Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Bas ekspres mula gunakan alat pengehad kelajuan

    Bas ekspres mula gunakan alat pengehad kelajuan

    Bagi mengelak kemalangan maut yang melibatkan bas ekspres, syarikat-syarikat pengusaha perkhidmatan bas ekspres kini menyahut seruan untuk memasang alat pengehad kelajuan (Speed Limiter Device, SLD) pada bas untuk meningkatkan lagi ciri keselamatan dalam operasinya, seperti dilaporkan The Star.

    Alat berkenaan akan mengehadkan kelajuan kepada hanya 90 km/j sahaja. Sebelumnya, tahun 2020 menjadi penanda aras bagi semua bas yang ada di atas jalan raya negara ini untuk dilengkapi alat berkenaan. Namun, difahamkan hampir separuh daripada jumlah bas yang terlibat kini sudah pun dilengkapi dengan ciri itu.

    Presiden Persatuan Pengusaha Bas Pan Malaysia, Datuk Ashfar Ali memaklumkan bahawa syarikat-syarikat bas kini juga sudah menentukan laluan-laluan baru untuk memastikan keselamatan. Bas yang tiada SLD ditugaskan untuk laluan yang lebih pendek. “Bagi bas yang dilengkapi SLD, ia digunakan untuk perjalanan jauh,” jelasnya.

    Selain itu, dengan penggunaan alat berkenaan juga, syarikat bas boleh meninjau secara nyata perkembangan semua bas yang mereka kendalikan melalui global positioning system (GPS). “Kami boleh mengetahui di mana lokasi sesebuah bas, dan berapa kelajuan semasanya. Jika ia melebihi had, amaran akan diterima pada sistem dan skrin,” tambah beliau.

    Dalam usaha syarikat-syarikat bas ingin menaiktaraf faktor kualiti dan keselamatan dalam perkhidmatan mereka, beliau turut berharap kerajaan juga memainkan peranan dan membantu usaha berkenaan. Syarikat misalnya tidak mampu untuk menggantikan bas sedia ada dengan bas baru dalam masa yang singkat kerana kos operasi sendiri sudah meningkat.

    Tambang bas juga kali terakhir dinaikkan ialah pada 2009, dan beliau menggesa akan kerajaan dapat mempertimbangkan perkara itu. “Ditambah dengan GST dan nilai ringgit yang menyusut, semua ini menjadikan kos operasi kami semakin tinggi,” tambah beliau.

     
     
  • GALERI: Proton Persona – perbezaan dulu dan kini

    GALERI: Proton Persona – perbezaan dulu dan kini

    Seperti yang diketahui, Proton telah pun melancarkan model Persona generasi kedua tahun lalu. Menerusi galeri kali ini, kami paparkan ‘evolusi’ yang berlaku pada model generasi kedua berkenaan berbanding model generasi pertamanya.

    Jika dilihat dalam sejarah Proton, nama Persona ini sebenarnya diberikan buat pertama kali kepada Proton Wira untuk pasaran UK, manakala Satria digelar Persona Compact dan Putra digelar Persona Coupe pada pasaran berkenaan.

    Jadi, bagi pasaran tempatan, susur galur generasi Persona tidak dikira dari Wira, manakala model generasi pertama Persona di Malaysia muncul pada tahun 2007. Model asal Persona ini sebenarnya berkongsi platform dan hampir kesemua komponen dengan Proton Gen-2, dan dibuat perubahan dari tiang-B hingga kebahagian but, bagi merubah bentuk fastback lima pintu pada Gen-2, menjadi sebuah sedan empat pintu pada Persona dengan dimensi 167 mm lebih panjang.

    GALERI: Proton Persona – perbezaan dulu dan kini

    Platform Gen-2 dan Persona ini sendiri sebenarnya dibina berasaskan platform Proton Waja, di mana kedua-dua model ini berkongsi dimensi jarak roda yang sama iaitu 2,600 mm, serta bentangan sistem suspensi yang menggunakan Topang McPherson di hadapan dan multilink di bahagian belakang. Ketika mula diperkenalkan, Waja di bina sebagai sedan yang bersaing di dalam ‘liga’ yang sama dengan Honda Civic serta Toyota Corolla pada era berkenaan.

    Model Persona generasi pertama yang dipaparkan ini merupakan model Persona Elegence 2011, iaitu model versi facelift yang mula diperkenalkan pada tahun 2010. Enjin asal pada model facelift ini masih kekal dengan enjin S4PH Campro IAFM 1.6 liter berkuasa 109 hp pada takat 5,750 rpm dan tork maksima 150 Nm pada takat 4,000 rpm, dipadankan dengan pilihan kotak gear lima-kelajuan manual atau empat-kelajuan automatik.

    Pada bahagian luaran pula, Elegance dibezakan menerusi gril dan lampu utama, bampar hadapan dan belakang serta kit badan yang direka semula. Lampu belakang model Elegance ini juga kini diberikan lampu jenis LED. Pada bahagian dalaman, pemain audio yang sebelum ini hanya boleh memainkan media dari pemain CD, turut ditambah dengan hubungan AUX dan USB.

    Berbanding model generasi kedua, Persona kini di bina berasaskan hatchback segmen-B Proton Iriz. Oleh itu, Persona generasi baharu ini kini bersaing dengan Honda City, Toyota Vios dan juga Nissan Almera dalam liga sedan segmen-B tempatan. Berbanding generasi terdahulu, Persona baharu ini diukur dengan panjang keseluruhan 572 mm lebih pendek dan juga jarak roda 45 mm lebih pendek.

    Namun model baharu ini direka 116 mm lebih tinggi Persona generasi terdahulu, dan dengan manipulasi ruang yang lebih optimum, but Persona generasi baharu ini dapat dibina dengan kapasiti 80 liter lebih besar dari sebelum ini.

    Enjin 1.6 liter pada Persona baharu ini dibina dengan penggunaan bahan api yang lebih cekap menerusi pemadanan sistem pemasaan injap VVT. Jumlah kuasa yang dihasilkan adalah sedikit kurang iaitu 107 hp pada takat 5,750 rpm dan tork maksima 150 Nm pada takat 4,000 rpm. Walau bagaimanapun, talaan baharu yang diberikan pada enjin baharu ini membuatkan ia terasa lebih responsif.

    Untuk versi transmisi automatik, tiada lagi pilihan kotak gear torque converter empat kelajuan diberikan dan digantikan dengan kotak gear CVT. Manakala untuk transmisi manual pula, ia masih diberikan kotak gear lima-kelajuan.

    Persona generasi baharu ini mengambil terus suspensi dari Iriz iaitu Topang McPherson pada bahagian hadapan serta torsion beam pada bahagian belakang, tetapi dengan talaan yang lebih sesuai dengan sedan.

    Bagi sistem keselamatan pula, kesemua varian Persona 2016 bukan sahaja diberikan sistem brek ABS, EBD dan BA, malah turut diberikan sistem Kawalan Stabiiti Elektronik (ESC) secara standard. Varian Standard dan Executive diberikan dua unit beg udara, manakala untuk varian Premium diberikan enam-beg udara. Ini membolehkan Persona generasi kedua ini menerima penarafan ASEAN NCAP lima-bintang.

    Lima varian ditawarkan dengan harga bermula RM46,000 hingga RM60,000 dan pecahan dan perincian setiap varian berkenaan boleh anda baca DI SINI. Kami sudah pun memandu uji Persona 2016 di litar ujian Proton sebelum ia dilancarkan, dan juga mengujinya dalam sesi pandu uji media dari Kuala Lumpur ke Kuantan. Kami juga telah menyediakan galeri khas untuk anda untuk membandingkan antara Persona dan juga Iriz.

    GALERI: Proton Persona 1.6 Premium CVT 2016

    Proton Persona 1.6 Elegance AT 2011

     
     
  • Proton terima pentauliahan dari Kementerian Sumber Manusia – jadi pusat Sistem Latihan Dual Nasional

    Proton terima pentauliahan dari Kementerian Sumber Manusia – jadi pusat Sistem Latihan Dual Nasional

    Proton hari ini ditauliahkan oleh Kementerian Sumber Manusia dan Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) sebagai pusat sehenti bagi program Sistem Latihan Dual Nasional (SLDN). Bersekali dengan itu, Proton juga menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) dengan jabatan berkenaan untuk terus membangunkan tenaga kerja berkemahiran.

    Usahasama itu bukanlah sesuatu yang baru; ia sudah berlangsung sejak 24 tahun yang lalu dalam lapangan Teknologi Automotif. “Sejajar dengan matlamat kerajaan untuk mengubah pendidikan dan latihan teknikal serta vokasional, program yang kami laksanakan ini adalah tanda komitmen terhadap membangunkan dan menghasilkan lebih banyak tenaga kerja berkemahiran,” jelas CEO Proton, Datuk Ahmad Fuaad Kenali.

    Turut hadir pada majlis berkenaan ialah 30 penerima Diploma Lanjutan Kemahiran Malaysia (DLKM), dengan penyerahan sijil oleh Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Richard Riot Anak Jaem. 25 orang lagi turut diberikan biasiswa Yayasan Proton untuk melanjutkan pelajaran bagi Sijil Kemahiran Malaysia (SKM).

    SKM merupakan sijil yang diiktiraf diperingkat kebangsaan dan dikeluarkan oleh kerajaan Malaysia kepada individu-individu yang telah berjaya mencapai tahap keupayaan untuk mula berkerja. Setiap tahun juga, program World Skills Malaysia Belia (WSMB) diadakan untuk menyediakan latihan kemahiran yang betul kepada golongan belia, dan untuk mempromosi daya cipta terbaik diperingkat kebangsaan. Kemudiannya mereka akan bersaing diperingkat ASEAN Skills Competition dan World Skills Competition, yang akan berlangsung di Abu Dhabi.

     
     
  • GALERI: Perincian Honda Civic Euro Hatchback 2017

    GALERI: Perincian Honda Civic Euro Hatchback 2017

    2017 Honda Civic

    Pertama kali mula dilihat pada September tahun lalu, Honda Civic Hatchback kini sudah bersedia untuk memasuki pasaran. Dengan itu, pengeluarnya juga sudah pun mendedahkan gambar-gambar sebenar terbaru serta maklumat lanjut berkenaan model berkenaan. Di Eropah, model ini antaranya akan menjadi pesaing kepada Volkswagen Golf, Ford Focus, Vauxhall/Opel Astra dan Peugeot 308.

    Civic untuk pasaran Eropah ini merupakan sebuah hatchback lima pintu yang dipasang di Swindon untuk pasaran dunia. Hab pengeluaran Honda di Eropah itu menerima pelaburan €270 juta bagi teknologi dan proses pengeluaran terkini untuk persediaan pemasangan model baru, sebelum kemudiannya akan dieksport dari UK. Kali ini, Civic hatchback ini turut akan memasuki Amerika Syarikat.

    “Penghasilan Civic generasi kesepuluh mencerminkan pembangunan meodel yang komprehensif dan berpandangan jauh yang dilakukan oleh Honda. Termasuk komitmen terhadap sumbar R&D yang pertama seumpamanya, proses berkenaan turut melibatkan operasi pengilangan dan jualan di seluruh dunia, dari Amerika Utara dan Jepun, hinggalah ke Eropah, Amerika Selatan dan Asia,” jelas ketua projek global dan ketua juruteranya, Mitsuru Kariya.

    GALERI: Perincian Honda Civic Euro Hatchback 2017

    2017 Honda Civic

    “Kereta ini, Civic yang paling sporty pernah dihasilkan, meletakkan tanda aras baru bagi kenderaan kelas kompak dari sudut prestasi, penjimatan minyak, keluasan ruang, keselamatan dan kualiti ruang kabin,” tambah beliau. Kenyataan seperti ada asasnya, tambahan pula jika melihat kepada kualiti model-model yang ingin dicabar.

    Untuk membolehkannya mendahului dalam kelas yang sedia mencabar, dan dalam masa yang sama memenuhi keperluan harga jualan, cekap minyak dan pengilangan, ia memerlukan pemikiran dan pendekatan baru terhadap pembangunan kerangka, badan serta aerodinamik kenderaan. Pasukan yang terlibat dalam pembangunannya mengadakan ujian sebenar, termasuk penilaian terhadap kenderaan mewah di Eropah, dalam usaha untuk menentukan tahap keselesaan, pengendalian, stereng dan NVH, serta kualiti ruang dalaman.

    Civic hatchback terbaru ini 30 mm lebih lebar, 136 mm lebih panjang dan 20 mm lebih rendah berbanding generasi terdahulu bagi model hatchback yang sama. Rim dan tayar yang lebih besar serta lebar memberikan kedudukan stance yang lebih tegap. “Imej gagah yang dapat dilihat di luar turut mencerminkan sifat dinamik dan kejuruteraan teknologi yang menjadi terasnya,” jelas Kariya.

    GALERI: Perincian Honda Civic Euro Hatchback 2017

    2017 Honda Civic

    Hondan menyatakan Civic baru ini memiliki ciri aerodinamik paling komprehensif dalam segmen kompak, termasuk penggunaan panel yang menyeluruh di bahagian bawahnya. Bahagian lain yang turut menyumbang kepada faktor ini ialah rekaan pada bahagian lengkung roda yang membantu mengalihkan aliran angin di sekitarnya, rekaan rim serta spoiler belakang yang lebih rendah. Bacaan CdA (coefficient of drag (Cd) dan frontal area (A)) dipertingkatkan sebanyak 3% – terbaik dalam kelasnya.

    Civic baru ini juga 16 kg lebih ringan, dan dalam masa yang sama 52% lebih keras. Penambahbaikan pada aspek pengukuhan dan rekaan kerangka unibody menyumbang kepada bacaan NVH yang lebih baik. Dengan kendalian dan keselesaan menjadi keutamaan, Honda menggunakan sistem suspensi serba baru, pusat graviti yang lebih rendah (sebanyak 10 mm, 35 mm hip point yang lebih rendah bagi pemandu) dan sistem EPS denga ciri dual pinion variable-ratio, yang lebih pantas dan memberi maklumbalas terus berbanding Civic sedan yang dijual di sini.

    Ia juga menjadi yang pertama bagi mana-mana model keluaran Honda yang menggunakan hydraulic fluid-filled compliance bushings, di depan dan belakang – ini memberikan keselesaan dan kawalan gegaran yang lebih baik. Varian tertinggi dilengkapi dengan sistem penyerap hentak empat peringkat adaptif yang pernah ditawarkan pada model Civic Tourer pada 2014. Sistem berkenaan mempunyai dua talaan – normal dan dinamik – dikawal oleh ECU, sensor badan tiga penjuru dan injap solenoid pada setiap penyerap hentak yang mengawal aliran minyak padanya.

    Civic hatchback ini juga menjadi model pertama oleh Honda di Eropah yang ditawarkan dengan enjin 1.0 liter tiga-silinder dan 1.5 liter empat-silinder VTEC Turbo, digandingkan dengan kotak gear manual enam-kelajuan yang dibangunkan semula (kerangka lebih kuat, dengan geseran ketika pertukaran gear dikurangkan sebanyak 40%) atau CVT automatik. Enjin Euro 6 berkenaan hadir dengan ciri suntikan terus, pengecaj turbo kompak, mono-scroll dengan inertia rendah, wastegate elektronik, i-VTEC dan Dual-Variable Timing Control.

    Enjin tiga-silinder itu dikatakan memberi peningkatan penting bagi pemanduan harian, dengan penjimatan minyak yang lebih baik berbanding enjin 1.8 NA terdahulu. Ia menjana 129 PS pada 5,500 rpm dan 200 Nm dari 2,250 rpm tork dengan transmisi 6MT. Dengan padanan CVT, ia memberikan 180 Nm dari 1,700 hingga 4,500 rpm. Penggunaan minyak dari kitaran gabungan NEDC adalah dari 4.7 liter per 100 km (21.3 km/l). 0-100 km/j ialah dalam tempoh 10.2 saat.

    Enjin 1.5 Turbo pula menghasilkan 182 PS pada 5,500 rpm (6,000 rpm dengan CVT) dan 240 Nm tork dari 1,900 hingga 5,000 rpm (220 Nm dari 1,700 rpm hingga 5,500 rpm bagi CVT). 0-100 km/j ialah dalam 8.2 saat. Penggunaan minyak secara gabungan bagi manual ialah 5.8 liter per 100 km (17.2 km/l). Civic 1.5L Turbo yang dijual di Malaysia menjana 172 PS pada 5,500 rpm dan 220 Nm tork dari 1,700 hingga 5,500 rpm.

    GALERI: Perincian Honda Civic Euro Hatchback 2017

    2017 Honda Civic

    Selain daripada kedudukan memandu 35 mm lebih rendah, bonetnya juga direndahkan sebanyak 65 mm; memberi pengihatan yang lebih baik. A-pillar pula 12 mm lebih nipis. Tempat duduk pemandu boleh dilaraskan dalam 14 langkah, dengan tempat duduk depan mempunyai tambahan 10 mm jarak untuk digelungsur serta 10 mm tambahan bagi pelarasan ketinggian.

    Bagi ruang bahu, ia ditambah 10 mm, dan ruang di antara tempat duduk depan dinaikkan sebanyak 30 mm. Ruang bahu tempat duduk belakang ada tambahan 20 mm, dan penumpang belakang juga akan lebih selesa dengan ruang kaki yang menerima pertambahan 95 mm, manakala ruang lutut diberi tambahan 45 mm.

    Ruang barangan pula ialah dengan kapasiti 478 liter. Di Eropah, model ini turut didatangkan dengan ciri Honda Connect generasi kedua, dengan sokongan aplikasi Apple CarPlay dan Android Auto. Sistem berkenaan dikuasakan oleh pemproses Nvidia Tegra 3 Quad-Core, dan paparannya pula melalui skrin sentuh TFT-LCD tujuh inci. Sistem audio pula mengunakan unit 449 watt dengan 11 pembesar suara.

    Bagi ciri keselamatan, Honda Sensing yang merangkumi ciri-ciri seperti Collision Mitigation Braking System, Forward Collision Warning, Lane Departure Warning, Road Departure Mitigation, Lane Keeping Assist System, Adaptive Cruise Control, Traffic Sign Recognition, Intelligent Speed Assistance dan Intelligent Adaptive Cruise Control. Selain itu, Blind Spot Information dan Cross Traffic Monitor turut disediakan.

     
     
  • Jangan rakam foto ketika memandu walau untuk JPJ

    Jangan rakam foto ketika memandu walau untuk JPJ

    Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kedah memberikan amaran, mana-mana individu yang sedang memandu dan dalam masa yang sama merakamkan foto kesalahan lalu lintas walau pun ia bertujuan untuk disalurkan kepada JPJ, juga akan dikenakan tindakan.

    Menurut pengarahnya Isma Suhaimi Sharif, pemandu kenderaan tidak boleh merakam foto atau video mengenai kesalahan lalu lintas yang dilakukan pengguna jalan raya yang lain, dan boleh dikenakan tindakan di bawah Kaedah 17 A, Akta Pengangkutan Jalan 1987 serta boleh didenda sebanyak RM300, laporan Bernama.

    “Memang kita galakkan orang ramai membantu salurkan maklumat melalui pelbagai aplikasi, tapi sepatutnya gambar atau video mestilah diambil oleh orang lain dalam kenderaan dan bukannya pemandu itu sendiri,” katanya kepada pemberita sewaktu melancarkan melancarkan Ops Tahun Baharu Cina 2017 peringkat negeri Kedah malam tadi.

    Operasi yang telah dilancarkan itu menyaksikan sebanyak 560 buah kenderaan diperiksa di sekitar Jalan Pegawai, Alor Setar dan 75 notis pelbagai kesalahan telah dikeluarkan.

     
     
  • JPJ bakal laksana AWAS, Kejara mulai April ini

    JPJ bakal laksana AWAS, Kejara mulai April ini

    Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) kini dikatakan dalam peringkat akhir membangunkan sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (AWAS) dan sistem Pemberian Mata Demerit Kesalahan Jalan Raya (Kejara).

    Jika tiada halangan, kedua-dua sistem berkenaan yang melibatkan pautan ke laman sesawang JPJ bagi membolehkan pengguna mendapatkan maklumat berkaitan kesalahan lalu lintas mereka, bakal beroperasi mulai April ini, ujar Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai.

    “Ini sistem canggih yang melibatkan kamera litar tertutup dibantu sistem IT untuk mengenal pasti dan mengesan semua pesalah jalan raya dalam masa yang singkat. Melalui sistem ini, pesalah akan diberi amaran, kompaun, digantung lesen dan akhirnya disenarai hitam akibat kesalahan melanggar peraturan lalu lintas seperti memandu laju dan melanggar lampu isyarat,” ujarnya selepas melancarkan Kempen Keselamatan Lebuhraya dan Sambutan Tahun Baru Cina Lebuhraya Pantai Timur pagi tadi.

    Katanya lagi, walau bagaimana pun, sistem ini masih mengkaji medium yang sesuai untuk memberi notis kesalahan kepada pesalah dan perkara ini akan diumumkan kelak, laporan Bernama.

    Sepatutnya sistem berkenaan dilaksanakan sejak Mei tahun lalu, namun terpaksa ditangguhkan kerana mengalami beberapa masalah teknikal dan kekangan akta JPJ.

    Malah sebanyak tujuh lagi kamera AES akan dipasang di kawasan yang kerap kemalangan, menambah jumlah sedia ada iaitu sebanyak 14 buah yang telah ada di kawasan terpilih sebelum ini. Liow turut berkata, dengan adanya sistem ini, diharap mampu mengurangkan jumlah kemalangan jalan raya di negara kita.

    Menerusi AWAS, bila disaman, mata demerit akan ditolak bergantung kepada kesalahan yang dilakukan. Sekiranya mencecah 20 mata, lesen pemandu boleh digantung.

     
     
  • VIDEO: 50 tahun sejarah prestasi pemanduan AMG

    Tahun ini merupakan ulang tahun ke-50 AMG, cabang prestasi tinggi bagi jenama Mercedes-Benz. Sempena menyambutnya, syarikat berkenaan mengeluarkan sebuah video ringkas yang memaparkan sejarah perjalanannya setakat ini.

    Bermula pada 1960an ketika dua orang jurutera Mercedes – Hans Werner Aufrecht dan Erhard Melcher – sedang membangunkan enjin perlumbaan bagi model 300 SE di jabatan pembangunan Daimler-Benz. Malangnya, syarikat mengambil keputusan untuk menamatkan semua penglibatan dalam perlumbaan tidak lama kemudian, tetapi tidak menghalang Aufrecht dan Melcher daripada meneruskan kerja mereka.

    Bekerja di rumah Aufrecht di Grossaspach, mereka menggunakan masa terluang untuk meneliti dan mempertingkatkan prestasi enjin berkenaan. Pada 1965, Manfred Shiek, seorang rakan setugas di Daimler, mula berlumba di dalam German Touring Car Championship menggunakan enjin 300 SE itu, dan menang sebanyak 10 kali.

    Walaupun dengan kejayaan dan reputasi yang hadir bersama enjin 300 SE itu, Aufrecht tetap ingin menawarkannya pada kenderaan dijalan raya biasa bagi model asal datangnya enjin berkenaan. Untuk itu, beliau meninggalkan Mercedes-Benz pada 1966, dan menubuhkan AMG pada 1967 bersama Melcher – A adalah sempena nama Aufrecht, M untuk Melcher dan G untuk Grossaspach (kampung kelahiran Aufrecht).

    VIDEO: 50 tahun sejarah prestasi pemanduan AMG

    Firma kejuruteraan seperti yang dikenali ketika itu berpusat di sebuah kilang terpakai di pekan bersebelahan, Burgstall. Beberapa tahun selepas penubuhannya, pencapaian pertama AMG dalam perlumbaan berlaku dalam tahun 1971 ketika perlumbaan 24 jam Spa – Mercedes 200 SEL 6.8 yang digunakan muncul juara dalam kelasnya serta menduduki tempat kedua secara keseluruhan – walaupun dengan kekurangan dari segi berat; ia kira-kira dua tan, bersaing dengan jentera lain yang lebih ringan.

    Hanya pada 1976 syarikat itu memindahkan operasinya ke Affalterbach. Pada 1990, AMG memeterai perjanjian rasmi dengan Mercedes-Benz, di mana naik taraf oleh AMG akan ditawarkan kepada pelanggan, dan boleh diservis melalui pengedar terpilih Mercedes-Benz seluruh dunia.

    Sebahagian daripada perjanjian itu juga menyaksikan Mercedes dan AMG akan membangunkan versi produksi kenderaan prestasi tinggi untuk secara bersama, untuk dipasarkan. Kereta pertama yang lahir daripada perjanjian itu ialah C63 AMG sedan, yang ingin bersaing dengan BMW M3 ketika itu. Kemudian, pada 1999, Daimler AG membeli dan mengawal pegangan dalam AMG dan menjadikannya sebahagian daripada Mercedes-Benz, dan kini dikenali sebagai Mercedes-AMG.

    AMG kekal aktif dalam perlumbaan, dan mencatat kejayaan besar di dalam kejuaraan Deutsche Tourenwagen Masters (DTM). Ia bermula dengan W201 190 E 2.3-16, kemudiannya ini dilanjurkan ke Formula 1, dengan pasukan Mercedes-AMG Petronas Motorsport yang mencatatkan kejayaan tiga tahun berturut-turut sebagai juara pengeluar. Dengan susur galur dan pencapaian seperti ini, tidak mustahil AMG akan terus berkembang untuk 50 tahun lagi.

     
     
  • Banjir: 23 laluan persekutuan, negeri di Pahang ditutup

    Banjir: 23 laluan persekutuan, negeri di Pahang ditutup

    Angkatan Pertahanan Awam Malaysia negeri Pahang telah memaklumkan sebanyak 23 laluan persekutuan dan negeri ditutup kepada semua kenderaan, manakala tujuh lagi jalan pula hanya ditutup kepada kenderaan ringan, akibat banjir.

    Menurut pengarahnya Zainal Yusoff, berdasarkan laporan yang diterima oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) Pahang, Lipis merekodkan jumlah laluan paling banyak terjejas, seperti yang disiarkan oleh Bernama.

    “Sebanyak tujuh laluan ditutup kepada semua kenderaan di daerah berkenaan, manakala dua laluan lagi turut ditutup kepada kenderaan ringan. Laluan berkenaan ialah Laluan 1330-Seksyen 3.9 Jalan Kerambit-Limau Purut-Mela, Seksyen 4.7 Jalan Bukit Kota-Aur Gading, Seksyen 0.7 Jalan Bukit Betong-Kg Kepong, Laluan FT234-Seksyen 27.5 Jalan Lipis-Jerantut,” ujarnya.

    Selain itu, Seksyen 34 dan 38 Jalan Lipis-Jerantut dan Seksyen 58.0 Jalan Lipis- Jerantut ditutup kepada semua kenderaan manakala dua laluan yang ditutup kepada kenderaan ringan iaitu Laluan 1330-Seksyen 7.8 Jalan Sg Koyan-Kuala Medang dan Seksyen 7.8 Sg Koyan-Kuala Medang.

    Di Maran pula, sebanyak lapan laluan ditutup kepada semua kenderaan iaitu di Laluan C135 Seksyen 3.1 Jalan Kg Ulu Luit, Seksyen 4.9 Jalan Kg Ulu Luit, Laluan C133 Seksyen 0.1 Jalan Serengkam, Laluan C100 Seksyen 0.0 Jalan Kuala Wau Kertau, Seksyen 6.3 Jalan Serengkam, Laluan FT064 Seksyen 121.0 Jalan Jerantut-Maran, Seksyen 125.0 Jalan Jerantut-Maran dan Seksyen 126.7 Jalan Jerantut-Maran.

    Empat laluan di Jerantut yang membabitkan tiga laluan ditutup kepada semua kenderaan iaitu Laluan FT1521 Seksyen 18.0 Jalan Kota Gelanggi, Laluan FT1508 Seksyen 0.5 dan 1.4 Jalan Padang Piol-Sg Retang manakala Laluan FT1521 Seksyen 7.8 Jalan Link Kota Gelanggi 3 ditutup kepada kenderaan ringan.

    Selain itu, empat laluan di Kuantan membabitkan tiga laluan yang ditutup kepada semua kenderaan ialah Laluan FT231 Seksyen 21.0, 29.0 dan 35 Jalan Sg Lembing, manakala Seksyen 16.0 Jalan Sg Lembing ditutup kepada kenderaan ringan.

    Di Bera, dua laluan yang ditutup kepada semua kenderaan iaitu Laluan C008 Seksyen 25.0 Sempadan Daerah Maran dan Laluan C118 Seksyen 13.8 Jalan Kemayan-Tembangau.

    Dua laluan di Pekan hanya ditutup kepada kenderaan ringan iaitu Laluan FT003 Seksyen 262.0 Jalan Kuantan-Endau dan Seksyen 262.0 Jalan Kuantan-Endau manakala di Temerloh hanya melibatkan satu laluan yang ditutup kepada kenderaan ringan iaitu Laluan C141 Seksyen 1.2 Jalan Paya Luas Perlok.

     
     
  • Aliran trafik dijangka bertambah sibuk di Pusat Pemeriksaan Singapura sempena Tahun Baharu Cina

    Aliran trafik dijangka bertambah sibuk di Pusat Pemeriksaan Singapura sempena Tahun Baharu Cina

    Jika anda mahu mengunjungi Singapura sempena cuti panjang hujung minggu ini iaitu menjelang sambutan Tahun Baharu Cina, sila rancang perjalanan pergi dan balik anda.

    Pihak Berkuasa Imigresen dan Pemeriksaan Singapura (ICA) menjangkakan penambahan aliran trafik akan berlaku di pusat pemeriksaan Tuas dan Woodlands antara hari ini hingga Selasa minggu hadapan, laporan Bernama.

    Menurut agensi terbabit, kira-kira 400,000 orang akan menggunakan dua pusat pemeriksaan itu sehari dan jumlah ini dijangka bertambah hingga 430,000 orang semasa waktu puncak.

    Pastinya hal ini juga akan membabitkan pintu masuk negara menerusi Johor sama ada di Link Kedua atau pun Tambak Johor, di mana aliran trafik juga dijangka meningkat di kedua-dua laluan terbabit. Jadi, jangan lupa untuk merancang perjalanan anda sekiranya bercadang untuk memasuki Singapura pada cuti Tahun Baharu Cina ini.

     
     
  • SPAD perhebat operasi ketika Tahun Baharu Cina

    SPAD perhebat operasi ketika Tahun Baharu Cina

    Semasa musim cuti sambutan Tahun Baharu Cina yang dijangka bakal mengalami pertambahan perjalanan pada terminal bas, lapangan terbang, pusat bandar dan lebuh raya, Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) akan memperhebatkan penguatkuasaan termasuk memburu ‘ulat tiket’ dan memeriksa dokumen di terminal bas, lapor Bernama.

    Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nancy Shukri, SPAD turut akan menjalankan operasi secara menyamar dan rondaan di lokasi terpilih bagi memantau pematuhan keselamatan oleh bas ekspres serta kelakuan pemandu.

    SPAD bersama agensi penguatkuasaan lain seperti Jabatan Pengangkutan Jalan dan Polis Diraja Malaysia telah pun memulakan operasi bersama khas Tahun Baharu Cina dalam usaha mencegah nahas jalan raya semasa perayaan, bermula 21 Jan hingga 5 Feb dan merangkumi operasi 24 jam yang akan dijalankan dari 27 Jan hingga 1 Feb.

    Nancy turut menyatakan, dalam tempoh tiga hari operasi khas tersebut, sebanyak 27 kes dikesan termasuk penangkapan seorang ‘ulat tiket’ dan sebanyak 383 kenderaan diperiksa serta lapan pegawai penguat kuasa telah melakukan samaran dalam empat perjalanan bas ekspres.

    “Kerajaan mengingatkan pengusaha pengangkutan awam darat dan pemandu bas yang mereka mempunyai peranan penting dalam mempertingkat tahap keselamatan penumpang yang mereka bawa,” katanya. “Selain itu, pengusaha juga harus pastikan pemandu bas masing-masing mematuhi had laju pada setiap masa,” ujar beliau dan menegaskan kerajaan tidak akan teragak-agak mengenakan hukuman maksimum kepada pengusaha pengangkutan awam darat yang melanggar peraturan itu.

     
     
  • JPJ senarai hitam 1,400 pemilik kenderaan yang gagal menyelesaikan saman dan kompaun trafik tertunggak

    JPJ senarai hitam 1,400 pemilik kenderaan yang gagal menyelesaikan saman dan kompaun trafik tertunggak

    Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) meminta bantuan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk menyenarai hitamkan sejumlah 1,400 pemilik kenderaan yang gagal menyelesaikan kompaun trafik tertunggak.

    Menurut Datuk Bandar Petaling Jaya Datuk Mphd Azizi Mohd Zain, langkah drastik ini adalah bagi mengambil tindakan terhadap individu yang enggan membayar saman atau kompaun trafik biarpun telah dikeluarkan surat peringatan dan amaran, laporan The Sun.

    “Apabila disenarai hitamkan, mereka tidak boleh memperbaharui cukai jalan atau insurans kenderaan, melainkan telah menyelesaikan saman dan kompaun tertunggak itu, sama ada dari majlis penguatkuasaan tempatan atau polis,” ujar Mohd Azizi dalam taklimat mengenai laporan penguatkuasaan untuk 2016.

    Statistik dari laporan tersebut menyebut, sebanyak 203,763 kompaun dikeluarkan pada tahun lalu, di bawah Perintah Pengangkutan Jalan (PPJ). Selain itu, sebanyak 308,985 kompaun pula dikeluarkan di bawah Bayar dan pamer (PND), sementara 4,382 kenderaan telah ditarik oleh majlis bandaraya serta 2,988 lagi telah dikunci tayarnya (clamp).

    Menurut Mohd Azizi, tindakan penguatkuasaan tersebut diambil adalah sejajar dengan enakmen dan undang-undang berkaitan kesalahan yang dilakukan.

     
     
  • Angka kuasa Ford GT didedahkan – 3.5 liter EcoBoost V6, 647 hp/746 Nm, lebih laju dari McLaren 675LT

    Angka kuasa Ford GT didedahkan – 3.5 liter EcoBoost V6, 647 hp/746 Nm, lebih laju dari McLaren 675LT

    2017 Ford GT

    Setelah unit permulaannya mula keluar dari barisan produksi hujung tahun lalu, Ford kini mendedahkan pula perincian paling penting pada supercar berkenaan iaitu kuasa kuda dan torknya.

    Menurut Ford, enjin 3.5 liter EcoBoost V6 yang diletakkan di bahagian tengah kerangka GT berkenaan mampu menghasilkan kuasa kuda 647 hp dan tork maksima 746 Nm. Dakwa Ford lagi, lengkok kuasa enjin tersebut juga mampu menjana 90% tork maksimanya hanya pada takat 3,500 rpm serta mampu mencatatkan kelajuan maksima 348 km/j.

    Enjin V6 tersebut juga merupakan enjin Ecoboost produksi paling berkuasa pernah dihasilkan Ford, dan model GT ini juga merupakan “kereta produksi paling pantas yang menggunakan lencana Blue Oval (logo Ford)”. Berat keseluruhan GT ini ditimbang hanya 1,360 kg, membolehkan nisbah berat kepada kuasa berada pada sekitar 2.1 kg/hp.

    Angka kuasa Ford GT didedahkan – 3.5 liter EcoBoost V6, 647 hp/746 Nm, lebih laju dari McLaren 675LT

    Ford GT diberikan sistem dinamik aktif sepenuhnya yang meliputi sistem aerodinamik dan juga sistem suspensi. Sistem berkenaan “direka untuk menjadikan kereta tersebut beraksi dengan downforce yang optimum, seretan dan imbangan pada apa jua kelajuan, mewujudkan larasan yang paling laju tanpa mengharapkan kemahiran pemandu.”

    Menurut Ford lagi, mereka telah membawa Ford GT ini untuk diuji dan ditala di Calabogie Motorsports Park, Kanada, dan turut membawa McLaren 675LT dan Ferrari 458 Speciale sebagai sebahagian dari ujian pembangunan 2016.

    Kedua-dua pesaing tersebut disediakan dengan semua bendalir ditukar baharu, set-set tayar baharu serta talaan suspensi paling optimal dilakukan sebelum di pandu oleh seorang pemandu yang sama, bagi mendapatkan prestasi terbaik. Hasil akhir ujian talaan tersebut menyaksikan Ford GT mencatatkan lap terpantas 2:09.8, satu saat lebih pantas berbanding McLaren dan 3.1 saat lebih laju dari Ferrari.

    Angka kuasa Ford GT didedahkan – 3.5 liter EcoBoost V6, 647 hp/746 Nm, lebih laju dari McLaren 675LT

    “Jangkaan kami sentiasa memandang EcoBoost V6 akan memberikan prestasi yang baik pada Ford-GT – dalam aspek kuasa serta kecekapan aerodinamik. Kami menguji dan membangunkan unit janakuasa ini menerusi jentera perlumbaan Prototaip Daytona yang berlumba dalam IMSA untuk dua musim, musim terakhir berlumba dengan Ford GT. Kami sangat berpuas hati dengan bagaimana ia beraksi, pada litar dan pada jalan raya,” kata Dave Pericak, pengarah global Ford Performance.

    “Ford GT adalah semua berkenaan prestasi. Kami mencapai pengurangan berat yang banyak dengan binaan gentian-karbon. Kami kemudiannya menterjemahkan pengurangan berat berkenaan kepada aspek yang penting – prestasi, pengkhususan, dinamik aktif. Hasilnya ialah kereta yang lebih laju,” kata Raj Nair, Naib Presiden eksekutif pembangunan produk global dan ketua pegawai teknikal Ford.

    Model asal Ford GT (dikenali sebagai Ford GT40) ini adalah kereta lumba berenjin tengah yang dibina oleh Ford untuk perlumbaan Le Mans 24 Jam dan memenangi perlumbaan tersebut empat tahun berturut-turut dari tahun 1966 hingga tahun 1969. Kemenangan berkenaan diulangi semula pada perlumbaan Le Mans tahun lalu, tepat 50 tahun selepas kemenangan besar 1-2-3 yang diraih pada tahun 1966.

    GALERI: Ford GT di Geneva


    GALERI: Ford GT untuk perlumbaan Le Mans

     
     
  • Sindiket kenderaan mewah klon lumpuh – Polis rampas 33 unit di sekitar ibu negara sejak 2015

    Sindiket kenderaan mewah klon lumpuh – Polis rampas 33 unit di sekitar ibu negara sejak 2015

    Polis DiRaja Malaysia (PDRM) berjaya merampas sebanyak 33 buah kenderaan mewah klon bernilai RM3 juta dalam Ops Lejang Khas di sekitar ibu negara sejak 2015 hingga tahun lepas. Malah seramai 33 individu berusia antara 25 hingga 40 tahun iaitu pemilik kereta klon berkenaan turut ditahan.

    Menurut Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Mohd Sukri Kaman, antara kenderaan yang dirampas ialah jenis BMW, Mercedes-Benz dan Mini Cooper, laporan Bernama.

    “Pembeli kereta ini tertarik dengan harga yang ditawarkan penjual kerana harga kereta mewah klon jauh lebih murah daripada harga pasaran. Sindiket menjual kenderaan mewah ini pada harga antara RM20,000 hingga RM30,000 sebuah, mana ada orang jual kereta BMW dengan harga murah, mesti ada yang tidak kena dengan kenderaan ini,” katanya kepada pihak media.

    Beliau turut berkata pihaknya masih mengesan sindiket yang bertanggungjawab menjual kenderaan klon ini kepada orang ramai.

    “Sindiket ini aktif mengiklankan kenderaan klon di internet dan juga menerusi laman sosial. Polis percaya ada antara kenderaan ini menggunakan nombor pendaftaran dan cukai jalan yang sah,” ujarnya lagi.

    Mohd Sukri berkata sindiket terbabit dipercayai membawa masuk kenderaan klon daripada negara jiran sebelum kenderaan itu dilupuskan di negara tersebut, dan dijual dengan harga lebih murah di negara ini.

    Kes itu disiasat mengikut Seksyen 29 (1) Akta Kesalahan Kecil 1955 yang jika sabit kesalahan denda maksimum RM1,000 atau penjara tidak melebihi setahun atau kedua-duanya.

     
     
  • DBKL akan mengunci tayar kenderaan yang tidak membayar caj parkir walau diletakkan secara betul

    DBKL akan mengunci tayar kenderaan yang tidak membayar caj parkir walau diletakkan secara betul

    Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah mengeluarkan kenyataan media sebagai respons kepada Kee Thuan Chye, dengan memaklumkan bahawa hanya individu yang meletakkan kenderaan mereka tanpa membuat pembayaran parkir bakal dikenakan tindakan termasuk mengunci tayar kenderaan (clamped) tersebut, biarpun ia diletakkan secara betul.

    Menurut pengawa perhubungan media DBKL Hassan Azhari Abu Bakar, ini merupakan sebahagian sistem baharu yang dikuatkuasakan sejak September tahun lalu. Beliau turut menambah sistem baharu ini membolehkan pemilik kenderaan membayar caj parkir menerusi mesin yang disediakan tanpa perlu memaparkan kupon pembayaran pada kenderaan mereka, memandangkan ia telah direkodkan oleh sistem terbabit, laporan The Sun.

    “Pegawai penguatkuasa kami juga akan melakukan rondaan dan memeriksa plat pendaftaran kenderaan. Jika pemiliknya sudah membuat bayaran, tanpa meletakkan kupon pada kereta, sistem berkenaan masih dapat mengesahkan pembayaran sudah dilakukan dan kenderaan berkenaan tidak akan dikunci,” ujarnya.

    Pada Isnin lalu, Kee telah memuatkan entri menerusi akaun Facebook miliknya dan berkata DBKL akan mengunci kenderaan yang tidak memaparkan kupon pembayaran caj parkir biarpun diparkir secara betul, malah saman juga akan dikeluarkan.

    DBKL akan mengunci tayar kenderaan yang tidak membayar caj parkir walau diletakkan secara betul

    Dalam entrinya tercatat, “pelaksanaan mengunci sepatutnya dilakukan bagi sesiapa yang memarkir secara tidak sah di kawasan yang mempunyai papan amaran berkenaan. Tiada amaran mengunci kenderaan untuk mereka yang tidak membeli/memaparkan tiket parkir.”

    Sejak itu, Kee turut menyatakan (pada hari Selasa) bahawa walau pun ia merupakan satu kesalahan apabila pemilik kenderaan tidak membayar caj parkir, namun tidak sepatutnya tayar kenderaan mereka dikunci (walau terdapat sistem baharu tanpa tiket). Katanya lagi, DBKL sepatutnya menyediakan notis amaran lebih awal bahawa pemilik kenderaan yang tidak membayar caj parkir, kenderaan mereka boleh dikunci.

    Sebelum ini, bekas Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Mhd Amin Nordin Abd Aziz berkata, DBKL tiada pilihan untuk mengunci tayar kenderaan yang diparkir secara salah dan menghalang trafik. Katanya lagi, “Ada lebih 120,000 kompaun dikeluarkan setiap bulan tetapi masih ramai yang enggan membayarnya. Kami tidak mempunyai pilihan, melainkan mengambil tindakan yang sewajarnya.”

     
     
  • JPJ sasar penguatkuasaan 7 kesalahan pada CNY ini

    JPJ sasar penguatkuasaan 7 kesalahan pada CNY ini

    Bermula Sabtu, 28 Januari ini sehingga 5 Februari hadapan, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan mengadakan Operasi Bersepadu Tahun Baharu Cina (CNY) dengan mensasarkan tujuh kesalahan utama pemandu.

    Menurut Ketua Pengarah Pengangkutan Jalan Datuk Seri Nadzri Siron, tujuh kesalahan itu melibatkan memandu di lorong kecemasan, memandu di lorong kanan secara berterusan bagi kenderaan berat, menggunakan telefon bimbit ketika memandu, tidak memakai tali pinggang keledar, gagal mematuhi lampu isyarat, memotong di garisan berkembar dan memandu melebihi had laju, laporan Bernama.

    “Mereka yang melakukan kesalahan tersebut akan terus disaman dan dibawa ke mahkamah untuk dibicarakan,” katanya semasa melancarkan operasi itu baru-baru ini.

    Beliau turut menegaskan bahawa pemandu yang bersalah boleh dikenakan denda maksimum RM2,000. Kecuali bagi kesalahan memandu di lorong kecemasan, pemandu yang melakukan enam jenis kesalahan lain sebelum ini hanya dikenakan kompaun RM300 dan peraturan itu dilihat tidak banyak mendidik pengguna mematuhi peraturan atau undang-undang yang dilaksanakan.

    “Sebelum ini ada kalangan pemandu beranggapan kompaun RM300 itu adalah kecil dan boleh dibayar sedangkan penetapan jenis kesalahan dibuat selepas mengambil kira perlakuan yang boleh menyumbang kepada berlakunya kemalangan,” katanya.

    JPJ sasar penguatkuasaan 7 kesalahan pada CNY ini

    Nadzri berkata tumpuan pemantauan bagi kesalahan itu akan dilakukan di 102 kawasan kerap kemalangan di jalan persekutuan, Projek Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) dan sepanjang Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT 2).

    Beliau berkata usaha mengurangkan kadar kemalangan sepanjang tempoh operasi juga diperhebatkan dengan meletakkan tujuh kamera keselamatan mudah alih atau ‘safety camera’ di tujuh lokasi sering berlaku kemalangan di Lebuhraya PLUS seperti di laluan Pagoh Utara dan Selatan, Kampar dan Kuala Muda, keduanya-duanya menghala Selatan.

    Lokasi lain ialah di LPT 2 arah Selatan dan Timur dan KM17 Jalan Gua Musang-Kuala Krai, Kelantan, katanya.

    Nadzri berkata bersempena operasi itu, pihaknya turut menguatkuasakan larangan kenderaan berat di lebuh raya pada 26, 27, 31 Jan dan 1 Feb kecuali lori yang membawa bahan bakar serta bahan makanan.

    Beliau berkata dalam memastikan sasaran mengurangkan 5% kadar kemalangan maut membabitkan kenderaan pengangkutan, motosikal dan kenderaan persendirian, jumlah anggota penguat kuasa telah ditambah kepada 2,000 orang berbanding 1,500 pada operasi sama tahun lepas.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.10
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.85 (-0.05)
EURO 5 B7 RM3.05 (-0.05)
Last Updated Aug 21, 2025