Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • GALERI: Proton Persona 2016 vs Iriz – pilihan sedan dan hatchback; miliki persamaan, tetapi tidak serupa

    GALERI: Proton Persona 2016 vs Iriz – pilihan sedan dan hatchback; miliki persamaan, tetapi tidak serupa

    Mungkin ada di antara anda yang sedang menimbang tara untuk membuat pilihan sama ada ingin membeli Proton Persona 2016, sedan saiz sederhana yang diperbaharui pada tahun lalu, mahu pun hatchback Iriz yang dilancarkan pada September 2014.

    Jika dilihat secara luarannya, ada yang menganggap Persona 2016 ini merupakan Iriz versi sedan, kerana memiliki imej yang agak mirip terutamanya daripada pandangan hadapan. Ya, memang tidak disangkal kerana pembinaan Persona 2016 ini adalah berasaskan Iriz sendiri. Biarpun ia memiliki persamaan, namun ternyata adik-abang ini ada perbezaannya.

    Kita mulakan dengan variannya; Persona 2016 hadir dengan pilihan Standard Manual, Standard CVT, Executive CVT dan Premium CVT. Ia dipadankan dengan enjin 1.6 liter VVT petrol dengan hamburan kuasa 107 hp pada 5,750 rpm dan tork 150 Nm pada 4,000 rpm, berbanding enjin pada model terdahulu iaitu 1.6 liter Campro IAFM.

    Manakala Iriz pula didatangkan dengan varian Executive MT, Executive CVT, Premium MT dan Premium CVT dengan penjana kuasa 1.6 liter VVT , di mana enjin ini turut diaplikasikan pada Persona 2016. Namun Iriz juga turut hadir dengan pilihan enjin 1.3 liter (94 hp/120 Nm) bersama penawaran varian Standard MT, Standard CVT, Executive MT dan Executive CVT.

    Persona 2016 dan Iriz turut menggunakan transmisi yang sama iaitu pilihan manual lima-kelajuan dan CVT. Walau bagaimana pun, transmisi CVT bagi Persona 2016 telah pun ditala semula bagi kelancaran pengendaliannya dan lebih linear terutamanya ketika memecut.

    Jika dibandingkan dengan kedua-dua model yang menggunakan enjin yang sama iaitu 1.6 liter VVT, Persona 2016 mampu mencatatkan pacuan dari 0-100 km/j dengan hanya 10.9 saat, berbanding 11.1 saat bagi Iriz. Manakala penggunaan bahan api yang tercatat ialah 6.1L/100 km bagi Persona 2016, dan 7.4L/100 km untuk Iriz. Pastinya talaan transmisi yang dipertingkatkan buat Persona mendorong sedan ini lebih baik dari segi masa pacuan dan penggunaan bahan apinya.

    Selain itu, Proton turut melakukan penambahbaikkan pada bahagian lain untuk mengurangkan dengan drastik kadar NVH pada Persona. Berbanding Iriz yang mempunyai empat cagak (mounting) enjin, Persona hanya dilengkapi hanya tiga cagak untuk mengurangkan gegaran yang dipindahkan dari enjin ke badan kereta. Ekzos Persona juga ditukar, dan kini dilengkapi dengan ekzos dari Faurecia yang mengurangkan bunyi ‘berdengung’ ketika kelajuan enjin rendah (seperti Iriz) dan bunyi keseluruhan sebanyak enam desibel.

    GALERI: Proton Persona 2016 vs Iriz – pilihan sedan dan hatchback; miliki persamaan, tetapi tidak serupa

    Lagi satu perbandingan yang ketara, pastinya kedua-dua juga memiliki dimensi dan berat yang berbeza. Iriz berukuran 3,905 mm bagi panjang, selebar 1,720 mm dan setinggi 1,550 mm. Manakala Persona 2016 pula lebih panjang sebanyak 482 mm berbanding Iriz iaitu mencapai 4,387 mm, 2 mm lebih lebar (1,722 mm) dan 4 mm lebih tinggi (1,554 mm). Namun begitu, kedua-duanya berkongsi ukuran jarak roda yang sama iaitu 2,555 mm.

    Dengan perbezaan dimensi ini, Persona 2016 memiliki ruang kargo berkapasiti 510 liter (sekiranya tempat duduk belakang dalam keadaan tegak) berbanding hanya 215 liter buat Iriz.

    Biarpun nampak seiras dari sudut hadapan, apa yang membezakan antara sedan dengan hatchback ini ialah Persona dilengkapi dengan sepasang lampu dan gril hadapan yang lebih tirus. ‘Proton Wing’ pada Persona menampilkan palang krom yang lebih nipis dan menempatkan logo 3D Proton pada bahagian tengah.

    Bampar Persona pula menempatkan gril bahagian bawah yang besar berbentuk trapezoid, dan diapit lampu kabus bulat dengan perumah dengan rekaan seperti disikat ke atas. Berbanding Iriz, Persona tidak menerima lampu hadapan projektor (hanya mentol biasa) dan lampu nyalaan siang. Namun Iriz yang dilengkapi dengan lampu projektor turut memiliki lampu nyalaan siang.

    Di belakangnya pula, Persona juga hanya menerima sepasang lampu dengan mentol biasa (berbanding lampu belakang LED pada Iriz), di mana kedua-duanya dihubungkan dengan bar krom yang tebal. Persona turut dihiasi kemasan hitam dipadankan pada bahagian bawah bampar belakang, yang turut menempatkan sepasang reflektor serta lampu kabus tunggal yang diletakkan pada bahagian tengah. Manakala Iriz tidak dihiasi dengan bar krom di belakangnya tetapi dipadankan dengan lampu LED menegak. Begitu juga dengan plat nombor pendaftarannya terletak di bampar bawah, dan juga tidak disertakan dengan lampu kabus.

    Bagi kabinnya, boleh dikatakan keseluruhan bahagian dalaman Persona juga seiras dengan Iriz. Perubahan yang dibuat hanyalah kemasan kelabu berkilat pada konsol tengah, rekaan pada tombol gear (suis pengunci tuil kini pada bahagian sisi kanan). Perubahan terbesar bahagian dalaman ialah pada tema warna keseluruhan. Jika bahagian dalaman Iriz menerima warna hitam keseluruhan, Persona pula menerima tema hitam-kelabu, di mana warna kelabu ditampilkan pada kemasan panel pintu dalaman, bahagian bawah papan pemuka, serta keseluruhan bahagian terowong transmisi tengah termasuk tuil brek tangan.

    Proton Persona (kiri) & Iriz (kanan)

    Untuk sistem keselamatan, kesemua varian Persona dilengkapi dengan sistem kawalan kestabilan kenderaan (VSC), Bantuan Mula Mendaki (HHA), cagak tempat duduk kanak-kanak ISOFIX, selain dari ABS, EBD serta BA yang telah dinyatakan tadi. Varian Standard dan Executive dilengkapi dengan dua beg udara manakala varian Premium menerima enam beg udara. Dengan kesemua ciri ini, kesemua varian Proton Persona 2016 menerima penarafan Program Penilaian Kereta Baharu ASEAN (ASEAN NCAP) lima-bintang.

    Manakala bagi Iriz pula, untuk varian Standard dan Executive, hanya dua beg udara diberikan, dan enam beg udara untuk model spesifikasi tertinggi, Premium. Manakala elemen keselamatan standard bagi kesemua varian ialah VCS, ABS dengan EBD dan Isofix.

    Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai spesifikasi penuh, sila klik Proton Persona 2016 dan Proton Iriz, iaitu menerusi CarBase.my.

    Senarai harga atas jalan (termasuk insurans) bagi Persona dan Iriz adalah seperti jadual di bawah. Setiap pembeliannya turut dilindungi dengan waranti selama lima-tahun tanpa had perbatuan.

    GALERI: Proton Persona 2016 vs Iriz – pilihan sedan dan hatchback; miliki persamaan, tetapi tidak serupa

    GALERI: Proton Persona 2016

    GALERI: Proton Iriz

     
     
  • Pusat Sumber Institut Automotif Malaysia (MAIRC) – bakal penuhi bekalan tenaga mahir industri automotif

    Pusat Sumber Institut Automotif Malaysia (MAIRC) – bakal penuhi bekalan tenaga mahir industri automotif

    Pusat Sumber Institut Automotif Malaysia (Malaysia Automotive Institute Resource Center – MAIRC) secara rasminya dibuka semalam. Bangunan Pusat Sumber yang terletak di Bukit Beruntung Industrial Park itu dirasmikan pembukaannya oleh Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Dato’ Sri Mustapha Mohamed, diiringi CEO MAI Dato’ Madani Sahari.

    Pusat Sumber ini diwujudkan selari dengan cabang-cabang di dalam Dasar Automotif Negara 2014 seperti Pembangunan Modal Insan, Pembangunan Rantaian Bekalan, dan Perkilangan Semula dalam industri automotif Malaysia.

    Disokong oleh pengeluar automotif tempatan iaitu Proton dan Perodua serta vendor-vendor mereka yang terdiri dari Suria Component Sdn Bhd, SPIRO Plastic Sdn Bhd, dan juga PHN Industry Sdn Bhd, MAIRC menyediakan tiga kursus bagi memenuhi keperluan tenaga kerja menyeluruh dari peringkat produksi sehingga servis selepas jualan.

    Kursus pertama yang dikendalikan ialah Industry-Led Professional Certificate (IPC). Program ini dibuka kepada lepasan SPM bagi menghasillkan pekerja dan juruteknik mahir menerusi modul spesifik dan juga latihan dalam lapangan kerja sebenar, yang dijalankan selama enam bulan.

    Pusat Sumber Institut Automotif Malaysia (MAIRC) – bakal penuhi bekalan tenaga mahir industri automotif

    Kedua ialah kursus Automotive Industry Certification Engineering (AICE), yang ditawarkan untuk graduan baharu dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM). Kursus AICE ini diwujudkan bagi menyediakan graduan-graduan tersebut untuk masuk ke bidang automotif secara spesifik menerusi silibus yang diajar selama lapan bulan.

    Yang terakhir adalah program MAI Graduate Apprenticeship yang direka untuk pelajar STEM yang masih belum lagi menamatkan pengajian mereka dalam peringkat Ijazah. Menerusi program ini, pelajar akan disediakan untuk terus masuk ke industri automotif, bermula dari tahun pertama hingga tamat pengajian.

    Selain dari kursus-kursus ini, MAIRC turut menawarkan kursus-kursus untuk mereka yang sedang berkerja di dalam industri bagi meningkatkan tahap kecekapan mereka. Kursus tersebut ialah Digital Engineering and Prototyping (DEP) yang dijalankan selama tiga bulan untuk jurutera, Lean Production System (LPS) untuk semua peringkat pekerja dalam sektor pembuatan bagi meningkatkan produktiviti dalam operasi produksi, dijalankan selama sembilan bulan.

    MAI turut menjalankan kursus-kursus khas bagi lapangan-lapangan tertentu yang direka untuk meningkatkan kecekapan dalam setiap bahagian berkenaan, dijalankan selama tiga bulan. Kursus-kursus ini juga telah terbukti meningkatkan produktiviti sebanyak 24% selepas dijalankan.

    Walaupun terletak agak jauh dari Bandaraya Kuala Lumpur, kedudukan MAIRC ini sebenarnya agak dekat dengan kilang Perodua dan Proton Tanjong Malim, serta dikelilingi oleh kilang-kilang vendor automotif di sekitarnya. Ia juga beroperasi sebagai pusat pengkomersilan teknologi untuk menjalankan perpindahan teknologi, pengesahan dan juga implementasi amalan automasi. Homologasi bas elektrik, pengaturcaraan robotik dan juga kebolehan percetakan 3D merupakan antara aktiviti pengkomersilan teknologi yang dijalankan di MAIRC ini.

    MAI juga menjangkakan sebanyak 27,000 peluang pekerjaan baharu bakal diwujudkan dalam sektor pembuatan automotif dan 25,000 peluang pekerjaan dalam sektor servis selepas jualan pada tahun 2017. Justeru, MAIRC ini dijangka bakal memenuhi sebahagian dari keperluan tenaga kerja tersebut.

     
     
  • Mitsubishi sebar imej teaser SUV kompak baharu; bakal tampil buat pertama kali di Geneva Mac ini

    Mitsubishi sebar imej teaser SUV kompak baharu; bakal tampil buat pertama kali di Geneva Mac ini

    Mitsubishi telah menyebarkan imej teaser untuk SUV kompak baharunya yang bakal dipertontonkan di Geneva Motor Show pada Mac ini. Menurut syarikat terbabit, model ini akan menyertai barisan SUV sedia ada termasuk ASX dan Outlander.

    Seperti yang dijangka, imej teaser ini lebih kurang dengan yang Subaru kongsikan sebelum ini, yang memaparkan XV generasi akan datang. Walau bagaimana pun, yang kelihatan cuma lampu utama hadapan, beltline dan lampu belakang, serta bahagian sisinya.

    Nampak macam kenal saja model ini kan? Macam ada persamaan dengan model Concept XR-PHEV II (seperti gambar di bawah), yang pernah diperkenalkan di Geneva pada tahun 2015. Malah Mitsubishi membayangkan penggayaan model baharu ini menampilkan “termasuk bentuk-baji pada beltline, dengan garisan karakter yang merentangi bahagian sisi, dan sedikit curam pada tingkap belakang, dan jarak roda yang panjang dengan juntaian belakang yang lebih pendek”.

    Mitsubishi sebar imej teaser SUV kompak baharu; bakal tampil buat pertama kali di Geneva Mac ini

    Laporan menunjukkan SUV baharu ini akan menggunakan versi yang lebih pendek dari platform Outlander, dengan gandar belakang multi-link. Tiada perincian mengenai mekanikalnya, namun mungkin penjana kuasa petrol dan diesel akan ditawarkan, bersama transmisi automatik dan manual, serta sistem pacuan semua roda S-AWC.

    Mitsubishi belum mendedahkan lagi nama bagi model akan datang ini, namun terdapat perkhabaran nama “Eclipse” mungkin digunakan semula untuk SUV. Sebelum ini Eclipse telah dipaparkan di dalam filem “Fast and Furios” yang pertama, iaitu kereta sport dua-pintu.

    Jika, Mitsubishi membuat keputusan untuk “Eclipse” baharu ini bakal menyertai kenderaan SUV sedia ada, ada juga khabar angin menyatakan kemungkinan model baharu ini akan menggantikan ASX di sesetengah pasaran. Apa pun, lebih banyak perincian mengenainya akan dibongkarkan sebaik sahaja ia ditampilkan di Geneva tidak lama lagi.

    GALERI: Mitsubishi Concept XR-PHEV II

     
     
  • SPYSHOT: Hyundai Elantra Sport 2017, turbo dikesan

    SPYSHOT: Hyundai Elantra Sport 2017, turbo dikesan

    Hyundai Elantra generasi akan didatang telah dikesan di Malaysia, sedang dinilai oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ). Foto ini dirakam di lebuhraya MED dan Lebuhraya Sultan Iskandar di KL oleh pembaca Aaron Ong. Ini memberikan petanda bahawa Elantra generasi ke-enam bakal tiba di negara kita (mungkin pada suku kedua tahun ini) bagi menggantikan versi MD.

    Apa yang menariknya, model Elantra yang dirakamkan ini adalah versi Elantra Sport, dengan logo ‘Sport’ yang kelihatan serta ia juga ditampilkan dengan bampar belakang yang lebih agresif. Elantra Sport (Avante Sport di Korea Selatan) dijanakan oleh enjin 1.6 liter Gamma T-GDi pengecas turbo dengan hamburan kuasa sehingga 204 hp dan tork 265 Nm untuk pasaran di negara kelahirannya.

    Enjin ini turut dipadankan dengan kotak gear manual enam-kelajuan atau automatik dwi-klac tujuh-kelajuan, tetapi transmisi DCT yang hanya akan ditawarkan di sini.

    Pengenalan terhadap Elantra Turbo memang cukup menarik tetapi bukanlah yang benar-benar di luar jangkaan, di mana Hyundai-Sime Darby Motors sebelum ini pernah mengesahkan Tucson yang dijanakan oleh enjin yang sama 1.6 T GDi akan dibawa masuk ke sini (dengan pilihan diesel). Veloster yang dilancarkan di Malaysia pada April 2-15, turut menggunakan penjana enjin ini dengan 186 PS dan 265 Nm.

    Walau bagaimana pun, ia bukan satu-satunya penjana kuasa yang bakal ditawarkan untuk Malaysia, dijangka enjin 2.0 MPi Nu N/A dengan transmisi automatik torque converter enam-kelajuan dan pakej standard (bukan sport) juga akan hadir.

    Jika benar, Elantra AD bakal menyertai Honda Civic FC yang menawarkan pembeli segmen-C dengan pilihan enjin sama ada turbo atau N/A. Bagi prestasinya, T-GDi + DCT pastinya mampu membuatkan kereta buatan Korea ini ternyata lebih unik dalam segmennya.

    GALERI: Hyundai Avante Sport (versi Korea Selatan)

    GALERI: Hyundai Avante Sport (versi USA)

     
     
  • Modenas sasar lancarkan enam model bagi 2017 – apa sudah jadi dengan jentera 150 cc yang dibangunkan?

    Modenas sasar lancarkan enam model bagi 2017 – apa sudah jadi dengan jentera 150 cc yang dibangunkan?

    2017 bakal menjadi satu tahun yang rancak dan menarik bagi Modenas. Setelah memperkenalkan tiga model skuter tahun lalu hasil kerjasama dengan Kymco, Modenas sudah merancang untuk memperkenalkan sekurang-kurangnya lima atau paling banyak, enam model baru bagi tahun ini.

    Masih belum ada perincian lanjut berkenaan model-model berkenaan setakat ini, tetapi kami menjangkakan ia akan melibatkan model-model moped, skuter (yang berkemungkinan besar lanjutan daripada usahama dengan Kymco) dan mungkin juga pengenalan jentera dari jenis street bike.

    Pelancaran pertama akan dilakukan seawal bulan Mac atau April kelak, walaupun modelnya masih dirahsiakan. Dengan pengesahan pengenalan enam model ini, ada satu persoalan yang sangat wajar untuk ditanyakan; apa sudah jadi dengan model 150 cc yang sebelum ini sudah diketahui sedang dibangunkan oleh Modenas?

    Adakah ia akan tersenarai dalam kalangan enam model yang disasarkan akan dilancarkan tahun ini? Kemungkinan yang ada adalah sangat besar; pihak pengurusan tertinggi Modenas kini telah mengesahkan bahawa model 150 cc berkenaan, yang sebelum ini pernah viral di media sosial, merupakan satu daripada enam model baru yang bakal diperkenalkan secara rasmi tidak lama lagi.

    Berikut merupakan sedikit-sebanyak maklumat menarik berkenaan enjin 150 cc berkenaan. Ia dibangunkan sendiri oleh Modenas dan bukannya diambil berdasarkan enjin yang pernah ada sebelum ini, ataupun dibekalkan oleh mana-mana pengeluar lain.

    Sembilan jurutera warga tempatan dari Modenas terlibat di dalam pembagunan enjin berkenaan, dengan sebahagian daripada kerja-kerja R&D dilakukan di Universiti Graz, Austria. Pertama kali diumumkan sekitar dua tahun lalu, jentera prototaip yang menggunakan enjin ini juga sudah menjalani ujian penyesuaian sebagai sebuah model produksi. Ia juga khabarnya bakal digunakan sebagai jentera lumba pasukan Modenas di dalam saingan Cub Prix nanti.

    Menyentuh kerjasama dengan Kymco dari Taiwan pula, Modenas menjelaskan ia bukanlah sekadar melibatkan rebadge model-model sedia ada jenama itu untuk dipasarkan di Malaysia. Perancangan jangka panjang yang ingin dicapai adalah lebih penting.

    Ini antara lain melibatkan perkongsian kepakaran, pertukaran teknologi, pengukuhan rangkaian pengedaran bagi Modenas untuk ke pasaran luar serta meningkatkan kualiti pengeluaran vendor-vendor yang terlibat bagi tujuan global sourcing di dalam proses pengeluaran jentera dua roda yang terlibat.

    Dan ini melibatkan hubungan dua hala – termasuk meningkatkan keupayaan vendor untuk terut mengeksport produk mereka dan bersaing sebagai pembekal di pasaran luar. Pasaran eksport yang sedia ada yang paling utama bagi Modenas kini ialah seperti di Iran dan Greece.

    Modenas optimis akan dapat memperbaiki kedudukan syarikat dan mempertingkatkan kadar perkongsian pasarannya tahun ini. Berada di tempat kelima kini dengan perkongsian pasaran 9% tahun lalu, angka berkenaan dijangka dapat dipertingkat kepada 13% bagi 2017, didorong oleh kerancakan pengenalan semua model baru yang bakal menemui pengguna.

     
     
  • VW di Malaysia – 2017 untuk bina jenama, kepercayaan

    VW di Malaysia – 2017 untuk bina jenama, kepercayaan

    Walau berhadapan dengan pelbagai cabaran di Malaysia sejak beberapa tahun kebelakangan ini, bukan mudah untuk jenama Volkswagen mengharunginya. Malah telah beberapa kali menukar barisan tampuk kepimpinannya dan pada September tahun lalu, Porsche Holding Salzburg (PHS) telah mengumumkan penyertaannya ke dalam pasaran automotif tempatan sebagai pengedar rasmi kenderaan Volkswagen, di bawah nama syarikat baharu Volkswagen Passenger Cars Malaysia (VPCM).

    Terbaru, VPCM diterajui oleh Erik Winter sebagai Pengarah Urusannya yang baharu berkuat kuasa 8 Disember lalu, ditugaskan memantau operasi Jenama dan Sumber Manusia Syarikat. Turut bersama beliau dalam barisan kepimpinan VPCM ialah Pengarah Urusan VPCM untuk Selepas Jualan, Teknologi Maklumat dan Kewangan, Florian Steiner.

    Dengan adanya barisan kepimpinan ini, VPCM juga telah memperkenalkan beberapa kaedah baharu termasuklah jaminan pengilangan selama lima-tahun bagi menggantikan format waranti lanjutan terdahulu iaitu 3+2.

    Malah VPCM turut memperkenalkan program “VPCM Customer Care Goodwill” yang memberikan pembaikan goodwill dua-tahun tambahan kepada transmisi klac berkembar Direct Shift Gearbox (DSG) pada kereta-kereta VW yang diproduksi sehingga Disember 2013 dengan perbatuan sehingga 200,000 km. Waranti ini akan bermula selepas berakhirnya waranti lima tahun pada kereta-kereta berkenaan.

    Waranti alat ganti secara standard pula menawarkan waranti dua-tahun automatik untuk menggantikan/membayar kos membaikpulih, tidak termasuk elemen yang lusuh dan tidak boleh dipakai lagi. Menurut Steiner, perkara ini tidak diberi tekanan yang mencukupi sebelum ini.

    Ketersediaan alat ganti juga merupakan satu lagi isu, di mana sistem pesanan akan dilakukan sebelum jam 11 pagi setiap hari, (tetapi sekiranya tempahan dibuat selepas jam 2 petang, pesanan akan dibuat pada keesokan harinya). Kebiasaannya alat ganti didatangkan dari Singapura, namun hab alat ganti utama VW bakal beroperasi di Johor pada tahun 2018, jadi tempoh waktu menunggu dapat dipendekkan.

    Inisiatif utama bagi perkhidmatan selepas jualan ialah memberikan latihan yang lebih bersepadu kepada para pengedar. Malahan VPCM menerbangkan pakar VW dari luar negara untuk melatih tenaga kerja tempatan termasuk bahagian teknikal.

    Selain itu, Akademi Volkswagen kini dalam pembinaan dan dijangka bakal dibuka pada suku kedua tahun ini. Ia adalah bagi penyediaan fasiliti latihan termasuk bahagian jualan dan teknikal serta boleh memuatkan hampir 150 orang sehari, seganda berbanding fasiliti sedia ada. Malah VW Singapura juga boleh menggunakan pusat latihan setinggi empat tingkat yang terletak di Glenmarie, Shah Alam.

    Sementara itu, empat lagi pusat 3S baharu akan dibuka pada tahun ini termasuklah yang terbaharu di Batu Pahat. Lain-lain pusat 3S baharu yang bakal dibuka adalah di Tebrau (Feb) dan Permas Jaya (Mac), kedua-duanya di Johor dan juga Seremban (April). Segala usaha ini dibuat untuk mengembalikan kepercayaan para pelanggan yang terdahulu berhadapan dengan masalah kebimbangan sebagai pemilik kenderaan VW.

    VW di Malaysia – 2017 untuk bina jenama, kepercayaan

    “Kami tidak menyembunyikan apa-apa. Tetapi kami juga tidak mampu menjawab semuanya, tetapi perlu ada kesungguhan untuk menyelesaikan masalah. Kami tidak sempurna, tetapi kami mahu terus berusaha memperbaiki kelemahan,” ujar Steiner.

    Katanya lagi, pihaknya sentiasa menyokong usaha yang dilakukan oleh para pengedar.

    Usaha bagi mempertingkatkan perkhidmatan selepas jualan adalah misi masa kini VPCM di Malaysia – membina jenama dan meraih semula kepercayaan serta keyakinan di kalangan pelanggan dan bakal pelanggan. Fokus ini mendorong “angka jualan bukanlah matlamat utama untuk 2017.” Tahun lalu, jenama ini berjaya menjual sebanyak 6,048 unit dengan 1.2% penguasaan pasaran, menepati sasaran.

    Justeru, tiada sasaran jualan bagi 2017 yang dikongsikan ketika pertemuan antara VPCM dengan pihak media semalam. Menurut VPCM, mereka mensasarkan untuk “pertumbuhan yang mampan” dan mengekalkan perkongsian pasaran. Pada tahun ini, VPCM akan melancarkan dua model utama iaitu Tiguan baharu dan Beetle facelift. Di samping akan memperkenalkan beberapa model edisi terhad, berasaskan model CKD sedia ada.

    VPCM mahu memfokuskan aktiviti yang boleh membina semula jenama ini. Beberapa tahun lalu, syarikat ini merancang untuk membawa masuk Golf GTE plug-in hybrid, tetapi perancangan tersebut terpaksa dibatalkan.

    VW di Malaysia – 2017 untuk bina jenama, kepercayaan

    Sebelum ini, VW pernah mengadakan jualan “Drop Everything” iaitu pada separuh pertama tahun 2016, dengan menawarkan harga ‘durian runtuh’ untuk model stok lama yang ingin dihabiskan. Walau pun ia menampakkan keberkesanan, namun sebenarnya cara ini kurang bagus untuk jenama ini dalam jangka masa yang panjang. Di mana ia mampu memberikan impak terhadap nilai jualan semula.

    Syarikat ini percaya, “dengan memperoleh kembali kepercayaan dan keyakinan,” nilai jualan semula boleh dipertingkatkan, tetapi mengakui ia melibatkan proses yang lama. “Ia perlu mengambil masa yang lama, tetapi kami percaya dengan imej jenama yang lebih baik, nilai jualan semula juga mampu dipertingkatkan,” ujar Winter.

    Apa yang pasti, selepas ini tiada lagi ‘jualan-super-mega’ seperti “Drop Everything” yang pernah dilakukan sebelum ini. Winter berpendapat, “kami mahu mengekalkan harga”, di mana ia juga bermakna tiada peningkatan harga walau pun berhadapan dengan situasi pertukaran mata wang asing dengan nilai ringit yang rendah. “Untuk musim perayaan, insentif akan diberi, tetapi bukanlah diskaun sehingga RM30,000 hingga RM40,000 seperti dahulu,” katanya lagi.

     
     
  • Mazda 3 2017 facelift dilancarkan di Thailand – hatch dan sedan hadir dengan 4 varian, dari RM107k

    Mazda 3 2017 facelift dilancarkan di Thailand – hatch dan sedan hadir dengan 4 varian, dari RM107k

    Thailand telah pun melancarkan model Mazda 3 facelift, dengan menawarkan empat varian – 2.0E, 2.0 C, 2.0S and a top-spec 2.0SP. Harganya bermula 847,000 baht (RM106,687) hingga 1,119,000 baht (RM140,948), dan semua varian ditawarkan sama ada dalam bentuk sedan atau hatchback.

    Di bawah hudnya, terletak enjin E85 (bagi pasaran Thailand) 2.0 liter SkyActiv-G petrol, dengan keupayaan kuasa 165 PS pada 6,000 rpm dan tork 210 Nm pada 4,000 rpm. Kuasanya disalurkan ke roda hadapan menerusi transmisi automatik SkyActiv-Drive enam-kelajuan.

    Mazda turut memberikan penggayaan baharu untuk model ini. Di bahagian hadapan, grilnya telah direka semula termasuk memposisikan logo Mazda serta krom yang lebih tebal di sekelilingnya. Malahan ia juga ditampilkan dengan lampu utama LED baharu yang disambung dengan lampu nyalaan siang (sesetengah varian menerima unit projektor halogen).

    Manakala bagi bahagian belakangnya, versi sedan masih mengekalkan hampir kesemua identitinya seperti sebelum ini, namun hatchback menerima bampar baharu dengan lampu kabus belakang dan reflektor yang dibentuk semula. Bergantung pada pemilihan varian, Mazda 3 didatangkan sama ada roda aloi 16- atau 18-inci. Pembeli juga boleh memilih antara tujuh warna badan yang ditawarkan – Meteor Gray, Aluminium Metallic, Eternal Blue, Jet Black, Snow Flake, Soul Red dan Titanium Flash.

    Untuk bahagian kabinnya, elemen baharu yang ditampilkan termasuklah roda stereng pelbagai-fungsi yang direka semula, mirip dengan model CX-9 dan brek parkir elektronik, yang menggantikan brek tangan pada model sebelumnya. Selain itu, ia turut menampilkan Paparan Pemanduan Aktif (paparan unit utama), untuk varian terpilih dengan mempertingkatkan paparan berwarna sepenuhnya.

    Selain itu, elemen lain yang turut ada termasuklah pendingin hawa automatik, sistem infotainmen MZD Connect yang disambung dengan paparan skrin sesentuh tujuh-inci pada papan pemuka dan tombol Commander Control pada konsol tengah. Bukan itu sahaja, elemen seperti operasi tanpa kunci, pemilih mod pemanduan, lampu utama automatik, bilah pengelap cermin automatik dan kawalan kelajuan turut ditampilkan.

    Mazda 3 2017 facelift dilancarkan di Thailand – hatch dan sedan hadir dengan 4 varian, dari RM107k

    Mazda 3 baharu juga didatangkan secara standard dengan Mazda SkyActiv-Vehicle Dynamics termasuk sistem G-Vectoring baharu. Sistem ini memberikan tork enjin yang berbeza mengikut respon stereng, kawalan pecutan sisi dan kuasa pendikit yang lebih langsung dan responsif.

    Bagi aspek keselamatan, Mazda 3 didatangkan dengan enam beg udara, ABS dengan EBD, bantuan brek, Kawalan Kestabilan Dinamik, kawalan cengkaman, Bantuan Mula Mendaki dan Sistem Isyarat Kecemasan. Bagi varian spesifikasi tertinggi, ia turut ditampilkan dengan i-Activsense suite, termasuk Lampu Utama LED Adaptif (ALH), paparan titik buta, kepekaan trafik lintasan belakang, Sokongan Brek Bandar Pintar (hadapan dan belakang), sistem amaran penukaran lorong, bantuan kekal lorong, Kepekaan Perhatian Pemandu dan Kawalan Kelajuan Radar Mazda.

     
     
  • Kia Malaysia bakal lancar Grand Carnival, Rio serba baharu dan Optima generasi ke-4 pada 2017 ini

    Kia Malaysia bakal lancar Grand Carnival,  Rio serba baharu dan Optima generasi ke-4 pada 2017 ini

    Tahun lalu, Kia telah melancarkan dua model baharu iaitu Sportage 2016 dan Sorento 2016 serta dua model facelift; Picanto dan Cerato untuk pasaran Malaysia.

    Memperhebatkan lagi langkah lebih agresif untuk tahun 2017, jenama dari Korea Selatan ini akan membawa masuk tiga lagi model serba baharu termasuklah Grand Carnival yang kini sudah pun berada di bilik pameran. MPV bersaiz besar ini telah pun mula menerima tempahan tetapi masih belum dilancarkan secara rasmi.

    Menurut Ketua Syarikat Naza Kia Malaysia Sdn Bhd, Nazman S.H.C Yusof, biar pun belum dilancarkan secara rasmi, namun sambutan terhadap Grand Carnival ini begitu positif. “Kami akan melancarkan MPV ini dalam masa terdekat, dan ada juga pembeli terawal yang bakal menerima Grand Carnival sebelum sambutan Tahun Baharu Cina hujung minggu ini,” ujar Nazman.

    Grand Carnival hadir dengan dua varian iaitu 2.2D dan 2.2D GS, manakala harganya bermula RM153,888 serta bagi varian dengan spesifikasi paling tinggi, RM181,888. Ia dijanakan oleh enjin 2.2 liter CRDi turbodiesel empat-silinder, membekalkan kuasa sejumlah 200 PS pada 3,800 rpm dan 440 Nm tork dari 1,750 hingga 2,750 rpm. Kedua-dua varian turut dipadankan dengan kotak gear automatik enam-kelajuan.

    Klik untuk besarkan

    Bukan itu sahaja, Kia Malaysia juga akan membawa masuk model Rio serba baharu ke pasaran Malaysia juga pada tahun ini. Hatchback segmen-B terbaharu ini turut menjalani transformasi gaya yang lebih menarik.

    Ini termasuklah lampu nyalaan siang LED berbentuk-U dengan alis dan LED belakang triple 7. Malahan untuk bahagian kabinnya, ia dipadankan dengan rekaan yang lebih beralun dan ergonomik, bersama garisan melintang yang menerbitkan rasa luas. Konsol tengah dihadapkan kepada pemandu dan skrin untuk sistem informasi dan hiburan dijadikan kelihatan seperti terapung.

    Sistem informasi dan hiburan yang ditawarkan termasuk satu yang didatangkan dengan skrin sesentuh lima-inci serta sistem navigasi dengan skrin sesentuh tujuh-inci yang mempunyai sistem Kia Connected Services, sambungan Apple CarPlay dan Android Auto. Ia juga mempunyai soket USB di hadapan dan belakang.

    Malahan, Rio serba baharu ini juga dilengkapi dengan pelbagai aspek keselamatan termasuk Advanced Driver Assistance Systems (ADAS) , dengan Autonomous Emergency Braking (AEB) dengan pengesan pejalan kaki (dikatakan yang pertama dalam segmennya) dan Lane Departure Warning System (LDWS). Badannya menggunakan 51% besi (sebelum ini 33%) berketahanan tinggi (AHSS).

    Klik untuk besarkan

    Turut bakal dibawa masuk ke pasaran Malaysia pada 2017 ini ialah model Optima generasi keempat yang diperkenalkan di New York Motor Show 2015. Model Optima serba baharu ini ditampilkan dengan rekaan yang penuh evolusi serta berkongsi banyak persamaan dengan model konsep Kia SPORTSPACE.

    Malah penampilan gril hidung harimau pada model Optima baharu ini juga sedikit menonjol seperti model K900. Malah bampar hadapannya juga kelihatan lebih menarik terutamanya dengan lingkaran krom yang menampakkan citarasa lebih premium. Sementara itu, bahagian hud dan rim aloi yang lebih bergaya turut membuatkan Optima ini kelihatan segar.

    Walau bagaimana pun, spesifikasi lengkap bagi model Rio serba baharu dan Optima generasi keempat untuk pasaran Malaysia masih belum didedahkan secara terperinci.

    Menurut Nazman lagi, pihaknya juga berminat untuk memasarkan Kia Stinger, kereta sport empat-pintu terbaharu yang diperkenalkan di North America International Auto Show, Detroit baru-baru ini. “Jika boleh, kami juga mahu membawa masuk model sport premium Stinger ke pasaran Malaysia, cuma mungkin ia bergantung pada permintaan dan kesesuaiannya,” ujar Nazman.

    GALERI: Kia Grand Carnival 2.2D

    GALERI: Kia Rio 2017 spesifikasi Eropah

    GALERI: Kia Optima generasi ke-empat spesifikasi USA

     
     
  • Honda BR-V langkaui sasaran asal, terima tempahan lebih 4,000 unit selepas tiga minggu dilancarkan

    Honda BR-V langkaui sasaran asal, terima tempahan lebih 4,000 unit selepas tiga minggu dilancarkan

    Nampaknya Honda Malaysia memulakan langkah yang bergaya untuk permulaan tahun 2017 ini, apabila SUV tujuh-tempat duduk Honda BR-V yang baharu sahaja dilancarkan hampir tiga minggu lalu kini telah pun menerima tempahan lebih dari 4,000 unit.

    Tempahan berkenaan telah melangkaui sasaran asal Honda Malaysia yang mahu menjual hanya 800 unit SUV tersebut pada setiap bulan, di mana jumlah tempahan sedia ada telah pun memenuhi kuota yang ditetapkan selama lima bulan kehadapan. Oleh itu, bagi mereka yang sudah pun menempah BR-V, mereka mungkin terpaksa menunggu sehingga 1-2 bulan sebelum menerima kereta baharu mereka.

    Honda Malaysia turut menyatakan, walaupun angka tempahan berkenaan sepatutnya dihasilkan dalam masa lima bulan, pihak mereka mampu untuk mengekalkan tempoh menunggu lebih pendek kerana keupayaan kilang mereka yang boleh melaras jadual produksi berdasarkan permintaan serta ia kini beroperasi dengan dua barisan produksi.

    Honda BR-V langkaui sasaran asal, terima tempahan lebih 4,000 unit selepas tiga minggu dilancarkan

    Berdasarkan statistik, dari keseluruhan tempahan tersebut, varian tertinggi V menerima permintaan sebanyak 83% manakala 17% selebihnya menempah BR-V dari varian asas E. Honda turut menyatakan, atas praktikaliti dan juga harganya yang mampu milik, BR-V ditempah oleh ramai dari kalangan mereka yang belum pernah memiliki jenama berkenaan sebelum ini.

    Honda BR-V, atau Bold Run-about Vehicle merupakan sebuah kenderaan crossover tujuh tempat duduk yang direka seperti SUV tetapi dengan keluasan serta praktikaliti sebuah MPV. Dipasang di Pegoh, Melaka, Honda Malaysia menyatakan 70-80% komponen yang digunakan merupakan keluaran tempatan.

    Dibangunkan khusus untuk pasaran ASEAN, BR-V dibina dari platform Honda Brio/Mobilio dan dilengkapi enjin 1.5 liter SOHC i-VTEC, berkuasa 120 PS dan 145 Nm. Enjin berkenaan dipadankan dengan sistem transmisi CVT Earth Dreams, memacu roda hadapan.

    Pada bahagian sistem suspensi, BR-V diberikan Topang MacPherson untuk bahagian hadapan dan torsion beam pada bahagian belakang. Menurut Honda Malaysia, suspensi untuk BR-V di semua negara adalah sama, namun penyerap hentak bagi pasaran Malaysia telah diberi talaan yang sedikit berbeza untuk kesesuaian kegunaan di jalan raya di sini.

    Untuk dimensi pula, BR-V diukur dengan 4,453 mm panjang (4,456 mm untuk varian V), 1,735 mm lebar dan 1,650 mm tinggi, manakala jarak rodanya pula ialah 2,660 mm. Ia turut memberikan jarak kelegaan tanah sehingga 201 mm. Sebagai perbandingan, BR-V ini 161 mm lebih panjang, 35 mm kurang lebar dan 45 mm lebih tinggi serta jarak rodanya 50 mm lebih panjang berbanding HR-V.

    Kami belum lagi menguji SUV ini di Malaysia, namun gambaran awal boleh dibuat dengan membaca ulasan pandu uji kami terhadap BR-V pasaran Thailand yang kami sertai sebelum ianya dilancarkan pada pasaran tempatan.

    GALERI: Honda BR-V 1.5L V

     
     
  • Banjir: Beberapa jalan di Segamat dan Kota Tinggi, Johor mula ditutup kepada kenderaan ringan

    Banjir: Beberapa jalan di Segamat dan Kota Tinggi, Johor mula ditutup kepada kenderaan ringan

    Akibat hujan berterusan dan kini telah mengakibatkan banjir di beberapa daerah di Johor, Jabatan Kerja Raya (JKR) negeri berkenaan telah mengumumkan beberapa batang jalan di daerah-daerah tertentu kini mula ditutup kepada kenderaan ringan, menurut laporan Bernama.

    JKR menyatakan, sehingga 11.30 pagi ini, Jalan Tungku 3; Jalan Jabi ke Bukit Tempurung dan Jalan Felda Kemelah di daerah Segamat mula ditutup kepada kenderaan ringan. Manakala pada daerah Kota Tinggi, Jalan Seksyen 53 dan Jalan Kota Tinggi-Mersing juga hanya boleh dilalui kenderaan berat.

    Dalam perkembangan berkaitan, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) berkata aras air di kawasan Sungai Bekok di Yong Peng, Batu Pahat telah melebihi tahap bahaya iaitu 2.97 meter pada 12 tengah hari. Dua sungai di Segamat pula berada pada aras amaran dan berjaga-jaga iaitu Sungai Lenik di Ladang Chaah dengan bacaan 5.78 meter dan Sungai Muar di Kampung Awat dengan 19.45 meter. Kolam Air di Empangan Machap, Kluang juga berada pada aras amaran dengan paras 17.17 meter.

     
     
  • ‘Teksi Motosikal’ Dego Ride haram di M’sia – Menteri

    Berbanding aplikasi ‘e-hailing’ menggunakan kenderaan empat roda seperti Uber dan Grab dilihat tiada masalah terhadap pihak berkuasa berkaitan, perkhidmatan seumpanya tetapi menggunakan motosikal digelar ‘Dego Ride’ nampaknya tidak mendapat nasib yang sama.

    Menurut Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Abdul Aziz Kaprawi menerusi laporan Bernama, berkata kementerian itu tidak pernah mengeluarkan sebarang permit ataupun lesen untuk penunggang motosikal membawa penumpang awam di negara ini dan ia adalah haram di negara ini kerana ianya melanggar Akta Pengangkutan Jalan 1987.

    “Tidak ada lesen atau permit untuk teksi motosikal kalau ada ia adalah haram di negara ini,” katanya kepada pemberita mengenai wujudnya perkhidmatan tersebut sejak tiga bulan lalu di ibu negara dengan menggunakan aplikasi dalam talian.

     
     
  • Sistem pacuan semua roda Quattro dari Audi – lebih 36 tahun dalam pasaran, lapan juta unit dijual

    Sistem pacuan semua roda Quattro dari Audi – lebih 36 tahun dalam pasaran, lapan juta unit dijual

    Minggu lalu, Audi telah mencatatkan satu lagi peristiwa bersejarah setelah kilang San José Chiapa mereka di Mexico menyiapkan sebuah Audi Q5 berwarna Garnet Red, yang juga unit ke-8 juta dilengkapi sistem pacuan semua roda Audi Quattro.

    Audi telah menggunakan teknologi Quattro ini lebih dari 36 tahun, setelah mula diperkenalkan buat pertama kali pada tahun 1980. Hari ini, sistem Quattro diberikan standard pada SUV Audi Q7, Audi A4 dan Audi A6 allroad, A8 limo, R8 dan semua model S dan RS. Manakala semua model lain pula, sistem Quattro ini ditawarkan sebagai opsyen.

    Mengikut statistik, pada tahun 2015, 44% pelanggan Audi di seluruh dunia memilih model yang dilengkapi sistem Quattro, membuktikan ia merupakan pilihan yang popular. Dari keseluruhan jumlah tersebut, model Q5 merupakan model yang paling tinggi iaitu sekitar 262,000 unit. Model-model dengan sistem Quattro ini juga mencatatkan jumlah jualan yang agak kuat di Amerika Syarikat, Kanada, Russia dan Timur Tengah. Di Jerman sendiri, kenderaan yang dilengkapi sistem Quattro mencatatkan jualan sebanyak 122,048 unit.

    “Quattro” berasal dari bahasa Itali yang bermaksud empat. Sistem pacuan semua roda berkenaan diperkenalkan buat pertama kali pada model Ur-Quattro. Untuk mendemonstrasikan kebolehan sistem Quattro ini, Audi mula bersaing dalam kejohanan Rali Dunia (WRC), dan selepas itu merubah terus perlumbaan berkenaan buat selama-lamanya.

    Sebelum penyertaaan Audi ke dalam dunia rali, semua jentera dalam perlumbaan tersebut menggunakan pacuan dua roda, kebanyakkannya pacuan belakang, kerana mereka berpendapat sistem pacuan semua roda terlalu berat dan tidak kompetitif. Setelah FIA membenarkan penggunaan pengecas turbo, Audi menggunakan kesempatan ini untuk ‘melenyapkan’ kelemahan sistem pacuan semua roda berkenaan.

    Jentera-jentera Audi dilihat hampir tidak boleh dicabar selepas itu atas ‘traction‘ yang begitu menakjubkan dan ia boleh dipandu dengan laju pada hampir kesemua permukaan jalan.

    Untuk memperlihatkan betapa mudahnya jentera ini dipandu, Audi turut menampilkan seorang pemandu wanita dalam pasukannya – Michèle Mouton – pada tahun 1981, dan Mouton akhirnya dinobatkan sebagai naib juara keseluruhan WRC 1982 dibelakang seorang lagi pemandu Audi, Walter Rohl, setelah berjaya menjuarai empat pusingan pada musim berkenaan. Kesemua jentera WRC selepas itu ‘terpaksa’ juga menggunakan sistem pacuan empat roda bagi memastikan mereka boleh mengejar kereta-kereta Audi.

    Sistem pacuan semua roda Quattro generasi pertama menggunakan karbeda tengah dengan pengunci (center locking diffential) manual. Sistem berkenaan kemudiannya ditukar kepada penggunaan LSD tengah jenis Torsen untuk mengagihkan tork bahagian hadapan dan belakang pada tahun 1986.

    Sistem generasi ketiga hadir pada tahun 2005, diberikan mekanisma gear planetary yang mampu memberikan agihan kuasa dan tork yang tidak simetri serta lebih dinamik. Sistem ini masih lagi dibangunkan dari masa ke masa oleh Audi untuk memberikan prestasi yang lebih baik.

    Sistem pacuan semua roda Quattro dari Audi – lebih 36 tahun dalam pasaran, lapan juta unit dijual

    quattro drivetrain

    Hari ini, Audi membina sistem Quattro dalam pelbagai versi bagi menyesuaikan penggunaannya pada setiap model berlainan. Untuk kereta kompak dengan kedudukan enjin melintang, ia diberikan LSD hidraulik klac pelbagai-lapisan yang dikawal secara elektronik pada gandar belakang.

    Pada model kereta sport R8 yang menggunakan konfigurasi enjin tengah pula, karbeda klac pelbagai lapis berkenaan diletakkan pada gandar hadapan. Sistem aktif ini akan mengalirkan tork yang berbeza antara gandar hadapan dan belakang bergantung kepada situasi bagi memastikan dinamik pemanduan yang jitu diberikan setiap masa.

    LSD bahagian tengah masih lagi diberikan pada model-model Audi yang diberikan pemasangan enjin menegak kebelakang di bahagian hadapan. Unit karbeda tersebut juga masih lagi menggunakan mekanisma gear planetary mekanikal sepenuhnya. Sistem ini akan membahagikan tork antara gandar hadapan dan belakang dalam nisbah 40:60.

    Unit karbeda sport diberikan pada gandar belakang pada model-model dengan enjin spesifikasi tertinggi. Unit ini akan mengagihkan tork antara hadapan dan belakang secara aktif menerusi dua unit yang bertindih, setiap satunya dengan klac pelbagai-lapis elektro-hidraulik. Dalam situasi yang paling sukar, sistem ini mampu mengalirkan hampir kesemua tork pada satu roda sahaja, bagi menghindarkan dari berlakunya understeer.

    Sistem pacuan semua roda Quattro dari Audi – lebih 36 tahun dalam pasaran, lapan juta unit dijual

    Pembangunan terbaharu dari Audi dalam penghasilan sistem Quattro ini menampilkan teknologi ultra. Ia direka untuk model berenjin hadapan dengan kedudukan menegak kebelakang, menggunakan klac pelbagai-lapis yang kawal secara aktif, diletakkan pada penghujung sistem transmisi yang mampu mengagihkan tork secara bervariasi antara gandar pacuan dan juga sistem pacuan semua roda.

    Pemisah yang diletakkan pada gandar belakang boleh memutuskan hubungan kepada roda belakang. Kedua-dua klac dibuka pada situasi pemanduan biasa di mana sistem pacuan semua roda tidak memberikan apa-apa kelebihan ketika itu. Dengan cara ini, komponen yang menghasilkan geseran pada masa tersebut tidak dihubungkan.

    Unit kawalan elektronik bagi sistem ini menggunakan pelbagai data untuk menghasilkan status kereta berkenaan untuk setengah saat yang akan datang. Jika sistem berkenaan mengesan situasi yang diperlukan sistem pacuan semua roda beroperasi, contohnya roda bahagian dalam bakal kehilangan cengkaman, sistem Quattro diaktifkan secara serta-merta. Ini menjadikan sistem pacuan semua roda berkenaan berada dalam keadaan bersedia pada setiap masa. Menurut Audi, konsep sistem baharu ini meningkatkan kecekapannya tanpa mengorbankan traction atau dinamik pemanduan.

     
     
  • Petronas Coffee Break kembali – kopi, snek percuma; pemeriksaan keselamatan 20-poin untuk kereta Proton

    Petronas Coffee Break kembali – kopi, snek percuma; pemeriksaan keselamatan 20-poin untuk kereta Proton

    Seperti biasa, menjelang sahaja musim balik kampung sempena perayaan utama, Petronas setia dengan program ‘Coffee Break‘ bagi menggalakkan orang ramai berehat seketika di stesen-stesen minyak mereka, untuk memastikan mereka cukup rehat dan tiba ke destinasi dengan selamat.

    Untuk musim perayaan Tahun Baharu Cina ini, program Petronas Coffee Break telah pun masuk ke penganjuran tahun yang ke-18. Syarikat petroleum nasional berkenaan akan mengedarkan 600,000 cawan kopi panas dan juga snek secara percuma di 121 stesen minyaknya sepanjang lebuhraya dan kawasan dengan kadar aliran trafik yang tinggi. Program ini akan berjalan pada 28 hingga 29 Januari dan 30 hingga 31 Januari bermula pukul 2 petang, sehingga kehabisan stok.

    “Kami menjangkakan trafik yang tinggi di sepanjang lebuhraya ketika musim cuti Tahun Baharu Cina. Kami menjemput pengguna jalan raya untuk berehat seketikan dan menyegarkan diri semula di stesen-stesen kami, dan pada masa yang sama mengisi semula tangki petrol dengan formula kemenangan kami, Petronas Primax 95 dan Primax 97, sebelum menyambung semula perjalanan mereka,” kata pengarah urusan dan CEO Petronas Dagangan Mohd Ibrahimnuddin Mohd Yunus.

    Selain dari kopi dan snek, Petronas turut akan mempamerkan tujuh tips keselamatan jalan raya pada stesen-stesen terlibat. Diadakan dengan kerjasama Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR), kempen ini disasarkan untuk memberikan peringatan dan pendidikan kepada pengguna jalan raya bagi memastikan keselamatan mereka sepanjang musim cuti berkenaan.

    Servis lain yang turut ditawarkan termasuk pemeriksaan kesihatan percuma dan juga pemeriksaan keselamatan 20-poin kereta-kereta Proton yang dijalankan oleh Proton di stesen-stesen terpilih, juga secara percuma.

    Petronas turut meneruskan penajaaannya kepada St John Ambulance Malaysia (SJAM) buat kali ke-23, dengan membekalkan bahan api kepada 50 ambulan yang bernilai RM20,000. Kenderaan-kenderaan ini akan digunakan untuk memberikan pertolongan kepada pengguna jalan raya di sepanjang lebuhraya utama.

    “Keselamtan jalan raya merupakan perkara yang diambil berat oleh kami di Petronas. Tips-tips keselamatan ini akan menjadi peringatan yang bagus untuk meningkatkan keselamatan dan [memberikan sikap] yang lebih berhati-hati ketika memandu yang boleh mengelakkan kemalangan serta menyelamatkan nyawa,” kata Ibrahimnuddin.”Kami sangat berharap setiap orang sampai ke destinasi mereka dengan selamat.”

    Untuk maklumat lanjut berkenaan program Petronas Coffee Break dan stesen-stesen yang terlibat, anda boleh layari laman web rasmi mereka.

     
     
  • JPJ nafi Grab, Uber dilarang perbaharui cukai jalan

    JPJ nafi Grab, Uber dilarang perbaharui cukai jalan

    Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah mengeluarkan kenyataan menafikan larangan bagi kenderaan Uber dan GrabCar bagi memperbaharui cukai jalan, seperti mana yang disebarkan menerusi aplikasi Whatsapp baru-baru ini.

    Mesej berkenaan memaparkan bahawa kenyataan tersebut telah dikeluarkan oleh Ketua Pengarah JPJ adalah tidak benar sama sekali.

    Menurut JPJ, kenderaan yang terlibat dengan perkhidmatan Uber dan GrabCar boleh memperbaharui cukai jalan dengan mengikut prosedur sedia ada, mempunyai insurans yang sah dan tidak disenarai hitam.

    Dalam masa yang sama, JPJ turut menasihati orang ramai agar tidak mudah terpengaruh dan mempercayai sebarang mesej melalui media sosial dan aplikasi Whatsapp yang tidak mempunyai sumber sah. Sekiranya terdapat kemusykilan, orang ramai dinasihatkan untuk merujuk terus kepada JPJ dan tidak turut sama menyebarkan maklumat tidak sahih itu.

     
     
  • Kawasaki Malaysia perkenal empat model untuk 2017 – Z900 ABS, Z650 ABS, Ninja 650 ABS dan Versys-X 250

    Kawasaki Malaysia perkenal empat model untuk 2017 – Z900 ABS, Z650 ABS, Ninja 650 ABS dan Versys-X 250

    Kawasaki Malaysia hari ini memperkenalkan barisan empat model terbaru keluarannya untuk pasaran tempatan bagi tahun 2017. Model-model yang dimaksudkan ialah Kawasaki Z900 ABS, Z650 ABS, Ninja 650 dan sebuah jentera kembara dalam kategori baru, Versys-X 250.

    Akan dipasang dan dibawa masuk dari Thailand, semua model ini akan mula berada di bilik pameran di Malaysia secara berperingkat seawal bulan Mac nanti. Buat masa ini, harga anggaran diberikan dahulu, sebelum harga akhirnya yang bakal ditentukan nanti diumumkan.

    Model Z900 ABS misalnya akan dijual pada harga kurang daripada RM58,000 termasuk GST, dan akan mula memasuki pasaran dijangka pada bulan April. Manakala bagi model Z650 ABS pula, ia akan dijual pada harga sekitar RM37,000 termasuk GST, dan akan mula memasuki bilik pameran Mac nanti.

    Kawasaki Malaysia perkenal empat model untuk 2017 – Z900 ABS, Z650 ABS, Ninja 650 ABS dan Versys-X 250

    Sebuah lagi model yang turut direncanakan tiba di Malaysia dalam bulan Mac ialah Ninja 650 ABS, yang akan dijual pada harga di bawah RM38,000 termasuk GST. Sementara itu, bagi model kembara Versys-X 250, harganya yang paling rendah di antara keempat-empat model ini, iaitu RM25,000 termasuk GST.

    Menurut Kawasaki, barisan model berkenaan akan menjadi pemula bagi penawaran motosikal yang dilengkapi sistem ABS oleh Kawasaki di Malaysia – dengan Versys-X 250 juga berkemungkinan besar akan dilengkapi ciri berkenaan selepas pengenalan sulung ini nanti.

    Daripada semua model terbaru ini, jentera siri 650 merupakan jentera yang dibangunkan serba baru, dengan kerangka serta enjin yang jauh berbeza jika dibandingkan dengan penampilan terdahulunya sebelum ini. Bagi model Z900 ABS dan Versys-X 250 pula, kedua-duanya masih meminjam banyak struktur dan ciri mekanikal yang sama dari versi siri sama sebelumnya.

    Kawasaki Malaysia perkenal empat model untuk 2017 – Z900 ABS, Z650 ABS, Ninja 650 ABS dan Versys-X 250

    Kawasaki Z900 ABS menggunakan kerangka Trellis dengan berat 13.5 kg yang dibina serba baru. Ia dilengkapi enjin 948 cc empat silinder sebaris, empat lejang dengan sejukan cecair dengan kuasa maksimum 125 PS pada 9,500 rpm dan tork 98.6 Nm pada 7,700 rpm. Transmisinya pula adalah dari jenis wet multi-disc enam-kelajuan.

    Bagi Z650 ABS pula, ia turut menggunakan kerangka yang direka serba baru dengan berat hanya 15 kg. Bagi nadi penggerak utamanya, enjin 649 cc Parallel Twin DOHC dengan lapan injap membekalkannya dengan 68 PS pada 8,000 rpm kuasa serta 65.7 Nm pada 6,500 rpm tork maksimum. Sama seperti Z900 ABS, transmisinya adalah dari jenis wet multi-disc enam-kelajuan.

    Ninja 650 ABS berkongsi spesifikasi yang hampir sama dengan model Z650 ABS. Bezanya, Ninja merujuk kepada model versi fairing Kawasaki, untuk membezakannya dari siri Z. Ia dilengkapi enjin 649 cc yang sama seperti . Janaannya kekal pada 68 PS pada 8,000 rpm kuasa serta 65.7 Nm pada 6,500 rpm bagi tork maksimum.

    Kawasaki Malaysia perkenal empat model untuk 2017 – Z900 ABS, Z650 ABS, Ninja 650 ABS dan Versys-X 250

    Paling menarik tentunya Versys-X 250, yang menggabungkan penggayaan sebuah motosikal kembara yang bersaiz besar, dengan enjin dengan kapasiti yang kecil. Ia direka untuk kegunaan pada permukaan yang pelbagai; menggunakan enjin 249 cc dengan kuasa 34 PS pada 11,500 rpm dan 21.7 Nm pada 10,000 rpm. Transmisi enam-kelajuan dengan klac basah menyalurkan kuasanya ke roda belakang melalui rantai.

    Harga jualan sebenar bagi semua model berikut akan dimaklumkan dari semasa ke semasa, sebaik sahaja ia tiba di memasuki bilik pameran seluruh negara nanti.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.10
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.85 (-0.05)
EURO 5 B7 RM3.05 (-0.05)
Last Updated Aug 21, 2025