Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Karnival MYPerodua Nation – peluang menangi Axia

    Karnival MYPerodua Nation – peluang menangi Axia

    Perodua akan menganjurkan karnival MYPerodua Nation mulai 20 hingga 22 Januari di Aeon Mall Shah Alam (tempat parkir terbuka), dan semua rakyat Malaysia dijemput untuk memeriahkannya.

    Menariknya, para pengunjung berpeluang memenangi Perodua Axia, di samping pelbagai lagi hadiah menarik menerusi aktiviti cabutan bertuah. Selain itu, acara ini juga akan dihiburkan oleh persembahan artis popular, penampilan istimewa selebriti dan juga tayangan filem secara terbuka.

    “MYPerodua Nation terbuka untuk semua orang. Nikmati pengalaman penuh bermakna bersama kami dengan pelbagai tawaran menarik serta pelbagai lagi kejutan yang bakal menanti kunjungan anda semua,” ujar pengarah urusan bahagian jualan Perodua, Datuk Dr.Zahari Husin.

    Malah ahli Perodua UFirst juga berpeluang menyertai “UFirst Warrior Challenge” dengan tawaran wang tunai sebagai hadiah. Bagi yang berminat, boleh mendaftar menerusi www.ufirst.com.my sebelum 13 Januari ini.

    Karnival MYPerodua Nation – peluang menangi Axia

    “Malah kami turut menyediakan aktiviti dan promosi istimewa buat penuntut universiti dan kolej yang ingin membeli kereta Perodua pertama mereka atau boleh menyertai Uni-Quest Challenge sebagai sebahagian daripada aktiviti promosi tahunan,” tambah Zahari lagi.

    Bagi yang berminat untuk memilik kenderaan Peroda baharu, Golden Prosperity Deals turut memberikan tawaran menarik sempena dengan promosi Tahun Baru Cina. Malah pelanggan boleh menerima rebat tunai sehingga RM3,888 bagi model Perodua terpilih. Bagi pelanggan sedia ada, turut berpeluang menerima baucer servis percuma, berserta diskaun istimewa sehingga 50% bagi alat ganti dan aksesori.

    “Semua orang dijemput untuk bersama-sama Perodua bagi memeriahkan lagi acara ini sebagai cara kita menyambut kedatangan 2017 dengan penuh keceriaan,” ujar Zahari lagi.

     
     
  • Terowong Genting Sempah ditutup mulai 10 Jan ini

    Terowong Genting Sempah ditutup mulai 10 Jan ini

    Klik untuk besarkan

    Terowong Genting Sempah akan ditutup selama 60 hari mulai 10 Januari 2017. Menurut ANIH Berhad, ia ditutup bagi menjalankan kerja-kerja penyelenggaran dalam terowong terbabit dari jam 8 pagi hingga 5 petang setiap hari.

    Sehubungan itu, laluan kenderaan dalam Terowong Genting Sempah akan ditutup selama 9 jam sehari bagi memberi laluan kepada pelaksanaan kerja berkenaan. Laluan kontra akan diaktifkan sepanjang tempoh kerja tersebut. Ia akan dibuka semula seperti biasa dari jam 6 petang hingga 7 pagi.

    Terowong Genting Sempah ditutup mulai 10 Jan ini

    Menurut ANIH lagi, walau bagaimana pun kerja-kerja penyenggaraan akan dihentikan pada cuti musim perayaan Tahun Baru Cina dan Thaipusam.

    Oleh itu, ANIH turut menasihati pengguna supaya mematuhi papan tanda serta arahan yang diberikan petugas di lokasi. Malah mesej turut dipaparkan menerusi papan tanda elektronik (VMS) di sepanjang lebuh raya bagi membolehkan pengguna membuat persediaan awal.

    Untuk sebarang maklumat, sila ikuti medium komunikasi seperti Facebook di Lebuhraya Pantai Timur dan laman Twitter di @LPTTrafik bagi mengetahui status dan keadaan terkini serta isu- isu lain di sepanjang jajaran lebuh raya KLK dan LPT 1. Pengguna juga dinasihatkan untuk mengikuti akaun laman sosial LPT untuk merancang perjalanan.

     
     
  • Tiada Silvia baharu kerana ‘tiada pelanggan’ untuk kereta sport mampu milik sedemikian – Nissan

    Tiada Silvia baharu kerana ‘tiada pelanggan’ untuk kereta sport mampu milik sedemikian – Nissan

    Nissan tidak bercadang untuk menghasilkan model generasi baharu untuk 200SX atau dikenali juga sebagai Silvia kerana kereta sport pacuan roda belakang mampu milik sedemikian agak sukar untuk dipasarkan buat masa sekarang.

    Perkara ini diberitahu sendiri oleh ketua pegawai perancangan global Nissan, Philippe Klein, kepada CarAdvice semasa berlangsungnya pameran Consumer Electronics Show (CES) 2017 yang diadakan di Las Vegas.

    Menurut Klein, syarikatnya setakat ini tidak mempunyai rancangan untuk membina apa-apa model untuk bersaing dengan Toyota 86 dan Subaru BRZ, sebaliknya lebih fokus terhadap divisi perlumbaannya iaitu Nismo untuk mewujudkan model-model talaan dari barisan model sedia ada.

    “Ia merupakan segmen yang susah. Tiada lagi pelanggan pada segmen itu. Apa yang saya percaya ialah lebih derivatif Nismo dari model-model utama, saya rasa perniagaan itu adalah lebih mampu bertahan dan meyakinkan pada sesetengah negara, kereta sport mampu milik yang di bina berasingan merupakan perkara yang sukar dilakukan,” jelas Klein.

    Tiada Silvia baharu kerana ‘tiada pelanggan’ untuk kereta sport mampu milik sedemikian – Nissan

    Sebelum ini, Nissan pernah mendedahkan model konsep IDx Freeflow dan IDx Nismo yang direka sebagai kereta sport pacuan belakang mampu-milik – jelmaan semula Datsun Bluebird 510 SSS, tetapi kemudiannya membatalkan semua rancangan untuk membina model-model sedemikian setelah melihat jumlah jualan yang tidak memberangsangkan ditunjukkan oleh Toyota 86.

    Tetapi perkara sebaliknya diambil oleh Toyota di mana mereka mengesahkan generasi seterusnya 86 akan mula dibangunkan sedikit masa lagi dan bakal muncul sekitar tahun 2018-2019 nanti, atas permintaan yang menggalakkan di berberapa negara.

    Walau bagaimanapun, model flagship Nissan GT-R masih lagi model yang dipandang berat oleh Nissan dan kini telah masuk tahun produksi yang ke sepuluh.

    “Masih lagi ada kedudukan yang berpotensi untuk kereta seperti ini, ia masih lagi sebahagian dari kami, apa akan terjadi kepada kereta ini dan bila [generasi baharu akan muncul]… saya tidak boleh beritahu anda, tetapi apabila saya melihat emosi dan maklum balas yang kami terima setiap masa berkenaan untuk membina versi evolusi kereta ini, saya percaya ini merupakan sesuatu yang kami perlu terus melabur,” kata Klein lagi.

     
     
  • PANDU UJI: Proton Ertiga Executive Plus AT – tunjuk potensi jadi kenderaan keluarga yang lebih bermanfaat

    PANDU UJI: Proton Ertiga Executive Plus AT – tunjuk potensi jadi kenderaan keluarga yang lebih bermanfaat

    Sampai ke tahap sekarang, orang ramai sepatutnya sudah tahu bahawa kerjasama strategik antara dua pengeluar berlainan jenama bukanlah satu perkara yang sepatutnya dikecam. Ia mempunyai pelbagai kebaikan kepada kedua-dua pihak dan perincian kerjasama itu boleh jadi pelbagai – namun apa yang lebih penting, persetujuan dapat dicapai.

    Lihat saja contoh pada waktu yang mencabar dalam industri automotif kini, terutamanya syarikat dari Jepun. Semakin banyak yang menjalin kerjasama seperti Toyota dan Mazda, Toyota dan Suzuki, Mazda dan Isuzu, serta pelbagai lagi, demi memastikan syarikat dapat bertahan dalam keadaan ekonomi yang sukar.

    Proton juga tidak terkecuali dalam mengambil langkah sama, dan ia bukanlah sesuatu yang baru bagi syarikat itu. Namun dalam tahun ini sahaja, Proton telah menghasilkan dua produk hasil kerjasama dengan syarikat pengeluar lain iaitu Perdana, dengan Honda dan Ertiga dengan Suzuki. Selain itu, Proton juga akan mengumumkan tiga rakan kongsi strategik sebelum pertengahan tahun ini.

    Bagi Ertiga, ia baru sahaja dilancarkan sekitar sebulan yang lalu, dan rakan sekerja, Farid Awaludin telah berpeluang memandunya di dalam litar ujian Proton. Kali ini, saya pula akan memberi pandangan tentang bagaimana pengalaman memandunya di jalan biasa, dalam perjalanan dari Shah Alam ke Sekinchan, dan berpatah balik dalam satu acara yang dianjurkan oleh Proton sendiri. Ertiga yang dipandu adalah dari varian paling tinggi, Executive Plus.

    Baca selanjutnya di sini

     
     
  • Hyundai perkenalkan skuter elektrik untuk Ioniq EV

    Hyundai perkenalkan skuter elektrik untuk Ioniq EV

    Selepas model kereta Ioniq, Hyundai tambah satu lagi kenderaan peribadi untuk dipadankan dengan model berkenaan; sebuah skuter elektrik peribadi, yang juga dipamerkan ketika Consumer Electronics Show (CES). Tidak pasti jarak yang boleh dilaluinya, tetapi skuter kecil ini boleh dilipat dan disimpan pada poket pintu depan Ioniq EV, dan penurut pengeluarnya, boleh juga di cas dalam kedudukan itu.

    Skuter elektrik Ioniq ini dilengkapi dengan lampu depan dan belakang, serta sensor pengesan kedudukan penunggang – selepas penunggang sudah selesa dan selamat di atasnya, barulah ia bersedia untuk bergerak.

    Untuk tambah kelajuan, ia dikawal melalui satu suis pada kedudukan ibu jari. Untuk memperlahankannya pula, adalah melalui sebuah pad dibahagian roda belakang skuter berkenaan – atau dengan arah bertentangan pada suis yang sama.

    Buat masa ini, skuter Ioniq ini hanyalah sebuah model konsep, memandangkan Hyundai belum ada perancangan untuk mengeluarkannya secara rasmi.

    Ia sebahagian daripada inisiatif Project Ioniq; yang setakat ini telah menyaksikan tiga model kereta Ioniq dengan sistem janaan berbeza diperkenalkan – Ioniq hibrid, plug-in dan elektrik sepenuhnya. Menjelang 2020, Hyundai mensasarkan akan memperkenalkan 28 model kenderaan “hijau” di Amerika Syarikat.

     
     
  • Honda perkenal Riding Assist di CES – motosikal boleh tegak tanpa sokongan tongkat atau penunggang

    Honda perkenal Riding Assist di CES – motosikal boleh tegak tanpa sokongan tongkat atau penunggang

    Tanpa kaki penunggang atau tongkat, mustahil motosikal akan dapat “berdiri” tegak. Untuk mencari kemungkinan penyelesaian kepada perkara ini – bagi mengurangkan kebarangkalian motosikal akan rebah pada kedudukan pegun – Honda memperkenalkan ciri Riding Assist ketika pameran Consumer Electronics Show (CES) yang sedang berlangsung di Las Vegas.

    Riding Assist berkenaan adalah sebahagian daripada Cooperative Mobility Ecosystem yang turut melibatkan model NeuV, sebuah kenderaan konsep urban elektrik. Teknologi yang digunakan pada ciri ini dibangun dari Honda UNI-CUB, sebuah kenderaan pergerakan persendirian dengan imbangan sendiri.

    Honda perkenal Riding Assist di CES – motosikal boleh tegak tanpa sokongan tongkat atau penunggang

    Menggunakan gyroscopes untuk imbangan – yang menambah kompleksiti dan berat kepada jentera berkenaan – Riding Assist mengurangkan sudut pada fork motosikal ketika ia bergerak kurang daripada lima km/j. Sebuah servo akan melakukan talaan segera pada pemegang untuk memastikan motosikal sentiasa lurus dan tegak, dengan atau tanpa penunggang.

    Walaupun masih belum pasti sama ada Riding Assist ini akan disertakan pada penggunaan sebenar, teknologi seperti ini mampu memainkan peranan di dalam pembangungan robotik untuk masa hadapan. Sementara kita menduga seperti apa lanjutan daripada perkembangan ini, tonton dahulu video khas yang disediakan oleh Honda ini.

     
     
  • Volkswagen Golf facelift R-Line kini diperincikan

    Volkswagen Golf facelift R-Line kini diperincikan

    Setelah mendedahkan perincian Volkswagen Golf facelift pada November lalu, jenama berkenaan kini memperincikan pula pakej R-Line untuk Golf Mk7 versi kemaskini tersebut.

    Jangan keliru antara Golf-R dan pakej ini kerana ia tidak menerima janakuasa seperti Golf varian tertinggi itu, tetapi hanya diberikan penampilan yang diinspirasikan dari model tersebut. Pakej ini ditawarkan untuk Golf hatchback dan Avant (wagon) serta hadir dalam dua versi iaitu pakej luaran R-Line dan pakej R-Line.

    Untuk pakej luaran, ia hadir dengan kit badan penuh R-Line yang terdiri dari bampar hadapan bersama gril bawah dengan elemen sarang lebah, kemasan liang kemasukan udara sisi berwarna hitam kilat, bampar belakang lengkap dengan diffuser, dan tip ekzos krom berbentuk trapezoid. Ia turut hadir dengan spoiler belakang berserta flap aero serta lencana R-Line diletakkan pada gril hadapan dan juga pada panel sisi.

    Untuk pakej penuh R-Line pula, kesemua ini turut disertakan dan di tambah dengan kelengkapan bahagian dalaman yang terdiri dari tempat duduk sport R-Line dengan rekaan “Carbon Flag/San Remo” atau pilihan upholsteri kulit “Vienna” dengan kemasan Black-Crystal Grey, roda stereng sport pelbagai fungsi balutan kulit dengan jahitan benang kontras serta sulaman logo R-Line dan juga panel bumbung berwarna hitam.

    Jahitan benang kontras turut diberikan pada pelindung tuil gear dan karpet lantai, manakala panel pintu, pedal dan perehat kaki diberikan kemasan keluli tahan karat. Logo R-Line juga diberikan pada skrin pemula.

    Pelbagai rim aloi berbeza boleh dipilih oleh pembeli iaitu rim “Sebring” berdiameter 17- dan 18-inci, rim “Singapore” berdiameter 17-inci serta rim “Marseille” berdiameter 18-inci.

    GALERI: Volkswagen Golf Mk7 facelift R-Line

     
     
  • Yamaha MT-07 diperkenalkan dalam dua warna baharu

    Yamaha MT-07 diperkenalkan dalam dua warna baharu

    Masuk ke tahun 2017 ini, Hong Leong Yamaha cuba memberikan kesegaran pada model MT-07 dengan menawarkan dua warna baharu yang digelar Night Fluo dan Yamaha Blue. Harganya pula meningkat sebanyak RM1,499 berbanding sebelum ini, menjadi RM36,795.78 termasuk GST, tanpa insurans.

    Spesifikasi lain MT-07 ini masih lagi dikekalkan iaitu enjin dua silinder selari 689 cc DOHC yang berkuasa 73.7 hp pada 9,000 rpm dan tork 68 Nm pada 6,500 rpm, dan disampaikan kepada tayar melalui kotak gear enam kelajuan.

    Berat keseluruhan MT-07 adalah 179 kg, dan ia dilengkapi dengan brek cakera 282 mm berkembar di hadapan, dan cakera tunggal 245 mm di belakang. Tangki minyak yang disediakan pula boleh memuatkan 14 liter bahan api dan tempat duduknya mempunyai ketinggian 805 mm.

     
     
  • Sistem lampu digital Mercedes-Benz guna dua juta cermin pada lampu hadapan – mampu pancarkan imej

    Sistem lampu digital Mercedes-Benz guna dua juta cermin pada lampu hadapan – mampu pancarkan imej

    Pada pameran Consumer Electronics Show (CES) 2017 yang diadakan di Las Vegas, Mercedes-Benz telah mendedahkan sistem lampu digital berdefinasi tinggi, atau secara teorinya boleh digunakan sebagai projektor yang membolehkan anda menonton filem apabila dipancarkan ke dinding.

    Teknologi baharu ini menggunakan sejuta cermin mikro pada setiap sebelah lampu hadapan bagi memberikan pancaran cahaya yang lebih selamat untuk pemandu, pengguna jalan raya lain serta pejalan kaki. Menurut ahli lembaga Daimler AG, penyelidikan kumpulan dan pembangunan Mercedes-Benz Cars, Ola Kallenius, lampu kini menjadi antara alat yang paling sofistikated pada kenderaan untuk melihat apa yang terjadi dan menjadikan pemanduan lebih selamat.

    “Kami akan memperkenalkan teknologi baharu dalam masa berberapa tahun akan datang digelar Lampu Digital. Setiap unit lampu – jadi, pada bahagian hadapan, ada dua lampu utama – akan mempunyai sejuta cermin kecil, piksel, yang boleh menghasilkan lebih atau kurang apa jua spektrum warna pada jarak yang sangat jauh, yang boleh anda fikirkan,” kata Kallenius.

    Beliau juga menambah, “ia boleh menyalakan sesuatu, dan boleh tidak memancarkan cahaya ke muka pejalan kaki di tepi jalan pada waktu malam secara individu – tetapi masih menyuluh bahagian lain. Jadi anda tidak akan silau kerana lampu tersebut, tetapi bahagian lain disekeliling anda tetap disuluh.”

    Selain dari menyuluh cahaya, lampu ini turut boleh memaparkan imej. Menurut Kallenius lagi, ia boleh memancarkan logo Mercedes-Benz Star pada jalan, atau memancarkan imej lintasan belang pada permukaan jalan sebagai isyarat kepada pejalan kaki bahawa mereka selamat untuk melintas. “Jika TV anda rosak, anda juga boleh menggunakan lampu ini sebagai projektor di dalam garaj untuk menonton filem,” ujar beliau lagi.

    Tegas Kallenius lagi, ini merupakan contoh di mana Mercedes-Benz sedang mendahului dalam menggunakan teknologi untuk menjadikan keseluruhan sistem pengangkutan lebih selamat dan lebih pintar.

    Sistem ini berfungsi menggunakan algoritma berdasarkan informasi terperinci pada sekeliling kereta tersebut dan “mengira nilai kecerahan pada masa sebenar untuk setiap satu dari lebih dua juta piksel.” Dynamisme dan ketepatan tersebut memberikan sistem pintar ini kemungkinan yang hampir tidak terkira untuk memberikan pengagihan cahaya yang ideal dan beresolusi tinggi, sesuai dengan keadaan sekitar secara sempurna.

    Lampu ini juga boleh digunakan untuk membantu sistem navigasi GPS dengan cara memancarkan arahan arah tuju terus kepermukaan jalan. Ketika berhadapan pada permukaan jalan yang tidak elok, misalnya pada jalan yang sedang di baiki, lampu ini juga boleh memberikan panduan kepada pemandu untuk meredahnya pada permukaan terbaik. Ia juga boleh memberikan amaran kepada pemandu untuk memberitahu keadaan permukaan jalan jika terdapat ais dengan memancarkan imej snowflake pada jalan raya.

     
     
  • Volkswagen Atlas dengan pakej R-Line didedahkan

    Volkswagen Atlas dengan pakej R-Line didedahkan

    Volkswagen telah mendedahkan pakej R-Line bagi model Atlas 2018. Pengeluar yang berpangkalan di Wolfsburg menyatakan kemasan baharu bagi pakej berkenaan menyerlahkan lagi imej sporty, baik luaran mahupun dalaman, dan memberikannya penampilan yang lebih dinamik.

    Merupakan tambahan kepada kemasan bagi pakej Atlas SE dan SEL, R-Line turut menambah penggunaan rim aloi 201 inci dengan jejari berkembar, penjenamaan R-Line, bampar depan dan belakang khusus, dengan saluran masukan udara di depan serta diffuser di bahagian belakang, dan juka kit badan.

    Di dalam, pakej ini menempatkan logo R-Line sebagai “penyambut tetamu”; terpampang pada skrin Modular Infotainment Platform (MIB II) sebaik unit berkenaan dihidupkan. Ciri lain termasuk stereng R-Line dan pelindung pedal yang diperbuat daripada besi tahan karat.

    Ia bagaimanapun hanya melibatkan kemasan dan trim bagi R-Line. Oleh itu, sama seperti penawran Atlas sebelum ini, ia ditawarkan dengan dua pilihan enjin; 2.0 liter TSI dengan 235 hp atau 3.6 liter V6 dengan 276 hp – dan dipadankan dengan kotak gear automatik lapan-kelajuan. Sistem 4Motion AWD Volkswagen pula disertakan bagi model V6. Atlas akan mula dijual tahun ini di Amerika Syarikat, dengan pakej R-Line menyusul kemudiannya.

     
     
  • Kawasaki Versys 250 semakin hampir tiba di M’sia

    Kawasaki Versys 250 semakin hampir tiba di M’sia

    Semasa majlis pelancaran kempen keselamatan jalan raya Kawasaki di Plaza Tol Sg Besi, kami sempat mendekati seorang wakil Kawasaki Malaysia untuk bertanyakan tentang ketibaan model hangat terbaru iaitu Versys 250 untuk pasaran Malaysia. Ia adalah sebuah model yang ditunggu-tunggu kerana mempunyai kapasiti enjin kecil, tetapi dilengkapi dengan ciri-ciri motosikal dual-purpose.

    Jawapan beliau,”pelancaran Kawasaki Versys 250 sebenarnya sudah begitu hampir untuk pasaran Malaysia. Saya tidak boleh memberi tarikh tepat, tetapi ia memang sangat hampir. Namun, meskipun sudah dilancarkan nanti, ia boleh mengambil sedikit masa sebelum boleh tiba kepada pelanggan.”

    Versys 250 sudah pun dilancarkan di Indonesia Disember yang lalu, dan spesifikasi motosikal untuk pasaran Malaysia boleh jadi sama dengan unit ini. Ia dikuasakan oleh enjin 249 cc dua siinder selari, DOHC lapan injap dengan sejukan cecair dan berkemungkinan besar diasaskan daripada enjin sama yang digunakan pada model Ninja 250R; dengan janaan kuasa sekitar 29.9 hp pada 10,500 rpm dan 21.7 Nm tork pada 10,000 rpm.

    Kawasaki Versys 250 semakin hampir tiba di M’sia

    Enjin ini mempunyai sistem suntikan bahan api elektronik (EFI) dan dipadankan bersama transmisi enam kelajuan yang menggunakan klac jenis slipper. Rim pula bersaiz 19 inci di depan, manakala 17 inci di belakang, manakala brek menggunakan cakera tunggal 290 mm di bahagian depan dan 220 mm di belakang, dengan kaliper hidraulik Nissin. Kapasiti tangki minyak yang ada ialah 17 liter.

    Di Indonesia, Versys 250 dijual pada harga 61,900,000 rupiah (RM20,397) untuk varian City dan 72,700,000 rupiah (RM23,956) untuk varian Tourer. India juga menjangka ketibaan Versys 250 di pasaran mereka dengan harga jangkaan antara 300,000 rupee (RM19,782) dan 500,000 rupee (RM32,970). Saingan paling dekat Versys 250 adalah KTM Duke 390 Adventure dan BMW G310 GS. Di Malaysia, semua motosikal ini masih belum tiba lagi.

    GALERI: Kawasaki Versys 250

     
     
  • Proton Iriz dikesan di Indonesia – bakal dilancarkan?

    Proton Iriz dikesan di Indonesia –  bakal dilancarkan?

    Proton telah lama memperkatakan akan mengekport Iriz, namun setakat ini, masih tiada perkembangan mengenainya. Walau bagaimana pun, baru-baru ini, portal automotif Indonesia AutoNetMagz.com telah menyiarkan foto hatchback segmen-B ini yang dikesan di Jakarta, seakan memberikan petanda bahawa kebarangkalian ia akan dilancarkan di negara tersebut.

    Unit Atlantic Blue dikesan di sebuah hotel dengan lencananya yang ditutup, namun bahagian lain terdedah begitu sahaja. Berdasarkan foto ini, ia adalah model asas 1.3 Standard manual, yang dikesan menerusi cermin pintu dan pemegang berwarna hitam, serta kurang dilengkapi dengan kit badan, lampu kabus hadapan dan bilah pengelap cermin belakang.

    Bahagian dalamannya juga standard sahaja, dengan dilengkapi unit utama berserta Bluetooth dan roda stereng tanpa pelbagai-fungsi, serta tombol gear yang dipadankan dengan model spesifikasi Malaysia telah digantikan dengan elemen yang sama pada Savvy dan Satria Neo.

    Di bawah bonetnya, ia pasti dijanakan oleh enjin 1.3 liter VVT (94 gp/120 Nm) yang digabungkan bersama transmisi manual lima-kelajuan, seperti model dalam pasaran kita. Dijangkakan spesifikasi dan elemen yang bakal ditampilkan lebih kurang sama dengan apa yang kita ada, tetapi terdapat perkhabaran bahawa pasaran Indonesia mungkin bakal menerima model 1.3 Premium CVT yang tidak terdapat di negara kita.

    Proton di Indonesia tidak begitu aktif sejak kebelakangan ini, model terakhir yang dilancarkan di sana buat setakat ini ialah Suprima S pada tahun 2013. Iriz pernah dijangka akan dilancarkan pada Mei 2015, namun terpaksa ditunda kerana menantikan kelulusannya pada Oktober. Dan adakah Iriz akan benar-benarkan dilancarkan di pasaran Indonesia? Tunggu dan lihat.

     
     
  • Proton bakal terima tawaran dari tiga pengeluar automotif asing sebagai rakan strategik luar

    Proton bakal terima tawaran dari tiga pengeluar automotif asing sebagai rakan strategik luar

    CEO Proton Datuk Ahmad Fuaad Kenali sebelum ini telah menyatakan syarikatnya kini telah menyenarai pendek tiga pengeluar automotif asing yang bakal dipilih sebagai rakan strategik luarnya, tetapi kesemua calon tersebut masih lagi belum lagi diumumkan dan dijangka bakal lengkap pada suku pertama tahun ini.

    Namun, dalam laporan New Straits Times, tiga calon yang berkemungkinan dipilih tersebut adalah Geely, Groupe PSA dan juga Renault. Calon-calon ini dijangka bakal memberikan sokongan dalam aspek teknologi serta skala ekonomi, dan sebagai pulangan, mereka akan diberikan sebahagian kepentingan di dalam Proton.

    Geely merupakan pengeluar dari China yang kini turut mengusai jenama automotif dari Sweden iaitu Volvo. Group PSA pula merupakan kumpulan automotif dari Perancis yang di anggotai oleh Peugeot dan Citroen, manakala Renault pula merupakan sebahagian dari Pakatan Renault-Nissan yang kini merupakan kumpulan automotif ketiga terbesar di dunia setelah mengambil alih 34% saham dan seterusnya memiliki Mitsubishi Motors Corporation.

    Pencarian rakan strategik dari luar yang dilakukan Proton ini adalah sebagai memenuhi syarat kerajaan ketika meluluskan pinjaman mudah bernilai 1.5 bilion tahun lalu. Walau bagaimanapun, Datuk Fuaad dilaporkan telah membayangkan tarikh akhir pencarian tersebut yang dijangka pada Mac ini perlu ditunda, mungkin hingga ke Jun 2017. Menurut pengarah urusan DRB-Hicom Datuk Seri Syed Faisal Albar pula, syarikatnya berharap pemilihan rakan strategik luar Proton ini akan lengkap pada separuh pertama tahun ini.

     
     
  • Kawasaki adakan kempen keselamatan jalan raya di Plaza Tol Sg Besi – sasarkan pengguna motosikal

    Kawasaki adakan kempen keselamatan jalan raya di Plaza Tol Sg Besi – sasarkan pengguna motosikal

    Bersempena dengan musim perayaan Tahun Baru Cina yang akan tiba tidak lama lagi, Kawasaki Motors Malaysia mengadakan satu kempen keselamatan jalan raya di Plaza Tol Sg Besi Arah Selatan, dengan tema “jelas dilihat, selamat tunggangan.” Masa ini dianggap sesuai kerana trafik di atas jalan raya bertambah apabila orang ramai ingin balik ke kampung atau bercuti.

    Dalam kempen yang dijalankan selama satu hari ini, Kawasaki telah menyediakan kawasan pemeriksaan motosikal, di mana mekanik terlatih Kawasaki akan memeriksa 16 bahagian motosikal, tidak kira jenama. Penunggang yang lalu di kawasan Plaza Tol Sg Besi Arah Selatan boleh berhenti untuk mendapatkan khidmat ini secara percuma. Turut diberikan adalah helmet baru dan jaket berwarna terang.

    Ini adalah kali kedua Kawasaki Motors Malaysia mengadakan kempen sebegini, di tempat sama, dan penunggang motosikal sentiasa diberi perhatian kerana golongan ini menyumbang kepada 60 peratus daripada jumlah kemalangan yang berlaku di atas jalan raya.

    “Objektif utama kempen dan tema bagi tahun ini adalah memberi kesedaran tentang kepentingan penyelenggaraan motosikal yang teratur dan pakaian cerah yang dapat memastikan penunggang sentiasa dapat dilihat atas jalan raya,”  kata pengerusi eksekutif Kawasaki Motors Malaysia, Ahmad Faez Tan Sri Yahya.

     
     
  • Honda City 2017 facelift tayang teaser hadapan pula

    Pada hujung Disember lalu, Honda Thailand menayangkan teaser bagi Honda City 2017, menampakkan imej yang agak mirip dengan Civic 2016. Kali ini, ada satu lagi teaser disebarkan, dengan memilih untuk mendedahkan bahagian hadapannya.

    Seperti yang didedahkan menerusi teaser sebelum ini, City akan menerima kluster lampu hadapan baharu dengan lampu posisi LED berbentuk-L. Malah ia turut menampilkan jaluran krom berhampiran sudut atas merintangi sehingga ke gril nipis Solid Wing Face, dengan corak sarang lebah.

    Selain itu, ia turut memaparkan lampu kabus yang direka semula serta corong bawah yang lebih lebar. Malah saluran hud City facelift ini juga kelihatan lebih nipis berbanding sebelum ini, sementara bahagian profil dan lampu belakang seakan tiada perubahan.

    Honda City 2017 facelift akan dilancarkan di Thailand pada 12 Januari ini dan dijangka masih dijana oleh enjin 1.5 liter SOHC i-VTEC, dipadankan sama ada dengan kotak gear lima-kelajuan manual atau CVT teknologi Earth Dreams. Nantikan perincian lanjutnya pada hari ia dilancarkan.

    GALERI: Model semasa Honda City

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.10
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.85 (-0.05)
EURO 5 B7 RM3.05 (-0.05)
Last Updated Aug 21, 2025