Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Suzuki Swift 2017 telah diperkenalkan di Jepun

    Suzuki Swift 2017 telah diperkenalkan di Jepun

    Suzuki Motor Corporation telah pun melancarkan model Swift 2017 serba baharu dan ia bakal mula dijual di Jepun pada 4 Januari 2017. Swift serba baharu ini didatangkan dengan gaya yang lebih menarik dan sporty, malah turut dipertingkatkan pengendalian dan penjimatan bahan api yang lebih efisien.

    Bagi pasaran Jepun, ia ditawarkan dengan enam varian iaitu RSt, Hybrid RS, RS, Hybrid ML, XG dan XL. Malah turut ditawarkan dengan beberapa pilihan penjana kuasa termasuk enjin petrol K10C 1.0 liter BOOSTERJET tiga-silinder turbo suntikan-terus DOHC (102 PS/150 Nm) bersama transmisi automatik enam-kelajuan dan sistem pacuan dua-roda hadapan.

    Selain itu, ia turut didatangkan dengan enjin K12C 1.2 liter DUALJET empat-silinder suntikan-terus DOHC (91 PS/118 Nm) dengan transmisi manual lima-kelajuan dan automatik CVT, serta boleh didapati dengan sistem pacuan dua- dan empat-roda.

    Suzuki Swift 2017 telah diperkenalkan di Jepun

    Manakala bagi dua varian hibrid pula, ia tampil dengan kombinasi K12C bersama sistem hibrid SHVS (Smart Hybrid Vecicle by Suzuki), tetapi mempunyai tambahan starter generator 2.3 kW (3 hp) untuk membantu enjin tersebut semasa memecut dan mendapat kembali kuasa elektrik apabila kenderaan membrek.

    Buat pertama kali, “Pakej Keselamatan” pilihan turut ditawarkan untuk semua varian kecuali XG, ini termasuklah Dual Sensor Brake Support (DSBS) iaitu bagi sistem mengurangkan risiko perlanggaran yang turut menampilkan elemen seperti kamera monocular dan pengesan laser serta bantuan lampu tinggi yang secara automatik boleh berfungsi untuk menyuluh lampu tinggi atau rendah. Selain itu, ia turut dilengkapi dengan sistem kawalan kelajuan adaptif (ACC) yang boleh mengekalkan jarak kenderaan dengan kenderaan di hadapan.

    Bukan itu sahaja, ia turut dilengkapi dengan enam beg udara (dua di hadapan, sisi dan tirai), ESP dan ABS sebagai elemen standad.

    Suzuki Swift 2017 telah diperkenalkan di Jepun

    Swift generasi baru ini juga dibina dengan dimensi baru, berukuran 3,840 mm panjang (+10 mm), 1,695 mm lebar (sama), 1,500 mm tinggi (-10 mm) dan jarak roda 2,450 mm (+20 mm). Walau bagaimanapun, bagi varian pacuan empat roda, ia lebih tinggi 15 mm (1,525 mm) berbanding varian yang lain. Bergantung pada model juga, berat kenderaan ini boleh menjadi antara 860 kg hingga 970 kg.

    Antara kelengkapan yang ada pada Swift generasi baru ini adalah lampu utama LED, rim aloi 16 inci, lampu kabus halogen, lampu kabus belakang, serta kit badan yang lebih sporty utuk varian RS. Pada bahagian dalam pula, terdapat roda stereng yang rata di bawahnya, sistem hiburan dan informasi dengan skrin sesentuh (bersama sistem kawalan suara dan navigasi), pendingin hawa automatik dan operasi tanpa kunci.

    Semua spesifikasi yang disebut ini adalah untuk varian yang bakal dipasarkan di Jepun. Ia akan ditawarkan pada harga bermula 1,343,520 yen (RM51,268) sehingga to 1,941,840 yen (RM74,107) di negara tersebut. Walau bagaimanapun, Swift 2017 ini juga akan dijual di pasaran global dan akan diperkenalkan di Geneva Motor Show pada Mac 2017 ini.

     
     
  • Kia Grand Carnival 2.2 CRDi – spesifikasi dan harga didedahkan; 200 PS/440 Nm, harga dari RM154k

    Kia Grand Carnival 2.2 CRDi – spesifikasi dan harga didedahkan; 200 PS/440 Nm, harga dari RM154k

    Pertama kali dipertontonkan kepada khalayak di MIECC Serdang pada November lalu, MPV saiz besar, Kia Grand Carnival kini mula dipamerkan di bilik pameran Naza Kia Red Cube, Petaling Jaya – dengan pendedahan terhadap varian dan spesifikasinya.

    Dua varian akan ditawarkan untuk pasaran Malaysia, iaitu 2.2D dan 2.2D GS, dengan harga bermula RM153,888 serta bagi varian dengan spesifikasi paling tinggi, RM181,888. Semua harga yang dinyatakan di sini adalah harga atas jalan termasuk insurans, serta didatangkan dengan jaminan lima tahun tanpa had perbatuan dan juga tertakluk di bawah skim ‘Value 5’ oleh Naza Kia.

    Menjadi nadi penggerak bagi MPV ini ialah enjin 2.2 liter CRDi turbodiesel empat silinder, membekalkan kuasa sejumlah 200 PS pada 3,800 rpm dan 440 Nm tork dari 1,750 hingga 2,750 rpm. Kedua-dua varian menggunakan enjin yang sama, dipadankan dengan kotak gear automatik enam-kelajuan.

    Kia Grand Carnival 2.2 CRDi – spesifikasi dan harga didedahkan; 200 PS/440 Nm, harga dari RM154k

    Aspek luaran, kedua-dua varian Kia Grand Carnival ini dipasangkan lampu utama projektor halogen (dengan lampu nyalaan siang LED), lampu kabus di bahagian depan dan belakang, lampu belakang gabungan dari jenis LED, cermin sisi elektrik (dengan lampu isyarat LED) dan antena ‘sirip jerung’.

    Kedua-duanya turut dilengkapi dengan rim aloi 18 inci (dengan tayar bersaiz 235/60) – berbeza dengan versi krom dalam saiz 19 inci seperti yang dilihat pada unit yang dipertontonkan di MIECC dahulu. Bagi varian tertinggi 2.2D GS pula, ia dibezakan daripada varian asas dengan penggunaan gril depan dalam warna hitam berkilat dan perincian putih, serta dilengkapi rak bumbung.

    Ciri khusus lain pada varian GS ialah pintu gelungsur elektrik, operasi tanpa kunci (termasuk Push Start) dan pintu belakang pintar yang juga dikuasakan oleh elektrik. Ciri-ciri ini tidak terdapat pada varian asas; ia hanya dikendalikan secara manual, dengan kunci standard.

    Kia Grand Carnival 2.2 CRDi – spesifikasi dan harga didedahkan; 200 PS/440 Nm, harga dari RM154k

    Di bahagian dalam, tempat duduknya dibalut dengan kulit, dan bagi varian asas pula, ia menggunakan tempat duduk fabrik dan disertakan dengan ciri kawalan pendingan hawa automatik triple-zone dengan cluster ioniser (kendalian secara manual bagi varian 2.2D).

    Selain daripada ciri-ciri yang dinyatakan ini, kedua-dua varian berkongsi kelengkapan dalaman yang serupa; kluster instrumen Supervision TFT-mono OLED 3.5 inci, skrin sentuh 4.3 inci TFT bagi sistem hiburan, kamera undur dan enam pembesar suara.

    Sebagai tambahan, tempat duduk depan dialihkan secara manual, dengan lumdar support bagi sebelah pemandu. Tempat duduk barisan kedua boleh dilipat dalam nisbah 40:20:40, dan boleh ditolak ke hadapan untuk memudahkan penumpang memasuki barisan ketiga.

    Kia Grand Carnival 2.2 CRDi – spesifikasi dan harga didedahkan; 200 PS/440 Nm, harga dari RM154k

    Kerusi barisan ketiga pula boleh dilipat dalam nisbah 50:50 untuk membolehkan penggunaan ruang kargo yang lebih luas. Setiap baris tempat duduk dilengkapi dengan corong pendingin hawa sendiri di bahagian siling, untuk memudahkan capaian.

    Bagi ciri-ciri keselamatan pula, ia dilengkapi dengan enam beg udara, sensor parkir di bahagian depan dan belakang, Electronic Stability Control, ABS dan Hill Assist Control merupakan ciri standard bagi kedua-dua varian. Turut disertakan ialah tapak Isofix – dua pada barisan kedua dan satu lagi di barisan ketiga.

    Kia Grand Carnival 2.2D

    Kia Grand Carnival 2.2D GS

     
     
  • VIDEO: ‘Livery’ perlumbaan Ford Fiesta WRC 2017 didedahkan – Red Bull Racing untuk Sebastien Ogier

    Pembina jentera dan pengendali pasukan rali dunia Ford iaitu M-Sport telah memperkenalkan Ford Fiesta WRC 2017 hampir tiga minggu lalu, tetapi ia hanya tampil dengan warna badan putih keseluruhan tanpa livery perlumbaan. Menerusi video terbaharu yang disiarkan oleh M-Sport ini, jentera berkenaan kini sudahpun diberikan livery Red Bull Racing.

    Video berkenaan menunjukkan bekas pemandu Group B WRC dan juga Bos M-Sport, Malcom Wilson, berjalan dari pejabatnya menuju ke garaj pasukan pada malam sambutan krismas tahun ini. Sebelum sampai ke Fiesta WRC 2017, beliau turut melintasi jentera-jentara Ford M-Sport terdahulu bermula dengan Ford Focus WRC 1999 yang dipandu mendiang Colin McRae, Ford Focus WRC 2008 yang dipandu oleh Jari-Matti Latvala serta Ford Fiesta WRC 2011 yang dipandu oleh Mikko Hirvonen.

    Ford Fiesta 2017 no.1 dengan livery Red Bull yang disifatkan oleh Wilson sebagai ‘hadiah krismas terbaik’ ini akan dipandu oleh juara bertahan dan juga juara WRC empat kali berturut-turut, Sebastien Ogier, yang menyertai Ford setelah pasukan lamanya – Volkswagen – terpaksa menarik diri dari WRC bermula musim hadapan. Walau bagaimanapun, pemandu kedua Ford, Ott Tanak menerima Fiesta dengan livery “geometrically-inspired” berwarna biru-putih.

    VIDEO: ‘Livery’ perlumbaan Ford Fiesta WRC 2017 didedahkan – Red Bull Racing untuk Sebastien Ogier

    Jentera terbaharu ini dibina dari kerangka badan Ford Fiesta generasi terbaharu versi hatchback tiga pintu yang baharu sahaja diperkenalkan di Jerman akhir bulan lalu, dan masih lagi belum menerjah pasaran. Ia turut dibangunkan dengan memenuhi spesifikasi undang-undang WRC baharu, yang membenarkan enjin 1.6 liter suntikan bahan api terus menggunakan pengecas turbo dengan restrictor berdiameter 36 mm, membolehkan ia menghasilkan kuasa 380 hp/450 Nm.

    Undang-undang baharu WRC ini mensasarkan kereta-kereta yang bertanding untuk musim hadapan dapat memberikan sensasi rali era Group-B, justeru membenarkan pengeluar membina kereta dengan lebih lebar bagi memadankan kit aero lebih agresif serta penggunaan LSD elektronik-hidraulik pada bahagian tengah.

    Sebelum didedahkan secara rasmi, jentera baharu ini turut dikesan sedang di uji oleh Ott Tanak pada Oktober lalu

     
     
  • Najib ajak orang ramai beri respons mengenai MRT

    Najib ajak orang ramai beri respons mengenai MRT

    Laluan fasa pertama perkhidmatan Mass Rapid Transit (MRT) iaitu antara Sungai Buloh dan Semantan, telah pun mula beroperasi sejak 16 Disember lalu. Ia melibatkan jarak sejauh 21 kilometer dan meliputi stesen Sungai Buloh, Kampung Selamat, Kwasa Damansara, Kwasa Sentra, Kota Damansara, Surian, Mutiara Damansara, Bandar Utama, Taman Tun Dr Ismail, Phileo Damansara, Pusat Bandar Damansara dan Semantan.

    Malahan selama sebulan sejak ia dilancarkan sehingga 16 Januari ini, perkhidmatan ini ditawarkan secara percuma termasuk penggunaan bas perantara dan ruang meletak kenderaan. Tambang hanya akan dikenakan bermula 17 Januari 2017.

    Bernama melaporkan, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak telah menjemput orang ramai untuk memberikan respons terhadap perkhidmatan MRT ini.

    “Dah 10 hari MRT beroperasi, macam mana, siapa dah naik? Boleh beri maklum balas kepada @MRTMalaysia kalau ada apa-apa cadangan dan pendapat,” tulis Najib dalam catatan di laman rasmi Facebook beliau malam tadi.

    Jadi, bagi anda yang telah mencuba perkhidmatan ini, jangan lupa untuk kongsikan pendapat dan komen masing-masing sama ada menerusi @mrtmalaysia di Instagram atau pun Facebook.

    Baca pengalaman kami menaiki MRT pada hari pertama ia beroperasi DI SINI.

     
     
  • Komisen pemandu bas ekspres perlu dikaji semula, gaji asas perlu lebih tinggi untuk elak kejar trip – SPAD

    Komisen pemandu bas ekspres perlu dikaji semula, gaji asas perlu lebih tinggi untuk elak kejar trip – SPAD

    Susulan kemalangan maut membabitkan bas ekspres, membabitkan 14 maut selepas bas berkenaan terjunam ke dalam cerun sedalam 10 meter di KM137.3 Lebuh Raya Utara-Selatan di Muar, Johor pada Sabtu lepas, Bernama melaporkan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) mencadangkan supaya syarikat bas ekspres menyemak semula mekanisme memberi upah berbentuk komisen kepada pemandu bas.

    Menurut Pengerusinya Tan Sri Syed Hamid Albar, pemandu bas perlu diberi gaji asas yang lebih tinggi bagi mengelakkan mereka terlalu mengejar komisen sehingga terdedah kepada risiko kemalangan akibat faktor keletihan dan pemanduan laju.

    “Bila gaji asas yang diberi tidak tinggi, ia menggalakkan pemandu mengejar ‘trip’ untuk mendapat komisen bagi meningkat pendapatan mereka,” katanya kepada pemberita semalam dan menambah operator bas ini perlu digalak untuk memberi gaji yang lebih tinggi kepada pemandu mereka

    Namun, Syed Hamid menjelaskan cadangan tersebut bukanlah penyelesaian total terhadap isu keselamatan bas ekspres tetapi beliau percaya ia merupakan sebahagian penyelesaian bagi mengelak pemandu keletihan ketika memandu. Dengan penyelarasan itu juga, syarikat atau operator bas juga perlu dibenarkan untuk mengenakan tambang yang lebih fleksibel supaya mampu membayar gaji lebih tinggi kepada pemandu mereka.

    Komisen pemandu bas ekspres perlu dikaji semula, gaji asas perlu lebih tinggi untuk elak kejar trip – SPAD

    Syed Hamid turut menjelaskan, menurut ‘traffic ordinance‘, SPAD hanya mengeluarkan lesen (operator bas), perkara lain (berkaitan had laju dan pemandu) adalah di bawah (bidang kuasa) JPJ (Jabatan Pengangkutan Jalan) dan polis trafik. SPAD tidak mempunyai kuasa untuk memeriksa pemandu dan kawal kesalahan had laju.

    Justeru, beliau meminta orang ramai supaya tidak mudah menuding jari terhadap suruhanjaya berkenaan apabila berlakunya sesuatu kejadian kemalangan atau kesalahan lalu lintas oleh kenderaan awam dan berat. “Kita boleh suspended (gantung) lesen jika ada kes melibatkan bas ekspres sehingga kita puas hati, yang itu di bawah bidang kuasa kita,” katanya.

    Beliau berharap semua agensi berkaitan perlu duduk bersama bagi membincangkan pengenalan undang-undang baharu atau pelaksanaan langkah-langkah penambahbaikan perkhidmatan kenderaan bas. “Di pihak SPAD kita berminat dengan cadangan seperti pemasangan ‘seat belt’ dalam bas ekspres, ini perlu dibincang bersama,” katanya lagi.

    Tambah Syed Hamid lagi, Institut Kajian Keselamatan Jalan Raya (MIROS) misalnya, akan mengemukakan hasil siasatan dan cadangan terhadap kes-kes kemalangan yang boleh diaplikasikan oleh kerajaan bagi mengelak kejadian sama berulang.

     
     
  • Daihatsu bakal pamerkan 11 model konsep custom unik dengan empat tema di Tokyo Auto Salon 2017

    Daihatsu bakal pamerkan 11 model konsep custom unik dengan empat tema di Tokyo Auto Salon 2017

    Jenama yang sinonim dengan budaya K-Car custom, Daihatsu, akan ke Tokyo Auto Salon 2017 dengan 11 model yang diubahsuai. Jenama berkenaan akan menampilkan empat tema ubahsuai berbeza di pameran budaya ubahsuai kenderaan terulung di Jepun itu.

    Tema pertama digelar Sporza, menampilkan rupa yang paling sporty diantara kesemua tema. Empat model dipilih untuk diterapkan dengan tema ini iaitu Copen, Boon, Thor dan Move Canbus. Kesemua model dengan tema Sporza ini menerima warna merah dan hitam pada bahagian luaran, digandingkan dengan rim berwarna emas.

    Yang kedua pula digelar Grand Custom, diberikan kepada model Thor, Tanto dan Move. Menerusi tema Grand Custom ini, ketiga-tiga model berkenaan menerima warna badan kelabu gelap dan hitam bersama kemasan krom, lampu-lampu tambahan serta rim berwarna biru.

    Gaya retro diberikan pada tema ketiga yag digelar Beach Cruising, diberikan pada Move Canbus dan Boon. Kedua-dua kereta berkenaan diberikan warna biru muda, kemasan-kemasan kayu serta rim bersalut krom. Khas untuk Canbus, ia turut diberikan kemasan white wall pada kesemua tayar.

    Tema terakhir pula digelar Cross Field, diterapkan pada dua buah model iaitu Cast Activa dan Wake. Kedua-dua model ini menerima warna badan hijau gelap dengan elemen oren pada rim dan juga kemasan-kemasan tertentu.

    Walau bagaimanapun, Daihatsu tidak mengumumkan sama ada kesemua kereta ini hanya diberikan perubahan estetik pada bahagian luaran ataupun turut melibatkan pengubahsuaian pada enjin dan sistem mekanikal lain.

     
     
  • Jualan kenderaan Thai diramal cecah 800k pada 2017

    Jualan kenderaan Thai diramal cecah 800k pada 2017

    Suasa pasaran automotif di Thailand dijangka akan lebih positif tahun depan, selepas ramalan bagi 2017 dijangka meningkat kepada 800,000 unit, berbanding jangkaan awal sebanyak 780,000 unit. Antara faktor akan menyumbang kepada hal itu ialah keadaan ekonomi yang semakin pulih serta tiadalah had waktu lima tahun bagi kenderaan yang dibeli di bawah skim kenderaan pertama, memetik laporan Bangkok Post.

    Jurucakap bagi kelab industri automotif di bawah Federation of Thai Industries (FTI), Surapong Paisitpatanapong menyatakan, jualan kenderaan di sana dijangka akan melonjak sebanyak 6.7% kepada 800,000 unit tahun depan. Jika ini berlaku, ia menjadi kenaikan pertama yang dicatatkna dalam tempoh empat tahun sejak trend penyusutan industri yang bermula sejak 2003.

    Jualan kenderaan Thailand mencecah 1.45 juta unit pada 2012, dengan pengecualian cukai bagi pembeli kereta pertama menjadi antara pemangkinnya. Ini termasuk permintaan yang tinggi daripada kawasan yang teruk dilanda banjir pada 2011.

    Setelah itu, jualannya mula menurun; 1.33 juta unit pada 2013, 881,832 unit pada 2014 dan 799,592 unit pada 2015. Selepas tamat Thai Moto Expo dengan sambutan yang tidak begitu menggalakkan, 2016 dijangka akan ditutup dengan jualan sekitar 750,000 unit.

    Jualan kenderaan Thai diramal cecah 800k pada 2017

    Kereta yang dibeli di bawah skim kenderaan pertama sewaktu pemerintahan Yingluck dahulu perlu digunakan selama lima tahun, sebagai antara polisinya. Perkara itu akan tamat pada September 2017, dan ini akan memacu kepada peningkatan jualan kenderaan baharu tahun depan.

    “Sejumlah 20,000 hingga 30,000 pembeli di bawah skim berkenaan dijangka akan membeli kereta baharu sebaik sahaja tempoh berkenaan tamat. Kami sangat optimis dengan sentimen pasaran untuk tahun depan. Saya juga yakin bahawa institusi kewangan akan melonggarkan dan memudahkan urusan pinjaman pembeli sebaik sahaja keadaan ekonomi beralih positif,” ujar beliau.

    Surapong turut menyentuh tentang ramalan positif Bank Dunia terhadap ekonomi Thailand bagi tahun 2017; GDP Thailand dijangka catat pertumbuhan 0.1% kepada 3.2% tahun depan. Eksport barangan dan perkhidmatan diramal akan meningkat sebanyak 1% pada 2017, meningkat daripada ramalan pertumbuhan 0.4% bagi 2016, dipacu oleh permintaan tinggi dari Amerika Syarikat.

    Bagaimanapun, suasa tidak menentu masih menyelebungi pasaran tempatan di Malaysia;; tahun lalu mencatatkan jumlah tertinggi sebanyak 666,674 unit. Setakat November 2016 pula, jumlah jualan industri ialah 597,306 unit, iaitu 13.7% lebih rendah berbanding tempoh sama tahun lalu.

     
     
  • Diskaun tol 10% di laluan BESRAYA, NPE dan LEKAS

    Diskaun tol 10% di laluan BESRAYA, NPE dan LEKAS

    Sempena sambutan hari Natal Ahad nanti, IJM Corporation Berhad selaku pemegang konsesi Lebuhraya Sungai Besi (BESRAYA), New Pantai Expressway (NPE) dan Lebuhraya Kajang-Serembang (LEKAS) menawarkan potongan kadar tol sebanyak 10%, lapor Bernama.

    Menurut Ketua Pegawai Operasi Bahagian Tol IJM, Wan Salwani Wan Yusoff, potongan harga berkenaan akan bermula pada 12.01 am pada hari Ahad di semua plaza tol NPE dan BESRAYA, serta plaza tol Ampangan di LEKAS.

    Beliau menambah, bagi memastikan perjalanan lancar, pengguna ke Selatan dicadang untuk menggunakan LEKAS, sementara mereka yang ingin ke Timur menggunakan laluan lanjutan baharu BESRAYA dari Salak Selatan atau Jalan Istana ke MRR2 melalui plaza tol Loke Yew.

     
     
  • Volkswagen Golf R facelift – lebih bergaya, berkuasa

    Volkswagen Golf R facelift – lebih bergaya, berkuasa

    Volkswagen Golf facelift sudah pun didedahkan kepada umum, dan seterusnya, pengeluar dari Jerman itu akan mengeluarkan model prestasi yang terletak lebih tinggi daripada varian GTI, iaitu Golf R. Ia bakal tiba dengan dua pilihan jenis badan iaitu hatchback dan wagon.

    Seperti yang dijangka, Golf R menerima penggayaan baru sama seperti Golf facelift yang lain, jadi, bampar dan lampu utama yang hampir sama juga digunakan. Walaubagaimanapun, terdapat beberapa rekaan yang unik untuk model prestasi ini.

    Gril atas kenderaan ini contohnya, mempunyai lencana “R” sebenar, manakala ruang angin bawah tidak lagi menggunakan rekaan honeycomb, sebaliknya barisan segi empat tempat. Pada bahagian lain, cermin sisinya pula menggunakan warna perak, muncung ekzosnya mempunyai empat tempat keluar, berbanding dua sahaja pada model GTI. Ia kemudiannya dilengkapkan dengan diffuser dan lagi lencana R di pintu but.

    Volkswagen Golf R facelift – lebih bergaya, berkuasa

    Pada bahagian dalam, Volkswagen menggunakan sistem informasi dan hiburan Composition Colour baru secara standard, dengan varian yang lebih tinggi mendapat sistem Discover Pro dan skrin sesentuh 9.2 inci serta panel instrumen digital 12.3 inci.

    Pengeluar Jerman itu juga berjaya menghasilkan kuasa yang lebih daripada enjin 2.0 liter TSI pada Golf R, dengan kini berkemampuan 310 PS kuasa dan 400 Nm tork, iaitu 10 PS dan 20 Nm lebih berbanding sebelumnya. Kuasa ini disampaikan kepada semua empat tayar melalui transmisi manual enam kelajuan atau automatik DSG, dan sistem pacuan 4Motion. Golf R juga boleh memecut 0-100km/j dalam masa 4.6 saat (lebih laju 0.4 saat).

     
     
  • VIDEO: Kia GT ditunjuk dalam siri video teaser ringkas

    Sedan pacuan roda belakang terbaru Kia GT diberitahu akan membuat kemunculan semasa Detroit Auto Show Januari nanti. Namun, syarikat pengeluar dari Korea tersebut telah mengeluarkan siri video teaser untuk kenderaan ini.

    Dalam video pertama, tidak banyak yang dapat dilihar berkenaan kenderaan itu, tetapi ia dilakukan di litar Nurburgring, dengan menunjukkan meter kelajuannya mencapai tahap 244 km/j. Dengan prestasi seperti itu, ia dijangka akan menggunakan enjin V6 3.3 liter twin turbo, yang berkemampuan 365 hp/ 510 Nm tork, dan digunakan pada model Genesis G80.

    Dalam video seterusnya, Kia menunjukkan garis luar kenderaan ini, yang dilihat bukanlah seperti sedan biasa, tetapi mempunyai bahagian belakang yang menjunam sebuah fastback, seperti model Audi A7 Sportback. Dari depan pula, ia kelihatan garang dengan di bahagian atas hudnya terdapat dua bonjolan yang jelas.

    Di akhir video tersebut, Kia GT dinyatakan bersedia untuk membuat kemunculan pada 8 Januari 2017. Apa pendapat anda dengan model prestasi Kia ini? Adakah ia mampu untuk bersaing dengan jenama Eropah seperti yang diberitahu?

     
     
  • KTMB perlu naikkan tambang untuk pulangan modal

    KTMB perlu naikkan tambang untuk pulangan modal

    Keretapi Tanah Melayu Bhd (KTMB) hanya boleh mendapatkan pulangan model sekiranya dibenarkan untuk menaikkan kadar tambang bagi KTM Komuter iaitu dua sen bagi setiap kilometer.

    Menurut pengerusi KTMB Datuk Nawawi Ahmad, setiap tahun syarikat tersebut terpaksa menanggung jerugian sebanyak RM50 juta, namun ini bukan disebabkan faktor kekurangan penumpang, laporan The Star.

    “Kita mempunyai 52 juta penumpang yang menggunakan KTM dalam setahun, dan ini bukanlah disebabkan isu penjualan tiket,” ujarnya, sambil menambah harga tiket adalah ditetapkan oleh Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD). Beliau turut berkata, kos operasi KTMB bagi setiap kilometer adalah lebih tinggi berbanding kadar tambang per kilometer yang dikenakan.

    KTMB perlu naikkan tambang untuk pulangan modal

    Baru-baru ini, Nawawi turut berkata, sejak pengenalan Projek Penyambungan Jajaran bagi perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT) pada Jun lalu, KTMB telah menghadapi kekurangan kira-kira 15,000 pengguna setiap hari. Ia adalah disebabkan oleh pertembungan laluan di mana jajaran baharu berkenaan melalui laluan sama dengan khidmat KTMB.

    Justeru, beliau berkata, bagi menaikkan modal syarikat, baru-baru ini, KTMB telah menjual pegangan saham di Sentul Raya yang bernilai RM252.42 juta kepada YTL Land & Development. “Kami kini berada dalam situasi yang memerlukan kami memacu sumber kewangan untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan kami, dan kami tidak mahu membebankan pihak Kerajaan,” ujarnya.

    Beliau turut menambah, bagi megekalkan daya saing, syarikat ini perlu mempertingkatkan lagi mutu perkhidmatan dengan menambahbaik kekerapan dan ketepatan masa ketibaan tren terutamanya pada waktu puncak.

     
     
  • Suruhanjaya Eropah sasar 19 teknologi keselamatan baharu untuk diisytihar mandatori menjelang 2020

    Suruhanjaya Eropah sasar 19 teknologi keselamatan baharu untuk diisytihar mandatori menjelang 2020

    Suruhanjaya Eropah telah menyenaraikan 19 teknologi baharu yang akan diisytiharkan mandatori pada kereta baharu dalam usaha untuk mengurangkan kehilangan nyawa sehingga kurang dari 15,000 setahun menjelang 2020, menurut laporan Autocar.

    Sistem brek kecemasan automatik dan sistem amaran keluar laluan merupakan teknologi yang diletakkan paling atas dalam senarai tersebut, di mana kedua-dua teknologi ini mampu mengelakkan kemalangan, berbanding teknologi lain yang lebih menumpukan untuk mengurangkan kecederaan semasa berlakunya kemalangan. Laporan berkenaan turut menyebut kedua-dua teknologi ini telah pun diwajibkan pada bas dan kenderaan berat di bawah undang-undang Eropah.

    Permintaan tinggi terhadap SUV turut diberi perhatian di mana laporan tersebut menyebut langkah keselamatan perlu diberikan atas ‘proleferasi SUV dengan pusat graviti yang tinggi, lebih berat dan rekaan hadapan yang agresif’.

    Suruhanjaya Eropah sasar 19 teknologi keselamatan baharu untuk diisytihar mandatori menjelang 2020

    Suruhanjaya berkenaan turut mencadangkan pengenalan lampu brek yang berkelip setiap kali kereta berkenaan melakukan brek kecemasan, serta amaran pemakaian tali pinggang keledar dan sistem pemantau tekanan angin tayar turut dicadangkan sebagai sistem keselamatan pasif wajib.

    Antara sistem lain yang turut dicadangkan oleh suruhanjaya berkenaan termasuk sistem adaptasi kelajuan pintar, bantuan kekal laluan dan juga pemantau gangguan. Kesemua cadangan suruhanjaya tersebut disasarkan akan diwajibkan dalam masa lima-tahun lagi, dan akan menyaksikan sistem berkisar dengan teknologi pemanduan automatik pertama diwajibkan pemasangannya.

     
     
  • Suzuki Swift generasi seterusnya – spesifikasi bocor

    Suzuki Swift generasi seterusnya – spesifikasi bocor

    Selepas keluarnya gambar digital (render) dan spyshot Suzuki Swift generasi seterusnya, kini risalah jualan kenderaan itu pula bocor di internet. Ia dimuat naik oleh sebuah laman automotif Jepun, CarDrive, lengkap dengan spesifikasi penuh kenderaan itu.

    Berdasarkan risalah spesifikasi tersebut, terdapat lima varian Swift generasi baru untuk pasaran Jepun – RSt, Hybrid RS, RS, Hybrid ML dan XL. Di antara semua ini, terdapat pilihan pelbagai enjin, dengan yang pertama adalah enjin tiga silinder turbo K10C 1.0 liter DOHC petrol, berkemampuan 102 PS pada 5,500 rpm dan 150 Nm tork pada antara 1,700 hingga 4,500 rpm. Ia dipadankan bersama transmisi automatik enam kelajuan dan sistem pacuan dua roda hadapan.

    Seterusnya, terdapat pula enjin empat silinder N/A K12C 1.2 liter DOHC petrol dengan kuasa 91 PS pada 6,000 rpm dan 118 Nm tork pada 4,400 rpm. Transmisi yang disediakan untuk enjin ini adalah manual lima kelajuan dan automatik CVT, dan ia boleh didapati dengan sistem pacuan empat roda dan dua roda.

    Bagi varian hibrid pula, ia mempunyai kombinasi K12C sama, tetapi mempunyai tambahan starter generator 2.3 kW (3 hp) untuk membantu enjin tersebut semasa memecut dan mendapat kembali kuasa elektrik apabila kenderaan membrek.

    Suzuki Swift generasi seterusnya – spesifikasi bocor

    Swift generasi baru ini juga dibina dengan dimensi baru, berukuran 3,840 mm panjang (+10 mm), 1,695 mm lebar (sama), 1,500 mm tinggi (-10 mm) dan jarak roda 2,450 mm (+20 mm).

    Walaubagaimanapun, bagi varian pacuan empat roda, ia lebih tinggi 15 mm (1,525 mm) berbanding varian yang lain. Bergantung pada model juga, berat kenderaan ini boleh menjadi antara 860 kg hingga 970 kg. Swift generasi baru ini masih lagi menggunakan suspensi McPherson di hadapan dan torsion beam di belakang.

    Antara kelengkapan yang ada pada Swift generasi baru ini adalah lampu utama LED, rim aloi 16 inci, lampu kabus halogen, lampu kabus belakang, serta kit badan yang lebih sporty utuk varian RS. Pada bahagian dalam pula, terdapat roda stereng yang rata di bawahnya, sistem hiburan dan informasi dengan skrin sesentuh (bersama sistem kawalan suara dan navigasi), pendingin hawa automatik dan operasi tanpa kunci.

    Untuk aspek keselamatan, terdapat tujuh beg udara, brek ABS dengan EBD, kamera undur, pengesan jarak, program kestabilan elektronik (ESP), Hill Hold Assist dan pilihan pek keselamatan tambahan yang akan melengkapkan kenderaan tersebut dengan ciri seperti Dual Camera Brake Support, Lane Departure Warning dan pengehad kelajuan.

     
     
  • Toyota C-HR boleh diproduksi di Indonesia – TMMIN

    Toyota C-HR boleh diproduksi di Indonesia – TMMIN

    Menurut laporan yang disiarkan oleh Kompas, Toyota C-HR juga memiliki potensi untuk dipasang di Indonesia. Warih Andang Tjahjono, timbalan presiden bagi Toyota Motor Manufacturing Indonesia (TMMIN) berkata, sekiranya permintaan terhadap model terbabit memberangsangkan, pihaknya bersedia untuk memproduksinya di negara itu.

    “Kemungkinannya ada, terutamanya jika ia menerima permintaan yang tinggi di dalam negara,” ujarnya baru-baru ini.

    Beliau turut menambah, dengan kemampuan produksi yang dimiliki ketika ini, TMMIN yakin ia boleh dilaksanakan di kilangnya, termasuk menghasilkan produk dengan platform Toyota New Global Architecture (TNGA), seperti C-HR.

    Toyota C-HR boleh diproduksi di Indonesia – TMMIN

    “Ia boleh dilaksanakan kerana kilang pemasangan kedua TMMIN masih mempunyai kapasiti 70%, iaitu dari kawasan seluas 150 hektar, baru 20 hektar sahaja yang digunakan. Jadi ada lagi baki 130 hektar yang belum digunakan,” jelasnya lagi.

    Kilang Karawang II mula beroperasi pada tahun 2013, dan buat setakat ini, ia memproduksikan Etios Valco, Yaris, Vios, Limo dan Sienta. Ia juga mampu menghasilkan kapasiti produksi sebanyak 120,000 unit setahun.

    C-HR merupakan model kedua yang menggunakan TNGA selepas Prius generasi ke-empat. Ia menawarkan tiga pilihan penjana kuasa, termasuk hibrid (bergantung pada pasaran). Pilihan penjana kuasa tersebut ialah 8NR-FTS 1.2 liter turbo empat-silinder, 2.0 liter Dual VVT-i empat-silinder dan 1.8 liter VVT-i Atkinson cycle empat-silinder, yang turut akan ditawarkan pada model hibrid.

    GALERI: Toyota C-HR JDM

     
     
  • DRB-Hicom sumbang Proton Exora, Tata Xenon kepada Pusat Jagaan Al-Fikrah Malaysia

    DRB-Hicom sumbang Proton Exora, Tata Xenon kepada Pusat Jagaan Al-Fikrah Malaysia

    DRB-Hicom Berhad menerusi dua anak syarikatnya DRB-Hicom Commercial Vehicles Sdn Bhd (DHCV) dan Proton Holding Bhd telah menyumbangkan dua buah kenderaan iaitu Tata Xenon dan Proton Exora kepada Pusat Jagaan Al-Fikrah Malaysia.

    Terletak di Kampung Sungai Sikamat, Kajang, Selangor, Pusat Jagaan Al-Fikrah Malaysia merupakan sebuah pusat kebajikan untuk warga emas, pesakit-pesakit kronik, orang kurang upaya, mereka yang tiada waris atau terbiar serta mualaf. Kini ia didiami oleh seramai 70 orang penghuni berusia antara 20 hingga 92 tahun, namun kebanyakan di antara mereka berusia melebihi 50 tahun.

    Penyerahan kenderaan ini telah berlangsung di pusat jagaan tersebut dan disampaikan oleh Timbalan CEO Proton, Dato’ Mohd Radzaif dan juga Shamsuddin Hj Ishak selaku Ketua Jualan DHCV. Ia diserahkan kepada Haji Azmi Mohd Zain iaitu Pengerusi Pusat Jagaan Al-Fikrah Malaysia.

    Kedua-dua unit kenderaan terbabit bertujuan untuk pengangkutan bagi para penghuni pusat jagaan terbabit terutamanya jika perlu menghantar mereka ke hospital dan sebagainya.

    Ini merupakan antara inisiatif yang dilaksanakan oleh DRB-Hicom sebagai tanggungjawab sosial korporat dengan tujuan untuk menyumbang kembali kepada komuniti. Malahan, syarikat konglomerat ini juga peka terhadap kesejahteraan masyarakat terutamanya kepada golongan kurang bernasib baik dengan menyokong keperluan serta menolong untuk penambahbaikan dalam kehidupan seharian mereka.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (-0.04)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.10
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.90 (-0.04)
EURO 5 B7 RM3.10 (-0.04)
Last Updated Aug 14, 2025