Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Haval M4 kini dikenali sebagai H1 – hanya 6AMT, ECS untuk semua varian, harga bermula RM60k

    Haval M4 kini dikenali sebagai H1 – hanya 6AMT, ECS  untuk semua varian, harga bermula RM60k

    Telah pun diperkenalkan sejak tahun 2014 di pasaran Malaysia, namun kini ia mengalami sedikit revolusi dengan membawakan nama baharu dan dikenali sebagai Haval H1. Ia adalah sebagai salah satu langkah strategik Haval dalam usaha melonjakkan reputasi jenama ini di pasaran antarabangsa.

    Membawakan tiga varian, sama seperti model terdahulu, iaitu Comfort, Premium dan Elite, harganya juga turut dikekalkan. Di mana Haval H1 Comfort ditawarkan pada harga RM60,017, manakala varian Premium pula berharga RM65,852. Bagi varian Elite pula, ia berharga RM72,659. Ia turut didatangkan dengan jaminan selama tujuh-tahun tanpa had perbatuan.

    Bermula 1 Januari 2017, Haval turut memperkenalkan ‘Buy Back Guarantee’ dengan memberikan jaminan 50% nilai kenderaan dalam tempoh lima tahun akan datang. Ini bermakna Haval akan membeli semula pada harga 50% daripada jualan sekiranya pemilik menjual kenderaan ini dalam tempoh lima tahun.

    Haval M4 kini dikenali sebagai H1 – hanya 6AMT, ECS  untuk semua varian, harga bermula RM60k

    H1 dijanakan oleh enjin 1.5 liter empat-silinder sebaris DOHC Electronic Throttle VVT MPI Gasoline yang mampu memberikan kuasa sehingga 78 kW pada 6,000 rpm dan tork 138 Nm pada 4,200 rpm. Ia juga didatangkan dengan dua pilihan transmisi iaitu automatik enam-kelajuan, dengan sistem pacuan roda-hadapan.

    Jika sebelum ini, ada pilihan transmisi manual, kini ia telah pun digugurkan daripada pasaran Malaysia.

    Malah Haval turut mendakwa, model H1 ini diyakini mampu memberikan penjimatan bahan api sehingga enam liter bagi setiap 100 km dengan penggunaan emisi standard Euro IV.

    Bagi memberikan pengendalian yang lebih mantap, H1 ini turut dipadankan dengan sistem suspensi topang MacPherson Independent untuk bahagian hadapan dan Trail Arm Torsion Bar Composite bagi bahagian belakang. Manakala untuk sistem brek pula, ia dikuasai oleh cakera Ventilated yang mengawal keempat-empat tayar.

    H1 memiliki ukuran 3,961 mm panjang, selebar 1,728 mm, ketinggian 1,617 mm dan jarak lebar pula 2,383 mm.

    Haval M4 kini dikenali sebagai H1 – hanya 6AMT, ECS  untuk semua varian, harga bermula RM60k

    Menurut Haval, antara elemen baharu yang ditampilkan pada H1 ini ialah gril krom yang lebih sporty dan menampilkan logo Haval pada roda stereng, but dan tempat duduk.

    Bagi membezakan antara variannya, H1 Elite dilengkapi dengan lampu hadapan halogen LED, lampu kabus dan lampu nyalaan siang. Selain itu, ia juga didatangkan dengan kamera undur (varian Premium juga memilikinya), selain perehat tangan dan perakam video digital.

    Elemen standard yang ada pada semua varian pula termasuklah butang kawalan audio, kawalan kelajuan dan Bluetooth pada roda stereng balutan kulit, tempat duduk pemandu dan penumpang hadapan dengan empat-cara pelarasan manual, dan punca kuasa 12V.

    Haval M4 kini dikenali sebagai H1 – hanya 6AMT, ECS  untuk semua varian, harga bermula RM60k

    Varian Premium dan Elite menerima padanan tempat duduk kulit untuk bahagian pemandu, sementara fabrik bagi varian Comfort. Kedua-dua varian tertinggi itu juga menerima cermin pandang belakang dengan penyangkut smart tag serta MP5 dan pemain double Dins dengan DVD dan navigasi (hanya DVD untuk H1 Comfort).

    Bagi aspek keselamatan, kini Kawalan Kestabilan Elektronik (ESC) ditawarkan untuk semua varian, sebelum ini, ia hanya ada pada varian Elite sahaja. Selain itu, ia turut dilengkapi dengan ABS dengan EBD, Bantuan Brek, Bantuan Mula Mendaki, TCS Draft Control dan Isofix.

    Haval H1 ditawarkan dengan enam pilihan warna iaitu Titanium White, Sky Silver, Fashionable Orange, Pearl Black, Ocean Blue dan Jazz Red.

    Bagi pengetahuan, Haval H1 di pasaran Malaysia adalah berbeza sama sekali dengan model pasaran negara asalnya, China.

     
     
  • GALERI: Toyota 86 bersama sumber inspirasinya – GT2000, Celica, AE86, GTi AE92, MR2 AW11, Supra

    GALERI: Toyota 86 bersama sumber inspirasinya – GT2000, Celica, AE86, GTi AE92, MR2 AW11, Supra

    Sejak mula diperkenalkan, Toyota 86 (GT86 untuk pasaran Eropah) dianggap sebagai penyambung legasi kepada kereta sport ringan, mampu milik, pacuan belakang keluaran Toyota – Toyota Corolla AE86. Namun, jika model generasi baharu ini merupakan model ini sambungan dari generasi terdahulu, mengapa kod casisnya tidak berkesinambungan dengan AE86 dan tidak diberikan nama Levin atau Sprinter Trueno?

    Menurut Toyota, 86 generasi baharu ini sebenar dibina bukan semata-mata sebagai gantian kepada AE86, malah ia turut mengambil insiprasi dari kereta-kereta sport ikonik Toyota terdahulu terutamanya Toyota GT2000 dan juga Toyota Sports 800.

    Jadi, serentak dengan penyiaran galeri GT86 versi facelift, Toyota turut mempertemukan kereta sports generasi baharu ini bersama model-model ikonik Toyota terdahulu yang masih disimpan sebagai koleksi warisan di muzium mereka.

    Toyota GT2000 merupakan kereta sport coupe dua pintu, pacuan roda belakang yang diproduksi Toyota antara tahun 1967 hingga 1970. Ia dikuasakan dengan enjin enam silinder sebaris 2.0 liter 3M dengan kepala silinder DOHC binaan Yamaha (merintis kepada kepala silinder DOHC siri “G” Toyota dan Yamaha selepas itu) dan disuap oleh tiga karburator perlumbaan side-draught Solex PHH 40.

    Enjin berkenaan dipadankan kotak gear manual lima-kelajuan, serta diberikan LSD pada gandar belakang bersama cakera brek pada semua roda secara standard – pertama seumpamanya dalam sejarah produksi kereta Jepun.

    Toyota Celica TA22 merupakan model generasi pertama dalam susur galur keluarga Celica. Model ini merupakan kereta sport flagship Toyota ketika mula diperkenalkan pada tahun 1970 dan nama Celica yang berasal dari bahasa Latin bermaksud “dari syurga” diberikan sempena kedudukan yang paling atas dalam hieraki barisan model keluaran Toyota.

    Ia ditawarkan dengan pelbagai enjin bermula dari 1.4 liter hingga 2.2 liter, namun antara yang paling berkuasa adalah enjin 2T-G 1.6 liter DOHC disuap dengan dua buah karburator perlumbaan Solex Mikuni dari varian 1600GT. Model liftback kemudiannya diperkenalkan pada tahun 1973 yang menampilkan bentuk badan seperti Ford Mustang dan varian tertinggi 2000GT versi berkenaan dijana oleh enjin 18R-G 2.0 liter DOHC.

    Toyota Corolla AE86 diperkenalkan pada tahun 1983 sebagai model tertinggi dalam barisan model Corolla generasi kelima (E80). Walaupun Corolla generasi berkenaan hadir sebagai model pacuan model hadapan, adik-beradik Levin dan Sprinter Trueno masih kekal dengan bentangan enjin hadapan pacuan belakang – dengan platform yang dibina bersama kebanyakkan komponen sama seperti Corolla generasi keempat (E70).

    Model tertinggi dengan kod casis AE86 (Levin dan Trueno turut ditawarkan dengan enjin 1.5 liter karburator diberikan kod casis AE85) dikuasakan dengan enjin 4A-GE 1.6 liter DOHC EFI digandingkan bersama kotak gear lima-kelajuan manual. Walaupun kuasa diberikan tidak terlalu besar, dengan berat yang rendah dan dimensi yang sempurna, model ini masih lagi beraksi sebagai jentera perlumbaan yang kompetitif diseluruh dunia ketika ini, menentang kereta-kereta yang jauh lebih muda.

    AE86 merupakan Corolla generasi terakhir yang menggunakan pacuan roda belakang. Masuk ke generasi keenam (E90), kesemua Corolla termasuk model berprestasi tinggi Levin dan Trueno dibina menggunakan platform pacuan roda hadapan yang sama. Namun Levin dan Trueno tidak dieksport ke Eropah, tetapi benua berkenaan menerima model istimewa Corolla GTi AE92.

    GTi pasaran Eropah ini dibina berasaskan Corolla versi liftback dan hatchback tiga-pintu. Walaupun memacu roda hadapan, enjin 4A-GE T-VIS ‘Big Port’ pada GTi ini masih mampu memberikan sensasi pemanduan yang mengujakan.

    Toyota MR2 merupakan kereta sport ringan Toyota yang diberikan enjin ditempatkan di bahagian tengah (antara belakang pemandu dan hadapan tayar belakang). Nama MR2 itu sendiri berasal dari ‘Mid-engine, Rear-wheel drive, 2 seater’, membuat kemunculan sulungnya pada tahun 1984 menerusi model generasi pertama AW11.

    Semasa diperkenalkan, ia dijana enjin 1.6 liter DOHC tanpa bantuan induksi paksaan 4A-GE sama seperti AE86, kemudian diberikan suapan supercharger menerusi enjin 4A-GZE pada tahun 1986. Evolusi MR2 diteruskan pada model generasi kedua SW20 pada tahun 1989 dan kemudian disambung oleh generasi ketiga ZZW30 yang diberi nama baharu – MR-S – pada tahun 1999.

    Toyota Supra sebenarnya berasal dari keluarga Celica – di bina sebagai model flagship jenama tersebut. Ia bermula dari Celica liftback generasi kedua yang diberikan nama Celica XX atau Celica Supra. Nama yang sama dibawa pada Celica generasi ketiga, dan akhirnya pada generasi keempat, kedua-dua model ini dipisahkan – Celica dibina sebagai kereta sport kompak pacuan roda hadapan/4WD, manakala Supra dibina sebagai kereta sports penuh pacuan roda belakang dengan enjin enam-silinder.

    Supra yang ditampilkan ini merupakan Supra generasi keempat, yang juga antara ikon kereta sport Jepun pada era 90’an, disamping Nissan Skyline GT-R dan Honda NSX. Ia ditawarkan dengan berberapa versi, antaranya 3.0 liter NA dengan enjin 2JZ-GE dan yang paling berkuasa dengan enjin 3.0 liter turbo berkembar 2JZ-GTE.

    Supra generasi baharu juga kini sedang dibangunkan oleh Toyota dengan kerjasama BMW. Jentera yang dijangka bakal membuat kemunculan sulung pada tahun hadapan tersebut kini dilihat sedang giat diuji di atas jalan raya dan juga di litar Nurburgring.

    Toyota 86 generasi baharu meneruskan legasi yang ditinggalkan oleh model-model sports terdahulu – memberikan keseronokan memandu sebenar kepada mereka yang gemar memandu dan bertanding secara aktif pada perlumbaan-perlumbaan diseluruh dunia. Pembinaan model facelift yang diberikan pelbagai penambahbaikkan pada kerangka dan juga sistem elektronik berserta “Track Mode” masih diketua oleh Ketua Jurutera Global Toyota – Tetsuya Tada.

    Selain dari model produksi, Toyota Eropah juga turut membina GT86-CS-R3 yang dibina berdasarkan spesifikasi undang-undang FIA WRC R3, yang membolehkannya bertanding di bawah mana-mana perlumbaan rali yang menggunakan regulasi berkenaan.

    Selain itu, Toyota Eropah turut membantu menyediakan 86 untuk Juara Formula Drift Dunia 2015, Fredric Aasbo. Jentera yang diberi nama Toyota Express Service 86-X berkenaan dijana oleh enjin 2JZ dari Supra, diolah semula bagi memberikan kapasiti keseluruhan 3.4 liter berkuasa 1,172hp/1,594Nm, digandingkan bersama transmisi ‘dog-box’ NASCAR Toyota.

     
     
  • BMW Motorrad catat peningkatan jualan 5.9 peratus – 145,032 m’sikal dijual di seluruh dunia, 1,004 di M’sia

    BMW Motorrad catat peningkatan jualan 5.9 peratus – 145,032 m’sikal dijual di seluruh dunia, 1,004 di M’sia

    BMW Motorrad terus menunjukkan peningkatan jualan selepas enam tahun secara berturut-turut, dengan bagi tahun 2016, ia mencatat peningkatan sebanyak 5.9 peratus. Jumlah ini menandakan sebanyak 145,032 buah motosikal dan skuter berjaya dijual, berbanding pada tahun lepas cuma 136,963 buah.

    Pasaran Eropah menjadi penyumbang utama kepada jualan BMW Motorrad, dengan Jerman mencatat 24,894 buah, diikuti 12,300 di Itali dan 9,520 di Sepanyol. Setiap negara ini menunjukkan peningkatan masing-masing sebanyak 4.5%, 10.3% dan 19.4%. Secara keseluruhannya, negara Eropah menunjukkan peningkatan 7.5%.

    Sementara itu di Asia, China mencatat permintaan tertinggi untuk motosikal BMW, dengan jumlah jualan meningkat 52.7%, pada 4,580 unit. Thailand pula menunjukkan peningkatan sebanyak 42.1% berbanding tahun sebelum ini, dengan keseluruhannya berjumlah 1,819 unit.

    BMW Motorrad catat peningkatan jualan 5.9 peratus – 145,032 m’sikal dijual di seluruh dunia, 1,004 di M’sia

    Untuk Malaysia, BMW Motorrad menjual sebanyak 1,004 buah motosikal pada tahun 2016, seterusnya mencatat peningkatan sebanyak 16% berbanding tahun lepas. Jumlah ini adalah peningkatan paling tinggi yang pernah direkodkan oleh BMW di Malaysia.

    Model paling laris dalam barisan motosikal BMW Motorrad adalah siri R, yang menggunakan enjin Boxer, di mana 53.6% daripada keseluruhan motosikal yang dijual adalah daripada model ini. Ia bersamaan 77,787 buah. Daripada jumlah ini, 25,336 buah adalah R 1200 GS, 21,391 GS Adventure dan 9,648 R 1200 RT.

    Bagi model sports, model siri S mencatat jualan sebanyak 23,686 unit, menandakan 16.3% daripada jumlah jualan keseluruhan BMW Motorrad. 9,016 buah adalah S 1000 RR, manakala 8,835 buah lagi adalah model S 1000 XR.

    Bagi tahun 2017, menurut presiden BMW Motorrad, Stephan Schaller, syarikat akan memperkenalkan 14 model baharu/ dikemas kini dan ini termasuk G310 GS pada separuh kedua tahun 2017, serta varian R nineT – ‘Pure’, ‘Racer’ dan ‘Urban G/S’, dan R nineT yang diperbaharui. Juga akan terdapat model baharu R 1200 GS, S 1000 R, K1600 GT dan GTL. Bagi tahun 2017, BMW Motorrad mensasarkan jumlah jualan sebanyak 200,000 buah motosikal.

     
     
  • Perodua catat perkongsian pasaran tertinggi pada 2016 dengan 35.7%; 207,100 unit kenderaan dijual

    Perodua catat perkongsian pasaran tertinggi pada 2016 dengan 35.7%; 207,100 unit kenderaan dijual

    Dengan suasana pasaran automotif dan ekonomi yang mencabar sepanjang 2016, Perodua berjaya menjual sejumlah 207,100 unit kenderaan secara keseluhannya, merangkumi semua model semasa yang ditawarkan dalam pasaran.

    Walaupun angka ini berkurangan jika dibandingkan dengan tahun sebelumnya sebanyak 3%, ia tetap membolehkan Perodua mencatatkan rekod tertinggi bagi kadar perkongsian pasaran dengan 35.7%, peningkatan sebanyak 3.7% perbanding 2015. Ini adalah berdasarkan angka jangkaan jumlah keseluruhan industri (TIV) 579,600 unit tahun lalu.

    Ini antara lain disumbang oleh model paling baru yang diperkenalkan pada Julai tahun lalu, Perodua Bezza, yang mencatatkan jumlah jualan sebanyak 36,000 unit sepanjang 2016. Bulan Disember pula mencatatkan rekod jualan tertinggi, dengan sejumlah 24,600 kenderaan Perodua didaftarkan.

    Bagaimanapun, bagi cabang servis dan penyelenggaraan, Perodua mencatatkan peningkatan yang positif. Jumlah kenderaan yang diterima untuk tujuan berkenaan tahun lalu ialah sekitar 2.03 juta unit, berbanding 1.96 juta; melibatkan peningkatan sebanyak 3%.

    Perodua catat perkongsian pasaran tertinggi pada 2016 dengan 35.7%; 207,100 unit kenderaan dijual

    Dari aspek jumlah pendapatan daripada servis pula, jumlah yang dicatatkan adalah lebih besar; RM682 juta berbanding RM600 juta pada 2015, dengan peningkatan sebanyak 14%.

    Bagi jumlah kenderaan yang dieksport, ia juga mencatatkan kenaikan sebanyak 6%. Jumlah eksport ke Indonesia mencatatkan jumlah terbesar, dengan 63%. Selain Indonesia, pasaran eksport bagi Perodua setakat ini kekal lima; termasuk Sri Lanka, Brunei, Mauritius dan Singapura.

    Bagi 2017, Perodua meletakkan sasaran yang lebih realistik. Jumlah jualan keseluruhan disasarkan sebanyak 202,000 unit, berkurangan sebanyak 2% berbanding 2016. Kadar perkongsian pasaran juga disasarkan sedikit rendah; 32.4%. Menurut Peodua, hal ini adalah disebabkan suasana pasaran yang kekal perlahan sepanjang tahun ini, disamping saingan dan penawaran model berbanding jenama lain yang semakin sengit.

     
     
  • MRT rekod 1.2 juta penumpang sejak mula beroperasi

    MRT rekod 1.2 juta penumpang sejak mula beroperasi

    Sejak mula beroperasi pada 16 Disember lalu, Tren Transit Aliran Massa (MRT) laluan Sungai Buloh-Kajang (MBK), sehingga semalam, perkhidmatan ini telah mencatatkan kira-kira 1.2 juta penumpang.

    Menurut CEO MRT SBK, Muhammad Isom Azis, antara 27,000 hingga 30,000 penumpang didapati menaiki MRT setiap hari dan bilangannya lebih tinggi pada hujung minggu atau cuti umum, laporan Berita Harian.

    “Kita meletak sasaran mengekalkan jumlah penumpang bermula hari ini memandangkan perkhidmatan MRT mula dikenakan caj selepas tempoh percuma berakhir semalam,” ujarnya kepada pihak media.

    Mulai hari ini, telah ditetapkan kadar tambang bermula dari 80 sen hingga RM3.90 bagi bayaran tunai dan antara 80 sen hingga RM3.40 penggunaan kad Touch n Go untuk perjalanan sehala.

    Dalam masa yang sama, Muhammad Isom turut mengingatkan penumpang MRT menjaga keselamatan dan tidak melakukan perbuatan yang membahayakan.

    “Kita menerima laporan mengenai tindakan sekumpulan penumpang yang mana seorang daripada mereka menahan pintu tren daripada ditutup bagi membolehkan rakan lain masuk. Perbuatan ini berbahaya dan kita akan mendidik penumpang supaya tidak melakukannya lagi. Begitu juga ada kanak-kanak yang bermain butang kecemasan dan perlu diingatkan supaya tidak menyentuhnya,” katanya.

     
     
  • Renault Driving Experience pertingkatkan pengalaman pemilikan, kesedaran pelanggan tentang jalan raya

    Baru-baru ini, TC Euro Cars (TCEC), pengedar Renault di Malaysia, telah menganjurkan acara Renault Driving Experience yang bermatlamat untuk mempromosikan aspek keselamatan jalan raya, selain meningkatkan pengalaman pemilikan buat para pemilik kenderaan Renault di Malaysia.

    Diadakan di Litar Antarabangsa Sepang, Renault Driving Experience merupakan lanjutan kepada acara Renault Track Day yang sudah dianjurkan beberapa kali setahun sejak tahun 2010. Direka untuk meningkatkan pengalaman pemilikan buat pemilik jentera Renault Sport, sesi trek berkelajuan tinggi itu menawarkan peminat sukan bermotor peluang untuk menajamkan kemahiran pemanduan masing-masing dalam persekitaran yang terkawal.

    Malah dalam masa yang sama, buat pertama kalinya TCEC turut menganjurkan satu kursus pemanduan defensif untuk pemilik Renault Captur dan Fluence untuk meningkatkan kesedaran dan menyampaikan kemahiran praktikal bagi pemanduan yang lebih selamat.

    “Kami mahu melengkapkan para pelanggan dengan beberapa kemahiran pemanduan defensif yang penting. Ini kerana banyak kemalangan boleh dielakkan jika pemandu lebih bersedia untuk memberi maklum balas ke atas pelbagai keadaan dan kondisi di atas jalan raya,” kata Ketua Pegawai Eksekutif TC Euro Cars, Kuan Kim Luen.

    Renault Driving Experience pertingkatkan pengalaman pemilikan, kesedaran pelanggan tentang jalan raya

    Berdasarkan kepada laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) 2015, walaupun jumlah kematian akibat kemalangan jalan raya di seluruh dunia kini meningkat kepada 1.25 juta, kecederaan di jalan raya sebenarnya menjadi punca kematian utama dalam kalangan golongan muda berusia 15-29 tahun.

    Sambung Kuan lagi, “Keselamatan jalan raya adalah masalah yang sangat penting dan relevan dengan perniagaan kami. Kursus pemanduan defensif ini bertujuan membantu meningkatkan kesedaran mengenai amalan srta teknik memandu yang selamat. Terutama apabila jumlah pemandu muda di negara ini kian meningkat. Jadi, ia mampu membantu mengurangkan kematian dan kecederaan akibat kemalangan.”

    Program Renault Defensive Driving Experience dimulakan dengan teori mengenai pentingnya mempunyai jarak pandangan yang jelas, menerusi mengkaji laluan di hadapan dan memahami masalah oversteering dan understeering. Peserta juga diajar tentang pentingnya menggunakan lampu isyarat membelok dan semua penumpang perlu memakai tali pinggang keledar, tip-tip memandu di lebuh raya ketika hujan, tidak memasang lampu kecemasan (hazard lights) ketika hujan lebat serta banyak lagi.

    Renault Driving Experience pertingkatkan pengalaman pemilikan, kesedaran pelanggan tentang jalan raya

    Peserta diajar tentang posisi duduk dan pemanduan yang betul. Ia memang penting untuk membolehkan mereka mengawal kereta sepenuhnya. Mereka diajar bagaimana untuk duduk dekat dengan stereng, boleh meletakkan pergelangan tangan di atas stereng, pada masa yang sama boleh menekan brek sepenuhnya. Posisi ini membolehkan mereka berada dalam posisi lebih baik untuk memberi tindak balas jika berlaku kecemasan.

    Kursus itu turut merangkumi penggunaan ciri-ciri keselamatan Renault seperti Brek Anti Kunci (ABS), Electronic Brake Force Distribution (EBD) dan Kawalan Kestabilan Elektronik (ESC).

    Dalam sesi praktikal, para peserta akan merasai sendiri pengalaman menggunakan sistem kawalan kestabilan dengan ESC ketika menangani masalah understeer atau oversteer. Pada masa sama, mereka diajar mengenai cara memegang stereng dengan betul (posisi pukul tiga dan sembilan). Posisi itu membolehkan input yang lebih pantas dan secara langsung. Peserta diajar bagaimana untuk melakukan pusingan pantas yang cukup berguna terutama ketika terpaksa mengelak halangan di hadapan.

    Mereka juga merasai sendiri pengalaman menguji keupayaan dan keberkesanan brek ABS yang membolehkan pemandu dapat mengawal kenderaan, walaupun ketika pedal brek ditekan keras. Latihan itu kemudian diteruskan dengan aktiviti menukar laluan dalam situasi cemas di mana pemandu perlu bergerak ke kiri dan ke kanan sebelum berhenti sepenuhnya. Ia diakhiri dengan latihan slalom yang membolehkan peserta menggabung dan mempraktikkan semua teknik pemanduan defensif yang telah dipelajari sepanjang hari.

    Seramai 30 orang pemilik kenderaan Renault mengambil bahagian dalam kursus pemanduan defensif ini yang dibahagikan kepada dua sesi. Sesi pertama pada waktu pagi dan sesi kedua pada sebelah petang.

    Sementara 25 orang pemilik jentera Renault Sport pula menghadiri sesi di litar untuk menguji kemahiran dan prestasi kereta. Mereka perlu menamatkan sebanyak mungkin pusingan di litar dalam tempoh empat jam yang ditetapkan untuk sesi pada waktu pagi itu.

    Sepanjang sesi berkenaan, mereka yang memandu model Megane R.S., Clio R.S. dan beberapa buah Megane R.S. 275 Trophy R sentiasa memeriksa catatan masa yang berjaya dilakukan. Bukan sekadar untuk melihat prestasi pemandu lain, malah untuk memadamkan rekod sendiri sebelum ini.

    Untuk mereka yang memandu buat kali pertama, jurulatih ada disediakan untuk memberi tunjuk ajar mengenai cara pemanduan dan pengenalian yang betul ketika berada di litar.

    TCEC mahu menganjurkan acara Renault Driving Experience pada setiap tahun untuk menawarkan sesi pemanduan di litar serta kursus pemanduan defensif kepada para pemilik Renault Sport dan Renault di Malaysia.

     
     
  • Perodua Axia facelift di pusat pameran – dari RM25k

    Perodua Axia facelift di pusat pameran – dari RM25k

    Di sini kami ada perincian serta gambar penuh Perodua Axia facelift 2017, lebih awal daripada pelancaran rasminya, memandangkan ia sudah berada di beberapa pusat pameran. Pertama kali muncul pada tahun 2014, kini Axia diberikan pembaharuan supaya lebih segar dalam pasaran.

    Walaupun ini adalah facelift pertengahan kitaran hayatnya, pembaharuan yang diberikan masih lagi minimal, tetapi tidak sekadar di luar sahaja. Enjin 1KR-VE tiga silinder 1.0 liter yang digunakan kini mempunyai teknologi pemasaan injap boleh ubah VVT-i, seperti yang diperkenalkan pada Bezza. Ini seterusnya menjawab keluhan pengguna awal Axia, memandangkan Viva juga sudah mempunyai teknologi itu (diletakkan sebagai DVVT).

    Perodua Axia facelift di pusat pameran – dari RM25k

    Kuasa maksimum enjin ini meningkat 1 hp dan 1 Nm, menjadikan keseluruhannya 67 hp pada 6,000 rpm dan 91 Nm tork pada 4,400 rpm, dihantar kepada tayar depan melalui pilihan kotak gear manual lima kelajuan dan automatik empat kelajuan, sama seperti sebelum ini. Perodua mendakwa versi manual boleh mencatat penggunaan bahan api lebih baik, sehingga 22.5 km/l berbanding sebelum ini 21.6 km/l.

    Bagi penampilannya, Perodua sekali lagi menggunakan lampu dan gril bertingkat, dengan varian Standard dan SE/Advance mendapat rupa yang unik. Kini, varian Standard E dan G mendapat lampu projector daripada model SE/Advance sebelum ini, dipadankan dengan bampar dan gril baharu.

    Lampu penunjuk arah pada fender hadapan dan rim 14 inci lapan cabang masih dikekalkan, tetapi bersama rekaan bampar dan lampu varian Standard. Satu penambahan baharu adalah pemegang pintu but, diletakkan di tempat lubang kunci pada model sebelum ini.

    Pilihan kit badan GearUp juga ditawarkan, dengan untuk bahagian luar, terdapat kemasan bampar hadapan, belakang dan side skirt, spoiler belakang, visor di cermin pintu dan pelekat hitam di tiang tengah kenderaan, manakala yang lain terdiri daripada karpet khas, alas untuk ruang simpanan barang, lapisan kalis bunyi di pintu dan hud, serta balutan khas untuk tempat duduk.

    Perodua Axia facelift di pusat pameran – dari RM25k

    Varian Axia yang lebih mahal dan sporty iaitu SE dan Advance menerima perubahan yang lebih ketara, dengan kini dilengkapi lampu projector bentuk baharu, gril baharu dan bampar seperti Honda Jazz. Perumah lampu kabus juga kini mempunyai kemasan krom dan gentian karbon hiasan.

    Pergi ke bahagian sisi, varian SE/Advance mendapat lampu penunjuk arah LED pada cermin sisi (sama seperti sebelum ini), rim 14 inci baharu daripada Bezza Advance dan butang kemasukan tanpa kunci pada pemegang pintu bahagian pemandu. Bampar belakang yang lebih tajam dan lampu belakang berwarna jernih tidak ditukar, tetapi pintu but belakang juga mendapat butang kemasukan tanpa kunci.

    Perodua Axia facelift di pusat pameran – dari RM25k

    Perubahan di bahagian dalam tidak begitu ketara. Semua model kini mendapat rekaan panel meter baharu, dengan pencahayaan lampu putih pada varian SE dan Advance; model yang lebih sporty ini juga menerima butang pemula enjin (terletak di sebelah butang untuk menutup pengesan jarak hadapan).

    Sementara itu, varian Advance mendapat skrin sesentuh sistem hiburan dan informasi baharu, dengan fungsi cerminan telefon Android ‘Smart Link’ (varian SE kekal dengan unit radio/CD/Bluetooth yang ringkas). Perubahan lain termasuk rekaan tempat duduk fabrik baharu pada varian Standard dan SE.

    Tiada perubahan pada bahagian keselamatan: masih tiada pengawal stabiliti elektronik (ESC), tetapi brek ABS diberikan terus kepada varian Standard G ke atas dan terdapat beg udara berkembar di hadapan, menjadikan kenderaan ini diiktiraf empat bintang dalam ASEAN NCAP. Harga juga telah dirombak semula, dengan kini dijual pada antara RM24,900 hingga RM42,900, dengan peningkatan sehingga RM2,773 (jika dibandingkan dengan spesifikasi yang sama). Rujuk grafik berikut untuk perincian penuh, bersama aksesori pilihan GearUp.

    Untuk maklumat lanjut atau sekiranya anda ingin membandingkan Perodua Axia dengan kenderaan-kenderaan lain, layari www.carbase.my.

    GALERI: Perodua Axia Advance 1.0 facelift

    GALERI: Perodua Axia Standard G 1.0 facelift dengan kit badan GearUp

     
     
  • Shell alami isu teknikal sistem – pelanggan tidak boleh menggunakan kad kredit untuk transaksi pembayaran

    Shell alami isu teknikal sistem – pelanggan tidak boleh menggunakan kad kredit untuk transaksi pembayaran

    Shell telah mengesahkan pihaknya kini sedang berhadapan dengan masalah teknikal yang melibatkan tapak sistem, yang memberikan kesan terhadap operasi bagi ratusan stesennya di seluruh negara.

    Menurut kenyatan yang dikeluarkan, isu ini bermula jam 1 pagi pada 16 Januari di mana pelanggan tidak boleh menggunakan kad kredit sebagai transaksi ketika membeli minyak.

    Setakat ini, 230 buah stesen Shell telah kembali beroperasi seperti biasa, dan menerima pembayaran secara tunai dan kad kredit. Manakala selebihnya hanya boleh menggunakan pembayaran secara tunai buat masa ini.

    Buat masa ini, Shell sedang bekerjasama dengan pembekal IT untuk mengesan dan memperbaiki masalah teknikal ini. Dalam masa yang sama, syarikat ini memohon maaf di atas segala kesulitan yang dihadapi oleh para pelanggan dan peruncitnya.

     
     
  • GALERI: Toyota GT86 facelift 2017 untuk Eropah

    GALERI: Toyota GT86 facelift 2017 untuk Eropah

    Toyota 86 atau dikenali sebagai GT86 versi facelift 2017 di Eropah sudahpun menembusi pasaran benua berkenaan pada September tahun lalu. Kini, Toyota Eropah telah menyiarkan galeri penuh jentera sport dua pintu yang telah pun disegarkan dan kemaskini dengan pelbagai ciri berkenaan.

    Versi facelift untuk pasaran Eropah ini menerima mod baharu dalam sistem kawalan stabilitinya iaitu ‘Track Mode’, membolehkan pemandu bermain dengan satu lagi talaan sistem berkenaan selain dari ‘Active Mode’ pada sistem standard atau mematikan terus sistem berkenaan.

    Bahagian luaran model ini adalah seiras dengan model pra-facelift, tetapi Toyota menegaskan bahawa model ini telah dirombak secara komprehensif. “Kami merombak sepenuhnya – terutamanya hasil dari maklumbalas teknologi dari penyertaan 86 dalam perlumbaan Nurburgring 24 Jam – dan ujian berterusan kereta ini pada semua jalan raya di seluruh dunia kerana kami menghasilkan setiap satu komponen,” kata ketua jurutera Tetsuya Tada.

    GALERI: Toyota GT86 facelift 2017 untuk Eropah

    Walau bagaimanapun, model pasaran Eropah ini tidak menerima peningkatan kuasa enjin seperti pada model facelift pasaran Jepun. Ia masih mengekalkan enjin boxer NA FA20 2.0 liter suntikan bahan api terus berkuasa 200 PS/205 Nm, berbanding enjin sama model pasaran Jepun yang kini berkuasa 207 PS/212 Nm. Namun, model pasaran Eropah ini turut menerima kerangka badan yang diperkuatkan terutamanya pada bahagian belakang menerusi komponen panel yang lebih tebal serta lebih banyak spot weld yang diberikan pada sambungan badan.

    Pada bahagian kabin, model ini dilengkapi dengan roda stereng tiga jejari berdimeter lebih kecil iaitu 362 mm. Takometer pada panel instrumen juga kini diatur semula dengan meletakkan kedudukan 7,000 rpm (tahap redline) pada kedudukan jam 12. Bahagian kanan takometer tersebut pula diletakkan paparan pelbagai info 4.2-inci baharu yang memberikan informasi ekonomi penggunaan petrol, jarak perjalanan, lengkok kuasa dan tork, jam randik serta paparan Daya-G.

    GT86 versi facelift ini hadir dalam dua varian iaitu standard dan Pro. Model asas standard dilengkapi lampu hadapan LED adaptif, sistem kunci pintar dan butang penghidup enjin, bantuan mula mendaki, kawalan kelajuan, cermin sisi elektrik dengan pemanas serta pedal kawalan aluminium. Kesemua ciri ini turut diberikan pada varian Pro dan ditambah dengan spoiler belakang, pemanas tempat duduk hadapan, upholsteri kulit dan Alcantara, kemasan seperti sued pada panel pintu dan papan pemuka serta perehat tangan pemandu balutan kulit,

    Kedua-dua varian ini turut dilengkapi dengan sistem multimedia Toyota Touch 2 dengan skrin sesentuh 6.1-inci, pelaras DAB dan Bluetooth, serta ditawarkan dengan opsyen sistem Toyota Touch 2, ditambah dengan sistem navigasi serta akses kepada servis atas talian dan saluran media sosial.

     
     
  • Caj jalan raya: Malaysia akur keputusan Singapura

    Caj jalan raya: Malaysia akur keputusan Singapura

    Mulai 15 Februari ini, semua kenderaan dengan pendaftaran asing yang memasuki Singapura melalui pusat pemeriksaan Tuas atau Woodlands, bakal dikenakan Caj Jalan Raya Timbal Balas (reciprocal road charge, RRC) yang lebih tinggi, iaitu SGD6.40 (RM20).

    Menerusi laporan yang disiarkan oleh Bernama hari ini, Malaysia menghormati keputusan Singapura berhubung perkara tersebut.

    Menurut Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai, Malaysia akan terus berbincang dengan Singapura berhubung keputusannya sebagai timbal balas terhadap Caj Jalan Raya Malaysia sebanyak RM20 bagi sekali masuk yang dikenakan terhadap kereta yang memasuki Johor mulai 1 November lalu.

    “Singapura memperkenalkan Permit Masuk Kenderaan (VEP) pada 1973, kami tidak membalas dan kemudiannya, kami berpendapat kami perlu memperkenalkan caj jalan raya. Dan hari ini (semalam) apabila Singapura mengumumkan mereka mahu mengikut jejak langkah Malaysia berhubung caj jalan raya, kami ingin mereka tahu bahawa kami sebenarnya berbeza namun kami hormati keputusan mereka,” katanya kepada pihak media.

    Liow berkata VEP yang diperkenalkan oleh Malaysia hanya memerlukan pemilik kenderaan asing untuk membayar yuran pendaftaran sebanyak RM10 selama lima tahun.

    Beliau berkata tiada diskriminasi ke atas kenderaan Singapura memandangkan caj yang sama juga akan dilaksanakan di sempadan Thailand, Brunei dan Indonesia.

    Menurut pihak berkuasa Pengangkutan Darat Singapura (LTA), RRC akan dikutip bersama-sama VEP, bayaran tol dan bayaran tetap Kadar Bayaran Elektronik (ERP) sebelum meninggalkan Pusat Pemeriksaan Tuas atau Woodlands.

     
     
  • PANDU UJI: Kia Sportage 2.0 GT-Line, bakal ubah persepsi tipikal terhadap kenderaan buatan Korea?

    PANDU UJI: Kia Sportage 2.0 GT-Line, bakal ubah persepsi tipikal terhadap kenderaan buatan Korea?

    Trend pasaran kenderaan buat masa sekarang menunjukkan pengguna lebih berminat kepada SUV berbanding sedan. Situasi ini menyebabkan pasaran sedan makin mengecil dan pengeluar kini berlumba-lumba menghasilkan SUV. Perkara ini sedikit sebanyak merubah lanskap pasaran automotif secara keseluruhan, antaranya menyebabkan ada siri sedan yang terpaksa dihentikan pengeluarannya, contohnya Mitsubishi Lancer, untuk memberikan laluan kepada penghasilan SUV yang kini semakin tinggi permintaannya.

    Jika 20 tahun lalu SUV sering dikaitkan dengan model-model off-road lasak sebenar seperti Mitsubishi Pajero dan Toyota Land Cruiser, SUV masa kini dibina secara lebih meluas dengan rekaan yang lebih ke arah penggunaan di atas jalan raya biasa, bermula dengan crossover segmen-B seperti Honda HR-V, hingga ke segmen mewah seperti Jaguar F-Pace.

    SUV segmen-C merupakan antara paling meriah dalam pasaran Malaysia. Honda CR-V, Nissan X-Trail, Mazda CX-5 merupakan nama-nama yang gah dari Jepun, manakala Ford Kuga dan Renault Koleos pula antara pencabar dari Eropah. Jenama dari Korea turut tidak melepaskan peluang dalam pasaran yang semakin berkembang ini diwakili oleh Hyundai Tucson dan juga model yang diuji kali ini – Kia Sportage 2016 dari varian GT-Line.

    Baca selanjutnya di sini

     
     
  • Toyota pamer C-HR, Hiace dan 86 dalam versi TRD

    Toyota pamer C-HR, Hiace dan 86 dalam versi TRD

    Tokyo Auto Salon lazimnya akan menjadi medan pameran bagi kereta-kereta modifikasi, baik dari pengeluar asalnya atau oleh penggerak-penggerak industri aftermarket di sana. Bagi 2017, Toyota sendiri menunjukkan beberapa unit pendekatan dan konsep baru bagi beberapa model keluarannya.

    Ini sangat menarik, kerana ia tidak hanya melibatkan model-model seperti 86 dan C-HR, tetapi turut mempamerkan trak pikap Hilux serta van Hiace dalam “kostum” TRD. Model crossover terini, C-HR mungkin tidak asing lagi dengan modifikasi, kerana kerap tampil kebelakangan ini di dalam beberapa penampilan berbeza.

    Kali ini, dua konsep dipertunjukkan; yang pertama dengan penggayaan yang lebih agresif (warna putih), yang menerapkan rekaan bampar depan dan belakang baru, diffuser belakang, lanjutan pada side skirt, spoiler tambahan serta rim hitam yang memberikan imej tersendiri dan garang.

    Toyota pamer C-HR, Hiace dan 86 dalam versi TRD

    C-HR kedua, dalam penggayaan yang disifatkan ekstrem, tampil dengan pendekatan berbeza. Rim 16 inci dengan kedudukan badan kenderaan sedikit tinggi, dengan lengkung tayar dalam warna hitam serta pelapik lumpur merah menyuntik nilai visual yang tersendiri.

    Antara peralatan lain yang ditambah ialah pelapik tempat duduk sporty, sistem suspensi dengan ciri motion control beam, pemantau tekanan tayar, sistem Start/Stop dan pelindung pemegang pintu.

    Menarik juga untuk melihat bagaimana Toyota membayangkan van Hiace mereka dalam imej TRD. Tema warna merah, hitam, putih dan kelabu membangkitkan sedikit Hiace dari imej komersial yang kerap dibawanya. Dengan lampu kabus dan lampu LED, bampar depannya juga diberikan sentuhan rekaan baru. Ia turut dilengkapi pelapik lumpur pada tayar, dalam warna merah.

    Bagi Toyota Hilux, ia nampak tegap dan bertambah garang dengan skema warna TRD. Tayar untuk kegunaan lasak, corong udara snorkel serta pelapik lumpur pada tayar mengetengahkan lagi gaya off-roadnya. Ruang dalamannya juga diringkaskan, menyerupai jentera yang digunakan untuk pertandingan atau perlumbaan.

    Tempat duduk bucket dengan harness di depan, palang roll cage pula melindungi penumpang di belakang. Ruang barangan di belakang juga tidak lagi berlapik; ia dibiarkan kosong, termasuk tiada bampar belakang untuk memberikan imej atau fungsi sama seperti jentera lumba.

    Selain itu, model 86 coupe juga menerima penampilan baru; ia sebuah model konsep – Toyota 86 coupe 14R-60 Carbon Concept, dengan bahagian gentian karbon untuk penggayaan ala jentera lumba. Bahan gentian digunakan antaranya pada bampar depan dan fender – seperti yang pernah dilihat pada 86 TRD Griffon Concept.

    Ia juga diterjemahkan sebagai sebuah kereta rali di dalam penyamaran 86 TRD Rally Concept4. Yang diubah pada versi ini ialah kombinasi rim, tayar dan ketinggiannya dipilih untuk disesuaikan dengan kegunaan dalam perlumbaan rali.

    Versi ini juga disertakan dengan cangkuk penarik pada bampar depan dan belakang. Di dalam, tempat duduk lumba melengkapinya, dengan kedudukan tetap.

     
     
  • Volkswagen buka pusat 3S baharu di Batu Pahat

    Volkswagen buka pusat 3S baharu di Batu Pahat

    Volkswagen Passengers Cars Malaysia (VPCM) bersama SP Supreme Autohaus secara rasminya membuka pusat 3S Volkswagen Batu Pahat hari ini. Ini menjadi pusat 3S tunggal di utara Johor.

    Dibina untuk menampung perkhidmatan jualan dan lepas jualan Volkswagen bagi kawasan Batu Pahat, Muar, Kluang, Yong Peng, Segamat serta beberapa pekan kecil sekitarnya, premis terbaru ini menelan belanja RM6.5 juta dan ditanggung oleh SP Supreme Autohaus.

    Dengan keluasan 25,000 kaki persegi, premis ini menempatkan bilik pameran yang mampu mempamerkan lima model dalam satu masa, pusat servis dengan enam ruang servis dan disokong oleh barisan staf berpengalaman serta peralatan diagnostik terkini. Sebuah ruang menunggu dengan capaian wi-fi serta kafe turut tersedia.

    Volkswagen buka pusat 3S baharu di Batu Pahat

    “Ini adalah sebahagian daripada usaha kami bersama dengan rakan pengedar untuk mempertingkatkan tahap perkhidmatan serta kemudahan infrastruktur untuk kesenangan pelanggan. Langkah ini diharapkan dapat meningkatkan pengalaman pemilikan terhadap pelanggan VW,” ujar Pengarah Urusan VPCM, Erik Winter.

    Pusat 3S Volkswagen Batu Pahat beroperasi setiap hari dari 9 pagi hingga 6 petang, sementara bagi perkhidmatan lepas jualan, ia disediakan dari Isnin hingga Jumaat, 9 pagi hingga 4 petang. Bagaimanapun, ia akan ditutup pada setiap cuti umum.

     
     
  • Singapura bakal kenakan caj jalan baharu bermula 15 Februari ini; seragamkan kadar dengan Malaysia

    Singapura bakal kenakan caj jalan baharu bermula 15 Februari ini; seragamkan kadar dengan Malaysia

    Pihak berkuasa Pengangkutan Darat Singapura (LTA) kini mengesahkan, bermula 15 Februariini, semua kenderaan dengan pendaftaran asing akan membayar kadar jalan raya (reciprocal road charge, RRC) yang lebih tinggi, iaitu SGD6.40 (RM20) ketika memasuki pulau itu melalui pusat pemeriksaan Tuas atau Woodlands, seperti dilaporkan oleh Channel News Asia.

    Ini mengesahkan laporan awal yang menjangkakan Singapura akan memadankan kadar caj yang dikenakan oleh Malaysia sebanyak RM20, yang dilaksanakan 1 November tahun lalu. Kadar jalan berkenaan akan dikutip bersekali dengan bayaran bagi Vehicle Entry Permit (VEP), tol dan bayaran kadar tetap Electronic Road Pricing (ERP) sebelum keluar dari pusat pemeriksaan Tuas atau Woodlands.

    Pengguna boleh membuat pembayaran berkenaan melalui kad Autopass atau CashCard di kiosk imigresen. Mereka yang cuba mengelak daripada membuat bayaran berkenaan akan berdepan dengan saman sebanyak SGD50 (RM156) bagi kesalahan pertama dan SGD100 (RM312) bagi kesalahan berikutnya. Mereka yang gagal menjelaskan saman pula akan didakwa di mahkamah, berdepan dengan saman sehinggar SGD1,000 (RM3,125) atau tiga bulan penjara.

    Menteri Pengangkutan Singapura, Khaw Boon Wan sebelum ini menyatakan negara itu kerap akan memadankan kadar caj yang dikenakan di Malaysia, sekiranya perkara sama dilakukan oleh Malaysia terhadap kenderaan dengan pendaftaran Singapura.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.10
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.85 (-0.05)
EURO 5 B7 RM3.05 (-0.05)
Last Updated Aug 21, 2025