Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Beberapa jalan ditutup secara berperingkat di Georgetown mulai 8 Feb ini sempena Thaipusam

    Beberapa jalan ditutup secara berperingkat di Georgetown mulai 8 Feb ini sempena Thaipusam

    Sempena dengan Thaipusam yang bakal disambut pada 9 Februari ini, beberapa jalan di Georgetown, Pulau Pinang, akan ditutup secara berperingkat mulai sehari sebelum hari perayaan tersebut bagi memberi laluan kepada perarakan pedati perak dan emas, laporan Bernama.

    Menurut Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Mior Faridalathrash Wahid, antara laluan yang terlibat ialah Lebuh Queen/Penang, Lebuh Chulia, Gat Lebuh Chulia, Lebuh Victoria, Gat Jalan Prangin, Jalan C.Y Choy, Jalan Magazine, Jalan Datuk Keramat, Jalan Utama dan Jalan Air Terjun bagi perjalanan pergi.

    Bagi perjalanan pulang pula membabitkan Jalan Air Terjun, Jalan Gottlieb, Jalan Tun Abdul Rahman, Jalan Cantoment, Jalan Macalister, Jalan Anson, Jalan Burma, Jalan Transfer, Jalan Sri Bahari, Jalan Penang, Jalan Campbell, Lebuh Buckingham, Jalan Masjid Kapitan Keling, Lebuh Chulia, Lebuh Queen, Lebuh Pasar, Lebuh Penang, Lebuh China dan Lebuh Pantai, katanya.

    “Pada tahun ini ada sedikit perbezaan dengan pertambahan satu lagi pedati iaitu pedati emas. Kedua-dua pedati ini akan bergerak pada 8 Feb ini. Pedati perak akan bergerak dari kuil di Lebuh Penang pada pukul 7 pagi dan pedati emas akan bergerak lebih awal dari kuil Lebuh Queen pada pukul 5 pagi.

    “Perjalanan perarakan itu biasanya lama walaupun laluannya tidak jauh dengan laluan pergi 6.5 km dan laluan balik 7.6 km. Kami akan memberi kerjasama sepenuhnya kepada kedua-dua pedati ini dalam memastikan perjalanan mereka selamat,” katanya dalam sidang media semalam.

    Mior Faridalathrash menasihatkan orang ramai yang ingin melalui kawasan-kawasan berkenaan supaya mematuhi arahan anggota polis yang bertugas.

    Beliau berkata tahun ini pihaknya menambah keanggotaan yang akan ditugaskan mengawal keselamatan semasa perayaan Thaipusam yang dijangka dihadiri kira-kira 1.5 juta pengunjung.

     
     
  • Malaysia rugi RM9.2 bilion akibat kemalangan jalan raya sepanjang tahun lalu, lebih tinggi dari 2015 – Liow

    Malaysia rugi RM9.2 bilion akibat kemalangan jalan raya sepanjang tahun lalu, lebih tinggi dari 2015 – Liow

    Selain korban nyawa dan kecederaan individu, kemalangan jalan turut melibatkan kos kewangan yang bukan kepalang; tahun lalu sahaja Malaysia kerugian kira-kira RM9.2 bilion kerananya, menurut Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai.

    “Kami memandang serius perkara ini. Malaysia perlu pupuk budaya keselamatan, tidak hanya di kilang-kilang tetapi lebih penting, ketika di atas jalan raya,” ujar Liow di dalam satu wawancara radio, seperti dilaporkan The Star.

    Berdasarkan laporan terkini Institut Kajian Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros), beliau menyatakan angka itu mencatatkan peningkatan sebanyak RM581.3 juta berbanding tahun 2015.

    Miros menganggarkan nyawa yang terkorban dalam kemalangan menyumbang kerugian sebanyak RM1.2 juta kepada negara, RM120,000 bagi kecederan parah manakala RM12,000 bagi kecederaan ringan dalam bentuk kos rawatan, kehilangan produktiviti serta tanggungan lain yang berkaitan.

    Tahun lalu, sebanyak 7,152 nyawa terkorban di jalan raya, di dalam 521,466 kemalangan yang dilaporkan. Kadar kematian akibat kemalangan juga meningkat sebanyak 2.59 orang bagi setiap 10,000 kenderaan yang didaftarkan tahun lalu, berbanding 2.55 orang pada 2015.

    Liow turut menambah, kementeriannya sedang mempertimbangkan untuk melantik Japan International Cooperation Agency (JICA) bagi menjalankan kajian mendalam untuk memperbaiki aspek keselamatan jalan raya di Malaysia.

    Tahun lalu, JICA menjalankan kajian di tiga negara Asean; Myanmar, Malaysia dan Thailand. Daripada pemerhatian itu, Malaysia mencatatkan jumlah kemalangan trafik tertinggi bagi setiap kenderaan yang dimiliki, kemungkinan besar disebabkan oleh jumlah motosikal yang banyak di negara ini.

    Menjelang 2020, Liow berharap kadar kematian akibat kemalangan jalan raya di Malaysia dapat dikurangkan kepada 2 orang bagi setiap 100,000 kenderaan yang didaftarkan.

     
     
  • Abdul Rashid Musa dilantik menerajui Proton Edar

    Abdul Rashid Musa dilantik menerajui Proton Edar

    Proton Holdings Berhad mengumumkan pelantikan Abdul Rashid Musa sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Proton Edar Sdn Bhd (PESB) yang baru, bermula 1 Februari. Beliau menggantikan Rohime Shafie, yang kini menyandang jawatan Ketua Automotif, Bahagian Pengedaran Automotif dan Pembuatan & Kejuruteraan.

    Rashid mempunyai pengalaman lebih daripada 27 tahun di dalam bidang automotif. Memiliki Ijazah Sarjana Muda dalam Kejuruteraan Mekanikal dari Universiti Malaya pada tahun 1989, Rashid antara lain pernah terlibat di dalam bidang pembuatan, penyelidikan & pembangunan serta pengurusan, malah beliau juga merupakan seorang yang kuat menyuarakan aspek keselamatan penumpang.

    Sebelum pelantikan ini, beliau bertugas Ketua Pegawai Teknikal Proton, yang bertanggungjawab antara lain di dalam membangunkan empat model baru yang diperkenalkan sepanjang 2016. Beliau juga merupakan ahli Lembaga Pengarah di beberapa anak syarikat PROTON dan memimpin beberapa syarikat di bawah kumpulan DRB-Hicom.

    Dengan pelantikan ini, Proton yakin Rashid mampu untuk terus menerajui PESB bagi meneruskan sasaran pertumbuhan dalam meningkatkan penguasaan pasarannya. Dengan memanfaatkan latar belakang teknikal beliau, ia akan dapat menyumbang ke arah pelan penambah baikan rangkaian terutama dalam meningkatkan mutu perkhidmatan selepas jualan Proton.

    PESB merupakan anak syarikat milik penuh PROTON, yang terlibat dalam pengedaran kereta Proton dan menyediakan jualan dan perkhidmatan selepas jualan kepada pelanggan.

     
     
  • VIDEO: Sejarah lebih 30 tahun motosikal Suzuki GSX-R

    VIDEO: Sejarah lebih 30 tahun motosikal Suzuki GSX-R

    Semasa melayari internet, kami terjumpa dengan video ini, yang menceritakan sejarah berkenaan motosikal sport Suzuki GSX-R, yang bermula pada tahun 80-an sehinggalah kini, dengan model tahun 2017 juga dikatakan akan tiba di Malaysia. Walaupun bukanlah baru, mungkin ada penggemar motosikal yang masih belum menonton video yang cukup menarik ini.

    Di dalamnya, anda akan dapat melihat antaranya bagaimana idea untuk menghasilkan GSX-R diutarakan buat pertama kalinya, sedangkan Suzuki dianggap sebagai sebuah pengeluar motosikal yang cukup berhati-hati dan cukup konvensional. Ini seterusnya diikuti dengan temu ramah santai dengan beberapa individu awal yang terlibat dalam pembangunan GSX-R 750 pada tahun 80-an.

    Selepas menemui pasaran, GSX-R diterima baik dan mula menunjukkan prestasi di dalam dunia perlumbaan, bukan sahaja di Jepun, malah seluruh dunia. Daripada pencapaian ini juga, penghasilan model-model GSX-R baharu diteruskan pada tahun-tahun berikutnya dengan penambahan teknologi dan prestasi.

    Adakah anda antara orang yang mempunyai pengalaman bersama Suzuki GSX-R? Jika ya, video ini mungkin menggamit kembali memori lama dan membuatkan anda cukup bangga pernah memilikinya.

     
     
  • Nombor pendaftaran khas RIMAU sempena dengan Sukan SEA 2017 – dijangka bidaan dibuka Mac ini

    Nombor pendaftaran khas RIMAU sempena dengan Sukan SEA 2017 –  dijangka bidaan dibuka Mac ini

    Menerusi laman Facebook yang didaftarkan di bawah nama RIMAU PLAT, telah mula menguar-uarkan nombor pendaftaran khas RIMAU, iaitu sempena dengan temasya Sukan Sea yang ke-29 pada Ogos ini. Bakal dibuka bidaannya pada Mac ini, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah pun meluluskan
    nombor pendaftaran khas RIMAU 1 hingga RIMAU 9999, yang dikendalikan oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sebagai penganjur temasya sukan berprestij tersebut.

    Nombor pendaftaran ini yang menggunakan nama RIMAU adalah sempena pemilihan harimau sebagai maskot utama Sukan SEA. Malahan ia juga adalah bagi menyambut Hari Kemerdekaan yang ke-60. Kami cuba untuk melayari laman web yang tertera menerusi Facebook terbabit iaitu rimau.org.my, walau bagaimana pun, ia tidak berfungsi. Namun difahamkan, tarikh sebenar permulaan tender bagi bidaan yang akan dilakukan secara dalam talian (E-BIDA) akan diumumkan kelak.

     
     
  • Tujuh jenama kenderaan paling berharga di dunia – Toyota, Honda, Mercedes, BMW masuk dalam senarai

    Tujuh jenama kenderaan paling berharga di dunia – Toyota, Honda, Mercedes, BMW masuk dalam senarai

    Tujuh pengeluar kenderaan telah mendapat tempat dalam senarai 100 jenama paling berharga bagi tahun 2016 yang dikeluarkan oleh Brand Finance Global 500. Menurut Brand Finance, nilai bagi setiap jenama dikira dengan menganggarkan kemungkinan jualan masa hadapan yang boleh dicapai, dan mengira kadar royalti yang akan dikenakan untuk menggunakan jenama tersebut.

    Kehadiran jenama automotif dalam senarai ini dimulakan oleh Hyundai yang berada di tempat ketujuh, dengan nilai jenama USD19.975 bilion (RM88.489 bilion), meskipun menunjukkan kejatuhan nilai jenama sebanyak 16 peratus daripada tahun 2016. Seterusnya di tangga keenam adalah Honda, dengan peningkatan 10 peratus, menjadi USD21.318 bilion (RM94.439 bilion). Kedudukan Honda walaubagaimanapun turun tiga tangga berbanding dalam senarai Brand Finance tahun sebelumnya.

    Pengeluar kenderaan dari Amerika, Ford berada di tempat kelima, dengan nilai jenama USD22.432 bilion (RM99.374 bilion), dan adalah peningkatan sebanyak 13 peratus. Ini diikuti oleh Volkswagen, yang dilihat semakin bertambah pulih dengan peningkatan nilai sebanyak 32 peratus, seterusnya meletakkan jenama Jerman ini di kedudukan 41 secara keseluruhan, dengan nilai USD25 bilion (RM111 bilion).

    Tujuh jenama kenderaan paling berharga di dunia – Toyota, Honda, Mercedes, BMW masuk dalam senarai

    Terletak di antara tempat ketiga dan keempat adalah Mitsubishi, kerana kedudukan yang dicatat adalah untuk Mitsubishi Group, yang sebenarnya mempunyai pelbagai perniagaan termasuk antaranya industri jentera berat, servis kewangan dan penerbangan. Mitsubishi Motors walaubagaimanapun tidak termasuk dalam senarai 100 teratas ini.

    Di tempat ketiga adalah Mercedes-Benz dengan nilai USD35.544 bilion (RM157.798 bilion), menunjukkan peningkatan 11 peratus berbanding tahun sebelumnya. Di tempat kedua, dan 17 secara keseluruhan adalah BMW dengan catatan nilai USD37.124 bilion (RM164.812 bilion) dan peningkatan sebanyak 6 peratus. Kedudukan keseluruhan BMW walaubagaimanapun turun dua tangga.

    Paling atas bagi jenama automotif adalah Toyota, dengan nilai jenama USD46.255 bilion (RM205.349 bilion), hasil daripada peningkatan sebanyak 7 peratus, walaupun kedudukan keseluruhannya turun satu tangga kepada tempat ke-12.

    Penghargaan khas diberikan kepada Uber, walaupun ia bukanlah satu jenama automotif yang terlibat dalam perniagaan pengeluaran kenderaan. Syarikat penyedia servis pengangkutan ride-sharing ini dinilaikan pada USD14.596 bilion (RM64.799 bilion), dan adalah meningkat 16 tangga dalam carta keseluruhan, dengan 32 peratus peningkatan nilai.

     
     
  • Mercedes-AMG E63 Estate diperkenal – kuasa 612 hp

    Mercedes-AMG E63 Estate diperkenal – kuasa 612 hp

    Tidak lama selepas BMW memperkenalkan 5 Series Touring, Mercedes-Benz juga mengeluarkan senjata mereka, wagon yang dinamakan Mercedes-AMG E 63 4Matic+ Estate. Ini bukanlah sebuah wagon biasa, malah padat dengan 571 hp dan 750 Nm tork, datang daripada enjin V8 4.0 liter twin-turbo dan disampaikan kepada semua tayar melalui transmisi automatik AMG Performance 4Matic+, dengan pembahagian tork boleh ubah, menghasilkan pecutan 0-100 km/j dalam masa 3.6 saat sahaja.

    Jika itu tidak mencukupi, varian E 63 S turut disediakan dengan kuasa sebanyak 612 hp dan tork 850 Nm, menjadikan pecutan 0-100 km/j sepantas 3.5 saat. Huruf S tersebut juga datang dengan mod drift pada sistem transmisi 4Matic+ kenderaan ini, di mana hanya roda belakang sahaja yang akan berpusing.

    Bagi memsatikan semua kuasa ini dapat disampaikan ke atas jalan dengan cekap, suspensi udara AMG multi-chamber digunakan, menampilkan gandar depan empat sambungan dengan wishbone, strut rod dan sambungan spring forged aluminium, serta kawalan roda dan bahagian suspensi berasingan untuk penyerap hentakan lateral dan pengemudian tork rendah. Gandar belakang juga direka semula sepenuhnya.

    Mercedes-AMG E63 Estate diperkenal – kuasa 612 hp

    Spring serta penyerap yang lebih sporty digunakan untuk kawalan lebih baik, dengan kekerasan spring tersebut boleh dilaras secara berasingan, bergantung kepada program pemanduan yang dipilih pada AMG Drive Select (Comfort, Sport, Sport Plus, Individual) dan status pemanduan semasa. Kadar spring ini juga boleh keras secara automatik sekiranya terdapat perubahan beban mendadak, mengambil selekoh dengan laju, pecutan mendadak atau brek secara mengejut.

    Penyerapan boleh ubah secara terus ini juga bergantung pada sistem AMG Drive Select, dengan tahap lantunan dan mampatan boleh dilaras secara berasingan, memberikan ruang lebih luas antara kuasa penyerapan maksimum dan minimum. Ini membawa maksud beza di antara setiap mod adalah lebih jelas dan diperhalusi. Turut diperlengkapkan adalah stereng sports elektromekanikal dengan nisbah boleh ubah dan boleh bertindak terhadap kelajuan.

    Pada bahagian belakang, E 63 dilengkapkan dengan limited-slip differential secara standard, manakala versi S ditambah dengan unit yang boleh dikawal secara elektronik untuk kawalan lebih proaktif dan lebih sensitiviti. Turut diberikan pada versi S adalah tapak enjin dinamik dan cakera brek hadapan lebih besar iaitu 390 mm (kereta standard hanya menggunakan cakera 360 mm). Cakera brek gentian seramik 402 mm untuk bahagian hadapan disediakan sebagai pilihan tambahan.

    Mercedes-AMG E63 Estate diperkenal – kuasa 612 hp

    Semua prestasi kenderaan ini diserlahkan pada bahagian luarannya, bermula dengan lengkuk roda hadapan selebar 27 mm, menyembunyikan jarak roda yang lebih lebar dan rim lebih besar. Bahagian hadapan E 63 adalah khas untuk modelnya sahaja, dengan adanya sisip bonet, gril dua bar dan salur udara yang mendapat inspirasi daripada sayap jet. Skirting tepi yang lebih dalam dan diffuser belakang yang lebih lebar bersama empat muncung ekzos menambah lagi ciri agresif kenderaan ini.

    Di dalam pula, E 63 boleh dikenali dengan adanya roda stereng prestasi AMG yang dibalut kulit Nappa, bersama rekaan panel meter khas AMG dan tempat duduk sports. Tempat duduk AMG dengan penyandar kepala bersepadu disediakan sebagai pilihan tambahan. Model S dijadikan lebih eksklusif dengan papan pemuka juga dibalut kulit Nappa, tali pinggang keledar berwarna kelabu dan penanda tengah di roda stereng.

    Pada bahagian belakang, terdapat ruang simpan sebesar 640 liter, dengan keseluruhannya 1,820 liter boleh didapati apabila tempat duduk belakang dilipat rata. Tempat duduk belakang jenis lipatan 40:20:40 ini juga boleh dijadikan 10 darjah lebih tegak, memberikan tambahan 30 liter lagi ruang, meskipun kesemua lima tempat duduk masih digunakan.

     
     
  • Proton Persona, Saga baharu dilancarkan di Brunei

    Proton Persona, Saga baharu dilancarkan di Brunei

    Proton Persona dan Saga baharu telah pun dilancarkan di Brunei pada 27 Januari lalu. Di mana Brunei merupakan negara pertama yang menerima kedua-dua model baharu ini, selepas ia dilancarkan pada tahun lalu di Malaysia. Sebelum ini, Iriz juga turut diperkenalkan di sana iaitu pada Oktober lalu.

    Majlis yang berlangsung di pusat beli belah Times Square disempurnakan oleh Puan Rafedah Abdul Aziz, Timbalan Pesuruhjaya Tinggi Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Brunei Darussalam. Turut hadir pada majlis tersebut ialah Dato’ Ahmad Fuaad Kenali, Ketua Pegawai Eksekutif PROTON, Mohd Khalid Yusof, Pengarah Transformasi dan Ketua Jualan Antarabangsa, PROTON, Dr. Haji Supry bin Haji Ladi, Pengarah Pengangkutan Darat Brunei, Hambali Pehin Orang Kaya Shahbandar Dato’ Seri Paduka Hj Mohd Salleh dan Tan Kah Boon, Pengarah PAD, dan Cik Gina Tan Koh Poi, Pengurus Besar PAD.

    “Kami berasa gembira kerana Persona dan Saga, yang diterima dengan baik di pasaran Malaysia, telah menarik minat para pengguna di Brunei. Persona serba baharu dievolusikan secara ketara dari segi ciri-ciri, teknologi hebat, reka bentuk dan binaannya, termasuk pemanduan dan pengendalian yang lebih baik serta pengurangan dari segi getaran, bunyi dan kekasaran (NVH). Bagi kelasnya, Proton Persona serba baharu ini memberikan pemanduan yang menyeronokkan,” kata Dato’ Fuaad.

    Proton Persona & Saga

    Sambungnya lagi, “Kedua-dua Persona dan Saga direka dengan baik serta memberi nilai yang berbaloi untuk dimiliki, selamat dan dilengkapi dengan ciri-ciri praktikal. Kereta-kereta ini dilengkapi ciri-ciri keselamatan aktif dan pasif dan masing- masingnya telah diberi penarafan 5-bintang dan 4-bintang oleh ASEAN NCAP, bagi Persona dan Saga.”

    Di Brunei, Persona serba baharu ditawarkan dengan varian 1.6L Executive CVT manakala Saga baharu pula didatangkan dalam dua varian, 1.3L iaitu Executive CVT dan Premium CVT. Kedua-dua varian boleh didapati dalam enam warna menarik.

    Persona serba baharu dan Saga baharu kini dibuka untuk pandu uji dan tempahan di semua cawangan PROTON di Brunei yang dikendalikan oleh pengedar tunggal PROTON, PAD Motors Sdn Bhd. PAD telah membuka bilik pameran baharu di Bandar Seri Begawan yang terletak di Unit 1-4, Kompleks Beribi, Spg. 607-17, Jalan Gadong BE1118, Brunei Darussalam.

     
     
  • Harga jualan runcit petrol dan diesel tidak disandarkan pada harga minyak mentah dunia – PKSBN

    Harga jualan runcit petrol dan diesel tidak disandarkan pada harga minyak mentah dunia – PKSBN

    Menurut Pasukan Komunikasi Strategik Barisan Nasional (PKSBN), harga jualan runcit bagi petrol dan diesel di Malaysia adalah disandarkan kepada harga produk akhir (refined product) global, dan bukannya harga minyak mentah dunia.

    Bahan api bagi Februari 2017 menyaksikan harga petrol RON95 dan RON97 naik sebanyak 20 sen seliter, manakala harga diesel pula naik 10 sen berbanding bulan sebelumnya.

    Memetik laporan The Star, pihak berkenaan menyatakan, Malaysia menggunakan pendekatan penetapan harga Means of Platts seperti di Singapura bagi petrol dan diesel, yang merupakan maklumat awam.

    Harga purata bagi petrol MOPS MOGAS 95 ialah di antara US$69 (RM305.84) dan US$70 (RM310) bagi setiap tong sepanjang bulan lalu. Ia sedikit lebih tinggi berbanding Disember, dengan harga antara US$62 (RM274.81) dan US$68 (RM301.21).

    “Beberapa bulan lalu, laporan meluas berkaitan pusat penapisan minyak di Asia Tenggara telah menikmati harga yang lebih tinggi disebabkan oleh jumlah pusat penapisan yang ditutup diseluruh dunia kini semakin tinggi akibat kebakaran dan juga kerja-kerja penyelenggaraan.

    “Ini menyebabkan pengurangan bekalan dan sekaligus meningkatkan keuntungan serta harga diperingkat penapisan minyak. Disebebkan itu, harga MOGAS 95 juga naik,” jelas mereka.

    Dengan sistem apungan terkawal, pengguna Malaysia juga akan terkesan dengan kenaikan harga diperingkat global. Pada Oktober dan November 2014, harga RON95 di Malaysia pernah dijual pada harga RM2.30 seliter. Bagaimanapun, pengguna di sini turut menerima manfaat daripada harga produk akhir petrol yang rendah sepanjang dua tahun lalu, dengan kadar terendah yang pernah dicatatkan ialah RM1.60 seliter.

    Malaysia mula menggunakan pendekatan sistem apungan terkawal bagi menentukan harga bahan api petrol dan diesel sejak 2014 untuk mengunrangkan subsidi kerajaan.

     
     
  • BMW 5 Series Touring G31 muncul – 4 varian termasuk diesel akan ditawarkan, ruang simpanan 1,700 liter

    BMW 5 Series Touring G31 muncul – 4 varian termasuk diesel akan ditawarkan, ruang simpanan 1,700 liter

    Selepas memperkenalkan BMW 5 Series G30 tahun lepas, BMW kini mengeluarkan pula versi dengan lebih ruang, iaitu 5 Series Touring. Model ini dirancang untuk membuat penampilan pertama semasa Geneva Motor Show bulan hadapan dan akan membawa teknologi sama seperti G30 sedan, serta pengurangan berat dan peningkatan kecekapan lain.

    Pada bahagian luar, depannya sama sahaja dengan versi sedan, bersama ‘garis bahu’ tepi dan penjuru cermin sisi paling belakang – yang juga diambil daripada model 7 Series G11/12.

    Panjang keseluruhan kenderaan ini adalah 4,942 mm, manakala lebarnya 1,868 mm, tinggi 1,464 mm dan jarak roda 2,975 mm. Ukuran ini menunjukkan bahawa 5 Series Touring G31 6 mm lebih panjang dan 15 mm lebih rendah berbanding G30 sedan, manakala lebar dan jarak roda masih lagi sama.

    BMW 5 Series Touring G31 muncul – 4 varian termasuk diesel akan ditawarkan, ruang simpanan 1,700 liter

    Seperti yang dijangka, pilihan enjin yang disediakan apabila ia dilancarkan nanti juga hampir sama, iaitu dua enjin petrol dan dua enjin diesel sebagai permulaan untuk varian 530i, 540i xDrive, 520d dan 530d xDrive.

    530i Touring dikuasakan oleh enjin empat silinder 2.0 liter turbo petrol bersama padanan transmisi lapan kelajuan, mampu menghasilkan 252 hp pada 5,200 hingga 6,500 rpm dan 350 Nm pada 1,450 rpm hingga 4,800 rpm. Untuk melakukan pecutan 0-100 km/j, kenderaan ini hanya memerlukan masa 6.5 saat, iaitu lebih 0.3 saat berbanding model sedan, dengan laju maksimum 250 km/j. Penggunaan bahan api bercampur berada pada tahap 5.8 L/100 km, iaitu 0.4L/100 lebih kuat berbanding model sedan.

    Satu-satunya enjin petrol enam silinder pada 5 Series Touring tampil buat kali pertama pada 540i xDrive, iaitu enjin 3.0 liter turbo berserta transmisi automatik lapan kelajuan dan sistem pacuan semua roda, mampu menghasilkan 340 hp pada 5,500 – 6,500 rpm dan 450 Nm tork pada 1,380 – 5,200 rpm.

    BMW 5 Series Touring G31 muncul – 4 varian termasuk diesel akan ditawarkan, ruang simpanan 1,700 liter

    Pilihan enjin diesel pula disediakan melalui model 520d, dengan enjin empat silinder turbodiesel 2.0 liter, berkemampuan 190 h pada 4,000 rpm dan 400 Nm paa 1,750 hingga 2,500 rpm.

    Bagi model diesel ini, kuasa kepada tayar belakang dihantar melalui pilihan sistem transmisi automatik manual enam kelajuan, membolehkan ia membuat pecutan 0-100 km/j dalam masa 7.8 saat (8 saat untuk versi manual) dan kelajuan maksimum 225 km/j (230 km/j untuk manual). Penggunaan bahan api bercampur pula adalah 4.3L/100km.

    Melengkapkan empat varian yang akan dilancarkan ini adalah 530d Touring dan 530d xDrive Touring, yang dikuasakan oleh enjin 3.0 liter turbodiesel, menghasilkan 265 hp pada 4,000 rpm dan 620 Nm tork pada antara 2,000 hingga 2,500 rpm. Kuasa disampaikan kepada sama ada dua tayar belakang atau keempat-empatnya sekali melalui transmisi automatik lapan kelajuan.

    Masa pecutan 0-100 km/j untuk kenderaan ini adalah 5.8 saat (5.6 saat untuk versi xDrive) dan kelajuan maksimumnya adalah 250 km/j. Penggunaan bahan api pula adalah 4.7 L/100 km (5.3 L/100 km untuk xDrive).

    Seperti juga sedan G30, 5 Series Touring G31 menggunakan lampu utama LED secara standard manakala di dalam pula, sebahagian daripada kabinnya adalah sama, termasuk kelengkapan yang diberi. Skrin sesentuh 10.25 inci memaparkan pelbagai informasi, dan turut dilengkapi dengan kawalan suara dan gerak isyarat. Model Touring ini juga mempunyai heads-up display sama seperti sedan.

    Turut dilengkapkan pada model Touring adalah sistem bantuan pemandu seperti Lane Change Assistant dan Lane Keeping Assistant, yang memberikan bantuan kawalan stereng dan mengekalkan kenderaan dalam lorong pada kelajuan dari perlahan hingga 210 km/j. Perubahan kelajuan turut diambil kira, dengan ciri Active Cruise Control bersama fungsi Stop&Go memberikan informasi had laju.

    Operasi automatik kenderaan pada 5 Series Touring juga boleh digunakan semasa meletakkan kenderaan, hasil daripada adanya fungsi Parking Assistant dan Remote Control Parking. Bagi tempat tertentu, pemilik juga boleh menggunakan servis ParkNow untuk menempah ruang letak kereta dan membayar tanpa mengeluarkan sebarang wang tunai.

     
     
  • Geely dan PSA tunjuk minat terhadap Proton; mahu pegangan majoriti di kilang Tanjung Malim – laporan

    Geely dan PSA tunjuk minat terhadap Proton; mahu pegangan majoriti di kilang Tanjung Malim – laporan

    Dengan Proton mensasarkan untuk mengumumkan rakan kongsi asing seawal April nanti, pihak-pihak yang berminat sedang giat mengusulkan cadangan masing-masing ketika. The Star melaporkan, dua syarikat besar dari luar sangat berminat dengan perkara itu; PSA Group dari Perancis dan Geely dari China. Setakat ini, syarikat China yang juga pemilik jenama Volvo itu mendahului. Tiada nama Renault dinyatakan kali ini.

    Menurut sumber dari laporan berkenaan, kedua-dua pihak berkenaan sedang giat menjalankan kerja-kerja berkaitan di ibu pejabat Proton waktu ini. “Bagaimanapun, di antara keduanya, Geely cenderung menunjukkan lebih minat terhadap Proton. Wakil dari kedua-dua syarikat juga sedang sibuk menjalankan penilaian masing-masing ketika ini. Anda boleh lihat pegawai-pegawai dari Geely dan PSA di Proton hampir setiap hari,” jelas sumber yang tidak dinamakan itu.

    Laporan itu juga menyatakan, kedua-dua PSA (Peugeot dan Citroen) dan Geely ingin memiliki 51% pegangan majoriti di kilang Proton, Tanjung Malim. Ini juga mungkin tidak akan menjadi penghalang, kerana kerajaan telah memberikan lampu hijau bagi pihak asing untuk memgawal pegangan dalam kilang berkenaan.

    Kilang di Tanjung Malim berkenaan menjadi tarikan utama bagi mereka yang ingin mengukuhkan kedudukan dalam pasaran rantau ini. “Kilang berkenaan merupakan aset terbaik Proton. Mana-mana rakan teknikal bagi Proton selepas ini akan mempunyai akses terus kepada kilang berkenaan. Proton telah berada dalam pasaran sejak 1980an, ia tahu citarasa ASEAN,” jelas CEO Institute Automotif Malaysia (MAI), Datuk Madani Sahari.

    Turut berlangsung di Proton kini ialah pertukaran kedudukan jawatan utama, mungkin sebagai persediaan bagi proses untuk menerima rakan teknikal asing berkenaan. Satu daripada kedudukan yang akan berubah melibatkan ketua pegawai teknikal, Abdul Rashid Musa, yang dipindahkan untuk mengetuai cabang jualan, Proton Edar. Beliau akan menggantikan Rohime Shafie, yang telah ditugaskan ke sebuah anak syarikat lain di bawah Proton. Pegawai teknikal baru nanti khabarnya akan dibawa masuk dari Lotus.

     
     
  • KTM RC Cup Asia buka peluang orang awam berlumba

    KTM RC Cup Asia buka peluang orang awam berlumba

    Selepas menunjukkan kejayaan di Eropah dan Amerika, perlumbaan ‘one make‘ KTM RC Cup akan dianjurkan pula untuk Asia pada tahun 2017. Ia dibuka kepada orang awam, terutamanya pelanggan KTM bagi merasai sendiri suasana perlumbaan profesional dan secara keseluruhannya, terdapat tiga kategori iaitu Orange, Silver dan Bronze.

    Bagi kategori Orange, mereka yang berminat untuk berlumba mestilah berusia antara 14 hingga 22 tahun dan perlu membeli motosikal lumba RC Cup 390 pada harga 7,888 euro (RM37,590). Pada harga itu, selain motosikal itu sendiri, peserta juga akan mendapat pakaian lumba penuh, sokongan teknikal di litar dan bimbingan profesional, termasuk bekas pelumba terkenal Jeremy McWilliams.

    Mereka juga perlu mempunyai sama ada lesen FIM International Road Racing License atau AAM Racing License untuk warga Malaysia. Bagi yang tidak mahu membeli motosikal lumba ini, KTM juga ada menyediakan pakej sewaan yang berpatutan.

    Motosikal lumba KTM RC Cup 390 asasnya adalah RC 390 versi produksi, tetapi dinaik taraf dengan barangan PowerParts dan suspensi WP yang boleh dilaras sepenuhnya di hadapan dan belakang. Enjin yang digunakan masih lagi sama iaitu unit 373.2 cc dan didatangkan bersama downpipe ekzos dan kotak penapis angin.

    Bahagian brek motosikal ini juga dinaik taraf, menyaksikan penggunaan cakera lebih besar di hadapan – 320 mm, pad brek lumba dan hos jalinan stainless steel. Motosikal ini juga tidak lagi mempunyai sistem ABS, dan hampir 1.2 kg dapat dikurangkan daripada bahagian itu.

    Barangan lain yang dilengkapkan pada RC Cup 390 adalah penghadang angin hadapan jenis gelembung, tuil boleh laras, pelindung tangan, peletak kaki dan penukar gear jenis lumba (terbalik), fairing dan bahagian tempat duduk tunggal fiberglass, pelindung bawah enjin serta beberapa pilihan kombinasi sprocket dan rantai lumba.

    Untuk perlumbaan RC Cup Asia kategori Orange ini, pemenang tempat pertama hingga kelima setiap perlumbaan akan menerima wang antara 400 euro (RM1,906) hingga 80 euro (RM381) manakala pemenang keseluruhan daripada lima perlumbaan akan mendapat tajaan penuh untuk berlumba dalam KTM RC Cup Eropah dan baucar KTM berjumlah 1,000 euro (RM4,765).

    KTM RC Cup Asia buka peluang orang awam berlumba

    Kategori Silver dan Bronze pula terbuka kepada sesiapa sahaja, tanpa had umur, dengan bayaran sebanyak 380 euro (RM1,810) untuk satu musim penuh dan 80 euro (RM381) untuk setiap pusingan. Motosikal yang perlu digunakan untuk perlumbaan adalah RC 390 untuk Silver dan RC 200/250 untuk Bronze.

    Selain itu, motosikal peserta kategori ini juga perlu sekurang-kurangnya dilengkapi pakej asas perlumbaan yang dijual pada harga 338 euro (RM1,610), manakala dua pakej lagi yang masing-masing berharga 998 euro (RM4,756) dan 3,288 euro (RM15,669) disediakan sebagai pilihan tambahan.

    Kesemua lima perlumbaan dalam siri KTM RC Cup Asia akan diadakan di Litar Antarabangsa Sepang, bermula 24 Mac dan saingan boleh melibatkan peserta dari seluruh Asia. Mereka yang berminat boleh menghubungi KTM Malaysia atau layari laman web www.ktmrccup.com.

     
     
  • VIDEO: Cerita di sebalik rekod kereta produksi terpantas di dunia 19 tahun lalu, McLaren F1 – 386 km/j

    Kira-kira 20 tahun lalu, dunia supercar tidak semeriah sekarang dan hanya dibintangi berberapa nama seperti Ferrari, Lamborghini, dan McLaren. Zaman tersebut, masih lagi belum ada Bugatti Veyron, Pagani Zonda, mahupun Koenigsegg Agera. Walaupun tidak mempunyai kuasa sebuas hypercar zaman sekarang, supercar pada era tersebut dibina tanpa apa-apa bantuan pemanduan elektronik dan semuanya hadir dengan kotak gear manual, membuatkan mereka dari kalangan golongan yang hanya mahu memilikinya sebagai objek lambang kekayaan tidak membelinya, kerana tidak mampu untuk memandu dan menjinakkan kereta-kereta berkenaan.

    Jika anda gilakan permainan video pada era itu, pastinya anda akan ingat permainan video Need For Speed II dan jentera paling pantas yang ditampilkan iaitu McLaren F1. Jentera ini bukan sahaja paling pantas dalam permainan video, malah diiktiraf sebagai kereta produksi terpantas di dunia pada era tersebut.

    McLaren F1 muncul buat pertama kali dalam pasaran pada tahun 1992, dan untuk memperingati ulang tahun ke-25 supercar ini, McLaren telah menyiarkan video bagi menceritakan bagaimana rekod ‘kereta produksi paling pantas di dunia’ dicipta pada tahun 1998. F1 yang ditugaskan untuk memahat rekod dunia berkenaan dipandu oleh Andy Wallace, iaitu salah seorang pelumba McLaren F1 GTR dalam perlumbaan Le Mans 24 Jam.

    Tidak seperti rekod kelajuan darat lain yang biasanya dilakukan di kawasan lapang seperti padang pasir atau dataran garam seperti di Salt Flats, rekod ini dibuat di litar Ehra-Lessien Proving Ground, Jerman, dan menggunakan tayar produksi bagi menggambarkan keadaan dunia nyata sebenar.

    Menurut Wallace, McLaren menawarkan tugas ini kepadanya bagi mengetahui kelajuan sebenar yang boleh dicapai oleh supercar ini. Setelah persetujuan dicapai dalam satu perbincangan ringkas, seluruh pasukan bergegas ke Jerman untuk melakukannya, termasuk salah seorang pereka F1 – Gordon Murray.

    VIDEO: Cerita di sebalik rekod kereta produksi terpantas di dunia 19 tahun lalu, McLaren F1 – 386 km/j

    Wallace juga turut menyatakan, tugas ini bukanlah semudah yang disangka dan beliau mungkin tidak akan melakukannya lagi jika diminta untuk membuatnya sekali lagi sekarang.

    Untuk mencapai kelajuan maksimum pada laluan lurus, Wallace perlu terlebih dahulu untuk mengekalkan kelajuan 240 km/j pada selekoh tebing litar berkenaan. McLaren F1 mencapai had kelajuannya pada 293 km/j, dan bacaan purata yang diambil sebagai rekod rasmi adalah 386.4 km/j (240.1 batu sejam). Rekod ini terus dipegang oleh Wallace dan McLaren F1 selama 7 tahun, sebelum dipecahkan oleh Bugatti Veyron pada tahun 2005 dengan kelajuan 408.47 km/j (253.81 batu sejam).

    McLaren F1 juga merupakan kereta pertama yang menampilkan casis monocoque yang dibina menggunakan material gentian-karbon. Selain itu, komponen lain kereta ini juga dibuat dari bahan-bahan ringan berteknologi tinggi seperti titanium, magnesium dan juga kevlar. Pembinaan supercar ini turut melibatkan emas, di mana material berkenaan digunakan sebagai penebat haba di ruang enjinnya.

    Selain dikenali dengan rekaan pintu ‘rama-rama’, F1 turut mempunyai rekaan unik pada bahagian kabin, di mana kedudukan pemandu diletakkan di bahagian tengah, bersama dua tempat duduk penumpang pada bahagian belakang. Jentera ini dijana oleh enjin BMW V12 6.1 L NA berkuasa 618 hp, diletakkan pada bahagian tengah. Kuasa dialirkan ke roda belakang menerusi kotak gear enam-kelajuan manual bersama klac carbon tiga lapis dari AP.

    GALERI: McLaren F1

     
     
  • BMW, McLaren akan berganding dalam pembangunan enjin – turut disokong kerajaan United Kingdom

    BMW, McLaren akan berganding dalam pembangunan enjin – turut disokong kerajaan United Kingdom

    McLaren dan BMW sebelum ini pernah bekerja bersama dalam pembangunan produk, paling terkenal adalah McLaren F1 pada awal tahun 90 an, yang dikuasakan oleh enjin BMW V12 N/A 6.1 liter. Asalnya adalah enjin untuk kenderaan jalanan biasa, ia akhirnya memenangi pelbagai perlumbaan dan antara yang utama adalah Le Mans. Kini, dua nama besar itu akan bekerjasama lagi untuk menambah baik enjin pembakaran dalaman.

    Kerjasama baharu antara BMW dan McLaren ini turut disokong, dan dibiayai sebahagiannya oleh kerajaan United Kingdom, melalui Advanced Propulsion Centre, yang mana juga akan dapat membantu kemampuan negara itu membangunkan dan mengeluarkan teknologi enjin pembakaran dalaman dengan jumlah karbon yang rendah.

    Projek ini akan dipimpin oleh McLaren Automotive, melibatkan enam lagi rakan kongsi, termasuk Ricardo, iaitu rakan kongsi pengeluar enjin sedia ada McLaren. Grainger dan Worrall pula akan membangunkan “teknologi casting ringan dan kompleks”, yang kemungkinan didapati daripada pengalaman mereka dalam mengeluarkan blok enjin untuk pasukan lumba F1.

    BMW, McLaren akan berganding dalam pembangunan enjin – turut disokong kerajaan United Kingdom

    Lentus Composites pula akan menyumbang kepakaran dalam bahagian struktur komposit, manakala University of Bath ‘meminjamkan’ kemampuan pembangunan dan penyelidikan mereka berkenaan kecekapan sistem pembakaran.

    “Ini adalah satu projek yang mengujakan, dan bergantung kepada kekuatan semua yang terlibat. McLaren Automotive mempunyai reputasi cemerlang dalam membina enjin paling bagus di dunia, seperti yang ditunjukkan pada M838T dan kemenangan mereka dalam anugerah enjin terbaik antarabangsa,” kata ketua pegawai eksekutif McLaren Automotive, Mike Flewitt.

    “Kita masih akan terus membangunkan rekaan dan bentuk enjin sendiri, dan manfaat daripada projek ini juga akan mempercepatkan pembangunan enjin generasi seterusnya, seperti yang disahkan dalam pembentangan pelan perniagaan Track22 baru-baru ini,” tambah Flewitt.

     
     
  • Polis Terengganu berjaya catat pengurangan kematian akibat kemalangan jalan raya sepanjang Op Selamat 10

    Polis Terengganu berjaya catat pengurangan kematian akibat kemalangan jalan raya sepanjang Op Selamat 10

    Sepanjang 10 hari Op Selamat ke-10 sempena dengan Tahun Baharu Cina yang dilancarkan sejak 21 Januari lalu, polis Terengganu berjaya mengurangkan kadar kemalangan maut di negeri tersebut.

    Menurut Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Terengganu, Supt Abd Razak Hassa, angka kematian jalan raya menunjukkan penurunan dengan hanya enam kematian direkodkan dalam tempoh berkenaan berbanding 11 kematian bagi tempoh sama tahun lalu, laporan Bernama.

    “Jumlah kematian menunjukkan penurunan dan majoriti kemalangan ini melibatkan penunggang motosikal khususnya golongan remaja. Polis telah meningkatkan rondaan dan pemantauan di seluruh daerah dari Besut sehingga ke Kemaman termasuk di sepanjang laluan Lebuhraya Pantai Timur 2. Malah kita pecahkan pasukan rondaan di setiap jalan persekutuan dan lebuh raya, serta rondaan dilakukan secara berkala dengan melihat keadaan aliran serta pertambahan kenderaan,” ujarnya kepada pihak media.

    Katanya lagi, statistik kematian itu dapat dikurangkan selepas beberapa langkah pencegahan dilaksanakan terhadap pengguna jalan raya terutama penunggang motosikal khususnya golongan remaja pada operasi kali ini.

    “Seramai 100 pegawai dan anggota trafik terlibat dalam Op Selamat berkenaan. Bagi lokasi yang kerap berlaku kemalangan maut kita tempatkan pasukan statik sebelum bergerak ke lokasi seterusnya,” sambungnya.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.10
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.85 (-0.05)
EURO 5 B7 RM3.05 (-0.05)
Last Updated Aug 21, 2025