Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Perodua – perjalanan 24 tahun mengubah corak mobiliti rakyat Malaysia, bermula dengan si cilik Kancil

    Perodua – perjalanan 24 tahun mengubah corak mobiliti rakyat Malaysia, bermula dengan si cilik Kancil

    Selain Proton Saga, produk pertama Perusahaan Otomobil Kedua Sdn. Bhd. (Perodua) – Perodua Kancil – antara yang mengubah lanskap keseluruhan corak mobiliti rakyat Malaysia. Begitu cepat masa berlalu, kumpulan pertama Kancil yang keluar dari kilang jenama berkenaan kini telah pun berusia 23 tahun, kurang setahun dari usia Perodua itu sendiri.

    Selain dari pelancaran Axia facelift 2017, karnival MYPerodua Nation yang kini sedang berlangsung di AEON Mall Shah Alam turut menyediakan satu ruang khas untuk menyelurusi kembali perjalanan Perodua bermula pada tahun 1993 sehinggalah kejayaan besar yang dikecapi oleh Perodua sekarang, terletak di belakang ruang pameran utama model-model Perodua terkini.

    Selepas sahaja daun pintu ruang pameran ini dibuka, anda terus sahaja diperkenalkan kepada model pertama Perodua Kancil 660 yang dilancarkan pada tahun 1994. Dengan sepasang lampu kaca hadapan, gril dengan logo ‘kancil lompat’ bersama bampar-bampar yang tidak diwarnakan, serta rim 12-inci dengan lebar hanya 4jj dibaluti tayar 155/70R12, Kancil dijual dengan harga yang sangat mampu milik ketika era tersebut.

    Dengan bayaran bulanan lebih mahal sedikit dari sebuah motosikal kapcai, rakyat Malaysia dari golongan berpendapatan rendah, orang bujang yang baharu sahaja mula berkerja, serta pelajar-pelajar kolej mula mengubah mod pengangkutan mereka. Walaupun bersaiz kecil dan juga kuasa enjin hanya 31 PS berserta kotak gear manual empat kelajuan, Kancil masih mampu memuatkan empat orang dewasa, boleh membawa barang yang lebih banyak, selesa dan mempunyai penghawa dingin serta tidak perlu berteduh sekiranya hari hujan berbanding menggunakan motosikal, sesuai dengan cogan katanya ketika itu – ‘Sebijak Anda’.

    Diasaskan dari Daihatsu Mira L200, memberikan satu lagi kelebihan buat Kancil – kegilaan terhadap budaya ubahsuai K-Car dari Jepun mula berjangkit ke dalam masyarakat Malaysia. Daihatsu bukan sahaja menghasilkan model asas Mira untuk penggunaan dalam bandar di Jepun, malah turut membina model-model berprestasi menggunakan enjin 660 cc dengan pengecas turbo dan juga lambakan varian serta edisi-edisi istimewa seperti Parco, TRXX, Felix The Cat, Hello Kitty, dan pelbagai lagi. Industri kereta potong atau ‘halfcut’ yang dibawa dari Jepun menyumbang kepada meriahnya modifikasi Kancil di Malaysia ketika itu (masih lagi bertahan dan menjadi kegilaan sehingga kini!).

    Kancil menerima pelbagai facelift sepanjang hayat produksinya, dan perubahan terbesar dibuat pada tahun 2002 di mana keseluruhan badan dan dalamannya direka dengan lebih elemen bulat termasuk lampu hadapan, papan pemuka dengan liang penghawa dingin bulat, serta paparan instrumen yang juga dibulatkan serta diletakkan seperti papan pemuka Toyota Vios generasi kedua. Produksi Kancil berakhir pada tahun 2009 setalah 708,527 unit dihasilkan dan tempatnya kemudiannya diambil oleh Perodua Viva 660.

    Perodua – perjalanan 24 tahun mengubah corak mobiliti rakyat Malaysia, bermula dengan si cilik Kancil

    Selain dari Van Rusa, Perodua turut memproduksi sebuah lagi kenderaan ‘bukan kereta’ menerusi pengenalan SUV Kembara pada tahun 1998. Diasaskan dari Daihatsu Terios, Kembara merupakan SUV pertama keluaran syarikat nasional.

    Seperti namanya, Kembara bukan dibina seperti kebanyakkan SUV pada masa sekarang yang direka untuk kegunaan bandar. Ia merupakan kenderaan off-road sebenar yang boleh digunakan untuk masuk ke kawasan hutan pada bila-bila masa, diberikan sistem pacuan empat roda sepenuh masa dan disertakan pengunci karbeda tengah (center differential lock) yang boleh diaktifkan dengan suis (digunakan pada permukaan licin/berlecak teruk untuk mengekalkan tork yang sama pada gandar hadapan dan belakang), dijana oleh enjin 1.3 liter SOHC.

    Kembara kemudiannya diberikan tingkat taraf pada tahun 2003 dengan sedikit perubahan pada bahagian luaran dan juga diberikan enjin yang lebih moden, 1.3 liter DOHC K3-VE yang turut dilengkapi sistem pemasaan injap bervariasi DVVT. Model ini dihentikan pengeluarannya pada tahun 2008 dengan jumlah produksi keseluruhan 77,889 unit dan kemudiannya digantikan dengan model Perodua Nautica.

    Perodua – perjalanan 24 tahun mengubah corak mobiliti rakyat Malaysia, bermula dengan si cilik Kancil

    Perodua mula hadir dengan model MPV pada tahun 2000, menerusi Perodua Kenari. Diasaskan dari Daihatsu Move L900, rekaan MPV bersaiz kecil dengan empat tempat duduk, tinggi dan berkotak ini mengundang pelbagai reaksi rakyat Malaysia ketika itu kerana konsep yang agak pelik pada Kenari ini merupakan yang pertama seumpanya di sini.

    Kenari ditawarkan dengan dua pilihan enjin iaitu 850 cc dan juga 1000 cc. Model ini kemudiannya menerima facelift pada tahun 2004 dengan muka hadapan menerima lampu utama berbentuk ‘kacang’, menggantikan lampu bulat kembar berasingan sebelum itu. Kegilaan rakyat Malaysia dalam mengubahsuai Kenari kepada Move seperti yang terjadi pada Kancil akhirnya menarik perhatian Perodua sendiri, yang kemudiannya mereka menghasilkan Kenari RS, menampilkan kit luaran yang sporty seiras dengan Daihatsu Move Custom di Jepun.

    Rupa pelik pada Kenari ini akhirnya boleh diterima dengan baik oleh rakyat Malaysia secara beransur-ansur. Buktinya, model ini berjaya bertahan selama sembilan tahun dalam pasaran, setelah produksinya dihentikan pada tahun 2009.

    Perodua – perjalanan 24 tahun mengubah corak mobiliti rakyat Malaysia, bermula dengan si cilik Kancil

    Perodua mula mengeluarkan hatchback kompak keduanya selepas Kancil, diberi nama Perodua Kelisa pada tahun 2001. Kelisa diasaskan dari Daihatsu Mira L700, ditawarkan dengan enjin sama seperti Kenari iaitu 850 cc dan 1000 cc.

    Dengan enjin lebih berkuasa berbanding berat keseluruhannya yang hanya sekitar 70 kg lebih berat dari Kancil serta dimensinya yang lebih panjang dan lebar, Kelisa ternyata sebuah kereta kompak yang sangat seronok untuk dipandu. Produksi Kelisa dihentikan pada 2007, setelah enam tahun dalam pasaran dan sejumlah 166,588 unit telah dihasilkan sepanjang tempoh tersebut.

    Atas faktor seronok untuk dipandu, tahap reliabiti yang tinggi serta kos selenggara yang rendah, kebanyakkan Kelisa masih kekal dengan tuan asalnya, tetapi mendapat permintaan tinggi dalam pasaran kereta terpakai, menjadikan harganya kekal tinggi sehingga sekarang.

    Perodua – perjalanan 24 tahun mengubah corak mobiliti rakyat Malaysia, bermula dengan si cilik Kancil

    Jika di luar negara ada Mini Mk1 dan Volkswagen Type-1 Beetle yang dianggap sebagai kereta ikonik di negara masing-masing, kita di Malaysia ada Perodua Myvi. Sejak dari mula diperkenalkan pada 2005 sehingga hari ini, sejumlah lebih dari 935,304 unit Myvi telah berkeliaran di atas jalan raya seluruh Malaysia, dan memegang takhta sebagai kereta paling laris dalam pasaran tempatan selama sembilan tahun berturut-turut!

    Dengan angka berkenaan, secara purata, satu dari sepuluh buah kenderaan di Malaysia pastinya adalah Myvi, dan jumlah keseluruhan Myvi di dalam Malaysia sahaja lebih banyak dari himpunan populasi manusia di Brunei, Iceland dan Aruba. Oleh itu, tidak hairanlah kisah suka-duka, perit-getir rakyat Malaysia sejak 17 tahun lalu pastinya ada disulami dengan Perodua Myvi.

    Sehingga kini, Myvi telah dihasilkan dalam dua generasi dan pelbagai versi facelift. Pembinaan Myvi generasi pertama diasaskan dari Daihatsu Boon/Toyota Passo, ditawarkan dengan dua enjin berbeza iaitu 1.0 liter tiga-silider DOHC DVVT dan juga 1.3 liter empat-silinder DOHC DVVT.

    Myvi generasi kedua hadir dalam pasaran bermula pada tahun 2011 dan masih diproduksi dan dijual sehingga sekarang. Model ini diberikan dimensi hampir sama seperti model sebelumnya, dan penggayaannya yang kini lebih bulat dan sporty. Pelbagai peningkatan ketara diberikan pada ciri-ciri dan sistem mekanikal antaranya sistem stereng berkuasa hidraulik kini telah digantikan dengan stereng kuasa elektrik. Dua beg udara hadapan kini diberikan standard untuk semua varian, manakala brek ABS dan EBD diberikan untuk model 1.3 Premium keatas.

    Varian asas model baharu ini juga tidak lagi menggunakan enjin 1.0 liter, tetapi telah digantikan dengan enjin K3-VE 1.3 liter DOHC DVVT. Manakala untuk model varian lebih tinggi, Myvi kini diberikan enjin lebih bertenaga – 3SZ-VE 1.5 liter DOHC DVVT. Versi transmisi manual model 1.5 liter ini mampu memecut dari 0-100 km/j dalam hanya 9.98 saat, menjadikannya kereta produksi paling pantas pernah dihasilkan Perodua.

    Model 1.5 liter ini juga diberikan varian Extreme, diberikan kit badan penuh dengan spoiler belakang lebih tinggi dan juga spoiler hadapan lebih agresif pada bampar hadapan, bersama warna kuning signatur rasmi Solid Majestic Yellow. Percaya atau tidak, seorang rakyat Jepun telah membeli Myvi Extreme ini di Malaysia, dan membawanya pulang ke Jepun, kemudiannya dihantar ke Fujita Engineering (FEED) untuk diubahsuai! Walau bagaimanapun, varian Extreme ini dihentikan semasa pengenalan versi facelift pada tahun 2015, dan digantikan dengan varian Advance yang hanya hadir dalam versi transmisi automatik.

    Perodua – perjalanan 24 tahun mengubah corak mobiliti rakyat Malaysia, bermula dengan si cilik Kancil

    Selepas Kenari, Perodua menghasilkan sebuah lagi MPV, kali ini dengan tujuh-tempat duduk digelar Perodua Alza. Menerjah pasaran pada tahun 2009, Alza diasaskan dari model Dihatsu Boon Luminas/Toyota Passo Sette. Alza hanya ditawarkan dengan enjin 1.5 liter DOHC DVVT, dipadankan sama ada dengan transmisi automatik empat-kelajuan atau manual lima-kelajuan.

    Semasa dilancarkan, Alza tampil dengan dua varian iaitu Standard dan Premium. Pada tahun 2010, Alza Advance yang diberikan aksesori lebih mewah seperti tempat duduk kulit dan lain-lain mula ditawarkan. Manakala pada tahun pada tahun 2012, Alza versi lebih mampu milik dari varian SR diperkenalkan, hadir tanpa brek ABS, EBD dan BA, serta lain-lain aksesori.

    Versi facelift Alza hadir pada tahun 2014, ditawarkan hanya dalam tiga varian iaitu Standard, SE, dan Advance. Perubahan yang dilakukan pada versi ini hanya melibatkan rupa, tanpa apa-apa perubahan mekanikal. Varian Standard kemudiannya digantikan dengan Alza S, yang diberikan pelbagai aksesori seperti kita badan dari SE dan lain-lain, tanpa apa-apa perubahan harga. Alza masih lagi diproduksi sehingga kini setelah lapan tahun dalam pasaran, dan Perodua masih lagi belum mengumumkan bila generasi baharu MPV ini akan diperkenalkan.

    Perodua – perjalanan 24 tahun mengubah corak mobiliti rakyat Malaysia, bermula dengan si cilik Kancil

    Tahun lalu, Perodua mencatatkan satu lagi detik bersejarah dalam hayatnya sebagai pengeluar automotif nasional dengan menghasilkan sedan pertamanya – Perodua Bezza.

    Bezza diasaskan dari platform yang sama seperti Perodua Axia/Daihatsu Ayla/Toyota Agya, tetapi kerangka atas bahagian atas model sedan ini, dihasilkan sendiri oleh pasukan jurutera Perodua – Daihatsu dan Toyota masih lagi belum membina sedan menggunakan platform berkenaan.

    Selain dari kerangka, Perodua turut menghasilkan sendiri sistem auto start/stop untuk enjin, serta sistem regenerative braking bagi menyokong fungsi ‘Eco-Idle’ tersebut. Perodua Bezza ditawarkan dengan dua pilihan enjin iaitu 1KR-VE 1.0 liter SOHC VVT-i dan juga 1NR-VE 1.3 liter DOHC Dual VVT-i – enjin yang sama menjana Toyota Avanza facelift.

    Perjalanan Perodua tidak terhenti setakat ini. Di penghujung pameran ini, Perodua turut mempamerkan model skala tanah liat sebuah MPV digelar Perodua Concept-X. Menurut Perodua, model ini bukan petunjuk pada mana-mana model gantian dalam masa terdekat, tetapi sebagai untuk menunjukkan kemampuan sebenar pasukan pereka bentuk mereka dalam menghasilkan rekaan-rekaan baharu.

    Walau bagaimanapun kami turut diberitahu, sebahagian elemen rekabentuk pada model ini akan diterapkan pada model-model Perodua generasi akan datang. Sebelum ini, Perodua pernah mengumumkan program transformasi pertama mereka untuk tempoh lima tahun, dan menyaksikan unit R&D mereka telahpun diperkasakan dengan kejayaan pertama membina Bezza.

    Perodua telah mengumumkan satu lagi rancangan lima-tahun mereka selepas itu digelar “Pelan Transformasi 2.0” yang akan bermula tahun ini, di mana salah satu cabangnya adalah untuk memperkasakan unit R&D dalaman. Jadi penghasilan model konsep baharu ini mungkin menunjukkan visi mereka kearah yang disasarkan berkenaan, dan selepas ini mungkin kita akan dapat lihat banyak lagi model yang dibangunkan oleh Perodua sendiri.

    Bagi mereka yang berminat untuk melihat sendiri pameran Perjalanan Perodua ini, anda masih lagi berpeluang kerana karnival MYPerodua Nation yang bermula semalam ini hanya akan berakhir pada hari esok – 22 Januari 2017. Masuk adalah percuma, cuma sediakan duit untuk bayar parkir di AEON Mall Shah Alam, hah!

     
     
  • Nombor pendaftaran VR 46 rebutan peminat motosikal

    Nombor pendaftaran VR 46 rebutan peminat motosikal

    Tahun lalu, nombor plat pendaftaran V (Kuala Lumpur) dan F (Putrajaya) menjadi popular, malah menerima bidaan tertinggi yang mencatat sejarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ). Di mana JPJ memperoleh sejumlah RM22 juta bagi plat pendaftaran V, manakala RM17 juta untuk F.

    Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berjaya membida nombor pendaftaran V1 dengan harga RM989,780.

    Kini nombor pendaftaran bagi Kuala Lumpur itu bakal memasuki abjad ‘VR’ dan pastinya ini yang dinanti-nantikan oleh kebanyakan peminat motosikal. Menurut Timbalan Pengarah JPJ Wilayah Persekutuan Datuk Nodhazli Azhar, tempahan nombor pendaftaran berkenaan baru sahaja ditutup pada 17 Januari lalu, laporan Kosmo.

    Walau bagaimana pun, pihak JPJ masih belum menerima maklumat terperinci mengenai tempahan nombor pendaftaran berkenaan dan semakan serta penilaiannya akan dibuat dalam masa terdekat.

    Baru-baru ini tersebar di laman media sosial mengenai resit borang untuk membida nombor pendaftaran berkenaan dengan nilai RM250,000. Mungkin juga individu berkenaan mahu meletakkan nombor pendaftaran tersebut untuk motosikalnya memandangkan ia adalah nombor yang digunakan oleh pelumba profesional MotoGP, Valentino Rossi dan VR adalah singkatan nama beliau.

    Malah terdapat beberapa individu lain yang turut membida nombor berkenaan dengan nilai yang tinggi semata-mata ingin meletakkannya pada motosikal mereka. Wah! Masing-masing macam mahu ‘menumpang tuah’ Valentino Rossi nampak. Tapi jangan berlumba atau menunjuk jaguh atas jalan raya ya, brader.

     
     
  • Cukai jalan, insurans motosikal – mahal dari kereta?

    Cukai jalan, insurans motosikal – mahal dari kereta?

    Seperti yang kita sedia maklum, cukai jalan yang dikenakan di Malaysia bukanlah berdasarkan kadar penggunaan jalan raya sesebuah kenderaan. Sebaliknya, ia dikenakan mengikut kapasiti enjin kenderaan yang digunakan – lebih besar kapasiti enjin, lebih tinggi cukai jalan yang dikenakan, baik bagi kereta atau motosikal.

    Struktur cukai jalan motosikal terpecah kepada enam kategori. Ia adalah seperti berikut; 0 hingga 150 cc (RM2), 151 cc hingga 200 cc (RM30), 201 cc hingga 250 cc (RM50), 251 cc hingga 500 cc (RM100), 501 cc hingga 800 cc (RM250) dan 801 cc ke atas (RM350).

    Bagi motosikal 250 cc, kadar yang dikenakan nampak murah. Tetapi, bagi kategori kapasiti enjin motosikal yang semakin meningkat selepas itu, ia tak lari banyak jika dibandingkan dengan cukai jalan yang dikenakan kepada kereta dengan enjin 2.0 liter; walaupun kos penggunaannya tidak sama, kerana motosikal tidak perlu membayar tol.

    Cukai jalan, insurans motosikal – mahal dari kereta?

    Bagi insurans pula, motosikal membayar lebih berbanding kereta. Sebagai contoh, bergantung kepada jumlah yang diinsuranskan, tanpa mengambil kira umur penunggang, pengalaman atau rekod tunggangannya di jalan raya, motosikal yang diinsuranskan pada nilai RM50,000 memerlukan penunggang untuk membayar RM1,715 bagi insurans tahunan komprehensif (all-rider).

    Sementara bagi model seperti Honda EX-5, dengan jumlah diinsuranskan sekitar RM4,400, perlu membayar premium insurans sebanyak RM292.38. Berdasarkan kiraan insurans di carbase.my, ini adalah lebih tinggi daripada premium insurans komprehensif sebuah kereta 1.4 liter yang membayar RM1,547 setahun.

    Bagi motosikal berkuasa besar pula, dengan kadar diinsuranskan sebanyak RM125,000, jurangnya sama juga; RM3,563 bagi kereta 2.2 liter berbanding RM3,742 bagi motosikal 1,000 cc. Memang sukar untuk membandingkan antara motosikal dan kereta secara setara, kerana kedua-duanya memiliki faktor lain yang membezakan (unit import, prestasi tinggi dan sebagainya memang lebih mahal). Tetapi, menarik juga untuk kita mengetahui perbezaan ini, bukan?

     
     
  • TPV industri automotif tempatan cecah 545,253 unit pada 2016; nilai eksport tetap jadi keutamaan – MAI

    TPV industri automotif tempatan cecah 545,253 unit pada 2016; nilai eksport tetap jadi keutamaan – MAI

    Jika laporan Persatuan Automotif Malaysia (MAA) yang diumumkan sebelum ini memberi perhatian terhadap jumlah jualan kenderaan dan menilai prestasi pasaran berdasarkan Total Industry Volume (TIV), Institut Automotif Malaysia (MAI) pula memberikan penekanan kepada satu lagi aspek yang sama penting dalam menentukan prestasi automotif di Malaysia, secara lebih holistik dan menyeluruh, iaitu melalui perangkaan Total Production Volume (TPV).

    Mengulas tentang perkara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MAI, Datuk Madani Sahari percaya bahawa melihat kepada TPV juga sama pentingnya dalam menilai prestasi industri. “Ini kerana, ia tidak hanya dinilai melalui jualan kenderaan semata-mata, tetapi turut mengambil kira pengeluaran kenderaan untuk tujuan eksport (merujuk Malaysia sebagai hab pengeluaran serantau) oleh industri tempatan,” ujar beliau.

    Mengambil kira semua hal itu, MAI memaklumkan bahawa TPV bagi industri automotif di Malaysia pada 2016 ialah pada kadar 545,253 unit. Bagi tahun 2017, jumlahnya disasarkan kepada 572,003 unit. Mengulas lanjut tentang Malaysia sebagai hab serantau bagi tujuan eksport, menjelang tahun 2020, lapan pengeluar telah memberikan komitmen untuk mengeksport sebanyak 122,610 unit kenderaan dari Malaysia.


    Jumlah dan nilai eksport industri automotif Malaysia

    Manakala perbincangan juga masih dijalankan bersama tiga lagi pengeluar untuk mendapatkan komitmen sama bagi tambahan 27,390 unit kenderaan, menjadikan sasaran eksport menjelang tahun 2020 ialah 150,000 unit. Bagaimanapun, tahun lalu setakat bulan Jun, angka kenderaan yang dieksport mencecah 15,603 unit. Bagi 2017, MAI mensasarkan 31,000 unit kenderaan akan dieksport.

    Memberi contoh kepada perkara ini, MAI merujuk kepada pengeluar-pengeluar seperti Mazda, Subaru dan Volvo yang giat menjadikan Malaysia sebagai hab pemasangan kenderaan masing-masing, sebelum dieksport untuk memenuhi permintaan di pasaran serantau seperti Thailand dan Indonesia.

    Jumlah eksport Malaysia bagaimanapun tidak hanya diwakili oleh kenderaan sahaja. Sektor komponen dan bahagian kenderaan juga memainkan peranan yang sangat penting. Pada 2014, ia melibatkan nilai eksport sebanyak RM4.7 bilion.

    TPV industri automotif tempatan cecah 545,253 unit pada 2016; nilai eksport tetap jadi keutamaan – MAI

    Tahun 2015 menyaksikan nilainya melepasi sasaran awal RM7 bilion kepada RM9.8 bilion, manakala setakat Jun 2016, ia berada pada nilai RM7 bilion. Dengan data penuh bagi 2016 yang belum diperolehi, MAI yakin dapat melepasi nilai RM11 bilion seperti yang disasarkan. Bagi 2017, sasarannya dipertingkatkan lagi kepada RM12 bilion.

    Turut termasuk di dalam perkiraan industri oleh MAI ialah apa yang dikenali sebagai remanufactured parts and components. Setakat Jun 2016, sejumlah RM282 juta komponen jenis ini (oleh 30 buah syarikat) telah dieksport, dan MAI yakin mampu mencapai sasaran awal RM513 juta yang ditetapkan untuk tahun lalu. Untuk 2017, angka ini disasarkan untuk mencapai nilai RM750 juta.

    Peratusan kenderaan dengan status EEV yang dijual dalam pasaran tempatan juga meningkat, mencatatkan kadar 39.3% setakat November 2016. Ini juga melibatkan sebanyak 59 buah model yang diberi pengiktirafan sebagai kenderaan cekap tenaga tahun lalu. Jumlah jualan kenderaan EEV dalam pasaran tempatan disasarkan kepada 50% bagi tahun 2017.

    TPV industri automotif tempatan cecah 545,253 unit pada 2016; nilai eksport tetap jadi keutamaan – MAI

    Jumlah pekerjaan yang dicipta juga sangat memberangsangkan. Bagi sektor pengilangan, 25,850 pekerjaan dicipta, pertambahan sebanyak 8.7% berbanding 2015. Daripada jumlah itu, 10,130 pekerjaan dicipta melalui program Human Capital Development (HCD) yang diusahakan oleh MAI, yang menawarkan dua sijil kepada mereka yang berminat dan layak – Automotive Industry Certification Engineering (AICE) bagi pemegang ijazah dan Industry-Led Professional Certificate (IPC) bagi lepasan SPM.

    Bagi sektor lepas jualan (aftersales) pula, sebanyak 24,671 pekerjaan berjaya diwujudkan pada 2016, berbanding 15,297 pekerjaan pada 2015. Daripada jumlah ini, 3,477 pekerjaan adalah hasil daripada program HCD oleh MAI.

     
     
  • Honda City facelift dikesan di M’sia – bakal dilancar?

    Honda City facelift dikesan di M’sia – bakal dilancar?

    Honda City facelift 2017 yang telah dilancarkan di Thailand baru-baru ini, kemungkinan besar akan turut diperkenalkan di Malaysia, terima kasih atas kiriman foto oleh pembaca KC Lee yang dikesan di Putrajaya.

    Walau pun foto ini terlindung dek rimbunan pokok, namun kelibatnya memang menyerlahkan model City. Pun begitu, gril Solid Wing Face jelas kelihatan dalam bentuk yang sedikit berbeza. Walau bagaimana pun, jika melihat dengan lebih jelas, logo Honda terletak di bahagian bawah dan menyerlah di luar bar krom berbanding model semasa.

    Selain itu, kelihatan lebih jelas roda aloi dwi-tona 16-inci, seakan sama dengan rekaan model yang dilancarkan di Thailand. Perubahan lain yang dijangka dilakukan termasuklah lampu utama yang dibentuk semula (dengan pilihan lampu utama LED, lampu nyalaan siang LED standard), bampar baharu dan bahagian kabin yang diberi sedikit peningkatan.

    Bagi City spesifikasi Thailand, senarai elemennya banyak dikekalkan termasuk operasi tanpa kunci, sistem infotainmen Paparan Audio dengan skrin sesentuh tujuh-inci, kamera undur pelbagai-sudut dan roda stereng dengan butang kawalan audio. Malah ia juga dengan enam beg udara, Bantuan Kestabilan Kenderaan (VSA), Bantuan Mula Mendaki (HSA) dan Isyarat Berhenti Kecemasan (ESS).

    Di bawah bonetnya, City baharu ini dijanakan oleh enjin 1.5 liter i-VTEC empat-silinder petrol yang mampu menghasilkan kuasa sehingga 118 hp pada 6,600 rpm dan tork 145 Nm pada 4,600 rpm, yang disalurkan ke roda hadapan menerusi CVT. Seperti mana model semasa City, model baharu ini juga akan terus diproduksi secara pemasangan tempatan.

    GALERI: Honda City facelift (spesifikasi Thailand)

     
     
  • Karnival MYPerodua Nation sedang berlangsung di AEON Mall Shah Alam sehingga 22 Jan ini

    Karnival MYPerodua Nation sedang berlangsung di AEON Mall Shah Alam sehingga 22 Jan ini

    Mulai hari ini sehingga 22 Januari 2017, Perodua sedang menganjurkan karnival MYPerodua Nation bertempat di Aeon Mall Shah Alam (tempat parkir terbuka).

    Pelbagai aktiviti menarik menanti para pengunjung, antaranya persembahan artis popular oleh Faizal Tahir, Tomok, Bunkface, De Fam dan Ezad Lazim. Selain itu, tayangan filem “BoboiBoy The Movie” dan “Ice Aged” secara terbuka juga akan diadakan.

    “MYPerodua Nation terbuka untuk semua orang. Nikmati pengalaman penuh bermakna bersama kami dengan pelbagai tawaran menarik serta pelbagai lagi kejutan yang bakal menanti kunjungan anda semua,” ujar pengarah urusan bahagian jualan Perodua, Datuk Dr.Zahari Husin.

    Bagi ahli Perodua UFirst juga berpeluang menyertai “UFirst Warrior Challenge” dengan tawaran wang tunai sebagai hadiah.

    “Malah kami turut menyediakan aktiviti dan promosi istimewa buat penuntut universiti dan kolej yang ingin membeli kereta Perodua pertama mereka atau boleh menyertai Uni-Quest Challenge sebagai sebahagian daripada aktiviti promosi tahunan,” tambah Zahari lagi.

    Karnival MYPerodua Nation sedang berlangsung di AEON Mall Shah Alam sehingga 22 Jan ini

    Para pengunjung juga berpeluang menempah mana-mana model Perodua di karnival ini, malah turut terbuka untuk menyertai kuiz dengan menjawab soalan ringkas menerusi SMS. Hadiah utama yang menanti pemenang bertuah merupakan Perodua Bezza 1.3L Advance (lengkap dengan aksesori GearUp). Sementara itu, pakej melancong ke Shanghai, China, selama 5 hari 5 malam turut menanti 30 pemenang cabutan bertuah.

    Bukan itu sahaja, acara cabutan bertuah umum juga turut diadakan dan semua pengunjung berpeluang menyertainya. Di mana ia menawarkan Perodua Axia facelift 2017 sebagai hadiah utama untuk dimenangi, di samping hadiah-hadiah lain yang tidak kurang menariknya termasuk Samsung S7 Edge, iPhone 7 dan kamera GoPro .

    Bagi yang berminat untuk memilik kenderaan Perodua baharu, Golden Prosperity Deals turut memberikan tawaran menarik sempena dengan promosi Tahun Baru Cina. Malah pelanggan boleh menerima rebat tunai sehingga RM3,888 bagi model Perodua terpilih. Bagi pelanggan sedia ada, turut berpeluang menerima baucer servis percuma, berserta diskaun istimewa sehingga 50% bagi alat ganti dan aksesori.

    “Semua orang dijemput untuk bersama-sama Perodua bagi memeriahkan lagi acara ini sebagai cara kita menyambut kedatangan 2017 dengan penuh keceriaan. Kami turut menyediakan perkhidmatan bas secara percuma dari sekitar Seksyen 13, Shah Alam, untuk pengunjung datang ke karnival ini,” ujar Zahari lagi.

     
     
  • MPV Perodua Concept X – tunjuk kemampuan dan kemahiran sebenar pasukan pereka bentuk Perodua

    MPV Perodua Concept X – tunjuk kemampuan dan kemahiran sebenar pasukan pereka bentuk Perodua

    Sebelum ini, Perodua sering dikaitkan dengan penghasilan model-model ‘rebadge’ dari Daihatsu dan Toyota. Namun, dengan kehadiran Bezza dalam pasaran, membuktikan mereka juga mempunyai pasukan pereka bentuk dan jurutera berwibawa untuk menghasilkan model-model sendiri.

    Pada Karnival MYPerodua Nation yang kini sedang berlangsung di AEON Mall Shah Alam hingga 22 Januari ini, Perodua turut mempamerkan model konsep dalam bentuk model skala tanah liat digelar Perodua Concept X. Menurut Perodua, model ini bukan petunjuk pada mana-mana model gantian dalam masa terdekat, tetapi sebagai untuk menunjukkan kemampuan sebenar pasukan pereka bentuk mereka dalam menghasilkan rekaan-rekaan baharu.

    Concept X dibina sebagai sebuah MPV kompak seperti Alza, menampilkan rekaan yang sangat futuristik pada bahagian luar dan dalaman. Lampu hadapan direka tirus dan turut menempatkan jalur lampu nyalaan siang LED bina-dalam. Tiada gril utama diberikan, tetapi digantikan dengan jalur berwarna hitam mengubungkan kedua-dua lampu utama. Bampar hadapan direka seakan bentuk bampar Axia Advance sebelum ini, menampilkan gril bawah yang direka lebih lebar di bawah serta liang udara sisi diberikan elemen sarang lebah.

    MPV Perodua Concept X – tunjuk kemampuan dan kemahiran sebenar pasukan pereka bentuk Perodua

    Pada bahagian sisi, Concept-X menampilkan ruang roda yang agak besar dan juga lebar di bahagian belakang bagi memberikan rupa yang lebih gagah. Ia turut diberikan rim bersaiz besar dibaluti tayar berprofil rendah. Disebalik rim-rim berkenaan, keempat-empat sudut MPV ini diberikan brek cakera serta angkup brek Brembo.

    Tiang-D MPV konsep ini turut diberikan warna hitam bagi memberikan kesan seolah-olah bumbungnya terapung. Berbeza dengan Alza atau mana-mana model hatchback Perodua lain, lampu belakang Concept X ini direka melintang dan berbentuk-C. Ia juga turut diberikan kemasan berbentuk bar berwarna merah merentangi pintu tailgate bagi menghubungkan kedua-dua belah lampu.

    Keratan rentas pada sisi kiri serta bumbung telus cahaya diberikan pada model skala ini bagi memberikan pandangan jelas pada bahagian dalamannya. Dapat dilihat, papan pemuka Concept-X direka secara minimalis dan bertumpu kepada pemandu. Enam tempat duduk diberikan di dalam kabin, termasuk dua tempat duduk barisan ketiga yang ditunjukkan seperti sudah dilipat.

    Selain dari model lengkap ini, Perodua turut mempamerkan model separa siap bersama kelengkapan-kelengkapan yang diperlukan untuk menghasilkan sebuah model skala tanah liat serta kelengkapan lain yang digunakan untuk menghasilkan lakaran rekaan.

    Walaupun dibina hanya untuk tujuan memperlihatkan kemahiran mereka, menurut kakitangan Perodua yang bertugas, sebahagian elemen rekabentuk pada model ini akan diterapkan pada model-model Perodua generasi akan datang. Sebelum ini juga, Perodua telah mengumumkan rancangan lima-tahun mereka digelar “Pelan Transformasi 2.0” yang bermula tahun ini di mana salah satu cabangnya adalah untuk memperkasakan unit R&D dalaman mereka.

    Pemerkasaan R&D dalam Pelan Transformasi Perodua sebelum ini telah pun dilihat berjaya setelah pelancaran Perodua Bezza, di mana kerangka, reka bentuk bahagian atas, dan juga berberapa ciri lain model berkenaan dihasilkan sendiri oleh jurutera-jurutera dan pereka-pereka bentuk dari Perodua. Adakah model konsep MPV terbaharu dari Perodua ini mencerminkan visi mereka terhadap pelan transformasi berikutnya?

     
     
  • Perodua Myvi Advance, SE terima kit GearUp standard

    Perodua Myvi Advance, SE terima kit GearUp standard

    Pada pertengahan tahun 2015 lalu, selain Axia, Perodua turut memperkenalkan kit badan GearUp untuk semua varian Myvi termasuk Advance dan SE, agar ia nampak lebih sporty. Dengan harga RM2,045.80, ia menampilkan bampar hadapan, skirt sisi dan kit bampar belakang buat dua varian tertinggi Myvi itu.

    Terkini, Perodua mengumumkan bahawa kedua-dua varian berkenaan telah ditampilkan dengan elemen baharu secara standard iaitu bagi skirt hadapan dan belakang pula. Di mana tanpa pertambahan harga, Myvi kini didatangkan dengan kedua-dua elemen terbabit, terus dari kilang. Pastinya menyerlahkan lagi imej sporty pada Myvi ini.

    Manakala untuk bahagian kabinnya, kit GearUp bagi kedua-dua varian ini turut ditawarkan dengan elemen termasuk sarung kusyen kulit buatan dengan “jaluran merah” dan kekemasan pintu jahitan merah pada harga RM1,121.50.

    GALERI: Perodua Myvi Advance dengan kit GearUp

    GALERI: Perodua Myvi SE dengan kit GearUp

     
     
  • Perodua Axia 2017 dilancarkan – enjin 1.0 VVT-i, peningkatan elemen, harga bermula RM25k

    Perodua Axia 2017 dilancarkan – enjin 1.0 VVT-i, peningkatan elemen, harga bermula RM25k

    Setelah mula dipamerkan di bilik-bilik pameran di seluruh negara awal minggu ini, hari ini Perodua Axia versi facelift 2017 telah pun dilancarkan secara rasmi. Ia masih kekal ditawarkan dengan lima varian, tetapi diberikan rupa yang lebih segar serta pelbagai perincian baharu.

    Varian paling rendah Standard E dijual pada harga RM24,900 (RM463 lebih mahal berbanding sebelum ini RM24,437-RM24,837), Standard G manual dijual pada harga RM34,900 (RM2,773 lebih mahal berbanding sebelum ini RM32,127-RM32,527), Standard G automatik dijual pada harga RM36,900 (RM1,773 lebih mahal berbanding sebelum ini RM35,127-RM35,527).

    Bagi Axia SE pula, versi manual dijual pada harga RM37,900 (RM1,263 lebih mahal berbanding sebelum ini RM36,637-RM37,037), manakala untuk versi automatik pula dijual pada harga RM39,900 (model dengan warna solid RM263 lebih mahal tetapi metalik RM137 lebih murah berbanding harga lama RM41,967-RM42,377).

    Varian tertinggi Advance pula dijual pada harga RM42,900, iaitu RM1,933 lebih mahal berbanding harga lama iaitu RM41,967-RM42,377. Kesemua harga yang dinyatakan adalah harga atas jalan termasuk insuran, serta tiada perbezaan harga untuk model solid dan metalik pada barisan Axia facelift ini.

    Axia facelift ini turut menampilkan rupa luaran yang diberikan sentuhan semula. Kini, semua varian Axia menerima lampu hadapan projektor yang dipadankan secara standard. Untuk Standard E dan G, ia turut menerima gril hadapan baharu yang lebih besar, membuatkan wajah hadapannya kini seakan seiras dengan Myvi. Bampar juga direka semula dengan elemen lebih bersegi dari sebelum ini.

    Pemegang pintu tailgate belakang baharu juga ditampilkan bagi memudahkan pengguna (juga standard untu semua varian), manakala bahagian lain termasuk lampu penunjuk arah pada fender hadapan dan rim 14-inci lapan-jejari masih dikekalkan.

    Bagi varian SE dan Advance pula, bampar dengan gril utama seakan ‘mulut besar’ pada model sebelum ini juga turut digantikan dengan rekaan yang lebih matang. Ia diberikan gril utama dengan bentuk yang sama seperti varian Standard, tetapi dengan elemen dua bar krom yang berbeza.

    Perumah lampu kabus pada kedua-dua sisi direka dengan elemen segitiga dilengkapi dengan jalur kemasan krom, mengapit gril bawah yang kecil, menjadi wajah Axia ini seakan Honda Jazz jika dilihat sekilas lalu.

    Beralih ke bahagian sisi, varian SE/Advance menerima lampu penunjuk arah LED pada cermin sisi (sama seperti sebelum ini), rim 14-inci baharu daripada Bezza Advance dan butang kemasukan tanpa kunci pada pemegang pintu bahagian pemandu. Bampar belakang yang lebih tajam dan lampu belakang berwarna jernih tidak ditukar, tetapi pintu but belakang juga mendapat butang kemasukan tanpa kunci.

    Perodua tidak melakukan rombakan di bahagian dalam yang begitu ketara pada Axia facelift ini. Semua model kini mendapat rekaan panel meter baharu, kekemasan sutera perak baharu pada panel instrumen, dengan pencahayaan lampu putih pada varian SE dan Advance; model yang lebih sporty ini juga menerima butang penghidup enjin (terletak di sebelah butang untuk menutup pengesan jarak hadapan).

    Perodua Axia 2017 dilancarkan – enjin 1.0 VVT-i, peningkatan elemen, harga bermula RM25k

    Sementara itu, varian Advance mendapat skrin sesentuh sistem hiburan dan informasi baharu, dengan fungsi cerminan telefon Android ‘Smart Link’ (varian SE kekal dengan unit radio/CD/Bluetooth yang ringkas). Perubahan lain termasuk rekaan tempat duduk fabrik baharu pada varian Standard dan SE.

    Untuk sistem mekanikal pula, perubahan terbesar yang dilakukan pada versi kemaskini ini ialah pada enjinnya, di mana Axia facelift kini diberikan enjin 1.0 liter SOHC VVT-I 1KR-VE dari Bezza menggantikan enjin 1.0 liter 1KR-DE tanpa sistem VVT-i.

    Ini membolehkan kuasa maksimum Axia ini meningkat 1 hp dan 1 Nm, dari sebelum ini, menjadikan keseluruhannya 67 hp pada 6,000 rpm dan 91 Nm tork pada 4,400 rpm, disalurkan kepada roda depan melalui pilihan kotak gear manual lima-kelajuan dan automatik empat-kelajuan, sama seperti sebelum ini.

    Perodua mendakwa versi manual boleh mencatat penggunaan bahan api lebih baik, sehingga 22.5 km/l berbanding sebelum ini 21.6 km/l.

    Perodua Axia 2017 dilancarkan – enjin 1.0 VVT-i, peningkatan elemen, harga bermula RM25k

    Untuk keselamatan, varian Standard G dan ke atas kini menerima sistem brek dengan ciri ABS. Walau bagaimanapun, sistem keselamatan lain tidak menerima sebarang tingkat taraf; ia masih tidak dibekalkan dengan kawalan stabiliti elektronik (ESC), dan diberikan dua beg udara di bahagian hadapan, menjadikan kenderaan ini diiktiraf dengan penarafan empat-bintang dalam ASEAN NCAP.

    Axia facelift 2017 masih mengekalkan warna sedia ada termasuk Lava Red, Midnight Blue, Ebony Black dan Glittering Silver (semuanya metalik), serta Sunflower Yellow dan Ivory White (kedua-duanya warna solid). Namun terdapat dua warna untuk varian Standard E dan G yang digugurkan iaitu Cherry Blossom dan Lemongrass Green.

    Setiap pembelian Axia akan dilindungi dengan waranti selama lima-tahun atau 150,000 km, yang mana sampai dahulu.

    Pilihan kit badan GearUp juga ditawarkan, yang terdiri dari kemasan bampar hadapan, belakang serta side skirt, spoiler belakang, visor pada cermin pintu dan pelekat hitam di tiang tengah kenderaan. Pilihan ini juga turut menawarkan aksesori bahagian dalaman yang terdiri dari karpet khas, alas untuk ruang simpanan barang, lapisan kalis bunyi di pintu dan hud, serta balutan khas untuk tempat duduk.

    Perodua mensasarkan jualan sebanyak 6,000 unit bagi Axia facelift 2017 ini. Sejak tempahannya mula dibuka pada 13 Januari lalu, Axia facelift ini telah menerima 3,000 unit tempahan dan menurut pengarah urusan bahagian jualan Perodua, Datuk Dr.Zahari Husin, penghantaran bagi tempahan Axia akan bermula hari ini.

    Untuk maklumat lanjut atau sekiranya anda ingin membandingkan Perodua Axia dengan kenderaan-kenderaan lain atau mencari maklumat berkenaan pembelian model ini, sila layari www.carbase.my.

    GALERI: Perodua Axia Advance 1.0 facelift

    GALERI: Perodua Axia Standard G 1.0 facelift dengan kit badan GearUp

     
     
  • Kerajaan Singapura akan tarik balik RRC jika Malaysia batalkan Caj Jalan Raya yang diperkenalkan Nov lalu

    Kerajaan Singapura akan tarik balik RRC jika Malaysia batalkan Caj Jalan Raya yang diperkenalkan Nov lalu

    Lanjutan dari isu Caj Jalan Raya Timbal Balas (RRC) yang dikenakan oleh Singapura kepada semua kenderaan luar yang masuk ke republik berkenaan melalui pusat pemeriksaan Tuas atau Woodlands itu mulai 15 Februari ini, kerajaan republik berkenaan kini mengeluarkan kenyataan akan menarik balik caj tersebut sekiranya Malaysia menarik balik Caj Jalan Rayanya, atau melaksanakan caj itu tanpa diskriminasi, lapor Bernama.

    Menurut Kementerian Pengangkutan Singapura (MOT) menerusi format soalan dan jawapan berkaitan Caj Jalan Raya Timbal Balas dimuat naik dalam portal www.gov.sg di bawah segmen “Faktual” untuk topik “Pengangkutan dan Pemotoran”, Malaysia hendaklah melaksanakan tanpa diskriminasi Caj Jalan Rayanya di semua sempadan daratan pada kos yang sama dan ke atas semua kenderaan bukan berdaftar di Malaysia.

    Portal berkenaan merupakan platform komunikasi dalam talian rasmi Kerajaan Singapura, yang memaklumkan kepada orang ramai mengenai pengumuman dasar terkini, maklumat dan berita mengenai Singapura.

    “Kita sejak dahulu lagi mengamalkan dasar memadankan sebarang levi, tol dan bayaran yang dikenakan oleh Malaysia kerana menggunakan jalan raya yang menghubungkan Singapura dengan Malaysia,” kata MOT.

    Menurut MOT, Permit Masuk Kenderaan (VEP) yang diperkenalkan Singapura dan Caj Jalan Raya Malaysia mempunyai fundamental yang berbeza, di mana caj yang dikenakan oleh kerajaan Malaysia ialah levi yang dikenakan ke atas semua kenderaan asing yang memasuki Malaysia melalui Johor pada sepanjang masa. Sebaliknya, VEP Singapura diperkenalkan untuk menyamakan kos pemilikan dan menggunakan kenderaan atau motosikal asing di Singapura, dengan kos memiliki dan menggunakan kereta atau motosikal berdaftar di Singapura.

    “Ini perlu untuk memastikan keadilan, kerana kenderaan berdaftar di Singapura tertakluk kepada kos yang berbeza secara ketara daripada kenderaan asing seperti premium Sijil Hak Milik (COE) dan cukai kenderaan,” jelas MOT dan menambah, konsesi juga diberikan di bawan skim VEP.

    “Semua kenderaan dan motosikal asing menikmati 10 hari bekerja waktu bebas VEP. Bayaran VEP juga tidak dikenakan jika kenderaan masuk dan keluar Singapura pada hujung minggu dan cuti umum, atau selepas waktu kerja (5 petang hingga 2 pagi) pada hari bekerja,” jelas kenyataan itu lagi.

    Pada 16 Januari lalu, Pihak Berkuasa Pengangkutan Darat Singapura (LTA) mengesahkan semua kenderaan dengan pendaftaran asing akan membayar RRC yang lebih tinggi, iaitu SGD6.40 (RM20) ketika memasuki pulau itu melalui pusat pemeriksaan Tuas atau Woodlands bermula 15 Februari ini.

    VEP Singapura tersebut kini menyamai Caj Jalan Raya Malaysia yang dikenakan sebanyak RM20 (kira-kira S$6.50) ke atas kenderaan asing yang memasuki Johor untuk sekali masuk, yang dilaksanakan pada 1 Nov, 2016. Langkah ini diambil oleh kerajaan Singapura bagi menyeragamkan caj yang dikenakan antara kedua-dua negara.

     
     
  • Toyota C-HR dikesan sedang diuji di Thailand – mungkinkah akan dilancarkan pada 2018 di sana?

    Toyota C-HR dikesan sedang diuji di Thailand – mungkinkah akan dilancarkan pada 2018 di sana?

    Toyota C-HR, SUV segmen-B yang dikatakan bakal memberikan saingan hebat kepada Honda HR-V muncul buat kali pertama untuk peringkat global pada Geneva Motor Show 2016 dan kemudiannya masuk ke pasaran Jepun secara rasmi Disember lalu. SUV ini kemudiannya membuat kemunculan sulungnya untuk rantau ASEAN di Singapore Motor Show minggu lalu, dan terkini, ia dijumpai sedang diuji di atas jalan raya Thailand.

    C-HR berkenaan dijumpai dan dirakamkan imej oleh seorang pembaca Headlightmag, tampil dengan pelekat penyamaran di bahagian luar. Menurut sumber berkenaan juga, CH-R akan diproduksi di salah satu kilang Toyota di Thailand, dan bakal menerjah pasaran negara gajah putih berkenaan pada awal 2018.

    Maklumat ini selari dengan laporan sebelum ini yang menyebut produksi C-HR akan bermula di Thailand pada 2018. Walau bagaimanapun, spesifikasi dan perincian enjin serta transmisi C-HR untuk pasaran berkenaan masih lagi belum diketahui.

    Untuk pasaran Amerika Syarikat, C-HR diberikan enjin petrol 2.0 liter empat-silinder Dual VVT-i (147 PS/187 Nm), digandingkan bersama kotak gear CVT. Manakala untuk UK, Singapura dan Jepun diberikan dua pilihan enjin iaitu enjin 8NR-FTS 1.2L turbo empat-silinder (115 PS/185 Nm) dipadankan bersama transmisi Super CVT-i, dan juga unit janakuasa hibrid gabungan enjin petrol empat-silinder 1.8 liter VVT-i Kitaran Atkinson bersama dua motor elektrik dan transmisi CVT (janakuasa yang sama seperti Prius generasi terbaharu).

    Selain Singapura, Indonesia turut telah mengesahkan spesifikasi unit janakuasa yang bakal diberikan pada C-HR pasaran mereka iaitu enjin petrol empat-silinder 1.5 liter Dual VVT-i 2NR-FE, sama seperti yang terdapat pada Sienta dan juga Vios facelift. Warih Andang Tjahjono, timbalan presiden bagi Toyota Motor Manufacturing Indonesia (TMMIN) berkata, syarikatnya bersedia untuk memproduksi model berkenaan secara pemasangan tempatan di sana.

    Bagaimana pula dengan Malaysia? Sedang netizen di negara ini ‘meleleh air liur’ melihat galeri global C-HR , model-model talaan dari TRD dan Modelista, serta dari Kuhl Racing, UMW Toyota masih lagi berdiam diri tanpa mendedahkan apa-apa sama ada untuk membawanya ke sini atau bila jangkaan ia akan dilancarkan.

    Tetapi, dengan sambutan yang dilihat agak menggalakkan dilihat pada Honda HR-V, UMW Toyota berkemungkinan besar akan membawa juga SUV kompak berkenaan ke pasaran tempatan setelah Thailand dan Indonesia melancarkannya secara rasmi.

    Toyota C-HR di Singapore Motorshow 2017

     
     
  • Diskaun tol 10% di Plaza Tol Gombak, Plaza Tol Bentong, Plaza Tol Karak sempena Tahun Baharu Cina

    Diskaun tol 10% di Plaza Tol Gombak, Plaza Tol Bentong, Plaza Tol Karak sempena Tahun Baharu Cina

    Sempena perayaan Tahun Baru Cina yang bakal tiba hujung minggu hadapan, ANIH Berhad, syarikat konsesi Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK) dan Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 (LPT 1) mengumumkan insentif diskaun tol 10% kepada semua kelas kenderaan yang menggunakan Touch ’n Go dan SmartTag sebagai transaksi pembayaran. Pemberian insentif ini akan bermula dari jam 12 pagi hingga 11.59 malam pada 28 Januari 2017.

    Menurut Pengarah ANIH Berhad, Dato’ Nik Fauzi Nik Hussein, selain daripada pemberian insentif diskaun, syarikat juga menyediakan Jadual Cadangan Waktu Perjalanan (TTA) sebagai rujukan pengguna untuk merancang perjalanan ke Pantai Timur di musim perayaan ini.

    ”Apabila pengguna mematuhi TTA ini, ia secara tidak langsung dapat membantu mengelakkan kenderaan bertembung pada satu masa yang sama di plaza tol, khususnya di Plaza Tol Gombak, Plaza Tol Bentong dan Plaza Tol Karak hingga boleh menyebabkan kesesakan,” ujarnya.

    Diskaun tol 10% di Plaza Tol Gombak, Plaza Tol Bentong, Plaza Tol Karak sempena Tahun Baharu Cina

    Beliau turut menambah, untuk keselesaan pengguna dan kelancaran trafik di setiap plaza tol, pengguna disarankan untuk sentiasa memastikan baki kad Touch ‘n Go mencukupi sebelum memasuki lebuh raya.

    ”Untuk makluman, perkhidmatan tambah nilai di lorong tol beroperasi mengikut keadaan trafik. Sekiranya trafik mulai padat, operasi tambah nilai akan ditutup bagi mengelakkan kesesakan di plaza tol,” katanya menerusi kenyataan media yang dikeluarkan.

    Di mana pengguna boleh membuat tambah nilai kad Touch ‘n Go di mana-mana Pusat Khidmat Pelanggan (PKP) di Plaza Tol Gombak, Plaza Tol Bentong, Plaza Tol Karak, Plaza Tol Temerloh dan Plaza Tol Kuantan yang beroperasi dari 7 pagi hingga 10 malam setiap hari.

    Pengguna juga dinasihati untuk merujuk kepada jadual TTA di laman web ANIH Berhad di www.anihberhad.com, mengikuti laman Twitter rasmi ANIH Berhad di @LPTTrafik atau Facebook di Lebuhraya Pantai Timur untuk informasi terkini.

     
     
  • Jumlah jualan kenderaan mengikut jenama bagi 2016 – Perodua kekal teratas, Honda pula mendahului Proton

    Jumlah jualan kenderaan mengikut jenama bagi 2016 – Perodua kekal teratas, Honda pula mendahului Proton

    MAA hari ini mengumumkan data prestasi keseluruhan bagi industri automotif di Malaysia sepanjang 2016. Walaupun bulan Disember mencatatkan peningkatan yang positif, secara keseluruhannya industri automotif di Malaysia menyaksikan penguncupan.

    Bagaimanapun, jika dilihat daripada angka jualan setiap jenama yang ada, tidak semua mencatatkan penurunan. Tetap ada beberapa jenama yang mampu meningkatkan jumlah jualan kenderaan mereka sepanjang 2016.

    Sebahagiannya bahkan masih berhasil mengekalkan kedudukan keseluruhan, walaupun dengan suasana pasaran yang lembab. Artikel ini akan menyorot kembali prestasi jualan jenama-jenama utama di dalam pasaran tempatan sepanjang tahun lalu.

    Senarai lima teratas tetap didahului oleh Perodua, walaupun mencatatkan penurunan jualan kenderaannya. Tahun lalu, sebanyak 207,110 unit kenderaannya terjual, berbanding 213,307 unit pada 2015. Angka berkenaan menyusut sebayak 2.3%, atau berkurangan 6,197 unit. Bagi kadar perkongsian pasaran pula, Perodua mencatatkan peningkatan – 35.7% berbanding 32% pada 2015.

    Jumlah jualan kenderaan mengikut jenama bagi 2016 – Perodua kekal teratas, Honda pula mendahului Proton

    Honda pula ditempat kedua, mendahului pengeluar bukan nasional dengan jualan 91,830 unit, walaupun tetap mencatatkan penurunan sebanyak 3,072 unit berbanding 2015. Bagaimanapun, kadar perkongsian pasaran Honda tetap meningkat kepada 15.8%, berbanding 14.2% pada tahun sebelumnya.

    Proton pula berada ditempat ketiga, dengan jualan keseluruhan kenderaannya adalah sebanyak 72,290 unit; penyusutan yang agak tinggi, iaitu sebanyak 29,884 unit atau 29.2%. Kadar perkongsian pasarannya juga turun; dari 15.3% pada 2015 kepada 12.5%.

    Sebuah lagi jenama yang “kehilangan” banyak angka jualan ialah Toyota. Walaupun berada di tempat keempat, syarikat ini hanya menjual 63,757 unit kenderaan tahun lalu, berbanding 93,760 unit pada 2015. Kadar perkongsian pasarannya juga jatuh, dari 14.1% kepada 11% bagi 2016.

    Namun, antara jenama yang mencatatkan peningkatan jualan tahunan ialah Mercedes-Benz. Syarikat itu berjaya menjual tambahan 983 unit kenderaannya tahun lalu, berbanding pada 2015, dengan angka keseluruhan 12,017 unit. Pesaingnya pula, BMW turut mengikut jejak yang sama; 9,000 unit kenderaan dijual, dengan peningkatan sebanyak 1,485 unit berbanding 2015 – kenaikan 19.8%.


    Pecahan prestasi jualan bagi kenderaan penumpang (kiri) dan perdagangan (kanan) secara berasingan. Klik untuk besarkan.

    Prestasi jualan Subaru juga perlu dinyatakan di sini; bagi jenama pengeluar kenderaan penumpang, ia mencatatkan pertumbuhan antara yang paling tinggi, iaitu sebanyak 52.5%. Sejumlah 3,873 unit kenderaan dijual tahun lalu berbanding 2,539 unit tahun sebelumnya.

    Jualan kenderaan perdagangan juga menerima tempias yang sama, mencatatkan penurunan daripada 75,376 unit yang dijual pada 2015 kepada 65,579 unit tahun lalu.

    Bagaimanapun, Toyota kekal mendahului pengeluar lain bagi segmen kenderaan perdagangan. Berada dikedudukan pertama, Toyota menjual 19,171 unit kenderaan dengan kadar perkongsian pasaran sebanyak 29.2%. Ini diikuti rapat oleh Isuzu dengan jualan keseluruhan 12,517 unit tahun lalu, dengan perkongsian pasaran sebanyak 19.1%.

     
     
  • SPYSHOT: Volkswagen Tiguan baharu dikesan di M’sia

    SPYSHOT: Volkswagen Tiguan baharu dikesan di M’sia

    Volkswagen Tiguan generasi kedua telah dikesan sekali lagi sedang diuji di Malaysia, kali ini kami menerima kiriman dari pembaca Wan Yoi. Seperti yang pernah dilaporkan sebelum ini, ia dijangka bakal dilancarkan sebagai model pemasangan tempatan (CKD) pada tahun ini, iaitu dipasang di kilang Volkswagen Malaysia Automotive Assembly di Pekan, Pahang.

    Model di dalam foto ini dikesan menggunakan trade plate Pahang, sama seperti imej spyshot yang dirakamkan sebelum ini, cuma diletakkan pada warna badan yang berbeza. Seperti sebelum ini juga, logo VW turut ditampal dengan pelekat untuk melindungi identitinya.

    Bahagian hadapan Tiguan ini seakan memberikan sedikit gambaran awal, dengan menampilkan lampu utama LED bersama lampu nyalaan siang serta lampu kabus hadapan. SUV ini memiliki tiga varian bagi pasaran lain – Trendline, Comfortline dan Highline, tetapi masih belum mengetahui adakah kita akan menerima yang sama untuk Malaysia.

    SPYSHOT: Volkswagen Tiguan baharu dikesan di M’sia

    Selain itu, Tiguan baharu ini juga ditampilkan dengan perubahan yang lebih radikal berbanding model sedia ada, termasuk saiznya yang lebih besar – 60 mm lebih panjang, 30 mm lebih lebar dan 77 mm jarak roda yang lebih panjang. Penambahan dimensi ini juga membantu memberikan ruang yang lebih praktikal, termasuk ruang bonetnya lebih 145 liter, menjadi 615 liter, atau 1,655 liter sekiranya tempat duduk belakang dibaringkan.

    Peningkatan ini adalah hasil daripada binaan baharu bagi Tiguan, dengan menggunakan platform modular MQB, juga dengan pengurangan berat sehingga 50 kg. Malahan SUV baharu ini juga memiliki imej yang lebih berketerampilan berbanding Typ 5N (generasi pertama).

    Tiguan juga boleh didapati dengan enjin pengecas turbo TSI dan TDI, sementara pilihan transmisi termasuk manual enam-kelajuan, DSG enam-kelajuan dan DSG tujuh-kelajuan. Bagi Malaysia, mungkin juga kita akan menerima enjin janaan petrol bersama kotak gear automatik.

    GALERI: Volkswagen Tiguan semasa Frankfurt Motor Show 2015

     
     
  • Kerajaan Johor ambil positif keputusan Singapura kenakan RRC – galak rakyat guna pengangkutan awam

    Kerajaan Johor ambil positif keputusan Singapura kenakan RRC – galak rakyat guna pengangkutan awam

    Kerajaan Johor menerusi Menteri Besarnya Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin memandang positif keputusan Singapura memperkenalkan Caj Jalan Raya Timbal Balas (RRC) kepada semua kenderaan luar yang masuk ke republik berkenaan melalui pusat pemeriksaan Tuas atau Woodlands itu mulai 15 Februari ini, lapor Sinar Harian.

    Menurut Khaled, dengan RRC yang diperkenalkan oleh Singapura itu secara langsung ianya memberi peluang dan menggalakkan rakyat Malaysia yang ingin memasuki ke negara Singapura untuk menggunakan perkhidmatan pengangkutan awam berbanding kenderaan sendiri.

    “Kita tidak boleh kata Singapura jangan lakukan itu, ia adalah hak Singapura dan kita tidak boleh menghalang dari mengenakan bayaran (RCC) kepada kenderaan asing yang masuk ke negara mereka,” katanya dan menyatakan Singapura mungkin sudah kaji implikasinya dan caj yang dikenakan ini tidak akan menyebabkan rakyat Malaysia sukar untuk pergi bekerja ke negara mereka.

    “Saya percaya semuanya telah dikaji lebih awal, kalau dengan bayaran tersebut menyebabkan banyak rakyat Malaysia tidak akan masuk ke Singapura dan jejaskan sektor perkilangan dan industri Singapura, mereka tidak akan buat RCC ini,” jelasnya.

    Dalam perkembangan berkaitan, Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai menyatakan Malaysia menghormati keputusan Singapura berhubung perkara tersebut, tetapi pihaknya akan terus berbincang dengan Singapura berhubung keputusan untuk mengenakan caj RRC berkenaan.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.10
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.85 (-0.05)
EURO 5 B7 RM3.05 (-0.05)
Last Updated Aug 21, 2025