Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • VIDEO: Sistem Autopilot Tesla ramal kemalangan sebelum berlaku, hentikan kereta secara automatik

    Sebelum ini, reputasi sistem pemanduan automatik Autopilot yang dilengkapi pada Tesla mengundang kontroversi kerana didakwa menyebabkan kemalangan maut membabitkan seorang pemilik Model S dari Ohio, dan dua lagi kemalangan yang dilaporkan di Pennsylvania dan Montana.

    Selepas itu, syarikat pengeluar kenderaan elektrik mewah berkenaan mula memperkenalkan perisian dan kelengkapan tambahan yang dikemaskini serta dipertingkat bagi membolehkan sistem tersebut beroperasi dengan lebih cekap, dan yang paling penting, lebih selamat.

    Video kemalangan berdurasi 45-saat ini merupakan bukti sistem berkenaan kini lebih cekap dan menakjubkan. Dalam video tersebut, siren Sistem Amaran Pelanggaran Hadapan Autopilot Tesla berkenaan berbunyi secara tiba-tiba dan hampir dua saat selepas itu, satu kemalangan membabitkan kenderaan di hadapan Tesla Model X tersebut dengan sebuah SUV.

    Sistem berkenaan bukan sahaja berjaya meramal kemalangan yang bakal berlaku di hadapan menerusi sistem radar sistem Autopilot tersebut yang mampu mengesan kejadian yang tidak dapat dilihat oleh pemandu, malah sistem itu juga turut memberikan brek kecemasan automatik untuk menghentikan kereta sebelum sempat pemandu melakukannya secara manual.

    VIDEO: Sistem Autopilot Tesla ramal kemalangan sebelum berlaku, hentikan kereta secara automatik

    Menurut pemilik akaun yang memuat naik video ini, Hans Noordsij, sistem Autopilot Tesla mula membrek secara automatik sebelum pemandu menekan pedal brek dan tambah beliau semua yang terlibat dalam kemalangan ini “berada dalam keadaan OK”, walaupun SUV yang terbabit telah terbalik.

    September lalu, Tesla telah melancarkan kemaskini untuk sistem Autopilot 8.0, yang lebih bergantung kepada radar berbanding kepada kamera seperti sebelum ini. Kemaskini berkenaan boleh diimplementasikan kepada semua Model S dan Model X yang dibina bermula Oktober 2014.

    Terbaharu, Tesla mengumumkan kesemua kenderaan elektrik keluarannya untuk masa hadapan akan dibekalkan dengan kelengkapan penuh sistem pemanduan sendiri generasi baharu, yang mampu menawarkan autonomi Tahap 5 dari masa ke masa menggunakan kemaskini menerusi udara, bermula dengan Autopilot 8.1.

     
     
  • Kementerian Kerja Raya mula uji sistem penghadang keselamatan baharu, guna teknologi dari Korea

    Kementerian Kerja Raya mula uji sistem penghadang keselamatan baharu, guna teknologi dari Korea

    Jika anda dari arah Terminal SkyPark Subang dan menuju ke Lebuhraya Persekutuan, di bahagian selekoh sebelum memasuki lebuhraya berkenaan, anda pasti akan perasan penghadang dengan silinder kuning yang bertindak sebagai penampan.

    Ia bukanlah sekadar hiasan; penghadang dengan silinder yang boleh berpusing itu merupakan ciri keselamatan baharu bagi penghadang dan pembahagi laluan di jalan raya, dan sedang diuji oleh pihak Kementerian Kerja Raya.

    Memetik laporan The Malay Mail, sistem berkenaan terdiri daripada tiub besi kukuh yang di antaranya diletakkan silinder plastik yang akan bertindak selaku penyerap hentakan yang akan berputar, sudah dipasang sepanjang 100 meter dikawasan berkenaan – ia mampu menyelamatkan nyawa pengguna yang terlibat dalam kemalangan.

    Menurut kementerian berkenaan, ia merupakan projek pemula sebagai usaha untuk meningkatkan standard keselamatan jalan raya di negara ini. Menterinya, Datuk Seri Fadillah Yusof menyatakan, penghadang jalan baharu ini sudah dipasang sejak 7 Disember lalu.

    Ia ditempatkan di situ kerana statistik menunjukkan kawasan berkenaan merupakan antara kawasan kerap kemalangan. Penghadang dengan silinder berkenaan tidak hanya berfungsi sebagai penyerap impak ketika kemalangan, tetapi ia juga menghalang kenderaan daripada terbabas ke sisi yang satu lagi, atau ke laluan bertentangan.

    “Kami akan meninjau keberkesanan penggunaan penghadang keselamatan ini dalam tempoh tiga bulan dan akan menyediakan laporannya selepas itu. Setakat ini, masih belum ada kemalangan yang dilaporkan di kawasan ini sejak ia dipasang awal Disember lalu,” jelas Fadillah.

    Jika pemerhatian menunjukkan penggunaan penghadang keselamatan di kawasan ini positif dan berkesan, ia mungkin akan dilanjutkan ke kawasan-kawasan berisiko tinggi terhadap kemalangan di lokasi lain. Ia merupakan teknologi yang dibangunkan oleh syarikat ETI Korea.

     
     
  • VIDEO: Ciri Remote Parking Mercedes-Benz E-Class

    Mercedes-Benz E-Class W213 merupakan antara kenderaan yang dilengkapi dengan ciri teknologi termaju. Misalnya, paparan skrin 12.3 inci yang menjadi panel instrumen, Drive Pilot serta Remote Parking Pilot.

    Ciri terakhir itu menjadi fokus utama sebuah iklan komersial bagi pasaran di Perancis, menampilkan versi E-Class Estate. Video ringkas ini mulanya hanya menampilkan babak biasa seorang kanak-kanak memerhatikan kepulangan jirannya.

    Namun, jumlah kanak-kanak yang menunggu ini semakin bertambah; dalam cuaca panas atau hujan, siang atau malam. Apa yang dinanti-nantikan? Mereka hanya ingin melihat kereta berkenaan masuk ke garaj letak kereta rumah berkenaan secara automatik. Ciri itu sangat memukau bagi mereka.

    Tonton video ringkas ini untuk melihat bagaimana ciri ini boleh memacu kereta secara automatik sepenuhnya, tanpa kehadiran pemandu, untuk memasuki ruang sempit yang ada.

     
     
  • SPAD cadang penggunaan CCTV, pengehad kelajuan pada bas ekspres serta sistem demerit untuk pemandu

    SPAD cadang penggunaan CCTV, pengehad kelajuan pada bas ekspres serta sistem demerit untuk pemandu

    Lagi lanjutan dari kes kemalangan maut membabitkan bas ekspres, membabitkan 14 maut selepas ia terjunam ke dalam cerun sedalam 10 meter di KM137.3 Lebuh Raya Utara-Selatan di Muar, Johor pada Sabtu lepas, Pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) Tan Sri Syed Hamid Albar berkata semua bas ekspres dan juga bas antarabandar mungkin perlu dipadankan dengan pengehad kelajuan dan juga kamera litar tertutup (CCTV) serta pemandu bas akan tertakluk pada sistem dimerit, menurut laporan The Sun Daily.

    Menurut beliau lagi, kebanyakkan bas-bas baharu telah pun dilengkapi dengan pengehad kelajuan ini dari kilang dan yang menjadi masalah sekarang pada bas-bas lama yang masih belum dipasangkan dengan sistem tersebut kerana teknologi lama yang digunakan.

    “Masalahnya sekarang, tengok berapa banyak bas yang telah memasang sistem ini, dan berapa banyak lagi yang belum? Dan apabila terjadinya kemalangan, kebiasaannya mereka tidak mematuhi dan memenuhi undang-undang SPAD,” katanya.

    Beliau juga menyatakan SPAD kini sedang mengkaji untuk memasang sistem telematik (sistem seperti kotak hitam yang dipadankan pada kapal terbang). Setakat ini, teknologi GPS yang hampir sama dengan teknologi berkenaan telah pun dipasangkan pada bas-bas. Syed Hamid menjelaskan, walaupun telematik mempunyai kelebihannya yang tersendiri iaitu mampu membaca dan merekod tabiat dan corak pemanduan, kemalangan masih boleh berlaku atas faktor lain seperti kecuaian pemandu.

    SPAD cadang penggunaan CCTV, pengehad kelajuan pada bas ekspres serta sistem demerit untuk pemandu

    “Sama ada kami memasang telematik atau tidak, isunya adalah berkenaan keselamtan penumpang. Oleh sebab itu kami, contohnya, mahu CCTV dipasang pada bas,” kata beliau dan menambah pemandu boleh dipantau sepanjang perjalanan menerusi sistem berkenaan dan sebarang salah laku yang dikesan membolehkan syarikat mengambil tindakan terhadap pemandu tersebut.

    Berkenaan sistem demerit pula, Syed Hamid menjelaskan ia mampu mengelakkan pemandu melakukan kesalahan berulang, tetapi perkara berkenaan perlu dibincangkan dengan agensi berkaitan lain seperti Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) terlebih dahulu.

    Dalam perkembangan lain, pengarah besar Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia Prof Dr Wong Shaw Voon pula mahu insuran berdasarkan risiko diperkenalkan kepada pengusaha-pengusaha bas ekspres bagi memaksa mereka mengambil berat isu keselamatan ini secara serius.

    Jelas beliau, sistem insuran berkenaan memerlukan syarikat bas yang mempunyai risiko tinggi dan tidak mengambil berat tetang isu keselamatan membayar premium insuran yang lebih tinggi, manakala syarikat bas yang mempunyai risiko rendah dan rekod yang baik diberikan bayaran lebih rendah.

    Tambah beliau lagi, ini boleh diuruskan oleh Bank Negara dan mereka mungkin sudah mula membincangkan berkenaan inisiatif ini serta menegaskan ia perlu dikenakan terhadap syarikat dan bukan pemandu.

     
     
  • Porsche Panamera Turbo Executive dijadikan lebih eksklusif oleh cabang modifikasi dalaman Porsche

    Porsche Panamera Turbo Executive dijadikan lebih eksklusif oleh cabang modifikasi dalaman Porsche

    Porsche mempunyai bahagian khas modifikasi sendiri bernama Porsche Exclusive, dan terbaru, mereka mengubah suai Panamera Turbo Executive untuk menjadikannya lebih istimewa. Kereta asas ini, pertama kali diperkenalkan pada bulan November dan sebenarnya adalah versi dengan jarak roda yang lebih panjang berbanding yang asal.

    Pada bahagian luar, Porsche Exclusive telah mewarnakan kereta ini dengan Carmine Red, menjadikan ia sesuai dengan waktu sambutan Krismas sekarang, diikuti Tahun Baru Cina akhir Januari nanti. Selepas diperiksa melalui laman Porsche USA, warna ini boleh didapati dengan harga tambahan US$3,300 (RM14,790), dan disenaraikan sebagai ‘warna istimewa’.

    Jika itu masih tidak mencukupi, penampilan kenderaan ini boleh ditingkatkan lagi dengan pilihan pakej SportDesign yang termasuk bampar, side skirt dan diffuser belakang. Untuk melengkapinya, kenderaan ini juga mendapat set rim baru berwarna perak dan hitam.

    Porsche Panamera Turbo Executive dijadikan lebih eksklusif oleh cabang modifikasi dalaman Porsche

    Pada bahagian dalam, tema sama digunakan, dengan kabin yang kebanyakannya berwarna hitam, dan diserikan dengan kemasan berwarna merah pada papan pemuka, panel pintu dan bahagian bawah konsol tengah. Kunci juga menggunakan warna sama yang menjadikan ia sesuai dengan warna kereta.

    Tiada gambar untuk bahagian dalam kenderaan ini, tetapi berdasarkan apa yang dilihat, ia datang dengan pilihan sistem hiburan untuk penumpang belakang, bersama skrin 10.1 inci yang dipasang pada bahagian belakang penyandar kepala tempat duduk hadapan. Sebagai sebuah model eksekutif, ini bermakna terdapat juga ruang kaki yang luas untuk penumpang – jarak roda 150 mm lebih panjang.

    Bagi yang memandu, mereka akan dapat menikmati kuasa sebanyak 550 hp dan 770 Nm, datang daripada enjin 4.0 liter biturbo V8 yang memacu keempat-empat tayar melalui transmisi lapan kelajuan Porsche PDK klac berkembar. Kelengkapan lain termasuk rear axle steering, lampu utama LED, pengawal suhu empat zon dan sistem Porsche Communication Management (PCM).

     
     
  • SPAD mulakan siasatan ke atas pemandu bas yang dirakam guna telefon bimbit, merokok ketika memandu

    SPAD mulakan siasatan ke atas pemandu bas yang dirakam guna telefon bimbit, merokok ketika memandu

    Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) telah memulakan siasatan terhadap seorang pemandu bas ekspres yang dirakam sedang menggunakan telefon bimbit serta merokok ketika memandu, memetik sebuah laporan dari Bernama.

    Di dalam sebuah kenyataan yang dikeluarkan, SPAD memaklumkan pegawainya telah pun mengambil keterangan daripada pengarah syarikat pengendali bas ekspres berkenaan serta pemandu yang terlibat. “SPAD juga telah mengambil kenyataan daripada pengadu. Rakaman video berkenaan serta gambar yang dirakam akan digunakan sebagai bahan bukti di dalam siasatan ini,” memetik kenyataan tersebut.

    Turut dinyatakan ialah, jika sabit kesalahan, pemandu berkenaan boleh dikenakan sama tidak lebih daripada RM2,000 atau penjara tidak lebih dari enam bulan, atau kedua-duanya sekali. Hukuman itu boleh dikenakan sekiranya beliau didapati bersalah membahayakan nyawa penumpang dan pengguna jalan raya yang lain, di bawah Seksyen 202 Akta Pengangkutan Awam Darat (APAD) 2010.

    “Jika didapati bersalah merokok di dalam kenderaan awam, pemandu berkenaan boleh dijatuhi hukuman di awah Seksyen 203 (APAD) dan boleh didenda RM10,000 atau penjara tak lebih daripada dua tahun, atau kedua-duanya sekali,” menurut kenyataan yang sama.

    Sementara itu, syarikat pengendali bas pula boleh dihukum di bawah Seksyen 22 dan 23 akta yang sama, dengan hukuman denda tidak kurang daripada RM1,000 dan tidak lebih daripada RM500,000, atau penjara tidak lebih dua tahun, atau kedua-duanya sekali.

     
     
  • Honda City facelift 2017 – ‘wajah’ penuh dibayangkan

    Honda City facelift 2017 – ‘wajah’ penuh dibayangkan

    Sebelum ini, kami telah menyiarkan imej teaser Honda City facelift 2017 dari Thailand. Walau bagaimanapun, imej-imej berkenaan hanya mendedahkan sebahagian kecil dari model yang disegarkan kembali tersebut. Laman web IndianAutosBlog telah mengubah imej berkenaan dan membayangkan bagaimana ‘wajah’ penuh City yang dikhabarkan direka berinspirasikan Civic generasi kesepuluh ini.

    Pengaruh Civic kelihatan ketara pada bahagian lampu utama hadapan, yang menampilkan teknologi LED yang direka dengan bentuk-L, seiras dengan rupa lampu hadapan abangnya itu, tetapi dengan skala yang lebih kecil. Kemasan krom seperti kening turut diberikan pada lampu tersebut, seiras dengan Civic.

    Bar krom diberikan di bahagian atas gril hadapan yang direka seperti menyambungkan kedua-dua belah lampu hadapan, dan diberikan jaring berbentuk sarang lebah di bahagian bawah. Perumah lampu kabus juga direka semula menampilkan saiz yang lebih kecil. Tiada imej render bahagian belakang dibuat, dan dijangkakan bahagian berkenaan tidak banyak mengalami perubahan berbanding bahagian hadapan.

    Honda City facelift akan dilancarkan di Thailand pada 12 Januari tahun hadapan dan dilaporkan masih dijana oleh enjin 1.5 liter SOHC i-VTEC, dipadankan sama ada dengan kotak gear lima-kelajuan manual atau CVT teknologi Earth Dreams.

     
     
  • Litar Sepang tidak akan tutup terus selepas tahun 2018

    Litar Sepang tidak akan tutup terus selepas tahun 2018

    Litar Antarabangsa Sepang (SIC) tidak akan ditutup terus, meskipun kini tidak lagi menjadi hos untuk perlumbaan F1 selepas tahun 2018. Ini dilaporkan oleh Bernama dan ketua pegawai eksekutif SIC, Datuk Razlan Razali turut memberitahu,”SIC tidak akan tutup walaupun tidak lagi menganjurkan perlumbaan F1 selepas tahun 2018. Hampir 90 peratus litar kami digunakan untuk pelbagai aktiviti setiap tahun.”

    “Malaysia Motorcycle Grand Prix (MotoGP) akan menjadi acara utama kami selepas tahun 2018, dan ia berjaya menarik ramai pengunjung setiap tahun. Meskipun begitu, kami sentiasa mencari ruang untuk lebih maju dan sudah menandatangani kontrak dengan Dorna Sports sehingga 2021,” tambah Razlan sambil memberitahu penjualan tiket untuk perlumbaan MotoGP 2017 akan diumumkan pertengahan Januari nanti.

    Razlan juga memberitahu bahawa SIC akan berkerjasama dengan Boon Siew Honda Racing untuk menghasilkan lebih banyak pelumba tempatan yang berjaya. Tujuh pelumba daripada Asian Talent Cup Championship telah dipilih untuk menjalani latihan di dalam pasukan itu Januari nanti dan pelumba terbaik akan diberi peluang untuk bersaing sama ada dalam FIM CEV Repsol Motorcycle Championship atau Moto3 World Championship pada tahun 2018 dan seterusnya.

    Menteri perlancongan dan budaya, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz juga dilaporkan memberi kenyataan bahawa Malaysia berhenti menganjurkan perlumbaan F1 berikutan pulangan kewangan yang teruk, dari penjualan tiket. Beliau memberitahu bahawa kerajaan memperuntukkan RM300 juta setahun untuknya tetapi pulangan yang diterima adalah lebih rendah daripada jumlah itu.

     
     
  • GALERI: Volvo V40 T5 Drive-E dengan talaan lengkap dari Polestar – 253 hp/400 Nm, 0-100 km/j 6.2 saat

    Sebelum ini, Volvo Car Malaysia telah mengumumkan untuk mula menawarkan program Polestar Performance Optimisation iaitu program tingkat taraf model Volvo terpilih dengan peralatan-peralatan berprestasi tinggi dari Polestar – divisi talaan rasmi pengeluar jenama dari Sweden itu.

    Unit awal Volvo V40 T5 Drive-E yang menerima pakej lengkap program tersebut kini telah pun dipamerkan di bilik pameran pengedar Volvo, Clear Marque yang terletak di Jalan Kuching, Kuala Lumpur. Pakej lengkap program Polestar Performance Optimisation ini sebenarnya boleh dibahagikan kepada lima iaitu casis, sistem kemasukan (intake) dan ekzos, roda, dalaman dan luaran, serta pengoptimuman.

    Untuk pakej casis, V40 ini menerima penyerap hentak dan spring baharu dari Polestar, manakala untuk pakej roda pula, ia hadir dengan rim Polestar yang ringan berdiameter 19-inci dibaluti tayar Pirelli P Zero bersaiz 235/35R19.

    Bagi pakej sistem kemasukan dan ekzos pula, V40 ini menerima penapis udara sport beserta penutup kotak udara baharu, sistem ekzos keluli tahan karat dengan logo Polestar pada tip muffler serta diffuser udara pada bampar belakang. Sementara untuk pakej dalaman dan luaran pula, ia terdiri dari spoiler belakang baharu, kemasan pada bendul pintu, penutup cermin sisi berwarna hitam, pedal-pedal sport serta tombol gear.

    Pakej terakhir iaitu pakej pengoptimuman merupakan pakej yang jarang ditawarkan oleh pengeluar-pengeluar di Malaysia. Pakej ini mengekstrak lebih kuasa dari enjin 2.0 liter T5 berkenaan menjadikan jumlah kuasa keseluruhan kini menjadi 253 hp (dari 245 hp) dan tork maksima 400 Nm (dari 350 Nm) membolehkan ia memecut dari 0-100 km/j dalam masa 6.2 saat, 0.1 lebih pantas dari versi standard.

    Talaan dari pakej pengoptimuman ini bukan sahaja memberikan tambahan kuasa, malah ia turut memberikan respon pendikit dan respon off-throttle yang lebih baik, penukaran gear yang lebih pantas serta gear hold yang lebih lama.

    Program Polestar Performance Optimisation boleh dibeli secara lengkap mahupun berasingan seperti yang tertera pada jadual di bawah. Pada laman oto.my kami, V40 yang lengkap dengan pakej Polestar ini di jual pada harga RM240,888. Untuk makluman anda, V40 T5 Drive-E versi standard dijual pada harga atas jalan tanpa insuran RM180,888.

    GALERI: Volvo V40 T5  Drive-E dengan talaan lengkap dari Polestar – 253 hp/400 Nm, 0-100 km/j 6.2 saat

     
     
  • SPYSHOT: Kia Picanto generasi seterusnya ditemui tanpa sebarang pelekat penyamaran di Korea

    SPYSHOT: Kia Picanto generasi seterusnya ditemui tanpa sebarang pelekat penyamaran di Korea

    Hanya beberapa hari lepas, Kia telah mengeluarkan gambar teaser untuk model Picanto generasi seterusnya. Ia akan diperkenalkan secara rasmi awal tahun hadapan, tetapi terima kasih kepada laman The Korean Car Blog, kita dapat melihat awal rupa sebenar kenderaan kompak ini.

    Ia memang sama seperti gambar yang dikeluarkan tersebut, dengan semua kelengkapan ada padanya termasuk lampu siang LED berbentuk U, gril tiger nose yang nipis, lampu kabus bulat dan salur udara hiasan di bahagian hujung bampar.

    Bahagian lain yang boleh dilihat jelas adalah rim aloi lapan jejari, salur udara hiasan yang diwarnakan kuning bersama bahagian side skirt, bumbung suria dan penunjuk arah pada cermin sisi. Meskipun tiada sebarang gambar bahagian dalam dan belakang kereta ini, berkemungkinan ia akan jadi sama seperti apa yang ditunjukkan sebelum ini.

    SPYSHOT: Kia Picanto generasi seterusnya ditemui tanpa sebarang pelekat penyamaran di Korea

    Bagi bahagian belakang, jika mengikut gambar yang didedahkan sebelum ini, Picanto baru akan menggunakan lampu yang dibentuk semula – lebih kecil berbanding Picanto generasi kedua (TA), serta bampar yang lebih agresif, dengan terdapat diffuser, muncung ekzos berkembar dan lampu kabus yang lebih petak.

    Pada bahagian dalam, Picanto baru ini dijangka lebih mewah, dengan terdapat papan pemuka bertingkat, skrin sistem hiburan dan informasi yang ‘terapung’, corong pendingin hawa berbentuk unik dan roda stereng tiga jejari.

    Kuasa pemacu Picanto baru dijangka masih adalah enjin 1.0 liter tiga silinder, 1.2 Kappa II empat silinder dan 1.0 liter tiga silinder Kappa TCI Turbo. Transmisi automatik empat kelajuan, manual lima kelajuan dan CVT juga sepatutnya masih digunakan.

     
     
  • Pengusaha bas mahu mekanisma tambang yang lebih fleksibel dari kerajaan jika gaji pemandu dinaikkan

    Pengusaha bas mahu mekanisma tambang yang lebih fleksibel dari kerajaan jika gaji pemandu dinaikkan

    Susulan cadangan Pengerusi Suruhajaya Pengangkutan Awam Darat Tan Syed Hamid Albar sebelum ini yang mahu gaji pemandu bas dinaikkan dan sistem komisen dikaji semula untuk mengelakkan mereka mengejar trip serta mengabaikan keselamatan, Persatuan Pengusaha-pengusaha Bas Se-Malaysia memberikan respon cadangan itu boleh dipertimbangkan sekiranya pemain industri dibenarkan mengenakan tambang lebih ‘fleksibel’ terhadap perkhidmatan yang ditawarkan mereka, menurut laporan Bernama.

    Presidennya Datuk Mohamad Ashfar Ali berkata hanya dengan cara sedemikian dapat membantu pengusaha bas menawarkan gaji yang lebih tinggi kepada pemandu seperti dicadangkan SPAD dan kerajaan perlu mewujudkan ‘situasi menang-menang’.

    “Adalah mustahil untuk melaksanakan cadangan itu melihat kepada beban kenaikan kos perkhidmatan yang ditanggung pengusaha ketika ini.

    “Sekiranya kerajaan mahu melaksanakannya, ia perlu diselaraskan dengan semakan semula harga tiket bas ekspres yang kali terakhir dilakukan hampir 10 tahun lalu,” kata Mohamad Ashraf.

    Namun, Yang Dipertua Persatuan Pengusaha Bas Ekspres Melayu Semenanjung Malaysia Che Ibrahim Che Ismail pula berkata, semua syarikat bas ekspres di negara ini tidak lagi mengamalkan pemberian komisen mengikut trip. Menurutnya kaedah itu hanya digunakan pengusaha ‘bas pau’, iaitu golongan yang menjalankan perkhidmatan bas ekspres tetapi menggunakan lesen serta kenderaan milik orang lain.

    “Amalan memberi komisen itu sudah tidak wujud sebaliknya pemandu bas kini menikmati pelbagai imbuhan lain seperti elaun kebersihan, elaun perjalanan, bonus serta mempunyai caruman bulanan KWSP (Kumpulan Wang Simpanan Pekerja).

    “Majikan juga menjaga kebajikan pemandu bas dengan baik termasuk memastikan mereka mendapat perlindungan Perkeso (Pertubuhan Keselamatan Sosial),” katanya.

    Menurut Pengurus Bas Mahligai Expres Wan Safri Wan Ali pula, industri itu berdepan masalah kekurangan pemandu antara 500 dan 1,000 orang dan ini menyulitkan mereka untuk menapis dan mendapatkan pemandu yang berkualiti. Tambah beliau lagi, dianggarkan 4,000 buah bas dan 6,000 pemandu beroperasi di seluruh negara, tetapi jumlah itu masih belum mencukupi bagi menampung permintaan semasa pasaran.

    Wan Safri mendakwa gaji yang tidak setimpal dan lesen pemandu yang mahal antara faktor ramai yang tidak berminat untuk menjadi pemandu bas.

     
     
  • Toyota Coaster generasi keempat akan diperkenal Januari 2017 di Jepun – lebih banyak ciri keselamatan

    Toyota Coaster generasi keempat akan diperkenal Januari 2017 di Jepun – lebih banyak ciri keselamatan

    Bagi mereka yang dulu bersekolah di sekolah asrama penuh, nama Coaster pasti akan diingati kerana ini adalah ‘bas mini’ yang banyak mengangkut pelajar jika keluar untuk aktiviti. Nama sebenarnya didapati daripada model terkenal Toyota Coaster yang telah wujud sejak tahun 1969. Model yang ada kini, adalah daripada generasi ketiga dan diperkenalkan pada tahun 1993.

    Setelah 23 tahun, Toyota akan memperbaharui Coaster dengan pengenalan generasi keempat yang dibina atas platform baru dan mempunyai lebih banyak ciri keselamatan. Pertamanya adalah kerangka badan yang mempunyai lingkaran pelindung tersembunyi, mampu memberi perlindungan sekiranya terbalik.

    Seterusnya, kenderaan ini juga dilengkapi dengan Vehicle Stability Control (VSC) dan beg udara Supplemental Restraint System (SRS) untuk pemandu dan juga penumpang yang berada di hadapan sekali. Bagi tempat duduk lain pula, ia didatangkan dengan tempat duduk tiga penjuru seperti kereta biasa.

    Untuk saiznya, Toyota juga memberitahu ruang dalam model baru ini lebih besar dan luas, dan keselesaan penumpang akan dijamin dengan kualiti NVH yang lebih bagus dan pergerakan lebih stabil. Toyota Coaster generasi keempat akan diperkenalkan dalam lima varian dengan jumlah tempat duduk antara 24 hingga 52 orang dan kesemuanya dikuasakan oleh enjin N04C-VJ 4.0-liter. Harganya pula dalam lingkungan 5,940,000 Yen RM226,846 hingga 8,872,200 Yen (RM338,826).

     
     
  • Bullit Hero 125 Scrambler – klasik moden dari Belgium

    Bullit Hero 125 Scrambler – klasik moden dari Belgium

    Bullit Motorcycles, sebuah syarikat pengeluar motosikal dari Belgium mungkin tidak begitu dikenali di negara kita. Tetapi selain di negaranya sendiri, ia juga cukup terkenal di United Kingdom dan Perancis kerana menyediakan model motosikal yang bergaya, tetapi mempunyai kapasiti enjin rendah, seterusnya membuatkan harganya juga lebih rendah.

    Hero 125 Scrambler adalah buah tangan terbaru syarikat itu dan ia akan diperkenalkan secara rasmi awal tahun 2017 nanti. Setakat ini, hanya gambar ini sahaja yang disiarkan bersama beberapa perincian penting. Hero 125 Scrambler menggunakan enjin 124 cc satu silinder, dipadankan bersama transmisi lima kelajuan dan mampu menghasilkan sehingga 11.5 hp pada 9,500 rpm.

    Pada harga £2,400 (RM13,201), Hero 125 Scrambler menawarkan sebuah scrambler gaya klasik lengkap dengan pelindung enjin, ekzos yang terletak tinggi, rim jenis spoke, fork USD, brek cakera depan belakang, dan tayar berbunga kasar. Selain itu, enjin yang digunakan pada Hero 125 Scrambler juga menepati tahap emisi Euro 4.

    Di negara sebelah sana, mungkin Bullit boleh diterima ramai, tetapi di negara kita, keadaannya lebih sengit kerana sudah sedia banyak motosikal berkapasiti kecil yang berharga lebih murah. Sekurang-kurangnya, ia boleh dijadikan inspirasi jika ada yang ingin mengubah suai motosikal mereka. Kami nampak, jika KLX 150 dijadikan sebegini juga mungkin menarik.

     
     
  • Lebuhraya MEX tawar 10% diskaun tol 1 Jan 2017 ini

    Lebuhraya MEX tawar 10% diskaun tol 1 Jan 2017 ini

    Maju Expressway Sdn Bhd (MESB) telah mengumumkan pemberian diskaun tol sebanyak 10% di Lebuhraya Maju (MEX) sempena dengan sambutan Tahun Baharu 2017 ini.

    Menurut pengendali lebuhraya terbabit, pemberian diskaun tol itu adalah bagi semua kelas kenderaan, dilaksanakan bermula 12.01 pagi sehingga 11.59 malam pada 1 Januari ini.

    Dianggarkan lebih 100,000 kenderaan bakal menikmati diskaun ini. Ia merupakan sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat MESB dan pemberian diskaun tol ini turut diberikan pada musim perayaan.

     
     
  • Toyota Corolla serba baharu bakal guna enjin BMW?

    Toyota Corolla serba baharu bakal guna enjin BMW?

    Pada Disember 2011, BMW dan Toyota telah mendatangani kerjasama untuk membina teknologi mesra alam bersama. Antara intipati perjanjian berkenaan termasuk persetujuan BMW untuk membekalkan enjin turbodiesel 1.6 dan 2.0 liter kepada Toyota Motor Europe (TME) bermula tahun 2014.

    Enjin-enjin berkenaan telah pun diberikan pada sedan Toyota Avensis dan juga MPV Verso, dan kini laporan dari Jepun mengatakan Corolla turut akan menerima enjin dari BMW untuk model generasi berikutnya, menurut laporan Indianautoblog.

    Walau bagaimanapun, ura-ura tersebut mengatakan hanya Corolla varian tertinggi akan menerima enjin BMW tersebut. Perincian enjin berkenaan juga masih belum jelas, tetapi ia mungkin salah satu atau kedua-dua enjin turbo diesel yang dinyatakan dalam perjanjian tersebut.

    Corolla generasi baharu berkemungkinan besar akan dibina diatas platform Toyota New Global Architecture (TNGA), asas yang sama pembinaan Toyota Prius generasi keempat dan juga crossover C-HR terbaharu. Ini membolehkan Corolla baharu ini memnggunakan kesemua pilihan enjin yang ditawarkan pada CH-R iaitu enjin 8NR-FTS 1.2 liter turbo tiga-silinder, enjin 2.0 liter Dual VVT-i empat-silinder dan juga enjin 1.8 liter VVT-i kitaran Atkinson empat silinder.

    Selain dari perjanjian ini, BMW dan Toyota turut menjalankan kerjasama untuk membina kereta sport terbaharu dengan jenama masing-masing bermula Januari 2013, berasaskan platform yang sama iaitu roadster BMW Z5 dan juga Toyota Supra genarasi terbaharu. Kedua-dua kereta sport berkenaan kini dalam peringkat pembinaan yang sama dan dijangka akan diperkenalkan pada hujung 2017 atau awal 2018.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (-0.04)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.10
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.90 (-0.04)
EURO 5 B7 RM3.10 (-0.04)
Last Updated Aug 14, 2025