Berikutan pelancaran Subaru Impreza generasi kelima di Singapura, satu lagi berita yang didedahkan ialah XV generasi akan datang dijangka tiba di pasaran Malaysia pada suku keempat (Q4) tahun ini.
Informasi ini didedahkan sendiri oleh Glenn Tan, pengarah eksekutif Tan Chong International ketika sesi temubual semalam, di mana beliau turut menambah kumpulan pertama bagi SUV berkenaan adalah bagi unit import-sepenuhnya (CBU), sebelum disusuli dengan model pemasangan tempatan (CKD) enam bulan kemudian.
Sebelum ini, beliau berkata kilang pemasangan di Segambut telah bersiap sedia untuk memproduksikan model Subaru akan datang yang menggunakan Subaru Global Platform. Kini kilang tersebut memproduksikan model facelift bagi XV dan Forester, kedua-duanya telah dilancarkan pada tahun lalu.
Subaru Impreza (Kereta stunt Russ Swift)
XV baharu buat pertama kalinya dipertontonkan dalam bentuk konsep mada Mac 2016, dan ia akan dibangunkan dengan binaan yang sama digunakan pada Impreza yang baru dilancarkan. Laporan sebelum ini menyebut, ia menggunakan adunan yang sama dengan model sedia ada – dengan road clearance yang lebih tinggi dan beberapa lapisan yang cukup bergaya.
Walau pun Fuji Heavy Industries (FHI) atau bakal menjadi Subaru Corporation, masih belum mendedahkan perincian mengenai XV baharu, namun secara visualnya ia kelihatan lebih kurang sama dengan model Impreza yang dimodifikasi bagi kegunaan jentera stunt Tuss Swift yang dipamerkan di Singapore Motor Show. Di mana telah ditambah bump stop pada bahagian suspensi untuk membolehkan ia memberikan lebih clearance untuk Swift melakukan demostrasi pemanduan secara dua-roda.
Bagi perkara yang berkaitan, Tan turut menyatakan Impreza versi lima-pintu (bagi yang berminay), boleh diperkenalkan di pasaran Malaysia (buat masa ini tiada perancangan untuk itu), mungkin berdasarkan permintaan.
Big Blue Taxi Facilities Sdn Bhd (Big Blue Taxi) memperkenalkan sebuah aplikasi dalam talian terbaru syarikat itu, 2Go, yang menyediakan kaedah mudah dan selamat bagi pengguna teksi di KLCC, seperti dilaporkan Bernama.
Penasihatnya, Datuk Shamsubahrin Ismail berkata, aplikasi berkenaan turut akan memaparkan jumlah tambang yang akan dikenakan sebelum mereka menaiki teksi. Aplikasi berkenaan turut akan menyediakan e-tiket kepada pengguna, yang memaparkan maklumat pendaftaran teksi serta nombor untuk dihubungi sekiranya berlaku apa-apa kejadian.
“Perkhidmatan teksi kami menyediakan insurans kepada pelanggan untuk memastikan mereka diberi perlindungan sekiranya berlaku perkara-perkara yang menyebabkan mereka memerlukan bantuan kesihatan. Aplikasi ini juga merupakan komitmen Big Blue Taxi untuk memenuhi pelan transformasi SPAD bagi industri teksi,” jelas pengerusi SPAD, Tan Sri Syed Hamid Albar.
Dalam majlis yang sama, Shamsubahrin turun memohon maaf kepada Syed Hamid Albar dan SPAD kerana sebelum ini keras mengkritik organisasi itu.
Logo ‘H’ dengan latar belakang merah, bukanlah logo yang direka semata-mata untuk kelihatan cantik. Lencana berkenaan sebenarnya merupakan singkatan kepada Honda (logo ‘H’) Type-R (R bermaksud Racer dan diwakili oleh warna merah) – bermaksud model yang diberikan lencana ini di bina semata-mata untuk prestasi dan mengambil mudah ciri-ciri mewah serta keselesaan.
Setelah model prototaip yang dilihat hampir kepada bentuk produksi sebenar ditayangkan sebelum ini, model sebenar Honda Civic Type-R generasi baharu dijangka bakal membuat kemunculan sulungnya tidak lama lagi. Tahun 2017 juga sebenarnya merupakan ulangtahun ke-25 lencana Type-R diperkenalkan oleh Honda, dipadankan buat pertama kali pada NSX Type-R pada tahun 1992.
Menerusi artikel istimewa ini, kami akan membawa anda menyelusuri susur-galur sejarah model-model Type-R Honda, serta falsafah disebalik pembinaannya.
1992 – Honda NSX Type-R (NA1)
Honda NSX generasi pertama (NA1) diperkenalkan buat kali pertama pada tahun 1989, namun model tersebut merupakan model yang direka untuk kegunaan jalan raya biasa dengan talaan seimbang diberikan antara prestasi dan juga keselesaan. Setelah model tersebut berjaya dalam pasaran, Honda mengambil keputusan untuk menghasilkan NSX versi yang lebih hardcore dengan mengenepikan keselesaan, tetapi lebih tertumpu kepada prestasi khususnya untuk pemanduan di dalam litar.
Berat keseluruahn model istimewa tersebut telah dikurangkan sebanyak 120 kg dengan mengurangkan penebat-penebat bunyi, membuang sistem penghawa dingin (masih ditawarkan sebagai opsyen jika pelanggan mahukannya), membuang tayar gantian dan traction control (ketika ini penggunaan traction control belum dititik beratkan dan ia boleh mengehadkan kemampuan sebenar jentera berkenaan), serta menukar tempat duduk asal kepada tempat duduk kevlar-karbon dari Recaro.
Ia juga diberikan komponen suspensi yang lebih keras termasuk kesemua bushing, penyerap hentak, spring serta bar anti-oleng. Kerangkan badan NSX ini juga menerima bracket tambahan bagi memberikan ketegaran yang lebih kuat. Aci engkol pada enjin 3.0 liter V6 DOHC VTEC telah diimbang semula, manakala nisbah akhir asal 4.235 pada gandar belakang ditukar kepada 4.06:1 bagi memberikan titik penukaran gear serta pecutan yang lebih pantas.
Setelah kesemua ini dilakukan, NSX ini akhirnya layak menerima lencana Type-R dan turut diberikan perincian Type-R lain seperti logo ‘H’ merah, tombol gear titanium, rim forged aluminium (16-inci di hadapan dan 17-inci dibelakang) yang lebih ringan berwarna putih dari Enkei, serta warna badan keseluruhan signatur Type-R iaitu Championship White – warna yang sama pada jentera Formula Satu Honda RA272 iaitu jentera pertama jenama berkenaan yang memenangi perlumbaan F1 pada tahun 1965.
Sebanyak 483 unit NSX-R NA1 dihasilkan dari 1992 hingga 1995 dan kesemuanya hanya dibina khas untuk pasaran domestik Jepun (JDM).
1995 – Honda Integra Type-R (DC2)
Honda Integra generasi ketiga dipilih sebagai model kedua yang diberikan lencana Type-R oleh Honda. Model asal yang dihasilkan bermula pada tahun 1995 ini juga dibina khas untuk pasaran JDM sahaja. Berbanding versi SiR yang berkuasa 176 hp, enjin 1.8 liter B18C DOHC VTEC pada versi Type-R ini diolah semula dengan liang kemasukan pada injap kemasukan diport dan digilap dengan tangan, menggunakan omboh yang dapat memberikan nisbah mampatan lebih tinggi, injap dengan rekaan baharu, serta sistem kemasukan dan ekzos dirombak semula, membolehkan ia menghasilkan kuasa 197 hp dengan putaran enjin dihadkan pada kelajuan 8,600 rpm.
Enjin berkenaan padankan bersama kotak gear lima-kelajuan manual dengan nisbah yang lebih pendek, serta diberikan LSD heliks. Pengendalian juga turut ditumpukan dengan diberikan set suspensi lebih keras, bersama rim aloi forged yang lebih ringan. Model ini juga menerima perincian-perincian signatur Type-R seperti kemasan bahagian dalam berwarna merah termasuk tempat duduk bucket dari Recaro, tombol gear titanium, lencana-lencana Type-R serta warna badan rasmi utama Championship White.
Seperti juga NSX-R, Inte-R turut menerima talaan casis dengan mengurangkan berat asal menerusi pengurangan penebat bunyi, menggunakan cermin 10% lebih nipis, serta tiada beg udara, penghawa dingin, penggilap cermin belakang, radio, jam pada konsol tengah, sistem stereng berkuasa dan juga sistem brek ABS. Kerangka kereta ini juga diperkuatkan dengan kimpalan ‘spot-weld’ yang lebih diberikan dan juga pemadanan bracket serta pendakap logam tambahan.
Pada tahun 1998, model DC2 JDM ini menerima berberapa peningkatan. Nisbah gear akhir lebih tinggi diberikan, dan untuk mengimbanginya, nisbah gear 1 hingga 3 dipendekkan, manakala gear 4 dan 5 pula dipanjangkan. Rim forged aluminium bersaiz 16-inci diberikan bersama tayar 215/45R16 dengan lima-lubang nat, menggantikan rim 4 lubang terdahulu bersama hab dan brek yang lebih besar. Kuasa enjin masih lagi sama, tetapi tork maksima kini boleh dicapai lebih cepat menerusi manifold ekzos 4-1 yang direka lebih panjang.
Model 1998 ini juga menyaksikan buat pertama kali model Type-R dibawa kepasaran luar Jepun iaitu ke Amerika Syarikat (dijual atas jenama Acura) dan juga ke Eropah, tetapi dengan enjin B18C yang sedikit kurang kuasanya (195 hp untuk USDM dan 190 hp di Eropah) berbanding versi JDM. Model-model yang dieksport keluar ini juga dapat dikenalpasti menerusi rekaan mukanya yang menggunakan rekaan pre-facelift menampilkan lampu berbentuk bulat berkembar, berbanding model JDM yang menggunakan sepasang lampu tirus panjang.
1997 – Honda Civic Type-R (EK9)
Setelah mendominasi dunia hatchback pacuan roda hadapan tanpa bantuan turbo dengan enjin DOHC VTEC dan sistem suspensi double-wishbone pada model SiR terdahulu (EF9 dan EG6), Honda akhirnya mengambil keputusan untuk menghasilkan Civic talaan litar untuk kegunaan jalan raya pada model hatchback generasi ke-enam (EK), maka lahirlah Civic pertama dengan lencana Type-R pada tahun 1997.
Seperti biasa, ia menerima pengurangan berat yang hampir sama dengan Integra Type-R, suspensi lebih keras serta perincian Type-R seperti tempat duduk bucket Recaro dan kemasan dalaman lain berwarna merah, tombol gear yang diperbuat dari titanium serta roda stereng dari Momo yang berikan balutan kulit.
Honda Civic Type-R EK9 1999
Berbanding enjin DOHC VTEC 1.6 liter B16A pada varian EK4 SiR, enjin B16B pada EK9 Type-R ini menggunakan aci sesondol dengan durasi bukaan injap lebih besar, spring injap yang lebih kuat serta liang-liang injap yang dilakukan proses ‘port and polish’ menggunakan tangan.
Omboh enjin ini juga ditukar menggunakan omboh yang membolehkan ia mencapai nisbah mampatan setinggi 10.8:1. Hasilnya, enjin 1.6 liter B16B ini mampu menghasilkan kuasa 182 hp dengan putaran enjin dihadkan pada 8,400 rpm, berbanding B16A yang berkuasa 168 hp dengan putaran enjin dihadkan pada 8,000 rpm.
Model ini turut disegarkan kembali dengan versi facelift pada tahun 1999 sebelum ditamatkan pengeluarannya pada tahun 2000.
1999 – Honda Accord Type-R (CH1)
Buat pertama kali, Honda UK diberi penghormatan untuk membina jentera Type-R versi mereka sendiri dan untuk projek tersebut, mereka memilih model Accord dari siri CH iaitu Accord generasi kelima yang dihasilkan untuk pasaran Eropah sahaja. Accord Type-R diberikan enjin DOHC VTEC 2.2 liter H22A ‘Red Top’ (sempena rocker cover enjin tersebut yang berwarna merah) berkuasa 209 hp pada takat 7,200 rpm dan tork maksima 222 Nm pada takat 6,700 rpm.
Enjin berkenaan dipadankan bersama kotak gear manual lima-kelajuan dengan ‘short-shifter‘ serta unit LSD heliks. Tipikal sebuah Type-R, Accord ini turut menerima roda stereng kulit dari Momo, tempat duduk bucket Recaro dan kemasan dalaman lain berwarna merah, pengurangan berat keseluruhan, kerangaka yang diperteguhkan, suspensi lebih keras, dan juga rim aluminium forged 17-inci berwarna putih.
Walaupun kurang popular dalam dunia street racing, Accord Type-R merupakan antara jentera yang digeruni dalam siri perlumbaan European Super Touring Cup musim 2000.
2001 – Honda Civic Type-R (EP3)
Setelah berjaya menghasilkan Accord Type-R, Honda UK diberi peluang untuk membina sebuah lagi Type-R, kali ini menggunakan kerangka Civic – juga versi khas untuk pasaran Eropah sahaja iaitu Civic generasi ketujuh hatchback siri EP (ketika ini pasaran Malaysia/Asia hanya menerima Civic generasi ketujuh versi sedan empat-pintu dari siri ES).
Civic Type-R EP3 menampilkan bentuk cermin tingkap sisi (hadapan dan belakang) yang diinspirasikan dari Civic ‘bullet’ iaitu Civic hatchback generasi kelima (EG). Model ini dikuasakan oleh enjin DOHC i-VTEC Honda generasi baharu K20A 2.0 liter berkuasa 197 hp pada takat 7,400 rpm dan tork maksima 196 Nm pada takat 5,900 rpm.
Enjin tersebut dipadankan dengan kotak gear enam-kelajuan manual dengan short-shifter. Tetapi, kotak gear pada Civic Type-R UK ini tidak menerima unit LSD heliks, malah ia turut tidak diberikan dengan tempat duduk dari Recaro (ia tetap diberikan tempat duduk bucket dan kemasan-kemasan dalaman lain berwarna merah.
Walau bagaimanapun, kilang Honda di Swindon, UK ada menghasilkan Civic Type-R EP3 yang dikhaskan untuk dieksport kembali ke Jepun dalam jumlah terhad. Model berkenaan diberikan enjin K20A yang lebih berkuasa, menjana 212 hp dan turut dilengkapi LSD heliks, tempat duduk Recaro serta perincian-perincian lain yang lebih premium.
2001 – Honda Integra Type-R (DC5)
Ketika Civic Type-R baharu dibina di UK, Honda Jepun turut membina sebuah lagi model Type-R berasaskan kerangka Integra generasi baharu. Honda Integra Type-R DC5 ini menampilkan warisan asli Type-R iaitu di bina di Jepun, dan hanya untuk pasaran Jepun sahaja.
Ia turut menerima enjin 2.0 liter DOHC i-VTEC K20A tetapi dengan kerahan kuasa yang lebih besar iaitu 220 hp, dipadankan dengan kotak gear manual nisbah rapat enam-kelajuan, lengkap bersama LSD heliks.
Ciri lain seperti casis yang diperteguh, pengurangan berat keseluruhan, suspensi lebih keras serta tempat duduk bucket dari Recaro diberikan secara standard serta turut ditambah dengan sistem brek dari Brembo.
2002 – Honda NSX Type-R (NA2)
Honda NSX generasi pertama menerima enjin baharu berkapasiti lebih besar – 3.2 liter berbanding enjin asal 3.0 liter – pada tahun 1997, seterusnya versi facelift terakhir diberikan pada tahun 2002, menampilkan lampu hadapan jenis tetap (lampu pop-up pada model sebelum ini) dan juga tayar belakang yang lebih lebar.
Serentak dengan itu, Honda turut menghasilkan versi baharu NSX Type-R yang jauh lebih hebat dari model sebelum ini. Perkara yang sama dilakukan untuk mengurangkan berat keseluruhan NSX Type-R baharu ini, tetapi bahagian yang diperteguhkan ditambah lebih banyak lagi bagi memberikan kerangka yang lebih tegar.
NSX-R 2002 ini juga menerima spoiler belakang yang lebih agresif bersama penutup hud berliang yang diperbuat dari bahan gentian-kabon. Enjin 3.2 liter V6 DOHC VTEC pada NSX-R ini masih menghasilkan kuasa yang sama dengan NSX standard iaitu 290 hp/305 Nm, tetapi dengan bahagian dalamannya yang telah diimbang semula, berjaya menghasilkan respon enjin yang lebih baik.
Jurnalis dan bekas pelumba Jepun, Motoharu Kurosawa atau lebih dikenali sebagai Gan-San telah mencatatkan rekod lap terpantas di litar Nurburgring, Jerman dengan catatan masa 7 minit 56 saat dengan NSX-R baharu ini, sama seperti yang dicatatkan oleh Ferrari 360 Challenge Stradale, walaupun kuasa kuda NSX-R kurang 100 hp berbanding Ferrari berkenaan.
2007 – Honda Civic Type-R hatchback (FN2)
Honda UK kembali membina Civic Type-R baharu menggunakan kerangka Civic hatchback Eropah generasi kelapan iaitu dari siri FN di kilang Honda Swindon. Model ini masih menggunakan enjin 2.0 liter DOHC i-VTEC K20A berkuasa 198 hp/193 Nm dan juga kotak gear manual enam-kelajuan lengkap dengan LSD heliks.
Walau bagaimanapun, prestasi Civic Type-R FN2 ini kurang memberangsangkan berbanding model terdahulu kerana asas Civic Eropah itu sendiri yang dibina berdasarkan platform yang agak seiras dengan Honda Jazz, menampilkan suspensi torsion beam pada bahagian belakang serta tangki minyak yang ditempatkan di bawah tempat duduk hadapan.
2007 – Honda Civic Type-R sedan empat-pintu (FD2)
Walaupun FN2 mendapat kritikan di Eropah, perkara sebaliknya berlaku di Jepun. Honda Jepun turut menghasilkan Civic Type-R generasi baharu versi mereka, menggunakan kerangka Civic sedan empat pintu generasi kelapan iaitu FD2. Asas Civic FD itu sendiri merupakan Civic paling sempurna pernah dihasilkan pada ketika itu, menampilkan bukan sahaja rupa yang sporty dan dan juga futuristik, ia turut diberikan sistem suspensi yang bagus dan juga kerangka yang lebih dinamik.
FD2 Type-R turut dijana oleh enjin 2.0 liter DOHC i-VTEC K20A, kali ini ditala bagi mendapatkan kuasa 222 hp pada takat 8,400 rpm dan tork maksima 215 Nm pada takat 6,100 rpm. Kuasa dihantar kepada kedua-dua roda hadapan menerusi kotak gear enam-kelajuan nisbah rapat lengkap dengan LSD heliks. Sistem brek hadapan menerima angkup empat pot dari Brembo manakala rim aloi forged bersaiz 18-inci dibaluti tayar Brigestone Potenza RE070 225/40R18, kesemua ini diberikan secara standard.
Tempat duduk hadapan diberikan tempat duduk jenis bucket (kali ini bukan dari Recaro) berwarna merah-hitam, bersama kemasan-kemasan lain yang turut diberikan tema yang sama. Latar biru pada panel instrumen Civic standard ditukar kepada warna merah untuk model Type-R ini, dan ia turut diberi butang tekan penghidup enjin juga berwarna merah bagi memberikan gaya sebuah kereta lumba sebenar.
Selain dari suspensi yang lebih keras dan juga bentangan sistem gantungan bebas jenis multilink diberikan pada bahagian belakang, pengendalian Civic ini juga dibantu oleh dimensi asas sebuah sedan empat pintu yang lebih lebar serta jarak roda yang lebih panjang, membolehkan ia meredah selekoh dengan kelajuan yang lebih tinggi dari model-model sebelum ini.
Honda Civic Type-R FD2 antara model Type-R terbaik pernah dihasilkan oleh Honda Jepun, malangnya, kereta berkenaan merupakan model Type-R terakhir yang dikeluarkan oleh mereka. Model ini juga merupakan satu-satunya Type-R yang dibawa masuk ke negara kita secara rasmi oleh Honda Malaysia, dijual pada harga RM200k ketika itu.
2015 – Honda Civic Type-R (FK2)
Pengumuman Honda untuk menghentikan pembinaan model-model Type-R sebelum ini ternyata hanya berkuatkuasa untuk Honda Jepun, tetapi tidak melibatkan Honda UK. Pada 2014, Honda UK mengesahkan Civic Type-R generasi baharu akan dibina di kilang Swindon mereka.
Model berkenaan akhirnya didedahkan secara rasmi di Geneva Motor Show 2015, bersama Honda NSX generasi kedua. Type-R baharu ini diasaskan dari Civic hatchback lima-pintu pasaran Eropah, yang turut membawa sekali sistem suspensi torsion beam pada bahagian belakang.
Namun apa yang menjadi perhatian pada model baharu ini adalah enjinnya, di mana ia dikuasakan oleh enjin K20C 2.0 liter empat silinder VTEC Turbo suntikan bahan api terus yang mampu menjana 306 hp pada takat 6,500 rpm dan tork maksima 400 Nm bermula 2,500 hingga 4,500 rpm. Ini menjadikan FK2R ini sebagai Civic Type-R paling berkuasa dalam sejarah dan juga Type-R pertama diberikan pengecas turbo!
Kuasa liar berkenaan disampaikan ke roda hadapan menerusi kotak gear enam-kelajuan manual lengkap dengan LSD heliks, membolehkan ia mencatatkan pecutan 0-100 km/j dalam masa hanya 5.2 saat sebelum mencapai kelajuan maksima 285 km/j. Honda turut memadankan butang R+ pada model ini yang meningkatkan respon casis, pendikit dan juga enjin bagi memberikan sensasi pemanduan yang lebih mengujakan.
Kehadiran Civic FK2R ini dalam pasaran seolah-olah Honda ‘melancarkan serangan’ ke atas model-model hot-hatch pacuan roda hadapan di Eropah termasuk Renault Megane RS, Volkswagen Golf GTI dan juga Ford Focus ST.
Setahun sebelum Civic ini diperkenalkan, Renault Megane RS 275 Trophy-R telah dinobatkan sebagai kereta pacuan hadapan paling pantas di litar Nurburgring dengan catatan masa 7 minit 54.36 saat. Rekod berkenaan kemudiannya dipecahkan pula oleh Honda Civic Type-R dengan catatan masa 7 minit 50.63 saat. Walau bagaimanapun, rekod tersebut telah dipecahkan sekali lagi pada tahun lalu oleh Volkswagen Golf GTI Clubsport S dengan catatan masa 7 minit 49.21 saat. Honda nampaknya belum berbuat apa-apa untuk merampas kembali kedudukan tersebut, mungkin tugas ini akan diambil alih oleh Civic Type-R generasi seterusnya?
Honda Civic Type-R Generasi Seterusnya
Honda Civic standard generasi kesepuluh mula membuat kemunculan sulungnya pada tahun 2015. Apa yang menarik, model generasi paling baharu ini dibina sebagai model global, bermaksud tidak kira ia model sedan untuk Asia dan Amerika Syarikat, model coupe dua-pintu khas untuk pasaran Amerika atau model hatchback lima-pintu untuk Eropah, ia dibina berasaskan platform yang sama.
Ini merupakan berita baik sekiranya Honda UK mahu membangunkan Honda Civic Type-R generasi baharu kerana dinamik dan dimensi platform baharu ini sememangnya lebih bagus serta diberikan suspensi bebas jenis multilink di bahagian belakang.
Perkara tersebut nampaknya benar-benar terjadi. Setelah gambar rasmi Civic generasi kesepuluh versi hatchback untuk pasaran Amerika Syarikat didedahkan, Honda Civic Type-R yang diasaskan dari model tersebut dikesan sedang diuji diatas jalan raya tidak lama selepas itu.
Akhirnya, hampir separuh teka-teki berkenaan terjawab setelah model prototaip Civic Type-R yang kelihatan sudah hampir lengkap sebagai model produksi didedahkan di Paris Motor Show tahun lalu.
Rupa asas Civic standard masih lagi kelihatan, namun model prototaip Type-R ini menampilkan rupa yang jauh lebih agresif. Liang kemasukan udara bersaiz besar pada setiap sisi bampar hadapan kekal pada bampar versi Type-R ini tetapi ditambah dengan liang melintang pada bahagian hujung dan lampu kabus juga dialihkan sedikit. Pada bahagian bawah bampar Civic ini dilengkapi dengan spoiler penuh manakala pada bahagian penutup hud, Type-R ini turut diberikan liang kemasukan udara.
Keempat-empat ruang roda turut dilebarkan, menyaksikan fender hadapan dapat diberikan liang sisi atas kerja pelebaran berkenaan. Skirt sisi yang lebih labuh dipadankan bagi melengkapkan sudut ini. Rupa agresif turut disumbangkan oleh spoiler belakang bersaiz besar. Honda memadankan dua bilah pada bahagian atas pintu tailgate belakang dipercayai untuk tujuan aliran udara yang lebih baik. Berbanding model biasa yang hanya dilengkapkan dengan tip ekzos berkembar, versi Type-R ini dilengkapi dengan tiga-tip ekzos pada bahagian tengah.
Model ini dijangka bakal menggunakan enjin 2.0 liter VTEC Turbo K20C sama seperti model FK2R, tetapi sama ada ia diberikan kuasa tambahan atau tidak masih lagi belum diketahui. Model ini juga bakal dibawa masuk secara rasmi ke pasaran Amerika Syarikat, dan penala-penala dari negara berkenaan seperti Bisimoto Engineering dan AEM telah diundang untuk melihat sendiri model ini secara dekat dan eksklusif sebelum dipamerkan di SEMA 2016.
Belum ada tarikh rasmi bila model ini akan menerjah pasaran, namun kilang Honda Swindon telah pun menghasilkan 100 unit Civic Type-R FK2R Black Edition yang merupakan kumpulan terakhir model generasi tersebut, menandakan produksi Civic Type-R generasi baharu ini akan dimulakan tidak lama lagi.
Hari ini, Honda City facelift telah dilancarkan di Thailand. Ia diberikan rekaan yang diperkemaskini dan imej yang lebih segar, terutamanya bahagian hadapannya yang ditampilkan dengan beberapa elemen baharu termasuk bampar dan buat pertama kalinya buat pasaran Thailand, ia diberikan lampu nyalaan siang LED.
Dalam masa yang sama juga, model persaingnya, Toyota Vios, juga dijangka bakal dilancarkan di sana pada minggu hadapan, seperti yang dilaporkan oleh Bangkok Post.
Pada Mac tahun lalu, Vios telah diberi penambahbaikan yang tidak mengubah rupa sedan kompak ini. Namun Vios facelift kali ini ditampilkan dengan ‘jantung’ baharu. Vios yang diperkenalkan pada Oktober 2016, menerima enjin baharu 1.5 liter Dual VVT-i dengan transmisi automatik CVT bagi menggantikan kotak gear auto empat-kelajuan.
Dengan peningkatan teknikal ini, ia menjadi ibarat satu wajah baharu dalam bancuhan tradisional, namun menjadikannya lebih kemas dan berketerampilan. April lalu, Toyota turut memperkenalkan Vios facelift bagi pasaran China, dengan wajah yang lebih agresif mirip dengan Toyota Camry 2018 yang telah didedahkan di Detroit minggu ini. Adakah pasaran ASEAN akan menerima pembaharuan wajah yang nampak lebih garang? Tunggu dan lihat!
2016 merupakan tahun yang sangat menarik bagi Mercedes-Benz Malaysia (MBM); syarikat itu mencatatkan angka jualan tertinggi setakat ini dengan sejumlah 11,779 unit kenderaan berjaya diserahkan kepada pelanggan. Angka berkenaan juga diterjemahkan kepada kadar pertumbuhan 9% bagi jualan kenderaan berbanding tahun 2015.
Dengan pencapaian memberangsangkan ini, Mercedes-Benz merebut kedudukan pertama pasaran tempatan di dalam segmen premium di Malaysia. “Pencapaian ini telah membolehkan kami mendahului sebagai jenama kenderaan premium di sini dengan kadar perkongsian pasaran sebanyak 2.4% (tambahan 0.6%) berbanding tahun 2015,” ujar Naib Presiden Jualan dan Pemasaran, Mercedes-Benz Cars, Mark Raine.
Walau pun dengan suasana ekonomi yang mencabar sepanjang tahun lalu, MBM sempat melancarkan 17 model baru, antara lain terdiri daripada model-model utama seperti E-Class serta tambahan kepada barisan Dream Cars seperti C-Class Cabriolet dan S-Coupe.
“Bulan dengan jualan terbaik bagi kami pada 2016 ialah pada Jun, dengan 1,203 unit terjual. Suku kedua tahun lalu pula mencatatkan angka jualan terbaik, dengan 3,357 unit terjual,” jelas Raine. Ini juga merupakan kali pertama MBM berjaya melepasi angka jualan 11,000 unit kenderaan yang diserahkan kepada pelanggan.
Secara pecahan, barisan kenderaan kompak mencatatkan jualan sebanyak 2,316 unit; A-Class (1,034), CLA (638) dan GLA (571) unit terjual, dengan bakinya terdiri daripada jualan bagi model B-Class. Ini bagaimana pun menurun 18% jika dibandingkan dengan jualan kategori kenderaan yang sama pada 2015.
Bagi kenderaan limosin pemasangan tempatan pula, sebanyak 7,750 unit terjual; C-Class (4,762), E-Class (2,034) dan S-Class (954) unit semuanya. Namun, berbanding 2015, angka ini juga bagaimana pun menurun sebanyak 3%.
Bagi segmen SUV Mercedes-Benz, sejumlah 1,671 unit terjual; dengan pecahan bagi GLE (250) dan GLC (1,421) unit. Terakhir, barisan kenderaan Dream Cars, dengan 301 unit terjual tahun lalu.
Dari aspek pengeluaran pula, lapan model Mercedes-Benz merupakan model pemasangan tempatan (CKD) di Pekan, Pahang. Secara keseluruhannya, 7,882 unit kenderaan dikeluarkan tahun lalu, mencatatkan 2.2% peningkatan berbanding 2015.
Lapan model yang dimaksudkan ialah Mercedes-Benz C180 Avantgarde, C200 Exclusive, C200 Avantgarde, C250 AMG, E-Class terbaru, S400h AMG dan SUV CKD pertama mereka, GLC250 AMG, serta kenderaan plug-in hybrid pertamanya yang dipasang di sini, Mercedes-Benz C350e.
Bagi khidmat lepas jualan, Mercedes-Benz kini mempunyai 29 rangkaian pengedar premium di seluruh negara, dengan matlamat untuk memberikan pengalaman tersendiri kepada pelanggan mereka. Sejumlah 108,226 unit kenderaan juga dikendalikan bagi tujuan servis dan penyelenggaraan; angka ini meningkat 18% berbanding tahun sebelumnya.
Ekoran berita mengenai Perodua bakal memberikan 15 buah Myvi secara percuma sempena ulangtahun pada April 2017 yang tersebar menerusi Facebook baru-baru ini, Pengarah Urusan Perodua Sales Sdn Bhd, Dato’ Dr. Zahari Husin, telah menyangkal dakwaan ini.
Katanya, akaun Facebook di bawah nama “Perodua Malaysia Company” (sila rujuk screeshot di atas) adalah tiada kaitan sama sekali dengan Perodua.
“Saya ingin menegaskan di sini bahawa, akaun Facebook terbabit tiada kaitan dengan kami, dan ia bukanlah laman media sosial rasmi kami. Kami menyarankan agar orang ramai hanya rujuk saluran rasmi kami untuk semua kempen dan promosi yang sedang atau pun bakal dianjurkan,” ujar Zahari.
Saluran rasmi Perodua ialah “MYPerodua” bagi Facebook, laman web rasmi pula www.perodua.com.my, di Instagram pula menggunakan akaun “MYPerodua_instagram” dan laman web pelanggan setia www.ufirst.com.my.
Hujung minggu ini, Perodua akan menganjurkan karnival MYPerodua Nation mulai 20 hingga 22 Januari di Aeon Mall Shah Alam (tempat parkir terbuka), dan semua rakyat Malaysia dijemput untuk memeriahkannya. Menariknya, para pengunjung berpeluang memenangi Perodua Axia, di samping pelbagai lagi hadiah menarik menerusi aktiviti cabutan bertuah. Selain itu, acara ini juga akan dihiburkan oleh persembahan artis popular, penampilan istimewa selebriti dan juga tayangan filem secara terbuka.
Honda City dalam penawaran facelift terbarunya dilancarkan untuk pasaran Thailand hari ini. Apa yang berubah? Ia kini diberi kemaskini rekaan yang lebih sporty dan sentuhan yang lebih mewah.
Paling ketara ialah rupa dari bahagian depannya. Antara yang cepat menarik perhatian ialah rekaan gril yang kini tampil dengan kemasan krom yang lebih menonjol, dan selari dengan wajah hadapan model-model semasa Honda yang berada dalam pasaran kini. Turut diberi pembaharuan ialah bahagian bampar depan dan belakang, dan disertakan dengan lampu nyalaan siang LED buat pertama kali di sana.
Bahagian dalaman juga menerima beberapa perubahan. Kemasan atau trim gun-metallic pada konsol serta rekaan upholstery kulit baharu diterapkan pada kerusi di bahagian depan. Antara peningkatan ciri lain adalah tersedianya teknologi capaian bagi kedua-dua telefon dengan sistem Android dan iOS.
Tidak ketinggalan ialah LED Interior Map Lights serta lampu LED dalaman. Honda City 2017 facelift ini juga dilengkapi dengan ciri sistem kawalan canggih; skrin sentuh dan paparan sistem audio dengan sambungan tanpa wayar kepada telefon pintar melalui Bluetooth, Paddle Shift bagi tujuh-kelajuan serta suis kawalan audio yang membolehkan pemandu/penumpang menjawab panggilan telefon melalui sistem audionya.
Selain itu, ciri Eco Coaching turut tersedia, begitu juga dengan One-Push Ignition System dan Honda Smart Key System. Rim aloinya juga menerima sentuhan baru yang lebih sporty, sesuai dengan setiap penambah baikan yang dilakukan secara keseluruhannya terhadap penampilan model berkenaan.
Bagaimanapun, tidak banyak perubahan dari segi spesifikasi teknikal atau output enjinnya. Dilengkapi dengan enjin 1.5 liter SOHC i-VTEC dengan janaan kuasa 117 hp pada 6,000 rpm dan 146 Nm tork pada 4,700 rpm. Kekal menggunakan transmisi CVT (Earth Dreams Technology), ia menawarkan penggunaan petrol sekitar 17.9 km/l, dan 18.2 km/l bagi versi manual.
Dari segi ciri keselamatan, ia dilengkapi dengan enam beg udara, Vehicle Stability Assist (VSA); Hill Start Assist (HSA); Emergency Stop Signal (ESS); dan Multi-angle Rearview Camera.
Ia ditawarkan dalam enam varian seperti berikut; SV+ CVT (751,000 Baht – RM94,700), SV CVT (736,000 Baht – 92,800), V+ CVT (689,000 Baht – RM86,900), V CVT (649,000 Baht – RM81,800), S CVT (589,000 Baht – RM74,200) dan S MT (550,000 Baht – RM69,300).
Enam pilihan warna ditawarkan – Modern Steel Metallic, Crystal Black Pearl, Lunar Silver Metallic, Taffeta White, White Orchid Pearl, dan warna baru Cosmic Blue Metallic dengan kabin hitam sepenuhnya.
Selain mempertontonkan model lumba Cayman GT4 Clubsport MR dalam satu acara di Sepang, pengedar rasmi kenderaan Porsche di Malaysia, Sime Darby Auto Performance turut mengumumkan harga baru untuk kenderaan mereka bagi tahun 2017, yang dikatakan menerima kesan daripada kadar pertukaran mata wang asing yang tidak memihak kepada Ringgit Malaysia. Harga ini adalah tidak termasuk insurans, cukai jalan dan pendaftaran.
Walaubagaimanapun, masih ada model yang masih dijual pada harga sama, termasuk 718 Boxster – RM480,000 untuk model standard dan RM620,000 untuk model 718 Boxster S. 911 facelift juga tidak mengalami perubahan harga, di mana model Carrera dijual pada RM870,000, Carrera S RM970,000 dan Carrera 4S (pacuan empat roda) RM1,040,000.
Cayenne S juga masih dijual pada harga RM820,000, sementara Cayenne GTS dijual pada RM960,000 (harga untuk dua model ini telah dinaikkan sebanyak RM60,000 tahun lepas). Akhir sekali, model asas Macan dijual pada harga RM10,000 lebih berbanding sebelum ini, iaitu kini menjadi RM425,000. Macan yang lain masih mempunyai harga sama iaitu RM610,000 untuk model S, RM590,000 untuk model S Diesel, RM710,000 untuk GTS dan RM840,000 untuk Turbo.
SDAP turut memperkenalkan program pemanduan Introduction to Porsche yang akan diberikan secara percuma kepada pelanggan Porsche empat pintu baru untuk tahun 2017. Program ini akan dijalankan di Litar Antarabangsa Sepang (SIC), dan melibatkan latihan peningkatan kemahiran pemanduan oleh pelatih Porsche.
Faktor harga bagi Hyundai Ioniq Hybrid yang dilancarkan November lalu menjadi antara kelebihannya – namun, perkara itu tidak lama, sekurang-kurangnya bagi varian paling tinggi, HEV Plus. Harganya kini meningkat menjadi RM114,008.
Sewaktu pelancarannya, varian berkenaan dijual pada harga RM110,828 atas jalan tanpa insurans, sebelum dinaikkan kepada harga baru berkenaan – naik sebanyak RM3,175. Walaupun begitu, ia kekal menjadi sebuah kereta dengan penawaran nilai yang sangat berbaloi, mengambil kira senarai spesifikasi serta ciri keselamatan yang melengkapinya.
Antara ciri yang dipasang adalah Smart Cruise Control (SCC), Autonomous Emergency Braking (AEB) dan Lane Keeping Assist System (LKAS). Varian standardnya bagaimana pun kekal dijual pada harga RM100,328.
Ioniq dilengkapi enjin 1.6 liter Kappa GDI, suntikan terus dengan kitaran Atkinson; ia menjana 105 PS pada 5,700 rpm dan tork 147 Nm pada 4,000 rpm. Ia didakwa mampu mencapai kadar kecekapan suhu (thermal efficiency) yang tinggi iaitu 40%.
Motor elektrik yang digunakan pula menghasilkan 44 PS kuasa dengan 170 Nm tork, dilengkapi juga dengan bateri lithium-ion polymer (LiPo) 1.56kW dan transmisi automatik klac berkembar (DCT) enam-kelajuan. Output keseluruhan kereta ini ialah 141 PS dan 265 Nm tork. Menurut Hyundai, kecekapan motor elektrik ini mencecah kadar 95%, sementara kotak gear DCT juga mampu mencapai kadar kecekapan 95.7%.
Untuk mengetahui dengan lebih lanjut berkaitan model ini, anda boleh rujuk laporan pandu uji yang sempat kami sediakan sebelum ini.
Selepas dipertonton buat pertama kali semasa Los Angeles Auto Show 2015, Porsche Cayman GT4 Clubsport singgah di Malaysia dalam satu acara yang diadakan di litar go-kart Sepang. Model ini adalah diasaskan daripada Cayman GT4 versi jalanan, namun diubah suai untuk kegunaan perlumbaan.
Ia dijanakan oleh enjin 3.8 liter enam silinder yang sama, digabungkan dengan transmisi automatik enam kelajuan Porsche Doppelkupplung (PDK) dan datang dengan penukar gear di stereng. Kuasa sebanyak 385 ps dapat dihasilkan oleh kenderaan berspesifikasi lumba ini, dan ia disampaikan kepada roda melalui LSD perlumbaan dan flywheel dual mass.
Berat keseluruhan kenderaan ini hanya 1,300 kg dan ia dapat dicapai dengan penggunaan gentian karbon pada bahagian seperti pintu, tempat duduk dan spoiler belakang, serta pengurangan berat pada bahagian-bahagian lain, seperti yang boleh dilihat pada bahagian dalamnya yang ‘kosong’.
Kelengkapan lain yang menjadikan kenderaan ini terletak dalam kelas GT4 termasuk tangki minyak keselamatan 100 liter FT3 dengan injap pemutus keselamatan, sistem pemadam kebakaran, sistem jack angin, cermin polycarbonate dan jaring di pintu. Pendingin hawa juga disediakan sebagai pilihan.
Porsche GT4 Clubsport versi Manthey Racing (MR) seperti yang dilihat dalam gambar ini adalah milik syarikat pengedar rasmi kenderaan Porsche di Malaysia iaitu Sime Darby Auto Performance sendiri.
Bagi pelanggan yang inginkan spesifikasi seperti ini, MR menyediakan pilihan pelbagai aksesori seperti bateri lithium-ion lebih ringan, lampu tambahan pada bampar hadapan, rim BBS, pelindung bahagian bawah kenderaan, sistem minuman untuk pemandu, serta tempat duduk Recaro untuk penumpang, berserta tali pinggang keselamatan six-point.
Porsche Cayman GT4 Clubsport MR dijual pada harga 159,990 Euro (RM747,811), di mana 127,900 Euro (RM597,807) adalah harga untuk kereta asas dan 32,090 Euro (RM149,986) untuk kit Manthey Racing. Cayman GT4 untuk kegunaan jalan biasa dijual di Malaysia pada harga RM840,000 tidak termasuk pendaftaran, cukai jalan dan insurans.
Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) telah menarik balik lesen pemandu teksi serta permit kenderaannya yang terlibat di dalam kes mengenakan kadar tambang sehingga RM800 terhadap pelancong Perancis bulan lalu, lapor Bernama.
SPAD di dalam sebuah kenyataan memaklumkan, ini adalah berikutan aduan yang diterima daripada pelancong berkenaan yang menggunakan perkhidmatan teksi dari KLCC ke Masjid Negara pada 17 Disember tahun lalu. “SPAD akan mengambil tindakan undang-undang terhadap pemandu berkenaan. Sekiranya di dapati bersalah, dia akan di denda atau berdepan hukuman penjara.
“Individu yang terlibat juga akan disenarai hitam untuk mengelakkan dia daripada memperolehi lesen di masa hadapan,” jelas kenyataan itu. Tindakan penarikan balik lesen itu diambil kerana pemandu berkenaan telah melanggar Seksyen 22 Akta Pengangkutan Awam Darat 2010.
“Menurut seksyen berkenaan, seorang pemandu yang berdaftar dengas SPAD secara sah perlu menyediakan perkhidmatan teksi dengan menggunakan meter untuk menentukan kadar tambang, serta mengeluarkan resit bagi satu-satu perjalanan yang dibuat,” seperti yang dijelaskan di dalam kenyataan berkenaan.
Toyota Prius c telah pun dipertingkatkan bagi 2017 di Amerika Syarikat. Lebih banyak elemen keselamatan dan gaya yang lebih sporty ditampilkan bagi model baharu tahun ini.
Kini Toyota Prius c didatangkan secara standard dengan teknologi bantuan pemandu Toyota Safety Sense C (TSS-C) untuk semua gred modelnya. Sistem TSS-C yang pernah ditawarkan secara pilihan untuk dua gred Prius c untuk 2016, termasuklah Pre-Collision System (PCS), Lane Departure Assist dan Automatic High Beam.
Toyota berkata, mereka merancang untuk menyeragamkan brek kecemasan automatik untuk semua model menjelang akhir 2017. Ia meletakkan Toyota dan Lexus empat tahun ke hadapan bagi model buatan 2022 yang disasarkan oleh industri ketika diumumkan oleh National Highway Traffic Safety Administration (NHTSA) dan Insurance Institute for Highway Safety (IIHS).
PCS, yang beroperasi dalam kelajuan sekitar 11 hingga 137 km/j, menggunakan kamera dan laser beam untuk mengesan kenderaan di hadapan. Jika PCS mengesan kemungkinan mampu menyebabkan perlanggaran, ia akan mengeluarkan bunyi dan visual untuk mendorong pemandu mengambil langkah yang lebih pantas termasuk membrek.
Sekiranya pemandu dapat membrek, PCS boleh memberikan lebih tekanan brek tambahan dengan menggunakan Bantuan Brek (BA). Sekiranya pemandu gagal membrek tepat pada waktunya, sistem ini secara automatik akan membrek, membantu mengurangkan kelajuan kira-kira lebih kurang 30 km/j untuk mengurangkan impak, dan sedaya upaya mengelak berlakunya perlanggaran. Lingkungan operasi bagi brek automatik ini sekurang-kurangnya 80% bagi perlanggaran belakang (sekitar 10 hingga 80 km/j).
Selain itu, luarannya juga telah direka semula termasuk bahagian hadapan, bampar belakang, panel ‘rocker’ sisi dan spoiler belakang untuk memberikan kesan yang lebih sporty. Tiada perubahan yang besar dari model facelift 2015. Semua gred juga akan dilengkapi dengan roda aloi 15-inci, bersama pilihan aloi aluminium 16-inci untuk Prius c Four.
Warna pilihan bagi luaran seperti Absolutely Red, Blue Streak Metallic dan Tangerine Splash Pearl mungkin tidak begitu ideal bagi Witness Protection Program, ujar Toyota.
Selepas mengalami penurunan jualan kenderaan yang kurang memberangsangkan pada tahun lalu, industri automotif tempatan dijangka mencatatkan pertumbuhan pada 2017. Menurut Penganalisis Hong Leong Investment Bank (HLIB), Daniel Wong, terdapat dua faktor utama yang bakal mempengaruhi jualan kenderaan di negara ini ialah pelancaran model baharu dan pemulihan sentimen pengguna.
Laporan yang disiarkan oleh Berita Harian ini menyebut, HLIB menjangka jumlah keseluruhan industri (TIV) bagi 2017 akan mencecah 600,000 unit, meningkat 5% berbanding setahun lalu.
Katanya, pengeluar kenderaan yang melancarkan model baharu pada separuh kedua 2016 dan 2017 berkemungkinan mampu menguasai pasaran. Kesan “Trading Down” atau mengurangkan sebahagian ciri pada kenderaan bagi disesuaikan dengan kehendak pelanggan pada 2017 akan memberikan kelebihan daya saing kepada pengeluar kereta nasional, daripada 46.7% kepada 48.2%.
“Dijangkakan Toyota dan Nissan tidak akan melancarkan sebarang model baharu pada tahun ini. Proton pula akan kekal meraih penguasaan pasaran pada 2017 hasil sumbangan penuh model baharu yang dilancarkan pada suku keempat 2016 dan satu lagi model pada tahun ini. Bagaimanapun, secara keseluruhannya 2017 akan menjadi satu lagi tahun yang mencabar kepada industri automotif,” ujar Wong lagi.
Selain pelancaran model baharu, Wong turut berkata, “Kami jangka keyakinan pengguna secara perlahan-lahan akan meraih momentum pada 2017, apabila mereka mula menyesuaikan diri dengan keadaan pasaran. Ia termasuk kebimbangan terhadap kelemahan ringgit, harga bahan api lebih tinggi, pengurangan subsidi dan kenaikan kos pengangkutan.”
Tambahnya lagi, awal tahun ini pengguna berkemungkinan menangguhkan pembelian barangan besar termasuk kereta dan mengekalkan status semasa seperti menggunakan kereta sedia ada, berkongsi kereta atau pengangkutan awam bagi mengehadkan komitmen kewangan masing-masing. Apatah lagi sistem pengangkutan awam di negara ini yang telah dipertingkatkan termasuk operasi sambungan LRT dan laluan MRT. Ini mendorong orang ramai memilih untuk menggunakan pengangkutan awam dan mengurangkan kecenderungan membeli kereta yang lebih selesa.
“Justeru, permintaan bagi kereta dijangka kurang memberangsangkan sekurang-kurangnya pada separuh pertama 2017, sebelum mencatatkan peningkatan menuju ke penghujung tahun apabila pengguna secara beransur membiasakan diri dengan perubahan pasaran,” katanya.
Dalam masa yang sama, Wong turut berkata kelemahan ringgit berbanding mata wang lain khususnya dolar AS dan yen meningkatkan secara mendadak struktur kos input pengeluar dan menjejaskan margin mereka sejak dua tahun lalu.
“Sama dengan situasi pada 2016, kami percaya sebarang kenaikan harga yang cuba dilakukan pengeluar hanya akan memakan diri dan sebaliknya mereka masih perlu bergantung kepada strategi pemasaran jualan agresif bagi meningkatkan jumlah jualan,” katanya.
Subaru Impreza generasi kelima secara rasminya dilancarkan di Singapore Motor Show hari ini, selepas beberapa bulan lalu Kereta Tahunan Jepun 2016-2017 ini tampil buat kali pertama di New York International Auto Show tahun lalu.
Untuk pasaran Singapura, pengedar serantau Subaru, Motor Image, menawarkan kereta di bawah segmen-C ini sama ada dalam bentuk sedan empat-pintu atau hatchback lima-pintu, setiap satunya dengan tiga varian untuk dipilih iaitu 1.6i, 1.6i-S dan 2.0i-S.
Semua varian Impreza ini didatangkan dengan sistem Symmetrical AWD Subaru dan automatik Lineartronic CVT, dipadankan sama ada dengan enjin FB16 1.6 liter empat-silinder (114 PS pada 6,200 rpm, 150 Nm pada 3,600 rpm) atau enjin yang dipertingkatkan FB20 2.0 liter suntikan-terus empat-silinder (156 PS pada 6,000 rpm, 196 Nm pada 4,000 rpm). Malahan sistem henti melahu turut didatangkan secara standard buat semua varian.
Merupakan model pertama yang dibina dengan Subaru Global Platform serba baharu, Impreza baharu ini juga dikatakan telah menjalani peningkatan signifikan berbanding generasi sebelumnya, bagi sudut NVH, dinamik pemanduan dan keselamatan.
Platform baharu ini turut didatangkan dengan jarak roda yang lebih panjang iaitu 2,670 mm (+20 mm), dan terdapat juga perubahan bagi dimensi kereta ini juga. Kini Impreza berukuran 40 mm lebih panjang bagi sedan (4,625 mm) dan hatchback (4,460 mm), 1,775 mm lebar (-20 mm) dan 1,480 mm tinggi (+5 mm).
Malah kerangkanya juga telah disemak semula sepenuhnya dengan falsafah rejaan ‘Dynamic x Solid’ seperti mana yang pernah dipertontonkan pada model konsep di Tokyo dan Los Angeles pada 2015.
Kini ia turut menampilkan imej yang lebih berketerampilan, termasuk gril hadapannya dengan kepingan tunggal yang turut menempatkan logo di tengahnya. Malahan varian 1.6i turut dilengkapi dengan lampu utama halogen (1.6i-S dan 2.0i-S menerima responsif-stereng, unit LED automatik dengan lampu nyalaan siang LED berbentuk-C). Kesemua varian turut menerima lampu kabus hadapan.
Selain itu, model asas 1.6i menerima roda aloi 16-inci dibaluti tayar 205/55, sementara unit 17-inci (dengan tayar 2.5/50) untuk 1.6i-S dan 2.0i-S. Di belakangnya, ia turut dilengkapi dengan lampu baharu yang lebih berkilat berbanding sebelum ini.
Lebih kurang sama dengan lain-lain model Subaru, ia juga ditampilkan dengan grafik pencahayaan berbentuk-C seperti pada Forester dan XV. Lain-lain elemen luaran termasuklah cermin sisi boleh dilipat secara elektronik dengan lampu isyarat LED, bumbung matahari berkuasa dan pembersih lampu utama untuk semua varian kecuali 1.6i.
Bahagian kabin juga telah diberi perubahan besar-besaran, termasuk menampilkan rekaan papan pemuka baharu (bagi spesifikasi Jepun yang dilihat di sini) dengan lebih bersudut dan kontemporari berbanding model sebelumnya. Elemen baharu lain termasuklah roda stereng, tuil gear, peralatan suis dan kluster instrumen. Tidak seperti pasaran lain, Impreza spesifikasi Singapura turut didatangkan dengan brek parkir elektronik untuk semua variannya.
Elemen yang paling menyerlah di sini ialah sistem infotainmen dengan skrin sesentuh, iaitu unit 6.5-inci untuk 1.6i, sementara dua lagi varian masih kekal dengan skrin 8.0-inci. Kedua-dua sistem didatangkan dengan sambungan Apple CarPlay, arahan pengesan suara, USB dan AUX.
Di atas paparan pelbagai-info 6.3-inci, menunjukkan informasi termasuk suhu luaran, ekonomi bahan api dan lain-lain fungsi kenderaan. Bagi varian tertinggi ‘S’ turut memiliki sistem ‘gred tertinggi’, menurut Motor Image.
Bagi varian 1.6i-S dan 2.0i-S, ia dilengkapi dengan penghawa dingin automatik dwi-zon, operasi tanpa kunci, kamera pandang belakang, tempat duduk pemandu larasan berkuasa, akses kod PIN (seperti Forester), cermin pandang belakang pengelaman (dimming) auto, pedal aluminium dan roda stereng pelbagai-fungsi secara standard.
Bagi aspek keselamatan pula, kit yang lebih komprehensif turut ditawarkan secara standard buat semua varian iaitu tujuh beg udara (hadapan, sisi, tirai dan bahagian lutut pemandu), Kawalan Dinamik Kenderaan (VDC), cagak ISOFIX, reinforcement beams untuk pintu tepi, ABS, EBD dan bantuan brek.
Walau bagaimana pun, varian 1.6i tidak menerima paparan titik buta, bantuan lampu tinggi, bantuan penukaran lorong dan kepekaan lintasan trafik di belakang.
Walau bagaimana pun, kami dimaklumkan, Impreza biasa ini tidak akan ke pasaran Malaysia, namun ia boleh menjadi prebiu buat XV generasi akan datang. Malah sebelum ini, kami juga pernah memaklumkan kilang pemasangan Tan Chong di Segambut yang memasang XV dan Forester, juga telah bersedia untuk memulakan operasi bagi model Subaru dengan menggunakan platform generasi akan datang, termasuk XV serba baharu.
Beberapa hari ini, makin bertebaran berita menerusi laman media sosial dan Internet mengenai Perodua Axia 2017 yang bakal dilancarkan tidak lama lagi. Malah sudah ada jurujual Perodua yang menyebarkan risalah promosi bagi Axia facelift ini. Walau bagaimana pun, pihak Perodua sendiri masih mengunci mulut mengenai perkara ini, ternyata masih belum bersedia untuk menguar-uarkannya.
Menurut apa yang disebarkan, terdapat beberapa ciri baharu yang bakal ditampilkan untuk Axia 2017 ini. Ini termasuklah bampar hadapan dan belakang baharu serta unit lampu utama projektor baharu.
Malahan Perodua turut memberikan enjin baharu untuk Axia ini, iaitu 1.0 liter VVT-i, unit penjana kuasa yang sama dengan Bezza. Ia adalah bagi menggantikan enjin yang dipadankan pada Axia terdahulu yang dilancarkan pada September 2014, iaitu 1.0 liter 12-injap DOHC.
Model semasa Perodua Axia Advance
Selain itu, ia turut menampilkan sistem kemasukan pintar dan butang penghidup enjin, tetapi hanya untuk varian SE dan Advance sahaja.
Bukan itu sahaja, Axia 2017 juga bakal dilengkapi dengan sistem navigasi multimedia DVD baharu dengan Mirror Link untuk telefon pintar Android. Malah terdapat sumber yang menyatakan lampu belakang juga akan menampilkan mekanisma operasi baharu.
Menurut risalah yang tersebar di laman media sosial, warna sedia ada termasuk Lava Red, Midnight Blue, Ebony Black dan Glittering Silver (semuanya metalik), serta Sunflower Yellow dan Ivory White (kedua-duanya warna solid). Namun terdapat dua warna untuk varian Standard E dan G yang digugurkan iaitu Cherry Blossom dan Lemongrass Green.
Walau bagaimana pun, semua perubahan yang dinyatakan di atas hanya berdasarkan khabar yang bersebaran di Internet. Untuk kesahihannya, kenalah tunggu perkembangan selanjutnya daripada pihak Perodua sendiri.