Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • VW bakal lancar Tiguan serba baharu, Beetle facelift di Malaysia pada suku kedua 2017 – turut akan memperkenalkan beberapa model edisi terhad

    VW bakal lancar Tiguan serba baharu, Beetle facelift di Malaysia pada suku kedua 2017 – turut akan memperkenalkan beberapa model edisi terhad

    Petang tadi Volkswagen Passenger Cars Malaysia (VPCM) telah mengadakan pertemuan ringkas bersama media tempatan bagi mengumumkan visi dan rancangan mereka untuk tahun 2017.

    Menurut Pengarah Urusan VPCM, Erik Winter, untuk tahun ini, pihaknya akan melancarkan Tiguan serba baharu dan juga model facelift bagi Beetle. Kedua-dua model berkenaan direncana bakal dilancarkan sebelum suku kedua 2017 berakhir.

    Tiguan serba baharu yang telah dua kali dikesan sedang diuji di jalan raya di Malaysia, merupakan model pemasangan tempatan (CKD), iaitu diproduksi di kilang Volkswagen Malaysia Automotive Assembly di Pekan, Pahang.

    Bagi pasaran negara lain, Tiguan serba baharu ini didatangkan dengan tiga varian iaitu Trendline, Comfortline dan Highline, tetapi masih belum diketahui adakah kita akan menerima pilihan yang sama untuk Malaysia.

    Namun menerusi foto spyshot yang pernah disiarkan, Tiguan serba baharu ini diberikan suntikan yang lebih terkini termasuk menampilkan lampu utama LED bersama lampu nyalaan siang serta lampu kabus hadapan.

    Malah saiznya juga lebih besar iaitu 60 mm lebih panjang, 30 mm lebih lebar dan 77 mm jarak roda yang lebih panjang. Penambahan dimensi ini juga membantu memberikan ruang yang lebih praktikal, termasuk ruang bonetnya lebih 145 liter, menjadi 615 liter, atau 1,655 liter sekiranya tempat duduk belakang dibaringkan.

    Peningkatan ini adalah hasil daripada binaan baharu bagi Tiguan, dengan menggunakan platform modular MQB, juga dengan pengurangan berat sehingga 50 kg. Malahan SUV baharu ini juga memiliki imej yang lebih berketerampilan berbanding Typ 5N (generasi pertama).

    VW bakal lancar Tiguan serba baharu, Beetle facelift di Malaysia pada suku kedua 2017 – turut akan memperkenalkan beberapa model edisi terhad

    Malah VPCM turut memaklumkan, model ikonik Beetle versi facelift juga akan diperkenalkan bagi merancakkan lagi langkah syarikat ini di Malaysia pada tahun ini.

    Walau pun tiada banyak perubahan daripada segi rekaan luarannya, namun difahamkan ia bakal ditampilkan dengan sedikit pembaharuan. Ini termasuklah bamparnya yang direka semula dan lebih sporty, malah turut menampilkan lampu belakang LED, serta pilihan roda 17- dan 18-inci.

    VW bakal lancar Tiguan serba baharu, Beetle facelift di Malaysia pada suku kedua 2017 – turut akan memperkenalkan beberapa model edisi terhad

    Di dalamnya, pencahayaan pada panel instrumen juga lebih terang, didatangkan dengan dail baharu dan pengayaaan terkini pada pad pemuka. VW juga menampilkan tiga material baharu upholstery dan pakej gaya kontemporari untuk pilihan secara personal.

    Selain itu, VPCM juga mengesahkan akan memperkenalkan beberapa model edisi terhad pada tahun ini. Ia adalah berasaskan model Volkswagen pemasangan tempatan yang ada di pasaran. Mungkin model Polo dan Vento akan masuk dalam senarai edisi terhad tersebut? Nantikan perkembangan selanjutnya kelak.

    GALERI: Volkswagen Tiguan semasa Frankfurt Motor Show 2015

    GALERI: Volkswagen Beetle 2016


     
     
  • Teaser Subaru XV generasi baharu disiar, bakal membuat kemunculan sulungnya di Geneva Mac ini

    Teaser Subaru XV generasi baharu disiar,  bakal membuat kemunculan sulungnya di Geneva Mac ini

    Setelah Subaru Impreza generasi baharu membuat penampilan sulungnya di New York Mac tahun lalu, versi SUV crossover model tersebut – XV – bakal diperkenalkan buat pertama kali di Geneva Motor Show Mac ini. Pengeluar jenama Subaru, Fuji Heavy Industri telah mengumumkan perkara ini bersama gambar teaser model tersebut, dan juga laman web khas yang turut disertakan dengan pemasa countdown.

    Menerusi imej teaser tersebut, garis bayangan badan XV generasi baharu kelihatan agak seiras dengan Impreza versi hatchback lima-pintu. Untuk pasaran ASEAN, Impreza generasi terkini berkenaan baharu sahaja dilancarkan untuk peringkat rantau ini, pada Singapore Motor Show hampir dua minggu lalu.

    Seperti juga XV generasi sebelum ini, Impreza hatchback dan XV dibezakan dengan ciri-ciri crossover untuk merentas desa seperti rel bumbung, rim yang dengan rekaan lebih lasak serta tayar yang lebih besar, kelegaan tanah yag dipertingkatkan, serta pelindung-pelindung disekeliling badan.


    Subaru Impreza hatchback lima-pintu

    Sebelum ini, Subaru telah mengumumkan bahawa XV akan terus dibina seperti model sebelum ini, iaitu menggunakan sebahagian besar komponen yang sama seperti Impreza serta menggunakan platform serupa iaitu Subaru Global Platform, yang memberikan pelbagai peningkatan kepada prestasi keseluruhannya menerusi pelbagai tingkat taraf yang dilakukan pada kerangka asas.

    Bahagian lain, XV generasi baharu ini dijangka bakal menerima lampu hadapan dan belakang berbentuk-C serta menerapkan konsep rekaan ‘Dynamic x Solid’ yang diberikan pada model konsep XV tahun lalu

    XV bakal dijana oleh barisan enjin boxer Subaru, digandingkan bersama kotak gear Lineartronic CVT serta sistem pacuan semua-roda Symmetrical AWD. Model dengan unit janakuasa hibrid juga dijangka bakal diberikan pada pasaran-pasaran tertentu.

    Menurut pengarah eksekutif Tan Chong International, Glenn Tan dalam laporan sebelum ini, XV generasi baharu ini bakal tiba ke pasaran Malaysia tahun ini. Beliau juga menyatakan kilang milik syarikatnya di Segambut telah pun bersedia untuk mula memproduksi mana-mana model yang menggunakan Subaru Global Platform seperti XV pada bila-bila masa.

     
     
  • VIDEO: Kepala silinder enjin lutsinar – tunjuk apa sebenarnya terjadi dalam kebuk pembakaran

    Untuk melihat apa sebenarnya yang terjadi pada kebuk pembakaran bagi enjin pembakaran dalaman, pemilik saluran Warped Perception di laman Youtube telah membina kepala silinder enjin lutsinar untuk enjin empat lejang Briggs and Stratton.

    Kemudian, mereka merakamkan proses pembakaran di dalam enjin berkenaan dengan kamera berdefinasi tinggi menerusi kepala enjin tersebut, serta memperlahankannya 150 kali lebih perlahan dari kelajuan video sebenar, bagi melihat dengan jelas bentuk pembakaran yang berlaku.

    Jika sebelum ini, teori ‘swirl‘ atau pusaran yang berlaku pada pembakaran yang terhasil dari bentuk liang kemasukan, bentuk injap dan bentuk kebuk itu sendiri hanya digambarkan menerusi gambar lukisan atau teknik CGI, perkara yang sebenar dapat dilihat menerusi kepala silinder kaca ini.

    Proses pembakaran kitaran empat-lejang juga dapat dilihat dengan jelas, bermula dari bukaan injap kemasukan terbuka ketika lejang kemasukan, omboh memampatkan udara/bahan api dengan bergerak keatas semasa kedua-dua injap tertutup ketika lejang mampatan, palam pencucuh memberikan percikan api seterusnya menghasilkan pembakaran yang berpusar dan ‘menendang’ semula omboh ke bawah semasa lejang kuasa, dan akhir sekali omboh bergerak semula keatas sambil injap ekzos terbuka dalam proses lejang ekzos.

    Selain dari menggunakan gasolin/petrol, mereka juga turut menguji apa akan terjadi sekiranya enjin ini disuapkan dengan bahan api lain seperti alkohol dan juga asetilena iaitu gas yang digunakan untuk alat pengimpal.

     
     
  • Tren Antarabandar KTMB laluan Pantai Timur terjejas akibat banjir, dijangka pulih sepenuhnya Jumaat ini

    Tren Antarabandar KTMB laluan Pantai Timur terjejas akibat banjir, dijangka pulih sepenuhnya Jumaat ini

    Disebabkan hujan lebat yang berterusan sejak Sabtu lepas, struktur landasan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) di laluan Km 392.5 antara Bukit Abu-Dabong, Kuala Krai telah terjejas dan tidak dapat dilalui sejak semalam. Walau bagaimanapun, menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh KTMB hari ini mengatakan gangguan perkhidmatan tren Antarabandar di laluan tersebut akan kembali pulih Jumaat ini.

    “Oleh itu semua perkhidmatan tren antara laluan Dabong-Kuala Krai-Dabong digantung sementara bermula semalam. Semua perkhidmatan tren shuttle hanya akan beroperasi antara Kuala Lipis-Dabong dan Kuala Krai-Tumpat. Kerja-kerja membaik pulih landasan sedang giat dijalankan,” ujar KTMB menerusi Unit Komunikasi Korporatnya dalam kenyataan tersebut.

    Dalam perkembangan yang sama, perkhidmatan Ekspres Timuran no.26 (JB Sentral-Tumpat) hanya disediakan dari Stesen JB Sentral hingga Stesen Gua Musang dan penumpang akan meneruskan perjalanan dari Stesen Gua Musang ke Kuala Krai, Tanah Merah, Pasir Mas, Wakaf Bharu dan Tumpat menggunakan bas yang disediakan oleh KTMB, manakala bagi penumpang ke Stesen Dabong akan menggunakan tren tempatan.

    KTMB turut memohon maaf atas kesulitan ini serta menyatakan kelewatan tren dijangka melebihi dua jam, dan penumpang boleh membuat pemulangan tambang atau menukar tarikh perjalanan mereka.

     
     
  • Toyota Vios facelift terbaharu dilancarkan di Thailand – empat varian ditawarkan, harga bermula dari RM76k

    Toyota Vios facelift terbaharu dilancarkan di Thailand – empat varian ditawarkan, harga bermula dari RM76k

    Toyota Motor Thailand telah melancarkan secara rasmi model Toyota Vios facelift untuk pasaran di sana. Ia ditawarkan dalam empat varian – 1.5J, 1.5E, 1.5G dan 1.5S – dengan harga bermula dari 609,000 baht (RM76,621) hingga 789,000 baht (RM99,268).

    Di dalam penampilan terbaru ini, Vios dilengkapi dengan enjin 2NR-FBE 1.5 liter empat silinder Dual VVT-i, yang sudah diperkenalkan bagi versi facelift sebelumnya Mac tahun lalu di Thailand dan kemudiannya pada Oktober bagi pasaran Malaysia.

    Enjin berkenaan menghasilkan kuasa 108 hp pada 6,000 rpm dan 140 Nm pada 4,200 Nm. Kuasa dari enjin disalurkan ke roda depan menerusi sistem transmisi CVT dengan nisbah maya tujuh-kelajuan (tiada pilihan manual).

    Perubahan paling ketara tentulah dari aspek yang dapat kita lihat dengan jelas; penggayaannya kini lebih mirip dengan Vios yang diperkenalkan untuk pasaran China ketika Beijing Auto Show 2016. Dari depan, ia menggunakan lampu projektor bersekali dengan lampu LED, gril dalam bentuk T serta lampu kabus yang diubah kedudukannya.

    Di belakang, lampunya kini adalah dari jenis LED dengan grafik yang baru, dengan palang krom ditengahnya yang lebih nipis. Bampar juga turut diberi penggayaan baru yang lebih kemas dan ringkas, termasuk pada bahagian lampu kabus. Selebihnya, rim 15 inci atau 16 inci digunakan, serta dilengkapi kamera undur, bergantung kepada varian.

    Namun, di bahagian dalam, perubahan yang dilakukan agak minumum. Reka bentuk tombol kawalan pendingin hawa menjadi satu-satunya perkara baru yang diperkenalkan. Ciri-ciri seperti unit DIN berkembar dengan skrin sentuh, masukan tanpa kunci, tempat duduk fabrik/kulit serta paparan pelbagai maklumat pemanduan masih kekal seperti sebelumnya.

    Dari segi ciri keselamatan, Vios facelift terbaru ini datang dengan dua beg udara di depan, ABS dengan EBD, Isofix pada tempat duduk belakang serta kawalan kestabilan (VSC) dan kawalan cengkaman. Untuk pasaran Thailand, enam pilihan warna ditawarkan; Red Mica Metallic, Quartz Brown Metallic, Super White, Silver Metallic, Gray Metallic dan Attitude Black Mica. Bagaimana pula untuk pasaran Malaysia, bila agaknya versi ini akan tiba?

     
     
  • Penonton rali maut dirempuh Hyundai i20 pada peringkat pertama WRC Monte Carlo 2017

    Penonton rali maut dirempuh Hyundai i20 pada peringkat pertama WRC Monte Carlo 2017

    Pusingan pertama kejohanan rali dunia tahun ini dimulakan dengan berita sedih seorang penonton meninggal dunia setelah dilanggar oleh Hyundai i20 WRC 2017 yang dipandu oleh Hayden Paddon di peringkat permulaan Khamis lalu, lapor motorsport.com.

    Hyundai i20 berkenaan terbalik setelah ianya understeer dan hilang kawalan setelah melalui satu selekoh dengan permukaan berais di SS1 dan melanggar penonton malang berkenaan. Ujian yang sedang dilakukan oleh jentera tersebut terpaksa dihentikan serta merta.

    Walaupun hanya kerosakan minima yang berlaku terhadap jentera tersebut, Hyundai menggugurkan penyertaan Hayden pada pusingan pembukaan WRC berkenaan. Laluan SS1 tersebut juga dibatalkan pada Jumaat lalu kerana i20 yang terlibat dalam kemalangan itu masih berada di kawasan berkenaan.

    Walau bagaimanapun, WRC Monte Carlo 2017 masih diteruskan dan berakhir semalam – dimenangi oleh juara bertahan Sebastien Ogier, berlumba untuk pasukan baharunya, M-Sport, dengan memandu Ford Fiesta WRC 2017. Tempat kedua dimenangi oleh Jari-Matti Latvala yang memandu Toyota Yaris WRC 2017, permulaan yang baik untuk Toyota setelah kembali semula ke kancah WRC selepas menarik diri 18 tahun lalu. Seorang lagi pemandu Ford, Ott Tanak menduduki tangga ketiga, bagi melengkapkan dominasi pasukan berkenaan pada pusingan pembukaan tahun ini.

    Jentera-jentera WRC tahun ini dibina berdasarkan undang-undang baharu dari FIA, membolehkan setiap pasukan membina kereta yang lebih pantas dan lebih lebar bagi memberikan sensasi WRC Group B pada era 80’an dahulu. Namun, akibat kereta yang terlalu berkuasa dan berbahaya, Group B dihentikan pada tahun 1986 dan diharamkan terus untuk musim 1987, setelah pemandu Lancia, Henri Toivonen dan juruarahnya Sergio Cresto maut dalam satu kemalangan di Rali Tour De Corse. Kemalangan melibatkan rempuhan terhadap penonton juga pernah berlaku dalam rali Group B sebelum itu di Rali Portugal, menyebabkan kematian tiga orang penonton.

     
     
  • Malaysia akan kenakan RC di semua pintu sempadan

    Malaysia akan kenakan RC di semua pintu sempadan

    Malaysia telah pun mengenakan Caj Jalan Raya (RC) bagi semua kenderaan asing yang memasuki negara melalui Johor sejak 1 November lepas. Malah ia juga akan dilaksanakan di semua pintu masuk negara termasuklah sempadan Indonesia, laporan Bernama.

    Menurut Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai, kadar bagi RC juga adalah sama iaitu RM20, seperti mana yang dikenakan terhadap kenderaan yang memasuki negara ini dari Singapura.

    “Kami perkenalkan caj ini untuk melindungi negara kita. Kita bukan saja melaksanakannya terhadap kenderaan berdaftar di Singapura, tetapi juga yang berdaftar di Thailand dan Indonesia,” ujarnya kepada pihak media.

    Malah mengesahkan bahawa kenderaan asing yang masuk ke Malaysia dari Thailand akan dikenakan RC bermula Jun ini.

    “Saya gembira dengan respons mereka bahawa mereka tidak akan memperkenalkan RRC sekiranya kita mengamalkan pendekatan tidak bersifat menindas. Sejak mula lagi, saya memaklumkan kepada Kerajaan Singapura bahawa kita tidak bertujuan untuk menindas negara itu.

    “Kita perkenalkan langkah itu semata-mata untuk menjamin keselamatan trafik kita dan kenderaan dari Singapura ke Malaysia,” katanya.

    Liow berkata langkah itu juga diambil bagi mengelak penggunaan kenderaan klon dan untuk memastikan semua saman dibayar sebelum kenderaan asing meninggalkan Malaysia.

     
     
  • Polis Selangor lancar Op Selamat 10 sempena CNY

    Polis Selangor lancar Op Selamat 10 sempena CNY

    Polis Selangor telah melancarkan kempen keselamatan jalan raya Op Selamat 10/2017 sempena dengan sambutan Tahun Baharu Cina (CNY), dan menasihati para pemandu agar mematuhi undang-undang lalu lintas, atau berhadapan dengan denda yang tinggi sekiranya didapati bersalah melanggar peraturan sedia ada, laporan The Sun.

    Op Selamat 10/2017 telah pun bermula pada 21 Januari lalu dan dilaksanakan sehingga 5 Februari ini, disasarkan untuk mengurangkan kadar kemalangan jalan raya dari Op Selamat 9/2016, yang mencatatkan sejumlah 5,247 kes, iaitu peningkatan sebanyak 248 kes berbanding tahun 2015.

    Menurut Timbalan Ketua Polis Negeri DSP Datuk Mohamad Fuad Abdul Latiff, pihaknya berazam untuk menangani gejala buruk yang sering berlaku di jalan raya termasuk pengguna kenderaan yang mementingkan diri sendiri dan beberapa faktor yang menjadi punca utama berlakunya peningkatan kemalangan jalan raya dalam operasi pada tahun lalu.

    “Sebanyak 37,723 saman trafik telah dikeluarkan pada sambutan Tahun Baharu Cina pada tahun lalu, sementara 34,847 saman pada tahun sebelum ini. Sekiranya jumlah saman trafik boleh dikurangkan, kadar kemalangan juga boleh diturunkan. Justeru, pihak kami menyarankan agar pengguna jalan raya terutamanya di Selangor untuk ambil perhatian terhadap perkara ini,” ujar Mohd Fuad.

    Beliau turut menambah, jumlah kematian akibat kemalangan jalan raya di Selangor juga meningkat, iaitu sebanyak 42 kes pada tahun 2016, berbanding 32 pada 2015.

     
     
  • Teksi akan dikecualikan daripada caj jalan Singapura

    Teksi akan dikecualikan daripada caj jalan Singapura

    Susulan daripada kenaikan kadar caj jalan (RRC) terbaru yang dikenakan oleh Pihak berkuasa Pengangkutan Darat Singapura (LTA), pemandu teksi dari Malaysia kini boleh menarik nafas lega.

    Menurut laporan Today Online, Singapura telah mengesahkan bahawa caj berkenaan akan dikecualikan terhadap teksi asing yang berdaftar, yang memasuki negara itu. “Caj jalan (RRC) ini tidak dkenakan terhadap teksi dengan pendaftaran luar,” jelas jurucakap LTA. Ini adalah berikutan keresahan pemandu-pemandu teksi di Johor yang perlu membayar S$6.40 (RM20) ketika memasuki Singapura.

    Minggu lalu, pengerusi Terminal Teksi Johor Bahru-Singapura, Muhammad Najib Abdul Rahman berkata, pemandu-pemandu teksi ini sepatutnya dikecualikan daripada caj RRC berkenaan, memandangkan teksi Singapura tidak perlu membayar RM20 bagi caj jalan Malaysia yang menjadi bandingan kepada RRC di sana.

    “Kami berharap, memandangkan Malaysia mengecualikan teksi Singapura daripada caj jalan berkenaan, Singapura juga memberikan layanan yang sama terhadap teksi dari Malaysia,” jelas beliau. Kadar baru RRC Singapura akan berkuatkuasa 15 Februari ini.

    Ia bakal menyaksikan semua kenderaan berpendaftaran luar akan dikenakan caj jalan ketika memasuki Singapura, sama ada dari Tuas mahupun Woodlands. Langkah ini diambil untuk mengimbangi caj jalan yang dikenakan oleh Malaysia bagi kenderaan luar yang memasuki Johor, pada kadar RM20, yang mula dilaksanakan pada 1 November tahun lalu.

    Singapura juga sudah menyatakan bahawa republik itu akan menarik balik caj berkenaan sebaik sahaja Malaysia melaksanakan caj jalan yang sama di sempatan Malaysia-Thailand.

     
     
  • Duke 2 telah siap, dijangka beroperasi Jun ini

    Duke 2 telah siap, dijangka beroperasi Jun ini

    Ekovest Berhad telah mengumumkan fasa kedua bagi Le­buhraya Duta-Ulu Kelang (Duke) telah pun siap dibina dan dijangka bakal memulakan operasi sepenuhnya pada Jun ini.

    Pembinaan yang bermula sejak Disember 2013 ini telah menelan perbelanjaan sebanyak RM1.18 bilion, Duke 2 merupakan lebuh raya bertingkat yang akan menghubungkan timur dan barat ibu negara.

    Menurut Pengarah Urusannya, Datuk Seri Lim Keng Cheng, Duke 2 ini adalah pelengkap bagi Duke fasa pertama yang turut melibatkan dua sambungan lebuh raya iaitu Sri Damansara Link dan Tun Razak Link, laporan Utusan Malaysia.

    Dengan operasi sepenuhnya tidak lama lagi, sistem kutipan tol juga akan dilaksanakan dan kadar bayarannya akan diumumkan kelak.

     
     
  • MEX beri diskaun tol 10% sempena Tahun Baharu Cina

    MEX beri diskaun tol 10% sempena Tahun Baharu Cina

    Maju Expressway Sdn Bhd (MESB) telah mengeluarkan kenyataan mengumumkan pemberian diskaun tol sebanyak 10% untuk para pengguna Lebuhraya Maju (MEX) sempena Tahun Baharu Cina ini.

    Di mana diskaun itu akan dinikmati oleh semua kelas pengguna lebuh raya tersebut bermula 12 tengah malam sehingga 11.59 malam pada 28 Januari ini. Dianggarkan lebih 77,000 kenderaan bakal menikmati diskaun ini.

    Untuk maklumat terkini mengenai diskaun tol dan laporan trafik, pengguna boleh melayari laman Twitter dan laman Facebook MEXTraffic, atau hubungi MEX Hotline di 03-83159111.

     
     
  • Toyota Vios facelift bakal dilancarkan di Thai hari ini

    Toyota Motor Thailand telah menyebarkan imej teaser terbaharu bagi Toyota Vios facelift – sedan segmen-B, yang menerima padanan enjin dan transmisi baharu pada tahun lalu, akan diperkenalkan menerusi siaran video secara langsung di Facebook rasmi syarikat berkenaan hari ini pada jam 11.30 pagi.

    Dengan imej teaser tersebut, ia menunjukkan Vios facelift ini menerima lampu utama dengan unit projektor baharu dengan bingkai hitam dan disambungkan bersama lampu posisi LED berbentuk kening, seiras dengan model pasaran China yang telah pun didedahkan tahun lepas.

    Malah ia juga dilengkapi dengan gril atas baharu berbentuk-T, di sampibg gril bawah yang mirik model Camry baharu pasaran Amerika (dengan lampu kabus pada gril), disambung dengan lampu nyalaan siang LED melintang.

    Manakala bahagian belakangnya pula, ia dipadankan dengan lampu bersama rekaan grafik yang disemak semula, disambung dengan bootlid bar krom yang lebih nipis berbanding sebelum ini. Malah bampar belakang juga telah diprofil semula bagi penampilan yang lebih menyerlah. Di bahagiab dalamnya, tidak banyak perubahan yang dilakukan, hanya konsol tengah yang direka semula, dilengkapi corong udara tengah baharu.

    Vios ini telah menerima padanan penjana kuasa baharu, dijangka sama dengan model pasaran kita – engin 1NR-FE 1.5 liter Dual VVT-i empat-silinder, yang mampu menghamburkan kuasa sehingga 107 PS pada 6,000 rpm dan tork 140 Nm pada 4,200 rpm yang disalurkan ke roda hadapan menerusi kotak gear manual lima-kelajuan atau CVT.

    GALERI: Toyota Vios facelift pasaran-China

     
     
  • VIDEO: Mazda Astina ‘menyelam’ redah banjir di Kelantan – bawa tujuh sekeluarga ke tempat selamat

    Umum mengetahui, Malaysia kini sedang mengalami bencana banjir, khususnya di bahagian pantai timur tanah air berikutan musim hujan yang melanda. Dalam satu laporan berita oleh Sinar TV, seorang bapa kepada lima orang anak menyelamatkan seluruh ahli keluarga dengan memandu keretanya sendiri – Mazda Astina 323, meredah kawasan banjir untuk ketempat yang lebih selamat.

    Menerusi video berkenaan dapat dilihat, Mazda Astina milik Roslan Abdul Aziz dari Kampung Chabang Empat Limbat tersebut ‘menyelam’ meredah air banjir yang hampir ke paras tingkap, dan selamat tiba ketempat yang lebih tinggi. Mereka sekeluarga kemudiannya mengeluarkan air yang memenuhi ruang kabin hampir keparas tempat duduk kereta.

    Menurut Roslan, dia hanya bertawakkal kepada Allah dan mengharapkan enjin keretanya tidak mati ketika meredah banjir berkenaan bagi memastikan keselamatan seluruh keluarganya. Isteri Roslan, Suhaila Zainuddin turut tidak menyangka kereta suaminya itu berjaya meredah air yang bertakung di kawasan kediaman mereka, setelah hujan berterusan selama dua hari.

    Mazda Astina 323 merupakan versi fastback lima-pintu Familia 323 generasi keenam (BG) – yang juga ‘datuk’ kepada model-model Mazda 3 generasi baharu. Selain dari bentuk fastbacknya yang berbeza dengan versi sedan, Astina turut diberikan muka yang berbeza – direka dengan tajam dengan rekaan lampu hadapan yang boleh disorokkan (pop-up headlight) seperti Mazda RX-7 pada era berkenaan. Bagi Astina pasaran Malaysia, ia ditawarkan dengan enjin 1.5 liter SOHC 16-injap, menerima suapan udara dan bahan api menerusi sistem karburator.

     
     
  • Ducati Scrambler Desert Sled dipertonton di Sepanyol – dijangka tiba di Malaysia pertengahan tahun 2017

    Ducati Scrambler Desert Sled dipertonton di Sepanyol – dijangka tiba di Malaysia pertengahan tahun 2017

    November tahun lalu, Ducati memperkenalkan dua tambahan baharu kepada keluarga model Scrambler iaitu Desert Sled dan Cafe Racer. Jadi keseluruhannya kini, bagi Scrambler 803 cc terdapat tujuh variasi apabila dicampur Urban Enduro, Icon, Classic dan Full Throttle, manakala satu lagi, Sixty2 menggunakan enjin 399 cc.

    Wakil paultan.org, Durrani Sharom juga berada Almeria, Sepanyol untuk merasakan sendiri pengalaman menunggang Scrambler Desert Sled, tetapi, sebelum kami paparkan laporan tunggang ujinya, kenali dahulu model istimewa ini – yang bukan setakat menerima perubahan penampilan, malah dibangunkan secara rapi selama lebih tiga tahun.

    Inspirasi penghasilan Scrambler Desert Sled datang daripada motosikal offroad Ducati yang cukup terkenal pada tahun 60 dan 70-an dulu, di mana ia menggunakan enjin berkapasiti lebih 500 cc, ringkas, menggunakan tayar offroad, serta suspensi dan rim yang bersesuaian.

    Ducati Scrambler Desert Sled dipertonton di Sepanyol – dijangka tiba di Malaysia pertengahan tahun 2017

    Bagi membina Desert Sled ini, Ducati mengambil asas daripada Scrambler Icon, dan disebabkan itu, enjinnya juga adalah sama iaitu unit yang melepasi tahap Euro 4 – 803 cc dua silinder L, dengan sistem penyejukan udara dan minyak. Digabungkan dengan transmisi enam kelajuan dan klac jenis basah, enjin ini boleh menghasilkan 75 hp pada 8,250 rpm dan 68 Nm pada 5,750 rpm. Enjin Desmodue ini mempunyai selang masa servis 12,000 km.

    Bagi menjadikan penyampaian kuasa motosikal ini lebih bersesuaian dengan keadaan di mana ia akan digunakan, Ducati membuat pelarasan mekanikal kepada kawalan pendikit Desert Sled, menjadikan ia lebih lembut dan tidak terlalu agresif. Pendikit motosikal ini masih lagi menggunakan sistem kabel.

    Agak sukar untuk meletakkan Desert Sled dalam satu segmen atau ketegori kerana ia seperti membuka segmen sendiri dengan rupa klasik, tetapi berteknologi moden dan mempunyai kelebihan offroad. Ducati sendiri tidak meletakkannya dalam mana-mana segmen untuk saingan, namun memberitahu ia sesuai untuk pelbagai keadaan, baik urban, mahupun offroad yang lembut.

    Bagi mendapatkan kemampuan itu, beberapa perubahan diberi, antaranya seperti suspensi terbalik (USD) boleh laras sepenuhnya Kayaba di hadapan, dengan pergerakan 200 mm, penyerap hentak belakang Kayaba dengan katrij gas berasingan dan pelarasan pra beban serta lantunan, rim aluminium 19 inci jenis lidi (spoked) di hadapan, 17 inci di belakang dan tayar Pirelli Scorpion Rally STR – 120/70 di hadapan dan 170/60 di belakang. Desert Sled adalah motosikal pertama yang menggunakan tayar ini, dan ia dibangunkan bersama dengan Pirelli.

    Ducati merasakan, penukaran komponen itu sahaja tidak mencukupi, dan lebih lagi dilakukan. Antaranya adalah pada bahagian kerangka Trellis-nya. Jika dibandingkan dengan Scrambler yang lain, beberapa palang tambahan diberikan pada Desert Sled, dan tapak enjin juga berubah. Memikirkan hentakan kasar yang akan diterima oleh motosikal ini apabila pergi offroad, Ducati telah mengubah tapak lengan ayun dan enjin supaya tidak akan menerima kesan hentakan tersebut secara terus.

    Bahagian seterusnya yang berbeza dengan Scrambler lain adalah jarak roda yang lebih panjang (1,505 mm), lengan ayun aluminium lebih panjang (+25 mm), ergonomik baharu – pemegang lebih lebar dan ke hadapan, tapak peletak kaki lebih ke hadapan dan jarak antara tempat duduk dan peletak kaki yang lebih jauh. Tempat duduk Desert Sled juga berbeza – lebih kurus di hadapan supaya penunggang dapat mengepit tangki dengan peha dan lebih kembang di belakang. Ducati juga ada menyediakan pilihan tempat duduk yang lebih rendah 20 mm.

    Untuk brek, terdapat sistem ABS yang boleh ditutup, dan barangan yang digunakan adalah sama seperti Scrambler lain, iaitu cakera 330 mm dan angkup Brembo radial 4 piston di hadapan, dan cakera 245 mm dan angkup satu piston terapung di belakang. Walaubagaimanapun, hos bendalir brek Desert Sled kini menggunakan salutan besi dan laluan baharu supaya lebih tahan.

    Scrambler Desert Sled mempunyai berat keseluruhan, siap dengan bendalir dan minyak 207 kg, dan barangan standard lain yang datang padanya adalah tangki besi, penghadang lumpur roda hadapan tinggi, lampu utama hadapan dengan light guide LED, jeriji pelindung lampu hadapan, panel meter LCD, pelindung bahagian bawah enjin, ruang simpan di bawah tempat duduk dengan soket pengecas USB dan penghadang lumpur belakang lebih panjang.

    Bagi menjadikannya lebih menarik dan bersesuaian dengan kehendak pemilik yang berbeza, Scrambler Desert Sled juga didatangkan dengan pelbagai pilihan aksesori seperti beg barangan, kemasan tangki, besi pelindung enjin di tepi, pelindung penyejuk minyak enjin, span pelindung di bahagian pemegang dan pelbagai lagi.

    Bagi pasaran Asia, Scrambler Desert Sled akan dikeluarkan oleh kilang Ducati di Rayong, Thailand bermula bulan Mac dan pelancaran pertamanya juga dijangka berlaku dalam bulan yang sama. Malaysia dijangka menerima Desert Sled ini bersama beberapa lagi model Ducati baharu termasuk Supersport, Supersport S, Monster 797, Multistrada 950 dan Scrambler Cafe Racer pada pertengahan tahun ini.

    Sementara itu, saksikan dahulu galeri Scrambler Desert Sled ini, dan dalam masa terdekat akan datang, kami akan menyiarkan pula laporan tunggang ujinya; daripada pengalaman wakil kami yang pergi ke Sepanyol.

     
     
  • SYM Sport Rider 125i dan VTS200 galas cabaran rentasi sempadan Indochina – 6,011 km tanpa masalah

    SYM Sport Rider 125i dan VTS200 galas cabaran rentasi sempadan Indochina – 6,011 km tanpa masalah

    Penghujung November tahun lalu, Rusli Osman bersama isteri Yong Suzi serta anak perempuan mereka, Yong Sofea memulakan perjalanan jelajah bermotosikal mereka. Bermula dari Pulau Pinang, siri jelajah ini direncanakan untuk melalui enam sempadan merentasi negara-negara seperti Thailand, Vietnam, Myanmar dan Kemboja.

    Tambah menarik, perjalanan berkenaan hanya menggunakan dua jentera keluaran SYM; sebuah model kapcai Sport Rider 125i dan sebuah skuter VTS200. Jika anda rasa itu belum cukup mencabar, ambil kira juga perkara berikut – perjalanan perlu dihabiskan dalam tempoh 16 hari sahaja, dengan jarak yang perlu ditempuhi ialah 6,011 km.

    Melihat kepada jadual perjalanan yang dikongsikan, ia agak padat. Dalam sehari mereka perlu menghabiskan secara purata 400 km hingga 500 km jarak perjalanan. Dan, ia tentulah tidak hanya menguji ketahanan diri, tetapi lebih utama untuk melihat kemampuan dua jentera terbabit dalam ekspedisi seperti ini – untuk anda menjelajah, tidak perlukan motosikal besar atau modal kewangan yang besar.

    SYM Sport Rider 125i dan VTS200 galas cabaran rentasi sempadan Indochina – 6,011 km tanpa masalah

    Ia cukup dengan persediaan dan sedikit pengetahuan asas tentang jentera dua roda yang digunakan. Dalam kes ini, sebuah kapcai dan sebuah skuter buatan SYM, serta perancangan perjalanan. Menurut Rusli, bagi semua kos perbelanjaan yang terlibat – termasuk penginapan, insurans, yuran dan dokumentasi perjalanan, bahan api dan sebagainya – dia dan keluarga menghabiskan hanya RM3,000 sepanjang perjalanan berkenaan.

    Ada apa-apa masalah yang dihadapi ketika perjalanan ini? Bagi dua jentera yang digunakan, Rusli memaklumkan tidak terdapat masalah serius yang berlaku. Bahan api yang berlainan gred di negara-negara yang dikunjungi juga tidak memberikan kesan ketara kepada pengalaman tunggangan. Sebagai persediaan, beberapa alat ganti turut dibawa bersama.

    “Cuma, saya perlu menukarkan minyak enjin sebanyak dua kali sepanjang perjalann ini,” jelas Rusli. Menyentuh tentang praktikaliti kedua-dua jentera ini sebagai kenderaan untuk siri jelajah, beliau menjelaskan kedua-duanya ada kelebihan dan kekurangan masing-masing.

    SYM Sport Rider 125i dan VTS200 galas cabaran rentasi sempadan Indochina – 6,011 km tanpa masalah

    “Untuk keselesaan, VTS200 ada kelebihan dari sudut itu. Bagi Sport Rider 125i pula, prestasinya tidak mengecewakan. Saiz lebih kecil dan ringan, minyaknya perlu diisi semula agak kerap kerana tangki petrolnya hanya berkapasiti 4.2 liter sahaja. Itu pun mampu memberikan jarak laluan kira-kira 200 km sebelum isian semula,” tambah beliau.

    Ini berbeza dengan VTS200. Kapasiti tangki petrolnya jauh lebih besar, dengan 14.7 liter dan mampu bertahan lebih lama sebelum memerlukan isian semula. “Kekurangan skuter ini pula adalah ketika kami melalui laluan tanah merah yang tidak rata. Roda yang kecil dan jarak roda yang panjang akan menyukarkan kendalian,” ujar Rosli, yang kerap juga bertukar motosikal bersama isterinya, bergantung kepada permukaan laluan.

    Secara keseluruhannya, Rosli dan keluarga sangat berpuas hati dengan perjalanan berkenaan, serta tambah berkeyakinan dengan prestasi dan kemampuan dua jentera yang digunakan itu. Kami juga sudah menunggang uji SYM Sport Rider 125i, ikuti juga pandangan kami berkaitan kapcai berkenaan.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.10
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.85 (-0.05)
EURO 5 B7 RM3.05 (-0.05)
Last Updated Aug 21, 2025