Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • GALERI: Honda BR-V – imej SUV, praktikaliti MPV

    GALERI: Honda BR-V – imej SUV, praktikaliti MPV

    Honda BR-V, atau Bold Run-about Vehicle merupakan sebuah kenderaan crossover tujuh tempat duduk yang mempertemukan rekaan sebuah SUV dengan keluasan serta praktikaliti sebuah MPV. Dipasang di Pegoh, Melaka. Menurut Honda Malaysia, 70-80% komponen yang digunakan merupakan keluaran tempatan.

    Hanya dua barian ditawarkan setakat pelancarannya awal Januari lalu, iaitu varian E dan yang paling tinggi, V. Lebih menarik, ialah tanda harga yang ditawarkan; bermula dari RM85,500 dan varian paling tinggi pula pada harga RM92,800.

    Dibangunkan khusus untuk pasaran ASEAN menggunakan platform Honda Brio/Mobilio yang dilanjutkan, BR-V dilengkapi enjin 1.5 liter SOHC i-VTEC, dengan janaan 120 PS dan 145 Nm. Ia dipadankan dengan sistem transmisi CVT Earth Dreams untuk lebih cekap.

    Bagi sistem suspensi, ia menggandingkan jenis MacPherson bagi bahagian depan dan Torsion Beam bagi bahagian belakang. Menurut Honda Malaysia, suspensi untuk BR-V di semua negara adalah sama, namun penyerap hentak (damper) bagi pasaran Malaysia telah diberi talaan yang sedikit berbeza untuk kesesuaian kegunaan di jalan raya di sini.

    BR-V dibangun dengan dimensi 4,453 mm panjang (4,456 mm untuk varian V), 1,735 mm lebar dan 1,650 mm tinggi, manakala jarak rodanya pula ialah 2,660 mm. Ia turut memberikan jarak kelegaan tanah sehingga 201 mm. Sebagai perbandingan, BR-V ini 161 mm lebih panjang, 35 mm kurang lebar dan 45 mm lebih tinggi serta jarak rodanya 50 mm lebih panjang berbanding HR-V.

    Honda BR-V 1.5L V

     
     
  • Had laju jalan persekutuan dan negeri diturunkan 10 km/j pada musim cuti perayaan Tahun Baharu Cina

    Had laju jalan persekutuan dan negeri diturunkan 10 km/j pada musim cuti perayaan Tahun Baharu Cina

    Perhatian kepada semua pengguna jalan raya yang merancang untuk pulang ke kampung halaman pada musim cuti sambutan perayaan Tahun Baharu Cina nanti, kesemua had laju pada jalan persekutuan dan jalan negeri akan diturunkan 10 km/j lebih perlahan daripada biasa sebagai sebahagian dari Ops Bersepadu, menurut laporan The Star.

    Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai mengumumkan, mulai 21 Januari hingga 5 Februri, had laju untuk jalan persekutuan ditetapkan pada 80 km/j manakala untuk jalan negeri pula ditetapkan pada 70km/j. Kenderaan berat juga dilarang daripada menggunakan lebuhraya pada 26, 27, 31 Januari dan juga 1 Februari.

    “Pada 2016 sahaja, jumlah kematian disebabkan kemalangan telah naik mendadak sehingga lebih dari 7,000 kemalangan,” kata beliau dan menambah, “ini sangat membimbangkan. Statistik akan kekal sebagai statistik jika kita semua tidak memainkan peranan masing-masing untuk mengurangkan jumlah kemalangan.”

    Liow juga menjelaskan berdasarkan statistik berkenaan, jumlah kemalangan maut meningkat dari 6,193 pada 2015 kepada 6,570 tahun lalu. Jumlah kematian juga turut meningkat dari 6,706 kepada 7,152, manakala jumlah keseluruhan kemalangan dicatatkan pada angka 521,446 bagi tahun 2016, berbanding 489,606 pada tahun sebelumnya.

    Beliau juga menyatakan bahawa 80.6% dari kemalangan berkenaan adalah berpunca dari kesilapan manusia, manakala 62.7% kemalangan maut membabitkan penunggang motosikal. “Realiti dari angka-angka ini sepatutnya membuka mata semua pengguna untuk menerapkan sikap cermat dan selamat ketika menggunakan jalan raya,” tegas beliau.

    Liow turut menambah penguatkuasaan bersepadu akan dijalankan di bawah Ops Bersepadu, manakala Institut Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) akan menjalankan penilaian terhadap keberkesanan operasi tersebut ketika musim perayaan.

     
     
  • Sistem AWAS yang ditangguh bakal dilaksana April ini

    Sistem AWAS yang ditangguh bakal dilaksana April ini

    Pihak kerajaan telah mengesahkan Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (AWAS) yang ditangguhkan sebelum ini, bakal dilaksanakan mulai April hadapan, laporan The Sun. Ia merupakan sistem bersepadu yang menggabungkan Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) dan sistem pemberian mata demerit Kejara, yang diumumkan pada Februari tahun lalu, dan sepatutnya dilaksanakan pada Mei 2016.

    Menurut Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lain, AWAS akan mula beroperasi sebaik sahaja Jabatan Pengangkutan Awam (JPJ) selesai menaiktaraf sistem. “Jabatan ini sedang menaiktaraf sistem. Jadi kita akan mengimplementasikan sistem ini dalam dua atau tiga bulan akan datang,” ujarnya kepada pihak media.

    Beliau turut menambah, tujuh lagi kamera AES akan dipasang di kawasan yang kerap kemalangan, menambah jumlah sedia ada iaitu sebanyak 14 buah yang telah ada di kawasan terpilih sebelum ini. Liow turut berkata, dengan adanya sistem ini, diharap mampu mengurangkan jumlah kemalangan jalan raya di negara kita.

    Menerusi AWAS, bila disaman, mata demerit akan ditolak bergantung kepada kesalahan yang dilakukan. Sekiranya mencecah 20 mata, lesen pemandu boleh digantung.

     
     
  • Haval H6, H9 bakal dilancarkan di Malaysia pada suku ketiga 2017, H2 diproduksi secara CKD mulai Mei ini

    Haval H6, H9 bakal dilancarkan di Malaysia pada suku ketiga 2017, H2 diproduksi secara CKD mulai Mei ini

    Kurang melancarkan model baharu bukan bermakna Haval Malaysia dan pengedarnya Go Auto tidak aktif dalam industri automotif tempatan. Namun syarikat ini masih agresif mengembangkan perniagaan di peringkat tempatan mahu pun pasaran di sekitar Asia Tenggara. Menurut CEO Ahmad Azam Suleiman ketika dalam pelancaran Haval H1 semalam, pihaknya akan memperkenalkan produk baharu pada suku ketiga tahun ini.

    Haval H6, SUV bersaiz sederhana yang bakal diposisi di atas H2, pada mulanya dijadual dilancarkan pada Jun 2014. Ia memiliki dua version yang dijual di beberapa pasaran, iaitu varian standard dan model yang lebih sporty H6 Coupe. Semalam Go Auto turut menayangkan video H6 Coupe, dan mengesahkan model ini bakal dibawa masuk ke Malaysia pada tahun ini.

    Kedua-dua model dijanakan oleh enjin sama ada 1.5 liter pengecas turbo petrol (147 hp/210 Nm), 2.0 liter turbo petrol (194 hp/315 Nm) atau 2.0 liter turbodiesel (161 hp/350 Nm) dengan padanan transmisi manual enam-kelajuan, automatik enam-kelajuan (1.5T) atau dwi-klac enam-kelajuan (2.0T petrol). JUga boleh didapati dalam varian pacuan roda-hadapan atau semua-roda.

    Haval H6, H9 bakal dilancarkan di Malaysia pada suku ketiga 2017, H2 diproduksi secara CKD mulai Mei ini

    Selain itu, model H9, juga akan dibawa masuk ke pasaran tempatan, SUV bersaiz penuh sama ada dalam konfigurasi lima- atau tujuh-tempat duduk ini, bakal diperkenalkan selepas H6. Ia dijanakan oleh enjin 2.0 liter turbo petrol dengan hamburan kuasa 215 hp pada 5,500 rpm dan tork 324 Nm dari 2,000 hingga 4,000 rpm, dan dipadankan bersama transmisi automatik enam-kelajuan dan pacuan semua-roda.

    Bukan itu sahaja, Go Auto turut akan memproduksikan model H2 secara pemasangan tempatan (CKD) pada Mei ini, selepas setahun ia dibawa dalam versi import-sepenuhnya (CBU). Walau pun rancangan ini tertangguh sejak September 2016, namun dengan adanya model CKD, harganya mungkin akan dikurangkan berbanding harga semasa, RM89,950 (Standard), RM98,950 (Comfort) and RM101,950 (Premium) (harga atas jalan dengan insurans). Malah ia juga direncanakan bakal dieksport ke pasaran ASEAN lain.

    Bagi jualan pula, Buy Back Guarantee telah diperkenalkan untuk semua model mulai 1 Januari lalu. Di mana ia memberikan jaminan 50% nilai kenderaan dalam tempoh lima tahun akan datang. Ini bermakna Haval akan membeli semula pada harga 50% daripada jualan sekiranya pemilik menjual kenderaan ini dalam tempoh lima tahun.

    Haval H6, H9 bakal dilancarkan di Malaysia pada suku ketiga 2017, H2 diproduksi secara CKD mulai Mei ini

    Go Auto turut menambah bilangan rangkaian untuk pusat 2S dan 3S iaitu dari 24 ke 36 tahun ini, dan merancang untuk meningkatkan kapasiti produksi sehingga 25,000 kenderaan menjelang 2018. Malahan syarikat ini juga mensasarkan jualan sebanyak 9,000 unit untuk tahun ini, termasuk pasaran eksport ke luar negara. Ahmad Azam menyatakan, pihaknya telah telah mengeksport lebih kurang 1,500 unit kenderaan sejak tahun 2015.

    Bagi jualan 2016, sebanyak 989 unit telah terjual iaitu hanya 33 unit untuk H2 baharu, dan Go Auto mensasarkan untuk menjual lebih 200 unit bagi H2 untuk suku pertama tahun ini. Malahan produksi CKD untuk model berkenaan dilihat mampu meningkat jualannya bagi tahun-tahun akan datang.

    Bagi pasaran lain, Go Auto telah pun memiliki pengedar di Phnom Penh, malah sedang berusaha untuk meningkatkan jumlahnya menjadi tiga pada tahun ini. Bukan itu sahaja, mereka juga memiliki satu pengedar di Brunei, Thailand dan Indonesia. Ahmad Azam turut berkata, pihaknya juga sedang memperkukuhkan perniagaan di sana terlebih dahulu sebelum mengeksplorasi pasaran luar lain. Malah turut merancang untuk membuka pusat pengedar di Myanmar dan Filipina, yang bakal diumumkan tidak lama lagi.

    GALERI: Haval H6 Coupe

    GALERI: Haval H9

    GALERI: Haval H2

     
     
  • Opel/Vauxhall Crossland X – SUV saingan Captur

    Opel/Vauxhall Crossland X – SUV saingan Captur

    GM Europe telah mengeluarkan set gambar pertama untuk Opel dan Vauxhall Crossland X baharu. Ia mungkin kelihatan sama seperti Mokka X, tetapi sebenarnya lebih kecil. Mokka lebih kepada untuk mereka yang mahukan pengembaraan, di mana kenderaan tersebut dilengkapi 4WD, 70 mm lebih tinggi dan rim lebih besar. Crossland pula, selain lebih kecil, turut lebih memberi perhatian kepada praktikaliti dan fleksibiliti.

    Panjang Crossland X adalah 4.21 meter, dan ini adalah 63 mm lebih pendek, 17 mm kurang lebar dan 70 mm lebih rendah berbanding Mokka X. Ia juga 16 sm lebih penderk berbandin Astra Hatch, sekaligus menawarkan pengendalian urban lebih baik. Kenderaan ini juga didatangkan dengan posisi tempat duduk yang ditinggikan dan ketinggian keseluruhan 10 sm lebih tinggi berbanding Astra. Menurut pengeluarnya, sementara Mokka bersaing dengan Nissan Juke dan Skoda Yeti, Crossland pula mensasarkan Renault Captur dan Peugeot 2008 sebagai saingan.

    Walaupun saiznya lebih kecil, Crossland mempunyai kabin yang lebih besar berbanding Mokka. Ia juga dilengkapi dengan tempat duduk belakang yang boleh dilipat 60/40 dan dilungsur 150 mm ke depan dan belakang. Bergantung kepada kedudukan tempat duduk belakang, ruang simpanan di but boleh mencecah antara 410 hingga 520 liter.

    Opel/Vauxhall Crossland X – SUV saingan Captur

    Ciri keselamatan dan bantuan pemandu yang ada pada kereta ini antaranya termasuk kamera pandangan panoramik 180 darjah, sistem bantu letak kenderaan, amaran perlanggaran hadapan dengan pengesan pejalan kaki dan brek kecemasan autonomous, amaran keluar lorong, pengesan tanda had laju dan amaran titik buta.

    Pemilik juga mendapat manfaat daripada OnStar GM, serta sistem informasi dan hiburan IntelliLink (boleh disambung dengan Apple CarPlay dan Android Auto) yang dipaparkan pada skrin sesentuh berwarna lapan inci. Menurut GM, pilihan luas enjin petrol dan diesel, dengan transmisi manual atau automatik disediakan untuk kenderaan ini. Memandangkan Crosslan berkongsi ciri mekanikal dengan Peugeot 2008, enjin dan transmisinya juga boleh jadi sama.

     
     
  • MINI John Cooper Works Countryman diperkenalkan

    MINI John Cooper Works Countryman diperkenalkan

    Selepas pengenalan MINI Countryman generasi kedua, pengeluar kenderaan tersebut kini menampilkan versi prestasi tinggi untuk SUV British tersebut. John Cooper Works Countryman mengikut formula sama seperti MINI berlencana JCW yang lain, iaitu lebih berkuasa dan sporty.

    Di bawah hudnya terdapat enjin empat silinder 2.0 liter turbo sama seperti yang digunakan pada JCW Clubman, menyediakan 231 hp dan 350 Nm tork. Sistem pacuan semua roda MINI ALL4 datang standard pada kenderaan ini dan pembeli boleh memilih padanan transmisi sama ada manual enam kelajuan atau automatik Steptronic lapan kelajuan.

    Bagi yang memilih transmisi automatik, kenderaan mereka juga akan dilengkapi fungsi Launch Control, membolehkan ia memecut dari kosong ke 100 km/j dalam masa hanya 6.5 saat. Masa ini adalah sama dengan pecutan versi manual. Walaupun begitu, masa ini adalah sekitar 0.8 saat lebih pantas berbanding Cooper S Countryman ALL4.

    MINI John Cooper Works Countryman diperkenalkan

    Kuasa tambahan ini disertai dengan tetapan suspensi lebih sporty, brek Brembo dan fungsi MINI Driving Modes dengan tiga pilihan tetapan – Sport, Mid dan Green. MINI juga telah memberikan Countryman ini penggayaan khas JCW untuk membezakannya dengan model biasa.

    Pada bahagian hadapan, terdapat gril honeycomb baharu dengan logo JCW yang terletak di antara dua lampu utama LED, kit badan JCW Aerodynamics dengan ruang kemasukan udara lebih besar dan rim aloi Black Thrill Spoke John Cooper Works 18 inci (saiz 19 inci juga boleh dipilih). MINI juga menawarkan pilihan empat warna standard dan enam warna metalik, dengan Rebel Green sebagai warna eksklusif JCW, bersama jalur-jalur merah.

    Pada bahagian dalam, pelbagai lagi barangan khas JCW dipasang pada kenderaan ini seperti tempat duduk sport, stereng pelbagai fungsi serta tombol gear khas. Untuk kelengkapan lain, terdapat sistem MINI Visual Boost, MINI Controller di konsol tengah dan skrin 6.5 inci. Jika itu masih lagi tidak cukup, anda juga boleh memilih kelengkapan tambahan seperti pengawal pendingin hawa dua zon, sistem informasi dan hiburan lebih lengkap, skrin 8.8 inci dan sistem bunyi Harman Kardon.

     
     
  • Larang kapcai masuk KL: keperluan golongan berpendapatan rendah perlu diambil kira – Polis

    Larang kapcai masuk KL: keperluan golongan berpendapatan rendah perlu diambil kira – Polis

    Pelbagai respon diberikan terhadap cadangan larangan terhadap motosikal kapcai untuk masuk ke pusat bandar Kuala Lumpur yang diutarakan oleh Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor sebelum ini. Terbaharu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) berpendapat pihak berkuasa perlu mengkaji semula perkara berkenaan dengan mengambil kira faktor lain, menurut laporan Bernama.

    PDRM menerusi Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti, Datuk Rusli Ahmad meminta kerajaan melihat semula cadangan tersebut, terutamanya apabila menyentuh keperluan pengguna motosikal daripada golongan berpendapatan rendah.

    “Dari segi keselamatan, kita tidak menafikan larangan itu dapat mengurangkan jenayah ragut kerana kajian terdahulu mendapati ia kebanyakannya dilakukan pengguna motosikal kapcai,” katanya.

    Rusli berpendapat larangan yang dicadangkan itu mungkin sesuai dilaksanakan hanya di tempat tertentu misalnya di kawasan sesak dengan orang ramai seperti di pasar malam dan di majlis keramaian kerana tempat-tempat itu boleh memberi peluang kepada penjenayah ragut yang menunggang kapcai.

    “Pihak berkuasa mungkin boleh melarang motosikal kapcai ini daripada memasuki kawasan orang ramai pada waktu tertentu sahaja dan bukannya melarang kemasukkan motosikal itu di pusat bandar,” jelas Rusli.

    Kenyataan Tengku Adnan sebelum ini menyebut motosikal berkuasa kecil atau ‘kapcai’ mungkin akan dilarang daripada memasuki ibu kota dalam usaha mengurangkan kadar pelepasan karbon dan jenayah ragut. Pihaknya melihat kaedah larangan ini sebagai usaha yang berbaloi memandangkan pengangkutan awam kini lebih banyak pilihan dan dengan harga yang berpatutan.

    Perkara ini turut mendapat respon negatif dari Menteri Sumber Asli dan Tenaga, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dengan memberitahu bahawa motosikal bukanlah penyebab utama kepada pencemaran udara dan langkah halangan ini memerlukan kajian saintifik sebelum dilakukan.

     
     
  • Jentera-jentera F1 2017 lebih pantas 40 km/j di selekoh

    Jentera-jentera F1 2017 lebih pantas 40 km/j di selekoh

    Dengan undang-undang yang telah di rombak semula untuk Kejohanan Formula Satu musim 2017, FIA mendakwa jentera-jentera yang bertanding mampu meredah selekoh-selekoh tertentu dengan kelajuan 40 km/j lebih laju dari sebelum ini, menurut laporan motorsport.com.

    Undang-undang baharu dari FIA ini membenarkan pasukan-pasukan yang bertanding membina kereta yang lebih lebar, sayap yang lebih besar serta penggunaan tayar yang juga lebih lebar, dan dijangka bakal memberikan rekod lap terpantas dikurangkan sebanyak lima saat berbanding jentera-jentera musim 2015.

    Menurut timbalan pengarah perlumbaan F1, Laurent Mekies, pihaknya meminta setiap pasukan yang bertanding untuk menghantar data simulasi jentera untuk musim 2017 mereka. Menerusi data-data tersebut, FIA dapat menjangka prestasi setiap jentera berkenaan menerusi perisian simulasi mereka.

    “Oleh itu, kami dapat membuat simulasi terhadap setiap litar dengan jentera-jentera 2017, didapati mampu untuk melalui selekoh dengan kelajuan lebih tinggi. Sehingga 40 km/j lebih laju pada selekoh berkelajuan tinggi,” jelasnya pada Autosport International Show.

    Dengan data simulasi yang diperolehi berkenaan, aspek keselamatan pada sebahagian litar yang menganjurkan perlumbaan F1 musim ini juga turut perlu dirombak semula, termasuk litar Albert Park di Melbourne yang akan menganjurkan Grand Prix Australia sebagai pusingan pembukaan tahun ini, bakal berlangsung pada hujung Mac nanti.

    “Kesemua litar menerima permintaan untuk ditingkat taraf oleh FIA berdasarkan data ini. Proses tersebut kini sedang berlangsung; kami melakkukannya bagi memastikan kejohanan berlangsung secara sempurna,” ujar Mekies lagi dan menambah, “oleh itu, tidak semua litar menerimanya lagi, tetapi mereka akan menerimanya. Melbourne adalah ok.”

     
     
  • VIDEO: Perodua Bezza jadi pengubat putus cinta?

    Kalau anda sedang stress atau serabut mungkin disebabkan penangan banyak kerja di pejabat atau pun ada masalah peribadi lain, apa kata tonton video ini. Ya, ini merupakan video bagi mempromosikan Perodua Bezza oleh Perodua Sales Kluang Main Branch, bertajuk “I Told You, Its Bezza!”. Namun video dalam Bahasa Malaysia ini agak melucukan.

    Mengisahkan hubungan pasangan kekasih, Alin dan Am, yang kecundang di tengah jalan hanya kerana Alin tidak berpuas hati Am masih bermotosikal buruk (dan rosak pulak tu). Membuatkan Alin memutuskan hubungan cinta mereka. Am yang sedang kecewa teruk ‘menangisi’ perpisahan mereka disapa oleh seorang sales advisor cawangan Perodua terbabit dan diperkenalkan dengan Bezza.

    Setelah ‘dihidangkan’ dengan pelbagai elemen menarik yang ada pada Bezza, tanpa berfikir panjang, Am terus bersetuju untuk membelinya. Apakah yang terjadi seterusnya? Sila tonton video ini sampai habis.

     
     
  • BMW 4 Series LCI didedahkan – gaya, suspensi baharu

    BMW 4 Series LCI didedahkan – gaya, suspensi baharu

    Selepas hampir dua tahun diberikan kepada F30 3 Series, facelift Life Cycle impulse (LCI) akhirnya diberikan pula kepada model BMW 4 Series. F32 Coupé, F33 Convertible, F36 Gran Coupé empat pintu, F82 M4 Coupé dan F83 M4 Convertible semuanya mendapat peningkatan rupa dan mekanikal bagi menjadikannya lebih hebat untuk menentang saingan seperti Audi A5 dan Mercedes-Benz C-Class Coupe dan Cabriolet.

    Pada bahagian luar, perubahan yang dilakukan membawa rekaan barisan 4 Series lebih hampir kepada 4 Series Coupé Concept. Kini terdapat lampu utama LED penuh secara standard dan lampu kabus LED – dengan unit lampu siang LED adaptifnya menggunakan rekaan heksagon ‘corona ring’ yang lebih tebal – serta tambahan kemasan pada sekeliling salur udara di bawah untuk versi Sport dan Luxury.

    Pada bahagian belakang, terdapat lampu LED penuh, dengan rekaan berlengkung dan berbentuk L untuk light guide, serta bampar rekaan baharu. Turut disediakan adalah empat rekaan rim baharu – 18 dan 19 inci – setiap satunya untuk model Advantage, Sport, Luxury dan M Sport. Pilihan warna baharu Sunset Orange dan Snapper Rocks Blue turut disediakan. Kedua-dua rim dan warna baharu ini adalah eksklusif untuk 4 Series sahaja.

    BMW 4 Series LCI didedahkan – gaya, suspensi baharu

    Di dalam, pembaikan yang diberi tidak begitu ketara, dan boleh dikatakan menyerupai seperti apa yang dilakukan pada 3 Series. Terdapat kemasan krom dan electroplated pada beberapa bahagian, hitam berkilat di keliling butang kawalan pendingin hawa dan audio, pemegang cawan boleh lungsur dan balutan kulit berkualiti tinggi pada roda stereng sport standard, serta jahitan di atas papan pemuka.

    Terdapat juga piihan warna kulit Dakota baharu yang termasuk Midnight Blue, Cognac dan Ivory White, serta kemasan Carbon Aluminium, Light Fineline dan High-gloss Black. Satu lagi kelengkapan unik bagi 4 Series LCI adalah panel paparan pelbagai fungsi digital penuh, yang diambil daripada F10 5 Series LCI. Turut disertakan adalah sistem navigasi profesional yang dinaik taraf dengan beberapa fungsi, seperti pada G30 5 Series.

    Di bawah badan ini, versi Coupé dan Gran Coupé kini menggunakan tetapan suspensi lebih tegap yang disasarkan untuk memberi pemanduan lebih sporty, tanpa menjejaskan keselesaan. Dinamik untuk versi standard, M Sport turut diperbaik. Semua model 4 Series LCI kini mempunyai kestabilan di jalan lurus lebih baik serta stereng yang lebih komunikatif, manakala pilihan tayar prestasi disediakan untuk model 430i dan 430d ke atas.

    BMW 4 Series LCI didedahkan – gaya, suspensi baharu

    Pilihan enjin masih lagi sama seperti tahun lepas, sewaktu 4 Series menerima peningkatan enjin daripada 3 Series LCI. Ini termasuk unit B48 2.0 liter turbo empat silinder berkuasa 184 hp untuk 420i dan 252 hp untuk 430i, B58 3.0 liter turbo enam silinder berkuasa 326 hp pada 440i, dan B47 2.0 liter turbodiesel 190 hp untuk 420d dan 224 hp untuk 425d.

    Sementara itu, 430d berkuasa 258 hp dan 435d berkuasa 313 hp dijana oleh enjin N57 3.0 liter turbo diesel enam silinder yang sama, seperti sebelum ini. Bagi transmisi, terdapat pilihan kotak gear manual enam kelajuan atau automatik lapan kelajuan ZF. Kotak gear automatik ini datang terus pada model 430i xDrive, 430d, 435d dan 440i Convertible dan Gran Coupé. Sistem pacuan semua roda xDrive datang secara terus pada model 435d dan boleh dipilih untuk dilengkapkan pada kebanyakan model yang ditawarkan.

    GALERI: BMW 440i Coupé M Sport LCI

    GALERI: BMW 430i Convertible Luxury LCI

    GALERI: BMW 440i Gran Coupé M Sport LCI

    GALERI: BMW M4 Coupé Competition Package LCI

    GALERi: BMW M4 Convertible Competition Package LCI

     
     
  • Perodua serap kesan tukaran mata wang asing, tiada kenaikan harga kenderaan buat masa sekarang

    Perodua serap kesan tukaran mata wang asing, tiada kenaikan harga kenderaan buat masa sekarang

    2016 merupakan tahun yang mencabar bagi industri automotif tempatan, dan ini turut diakui oleh Perodua. Seperti yang kami laporkan sebelum ini, walaupun kekal sebagai pendahulu industri bagi jumlah jualan kenderaan serta peningkatan kadar perkongsian pasaran, angka jualannya tetap menyusut tahun lalu.

    Berdepan dengan tahun 2017, Perodua sekali lagi menjangkakan ia akan menjadi satu tahun yang juga mencabar. Namun, ada berita yang sedikit melegakan ramai orang; walaupun dengan kejatuhan nilai ringgit serta kadar pertukaran mata wang asing yang tidak menyebelahi Malaysia ketika ini, Perodua akan menyerap kesan berkenaan agar tidak membebankan pengguna.

    “Selagi kami mampu, kami akan cuba menampung segala kesan yang disebabkan oleh kadar pertukaran mata wang asing terhadap operasi syarikat. Untuk itu, dalam masa terdekat ini, kami belum bercadang untuk menaikkan harga kenderaan (model-model sedia ada) yang dikeluarkan oleh Perodua,” jelas Presiden dan CEO Perodua, Datuk Aminar Rashid Salleh.

    Perodua serap kesan tukaran mata wang asing, tiada kenaikan harga kenderaan buat masa sekarang

    Walaupun dengan penghasilan komponen kenderaan yang kebanyakannya dari dalam negara, Perodua tetap mengimport barangan seperti ECU kenderaan, peralatan elektronik serta cat warna metalik, dan semua transaksi ini dilakukan dalam mata wang USD.

    Bagi tahun ini, Perodua akan mengurangkan jumlah pengeluaran kenderaannya dari 213,000 unit kepada 197,000 unit, dengan sasaran perkongsian pasaran sebanyak 34%. Jumlah jualan kenderaan pula disasarkan pada bilangan 202,000 unit. Angka-angka ini berkurangan berbanding 2016 kerana mengambil kira pasaran yang dijangka semakin kompetitif dan mencabar akan berterusan tahun ini.

    Model terbaru yang akan dilancarkan secara rasmi Jumaat ini, Perodua Axia facelift sudah mula dipamerkan dibilik-bilik pameran Perodua seluruh negara hari ini. Harganya bagaimana pun naik sedikit; lebih RM2,773, tetapi dengan penambah baikan seperti enjin yang lebih jimat, dengan kelengkapan yang juga bertambah.

    GALERI: Perodua Axia Advance 1.0 facelift

     
     
  • Takata mengaku bersalah, bayar US$1 billion untuk saman dan pampasan mangsa serta pengeluar

    Takata mengaku bersalah, bayar US$1 billion untuk saman dan pampasan mangsa serta pengeluar

    Kes mahkamah berkenaan panggilan semula terbesar membabitkan isu keselamatan dalam sejarah industri automotif – inflator beg udara keluaran Takata Corp – kini telahpun menghampiri penyelesaianya. Reuters melaporkan syarikat Jepun berkenaan telah mengaku bersalah atas dakwaan jenayah yang dilakukan dan bersetuju untuk membayar sejumlah US$1 billion untuk menyelesaikan isu di bawah penyiasatan Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat tersebut.

    Persetujuan ini telah pun dicapai pada minggu lalu selepas pendakwa-pendakwa di Detroit mendakwa tiga bekas eksekutif senior Takata atas kesalahan memalsukan hasil ujian untuk menyembunyikan kecacatan pada inflator berkenaan, dan telah menyebabkan sekurang-kurangnya 16 kematian di seluruh dunia, termasuk berberapa kes yang berlaku di Malaysia.

    Takata akan membayar saman bernilai US$25 juta, US$125 juta dibayar kepada dana pampasan kepada mangsa, termasuk insiden yang bakal berlaku pada masa hadapan, dan US$850 juta pampasan kepada pengeluar kenderaan untuk menampung kos panggilan semula secara besar-besaran. Menurut Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat, sehingga kini panggilan semula tersebut telah menjejaskan sebanyak 19 pengeluar kenderaan.

    Takata mengaku bersalah, bayar US$1 billion untuk saman dan pampasan mangsa serta pengeluar

    Takata Corp turut perlu untuk membuat perubahan besar dan akan diletakkan di bawah pemerhatian serta akan dipantau oleh pemerhati bebas dalam masa tiga tahun. Penyelesaian ini masih memerlukan kelulusan dari hakim persekutuan di Detroit, dan ia berbeza dari keputusan yang di capai pada 2015, apabila Takata terpaksa membayar sejumlah US$70 juta kepada pentadbir keselamatan auto Amerika Syarikat setelah didapati tidak mengeluarkan notis panggilan semula walaupun mengesan masalah pada inflator beg udara keluarannya.

    “Mencapai persetujuan ini merupakan langkah besar dalam menyelesaikan isu inflator beg udara dan merupakan peristiwa penting dalam proses yang sedang berjalan untuk menyelamatkan pelaburan Takata,” kata Shigehisa Takada, pengerusi dan CEO Takata Corp. Syarikat berkenaan “sangat menyesal dengan akibat yang telah terjadi dalam situasi ini dan sentiasa komited untuk menjadi sebahagian dari penyelesaiannya,” tambah beliau.

    Dalam perkembangan berasingan, juri persekutuan mendakwa tiga orang eksekutif senior Takata selepas siasatan jenayah yang dijalankan selama dua tahun. Shinichi Tanaka, Hideo Nakajima, dan Tsuneo Chikaraishi di dakwa atas tuduhan konspirasi dalam menyakinkan pengeluar automotif untuk membeli “inflator yang rosak, berkualiti rendah, tidak berfungsi dan berbahaya” menggunakan laporan palsu.

    Jabatan kehakiman berkenaan berkata ketiga-tiga rakyat Jepun ini telah digantung tugas pada 2015 dan kini tidak lagi bekerja dengan Takata. Dakwaan tersebut menyatakan ketiga-tiga mereka tahu sekitar tahun 2000 bahawa inflator-inflator berkenaan tidak memenuhi spesifikasi yang ditetapkan pengeluar dan gagal ketika diuji, tetapi mereka menyediakan laporan hasil ujian palsu kepada pengeluar-pengeluar kenderaan.

    01_honda_malaysia_mobile_hub_bm

    Di Amerika Syarikat, inflator beg udara Takata yang terjejas telah dikaitkan kepada 11 kematian dan 184 kecederaan. Berberapa kemalangan maut yang dikaitkan dengan inflator beg udara yang pecah keluaran syarikat tersebut turut di laporkan di Malaysia, dan kesemuanya terjadi pada kenderaan keluaran Honda.

    Honda Malaysia telah sedaya upaya untuk menyeru semua pemilik kenderaan yang terjejas untuk menukar inflator beg udara berkenaan dengan pelbagai usaha, termasuk mewujudkan hab bergerak dan juga servis dari pintu-ke-pintu.

    Sehingga Disember 2016, Honda Malaysia mengatakan mereka hanya berjaya menukar 71% dari jumlah keseluruhan kenderaan yang menggunakan inflator beg udara yang terjejas (stok berada pada tahap 100%), dengan kebanyakkan dari pemilik-pemilik berkenaan masih lagi belum memberikan respon terhadap panggilan semula ini.

    Jika anda ragu-ragu sama ada kenderaan Honda anda terlibat atau tidak dengan panggilan semula ini, anda boleh lawati laman web khas yang disediakan DI SINI, dan masukkkan nombor pengenalan kenderaan (VIN) atau dikenali juga sebagai nombor casis kereta anda DI LAMAN TERSEBUT. Anda juga boleh memeriksa status kereta anda atau untuk mengetahui dengan lebih lanjut berkenaan apa-apa juga tentang isu ini dengan menghubungi talian 1800-88-2020 atau kunjungi mana-mana pengedar sah Honda.

     
     
  • Nissan Note dilancarkan di Thailand, dari RM71k

    Nissan Note dilancarkan di Thailand, dari RM71k

    Nissan Note akhirnya dilancarkan di Thailand, dengan menawarkan dua varian – V dan VL – harga dari 568,000 baht (RM71,714) untuk varian asas, sementara model spesifikasi tertinggi pula 640,000 baht (RM80,805).

    Merupakan model baharu sepenuhnya untuk pasaran Thailand, Note merupakan model Nissan ketiga yang diperkenalkan di bawah projek Kerete ECO Thailand Fasa 1. Di bawah hudnya, terletak enjin tiga-silinder 1.2 liter yang sama seperti model hatchback March dan sedan Almera. Penjana kuasa ini mampu menghasilkan output sehingga 79 PS dan tork 106 Nm, dengan pacuan roda hadapan yang disalurkan menerusi transmisi Xtronic CVT sahaja.

    Menurut Nissan, penggunaan bahan api bagi Note sekitar 5 l/100 km, dengan pelepasan CO2 lebih kurang 120 g/km, kedua-duanya dalam anggaran spesifikasi Fasa 1.

    Berkenaan dengan rekaannya, Note dibina berdasarkan model facelift terkini yang diperkenalkan di Jepun pada November 2016. Perubahan visual yang boleh didapati termasuk gril V-motion yang lebih berketerampilan, lampu utama projektor baharu, bampar hadapan dan belakang yang direka semula, sementara bahagian dalamannya pula menampilkan roda stereng rata di bawah tiga-jejari.

    Selain itu, Note turut menerima penghawa dingin automatik, sistem infotainmen skrin sesentuh 7-inci (hanya VL), sistem audio 5-inci (hanya V), kawalan roda stereng (hanya VL), operasi tanpa kunci, Fine Vision Meter dan fabrik upholsteri.

    Bagi sistem bantuan pemandu dan keselamatan, Note didatangkan dengan dua beg udara hadapan, Kawalan Dinamik Kenderaan, ABS dengan EBD, bantuan brek dan bantuan mula mendaki sebagai elemen standard. Walau bagaimana pun, hanya VL yang menerima teknologi lebih canggih termasuk Amaran Pelanggaran Hadapan (FCW), Brek Kecemasan Pintar Nissan, Brek Kecemasan Hadapan (dengan pengesan pejalan kaki), Amaran Penukaran Lorong, Paparan Pandangan Sekeliling dan Pengesan Objek Bergerak.

    Note adalah betul-betul bersaing dengan Honda Jazz, di mana harganya sedikit tinggi antara
    594,000 (RM74,993) dan 754,000 baht (RM95,220) di Thailand. Hanya yang membezakannya ialah Jazz tidak termasuk dalam senarai kereta Eco di Thailand disebabkan enjinnya 1.5 liter yang lebih besar (spesifikasi Fasa 1 adalah di bawah 1,200 cc), maka ia tidak menerima insentif harga.

    GALERI: Nissan Note e-Power JDM

     
     
  • Pengharaman kapcai masuk KL perlukan kajian lanjut

    Pengharaman kapcai masuk KL perlukan kajian lanjut

    Berikutan kenyataan yang dikeluarkan oleh Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, bahawa satu kaedah larangan terhadap motosikal berkapasiti kecil untuk masuk ke pusat bandar sedang dilihat, seorang lagi menteri memberi kenyataan balas kepada The Star.

    Kali ini adalah Menteri Sumber Asli dan Tenaga, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar. Bertentangan dengan kenyataan Adnan, Junaidi memberitahu bahawa motosikal bukanlah penyebab utama kepada pencemaran udara dan langkah halangan ini memerlukan kajian saintifik sebelum dilakukan.

    “Motosikal kecil tidak mengeluarkan banyak karbon. Yang besar ya. Kenapa kita nak menghalang yang kecil (motosikal) pula? Kita sepatutnya menghalang yang besar,” kata Junaidi.

    Walaupun bersetuju secara prinsipnya, untuk mengurangkan perlepasan karbon, operasi kenderaan persendirian juga perlu dikurangkan, Junaidi menyatakan satu kajian rapi perlu dilakukan untuk menentukan jika ia benar-benar dapat membantu menghasilkan keadaan yang lebih baik.

    “Kita perlu tahu, siapa atau kenderaan jenis apa yang paling banyak mencemarkan alam. Adakah lori, bas, kereta atau motosikal? Untuk motosikal saya tidak tahu, tetapi pada pandangan saya, lori besar yang sepatutnya dihalang,” tambah Junaidi.

    Beliau turut menyatakan bahawa satu perbincangan lanjut akan diadakan di antara kementerian beliau dan kementerian Wilayah Persekutuan.

     
     
  • GALERI: Kuhl-Racing di Tokyo Auto Salon 2017

    GALERI: Kuhl-Racing di Tokyo Auto Salon 2017

    Penala dan pembuat kita badan dari Jepun – Kuhl Racing – yang sebelum ini tampil dengan kit badan agresif untuk Toyota CH-R, turut mempamerkan barisan kit-kit badan terkininya di pameran ulung tahunan kereta-kereta ubahsuai Jepun – Tokyo Auto Salon (TAS) 2017.

    Pada TAS edisi kali ini, Kuhl bukan sahaja menampilkan kit badan kereta sport sebenar seperti Nissan GT-R R35. Skyline GT-R R34 dan Toyota 86, malah rekaan mereka sangat meluas bermula kereta hibrid Toyota Prius generasi terkini, SUV bersaiz besar seperti Toyota Prado dan juga MPV Toyota Alphard.

    Seperti juga rekaan-rekaan Kuhl sebelum ini, koleksi demo-car mereka kali ini diberikan elemen yang begitu agresif serta rekaan skirt dan juga spoiler bawah yang labuh, berserta larasan suspensi ekstrem, memberikan kedudukan badan yang sangat rendah. Berberapa demo-car juga turut diberikan talaan sudut camber negatif, bagi memberikan stance yang lebih menarik.

    Rata-rata demo-car Kuhl Racing yang dipamerkan kali ini turut diberikan cat badan dengan warna yang begitu menyerlah, serta diberikan elemen-elemen grafik seperti mutiara.

    Tidak ketinggalan, Kuhl Racing turut mempamerkan koleksi rim-rim concave keluaran mereka dari siri Verz yang direka dengan offset menarik dan bibir rim yang begitu dalam, sesuai untuk mereka yang gemarkan ubahsuai bertema stance & fitment.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.10
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.85 (-0.05)
EURO 5 B7 RM3.05 (-0.05)
Last Updated Aug 21, 2025