Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • MRT: Tempoh percuma berakhir hari ini, mulai esok orang ramai disaran guna kaedah bayaran tanpa tunai

    MRT: Tempoh percuma berakhir hari ini, mulai esok orang ramai disaran guna kaedah bayaran tanpa tunai

    Hari ini adalah hari terakhir orang ramai boleh menggunakan perkhidmatan Mass Rapid Transit (MRT) secara percuma, termasuk untuk tempat meletak kenderaan dan bas perantara. Mulai esok, ia akan dikenakan bayaran yang telah ditetapkan.

    Rapid Rail Sdn Bhd, pengendali MRT, menggesa pengguna menggunakan kaedah tanpa tunai bagi kemudahan dan kelancaran perjalanan mereka. Di mana pengguna akan dikenakan bayaran antara RM1.20 dan RM3.90, bergantung kepada jarak perjalanan di bawah struktur tambang tunai dan antara RM1.20 dan RM3.40 di bawah kaedah tanpa tunai.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan, penumpang boleh membeli token perjalanan mereka daripada Mesin Layan Diri Tiket. Bagi kaedah tanpa tunai, mereka boleh membeli kad Touch ‘n Go, Kad Bulanan MRT atau Kad Mingguan MRT daripada pejabat khidmat pelanggan di stesen bagi kemudahan perjalanan.

    MRT: Tempoh percuma berakhir hari ini, mulai esok orang ramai disaran guna kaedah bayaran tanpa tunai

    Rapid Rail turut berkata, hanya token dan kad Touch ‘n Go boleh digunakan untuk memasuki pintu masuk tiket, manakala kad MyRapid hanya diterima bagi kegunaan selepas pembukaan fasa kedua antara Semantan dan Kajang, yang dijadualkan pada Julai ini.

    Selain itu, pelajar, warga emas dan orang kurang upaya (OKU) akan diberikan diskaun 50% dan token konsesi boleh dibeli daripada pejabat khidmat pelanggan di stesen MRT.

    Manakala perkhidmatan bas perantara akan mengenakan bayaran RM1 bagi setiap perjalanan, sambil menambah pembayaran boleh dibuat secara tunai atau kad Touch ‘n Go.

     
     
  • MINI Countryman JCW Design Edition baharu eksklusif sempena Tahun Baharu Cina – harga RM243k

    MINI Countryman JCW Design Edition baharu eksklusif sempena Tahun Baharu Cina – harga RM243k

    Sempena dengan sambutan Tahun Baharu Cina ini, MINI Malaysia telah memperkenalkan MINI Countryman JCW Design Edition baharu dan eksklusif. Ia adalah hasil inspirasi kejayaan MINI dalam menawarkan pemanduan yang cukup mengujakan. Malah turut menampilkan rekaan agresif yang sedia untuk meneroka apa jua keadaan. Pada masa yang sama menjadi model aktiviti sukan premium kompak yang bergaya untuk kegunaan harian.

    Dengan Kit Aerodinamik John Cooper Works memberikan MINI Countryman JCW Design Edition baharu penampilan yang mantap dan berkuasa. Sekaligus memberi refleksi terhadap warisan sukan bermotor John Cooper Works. Kit penuhnya merangkumi splitter hadapan, skirting sisi, ketutup sisi, peresap belakang dan kemasan pintu yang membuatkan kereta ini kelihatan begitu sporty serta maskular berbanding model standard.

    Ia juga hadir dengan jalur John Cooper Works Sport Stripes yang selari dari bahagian hadapan hingga ke belakang serta pada sisi kereta. Ini memberikan MINI penampilan yang lebih agresif dan mantap.

    MINI Countryman JCW Design Edition baharu eksklusif sempena Tahun Baharu Cina – harga RM243k

    Bukan itu sahaja, MINI Countryman JCW Design Edition menjadi satu-satunya MINI yang menawarkan lampu projektor LED MINI pada pintu yang boleh ditukar. Apabila pintu dibuka, satu grafik akan dipancarkan ke tanah. Selain logo MINI, ia juga hadir dengan rekaan bendera Union Jack dan John Cooper Works. Ia juga dilengkapi bumbung dan perumah cermin sisi berwarna hitam.

    Di samping penampilannya yang menyerlah, MINI Countryman JCW Design Edition juga dijana oleh enjin 1.6 liter pengecas turbo VVT DOHC dengan suntikan terus yang mampu menghamburkan kuasa sehingga 190 hp dan tork antara 240-260 Nm dengan Fungsi Overboost. Ia mampu mencatat kelajuan dari 0-100 km/j dalam masa hanya 7.8 saat dengan pecutan maksimum 212 km/j.

    Pada bahagian kabin, ia menawarkan pilihan elemen reka bentuk dan fungsi yang baharu termasuklah MINI Visual Boost dengan skrin LCD warna beresolusi tinggi bersaiz 6.5-inci, roda stereng sport balutan kulit dengan paddle shifter dan penghawa dingin automatik. Tempat duduknya yang sporty balutan kulit bersama upholsteri Leather Gravity Carbon Black. Manakala kemasan dalaman hitam berkilat pula menampilkan elemen krom.

    MINI Countryman JCW Design Edition baharu eksklusif sempena Tahun Baharu Cina – harga RM243k

    Dengan ciri Park Distance Control, urusan masuk dan keluar dari ruang parkir yang sempit menjadi lebih mudah. Satu lagi ciri yang sangat membantu untuk pemanduan di bandar dan dapat diaktifkan dengan hanya menekan Sport Button, ia akan menukar maklum balas enjin dan kuasa tambahan kemudian disalurkan kepada stereng.

    Karekter MINI Countryman JCW Design Edition baharu yang versatil dipertingkatkan lagi menerusi ruang but seluas 350 liter. Ia boleh ditambah menjadi 1,170 liter apabila tempat duduknya dilipat. Setiap tempat duduk belakang yang boleh dilipat dengan konfigurasi 40:20:20 juga boleh boleh ditolak 13 cm ke hadapan untuk memberi ruang but yang lebih besar. Ia juga dilengkapi satu lantai kompartmen rata yang menawarkan ruang penyimpanan ekstra dan versatil di bawah lantai kargonya.

    MINI Countryman JCW Design Edition baharu eksklusif sempena Tahun Baharu Cina – harga RM243k

    MINI Countryman JCW Design Edition baharu telah pun berada di semua pengedar sah MINI di seluruh negara bersama kempen istimewa sempena sambutan Tahun Baru Cina bermula hari ini sehingga 31 Mac 2017.

    Ia didatangkan dalam empat pilihan warna iaitu Light White, Blazing Red, Starlight Blue dan Jungle Green. Harga atas jalan (tidak termasuk insurans) bagi MINI Countryman JCW Design Edition baharu ialah RM242,888.00 seunit.

    Ia turut merangkumi Program Perlindungan Terbaik (Ultimate Protection Programme) dan Enhanced Road Warrior oleh MINI Insurance. Di samping Jaminan Perbatuan Tanpa Had selama lima-tahun dengan Servis Berjadual Percuma.

     
     
  • Stigo e-skuter boleh lipat kini di Malaysia – RM5,990

    Stigo e-skuter boleh lipat kini di Malaysia – RM5,990

    Dengan rangkaian LRT dan MRT yang selepas ini semakin meluas, ini mungkin sebuah penyelesaian pengangkutan yang akan memberikan manfaat kepada ramai orang, terutama bagi jarak terakhir antara stesen-stesen tren terbabit dengan tempat kerja atau kediaman anda.

    Sebelum ini, basikal lipat menjadi perantara pengangkutan yang memang asalnya direka untuk tujuan ini. Namun, skuter elektrik Stigo memberi satu lagi pilihan yang lebih mudah; meluncur dengan senyap dengan gabungan rekaan boleh lipat serta sistem janaan elektrik untuk menggerakkannya.

    Stigo mempertemukan idea reka bentuk yang sinonim dengan basikal lipat, tetapi pada habnya dilengkapi sebuah motor 250 watt. Ia kini sudah memasuki pasaran Malaysia, dan diedarkan oleh Stigo Global sebagai pengedar rasmi.

    Skuter elektrik ini juga sah untuk digunakan untuk jalan raya; ia menerima kelulusan sebagai skuter elektrik kelas “L1e” dan ditawarkan dalam dua varian – Stigo dan Stigo+. Ia dilengkapi dengan pek bateri lithium-ion 5.8 Ah 36 volt yang membekalkan sebanyak 209 watt per jam, sementara Stigo+ dilengkapi dengan pek dan jumlah yang dua kali ganda daripada ini.

    Dengan pek bateri ini, masing-masing Stigo dan Stigo+ mampu bergerak dalam jarak 15 km dan 30 km jika baterinya penuh, dengan kelajuan sekitar 25 km/j. Tempoh mengecasnya ialah tiga jam, menggunakan soket biasa yang ada dirumah atau pejabat.

    Bagi berat pula, Stigo hadir dengan 13.9 kg manakala Stigo+ seberat 15.2 kg. Disebabkan ia boleh dilipat, ini akan memudahkan pengguna untuk membawanya sekali sekiranya di antara jarak perjalanan berkenaan tetap memerlukan pengguna untuk menaiki kereta.

    Untuk melipat Stigo, hanya memerlukan dua langkah mudah. Dalam keadaan sedia untuk bergerak, saiznya bukaan keseluruhannya skuter ini ialah kira-kira 48 cm x 40 cm. Untuk menghidupkannya, cuma perlu tekan butang pada kunci yang disediakan – lampu LED depan dan lampu brek di belakang turut akan menyala.

    Untuk menggerakkannya, sama seperti skuter; pulaskan pendikit pada palang pemegang. Membrek pula adalah melalui tuil di sebelah kiri dan kanan pemegang – V-Brake di bahagian depan, dan brek cakera kendalian kabel untuk bahagian belakang. Tiada sistem suspensi pada kenderaan ini.

    Skuter elektrik Stigo dijual pada harga permulaan RM5,990 bagi varian asas, manakala RM6,990 bagi Stigo+, selagi stok masih ada. Dibuat di Estonia menggunakan bahan aluminium, dengan pek bateri terletak di dalam kerangka utamanya, ia mudah dilipat untuk menjimatkan ruang storan di rumah atau pejabat.

     
     
  • Motor kapchai bakal dihalang masuk pusat bandar KL?

    Motor kapchai bakal dihalang masuk pusat bandar KL?

    Motosikal bersaiz kecil atau kapchai, mungkin bakal dihalang memasuki pusat bandar Kuala Lumpur sebagai langkah untuk mengurangkan pelepasan karbon, laporan The Star.

    Menurut Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, pihaknya melihat kaedah larangan ini sebagai usaha yang berbaloi memandangkan pengangkutan awam kini lebih banyak pilihan dan dengan harga yang berpatutan.

    “Pada waktu siang, populasi (dalam bandar) meningkat antara lima dan tujuh juta memandangkan mereka memasuki pusat bandar untuk bekerja. Jika melihat kebanyakan pusat bandar lain, banyak yang menghalang kemasukan kapchai.

    “Malah kajian turut menunjukkan kebanyakan orang masih memerlukannya kerana mereka daripada golongan miskin dan tidak mampu (untuk membeli kenderaan lain) kerana gaji yang rendah. Namun pengangkutan awam yang murah boleh didapati, dan kita akan mengkaji kemungkinan untuk tidak membenarkan motosikal kapchai memasuki pusat bandar,” ujarnya yang turut menambah kebanyakan motosikal jenis ini sering kali digunakan oleh peragut di pusat bandar.

    Apakah pendapat anda mengenai perkara ini? Adakah langkah ini suatu yang relevan untuk dilaksanakan? Kongsikan pendapat anda bersama kami.

     
     
  • Kia Niro Hybrid dipertonton di Singapore Motor Show

    Kia Niro Hybrid dipertonton di Singapore Motor Show

    Kia Niro Hybrid telah pun dipertontonkan di Singapore Motor show, selepas pertama kali ia diperkenalkan di Chicago Auto Show pada Februari 2016. SUV hibrid segmen-B ini dijual pada harga SGD109,999 (RM343,614) dengan Sijil Hak (Certificate of Entitlement (COE), dan ini termasuk dengan waranti enjin dan bateri selama 10 tahun, bersama waranti lima-tahun/tanpa had perbatuan.

    Penjana kuasa bagi Niro adalah sama dengan yang ada pada Hyundai Ioniq, ini termasuk 1.6 liter Kappa GDI empat-silinder Atkinson cycle suntikan terus, yang mampu menghasilkan output 105 PS pada 5,700 rpm dan tork 147 Nm pada 4,000 rpm, dipadankan dengan transmisi automatik dwi-klac enam-kelajuan (DCT).

    Ia turut dipadankan dengan motor elektrik permanent magnet synchronous berkuasa 32 kW (44 PS) berpunca dari pek bateri polimer lithium-ion 1.56 kWh yang diletakkan di bawah tempat duduk belakang. Niro juga menampilkan sistem brek janaan semula yang bantu mengecas semula bateri. Kia mendakwa penggunaan bahan apinya hanya sekitar 3.8 l/100 km.

    Direka oleh pusat rekaan Kia di Irvine, California dan Namyang, Korea, Niro ditampilkan dengan imej yang bersesuaian dengannya. Selain logo ‘EcoHybrid’ yang terletak di belakangnya, tiada lagi elemen yang menggambarkan ia sebuah jentera hibrid.

    Kia Niro Hybrid dipertonton di Singapore Motor Show

    Jika melihat gaya badannya, ia kelihatan lebih besar berbanding Ioniq, namun sebenarnya tidak. Mengikut dimensinya, Niro berukuran 4,355 mm panjang, 1,805 mm lebar, 1,545 mm tinggi, di mana ia sebenarnya lebih kecil daripada Ioniq (4,470 mm panjang, 1,820 mm lebar, 1,450 mm tinggi) walau pun ia lebih tinggi. Kedua-duanya turut berkongsi dimensi bagi jarak roda yang sama iaitu 2,700 mm.

    Perkara lain yang berbeza ialah pekali seretannya – Niro dianggarkan 0.29, Ioniq pula 0.24. Selain itu, Niro turut menampilkan pengurangan berat dengan menggunakan aluminium untuk binaannya, termasuk bagi hud, tailgate dan beberapa elemen suspensi bagi lengan jumpelang kawalan di bawah hadapan, knuckle untuk hadapan dan belakang, serta kaliper brek.

    Daya tarikan bahagian luaran untuk model spesifikasi Singapura ini termasuklah lampu belakang kombinasi LED, roda aloi lima-jejari 16-inci (tayar rintangan olengan rendah), active air flap, air curtains, lampu utama projektor automatik dan pakej aerodinamik.

    Sementara itu, untuk bahagian dalamannya, antara elemen yang ditampilkan termasuk sistem audio dengan skrin sesentuh TFT-LCD 5-inci, penghawa dingin automatik dwi-zon, corong penghawa dingin di belakang, kluster instrumen supervision TFT-LCD 4.2-inci dan pengecas tanpa wayar bagi telefon pintar. Niro juga menawarkan 427 liter bagi ruang kargo yang boleh dipertingkatkan sehingga 1,425 liter sekiranya tempat duduk belakang dengan nisbah 60:40 dibaringkan sepenuhnya.

    Untuk bantuan pemanduan dan keselamatan, Niro didatangkan dengan tujuh beg udara (dua di hadapan, sisi, tirai dan bahagian lutut pemandu), pengesan titik buta, ABS dengan EBD, kawalan kestabilan elektronik (ESC), kawalan bantuan mula mendaki, bantuan brek, sistem pemantauan tekanan tayar dan kamera undur.

    Niro ditawarkan dengan sembilan warna untuk dipilih iaitu Snow White Pearl, Silky Silver, Metal Stream, Platinum Graphite, Aurora Black Pearl, Rich Espresso, Gravity Blue, Deep Cerulean Blue dan Temptation Red. Apa pendapat anda tentang Niro? Adakah ia patut diperkenalkan untuk pasaran Malaysia?

     
     
  • Yamaha Ego Solariz dilancar di M’sia – harga RM5,548

    Yamaha Ego Solariz dilancar di M’sia – harga RM5,548

    Dalam satu majlis makan malam sempena Tahun Baru Cina, Hong Leong Yamaha (HLYM) Sdn Bhd telah melancarkan sebuah skuter baharu untuk pasaran Malaysia iaitu Ego Solariz. Secara keseluruhannya kini, HLYM menawarkan empat skuter iaitu Ego Avantiz, Ego S, Ego LC dan NMax.

    Ego Solariz terletak di antara Ego Avantiz dan Ego LC, di mana ia dikuasakan oleh enjin satu silinder SOHC 125 cc suntikan bahan api dengan teknologi Blue Core dan sistem penyejukan udara, mampu menghasilkan 9.4 hp pada 8,000 rpm dan 9.6 Nm tork pada 5,500 rpm. Transmisi yang digunakan pula adalah jenis automatik tali sawat V.

    Bagi membantu penunggang mendapatkan penggunaan bahan api yang lebih menjimatkan, motosikal ini mempunyai lampu penunjuk ‘Eco’ dan secara keseluruhannya mampu memuatkan sebanyak 4.2 liter minyak. Beratnya pula adalah 94 kg.

    Pada bahagian hadapan, Ego Solariz dilengkapi dengan suspensi jenis teleskopik, rim 14 inci, tayar saiz 70/90 dan brek cakera manakala di belakang pula menggunakan lengan ayun dengan monoshock, rim 14 inci, tayar saiz 80/90 dan brek jenis dram. Tiada sistem brek ABS untuk motosikal ini.

    Di bawah tempat duduk Ego Solariz, terdapat ruang simpanan 10 liter, manakala berhampiran pemegangnya juga terdapat ruang simpanan kecil yang boleh memuatkan barangan seperti botol air atau lain-lain. Lampu hadapan dan belakang motosikal ini masih menggunakan mentol halogen biasa, tidak seperti Avantiz yang menggunakan LED.

    Yamaha Ego Solariz ditawarkan dalam empat warna iaitu biru, merah, coklat dan magenta, dengan harga RM5,548 (termasuk GST, tanpa insurans), bersama jaminan satu tahun atau 10,000 kilometer. Bermula sekarang, sehingga 31 Mac 2017, pembeli awal Ego Solariz akan menerima baju sejuk eksklusif Yamaha, sementara stok masih ada.


     
     
  • Proton perkenalkan pakej internet YES Altitude 4G yang dipertingkatkan; kini 16GB, percuma setahun

    Proton perkenalkan pakej internet YES Altitude 4G yang dipertingkatkan; kini 16GB, percuma setahun

    Proton Holdings Bhd dengan kerjasama YTL Communications Sdn Bhd hari ini memperkenalkan pakej internet dalam kenderaan Yes Altitude 4G kepada pelanggan yang membeli kenderaan Proton. Ini bagaimana pun bukanlah kali pertama tawaran seperti diberikan.

    Sejak perjanjian persefahaman di antara kedua-dua syarikat ini dimeterai pada 2011, sejumlah 125,000 pakej sambungan internet mudah alih ini telah dinikmati oleh pelanggan dan pemilik Proton sehingga hari ini. Cuma, yang memebezakan tawaran terbaru ini ialah pakej yang diberikan kini dipertingkatkan.

    Jika sebelum ini pakej berkenaan meliputi peranti YES 4G Huddle XS mobile hotspot, kini pelanggan akan menerima lebih daripada itu; ia digantikan dengan sebuah telefon pintar YES Altitude 4G LTE. Ia ditawarkan secara percuma selama setahun, bagi pelanggan yang membeli mana-mana model kenderaan Proton bagi varian Executive dan ke atas.

    Proton perkenalkan pakej internet YES Altitude 4G yang dipertingkatkan; kini 16GB, percuma setahun

    “Tawaran ini sah selagi stok masih ada. Ia juga antara lain akan dilengkapi dengan aplikasi MyProton untuk memudahkan pelanggan menempah slot servis kenderaan mereka, atau tawaran semasa yang disediakan oleh Proton,” jelas CEO Proton, Datuk Fuaad Kenali.

    Pelan internet oleh Yes ini ditawarkan secara eksklusif kepada pelanggan Proton. Kapasiti penggunaan data yang diberikan kini ialah 16GB, dan boleh digunakan secara percuma selama setahun. Selepas tempoh itu, jika pelanggan ingin terus menggunakan khidmat berkenaan, mereka boleh berbuat demikian dengan berurusan terus dengan pihak YES selaku penyedia perkhidmatan berkenaan.

     
     
  • Perodua Axia facelift – lebih perincian didedahkan, lampu projektor kini standard untuk semua varian

    Perodua Axia facelift – lebih perincian didedahkan, lampu projektor kini standard untuk semua varian

    Sebelum ini, Perodua telah menyiarkan teaser yang mendedahkan sedikit perincian baharu untuk model Axia facelift yang bakal dilancarkan tidak lama lagi, termasuk ciri-ciri yang diambil dari Bezza iaitu enjin 1.0 liter 1KR-VE yang dilengkapi dengan sistem VVT-i, serta sistem kunci pintar bersama butang penghidup enjin bagi varian Advance dan SE.

    Terbaharu, Perodua telah mengumumkan perincian tambahan bagi model kemaskini berkenaan. Untuk kesemua varian Axia, ia diberikan gril hadapan serta bampar dengan reka bentuk baharu, pemegang pintu belakang baharu, grafik fabrik kerusi baharu serta dilengkapi dengan lampu projektor hadapan. Axia Standard-G juga kini didatangkan dengan slot USB bagi memainkan fail audio.

    Bagi Axia SE dan Advance pula, ia turut ditambah dengan sistem multimedia dengan ‘Smart Link’ (untuk android sahaja), pemegang pintu luar bersalut krom, roda aloi berbentuk spiral, serta meter kombinasi baharu dengan warna putih.

    Perodua Axia facelift – lebih perincian didedahkan, lampu projektor kini standard untuk semua varian

    Untuk harga pula, varian Standard E dijual pada harga RM24,900 (sehingga RM463 lebih mahal berbanding sebelum ini RM24,437-RM24,837), Standard G manual dijual pada harga RM34,900 (sehingga RM2,773 lebih mahal berbanding sebelum ini RM32,127-RM32,527), Standard G automatik dijual pada harga RM36,900 (sehingga RM1,773 lebih mahal berbanding sebelum ini RM35,127-RM35,527).

    Beralih ke Axia SE, versi manual dijual pada harga RM37,900 (RM1,263 lebih mahal berbanding sebelum ini RM36,637-RM37,037), manakala untuk versi automatik pula dijual pada harga RM39,900 (model dengan cat solid RM263 lebih mahal tetapi metalik RM137 lebih murah berbanding harga lama RM41,967-RM42,377).

    Varian tertinggi Advance pula dijual pada harga RM42,900, sehingga RM1933 lebih mahal berbanding harga lama iaitu RM41,967-RM42,377. Kesemua harga yang dinyatakan adalah harga atas jalan termasuk insuran, serta tiada perbezaan harga untuk model solid dan metalik pada barisan model facelift ini.

    Axia 2017 masih mengekalkan warna sedia ada termasuk Lava Red, Midnight Blue, Ebony Black dan Glittering Silver (semuanya metalik), serta Sunflower Yellow dan Ivory White (kedua-duanya warna solid). Namun terdapat dua warna untuk varian Standard E dan G yang digugurkan iaitu Cherry Blossom dan Lemongrass Green.

    Bagi pelanggan yang berminat untuk mengetahui lebih lanjut berkenaan model baharu ini, anda boleh mengunjungi karnival ‘MYPerodua Nation’ yang akan diadakan pada hujung minggu ini bermula 20hb hingga 22hb Januari 2017 di AEON Mall Shah Alam (kawasan parkir kereta luar), atau pun mana-mana 182 bilik pameran dan jualan Perodua di seluruh negara. Tempahan untuk Axia facelift ini juga kini telah pun dibuka.

    Perodua Axia facelift – lebih perincian didedahkan, lampu projektor kini standard untuk semua varian

     
     
  • Toyota C-HR di Indonesia; mungkin dengan enjin 1.5L?

    Toyota C-HR di Indonesia; mungkin dengan enjin 1.5L?

    Nampak gayanya, Toyota C-HR yang baru diperkenalkan di Singapore Motorshow 2017 bukan sekadar akan memasuki pasaran Indonesia, malahan akan dipasang di sana, menurut laporan oleh portal automotif AutonetMagz. Portal berkenaan memetik sumber dari bahagian perancangan produk di Toyota Astra Motor yang enggan dinamakan.

    Lanjutan daripada itu, turut dipercayai ialah model C-HR di Indonesia akan ditawarkan dalam spesifikasi yang berbeza daripada pasaran lain. Setakat ini, C-HR akan dilengkapi sama ada dengan enjin 8NR-FTS 1.2 liter turbocaj (115 PS/185 Nm) dengan kotak gear CVT atau manual enam-kelajuan, enjin 2.0 liter biasa (150 PS/193 Nm) dengan transmisi CVT atau model hibrid dengan enjin 1.8 liter (98 PS/142 Nm) digandingkan dengan motor elektrik (72 PS/163 Nm).

    Bagaimanapun, pasaran Indonesia akan menerima enjin 1.5 liter 2NR-FE Dual VVT-i yang sama digunakan pada Sienta dan Vios. Bagi model-model berkenaan, kuasa yang dijana ialah 107 PS pada 6,000 rpm dan 140 Nm pada 4,200 rpm, dengan kotak gear CVT atau manual lima-kelajuan. Sumber berkenaan juga menyatakan C-HR di Indonesia akan diberikan sedikit perubahan dari aspek rekaan luar dan dalamnya.

    Agak menarik penawaran C-HR dengan enjin 1.5 liter berkenaan, tambahan pula sebagai pilihan paling asas model berkenaan kepada pengguna. Namun, jika masuk ke pasaran Malaysia, ia dijangka akan ditawarkan dengan enjin 2.0 liter untuk lebih setara dengan penawaran bagi Honda HR-V 1.8L dan juga Mazda CX-3 2.0L.

    Toyota C-HR di Singapore Motorshow 2017

     
     
  • Toyota Yaris dengan kuasa 210 hp tampil di Geneva

    Toyota Yaris dengan kuasa 210 hp tampil di Geneva

    Selain Toyota Yaris hibrid yang diumumkan untuk pasaran Jepun, ada sebuah lagi versi Yaris dengan peningkatan prestasi didedahkan. Diberi jolokan sebagai Yaris Gazoo (sempena pasukan Toyota Gazoo), ia menjadi penanda bagi kereta hot hatch sebenar pertama yang dihasilkan oleh syarikat itu setelah model-model Starlet turbocaj pada tahun-tahun 1990an.

    Khabarnya diinspirasikan daripada Yaris WRC, model baru ini menerima beberapa rekaan unik untuk membezakannya daripada versi facelift standard yang juga baru diperkenalkan. Antara kelainan yang diberikan ialah penggunaan spoiler belakang, diffuser di bahagian bawah bampar belakang dengan ekzos besar di bahagian tengahnya, serta rim aloi 17 inci.

    Tiada spesifikasi teknikal yang didedahkan buat masa ini, tetapi Toyota memaklumkan Yaris versi yang satu ini mampu menghasilkan 210 hp kuasa – bagaimana pun, maklumat enjin masih belum dinyatakan. Kebarangkaliannya ia menggunakan enjin 1.5 liter turbocaj daripada CH-R Racing, yang digunakan untuk menyertai perlumbaan Nürburgring 24 Hours tahun lalu.

    Toyota Yaris dengan kuasa 210 hp tampil di Geneva

    Barisan varian Yaris yang lain pula menerima wajah depan yang lebih agresif, lebih sporty di belakang, rekaan lampu belakang dua bahagian yang lebih lebar, serta lampu utama LED sebagai pilihan. Bagi ruang dalaman, ia hanya melibatkan perubahan kecil.

    Sementara bagi aspek dinamik pemanduan, ia lebih tangkas dengan titik kimpal yang lebih banyak pada kerangka, panel instrumen yang lebih tebal serta penyerap hentak baru. Versi hibrid juga telah diperkenalkan di Jepun, beberapa tahun selepas pengenalan bagi pasaran Eropah. Mampukah model ini nanti menandingi model-model seperti Ford Fiesta ST atau Peugeot GTi?

     
     
  • GALERI: Toyota C-HR di Singapore Motor Show

    GALERI: Toyota C-HR di Singapore Motor Show

    Model crossover kompak Toyota C-HR sedang dipertontonkan di Singapore Motor Show dan rakan kami, Gerard Lye, yang sedang berada di sana untuk membuat liputan berkesempatan merakamkan foto-foto ini untuk tatapan semua.

    Singapura akan menjual kedua-dua versi 1.2 liter turbo dan 1.8 liter hybrid bagi model ini, di mana ia telah pun berada di pasaran Jepun mulai bulan lalu. Bagi versi 1.2 liter empat-silinder, ia mampu menghasilkan kuasa sehingga 115 PS dari 5,200 hingga 5,600 rpm, manakala tork 185 Nm dari 1,500 hingga 4,000 rpm. Ia dipadankan dengan transmisi Super CVT-i dengan mod “sequential shiftmatic” tujuh-kelajuan bersama sistem 4WD.

    Manakala sistem hibrid pula menggunakan enjin 2ZR-FXE 1.8 liter VVT-i Atkinson cycle empat-silinder dengan padanan motor elektrik dan kotak gear CVT, sama seperti Prius. Output yang mampu dihasilkan mencecah 98 PS pada 5,200 rpm dan tork 142 Nm pada 3,600 rpm. Model hibrid ini hanya boleh didapati dalam pacuan dua-roda sahaja.

    C-HR ditawarkan dengan enam varian, yang kesemuanya dilengkapi dengan kit keselamatan aktif Safety Sense P, akan dijual di republik berkenaan, dengan harga bagi 1.8L Hybrid Grade mencecah S SGD63,800 (RM199,400), tanpa Certificate of Entitlement (COE).

    Sementara 1.8L Hybrid Grade G berharga SGD66,800 (RM208,700), dan Grade G bersama lampu utama LE pula lebih 3k iaitu SGD69,800 (RM218,100).

    GALERI: Toyota C-HR di Singapore Motor Show

    Bagi barisan varian 1.2L Turbo pula, untuk Grade S ditawarkan pada harga SGD84,800 (RM264,962), sementara Grade G pula SGD90,800 (RM283,710) dan model spesifikasi tertinggi Grade G dengan LED berharga SGD94,800 (RM296,200). Harga yang disebut ini bersama dengan COE seperti imej yang dipaparkan di atas.

    Untuk pasaran Singapura, C-HR didatangkan dalam unit CBU yang dibawa dari Jepun, sementara bagi pasaran lain di rantau ini adalah versi pemasangan tempatan – dan enjin 2.0 liter Dual VVT-i empat-silinder adalah dari Corolla Altis. Bulan lalu, dilaporkan Indonesia sedang mencari peluang untuk memasang crossover ini sendiri.

     
     
  • Toyota Yaris facelift – Hybrid baharu untuk Jepun

    Toyota Yaris facelift – Hybrid baharu untuk Jepun

    Diperkenalkan di peringkat global pada tahun 2010, Toyota Yaris generasi ketiga (model antarabangsa, bukan ASEAN dan spesifikasi China) telah pun diberi penambahbaikan (facelift) sekali lagi, kali ini ada sedikit perubahan secara visual, mekanikal dan elemen keselamatan.

    Untuk bahagian hadapan, ia tampil lebih agresif, dengan gril bawah yang lebih berketerampilan serya lebih lebar. Malah lampu kabusnya juga telah direka semula, sementara lampu utama bi-LED dengan lampu nyalaan siang LED ditawarkan secara pilihan.

    Bagi bahagian belakangnya pula, kini Yaris didatangkan dengan dua kepingan lampu baharu (dengan pilihan LED), untuk menyerlahkan lagi gayanya. Malahan bamparnya juga kelihatan lebih sporty, dan rodanya juga telah direka baharu. Toyota turut menawarkan Pakej Sporty baharu dengan menambah kit badan dan rim aloi 16-inci.

    Toyota Yaris facelift – Hybrid baharu untuk Jepun

    Palet warnanya juga telah ditambah menjadi 17 pilihan warna, termasuk warna baharu Clear Blue Crystal Shine, Avant Garde Bronze Metallic, Dark Blue Mica dan Olive Mica Metallic – dengan dua warna terakhir tersebut hanya untuk model Jewela, yang menampilkan cermin pintu krom dan pemegang pintu seakan Peugeot 208.

    Untuk bahagian dalamnya pula, kekemasan perak digantikan dengan hitam berkilat, sementara skim warna baharu iaitu Barrel Brown turut ditawarkan untuk varian tertinggi, U. Sementara warna baharu Burgundy Marsala pula untuk model Jewela. Bagi keselamatan, semua model didatangkan dengan pakej bantuan elak kemalangan Toyota Safety Sense C secara standard bersama bantuan mula mendaki.

    Bagi model pasaran Jepun (dengan logo sebagai Vitz), ia dijanakan oleh enjin 1NR-FE 1.0 liter (60 PS/92 Nm) dan 1NR-FKE 1.3 liter Dual VVT-i (99 PS/121 Nm) seperti sebelum ini, serta dipadankan bersama transmisi CVT dan boleh didapati sama ada pacuan roda-hadapan atau empat-roda.

    Toyota Yaris facelift – Hybrid baharu untuk Jepun

    Baharu di Jepun ialah model Hybrid yang pernah dijual di Eropah suatu ketika dahulu, menggunakan enjin Prius c iaitu 1NZ-FXE 1.5 liter VVT-i dengan kuasa 74 PS dan tork 111 Nm, serta digabungkan bersama motor elektrik (61 PS/169 Nm) yang mampu menghasilkan jumlah keseluruhan kuasa sehingga 100 PS dan penggunaan bahan api dianggarkan sekitar 34.4 km per liter mengikut kitaran JC08 di Jepun.

    Kerangkanya juga telah diberikan binaan yang lebih tegar, panel instrumen yang lebih tebal dan peredam dengan struktur baharu. Malah Toyota mendakwa, ia memberikan prestasi pemanduan yang dipertingkatkan, kestabilan yang ditambah dan keselesaan pengendalian yang lebih jitu.

     
     
  • Honda Mobilio facelift dilancarkan di Indonesia – MPV tujuh tempat duduk, harga bermula dari RM63k

    Honda Mobilio facelift dilancarkan di Indonesia – MPV tujuh tempat duduk, harga bermula dari RM63k

    Minggu ini merupakan minggu yang agak sibuk buat Honda di rantau ASEAN. Selepas pengenalan rasmi model City facelift semalam, sebenarnya ada sebuah lagi satu model dilancarkan, bukan di Thailand, tetapi Indonesia – Honda Mobilio facelift. Kedua-duanya model yang popular dalam pasaran masing-masing.

    Mobilio menerima perubahan rekaan yang agak ketara juga; kini tampil dengan sentuhan rekaan yang lebih bersegi, terutama jika dilihat dari bahagian hadapan. Rekaan gril krom yang sama seperti yang terdapat pada City dan juga Civic kini diterapkan pula pada Mobilio.

    Kesannya, MPV tujuh tempat duduk ini kelihatan mewarisi rupa keseluruhan yang mirip kepada model asal yang berkongsi platform dengannya, Honda Brio versi sebelum facelift sebelum ini. Rekaan bonet depan juga diperkemas untuk diserasikan bersama wajah baru dengan gril krom berkenaan serta lampu utamanya, yang turut dilengkapi lampu panduan (guide light) LED.

    Honda Mobilio facelift dilancarkan di Indonesia – MPV tujuh tempat duduk, harga bermula dari RM63k

    Seperti pada City facelift, bahagian belakang Mobilio ini juga kurang diberikan pembaharuan; hanya bahagian pemegang nombor plat diberikan kemasan tambahan. Selain itu, rim aloi 15-inci melengkapi wajah barunya kini.

    Bahagian dalam, papan pemukanya yang mirip pada Jazz/City masih kekal digunakan. Apa yang dipertingkat pada ruang kabin? Jawapannya, keselesaan. Tempat duduk depan kini bukan lagi dari jenis one piece; penyandarnya kini memiliki perehat kepala boleh laras. Begitu juga dengan tempat duduk tengah di barisan kedua. Kusyen yang lebih tebal juga digunakan kini.

    Tiada peningkatan dari aspek teknikal untuk versi facelift terbaru Mobilio ini. Ia masih menggunakan enjin 1.5 liter SOHC i-VTEC dengan janaan kuasa 118 PS dan 144 Nm tork. Enjin Euro 4 berkenaan digandingkan dengan kotak gear lima-kelajuan manual dan automatik CVT, bergantung kepada varian.

    Mobilio ditawarkan dalam lima varian – S, E, E CVT, RS dan RS CVT. E CVT bagaimanapun tidak lagi ditawarkan. Ciri standard bagi semua varian adalah seperti berikut; dua beg udara, ABS dan EBD, pendingin hawa dengan panel digital serta dua blower.

    Semua varian kecuali S (model paling asas, manual) dilengkapi dengan rim aloi 15 inci, cermin sisi dengan lampu isyarat serta lampu kabus. Varian S pula menggunakan warna kabin hitam, sementara varian E dilengkapi warna tema ivory yang lebih cerah.

    Ini disertakan sekali dengan ciri tempat duduk barisan kedua boleh gelungsur dan empat pembesar suara (berbanding dua). Bagi varian E CVT pula ditambah dengan butang pada stereng yang mengawal unit skrin sentuh 6.2 inci dengan paparan kamera undur (varian S dan E hanya dengan unit 2-DIN standard).

    Honda Mobilio facelift dilancarkan di Indonesia – MPV tujuh tempat duduk, harga bermula dari RM63k

    Kereta oren di dalam gambar ini ialah versi Mobilio RS, yang ditawarkan dalam MT dan CVT. Selain rim dwi tona, banyak kemasan warna hitam digunakan, menggantikan kemasan krom serta lambang RS. Varian tertingginya juga dilengkapi cermin sisi boleh lipat, kluster meter rekaan sporty baru, unit skrin sentuh 6.8 inci dengan capaian Bluetooth dan enam pembesar suara.

    Turut melengkapkan lagi versi ini ialah petunjuk penggunaan tali keledar dan pendingin hawa automatik. Bagi RS CVT, ia ditambah dengan ciri VSC dan Hill-Start Assist. Pakej aksesori Modulo turut ditawarkan. Honda Mobilio baru ini dijual pada harga yang sedikit lebih tinggi di sana berbanding sebelumnya. Harganya bermula dari 189.5 juta rupiah (RM63,388) bagi model paling asas S hinggalah kepada 243.5 juta rupiah (RM81,451) bagi varian RS CVT.

     
     
  • Puspakom anjur kempen Pemeriksaan Kenderaan Sukarela pada 16 hingga 27 Jan ini sempena CNY

    Puspakom anjur kempen Pemeriksaan Kenderaan Sukarela pada 16 hingga 27 Jan ini sempena CNY

    Menjelang sambutan perayaan Tahun Baharu Cina (CNY) ini, Puspakom akan menganjurkan Kempen Pemeriksaan Kenderaan Sukarela atau “Voluntary Vehicle Inspection” (VVI) percuma bagi kenderaan persendirian.

    Kempen ini akan berlangsung dari 16 hingga 27 Januari 2017, dijalankan di semua pusat pemeriksaan Puspakom, kecuali di Shah Alam, Taman Bukit Maluri, Mak Mandin dan Kota Bharu, yang dikhaskan untuk menjalankan pemeriksaan untuk kenderaan perdagangan.

    Pemeriksaan VVI ini merangkumi 25 peringkat ujian termasuklah pemeriksaan brek, keadaan tayar dan rim, meter, kebocoran minyak kotak gear, kebocoran minyak enjin, kebocoran gas, ekzos dan lampu brek serta lampu hadapan.

    Puspakom anjur kempen Pemeriksaan Kenderaan Sukarela pada 16 hingga 27 Jan ini sempena CNY

    “Melalui laporan pemeriksaan VVI yang dikeluarkan oleh Puspakom ini, pemilik kenderaan persendirian dapat mengetahui prestasi kenderaan mereka dan seterusnya boleh membuat pembaikan yang sewajarnya. Ini secara tidak langsung membantu mengurangkan kemungkinan kerosakan kenderaan dan juga kemalangan,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Puspakom, Mohammed Shukor Ismail.

    Kempen VVI secara percuma ini akan bermula dari jam 8.00 pagi sehingga 5.00 petang setiap hari (mengikut waktu operasi setiap cawangan). Pelanggan VVI akan diberi keutamaan di mana mereka boleh terus mengunjungi cawangan Puspakom tanpa perlu menunggu, membuat sebarang temujanji dan tidak memerlukan dokumen.

    Untuk maklumat lanjut mengenai Kempen Pemeriksaan VVI ini, para pelanggan boleh menghubungi talian bebas tol PUSPAKOM 1-800-88-6927 atau layari laman sesawang PUSPAKOM di www.puspakom.com.my

     
     
  • Perodua Axia 2017 didedahkan – penjana kuasa baharu 1.0L VVT-i, tempahan kini telah dibuka

    Perodua Axia 2017 didedahkan – penjana kuasa baharu 1.0L VVT-i, tempahan kini telah dibuka

    Buat pertama kalinya Perodua telah mendedahkan sedikit butiran mengenai Axia 2017 yang bakal dilancarkan tidak lama lagi. Sebelum ini, Perodua hanya berdiam diri tanpa mengesahkan ketibaan Axia 2017, namun kini mereka nampaknya telah bersedia untuk mendedahkannya.

    Menerusi laman sosial media Facebook rasmi, MYPerodua, tiga elemen baharu telah didedahkan. Paling utama dan menariknya, Axia 2017 ini turut diberikan enjin baharu iaitu 1.0 liter VVT-i, unit penjana kuasa yang sama dengan Bezza. Ia adalah bagi menggantikan enjin yang dipadankan pada Axia terdahulu yang dilancarkan pada September 2014, iaitu 1.0 liter 12-injap DOHC.

    Selain itu, bagi varian SE dan Advance, dua elemen baharu yang ditambah ialah butang push start/stop dan sistem Kemasukan Pintar dengan kunci pintar.

    Perodua Axia 2017 didedahkan – penjana kuasa baharu 1.0L VVT-i, tempahan kini telah dibuka

    Telah pun mula dibuka tempahannya, Axia baharu ini juga telah diberikan sedikit suntikan segar pada bahagian luarannya, termasuk ditampilkan dengan bampar hadapan dan belakang baharu serta unit lampu utama projektor baharu.

    Malahan, bagi varian Advance, ia juga bakal dilengkapi dengan sistem multimedia baharu dengan Smart Link untuk telefon pintar Android sahaja.

    Axia 2017 masih mengekalkan warna sedia ada termasuk Lava Red, Midnight Blue, Ebony Black dan Glittering Silver (semuanya metalik), serta Sunflower Yellow dan Ivory White (kedua-duanya warna solid). Namun terdapat dua warna untuk varian Standard E dan G yang digugurkan iaitu Cherry Blossom dan Lemongrass Green.

    Walau bagaimana pun, kami akan uar-uarkan perkembangan selanjutnya dengan informasi daripada Perodua sendiri. Tunggu!!!

    Perodua Axia 2017 didedahkan – penjana kuasa baharu 1.0L VVT-i, tempahan kini telah dibuka

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.10
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.85 (-0.05)
EURO 5 B7 RM3.05 (-0.05)
Last Updated Aug 21, 2025