Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Berbual ‘hands-free’ sama bahaya dengan dipegang

    Berbual ‘hands-free’ sama bahaya dengan dipegang

    Menurut satu kajian yang dijalankan oleh Queensland University of Technology (QUT), menggunakan ciri telefon hands-free semasa memandu sama sahaja bahayanya dengan jika ia dipegang dengan tangan.

    Untuk kajian ini, pusat penyelidikan kemalangan dan keselamatan jalan raya universiti itu menggunakan simulator memandu sendiri untuk mengukur kesan penggunaan telefon bimbit terhadap keselamatan pemandu termasuk waktu reaksi dan prestasi pemanduan.

    Simulasi virtual yang dilakukan termasuk pejalan kaki muncul dalam ruang penglihatan pemandu dari kawasan pejalan kaki, kemudian masuk ke jalan raya untuk melintas jalan di depan pemandu.

    “Waktu reaksi pemandu yang menggunakan sama ada telefon yang dipegang atau hands-free adalah 40 peratus lebih lambat berbanding mereka yang tidak menggunakannya langsung,” kata salah seorang wakil QUT yang terlibat, Shimul Haque.

    Berbual ‘hands-free’ sama bahaya dengan dipegang

    “Dalam keadaan sebenar, ini bersamaan kelambatan jarak tindak balas sekitar 11 meter untuk kenderaan yang bergerak pada kelajuan 40 km/j,” tambah Haque sambil menyatakan pemandu yang masih belajar memerlukan masa reaksi dua kali ganda lagi lambat berbanding yang mempunyai lesen penuh.

    Konsentrasi atau beban kognitif yang diperlukan untuk bercakap dalam telefon adalah sebab utama kepada gangguan ini dan Haque menambah bahawa tidak banyak perbezaan sama ada pemandu memegang telefon tersebut ataupun tidak.

    “Pemandu yang terganggu, secara purata mengurangkan kelajuan kenderaan mereka dengan lebih pantas (mendadak) berbanding pemandu yang tidak terganggu, menunjukkan penggunaan brek yang berlebihan. Sementara pemandu tersebut mungkin ingin mengimbangi risiko bercakap telefon sambil memandu, tindakan membrek secara mendadak ini juga boleh memberi bahaya kepada kenderaan yang ikut di belakang,” kata Haque.

    “Sekali lagi, penemuan ini memberi petunjuk bahawa terdapat keperluan untuk melihat kembali undang-undang berkenaan penggunaan telefon bimbit, untuk mengurangkan perlanggaran dari belakang,” tambah Haque dalam laporan oleh CarAdvice. Ini seterusnya menimbulkan persoalan adakah perlu untuk melarang terus penggunaan telefon bimbit semasa memandu.

     
     
  • Audi Q8 e-tron concept – tanda SUV yang lebih sporty

    Audi Q8 e-tron concept – tanda SUV yang lebih sporty

    Pameran Detroit Auto Show 2017 akan menjadi tapak untuk kenderaan konsep Audi Q8 e-tron membuat penampilan pertama, namun ketua bahagian rekaannya, Marc Lichte sudah ‘menyelak’ sedikit bucu kenderaan ini semasa satu temu ramah dengan akhbar Jerman, Welt.

    Seperti yang dilihat pada namanya, model konsep ini akan memberikan gambaran untuk model Q8 produksi, yang akan dijadikan sebagai sebuah SUV sport untuk bersaing dengan model seperti BMW X6, Mercedes-Benz GLE Coupé dan Range Rover Sport. Turut didedahkan adalah lukisan pandangan hadapan dan sisi kenderaan ini.

    Dalam sesi temu ramah itu juga, Lichte memperkatakan tentang bahagian dalam digital secara penuh, dengan skrin pada panel meter (Audi Virtual Cockpit) dan konsol tengah. Konsep ini, katanya, juga akan diperkenalkan pada model A8 dan Q8, dengan butang biasa hanya akan disediakan untuk lampu kecemasan dan sistem Park Assist.

    Langkah ini dilakukan sebagai tindak balas kepada teknologi pemanduan sendiri (autonomous) yang semakin maju dan pemandu semakin ‘terlepas’ daripada tugas memandu. Tidak lama lagi, menurut artikel itu, kenderaan Audi boleh dipandu secara semi automatik sehingga kelajuan 130 km/j.

    Audi Q8 berkemungkinan dibina atas platform MLB Evo Q7, dan didatangkan dengan pilihan enjin terkini Audi, termasuk yang dilengkapi turbo elektrik hampir seperti enjin V8 diesel 4.0 liter twin-turbo berkuasa 435 hp/ 900 Nm pada model SQ7 TDI. Versi plug-in hybrid (sebab itulah nama e-tron digunakan) juga akan diperkenal.

     
     
  • Alfa Romeo mungkin kembali ke pentas Formula 1

    Alfa Romeo mungkin kembali ke pentas Formula 1

    Untuk memberikan lebih peluang pemandu-pemandu dari Itali beraksi di pentas Formula 1, projek Formula 1 Alfa Romeo akan dimulakan semula, kata Presiden Ferrari Sergio Marchionne.

    Tiada langsung pemandu Formula dari Itali bertarung dalam Formula 1 buat masa ini, sejak penampilan kali terakhir dua pelumba dari negara berkenaan iaitu Jarno Trulli dan Vitantonio Liuzzi di Grand Prix Brazil 2011.

    Kali terakhir Ferrari menggunakan khidmat pemandu dari negara asalnya ialah pada tahun 2009, di mana Giancarlo Fisichella dipanggil untuk menggantikan tempat Felipe Massa buat sementara waktu kerana kecederaan yang dialami pemandu dari Brazil itu. Walau bagaimanapun, untuk musim 2017, Ferrari telah mengumumkan bintang GP2 Antonio Giovinazzi akan mengambil tugas sebagi pemandu ketiga pasukan tersebut.

    “Alfa Romeo dalam F1 boleh dijadikan asas untuk melahirkan lebih ramai pemandu muda Itali,” kata Marchionne kepada media Itali. “Yang terbaik, Gioviazzi, kini sudah bersama dengan kami, tetapi ada ramai lagi disamping beliau, dan mereka bergelut untuk merebut tempat,” tambahnya lagi.

    Idea untuk mewujudkan pasukan Formula 1 Alfa Romeo yang dibantu oleh Ferrari ini telah lama diutarakan oleh Marchionne. Walau bagaimanapun, beliau sendiri mengakui projek ini “perlu ditangguhkan dahulu” bagi memberikan ruang syarikat tersebut melengkapkan projek-projek kereta produksi yang penting.

    “Sememangnya ada ruang untuk Alfa Romeo – ia merupakan projek yang perlu dijalankan dalam apa bentuk sekali pun,” kata Marchionne dan menambah perkara ini telah dibincangkan dengan Scuderia Ferrari menerusi ketua pegawai teknikal Mattia Binotto dan prinsipal pasukan Maurizio Arrivabene berkenaan kerjasama bagaimana yang boleh dilakukan antara Alfa Romeo dan Ferrari.

    Alfa Romeo telah menyertai Formula 1 sejak kejohanan berkenaan mula diperkenalkan pada 1950 dan dinobatkan sebagai juara musim pertama tersebut menerusi pemandu Itali, Giuseppe Farina. Walaupun memenanginya sekali lagi pada musim 1952 bersama Juan Manuel Fangio, pasukan berkenaan terpaksa menarik diri kerana tidak menerima bantuan dari kerajaan Itali untuk membina jentera baharu untuk menggantikan jentera sedia ada yang sudahpun berumur 13 tahun.

    Syarikat tersebut mula terlibat semula dalam Formula 1 dengan membekalkan enjin untuk pasukan-pasukan seperti Cooper, DeTomaso dan Brabham dari tahun 1961 hingga 1979. Tahun 1979 juga menyaksikan Alfa Romeo kembali bertanding sebagai pasukan penuh, tetapi atas prestasi yang tidak memberangsangkan, ia terpaksa menarik diri semula untuk musim 1986.

     
     
  • Volvo Red Key – hapuskan keraguan bila tak nampak

    Volvo Red Key – hapuskan keraguan bila tak nampak

    Bila tiba masa kita perlu memberi kereta kesayangan kepada orang lain, dalam fikiran pasti bermain bagaimana mereka mengendalikan dan apa yang mereka lakukan dengannya. Yang pasti, kita mahukan kenderaan tersebut dipandu dengan elok dan berhati-hati. Contoh paling mudah adalah bila memberikan kereta kepada pengendali tempat letak kereta valet.

    Volvo telah mengambil kira perkara ini, dan mereka membangunkan kunci khas, yang akan diberi kepada pembeli kenderaan S90 sedan, V90 wagon dan XC90. Istimewanya kunci ini, apabila diberi kepada orang lain untuk mengendalikan kereta anda, akan menghadkan kereta di tahap tertentu.

    Kelajuan maksimum hanya 120 km/j, sistem Adaptive Cruise Control dihadkan kepada jarak yang telah ditetapkan lebih awal dengan kereta hadapan dan bunyi maksimum sistem audio dikurangkan.

    Selain itu, apabila digunakan juga, kunci berwarna merah ini akan mengaktifkan terus sistem keselamatan aktif seperti BLIS, Lane Keeping Aid, Forward Collision Warning, Driver Alert Control, Distance Alert dan Traffic Sign Recognition. Kunci ini boleh didapati dengan harga £110 (RM609) di United Kingdom.

     
     
  • VIDEO: Honda CR-V 2017 dedah lebih perincian

    Mungkin anda telah membaca banyak kisah mengenai Honda CR-V 2017, termasuk foto-fotonya menerusi galeri mega yang pernah dipaparkan sebelum ini. SUV generasi kelima ini telah pun diperkenalkan di Amerika Syarikat, menampilkan imej baharu yang lebih berketerampilan, malah memiliki ruang dalaman yang lebih premium, luas dan versatil. SUV Honda generasi kelima ini telah diberi rekaan dan kejuruteraan semula.

    Dengan paras rupa yang lebih mesra, dalam masa yang sama tampil lebih elegan dan gagah. Bagi CR-V pasaran US, ia ditawarkan dengan lima varian iaitu LX, EX, EX-L, EX-L Navi dan Touring.

    Turut didapati sama ada dalam pacuan dua- atau semua-roda, CR-V ini juga hadir dengan pilihan dua enjin petrol (bergantung pada variannya). Sama ada dengan enjin 1.5 liter pengecas turbo, yang buat pertama kalinya diadaptasikan buat CR-V. Unit suntikan-terus DOHC ini menerima olahan kuasa dari Civic FC, mampu menghamburkan kuasa sehingga 190 hp pada 5,600 rpm dan tork 243 NM antara 2,000 hingga 5,000 rpm. CR-V turbo ini turut menampilkan elemen termasuk sistem Remote Engine Start yang juga ada pada Civic.

    Turut ditawarkan di USA ialah enjin 2.4 liter suntikan-terus i-VTEC, dengan kuasa 184 hp pada 6,400 rpm dan tork 244 Nm pada 3,900 rpm. Walau bagaimana pun, motor naturally-aspirated ini hanya untuk model spesifikasi asas sahaja. Namun demikian, kedua-dua pilihan enjin ini dipadankan dengan transmisi CVT bersama Honda G-Shift control logic.

    CR-V baharu ini juga menawarkan pengendalian yang telah dipertingkatkan, hasil olahan semula sistem stereng dan turut diperkenalkan Agile Handling Assist, dengan memberikan pemvektoran tork brek, dan roda brek untuk membantu SUV dapat dikendalikan secara lebih jitu. Malahan sistem brek juga dipadankan dengan electric brake booster untuk prestasi yang lebih baik.

    Dari segi rekaan, unjuran bahagian D-pillar yang sinonim dengan model CR-V sebelum ini masih dikekalkan. Namun, banyak pendekatan rekaan yang menjadikannya kelihatan lebih agresif; palang krom ditambah di belakang, disertakan dengan corong ekzos berkembar. Selain itu, buat pertama kalinya juga, ia menampilkan ciri Hands-Free Access Power Tailgate.

    Bukan itu sahaja, ia turut ditampilkan dengan gril krom yang lebih besar pada bahagian hadapan (dengan Automatic Shutter Grille System pertama dari Honda), yang bersambung pada lampu utama LED sepenuhnya, serta mengetengahkan pendekatan gaya Solid Wing Face yang sama dimiliki oleh model-model terbaharu Honda, seperti Civic.

    Honda CR-V dengan spesifikasi pasaran Amerika Syarikat ini juga mempunyai pertambahan dimensi; 4,587 mm panjang (+30 mm) dan 1,854 mm lebar (+35 mm). Bagi varian pacuan depan, ia hadir dengan ketinggian 1,679 mm, manakala versi pacuan AWD pula ialah 1,689 mm tinggi – kedua-duanya melibatkan pertambahan 36 mm. Jarak antara roda juga bertambah 40 mm, kepada 2,659 mm kini.

    Pertambahan dimensi ini menyumbang kepada ruang kabin yang lebih luas. Ruang untuk penumpang kini ialah 2,999 liter, meningkat 51 liter berbanding sebelumnya. Ruang kaki pula menerima penambahan 53 mm, manakala ruang kepala menerima tambahan 15 mm. Ruang barangan pula kini 2,146 liter dengan tempat duduk diturunkan (+139 liter).

    Ruang dalamannya juga diberikan ciri yang lebih premium; panel instrumen dengan skrin berwarna, sistem audio dengan paparan skrin sentuh 7.0-inci berasaskan Android, sokongan Apple CarPlay dan Android Auto. Ia juga dilengkapi penghawa dingin dwi-zon, pencahayaan ambien LED, brek parkir elektronik dan port bagi USB di belakang sebagai beberapa ciri tambahan.

    Selain itu, Honda Sensing termasuklah Pengurangan Brek Perlanggaran (CMBS) dengan Amaran Perlanggaran Hadapan (FCW) dan keupayaan mengesan pejalan kaki, Road Departure Mitigation (RDM) dengan Amaran Ketibaan Laluan (LDW), Kawalan Kelajuan Adaptif (ACC) dengan kelajuan rendah dan Bantuan kekal Lorong (LKAS). Informasi Titik Buta (BSI), Pemantauan Lintasan Trafik Belakang (CTM) dan Lampu Tinggi Auto (HSS) turut ditampilkan.

     
     
  • BMW menang tuntutan saman tanda dagangan terhadap pemilik jenama BMN dan Chuangjia di China

    BMW menang tuntutan saman tanda dagangan terhadap pemilik jenama BMN dan Chuangjia di China

    BMW telah menang saman terhadap dua syarikat di China kerana mendaftarkan tanda dagangan yang sama seperti jenama automotif dari Jerman itu, menurut laporan Shanghai Daily. Seperti yang diketahui, China merupakan ‘lubuk’ di mana jenama-jenama palsu berleluasa dalam apa jua jenis barangan, dari pakaian hingga peralatan elektronik. Kejayaan dari BMW ini merupakan kejayaan terbaharu dari syarikat besar luar dalam tuntutan saman sedemikian.

    Menurut Mahkamah Harta Intelek Shanghai, tertuduh Zhou Leqin, mendaftarkan Degua Baoma Group (Int’l) Holding Limited yang bermaksud ‘German BMW Group (Int’l) Holding Limited’ berserta pembelian dan pendaftaran tanda dagangan “BMN” yang direka seakan logo BMW.

    Dalam tuntutan tersebut, BMW turut menyaman Chuangjia, iaitu syarikat fesyen yang mengeluarkan barangan seperti kasut, pakaian dan beg dengan tanda dagangan yang berubah setiap tahun dan semakin menyerupai tanda dagangan pembuat automotif dari Jerman berkenaan. Kedua-dua pihak yang di saman ini didakwa kerana mengambil kesempatan terhadap reputasi BMW di China, jelas mahkamah berkenaan.

    Ini sebenarnya hanya sebahagian kecil dari plagiat yang dilakukan oleh syarikat-syarikat di China. Syarikat-syarikat automotif di republik berkenaan terkenal dengan menghasilkan model-model klon antaranya Landwind X7 yang direka seiras Range Rover Evoque dan juga Ruili DoDa V8 yang direka seakan Toyota Alphard.

     
     
  • Kes kemalangan jalan raya di Sarawak meningkat

    Kes kemalangan jalan raya di Sarawak meningkat

    Sarawak menunjukkan peningkatan bagi jumlah kes kemalangan jalan raya pada tahun ini berbanding tahun lepas iaitu bagi tempoh Januari hingga November.

    Menteri Muda Pengangkutan Darat dan Udara dan Keselamatan Sarawak Datuk Lee Kim Shin berkata sebanyak 18,315 kes dicatatkan bagi tempoh Januari hingga November tahun ini berbanding 17,391 kes dalam tempoh yang sama tahun lalu, iaitu peningkatan 924 kes atau 5.3%.

    Walau bagaimanapun, kemalangan maut menunjukkan penurunan sebanyak enam kes bagi tempoh sama, iaitu sebanyak 353 kes tahun ini berbanding 359 kes tahun lepas. Namun jumlah kematian bertambah daripada 396 tahun lalu kepada 397 tahun ini, laporan Bernama.

    Katanya 70% kemalangan jalan raya di Sarawak disebabkan faktor individu itu sendiri.

    “Kemalangan mengakibatkan kecederaan parah menunjukkan penurunan sebanyak 14 kes iaitu daripada 172 kes tahun lepas kepada 158 kes pada tahun ini. Manakala kes kemalangan menyebabkan kecederaan ringan turut menurun daripada 274 tahun lalu kepada 261 kes tahun ini,” ujarnya ketika melancarkan Kempen Keselamatan Jalan Raya ‘High Performance Team (HPT) on Road Safety’ dan Kempen Keselamatan Jalan Raya bersempena perayaan hari Krismas peringkat negeri Sarawak semalam.

    Lee berkata HPT on Road Safety merupakan inisiatif yang dimulakan pada tahun 2015 dengan memberi tumpuan kepada empat jalan raya di Sarawak, iaitu sepanjang Jalan Miri-Airport, Jalan Bintulu-Kidurong, Jalan Matang, Kuching dan Jalan Bakun kerana kerap berlaku kemalangan jalan raya.

    “Usaha yang berterusan dan konsisten amat perlu kerana setiap kematian yang berlaku di jalan raya akan merugikan individu terlibat, keluarga dan negara,” katanya.

    Sementara itu, Lee berkata Kempen Keselamatan Jalan Raya bersempena Krismas merupakan usaha berterusan kerajaan dalam memberi kesedaran tentang kepentingan menitik berat aspek keselamatan jalan raya terutama menjelang musim perayaan.

    Sehubungan itu, beliau mahu setiap pengguna jalan raya menanam sikap untuk lebih berhati-hati dalam diri masing-masing dengan mematuhi peraturan lalu lintas serta memandu dengan berhemah.

     
     
  • JPJ perkenal kad ‘My Test’ untuk lulus ujian memandu

    JPJ perkenal kad ‘My Test’ untuk lulus ujian memandu

    Bagi memberi lebih peluang kepada calon lulus ujian berkomputer, Koperasi Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Wilayah Persekutuan (WP) Bhd dan Koperasi Institut Memandu Malaysia (KOPIMA) memperkenalkan kad ‘My Test’. Ia merupakan alat bantuan pembelajaran Kurikulum Pendidikan Pemandu (KPP01) bagi ujian berkomputer.

    Menurut Pengerusi Koperasi JPJ WP Bhd, Mohammad Suhaime Ismail, calon boleh membuat latihan dengan cuba menjawab 500 soalan ujian memandu disediakan, termasuk melalui telefon bimbit. Melalui penggunaan kad ini, pengguna boleh mendapatkan nombor PIN untuk akses masuk laman web disediakan, laporan Berita Harian.

    “Calon boleh cuba menduduki ujian ‘My Test’ sehingga 10 kali sebelum menduduki ujian sebenar. Mereka boleh mengetahui masa sebenar ujian diambil dan melihat semula jawapan yang salah. Saya boleh katakan calon yang menggunakan ‘My Test’ mempunyai peluang 100% untuk lulus kerana berdasarkan percubaan oleh calon yang gagal sehingga enam kali sebelum ini, calon itu mampu lulus ujian sebenar selepas tiga kali melalui ujian ‘My Test’,” katanya dalam sidang media yang berlangsung semalam.

    Kad ‘My Test’ boleh dibeli dengan harga kurang RM10 di institut memandu di Lembah Klang bermula semalam dan di seluruh negara dalam tempoh dua hingga tiga minggu lagi.

     
     
  • Grab perkenal kiosk khas di Terminal SkyPark Subang

    Grab perkenal kiosk khas di Terminal SkyPark Subang

    Di dalam persaingan sengit bagi penyedia perkhidmatan perkongsian kenderaan atas talian, GrabCar hari ini mengumumkan dua langkah baharu untuk berada di depan; pertama, syarikat itu telah mengadakan usahasama dengan SkyPark Terminal di Lapangan terbang Subang untuk memudahkan lagi pengguna Grab dari lokasi berkenaan.

    Perjanjian bagi tempoh empat tahun itu akan membolehkan pengguna menempah perkhidmatan Grab mereka sebelum mereka mendarat lagi, dengan harapan tempoh menunggu mereka akan menjadi lebih pendek sebaik berada di balai ketibaan.

    Perkara ini boleh dilakukan di kiosk Grab yang terletak di lapangan terbang berkenaan. Dengan kerjasama ini, SkyPark Terminal akan menjadi pilihan lokasi penerbangan yang lebih murah dan selesa menuju lokasi atau destinasi popular di Malaysia dan Singapura.

    “Sebagai sebuah syarikat tempatan, kami sentiasa mencari cara kreatif untuk mewujudkan kerjasama setempat yang dapat membantu dan memberi nilai tambah kepada pelanggan kami serta rakan kongsi. Kami harap dapat memainkan peranan aktif dan menampung permintaan yang semakin meningkat bagi industri pelancongan Malaysia dan dalam masa sama, menyediakan perkhidmatan yang selesa dan selamat kepada pengguna,” jelas Ketua Grab di Malaysia, Jaygan Fu.

    Selain itu, Grab juga melancarkan perkhidmatan terbaharu, GrabCar dengan enam tempat duduk. “Kami diajukan beberapa pertanyaan daripada pengguna yang inginkan kereta yang lebih besar. Untuk memenuhi permintaan itu, kami berbesar hati memperkenalkan ‘GrabCar 6-Seater’,” tambah Fu.

    Sebagai memeterai kerjasama dengan Subang SkyPark Terminal, Grab kini menawarkan promosi khas potongan RM10 bagi dua perjalanan ‘GrabCar 6-Seater’ dari/ke lapangan terbang berkenaan, bermula 21 Disember hingga 31 Januari 2017 nanti. Kod promosinya ialah SKYPARK.

    Perkhidatan Grab 6-Seater berkenaan boleh ditempah semasa diinginkan atau terlebih dahulu (minimum satu jam sebelum waktu dijemput), dengan tambang asas RM2 dan kadar minima RM8 (semasa) atau RM15 (tempahan awal).

     
     
  • Suzuki Ignis ditayang di India – pelancaran pada bulan Januari 2017, harga dianggarkan sekitar RM30,000?

    Suzuki Ignis ditayang di India – pelancaran pada bulan Januari 2017, harga dianggarkan sekitar RM30,000?

    Kenderaan baru Maruti Suzuki Ignis ini dipertonton di India, lebih awal daripada pelancarannya yang direncana berlaku pada 13 Januari, manakala tempahan akan dibuka pada 1 Januari 2017. Dalam barisan kenderaan Suzuki, model bersaiz kecil ini terletak di bawah Swift dan akan dijual di kedai ‘premium’ NEXA kepunyaan Maruti, yang juga menjual Baleno dan SX-4. Harga jangkaan bagi Ignis adalah sekitar INR 4.5 lakh (RM29,700).

    Disasarkan kepada golongan muda, Ignis tampil dengan bentuk yang menarik, dengan bahagian hadapan seperti memakai topeng mata, bersama lampu jenis projector yang besar dan lampu siang LED berbentuk U. Dipandang dari sudut penjuru hadapan, ia iras dengan Proton Savvy tapi sudah tentu, lebih moden dan tegap. Konsep rekaan sama turut digunakan pada model Alto baru. Pada bahagian C-pillar, terdapat tiga lekuk garisan, seperti model Fronte Coupé keluaran tahun 70-an.

    Suzuki Ignis ditayang di India – pelancaran pada bulan Januari 2017, harga dianggarkan sekitar RM30,000?

    Bahagian dalam juga cukup unik, di mana papan pemuka ringkasnya didominasi oleh skrin paparan seperti tablet yang menonjol, berserta kemasan berwarna badan dan bercorak seperti gentian karbon. Sistem informasi dan hiburannya mempunyai sambungan MirrorLink, bersama skrin sesentuh tujuh inci, manakala kelengkapan lain yang ada adalah seperti sistem kemasukan tanpa kunci, butang pemula enjin dan pendingin hawa automatik. Beg udara berkembar, ABS, EBD dan tapak ISOFIX diberikan terus secara standard untuk semua varian.

    Memacu kenderaan ini adalah enjin sama seperti Swift di India, termasuk unit petrol 1.2 liter 83 hp/ 115 Nm dan diesel turbo 1.3 liter DDiS berkuasa 74 hp/ 190 Nm. Kedua-dua enjin ini boleh didapati dengan sama ada kotak gear manual lima kelajuan atau automatik lima kelajuan Auto Gear Shift (AGS).

    Memandangkan kini Proton mempunyai hubungan kerjasama dengan Suzuki, mungkinkah model ini menjadi salah satu produk yang akan dijenamakan semula oleh Proton untuk pasaran Malaysia. Kami rasakan ia cukup menarik. Bagaimana pula anda?

    Gambar dan informasi ihsan daripada RushLane.

     
     
  • Proton sasar jual 10k unit sebulan tahun hadapan, harap pencarian rakan strategik lengkap pada Q1 2017

    Proton sasar jual 10k unit sebulan tahun hadapan, harap pencarian rakan strategik lengkap pada Q1 2017

    Tahun ini Proton telah berusaha keras dengan melancarkan empat buah model tahun 2016. Pengenalan model yang luas dari sedan segmen-A Saga, sedan segmen-B Persona, MPV segmen-B enam tempat duduk Ertiga hingga sedan eksekutif segmen-D Perdana, Proton dilihat seperti sedang melempar pukat yang besar, untuk mencakupi setiap segmen panas dalam lautan pasaran automotif di Malaysia.

    Namun, usaha berkenaan dilihat masih lagi belum diterjemahkan dalam angka jualan. Proton mensasarkan untuk menjual 90,000 unit keretanya untuk tahun 2016, tetapi kini dilihat agak mustahil. Menurut CEO Proton Datuk Ahmad Fuaad Kenali dalam laporan oleh Bernama, ini adalah kerana momentum pembelian untuk model-model baharu kini masih lagi sedang meningkat dan syarikat automotif nasional itu menjangkakan jualan akan meningkat untuk tahun hadapan.

    “Penangguhan pelancaran model tertentu telah menjejaskan sasaran jualan untuk tahun 2016. Tetapi dengan kesemua empat produk, kami percaya tahun hadapan kami mampu untuk mencapai jualan sekurang-kurangnya 10,000 unit sebulan, atau 120,000 unit untuk keseluruhan 2017,” jelasnya.

    Menurut Datuk Ahmad Fuaad lagi, syarikatnya kini sedang menumpukan perhatian terhadap pelanggan. “Kesemua usaha yang dijalankan oleh Proton sekarang akan menumpukan perhatian terhadap pelanggan terlebih dahulu. Kami cuba untuk memastikan kepercayaan pelanggan kembali semula kepada Proton dan dengan memberikan mereka produk yang baik, jualan kami insyaallah akan menjadi lebih baik tahun hadapan,” katanya.

    Proton sasar jual 10k unit sebulan tahun hadapan, harap pencarian rakan strategik lengkap pada Q1 2017

    Pusat servis Proton terpilih kini sudah mula beroperasi tujuh-hari seminggu sebagai sebahagian usaha untuk memuaskan hati pelanggan. Setakat Disember ini, sebanyak 27 pusat servis telah pun mula beroperasi sepanjang minggu.

    Proton juga telah menerima pinjaman mudah bernilai RM1.5 bilion dari kerajaan pada April lalu, yang mana pemberian pinjaman berkenaan mensyaratkan Proton untuk mencari rakan strategik dari luar. Setakat ini, Proton telah pun menyenarai pendek tiga rakan kongsi yang berpotensi dan menurut Datuk Ahmad Fuaad, kesemua mereka mempunyai kriteria yang mampu untuk membawa Proton ke tahap yang lebih tinggi.

    Datuk Ahmad Fuaad menjangkakan kertas cadangan lengkap akan diterima pada Februari 2017 dan pengumuman mengenainya akan dibuat pada suku pertama 2017, setelah rakan strategik luar tersebut dipilih. “Mungkin akan ada perbincangan lanjut untuk membuat keputusan tetapi diharapkan perjanjian boleh ditandatangani pada Mei 2017,” katanya.

     
     
  • KTM mahu tingkatkan kualiti perkhidmatan – bilangan pengguna menurun sejak penyambungan jajaran LRT

    KTM mahu tingkatkan kualiti perkhidmatan – bilangan pengguna menurun sejak penyambungan jajaran LRT

    Sejak kebelakangan ini, kerap terbaca luahan pengguna pengangkutan awam termasuk KTM Komuter bahawa mutu perkhidmatan terbabit kian mengecewakan. Ini melibatkan tren yang tiba lewat termasuk pada waktu puncak dan sebagainya.

    Ini telah mendorong Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) untuk berazam meningkatkan kualiti perkhidmatannya agar mampu setanding dengan pengangkutan awam lain terutamanya di sekitar Lembah Klang.

    Menurut Pengerusi Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) Datuk Ir Nawawi Ahmad, keutamaan KTMB kini adalah meningkatkan kepantasan dan kekerapan perkhidmatan tren terutama pada waktu puncak, laporan Bernama.

    “Orang ramai kini mempunyai lebih banyak pilihan bagi menggunakan perkhidmatan pengangkutan awam yang mereka mahu. Walau bagaimana pun, kami menganggapnya sebagai persaingan yang sihat dan motivasi bagi kami untuk memperbaiki mutu perkhidmatan,” ujarnya kepada pihak media.

    Menurut Nawawi, pengenalan Projek Penyambungan Jajaran bagi perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT) pada Jun lalu, KTMB telah menghadapi kekurangan kira-kira 15,000 pengguna setiap hari. Ia adalah disebabkan oleh pertembungan laluan di mana jajaran baharu berkenaan melalui laluan sama dengan khidmat KTMB.

    “Laluan sama seperti di stesen Subang Jaya dan Kelana Jaya. Sebelum projek penyambungan jajaran tersebut kita mempunyai 140,000 pengguna komuter dalam satu hari, namun kini kita hanya mempunyai 125,000 pengguna setiap hari,” katanya.

    Dalam masa yang sama, Nawawi turut berkata sebagai tanda penghargaan kepada penumpang KTMB, pihak pengurusan bersetuju memberikan diskaun 50% bagi tiket konsesi warga emas, pesara kerajaan dan pesara tentera. Kadar diskaun berkenaan akan berkuat kuasa mulai 15 Januari 2017 untuk pembelian tiket di kaunter atau secara dalam talian bagi semua perkhidmatan ETS dan Intercity.

    “Selain itu, kita juga bersetuju bagi memansuhkan caj pentadbiran RM2 bagi transaksi secara dalam talian,” katanya.

     
     
  • SPYSHOT: BMW X7 G07 ditemui melakukan ujian jalan

    SPYSHOT: BMW X7 G07 ditemui melakukan ujian jalan

    BMW X7 G07 sebelum ini pernah ditemui di atas treler, namun dalam gambar terbaru ini ia didapati sedang menjalani ujian di atas jalan biasa. Model baru ini akan dibina di Spartanburg, South Carolina bersama dengan model SUV X yang lain (atau dipanggil oleh BMW sebagai SAV) iaitu X3, X4, X5 dan X6.

    Apabila mula dipasarkan nanti, X7 G07 mensasarkan saingan kepada Mercedes-Benz GLS dan Range Rover, dan ia dibina atas platform modular CLAR sama yang menjadi asas bagi model 7 Series G11/12, 5 Series G30 dan 3 Series G20 akan datang.

    SPYSHOT: BMW X7 G07 ditemui melakukan ujian jalan

    Varian tertinggi X7 G07 nanti adalah M760Li xDrive, yang menggunakan enjin V12 twin-turbo 6.0 liter, berkemampuan 600 hp dan 800 Nm tork. Sekadar gambaran, Bentley Bentayga W12 yang menggunakan enjin petrol twin-turbo mampu menghasilkan 600 hp dan 900 Nm tork.

    X7 G07 baru ini juga dijangka berkongsi banyak komponen dengan SUV Rolls-Royce Cullinan yang akan tiba tidak lama lagi, termasuk enjin V12 tersebut. Sementara Bentley menawarkan Bentayga dalam pilihan enjin petrol dan diesel, langkah yang diambil oleh BMW pula masih belum dipastikan.

     
     
  • PLUS jangka 1.6 juta kenderaan di lebuhraya seliaannya sempena cuti Krismas, Tahun Baru 2017

    PLUS jangka 1.6 juta kenderaan di lebuhraya seliaannya sempena cuti Krismas, Tahun Baru 2017

    Tinggal beberapa hari sahaja lagi kalendar 2016 akan bertukar ke 2017. Pastinya ramai di antara kita yang merancang untuk pergi bercuti atau pulang ke kampung halaman. Apatah lagi hujung minggu ini dan minggu hadapan melibatkan cuti yang agak panjang, sementelah cuti persekolahan masih berlangsung.

    Dijangkakan lebuhraya utama di negara ini akan mengalami peningkatan trafik dan pastinya mengundang kesesakan kerana kesempatan cuti panjang ini mendorong orang ramai untuk ke destinasi pilihan. Ini termasuklah Lebuhraya Utara-Selatan.

    “PLUS menjangkakan jumlah kenderaan yang menggunakan Lebuhraya Utara-Selatan akan meningkat sebanyak 14% iaitu sebanyak 1.6 juta purata kenderaan sehari pada waktu puncak menjelang cuti perayaan Hari Krismas dan Tahun Baharu 2017 berbanding dengan hari biasa iaitu sebanyak 1.4 juta kenderaan, memandangkan hari cuti tersebut bersambung dengan hari minggu dan cuti sekolah hujung tahun,” ujar Pengarah Urusan PLUS, Dato’ Noorizah Hj Abd Hamid.

    Justeru, PLUS menasihatkan orang ramai supaya merancang perjalanan mereka sempena sambutan Hari Krismas dan Tahun Baru 2017 yang akan datang berdasarkan jadual Cadangan Waktu Perjalanan (TTA) yang dikeluarkan oleh syarikat konsesi ini.

    Jadual TTA terdiri daripada cadangan perjalanan berperingkat mengikut masa dan destinasi tertentu dari Lembah Klang ke negeri-negeri dan bandar-bandar utama di Kedah, Perlis, Pulau Pinang, Perak, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor. Langkah ini bertujuan untuk mengagihkan trafik dan mengurangkan kesesakan di laluan-laluan utama lebuh raya, plaza-plaza tol dan kawasan rehat pada waktu-waktu puncak.

    Menurut jadual TTA, pengguna dari Lembah Klang ke Perlis dan Kedah dicadang memasuki lebuh raya bermula 6 pagi hingga 10 pagi manakala waktu sesuai ke Pulau Pinang, Perak (Utara) dan Perak (Tengah) adalah 10 pagi hingga 6 petang.

    Bagi mereka yang menuju ke Perak (Selatan) dan Selangor disaran bergerak selepas 6 petang, ke Johor (6 pagi hingga 3 petang) dan ke Negeri Sembilan dan Melaka selepas 3 petang.

    Sementara itu pengguna jalan raya dari Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak (Utara), Perak (Tengah), Perak (Selatan), Selangor, Johor, Negeri Sembilan dan Melaka yang menghala ke Lembah Klang dicadang memasuki lebuh raya sebelum 11 pagi atau selepas 5 petang.

    Jadual tersebut juga merangkumi perjalanan orang ramai yang ingin bercuti atau kembali semula ke Lembah Klang sempena sambutan cuti perayaan tersebut bermula 23 Disember 2016 sehingga 3 Januari 2017.

    Dalam pada itu, PLUS juga menasihatkan orang ramai supaya merancang perjalanan mereka serta mendapatkan maklumat trafik terkini dengan menghubungi talian bebas tol PLUSLine 1800 88 0000, mengikuti laman Twitter PLUSTrafik atau memuat turun aplikasi ‘PLUS Mobile’ menerusi telefon pintar atau tablet masing-masing.

    PLUS jangka 1.6 juta kenderaan di lebuhraya seliaannya sempena cuti Krismas, Tahun Baru 2017

     
     
  • Eropah catat jualan kereta tertinggi luar jangkaan sejak 2007 – SUV paling laris, Volkswagen dahului carta

    Eropah catat jualan kereta tertinggi luar jangkaan sejak 2007 – SUV paling laris, Volkswagen dahului carta

    Menurut laporan Autocar, jualan kereta di Eropah mencatatkan jualan tertinggi tahun ini sejak 2007, walaupun keadaan ekonomi di benua berkenaan dilihat masih belum benar-benar stabil. Sehingga November lalu, jumlah jualan untuk tahun ini dilihat meningkat 6.8% berbanding tempoh yang sama tahun lalu.

    Hasil kajian yang dijalankan oleh JATO Dynamic mendedahkan, rakyat Eropah membeli sejumlah 13,937,339 buah kereta pada tahun 2016 setakat ini, dengan 1,184,140 buah daripadanya dijual pada bulan November, bersamaan 5% lebih tinggi dari bulan yang sama tahun lalu. Walaupun bergelut dengan isu Brexit, UK mencatatkan pertumbuhan pasaran keempat paling cepat di Eropah, dengan jualan tahunan sehingga kini meningkat kepada 2.9%. Sepanyol dan Perancis mencatatkan lonjakan pasaran tertinggi, dengan permintaan meningkat kepada 13% dan 8.2%.

    Jika dilihat antara pengeluar pula, Volkswagen Group mendahului carta jualan walaupun kini sedang menghadapi krisis akibat skandal Dieselgate. VW memonopoli 24.56% dalam bahagian pasaran keseluruhan di Eropah, atau 0.28% lebih rendah berbanding tempoh yang sama tahun lalu. Pakatan Renault-Nissan berada di tempat kedua dengan bahagian 14.1%, peningkatan sebanyak 0.72%.

    PSA Group (Peugeot dan Citroen) mencatatkan kemerosotan jumlah bahagian pasaran sebanyak 1.19%, namun masih lagi mampu bertahan di tempat ketiga. Daimler pula dilihat sebagai jenama yang paling cepat bertumbuh dengan peningkatan 0.83%, berada di tempat kelima.

    Seperti yang di jangka, SUV merupakan segmen yang paling cepat berkembang tahun ini dengan jumlah jualan 316,278 unit untuk bulan November sahaja. Ini bersamaan peningkatan sebanyak 16.1% berbanding tempoh sama tahun lalu serta penguasaan 26.7% dalam bahagian pasaran kereta di Eropah.

    “Nampaknya hampir pasti tahun 2016 akan mencatatkan jumlah pendaftaran lebih kuat dari tahun 2015, yang merupakan satu pencapaian membanggakan memandangkan ketidakpastian politik dan ekonomi yang mendominasi. Walau bagaimanapun, adalah penting untuk tidak mengambil mudah pertumbuhan ini, kerana ketidaktentuan akan berlanjutan sehingga 2017, dengan UK dijangka mencetuskan Artikel 50 pada Mac, bagi memulakan proses keluar dari EU,” kata Felipe Munoz, penganalisis automotif global di JATO Dynamics.

    Dijangkakan tindakan UK untuk keluar dari EU akan mengakibatkan kehilangan kepercayaan pengguna di Britain dan Eropah, yang memungkinkan 2016 sebagai kemuncak pertumbuhan jualan kereta. Tetapi, tiada siapa yang membuat jangkaan pertumbuhan yang kuat ditunjukkan pada tahun ini, jadi setiap ramalan tidak boleh dijadikan panduan yang tepat.

    Situasi sebaliknya ditunjukkan di rantau ini di mana Malaysia dan Thailand masing-masing menunjukkan penurunan dalam jumlah jualan kenderaan untuk tahun 2016.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (-0.04)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.10
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.90 (-0.04)
EURO 5 B7 RM3.10 (-0.04)
Last Updated Aug 14, 2025