak antara kedua-dua stesen berkenaan ialah kurang lima minit berjalan kaki dan terletak dalam bangunan yang bersambungan. Malah ia juga berkongsi tempat letak kenderaan bertingkat yang sama.

    Dari Stesen Sungai Buloh, kami menaiki tren MRT menuju ke Stesen Semantan. Perjalanan mengambil masa hampir 40 minit. Dalam perjalanan terbabit, kami sempat berhenti di Stesen Bandar Utama dan kononnya mahu makan tengahari di pusat membeli-belah One Utama. Stesen ini terletak bersebelahan bangunan Sri Pentas TV3. Namun jambatan penghubung antara stesen ini ke One Utama masih belum siap dan tidak boleh digunakan lagi (menurut petugas MRT, ia dijangka siap sepenuhnya tidak lama lagi tanpa memberitahu tarikh yang sebenarnya).

    Membuatkan kami terpaksa turun dari stesen untuk menaiki bas perantara. Namun hasrat kami terbantut untuk ke One Utama kerana orang ramai berasak-asak di perhentian bas terbabit walau pun kekerapan bas kurang dari 10 minit. Kami mencari perkhidmatan Uber dan mendapati tambang untuk ke One Utama lebih kurang RM10-14 bagi jarak yang kurang tiga km itu. Lantas kami membuat keputusan untuk menaiki tren semula ke Stesen Mutiara Damansara untuk ke ECurve (oh nasib baiklah tambang masih percuma untuk sebulan!), selepas makan tengahari, kami menaiki tren semula untuk ke Semantan.

    Daripada pengamatan kami, setiap stesen ini turut dilengkapi dengan pelbagai fasiliti yang sepatutnya termasuk tandas, surau, lif terutamanya untuk kemudahan warga tua, wanita mengandung dan OKU, kemudahan rak basikal (hanya di stesen Sungai Buloh, Kwasa Damansara, Kwasa Sentral, Bandar Utama, Phileo Damansara, dan Pusat Bandar Damansara), kedai serbaneka, farmasi dan juga bakeri.

    Bagi pembelian tiket tren, pengguna digalakkan menggunakan kad Touch ‘n Go, malah tambang bagi perkhidmatan fasa pertama ini juga ditawarkan pada kadar yang sangat berpatutan. Di mana pengguna akan dikenakan caj sebanyak RM3.40 bagi keseluruhan perjalanan melibatkan 12 stesen berkenaan bagi kaedah pembayaran elektronik. Sementara itu, bagi bayaran tunai pula kadarnya ialah RM3.90.

    Suasana di dalam tren juga cukup selesa dan turut menyediakan ruang untuk menempatkan kerusi roda bagi OKU dan stroller bagi anak-anak kecil. Selain tempat duduk yang diberi keutamaan buat warga tua dan wanita mengandung. Skrin informasi termasuk perjalanan tren juga disediakan. Menurut MRT Corp., setiap tren mempunyai empat gerabak dengan kapasiti penumpang sebanyak 1,200 orang, pada kekerapan setiap 3.5 minit.

    Fasa 1 MRT Sungai Buloh-Kajang mula beroperasi – kami telah mencuba perkhidmatan tren baharu ini

    Kadar tambang MRT bagi setiap stesen

    Aspek keselamatan juga diberi keutamaan termasuk menyediakan autogate yang diletakkan di sepanjang laluan pintu masuk/keluar tren di trek. Di mana autogate tersebut akan terbuka/tertutup secara automatik apabila pintu tren dibuka/ditutup.

    Sepanjang menggunakan tren MRT pada hari ini, terdapat sedikit ‘masalah teknikal’ yang tidak dinyatakan secara terperinci apabila tren berhenti agak lama di beberapa stesen dan terpaksa menunggu antara 3-4 minit untuk tren kembali bergerak. Malah di skrin informasi turut memaparkan mesej “tren akan berhenti lebih lama dari biasa. Semua penumpang diharap bersabar dan kami memohon maaf atas segala kesulitan”.

    Kami memahami masalah ini kerana pada hari pertama ia beroperasi, pastinya terdapat beberapa masalah teknikal yang kebarangkalian akan terjadi, tetapi kami percaya pihak MRT Corp. akan mengatasinya sepantas yang mungkin. Cuma kami berharap, perkhidmatan tren ini tidak mengalami masalah yang terlalu kerap termasuk perjalanan tren yang tertunda, lambat sampai atau penumpang terpaksa berjalan di atas trek kerana masalah teknikal yang pernah terjadi pada perkhidmatan tren komuter dan LRT.

    Walau bagaimana pun, dengan kehadiran perkhidmatan tren MRT ini, diharap ia dapat memantapkan lagi pengangkutan awam di negara kita. Apatah lagi ia dilihat mampu membantu mengurangkan kadar kesesakan lalu lintas yang kian meruncing termasuklah di lebuhraya sekitar Lembah Klang (Lebuhraya Persekutuan, NKVE, SPRINT, LDP dan lain-lain) yang dilihat tidak menentu terutamanya di waktu puncak. Maka, perkhidmatan tren MRT ini dilihat sebagai alternatif selain pengangkutan awam lain termasuk LRT, Komuter, teksi dan bas awam.

    Jika melihat Peta Transit Berintegrasi Lembah Klang (seperti di bawah ini), sambungan antara perkhidmatan tren sedia ada dan juga yang sedang dibangunkan, diharap mampu memberikan transformasi bagi sistem pengangkutan di negara kita.

    Kita tunggu pula Fasa Kedua MRT iaitu dari Stesen Muzium Negara hingga ke Kajang yang meliputi baki 19 stesen sejauh 30 km dan dijadual beroperasi Julai 2017 yang telah disahkan sudah hampir 95% siap.

    OK JOM NAIK MRT!

    Fasa 1 MRT Sungai Buloh-Kajang mula beroperasi – kami telah mencuba perkhidmatan tren baharu ini

     
     
  • VIDEO: Toyota jelaskan bagaimana transmisi auto lapan-kelajuan baharu Direct-Shift 8AT berfungsi

    Minggu lalu, Toyota telah mengumumkan empat transmisi baharu dengan 10 versi yang bakal digunakan pada program platform modular Toyota New Global Architecture (TNGA) selain dari pengenalan 17 versi berlainan bagi sembilan enjinnya.

    Serentak dengan itu, syarikat berkenaan turut menyiarkan video untuk menjelaskan bagaimana transmisi automatik lapan-kelajuan baharu Direct-Shift 8AT dilengkapi torque converter kompak berprestasi tinggi (salah satu transmisi baharu dalam barisan berkenaan) berfungsi.

    Menurut Toyota, kotak gear lapan-kelajuan ini lebih kompak dari kotak gear enam-kelajuan konvensional sebelum ini. Tambahan pada jumlah gear pada transmisi ini memberikan nisbah gear yang lebih luas. Nisbah gear rendah, khususnya pada gear satu kini diberikan nisbah lebih besar, memberikan respon yang lebih baik ketika ia mula bergerak.

    Manakala dengan tambahan dua gear pada peringkat lebih tinggi dengan nisbah yang lebih kecil membolehkan putaran enjin lebih rendah digunakan ketika memandu pada kelajuan tinggi. Ini bukan sahaja memberikan pengggunaan bahan api lebih rendah, malah memberikan pemanduan yang lebih senyap.

    Faktor ini bukan sahaja memberikan kelebihan hanya pada gear tinggi. Nisbah gear pertengahan yang kini lebih rapat membolehkan setiap kelajuan diberikan nisbah gear yang lebih tepat, memperbaiki kecekapan bahan api pada bahagian ini.

    Selain dari nisbah gear yang lebih baik, transmisi terkini ini juga menerima torque converter yang baharu dibangunkan. Berbanding torque converter konvensional, klac kawalan pengunci pada torque convertor baharu ini diberikan klac pelbagai lapis. Klac berkenaan dikawal oleh litar hidraulik bagi memberikan kawalan yang lebih baik. Ini membolehkan pindahan kuasa pada gear satu yang lebih efisien, serta memberikan perasaan yang lebih ‘terus’ pada gear-gear lain yang lebih tinggi.

    Hasil dari gabungan kesemua ciri ini akan memberikan bukan sahaja prestasi dan juga kecekapan bahan api lebih tinggi, malah ia turut akan menyumbang kepada pengalaman memandu yang lebih menyeronokkan.

     
     
  • VIDEO: Proton Ertiga – boleh naik Genting ke?

    MPV tujuh-tempat Proton Ertiga baharu sahaja dilancarkan bulan lalu. Seperti juga model-model Proton yang lain pasti ada sahaja soalan-soalan yang timbul berdasarkan persepsi-persepsi awal yang setelah spesifikasinya didedahkan.

    Menerusi video baharu yang disiarkan oleh Proton ini, syarikat berkenaan menjawab lima soalan popular yang sering ditanya masyarakat tidak kira pada jurujual ataupun yang diutarakan di ruang komen laman-laman sosial mahupun kepada seorang pembeli baharu setelah membawa pulang kereta berkenaan iaitu “Besar mana kereta ni? Berapa orang boleh duduk?” “Air-Cond kuat tak? Orang belakang rasa?” “Safety macam mana? Air-bag dengan ABS ada?” serta dua soalan paling popular; “Minyak kuat tak?” dan “Boleh naik Genting ke?”

    Demonstrasi dalam video ini menunjukkan enam orang dewasa mampu dimuatkan dengan selesa dalam MPV berkenaan, termasuk dua orang bersaiz besar pada bahagian tempat duduk barisan ketiga. Untuk masuk ke barisan terakhir juga agak mudah; dengan hanya menolak tuil pada tempat duduk baris kedua, ia boleh dicondongkan dan digelangsarkan ke hadapan.

    Ertiga juga diberikan penghembus penghawa dingin berasingan khas untuk kabin bahagian belakang, lengkap dengan unit cooling coil dan suis kawalan kelajuan motor penghembus. Kedudukannya yang ideal juga memberikan hala udara yang tepat untuk penumpang dibaris paling belakang.

    VIDEO: Proton Ertiga – boleh naik Genting ke?

    Dengan enjin 1.4 liter VVT berkuasa 92 PS/130 Nm, ramai yang mempersoalkan kecekapan enjin berkenaan; kebanyakkan mereka gusar enjin berkapasiti kecil akan menyebabkan ia perlu dikerah dan seterusnya menyebabkan penggunaan petrol berlebihan. Namun hakikatnya, versi transmisi automatik empat-kelajuan Ertiga didakwa mampu mencapai penggunaan petrol 6.0 l/100 km (jika dipandu pada kelajuan tetap 90 km/j). Dakwaan ini bukan sekadar dakwaan ‘masuk bakul angkat sendiri’ dari Proton, kerana Ertiga diiktiraf sebagai MPV EEV pertama di Malaysia.

    Penggunaan enjin berkenaan juga mengundang persoalan adakah Ertiga mampu “naik Genting”? Menurut Proton, tiada masalah untuk Ertiga dipandu pada jalan mendaki bukit. Namun, ia adalah sebuah MPV keluarga dan jangan pula anda mengharapkan kuasa seperti sebuah kereta lumba ketika mendaki bukit.

    Trend masyarakat sekarang yang sudahpun membuka mata terhadap teknologi menyaksikan persoalan berkisar keselamatan kini telah bertukar dari mengetuk badan kereta untuk menguji kekerasannya kepada pertanyaan “Ada air-bag dengan ABS tak?”. Kesemua varian Ertiga dilengkapi dengan dua beg-udara pada bahagian hadapan, sistem brek ABS dengan EBD serta cagak tempat duduk kanak-kanak ISOFIX. Kesemua ciri ini membolehkan Ertiga menerima penarafan keselamatan empat-bintang dari ASEAN NCAP.

    Sebelum pelancaran Ertiga, kami sendiri telah menguji sendiri MPV Proton Ertiga ini dan anda boleh membaca ulasannya DI SINI. Untuk mereka yang kurang gemar untuk membaca artikel rebiu yang panjang, kami juga ada menghasilkan video berkenaan apa yang perlu anda tahu berkenaan Ertiga DI SINI.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (-0.04)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.90 (-0.04)
EURO 5 B7 RM3.10 (-0.04)
Last Updated Aug 14, 2025