Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • MAA: Jualan kenderaan bagi bulan Disember 2016 naik 32.1%; TIV bagaimana pun susut 13% bagi tahun lalu

    MAA: Jualan kenderaan bagi bulan Disember 2016 naik 32.1%; TIV bagaimana pun susut 13% bagi tahun lalu

    Bulan Disember 2016 mungkin memberikan sedikit kelegaan kepada pemain industri automotif di Malaysia. Menurut statistik yang dikeluarkan oleh Persatuan Automotif Malaysia (MAA), berbanding November 2016, bulan lalu mencatatkan peningkatan bagi jumlah jualan kenderaan sebanyak 32.1%.

    Hal ini disebabkan oleh aktiviti promosi hujung tahun yang dianjurkan oleh kebanyakan pengeluar kenderaan di Malaysia, dengan tawaran menarik serta potongan harga yang menjadi pemangkin kepada jumlah jualan. Bagi 2016 juga, Disember merupakan bulan di mana jumlah jualan tertinggi dicatatkan, dengan 64,822 unit berbanding 49,094 unit pada November. Ini merupakan satu-satunya bulan di mana jualan kenderaan di Malaysia melepasi angka 60,000 unit sepanjang 2016.

    Walaupun dengan perkembangan positif ini, jumlah keseluruhan industri (Totol Industry Volume, TIV) bagaimana pun mencatatkan penurunan. Secara keseluruhannya, 2016 menyaksikan industri automotif negara menguncup 13% bagi jumlah jualan kenderaan, dengan jumlah TIV 580,124 unit. Berbanding tahun 2015, jumlah kenderaan yang didaftarkan menurun sebanyak 86,553 unit. Dalam masa yang sama, jumlah pengeluaran kenderaan juga menurun sebanyak 11%.

    MAA: Jualan kenderaan bagi bulan Disember 2016 naik 32.1%; TIV bagaimana pun susut 13% bagi tahun lalu

    Ini merupakan kali pertama TIV kenderaan di Malaysia jatuh melepasi angka 600,000 unit dalam tempoh enam tahun terakhir ini. Kali terakhir pada tahun 2009, TIV tahunan berada pada angka 536,905 unit. Menurut Presiden MAA, Datuk Aishah Ahmad, perkara ini telah dijangka, mengambil kira keadaan ekonomi yang suram serta syarat bagi pinjaman jual-beli kenderaan yang diperketat oleh Bank Negara sebelum ini.

    Sebagai pecahan, kenderaan penumpang mencatatkan angka 514,545 unit berbanding 591,275 unit pada 2015 (turut 76,730 unit). Sementara itu, bagi kenderaan perdagangan pula, ia menyusut dari angka 75,402 unit pada 2015 kepada 65,579 unit tahun lalu – perbezaan 9,823 unit.

    Bagi sub-segmen di dalam kenderaan penumpang, hanya jualan bagi 4WD/SUV yang meningkat dari, iaitu 10.1% pada 2015 kepada 12.4% bagi 2016, dengan jumlah jualan bertambah sebanyak 4,489 unit kepada keseluruhannya 63,963 unit. Selebihnya, sub-segmen terbesar, iaitu kereta penumpang mencatatkan penurunan kepada 75.8%, MPV juga turun kepada 11% dan van tingkap turun kepada 0.8%. 2017 juga dijangka akan menjadi tahun yang mencabar bagi industri automotif.

     
     
  • Kia Stinger – spesifikasi pasaran Eropah didedahkan

    Kia Stinger – spesifikasi pasaran Eropah didedahkan

    Kia Stinger, kereta sport empat-pintu terbaharu jenama dari Korea berkenaan yang membuka mata peminat automotif di North America International Auto Show, Detroit dengan rekaan yang agak memukau, kini didedahkan spesifikasinya untuk pasaran Eropah.

    Bagi pasaran benua berkenaan, Stinger bakal dijana oleh tiga pilihan enjin iaitu 2.2 liter CRDi turbodiesel, empat-silinder petrol 2.0 liter turbo dan juga V6 3.3 liter turbo berkembar. Enjin turbodiesel berkenaan berupaya menjana 200 PS pada takat 3,800 rpm dan tork maksima 440 Nm bermula 1,750 rpm hingga 2,750 rpm, dan membolehkan kereta tersebut memecut dari 0-100 km/j dalam masa 8.5 saat sebelum mencapai kelajuan maksima 225 km/j.

    Untuk enjin 2.0 liter petrol turbo “Theta” pula, ia berupaya menghasilkan 255 PS pada takat 6,200 rpm dan tork maksima bermula 1,400 rpm hingga 4,000 rpm. Manakala varian tertinggi dengan enjin V6 3.3 liter turbo berkembar “Lambda II” pula mampu menjana 370 PS/510 Nm. Dengan kuasa tersebut, model ini mampu memecut dari 0-100 km/j dalam masa 5.1 saat, menjadikan ia sebagai Kia produksi paling pantas pernah dihasilkan. Varian ini juga disasarkan untuk mencapai kelajuan maksima 270 km/j.

    Kia Stinger – spesifikasi pasaran Eropah didedahkan

    2018 Stinger

    Kesemua enjin ini hanya akan dipadankan dengan kotak gear lapan-kelajuan automatik, bersama pedal penukar gear serta torque converter jenis Centrifugal Pendulum Absorber (CPA) pertama dari Kia untuk mengurangkan getaran kilasan pada sistem transmisi. Kotak gear ini juga menawarkan lima program pertukaran gear dan pendikit berbeza yang boleh dipilih oleh pemandu menggunakan suis Drive Mode Select.

    Stinger merupakann sedan pertama dari Kia yang direka bagi menawarkan pilihan pacuan roda belakang atau pacuan semua roda. Model pacuan belakang sepenuhnya dibekalkan dengan LSD mekanikal secara standard, manakala model pacuan-semua roda dengan agihan tork lebih ke bahagian belakang pula turut diberikan sistem Dynamic Torque Vectoring Control yang beroperasi bersama sistem brek.

    Menurut Kia, pengendalian Stinger ini ditala di litar Nurburgring di bawah seliaan Albert Biermann, bekas timbalan presiden divisi M BMW. Dengan program talaan yang dilalui oleh Stinger ini, Kia mendakwa model tersebut mampu dipandu di atas apa jua jenis jalan.

    Casis Stinger dibina dengan 55% keluli berkekuatan-tinggi yang lebih maju, memberikan pengendalian dan pemanduan yang lebih baik serta mengurangkan NVH. Sistem suspensi Topang McPherson diberikan pada bahagian hadapan dan juga sistem multi-link di bahagian belakang. Kia turut memperkenal penyerap hentak boleh laras elektronik buat pertama kali menerusi Stinger, di gelar Dynamic Stability Damping Control.

    Kia Stinger – spesifikasi pasaran Eropah didedahkan

    Penyerap hentak berkenaan memberikan lima mod talaan berbeza untuk Stinger, membolehkan pemandu memilih untuk menggunakan mod Eco, Sport, Comfort, Smart atau Personal. Kereta sport empat pintu ini juga diberikan sistem stereng elektrik yang diletakkan pada rak, bagi memberikan respon stereng yang lebih baik serta mengurangkan gegaran yang tidak diperlukan.

    Stinger juga diberikan pilihan rim aloi bersama tayar berprestasi tinggi. Model turbodiesel dibekalkan dengan tayar 225/50 R17 manakala model 2.0 liter turbo pula dipadankan dengan tayar 225/45R18. Model V6 yang lebih berkuasa pula diberikan rim aloi 19-inci bersama tayar 225/40R19 di hadapan serta 255/35R19 dibelakang. Disebalik tayar dan rim berkenaan, Stinger diberikan angkup brek empat-pot dan cakera berliang 350 mm di hadapan dari Brembo serta angkup dua-pot dan cakera 340 mm juga dari pengeluar yang sama di bahagian belakang.

    Kia Stinger 2018 bakal masuk ke barisan produksi bermula separuh kedua 2017, dan bakal menerjah pasaran Eropah pada suku keempat tahun ini. Harga untuk model ini masih lagi belum diketahui dan bakal diumumkan kemudian.

     
     
  • Hari Tanpa Kenderaan di Shah Alam dilancarkan pada 22 Jan ini – dilaksanakan setiap Ahad minggu kedua

    Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) telah mengumumkan program Hari Tanpa Kenderaan di Shah Alam akan dilaksanakan pada Ahad minggu kedua pada setiap bulan. Ia merupakan sebahagian usaha menjadikan Shah Alam sebagai bandar raya rendah karbon menjelang tahun 2030.

    Menurut Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awam MBSA, Shahrin Ahmad berkata, ia adalah bagi memastikan program yang mendapat sokongan penuh Kerajaan Negeri dapat dilaksanakan dengan berkesan.

    Katanya, usaha ini juga adalah dengan objektif menggalakkan warga Shah Alam mengamalkan gaya hidup sihat dengan mengurangkan penggunaan kenderaan persendirian yang melepaskan gas karbon monoksida.

    Pelancaran bagi program ini akan berlangsung pada 22 Januari ini di Dataran Kemerdekaan dan melibatkan penutupan beberapa jalan utama di sekitar bandaraya Shah Alam, dari jam 6.30 pagi hingga 9.30 pagi. Jalan yang terlibat ialah Persiaran Bandaraya, Persiaran Perbandaran, Persiaran Tasik, Persiaran Masjid, Persiaran Damai dan Persiaran Dato’ Menteri.

    Sepanjang program ini berlangsung, orang ramai hanya dibenar menggunakan basikal, papan luncur, hover board, berjalan kaki dan skuter blade di sekitar pusat bandar raya. Malahan MBSA turut menyediakan perkhidmatan sewaan peralatan basikal dan ‘roller blade’ bagi menarik penyertaan awam.

     
     
  • Diskaun tambang LRT dan monorel sebanyak 50% mungkin akan dipanjangkan ke aliran lain – Prasarana

    Diskaun tambang LRT dan monorel sebanyak 50% mungkin akan dipanjangkan ke aliran lain – Prasarana

    Usaha Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) untuk mengurangkan kesesakan penumpang dalam tren sistem transit aliran ringan (LRT) dan monorel pada waktu puncak dengan memberikan diskaun tambang sebanyak 50% dari pukul 6 hingga 7 pagi mungkin akan turut dipanjangkan ke aliran lain, menurut laporan Bernama.

    Perkara ini telah dinyatakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Rail, Datuk Zohari Sulaiman setelah kaedah berkenaan dilihat berkesan dan mendapat sambutan yang amat menggalakkan pada LRT dan monorel aliran Kelana Jaya, yang telah pun diimplementasikan bermula 16 Sept lalu.

    “Kami mendapati sepanjang tempoh promosi itu, ia telah berjaya mengurangkan kesesakan penumpang dalam tren pada waktu puncak iaitu antara 7 pagi hingga 10 pagi sebelum waktu bekerja,” katanya dan menambah pihaknya tidak akan teragak-agak untuk menawarkan promosi sedemikian ke aliran lain seperti Sri Petaling dan waktu puncak selepas waktu kerja iaitu antara pukul 5 hingga 6 petang bagi mengurangkan kesesakan.

    Pemberian diskaun tambang sebanyak 50% kepada pengguna LRT dan monorel bermula 16 September telah diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak Pada 25 Ogos lalu, bagi menggalakkan orang ramai menggunakan pengangkutan awam seterusnya mengurangkan kesesakan.

     
     
  • Pemandu teksi Johor mahu pelepasan dari RRC S’pura

    Pemandu teksi Johor mahu pelepasan dari RRC S’pura

    Pemandu teksi di Johor mengesa Singapura untuk memberikan pelepasan bagi kadar jalan raya (reciprocal road charge, RRC), laporan The Star. Caj sebanyak SGD6.40 (RM20) akan dikenakan bagi kenderaan pendaftaran asing yang memasuki republik itu melalui pusat pemeriksaan Tuas atau Woodlands mulai 15 Februari ini.

    Dengan memberikan alasan bahawa pemandu teksi Singapura tidak dikenakan caj jalan raya (RC), justeru mereka juga patut dikenakan pengecualian daripada RRC ini.

    Pengerusi Teminal Teksi Johor Bahru-Singapura Muhamad Najib Abdul Rahman berkata, kebimbangan di kalangan pemandu berpunca kerana kurangnya komunikasi dari pihak berkenaan mengenai pengecualian bagi RRC ini. “Kami berharap Singapura juga akan memberikan pengecualian daripada RC ini, memandangkan Malaysia turut berbuat demikian untuk teksi negara berkenaan,” ujarnya.

    Muhamad Najib turut menambah, sebanyak 195 teksi Johor yang membawa penumpang ke Singapura menerusi Tambak Johor akan terkesan dengan RRC kecuali sekiranya diberikan pengecualian. “Jika Sinagpura mengenakan RRC ini terhadap kami, mungkin kami akan menyerapnya dalam tambang.

    “Walau bagaimana pun, kami tidak boleh sewenang-wenangnya menaikkan kadar tambang sebanyak RM20 setiap orang untuk ke Singapura dan S$12 (RM37.70) dari republik berkenaan ke Johor tanpa kebenaran SPAD.”

    Pemandu teksi Johor mahu pelepasan dari RRC S’pura

    Katanya, kerajaan perlu membenarkan pemandu teksi menaikan kadar tambah sekurang-kurangnya 10% bagi menyerap kos RRC, sekiranya tiada pengecualian ini. “Atau sukar untuk kami bertahan sekiranya ia tidak dilaksanakan,” ujarnya.

    Menurut Muhamad Najib, pemandu teksi telah pun membayar tol sebanyak RM7.20 bagi di Kompleks Kastam Imigresen dan Kuarantin Bangunan Sultan Iskandar, setiap perjalanan ke Singapura – termasuk kadar tol di Pusat Pemeriksaan Woodlands dan S$4 (RM12.56) bagi kadar Electronic Road Pricing (ERP) di Lebuhraya Bukit Timah dan Lebuhraya Pan Island di Singapura pada waktu tertentu.

    Tambahnya lagi dengan kesemua caj ini, tambang RM20 per orang ke Singapura dan S$12 (RM37.70) bagi tambang balik adalah tidak mencukupi untuk mengekalkan operasi mereka. Katanya lagi, permintaan bagi perkhidmatan teksi pasti meningkat sekiranta Singapura memberikan pengecualian dan mengekalkan kadar tambang semasa ini.

     
     
  • Dendrobium – hypercar elektrik sepenuhnya dari Singapura bakal muncul di Geneva Motor Show 2017

    Dendrobium – hypercar elektrik sepenuhnya dari Singapura bakal muncul di Geneva Motor Show 2017

    Hypercar konsep elektrik sepenuhnya dari Singapura digelar Denbrobium, bakal membuat kemunculan sulungnya pada Geneva Motor Show tahun ini. Hypercar berkenaan adalah hasil usaha Vanda Electrics dan dibangunkan dengan usahasama Williams Advanced Engineering.

    Selain dari pengumuman kemunculan sulungnya ini, tiada maklumat terperinci lain yang didedahkan oleh Vanda Electrics. Namun sebelum ini Denbrobium dikhabarkan akan dijana oleh motor elektrik dari Yasa yang mampu menghasilkan kuasa keseluruhan 1,500 hp dan tork maksima 4,000 Nm. Kereta berkenaan juga didakwa mampu memecut dari 0-100 km/j dalam masa hanya 2.6 saat sebelum mencapai kelajuan maksima 400km/j.

    Nama Denbrobium tersebut diambil dari nama bunga orkid Singapura, oleh demikian, pintu dan bumbung hypercar ini direka agar boleh dibuka “secara serentak, seperti teater” menggambarkan bunga denbrobium yang mengembang. Selain itu, kereta ini juga direka dengan hidung yang tajam, ruang roda yang besar serta ruang kokpit seperti jet-pejuang yang hanya boleh memmuatkan dua orang.

    Rekaan Denbrorium ini juga menampilkan fungsi aerodinamik maju dan dibina dengan struktur komposit ringan bersama “kulit karbon paling rendah di dunia” dari Bridge of Weir Leather Company yang dikatakan kurang meninggalkan impak kepada alam sekitar semasa proses produksi.

    “Dendrorium diinspirasikan oleh alam sekitar dan berakar umbi dalam teknologi, gabungan rekaan dan kejuruteraan – saya tidak sabar untuk mendedahkan kereta ini kepada dunia pada Mac nanti,” ujar CEO Vanda Electrics Larissa Tan.

    Sebelum ini, Vanda Electric telah pun menghasilkan skuter elektrik Motochimp, yang direka seakan motosikal klasik Honda Monkey dengan kebolehan bergerak sejauh 60 kilometer dengan satu cas penuh bateri.

     
     
  • VIDEO: Ujian perlanggaran terkini ASEAN NCAP – 8 kereta diuji, penarafan 5-bintang untuk 5 kereta

    Selepas sebulan menyiarkan keputusan perlanggaran terkini, ASEAN NCAP telah menyebarkan video bagi lapan buah kenderaan yang diuji, di mana lima daripadanya telah menerima penarafan keselamatan lima-bintang.

    Kenderaan tersebut termasuklah Honda Civic baharu berjaya memperoleh 14.74 mata dari 16 markah penuh dalam AOP, dengan memenuhi 86% dalam COP. Keputusan ini membolehkan Civic menerima penarafan lima-bintang kecuali untuk model tanpa sistem peringatan pemakaian tali pinggang keledar hadapan hanya memperoleh empat-bintang.

    Turut menerima lima-bintang ialah Toyota Sienta (15.26 mata untuk AOP, 74% bagi COP, penarafan empat-bintang bagi COP), Hyundai Elantra baharu (14.73 mata untuk AOP, 77% bagi COP, penarafan empat-bintang COP) dan Mitsubishi Pajero Sport baharu (15.26 mata untuk AOP, 76% bagi COP, penarafan empat-bintang bagi COP).

    Nissan NP300 Navara bagi pasaran Thailand turut diuji semula, dengan beg udara baharu bagi bahagian lutut pemandu telah membantu trak pikap ini memperoleh markah sebanyak 14.44 mata untuk AOP, naik dari 12.34 mata yang diterima pada Mac – menjadikannya lima-bintang berbanding empat sebelum ini. Manakala Perlindungan Penumpang Kanak-kanak (COP) turut menerima peningkatan, dengan 61% berbanding 37% sebelum ini, sekaligus memberikannya penarafan keselamatan tiga-bintang untuk kanak-kanak.

    Penarafan empat-bintang bagi AOP turut diperoleh bagi lain-lain model kereta yang diuji iaitu Toyota Calya (12.93 mata untuk AOP, 73% bagi COP, penarafan empat-bintang), Daihatsu Sigra (12.93 mata untuk AOP, 46% bagi COP, penarafan dua-bintang bagi COP) dan Honda Brio Amaze (12.88 mata untuk AOP, 45% bagi COP, penarafan dua-bintang bagi COP). Model Sigra tidak dilengkapi dengan beg udara dan hanya menerima penarafan satu-bintang bagi AOP sahaja.

    Klik untuk tonton enam lagi video terkini ASEAN NCAP

     
     
  • Larang kapcai masuk KL: sekadar cadangan, tidak akan dilaksanakan jika rakyat tidak setuju – Ku Nan

    Larang kapcai masuk KL: sekadar cadangan, tidak akan dilaksanakan jika rakyat tidak setuju – Ku Nan

    Setelah pelbagai respon negatif diberikan, Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor menjelaskan larangan motosikal kapcai daripada memasuki pusat bandar Kuala Lumpur hanyalah sekadar cadangan dan tidak akan dilaksanakan jika rakyat tidak bersetuju.

    Perkara ini dilaporkan oleh Bernama, dan Tengku Adnan mengatakan cadangan beliau tersebut telah diputarbelitkan pihak tertentu.

    “Kami merasai nadi rakyat, kalau rakyat tak mahu, kami akan ikut pandangan rakyat, jadi pengguna motosikal kapcai jangan bimbang dan kita tidak akan laksanakannya,” katanya dan menambah, “kita sedang melihat perkara (cadangan) ini, saya kata ‘berkemungkinan’, mungkin ya atau mungkin tidak.”

    Kenyataan Tengku Adnan sebelum ini menyebut motosikal berkuasa kecil atau ‘kapcai’ mungkin akan dilarang daripada memasuki ibu kota dalam usaha mengurangkan kadar pelepasan karbon dan jenayah ragut. Pihaknya melihat kaedah larangan ini sebagai usaha yang berbaloi memandangkan pengangkutan awam kini lebih banyak pilihan dan dengan harga yang berpatutan.

    “Saya tahu bahawa kebanyakan warga kita perlukan kenderaan ini (motosikal kapcai), kebanyakan rakyat khususnya golongan bawahan, mereka menggunakan kenderaan ini ke tempat kerja dan sebagainya kerana ia menjimatkan,” katanya.

    Selain dari netizen, cadangan berkenaan turut mendapat reaksi negatif dari individu di dalam kerajaan sendiri. Menteri Sumber Asli dan Tenaga, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar memberitahu bahawa motosikal bukanlah penyebab utama kepada pencemaran udara dan langkah halangan ini memerlukan kajian saintifik sebelum dilakukan, manakala Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti PDRM Datuk Rusli Ahmad meminta kerajaan melihat semula cadangan tersebut, terutamanya apabila menyentuh keperluan pengguna motosikal daripada golongan berpendapatan rendah.

     
     
  • Ford Mustang facelift 2018 didedahkan – kotak gear automatik 10-kelajuan, pelbagai perincian premium

    Ford Mustang facelift 2018 didedahkan – kotak gear automatik 10-kelajuan, pelbagai perincian premium

    Ford telah mendedahkan foto dan perincian Mustang generasi keenam versi facelift yang bakal muncul sebagai model 2018. Selain dari sedikit penyegaran dari segi rupa, model ini juga turut diberikan pelbagai ciri dan kelengkapan baharu.

    Pada bahagian muka, Mustang 2018 menerima sentuhan semula pada gril utama dan gril bawah, hud hadapan, serta kedudukan liang hud yang telah diubah. Ia juga kini menerima lampu hadapan LED untuk kesemua varian, serta lampu isyarat membelok LED baharu. Perumah lampu kabus juga telah direka semula, begitu juga pada bahagian fender hadapan.

    Bahagian belakang pula, Mustang kini diberikan lampu LED dengan rekaan tiga-bar baharu, bersama bampar baharu dan juga spoiler belakang. Model EcoBoost dapat dikenal pasti pada penggunaan tip ekzos berkembar, manakala model GT V8 pula diberikan empat tip ekzos.

    Pilihan opsyen juga kini lebih luas dimana pembeli boleh memilih 12 jenis rim berbeza serta pengenalan tiga warna baharu – Orange Fury metalik tiga-lapis, Royal Crimson lapisan gelap dan Kona Blue.

    Ford Mustang facelift 2018 didedahkan – kotak gear automatik 10-kelajuan, pelbagai perincian premium

    New Ford Mustang V8 GT with Performance Package in Magnetic

    Beralih ke kabin, perubahan terbesar diberikan pada paparan instrumen di mana Mustang kini diberikan skrin LCD 12-inci yang berfungsi untuk memberikan informasi instrumentasi. Konsol tengah juga kini diberikan jahitan tangan dengan benang kontras manakala trim pada panel pintu juga kini diberikan kemasan aluminium.

    Rekaan tempat duduk kini telah dikemaskini, menampilkan corak dan pilihan warna baharu, manakala kunci juga diberikan bentuk baharu. Ford turut memberikan sistem Ford Sync Connect bersama FordPass, yang membolehkan pemandu menghidupkan enjin, mengunci pintu dan mengesan kereta mereka menerusi aplikasi dalam telefon pintar.

    Ford masih mengekalkan dua enjin sedia ada iaitu 2.3 liter EcoBoost dan juga 5.0 liter Coyote V8, manakala enjin 3.7 liter Cyclone V6 yang diletakkan sebagai pilihan pada model asas telah digugurkan dari barisan model Mustang, mengesahkan khabar angin yang tersebar sebelum ini.

    Jumlah kuasa kuda yang dihasilkan masih lagi belum diumumkan, namun kedua-dua enjin ini dikhabarkan akan menerima lonjakkan prestasi – EcoBoost akan diberikan tambahan tork maksima, manakala Coyote V8 bakal menerima tambahan kuasa kuda dan juga tork.

    Peningkatan tersebut dilakukan menerusi olahan semula enjin V8 asal – dengan gabungan penggunaan sistem suntikan bahan api terus bertekanan tinggi dan juga suntikan bahan api pada port bertekanan rendah. Rombakan ini bukan sahaja menghasilkan lebih tork pada rpm rendah dan juga lebih kuasa pada rpm tinggi, malah turut memperbaiki kecekapan penggunaan bahan api.

    Seperti yang diumumkan sebelum ini juga, versi transmisi automatik akan diberikan kotak gear automatik 10-kelajuan 10R80 menggantikan kotak gear ZF 6R80 SelectShiift enam-kelajuan automatik sebelum ini. Ford mendakwa, kotak gear baharu 10-kelajuan ini menawarkan tukaran gear yang lebih cepat, respon kelajuan rendah yang lebih pantas, serta mengurangkan kehilangan tenaga akibat geseran.

    Kotak gear 10R80 ini juga dilengkapi dengan sistem kawalan elektronik serba-baharu, yang memberikan mod pemanduan berbeza serta pemasaan tukaran gear adaptif masa-sebenar bagi memastikan nisbah gear yang tepat diberikan pada setiap masa.

    Ford Mustang facelift 2018 didedahkan – kotak gear automatik 10-kelajuan, pelbagai perincian premium

    Kotak gear manual Getrag MT82 enam-kelajuan juga turut diberikan tingkat taraf, dengan karekteristik tork yang lebih baik pada kedua-dua versi enjin. Untuk transmisi pada enjin V8, kotak gear berkenaan telah menerima sentuhan semula dengan penggunaan klac-dua lapis bersama roda tenaga (flywheel) yang direka untuk memberikan dua beban berbeza. Ciri-ciri ini akan meningkatkan kebolehn tork serta memberikan modulasi klac yang lebih efisien.

    Perubahan mekanikal lain yang diterima termasuk peningkatan yang diberikan pada casis untuk mempertingkatkan pengendaliannya. Penyerap hentak baharu diberikan bagi menawarkan kawalan pemanduan yang lebih baik, manakala penghubung paksi melintang baharu pada suspensi belakang meningkatkan ketegaran lateral. Bar penstabil baharu turut diberikan bagi menghasilkan respon dan pengendalian yang lebih tajam.

    Mustang turut ditawarkan dengan sistem penyerap hentak MagnaRide sebagai opsyen, diberikan sebagai sebahagian dari Mustang Performance Package. Varian GT pada model facelift ini juga ditawarkan sebagai opsyen kepada sistem injap ekzos bervariasi, yang memberikan ngauman bervariasi penuh untuk dipadankan pada setiap kadar pecutan.

     
     
  • BMW 520d EfficientDynamics Edition – 3.9 l/100 km

    BMW 520d EfficientDynamics Edition – 3.9 l/100 km

    Bagi yang mencari jentera BMW yang menawarkan penjimatan bahan api paling efisien, model baharu G30 BMW Series yang bukan versi elektrik, 520d EfficientDynamics Edition, bakal diperkenalkan tidak lama lagi. Varian diesel ini bakal mula dijual pada Mac, menampilkan enjin, transmisi dan aerodinamik yang cekap.

    Ia dijanakan oleh enjin B47 2.0 liter empat-silinder turbodiesel, dengan perawakan anti-geseran di atas pengecas turbo, serta exhaust gas recirculation (EGR) berketahanan tinggi, bersama pam minyak kawalan-pemetaan dan sistem suntikan terus – dengan penyuntik solenoid yang memastikan bahan api memberikan sukatan yang tepat sehingga 2,000 bar.

    Dengan padanan transmisi automatik ZF lapan-kelajuan, 520d ED ini menggunakan bahan api sekitar antara 4.3 dan 3.9 liter per 100 kilimeter dan pelepasan CO2 antara 114 dan 102 gram per kilometer. Walau pun kecekapan dipertingkat, namun enjin masih mampu menghamburkan kuasa sehingga 190 hp dan tork 400 Nm antara 1,750 hingga 2,500 rpm, dengan keupayaan pacuan 0-100 km/j dalam hanya 7.5 saat.

    Ia juga dilengkapi dengan teknologi BMW BluePerformance, penambahan suplemen tertentu, pemangkin pengoksidaan dan pemangkin simpanan nitrogen oksida dengan sistem pengurangan terpilih (SCR) bersama suntikan AdBlue bagi mengurangkan pengeluaran nitrogen oksida.

     
     
  • SPYSHOT: Mercedes C-Class Estate facelift ditemui lagi – kali ini dengan bahagian dalam dapat dilihat

    SPYSHOT: Mercedes C-Class Estate facelift ditemui lagi – kali ini dengan bahagian dalam dapat dilihat

    Mercedes-Benz C-Class facelift sekali lagi ditemui sewaktu diuji atas jalan, dan kali ini adalah prototaip model Estate (wagon) di satu tempat sekitar bahagian utara Sweden yang masih bersalji.

    Sekali pandang, selain bampar hadapan dan belakang baharu, tiada banyak perubahan lain pada kenderaan ini dan ia ditutup rapi. Lampu utama halogen yang digunakan pada model varian rendah C-Class juga dapat dilihat ada pada model ini, dan ia mengapit gril Avantgarde di tengah.

    Bahagian dalamnya yang juga dapat ditangkap oleh jurugambar kami ini menunjukkan terdapat roda stereng tiga cabang baharu, dengan bahagian tengah yang lebih kecil, manakala butang pengawal yang terdapat pada stereng itu juga mempunyai rekaan yang berbeza berbanding semua model Mercedes yang ada sekarang.

    SPYSHOT: Mercedes C-Class Estate facelift ditemui lagi – kali ini dengan bahagian dalam dapat dilihat

    Pada salah satu prototaip tersebut, kita dapat melihat satu pad sesentuh sedang diuji, dan ia telah menggantikan tombol jenis pusing yang ada. Walaupun begitu, pada satu lagi kenderaan, tombol tersebut masih lagi digunakan. Ciri paling menarik perhatian pada bahagian dalam kenderaan prototaip ini adalah kemasan berwarna putih yang terdapat pada roda stereng, pemegang pintu dan konsol tengah.

    Sudah tentu, kita masih perlu menunggu Mercedes menunjukkan C-Class facelift ini secara rasmi, jadi, mungkin ada kelengkapan yang tidak akan dipasang pada kereta produksi. Berdasarkan laporan, model facelift pertengahan kitaran ini akan tiba sekitar tengah tahun 2017.

    Apabila sudah keluar nanti, C-Class baharu ini akan mendapat manfaat daripada transmisi 9G-TRONIC terkini (yang juga digunakan pada model E-Class W213), menggantikan unit 7G-Tronic, serta pilihan enjin diesel dan petrol baharu.

     
     
  • Jadual Cadangan Waktu Perjalanan (TTA) untuk pengguna Lebuhraya Utara-Selatan sempena sambutan perayaan Tahun Baharu Cina 2017

    Jadual Cadangan Waktu Perjalanan (TTA) untuk pengguna Lebuhraya Utara-Selatan sempena sambutan perayaan Tahun Baharu Cina 2017

    Serentak dengan pengumuman rebat 50% diberikan kepada pengguna kereta di Lebuhraya Utara-Selatan yang menggunakan bayaran elektronik selepas tengah malam pada musim cuti sambutan Tahun Baharu Cina, PLUS turut mengumumkan Jadual Cadangan Waktu Perjalanan (TTA) bagi membolehkan pengguna lebuhraya tersebut merancang perjalanan mereka serta mengelakkan kesesakan trafik di antara 26 Januari hingga 5 Februari.

    Menurut Pengarah Urusan PLUS Datuk Azman Ismail, TTA ini diumumkan bagi membantu pihaknya mengagihkan trafik dan mengelakkan kenderaan terkumpul dan ‘bertembung’ di satu-satu lokasi di lebuhraya pada masa yang sama kerana ia boleh menyumbang kepada kesesakan, seterusnya melambatkan perjalanan pengguna lebuhraya.

    Berdasarkan TTA kali ini, orang ramai dari Lembah Klang yang menuju ke destinasi yang jauh seperti Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak Utara dan Johor boleh mula bergerak dan memasuki lebuh raya sebelum jam 12:00 tengah hari.

    Bagi orang ramai dari Lembah Klang yang menuju ke destinasi yang lebih dekat seperti Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Perak Selatan dan Perak Tengah pula dinasihatkan bergerak dan memasuki lebuh raya selepas jam 2:00 petang.

    “Ini membolehkan kenderaan ke destinasi jarak jauh untuk keluar dari lebuh raya sebelum kumpulan kenderaan bagi perjalanan lebih dekat mula memasuki lebuh raya sekaligus, mengelakkan mereka berada di lebuh raya pada masa yang sama dan menyumbang kepada kesesakan,” jelas Azman.

    Selain dari TTA ini, PLUS turut mengatur strategi bagi memantapkan operasinya bagi memberikan keselesaan kepada orang ramai sepanjang perjalanan mereka pada hari-hari puncak berkenaan. Strategi tersebut adalah:

    • Menempatkan sebanyak 2,130 kakitangan di 1,130 lorong tol untuk melancarkan transaksi tol
    • Menambah jumlah pasukan PLUSRonda daripada 322 pasukan pada hari biasa kepada 339 pasukan. Ini membolehkan lebih banyak rondaan diadakan untuk membantu orang ramai.
    • Menambah bilangan petugas Pusat Kawalan Trafik yang mengendalikan talian bantuan PLUSLine 1800 88 0000
    • Berkerjasama dengan pelbagai agensi bantuan kecemasan untuk bersedia di 14 lokasi strategik sepanjang lebuh raya
    • Menempatkan kira-kira 1,500 kakitangan penyelenggaraan di kawasan rehat, hentian sebelah dan lebuh raya
    • 440 anggota RELA ditempatkan di 69 lokasi sepanjang lebuh raya untuk membantu pengurusan trafik
    • CMaklumat trafik terkini disediakan menerusi aplikasi PLUS Mobile App, Twitter PLUSTrafik, talian Bebas Tol PLUSLine 1800 88 0000 serta siaran radio-radio utama
    • Tempat meletak kenderaan tambahan disediakan di 18 lokasi terpilih
    • Kemudahan Tandas Bergerak disediakan di 21 lokasi terpilih
    • Laluan Kontra di laluan-laluan kritikal akan diaktifkan setelah mendapat kelulusan pihak Polis
    • Kren dan trak tunda tambahan diletakkan di dalam keadaan bersedia di lokasi tertentu
    • Pemberhentian sementara kerja-kerja penyelenggaraan jalan di antara 26 Januari hingga 5 Februari
    • Pemantauan trafik dari udara di antara 27 hingga 30 Januari
    • Membuka semula Hentian Sebelah Bukit Gantang (Arah Utara), R&R Machap (Arah Selatan), R&R Ayer Keroh (Arah Selatan) & Hentian Sebelah Senawang (Arah Utara) yang telah dinaiktaraf
     
     
  • Honda CB650F, CBR650F dapat warna baharu untuk tahun 2017 – harga jualan RM44,730 dan RM46,850

    Honda CB650F, CBR650F dapat warna baharu untuk tahun 2017 – harga jualan RM44,730 dan RM46,850

    Dengan ketiadaan model CBR600RR mengisi segmen motosikal sports pertengahan, Honda kini diwakili dengan model CB650 dan CBR650F, yang diberikan warna baharu untuk pasaran tahun 2017. Harga untuk CB650F naked dan CBR650F dengan fairing penuh adalah masing-masing RM44,730 dan RM46,850. Ia boleh didapati di kedai pengedar Honda Impian bermula 23 Januari.

    Warna baharu yang disediakan sebagai pilihan adalah Matte Black, dengan sama ada casis merah ataupun putih untuk kedua-dua motosikal. Bagi model yang menggunakan kerangka warna merah, ia akan mendapat tulisan serta pelekat berwarna merah dan putih, manakala bagi yang menggunakan kerangka putih, mendapat tulisan serta pelekat berwarna kuning terang.

    CB650F dan CBR650F dikuasakan oleh enjin empat silinder sebaris 649 cc DOHC dan ia mampu menghasilkan sebanyak 81.8 hp pada 9,500 rpm dan 63 Nm tork pada 8,000 rpm. Pengurusan bahan api pula dijalankan oleh sistem suntikan PGM-FI dan transmisi yang digunakan mempunyai enam gear.

    Brek yang digunakan pada kedua-dua motosikal ini adalah unit cakera 320 mm serta angkup Nissin di hadapan dan di belakang, terdapat unit cakera dengan angkup satu piston. Penampilan baharu ini juga menunjukkan motosikal ini hampir seperti edisi spesifikasi Eropah, cuma di Malaysia ia tidak dilengkapi dengan brek ABS.

    Versi standard Honda CB650F dan CBR650F juga didatangkan dalam pilihan warna Sword Silver Metallic, Pearl Metalloid White dan Pearl Himalayas White, dengan kerangka hitam dan harga jualan RM43,458 dan RM45,578. Motosikal ini didatangkan dengan jaminan selama dua tahun atau 20,000 km.

     
     
  • Rebat PLUSMiles dan Touch ‘n Go 50% bagi pengguna kereta pada musim cuti Tahun Baru Cina – PLUS

    Rebat PLUSMiles dan Touch ‘n Go 50% bagi pengguna kereta pada musim cuti Tahun Baru Cina – PLUS

    Sebagai langkah untuk menyuraikan trafik dan menggalakkan orang ramai merancang perjalanan balik kampung ketika musim cuti sambutan Tahun Baharu Cina tidak lama lagi, PLUS Berhad bakal memberikan rebat tol sebanyak 50% bagi pengguna kenderaan Kelas 1 (kereta atau kenderaan dua gandar) yang membayar tol secara elektronik untuk perjalanan selepas tengah malam di dua rangkaian lebuh rayanya.

    Menurut Pengarah Urusan PLUS Datuk Azman Ismail, rebat berkenaan akan diberi kepada penguna rangkaian Lebuhraya Utara-Selatan dan Lebuhraya Utara-Selatan Hubungan Tengah (ELITE) yang membayar tol menggunakan kad PLUSMiles, kad Touch ‘n Go atau SmartTAG di antara jam 12 malam hingga 6 pagi pada 27 Januari, 30 Januari, 3 Februari dan 4 Februari ini.

    Pada hari-hari yang dinyatakan, orang ramai masih perlu membayar tol dengan kadar biasa, tetapi rebat tersebut akan dimasukkan ke dalam kad PLUSMiles atau Touch ‘n Go mereka dalam bentuk Tambah Nilai apabila mereka menambah nilai kad elektronik masing-masing di Pusat Khidmat Pelanggan PLUS di antara 15 Februari 2017 hingga 14 Mei 2017.

    Walau bagaimanapun, rebat tersebut tidak ditawarkan bagi pembayaran tol di Plaza Tol Jambatan Pulau Pinang, Tanjung Kupang, Bukit Kayu Hitam dan Bangunan Sultan Iskandar.

    PLUS menjangkakan sebanyak 1.6 juta kenderaan akan menggunakan lebuh raya utama negara tersebut setiap hari pada hari-hari puncak bersempena dengan cuti perayaan berkenaan. Jumlah tersebut merupakan pertambahan sebanyak 15 peratus berbanding jumlah trafik pada hari-hari biasa.

    “Ini merupakan salah satu daripada langkah PLUS untuk mengagihkan trafik yang lazimnya amat tinggi pada waktu siang dan membahagikan sebahagian daripadanya ke waktu malam hingga awal pagi,” jelas Azman.

     
     
  • Subaru bakal mulakan produksi di Thailand pada 2019

    Subaru bakal mulakan produksi di Thailand pada 2019

    Bagi mengembangkan perniagaannya di ASEAN, Fuji Heavy Industries (FHI), pengeluar kenderaan Subaru, telah mengumumkan rancangan untuk memperkukuhkan asas produksi di Thailand. FHI dijangka menandatangani perjanjian bersama TC Manufacturing and Assembly Thailand (TCMA TH), anak syarikat Tan Chong International Limited (TCIL) bulan hadapan.

    Kerjasama menerusi penubuhan syarikat Tan Chong Subaru Automotive (Thailand) Co Ltd, ini akan menyaksikan pegangan saham majoriti sebanyak 74.9% bagi TCMA TA, manakala FHI pula hanya 25.1%. Ia mensasarkan produksi di Thailand akan bermula 2019 ini.

    Subaru XV dan Forester yang dipasang di Malaysia untuk pasaran domestik dan eksport ASEAN

    Buat masa ini, produksi bagi CKD pasaran ASEAN hanya di Malaysia, iaitu di kilang Tan Chong Motor Assembly di Segambut yang mengeluarkan model Subaru XV dan Forester, bagi pasaran domestik dan dieksport ke Thailand.

    Walau bagaimana pun, FHI tidak menyatakan model manakah yang akan dibina di Thailand, namun mengesahkan “produksi di Malaysia akan diteruskan, dan TCIL akan menjual kenderaan yang diproduksi di Malaysia dan Thailand menerusi rangkaian pengedar Subaru.”

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.10
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.85 (-0.05)
EURO 5 B7 RM3.05 (-0.05)
Last Updated Aug 21, 2025