Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Polis Terengganu berjaya catat pengurangan kematian akibat kemalangan jalan raya sepanjang Op Selamat 10

    Polis Terengganu berjaya catat pengurangan kematian akibat kemalangan jalan raya sepanjang Op Selamat 10

    Sepanjang 10 hari Op Selamat ke-10 sempena dengan Tahun Baharu Cina yang dilancarkan sejak 21 Januari lalu, polis Terengganu berjaya mengurangkan kadar kemalangan maut di negeri tersebut.

    Menurut Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Terengganu, Supt Abd Razak Hassa, angka kematian jalan raya menunjukkan penurunan dengan hanya enam kematian direkodkan dalam tempoh berkenaan berbanding 11 kematian bagi tempoh sama tahun lalu, laporan Bernama.

    “Jumlah kematian menunjukkan penurunan dan majoriti kemalangan ini melibatkan penunggang motosikal khususnya golongan remaja. Polis telah meningkatkan rondaan dan pemantauan di seluruh daerah dari Besut sehingga ke Kemaman termasuk di sepanjang laluan Lebuhraya Pantai Timur 2. Malah kita pecahkan pasukan rondaan di setiap jalan persekutuan dan lebuh raya, serta rondaan dilakukan secara berkala dengan melihat keadaan aliran serta pertambahan kenderaan,” ujarnya kepada pihak media.

    Katanya lagi, statistik kematian itu dapat dikurangkan selepas beberapa langkah pencegahan dilaksanakan terhadap pengguna jalan raya terutama penunggang motosikal khususnya golongan remaja pada operasi kali ini.

    “Seramai 100 pegawai dan anggota trafik terlibat dalam Op Selamat berkenaan. Bagi lokasi yang kerap berlaku kemalangan maut kita tempatkan pasukan statik sebelum bergerak ke lokasi seterusnya,” sambungnya.

     
     
  • GALERI: Kia Stinger dipamer di Australia Open 2017

    GALERI: Kia Stinger dipamer di Australia Open 2017

    Pada pertengahan Januari lalu, Kia telah memperkenalkan kereta sport empat-pintu terbaharunya yang diberi nama Kia Stinger 2018 di North America International Auto Show, Detroit. Stinger hadir dengan rekaan yang memukau, malahan diyakini mampu menarik perhatian peminat automotif yang menggemari kenderaan sebegini.

    Masih dalam proses pra-produksi, pada hujung minggu lalu, sempena dengan acara akhir Australia Open 2017 yang berlangsung di Melbourne, Australia, Kia yang bertindak sebagai salah satu penaja utama turut mempamerkan Stinger untuk tatapan umum. Malah kami yang turut diundang menghadiri perlawanan akhir antara Roger Federer dan Rafael Nadal, selepas memandu uji Kia Rio 2017, sempat melihat Stinger di hadapan mata. Memang ia cukup menarik hati.

    Mengadaptasi imej yang diambil dari model konsep Kia GT yang pernah diperkenalkan di Frankfurt Motor Show 2011, Stinger turut mengekalkan DNA reka bentuknya dengan berberapa perincian dirombak semula. Bahagian hadapannya nampak lebih garang dengan gril “hidung harimau’ yang menjadi signatur model baharu Kia, malahan diapit dengan sepasang lampu berbentuk tirus.

    Selain itu, menyerlahkan lagi sifat sporty Stinger, ia turut menampilkan liang kemasukan udara pada bampar hadapan. Pada bahagian sisinya, rekaan Stinger masih mengekalkan tiang-C yang landai seperti Optima. Stinger turut diolah bagaikan sebuah kereta sport enjin hadapan pacuan roda-belakang (FR) sebenar dengan menampilkan bonet hadapan yang panjang.

    Ia turut ditampilkan dengan liang udara pada fender hadapan yang berfungsi mengalirkan udara dari liang udara hadapan, sekali gus memberikan kesan aerodinamik yang lebih baik. Bukan itu sahaja, Stinger turut dipadankan dengan pilihan rim bersaiz 18- dan 19-inci, dan sistem brek dari Brembo secara standard.

    Melewati bahagian belakangnya pula, ternyata imej yang diperagakan diadaptasi dari model konsep Kia GT. Dengan lampu belakang yang disambung kedua-duanya, serta dilanjurkan dengan jalur lampu pada bahagian sisi. Walau bagaimana pun, bagi model produksi ini, ia turut ditampilkan dengan diffuser belakang yang lebih kompleks, selain dua tip ekzos berkembar.

    Berbanding pesaing-pesaingnya termasuk BMW 4 Series Gran Coupe, Audi A4, Lexus IS dan Infiniti Q59, Stinger direka lebih panjang dan lebih lebar iaitu dengan ukuran 4,831 mm panjang dan juga 1,869 mm lebar. Jarak roda Stinger juga diukur lebih panjang dari Lexus GS serta Mercedes-Benz CLS dengan dimensi 2,905 mm.

    Manakala bahagian casisnya pula dibina dengan 55% keluli berkekuatan-tinggi yang lebih maju, memberikan pengendalian dan pemanduan yang lebih baik serta mengurangkan NVH. Sistem suspensi Topang McPherson diberikan pada bahagian hadapan dan juga sistem multi-link di bahagian belakang. Malah buat pertama kalinya, Kia turut memperkenalkan penyerap hentak boleh laras elektronik iaitu Dynamic Stability Damping Control.

    Penyerap hentak berkenaan memberikan lima mod talaan berbeza untuk Stinger, membolehkan pemandu memilih untuk menggunakan mod Eco, Sport, Comfort, Smart atau Personal. Kereta sport empat-pintu ini juga diberikan sistem stereng elektrik yang diletakkan pada rak, bagi memberikan respon stereng yang lebih baik serta mengurangkan gegaran yang tidak diperlukan.

    Stinger yang dipamerkan di Melbourne ini walau bagaimana pun tidak mempamerkan bahagian kabinnya dengan cermin tingkap yang gelap dan pintu pula berkunci. Jadi kami tidak berpeluang untuk mengintai rekaan dalamannya. Namun difahamkan, ia menampilkan panel meter analog berwarna dan turut memberikan informasi seperti daya-G semasa mengambil selekoh, rekod masa sepusingan di dalam litar dan juga suhu minyak enjin. Ia juga menampilkan roda stereng kulit tiga-jejari serta tempat duduk dengan opsyen balutan kulit Nappa.

    Selain itu, skrin infotaimen haptic tujuh-inci direka bersendirian di tengah papan pemuka, dan di bawahnya diberikan tiga liang penghawa dingin bahagian tengah berbentuk bulat. Tombol penukar gear berbentuk petak seperti tombol gear Mercedes-AMG A45 diberikan, diletakkan di atas konsol tengah yang direka agak tinggi.

    Stinger diberikan enam-pembesar suara dihubungkan kepada sistem infotaimen UVO secara standard, manakala model varian lebih tinggi dilengkapi sembilan-pembesar suara serta unit amplifier berasingan. Kia turut menawarkan sistem bunyi Harmann Kardon 720 W dengan 15-pembesar suara sebagai ciri opsyenal. Selain itu, model ini turut diberikan paparan head-up dan pad pengecas telefon pintar tanpa wayar dikonsol tengah.

    GALERI: Kia Stinger dipamer di Australia Open 2017

    Untuk keselamatan, Stinger dilengkapi dengan Bantuan Pelanggaran Hadapan (FCA) bersama brek kecemasan automatik, Bantuan Kekal Laluan (LKA), Advanced Smart Cruise Control (ASCC), Pengesan Titik Buta dan Amaran Lintasan Trafik Belakang (RCTA), dan juga sistem Amaran Perhatian Pemandu (DAA) yang buat pertama kali diperkenalkan oleh Kia.

    Untuk penjana kuasanya pula, Stinger didatangkan dengan dua enjin berbeza iaitu enjin 2.0 liter empat-slinder turbo berkuasa 255 hp pada takat 6,200 rpm serta tork maksima 353 Nm bermula 1,400 hingga 4,000 rpm. Serta enjin yang lebih berkuasa iaitu 3.3 liter turbo-berkembar V6 Lambda II dengan output 365 hp pada takat 6,000 rpm dan juga tork maksima 510 Nm bermula 1,300 hingga 4,500 rpm. Kia mensasarkan model dengan enjin V6 bakal memberikan pecutan 0-100 km/j dalam masa hanya 5.1 saat dan kelajuan maksima 269km/j.

    Kedua-dua enjin ini hanya akan dipadankan dengan kotak gear lapan-kelajuan automatik dari Optima K9, bersama pedal penukar gear serta torque converter jenis Centrifugal Pendulum Absorber (CPA) pertama dari Kia untuk mengurangkan getaran kilasan pada sistem transmisi. Pelanggan juga diberikan pilihan sama ada model pacuan belakang sepenuhnya dengan LSD mekanikal dibekalkan secara standard, atau model pacuan-semua roda dengan agihan tork lebih ke bahagian belakang bersama sistem Dynamic Torque Vectoring Control yang beroperasi bersama sistem brek.

    GALERI: Kia Stinger dipamer di Australia Open 2017

    Menurut Dato’ Samson Anand George, CEO Kumpulan, Kumpulan Automotif, Naza Corporation Holdings, yang turut serta dalam sesi lawatan tersebut sempat memberitahu kami, pihaknya amat berminat untuk membawa masuk Stinger ke pasaran Malaysia tahun hadapan.

    “Kia telah menjalani pelbagai revolusi drastik sejak sedekad ini, malahan barisan model baharunya dengan rekaan yang cukup bergaya dan selari dengan arus model masa kini, dilihat mampu membawa jenama ini lebih ke hadapan.

    Pengenalan Stinger ke pasaran global sangat kena pada masanya, iaitu pada ketika prestasi Kia kian meningkat, malah setanding dengan jenama global yang lain. Malahan, kami juga berminat untuk membawa masuk Stinger ke pasaran Malaysia kerana kami pasti ada permintaan terhadapnya,” ujar Dato’ Samson.

    GALERI: Foto rasmi Kia Stinger 2018

     
     
  • BMW 330e M Sport mula dijual pada harga RM258,800

    BMW 330e M Sport mula dijual pada harga RM258,800

    Kenderaan plug-in hybrid BMW 330e diperkenalkan kepada pasaran Malaysia pada bulan Ogos yang lalu, dan kini, versi dengan kit badan serta aksesori sport disediakan kepada orang ramai iaitu 330e M Sport.

    Asas kenderaan ini masih lagi sama, iaitu dipacu enjin 2.0 liter empat-silinder teknologi BMW TwinPower Turbo, motor elektrik dan kotak gear Steptronic lapan-kelajuan, mampu menghasilkan secara keseluruhannya 248 hp kuasa dan 420 Nm tork. Kuasa ini disampaikan kepada dua roda belakang.

    Cumanya, ia dijadikan lebih sporty dengan pakej kit badan M Aerodynamics, suspensi M Sport dan rim aloi ringan M bersaiz 18 inci. Pada bahagian depan 330e M Sport, terdapat gril double kidney BMW berwarna hitam berkilat dengan kerangka krom, manakala lampu utama serta lampu kabusnya pula mempunyai butiran unit LED.

    BMW 330e M Sport mula dijual pada harga RM258,800

    Menambahkan lagi keunikannya, pada bahagian tepi terdapat jalur BMW Individual berkilat dan logo M diletakkan pada panel sisi. Sistem Comfort Access juga disediakan secara standard untuk kenderaan ini.

    Elemen M Sport turut disuntik kepada bahagian dalam 330e, melihatkan jalur berwarna biru pada papan pemuka, stereng M pelbagai guna yang dibalut kulit bersama butang sport, kemasan bumbung BMW Individual berwarna hitam dan tempat duduk sports elektrik dengan fungsi memori untuk pemandu.

    Sebagai sebahagian daripada pakej fungsi BMW ConnectedDrive yang disediakan pada kenderaan ini, selain Park Assist yang boleh meletakkan kenderaan secara sendiri dan Navigation System Professional bersama paparan 3D beresolusi tinggi dan monitor bersaiz 8.8 inci, 330e M Sport turut dilengkapi perkhidmatan Intelligent Emergency Call, Teleservices, Concierge Services dan Remote Services dengan eDrive Services.

    Intelligent Emergency Call berfungsi membuat panggilan secara automatik dan menghantar bantuan dengan pantas jika berlaku kemalangan atau kecemasan, BMW Teleservices menghantar data yang relevan dengan servis secara automatik daripada kereta ke pusat servis BMW apabila tempoh servis semakin hampir manakala BMW Concierge Services adalah satu fungsi ‘pembantu peribadi’ yang boleh diaktifkan dengan hanya menekan satu butang.

    Bagi 330e M Sport, dalam fungsi Remote Services, ia akan ditambah dengan eDrive Services, yang membolehkan interaksi dengan kenderaan dibuat menerusi BMW Connected App pada peranti mudah alih, antaranya adalah menghidupkan sistem pendingin hawa kenderaan dari jauh, dan menyediakan status pengecasan bateri.

    BMW 330e M Sport ditawarkan dalam warna hitam (Black Sapphire), kelabu (Mineral Grey), biru (Estoril Blue) dan putih (Alpine White), pada harga RM258,800. Ini adalah harga di atas jalan, tidak termasuk insurans, bersama jaminan perbatuan tanpa had selama 5 Tahun, servis berjadual percuma dan program jaminan tayar BMW.

    Anda boleh melihat lebih lanjut berkenaan BMW 330e M Sport dan membandingkannya dengan kenderaan lain di www.carbase.my.

     
     
  • BMW 118i M Sport kini di Malaysia – harga RM189k

    BMW 118i M Sport kini di Malaysia – harga RM189k

    BMW Malaysia hari ini memperkenalkan varian terbaru model BMW 118i M Sport, selain BMW 330e M Sport, sempena kempen Tahun Baru Cina yang sedang berlangsung di semua pengedarnya kini. Apa yang membezakan varian terbaru ini dengan yang sebelumnya?

    Bagi BMW 118i M Sport, ia ditawarkan dengan kelengkapan pakej M Aerodinamics, sistem suspensi M Sport serta rim aloi ringan M saiz 18 inci yang memberikan kesegaran dari aspek penampilannya. Gril double kidney dalam warna hitam dan lingkaran luar krom melengkapi imej sporty yang ada padanya.

    Turut disertakan sebagai tambahan ialah jalur BMW Individual serta logo M pada panel sisi juga membantu menyerlahkan kelainan yang dibawa. Bakal memasuki pasaran pada 13 Februari nanti, BMW 118i tidak hanya diberi sentuhan baru yang lebih segar di bahagian luar – ruang kabinnya juga menerima pembaharuan.

    BMW 118i M Sport kini di Malaysia – harga RM189k

    Kemasan jalur biru pada papan pemuka merupakan antara pertambahan elemen yang paling ketara bagi versi M Sport ini. Ini digandingkan pula dengan penggunaan stereng M Sport balutan kulit, yang turut dilengkapi dengan butang kendalian pelbagai fungsi.

    Dari segi mekanikalnya, 118i ini kekal sama seperti model yang diperkenalkan sebelum ini untuk pasaran tempatan. Ia menggunakan enjin 1.5 liter, tiga-silinder turbocaj yang turut digunakan pada model 318i. Bagi model 1 Series ini, ia menjana 136 hp pada 4,400rpm dan 220 Nm tork dari 1,250 rpm hingg 4,300 rpm.

    BMW 118i M Sport turut menawarkan fungsi Remote Services sebagai satu ciri standard. Model ini didatangkan dengan pakej jaminan lima tahun tanpa had, servis berjadual percuma serta program jaminan tayar BMW dan dijual pada harga RM188,800. Ia hadir dalam empat warna – Black Sapphire, Mineral Grey, Estoril Blue dan Alpine White.

    Untuk maklumat lanjut berkenaan BMW 118i M Sport, sila layari laman carbase.my.

     
     
  • Honda City facelift 2017 kini dibuka untuk tempahan

    Honda City facelift 2017 kini dibuka untuk tempahan

    Baharu sahaja dilancarkan untuk pasaran Thailand hampir tiga minggu lalu, dan dikesan sedang diuji di Putrajaya dua minggu lepas, hari ini Honda Malaysia secara rasmi membuka tempahan untuk pembelian Honda City generasi keempat (GM6) versi facelift.

    Perubahan paling ketara untuk City facelift ini tentulah pada mukanya, yang diberikan Solid Wing Face dengan bar krom yang lebih tebal dan menonjol pada gril hadapan, diapit dengan sepasang lampu utama baharu, menjadikan rupanya seakan Civic vers lebih kecil. Bampar hadapan turut dikemaskini dengan perumah lampu kabus yang lebih pendek serta gril bawah yang lebih lebar.

    Untuk varian tertinggi V, ia bakal menerima lampu hadapan LED bersama lampu nyalaan siang jalur LED bina dalam serta lampu kabus LED baharu, spoiler but ducktail dengan lampu brek ketiga LED bina dalam serta rekaan roda aloi dua-tona baharu. City V juga turut dibekalkan dengan kamera undur pelbagai sudut.

    Honda Malaysia juga mengumumkan, semua varian City facelift, termasuk varian paling rendah bakal diberikan sistem kunci pintar dengan butang penghidup enjin. Sistem keselamatan dan elektronik lain seperti Bantuan Stabiliti Kenderaan (VSA), Bantuan Mula Mendaki (HSA) dan juga Isyarat Berhenti Kecemasan (ESS) juga masih kekal untuk semua varian. Enam-beg udara turut kekal sebagai ciri untuk varian V sahaja (hanya dua untuk varian lain).

    Tiada perubahan mekanikal ditampilkan dimana City masih dijana enjin 1.5L SOHC i-VTEC berkuasa 120 PS pada takat 6,600 rpm dan tork maksima 145 Nm pada takat 4,600 rpm yang digandingkan dengan sistem transmisi CVT. Honda Malaysia juga masih belum mengumumkan tarikh rasmi pelancarannya (hanya menyatakan pada suku pertama tahun ini, bermaksud sebelum akhir bulan Mac), begitu juga perincian berkenaan harga.

    GALERI: Honda City facelift pasaran Thailand

     
     
  • Honda S2000 generasi baharu bakal muncul pada 2018 – 2.0 liter supercharge dan turbo, berkuasa 320 hp

    Honda S2000 generasi baharu bakal muncul pada 2018 – 2.0 liter supercharge dan turbo, berkuasa 320 hp

    Honda dikhabarkan bakal memperkenalkan jelmaan semula roadster S2000 menjelang tahun 2018 nanti, lapor Car And Driver. Setakat ini, Honda telah membina kereta sport Kei berenjin tengah 660 cc – Honda S660 – yang hanya dijual untuk pasaran Jepun, manakala supercar hibrid NSX dijual dengan jenama Acura di Amerika. Jadi, ada satu ‘lohong’ yang kosong untuk kereta sport bersaiz kecil bagi pasaran yang cukup berpotensi itu.

    Oleh itu, sumber dalaman Honda memberitahu portal berkenaan, Honda akan membina sebuah model antara S660 dan juga NSX, bagi memberikan produk kepada pengedar Honda di Amerika. Pada tahun 1998, Honda telah memperkenalkan S2000 AP1 sebagai meraikan ulang tahun ke-50 mereka, manakala pada tahun 2018, S2000 generasi baharu dijangka bakal muncul bagi meraikan ulang tahun ke-70 jenama dari Jepun berkenaan.

    Sebelum ini, ada khabar angin mengatakan S2000 generasi seterusnya bakal dikuasakan dengan enjin 2.0 liter VTEC Turbo dari Civic Type-R. Tetapi sumber tersebut mengatakan “Enjin 2.0 liter turbo dari Type-R memang hebat, tapi menjelang 2018 nanti ia telah pun menjadi cerita lama. Kami perlu lebih kehadapan. Sebagai model untuk meraikan ulang tahun, kereta sport tersebut perlu istimewa, jadi ia perlukan unit janakuasa baharu dan juga casis yang unik.”

    Laporan dari majalah Jepun Holiday Auto ada menyatakan S2000 generasi baharu bakal menggunakan enjin dengan dua sistem induksi paksaan yang beroperasi dalam dua peringkat. Sistem berkenaan adalah hampir seiras dengan sistem yang dibangunkan oleh Mitsubishi, menggunakan supercharger elektrik untuk menghilangkan turbo-lag, kemudian disambung oleh pengecas turbo konvensional bagi mendapatkan kuasa puncak.

    Sistem berkenaan bukan sahaja lebih kompak dan ringan, malah ia turut lebih efisien dan juga mampu memberikan respon pendikit yang lebih baik dan tajam. Enjin empat silinder 2.0 liter berkenaan tetap akan dipasang menegak kebelakang seperti model sedia ada, dengan jangkaan bekalan kuasa sekitar 320 hp. Ia bakal memacu roda belakang menerusi kotak gear klac berkembar lapan-kelajuan.

     
     
  • KTM akan kenakan denda RM100 bagi penumpang ETS, keretapi antara bandar yang tiada tiket sah

    KTM akan kenakan denda RM100 bagi penumpang ETS, keretapi antara bandar yang tiada tiket sah

    Bermula 1 Mac, Keretapi Tanah Melayu (KTM) menegaskan, penumpang yang menggunakan perkhidmatan keretapi antara bandar dan Electric Train Service (ETS) akan dikenakan denda RM100 jika didapati menaiki keretapi tanpa tiket sah, lapor Bernama.

    Menurut KTM, denda itu akan dikuatkuasakan di bawah Seksyen 117(9) dan 117(10) Akta Pengangkutan Awam Darat 2010, dan merupakan langkah untuk mendidik penumpang dan orang awam, bagi memastika mereka membeli tiket sebelum menaiki keretapi.

    Tiket yang sah sangat penting kepada penumpang, tidak hanya untuk keselesaan, tetapi juga untuk keselamatan mereka kerana ia merangkumi perlindungan insurans sekiranya apa-apa menimpa mereka ketika dalam perjalanan dengan perkhidmatan berkenaan.

    Penumpang yang ingin menggunakan perkhidmatan keretapi antara bandar serta ETS boleh membeli tiket di kaunter KTM atau secara atas talian melalui laman www.ktm.com.my dan KTMB MobTicket atau melalui agen yang dilantik oleh KTM.

     
     
  • VIDEO: Polis siasat pemilik kenderaan yang dilanggar keretapi – bakal disaman jika disabit kesalahan

    Ketua Polis Daerah Klang Selatan, ASP Alzafny Ahmad telah mengesahkan pihaknya sedang menjalankan siasatan berhubung kes seorang lelaki yang meletakkan kenderaannya di landasan keretapi di Jalan Pelabuhan Selatan baru-baru ini, semata-mata mahu mengejar feri untuk ke Pulau Ketam bagi meraikan Tahun Baharu Cina di sana.

    Katanya lagi, jika disabit kesalahan, lelaki berusia 56 tahun ini boleh dikenakan saman atau penalti antara RM1,000 dan RM5,000, dan kes tersebut sedang disiasat polis di bawah Seksyen 48 Akta Pengangkutan Jalan, laporan The Sun.

    “Sewaktu kejadian tersebut, polis bantuan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) telah berusaha untuk menghubungi pemilik kenderaan berkenaan namun gagal. Lantas kakitangan KTMB dengan bantuan orang ramai telah bekerjasama mengalihkan kenderaan terbabit apabila sebuah keretapi dijadualkan lalu pada jam 1 tengahari,” ujar Alzafny.

    Menurutnya, usaha untuk mengalihkan kenderaan terbabit tidak begitu berjaya memandangkan ada beberapa kenderaan yang turut diletakkan di kawasan berkenaan. Dan apabila keretapi tiba pada jam 1 tengahari, ia telah merempuh dan menyebabkan kerosakan di bahagian belakang kenderaan berkenaan.

    Walau bagaimana pun, pemandu keretapi terbabit telah pun membuat laporan polis selepas insiden terbabit berlaku.

    Alzafny turut berkata, pemilik kenderaan terbabit hanya menyedari insiden tersebut sejurus kembali dari Pulau Ketam pada jam 4 petang hari yang sama.

    Klip video berdurasi 2 minit 7 saat berhubung insiden ini yang dirakamkan oleh saksi pada Isnin lalu, telah pun menjadi tular (viral) di Facebook. Ia menunjukkan bagaimana pemandu keretapi terbabit cuba untuk melepasi lokasi dengan pergerakan yang sangat perlahan untuk tidak menyebabkan lebih banyak kerosakan pada kenderaan berkenaan.

    Pengajaran di sini ialah jangan sesekali mementingkan diri sendiri dengan meletakkan kenderaan sesuka hati di merata tempat sehingga menyusahkan pihak lain.

     
     
  • Harga bahan api Februari 2017 – petrol RON95 dan RON97 naik 20 sen, manakala diesel pula naik 10 sen

    Harga bahan api Februari 2017 – petrol RON95 dan RON97 naik 20 sen, manakala diesel pula naik 10 sen

    Kini semuanya terjawab dan khabar angin yang bertiup sebelumnya juga hampir tepat; harga semua bahan api bagi Februari 2017 akan naik menjadi lebih mahal berbanding bulan Januari lalu. Bermula tengah malam ini, petrol RON95 naik 20 sen, dan akan dijual pada harga RM2.30 seliter. Sama juga dengan RON97 yang juga dinaikkan 20 sen kepada RM2.60 seliter.

    Bagi bahan api diesel pula, ia tetap naik 10 sen, dan dijual pada harga RM2.15 sementara bagi diesel Euro 5 harganya ialah RM2.25 seliter. Dengan pengumuman ini, nampak gayanya harga bahan api di Malaysia meneruskan trend kenaikan harga bagi dua bulan pertama 2017 ini.

    Harga terendah yang dicatatkan setakat ini ialah pada September 2016, dengan RON95 dijual pada harga RM1.70 seliter, sementara RON97 pula pada kadar RM2.05 seliter. Kali terakhir harga bahan api turun ialah pada Disember 2016, sebanyak lima sen.

     
     
  • Khabar angin harga bahan api akan naik tidak berasas

    Khabar angin harga bahan api akan naik tidak berasas

    Persatuan Pengedar Petrol Malaysia (PDAM) menyangkal khabar angin yang beredar di laman media sosial, yang menyatakan bahawa harga bahan api akan naik, adalah tidak benar. Ketua PDAM, Datuk Khairul Annuar Aziz berkata mesej berkenaan yang menyatakan harga RON 95 akan naik 15 sen, naik 5 sen bagi RON 97 dan naik 20 sen bagi diesel adalah tidak berasas.

    “Harga bahan api sebenar bagi Februari akan diumumkan malam ini selepas jam 8 malam. Ya, ia mungkin naik, tetapi itu bergantung kepada kerajaan,” jelas beliau, memetik laporan NST Online hari ini. Mesej yang dimaksudkan menjadi viral beberapa jam sebelum pengumuman rasmi dibuat.

    Ia diumumkan pada hari pertama setiap bulan, berkuatkuasa pada 12am. Pada Januari, RON95 dijual pada harga RM2.10 seliter, RON97 pada RM2.40 seliter dan disel pada RM2.05 seliter. Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) telah menggunakan sistem apungan untuk menentukan harga bahan api di Malaysia sejak 1 Disember 2014, berikutan pemansuhan subsidi bahan api berkenaan.

     
     
  • Honda dan General Motors jalin kerjasama untuk bina kilang pengeluaran hydrogen fuel cell kenderaan

    Honda dan General Motors jalin kerjasama untuk bina kilang pengeluaran hydrogen fuel cell kenderaan

    Honda dan General Motors (GM) menunjukkan minat penuh kepada kenderaan yang dipacu oleh enjin hydrogen fuel cell apabila kedua-duanya menjalin kerjasama untuk membina sebuah pusat pengeluaran fuel cell generasi baharu di Detroit, dengan jumlah pelaburan sebanyak 85 juta USD.

    Kilang ini dijangka memulakan operasi pada tahun 2020 dan ia akan berada bersama di dalam kilang pengeluaran pek bateri GM yang sudah beroperasi sejak tahun 2009, mengeluarkan bateri untuk model seperti Chevrolet Volt, Spark EV dan Cadillac ELR. Pada masa ini, kilang tersebut menggunakan khidmat 120 orang pekerja dan apabila operasi hydrogen fuel cell ini bermula, ia akan menambah 100 lagi pekerja.

    “Dalam masa tiga tahun yang lalu, jurutera daripada Honda dan GM telah bekerja bersama dalam satu pasukan untuk menyumbangkan pengetahuan masing-masing dalam kepakaran membina sistem fuel cell generasi baharu yang kompak dan kos rendah,” kata ketua pegawai operasi Honda Motor Co Ltd bahagian Amerika Utara, Toshiaki Mikoshiba.

    Honda dan General Motors jalin kerjasama untuk bina kilang pengeluaran hydrogen fuel cell kenderaan

    Beliau juga menyatakan bahawa kerjasama dalam pengeluaran hydrogen fuel cell ini akan membantu kedua-dua syarikat memberikan lebih nilai kepada pengguna kenderaan yang dikuasakan oleh enjin jenis ini di masa hadapan.

    Sebagai tambahan kepada langkah untuk memajukan lagi prestasi sistem fuel cell tersebut, GM dan Honda juga akan bekerjasama untuk mengurangkan kos pembangunan dan pengeluaran melalui skala ekonomi dan mengambil sumber dari pihak yang sama. Dua syarikat ini juga akan membantu kerajaan dan pihak lain untuk membangunkan infrastruktur pengisian semula serta penerimaan pengguna terhadap enijn fuel cell ini.

     
     
  • Toyota bakal tutup kilangnya di Australia Oktober tahun ini setelah 54 tahun memproduksi kenderaan

    Toyota bakal tutup kilangnya di Australia Oktober tahun ini setelah 54 tahun memproduksi kenderaan

    Toyota Australia akhirnya mengumumkan tarikh akhir kilangnya di Altona beroperasi – 3 Oktober 2017, menamatkan 54 tahun operasi pemasangan tempatan mereka untuk pasaran tersebut.

    Sehingga tarikh berkenaan, kilang itu masih lagi beroperasi dalam syif penuh pagi dan petang bagi memastikan sasaran untuk menghasilkan 61,000 kenderaan setahun tercapai. Dari jumlah keseluruhan tersebut, 26,600 unit adalah untuk pasaran tempatan, manakala 34,000 lagi adalah untuk dieksport.

    Sebagai sebahagian dari proses penutupan, kilang berkenaan akan mula menghentikan produksi Aurion pada Ogos, Camry Hybrid akan ditamatkan pada September, manakala yang terakhir adalah Camry Petrol yang akan dihentikan pada Oktober.

    Presiden Toyota Australia Dave Buttner sekali lagi menegaskan komitmen syarikatnya untuk terus menyokong pekerjanya yang terjejas sewaktu tempoh peralihan dan selepas itu.

    “Kami masih berbangga dengan sejarah pembuatan kami yang kaya yang kini beroperasi lebih dari 50 tahun. Pekerja kami komited untuk menghasilkan kenderaan dengan kualiti tertinggi serta kami berusaha kearah sasaran kami iaitu ‘kereta terakhir = kereta global terbaik,” kata Buttner.

    Setelah kilang berkenaan ditutup, keseluruhan operasi Toyota Australia akan disatukan dan dipindahkan dari Sydney ke Melbourne. Hasil dari penutupan dan penyatuan operasi ini, kakitangan Toyota Australia akan berkurangan kepada sekitar 1,300 orang berbanding jumlah asal sekitar 3,900 orang.

    Toyota Australia mula membuka kilang produksi mereka pada tahun 1963 menerusi kilang mereka di Port Melbourne, Victoria. Operasi pemasangan tempatan tersebut kemudiannya berpindah ke Altona pada tahun 1994.

    Selain dari Toyota, Ford juga telah menutup kilangnya di Australia pada tahun lalu setelah beroperasi selama 91 tahun. Manakala jenama jati dari Australia sendiri – Holden – telah menutup kilang enjinnya pada November lalu, dan bakal menutup seluruh operasinya pada tahun ini.

     
     
  • Yamaha FZ250 dilancar di India – harga RM7,797

    Yamaha FZ250 dilancar di India – harga RM7,797

    Selepas mengeluarkan gambar teaser, Yamaha India akhirnya melancarkan model naked FZ250 untuk pasaran di sana. Ini adalah pelancaran pertama bagi FZ250, namun ia sebelum ini pernah dipertontonkan di Brazil, dan mungkin akan dilancarkan juga di sana tidak lama lagi.

    FZ250 menggunakan enjin BLUE CORE satu silinder 249 cc SOHC berpenyejukan udara yang dipadankan bersama transmisi lima kelajuan dan ia mampu menghasilkan sehingga 20.9 hp pada 8,000 rpm dan 20 Nm pada 6,000 rpm. Enjin ini menggunakan sistem suntikan bahan api.

    Kuasa yang dihasilkan dapat dinikmati dalam satu pakej motosikal yang lincah kerana FZ250 mempunyai berat hanya 148 kg dan ergonomik yang disediakan memudahkan penunggang mengawal motosikal.

    Yamaha FZ250 dilancar di India – harga RM7,797

    Untuk bahagian depan, FZ250 menggunakan kombinasi fork teleskopik 41 mm, brek cakera 282 mm, rim 17 inci dan tayar bersaiz 100/80 manakala di belakang pula terdapat lengan ayun bersama penyerap monoshock, brek cakera 220 mm, rim 17 inci dan tayar bersaiz 140/70. Motosikal ini walaubagaimanapun tidak dilengkapi dengan ABS dan model yang mempunyai ciri itu mungkin akan diperkenalkan pada masa hadapan.

    Motosikal yang akan memberi saingan kepada model seperti KTM Duke 200, Mahindra Mojo, Bajaj Pulsar NS200 dan Honda CBR250R di India ini turut dilengkapi dengan lampu jenis LED di hadapan dan belakang, ekzos jenis pendek serta tempat duduk berasingan dengan penumpang belakang.

    Tiga warna ditawarkan untuk FZ250 di India, terdiri daripada hitam, putih dan biru. Ia akan mula dijual bermula pada bulan Februari pada harga 119,500 rupee, bersamaan RM7,797.

    Bagaimana untuk pasaran Malaysia? Adakah anda rasa ia patut dibawa masuk dan bolehkah ia bersaing dengan model yang ada di pasaran sekarang?

     
     
  • Audi A3 coupe empat pintu bakal jadi pesaing CLA

    Audi A3 coupe empat pintu bakal jadi pesaing CLA

    Ketika Audi A3 generasi terbaru tiba nanti, ia akan turut ditambah dengan versi coupe empat pintu bagi barisan penawarannya, sebagai tambahan kepada versi hatchback, Sportback lima pintu, cabriolet dan sedan empat pintu. Disifatkan akan mengambil rekaannya daripada model TT Sportback Concept (gambar), Audi A3 Coupe akan menjadi pesaing kepada model Mercedes-Benz CLA.

    Dengan Audi menggunakan pendekatan garis bumbung yang lebih “tajam” dan sporty, Mercedes-Benz A-Class akan datang pula menggunakan pendekatan sebaliknya; ia akan ditampilkan sebagai model sedan, seperti yang dipertontonkan melalui arca konsep Aesthetics A.

    Lanjutan model ini bertujuan untuk mengunjurkan lagi penawaran barisan kenderaan kompak Audi agar lebih menghampiri penawaran kelas eksekutif; merapatkan jurang dengan model A4, tanpa kenaikan harga yang terlalu ketara. Ini langkah yang sama jika dibandingkan penawaran antara CLA dan CLA Shooting Brake bagi model kompak yang dibangun menggunakan platform A-Class oleh Mercedes-Benz.

    Audi A3 coupe empat pintu bakal jadi pesaing CLA

    Penambahan varian bagi model baru ini sejajar dengan sasaran Audi untuk mempunyai 60 model individu yang dijual menjelang tahun 2020. Ketibaan A3 Coupe itu juga akan didahului oleh A3 hatchback, dijangka pada 2019 nanti. Ia akan diasaskan daripada platform MQB yang ada kini, dengan jangkaan akan menggunakan enjin dari barisan sedia ada Kumpulan Volkswagen kini.

    Ia akan ditampilkan dengan sistem pacuan roda depan dan juga semua roda, dengan gandingan transmisi manual dan automatik klac berkembar. Dengan arah tuju baru Kumpulan Volkswagen yang cenderung terhadap kenderaan elektrik, A3 ini juga dijangka akan ditawarkan dengan sistem plug-in hybrid dan versi elektrik sepenuhnya juga tidak mustahil.

     
     
  • Volkswagen Golf GTI 2020 akan dapat kuasa hibrid

    Volkswagen Golf GTI 2020 akan dapat kuasa hibrid

    Apabila tiba pada tahun 2020 nanti, Volkswagen Golf GTI generasi baharu akan mendapat prestasi tambahan, hasil daripada penggunaan teknologi hibrid – laporan daripada Autocar. Kenderaan jenis hot hatch ini walaubagaimanapun masih belum lagi akan menggunakan sistem hibrid penuh, dan ia dikata akan menggunakan enjin hibrid yang lebih ringkas untuk peningkatan kuasa, ekonomi dan emisi.

    Golf GTI Mk8 akan menggunakan sistem elektrikal 48V dan motor pemula bersepadu (hibrid ringkas, berikan lebih pecutan), bersama dengan pengecas turbo elektrikal pada enjin 2.0 liter TSI. Ini boleh menjadikan kuasanya hampir seperti GTI Clubsport, iaitu 265 PS, tapi dengan lebih tork di rpm rendah dan tindak balas lebih baik.

    Barisan model Golf Mk8 dijangka tiba dalam pasaran menjelang akhir tahun 2019, sementara varian GTI pula awal tahun 2020. Maklumat yang tersebar ada mengatakan Golf generasi seterusnya ini akan menggunakan platform MQB yang diperbaharui, dan ia akan dapat dilihat pertama kali digunakan pada model Audi A3. orang dalam Volkswagen juga memberitahu kemungkinan struktur baharu ini akan menyaksikan pengurangan berat sehingga 50 kg.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.10
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.85 (-0.05)
EURO 5 B7 RM3.05 (-0.05)
Last Updated Aug 21, 2025