Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • EAIC cadang jawatankuasa tetap bersepadu antara JPJ, SPAD dan PDRM – agar lebih cekap dan berkesan

    EAIC cadang jawatankuasa tetap bersepadu antara JPJ, SPAD dan PDRM – agar lebih cekap dan berkesan

    Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) mencadangkan agar badan penguatkuasaan undang-undang yang melibatkan jalan raya dan pengangkutan awam membentuk satu jawatankuasa tetap dan pusat pentadbiran bersepadu untuk lebih cekap dan berkesan dalam menjalankan tugas, memetik laporan Bernama.

    Pengerusi EAIC, Datuk Yaacob Md Sam berkata, tiga badan penguatkuasaan undang-undang berkaitan jalan raya yang dimaksudkan adalah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) dan Polis DiRaja Malaysia (PDRM) septutnya berkerjasama dengan lebih erat untuk mempertingkat aspek keselamatan jalan raya.

    Beliau memberi contoh, dengan sistem semasa yang diguna pakai sekarang, ketiga-tiga badan penguatkuasaan berkenaan tidak dapat mengakses rekod atau data di antara mereka secara atas talian, dan ini memberi kesan kepada aktiviti penguatkuasaan dan tindakan susulan yang perlu diambil.

    “Ketiga-tiga agensi ini memerlukan satu sistem bersepadu untuk menghubungkan dan membolehkan mereka untuk berkongsi maklumat. Dengan cara itu penguatkuasaan undang-undang jalan raya dapat diperkemas dan lebih cekap,” ujar beliau.

    “Cara ini juga bertujuan untuk mengelak daripada situasi di mana satu agensi tidak tahu rekod atau tindakan yang diambil oleh agensi yang lain,” tambahnya. Yaacob juga mencadangkan agar SPAD dimasukkan semula di bawah seliaan EAIC, memandangkan suruhanjaya itu turut menerima aduan terhadap salah laku pegawai penguatkuasa SPAD.

    Dulunya dikenali sebagai Lembaga Perlesenan Kenderaan Perdagangan (CVLB), SPAD, yang ditubuhkan pada 2010, menolak untuk berada di bawah seliaan EAIC. Yaacob menjelaskan, EAIC telah mengadakan perbincangan dengan Kementerian Pengangkutan dan Perdana Menteri berkaitan cadangan berkenaan.

    “EAIC akan menyatakan cadangan formal kepada kerajaan untuk meletakkan semula SPAD di bawah seliaan dan pemerhatian kami,” ujar beliau, dengan memaklumkan setakat ini, EAIC sudah menerima 10 aduan terhadap SPAD.

     
     
  • Kementerian Pengangkutan sasar 1.2 juta pengguna pengangkutan awam di Lembah Klang sehari

    Kementerian Pengangkutan sasar 1.2 juta pengguna pengangkutan awam di Lembah Klang sehari

    Dengan pertambahan sistem pengangkutan terbaharu di Lembah Klang, termasuk Transit Aliran Massa (MRT) yang baru beroperasi dan sambungan Jajaran Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Kelana Jaya, Kementerian Pengangkutan menyasarkan 1.2 juta pengguna akan menggunakannya pada waktu puncak setiap tahun pada tahun ini.

    Menurut Ketua setiausahanya Datuk Seri Saripuddin Kasim, angka itu ditetapkan sebagai Petunjuk Prestasi Utama (KPI) kementerian selepas mengambil kira perkhidmatan MRT, laporan Bernama.

    “Tahun lepas kita capai KPI 450,000 pengguna pengangkutan awam merangkumi monorel, KLIA Ekspress, bas Rapid KL dan komuter pada waktu puncak setiap hari. Dengan adanya MRT serta projek tambah baik infrastruktur stesen komuter yang akan membolehkan lebih ramai menggunakan pengangkutan awam, saya yakin KPI tahun ini juga dapat dicapai,” katanya kepada pihak media ketika merasmikan Majlis Penyerahan Projek Kawasan Tempat Letak Kereta Serta Lain-lain Kemudahan di Stesen Komuter Nilai.

    Dalam masa yang sama, Saripuddin turut berkata, untuk tahun ini, projek membina tempat letak kereta akan dilaksana di Stesen Komuter Batu 3, Shah Alam dan Stesen Komuter Rawang dengan kos keseluruhan dianggar RM50 juta.

    “Kita jangka kawasan tempat letak kereta bagi semua stesen ini akan siap pada 2018,” katanya.

    Sementara itu, Ketua Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Datuk Seri Dr Roslan Md Taha berkata projek tempat letak kereta berkonsepkan ‘Park And Ride’ yang dilaksanakan pihaknya di Stesen Komuter Nilai itu merupakan sebahagian inisiatif Strategi Lautan Biru antara JKR dan Kementerian Pengangkutan.

    “Apa yang membanggakan projek ini bukan sahaja berjaya disiapkan pada masa yang ditetapkan tetapi juga kita tutup fail dan akaun projek, bermakna tidak ada lagi isu berbangkit dari segi tuntutan kos tambahan dan sebagainya selepas ini,” kata Roslan.

    Projek kawasan tempat letak kereta di Stesen Komuter Nilai itu siap dibina dalam tempoh 10 bulan dengan kos RM3.6 juta dan skop projek termasuk pemasangan papan tanda penunjuk arah di persimpangan jalan ke stesen, laluan pejalan kaki berbumbung serta pemasangan sistem kamera litar tertutup.

     
     
  • Toyota Concept-i – kereta konsep masa depan yang mampu berinteraksi dan membaca emosi pemandu

    Toyota Concept-i – kereta konsep masa depan yang mampu berinteraksi dan membaca emosi pemandu

    Pada Consumer Electronics Show (CES) 2017 yang berlangsung di Las Vegas, Toyota telah memperkenalkan model konsep terbaharunya -Toyota Concept-i. Model ini direka disasarkan untuk menjadi sebuah kereta berteknologi tinggi, seronok dan bersifat mesra terhadap pengguna.

    Kereta ini dibina berasaskan idea “kinetic warmth,” iaitu kepercayaan bahawa teknologi mobiliti itu “sepatutnya harus hangat, dialu-alukan, dan yang paling penting, seronok”. Rekabentuk keseluruhan kereta ini menampilkan rekaan mengalir, permukaan yang lebih bulat serta serlahan berwarna tembaga pada bahagian luaran dan dalaman.

    Toyota Concept-i juga menampilkan pintu jenis gunting yang besar, serta direka tanpa tiang-B, membolehkan penumpang masuk ke dalam kabin dengan lebih mudah.

    “Seronok” dalam penghasilan kereta ini bukanlah bermaksud ia dibina dengan kuasa dan pengendalian seperti kereta sport, tetapi pada penggunaan teknologi artificial intelligence (AI) yang boleh berinteraksi dengan pemandu, tampil dengan watak digelar Yui. Yui dihasilkan dari pelbagai teknologi untuk mengesan emosi, yang dipetakan terhadap di mana dan pada waktu bila pemandu bergerak diseluruh dunia, seterusnya memperbaiki kualiti hidup.

    Toyota Concept-i – kereta konsep masa depan yang mampu berinteraksi dan membaca emosi pemandu

    Tiada skrin infotainmen diletakkan pada bahagian tengah papan pemuka Concept-i ini, tetapi digantikan dengan paparan Yui, yang menggunakan cahaya, suara dan juga sentuhan untuk berkomunikasi menyampaikan informasi yang kritikal. Cermin hadapan kereta ini diberikan paparan head-up generasi seterusnya yang akan mengekalkan tumpuan pemandu terhadap jalan.

    Projektor turut diberikan pada kabin Concept-i ini, yang memancarkan paparan pada tiang tempat duduk untuk memberikan amaran titik buta pada pemandu. Dinding di bawah papan pemuka diberikan lampu yang boleh berubah, memberikan maklumat sama ada kereta ini dipandu secara manual atau pun dalam mod pemanduan sendiri.

    Pada bahagian luaran, Concept-I diberikan panel paparan yang diletakkan pada pintu dan juga pada bahagian belakang kereta. Panel paparan tersebut digunakan sebagai medium komunikasi, misalnya ucapan ‘Hello’ diberikan kepada penumpang pada penel pintu, dan juga amaran halangan dihadapan dipaparkan pada panel belakang.

    Bahagian hadapan Concept-i turut diberikan panel paparan serupa, memberikan penunjuk jika mod pemanduan sendiri diaktifkan. Tiada kluster pada lampu hadapan dan ia direka menggunakan konsep yang sama dengan panel paparan lain, membolehkan ia memberi ekspresi seperti mengenyit mata.

    Yui bukan sekadar dapat membaca emosi, memberikan mesej dan berinteraksi dengan pemandu, teknologi padanya juga dapat mempertingkatkan teknologi pemanduan sendiri serta menambahbaik aspek keselamatan dengan cara menggunakan visual dan rangsangan haptik bagi memberikan komunikasi lebih baik berdasarkan kadar responsif pemandu.

    Walaupun pemandu boleh memmilih sama ada untuk memandu sendiri atau menggunakan mod pemanduan automatik, dalam situasi-situasi tertentu kereta ini akan sentiasa memantau perhatian pemandu terhadap pemanduannya dan juga keadaan jalan bagi meningkatkan sokongan bantuan pemanduan jika diperlukan. Ini membolehkan pemandu sentiasa dapat dibantu dan diberi panduan dalam situasi bahaya.

     
     
  • Tinjauan setahun – panduan kenderaan baharu yang diperkenalkan sepanjang 2016 untuk pasaran Malaysia

    2016 merupakan tahun yang agak sukar bagi industri automotif Malaysia. Dengan nilai ringgit yang menjunam sehingga kini, ia menjadi faktor utama menurunnya permintaan daripada pengguna, seterusnya penguncupan jumlah jualan keseluruhan kenderaan berbanding 2015.

    Mungkin juga, disebabkan faktor berkenaan, banyak aktiviti mengambil tempat, di dalam usaha pengeluar kenderaan untuk meningkatkan jumlah jualan masing-masing. Jadi, artikel ini akan membariskan kenderaan-kenderaan baharu yang dilancarkan sepanjang 2016, sebagai panduan dan rujukan anda.

    Audi

    Tinjauan setahun – panduan kenderaan baharu yang diperkenalkan sepanjang 2016 untuk pasaran Malaysia

    Audi Malaysia akhirnya melancarkan model A4 B9 pada September, selepas lebih setahun ia membuat penampilan diperingkat global. Lebih ringan dan laju, juga lebih menjimatkan serta ditawarkan dengan teknologi yang lebih banyak berbanding model terdahulu, ia ditawarkan dengan varian 2.0 TFSI (RM248,900, atas jalan tanpa insurans). Akan datang, varian 1.4 TSI dan 2.0 TFSI Quattro bakal menyusul.

    2016 juga menyaksikan sedikit kenaikan harga bagi A5, A6, Q3, TT dan TTS, serta pengenalan varian asas 2.0 TFSI bagi Q7. Tahun ini, Audi dijangka akan ada beberapa pengenalan model baharu; Q2 serta Q5 serba baharu. Model facelift yang dijangka pula ialah A3, A5 Sportback dan R8, begitu juga dengan model-model S dan RS.

    BMW

    Tinjauan setahun – panduan kenderaan baharu yang diperkenalkan sepanjang 2016 untuk pasaran Malaysia

    BMW Malaysia memperkenalkan beberapa model, bermula dengan 7 Series G12, diikuti oleh M2 Coupe dengan 370 hp. Model-model CKD bagi X1 xDrive20i, X1 xDrive20d dan X4 xDrive28i pula menurut jejak selepas itu. Harga bagi model-model 1 Series, 3 Series, 3 Series GT, X3 dan 5 Series juga dipotong, hasil daripada status EEV yang diperoleh. Jaminan tayar dua tahun BMW juga mula diperkenalkan.

    Selain itu, 420i dan 430i baharu turut diperkenalkan – yang menggunakan enjin baharu 2.0 liter B48 turbo yang sama digunakan pada 3 Series F30 – serta 528i M Performance Edition. BMW juga mengumumkan akan mula mengeksport model-model 3 Series, 5 Series dan 7 Series pemasangan tempatan ke Vietnam dan Filipina pada 2018.

    Bagaimanapun, dua model plug-in hybrid yang dilancarkan paling mencuri tumpuan; X5 xDrive40e, dengan harga RM388,800 yang mengalihkan perhatian umum daripada Volvo CKD XC90 T8 Twin Engine CKD. Juga, model 330e, dengan harga RM248,800. Tahun ini, BMW 5 Series G30 pula dijangka tiba.

    Chevrolet

    Tinjauan setahun – panduan kenderaan baharu yang diperkenalkan sepanjang 2016 untuk pasaran Malaysia

    Bagi Chevrolet di Malaysia, 2016 agak senyap; hanya ada satu model sahaja dilancarkan. Chevrolet Colorado facelift diperkenalkan pada bulan Oktober dengan penampilan baharu yang agak menonjol. Ruang kabin juga menerima pembaharuan, termasuk sambungan Apple CarPlay, enjin baharu dan ciri-ciri keselamatan tambahan seperti Collision Alert dan Lane Departure Warning. Ia dijual pada harga bermula RM99,911 hingga RM132,874, atas jalan dengan insurans.

    Ford

    Tinjauan setahun – panduan kenderaan baharu yang diperkenalkan sepanjang 2016 untuk pasaran Malaysia

    Bagi Ford, model pertama yang dilancarkan tahun lalu ialah MPV S-Max serba baharu, diikuti oleh Focus facelift, kini dengan enjin 1.5 liter EcoBoost turbo dan kotak gear automatik SelectShift enam-kelajuan yang menggantikan Powershift klac berkembar. Focus dijual pada harga antara RM118,888 hingga RM139,888, atas jalan dengan insurans.

    SUV Ford Everest menyusul kemudiannya, tetapi pengenalan yang memberi impak terhadap jenama itu ialah pada Jun, melalui Ford Mustang. Model paling larisnya pula, Ranger menerima perkhabaran yang kurang menarik; dua kali harganya dinaikkan.

    Honda

    Tinjauan setahun – panduan kenderaan baharu yang diperkenalkan sepanjang 2016 untuk pasaran Malaysia

    Honda Malaysia memulakan tahun lalu dengan perkembangan yang kurang menyebelahi mereka; kenaikan harga barisan model yang ada. Setelah itu, aktiviti bagi meningkatkan kesedaran pengguna berhubung panggilan semula beg udara Takata dijalankan; hab servis sentral dan hab bergerak diperkenalkan. Khidmat sama dilanjutkan dari rumah ke rumah serta ketika siri jelajah Honda Family Road Trip.

    Bagaimanapun, bukan semuanya berita kurang menarik yang menunggu Honda. Paling utama ialah pelancaran Honda Civic generasi kesepuluh, kini dengan enjin 1.5 liter VTEC Turbo baharu, CVT, kawalan kestabilan dan enam beg udara sebagai standard. Ia dijual pada harga RM113,800 hingga RM135,800. Ciri keselamatan tambahan turut ditawarkan pada Accord facelift, dijual pada harga RM144,800 hingga RM172,800.

    Selain itu, Honda Malaysia memperkenalkan warna merah baharu bagi City, Jazz dan HR-V; dengan rim aloi 17 inci serta harga yang lebih tinggi bagi HR-V. Edisi terhad X bagi Jazz dan City dengan kit badan tambahan juga menemui pengguna. Tahun ini, BR-V menjadi model pertama dilancarkan, dan dijangka diikuti oleh Jazz Hybrid.

    Hyundai

    Tinjauan setahun – panduan kenderaan baharu yang diperkenalkan sepanjang 2016 untuk pasaran Malaysia

    Pelancaran model utama bagi Hyundai juga hanya satu, mendekati hujung tahun dengan model Ioniq Hybrid. Dilengkapi enjin 1.6 liter suntikan terus dengan gandingan motor elektrik dan transmisi DCT tujuh-kelajuan, ia ditawarkan pada harga yang sangat menarik; bermula RM100,328 dan RM110,828. Baca laporan pandu uji untuk maklumat lanjut.

    Model lain yang menerima pembaharuan ialah Grand Starex Royale facelift, kini dengan rekaan gril yang lebih besar dan ketara. Kekal dengan enjin 2.5 liter turbodiesel, ia dijual pada harga RM168,888. Beberapa model baharu dijangka tahun ini, seperti Elantra dan Tucson T-GDI petrol dan CRDi Turbodiesel.

    Isuzu

    Tinjauan setahun – panduan kenderaan baharu yang diperkenalkan sepanjang 2016 untuk pasaran Malaysia

    Isuzu pula tahun ini hanya memberi tumpuan kepada trak pikap D-Max; pada Mei, edisi D-Max Beast diperkenalkan, terhad kepada 360 unit. Ini diikuti dengan versi D-Max yang dipertingkat – kemasan luaran dan dalaman, serta kelengkapan ABS dan kawalan kestabilan. Bagaimanapun, Malaysia masih belum menerima versi enjin 1.9 liter turbodiesel seperti di Thailand.

    D-Max kekal dengan enjin 2.5 liter dan 3.0 liter turbodiesel, dengan harga bermula dari RM80,424 hingga RM124,312. Turut diperkenalkan ialah MU-X Type-S, versi edisi khas dengan pertambahan kit badan yang dijual pada harga RM176,640.

    Jaguar

    Tinjauan setahun – panduan kenderaan baharu yang diperkenalkan sepanjang 2016 untuk pasaran Malaysia

    Jaguar memperkenalkan beberapa model bagi 2016. Antaranya pesaing bagi BMW 3 Series, Jaguar XE. XF generasi kedua mengikuti tak lama selepas itu. XJ facelift pula menemui peminatnya di sini pada Mei, dan kemudiannya disudahi dengan pengenalan SUV pertama keluaran jenama itu, F-Pace – yang dijana oleh enjin 3.0 liter supercaj V6 340 PS.

    Kia

    Tinjauan setahun – panduan kenderaan baharu yang diperkenalkan sepanjang 2016 untuk pasaran Malaysia

    Selain pengumuman kenaikan harga bagi modelnya di awal tahun, Kia turut memperkenalkan beberapa model baharu, antaranya Rio Sedan pada harga RM72,888, yang dilengkapi kemudiannya oleh varian Rio Sedan X pada Mac.

    Seterusnya, mereka melancarkan Kia Sportage. Dengan enjin 2.0 liter petrol, harganya ialah dari RM121,888 hingga RM141,888. Sorento baharu juga diperkenalkan dalam masa yang sama, dengan enjin 2.2 liter CRDi atau 2.5 liter MPI petrol; dijual dari RM155,888 hingga RM175,888.

    Kia Picanto facelift juga mula dijual, dalam jumlah yang kecil. Khabarnya Kia ingin beralih tumpuan kepada penjualan SUV sahaja selepas ini. Pada November, kempen Value 5 diperkenalkan, sebagai satu cara mengekalkan nilai jualan balik kenderaan Kia dalam kalangan pelanggan setianya. Tahun ini, seperti yang sudah sedia maklum, MPV Kia Grand Carnival akan mencuri perhatian terlebih dahulu kelak.

    Land Rover

    Tinjauan setahun – panduan kenderaan baharu yang diperkenalkan sepanjang 2016 untuk pasaran Malaysia

    2016 juga merupakan tahun yang senyap bagi Land Rover. Bagi pelancaran tempatan, hanya Range Rover Evoque facelift diperkenalkan, dengan enjin 2.0 liter Si4 petrol pada harga RM430,000, serta varian baharu bagi model Discovery Sport – 2.2 liter SD4 turbodiesel (RM450,000). Discovery generasi baharu mungkin akan masuk pasaran tahun ini.

    Lexus

    Tinjauan setahun – panduan kenderaan baharu yang diperkenalkan sepanjang 2016 untuk pasaran Malaysia

    Begitu juga dengan Lexus – agak senyap. Selain daripada pengumuman kenaikan harga pada awal tahun, jenama ini memperkenalkan model GS F janaan 477 PS pada bulan Mei, dengan harga jualan RM1.1 juta. Model ES 250 Luxury edisi terhad kepada 50 unit dengan penawaran warna serta kemasan dalaman baharu, diperkenalkan pada Jun. Tahun ini, kita menanti kehadiran model LC 500 dan LC 500h.

    Mazda

    Tinjauan setahun – panduan kenderaan baharu yang diperkenalkan sepanjang 2016 untuk pasaran Malaysia

    Bagi Mazda, CX-5 facelift CKD yang ditawarkan dengan enjin 2.0 liter dan 2.5 liter menjadi antara yang utama tahun lalu – dijual pada harga RM128,375 hingga RM166,666. Seterusnya, Mazda 2 menerima pertambahan ciri lampu utama LED, harga juga bertambah RM5,300.

    Bagaimanapun, Bermaz menaikkan lagi harga sebanyak RM3,000 pada Oktober, atau naik RM2,000 bagi model dengan lampu utama halogen biasa, Trak BT-50 diberikan sentuhan facelift baharu pada Mac, sementara pada Julai dua model diesel yang dinanti-nanti diperkenalkan – CX-5 dan Mazda 6 diesel, masing-masing pada harga RM161,529 dan RM202,830.

    Tahun ini, antara model yang dijangka akan dilancarkan ialah MX-5 RF (dengan pilihan manual buat pertama kali) dan CX-9. Begitu juga dengan Mazda 3 facelift dan kemungkinan juga CX-5 baharu. Tahun ini, dijangka harga kenderaan Mazda akan naik lagi, begitu juga dengan CX-3 CKD yang nampak gayanya masih belum dapat dijadikan kenyataan – apa lagi dengan harga yang lebih rendah.

    Mercedes-Benz

    Tinjauan setahun – panduan kenderaan baharu yang diperkenalkan sepanjang 2016 untuk pasaran Malaysia

    2016 merupakan tahun yang menarik bagi jenama ini. Banyak model diperkenalkan. Bermula dengan GLC (kemudiannya dalam versi CKD yang lebih murah), GLE dan GLE Coupe, dan diikuti dengan A-Class facelift. Turut diperkenalkan ialah varian asas C 180 Avantgarde (RM228,888) dan yang paling tinggi C 300 AMG Line (RM307,888) serta varian pertengahan, C 200 Exclusive (RM252,888).

    Pada bulan Jun, berita lebih menarik diterima. Pelancaran E-Class W213 baharu, sebuah sedan eksekutif yang ditawarkan dalam beberapa varian – E 200 Avantgarde, E 250 Avantgarde dan E 250 Exclusive, dengan harga di antara RM395,888 hingga RM425,888. E 300 AMG Line mengikut jejak sama selepas itu, dengan versi CKD dijangka tidak lama lagi.

    Model-model lain yang diperkenalkan tahun lalu termasuk CLA facelift, C-Class Coupé dan Cabriolet, AMG C 63 S Coupé, GLC Coupé, GLS, G 63 AMG dan SLC. Yang paling utama tentulah pelancaran C 350e plug-in hybrid, pada harga antara RM288,888 hingga RM298,888. Bagi kenderaan perdagangan, Nusa Otomobil memperkenalkan Vito Tourer, pilihan yang lebih ringkas dan murah bagi V-Class.

    MINI

    Tinjauan setahun – panduan kenderaan baharu yang diperkenalkan sepanjang 2016 untuk pasaran Malaysia

    MINI di Malaysia sempat memperkenalkan beberapa model tahun lalu. Dimulakan dengan MINI Countryman Park Lane pada Januari dan Clubman pada April. Kemudian, model edisi khas untuk Malaysia, MINI John Cooper Works Pro Edition – hanya 20 unit ditawarkan. Model Countryman baharu dijangka tiba tahun ini.

    Mitsubishi

    Tinjauan setahun – panduan kenderaan baharu yang diperkenalkan sepanjang 2016 untuk pasaran Malaysia

    Mitsubishi memulakan 2016 dengan pengenalan Triton Phantom edisi terhad, diikuti pula dengan versi “putih”, Triton Knight. Pada Februari semua harga setiap model (kecuali Mirage) terpaksa dinaikkan, ada yang sehingga RM8,500.

    Pada April, SUV Outlander pula dilancarkan pada harga RM166,720. Kemudian, bulan Jun pula menyaksikan pengenalan ASX Orange Edition dan yang terakhir, Triton dengan enjin baharu yang lebih berkuasa dan jimat – 2.5 liter MIVEC turbodiesel bagi varian VGT dan VGT Adventure. Tak lupa juga varian VGT Adventure X; semuanya dari harga antara RM102,619 hingga RM125,005.

    Nissan

    Tinjauan setahun – panduan kenderaan baharu yang diperkenalkan sepanjang 2016 untuk pasaran Malaysia

    Tiada model baharu dilancarkan oleh Nissan pada 2016. Tetapi, memerapa model sedia ada ditawarkan semula dengan pertambahan kit badan yang lebih bergaya. Antaranya ialah X-Trail dan Serena S-Hybrid dengan kit Impul, manakala Teana pula menerima Nismo Performance Package selepas itu. Pakej aksesori Ironman bagi Navara NP300 juga diperkenalkan.

    Sama seperti pengeluar lain, Nissan juga tidak dapat mengelak daripada menaikkan harga bagi kenderaan mereka pada April. Ini diikuti dengan panggilan semula bagi 133,118 kenderaan akibat beg udara Takata. Terbaharu, Nissan menawarkan pakej jaminan yang pertama seumpamanya bagi pasaran tempatan; jaminan tujuh tahun tanpa had perbatuan bagi semua kenderaan penumpang Nissan dan Infiniti bermula 1 Januari 2017.

    Perodua

    Tinjauan setahun – panduan kenderaan baharu yang diperkenalkan sepanjang 2016 untuk pasaran Malaysia

    2016 bagi Perodua ialah tentang model Bezza. Sedan pertama yang dihasilkan, ia menampilkan hasil kerahan tenaga kerja tempatan sepenuhnya. Ia juga model yang pertama menggunakan keyless entry, fungsi Start/Stop pada enjin, kawalan kestabilan dan ABS sebagai ciri standard bagi Perodua. Harga pula adalah di antara RM37,300 hingga RM50,800. Ia mencecah jualan 10,000 unit dalam tempoh sebulan selepas dilancarkan.

    Axia juga menerima peningkatan tahun lalu; kini dilengkapi dengan ciri ABS bagi Axia 1.0 Standard G dengan sedikit kenaikan harga, serta memperkenalkan Myvi dengan skim dwi-tona warna bagi varian 1.5 Advance. Turut diumumkan tahun lalu ialah program ProGanti, alat ganti aftermarket yang lebih murah.

    Selebihnya, Perodua juga merasmikan kilang baharu di Sendayan, Negeri Sembilan – Perodua Global Manufacturing (mengeluarkan Axia sejak 2014) dan Daihatsu Perodua Engine Manufacturing (memasang enjin 1.3 liter 1NR-VE untuk Bezza).

    Peugeot

    Tinjauan setahun – panduan kenderaan baharu yang diperkenalkan sepanjang 2016 untuk pasaran Malaysia

    Peugeot juga tidak banyak melancarkan model baharu tahun lalu. Antara yang memasuki pasaran ialah 308 THP Active (RM119,888) dan kemudiannya pada pertengahan tahun, model 408 e-THP (RM143,888) pula diperkenalkan. Selain itu, Peugeot mengumumkan pelaburan RM5 juta bagi aktiviti lepas jualannya dalam usaha untuk memperbaiki aspek kepuasan pelanggan.

    Tahun ini mungkin akan sedikit berbeza. Model 208 dan 2008 facelift sedang menanti untuk dilancarkan – bakal tampil dengan enjin 1.2 liter PureTech turbo (112 PS/160 Nm) baharu yang digandingkan dengan transmisi automatik enam-kelajuan Aisin. Juga akan tiba di Malaysia ialah model SUV 3008 dan 5008, serta MPV Traveller.

    Proton

    Tinjauan setahun – panduan kenderaan baharu yang diperkenalkan sepanjang 2016 untuk pasaran Malaysia

    Proton sangat sibuk sepanjang tahun 2016, dengan pelancaran empat model dalam tempoh itu. Di awal tahun, Proton mengumumkan sedang membangunkan siri enjin 1.3 dan 1.5 GDI terbaharu, serta enjin NE01 turbo 2.0 liter yang akan dikeluarkan hujung 2017. Turut dilancarkan ialah kempen It’s In The Drive! dan logo baharu.

    Perletakan jawatan sebagai pengerusi oleh Tun Mahathir Mohamed turut menjadi titik tolak penting Proton. Kedudukan itu kemudiannya diambil alih oleh Syed Faisal Albar. Datuk Abdul Harith Abdullah selaku CEO turut meletak jawatan selepas itu, dan diganti oleh Datuk Radzaif Mohamed. Selepas beberapa lama, pinjaman RM1.5 bilion kepada Proton oleh kerajaan pun diluluskan untuk menyelamatkan Proton.

    Ini diikuti berikutnya oleh pelancaran Perdana, sedan segmen D yang didasarkan kepada Honda Accord. Ia disusuli pula oleh pengenalan Persona dan Saga, sebelum hasil usaha sama antara Proton-Suzuki, MPV Ertiga pula dilancarkan pada November. Preve dan Exora kini juga hanya ditawarkan dengan enjin turbo, manakala edisi terhad bagi Iriz serta Suprima Active Concept turut diperkenalkan.

    Harga kenderaan Proton turut dinaikkan pada Februari 2016, kemudian mengeksport Preve ke Chile pada Jun. Aplikasi MyProton turut diperkenalkan pada Ogos. Perjanjian dengan Bank Rakyat juga berjaya dimeterai; untuk memberikan pinjaman 100% – kini semakin meluas dan ditawarkan oleh semua bank. 2017, Proton dijangka akan memperkenalkan pula sebuah model SUV (dari Suzuki Vitara mungkin?) dan mengumumkan rakan kongsi dan kerjasama baharu.

    Renault

    Tinjauan setahun – panduan kenderaan baharu yang diperkenalkan sepanjang 2016 untuk pasaran Malaysia

    Jenama Perancis ini awalnya mengumumkan harga rasmi crossover segmen B, Captur (RM117,200), serta memulakan jualan bagi model elektrik sepenuhnya Zoe, pada harga RM145,888. Syarikat itu juga memperkenalkan model Fluence Formula Edition pada Ogos, namun pelancaran terbesarnya tahun lalu ialah bagi model Koleos baharu – saingan kepada SUV seperti Nissan X-Trail, dijual pada harga RM172,800.

    Subaru

    Tinjauan setahun – panduan kenderaan baharu yang diperkenalkan sepanjang 2016 untuk pasaran Malaysia

    Subaru memperkenalkan beberapa versi kenderaan tahun lalu. Bermula dengan Subaru XV facelift dengan kit tambahan, ia dijual pada harga RM132,725 hingga RM137,075. Momentumnya diteruskan dengan pelancaran Forester facelift, kini pemasangan CKD dan lebih murah – bermula RM144,948.

    Ogos pula menyaksikan pengenalan dua model, model wagon Levorg dan XV Crosstrek edisi khas – masing-masing dijual pada harga RM199,720 dan RM119,500. Tahun ini akan jadi lebih menarik; antara yang dijangka ialah pengenalan model Impreza dan XV baharu. Syarikat ini juga mengesahkan akan mula memasang model generasi baharu berdasarkan Subaru Global Platform di Segambut.

    Toyota

    Tinjauan setahun – panduan kenderaan baharu yang diperkenalkan sepanjang 2016 untuk pasaran Malaysia

    Antara model yang dilancarkan tahun lalu ialah Hilux dan Fortuner, kedua-duanya dengan enjin dan transmisi baharu, kelengkapan tambahan dan tujuh beg udara serta kawalan kestabilan buat pertama kali. Ini diikuti oleh pengenalan Alphard dan Vellfire – jualan dari saluran rasmi yang julung kalinya bagi Vellfire.

    MPV kompak Sienta pula masuk pasaran selepas itu, dengan harga dari RM92,900 hingga RM99,900. Sementara itu, Vios juga menerima peningkatan; kini dengan enjin Dual VVT-i baharu, CVT dan kawalan keselamatan bagi semua varian – dengan harga yang sedikit rendah.

    Pada Disember pula, model Camry dan Altis facelift juga ditawarkan dalam versi baharu – dengan tujuh beg udara bagi semua varian, serta harga yang sedikit rendah bagi Altis. Pada bulan yang sama juga, MPV Innova dilancarkan, dengan harga dari RM109,000 hingga RM126,000. Toyota juga menaikkan harga pada awal tahun lalu, dan melancarkan jaminan lima tahun tanpa had perbatuan serta mengumumkan kilang baharu di Bukit Raja, Klang, yang akan mula beroperasi pada 2019.

    Volkswagen

    Tinjauan setahun – panduan kenderaan baharu yang diperkenalkan sepanjang 2016 untuk pasaran Malaysia

    2016 tahun yang mencabar bagi Volkswagen. Potongan harga “gila-gila” yang dilakukan syarikat ini menerima maklum balas yang pelbagai; Polo ketika itu dijual serendah RM69,888, Jetta pada RM88,888 dan Passat pada RM115,888. Golf juga menerima penampilan baharu – rim 17 inci, keyless entry, Push Start dan enjin 1.4 TSI yang lebih berkuasa, pada harga yang lebih rendah, RM160,635.

    Pada bulan Mei, jenama itu melancarkan Polo Sedan, kini dikenali sebagai Vento dan dikuasakan oleh enjin 1.2 liter TSI dengan kotak gear DSG tujuh-kelajuan – harga dari RM80,646 hingga RM94,461. September pula satu detik penting yang baharu; Volkswagen Group Malaysia (VGM) menyerahkan tugas pengedarannya kepada Volkswagen Passenger Cars Malaysia (VPCM), dengan pertambahan jaminan lima tahun pengeluar. Tambahan jaminan dua tahun bagi kotak gear DSG turut juga diumumkan.

    Juga pada September, Polo hatchback menerima potongan harga sebanyak RM13,000 menjadi RM77,646, sementara Jetta facelift masuk pasaran pada hujung bulan yang sama. Passat B8 pula dilancarkan pada November, dengan harga dari RM160,937 hingga RM200,030. Beetle Dune dengan hanya 50 unit turut diperkenalkan sekali. Tahun ini, Tiguan CKD antara pelancaran yang dinanti-nantikan.

    Volvo

    Tinjauan setahun – panduan kenderaan baharu yang diperkenalkan sepanjang 2016 untuk pasaran Malaysia

    Volvo pula memasuki 2016 dengan memperkenalkan model S60 T6 Drive-E; enjin 2.0 liter turbocaj dengan janaan 306 hp itu ditawarkan pada harga RM280,888. Pada September pula, dengan insentif EEV, harganya dikurangkan kepada RM238,888.

    Model XC90 T8 Twin Engine plug-in hybrid yang dilancarkan pada 2015 pula dipasang CKD dan diperkenalkan semula pada Jun, dengan harga RM50,000 lebih rendah menjadi RM403,888. Model V40 T5 Drive-E pula menyusul selepas itu, dengan enjin yang sama dengan S60 tetapi output yang lebih rendah, pada harga RM192,888.

    Sama seperti S60, V40 turut menikmati insentif EEV dan harganya turun kepada RM180,888. Begitu juga dengan XC60 T5 dan T6, merekodkan penurunan harga sebanyak RM22,000, masing-masing menjadi RM266,888 dan RM298,888.

    Pada Oktober, Volvo mengumumkan pakej Polestar Performance Optimisation bagi S60, V40 dan XC60. Tahun ini juga tak kalah menariknya bagi Volvo; model S90 dijangka akan tiba, sangat berkemungkinan dalam versi T8 Twin Engine plug-in hybrid untuk layak menerima kelebihan sebagai EEV.

     
     
  • Honda Malaysia berjaya lepasi sasaran jualan 2016 – 91,830 unit, kedua tertinggi dalam operasi global

    Honda Malaysia berjaya lepasi sasaran jualan 2016 – 91,830 unit, kedua tertinggi dalam operasi global

    Honda Malaysia mencatatkan sejarahnya tersendiri apabila berjaya menduduki tangga kedua tertinggi dalam perkongsian pasaran di antara operasi Honda global, menurut Noriaki Abe, Ketua Pegawai Operasi bagi Operasi Serantau (Asia & Oceania) Honda Motor Co Ltd yang juga Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Asian Honda Motor Co Ltd.

    Dalam ucapannya ketika pelancaran BR-V, Abe mendedahkan Malaysia berada di tempat kedua selepas Indonesia, dan mendahului beberapa negara termasuk Thailand, Amerika Syarikat, Jepun, Kanada dan Taiwan. “Ini antara alasan mengapa Honda mengiktiraf Malaysia sebagai salah satu pasaran yang paling penting untuk operasi dan kami memang memberikan perhatian yang cukup besar buat prestasi perniagaan Honda Malaysia,” ujarnya.

    Abe turut berkata Honda telah merekodkan jualan yang cukup besar di rantau ASEAN sejak lima tahun kebelakangan ini, dari 240,000 meningkat melebihi 400,000, iaitu peningkatan sebanyak 70%.

    Honda Malaysia berjaya lepasi sasaran jualan 2016 – 91,830 unit, kedua tertinggi dalam operasi global

    Katsuto Hayashi, pengarah urusan dan CEO Honda Malaysia pula menambah, Honda Malaysia berjaya menjual sebanyak 91,830 unit kenderaan atau menguasai 15.8% perkongsian pasaran sehingga 2016 berakhir. Sekaligus mengatasi sasaran awal iaitu 90,000 unit sebelum itu. Namun begitu, jumlah ini dilihat menyusut berbanding yang dicatatkan pada tahun 2015 iaitu sebanyak 94,902 unit.

    Walau bagaimana pun, prestasi ini tekah membantu Honda untuk mengekalkan kedudukannya sebagai pengeluar kenderaan nombor satu dalam segmen-bukan nasional, malah berjaya mengatasi Toyota, serta Proton selama dua tahun berturut-turut. “Saya mengambil peluang ini untuk berterima kasih kepada anda semua atas sokongan yang diberikan pada 2016. Kami akan terus komited dalam menyediakan barisan model yang lengkap, harga berpatutan dan mempunyai nilai pada wang,” kata Hayashi.

     
     
  • Lebuhraya Central Spine Road utamakan pelaksanaan pakej 3,5 atasi kesesakan Lembah Klang-Kelantan

    Lebuhraya Central Spine Road utamakan pelaksanaan pakej 3,5 atasi kesesakan Lembah Klang-Kelantan

    Pembinaan Lebuhraya Central Spine Road (CSR) yang sedang dibina secara berperingkat kini memberikan keutamaan bagi pakej ketiga dan kelima projek terbabit. Menurut Kementerian Kerja Raya, ia adalah bagi menangani kesesakan lalu lintas yang membabitkan pengguna yang berulang alik dari Lembah Klang ke Kelantan.

    Menurut menterinya, Datuk Seri Fadillah Yusof, pelaksanaan projek CSR Pintasan Bentong diberi keutamaan kerana laluan sedia ada iaitu Jalan Persekutuan dari Bentong ke Kota Bharu, Kelantan mempunyai kepadatan trafik tinggi di bandar Raub dan Bentong, laporan Berita Harian.

    Pakej ketiga projek itu membabitkan laluan sepanjang 61.15 kilometer (km) dari Mentara ke Kampung Seberang Jelai, di daerah Lipis dibina atas faktor keselamatan, dengan sebahagian laluan itu sepanjang 41.35 km dari Kampung Kubang Rusa ke Kampung Seberang Jelai sudah siap. Manakala pakej kelima pula yang membabitkan laluan sepanjang 28.5 km dari Kampung Asap ke Kampung Sertik serta Pintasan Bentong bagi menangani kesesakan lalu lintas pada musim perayaan.

    Tambah Fadillah lagi, berdasarkan keadaan trafik semasa kerajaan meluluskan RM578.25 juta pada Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK10) bagi pelaksanaan projek itu yang membabitkan pembinaan jalan baharu empat lorong dua hala dengan reka bentuk piawaian JKR R5 sepanjang 28.5 km.

    “Pelaksanaan projek CSR Pintasan Bentong dibahagikan kepada tiga seksyen pembinaan iaitu Seksyen 5C1, 5C2 dan 5D yang sudah dimulakan secara berperingkat mulai November 2015 dan dijangka siap sepenuhnya dua tahun lagi,” katanya kepada pihak media selepas majlis pelancaran projek CSR Pintasan Bentong.

    Projek CSR dari Bentong, Pahang ke Gua Musang Kelantan yang membabitkan jarak keseluruhan 350 km dijangka siap sepenuhnya menjelang 2020 dan setakat ini 40% daripadanya sudah disiapkan.

     
     
  • Honda Malaysia tidak naikkan harga setakat ini – CEO

    Honda Malaysia tidak naikkan harga setakat ini – CEO

    Dalam sidang media sempena dengan pelancaran Honda BR-V sebentar tadi, Shugo Watanabe, penolong Pengarah Urusan dan CEO Honda Malaysia mendedahkan syarikat ini tidak mempunyai perancangan untuk meningkatkan harga bagi semua modelnya buat masa ini, walau pun sedang berhadapan dengan kejatuhan ringgit.

    “Sememangnya kami juga terkesan dengan situasi mata wang sekarang, tetapi agak sukar untuk menentukan keadaan ringgit, walau pun ia memberi kesan terhadap KDNK dan imbangan perdagangan Malaysia. Kami perlu melihat bagaimana keadaan sekarang, namun kami tidak ada perancangan untuk menaikkan harga,” ujarnya.

    Ekoran ringgit yang terus menyusut, buat masa ini mencecah RM4.49 berbanding setiap USD (ketika berita ini ditulis), menyebabkan pelbagai spekulasi telah timbul berhubung dengan pengeluar yang akan menaikkan harga kenderaan mereka pada tahun ini. Baru-baru ini, Bermaz dan Perodua telah mengesahkan harga bagi model mereka mungkin bakal dinaikkan atas faktor yang sama.

     
     
  • Yamaha FZ250 2017 bakal dilancarkan di India

    Yamaha FZ250 2017 bakal dilancarkan di India

    Yamaha India telah menyiarkan imej teaser untuk model FZ250 2017, yang bakal dilancarkan di republik berkenaan pada 24 Januari ini. Motosikal tersebut diasaskan dari model Yamaha Fazer 250 pasaran Brazil, bakal dijual di India dengan harga 1.6 lakh rupee (RM10,564), serta merupakan motosikal berkapasiti 250 cc pertama ditawarkan pada pasaran berkenaan.

    Model ini dijangka bakal menggunakan enjin 249.45 cc satu-silinder SOHC dua injap dengan sistem penyejukkan udara. Pada model Fazer 250 di Brazil, enjin berkenaan berupaya menjana sejumlah 20.4 hp pada takat 8,000 rpm dan tork maksima 20.5 Nm pada takat 6,500 rpm, manakala untuk enjin pada FZ250 ini, ia ditambah dengan sistem penyejuk minyak dan ditala bagi mendapatkan kuasa yang lebih besar. Kuasa akan dihantar ke roda belakang menerusi kotak gear lima-kelajuan.


    Yamaha Fazer 250

    Imej teaser yang disiarkan menunjukkan FZ250 pasaran India bakal diberikan lampu hadapan LED dan lampu nyalaan siang LED secara standard. Berdasarkan imej spyshot pula, ia diberikan penggayaan seperti motosikal sport naked dengan panel badan yang rata dan bersegi, serta fender belakang minimalis, bersama mudguard yang diletakkan pada hab.

    Setakat ini, pasaran Malaysia mempunyai tiga model 250 cc yang bersaing iaitu Benelli TnT25 (RM12,990), Kawasaki Z250SL (RM15,739), dan juga Naza N5R (RM13,888). Jadi, boleh dikatakan Yamaha FZ250 ini mungkin berpeluang untuk masuk ke pasaran tempatan pada masa akan datang.

    GALERI: Yamaha Fazer 250

     
     
  • Volkswagen tawar peluang memenangi ang pow bernilai RM67k sempena promosi Tahun Baharu Cina

    Volkswagen tawar peluang memenangi ang pow bernilai RM67k sempena promosi Tahun Baharu Cina

    Volkswagen Passenger Cars Malaysia (VPCM) memberi peluang pelanggannya yang membeli kereta baharu untuk memenangi ‘ang pow besar’ sempena sambutan Tahun Baharu Cina kali ini.

    Menerusi promosi “Biggest Ang Pow of the Year” yang bermula sekarang hingga 15 Februari ini, pelanggan berpeluang untuk memenangi wang tunai sehingga RM68,888 – iaitu sama nilai dengan harga jualan sebuah Volkswagen Vento Trendline. VPCM juga turut menawarkan rebat tunai bernilai antara RM388 hingga RM1,288 untuk semua modelnya.

    Bagi membolehkan seseorang itu berpeluang untuk memenangi ang pow berkenaan, mereka perlu menempah model sama ada Polo, Golf, Beetle, Vento, Jetta, atau Passat sepanjang tempoh promosi ini berjalan, dan ia tertakluk pada terma dan syarat, hingga kehabisan stok.

    Untuk mereka yang berminat, VPCM juga sedang menjalankan program tukar-beli istimewa sehingga 31 Mac ini, tetapi hanya dikhaskan untuk model Jetta dan Passat.

     
     
  • Perodua tawar rebat ‘ang pow’ hingga RM3,888 untuk model terpilih sempena sambutan Tahun Baru Cina

    Perodua tawar rebat ‘ang pow’ hingga RM3,888 untuk model terpilih sempena sambutan Tahun Baru Cina

    Berita baik untuk mereka yang ingin membeli model Perodua baharu, sempena sambutan Tahun Baharu Cina hujung bulan ini, jenama pengeluar automotif nasional kedua berkenaan melancarkan kempen “Golden Prosperity Deals” yang berlangsung sepanjang bulan Januari ini.

    Menerusi kempen ini, Perodua menawarkan ‘ang pow’ berupa rebat tunai bernilai RM3,888 untuk pembelian Myvi 1.5 dan juga RM2,188 untuk varian terpilih Alza (SE), Axia (1.0 G automatik) dan juga sedan pertama Perodua iaitu Bezza (1.3 AV automatik).

     
     
  • Honda BR-V 1.5L dilancarkan di Malaysia – crossover 7-tempat duduk, 2 varian, harga bermula RM85,800

    Honda BR-V 1.5L dilancarkan di Malaysia – crossover 7-tempat duduk, 2 varian, harga bermula RM85,800

    Buat pertama kali, Honda BR-V diprebiu di Malaysia adalah pada awal November lalu bersempena dengan Malaysia Autoshow 2016 di Pusat Pameran dan Konvensyen Antarabangsa Mines (MIECC). Sebulan kemudian, iaitu pada 1 Disember lalu, Honda Malaysia mengumumkan tempahan bagi crossover tujuh-tempat duduk ini mula dibuka, menandakan ia semakin menghampiri tarikh pelancarannya.

    Hari ini, Honda Malaysia membuka tirai 2017 dengan memperkenalkan secara rasmi model pertama yang dilancarkan buat tahun ini bagi pasaran Malaysia. Dengan kehadiran dua varian iaitu Gred E dan spesifikasi tertinggi iaitu Gred V, BR-V ini ditawarkan dengan harga atas jalan masing-masing (berserta insurans) RM85,800 dan RM92,800. Honda Malaysia mensasarkan jualan sebanyak 800 unit sebulan.

    BR-V atau ‘Bold Run-about Vehicle’ versi Malaysia adalah model pemasangan tempatan (CKD) dari kilang Honda, Pegoh, Melaka. Menurut Honda Malaysia, 70-80% komponen yang digunakan adalah produk buatan tempatan.

    Honda BR-V 1.5L dilancarkan di Malaysia – crossover 7-tempat duduk, 2 varian, harga bermula RM85,800

    Setakat ini, BR-V hanya dipasarkan di India, Indonesia, Thailand dan Malaysia sahaja. Menurut Honda Corporation, BR-V ‘belum dimuktamadkan’ untuk dipasarkan di Jepun kerana di sana barisan kenderaan lebih banyak dan pelbagai segmentasi. Walau bagaimana pun, BR-V sebenarnya sangat sesuai untuk dipasarkan di mana-mana sahaja, dan tidak tertakluk hanya untuk empat negara yang disebut sebelum ini.

    Ia dijana oleh enjin 1.5 liter SOHC i-VTEC, sama seperti City dan Jazz, dengan kuasa 120 PS pada takat 6,600 rpm dan tork maksima 145 Nm pada takat 4,600 rpm. Enjin berkenaan dipadankan transmisi Earth Dreams CVT, menyalurkan kuasa hanya ke roda hadapan.

    Bagi sistem suspensinya, ia menggandingkan topang MacPherson untuk bahagian hadapan dan Torsion Beam untuk belakang. Menurut Honda Malaysia, dimensi bagi suspensi untuk BR-V di semua negara adalah sama, namun peredam (damper) bagi pasaran Malaysia telah diberi talaan yang sedikit berbeza untuk kesesuaian kegunaan di jalan raya di negara ini.

    Crossover ini dibina dari platform MPV tujuh-tempat duduk Honda Mobilio. Ia berdimensi 4,453 mm panjang (4,456 mm untuk varian V), 1,735 mm lebar dan 1,650 mm tinggi, manakala jarak rodanya pula ialah 2,660 mm. Ia turut memberikan jarak kelegaan tanah sehingga 201 mm. Sebagai perbandingan, BR-V ini 161 mm lebih panjang, 35 mm kurang lebar dan 45 mm lebih tinggi serta jarak rodanya 50 mm lebih panjang berbanding HR-V.

    Honda BR-V 1.5L dilancarkan di Malaysia – crossover 7-tempat duduk, 2 varian, harga bermula RM85,800

    Menurut Honda, BR-V ini mampu mencatatkan jejari pusingan sehingga 5.5 meter, secara tidak langsung memudahkan pemandu untuk membuat pusingan-U.

    Walau pun berkongsi platform yang sama dengan Mobilio, namun BR-V tampil dengan rekaan luaran yang tersendiri. Ia hadir dengan lampu hadapan halogen yang turut dipadankan dengan lampu nyalaan siang (hanya pasaran Malaysia sahaja yang menerima padanan DRL) LED. Namun hanya varian V sahaja yang dilengkapi dengan lampu kabus hadapan.

    Malahan imej hadapannya juga ditampilkan dengan rekaan signatur Honda Solid Wing, bampar hadapan yang kelihatan lebih lasak serta penutup enjin baharu. Imej yang ditampilkan ini ternyata jauh berbeza dengan penampilan Mobilio.

    Melewati bahagian belakangnya pula, BR-V menerima lampu belakang, pintu tailgate serta bampar yang juga berbeza daripada Mobilio. Selain itu, kedua-dua varian turut menerima rel bumbung (dengan kapasiti meletakkan barangan seberat maksimum 3 kg), roda aloi bersaiz 16-inci dibaluti tayar bersaiz 195/60R16.

    Walau bagaimana pun, varian V pastinya tampil dengan lebih bergaya termasuk dilengkapi pemegang pintu krom (warna badan bagi E), pelindung sisi krom dan hiasan pada bampar bawah.

    Menjengah bahagian kabinnya, imej yang dibentangkan hampir sama dengan Mobilio. Pastinya varian V tampil lebih premium termasuk didatangkan dengan butang penghidup enjin dan kemasukan pintar, roda stereng balutan kulit lengkap dengan suis kawalan audio, tombol gear balutan kulit, penghawa dingin auto (manual untuk E), panel instrumen Water Print Matt (Shiny Dark Metallic untuk E), tempat duduk balutan kulit (material urethane untuk E) dan sistem audio dengan paparan 6.1″ (audio standard untuk E).

    Honda BR-V 1.5L dilancarkan di Malaysia – crossover 7-tempat duduk, 2 varian, harga bermula RM85,800

    Manakala elemen standard yang ada pada kedua-duanya ialah liang penghawa dingin untuk kabin belakang, sambungan Bluetooth, port bagi USB, HDMI dan Aux, fungsi telefon bebas tangan, empat-pembesar suara dan 11 tempat meletak cawan.

    Bagi ruang dalamannya, ia boleh dikatakan agak luas dan berpadanan dengan saiz BR-V. Tempat duduk baris kedua boleh dilipat dengan nisbah 60:40 manakala untuk baris ketiga pula ia boleh dilipat dengan nisbah 50:50 bagi memberikan ruang kargo berkapasiti 539 liter (223 liter sekiranya tempat duduk tidak dilipat).

    Barisan ketiga tempat duduk BR-V turut diberikan tali pinggan tiga poin, dan menurut Honda ia merupakan tempat duduk barisan terakhir paling selesa dalam kelasnya serta kedudukannya umpama ‘tempat duduk dalam studio teater’ kerana ia tinggi sedikit berbanding baris kedua untuk memberikan pandangan yang lebih jelas buat penumpang yang duduk di bahagian tersebut.

    Untuk aspek keselamatan, kedua-dua varian turut menerima elemen yang sama iaitu dua beg udara SRS hadapan, Bantuan Kestabilan Kenderaan (VSA), ABS dengan EBD, Bantuan Mula Mendaki (HSA), Isofix untuk tempat duduk baris kedua dan pengesan undur. Cuma varian V sahaja yang dilengkapi dengan kamera undur.

    Dengan elemen keselamatan yang ditawarkan ini terutamanya VSA, membolehkan BR-V menerima penarafan lima-bintang dari ASEAN NCAP, dengan memperoleh 14.79 mata dari 16 mata penuh bagi Perlindungan Penumpang Dewasa (AOP). Bagi Perlindungan Penumpang Kanak-kanak (COP) pula, BR-V berupaya mencakupi 72% pematuhan.

    Setiap pembelian BR-V ini turut didatangkan dengan waranti selama lima-tahun dan tanpa had perbatuan serta selang servis 10,000 km. Ia ditawarkan dengan lima pilihan warna iaitu Taffeta White, Lunar Silver Metallic, Modern Steel Metallic, Dark Ruby Red Pearl dan warna baharu yang pertama kali diperkenalkan oleh Honda di Malaysia iaitu Golden Brown Metallic.

    Ternyata kedatangan BR-V ini mampu memberikan lebih banyak pilihan buat rakyat Malaysia yang inginkan sebuah kenderaan untuk kegunaan seisi keluarga. Malah crossover ini turut memberikan persaingan hebat buat kenderaan sama segmen dengannya iaitu Nissan Grand Livina, Perodua Alza, Toyota Rush dan Toyota Avanza.

    Kami telah memandu uji BR-V versi Thailand di Bangkok pada hujung tahun lalu, untuk mengetahui sedikit gambaran mengenainya, sila baca ulasan tersebut DI SINI.

    Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai spesifikasi lengkap dan perincian mengenai BR-V ini, sila layari Carbase.my.

    GALERI: Honda BR-V Gred V

    GALERI: Honda BR-V Gred E

    GALERI: Honda BR-V Modulo

    GALERI: Honda BR-V yang dipamerkan di MIECC November lalu

     
     
  • Volkswagen tawar program tukar-beli istimewa khas untuk pembelian Jetta facelift dan Passat baharu

    Volkswagen tawar program tukar-beli istimewa khas untuk pembelian Jetta facelift dan Passat baharu

    Volkswagen Passenger Cars Malaysia (VPCM) menawarkan program tukar-beli (trade-in) istimewa untuk mereka yang berminat membeli Jetta dan Passat baharu dan mahu menjual kereta lama mereka. Menurut VPCM, program yang bermula sekarang dan berakhir pada 31 Mac ini bakal menawarkan harga belian kereta lama yang “sangat menarik” bagi mereka yang mahu membeli Jetta dan Passat baharu.

    Program ini bukan sekadar terbuka kepada pemilik Volkswagen sedia ada, malah turut ditawarkan kepada pemilik kenderaan berjenama lain, dengan syarat pelanggan sudahpun memiliki kereta tersebut lebih dari enam bulan dari tarikh pendaftaran. Kenderaan yang mahu ditukar-beli perlu diperiksa dan dinilai oleh pengedar sah Volkswagen sebelum keputusan dan harga akhir kereta tersebut dipersetujui.

    Volkswagen Jetta facelift telah di lancarkan pada September lalu dengan tiga varian berbeza iaitu Trendline (RM109,578), Comfortline (RM118,578) dan Highline (RM129,578) – semua harga yang dinyatakan ialah harga atas jalan tanpa insuran. Model ini dijana enjin 1.4 liter turbo tunggal berkuasa 150 PS/250 Nm menggantikan enjin turbo+supercharged pada model lama. Ia turut hadir bersama lampu hadapan bi-xenon, lampu nyalaan siang LED, sistem kunci pintar dengan suis penghidup enjin dan juga tempat duduk kulit larasan berkuasa.

    Untuk Passat B8 baharu pula, ia dilancarkan pada November lalu juga dengan tiga varian – Trendline (RM160,937), Comfortline (RM180,937) dan Highline (RM200,030). Model ini direka lebih ringan dan pantas dari model sebelum ini, menampilkan enjin TSI 1.8 liter berkuasa 180 PS/250 Nm pada varian Trendline dan Comfortline, manakala varian tertinggi Highline pula dijana enjin TSI 2.0 liter berkuasa 220 PS/350 Nm.

    GALERI: Volkswagen Jetta facelift Highline

    GALERI: Volkswagen Passat B8 Highline

     
     
  • Proton Ertiga terima 1,400 tempahan, varian enjin diesel masih belum diteliti untuk pasaran Malaysia

    Proton Ertiga terima 1,400 tempahan, varian enjin diesel masih belum diteliti untuk pasaran Malaysia

    Kenderaan enam tempat duduk hasil kerjasama Proton dengan Suzuki, iaitu Ertiga diterima baik oleh pasaran negara lain sebelum ini, dan Malaysia juga tidak terkecuali apabila selepas sekitar satu bulan ia dilancarkan, telah mencatat tempahan sebanyak 1,400 unit. Daripada jumlah itu, 305 unit telah diserahkan kepada pelanggan.

    Perkara ini dinyatakan oleh ketua pegawai eksekutif Proton Edar, Rohime Shafie, dalam satu majlis yang diadakan di pusat kecemerlangan Proton, Shah Alam, namun beliau sekadar memberitahu daripada jumlah itu, ia terbahagi secara hampir sama di antara tiga varian yang ditawarkan.

    Apabila ditanya adakah varian ini akan ditambah lagi dengan pilihan enjin diesel seperti yang dikhabar akan diperkenalkan di pasaran Indonesia (dan sudah dijual di India), Rohime memberitahu, ketibaan Ertiga dalam pasaran Malaysia masih awal lagi dan syarikat mahu memberikan fokus untuk mencapai jumlah sasaran jualan (1,500 unit sebulan) dengan varian yang ada sekarang.

    Walaubagaimanapun, dari semasa ke semasa, Proton akan menjalankan penyelidikan pasaran untuk mengenal pasti adakah varian berenjin diesel ini relevan untuk pasaran Malaysia, namun ia bukan dalam waktu yang terdekat. Ertiga diesel menggunakan enjin turbodiesel DDiS empat silinder 1.3 liter D13A yang dipadankan bersama sistem Smart Hybrid Vehicle by Suzuki (SHVS), serta kotak gear manual lima-kelajuan.

     
     
  • SPAD wujudkan Makmal Bas bulan hadapan

    SPAD wujudkan Makmal Bas bulan hadapan

    Bagi meningkatkan mutu perkhidmatan, keselamatan dan kemampanan industri bas dalam negara, Makmal Bas akan ditubuhkan bulan hadapan oleh Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), menurut laporan Bernama.

    Perkara ini dinyatakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nancy Shukri dan menjelaskan makmal itu akan mengambil kira model perniagaan, cara-cara menangani kekurangan pemandu dan usul-usul bagi memperbaiki kebajikan pemandu. Selain itu, makmal ini juga akan memberi tumpuan kepada pendekatan teknologi, polisi, syarat-syarat pelesenan serta peningkatan mutu terminal dan infrastruktur.

    “Makmal Bas ini akan melibatkan penglibatkan serta pandangan pihak berkepentingan di dalam industri termasuk orang awam dari seluruh Semenanjung Malaysia,” katanya dan menambah sebarang tragedi jalan raya yang berlaku tanpa mengira sama ada kemalangan tersebut adalah kecil atau pun besar dipandang serius oleh kerajaan.

    Berkenaan kemalangan bas ekspres di Pagoh, Johor yang mengorbankan 14 nyawa, awal pagi 24 Dis lalu, Nancy menggesa media dan orang awam agar tidak membuat sebarang spekulasi sementara menunggu hasil siasatan yang telah dimulakan oleh Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya (MIROS).

    “Kerajaan melalui agensi-agensi yang berkaitan akan terus bekerjasama dengan pengendali bas ekspres, persatuan-persatuan, agensi dan pemegang kepentingan bagi meningkatkan kualiti perkhidmatan bas ekspres serta keselamatan penumpang,” tambahnya.

    Beliau memberi amaran kepada semua syarikat bas ekspres agar memberikan keutamaan kepada segala aspek keselamatan pemanduan dan keselamatan penumpang, termasuk melakukan pemeriksaan terhadap keadaan pemandu sebelum memulakan perjalanan lebih-lebih lagi menjelang cuti perayaan Tahun Baharu Cina tidak lama lagi.

    “Saya telah mengarahkan SPAD untuk menggandakan audit berasaskan risiko ke atas pengendali-pengendali bas ekspres bagi memastikan pematuhan ke atas Kod Amalan Industri SPAD-Keselamatan (ICOP) demi keselamatan penumpang,” katanya.

    Walau bagaimanapun, Nancy memuji beberapa pengendali bas ekspres yang boleh dijadikan contoh bagi meningkatkan tahap prestasi industri berdasarkan rekod perkhidmatan dan keselamatan yang cemerlang.

     
     
  • Kia Picanto generasi ketiga didedahkan, tampil lebih premium dengan ciri brek kecemasan automatik

    Kia Picanto generasi ketiga didedahkan, tampil lebih premium dengan ciri brek kecemasan automatik

    Setelah menyiarkan imej teaser, serta fotonya tanpa sebarang penyamaran tersebar, Kia secara rasminya mendedahkan Picanto generasi ketiga. Model baharu dengan kod casis JA ini bakal menggantikan model generasi kedua TA sedia ada, menampilkan unit janakuasa baharu, kabin yang lebih besar, serta pelbagai lagi teknologi baharu dan sistem keselamatan.

    Picanto generasi ketiga ini direka diinspirasikan dari model Rio baharu, menampilkan rupa yang lebih matang tetapi masih mengekalkan imej comel seperti sebelum ini.

    Pada bahagian muka, kedua-dua lampu hadapan kelihatan seperti dihubungkan dengan gril lebih lebar berbanding model sebelum ini. Lampu nyalaan siang pula menampilkan jalur LED berbentuk-U yang diletakkan di dalam lampu utama. Bahagian bampar juga kini menampilkan gril yang lebih lebar dibahagian bawah bagi memberikan rupa yang lebih agresif.

    Pada bahagian sisi, Picanto generasi baharu ini juga kelihatan seimbang dengan bahagian tingkap yang nampak lebih tirus dan ruang roda yang lebih besar. Garisan tingkap belakang juga direka agar mengalir keatas, berbanding garisan lurus pada model sedia ada. Walaupun seakan seiras dengan model sebelumnya khususnya pada lampu kombinasi, bahagian belakang Picanto kini kelihatan lebih lebar dan stabil.

    Kia Picanto generasi ketiga didedahkan, tampil lebih premium dengan ciri brek kecemasan automatik

    Varian Art Colletion ditawarkan pada Picanto pasaran Korea (GT Line untuk pasaran lain). Varian ini memberikan imej yang lebih agresif seperti Sport Pack yang terdapat pada model sedia ada, yang terdiri dari tip ekzos berkembar, pilihan kemasan dengan elemen hitam, perak, merah atau hijau lime, serta pilihan rim berdiameter antara 14-,15- dan 16-inci.

    Picanto generasi sedia ada telah pun menampilkan bahagian dalaman yang bertaraf lebih tinggi berbanding hatchback segmen-A lain, pada model generasi terbaharu ini, ia diberikan rekaan yang jauh lebih baik. Ia diberikan papan pemuka dua-tingkat, dilengkapi paparan infotainmen terapung pada bahagian tengah, yang biasanya ditampilkan pada model lebih mewah, diambil terus dari Rio. Liang udara penghawa dingin sisi pula kini direka secara menegak.

    Model ini diberikan roda stereng tiga jejari yang diambil dari Optima, manakala suis-suis kawalan penghawa dingin juga direka lebih menyerlah, serta turut diberikan perehat tangan dengan ruang storan yang diletakkan di antara tempat duduk hadapan. Pakej Art Collection turut diberikan pada bahagian dalaman menampilkan pilihan warna kemasan yang sama pada bahagian luaran, diberikan pada bahagian-bahagian seperti panel dalaman pintu.

    Untuk sistem Infotainmen, Picanto pasaran Korea diberikan servis peta Kia T, yang menghubungkan aplikasi navigasi dalam telefon pintar pemilik dihubungkan kepada sistem infotaimen menerusi hubungan MirrorLink. Sistem tersebut akan memberikan konfigurasi menu, posisi, saiz huruf yang lebih baik untuk menjadikan penggunaan sistem navigasi lebih mudah dan selamat. Ia turut diberikan hubungan Apple CarPlay dan juga kamera undur.

    Kia Picanto generasi ketiga didedahkan, tampil lebih premium dengan ciri brek kecemasan automatik

    Saiz Picanto baharu ini agak sama dengan model generasi sedia ada, diukur dengan dimensi 3,595 mm panjang, 1,595 mm lebar, tinggi 1,485 mm serta jarak rodanya ialah 2,400 mm. Untuk lebih mudah dibuat perbandingan, ia 5 mm lebih rendah, dan juga jarak rodanya 15 mm lebih panjang berbanding Picanto TA. Walaupun bumbungnya lebih rendah, Kia mendakwa ruang kepala, ruang bahu serta ruang lutut hadapan dan belakang Picanto kini lebih besar. Ruang kargonya juga telah dipertingkatkan dari 200 liter kepada 255 liter.

    Model baharu ini dijana oleh enjin tiga-silinder 1.0 liter Kappa Eco-prime berkuasa 76 PS/95 Nm, yang ditala bagi membolehkan ia mencapai penggunaan api lebih baik iaitu 15.4 liter untuk setiap km dalam kitaran gabungan. Kotak gear untuk model ini masih belum diperincikan, namun dijangka masih menggunakan pilihan transmisi empat-kelajuan automatik atau lima-kelajuan manual, sama seperti model sebelum ini.

    Picanto generasi baharu ini dibina menggunakan platform baharu sepenuhnya, menggunakan 44% keluli berkekuatan tinggi, lebih 22% lebih banyak dari model terdahulu. Pelekat struktur kalis-impak turut digunakan pada kawasan pelanggran utama untuk mengurangkan perubahan bentuk ketika pelanggaran. Ia juga diproduksi menggunakan kaedah hot stamping bagi memberikan kekuatan siling dan ketegaran kilasan yang lebih baik.

    Seperti juga model sedia ada, Picanto diberikan tujuh-beg udara (termasuk untuk lutut pemandu) dan juga sistem Vehicle Stability Management (VSM), tetapi turut ditambah dengan sistem torque vectoring serta Straight Line Stability (SLS) bagi membolehkan kereta kecil ini kekal stabil ketika membrek dan juga pada pecutan garis lurus.

    Kia Picanto generasi ketiga didedahkan, tampil lebih premium dengan ciri brek kecemasan automatik

    Hatchback kompak ini turut menerima sistem brek kecemasan automatik (AEB), sistem amaran pelanggaran hadapan (FCWS) serta sistem pemantau tekanan angin tayar (TPMS), yang lazimnya kesemua sistem ini diberikan pada model-model lebih besar dan mewah.

    Picanto generasi baharu ini akan mula dijual di Korea pada 17 Januari ini dengan harga bermula 9,500,000 hingga 9,700,000 won (RM35,400 hingga RM36,200) untuk varian asas Basic Plus, 9,900,000 hingga 10,100,000 won (RM36,900 hingga RM37,700) untuk Deluxe, 11,800,000 hingga 12,000,000 won (RM44,000 hingga RM44,700) untuk Luxury dan 12,650,000 hingga 12,850,000 won (RM47,200 hingga RM47,900) untuk varian tertinggi Prestige.

    Kia turut menawarkan Picanto yang lebih feminin menerusi varian Lady yang diberikan kelengkapan seperti cermin solek berlampu, pemanas roda stereng dan juga AEB, ditawarkan pada harga antara 12,200,000 hingga 12,400,000 won (RM45,500 hingga RM46,200). Manakala untuk pasaran lain di seluruh dunia, Picanto akan mula dijual bermula musim bunga tahun ini.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.10
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.85 (-0.05)
EURO 5 B7 RM3.05 (-0.05)
Last Updated Aug 21, 2025