Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Pusat 3S Chevrolet telah dibuka di Kapar, Klang

    Pusat 3S Chevrolet telah dibuka di Kapar, Klang

    NAZA Quest Sdn Bhd telah melancarkan Pusat 3S Chevrolet Klang yang mula beroperasi secara rasmi pada 30 Disember lalu. Ini menjadikannya sebagai pusat 3S ke-24 bagi Chevrolet di Malaysia, iaitu 17 daripadanya di Semenanjung Malaysia dan 7 buah lagi di Sabah/Sarawak.

    Pusat 3S Chevrolet Klang ini dikendalikan oleh City Medal Sdn Bhd, telah dirasmikan oleh pengarah urusannya, Tan Kar Teck bersama Farid Rosli, Ketua Naza Quest Sdn Bhd, baru-baru ini.

    Menurut Farid, “Di Naza Quest, kami serius terhadap komitmen kami untuk memperkembangkan lagi jenama ini di Malaysia. Pada Oktober lalu, kami telah melancarkan model Chevrolet Colorado serba baharu untuk memacu barisan produk kami di pasaran, dalam masa yang sama memperkukuhkan lagi jenama ini. Dengan pembukaan pusat 3S Chevrolet City Medal, kami komited untuk memperkukuhkan lagi rangkaian ke seluruh negara.”

    Terletak di Batu 2, Kapar, Klang, pusat 3S ini berada dalam bangunan berkeluasan 44,000 kaki persegi, yang melibatkan perlaburan sebanyak RM1.5 juta, dan mensasarkan pelanggan di sekitar bandar Klang dan yang berhampiran.

    Ia merangkumi pusat pameran dan jualan, penyelenggaraan, turut menyediakan kemudahan lounge bagi pelanggan serta perkhidmatan wi-fi secara percuma, dan juga pusat membaiki dan mengecat kenderaan. Malah ia turut menawarkan perkhidmatan jual kenderaan terpakai serta memperbaharui cukai jalan.

    Dengan pengenalan terhadap Chevrolet Complete Care (CCC) awal tahun ini turut menunjukkan usaha Naza Quest dalam memperkukuhkan lagi kualiti servis di semua rangkaian pengedaran Chevrolet di seluruh negara. Malahan Naza Quest turut berazam untuk meningkatkan lagi bilangan cawangan penyelenggaraan di seluruh Semenanjung Malaysia bermula tahun 2017, bagi memberikan perkhidmatan terbaik buat pada pelanggannya.

     
     
  • PANDU UJI: Hyundai Ioniq Hybrid – pakej teknologi komprehensif, harga berpatutan beri nilai tersendiri

    PANDU UJI: Hyundai Ioniq Hybrid – pakej teknologi komprehensif, harga berpatutan beri nilai tersendiri

    Penawaran kenderaan hibrid untuk pasaran tempatan beberapa tahun kebelakangan ini sangat perlahan. Ini lebih ketara terutama sekali selepas penstrukturan semula status jenis kenderaan itu di bawah Dasar Automotif Nasional 2014.

    Secara ringkas, melalui dasar baharu itu, insentif kepada kenderaan cekap tenaga (EEV, dan ini termasuk kenderaan hibrid) hanya diberikan bagi model-model yang dipasang di Malaysia sahaja. Sementara kenderaan hibrid yang diimport masuk sepenuhnya (CBU) dari luar tidak lagi diberikan insentif serta potongan cukai oleh kerajaan seperti yang dinikmati sebelumnya.

    Walaupun begitu, jika kita toleh beberapa tahun sebelum ini, terdapat model-model kereta hibrid yang sudah diperkenalkan, dengan sambutan yang mungkin boleh dikatakan agak positif, jika mengambil kira ia sebagai sebuah teknologi yang relatif baharu untuk pasaran di sini.

    Antara penggerak utama yang sebelum ini aktif mempromosi kenderaan hibrid di sini ialah Toyota dan Honda. Nissan juga tidak ketinggalan dengan penawaran MPV Serena S-Hybrid, walaupun dengan dengan mekanisme hibrid yang berbeza. Ini merupakan jenama-jenama yang sudah sebati dengan rakyat Malaysia, dan merupakan antara yang paling giat mempromosi teknologi berkenaan di sini.

    Toyota pernah hadir dengan model seperti Prius dan Prius C. Terakhir ialah melalui kenderaan dalam segmen D, Camry Hybrid. Jangan lupa juga dari Lexus (cabang kenderaan mewah bagi Toyota), yang pernah menawarkan Lexus CT200h yang pada satu ketika menjadi antara model dengan nilai yang terbaik kepad pengguna – jika dilihat dari segi teknologi dan harga ketika itu.

    Baca laporan selanjutnya

     
     
  • Puspakom minta orang ramai salur maklumat salahlaku ‘runner’ kepada SPRM untuk disiasat

    Puspakom minta orang ramai salur maklumat salahlaku ‘runner’ kepada SPRM untuk disiasat

    Sebagai respon kepada surat pembaca yang disiarkan dalam akhbar Utusan Malaysia semalam mendakwa wujudnya pihak ketiga atau runner yang bukan kakitangan Puspakom bertindak sebagai orang tengah bagi memastikan kenderaan yang diperiksa lulus ujian, syarikat pengendali pusat pemeriksaan kenderaan berkomputer itu hari ini mengeluarkan kenyataannya.

    Dalam kenyataan tersebut, Puspakom amat berharap pembaca berkenaan dapat memberikan kerjasama dengan menyalurkan maklumat dan bukti yang ada kepada Puspakom sendiri atau Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi tujuan penyiasatan. Puspakom menegaskan mereka tidak pernah mengiktiraf atau berkompromi dalam memastikan setiap ujian kenderaan dilakukan mengikuti piawaian yang telah ditetapkan.

    Puspakom menggesa orang ramai agar jangan sesekali tertipu dengan helah para runner ini yang mendakwa mereka dapat memastikan kenderaan lulus pemeriksaan dengan bayaran tertentu. Menurut Puspakom lagi, pemeriksaan yang mereka jalankan adalah berdasarkan Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan arahan–arahan yang dikeluarkan oleh agensi penguatkuasa kerajaan.

    Puspakom menegaskan bahawa sesebuah kenderaan akan gagal pemeriksaan sekiranya keadaan kenderaan tersebut tidak selamat untuk dipandu dan tidak mematuhi piawaian yang ditetapkan. Sepanjang tahun 2016, sejumlah 72,225 pemeriksaan bas telah dijalankan di Puspakom. Daripada jumlah itu, 23,092 pemeriksaan bas atau 32% telah gagal melepasi pemeriksaan kerana kenderaan tidak mengikuti piawaian.

    Dalam kategori pemeriksaan berkala (routine inspection) pula, sebanyak 45,419 pemeriksaan bas telah dijalankan dan 16,850 pemeriksaan (37%) daripadanya telah gagal. Bas yang gagal ini tidak akan diberikan “perakuan pemeriksaan”, dan perlu melalui ujian yang sama semula.

    Puspakom minta orang ramai salur maklumat salahlaku ‘runner’ kepada SPRM untuk disiasat

    Kesemua maklumat ini dikongsikan dengan pihak penguatkuasa untuk tindakan mereka dan Puspakom menegaskan mandat mereka adalah menjalankan pemeriksaan yang perlu dibawah akta dan arahan-arahan. Tindakan selanjutnya adalah di atas bidang kuasa agensi penguatkuasa.

    Menurut kenyataan itu lagi, maklumat-maklumat ini cukup untuk membuktikan Puspakom tidak sewenang-wenangnya meluluskan semua kenderaan yang melalui pemeriksaan yang ketat di pusat pemeriksaan mereka. Adalah menjadi tanggungjawab penuh pemilik atau pemandu untuk memastikan kenderaan mereka diservis, diselenggara dan dijaga mengikut pelan penjagaan pengeluar kenderaan tersebut bagi memastikan kenderaan mereka lulus mana-mana pemeriksaan Puspakom.

    Puspakom menasihatkan orang ramai untuk segera melaporkan melalui Polisi Pemberi Maklumat PUSPAKOM di [email protected] atau di talian 03 20528989 jika mengesyaki terdapat sebarang kesangsian ataupun ditawarkan oleh sesiapa untuk membayar wang bagi menjamin kelulusan pemeriksaan kenderaan mereka.

    Syarikat itu turut menyatakan mereka telahpun menandatangani satu Memorandum Persefahaman (MoU) dan Ikrar Integriti Korporat bersama SPRM bertujuan untuk mewujudkan kerjasama berterusan dari aspek pengesanan, penyaluran maklumat, latihan dan khidmat rundingan bagi membanteras isu integriti.

    Isu ini turut mendapat perhatian Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai dan menggesa SPRM untuk menyiasat amalan rasuah yang terjadi di pusat-pusat pemeriksaan kenderaan berkomputer Puspakom.

     
     
  • Ford sahkan Mustang, trak F-150 dan van Transit Custom versi hibrid akan ditawarkan menjelang 2020

    Ford sahkan Mustang, trak F-150 dan van Transit Custom versi hibrid akan ditawarkan menjelang 2020

    Ford telah mengumumkan rancangannya untuk melancarkan 13 kenderaan dengan teknologi elektrik dalam tempoh lima tahun akan datang. Apa yang menarik, dalam rancangan tersebut turut menyenaraikan pelancaran muscle car Ford Mustang, trak pikap gergasi F-150 dan juga van ikonik Transit Custom, ketiga-tiganya dalam versi janakuasa hibrid.

    Van Transit Custom Hybrid bakal ditawarkan untuk pasaran Eropah pada tahun 2019, manakala trak F-150 Hybrid pula akan menerjah masuk pasaran Amerika Utara pada tahun 2020, didakwa bakal menampilkan “kuasa menunda dan kapasiti muatan yang tinggi, dan juga boleh beroperasi sebagai generator mudah-alih”.

    Bagi model Ford Mustang Hybrid pula, ia akan ditawarkan pada pasaran Amerika Utara pada tahun 2020, dan dikatakan bakal dibekalkan kuasa seperti enjin V8, tetapi dengan kuasa tork maksima yang boleh dicapai pada tahap rpm lebih rendah.

    Selain itu, Ford turut mengesahkan akan melancarkan tujuh model hibrid dan juga model elektrik sepenuhnya (EV), termasuk SUV EV yang didakwa mampu berjalan sejauh 483 km dengan sekali cas penuh. Ford juga bakal melancarkan kenderaan hibrid tanpa pemandu menjelang tahun 2012, yang akan digunakan untuk perkhidmatan perkongsian kenderaan e-hailing, dan juga dua model hibrid untuk kegunaan kereta peronda polis.

    Ford sahkan Mustang, trak F-150 dan van Transit Custom versi hibrid akan ditawarkan menjelang 2020

    Pengumuman ini turut menyebut Ford akan melabur US$700 juta (RM3.148 bilion) untuk membesarkan kilang pemasangan Flat Rock miliknya di Michigan, bagi memenuhi keperluan untuk membina kenderaan elektrik dan pemanduan sendiri, selain dari pengeluaran Mustang dan Lincoln Continental yang turut di pasang di kilang tersebut. Pembesaran operasi berkenaan bakal mewujudkan 700 peluang pekerjaan baharu.

    “Selari dengan permintaan pengguna di seluruh dunia yang telah berminat dengan kenderaan berkuasa elektrik, Ford komited untuk menjadi peneraju dalam menyediakan barisan kenderaan berkuasa elektrik, servis dan penyelesaian untuk pengguna bagi memberikan kehidupan yang lebih baik,” kata presiden dan CEO Ford, Mark Fields.

    Pelaburan bernilai US$700 juta untuk kilang Flat Rock ini sebahagiannya diperolehi dari dana bernilai US$1.6 bilion (RM7.19 bilion) yang diperuntukkan untuk pembinaan kilang di San Luis Potosi, Mexico yang kemudiannya terpaksa dibatalkan untuk memperbaiki keuntungan yang dijana syarikat.

    Kilang sedia ada yang terletak di Hermosillo, Mexico akan dijadikan pusat untuk memproduksi Ford Focus generasi baharu, seterusnya mengurangkan beban dua kilang baharu di Michigan, yang buat masa sekarang memproduksi Focus sedia ada.

     
     
  • Menteri gesa SPRM siasat amalan rasuah di Puspakom

    Menteri gesa SPRM siasat amalan rasuah di Puspakom

    Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menyiasat amalan rasuah yang terjadi di pusat-pusat pemeriksaan kenderaan berkomputer Puspakom, menurut laporan Bernama.

    “Saya setuju bahawa SPRM perlu menyiasat untuk memastikan tiada rasuah yang dilakukan oleh kakitangan dan pegawai Puspakom, tetapi saya percaya Puspakom sendiri telah melakukan banyak perkara untuk mengurangkan kegiatan rasuah di pusat-pusat pemeriksaannya,” kata beliau ketika mengulas berkenaan salah laku kakitangan Puspakom, khususnya ketika memeriksa kenderaan komersial dan juga teksi.

    Tambah Liow lagi, kesalahan rasuah ini merupakan perkara yang serius dan menegaskan siasatan perlu dijalankan untuk mengelakkan tuduhan terus kepada agensi-agensi berkaitan seperti Puspakom dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) apabila berlakunya kemalangan maut.

    Dalam kementerian pengangkutan sendiri, dua unit khas telah diwujudkan iaitu Unit Integriti dan Unit Audit Dalaman bagi menyiasat kegiatan rasuah yang melibatkan agensi dan jabatan di bawahnya dengan “cara yang agresif dan komprehensif,” jelas Liow.

    “Menerusi unit-unit ini, kami boleh mengenalpasti isu tersebut lebih awal dan mengambil tindakan lebih cepat. Dalam hal integriti, contohnya, jika ada keraguan membabitkan pembekalan, rakyat boleh terus melaporkan perkara tersebut terus kepada saya atau kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Paul Low Seng Kuan,” katanya.

     
     
  • Imej bayangan Proton Preve generasi seterusnya dihasilkan, diasaskan dari rekaan Proton Persona

    Imej bayangan Proton Preve generasi seterusnya dihasilkan, diasaskan dari rekaan Proton Persona

    Sedan segmen-C Proton Preve kini telah pun berusia lima tahun dalam produksi sejak dilancarkan pada 2012. Jika mengikut amalan pengeluar-pengeluar lain, generasi baharu model ini sepatutnya akan muncul sedikit masa lagi. Jadi, untuk membayangkan bagaimana rupa Preve generasi baharu tersebut, pakar rendering Theophilus Chin tampil dengan buah tangan terbaharunya.

    Bayangan yang dihasilkan oleh Theo kali ini diasaskan dari Proton Persona. Rupa asal Persona yang ‘kurus’ dan tinggi telah dilebarkan dan direndahkan bagi memberikan rupa sebuah sedan yang lebih normal. Tiang-A telah ‘ditarik’ lebih kehadapan membolehkan bahagian bonet kelihatan lebih panjang.

    Imej bayangan Proton Preve generasi seterusnya dihasilkan, diasaskan dari rekaan Proton Persona

    Dengan dimensi sedan segmen-C yang lebih lebar, bahagian perincian lain seperti bar krom penuh pada gril hadapan, gril bawah yang lebih besar, lampu belakang, dan juga kemasan berbentuk diffuser pada bampar belakang turut boleh direka lebih lebar dan nampak lebih seimbang.

    Setakat ini, tiada lagi berita dari Proton berkenaan model Preve generasi berikutnya. Tetapi, dijangkakan model sedia ada akan diberikan versi facelift dan bakal dijana oleh enjin-enjin suntikan bahan api terus TGDI dan GDI baharu Proton yang telah diumumkan tahun lalu.

     
     
  • Takhta jualan kereta paling laris di Sweden milik Volvo dirampas buat kali pertama selepas 54 tahun

    Takhta jualan kereta paling laris di Sweden milik Volvo dirampas buat kali pertama selepas 54 tahun

    Buat pertama kali selepas 54 tahun, carta jualan kereta paling laris di Sweden tidak disandang oleh Volvo, menurut laporan CNN. Statistik berkenaan telah diumumkan oleh BIL Sweden iaitu persatuan pengeluar-pengeluar automotif di negara berkenaan dan mendedahkan Volkswagen Golf telah mengungguli carta tersebut untuk tahun 2016.

    Kali terakhir pengeluar lain mengambil kedudukan nombor satu itu dari Volvo ialah pada tahun 1962, juga dirampas oleh Volkswagen menerusi model Beetle. Walau bagaimanapun, Volvo masih lagi mendominasi carta jualan berkenaan dengan tiga modelnya diletakkan dalam senarai lima model paling laris untuk tahun 2016 dan jenama berkenaan berjaya menjual satu perlima dari jumlah keseluruhan kenderaan baharu di Sweden tahun lalu.

    Takhta jualan kereta paling laris di Sweden milik Volvo dirampas buat kali pertama selepas 54 tahun

    Model wagon Volvo V70 merupakan model paling laris di Sweden sejak sepuluh tahun lalu, sehinggalah model berkenaan diberhentikan pengeluarannya pada musim panas tahun lalu. Model tersebut digantikan dengan model V90 yang lebih mahal, menjadi punca mengapa Volvo gagal kekal di tangga teratas carta tahun lalu.

    Bukan itu sahaja, jumlah jualan keseluruhan untuk model V70, V90 dan juga sedan S90 juga telah jatuh 25% pada tahun lalu. Menurut pengarah urusan BIL Sweden Bertil Molden, peralihan kepada V90 hanya bermula dua bulan selepas V70 diberhentikan produksi kerana perubahan turut perlu dilakukan di kilang pemasangan, sudah tentu jumlah pengeluaran berkurangan ketika itu dan ini berlaku pada setiap pembekal. Beliau juga menjangkakan siri 90 Volvo (S90, V90 dan XC90) akan mengungguli kembali carta berkenaan untuk tahun ini.

     
     
  • BMW Malaysia umum harga 2017 – ada model alami kenaikan sehingga RM6k, 330i M Sport digugurkan

    BMW Malaysia umum harga 2017 – ada model alami kenaikan sehingga RM6k, 330i M Sport digugurkan

    Klik untuk besarkan imej senarai harga

    BMW Malaysia telah mengeluarkan senarai harga untuk tahun 2017 dan menyaksikan harga bagi beberapa model yang tidak berubah, namun sesetengahnya mengalami kenaikan yang agak tinggi, sehingga RM6,000.

    Model yang mengalami peningkatan harga termasuklah BMW 118i Sport (naik RM3k menjadi RM176,800), 318i Luxury (naik RM3k menjadi RM205,800) dan X1 sDrive20i (naik RM2k menjadi RM230,800), semuanya pemasangan tempatan. Manakala model import sepenuhnya (CBU) bagi 4 Series iaitu 420i Coupe, 430i Coupe dan 430i Gran Coupe menyaksikan kenaikan sebanyak RM2k.

    Bukan itu sahaja, bagi sesiapa yang berminat untuk membeli M2 dan M4, bersedialah untuk membayar kos tambahan yang lebih tinggi iaitu sehingga RM6k, dengan harga masing-masing RM504,800 dan RM746,800. Namun bagi 330i M Sport, jentera sedan sport ini kini hanya ada dalam edisi terhad, dan varian ini telah digugurkan dalam barisan model tempatan.

    Pada 2016, BMW telah memperkenalkan harga baharu dan lebih rendah buat 1 Series, 3 Series dan SUV X1, di mana ia adalah model CKD yang menerima status Kenderaan Cekap Tenaga (EEV).

     
     
  • SPAD kutip lebih RM200k saman terhadap individu ambil penumpang secara haram di KLIA, KLIA2

    SPAD kutip lebih RM200k saman terhadap individu ambil penumpang secara haram di KLIA, KLIA2

    Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) berjaya mengutip sejumlah RM229,400 denda sepanjang tahun lalu terhadap ulat teksi di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan KLIA2. Ia membabitkan 58 kes tangkapan yang terdiri daripada pemandu teksi, kereta sapu, Uber dan GrabCar serta ulat tiket.

    Menurut Pengurus Besar Kanan Bahagian Penguatkuasaan SPAD, Datuk Che Hasni Che Ahmad, pihaknya mengesan taktik mereka sering beroperasi di pintu masuk utama negara dengan mensasarkan pelancong asing sebagai mangsa, laporan Bernama.

    “Pihak SPAD akan meningkatkan operasi tahun ini dan bertindak lebih tegas bagi mengekang kegiatan haram ini daripada terus berleluasa,” katanya pada sidang media selepas mengadakan Ops Parasit bagi membanteras ulat teksi haram di KLIA semalam.

    Katanya lagi, SPAD mendapati aktiviti mengulat menjadi lebih parah dengan penglibatan pemandu Uber dan GrabCar yang mula dikesan aktif di dua lokasi tersebut sejak Oktober lepas.

    “Ketika menjalankan aktiviti ‘mengulat’ itu, mereka biasanya akan menutup aplikasi yang digunakan bagi mengelak dikesan pihak syarikat pengendali perkhidmatan masing-masing dan kemudian akan menarik para penumpang dan pelancong yang baru tiba di lapangan terbang, ” katanya.

    Kata beliau, sepanjang operasi itu dilakukan ada pemandu yang telah ditangkap pihak SPAD sehingga tiga kali atas kesalahan yang sama kerana hasil pendapatan lumayan yang berjaya diraih melalui aktiviti tersebut.

    “Untuk kes seperti itu, biasanya kita akan meminta pihak mahkamah mengenakan hukuman yang lebih berat dari sebelumnya untuk kesalahan yang berulang,” katanya.

    Katanya operasi penguatkuasaan untuk menangkap individu yang terlibat dengan aktiviti ‘mengulat’ akan diterus pada tahun ini dan meminta kerjasama para penumpang untuk tidak menggunakan perkhidmatan mereka.

     
     
  • 10 artikel terhangat di paultan.org BM sepanjang 2016

    10 artikel terhangat di paultan.org BM sepanjang 2016

    Tahun 2016 menyaksikan begitu banyak model terbaharu mahu pun facelift dilancarkan di pasaran Malaysia. Bukan itu sahaja, industri automotif tempatan turut ‘disemarakkan’ dengan pelbagai berita hangat, terutamanya harga bahan api yang naik-turun-naik, juga kenaikan harga kenderaan di pasaran, tragedi kemalangan bas ekspres yang mengorbankan banyak nyawa, kemajuan sistem pengangkutan awam khususnya LRT dan MRT yang baru dilancarkan sebelum 2016 melabuhkan tirainya serta pelbagai momen pahit-manis.

    Walau bagaimana pun, bukanlah suatu kejutan buat pasukan kami kerana dalam banyak artikel yang disiarkan untuk tahun ini, perkhabaran daripada Proton yang paling menerima perhatian yang cukup hangat. Ya, cukup hangat, sehangat nama Proton yang sedang melalui pelbagai ujian dan cabaran untuk terus kekal di dalam industri ini.

    Buktinya, dari 10 artikel terhangat 2016, tujuh daripadanya dimonopoli oleh Proton termasuk model-model yang dilancarkan pada tahun lalu. Proton Persona 2016 mengungguli kedudukan dengan menguasai hampir 40% perhatian para pembaca, diikuti oleh Proton Saga. Pesaing rapat Proton dalam industri ini iaitu Perodua turut berjaya menempatkan dirinya di tangga ke-tujuh dengan artikel sempena pelancaran model Bezza.

    Manakala dua artikel lain iaitu mengenai lesen memandu/menunggang dan budaya ‘hellaflush’ turut menjadi perhatian pembaca paultan.org/bm. Berikut merupakan 10 artikel terhangat di sini, yang mendapat perhatian ‘boombastik’ dari anda. Apa pun, terima kasih tidak terhingga di atas sokongan anda, dan teruskan bersama kami untuk mendapatkan berita muktahir, terhangat dan terkini mengenai industri automotif dalam dan luar negara.

    10. Proton Ertiga – perincian dan penawaran bagi setiap varian; enjin 1.4 liter, ASEAN NCAP empat bintang
    10 artikel terhangat di paultan.org BM sepanjang 2016

    Proton Ertiga yang dilancarkan pada November lalu merupakan model ke-empat yang dilancarkan untuk tahun 2016 sahaja. Sebelum dilancarkan, sudah ramai yang tidak sabar untuk mengetahui perincian lanjut apa yang ditawarkan untuk kesemua varian tersebut. Bukan setakat mekanikal, malahan elemen yang ada pada bahagian luaran dan dalamannya juga didedahkan secara rasmi.

    9. PANDU UJI: Proton Saga 2016 – selamat tinggal imej dulu; ini adalah permulaan baharu yang meyakinkan

    10 artikel terhangat di paultan.org BM sepanjang 2016

    Memang cukup ramai rakyat Malaysia yang ingin mengetahui kelebihan dan kekurangan yang ditonjolkan pada Proton Saga 2016. Apatah lagi apabila Proton sendiri mengesahkan telah melakukan banyak perubahan dan pembaharuan pada Saga versi terbaharu ini. Jadi, untuk mendapatkan kepastian sejauh mana kebenaran yang didakwa oleh pihak Proton, ulasan pandu uji ini banyak membongkarkan rahsianya.

    8.Proton Persona 2016: Perbandingan dengan model lama, serta sedan segmen-B dan Perodua Bezza

    10 artikel terhangat di paultan.org BM sepanjang 2016

    Satu lagi model Proton yang dilancarkan pada tahun lalu, Persona 2016, yang berjaya mencuri perhatian ramai. Walau pun begitu, masih ada lagi yang sangsi, apakah Persona 2016 ini lebih baik daripada model sebelumnya. Dan adakah ia boleh mengatasi populariti Perodua Bezza? Menerusi artikel ini, pembaca dapat mengetahui perbandingan di antara Persona 2016 dengan model lama, serta sedan segmen-B yang lain dan juga Bezza.

    7.Perodua Bezza dilancarkan, enjin 1.0L VVT-i dan 1.3L Dual VVT-i, harga bermula dari RM37K hingga RM51K

    10 artikel terhangat di paultan.org BM sepanjang 2016

    ‘Anak bongsu’ Perodua yang pantas meledak menawan perhatian ramai. Mungkin ramai yang menganggap kelahiran Bezza ini merupakan suatu kejutan memandangkan sebelum ini Perodua lebih tertumpu pada model kompak. Namun kejutan ini memang cukup berjaya, menjadikan Bezza sebagai model sedan dengan harga yang cukup berpatutan yang terlaris di pasaran buat masa sekarang.

    6.MPV Proton Ertiga dilancarkan – enam-tempat duduk, 1.4 liter VVT, harga bermula RM58,800 – RM64,800

    10 artikel terhangat di paultan.org BM sepanjang 2016

    Menutup tahun 2016, Proton melancarkan model kerjasama Suzuki-Proton, MPV kompak Ertiga enam-tempat duduk. Memberikan satu lagi penawaran buat rakyat Malaysia yang inginkan sebuah kenderaan untuk seisi keluarga.

    5.Proton Saga 2016 kini dilancarkan secara rasmi – 4 varian, 1.3L VVT, dari RM36,800 hingga RM45,800

    10 artikel terhangat di paultan.org BM sepanjang 2016

    Saga merupakah model pertama yang dilancarkan oleh Proton iaitu pada tahun 1985. Namun untuk versi 2016, ia masih menjadi perhatian termasuklah generasi muda. Dengan pelbagai pembaharuan yang ditampilkan, Saga 2016 juga ditawarkan dengan harga yang cukup berbaloi.

    4.Kenapa JPJ buru ‘rim dan tayar kangkang’?
    10 artikel terhangat di paultan.org BM sepanjang 2016

    Rencana khas mengenai budaya ubahsuai “Stance & Fitment”(Snf) atau dikenali juga sebagai “Hellaflush”, juga menerima perhatian pembaca. Menerusi rencana ini, kami dapatkan pendapat eksklusif daripada pihak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bagi merungkai lebih lanjut mengenai trend ini.

    3.Pemandu atau penunggang tanpa lesen akan terus dihadapkan ke mahkamah, kenderaan turut disita
    10 artikel terhangat di paultan.org BM sepanjang 2016

    Mungkin artikel ini menjadi ‘suatu perkhabaran ngeri’ dan ‘amaran lebih jelas’ buat mereka yang tidak memiliki memandu atau menunggang motosikal secara sah. Malahan berita ini turut menunjukkan kesungguhan pihak berkuasa untuk mengambil tindakan terhadap mereka yang melakukan kesalahan tersebut.

    2.Proton Persona 2016 – Perincian ringkas, penawaran dan pilihan varian serta spesifikasi yang diketahui
    10 artikel terhangat di paultan.org BM sepanjang 2016

    Seperti yang dikatakan, model-model Proton yang dilancarkan pada tahun lalu memang cukup ditunggu ramai, ini termasuklah dengan Persona 2016. Sebelum ia dilancarkan secara rasmi, kami sudah membongkarkan perincian setiap varian dan spesifikasi lengkapnya.

    1.Proton Persona 2016 secara rasminya dilancarkan – 1.6L VVT, empat varian, harga bermula RM47k

    10 artikel terhangat di paultan.org BM sepanjang 2016

    Artikel mengenai pelancaran Proton Persona 2016 mengungguli carta artikel Paultan.org/bm bagi tahun 2016. Malah tiga daripada 10 yang disenaraikan, memang berkaitan dengan Persona 2016. Adakah ini menandakan harapan orang ramai terhadap Proton masih tinggi? Cabaran bagi Proton untuk terus berdaya maju dan terus menyingkirkan kelemahan yang semalam ini menghantui syarikat pengeluar kereta nasional ini.

     
     
  • Beberapa model BMW, Porsche dan Nissan diharamkan di Korea Selatan kerana kemuka sijil palsu

    Beberapa model BMW, Porsche dan Nissan diharamkan di Korea Selatan kerana kemuka sijil palsu

    Kerajaan Korea Selatan telah mengharamkan 10 buah model keluaran BMW, Porsche, dan Nissan setelah model-model tersebut disiasat dan disahkan menipu dalam undang-undang pencemaran udara pada musim luruh tahun lalu, menurut laporan Reuters. Ketiga-tiga pengeluar kenderaan tersebut didakwa mengemukan pensijilan palsu terhadap model BMW X5 M, Infiniti Q50, Porsche Macan S Diesel, Cayenne SE Hybrid dan Turbo, 918 Spyder, Cayman GTS, 911 GT3 dan Panamera SE Hybrid, serta Nissan’s Qashqai diesel.

    Tambahan dari pengharaman kesemua 10 model tersebut, BMW, Porsche dan Nissan juga perlu membayar saman keseluruhan berjumlah 7.17 bilion won (RM26,702,729). Sehingga kini, kesemua 10 model tersebut telah terjual sebanyak 4,523 unit di negara berkenaan.

    Untuk model Qashqai diesel, kerajaan Korea Selatan turut menemui peranti pengubah yang digunakan untuk menipu dalam ujian emisi yang dilakukan setelah skandal Dieselgate kumpulan Volkswagen didedahkan. Menurut laporan Reuters itu, kerajaan Korea Selatan mengatakann peranti pengubah berkenaan mematikan sistem pengurangan pencemaran ketika dipandu pada suhu normal.

    Beberapa model BMW, Porsche dan Nissan diharamkan di Korea Selatan kerana kemuka sijil palsu

    Walau bagaimanapun, Nissan menyangkal dakwaan tersebut dan mengatakan mereka “tidak dan tidak pernah memadankan peranti pengubah atau penipuan pada mana-mana kenderaan yang kami buat”.

    Ini bukan pengharaman kali pertama dilakukan kerajaan Korea Selatan. Pada Ogos tahun lalu, Volkswagen Group telah disaman sebanyak 17.8 bilion won (RM66,712,102) kerana memalsukan dokumen ujian pencemaran alam dan bunyi sejak 2010, serta 32 model dari jenama Volkswagen,Audi dan Bentley telah diharamkan.

     
     
  • Chrysler Portal Concept – van mini masa hadapan

    Chrysler Portal Concept – van mini masa hadapan

    Pameran barangan elektronik CES 2017 kini sedang berlangsung di Las Vegas, Amerika Syarikat dan ini adalah kenderaan yang dibawa oleh Fiat Chrysler Automobile – van mini konsep yang dinamakan sebagai Chrysler Portal Concept. Kenderaan kuasa elektrik ini dikatakan dibangunkan dengan data demografik golongan milenial yang dikumpul selama 20 tahun dan mempunyai pelbagai teknologi yang dirasakan sesuai.

    Badannya mempunyai saiz hampir seperti van Pacifica tetapi jarak rodanya lebih pendek iaitu 118.2 inci. Pada bahagian luar, panel LED digunakan dan ia boleh memaparkan pelbagai visual bergantung kepada pemilik. Pintu yang digunakan pula adalah daripada jenis gelungsur, dengan selain bahagian belakang, bahagian depan juga boleh dilungsur ke hadapan, seterusnya memberi ruang yang lebih luas untuk penumpang masuk.

    Selain gaya, Chrysler juga mengambil penting aspek ruang di dalam kenderaan ini, dengan membangunkan konsep yang diberi nama ruang ketiga, di mana selain untuk duduk secara biasa, ia juga boleh digunakan untuk bekerja dan santai seperti di rumah. Di atas lantai yang rata, tempat duduk Portal Concept mempunyai rel, seterusnya membolehkan ia dilaras kepada pelbagai kedudukan, termasuk ditanggalkan terus.

    Chrysler Portal Concept mempunyai penarafan pemanduan autonomous tahap ketiga, bermakna ia boleh mengambil alih tugas memandu dalam keadaan tertentu dan pada masa hadapan, boleh dinaik taraf untuk mempunyai teknologi lain seperti pengesan raut wajah dan suara, sekaligus kenderaan tersebut dapat mengesan siapa yang memandu dan membuat pelarasan yang sepatutnya.

    Papan pemuka kenderaan ini mempunyai rekaan yang minimalistik, dengan terdapat skrin LCD di bahagian atas dan skrin sesentuh yang lebih konvensional di bawah. Turut disediakan adalah 10 tempat meletak alat peranti seperti telefon bimbit atau tablet, untuk dicas atau disambungkan kepada kenderaan.

     
     
  • Teaser Pagani Huayra Roadster disiarkan sebelum kemunculan sulung di Geneva Motor Show 2017

    Teaser Pagani Huayra Roadster disiarkan sebelum kemunculan sulung di Geneva Motor Show 2017

    Pagani Huayra Roadster yang sepatutnya diperkenalkan pada Geneva Motor Show tahun lalu, kini hampir pasti untuk membuat kemunculan sulungnya di acara sama pada Mac tahun ini setelah imej teaser hypercar berkenaan disiarkan di laman Facebook Pagani sendiri.

    Imej teaser berkenaan memaparkan bahagian hidung Huayra versi bumbung boleh-buka tersebut, memperlihatkan gril hadapan dan juga lampu nyalaan siang LEDnya. Model ini dijangka bakal menampilkan bumbung keras yang diperbuat dari gentian karbon dan juga dek pada bahagian belakang sebagai ruang simpanan bumbung tersebut, sama seperti model Zonda Roadster sebelum ini.

    Sama juga seperti model coupe, Huayra Roadster akan dibina terhad sebanyak 100 unit dan dijangka akan habis jual kepada mereka layak memilikinya, sebelum jualannya dibuka kepada umum. Ada juga laporan mengatakan, pembeli-pembeli bertuah yang sudah menempah model ini telah pun dibawa ke kilang baharu Pagani sebesar 5,800 kaki persegi di San Cesario Sul Panaro, Modena, di Itali pada tahun lalu.

    Pagani Huayra Roadster masih lagi dikuasakan dengan enjin V12 6.0 liter turbo berkembar dari Mercedes-AMG, berupaya menjana 730 hp dan tork maksima gergasi 1,100 Nm. Prestasi model roadster ini juga dijangka sama seperti model coupe walaupun dengan mekanisma tambahan untuk bumbungnya – mampu memecut dari 0-100 km/j dalam masa 3.2 saat dan mencapai kelajuan maksima 370 km/j.

    Pada Geneva Motor Show tahun lalu, Autoblog melaporkan kemunculan sulung Huayra Roadster telah digantikan dengan model Huayra BC pada saat akhir. BC merupakan Huayra Coupe versi litar, yang diberikan pelbagai peralatan lebih ringan serta kuasa enjin melebihi 750 hp.

    GALERI: Pagani Huayra Coupe

     
     
  • Honda Navi Adventure, Chrome akan ditawar di India

    Honda Navi Adventure, Chrome akan ditawar di India

    Honda Motorcycle and Scooters India (HMSI), pada tahun 2016 telah memperkenalkan model Navi untuk pasaran di sana, dan terbaru, syarikat itu memberitahu ia akan melancarkan dua lagi varian bagi Navi iaitu Chrome dan Adventure. Navi adalah sebuah skuter yang menggunakan enjin empat strok 110 cc dan ia mempunyai saiz ‘mini-moto’ seperti MSX125, Benelli TnT 135 dan Z125 Pro.

    Enjin tersebut mampu menghasilkan kuasa sebanyak 7.8 hp pada 7,000 rpm dan 8.96 Nm tork pada 5,500 rpm, dengan gabungan transmisi jenis automatik. Tetapan sama akan digunakan pada versi Chrome dan Adventure ini, tetapi gaya badan dan aksesori yang dilengkapkan padanya akan mengikuti keperluan masing-masing.

    Honda Navi Adventure, Chrome akan ditawar di India

    Berbanding dengan model biasa sebelum ini yang mempunyai warna terang, versi Chrome akan menggunakan warna serba hitam, bersama beberapa bahagian krom serta tambahan pelindung enjin dan pelindung lampu hadapan. Bagi versi Adventure pula menggunakan warna camouflage coklat serta diberikan barang tambahan seperti pelindung tangan, penghadang angin lebih tinggi, rak barangan belakang dan pelindung lumpur. Suspensi yang lebih tinggi juga boleh dijangka.

    Bagi model biasa Honda Navi, ia dijual pada harga Rs 39,500 (RM2,605), dan untuk model Chrome dan Adventure ini, ia boleh dijangka mempunyai harga jualan lebih tinggi, hingga Rs 45,000 (RM3,000). Harga tukaran terus ini mungkin mengejutkan bagi kita di Malaysia, tetapi ia dapat dilaksana di India kerana Navi adalah model yang dibangunkan dan dikeluarkan di negara itu sendiri.

     
     
  • Putih warna kereta paling popular pada 2016 – PPG

    Putih warna kereta paling popular pada 2016 – PPG

    Tona warna bagi kereta adalah cukup bervariasi, namun putih menjadi pilihan kebanyakan pembeli, menurut kumpulan pakar cat PPG, yang mendapati sebanyak 38% kenderaan yang dijual pada tahun lalu adalah warna putih, meningkat daripada 35% berbanding tahun sebelum ini. Manakala hitam pula menjadi warna pilihan kedua iaitu sebanyak 16%, sementara perak pula 12% dan 10% bagi kelabu.

    Kebanyakan yang memilih warna putih ialah pembeli dari Asia Pasifik, dengan sejumlah 47% mendahului warna lain berbanding rantau lain, sementara warna kedua paling popular ialah hitam (14%), neutral (11%), perak (10%) dan merah (7%). Malah warna putih turut menjadi pilihan pembeli di rantau Amerika Utara dengan perkongsian sebanyak 25%, sementara di Amerika Selatan pula sebanyak 37% dan di Eropah mencecah 33%.

    “Walau pun putih mendominasi pilihan warna kenderaan di peringkat global, namun pilihan warna ini adalah bergantung pada jenis pasaran dan kenderaan,” ujar Jane Harrington, pengurus pengayaan warna di PPG.

    Putih warna kereta paling popular pada 2016 – PPG

    “Sebagai contoh, di Amerika Utara, perak menjadi warna yang baling digemari bagi kenderaan kompak, sementara hitam pula untuk kenderaan sport. Warna metalik pula popular di kalangan lelaki Amerika dan Eropah, manakala wanita di kedua-dua pasaran lebih menggemari warna dengan efek pearlescent pada kenderaan mereka,” tambahnya lagi.

    Untuk masa hadapan, PGG berkata dijangkakan pemintaan terhadap warna biru akan meningkat. Malah turut berkata, peningkatan sebanyak tiga peratus dilihat menjadi pilihan kenderaan mewah, saiz sederhana dan kompak bagi model buatan tahun 2017-2018.

    Pakar cat ini turut berkata biru menjadi warna yang paling menonjol dalam tiga tahun sejak kebelakangan ini di North American International Auto Show di Detroit, termasuk pada Porsche 911 Targa pada 2014, Ford GT, Mustang, Focus dan Fusion pada 2015 dan model konsep Buick Avista yang dipamerkan di pameran yang sama tahun lalu.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.10
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.85 (-0.05)
EURO 5 B7 RM3.05 (-0.05)
Last Updated Aug 21, 2025