Walaupun sudah berada dalam industri selama 18 tahun, Victory Motorcycles nampaknya tidak dapat bertahan dengan keadaan pasaran yang tidak begitu memberangsangkan sekarang, dan ia akhirnya diumumkan secara rasmi ditutup. Walaubagaimanapun, syarikat itu akan membantu pengedar (di Malaysia diwakili Naza) untuk menghabiskan stok yang ada dan menyediakan sokongan jaminan dan alat ganti selama 10 tahun.
“Ini adalah keputusan yang sangat sukar bagi saya, pasukan dan pengarah Polaris. Kami sudah melabur bukan sahaja sumber-sumber, malah juga hati dan jiwa untuk membangunkan jenama Victory, dan kami bangga dengan apa yang telah dicapai,” kata pengerusi dan ketua pegawai eksekutif Polaris, Scott Wine.
Dengan penutupan ini, Polaris bercadang mahu memberi fokus kepada jenama Indian Motorcycle dan Solaris yang mempunyai produk tiga tayar. Kedua-dua jenama itu sememangnya sudah berada di bawah kumpulan Polaris sebelum ini.
“Langkah ini dapat membantu kami mengoptimakan sumber yang ada kepada dua jenama yang premium dan berprestasi tinggi iaitu Indian Motorcycle dan Slingshot yang cukup inovatif. Dengan fokus yang lebih tertumpu ini juga kami dapat mempercepatkan kenaikan dua jenama ini,” tambah Wine.
BMW Group Malaysia telah mengumumkan rekod jualan yang dicatatkan pada tahun lalu, yang menyaksikan peningkatan sebanyak 16% berbanding 2015. Di mana pada tahun 2016, syarikat ini telah menyerahkan sejumlah 10,906 unit kenderaan BMW, MINI dan BMW Motorrad kepada para pelanggan di negara ini, berbanding hanya 9,368 unit pada tahun sebelumnya.
Pencapaian yang memecahkan rekod ini adalah selari dengan pencapaian BMW Group Malaysia, yang mencapai jualan tertinggi dalam sejarah pada 2016 dengan jualan sebanyak 2,367,603 kenderaan di seluruh dunia.
Secara terperinci, jenama BMW mencatatkan rekod pertumbuhan iaitu sebanyak 20% pada 2016, dengan penyerahan 9,000 kenderaan BMW daripada 7,515 kenderaan pada 2015. Jenama MINI turut merekodkan pertumbuhan sebanyak 19%, dengan serahan 902 kenderaan MINI daripada 756 pada tahun sebelumnya, sementara BMW Motorrad menyerahkan 1,004 motosikal pada 2016.
Han Sang, Pengarah Urusan dan CEO BMW Group Malaysia berkata, “Sokongan yang berterusan dan semakin meningkat daripada pelanggan dan jaringan pusat edaran di sini merupakan faktor utama bagi pencapaian terbaik kami pada 2016. Bagi pihak BMW Group Malaysia, saya ingin menyampaikan setinggi-tinggi penghargaan kepada pelanggan dan pengedar kami di sini kerana telah membantu kami dalam pencapaian ini pada tahun yang begitu mencabar.”
Untuk tahun 2017 ini, BMW Group Malaysia berhasrat untuk memacu teknologi inovatif serta tawaran perkhidmatan premiumnya bagi industri automotif yang bukan hanya akan meningkatkan keselesaan, kemudahan dan kemewahan, tetapi juga menjamin untuk menambahkan lagi Keseronokan Pemanduan Sebenar dan janji premium BMW.
Langkah ini merupakan persediaan bagi inisiatif hab eksport untuk BMW 3 Series, BMW 5 Series dan BMW 7 Series ke Vietnam dan Filipina pada tahun 2018 di mana pengeluar kenderaan premium tersebut akan dapat menyaksikan peningkatan kepakaran dalam keupayaan pemasangan tempatan daripada lebih 7,000 kenderaan pada tahun 2016 kepada lebih 10,000 kenderaan pada tahun 2017 dengan pelaburan lebih RM 10 juta.
Malah syarikat ini juga akan membuka Pusat Edaran Alat Ganti Serantau di Zon Perdagangan Bebas di Lapangan Terbang Antarabangsa Senai di Iskandar Malaysia. Ia akan dibina di kawasan seluas lebih 45,000 meter persegi dengan pelaburan sejumlah lebih RM 130 juta, sekaligus akan menjadi salah sebuah pusat BMW terbesar di rantau ini.
“Kami akan meneruskan momentum yang telah diwujudkan di sini selama ini di mana kami akan memfokuskan kepada perkenalan produk, inovasi serta perkhidmatan premium terkini kepada pelanggan kami yang akan mendahului dan memacu industri ini,” kata Han.
Oleh itu, BMW Group Malaysia akan melaksanakan program Voice to the Customer serta Road Side Assistant (RSA) yang terbaharu pada 2017. Berdasarkan konsep piawaian global NET Promoter Score (NPS), Voice to the Customer akan menjadi pengukur tahap kepuasan pelanggan bagi peringkat yang seterusnya dalam industri.
Sementara program RSA yang baharu ini akan menjadi penawaran perkhidmatan yang paling komprehensif dalam industri automotif Malaysia bagi penjagaan pelanggan, ketenangan fikiran dan penyenggaraan semasa di atas jalan.
“Indeks kepuasan pelanggan kami merupakan yang tertinggi dalam industri sepanjang lima tahun lalu. Bagaimanapun, sebagai langkah untuk menjadi lebih relevan dalam segmen premium yang sering berubah, kami akan melaksanakan piawaian ukuran global yang baru serta program penjagaan harian premium di atas jalan untuk memastikan pelanggan kami di sini mendapat yang terbaik.” kata Han.
Satu lagi varian ditambah kepada barisan kenderaan GT oleh Mercedes-AMG dengan pengenalan GT C di Detroit. Model ini adalah susulan kepada GT C Coupe yang dipertontonkan di Paris tahun lepas, dan menjadikan jumlah keseluruhan varian GT enam buah (GT, GT Roadster, GT S, GT C, GT C Roadster dan GT R). Jika anda mengambil kira GT 3 Racer, ia menjadi tujuh.
AMG GTC terletak di antara model GT S dan GT R, dan ditawarkan secara istimewa sebagai model Edition 50 yang menandakan ulang tahun ke 50 AMG tahun ini. Ia ditawarkan dalam dua warna eksklusif iaitu designo graphite grey magno dan designo cashmere white magno.
Elemen penggayaan yang digunakan termasuk kemasan krom hitam pada side skirt, sirip di laluan udara keluar tepi pada sayap hadapan, diffuser belakang dan muncung ekzos.
Di bahagian dalam pula, terdapat skema warna hitam dan perak, dan datang standard dengan pakej AMG Interior Night. Tempat duduk dan stereng GT C dibalut dengan kulit Nappa warna perak dan hitam mutiara, bersama jahitan berbentuk berlian. Pada penyandar kepala pula terdapat sulaman GT Edition 50 manakala tali pinggang keledar menggunakan warna perak.
Seperti juga varian roadster, GT C menggunakan pelbagai barangan teknikal daripada model GT R, yang menjadikannya duduk lebar, gagah dan mempunyai rim yang besar. GT C lebih lebar 57 mm berbanding GT asas.
Seperti juga GT C Roadster, enjin 4.0 liter V8 Biturbo M178 yang digunakan mampu menghasilkan 549 hp pada 5,750 hingga 6,750 rpm dan 680 Nm pada 1,900 hingga 5,500 rpm. Prestasi pecutan juga menjadi sama, iaitu 0-100 km/j dalam masa 3.7 saat dan laju maksimum 317 km/j.
Dalam keadaan standard, kereta ini datang lengkap dengan stereng gandar belakang aktif seperti AMG GT R dan LSD elektronik, yang disepadukan dalam kotak transmisi yang kompak. Juga diberi adalah suspensi sport AMG Ride Control.
Semasa di Detroit juga, pengeluar dari Jerman ini mendedahkan bahawa GT dan GT S yang diperbaharui akan menggunakan gril melintang AMG Panamericana, bersama bahagian bawah bampar hadapan, yang seterusnya menjadikan kereta ini nampak lebar, bersama ruang kemasukan udara yang lebih besar. Semua varian GT kini menggunakan sistem pengurusan udara aktif Airpanel secara standard.
Jumlah kuasa juga ditambah, kini menjadi 469 hp dan 630 Nm (13 hp dan 30 Nm lebih), manakala GT S 2017 kini mampu mengeluarkan 514 hp dan 670 Nm (pertambahan 11 hp dan 20 Nm daripada model sebelum ini).
Sebagai tambahan kepada pembaikan aerodinamik, peningkatan kuasa dan stereng gandar belakang aktif, GT juga diberikan pelbagai tambahan kelengkapan. Aksesori tambahan pilihan juga ditambah, termasuk pakej krom AMG Exterior Chrome dan pakej AMG Interior Night daripada GT R. Pemilik juga boleh memilih set rim baharu, pakej AMG Dynamic Plus untuk model GT asas dan stereng gandar belakang aktif untuk GT S.
Menjadikan North American International Auto Show (NAIAS) 2017 sebagai medan memperkenalkan model baharu atau konsep akan datang, pastinya menjadi rebutan oleh kebanyakan pengeluar kenderaan sedunia. Ini termasuklah Audi yang mengambil kesempatan itu untuk memperkenalkan Audi SQ5 baharu, versi SUV prestasi tinggi, yang kini hadir dengan generasi kedua.
Kini ia ditampilkan dengan enjin 3.0 liter pengecas turbo V6 (dari S4 dan S5), yang mampu memberikan kuasa sehingga 354 hp dan tork 500 Nm, menggantikan penjana kuasa terdahulu iaitu 3.0 liter supercharged V6 (354 hp/470 Nm). Audi berkata dengan penjana kuasa baharu ini, ia adalah 14 kg lebih ringan berbanding sebelum ini dan menampilkan twin-scroll turbo, yang diletakkan di antara blok enjin V dengan bukaan sudut 90-darjah untuk binaan yang lebih padat dan laluan aliran gas yang lebih pendek.
Kuasa disalurkan menerusi transmisi automatik tiptronic lapan-kelajuan dan sistem pacuan semua-roda quattro. Bagi prestasinya, ia boleh mencatatkan 5.4 saat bagi pacuan 0-100 km/j (0.4 saat lebih pantas berbanding sebelum ini), dengan kelajuan maksimum sehingga 250 km/j.
Berkenaan dengan dinamik, SQ5 ini dilengkapi dengan suspensi udara adaptif dan sport differential yang mengedarkan tork antara roda belakang dengan dua fasa superposition, dan boleh menyalurkan kesemuanya pada satu roda sekiranya perlu.
Selain itu, ia turut menampilkan sistem stereng dinamik, dengan jumlah nisbah gear pelbagai yang berganting pada kelajuan kenderaan dan sudut stereng. Dengan sistem ini, bersama kadar respons bagi enjin dan transmisi, ia dikawal oleh sistem pemilihan pemanduan Audi.
Bagi mengelakkan tiada yang terkeliru di antara SQ5 dengan model standard, SUV ini didatangkan dengan bampar hadpaan dan belakang yang sporty, di samping corong pengambilan udara spesifik-S, peredam, dua kepingan gril melintang, corong paip ekzos dan logo spesifik-S. Di bahagian dalamnya, ia turut disertakan dengan tempat duduk sport S dengan Alcantara/kulit, yang boleh dipertingkatkan dengan kulit Nappa. Logo S juga dipaparkan pada ambang pintu iluminasi dan roda stereng.
Selain itu, ia turut disertakan dengan navigasi MMI, MMI all-in-touch dan paparan 8.3-inci. Serta mod paparan sport eksklusif buat SQ5 untuk Kokpit Maya Audi, Apple CarPlay dan Android Auto, sistem bunyi Bang & Olufsen, paparan utama pilihan, bersama set bantuan pemanduan dan keselamatan komprehensif.
Static photo
Colour: Misano Red
Static photo Colour: Misano Red
Static photo Colour: Misano Red
Static photo Colour: Misano Red
Static photo Colour: Misano Red
Static photo Colour: Misano Red
Static photo Colour: Misano Red
Cockpit
quattro drivetrain
Five link front suspension
Five link rear suspension with quattro sport diffential
Motosikal siri GS keluaran BMW sentiasa dipandang tinggi dalam dunia penjelajahan dua roda, walaubagaimanapun, ia mempunyai saiz yang adakalanya boleh menggerunkan sesetengah penunggang, terutamanya model R1200 GS. Oleh itu, BMW Motorrad bekerjasama dengan pengeluar akesesori motosikal, Touratech untuk menghasilkan R1200 GS Rambler.
Seperti yang boleh jelas dilihat, motosikal ini lebih kurus, dengan tangki minyak 33 liter yang asalnya ada pada GS diganti dengan uit 18 liter seperti motosikal motocross enduro. Ini, ditambah dengan penggunaan pelindung yang dibina daripada aluminium serba ringan dan brek cakera tunggal di hadapan, menjadikan R1200 GS Rambler sekitar 50 kg lebih ringan daripada GS biasa. Sistem ekzos pula menggunakan unit titanium.
Enjin yang digunakan adalah diambil daripada model R1200 R, iaitu unit dua silinder boxer 1,170 cc, dan berkemampuan 125 hp dan 125 Nm tork. Bahagian lengan ayun dan shaft yang menyampaikan kuasa ke roda belakang pula diambil daripada model R1200 GS. Turut diganti adalah suspensi jenis Telelever, dan kini menggunakan fork biasa di depan.
Motosikal ini masih berada dalam tahap prototaip, tetapi menurut wakil Touratech, ia sudah bersedia untuk produksi. Harganya masih belum dikeluarkan, namun boleh dijangka agak tinggi berdasarkan kualiti baik yang sering ditunjukkan oleh pengeluar aksesori ini. Di Malaysia, R1200 GS dijual pada harga RM104,900 manakala R1200 GS Adventure RM114,900.
Sebagai sebahagian Inisiatif Teknologi Elektrik Honda, jenama berkenaan mengumumkan akan melancarkan model yang direka khas dijana oleh unit janakuasa hibrid sahaja – seperti Honda Insight sebelum ini. Model yang belum lagi diberi nama tersebut bakal dibangunkan dan diproduksi serta dipasarkan di Amerika, dan akan dijana oleh sistem hibrid yang diambil dari Accord Hybrid sedia ada.
Accord Hybrid menggunakan enjin petrol 2.0 liter empat-silinder i-VTEC kitaran-Atkinson digabungkan dengan dua motor elektrik sistem hibrid i-MMD. Kuasa dihantar ke roda hadapan menerusi kotak gear E-CVT dengan empat mod – “Hybrid Drive”, “Engine Drive”, “EV Drive”, “Sport Drive” yang memanipulasi konfigurasi kuasa dari enjin dan motor elektrik sama ada berfungsi sebagai enjin petrol sepenuhnya, motor elektrik sepenuhnya atau gabungan kedua-dua sistem, bergantung pada mod dan situasi.
“Separuh dari model-model honda baharu di Amerika Syarikat dalam masa dua tahun ini merupakan kenderaan yang diberikan teknologi elektrik. Dalam jangka masa panjang, kenderaan dengan teknologi elektrik merupakan perkara yang paling penting dalam masa depan mobiliti tanpa-karbon,” kata Takahiro Hachigo, presiden dan CEO Honda Motor.
Honda turut mengumumkan akan mengembangkan sistem hibrid i-MMD dua-motor tersebut kepada barisan model trak ringannya (trak ringan di Amerika turut meliputi model-model crossover, SUV, van mini selain dari trak pikap) pada masa hadapan. Walau bagaimanapun, Honda belum mengumumkan model mana yang akan diberikan unit janakuasa tersebut, tetapi boleh dijangka CR-V dan Odyssey baharu mungkin akan dipilih.
Dalam masa yang sama, jenama berkenaan turut mengesahkan Honda Clarity versi elektrik sepenuhnya dan hibrid akan tampil buat pertama kali tahun ini, setelah diumumkan tahun lalu. Kedua-dua versi berkenaan akan dijual bersama Clarity versi Fuel Cell, yang kini ditawarkan di berberapa pengedar Honda di California.
Selain Nissan Rogue Sport, Nissan turut memperkenalkan Vmotion 2.0, yang berupakan sebuah model konsep, di North American International Auto Show 2017.
Ia turut menyaksikan keseriusan syarikat ini untuk menghasilkan rekaan sedan masa hadapan yang dilengkapi dengan teknologi mobiliti pintar. Malahan turut menggabungkan kehebatan gaya, rekaan yang penuh emosi, keselesaan, ruang dalaman yang memuaskan serta teknologi terkini.
Buat setakat ini, Nissan tidak mendedahkan lebih lanjut mengenai bahagian mekanikal bagi Vmotion 2.0 ini. Namun bagi dimensinya, ia berukuran sepanjang 4,860 mm, dengan kelebaran 1,890 mm (tanpa cermin pintu), setinggi 1,380 mm dan jarak roda 2,850 mm.
Model konsep ini memiliki karakter umpama “bumbung terapung”, dengan garisan dari tiang-A mengunjur ke bahagian belakang. Kekemasan unik karbon dengan sentuhan perak yang agak nipis turut menghiasi garisan bumbung. Nissan turut mengetengahkan konsep rekaan “Geometri Emosi” bagi memberikan kesan yang lebih tersendiri pada permukaan badan kereta.
Ia turut menampilkan lampu utama LED nipis dengan panel bumbung hitam serta gril hadapan yang nampak garang. Manakala bahagian belakang turut memberikan kesan kekuatan yang tersendiri, termasuk padanan lampu belakang ala-boomerang yang menampakkan sedikit kelebaran kenderaan ini. Mirip dengan grilnya, bahagian peresap belakang juga akan bercahaya apabila kereta dioperasikan dalam mod ProPILOT.
“Pemilihan warna tembaga dibuat kerana kini ia seakan menjadi trend dalam kebanyakan industri, termasuk fesyen, rekaan produk dan rekaan dalaman. Jadi kami ingin memperkenalkan bebayang tembaga ini dengan dicampur bersama beberapa material logam termasuk sutera perak dan krom,” ujar Shiro Nakamura, timbalan presiden kanan dan ketua pegawai kreatif Nissan Motor Co.,Ltd.
Untuk bahagian kabinnya, ia turut mementingkan keluasan. Malahan turut ditampilkan tempat duduk yang cukup selesa dan menyokong badan, dibaluti kulit upholstery dengan lapik yang unik. Bagi papan pemukanya, ia menterjemahkan tema ‘Gliding Wing Design’ dengan menyambungkan panel instrumen bersama sistem infotainment untuk pemandu dan penumpang.
Roda sterengnya pula direka mengikut pemandu yang mahu melihat paparan informasi tanpa sebarang gangguan, dengan meningkatkan pengalaman graphic user interface (GUI). Paparan tunggal menegak disambungkan pada GUA bagi ProPILOT. Untuk penumpang di tempat duduk belakang, disediakan skrin kecil yang diletakkan pada konsol tengah, yang boleh disambungkan terus pada paparan utama di hadapan.
Material yang digunakan pada bahagian permukaan dalaman menampakkan ciri mewah dan sofistikated, termasuk pemilihan motif kayuan Zebra pada bahagian lantai dan permukaan pintu.
Nissan Vmotion 2.0 ini turut menampilkan pembesar suara Bose UltraNearfield™ termasuk teknologi pengurusan bunyi baharu. Ia boleh mengawal arah dan jarak bunyi dengan menjana bunyi 360-darjah di sekeliling pemandu. Malah ia juga mampu memberikan bunyi yang lebih jelas.
Ia turut menampilkan Pemanduan Pintar Nissan, iaitu satu daripada tiga teras utama Mobiliti Pintar Nissan, ini termasuklah kuasa pintar dan integrasi pintar. Pemanduan Pintar NIssan memberikan pengalaman pemanduan yang lebih selesa dan selamat menerusi teknologi termasuk ProPILOT yang membolehkan kenderaan dipadu dalam mod autonomous bukan setakat di lebuhraya dan keadaan trafik yang sesak, bahkan di jalan urban termasuk di bandar.
Honda secara rasminya telah memperkenalkan Odyssey generasi kelima semasa North American International Auto Show (NAIAS) di Detroit, di mana menyaksikan kenderaan ini direka semula oleh pusat penyelidikan dan pembangunan Honda di Amerika Utara supaya dapat “memastikan semua ahli keluarga gembira, tidak kira posisi tempat duduk, dan destinasinya.”
Di bawah hud kenderaan ini terdapat enjin V6 3.5 liter i-VTEC suntikan terus, dengan ciri Variable Cylinder Management, mampu menghasilkan sehingga 280 hp, iaitu 32 hp lebih banyak berbanding model Odyssey sebelum ini.
Transmisi automatik enam kelajuan yang digunakan sebelum ini juga telah diganti dengan sama ada kotak gear automatik sembilan kelajuan daripada ZF Transmission ataupun kotak gear automatik 10 kelajuan serba baharu Honda sendiri. Pengeluar kenderaan dari Jepun ini walaubagaimanapun masih belum mengeluarkan sebarang jumlah peggunaan bahan api.
Padanan enjin dan transmisi baharu ini diletakkan pada casis yang dipertingkat, menampilkan penggunaan stereng kuasa elektrik dual-pinion (kurang 0.44 putaran dari satu arah ke arah yang lain), brek lebih berkuasa, serta trailing arm pada suspensi belakang yang lebih kompak (bersama stabiliser bar).
Untuk penampilannya, transformasi yang diberikan tidaklah begitu radikal jika dibandingkan dengan model sebelum ini, di mana bahagian hadapan kini menggunakan gril ‘flying wing‘ tersendiri Honda, dan diapit oleh lampu utama LED yang disediakan sebagai pilihan.
Di bawah itu, terdapat lampu kabus, manakala bahagian laluan udara telah dilebarkan dan tiada banyak barang berwarna krom. ‘Muka’ baharu ini dapat menyembunyikan Active Shutter Grille (seperti pada CR-V) yang dapat membantuk meningkatkan kecekapan penggunaan bahan api kenderaan.
Dilihat dari tepi, badan yang kini 44% lebih tegap mempunyai visual bumbung terapung apabila tiang tepi diwarnakan hitam, dan nampak mempunyai garisan beralun yang lebih lembut. Juga baharu bagi MPV ini adalah rim dan laluan pintu gelungsur yang tersembunyi di bahagian bawah cermin tepi belakang sekali.
Pada bahagian belakang, Odyssey kini hadir dengan lampu LED berbentuk C seperti Civic FC, dan disertai kemasan krom. Barangan lain yang boleh dilihat adalah but belakang yang boleh dibuka dengan sekadar menghayunkan kaki.
Masuk ke dalam, bahagian kabin yang diubah mendapat rekaan papan pemuka baharu, bersama sistem hiburan dan informasi dengan skrin Display Audio 8 inci (serta sokongan Android Auto dan Apple CarPlay) di tengah, menggantikan unit paparan bertingkat sebelum ini.
Honda juga telah meletakkan kebanyakan butang kawalan di bahagian tengah, dengan pengawal pendingin hawa tiga zon, pemilih gear dan susi lain semuanya berada berhampiran dengan pemandu. Panel meter pula kini menggunakan unit 7 inci berwarna.
Kebanyakan pemilik Odyssey di Amerika Syarikat mempunyai keluarga dan anak, dan Honda telah memastikan MPV baharu ini mempunyai kelengkapan yang bersesuaian. Sebagai contoh, terdapat tempat duduk dan trim pintu yang dibalut dengan kulit tahan kotor, manakala alas kaki dan tali pinggang keledar juga menggunakan warna hitam supaya tidak cepat kotor.
Bukan setakat itu, MPV ini juga didatangkan dengan CabinWatch, yang membolehkan pemandu dan penumpang hadapan memerhatikan penumpang belakang mereka, tidak kira tua atau muda. CabinTalk pula dapat membantu pemandu berkomunikasi dengan mereka yang duduk di belakang tanpa perlu kerap menoleh.
Penumpang yang memuat turun aplikasi CabinControl juga dapat mengawal sistem hiburan untuk bahagian belakang, pendingin dan pemanas hawa serta menghantar destinasi yang dimahukan kepada sisten navigasi.
Bagi menjawab persoalan seperti “dah sampai ke?” yang kerap ditanya oleh penumpang, kenderaan ini dilengkapi dengan aplikasi “How Much Farther?”, di mana melaluinya, penumpang dapat melihat pergerakan kenderaan di skrin 10.2 inci, dan ia juga dapat disambung dengan servis Spotify, PBS Kids dan iHeart Radio.
Odyssey baharu ini terus mengekalkan ciri praktikaliti apabila menyediakan tempat duduk Magic Slide pada tempat duduk baris kedua. Ia boleh dilaras kepada pelbagai kedudukan yang dinamakan sebagai Easy Access, Super, Wide dan Buddy, sekaligus memudahkan pengguna.
Untuk aspek keselamatan, Odyssey baharu dilengkapi pakej Honda Sensing yang termasuk Collision Mitigation Braking System (CMBS), Lane Keeping Assist (LKAS), Road Departure Mitigation (RDM) dan Adaptive Cruise Control (ACC). Turut diperlengkap adalah struktur badan Advanced Compatibility Engineering™ (ACE), serta jumlah beg udara yang banyak.
Ingin dinyatakan di sini, Odyssey yang ditampilkan ini adalah model yang dijual di Amerika Syarikat, dan ia adalah berbeza dengan Odyssey pasaran Jepun (JDM). Odyssey JDM kini sudah berada dalam generasi kelima dan sama seperti yang ditawarkan oleh Honda Malaysia sekarang.
Setelah ditemui sedang diuji dan imej teasernya disiarkan, Toyota akhirnya mendedahkan Camry generasi terbaharu pada North American International Auto Show (NAIAS) di Detroit. Model terbaharu tersebut didedahkan sendiri oleh presiden global Toyota, Akio Toyoda.
Pada bahagian luaran, Camry baharu ini jelas sangat agresif jika dibandingkan dengan model sedia ada. Lampu dan gril hadapannya direka tirus bagi mendapatkan rupa yang lebih tajam. Muka Camry ini diberikan elemen rekaan berbentuk-X, menampilkan gril bawah bersaiz besar dengan bahagian bawah lebih lebar, mengambil inspirasi dari model-model terbaharu Lexus. Hud hadapan juga diberikan garisan yang lebih jelas dan banyak bagi memberikan imej yang lebih gagah.
Beralih ke bahagian sisi, garis bahu Camry ini juga direka lebih jelas, bermula dari fender hadapan dan mengalir terus ke lampu belakang. Tiang-C juga direka landai, bagi memberikan bayangan sisi yang lebih sporty.
Garisan bahu tadi kelihatan lebih jelas dibahagian belakang. Seperti juga bahagian hadapan, lampu belakang Camry baharu ini direka lebih tirus. Kemasan seperti liang udara diberikan pada setiap sisi bampar, yang kelihatan bersambung dari grafik putih di dalam lampu kombinasi. Ia turut diberikan diffuser pada bahagian bawah bampar, yang turut menempatkan dua buah tip ekzos berkembar di setiap sisi.
Masuk ke bahagian kabin, Toyota turut menyajikan evolusi rekaan yang lebih moden dan tidak lagi membosankan. Dua meter analog utama ditempatkan pada panel instrumen, mengapit paparan informasi 7-inci di bahagian tengah. Ciri yang paling menonjol papan pemuka Camry ini adalah pada bahagian tengah, yang menempatkan skrin infotaimen Entune 3.0 bersaiz 10-inci, yang turut berfungsi sebagai panel kawalan penghawa dingin HVAC.
Pembahagian ruang pada bahagian ini tidak dibuat secara bersegi, sebaliknya direka dengan lembut menampilkan garisan berlengkuk bermula dari panel meter ke konsol tengah, manakala pada bahagian sebelah lagi bermula dari liang penghawa dingin sisi. Ciri lain yang diberikan termasuk paparan head-up bersaiz 10-inci dan juga brek parkir elektronik. Ciri on-board Wi-Fi dan juga sistem bunyi JBL turut ditawarkan sebagai opsyenal.
Camry generasi baharu ini dibina berasaskan platform Toyota New Generation Architecture (TNGA) yang baharu. Platform baharu ini membolehkan Camry direka dengan pusat graviti yang lebih rendah, ketegaran kilasan yang lebih tinggi serta menempatkan sistem suspensi bebas sepenuhnya pada bahagian belakang.
Model dengan spesifikasi tertinggi bakal dijana enjin petrol V6 3.5 liter, manakala untuk varian di bawahnya, ia akan dijana enjin 2.5 liter NA empat-silinder suntikan bahan api terus. Tiada enjin berkapasiti kecil dengan pengecas turbo diberikan pada Camry, sebaliknya enjin 2.5 liter yang digelar “Dynamic Force Engine” tersebut diolah semula bagi mendapatkan nisbah mampatan yang lebih tinggi menerusi strok omboh yang direka lebih jauh, diberikan sistem penyejukkan bervariasi serta sistem pemasaan injap bervariasi-pintar elektrik (VVT-iE) yang baharu.
Tiada angka kuasa kuda diumumkan, tetapi Toyota “menjanjikan kuasa dan tork yang lebih baik bersama penggunaan petrol terbaik dalam kelasnya”. Kedua-dua enjin berkenaan bakal dipadankan dengan kotak gear automatik lapan-kelajuan baharu, memacu roda hadapan.
Bagi model hibrid pula, Camry turut menerima enjin 2.5 liter tersebut dipadankan dengan kotak gear CVT yang diolah semula menampilkan mod Sport yang mampu memberikan enam-kelajuan maya. Mod Sport ini turut akan memberikan tujahan tambahan dari motor elektrik, dan memberikan daya pecutan yang lebih baik.
Pek bateri hibrid ini juga telah dipindahkan dari but belakang ke bahagian bawah tempat duduk. Ini bukan sahaja dapat memberikan ruang kargo yang lebih besar, malah turut memberikan pusat graviti yang lebih baik seterusnya menyumbang kepada dinamik keseluruhan kereta ini.
Untuk keselamatan, kesemua varian Camry pasaran Amerika Syarikat bakal diberikan pakej anti-pelanggaran Toyota Safety Sense yang menampilkan Amaran Pelanggaran Hadapan dengan fungsi brek kecemasan automatik dan pengesan pejalan kaki, Amaran Keluar Laluan dengan fungsi stereng automatik, adaptive cruise control dan juga lampu tinggi automatik.
Toyota Camry generasi baharu akan menerjah masuk bilik-bilik pameran di Amerika Syarikat bermula musim panas tahun ini. Manakala untuk pasaran Australia pula, Camry akan diimport dari Jepun (Toyota Australia bakal menamatkan operasi kilang pemasangannya pada tahun hadapan) dan akan mendarat di pasaran berkenaan pada akhir tahun ini.
November tahun lalu, kami melaporkan bahawa Bermaz akan menaikkan harga kenderaan Mazda yang dijual di Malaysia akibat daripada kadar pertukaran wang asing yang tinggi. Nampaknya, perkara itu kini menjadi kenyataan.
Posting di laman Facebook sebuah pengedar tempatan bagi jenama itu mendedahkan, semua model pemasangan tahun 2017 Mazda dinaikkan harganya sehingga RM6,000. Dan, Bermaz sendiri mengesahkan perkara ini, berkuatkuasa serta merta.
Bermula dengan Mazda 2, semua versi bagi unit diimport sepenuhnya (CBU), baik yang dilengkapi ciri lampu utama halogen atau LED, hatchback atau sedan, akan menyaksikan kenaikan RM2,000 bagi harga jualannnya. Model dengan lampu halogen yang bukar berwarna Soul Red luarannya kini dijual RM87,000; bagi versi lampu LED pula RM96,000. Bagi yang mahukan warna premium merah berkenaan, tambahan RM500 lagi akan dikenakan.
Harga bagi Mazda 3 CKD pula turut meningkat sebanyak RM2,000, dengan versi hatchback kini dijual pada RM123,000, sementara varian spesifikasi Mid dan High pula pada harga RM108,000 dan RM123,000. Ini bagaimanapun merupakan harga bagi warna badan solid; versi cat metalik akan memerlukan kos tambahan RM400.
Sebuah lagi model CKD, SUV CX-5, kini menerima pertambahan harga sebanyak RM2,500 bagi semua varian. Bagi sistem pacuan 2WD, harganya adalah seperti berikut; 2.0 Mid (RM131,000), 2.0 High (RM167,000) 2.5 (RM180,000) dan 2.2D (RM187,000). Sementara bagi versi 2.5 4WD, ia kini dijual pada harga RM169,000. Bagi mendapatkan warna metalik, pelanggan perlu menambah RM400 lagi.
Sementara itu, versi CBU bagi model CX-3 kini dijual pada harga RM134,000 dan MPV Biante pula RM149,000 – kedua-duanya naik RM3,000. Model segmen D, Mazda 6 pula kini RM6,000 lebih mahal bagi semua variannya, termasuk versi touring dan diesel. Bagi versi enjin petrolnya pula, versi 2.0L kini RM165,000 dan versi 2.5L ialah RM201,000. Bagi model touring, ia kini dijual pada harga RM205,000, sementara versi diesel 2.2L ialah RM209,000.
Yang terakhir, trak pikap BT-50 juga naik RM3,000. Harga terbarunya ialah seperti berikut; 2.2MT Mid (RM90,000), 2.2MT High (RM100,000), 2.2AT (RM105,000) dan 3.2AT (RM117,000). Semua harga yang dinyatakan ini ialah harga atas jalan tanpa insurans.
ANIH Berhad telah memaklumkan bahawa kerja-kerja penyelenggaraan dalam Terowong Genting Sempah akan ditangguhkan seketika mulai Jumaat, 20 Januari hingga Isnin, 13 Februari 2017 sempena cuti musim perayaan Tahun Baru Cina (CNY) dan Thaipusam.
Pengumuman ini adalah tambahan kepada artikel pada hujung minggu lalu berkenaan jadual kerja-kerja penyelenggaraan terowong. Ia juga selaras dengan arahan kerja oleh Kementerian Kerja Raya (KKR) yang tidak membenarkan sebarang kerja-kerja penyelenggaraan pada musim perayaan.
Menteri Kerja Raya, Dato’ Sri Haji Fadillah Yusof berkata, tarikh penangguhan seketika kerja dalam terowong ini adalah bagi memberi ruang kepada pengguna untuk pulang ke kampung sempena cuti perayaan, sekali gus membantu mengurangkan kesesakan di lebuh raya.
“KKR dan ANIH Berhad bersependapat bahawa kerja-kerja penyelenggaraan di dalam Terowong Genting Sempah ini perlu dilakukan mengikut jadual yang telah ditetapkan dan pada masa yang sama mengambil kira kepentingan pengguna jalan raya. Justeru, dengan adanya jadual kerja ini, pengguna diharap lebih peka dan dapat merancang perjalanan khususnya pada musim cuti perayaan,” katanya.
Menteri Pengangkutan merangkap Ahli Parlimen Bentong, Dato’ Seri Liow Tiong Lai pula positif dan yakin dengan langkah-langkah yang akan dilaksanakan oleh ANIH Berhad dalam pengurusan trafik seterusnya mengurangkan masalah kesesakan ketika pelaksanaan kerja-kerja tersebut.
“Sebagai Ahli Parlimen Bentong dan Menteri Pengangkutan, saya melihat ANIH Berhad telah mengambil kira pelbagai langkah yang perlu dalam pelaksanaan kerja-kerja tersebut, khususnya keselamatan dan jangkaan kesesakan pada cuti musim perayaan nanti,” katanya.
Sementara itu, Pengarah ANIH Berhad, Dato’ Nik Fauzi Tan Sri Nik Hussein berkata, mulai 10 Januari ini, laluan kontra akan diaktifkan dari Isnin hingga Khamis sahaja, iaitu daripada jam 8 pagi hingga 5 petang.
“Laluan dalam terowong akan dibuka semula seperti biasa dari jam 6 petang hingga 7 pagi. Jadual ini akan berterusan selama 2 bulan. Walau bagaimanapun, kita akan menangguhkan kerja-kerja tersebut daripada 20 Januari (Jumaat) hingga 13 Februari (Isnin) bagi memberi laluan sempena cuti panjang perayaan Tahun Baru Cina dan Thaipusam,” katanya.
Model Lexus LS pertama telah pun dilancarkan 28 tahun yang lalu, dengan menampilkan varian terunggul LS 400 dengan penampilan serba mewah. Ia bagai menandakan kelahiran jenama Lexus dan LS yang asalnya menawarkan prestasi dan kemewahan berpadanan, bagi berhadapan dengan pesaingnya pada era tersebut.
Hampir memasuki tiga dekad, terkini, Lexus telah memperkenalkan pula sedan LS generasi kelima, di pentas North American International Auto Show 2017. Kehadiran model generasi serba baharu ini telah memberikan refleksi yang lebih utuh, menggambarkan identiti keunikan Jepun dan masih mengekalkan elemen kemewahan yang jitu.
LS 2018 telah diberikan rekaan yang lebih menyerlah dengan gaya umpama coupe, mengikut rekaan global Lexus serba baharu bagi kenderaan mewah (GA-L). Malahan ia juga lebih panjang, lebih rendah dan lebih lebar berbanding model sebelumnya. Ia juga dikatakan mampu memberi lebih pengalaman dinamik dengan pemanduan yang lebih selesa. Serta menjanjikan pengendalian yang lebih mantap dengan pengalaman prestasi yang memukau tanpa berkompromi soal keselesaan.
Bagi membantu menambahkan keseimbangan pengendaliannya, LS baharu juga telah diterapkan dengan teknologi kawalan casis generasi terkini atau lebih dikenali sebagai Vehicle Dynamics Integrated Management (VDIM). Sistem ini mengimplementasikan kawalan untuk semua subsistem termasuk brek, stereng, penjana kuasa dan suspensi, dengan mengawal longitud asas, pergerakan melintang, olengan dan bahagian sisinya.
Selain itu, ia juga dipadankan dengan palang penstabil aktif yang dipertingkatkan dan sistem Lexus Dynamic Handling (LDH) yang berkeupayaan menambah kestabilan sekiranya kereta hampir tergelincir dek permukaan jalan yang basah dan turapan yang terlalu kering.
Pemilihan material yang lebih ringan termasuk penggunaan keluli tegangan ultra-tinggi dan aluminium telah mengurangkan berat LS serba baharu ini hampir 100 kg berbanding model semasa LS.
Malah dengan platform baharu, telah merendahkan bahagian tengah graviti kereta ini, termasuk posisi enjin dan casisnya yang lebih rendah, sekali gus membantu memperkukuhkan lagi struktur casis kenderaan.
LS 2018 kini ditampilkan dengan enjin serba baharu iaitu 3.5 liter V6 bersama turbo berkembar yang juga baru dibangunkan oleh Lexus dengan teknologi F1. Enjin baharu ini menawarkan kuasa umpama V8 tanpa berkompromi soal penjimatan bahan api, malah turut meminimakan bunyi dan getaran.
Penjana kuasa ini mampu menghamburkan kuasa sehingga 415 hp dan tork sehingga 572 Nm, digabungkan dengan transmisi automatik 10-kelajuan buat pertama kalinya. Untuk mendapatkan pacuan yang lebih menguja, penukaran gear menerusi pedal penukar gear juga ditawarkan, dengan sistem kawalan elektronik termaju, yang mampu memberikan input pemanduan lebih jitu. Dalam masa yang sama sistem ini juga boleh memilih nisbah yang ideal dengan memantau kuasa pendikit, brek dan terjahan g-force. Ia turut menampilkan tiga mod pemanduan iaitu Normal, Sport dan Sport+.
Bercerita mengenai rekaannya, Lexus yang menurut falsafah “Yet” sejak generasi LS, telah mengadunkan gaya yang lebih moden dengan menukar bentuk sedan “berkotak” menjadi umpama coupe empat-pintu bagi LS 2018 ini.
Malah LS 2018 ini turut menjadi model Lexus sedan pertama yang hadir dengan rekaan ‘six-side window’ serta permukaan tingkap yang disambung pada tiang sisi. Bahagian hud hadapan juga telah direndahkan sebanyak 30 mm, malahan bahagian belakang juga begitu iaitu lebih kurang 40 mm, membuatkan ia kelihatan lebih rendah.
Imej hadapannya lebih garang dan agresif dengan padanan gril dengan tekstur yang lebih menonjol dan garisan luaran krom. Lampu utama dengan signatur LED berbentuk sayap dan lampu belakang dengan signatur Lexus L turut menyerlahkan gaya LS 2018 ini. Bagi mengekalkan ruang kepala dengan profil yang lebih rendah, LS serba baharu ini turut menampilkan moonroof luaran jenis gelungsur. Bagi padanan rodanya, ia bakal menawarkan dua pilihan rim iairu 19- atau 20-inci.
Dengan dimensi berukuran 5,235 mm bagi panjang, ketinggian 1,450 mm, mempunyai kelebaran 1,900 mm dan jarak roda 3,125 mm, telah memberikan ruang dalaman yang luas dan selesa bagi LS 2018 ini.
Di bahagian dalamnya, LS ini menampilkan bentuk organik yang dipengaruhi oleh paten kayuan Shimamoku. Malah kekemasannya turut menerima hasil gabungan kulit dan logam, selain mengetengahkan pencahayaan ambien yang menyerlahkan lagi sentuhan dalam kelasnya yang tersendiri.
Pada papan pemukanya ditampilkan skrin 12.3-inci dengan kawalan Lexus Remote Touch yang turut menyokong input tulisan tangan. Selain itu, elemen lain yang turut ditawarkan termasuklah sistem bunyi 3D Mark Levinson dengan pembesar suara di siling, tempat duduk hadapan larasan kuasa dengan 28-cara bersama fungsi haba, penyejuk dan urut, tempat duduk belakang juga dengan fungsi haba, penyejuk dan urut, serta tempat duduk ottoman yang menambahkan keselesaan penumpang belakang.
Bagi aspek keselamatan, Lexus LS serba baharu ini turut ditawarkan dengan Pakej Keselamatan Termaju dengan menampilkan sistem pertama yang diaplikasikan di dunia iaitu Pengesan Pejalan Kaki Intuitif dengan Stereng Aktif.
“LS bukan sekadar menjadi simbol buat jenama Lexus, bahkan menggambarkan sebuah kereta mewah generasi baharu yang masih kaya dengan elemen tradisi dan budaya Jepun. Malahan ia akan menjadi sebuah kereta mewah yang di luar jangkaan,” ujar Toshio Asahi selaku ketua jurutera LS baharu.
Dalam penganjuran Consumer electronics Show (CES) tahun ini, Volkswagen telah mempertontonkan konsep kabin futuristik yang dipanggil Kokpit Digital Volkswagen (3D), di mana ia mendemostrasikan pengalaman pemanduan yang lebih selamat dan intuitif.
Satu daripada teknologi utama yang dipersembahkan menggunakan dua lapisan skrin untuk memberikan kesan kedalaman, memberikan informasi yang diperlukan. Paparan grafik yang sangat jelas turut ditampilkan dan ia boleh dilaraskan.
Manakala teknologi pengesan mata pula akan menyalurkan maklumat kepada sistem untuk memaklumkan pandangan pemandu pada bila-bila masa, memaparkan paparan data yang paling relevan kepada pemandu, sementara informasi yang kurang penting akan diketepikan.
Paparan Utama AR juga didedahkan, di mana ia memaparkan projek grafik maklumat maya yang akan mendahului kenderaan. Ini memberikan fokus yang lebih buat pemandu untuk berhati-hati, malah teknologi ini juga membantu mengurangkan alihan perhatian pemandu, ujar Volkswagen.
Selain kokpit yang penuh bergaya ini, Volkswagen Ecosystem juga diperkenalkan, yang membolehkan pemiliknya menetapkan data pengguna Volkswagen, dengan mendaftar terus ke akaun pemilik, boleh digunakan untuk mana-mana kenderaan Volkswagen yang turut memiliki fungsi ini. Sistem ini juga akan bekerjasama dengan fungsi bantuan personal dalaman kenderaan, membolehkan pemandu untuk “bertanya” arah atau jadual temujanji.
Menurut Volkswagen, beberapa teknologi yang ditunjukkan di CES sebenarnya untuk versi pengeluaran kereta konsep I.D, yang dijadual akan diperkenalkan pada tahun 2020.
Barisan kenderaan Porsche 911 kini bertambah dengan pengenalan beberapa model GTS, termasuk Carrera GTS, Carrera 4 GTS (Coupe dan Cabriolet) dan Targa 4 GTS. Semua model ini menyertai model 911 Carrera facelift dan Turbo yang baru diperkenalkan sebelum ini.
Bagi model GTS ini, enjin enam silinder sebaris 3.0 liter turbo yang digunakan mampu menghasilkan 450 PS dan 550 Nm tork, dan ini adalah 30 PS lebih berbanding 911 Carrera S dan 20 PS / 110 Nm lebih berbanding model GTS sebelum ini yang menggunakan enjin enam silinder N/A 3.8 liter. Enjin baru ini digabungkan dengan sama ada transmisi manual tujuh kelajuan atau automatik Porsche Doppelkupplung (PDK).
Sistem pengurusan suspensi aktif PASM datang secara standard pada model GTS baharu ini, dengan model GTS Coupe turut mendapat peningkatan casis PASM, yang merendahkan kenderaan sebanyak 10 mm. Pek Sport Chrono juga didatangkan secara standard, iaitu termasuk tapak enjin dinamik dan fungsi Launch Control.
Semua model 911 GTS (termasuk yang menggunakan pacuan roda belakang) juga menggunakan casis pacuan semua roda 911 Carrera 4 pacuan empat roda, seterusnya memberikan ia kedudukan yang sama – lebar 1,852 mm dan lebih lebar berbanding kereta 911 biasa.
Jika anda mencari 911 GTS yang paling laju, ia adalah 911 Carrera 4 GTS Coupe, yang boleh memecut 0-100 km/j dalam masa hanya 3.6 saat. Porsche memberitahu, semua model GTS akan mempunyai kelajuan maksimum tidak melebihi 312 km/j, dengan 911 Carrera GTS manual menjadi yang paling laju.
Membezakan 911 GTS dengan model 911 biasa adalah bampar hadapan unik, yang kelihatan seperti mendapat inspirasi daripada 911 GT3, serta sayap belakang yang diubahsuai. Ini adalah sebahagian daripada pakej luaran Sport Design, yang juga termasuk cermin sisi baharu, rim 20 inci dan logo GTS.
Pada bahagian lain, terdapat lampu belakang smoke, gril kemasukan udara hitam berkilat dan muncung ekzos berkembar di tengah. Pada model pacuan roda belakang (yang tiada nombor ‘4’ pada namanya), terdapat kemasan garis berwarna hitam di antara lampu belakangnya, manakala GTS 4WD mendapat kemasan yang berwarna lebih cerah. Tiang Targa pada model GTS diwarnakan hitam untuk mewujudkan penampilan yang berbeza.
Di dalam, anda boleh melihat logo GTS pada penyandar kepala, sementara pada roda stereng, peletak tangan dan konsol tengah, semuanya dibalut dengan kulit Alcantara. Pada panel meter pula terdapat kemasan aluminium brushed.
November lalu, Malaysia telah melaksanakan caj jalan raya (RC) bagi kenderaan Singapura yang memasuki negara ini. Di mana setiap kenderaan asing yang memasuki Malaysia menerusi pintu masuk sempadan Singapura-Johor, menerusi Tambak Johor dan Laluan Kedua Malaysia-Singapura, akan dicaj sebanyak RM20.
Ekoran daripada itu, Singapura bertegas untuk tetap menyeragamkan kadar caj kemasukan kenderaan Malaysia ke republik berkenaan iaitu S$6.50 atau bersamaan RM20, laporan Channel NewsAsia.
Menteri Pengangkutan Khaw Boon Wan berkata Malaysia mengutip sekitar RM13.9 juta daripada kenderaan Singapura antara 1 November dan 20 Disember tahun lepas.
“Sudah menjadi dasar kami sejak sekian lama iaitu mengenakan kadar sepadan bagi levi, tol atau fi yang dikenakan Malaysia untuk menggunakan jalan raya yang menghubungkan Singapura dan Malaysia. Ini bagi memastikan Malaysia mengambil kira respons kita setiap kali mereka menaikkan kadar tol atau memperkenalkan levi baharu,” ujar Khaw yang membuat kenyataan terbabit di Parlimen Singapura.
Walau bagaimana pun, katanya, perincian mengenai caj sepadan itu akan diumum dalam masa terdekat.
Sebelum ini, Singapura menuduh Malaysia melakukan “diskriminasi terhadap kenderaan yang didaftarkan di Singapura kerana ia hanya terpakai di pusat pemeriksaan Singapura”.