Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Perancis guna jalan solar Wattway pertama di dunia – dapat hasilkan 767 hingga 1,500 kWh elektrik sehari

    Perancis guna jalan solar Wattway pertama di dunia  – dapat hasilkan 767 hingga 1,500 kWh elektrik sehari

    Inauguration 1er tronçon Wattway @Vendéespace @ Mouilleron-Le-Captif – © Joachim Bertrand / COLAS

    Perancis secara rasminya menjadi negara pertama di dunia yang menggunakan panel solar di atas jalan awam apabila jalan jenis itu dibina di laluan antara RD5 Tourouvre dan N12 Gué-à-Pont, di sepanjang satu kilometer.

    Secara keseluruhannya, untuk jalan itu, 2,880 unit panel solar photovoltaic digunakan dan ia adalah satu teknologi yang dibangunkan oleh sebuah syarikat yang juga berasal dari Perancis iaitu Colas, dengan kerjasama Institut Kuasa Solar Negara Perancis (INES). Bagi produk jalan solar ini, ia dinamakan sebagai Wattway.

    Ia dibangunkan setelah kajian yang dibuat oleh syarikat itu mendapati dunia perlu dua kali ganda kuasa elektrik menjelang tahun 2050 dan hanya 10 peratus masa permukaan jalan digunakan. Pada masa lain yang ia terdedah, permukaan jalan dianggap sebagai satu tempat baik untuk memasang panel solar kerana ia menghadap terus ke langit.

    Perancis guna jalan solar Wattway pertama di dunia  – dapat hasilkan 767 hingga 1,500 kWh elektrik sehari

    Usine SCNA SOLAR – production Wattway @ Tourouvre – © Joachim Bertrand / COLAS

    Panel Wattway yang dihasilkan terdiri daripada beberapa lapisan dan ia masih mampu memberi cengkaman baik yang sama seperti permukaan jalan biasa. Bagi setiap 20 meter persegi panel itu, ia boleh menghasilkan kuasa elektrik yang mencukupi untuk sebuah rumah.

    Bagi unit yang dipasang sepanjang jalan di Tourouvre, Perancis ini, ia dikatakan mampu menghasilkan purata 767 kWh kuasa sehari dan pada musim panas, ia boleh mencapai sehingga 1,500 kWh. Kuasa yang terhasil itu kemudiannya disalurkan kepada pembekal kuasa elektrik di Perancis, Enedis.

    Menurut pengarah Wattway, Jean-Charles Broizat, projek ini masih lagi berada di dalam fasa eksperimen dan dengan pembinaannya di atas jalan sebenar, ia dapat memberikan maklum balas terbaik untuk memperbaiki inovasi baru ini.

     
     
  • Mitsubishi ASX generasi baharu dilihat diuji tanpa penyamaran, serlah rupa sebenar bahagian belakang

    Sebelum ini, kami telah pun menyiarkan imej spyshot Mitsubishi ASX generasi seterusnya yang sedang diuji diatas jalan raya dengan pelekat penyamaran. Namun, pemilik akaun Twitter dengan nama hotaka_ltd telah berkongsi imej SUV kompak tersebut diuji tanpa sebarang penyamaran.

    Walaupun gambar berkenaan agak kabur, dapat dilihat bahagian belakang ASX baharu ini direka dengan agak tinggi dan agresif, seakan sama model konsep XR-PHEV. Begitu juga dengan cermin belakang, rekaan bahagian tersebut juga dilihat dijelmakan pada model produksi ini.

    Garisan sisi badan juga kelihatan begitu jelas bermula dari fender hadapan, menerusi pintu hadapan dan belakang, akhirnya bersambung terus dengan lampu belakang. Tiada gambar hadapan diambil, tetapi boleh dijangka ia akan menggunakan konsep rekaan muka Dynamic Shield seperti model-model baharu Mitsubishi yang lain.

    Berdasarkan imej spyshot sebelum ini, bahagian dalaman ASX menampilkan rekaan papan pemuka baharu dan diberikan skrin infotainmen bersaiz besar pada bahagian tengah. Konsol tengah juga direka semula dengan menempatkan tuil penukar gear baharu serta suis pilihan mod pacuan empat-roda turut di ubah kedudukannya.

    Suis-suis kawalan unit penghawa dingin ASX ini diambil terus dari Outlander, manakala stereng tiga jejari berserta pedal penukar gear pula dilihat dibawa dari model sedia ada.

    ASX dijangka akan menerima pilihan enjin petrol dan diesel, serta unit janakuasa hibrid menggabungkan enjin turbo 1.1 liter petrol tiga-silinder berkuasa 98 hp bersama motor elektrik 120 kW yang diambil dari model konsep XR-PHEV.

    GALERI: Imej spyshot Mitsubishi ASX generasi seterusnya dengan pelekat penyamaran

    GALERI: Model konsep XR-PHEV di Tokyo 2013

     
     
  • Monday Motorbikes M1 – kenderaan dua roda elektrik dengan bentuk antara basikal dan motosikal – 7.4 hp

    Monday Motorbikes M1 – kenderaan dua roda elektrik dengan bentuk antara basikal dan motosikal – 7.4 hp

    Monday Motorbikes dari Brisbane, California telah mengeluarkan sebuah penggerak peribadi yang dianggap sebagai pertembungan antara basikal dan motosikal, dinamakan M1. Konsep yang dibawa oleh kenderaan dua roda ini adalah serba mudah dan menyeronokkan.

    M1 dikuasakan oleh bateri lithium ion dan disalur kepada motor elektrik brushless DC untuk menggerakkannya – penunggang hanya perlu memulas pendikit, tanpa ada gear dan klac. Menariknya, selain motor elektrik kompak ini, M1 juga mempunyai pedal pengayuh. Motor elektrik pada M1 berkuasa 5.5 kW dan boleh membawanya bergerak sehingga kelajuan maksimum 64 km/j.

    Setelah baterinya habis digunakan, iaitu boleh mencapai pergerakan sehingga 80 km, ia boleh dicabut dan dicas semula melalui soket rumah biasa. Dalam masa lima jam, ia akan kembali penuh. Jarak yang baik ini juga didapati dengan adanya bantuan penjanaan semula kuasa dari brek, yang disalurkan kembali kepada bateri.

    Antara kelengkapan lain yang dapat memberikan lebih kemudahan kepada pengguna M1 adalah soket pengecas USB, mod kuasa Sport atau Economy, sistem tanpa kunci, sambungan Bluetooth dan aplikasi telefon bimbit.

    Perkara paling penting, iaitu harganya sedikit menghampakan. Monday Motorbikes menjual M1 pada harga USD$ 5,995 (RM26,884), yang mana jika bagi mereka yang ingin menggantikan kereta dengan pengangkutan yang lebih mudah di sana, mungkin boleh dipertimbangkan, tetapi bagi negara Asia termasuk Malaysia, banyak lagi pilihan motosikal yang lebih berkuasa. Tapi sudah tentu, M1 ini untuk mereka yang beri kepentingan kepada kemesraan alam.

     
     
  • 25% pengusaha bas ekspres telah diaudit; jangka selesai semua pemeriksaan tahun depan – SPAD

    25% pengusaha bas ekspres telah diaudit; jangka selesai semua pemeriksaan tahun depan – SPAD

    Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) setakat ini telah melakukan audit berkaitan pematuhan aspek keselamatan terhadap kira-kira suku daripada keseluruhan 200 pengusaha bas ekspres di negara ini, seperti dijelaskan oleh pengerusinya, Tan Sri Syed Hamid Albar, lapor The Sun.

    Bagaimanapun, menurut beliau, jumlah audit yang rendah ini tidak wajar dikaitkan dengan kemalangan melibatkan bas ekspres kebelakangan ini, memandang terdapat banyak lagi faktor lain seperti melebihi had laju serta pemandu yang keletihan yang perlu untuk diambil kira sekali.

    Sejak Januari 2014, sebanyak 52 pengusaha telah diaudit, dengan 28 daripadanya digantung lesen operasi, sementara enam kenderaan diberikan notis penggantungan di atas beberapa kesalahan. “Ini bermaksud, kami tidak sekadar memberikan latihan kepada pengusaha dan pemandu, malah turut sama mengambil tindakan sewajarnya.

    “Jumlah 25% daripada jumlah keseluruhan pengusaha bas ekspres yang telah diaudit ini sebenarnya adalah agak baik. Sebahagian pengusaha digantung (operasinya) selama tujuh hari, ada yang kita gantung 14 hari. Juga, dua surat amaran turut dikeluarkan di atas beberapa sebab lain,” ujar beliau, tanpa menghuraikan sebab-sebab penggantungan itu.

    SPAD dijangka melengkapkan audit bagi semua pengusaha berkenaan dalam tahun hadapan. Beliau memberikan kenyataan ini sebagai respon kepada kritikan orang awam terhadap SPAD yang mendakwa badan itu hanya bertindak dan memperkenalkan peraturan baharu (bagi bas ekspres) selepas berlakunya kemalangan teruk yang melinatkan kehilangan nyawa, seperti yang berlaku di Pagoh pada 24 Disember lalu, mengorbankan 14 nyawa.

    “Anda perlu faham bahawa tindakan manusia adalah berdasarkan pengalamannya. Apa bila sesuatu kejadian berlaku, kita akan bertambah matang. Apa yang boleh kita jangkakan dari awal, kita laksanakan. Tetapi, kita tidak boleh nak jangka semuanya,” tambah beliau.

     
     
  • Caterham berminat untuk membina kereta sport dengan badan bersaiz penuh yang lebih praktikal

    Caterham berminat untuk membina kereta sport dengan badan bersaiz penuh yang lebih praktikal

    Caterham, jenama British yang sinonim dengan model Seven iaitu kereta sport dua tempat duduk yang diasaskan dari blueprint Lotus Seven, kini dilaporkan berminat untuk membina kereta sport bersaiz penuh dan praktikal.

    Perkara ini didedahkan sendiri oleh Bos Caterham, Graham Macdonald kepada Autocar, dan menjelaskan mereka perlu mencari rakan kerjasama dari jenama lain untuk meneruskan projek tersebut. Jika perkara ini berjalan kelak, Caterham akan menggunakan asas model konsep C120 yang direka bersama Renault-Alpine sebelum ini, tetapi terbengkalai setelah Renault membeli semula keseluruhan 50% saham Caterham di dalam Alpine.

    Namun, kereta sport baharu Caterham ini akan dibina dengan bentangan enjin hadapan pacuan belakang, berbanding C120 yang direka dengan konsep enjin tengah pacuan belakang kerana kereta berkenaan pada asalnya direka sebagai model jelmaan semula Alpine A110.

    Seperti model Seven, projek ini juga akan menggunakan enjin dari pengeluar lain. Kebanyakkan model Seven diberikan enjin dari Ford, tetapi MacDonald menolak kemungkinan model baharu berkenaan dijana enjin EcoBoost Ford kerana Caterham mahu menggunakan enjin tanpa bantuan induksi paksaan.

    Projek C120 sebelum ini dilaporkan perlu menelan belanja €75 juta yang dibahagikan antara Caterham dan Renault, namun kedua-dua pihak hanya sempat menyumbangkan €20 juta sebelum ia dihentikan. Oleh itu, Caterham perlu mencari rakan kongsi baharu dan dana bernilai sekitar €50 juta untuk meneruskan projek ini.

    Macdonald juga menjelaskan, Caterham telah menerima banyak bantuan teknikal dari Renault sepanjang kerjasama tersebut berlangsung dan Renault bersedia untuk membekalkan alat ganti sekiranya projek ini disambung semula.

    Caterham menyatakan kereta sport baharu ini bukanlah model untuk menggantikan Seven walaupun kereta model ikonik tersebut akan berusia 60 tahun menjelang 2017. “Kami mahukan kereta sport dengan badan penuh, kerana apabila kami membawa Seven ke berberapa pasaran penting baharu, mereka tidak memandangnya sebagai sebuah kereta kerana bentuknya,” jelas Macdonald lagi.

     
     
  • VIDEO: Kawasaki sedang bangunkan teknologi robotik Artificial Intelligence (A.I) untuk motosikal masa depan

    VIDEO: Kawasaki sedang bangunkan teknologi robotik Artificial Intelligence (A.I) untuk motosikal masa depan

    Motosikal masa kini sudah dilengkapi dengan pelbagai teknologi canggih, dan terbaru, Kawasaki ingin membawanya ke tahap lebih tinggi dengan kemasukan sistem Artificial Intelligence (A.I) pada motosikal. Pembangunan sistem ini sudah bermula bersama syarikat Jepun, Cocoro SB Group dan Kawasaki telah mengeluarkan video yang memberi gambaran bagaimana sistem teknologi ini akan beroperasi.

    Secara asasnya, ia adalah satu sistem robotik, yang mampu mengesan keadaan sekitar semasa menunggang dan boleh melakukan pelarasan yang bersesuaian dengan motosikal. Kemudiannya, ia boleh berkomunikasi dengan penunggang dan memberi tindak balas terhadap arahan suara.

    Dalam video ini, antara contoh yang diberi adalah apabila menghampiri lampu isyarat, sistem A.I ini boleh memberitahu, jika anda memperlahankan motosikal lebih awal, anda tidak perlu berhenti dan lampu tersebut akan bertukar kepada hijau.

    Kemudiannya, sistem ini juga boleh meramal cuaca dan apabila didapati hujan akan turun dalam laluan penunggang motosikal, ia akan memberitahu perkara ini dan mencadangkan supaya mod tunggangan motosikal ditukar. Jika penunggang mengatakan mahu, ia akan menukarnya secara sendiri.

    Setakat ini, Kawasaki masih belum mendedahkan bila waktu sebenar kita akan dapat melihat teknologi ini pada motosikal produksi, dan ia masih lagi dalam tahap pembangunan awal. Bagaimana pula pendapat anda? Perlukah teknologi sebegini dilengkapi pada motosikal?

     
     
  • Porsche 918 Spyder dipanggil semula kerana masalah suspensi yang mungkin boleh sebabkan kemalangan

    Porsche 918 Spyder dipanggil semula kerana masalah suspensi yang mungkin boleh sebabkan kemalangan

    Notis panggilan semula dikeluarkan lagi untuk Porsche 918 Spyder, kali ini berkenaan masalah pada bahagian suspensi melibatkan 306 unit supercar hibrid berkenaan.

    Menurut Pentadbiran Keselamatan Trafik Lebuhraya Nasional Amerika Syarikat (NHTSA), unit-unit Spyder 918 berkenaan dipanggil semula kerana “lengan kawalan bawah (lower control arm) retak yang mungkin akan menjejaskan pengendalian kereta tersebut, meningkatkan risiko kemalangan.” Porsche hanya menghasilkan 918 unit model ini, jadi 306 unit tersebut mungkin hanya unit yang dijual pada pasaran Amerika Syarikat sahaja.

    918 Spyder dijana oleh enjin V8 4.6 liter NA digandingkan bersama dua motor elektrk, menghasilkan kuasa keseluruhan 887 hp dan tork maksima 1,275 Nm. Kuasa dialirkan ke kesemua roda menerusi kotak gear klac berkembar PDK Porsche, membolehkan ia memecut dari 0-100km/j dalam masa hanya 2.8 saat sebelum mencapai kelajuan maksima 340 km/j.

    Sebelum ini, 918 terlibat dengan panggilan semula membabitkan penukaran komponen pada casis pada tahun 2014. Pada 2015, ia dipanggil semula untuk menukar abah-abah pendawaian (wiring harness) yang rosak manakala pada Julai lalu ia dipanggil lagi berhubung masalah cagak tali pinggang keledar.

     
     
  • Bajaj keluarkan Dominar 400 – guna enjin satu silinder KTM Duke 390, tiga palam pencucuh, 34.5 hp, 35 Nm

    Bajaj keluarkan Dominar 400 – guna enjin satu silinder KTM Duke 390, tiga palam pencucuh, 34.5 hp, 35 Nm

    Pengeluar motosikal dari India, Bajaj Auto baru sahaja menunjukkan sebuah model naked baru yang dinamakan sebagai Dominar 400, dan setakat ini adalah motosikal paling berkuasa yang pernah dihasilkan oleh syarikat itu, dengan sasaran untuk menyaingi model jenama lain seperti Royal Anfield dan KTM.

    Motosikal ini menggunakan enjin satu silinder 373.2 cc sama seperti yang terdapat pada KTM Duke 390, tetapi ia diberi penambah baikan dengan turut menggunakan teknologi tiga palam pencucuh tersendiri Bajaj. Ia kini boleh menghasilkan kuasa sebanyak 34.5 hp dan 35 Nm tork. Transmisi yang digunakan adalah manual enam kelajuan.

    Berkenaan gaya, Dominar 400 mempunyai penampilan sama seperti motosikal konsep Pulsar CS400 yang ditunjuk pada tahun 2014, namun kini dilihat mempunyai kelebihan kelengkapan seperti fork hadapan terbalik (USD) di hadapan, monoshock di belakang dan brek cakera depan belakang yang dilengkapi ABS.

    Menjadikannya lebih premium untuk motosikal di India, Dominar 400 dilengkapi dengan lampu utama LED dan panel meter LCD yang lengkap dengan informasi penting seperti kelajuan, rpm, tahap minyak, jarak, jam dan lampu ABS.

    Walaupun dengan spesifikasi lebih baik, Bajaj meletakkan harga Dominar 400 pada lingkungan yang hampir dengan KTM Duke 200, iaitu 136,000 rupee (RM8,952) untuk model tanpa ABS dan 150,000 rupee (RM9,874) untuk model dengan ABS. Penghantaran motosikal ini dijangka dapat dilaksanakan pada bulan Januari 2017.

     
     
  • Puspakom sediakan garis panduan pemeriksaan pelekat pemantul cahaya bagi kenderaan perdagangan

    Puspakom sediakan garis panduan pemeriksaan pelekat pemantul cahaya bagi kenderaan perdagangan

    Sejajar dengan pengumuman Kementerian Pengangkutan Malaysia yang mewajibkan pemasangan pelekat pemantul cahaya (reflektor) yang mempunyai standard SIRIM MS 828:2011 mulai 1 Januari 2017 bagi semua kenderaan perdagangan berat BDM 3,500kg ke atas, PUSPAKOM Sdn Bhd (Puspakom) telah menyediakan garis panduan piawaian pemeriksaan reflektor yang dijalankan di Puspakom, sebagai rujukan untuk pemilik kenderaan berkenaan.

    Kenderaan perdagangan berat BDM 3,500kg ke atas diwajibkan memasang reflektor yang perlu dilekatkan pada side marking kiri dan kanan, serta di belakang kenderaan. Manakala untuk van dan bas pula, reflektor tersebut hanya perlu dipasang di bahagian belakang kenderaan sahaja.

    Pemasangan reflektor ini harus mengikut pelan asal kenderaan yang merujuk kepada kedudukan reflektor pada badan kenderaan. Selain itu, saiz reflektor yang digunakan perlu mengikut spesifikasi yang telah ditetapkan dan mempunyai tanda logo SIRIM MS 828:2011 yang sah.

    Klik untuk besarkan

    Dalam masa yang sama, Puspakom turut menasihati pemilik kenderaan agar berwaspada terhadap reflektor yang tidak diiktiraf serta tidak mematuhi piawaian, termasuk pelekat tiruan yang menggunakan logo JPJ. Seperti yang diumumkan oleh JPJ, buat masa ini, hanya reflektor yang dikeluarkan oleh 3M Malaysia dan Orafol Reflective Solutions mendapat pensijilan MS 828:2011 daripada SIRIM.

    Pemilik kenderaan boleh melayari laman web rasmi Puspakom untuk maklumat mengenai spesifikasi pemasangan reflektor yang ditetapkan oleh Jabatan Pengakutan Jalan (JPJ).

    Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Puspakom, Mohammed Shukor Ismail, “Untuk kemudahan para pelanggan, kedua-dua pengeluar reflektor tersebut akan membuka kaunter penjualan di 21 cawangan Puspakom mulai 1 Januari 2017. Pemilik kenderaan boleh membeli reflektor tersebut di cawangan-cawangan tersebut.”

    Puspakom sediakan garis panduan pemeriksaan pelekat pemantul cahaya bagi kenderaan perdagangan

     
     
  • Nissan akan hasilkan model PHEV guna kepakaran Mitsubishi, mungkin sadur teknologi Outlander

    Nissan akan hasilkan model PHEV guna kepakaran Mitsubishi, mungkin sadur teknologi Outlander

    Nissan sebelum ini mengumumkan akan terus membangunkan kenderaan-kenderaan elektrik sepenuhnya (EV) tanpa apa-apa usaha untuk menghasilkan model hibrid atau plug-in hybrid (PHEV). Namun, setelah pengambilalihan sejumlah 34% saham Mitsubishi Motors Corporation oleh Pakatan Renault-Nissan, jenama berkenaan dikhabarkan akan membangunkan model dengan teknologi plug-in hybrid menggunakan kepakaran dari Mitsubishi.

    Perkara ini disahkan oleh ketua R&D Nissan Eropah Takashi Shirakawa ketika berkata kepada Auto Express dan memberi petunjuk model plug-in hybrid baharu tersebut akan berkongsi teknologi dengan Mitsubishi Outlander PHEV.

    “Keutamaan kami tetap untuk beralih kepada teknologi EV pada masa hadapan, tetapi kami tetap masih perlukan ‘jambatan’,” kata Shirakawa dan tambahnya lagi, “kami sedang membina solusi plug-in hybrid untuk Eropah.”

    Nissan akan hasilkan model PHEV guna kepakaran Mitsubishi, mungkin sadur teknologi Outlander

    “Kami mengalu-alukan Mitsubishi Motors ke dalam keluarga Nissan, dan mereka sudah pun mempunyai Outlander PHEV. Barisan produk generasi seterusnya mungkin akan berkongsi dengannya, tetapi perkara ini masih lagi dalam peringkat permulaan perbincangan dan masih lagi belum ada apa-apa keputusan di buat,” jelas beliau.

    Sebelum ini, Nissan pernah menghasilkan model konsep eksperimentasi di gelar Gripz – dijana berberapa jenis janakuasa hibrid yang pernah didedahkan di Frankfurt Motor Show 2015.

    Dalam perkembangan berkaitan, Shirakawa turut mengesahkan teknologi elektrik turut akan dilebarkan kepada segmen-segmen lebih kecil. Menurutnya, kebanyakkan pelanggan mahukan EV yang lebih kecil dan Nissan menyedari perkara ini. Oleh itu jenama berkenaan kini mula memikirkan permintaan dari pelanggan ini untuk teknologi EV generasi akan datang.

     
     
  • RapidKL rasmi tren KLAV bagi laluan Kelana Jaya

    RapidKL rasmi tren KLAV bagi laluan Kelana Jaya

    Rapid Rail Sdn Bhd telah pun melancarkan tren generasi baharu bagi Rapid KL laluan Kelana hari ini. Dikenali sebagai Kuala Lumpur Additional Vehicle (KLAV), tren empat gerabak ini turut mula beroperasi hari ini juga.

    Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Rail Sdn Bhd Datuk Dr Ir Zohari Sulaiman, sebanyak 14 unit tren KLAV model Bombardier Innovia Metro 300 yang serba canggih dan elegan itu akan mampu meningkatkan kapasiti penumpang laluan berkenaan sebanyak 30%, laporan Bernama.

    “Set tren baharu ini akan mula digunakan secara berperingkat mengikut jadual penghantaran oleh pembekal kepada kami yang dijangka diterima sepenuhnya pada pertengahan 2017,” katanya kepada pihak media selepas majlis pelancarannya.

     
     
  • SPAD galak orang awam lapor terus kesalahan pemandu bas menerusi talian hotline 24 jam

    SPAD galak orang awam lapor terus kesalahan pemandu bas menerusi talian hotline 24 jam

    Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) menggalakkan penumpang bas ekspres untuk membuat laporan terus kepada SPAD berkaitan kesalahan dilakukan pemandu bagi menjamin keselamatan penumpang.

    Menurut Pengurus Besar Kanan Bahagian Penguatkuasaan SPAD Datuk Che Hasni Che Ahmad, SPAD telah menyediakan talian hotline yang beroperasi 24 jam sehari di setiap bas ekspres, laporan Bernama.

    “Nombor telefon SPAD memang diletakkan di dalam setiap bas supaya penumpang boleh membuat aduan terus kepada pihak kami jika ada kesalahan yang dilakukan oleh pemandu bas berkenaan dikesan. Walau bagaimana pun, penumpang perlu membantu dengan memberi maklumat lengkap iaitu 4 Wife dan 1 Husband iaitu when (bila), where (di mana), what (apa) who (siapa) dan how (bagaimana),” katanya kepada pihak media malam tadi.

    Beliau turut berkata, jika benar aduan yang didakwa, SPAD boleh mengambil tindakan terus dengan menghubungi pengusaha bas ekspres berkenaan.

    Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan semua pemandu bas ekspres agar mengutamakan faktor keselamatan penumpang yang dibawa dan keselamatan nyawa pengguna jalan raya lain.

    Che Hasni juga memaklumkan SPAD telah mengambil keterangan pemandu bas ekspres yang menggunakan telefon bimbit dan menghisap rokok yang rakaman videonya tersebar di laman sosial.

    “Pegawai penguat kuasa juga mengambil keterangan pengarah syarikat pengendali bas itu dan keterangan pengadu. Kertas siasatan berkaitan juga telah siap diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara bagi tindakan seterusnya,” katanya.

    Che Hasni berkata SPAD juga akan membuat tindakan audit khas terhadap mana-mana bas ekspres yang mempunyai banyak kesalahan, bagaimanapun enggan mengulas lanjut buat masa ini.

     
     
  • Subaru umum bakal sertai Tokyo Auto Salon 2017

    Subaru umum bakal sertai Tokyo Auto Salon 2017

    Subaru telah mengesahkan bakal menyertai Tokyo Auto Salon 2017 dengan menampilkan beberapa model konsepnya. Ini termasuklah BRZ STI Sport Concept (seperti foto di atas), di mana model ini ditampilkan dengan set roda bersaiz 18-inci dan kit badan baharu.

    Selain itu, apa yang boleh dilihat jelas termasuklah splitter hadapan, corong pengambilan sisi yang menggantikan lampu kabus dan logo STI. Model konsep ini kelihatan sedikit menyamai BRZ STI Performance Concept yang dipertontonkan di New York International Auto Show 2015.

    Bukan itu sahaja, Subaru juga akan mempertontonkan model WRX S4 STI Sport Concept yang dikatakan “mengetengahkan prestasi pemanduan talaan STI termasuk menampilkan elemen dalaman dan luaran yang eksklusif dengan kualiti tinggi.” Selain model konsep, Subaru juga akan mendedahkan beberapa bahagian STI untuk model produksi iaitu bagi Levorg dan Impreza terbaharu.

    Bagi kenderaan permotoran, jentera WRX STI NBR Challenge 2016 yang pernah bertarung di Nurburgring 24 Hours dan BRZ GT300 dari Super GT juga akan dipamerkan. Malah ia juga akan mempamerkan jentera WRX STI dari Japan Rally Championship serta BRZ dan Toyota 86 yang dipertingkatkan bagi rekaan 2017 untuk jentera siri perlumbaan.

     
     
  • Prasarana lanjut operasi tren, bas pada malam ambang Tahun Baharu – melibatkan stesen dan laluan tertentu

    Kumpulan Prasarana telah mengumumkan operasi perkhidmatan bagi LRT, MRT, bas RapidKL dan KL Monorel di beberapa stesen terpilih akan dilanjutkan pada Sabtu ini.

    Menurut Ketua Komunikasi dan Pemasaran Strategik Kumpulan Prasarana, Lim Jin Aun, ia adalah bagi memenuhi keperluan orang ramai yang ingin menghadiri sambutan itu selain untuk mengelak kesesakan lalu lintas di kawasan berdekatan, laporan Bernama.

    Stesen yang akan dibuka sehingga pukul 2 pagi itu ialah Stesen LRT Masjid Jamek dan Stesen LRT KLCC bagi Laluan Kelana Jaya manakala bagi Laluan Ampang dan Sri Petaling, stesen terlibat adalah Stesen LRT Masjid Jamek.

    Bagi Laluan KL Monorel pula, waktu operasi di Stesen Bukit Nanas akan dibuka sehingga pukul 2 pagi manakala Stesen Hang Tuah sehingga 12.30 tengah malam. Manakala perkhidmatan MRT Laluan Sungai Buloh-Kajang, Stesen Mutiara Damansara dan Bandar Utama juga akan dibuka sehingga 2 pagi.

    Bukan itu sahaja, waktu operasi bas RapidKL turut dilanjutkan sehingga 2.30 pagi bagi laluan tertentu.

     
     
  • Sistem sonar pintar Toyota terbukti kurangkan kemalangan yang berlaku ketika memarkir kenderaan

    Sistem sonar pintar Toyota terbukti kurangkan kemalangan yang berlaku ketika memarkir kenderaan

    Toyota telah menjalankan kaji selidik terhadap keberkesanan sistem Intelligent Clearance Sonar (ICS) yang di pasang pada tiga modelnya iaitu Alphard, Vellfire dan Prius selama 18-bulan. Hasil dari kaji selidik yang dijalankan bermula Januari 2015 hingga Jun 2016 tersebut menunjukkan ICS berjaya mengurangkan kemalangan yang terjadi ketika memarkir kenderaan.

    Menurut data pada kaji selidik tersebut, kemalangan akibat tersalah menekan pedal telah turun sekitar 70% manakala kemalangan yang berlaku ketika mengundur pula telah menurun sebanyak 40%. Data-data ini diperolehi menerusi sekitar 2,500 kemalangan dari syarikat insuran yang melindungi lebih kurang 60,000 polisi insuran untuk ketiga-tiga model yang disebutkan tadi.

    Sistem ICS ini menghubungkan sonar yang diletakkan pada bahagian belakang kenderaan sebagai penderia halangan dan juga sistem brek kenderaan. Brek akan berfungsi secara automatik untuk menghentikan kenderaan sekiranya mengesan objek yang menjadi halangan seterusnya mengelakkan kemalangan berlaku sekiranya pemandu tersalah memijak pedal (dalam kes ini, pemandu terpijak pedal pedikit ketika sepatutnya dia memijak pedal brek) atau pemandu tidak dapat melihat objek tersebut.

    Kemalangan di tempat parkir ini mungkin nampak remeh. Namun dalam sesetengah kes, kemalangan sebegini bukan sahaja melibatkan kerosakan badan kenderaan, malah turut melibatkan nyawa terutamanya kanak-kanak, khususnya ketika memarkir secara mengundur.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (-0.04)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.10
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.90 (-0.04)
EURO 5 B7 RM3.10 (-0.04)
Last Updated Aug 14, 2025