Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Honda City facelift 2017 – gambar teaser dikeluarkan oleh Honda Thailand, rupa lebih hampir seperti Civic

    Honda City facelift 2017 – gambar teaser dikeluarkan oleh Honda Thailand, rupa lebih hampir seperti Civic

    Honda Thailand baru sahaja mengeluarkan gambar bergerak (GIF) teaser untuk model City facelift 2017, dan orang ramai yang berminat dengannya sudah boleh mendaftarkan diri di laman web yang disediakan.

    Perubahan utama yang dilakukan pada City facelift ini adalah ‘rupa’nya, yang kini kelihatan lebih hampir seperti Civic. Gambar tersebut menunjukkan terdapat garisan krom pada bahagian atas lampu utama dan lampu LED nipis berbentuk L seperti yang digunakan pada Civic FC.

    Honda City facelift 2017 – gambar teaser dikeluarkan oleh Honda Thailand, rupa lebih hampir seperti Civic

    Dari tepi, lampu baru City facelift ini juga dilihat mempunyai ‘sisik’ seperti lampu uatama LED Civic. Bahagian belakang pula, dengan hanya gambar lampu yang dikeluarkan, kelihatan tidak begitu berbeza dengan yang sekarang.

    City yang dipasarkan sekarang dilancarkan di Thailand pada Januari 2014, dan jika model facelift ini dikeluarkan bulan hadapan, bermakna masanya tepat tiga tahun. Pada masa itu, Malaysia mendapat City itu dua bulan selepas Thailand. Bagi model facelift ini, mungkinkah perkara sama berlaku. Jika ya, mungkin Malaysia akan mendapat model ini pada suku pertama tahun 2017.

     
     
  • Produksi automobil Honda di seluruh dunia cecah 100 juta-unit Sept lalu, setelah beroperasi selama 53 tahun

    Produksi automobil Honda di seluruh dunia cecah 100 juta-unit Sept lalu, setelah beroperasi selama 53 tahun

    Soichiro Honda memulakan produksi penuh automotif di bawah jenamanya dengan memproduksi motosikal model D-Type yang juga diberi nama Honda Dream pada tahun 1949. Syarikat berkenaan mula beralih untuk memproduksi produk automobil pada tahun 1963. Namun, kenderaan empat roda pertama yang keluar dari barisan produksi kilang Honda Saitama bukanlah sebuah kereta, tetapi merupakan sebuah trak kecil model T360, yang mula dijual di Jepun pada Ogos 1963.

    Trak T360 berkenaan dijana oleh enjin 356 cc empat silinder DOHC berkuasa 30 hp pada takat 8,500 rpm, membolehkan ia mencapai kelajuan maksima 100 km/j. Honda menghasilkan trak pikap kecil ini untuk mengambil kesempatan atas skim cukai khas undang-undang Kei di Jepun. T360 telah produksi sebanyak 108,920 unit dan hanya ditawarkan dengan warna “May Blue”.

    Empat bulan setelah trak T360 berkenaan dihasilkan, Honda mula menyerlahkan DNA asal mereka, dengan penghasilan model S500 roadster iaitu ‘datuk’ kepada roadster S2000 moden. Model ini diproduksi secara besar-besaran di Kilang Hamamatsu Honda, sebelum produksi roadster versi dipertingkat berkenaan – S600 – dimulakan di kilang Sayama yang baharu pada tahun 1964, diikuti model S800 pada tahun 1966.

    Honda mula memproduksi kenderaan penumpang kecil pada tahun 1967 menerusi model N360 iaitu sedan ‘two-box’ dua pintu dijana enjin 354 cc dua-silinder pacuan roda hadapan yang mampu mencatatkan kelajuan maksima 105 km/j. Model ini juga merupakan model pertama yang dieksport ke Amerika Syarikat, tetapi dengan kapasiti enjin yang lebih besar digelar N600. Honda USA telah menyediakan laman web khas berkenaan restorasi semula sebuah N600, iaitu unit dengan nombor casis N600-1000001.

    Honda mula memproduksi kenderaannya di luar Jepun pada tahun 1969, setelah perjanjian kerjasama teknikal ditandatangani bersama sebuah syarikat dari Taiwan untuk menghasilkan N600 dan trak TN360 di negara berkenaaan. Selepas itu, Honda mula memasang N360 di Johor Bahru, Malaysia, yang dihasilkan untuk pasaran tempatan. Produksi lebih banyak dilakukan di kilang berkenaan termasuk memasang model Civic, Accord dan CR-V, sebelum Honda Malaysia membina kilang mereka sendiri di Pegoh, Melaka pada tahun 2003.

    Civic antara model Honda yang popular dan model generasi pertamanya mula diperkenalkan pada tahun 1972. Tiga tahun kemudian, model berkenaan mula diproduksi di Indonesia. Honda mencatatkan produksi automobil kumulatif global sebanyak lima juta unit pada tahun 1978.

    Model eksekutif dari Honda iaitu Accord mula diperkenalkan pada tahun 1976, dan menjadi kereta berjenama Jepun pertama dikilangkan di Amerika, pada tahun 1982 di kilang Ohio. Setahun selepas itu, produksi automobil global Honda mula mencapai angka 10 juta unit. Jenama Acura mula diperkenalkan di Amerika pada tahun 1986, dan menjadi jenama mewah pertama dari Jepun bertapak di negara berkenaan.

    Honda turut mengembangkan operasi produksinya di seluruh dunia termasuk Asia, Eropah, Amerika Selatan dan China. Pada pasaran-pasaran tertentu, Honda turut menghasilkan model-model khas untuk memenuhi permintaan setempat. Produksi global automobil Honda mula mencecah 20 juta-unit pada tahun 1990.

    Angka ini meningkat kepada 30 juta pada tahun 1995, 40 juta pada tahun 1999 dan 50 juta pada tahun 2003. Dengan 34 operasi produksi automobil di 18 negara dan wilayah, Honda akhirnya berjaya mencapai angka produksi mencecah 100 juta-unit pada September tahun ini, setelah 53 tahun memproduksi produk automobil pada usia syarikat mencapai 68 tahun.

    Kejayaan yang diraih oleh Honda sekarang bukanlah sesuatu yang mudah. Pengasas syarikat ini sendiri bergelut dengan pelbagai situasi sukar termasuk kegagalan sebelum berjaya menghasilkan produksi motosikal pertamanya, berbekalkan mimpi dan impian yang kuat dan menjadi asas kepada slogan syarikat berkenaan – “The Power of Dreams.”

     
     
  • Hyundai Tucson 1.6 liter turbo dan 2.0 liter CRDi bakal masuk pasaran Malaysia pada suku pertama 2017

    Hyundai Tucson 1.6 liter turbo dan 2.0 liter CRDi bakal masuk pasaran Malaysia pada suku pertama 2017

    Hyundai Tucson bakal menerima pertambahan varian tak lama lagi; dua varian untuk lebih tepat. Pengedarnya, Hyundai-Sime Darby Motors mengesahkan yang SUV segmen C itu akan turut menerima dua penawaran enjin terbaharu untuk pasaran Malaysia; 1.6 liter turbo dan 2.0 liter diesel. Kedua-duanya akan diperkenalkan pada suku pertama tahun depan.

    SUV berkenaan dilancarkan pada November 2015, dan model generasi ketiga berkenaan sebelum ini hanya ditawarkan dalam satu varian sahaja; dengan enjin 2.0 MPi Nu dengan janaan kuasa 155 PS dan 192 Nm pada 4,000rpm. Enjin naturally aspirated empat silinder itu dipadankan dengan kotak gear automatik dengan torque converter enam-kelajuan.

    Enjin 1.6 liter T-GDI turbo suntikan terus itu nanti tentunya menjadi sesuatu yang sangat menarik, terutama bagi mereka yang inginkan kapasiti enjin yang lebih kecil tetapi kekal dengan prestasi yang baik dan jimat.

    Menjana kuasa pada 175 hp dan 265 Nm tork dari 1,500 hingga 4,500 rpm, dari segi angka-angka berkenaan, ia tentunya memberikan prestasi yang lebih berbanding model 2.0 liter. Transmisi pula menggunakan jenis dual-clutch automatik tujuh-kelajuan. Ia merupakan lanjutan dari sistem yang digunakan pada Veloster Turbo.

    Hyundai Tucson 1.6 liter turbo dan 2.0 liter CRDi bakal masuk pasaran Malaysia pada suku pertama 2017

    Sebuah lagi pilihan enjin yang turut akan diperkenalkan ialah versi 2.0 CRDi; enjin commonrail turbodiesel dengan kuasa 182 hp dan 400 Nm tork dari 1,750 hingga 2,750 rpm. Enjin E-VCT ini lebih kecil berbanding versi 2.2 CRDi yang menggerakkan Santa Fe dan Kia Sorento. Transmisi pula menggunakan kotak gear automatik enam-kelajuan.

    Setibanya dua varian baharu ini nanti, versi 2.0 CRDi akan menjadi pesaing kepada SUV lain seperti Mazda CX-5 2.2L SkyActiv-D – satu-satunya lawan dengan enjin diesel yang paling hampir bagi mana-mana SUV yang ditawarkan dalam pasaran tempatan.

    SUV lain dalam lingkungan yang sama seperti Honda CR-V, Nissan X-Trail dan Mazda CX-5 pula akan “menanti” kehadiran pencabar baharu ini; dengan enjin 1.6 liter turbo bagi varian petrol itu kelak, Tucson mempunyai kelebihan yang tersendiri untuk lebih menonjol dan menarik perhatian pengguna dalam segmen berkenaan.

    Hyundai Tucson 2.0L Executive

     
     
  • Ford Ranger dan Transit edisi khas Valentino Rossi

    Valentino Rossi bukan sahaja seorang pelumba yang berjaya, malah beliau juga tahu bagaimana meningkatkan jenama VR46 miliknya, dengan pelbagai barangan boleh didapati. Terbaru, anda kini boleh mendapatkan dua kenderaan edisi khas VR46 iaitu Ford Ranger dan Ford Transit.

    Dua model istimewa ini diubah suai oleh syarikat sama yang membina Transit untuk Ken Block, iaitu Van-Sport dan seperti yang boleh dilihat, ia tampil lebih garang berbanding model biasa dan mempunyai grafik khas VR46. Warna yang boleh didapati untuk kenderaan ini hanyalah Metallic Black atau Magnetic Grey sahaja.

    Bagi model Transit VR46, ia menggunakan asas daripada model Transit Titanium 2.0 L, yang kemudiannya direndahkan sebanyak 30 mm dengan penggunaan spring Eibach, dan digabungkan dengan penggunaan rim 18 inci O.Z Racing khas yang mempunyai penutup tengah berlogo VR46.

    Sementara itu, bagi Ranger VR46 pula, mengambil asas daripada model 3.2 L, ia ditinggikan sebanyak 1.75 inci dengan menggunakan kit offroad daripada Pedders, dan ini termasuk spring dan penyerap baru, yang turut diwarnakan khas untuk edisi Rossi ini.

    Turut diberi peningkatan adalah bahagian dalam, di mana kedua-dua kenderaan menampilkan penggunaan kulit Nappa, jahitan logo VR46 pada tempat duduk, lencana edisi khas VR46, hiasan panel meter unik, roda stereng yang dipertingkat dan alas kaki yang dibuat daripada getah, sesuai dengan gaya hidup mereka yang akan menggunakan kenderaan ini.

    Walaubagaimanapun, bagi kuasa enjin, tiada sebarang peningkatan dilakukan, di mana bagi Transit VR46, ia masih menggunakan enjin 2.0 liter EcoBlue 170 hp manakala Ranger VR46 menggunakan enjin 3.2 liter 200 hp.

    Van-Sport bercadang untuk menjual sebanyak 460 unit bagi setiap model VR46 ini di United Kingdom dan 460 unit (setiap satu) lagi untuk seluruh Eropah. harga yang ditetapkan adalah £36,995 (RM203,453) untuk Transit VR46 dan £41,995 (RM230,9500) untuk Ranger VR46.

    GALERI: Ford Transit VR46

    GALERI: Ford Ranger VR46

     
     
  • VIDEO: Gelande Taxi Subaru Symmetrical AWD – daki bukit bersalji dengan lebih pantas dan mengujakan

    Untuk naik ke bukit yang bersalji tebal bagi tujuan bermain ski, kebiasaannya orang ramai akan menggunakan kereta kabel. Selain dari bosan beratur menunggu, kereta kabel berkenaan juga agak lambat untuk sampai ke puncak.

    Oleh itu, Subaru menawarkan cara yang lebih cepat dan mengujakan untuk membawa pemain ski ke puncak bukit bersalji iaitu dengan SUV-SUV Symmetrical AWD mereka yang digelar Galende Taxi.

    Galende Taxi untuk musim salji kali ini dijalankan dua kali di Tokai, Jepun iaitu pada 28 hingga 29 Januari dan juga 4 dan 5 Februari 2017. Selain dari untuk kemudahan orang ramai, cara ini juga merupakan kaedah terbaik untuk pemasaran Subaru, mempamerkan kebolehan sebenar SUV-SUV dengan sistem pacuan semua roda mereka yang terdiri dari Subaru Outback dan juga Subaru Forester.

    Kempen Gelande Taxi telah dijalankan oleh Subaru bermula pada tahun 2014. Malah, untuk kempen pada musim sejuk lalu, Subaru turut membawa model berprestasi tinggi – WRX STI – sebagai Gelande Taxi, dipandu oleh lagenda rali Jepun, Toshi Arai.

     
     
  • Bentley Continental GT V8 S Black Edition muncul

    Bentley baru memperkenalkan Continental GT V8 S Black Edition, dilengkapi dengan peningkatan visual sama seperti yang pertama kali diperkenalkan pada Continental GT Speed W12. Versi Black Edition ini boleh didapati dengan gaya badan coupe atau convertible.

    Walaupun namanya Black Edition, kereta ini tidaklah menggunakan warna hitam sepenuhnya, malah mempunyai beberapa pilihan warna badan. Yang menggunakan warna hitam berkilat adalah kemasan pada bahagian gril, keliling tingkap, bawah bampar, pemegang pintu, hiasan pada lampu dan rim 21 inci.

    Untuk menggunakan lampu hadapan dan belakang yang hitam, ia adalah menyalahi undang-undang, jadi, Bentley menjadikan ia smoked. Black Edition ini juga mempunyai kit badan yang terdiri daripada splitter hadapan, skirting tepi dan diffuser belakang yang didatangkan dengan pilihan empat warna – Beluga, St James’ Red, Hallmark dan Cyber Yellow.

    Sekiranya itu masih tidak mencukupi, anda juga memilih sama ada mahukan angkup brek yang berwarna hitam atau merah, dan bahagian dalam juga akan dipastikan sama warnanya dengan badan luar.

     
     
  • Teaser Kia Picanto generasi seterusnya disiarkan, model sebenar akan didedahkan awal tahun hadapan

    Teaser Kia Picanto generasi seterusnya disiarkan, model sebenar akan didedahkan awal tahun hadapan

    Kia telah pun menyiarkan imej teaser pertama Picanto generasi berikutnya, yang dijangka akan didedahkan sepenuhnya pada awal tahun 2017. Model sedia ada kini sudah pun berada dalam pasaran selama lima tahun, dan menerima versi kemaskini pada awal tahun lalu.

    Model generasi seterusnya ini dilihat direka diinspirasikan dari Kia Rio terbaharu, menampilkan elemen lebih teguh. Pada bahagian muka Picanto ini, ia diberikan lampu nyalaan siang jalur LED berbentuk-U, bersepadu dengan lampu utama. Gril hadapan kini direka seakan menyambungkan kedua-dua belah lampu hadapan, manakala gril bampar yang direka lebar kebawah memberikan imej yang lebih garang.

    Pada bahagian sisi, Picanto generasi baharu ini juga kelihatan seimbang dengan bahagian tingkap yang nampak lebih tirus dan ruang roda yang lebih besar. Garisan tingkap belakang juga direka agar mengalir keatas, berbanding garisan lurus pada model sedia ada. Bahagian belakang juga kini kelihatan lebih lebar dan stabil.

    Teaser Kia Picanto generasi seterusnya disiarkan, model sebenar akan didedahkan awal tahun hadapan

    Menurut Kia, rekaan baharu Picanto ini membolehkan ia menerapkan lebih opsyen dari sebelum ini. Lakaran teaser ini juga menunjukkan ia diberikan jalur merah pada bahagian atas gril dan bampar hadapan, skirt sisi serta kemasan seperti diffuser di belakang. Tip ekzos berkembar juga diberikan pada model baharu ini, seiras dengan penawaran Sport Pack pada model sedia ada.

    Lakaran ini juga mendedahkan rekaan dalaman Picanto baharu berkenaan. Konsep baharu ini dilihat lebih dipertingkat dari sebelum ini, menampilkan papan pemuka dua-tingkat. Apa yang menarik, ia turut dilengkapi paparan infotainmen terapung pada bahagian tengah yang biasanya ditampilkan pada model lebih mewah, diambil terus dari Rio. Liang udara penghawa dingin sisi pula kini direka secara menegak.

    Teaser Kia Picanto generasi seterusnya disiarkan, model sebenar akan didedahkan awal tahun hadapan

    Picanto akan diberikan roda stereng tiga jejari yang diambil dari Optima. Suis-suis kawalan penghawa dingin juga direka lebih menyerlah serta turut diberikan perehat tangan dengan ruang storan yang diletakkan diantara tempat duduk hadapan. Kemasan berwarna lime green diberikan pada pemegang pintu, menandakan lebih opsyen akan diberikan pada bahagian dalaman.

    Picanto generasi baharu ini dijangka akan mengekalkan unit janakuasa dari model sedia ada yang terdiri dari enjin Kappa II 1.0 liter tiga-silinder dan 1.2 liter, serta enjin 1.0 liter tiga-silinder Kappa TCI turbo. Transmisi empat-kelajuan automatik, CVT dan juga lima-kelajuan manual turut dijangka akan dibawa dari model yang sama.

     
     
  • JPJ adakan ‘Ops Jalan’ – cari pesalah trafik sempena musim cuti, bermula 24-26 Dis dan 30 Dis-2 Jan

    JPJ adakan ‘Ops Jalan’ – cari pesalah trafik sempena musim cuti, bermula 24-26 Dis dan 30 Dis-2 Jan

    Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah mengumumkan akan mengadakan Ops Jalan bermua hujung minggu ini dalam usaha untuk mengurangkan jumlah kemalangan dan pesalah trafik sepanjang musim cuti ini, seperti dilaporkan The Sun.

    Operasi besar-besaran di seluruh negara ini akan melibatkan 1,500 orang pegawai dan akan berlangsung dari 24-26 Disember dan 30 Disember-2 Januari 2017; iaitu pada hujung minggu ini dan hujung minggu hadapan – kedua-duanya merupakan hujung minggu panjang dengan cuti umum pada Isnin.

    Pengarah Penguatkuasaan JPJ, Datuk V. Valluvan Velloo berkata operasi itu akan menjadi satu daripada beberapa operasi lain yang sudah dirancang sempenan tempoh cuti panjang dan hujung tahun ini. Sebelumnya, pihaknya hanya giat menjalankan operasi sama pada Hari Raya Aidilfitri dan Tahun Baru Cina sahaja.

    Antaranya, JPJ akan memberi tumpuan terhadap penunggang motosikal dengan spesifikasi tidak sah sepanjang operasi berkenaan. Mana-mana kenderaan yang didapati tidak mengikut spesifikasi teknikal – termasuk ekzos dan filem penapis haba (window tint) – akan disita bagi tempoh tidak lebih daripada 48 jam untuk tujuan pemeriksaan.

    “Kami juga telah memberi arahan kepada pegawai JPJ disetiap negeri bahawa kadar kompaun yang akan dikenakan adalah maksimum bagi mana-mana pesalah trafik,” ujar beliau. Tiada rayuan yang akan dilayan, dan sama sekali tiada diskaun yang akan diberikan kepada pelaku.

    Valluvan menambah, tindakan terhadap lebih daripada 7,000 pemandu yang menyalahgunakan lorong kecemasan sejak Mei lalu – yang mana 1,700 daripadanya dilaporkan oleh pengguna jalan raya – telah memberikan kesan positif dengan jumlah kenderaan yang menggunakan lorong berkenaan kini semakin berkurangan.

    “Ketika kami memulakannya, terdapat beratus-ratus kes dilaporkan dalam seminggu. Tetapi, pada November, hanya ada satu ada dua laporan setiap hari. Saman yang dikeluarkan bagi kesalahan berkenaan juga telah menurun sebanyak 70%,” ujar beliau.

    JPJ akan menggunakan pendekatan dan strategi yang berbeza, termasuk rondaan sepanjang waktu dan pemeriksaan kenderaan secara rawak di jalan-jalan terpilih termasuk juga menyamar sebagai orang awam dan mengambil gambar pesalah trafik.

    “Kami juga akan memeriksa bas di terminal-terminal utama, termasuk brek dan tayar yang digunakan. Juga, pemeriksaan air kencing secara rawak terhadap pemandu. Kami juga akan menyamar menjadi penumpang dan merakamkan semua kesalahan yang dilakukan sehinggalah tiba ke destinasi akhir,” tambah beliau.

    Bagaimanapun, menurut Valluvan, tidak akan ada sekatan jalan raya yang akan dilakukan dalam tempoh ini. Ia adalah bertujuan untuk memastikan tidak berlaku kesesakan trafik yang tidak perlu, selain daripada faktor jumlah pengguna yang ramai di atas jalan raya ketika itu.

     
     
  • Perodua Bezza ungguli Trending Model Kereta di Google bagi 2016 – 4 model Proton turut tersenarai

    Perodua Bezza ungguli Trending Model Kereta di Google bagi 2016 – 4 model Proton turut tersenarai

    Pastinya ramai di antara kita yang menggunakan laman enjin pencarian Google untuk mencari sesuatu maklumat bukan? Setiap tahun, Google telah menghimpunkan senarai pencarian termasuklah trending untuk carta di Malaysia. Ini termasuklah mencari model kenderaan yang menjadi pilihan.

    Jika tahun lalu, Honda HR-V telah mengungguli Trending Model Kereta melalui enjin pencarian popular ini, bagi 2016, tempat itu dirampas oleh Perodua Bezza. Malahan empat model Proton yang dilancarkan pada tahun ini turut tersenarai dalam Top 10 bagi 2016. Berikut merupakan senarai pencarian model kereta terhangat di Malaysia:

    1. Perodua Bezza
    2. Proton Persona
    3. Proton Saga
    4. Honda Civic
    5. Proton Perdana
    6. Nissan Note Nismo
    7. Toyota Sienta
    8. Toyota C-HR
    9. Proton Ertiga
    10. Audi A4

    Tahun ini merupakan tahun bagi dua pengeluar kereta nasional, di mana Perodua telah melancarkan satu model iaitu Bezza dan Proton pula mencipta sejarah dengan ‘menghadiahkan’ empat model sekaligus iaitu Perdana, Persona, Saga dan Ertiga untuk 2016. Malah kelima-lima model tersebut turut berada dalam senarai pencarian tertinggi di Google.

    Perodua Bezza ungguli Trending Model Kereta di Google bagi 2016 – 4 model Proton turut tersenarai

    Selain itu, model kereta bukan-nasional termasuk Honda Civic baharu juga mencuri perhatian ramai dan menduduki tempat ke-empat dalam carta ini. Bukan itu sahaja, Toyota Sienta juga dilihat antara model terhangat kerana maklumat mengenainya dicari oleh ramai orang di enjin pencarian ini. Malahan model yang belum ada di Malaysia iaitu Toyota C-HR juga berada dalam senarai.

    Agak mengejutkan apabila Nissan Note Nismo turut berada dalam senarai Top 10 ini, biarpun ia bukanlah model baharu dan juga tidak dijual di Malaysia, namun ternyata ia juga menarik perhatian rakyat Malaysia untuk mengetahui tentangnya. Model terakhir yang menduduki carta pencarian kereta di Malaysia bagi tahun ini ialah Audi A4, satu-satunya model premium, dan ini menandakan ia juga turut diminati dan menjadi dambaan ramai.

     
     
  • Volkswagen I.D Concept – gambar versi van ditunjuk

    Volkswagen I.D Concept – gambar versi van ditunjuk

    Selepas menunjukkan kepada awam model elektrik yang akan membawa transformasi kepada jenama Volkswagen iaitu I.D Concept, syarikat pengeluar dari Jerman itu mengeluarkan pula gambar teaser untuk sebuah lagi kenderaan konsep yang akan diperkenalkan semasa North American International Auto Show tahun hadapan.

    Kenderaan ini akan tergolong dalam barisan model Volkswagen I.D Concept juga, tetapi menggunakan badan van Microbus. Daripada gambar yang dikeluarkan, boleh dilihat ia mempunyai rekaan futuristik seperti I.C Concept hatchback, dengan lampu garisan LED depan dan belakang.

    Menurut Volkswagen, kenderaan konsep ini “menjalin hubungan antara asal usul lagenda jenama Volkswagen dan masa hadapan listriknya.” Ia menggunakan dibina atas Modular Electric Platform (MEB), yang pertama kali digunakan pada sebuah lagi van elektrik – BUDD-e Concept.

    Setakat yang diketahui kini, van I.D Concept dikuasakan oleh dua motor elektrik, satu di gandar hadapan dan satu di gandar belakang, seterusnya menghasilkan pemanduan pacuan empat roda. Ia juga dikatakan dapat memberi jarak pergerakan yang jauh, tetapi tiada nombor yang diberi.

    Selain itu, Volkswagen turut memberitahu bahawa van I.D Concept berkemampuan untuk bergerak sendiri secara penuh (full autonomous), dilengkapi dengan pengesan laser, ultrasonic, radar dan kamera untuk memerhati pergerakan pengguna jalan yang lain dan keadaan sekitar.

    Untuk mengaktifkannya, pemandu hanya perlu menekan secara lembut logo Volkswagen di dalam kabin, dan roda sterengnya akan masuk ke dalam kokpit, seperti yang boleh dilihat dalam salah satu gambar ini. Setelah itu, pemandu boleh berehat seperti penumpang lain dan kenderaan akan bergerak secara sendiri.

     
     
  • UMW Toyota Motor umum perlantikan Ravindran Kurusamy sebagai presiden baharu – efektif 1 Jan ini

    UMW Toyota Motor umum perlantikan Ravindran Kurusamy sebagai presiden baharu – efektif 1 Jan ini

    UMW Toyota Motor Sdn. Bhd. (UMW Toyota Motor) telah mengumumkan perlantikan Ravindran Kurusamy sebagai presiden baharu bagi syarikat tersebut. Beliau akan menggantikan Datuk Ismet Suki yang mengakhiri perkhidmatannya dengan UMW Toyota Motor selepas 26 tahun

    Ketika mengumumkan perlantikan ini, Pengerusi Kumpulan UMW Holdings Berhad dan Pengerusi UMW Toyota Motor, Tan Sri Asmat Kamaludin, berkata, “Ravindran telah berkhidmat dengan syarikat ini selama 26 tahun, dan dalam tempoh itu, beliau telah dipertanggungjawabkan dalam beberapa jabatan berlainan. Ini merupakan peluang buat beliau untuk menggemudi operasi syarikat termasuk meneruskan kerjasama dengan rakan kongsi usaha sama, Toyota Motor Corporation”.

    Sebelum perlantikan sebagai presiden yang berkuatkuasa mulai 1 Januari 2017 ini, Ravindran merupakan Pengarah Eksekutif bagi Jabatan Selepas Jualan, Belian, Jaminan Kualiti dan Harta.

    “Saya sangat berbesar hati dengan perlantikan sebagai presiden UMW Toyota Motor dan ingin mengambil kesempatan untuk merakamkan ucapan terima kasih buat Datuk Ismet Suki kerana telah membawakan syarikat hingga ke tahap pada hari ini,” ujar Ravindran yang berazam untuk meneruskan momentum perkembangan syarikat bagi mengharungi saat yang mencabar dalam industri automotif.

    Sambungnya lagi, “Menjadi objektif saya untuk memaksimakan prestasi keseluruhan Toyota bagi pasaran Malaysia dan ingin memastikan jenama ini kekal sebagai pemain utama dalam sektor automotif negara.”

     
     
  • Bermaz umum panggilan semula terkini untuk inflator beg udara Takata bagi model Mazda di Malaysia

    Bermaz umum panggilan semula terkini untuk inflator beg udara Takata bagi model Mazda di Malaysia

    Bermaz telah mengumumkan sesi panggilan semula terkini untuk kenderaan-kenderaan jenama Mazda di Malaysia yang terjejas dengan isu inflator beg udara Takata. Untuk sesi kali ini, model-model RX-8 (FE), unit-unit tambahan trak pikap BT-50 generasi pertama (UN) dan juga Mazda 2 generasi ke-tiga (DE) terlibat dengan panggilan semula berkenaan dan ia adalah lanjutan dari sesi sebelum ini dan masih lagi melibatkan model Mazda 6 (GG).

    Menurut laman web Bermaz, 46 unit Mazda RX-8 yang diproduksi dari tahun 2008 hingga tahun 2011 serta 5,898 unit Mazda 2 yang diproduksi antara 2010 dan 2014 terlibat dalam panggilan semula ini. Kesemua kenderaan yang terlibat ini perlu menukar inflator beg udara bahagian penumpang hadapan.

    Untuk trak pikap BT-50 pula, sejumlah 3,384 unit yang diproduksi antara 2004 hingga 2011 disenaraikan untuk panggilan semula ini. 1,551 unit daripadanya perlu untuk menukar kedua-dua inflator beg udara bahagian hadapan (pemandu dan penumpang), manakala 1,833 daripadanya hanya perlu menukar inflator beg udara bahagian penumpang hadapan.

    Panggilan semula sebelum ini melibatkan 427 Mazda 6 (GG) yang perlu untuk menukar kedua-dua belah inflator beg udara bahagian hadapan serta 576 unit trak pikap BT-50 generasi pertama yang perlu ditukar inflator beg udara bahagian pemandu.

    Untuk memastikan kenderaan berjenama Mazda anda terlibat atau tidak dalam panggilan semula ini, anda perlu layari laman web yang dikhaskan DI SINI, dan masukkan nombor identifikasi kenderaan (VIN) 17-digit anda di ruang bawah laman berkenaan. Bagi mereka yang tidak pasti atau mahu bertanyakan soalan berkaitan serta membuat temu janji untum pembaikkan ini, anda boleh menghubungi talian Mazda Zoom Zoom di nombor 1800-22-8080.

    Penukaran inflator beg udara berkenaan mengambil masa antara 1 hingga 1.5 jam, dan stok komponen berkenaan adalah terhad. Oleh itu, kempen panggilan semula ini akan dijalankan berasaskan konsep “first come, first serve”. Isu ini akan melibatkan keselamatan anda dan kenderaan anda. Jadi, jika kereta anda terlibat, segeralah berhubung dengan pihak Bermaz untuk melengkapkan proses penukaran ini.

     
     
  • Lebuhraya Cheras-Kajang, Lebuhraya Pintasan Selat Klang Utara Baru beri 10% diskaun tol 25 Dis ini

    Lebuhraya Cheras-Kajang, Lebuhraya Pintasan Selat Klang Utara Baru beri 10% diskaun tol 25 Dis ini

    Taliworks Corporation Berhad merupakan syarikat induk Grand Saga Sdn Bhd yang memegang konsesi Lebuhraya Cheras-Kajang, dan syarikat usahasamanya, Grand Sepadu (NK) Sdn Bhd, yang memegang konsesi Lebuh Raya Pintasan Selat Klang Utara Baru (NNKSB) telah mengumumkan pemberian diskaun tol sebanyak 10% pada 25 Disember iaitu Ahad ini. Ia adalah sempena sambutan perayaan Krismas.

    Pengurus Besar Kanan kumpulan tersebut, A.Rajasolan, berkata diskaun untuk kenderaan Kelas 1 di semua plaza tol di lebuhraya berkenaan akan bermula pada 12.01 pagi, 25 Disember, dan berlangsung selama 24 jam.

    Diskaun berkenaan diberikan sebagai tanda penghargaan kepada semua pengguna lebuh raya dan sebagai sebahagian daripada komitmen kumpulan terhadap inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang berterusan, kata syarikat itu.

    Dalam masa yang sama, Tailworks turut menasihati semua pengguna lebuhraya supayaberikan keutamaan kepada keselamatan dan memandu dengan berhemah.

     
     
  • Uber dedah statistik operasinya di Malaysia

    Uber dedah statistik operasinya di Malaysia

    Menjelang kedatangan tahun baharu tidak lama lagi, Uber telah mendedahkan statistik bagaimana orang ramai menggunakan perkhidmatanya sepanjang 2016 ini. Di sini disertakan statistik ringkas berkenaan penggunaan masyarakat Malaysia yang telah disimpulkan di dalam Year With Uber 2016.

    Menurut Uber, keseluruhan operasinya di Malaysia tahun ini telah mencakupi perjalanan sejauh 128,000,005 km. Di Kuala Lumpur, Bandaraya dengan keseluruhan jaraknya 30 km dari Timur ke Barat, jarak perjalanan penumpang yang menggunakan perkhidmatan aplikasi berkenaan bersamaan dengan jarak mengelilingi dunia sebanyak 3,000 kali.

    Purata perjalanan yang diambil oleh setiap penumpang di bandaraya berkenaan ialah 19 minit, dan servis aplikasi ini kerap kali digunakan pada waktu malam, dengan 31% dari penumpang menggunakan servis tersebut antara pukul 10 malam hingga 2 pagi. Statistik juga menunjukkan, penumpang yang menggunakan Uber di KL turut menggunakan servis yang sama apabila mereka tiba 488 bandar lain.

    Lokasi yang paling kerap dikunjungi menggunakan perkhidmatan ini bagi tahun 2016 adalah Lapangan Terbang Antarabangsa (KLIA), dan berdasarkan bagaimana servis ini dijalankan, kami rasa destinasi ini akan kekal di kedudukan berkenaan pada tahun hadapan. Uber juga mendedahkan, servis mereka turut bergantung kepada pengangkutan awam lain di mana 24% daripada keseluruhan perjalanan akan bermula atau berakhir di stesen-stesen tren.

    Saya lebih gemar memandu sendiri untuk kemana-mana. Setelah kembali semula bertugas di sekitar Selangor dan Kuala Lumpur tahun ini, barulah saya mula menggunakan perkhidmatan ini, itupun jika benar-benar terpaksa dan majoritinya melibatkan tugasan untuk mengambil dan memulang semula kereta-kereta untuk dipandu uji. Oleh itu, saya hanya menggunakan perkhidmatan ini sebanyak sembilan kali sepanjang 2016, dengan jumlah perjalanan sejauh 56.6 km (menurut Uber, sama seperti mengelilingi litar F1 sebanyak 12 kali) dan purata setiap perjalanan selama 14 minit. Bagaimana pula dengan anda?

     
     
  • VIDEO: Triumph Street Triple baharu sedia buat kemunculan awal tahun 2017 – lebih berkuasa, maju

    Motosikal jenis naked Triumph Street Triple mula diperkenalkan pada tahun 2007, dan dalam selang masa sehingga tahun 2016, ia telah diperbaharui beberapa kali namun tidak begitu ketara dengan asasnya masih sama, iaitu enjin tiga silinder 675 cc dan gaya naked dengan dua lampu di hadapan.

    Walaubagaimanapun, perkara itu akan berubah memasuki tahun 2017 kerana pembuat motosikal dari United Kingdom itu sudah sedia untuk memperkenalkan Street Triple baharu, dengan enjin yang dijangka diberi peningkatan sehingga 100 cc lebih. Dalam keadaan sekarang sahaja, Street Triple sudah sukar dicabar, dan dengan peningkatan ini, satu tahap baharu akan ditetapkan.

    Selain daripada itu, melalui video ini, Street Triple baharu boleh dijangka menggunakan pelbagai sistem elektronik maju seperti Traction Control dan mod tunggangan, dan panel meternya melihatkan satu unit digital sepenuhnya. Pengakhiran video tersebut menyatakan model ini akan dilancarkan secara langsung pada 10 Januari 2017.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (-0.04)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.10
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.90 (-0.04)
EURO 5 B7 RM3.10 (-0.04)
Last Updated Aug 14, 2025