Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • SPYSHOT: Audi A1 generasi seterusnya sedang diuji

    SPYSHOT: Audi A1 generasi seterusnya sedang diuji

    Unit ujian bagi model Audi A1 generasi seterusnya kini sudah keluar untuk menjalankan tugasnya. Khabar angin yang didengar, supermini baru ini akan dikeluarkan secara eksklusif dalam bentuk badan ‘sportback‘ lima pintu sahaja dan tiada model tiga dan lima pintu biasa seperti sebelum ini. Ia akan menggunakan platform MQB dan menawarkan pengurangan berat serta fleksibiliti yang lebih.

    A1 generasi seterusnya akan mengambil pendekatan seperti Ford Fiesta, menjadi lebih matang serta mempunyai kedudukan lebih rendah dan lebar. Model generasi baru ini juga akan menggunakan lampu LED di semua bahagian, meskipun unit ujian kelihatan seperti masih menggunakan lampu halogen.

    SPYSHOT: Audi A1 generasi seterusnya sedang diuji

    Di bawah hudnya, Audi A1 generasi baru ini akan menerima enjin 1.0 liter tiga silinder baru, manakala enjin 1.4 liter turbo sebelum ini tidak akan lagi digunakan bagi model A1 dan diganti dengan enjin 1.5 liter turbo yang berkemampuan 150 PS, hampir seperti Golf generasi ketujuh facelift.

    Audi juga berkemungkinan menyediakan kembali varian prestasi S1 dengan terdapat kemungkinan penggunaan enjin 2.0 liter turbo berkuasa 250 hp dan pacuan empat roda pada A1. Ini juga sekaligus membuka ruang kepada munculnya model RS 300 hp, seperti Audi S3 dan Volkswagen Golf R.

     
     
  • Hyundai Motor Co sasar jualan global 5.08j unit kenderaan untuk 2017 – lebih tumpu kereta sedan

    Hyundai Motor Co sasar jualan global 5.08j unit kenderaan untuk 2017 – lebih tumpu kereta sedan

    Bagi tahun 2017, Hyundai Motor Co telah menetapkan sasaran jualan global sebanyak 5.08 juta unit kenderaan. Menurut laporan Reuters, pengeluar automotif terkemuka Korea Selatan ini telah
    menetapkan sasaran jualan global 5.01 juta unit pada 2016 tetapi hingga kini belum membuat pengumuman rasmi angka jualan tahun lalu.

    Hyundai dan syarikat sekutunya Kia Motors merancang meningkatkan jualan di Amerika Syarikat dan China selepas jualan di beberapa beberapa pasaran sedang membangun termasuk Russia kini stabil. Malahan syarikat itu berkemungkinan mencatat penurunan paras untung buat empat suku tahunan berturut-turut berikutan penyederhanaan di pasaran sedang membangun serta barisan produk yang lebih bertumpu kepada kereta sedan sedangkan SUV adalah segmen lebih popular di peringkat global.

    Menurut Naib Pengerusi Hyundai Motor, Yoon Yeo-chul, pihaknya menjangkakan persaingan pasaran akan lebih sengit berikutan pasaran automotif global sudah mencapai tahap tepu sejajar ketidaktentuan ekonomi.

     
     
  • 13 ulat tiket ditahan SPAD Utara sepanjang 2016

    13 ulat tiket ditahan SPAD Utara sepanjang 2016

    Seramai 13 ulat tiket berusia lingkungan 20 hingga 30 tahun termasuk seorang wanita di tahan di empat terminal bas di Kedah dan Pulau Pinang oleh Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) sepanjang operasi yang dilakukan tahun lalu, menurut laporan Bernama.

    Menurut Ketua Penguatkuasa SPAD Wilayah Utara, Mejar (B) Ahmad Zaidi Shuib, pihaknya memandang serius isu ulat tiket ini kerana berdasarkan syarat permit dikeluarkan, syarikat bas perlu bertanggungjawab memastikan harga tiket dijual tidak melebihi jumlah ditetapkan.

    “Dalam tempoh sebulan, mereka telah mengaut sehingga ribuan ringgit dan sebab itu kami memantau isu ulat tiket ini dengan teliti,” katanya kepada pemberita selepas menyertai operasi pemeriksaan bas ekspres di Terminal Bas Pusat Pulau Pinang (Penang Sentral) semalam.

    Menurut beliau lagi, semua ulat tiket yang ditahan itu disiasat mengikut Seksyen 205 Akta Pengangkutan Awam Darat (PAD) 2010 dan jika didapati bersalah boleh dikenakan denda maksimum RM5,000 atau penjara atau kedua-duanya sekali.

    Ahmad Zaidi menggesa syarikat pengendali bas ekspres supaya memperbaiki kelemahan sistem jualan tiket masing-masing supaya gejala ulat tiket yang membebankan penumpang dapat dibanteras. Beliau juga menegaskan, pihaknya turut mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana syarikat pengendali bas ekspres yang didapati bersubahat dengan mereka.

    Selain itu, beliau juga menyatakan sepanjang tahun lepas SPAD Wilayah Utara memeriksa 9,281 bas dan didapati 238 bas melanggar pelbagai peraturan ditetapkan. “Antara kesalahan utama dilakukan ialah mengambil dan menurunkan penumpang di kawasan tidak sepatutnya serta tiada permit perkhidmatan bas ekspres,” katanya.

     
     
  • Suzuki Ertiga dilukis secara digital dengan gaya Swift

    Suzuki Ertiga dilukis secara digital dengan gaya Swift

    Jika anda suka dengan gaya yang dibawa oleh Suzuki Swift baru, dan tertanya bagaimana rupanya jika digunakan pada Ertiga (termasuk versi Proton), ini adalah jawapannya – lukisan digital yang dihasilkan oleh RBA Design Studio. Walaubagaimanapun, Ertiga generasi seterusnya ini tidak dijangka akan dikeluarkan dalam masa terdekat.

    Dengan memasukkan ‘muka’ hadapan Swift kepada Ertiga, semua kelengkapan seperti lampu utama LED, gril trapezoid dan bahagian bawah bampar berbentuk U semua ada digunakan. Pada bahagian bawah bampar itu juga terdapat lampu kabus dan lampu siang LED.

    Bentuk asas Ertiga tersebut masih dikekalkan, namun sebahagian C-pillar dihitamkan bagi mewujudkan visual ‘bumbung terapung’ seperti Swift. Turut diletakkan adalah kamera pada bahagian bawah cermin sisi, bersama rim aloi baru. Bagi bahagian belakang, lampu digayakan dengan unit yang dipecahkan kepada dua, manakala kemasan krom tidak lagi digunakan.

    Suzuki Ertiga dilukis secara digital dengan gaya Swift

    Pilihan enjin dijangka dikembangkan untuk memasukkan unit D13A 1.3 liter DDiS Turbo Diesel yang dipadankan bersama sistem Smart Hybrid Vehicle by Suzuki (SHVS), yang mana dicadangkan untuk Ertiga pasaran Indonesia sekarang. Bagi pilihan enjin petrol, ia termasuk enjin K10C 1.0 liter Bossterjet (102 PS/ 150 Nm) yang lebih berkuasa daripada enjin K14B 1.4 liter (92 PS/ 130 Nm).

    Jika Ertiga generasi seterusnya ini akan menggunakan platform Swift baru yang dipanjangkan, ia juga akan mendapat manfaat pengurangan berat seperti Swift. Apakah pandangan anda dengan lukisan digital Ertiga generasi seterusnya ini? Adakah anda lebih menggemari penggayaan yang digunakan pada Ertiga yang dijual oleh Proton sekarang?

     
     
  • VIDEO: Kia GT dedah teaser akhir sebelum diperkenal

    Sebelum diperkenalkan di Detroit pada minggu hadapan, video teaser terakhir bagi Kia GT telah pun disebarkan. Klip ke-empat daripada siri ini, menunjukkan lebih banyak perincian, dengan perumah cermin sisi dan corong hud hitam berkilat, corong sisi menegak dan corong ekzos berkembar dengan sedikit kekemasan telah ditonjolkan.

    Foto spyshot yang didedahkan baru-baru ini mendedahkan garisan utama bagi pacuan roda-belakang yang ditawarkan, dengan mengambil sedikit rekaan daripada model GT Concept 2011 dan profil cab-backward dan pintu belakang seperti Audi A7 Sportback.

    Video terkini ini mendedahkan ia bakal dilengkapi dengan transmisi automatik, walau bagaimana pun masih tiada maklumat mengenai sistem mekanikal di bawah hudnya. Namun GT baharu ini dijangka bakal dipadankan dengan enjin 3.3 liter turbo-berkembar V6 seperti mana yang ditawarkan pada Genesis G90.

    Ia mungkin mampu menghamburkan kuasa sehingga 365 hp dan tork 510 Nm, dalam varian Sport, atau juga menawarkan lebih banyak kuasa? Video pertama yang disebarkan sebelum ini menunjukkan ia mampu dipacu sehingga 244 km/j di Nurburgring Nordschleife. Nantikan perinciannya apabila ia diperkenalkan secara rasmi kelak.

    GALERI: Foto spyshot Kia GT

     
     
  • Infiniti QX50 Concept akan menunjukkan teknologi pemanduan autonomous dan enjin terkini VC-Turbo

    Infiniti QX50 Concept akan menunjukkan teknologi pemanduan autonomous dan enjin terkini VC-Turbo

    Hala tuju Infiniti untuk kenderaan SUV premium saiz sederhana generasi seterusnya akan ditunjukkan melalui sebuah model bernama QX50 Concept, yang akan membuat penampilan global pertama semasa North American International Auto Show 2017 di Detroit, Amerika Syarikat minggu hadapan.

    Dari aspek penampilan, model ini membawa konsep rekaan seperti QX Sport Inspiration yang pernah ditunjukkan semasa Beijing Auto Show sebelum ini, tetapi disesuaikan untuk model produksi. Sambil menunjukkan gaya moden yang premium, hampir semua bahagian kelihatan sudah sedia untuk produksi, kecuali pembuka pintu.

    Bukan sekadar gaya, QX50 Concept juga akan mengetengahkan teknologi sokongan pemanduan autonomous jenama ini. Ia akan bertindak sebagai co-pilot bagi pemandu, membantu, bukannya menggantikan pemandu dan menyerahkan tugas yang lebih sukar kepada kenderaan, seperti bergerak dalam trafik yang kerap berhenti dan jalan semula, serta mengesan kedudukan kenderaan sekeliling.

    Infiniti QX50 Concept akan menunjukkan teknologi pemanduan autonomous dan enjin terkini VC-Turbo

    Semasa di Detroit juga, Infiniti akan menunjukkan enjin baru VC-Turbo Variable Compression Turbo), yang merupakan enjin dengan tahap mampatan boleh ubah sedia untuk produksi pertama di dunia. Teknologi VC-Turbo ini menggabungkan prestasi enjin 2.0 liter turbo dengan tork dan kecekapan enjin diesel. Ia dianggap paling sesuai untuk melengkapi QX50 Concept.

    Dalam pembangunannya, enjin ini disasar boleh mencapai 268 hp dan 390 Nm tork, dan boleh disamakan seperti enjin enam silinder, tetapi dengan kecekapan penggunaan bahan api yang lebih baik. Nisbah mampatan dalam setiap silinder enjin ini boleh berubah mengikut keadaan pemanduan dan ia terletak di antara 8:1 dan 14:1.

     
     
  • Mercedes-Benz GLA facelift bersedia ke Detroit

    Mercedes-Benz GLA facelift bersedia ke Detroit

    Mercedes-Benz GLA bersedia menerima penambahbaikan bagi pertengahan jangka hayatnya, bakal dipertontonkan di North American International Auto Show (NAIAS) di Detroit. Berikutan pengumuman itu, pembuat kenderaan Jerman ini turut menyebarkan satu imej yang menunjukkan wajah hadapan terbaharu kompak SUV ini.

    Menambahkan lagi gayanya dengan padanan lampu utama baharu, seperti yang diterima oleh model facelift bagi A-Class dan CLA sebelum ini. Selain itu, ia turut ditampilkan dengan bampar hadapan baharu bersama lampu kabus, serta lambang Three Pointed Star sebagai interpretasi baharu bagi jenama yang mengetengahkan lebih banyak rekaan minimalis.

    Logo baharu ini juga menyembunyikan beberapa siri pengesan yang digunakan untuk bantuan pemanduan dan sistem keselamatan. Malahan gril baharu telah diterapkan dengan dua bilah, yang masih mengekalkan elemen segi empat tepat.

    Terdapat beberapa bahagian yang tidak ditunjukkan, namun foto spyshot sebelum ini telah mendedahkan bampar belakang yang direka semula dan padanan lampu belakang LED baharu, antara bahagian yang dipertingkatkan. Bagi bahagian dalamannya, ia agak mirip dengan C-Class, dengan menampilkan roda stereng, penukar gear dan kluster instrumen baharu.

    Enjin petrol M 270 DE 20 2.0 liter empat-silinder bakal dilengkapi pada GLA 250 ini, memberikan kuasa sehingga 218 hp (dari 211 hp), dengan jumlah tork yang dikekalkan iaitu 350 Nm. Bagi model GLA barisan tertinggi, GLA 45, bakal menerima hamburan kuasa yang sama dengan model terkini A 45 dan CLA 45, dengan 381 hp dan 474 Nm daripada penjana kuasa M133.

    GLA baharu ini dijangka tiba di pasaran Malaysia pada pertengahan tahun 2017, seperti mana yang dimaklumkan oleh timbalan presiden jualan dan pemasaran Mercedes-Benz Malaysia, Mark Raine, ketika pembentangan jualan 3Q2016 Mercedes-Benz Malaysia. Iaitu akan tiba selepas lima bulan model ini diperkenalkan di peringkat global.

    GALERI: Foto spyshot model prototaip Mercedes-Benz GLA facelift

    GALERI: Mercedes-Benz GLA 250 4Matic AMG Line (spesifikasi Malaysia)

     
     
  • 4PAM gariskan cadangan bagi penambah baikan perkhidmatan bas ekspres; termasuk hukuman penjara

    4PAM gariskan cadangan bagi penambah baikan perkhidmatan bas ekspres; termasuk hukuman penjara

    Persatuan Pengguna Pengangkutan Awam (4PAM) mencadangkan agar pengarah dan syarikat pengusaha pengangkutan awam didakwa dan diambil tindakan yang keras, termasuk hukuman penjara jika gagal patuhi peraturan dan undang-undang berkaitan pengangkutan awam.

    Menurut laporan Bernama, Presidennya, Ajit Johl berkata langkah itu adalah penting untuk melaksanakan rasa tanggungjawab di dalam industri pengangkutan awam dan menambahbaik industri perkhidmatan bas ekspress di negara ini.

    “Kami mahu pengarah-pengarah dalam syarikat pengangkutan awam dipertanggungjawabkan bagi mana-mana isu berkaitan kegagalan mematuhi peraturan sedia ada. Mereka patut mengambil tanggungjawab itu memandangkan mereka berurusan dengan industri yang melibatkan keselamatan nyawa orang-ramai,” jelasnya di dalam satu kenyataan semalam.

    Dengan pertambahan jumlah penumpang, Ajit berkata ada keperluan mendesak untuk memastikan ketelusan di dalam pelaksanaan peraturan industri berkenaan, terutama dengan tragedi terbaharu yang berlaku sebelum ini yang sepatutnya mendorong kepada perubahan segera peraturan dan pengurusan pengangkutan awam.

    Beliau juga menegaskan, sepatutnya semua pemandu bas wajib mempunyai lesen kenderaan perkhidmatan awam (PSV), tiada saman trafik dan rekod polis, disamping perlu menjalani ujian kesihatan sebagai keperluan asas, memandangkan pekerjaan mereka melibatkan nyawa manusia.

    Ajit juga mencadangkan semua bas ekspres yang berada di atas jalan dipasangkan dengan alat had kelajuan dan pengesan GPS yang disambung terus kepada sistem pusat Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), yang dengan automatik akan mengenakan saman kepada mana-mana bas yang melebihi had laju.

    “Sebagai tambahan, kami juga mencadangkan semua bas ekspres dipasangkan dengan CCTV, disamping memperbaiki aspek perlindungan insurans terhadap semua penumpang,” tambah beliau.

     
     
  • VIDEO: Porsche 911 1971 ‘277’ Magnus Walker bertemu Datsun Fairlady 240Z ‘Fugu Z’ Sung Kang

    Magnus Walker dari Urban Outlaw mungkin tidak hype seperti pemilik Rauh-Welt Begriff (RWB) iaitu Nakai-San. Namun dalam dunia pengubahsuaian dan pengumpul Porsche klasik, Walker sebenarnya merupakan lagenda hidup yang terkenal dengan sentuhannya yang begitu unik, diberikan pada koleksi jentera-jenteranya.

    Dalam video terbaharu di saluran YouTube beliau, Walker berpeluang memandu dan menukar keretanya dengan kereta milik bintang Fast and Furious – Sung Kang, pada pertemuan di jalan bukit kegemarannya – Angeles Crest di Los Angeles, California.

    Walker membawa salah sebuah Porsche 911 miliknya yang paling terkenal – 277 – iaitu model tahun 1971, dijana enjin perlumbaan bentangan boxer enam-silinder, 2.6 liter NA, dengan dua buah karburator perlumbaan tiga tekak diletakkan pada kedua-dua buah kepala enjin.

    Manakala Sung Kang pula membawa Datsun Fairlady 240Z miliknya, dikenali sebagai Fugu Z. Ia dijana enjin RB26 dari Nissan Skyline R32 GT-R tetapi tanpa bantuan pengecas turbo bagi mengekalkan karekter asal kereta sport klasik tersebut, digadingkan dengan kotak gear lima-kelajuan dari enjin RB25 serta turut dilengkapi dengan pelbagai perlalatan transmisi berprestasi tinggi dari OS Giken seperti sistem klac dan juga unit gandar LSD.

    VIDEO: Porsche 911 1971 ‘277’ Magnus Walker bertemu Datsun Fairlady 240Z ‘Fugu Z’ Sung Kang

    Satu perkara lagi yang menarik berkenaan Fugu Z ini ialah pada bahagian luarannya, di mana ia menerima kit badan Rocket Bunny, roda aloi Rays Engineering TE37V serta perincian JDM lain seperti cermin sisi fender berbentuk bulat.

    Menurut Walker ketika memandu Fugu Z, kereta Jepun dengan enjin hadapan pacuan roda belakang tersebut agak sama seperti Jaguar E-Type dan Ford Capri Zakspeed, memberikan karekter yang unik kepada sebuah kereta litar yang boleh dipandu di atas jalan raya.

    Sung Kang pula berkata, beliau merupakan peminat Walker dan merupakan sumber inspirasinya untuk mula membina Fugu Z. Pertemuan kali ini yang melibatkan pertukaran kereta antara mereka membolehkan beliau mendapatkan pendapat Walker berkenaan talaan pada Fugu Z, dan mungkin akan diaplikasikan pada masa hadapan.

    Atas reputasi dan mengambil inspirasi bagaimana angan-angannya untuk memiliki Porsche sejak dari kanak-kanak, pengeluar kereta replika berskala 1/64 Hot Wheels, Mattel, memberi penghormatan kepada Magnus Walker untuk mereka bentuk barisan model Hot Wheels Porsche Urban Outlaw pada April tahun lalu. Begitu juga dengan Sung Kang, Fugu Z versi kecil dengan skala 1/64 juga telah diumumkan oleh Hot Wheels dan kini telah pun berada dalam pasaran.

     
     
  • Nissan dan Infiniti kini menawarkan waranti tujuh-tahun dengan perbatuan tanpa had di Malaysia

    Nissan dan Infiniti kini menawarkan waranti tujuh-tahun dengan perbatuan tanpa had di Malaysia

    Hari pertama bagi 2017 telah pun bermula, diharap dapat merancakkan lagi industri automotif di Malaysia. Sempena menyambut ulang tahun yang ke-60 bagi Tan Chong Group, Edaran Tan Chong Motor Sdn. Bhd. (ETCM) dan Inspired Motor Sdn. Bhd. telah mengumumkan waranti baharu selama tujuh-tahun dengan perbatuan tanpa had untuk model-model Nissan dan Infiniti. Ia adalah menggantikan waranti terdahulu iaitu tiga-tahun dan perbatuan sehingga 100,000 km.

    Tawaran ini menjadikan ia sebagai dua jenama kenderaan yang menawarkan waranti terpanjang di negara ini. Di mana Nissan telah mengatasi Toyota dan Honda yang kedua-duanya menawarkan waranti selama lima-tahun dan perbatuan tanpa had. Manakala Infiniti pula mendahului jenama premium yang menawarkan waranti terpanjang, sekaligus mengatasi Lexus dan BMW (waranti lima-tahun, perbatuan tanpa had).

    Pengarah Pemasaran dan Jualan ETCM, Christopher Tan berkata, “Tahun ini, kami meraikan ulang tahun Tan Chong Group yang ke-60. Dengan rasa gembira dan bersyukur, kami berbangga untuk mengumumkan tempoh waranti kenderaan yang terbaik di Malaysia. Kualiti Global Nissan memberi keyakinan kepada Tan Chong Group untuk menawarkan kepada pelanggan kami ketenangan minda, kos penyelenggaran yang rendah dan nilai jualan semula yang lebih baik.”

    Nissan dan Infiniti kini menawarkan waranti tujuh-tahun dengan perbatuan tanpa had di Malaysia

    Waranti ini adalah berbeza jika dibandingkan dengan apa yang ditawarkan oleh Hyundai iaitu waranti lapan-tahun bagi penjana kuasa (enjin dan kotak gear) bagi Sonata, kerana ia hanya dibuka untuk pemilik pertama kenderaan terbabit sahaja.

    Bagi waranti yang ditawarkan oleh Nissan dan Infiniti ini, lima tahun pertama adalah waranti standard daripada pengeluar, manakala untuk waranti bagi tahun ke-enam dan ke-tujuh adalah untuk enjin, transmisi dan bahagian alat ganti terpilih sahaja. Secara asasnya, ia lebih kepada pakej 5+2, dengan perlindungan bahagian mekanikal utama melebihi dua tahun.

    Tawaran ini melibatkan semua model Nissan kecuali pikap Navara yang dihadkan kepada lima-tahun atau perbatuan sejauh 150,000km, manakala bagi kenderaan kegunaan komersial, waranti adalah sama seperti sebelumnya iaitu selama tiga-tahun atau perbatuan sejauh 100,000km. Waranti tujuh-tahun dikendalikan sepenuhnya oleh Tan Chong Group. Ia boleh dipindahkan kepada pemilik seterusnya dalam tempoh jaminan itu.

     
     
  • Lima model pilihan individu editorial paultan.org BM – kenderaan yang meninggalkan kesan sepanjang 2016

    2016 akan melabuhkan tirainya dalam sedikit waktu saja lagi. Seperti yang anda sedia maklum, 2016 merupakan tahun yang tidak kalah menarik dan mencabar, baik bagi industri automotif tempatan mahupun bagi kami di paultan.org/bm sendiri.

    Sebagai penutup, selain daripada artikel khas berkaitan kenderaan harian yang dipandu oleh individu di dalam editorial BM, kami sajikan pula senarai lima model teratas yang menjadi pilihan setiap seorang daripada kami.

    Namun, perlu dinyatakan, ini bukanlah sebuah senarai ‘Kenderaan Terbaik’ yang dilancarkan tahun ini. Ia merupakan senarai pilihan yang peribadi, terhadap model atau kenderaan yang sempat dipandu oleh kami sepanjang tahun ini. Dan, tidak pula semestinya model kenderaan terkini.

    Senarai ini terdiri daripada model-model yang difikirkan memberi kesan yang mendalam atau tersendiri; setiap daripada pilihan tersebut kami sertakan pula dengan pandangan mengapa model-model berkenaan ikut tersenarai di dalamnya.

    Mengapa hanya lima? Alasannya mudah saja; kami perlu memikirkan dengan cermat mengapa sesebuah kenderaan itu perlu disertakan. Senarai berkenaan kemudiannya mampu menjadi cerminan kepada pandangan setiap seorang dalam kalangan kami. Terima kasih di atas sokongan sepanjang 2016 dan Selamat Tahun Baru 2017.

    HAZRIL HAFIZ

    Bagi saya, sesebuah kenderaan mampu mencapai keseimbangan – baik dari segi reka bentuk mahupun kejuruteraan – tetapi sangat sukar untuknya menghampiri kesempurnaan. Semuanya dibangunkan untuk memenuhi keperluan-keperluan tertentu yang berbeza-beza.

    Untuk itu, setiap daripadanya mempunyai kelebihan dan kekurangan yang tersendiri pula. Apa pun, sepanjang tahun ini, dengan kesempatan untuk mencuba model-model kenderaan yang pelbagai, saya cuba perjelaskan sebaik mungkin, secara ringkas dan padat, mengapa dan bagaimana saya tiba kepada senarai peribadi ini.

    5. Hyundai Ioniq Hybrid

    Lima model pilihan individu editorial paultan.org BM – kenderaan yang meninggalkan kesan sepanjang 2016

    Ini kereta yang sempat saya pandu minggu lalu. Dan, Hyundai Ioniq berjaya melangkaui jangkaan awal saya terhadap sebuah kereta hibrid. Hanya kerana ia sebuah kereta hibrid, tidak semestinya ia membosankan. Ini tangapan saya selepas memandu uji penawaran model hibrid terbaharu dalam pasaran Malaysia ini.

    Mengapa saya kata begitu? Pertama, aspek pemanduan yang diberikan oleh kereta ini tidak mengecewakan. Walaupun pada permukaan ia kelihatan seperti sebuah kereta yang ‘jinak’, namun dalam waktu-waktu diperlukan, karektor pemanduannya boleh berubah. Mod Sport yang ada juga bukan sekadar hiasan semata-mata; prestasi turut dipertingkat dalam keadaan itu.

    Kedua, pakej teknologi pintar yang melengkapinya. Anda tidak akan dapat penawaran yang sama, pada tanda harga seperti ini dari model-model hibrid yang lain. Jimat dan pada ketika diperlukan – misalnya di jalan yang berliku dan berbukit – ia mampu menggalas keperluan pemanduan sebegitu dengan agak baik. Apa lagi yang kita perlukan dari sebuah kereta hibrid?

    4. Proton Saga

    Lima model pilihan individu editorial paultan.org BM – kenderaan yang meninggalkan kesan sepanjang 2016

    Suka atau tidak, 2016 merupakan “Tahun Proton”. Sekurang-kurangnya jika dilihat dari sudut liputan media yang diberikan; empat model baharu dalam setahun, itu saya fikir memerlukan tenaga dan fokus yang bukan kepalang. Namun, di antara Perdana, Persona dan Ertiga, Saga merupakan model yang sangat menarik untuk diberi perhatian.

    Sangat ketara perbezaannya – termasuk dari aspek pembuatan dan pemanduan – jika dibandingkan dengan versi terdahulu. Dan, ia merupakan model entry level; bermakna, lebih ramai pemilik mempunyai akses kepadanya. Dengan tanda harga yang rendah, ia memberikan lebih daripada sekadar penampilan luarannya.

    Selepas memandu ulang-alik dari Kuala Lumpur ke Ipoh, kereta ini mampu yakinkan saya bahawa ia benar-benar ingin memberikan kualiti yang jarang ada pada kenderaan dalam kelasnya. Saya rasakan ia lebih tegap ketika dipandu, dengan maklum balas prestasi yang tidak mengecewakan. Harapnya pengalaman pemilikannya juga kini bertambah baik.

    3. Yamaha NMax 150

    Lima model pilihan individu editorial paultan.org BM – kenderaan yang meninggalkan kesan sepanjang 2016

    Tidak terlalu berlebihan jika saya katakan, ini skuter yang membuatkan saya berasa teruja, baik sebelum mencuba hinggalah selepas mengembalikan unit tunggang ujinya. Bahkan, hingga ke waktu ini, selepas mencuba beberapa lagi motosikal lain, Yamaha NMax kekal ditangga teratas sebagai sebuah jentera yang menyeronokkan dan bersahaja tunggangannya.

    Enjin SOHC 155 cc dengan teknologi Blue Core yang melengkapinya memberikan tunggangan yang responsif dan sangat meyakinkan. Tambahan pula, bagi kelas motosikal 150 cc, skuter ini punyai banyak kelebihan. Dari segi prestasi, janaan 14.8 hp pada 8,000 rpm dan 14.4 Nm pada 6,000 tork sudah memadai; ini satu-satunya skuter yang sangat ideal saya rasakan untuk ramai orang.

    2. Kia Sorento 2.2L CRDi Turbodiesel

    Lima model pilihan individu editorial paultan.org BM – kenderaan yang meninggalkan kesan sepanjang 2016

    Saya sangat menggemari kenderaan diesel di atas satu faktor yang paling utama; ia mampu memberikan bacaan penggunaan bahan api yang akan membuatkan anda tersenyum lebar dan pada masa yang sama, membekalkan daya tork yang besar (saya lebih menghargai daya tujah ini berbanding kelajuan maksimum).

    Kebiasaannya, jika membincangkan tentang enjin diesel, saya agak cenderung kepada trak pikap yang lebih lasak. Namun, melalui SUV tujuh tempat duduk Kia Sorento 2.2L CRDi Turbodiesel ini, ia hadir dengan satu lagi kelebihan – keselesaan dalam ruang kabin.

    Dengan kuasa 200 PS pada 3,000 rpm dan 441 Nm tork di antara 1,750 hingga 2,750 rpm dengan sistem pacuan AWD, tak ada apa lagi yang saya inginkan daripadanya. Sepanjang mencubanya untuk perjalanan jauh sebelum ini, bacaan penggunaan diesel yang sempat dicatatkan ialah 10.6 km/l.

    1. Honda Civic 1.5L Turbo

    Lima model pilihan individu editorial paultan.org BM – kenderaan yang meninggalkan kesan sepanjang 2016

    Saya tak dapat menafikan kegirangan untuk sekadar berada di dalam kereta ini, apa lagi untuk memandunya. Walaupun dengan kelemahan-kelemahan tertentu (misalnya penyandar tempat duduk belakang yang tak boleh diturunkan), Honda Civic 1.5L Turbo ini saya kira mampu memuaskan sedikit sebanyak gian memandu yang pada kebiasaannya mungkin hanya terkurung elok.

    Memanglah ia bukan sebuah kereta sport, tetapi Civic ini boleh diharap dalam kebanyakan keadaan. Untuk beberapa ketika, ia akan kekal sebagai sebuah kereta dalam segmen C yang tampil dengan keseimbangan yang sangat ideal di antara kejuruteraan dan reka bentuk fizikal yang dipersembahkan pada sebuah produk akhir.

    Dengan enjin petrol 1.5 liter VTEC Turbo L15B7 suntikan terus, dengan janaan kuasa 173 PS pada 5,500 rpm dan tork maksimum 220 Nm di antara 1,700 hingga 5,500 rpm, ini sahaja sudah mencukupi untuk meletakkannya sebagai sebuah kereta yang bukan hanya agresif dari sudut penampilan, malah turut menawarkan prestasi pemanduan yang sepadan.

    FARID AWALUDIN

    2016 merupakan tahun yang agak sibuk untuk industri automotif Malaysia. Pengeluar-pengeluar automotif dalam pasaran tempatan berlumba-lumba melancarkan model baharu.

    Perkembangan ini turut membuat kami juga amat sibuk sepanjang 2016. Bayangkan, Proton sahaja melancarkan empat model baharu, menyebabkan saya perlu pergi ke litar ujian Proton sebanyak empat kali, dan majlis pelancaran juga empat kali. Itu baru Proton, belum masuk pengeluar-pengeluar lain lagi.

    Jadi, antara lambakan model yang diuji tahun ini, senarai di bawah merupakan yang paling memberikan impak kepada saya.

    5. Proton Persona 1.6L Premium

    proton-persona-1-6-premium-bm-03

    Semasa pertama kali memandu Iriz dahulu, saya sangat sukakan pengendalian, stereng serta breknya. Namun, dengan transmisi CVT yang membuatkan enjinnya mengaum tidak tentu hala, serta bunyi CVT itu sendiri yang berdesing seperti kapal terbang mahu berlepas, agak merencatkan keseronokan memandunya.

    Sebelum memandu uji Persona, saya beranggapan Proton akan membuat perkara yang sama seperti pengeluar lain yang mengubah sebuah hatchback kepada versi sedan iaitu memindahkan sahaja segala sistem mekanikal kepada kereta baharu tersebut.

    Tapi sangkaan saya meleset; Proton mengambil serius segala aduan yang diterima dan hasilnya, transmisi CVT telah ditala semula dan memberikan respon yang jauh lebih baik. Bunyi berdesing juga lenyap, malah aspek NVH lain juga jauh lebih bagus berbanding Iriz.

    Dengan dilengkapi enam beg udara dan ESC, hampir tiada yang mahu saya persoalkan pada sedan segmen-B yang berharga RM60k ini, selain dari rupa bentuk luarannya yang err… ehem. Jujur saya katakan, dengan kelengkapan pengendalian yang bagus, Persona lebih baik dari sedan segmen-B berjenama Jepun tertentu.

    4. Mitsubishi Triton 2.4L MIVEC Diesel Turbo Borneo Safari

    Lima model pilihan individu editorial paultan.org BM – kenderaan yang meninggalkan kesan sepanjang 2016

    Dengan bar-bar perlindungan disekeliling, lampu-lampu tambahan, suspensi yang dipertingkat, roda aloi aftermarket dibaluti tayar off-road ekstrem, badan yang diangkat dari casis, unit snorkel dan winch serta balutan pelekat seluruh badan dengan elemen celoreng bersama grafik Ralli Art di sana sini, sudah cukup untuk membuatkan jiwa kanak-kanak saya melonjak-lonjak.

    Dapat memandunya dalam ekspedisi antara yang paling mencabar dalam dunia iaitu Borneo Safari, itu merupakan pengalaman yang sangat menyeronokkan. Sistem MIVEC pada enjin turbodiesel baharu ini juga telah membuka mata saya. Talaan yang diberikan benar-benar membantu dalam situasi sukar pada laluan off-road.

    Bukan semua pengeluar berani untuk menyertai Borneo Safari ini kerana ia benar-benar tough. Bayangkan jika gandar hadapan trak pikap rosak ini ketika merentasi halangan dalam ekspedisi ini (majoriti peserta persendirian mengubahsuai gandar hadapan dengan menggantikan drive shaft standard kepada live axle kerana dikhuatiri kelengkapan standard berkemungkinan boleh patah), tentunya reputasi mereka akan rosak.

    Namun, Mitsubishi Motors Malaysia yakin dengan kebolehan produk mereka, dan semua Triton selamat keluar dari hutan setelah lapan hari berekspedisi.

    3. Honda Civic 1.5 VTEC Turbo

    Lima model pilihan individu editorial paultan.org BM – kenderaan yang meninggalkan kesan sepanjang 2016

    Sebagai seorang peminat generasi Civic, kedatangan model ini ke Malaysia sememangnya ditunggu. Setelah kecewa dengan Civic generasi kesembilan (FB) yang sudah hilang imej sporty, harapan besar saya letakkan pada model generasi kesepuluh ini.

    Nyata prestasinya tidak mengecewakan. Suspensi ditala dengan adunan sporty dan turut mengambil kira keselesaan penumpang. Posisi pemanduan juga sangat rendah memberikan sensasi pemanduan yang lebih seronok.

    Enjin 1.5 liter VTEC Turbo juga memberikan kuasa yang lebih baik berbanding enjin 2.0 liter R20 pada Civic FB dan enjin K20 dari Civic FD. Namun, saya tidak berapa gemar dengan transmisi CVT yang terlalu ‘lembut’, menghilangkan sedikit sebanyak karekter sporty dari enjin.

    2. Volvo S60 T6 Drive-E

    volvos60_ext-4

    Model yang anda lihat ini diberikan rim, spoiler belakang dan diffuser bampar belakang opsyen. Jika anda ke bilik pameran Volvo, S60 T6 Drive-E ini kelihatan ‘kosong’ dan diberikan roda aloi Sadia 17-inci. Bahagian dalaman juga kelihatan agak ‘pejabat’ dengan upholstery kulit biasa dan kemasan aluminium serta elemen corak kayu oak palsu. Tiada langsung bayangan ia sebuah model berprestasi tinggi.

    Namun, perkara sebaliknya pada ruang enjin. S60 T6 Drive-E ini dijana oleh enjin 2.0 liter empat-silinder dengan suapan supercharger dan juga pengecas turbo. Kuasa keseluruhan dihasilkan – 306 hp pada takat 5,700 rpm dan tork maksima 400 Nm bermula 2,100 hingga 4,800 rpm.

    Kuasa liar ini dihantar ke roda hadapan menerusi kotak gear automatik lapan-kelajuan baharu dari Aisin. Bukan sahaja sangat berkuasa, malah T6 Drive-E yang diiktiraf sebagai EEV ini juga jimat petrol!

    Satu lagi kejutan yang diberikan S60 T6 Drive-E ialah ia dijual pada harga atas jalan tanpa insuran RM238,888, berbanding Mercedes-Benz C 250 AMG Line (2.0 liter turbo berkuasa 211 hp/350 Nm) dijual pada harga RM287,888 manakala BMW 330i M Sport (2.0 liter turbo berkuasa 252 hp/350 Nm) pula dijual pada harga RM297,800.

    1. Volkswagen Vento 1.2 TSI Highline

    Lima model pilihan individu editorial paultan.org BM – kenderaan yang meninggalkan kesan sepanjang 2016

    Secara jujur, saya kurang gemar dengan sedan-sedan segmen-B. Sedan segmen ini direka untuk memberikan ruang yang besar pada kerangka badan yang kecil, enjin yang jimat bahan api, serta perlu dibina dengan kos yang murah agar ia kompetitif dalam pasaran.

    Oleh itu, ia mempunyai had-had tertentu, misalnya penggunaan transmisi CVT atau torque converter, serta kerangka badan yang agak ringan bagi mengurangkan kos produksi bagi membolehkan kecekapan bahan api meningkat. Sistem suspensi juga perlu direka ringkas bagi mengurangkan kos, menyaksikan kebanyakkan sedan segmen-B menggunakan suspensi jenis torsion beam pada bahagian belakang.

    Sudahnya, sedan segmen-B menjadi sedan yang bosan untuk dipandu dan kebanyakkan daripadanya akan melambung-lambung bila dipandu dijalan beralun, serta terhuyung-hayang ketika dipotong oleh bas ekspres.

    Untuk memberikan sedikit keseronokkan dalam sedan segmen-B ini, pengeluar biasanya akan memberikan ciri-ciri ‘ala-mewah’ seperti lampu nyalaan siang LED serta paparan papan pemuka yang futuristik, berbanding mengambil kira ciri keseronokan pemanduan sebenar seperti unit janakuasa dan juga talaan suspensi.

    Volkswagen Vento 1.2 TSI Highline menongkah arus trend penghasilan sedan segmen-B ini. Ia diberikan enjin 1.2 liter TSI dengan bekalan tork 175 Nm, digandingkan dengan transmisi tujuh-kelajuan klac berkembar DSG benar-benar mengujakan saya.

    Masih menggunakan suspensi torsion beam pada bahagian belakang, tetapi ditala dengan begitu teliti, memberikan karekter pengendalian yang sangat baik diselekoh, serta sangat stabil pada kelajuan tinggi.

    Ia juga diberikan rim 16×7 jj dan tayar berprestasi tinggi saiz penuh. Tidaklah ia kelihatan kelakar dengan rupa seperti roda sport yang besar dari sisi, tapi kelihatan kurus jika dilihat dari hadapan dan belakang, selain benar-benar membantu pengendalian. Boleh dikatakan karekter suspensi Vento ini adalah setara dengan sedan segmen-C yang lebih besar dan mahal.

    Walau bagaimanapun, untuk memastikan harganya kekal kompetitif, Vento tidak dilengkapi dengan gimik-gimik seperti lampu utama LED, lampu nyalaan siang, skrin infotainmen dan sebagainya, yang pada saya ciri-ciri sebegini sebenarnya lebih kepada kepuasan show-off berbanding kepuasan pemanduan sebenar

    IZWAASHURA SADALI

    Tahun 2016 menyaksikan banyak model baharu dan facelift yang dilancarkan di Malaysia. Ia memberikan senarai yang lebih bervariasi kepada rakyat negara ini untuk mendapatkan kenderaan baharu.

    Tahun sebelum ini, ada perkhabaran yang menyatakan harga kenderaan akan diturunkan kerana perlaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST), tetapi disebabkan nilai Ringgit Malaysia yang kian menyusut dalam pertukaran asing, beberapa syarikat pengeluar kenderaan terpaksa menaikkan harga jualan modelnya. Ini termasuklah Nissan, Mitsubishi, Proton dan Mazda.

    Namun kenaikan harga ini seakan tidak menjadi penghalang untuk orang ramai meneruskan hasrat untuk membeli kenderaan baharu. Malah, kami kerap diajukan pelbagai pertanyaan mengenai kelebihan (dan kekurangan) sesuatu model kenderaan, adakah ia berbaloi dengan harga, bagaimana prestasi dan sebagainya. Dan jika ditanya, apakah model kenderaan yang menjadi pilihan saya bagi tahun ini; ini jawapannya.

    5. Mitsubishi Outlander

    Lima model pilihan individu editorial paultan.org BM – kenderaan yang meninggalkan kesan sepanjang 2016

    Jika anda mencari SUV tujuh-tempat duduk yang selesa dan mempunyai ruang yang agak besar, model yang saya sarankan ialah Mitsubishi Outlander. Walau pun karakternya bersifat sederhana dengan tujahan kuasa dari enjin 2.4 liter empat-silinder MIVEC, ia sudah memadai bagi sebuah SUV seperti Outlander ini.

    Dengan hamburan kuasa 167 PS pada 6,000 rpm dan tork 222 Nm pada 4,100 rpm, dipadankan pula dengan kotak gear automatic INVECS-III CVT dengan pedal penukar gear di belakang stereng, ia masih mampu memberikan pacuan yang mantap.

    Karakter luaran Outlander ini turut diberikan suntikan secara besar-besaran, malah ia menggunakan imej terkini yang ditonjolkan oleh Mitsubishi iaitu “Dynamic Shield”, seperti mana yang ditampilkan pada model konsep XR-PHEV dan eX, juga Pajero Sport terbaharu. Sekaligus memberikan imej yang lebih segar, ranggi, elegan dan bergaya. Sesuai dengan karakternya sebagai sebuah SUV bersifat moden, walau pun tidak dibaluti elemen mewah.

    Harganya pula RM 166,720.00, terletak di pertengahan di antara model pesaingnnya iaitu Nissan X-Trail 2.5L (RM159,164) dan Honda CR-V 2.4L (RM167,620), memberikan salah satu tiket untuk Outlander dijadikan pilihan, selain memiliki ruang yang lebih luas dan selesa. Secara konklusi, berbanding X-Trail, Outlander lebih selesa dikendalikan, walau pun CR-V mungkin lebih sedap dipandu.

    4. Proton Saga 2016

    Lima model pilihan individu editorial paultan.org BM – kenderaan yang meninggalkan kesan sepanjang 2016

    Suatu kejutan yang tidak terfikir akan dilakukan oleh Proton apabila berjaya menambah baik model Saga 2016 ini. Prestasinya begitu berbeza dengan model terdahulu walau pun masih ditawarkan dengan enjin berkapasiti 1.3 liter.

    Namun kelahiran semula Saga ini, boleh dianggap sebagai pencetus semula kebangkitan Proton yang dilihat menurun kresibilitinya sejak kebelakangan ini. Dan adakah Saga bersama tiga lagi model yang diperkenalkan pada 2016 termasuk Perdana, Persona dan model kerjasama dengan Suzuki iaitu Ertiga, mampu melonjakkan semula jenama Proton dalam industri ini?

    Walau sekadar enjin 1.3L, Saga tidak mengecewakan. Bukanlah sesuai untuk dipandu secara agresif, namun Saga baharu ini memiliki prestasi yang mengejutkan. Ia lebih ‘akrab’ dengan pemanduan dan pacuan yang diingini, malah gabungan transmisi CVT bersamanya juga tidak menghampakan. Ia mampu menghadiahkan pengendalian yang menyeronokkan.

    Pendapat saya, memang cukup berbaloi jika anda memilih Saga baharu ini. Selain prestasi yang dipertingkatkan, harganya yang sekitar RM36k hingga RM45k, boleh dianggap sangat berpatutan. Imejnya juga sedap mata memandang dan walau pun tidak disaratkan dengan pelbagai elemen berteknologi tinggi, apa yang ada pada Saga ini memang berpadanan dengan harga yang ditawarkan. Apa yang anda hendak lagi?

    3. Subaru Levorg 1.6 GT-S

    Lima model pilihan individu editorial paultan.org BM – kenderaan yang meninggalkan kesan sepanjang 2016

    Mungkin sukar untuk menjadi model yang popular di Malaysia, namun sebenarnya ada karakter tersembunyi pada jentera wagon yang baru memasuki pasaran tahun ini.

    Dengan platform berasaskan jentera WRX, Levorg 1.6 GT-S ini dikuasakan oleh enjin boxer 1.6 liter turbo empat-silinder dengan sistem suntikan bahan api terus (170 PS/250 Nm) dan dipadankan dengan kotak gear Lineartronic CVT dengan enam-kelajuan. Kuasanya disalurkan ke semua roda menerusi sistem Symmetrical All-Wheel Drive Subaru.

    Itu soal mekanikal, adakah ia seiring sejalan dengan prestasi yang dihamburkan dengan kuasa tersebut? Dengan tujahan enjin 1.6L dan gabungan turbo serta padanan transmisi tersebut, ia mampu mengekstrakkan kuasa yang berpadanan. Malahan antara karakteristiknya yang menambat hati ialah kestabilannya ketika dipacu secara agresif. Apatah lagi dengan adanya sistem 4WD, yang peka untuk mengambil tindakan setiap kali diperlukan.

    Imej yang dipertaruhkan juga cukup menarik kerana terserlah sifatnya yang sporty dan dinamik. Cuma soal harganya yang agak tinggi iaitu hampir mencecah RM200k, mungkin membuatkan ia kurang popular di negara kita.

    2. Honda Civic 2016

    Lima model pilihan individu editorial paultan.org BM – kenderaan yang meninggalkan kesan sepanjang 2016

    Honda seakan membuat percaturan baharu bagi model Civic 2016. Walau pun untuk enjin 1.8L tiada perubahan seperti mana model terdahulu, namun pengenalan enjin 1.5L Turbo yang digunakan pertama kali pada Civic, itu satu perkara yang dianggap cukup menarik.

    Namun ketika memandu ujinya dahulu, sama ada varian 1.5 turbo atau pun 1.8L, masing-masing ada kelebihan dan kekurangan yang tersendiri. Jika ditanya, varian mana yang lebih menambat hati saya?

    Jawapannya, Civic 1.8 sudah mencukupi. Honda turut mengolah semula talaan transmisi CVT padanya, membuatkan ia lebih cekap. Ia tetap mampu membawa pengalaman pemanduan yang menyeronokkan. Namun demikian, Civic 1.5 Turbo juga tidak kurang hebatnya, tetapi tanpa rasa ‘turbo kick’, prestasinya seakan sama sahaja dengan enjin 1.8.

    Bukan setakat prestasi, saya cukup menggemari imej luaran yang dibawa oleh Civic 2016 ini. Gabungan sporty, garang dan elegan bersatu dengan olahan yang lebih meyakinkan. Sekaligus menyingkirkan kelemahan imej Civic generasi ke-sembilan yang dilihat kurang ummphh.

    1. Mercedes-Benz A 200 AMG Line

    Lima model pilihan individu editorial paultan.org BM – kenderaan yang meninggalkan kesan sepanjang 2016

    Ia bukanlah model Mercedes-Benz yang paling berkuasa, paling sporty atau yang terbaik. Tetapi untuk yang baru berjinak-jinak hendak memiliki jentera Mercedes-Benz, model ini mungkin boleh dipertimbangkan. Harganya yang ‘lebih mampu milik’ iaitu sekitar RM205,888, dan sesuai untuk penggemar jentera hatchback.

    Lengkap dengan enjin 1.6 liter empat-silinder turbo VVT, ledakan kuasanya mampu mencecah 156 hp pada 5,300 rpm dan tork puncak pula 250 Nm pada 1,250 Nm. Ia dipadankan dengan transmisi DCT tujuh-kelajuan; walau pun ada sedikit kelemahan pada kotak gear ini, iaitu ia agak sedikit perlahan untuk memberikan respons, namun ini dapat di atasi dengan ledakan enjin yang agak padu.

    Imej luaran dan dalaman yang dibawa? Cukup menambat pandangan dari mata hingga ke hati. Serba-serbi dilihat sporty, malah masih mengekalkan sifat mewah dan elegan tetapi dengan sentuhan yang lebih moden dan berjiwa muda.

    DURRANI SHAROM

    Di antara semua di sini, saya mungkin yang paling kurang memandu uji kereta, dengan hanya beberapa model sahaja yang sempat dicuba tahun ini. Disebabkan itu, senarai kenderaan pilihan saya dicampurkan bersama motosikal, yang tidak kurang juga meriahnya dengan pelancaran pelbagai model.

    Ingin juga dinyatakan di sini bahawa ia adalah sekadar pilihan peribadi, yang mana jika saya berkemampuan, setiap satunya boleh ‘memperdaya’ saya untuk membelanjakan wang simpanan di dalam bank. Pada pendapat saya, memang tiada satu kenderaan yang boleh melakukan semua benda, tetapi pilihan saya ini adalah yang paling bersesuaian jika dilihat pada keperluan tertentu.

    5. Proton Saga

    Lima model pilihan individu editorial paultan.org BM – kenderaan yang meninggalkan kesan sepanjang 2016

    Daripada empat model baru Proton yang dilancarkan tahun ini, Saga menerima perhatian utama saya kerana pertamanya, ia memberikan akses kepada lebih ramai orang dengan kenderaan yang mampu milik, bermula pada harga RM36,800 dan mempunyai spesifikasi serta kualiti pemanduan yang cukup baik untuk tahapnya. Selain itu, jika dibandingkan pula bentuknya dengan Persona ataupun Perodua Bezza, ia dilihat paling padan.

    Melalui penawaran sebuah kereta sedan yang lengkap pada harga ini juga, Proton secara tidak langsung telah membantu memberi peluang kepada orang yang bukan sekadar mahu membeli kereta untuk kegunaan sendiri, malah juga boleh digunakan untuk menambah pendapatan melalui servis penyelesaian pengangkutan seperti Uber dan Grab.

    4. Yamaha Ego Avantiz 125

    Lima model pilihan individu editorial paultan.org BM – kenderaan yang meninggalkan kesan sepanjang 2016

    Jika mahukan kenderaan yang paling mudah di dalam kawasan urban, jawapannya adalah skuter kapasiti kecil, dan saya memilih Ego Avantiz 125 yang dilancarkan Julai lalu. Kuasa enjin 125 cc SOHC dengan teknologi Blue Core pada motosikal ini mampu menghasilkan pecutan yang memuaskan meskipun menggunakan transmisi automatik. Anda tidak perlu risau untuk bergerak seiring dengan trafik di dalam bandar dan ia cukup lincah.

    Rekaannya juga nampak moden, dengan lampu utama jenis LED yang dapat memastikan penglihatan anda kepada jalan raya sentiasa jelas termasuk pada waktu malam. Di bawah tempat duduknya, ruang simpanan yang disediakan tidak boleh menyimpan helmet, tetapi masih berguna untuk meletakkan barangan lain seperti baju hujan atau kelengkapan peribadi untuk mengelakkannya daripada hujan. Helmet masih boleh dilekatkan pada cangkuk di bawah tempat duduk tersebut dan dikunci.

    Selain itu, saya juga tertarik dengan betapa mudahnya operasi skuter ini. Sebagai contoh, hanya sebelah tangan sahaja yang boleh digunakan, dengan tenaga yang minimum untuk meletakkannya pada kedudukan rata menggunakan tongkat tengah.

    Selain itu, di bahagian bawah pemegangnnya pula terdapat ruang kecil untuk meletakkan barang seperti botol air. Memandangkan ini adalah sebuah motosikal berteknologi suntikan bahan api, penggunaan bahan api juga memuaskan.

    3. Toyota Sienta

    Lima model pilihan individu editorial paultan.org BM – kenderaan yang meninggalkan kesan sepanjang 2016

    Walaupun dijual pada harga yang sedikit tinggi, Toyota Sienta dilihat sebagai mempunyai pelbagai kegunaan. Itulah yang menjadikan pengalaman saya memandu kenderaan tujuh tempat duduk ini agak menyenangkan. Ia dikuasakan oleh enjin empat-silinder 1.5 liter Dual VVT-i berserta transmisi CVT, dan menghasilkan tujahan kuasa mencukupi bagi pemanduan seharian.

    Selain dapat menarik pemandu dengan pengendalian yang serba mudah dan lincah, Sienta juga menyediakan keselesaan bagi penumpang dengan bahagian belakangnya mempunyai corong pendingin hawa di bahagian panel bumbung, NVH yang baik dan hentakan suspensi yang bagus.

    Saya menggambarkan, Sienta ini sebagai kenderaan pelbagai guna kerana selain mempunyai ciri yang memudahkan penumpang seperti pintu gelungsur, ia juga dapat memenuhi keperluan pemilik sekiranya ingin membawa barang yang besar kerana tempat duduk belakangnya boleh dilihat rata.

    Jika anda seorang yang aktif contohnya dan perlu membawa kelengkapan sukan seperti basikal saiz penuh tanpa menanggalkan tayarnya, saya tidak dapat melihat sebarang masalah untuk Sienta melaksanakannnya.

    2. Honda RS150R

    Lima model pilihan individu editorial paultan.org BM – kenderaan yang meninggalkan kesan sepanjang 2016

    Ramai yang melihat motosikal berkapasiti tinggi sebagai satu penyelesaian pengangkutan yang mudah dan menjimatkan. Walau bagaimanapun, pengguna di negara kita tidak terkecuali dengan mereka yang mahukan prestasi pada motosikal jenis ini. Disebabkan itu jugalah pengeluar berani untuk membawa ke dalam pasaran model seperti Honda RS150R, Yamaha Y15ZR dan Belang 150 Fi.

    Namun, di antara semua itu, bagi keperluan jenis ini, saya memilih Honda RS150R kerana enjinnya mempunyai kelebihan DOHC dan transmisi enam gear yang dipadankan bersama sistem suntikan bahan api. Ini bukan setakat diperhati melalui spesifikasi sahaja, malah apabila menunggangnya juga didapati RS150R mempunyai tujahan kuasa yang lebih mengujakan dan pantas dalam keadaan asal.

    Berkenaan harga, RS150R dijual pada harga RM8,213.94 dan ini sebenarnya tidak banyak perbezaan dengan Y15ZR tetapi kelihatan seperti banyak peniaga yang mengambil kesempatan terhadap ‘motosikal panas’ ini. Bagi mengelakkan terpedaya, pembeli seharusnya lebih rajin untuk pergi kepada lebih banyak kedai untuk membezakan harganya.

    1. KTM SuperDuke GT 1290

    Lima model pilihan individu editorial paultan.org BM – kenderaan yang meninggalkan kesan sepanjang 2016

    KTM Super Duke GT 1290 saya uji semasa pelancaran globalnya di Sepanyol awal tahun ini dan sehingga sekarang, pengalamannya masih bermain segar di ingatan. Motosikal ini diasaskan daripada model Super Duke R, iaitu sebuah model naked yang menggunakan enjin dua silinder V 1,301 cc dan transmisi enam kelajuan. Bagi Super Duke GT, ia dikemas kini supaya bersesuaian dengan konsep jelajah.

    Menariknya motosikal ini, ia sebuah jentera yang cukup ganas namun dalam pakej sama, boleh dilaras untuk menjadikannya lebih selesa untuk tunggangan jauh. Bermakna, jika anda seorang yang gemar ‘menyerang’ selekoh dan pada masa sama, mahukan motosikal yang boleh dibawa untuk perjalanan jauh, ini adalah jawapannya.

    Selain itu, teknologi yang dilengkapi pada motosikal ini juga cukup canggih dengan antaranya sistem Motorcycle Stability Control yang termasuk Kawalan Cengkaman (TC), Cornering ABS, tiga pilihan mod tunggangan dan suspensi WP aktif. Di Malaysia, KTM Super Duke GT dilancarkan pada bulan Julai lalu pada harga RM125,000.

     
     
  • Harga bahan api bagi Januari 2017 – RON95, RON97, diesel dan diesel Euro 5 M semua naik 20 sen

    Harga bahan api bagi Januari 2017 – RON95, RON97, diesel dan diesel Euro 5 M semua naik 20 sen

    Seperti yang dijangkakan, harga semua bahan api di stesen-stesen minyak seluruh negara sah naik mulai tengah malam ini – 20 sen untuk semua jenis berbanding harga Disember 2016

    Bermula 1 Januari 2017, RON 95 akan dijual kepada pengguna pada harga RM2.10 bagi setiap liter, RON 97 pada RM2.40 seliter (tidak termasuk GST), diesel pada RM2.05 dan Diesel Euro 5 RM2.15 seliter.

    Setelah harga RON95 turun pada paras RM1.70 seliter dan RON97 turun RM2.05 seliter pada September lalu, harga kesemua bahan api terus meningkat selepas Oktober dan hanya turun 5 sen untuk semua jenis bahan api pada bulan lalu.

    Suka atau tidak, tahun baru 2017 rakyat Malaysia akan dimulakan dengan peningkatan mendadak kos keperluan asas ini.

     
     
  • Harga petrol RON95, diesel dijangka meningkat Jan ini

    Harga petrol RON95, diesel dijangka meningkat Jan ini

    Mungkin ini bukan satu perkhabaran yang dinantikan oleh rakyat Malaysia, namun hakikatnya, semua orang perlu bersedia bagi menghadapi cabaran tahun 2017, terutamanya peningkatan harga barangan keperluan. Ini termasuklah harga runcit petrol RON95 dan diesel yang dijangka meningkat pada Januari ini.

    Menurut Pengarah Komunikasi Strategik Kementerian Kewangan Datuk Lokman Noor Adam, ia adalah berikutan harga pasaran minyak mentah dunia mencatat peningkatan bulan ini. Di mana harga runcit RON95 dan diesel ditetapkan mengikut purata harga bahan api itu di pasaran dunia selama sebulan selain dipengaruhi oleh pergerakan nilai Ringgit berbanding Dolar Amerika, laporan Bernama.

    “Purata maksudnya harga dari tarikh 1 hingga 31 dibahagi dengan 31 hari. Bukan mengikut harga di hujung bulan seperti pemahaman sesetengah pihak. Dengan pengukuhan dolar Amerika berbanding Ringgit Malaysia kini, ia mengakibatkan kos pembelian minyak juga meningkat. Ia memberi kesan kepada penetapan harga bahan api di Malaysia,” katanya.

    Beliau turut berkata,harga runcit petrol dan diesel ditetapkan berdasarkan apungan terurus dengan harga bulanan ditentukan kuasa pasaran bermula 1 Dis 2014 berikutan kejatuhan harga minyak dunia ketika itu.

    Walau pun masih ramai tidak dapat menerima bahawa kerajaan perlu menghentikan pemberian subsidi secara pukal dan membantu mereka melalui pengagihan subsidi kepada kumpulan sasar yang betul.

    Katanya sambil memberikan contoh, “Subsidi pukal yang diberi sebelum ini bererti golongan kaya dan miskin menerima nilai subsidi yang sama. Contohnya pada Julai 2014, bagi setiap liter RON95, kerajaan memberikan subsidi RM0.6843 seliter.”

    Harga petrol RON95, diesel dijangka meningkat Jan ini

    Sambungnya lagi, “Mereka yang miskin menggunakan kereta Kancil, setelah mengisi tangki mereka penuh dengan RON95, jumlah subsidi yang diterima hanyalah sekitar RM16.29. Manakala mereka yang datang dari kelas menengah pula menggunakan Toyota Camry dan membelanjakan RM150 untuk mengisi penuh tangki mereka. Jumlah subsidi yang terpaksa kerajaan bayar kepada mereka adalah RM48.87, yang mana tiga kali ganda lebih besar daripada yang miskin tadi.”

    Lokman Noor berkata berdasarkan kajian Kementerian Kewangan, kerajaan membelanjakan 70% daripada nilai subsidi untuk membantu golongan kaya dan hanya 30% subsidi yang diberikan dalam bentuk RON95 dan diesel yang dinikmati golongan sasaran.

    Pada masa sama, di bawah sistem subsidi pukal warga asing yang tinggal di Malaysia juga akan menikmati subsidi hasil daripada cukai yang dibayar oleh rakyat Malaysia.

    Setiap hari terutamanya di hujung minggu, katanya, subsidi yang diberikan oleh kerajaan kepada rakyat Malaysia turut bocor kepada kenderaan Singapura, selain ia diseludup ke Thailand dan Filipina serta dijual di perairan antarabangsa.

    “Subsidi bererti bantuan, pertolongan dan pemberian daripada kerajaan kepada rakyatnya. Jika ditanya siapakah yang patut mendapat pertolongan, sudah pastilah pertolongan itu perlu kita utamakan yang susah dahulu sebelum yang senang. Mestilah diberikan kepada rakyat kita, bukan warga asing,” katanya.

     
     
  • Mendekati individu di dalam pasukan paultan.org BM – kenderaan apa yang kami miliki dan pandu setiap hari?

    Mendekati individu di dalam pasukan paultan.org BM – kenderaan apa yang kami miliki dan pandu setiap hari?

    Tahun 2016 merupakan sebuah penanda aras baharu bagi pasukan editorial paultan.org Bahasa Malaysia. Sejak beralih ke laman web utama ini bermula Januari 2016 – sebelum ini ia berdiri sendiri dan dikenali dengan nama InfoKereta.com – kapasitinya juga kian berkembang.

    Awalnya, ia diusahakan oleh Izwaashura Sadali seorang sejak dua tahun lalu. Ia kemudian menerima pertambahan tiga orang lagi ke dalam pasukan ini. Farid Awaludin, yang mula menyertai sekitar Februari lalu, hadir dengan minat dan pengalaman yang tersendiri dalam hal-hal teknikal dan mekanikal.

    Dia menjadi individu rujukan kami semua berkaitan perkara seperti itu. Sebelum ini, dia terlibat sekali bersama Izwa dengan majalah Auto Maskulin terbitan Karangkraf, sebelum bertugas di pusat servis bagi beberapa jenama kenderaan sebelum kembali ke pangkuan industri media.

    Pada Julai, Hazril Hafiz pula ikut serta. Sejak 2007, dia mula terlibat di dalam penerbitan sebuah sisipan automotif medium cetak di BH Auto (terbit di dalam akhbar Berita Harian). Dengan kecenderungan terhadap bahasa dan hal-hal lain selingkar dunia automotif (terutama dari aspek perkembangan teknologi), medium digital tidaklah dirasakan begitu janggal untuk dia lekas menyesuaikan diri.

    Mendekati individu di dalam pasukan paultan.org BM – kenderaan apa yang kami miliki dan pandu setiap hari?

    Durrani Sharom merupakan tambahan terakhir bagi editorial Bahasa Malaysia ini. Juga dengan latar media automotif yang sama di BH Auto, ini orangnya yang sangat dekat dengan dunia jentera dua roda, selain turut merupakan seorang pemandu yang gemar menguji sempadan kemampuan sesebuah kenderaan, kadang-kadang dengan cara yang agresif.

    Selain itu, turut ditampilkan di sini ialah Sherman Sim, Pengarah Fotografi bagi kumpulan besar Driven Communication, termasuk Paultan.org (bagi editorial Inggeris, BM dan Mandarin) yang berkhidmat sejak Mac 2012. Hasil kreativitinya diserlahkan menerusi foto-foto yang dirakamkan, ditambah dengan minat terhadap dunia automotif membuatkan beliau mampu ‘menghidupkan’ hasil bidikan lensanya.

    Jadi, kepada semua pembaca, anggaplah artikel ini sebagai salam perkenalan rasmi daripada kami. Mungkin, sebelum ini anda hanya pernah terlihat nama-nama kami, kini, sedikit sebanyak latar belakang dan wajah individu-individu yang menggerakkan seksyen Bahasa Malaysia untuk laman web ini kami persembahkan kepada umum.

    Semacam tanda menghulurkan tangan untuk dijabat dengan lebih erat selepas ini, kami sediakan bingkisan khas ini, yang memaparkan kenderaan-kenderaan persendirian yang kami gunakan sehari-hari, di dalam penampilan yang jujur dan bersahaja.

    Dengan semua pengalaman yang kami ada, tentulah tujuannya hanya satu; untuk menyediakan kandungan perihal automotif tempatan dan antarabangsa, di dalam Bahasa Malaysia yang kemas dan padat, untuk dinikmati oleh semua pembaca. Semoga tahun 2017 nanti akan lebih meriah dan bermanfaat untuk kita semua. Sementara itu, salam kenal daripada kami.

    Izwaashura Sadali – Subaru XV 2.0 STI Performance Edition 2015

    Mendekati individu di dalam pasukan paultan.org BM – kenderaan apa yang kami miliki dan pandu setiap hari?

    Mula mengidamnya sejak pertama kali melihatnya pada penghujung tahun 2012. Namun ketika itu, hati belum terbuka untuk membeli jentera baharu, apatah lagi saya lebih menggemari transmisi manual. Namun empat tahun kemudian, saya membuat keputusan untuk ‘memadukan’ Proton Wira Aeroback SE 2006 M/T yang telah dilenjan hampir sedekad (dan mungkin sampai dekad akan datang.. selagi ia masih mampu berkhidmat dengan cemerlang!)

    Cinta pandang pertama yang tercetus bila mana melihat Subaru XV ini disebabkan imej luarannya yang nampak ranggi dan sporty. Rekaan dalamannya hanya sekadar biasa-biasa saja, sedikit konvensional dan tidak sarat dengan elemen berteknologi tinggi. Tapi bila saya berpeluang memandu ujinya, ternyata ia SUV Crossover yang menepati citarasa saya. Enjin boxer 2.0 liter bersama transmisi Lineartronic CVT enam-kelajuan dirasakan cukup ‘adunan’.

    Bukan itu saja, team Paultan.org terutamanya Jonathan Lee, banyak ‘meracuni’ saya dalam membuat pilihan ini. Maka, akhirnya XV model 2015 versi STI Performance ini menjadi ‘boyfriend’ kedua saya (selain Wira Aeroback). Ya, bukan versi 2016 (sila jangan tanya kenapa). Kerana asalnya dari Jepun (walau pun model pemasangan tempatan (CKD)), ia diberi nama ‘Ninja-san’. Buat setakat ini, prestasinya memang menguja, terutama pengendaliannya yang cukup serasi, tak kira untuk pemanduan secara santai mahu pun sedikit agresif.

    Sebenarnya sedari dulu, saya memang penggemar SUV. Walau pun saya cuma bertubuh genit dengan ketinggian 150cm, tapi saya sukakan kenderaan yang besar. Sebabnya bila memandu kereta yang lebih kecil, saya sering kali ‘dibuli’ di jalan raya! Termasuklah ketika memandu uji mana-mana model hatchback atau kompak.

    Jadi SUV memang pilihan saya, selain bersaiz besar, selalunya ia juga kelihatan lebih macho. Dan SUV idaman saya ialah Range Rover Evoque. Ia bukan sahaja kelihatan berketerampilan di bahagian luar dan dalam, malah prestasinya cukup mengujakan. Entah bilalah dapat memilikinya kerana harganya…memang krikk krikkk krikkk. Gua belum mampu lagi, beb!

    Farid Awaludin – Volvo 240GL 2.3L Injection 1992

    Mendekati individu di dalam pasukan paultan.org BM – kenderaan apa yang kami miliki dan pandu setiap hari?

    Semasa berstatus bujang dahulu, saya mempunyai sebuah Honda Civic hatchback generasi kedua yang digunakan sebagai kereta harian, dan juga sebuah Datsun 120Y B310 yang diubahsuai sebagai kereta hujung minggu. Beberapa bulan sebelum berkahwin, saya mula merancang untuk mengubah mod pengangkutan ini supaya lebih mesra keluarga.

    Setelah menyenarai pendek sedan-sedan segmen-B baharu yang berada dalam lingkungan bajet dan merancang untuk menjual Datsun 120Y, saya sedar yang sebenarnya saya belum bersedia untuk ‘move on’ dengan menjadikan sebuah kereta yang saya tidak minat untuk memandunya setiap hari, serta menanggung bayaran bulanan yang agak tinggi.

    Volvo 240GL Injection dengan transmisi manual lima-kelajuan tahun 1992 merupakan pilihan terbaik untuk tujuan ini dan kena dengan jiwa saya. Ia sebuah sedan pacuan roda belakang, dengan bentangan sistem mekanikal yang ringkas – seperti sebuah Toyota Corolla KE70 tetapi dengan saiz yang lebih besar serta besi yang lebih padu.

    Tambahan pula, dengan pengalaman bekerja bersama jenama ini di bahagian servis selepas jualan, saya dikelilingi kawan-kawan yang boleh dirujuk untuk mencari alat ganti dan sebagainya.

    Sedikit sentuhan diberikan bagi membolehkan batu-bata ini dikenali sebagai ‘kereta Farid’. Gantikan rim asal kepada rim 17-inci dengan bukaan yang lebar, dan rendahkan. Kemudian, semua rakan dan kenalan tahu di mana saya berada.

    “Bro, enjin 2JZ ke RB ni?” Ini merupakan soalan yang sudah tahap penat untuk saya jawab setiap kali ada individu yang pertama kali melihat kereta ini. Saya masih lagi mengekalkan enjin asal B230E 2.3 liter empat-silinder dengan suntikan bahan api mekanikal K-Jetronic. Walaupun agak selekeh dengan kesan minyak di sana-sini, enjin ini masih cemerlang berkhidmat. Tukar enjin? Mungkin satu hari nanti, tapi mestilah enjin dari Volvo juga!

    Sebagai peminat lagenda rali dunia mendiang Colin McRae sejak dari bangku sekolah, sudah tentu saya mengimpikan untuk memiliki sebuah Subaru Impreza WRX STi GC8. Namun sejak menjadi ayah kepada dua orang anak, terdetik pula untuk membeli wagon Volvo 855 T5 dengan transmisi manual.

    Tapi, ini semua angan-angan yang tak payah pakai duit. Untuk tempoh terdekat, saya lebih menumpukan untuk mencari ruang dan peluang bagi merestorasi Volvo 240 ini ke tahap yang lebih baik.

    Hazril Hafiz – Toyota Corolla SEG 1.3 Manual 1992

    Mendekati individu di dalam pasukan paultan.org BM – kenderaan apa yang kami miliki dan pandu setiap hari?

    Bagaimana ya hendak dimulakan? Toyota SEG ini adalah kereta pertama yang saya miliki, sejak tahun 2007 kalau tak silap, dan kekal sehingga hari ini. Asalnya, ia datang dengan angan-angan yang tersendiri; saya hanya perlukan sebuah kereta “lama” waktu itu, yang perlahan-lahan akan dibikin semula, bergantung kepada keadaan.

    Malangnya, selepas sembilan tahun bersama kereta ini, tak banyak yang berubah. Selain menggantikan alat-alat ganti yang perlu, hanya cat badannya sahaja disembur semula pada Disember 2014. Itupun kerana cat asal sudah teruk mengelupas dibahagian bumbung – khuatir keadaannya akan melarat dan membawa masalah lain; karat.

    Banyak pengalaman yang saya tempuhi bersama kereta ini. Kita tumpukan kepada yang tak berapa menyenangkan. Sepanjang tempoh memilikinya, cuma dua atau tiga kali ia menghadapi masalah teruk, yang memerlukannya ditunda. Janganlah buat-buat hairan, kereta baharu sekarang pun, yang usianya pucuk muda, selalu kita nampak di atas trak tunda kerana kerosakan yang entah apa. Inikan pula kereta “lama”.

    Mendekati individu di dalam pasukan paultan.org BM – kenderaan apa yang kami miliki dan pandu setiap hari?

    Tetapi, itupun disebabkan kerana saya sendiri yang tidak terlalu prihatin terhadapnya. Hanya selepas kejadian-kejadian seperti itu, barulah bahagian-bahagian atau alat gantinya ditukarkan kepada yang baharu. Bahagian yang belum memberi masalah, ia masih kekal pada kereta ini, sama sejak pertama kali saya memandunya pulang dari kedai kenderaan terpakai dulu.

    Walaupun dalam keadaan seperti seadanya, ia masih setia – kereta ini bukan sahaja menjadi satu-satunya kereta yang saya miliki, tetapi turut menjadi peneman di dalam perjalanan ke luar kawasan, misalnya pulang ke Sitiawan, Perak tanpa sebarang masalah.

    Mengapa saya masih menggunakan kereta ini, sedangkan banyak peluang yang terhampar untuk saya bertukar kepada model-model kenderaan lain yang lebih baharu, maju dan selesa? Untuk saya, mungkin kerana kereta ini sangat “straight-forward”. Dengan enjin karburetor berkapasiti kecil yang jimat, ia sebenarnya jauh lebih seronok dipandu berbanding kebanyakan model kereta baharu dalam lingkungan kategori yang sama sekarang.

    Kedua, saya tidak pula mempunyai jangkaan yang terlalu tinggi untuk kereta milik sendiri; cukup jika ia boleh digunakan secara harian untuk hal-hal rutin dengan tidak memberikan banyak masalah, itu sudah memadai. Tambahan pula, tidak terikat dengan hutang bank untuk kereta kini saya rasakan seperti satu nikmat yang sukar diungkapkan.

    Jika tidak memandu kereta ini, kaedah pengangkutan lain yang kadang-kadang saya gunakan ialah sebuah Ford Fiesta milik isteri (ini lebih selesa, dan pendingin hawanya lebih sejuk), atau kereta untuk tujuan laporan pandu uji, atau yang agak kerap juga, pengangkutan awam termasuk GrabCar. Jadi untuk kereta sendiri, saya tidak terlalu cerewet.

    Cuma, kebelakangan ini, idea-idea lama untuk membikin semula kereta ini datang balik, entah dari mana. Saya mula berangan-angan lagi untuk menjadikannya kenyataan. Beberapa teman juga galak “menghasut”, jadi mungkin sudah sampai waktunya saya mempertimbangkannya dengan lebih serius.

    Tetapi, buat masa ini, saya menerima seadanya, tanpa banyak rungutan. Oh ya, tempat duduk belakang agak kotor kerana sekarang saya kerap angkut basikal saiz penuh di dalamnya – terkena minyak rantai. Radio pun dah rosak.

    Durrani Sharom – Yamaha LC135 V1 2009

    Mendekati individu di dalam pasukan paultan.org BM – kenderaan apa yang kami miliki dan pandu setiap hari?

    Dalam bidang penulisan automotif, ramai yang beranggapan saya ‘mat motor’ kerana pada kebanyakan masa dilihat menunggang motosikal dan jarang sekali memandu kereta kecuali unit pandu uji. Apa yang tidak ramai tahu, saya asalnya memang ‘kaki kereta’.

    Sejak mendapat lesen pada umur 17 tahun, pengangkutan utama saya adalah kereta bermula dengan Kancil 850 milik keluarga, diikuti Datsun 120Y B210 ‘tonggek’ – kereta pertama yang dibeli sendiri dan berakhir dengan Nissan Bluebird U11 (masih dimiliki hingga kini).

    Jika ingin bercerita berkenaan U11 yang saya miliki sudah hampir 10 tahun jika tidak silap, memang boleh dibuat buku dengan pelbagai perkara yang dipelajari. Apatah lagi, kereta itu sudah jauh keadaannya berbanding asal dengan kini dipacu enjin SR20DET dari model Nissan Primera dan hampir keseluruhan bahagian sudah ‘disentuh’ oleh saya sendiri.

    Dipendekkan cerita, ia memberikan saya pelbagai pengetahuan dan pengalaman berkenaan jentera empat roda dan pemanduan. Dan saya juga bersyukur tidak berhadapan sebarang insiden serius meskipun pada masa itu masih ‘berdarah muda’ dan memandu kereta lama, tanpa ABS atau sistem keselamatan canggih, tetapi mempunyai lebih 240 hp.

    Mendekati individu di dalam pasukan paultan.org BM – kenderaan apa yang kami miliki dan pandu setiap hari?

    Sebelum memasuki bidang penulisan automotif ini, saya banyak bekerja di luar Kuala Lumpur dan bergerak dengan menggunakan van atau lori syarikat. Jadi pada masa itu, motosikal tidak diperhatikan. Bila memasuki kerjaya baru ini, dengan banyak pergerakan di dalam Kuala Lumpur dan Lembah Kelang, saya fikir, ia adalah masa sesuai.

    Bukan setakat kerana kereta saya tidak ekonomikal, menggunakan transmisi manual dan mempunyai klac keras, malah saya tidak boleh menerima hakikat terperangkap dalam kesesakan. Demi ketenangan otak dan pengurusan masa yang lebih baik, saya berakhir dengan Yamaha LC135 ini.

    Pada masa sama, saya dapati tidak ramai yang membuat laporan tunggang uji, jadi, saya juga menaik taraf terus kepada lesen B penuh supaya boleh menulis berkenaan motosikal berkapasiti tinggi.

    Tujuh tahun berlalu, inilah pengangkutan utama saya pada kebanyakan masa. Keadaannya standard sahaja, cuma baru-baru ini saya menukar blok enjinnya kepada unit dari FZ150 memandangkan enjin itu memang perlu dibuka kerana sudah berbunyi teruk akibat minyak hitam kering dan tetap dibelasah (terlupa diperiksa kerana sering ditinggalkan apabila mendapat unit pandu/tunggang uji).

    Bagi saya, tiada masalah untuk bergerak ke mana sahaja dengan motosikal ini. Saya dapat menjimatkan banyak masa, dan bila hujan, sarung sahaja baju hujan. Tapi malangnya, kotak belakang saya yang menyimpan baju hujan dan helmet juga baru-baru ini telah dicuri. Ini sajalah yang sedikit merisaukan apabila memiliki motosikal – penyangak.

    Walaupun saya kini lebih banyak membuat laporan tunggang uji, saya masih lagi gemar memandu, terutama sekali apabila terdapat sesi di dalam litar. Di atas jalan biasa, jika pada waktu yang diketahui sesak (kalau di KL boleh dikatakan sepanjang masa kecuali tengah malam), memang saya akan bergerak dengan kapcai sahaja. Sekarang, saya mempunyai perspektif yang berbeza berkenaan pengangkutan dan kenderaan berbanding dulu.

    Walau bagaimanapun, dalam fikiran saya masih bermain-main gambar Nissan Skyline R32 GTR dan Porsche 911 964/930 sebagai kereta idaman. Kedua-dua dianggap dapat memuaskan saya yang gemarkan ‘rasa terus’ pemanduan sebenar.

    Bagi motosikal, walaupun sudah pernah membawa pelbagai model, saya masih belum dapat membuat keputusan satu yang betul-betul sesuai. Saya cuma sukakan semua keadaan tunggangan dan sudah tentu, tiada satu motosikal yang dapat melakukan semuanya. Jika mahu membeli sebuah, berkemungkinan saya akan pergi kepada motosikal jenis jelajah.

    Sherman Sim – Alfa Romeo 155 2.0 Twin Spark 1996

    Mendekati individu di dalam pasukan paultan.org BM – kenderaan apa yang kami miliki dan pandu setiap hari?

    Bukanlah suatu perkara yang boleh dianggap jenaka apabila memiliki Alfa Romeo, walau hakikatnya pasti ada yang ketawakan anda kerana memilihnya. Masalah kerosakan, kos membaikpulih yang tinggi dan kesukaran mendapatkan alat ganti, memanglah menjadi satu masalah untuk buat pemilik Alfa ini. Namun, atas alasan minat terhadapnya, ia mampu menukarkan rasa yang ‘sukar’ itu kepada kepuasan dan keterujaan.

    Enam tahun dahulu, pertama kali saya terlihat kereta ini di sebuah stesen minyak, yang pada hemahnya begitu menarik perhatian saya. Ia cukup cantik dan sempurna di mata saya – Alfa Romeo 155 2.0 “Widebody” Twin Spark dengan kekemasan warna Blu Nord Metallic. Kenapa memilih Alfa 155? Atas pengaruh seorang teman rapat yang merupakan pemilik Alfa Romeo 155 2.5L V6, saya ‘diracuni’ secukupnya untuk mendapatkan kereta tersebut. Dan hingga ke saat ini, walau pun telah menguji pelbagai model kereta, ia masih menjadi kebanggaan saya, malah memberikan kepuasan yang cukup optimum ketika memacunya.

    Tahun demi tahun, saya telah melakukan sedikit penambahbaikan untuk bahagian prestasinya – roda, suspensi, chip, intake, dan ekzos. Walau pun masih terlalu jauh jika hendak dibandingkan dengan jentera lumba BTCC dan DTM, namun ia bukanlah suatu perkara yang membosankan. Bagi Alfa 155 saya ini, buatan tahun 1996, ya sudah menjejaki tahun ke-20 dan bagi saya, mengendalikannya adalah pengalaman yang terbaik berbanding kereta moden lain yang sama dengan kelasnya. Dengan rekaan badan “wedge” yang dipadankan bersama enjin empat-silinder, keupayaannya tidak perlu disangkal. Saya amat menyukai kereta ini.

    Ketika zaman di kolej dahulu, saya memasang impian untuk memiliki kereta sport buatan Jepun, seperti mana kebanyakan yang dilakukan oleh pelajar-pelajar lelaki lain. Mitsubishi Lancer Evolution VI menjadi idaman saya. Dengan bodywork yang agresif, enjin pengecas turbo penuh berkuasa dan sistem pacuan semua-roda, ia cukup sempurna bagi lelaki muda. Tetapi, hingga kini ia masih kekal sebagai impian kerana terlalu jauh untuk saya gapai dan mungkin juga tidak dapat dimiliki dalam masa terdekat.

     
     
  • LED H4 Philips X-treme Ultinon kini di Malaysia – boleh ganti terus mentol lampu hadapan jenis halogen H4

    Berita baik untuk pengguna lampu hadapan jenis mentol halogen H4, Philips kini telah memperkenalkan mentol LED H4 X-treme Ultinon di Malaysia, yang direka agar boleh menggantikan terus mentol jenis halogen H4 biasa secara plug-and-play pada soket asal lampu hadapan konvensional anda tanpa apa-apa pengubahsuaian.

    Mentol LED H4 ini bukan sahaja boleh mentransformasi rupa lampu hadapan biasa anda kepada lampu LED, malah ia juga menghasilkan cahaya 150% lebih terang dari mentol halogen H4 standard, tetapi dengan bentuk pancaran cahaya biasa.

    Ia mampu direka sedemikian kerana teknologi Safebeam yang digunakan – membolehkan mentol LED tersebut memberikan cahaya lebih luas pada jalan, dalam masa yang sama mengurangkan silau pada pengguna jalan raya yang lain. Teknologi tersebut juga menghasilkan cahaya lampu yang lebih tajam dan kelihatan berkilat.

    LED H4 Philips X-treme Ultinon kini di Malaysia – boleh ganti terus mentol lampu hadapan jenis halogen H4

    Philips X-treme Ultinon ini juga dibina dengan rekaan terma AirFlux, yang memastikan diod di dalam kekal sejuk dan sentiasa memberikan prestasi cahaya tertinggi serta tahan lebih lama. Menurut Philips, mentol ini mampu bertahan selama 12 tahun, dan diberikan perlindungan waranti selama tiga-tahun.

    Produk baharu ini melengkapkan barisan mentol gantian LED Philips untuk semua aplikasi automotif yang terdiri dari mentol lampu kabus, lampu brek, lampu kabin dan juga lampu but.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (-0.04)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.10
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.90 (-0.04)
EURO 5 B7 RM3.10 (-0.04)
Last Updated Aug 14, 2025