Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • SPYSHOT: Honda City facelift kini dilihat pula di India

    Honda City facelift akan dilancarkan di Thailand esok, tetapi ini rupa sedan segmen B berkenaan yang telah kelihatan di India. Gambar ini adalah dari Team-BHP.com, dan dirakam ketika sedang menjalani sesi penggambaran iklan.

    Tidak seperti teaser yang dipertontonkan sebelum ini, yang menumpukan kepada wajah utamanya, siri gambar ini menunjukkan pula bahagian sisi dan belakang Honda City facelift berkenaan. Kini, antara yang lebih jelas kelihatan ialah rekaan rim aloi serta kluster lampu belakang yang diberi rekaan baru bagi model dengan spesifikasi India.

    Lampu belakang yang dilihat di sini terdapat bahagian putih, yang tidak terdapat pada model yang ditunjukkan di Thailand sebelum ini – ia nampak sama seperti City versi sebelum facelift. Turut kelihatan ialah spoiler pada pintu but belakang dengan lampu brek ketiga terpasang padanya. Begitu juga dengan bahagian bawah bampar belakang yang lebih sporty dengan sedikit kemasan hitam ditengahnya.

    Bagaimanapun, bahagian depannya tidak kelihatan dalam gambar terbaru ini, yang mengambil pendekatan rekaan yang sama seperti Civic FC. Antara “sentuhan” yang dipinjam daripada model itu ialah jalur krom di bahagian bucu kluster lampu utama serta posisi lampu LED bentuk L yang ada padanya.

     
     
  • Volkswagen Group jual 10.3 juta kenderaan pada 2016 walaupun diselubungi krisis skandal Dieselgate

    Volkswagen Group jual 10.3 juta kenderaan pada 2016 walaupun diselubungi krisis skandal Dieselgate

    Walaupun dilihat sedang bergelut dengan skandal penipuan Dieselgate yang masih lagi belum berkesudahan sejak 2015, Volkswagen Group berjaya menamatkan tahun 2016 dengan rekod jualan kenderaan melebihi 10 juta unit. Jualan dari jenama-jenama di bawah naungannya termasuk Audi, Porsche, Seat, Skoda dan Volkswagen sendiri mencatatkan pertumbahan sebanyak 3.8% berbanding tahun lalu iaitu 10.3 juta, dari 9.93 juta pada 2015.

    Setakat ini, jumlah jualan untuk tahun 2016 yang diumumkan oleh VW Group tersebut merupakan yang terbesar berbanding pengeluar-pengeluar lain. Toyota yang mencatatkan jualan lebih tinggi dari VW pada tahun 2015 walau bagaimanapun masih lagi belum mengumumkan prestasi jualan bagi tahun lalu, dan dijangka bakal melakukannya pada bulan hadapan. Toyota juga sebelum ini pernah menyatakan mereka mensasarkan untuk menjual 10.09 juta kenderaan pada 2016.

    Jualan VW di Amerika Syarikat merosot kepada 2.6% pada 2016, tetapi prestasi kumpulan berkenaan pada pasaran China agak memberangsangkan dengan peningkatan kepada 12.2%. Pasaran China juga menunjukkan peningkatan jualan kenderaan dari Eropah paling tinggi tahun lalu sejak 2007, dan VW merupakan peneraju jenama-jenama dari benua berkenaan.


    Klik untuk besarkan

    “2016 merupakan tahun yang mencabar buat kami. Kami mencatatkan kemajuan dalam menyelesaikan dan mengatasi krisis diesel pada masa yang sama memulakan proses perubahan asas dengan ‘Together – Strategy 2025’ bagi membolehkan Volkswagen bersedia untuk mobiliti akan datang. Namun begitu, kami berjaya untuk menstabilkan operasi perniagaan dalam situasi yang sukar: hakikatnya kami telah menyerahkan lebih daripada 10 juta kenderaan kepada pelanggan tahun lalu mengangkat Kumpulan dan jenamanya serta kami menuju ke masa hadapan,” kata CEO VW Matthias Müller.

    “Pada 2017 kami akan menggiatkan usaha kami dalam lapangan teknologi utama pada masa hadapan, dalam e-mobiliti, kenderaan pemanduan automatik, digitalisasi produk kami dan syarikat kami. Pada masa yang sama, walaupun, kami tidak akan mengabaikan perniagaan utama pada hari ini. Jenama-jenama di bawah Kumpulan kami akan membawa lebih dari 60 kenderaan baharu ke atas jalan raya untuk pelanggan mereka pada tahun-tahun mendatang,” tambah Müller.

    Tahun ini Volkswagen Group bakal menyajikan pasaran automotif global dengan model-model baharu utama seperti VW Polo dan Toureg, Skoda Yeti, Seat Ibiza, Porsche Cayenne, Audi A8 dan Bentley Continental GT.

    “Kami turut meneruskan serangan e-mobiliti kami secara sistematik dan akan melancarkan lebih dari 10 model dengan pacuan elektrik pada 2017/18,” jelas Müller.

     
     
  • Mercedes-Benz akan tambah tiga lagi model kompak, MFA2 digunakan untuk A-Class sedan dan GLB

    Mercedes-Benz akan tambah tiga lagi model kompak, MFA2 digunakan untuk A-Class sedan dan GLB

    Barisan kenderaan kompak oleh Mercedes-Benz akan ditambah sebanyak tiga model lagi menjelang tahun 2020, dan ini akan menjadikan keseluruhannya lapan model, berbanding lima sekarang ini. Dua daripadanya adalah A-Class sedan dan GLB, manakala lima model kompak sekarang ini – A-Class, B-Class, CLA, CLA Shooting Brake dan GLA masing-masing akan menerima model pengganti.

    Platform MFA2 yang digunakan dikatakan lebih tegap dan ringan, hasil penggunaan luas besi berketahanan tinggi, dan boleh terus digunakan untuk kedua-dua pacuan dua roda hadapan dan pacuan empat roda. A-Class generasi seterusnya akan menggunakan transmisi automatik klac berkembar sembilan kelajuan; dan bersama transmisi manual, kedua-duanya akan juga digunakan untuk A-Class yang akan datang, seperti juga enjin empat dan tiga silinder.

    Mercedes-Benz akan tambah tiga lagi model kompak, MFA2 digunakan untuk A-Class sedan dan GLB

    Platform MFA2 juga mampu memberikan lebih fleksibiliti, dengan variasi jarak roda dan lebar antara tayar boleh digunakan. Dengan model SUV kompak GLA sudah sedia untuk menerima pengganti, GLB yang baru juga akan menjadi satu lagi SUV kompak syarikat itu, tetapi lebih ranggi dan diletakkan atas daripada GLA. SUV kompak baharu ini dirancang untuk dikeluarkan dalam dua pilihan – jarak roda biasa dengan lima tempat duduk dan jarak roda lebih panjang dengan tujuh tempat duduk.

    Kilang baharu untuk model kompak baharu Mercedes-Benz ini sedang dibina di Aguascalientes, Mexico, di mana model GLA akan datang juga akan dikeluarkan di situ, diikuti oleh A-Class sedan empat pintu. Versi A-Class sedan dengan jarak roda lebih panjang juga sedang dibangunkan untuk pasaran China, bersama GLB jarak roda panjang.

     
     
  • Mercedes-AMG Project One – nama hypercar ‘R50’

    Mercedes-AMG Project One – nama hypercar ‘R50’

    Kereta hypercar yang sedang dibangunkan oleh Mercedes-AMG, sebelum ini sekadar dipanggil sebagai ‘R50’, namun kini sudah mempunyai nama iaitu Project One. Nama ini didedahkan melalui laman web Mercedes-AMG, bersama beberapa perincian ringkas kenderaan tersebut, yang sedia untuk mengambil guna enjin Formula 1 serta teknologi lain seperti sistem pemulihan tenaga kinetik (KERS) dan pacuan elektrik.

    Pada asasnya, Project One akan menjadi sebuah kenderaan pacuan semua roda, di mana roda belakangnya akan dipacu oleh variasi penghasil kuasa – yang termasuk enjin 1.6 liter twin turbo F1 W07 bersama sistem KERS, dan pacuan elektrik manakala roda hadapan pula oleh motor elektrik.

    Menurut ketua pegawai eksekutif Mercedes-AMG, Tobias Moers, enjin lumba F1 ini walaubagaimanapun akan ‘dilembutkan’ sedikit untuk kenderaan produksi, tetapi masih lagi mampu menghasilkan kuasa lebih daripada 1,000 hp. Ini seterusnya meletakkan Project One setara dengan sebuah lagi hypercar yang mengambil inspirasi daripada kenderaan F1 iaitu Aston Martin AM-RB 001 yang sedang dibangunkan bersama Red Bull Racing dan pereka kereta F1, Adrian Newey.

    Rupa sebenar Project One masih lagi dirahsiakan, dengan hanya lukisan garis luarannya (tepi dan belakang) sahaja yang dikeluarkan. Ketua bahagian rekaan Mercedes-AMG, Gordon Wagener sebelum ini pernah menyatakan bahawa pandangan tepi kenderaan itu memang akan sama dengan produk akhir nanti, dan ia akan dilengkapi salur udara di bumbung, dan sirip tepi seperti kenderaan prototaip Le Mans.

    Laporan menyatakan hypercar ini akan membuat penampilan di Frankfurt September ini, dan ia akan menjadi sebuah model ekskusif, dengan hanya 300 unit dihasilkan.

     
     
  • Toyota memperkenalkan Camry Nascar 2018 di Detroit

    Toyota memperkenalkan Camry Nascar 2018 di Detroit

    22-23 November, 2016, Anaheim, California, USA
    ©2016, Michael L. Levitt

    Selain dari model produksinya, Toyota turut memperkenalkan Camry 2018 yang dibina untuk perlumbaan Nascar pada North American International Auto Show (NAIAS) yang berlangsung di Detroit. Jentera perlumbaan tersebut akan memulakan aksi sulungnya pada pusingan pertama kejohanan Nascar tahun ini – Daytona Speedweek – yang dijadualkan pada bulan hadapan.

    “Jentera perlumbaan Nascar Toyota Camry 2018 telah dibina dalam masa berberapa tahun, dan untuk mendedahkan bersama dengan Camry produksi baharu kami merupakan detik bersejarah untuk organisasi kami,” kata Ed Laukes, Timbalan Presiden Operasi Bersepadu untuk Toyota Motor Sales (TMS) Amerika Syarikat.

    “Kerjasama antara Calty Design Group dan TRD telag menghasilkan Camry Nascar yang menampilkan penggayaan agresif dan pasti menarik perhatian peminat kami di litar dan juga bilik pameran Toyota di seluruh negara,” kata Laukes.

    Menurut Laukes lagi, pihaknya sememangnya mahu kereta lumba dan versi produksi Camry direka seiras bagi membolehkan peminat seronok memandu Camry yang menyerupai kereta lumba Nascar kesukaan mereka pada setiap minggu perlumbaan.

    Ketua pereka Camry, Masato Katsumata melihat semula projek berkenaan bersama jurutera-jurutera dari Calty Design Research, Inc., studio rekaan Toyota Amerika Utara dan juga Toyota Racing Development (TRD). TRD dan Calty berkerjasama bagi memastikan garis karekter yang sama dari Camry produksi dipindahkan pada jentera perlumbaan Nascar berkenaan.

    Sebelum ini, Calty turut terlibat berkerjasama bersama TRD dalam menghasilkan jentera Nascar versi Camry generasi keenam pada tahun 2013 dan juga 2015, Toyota Tundra 2014 yang digunakan dalam Camping World Truck Series, serta jentera perlumbaan drag Camry Funny Car untuk kejohanan drag NHRA.

    Toyota mula menyertai Piala Nascar buat pertama kali pada tahun 2007 dan merangkul gelaran juara keseluruhan kategori pengeluar pada tahun lalu setelah memenangi 16 dari 36 perlumbaan, termasuk perlumbaan pusingan Daytona 500. Dalam tempoh sepuluh tahun kebelakangan ini, pelumba-pelumba Toyota telah memenangi 95 perlumbaan dalam divisi premier Nascar.

    GALERI: Gambar rasmi Toyota Camry 2018 versi produksi

     
     
  • Peugeot 2008, 208 facelift dilancarkan di M’sia – 1.2 liter PureTech turbo, auto 6-kelajuan, RM90k/RM110k

    Peugeot 2008, 208 facelift dilancarkan di M’sia – 1.2 liter PureTech turbo, auto 6-kelajuan, RM90k/RM110k

    Hari ini, 208 Puretech dan 2008 SUV Puretechfacelift telah pun dilancarkan untuk pasaran tempatan, selepas sebulan yang lalu, ia pernah dipertontonkan di Queensbay Mall, Pulau Pinang dan juga di Saujana Subang.

    Ditawarkan dengan harga atas jalan RM89,888 bagi 208 dan RM109,888 untuk 2008, kedua-duanya didatangkan dengan waranti pengeluar selama lima-tahun/120,000 km (yang mana tiba terlebih dahulu) bagi menggantikan waranti pengeluar tiga tahun/dua tahun perlindungan insurans. Dan kedua-dua model terbabit turut ditawarkan dengan pakej servis percuma selama tiga tahun bagi 100 unit tempahan pertama.

    Diberi sedikit suntikan peningkatan, model 208 dan 2008 ini tampil lebih segar pada bahagian luaran.
    Bagi 208 facelift, kini ia menerima kombinasi gril yang lebih lebar dengan kekemasan krom dan bampar baharu yang lebih maskulin, bersama lampu utama signatur baharu dengan dwi-tona berwarna hitam yang lebih terang bersama bezel krom. Melewati bahagian belakang pula, ia dipadankan dengan kluster lampu LED-penuh 3D bersama motif cakaran yang menonjol. Dan ia juga dilengkapi dengan rim aloi bersaiz 16-inci.

    Manakala untuk 2008 pula, ia telah diberikan sedikit prubahan pada bahagian hadapan dengan menampilkan gril melintang baharu, di samping lampu utama dan sambungan gerbang roda hitam yang diperkemaskini serta scuff plates baharu serta rim aloi Hydre Antra dwi-tona 17-inci, sekaligus menyerlahkan lagi gaya SUV kompak tersebut. Selain itu, ia turut dilengkapi dengan lampu nyalaan siang LED, lampu kabus hadapan dengan pencahayaan bantuan selekoh dan lampu belakang 3D.

    Menjengah bahagian dalamnya, seperti model Peugeot terkini yang lain, ia turut mengetengahkan Peugeot i-Cockpit yang memberikan bantuan kepada pemandu untuk pengalaman pemanduan yang lebih jitu dan selamat. Selain itu, ia turut dilengkapi dengan roda stereng balutan kulit dengan penambahbaikan pengendaliannya, skrin sesentuh berwarna pelbagai fungsi HD tujuh-inci dan sistem auto Start & Stop.

    Lain-lain elemen termasuklah sistem Arkhamys 3D Audio dengan enam pembesar suara, sambungan digital sepenuhnya bersama USB dan Bluetooth dan kawalan suhu dwi-zon digital menerusi skrin sesentuh. Bagi 2008, elemen tambahan yang turut disertakan ialah pencahayaan LED biru dengan bumbung panoramik.

    Peugeot 208 Puretech (kiri) & Peugeot 2008 SUV Puretech (kanan)

    Kali ini Peugeot turut mengubah sudut mekanikal bagi kedua-dua model. Jika model terdahulu menerima enjin 1.6 liter (122 PS/160 Nm) bersama transmisi auto empat-kelajuan, bagi kedua-dua model facelift ini ditampilkan dengan enjin baharu 1.2 liter PureTech yang mampu menghamburkan output 112 PS dan 205 Nm, bersama transmisi baharu automatik enam-kelajuan Aisin.

    Dengan penjana kuasa ini, membolehkan model 208 facelift dipacu dari 0-100 km/j dalam hanya 9.8 saat dan mampu mencapai kelajuan maksimum sehingga 190 km/j. Manakala penggunaan bahan apinya sekitar 4.5 l/100 km bagi kitaran kombinasi. Berbeza dengan versi lama yang memerlukan 10.7 saat bagi 0-100 km/j dan penggunaan bahan api sekitar 6.7 l/100 km. Walau bagaimana pun, kelajuan maksimum tidak berubah.

    Bagi model 2008 pula, kini ia mampu mencapai 9.9 saat bagi 0-100 km/j, kelajuan maksimum sehingga 188 km/j dan lebih kurang 4.8 l/100 km. Sebagai perbandingan, model pre-facelift hanya 11.2 saat bagi 0-100 km/j, kelajuan maksimum 190 km/j dan menggunakan 6.5 l/100 km.

    Untuk aspek keselamatan, kedua-duanya menerima enam beg udara, ABS dengan EBD, Bantuan Brek (BA), Anti-Skid Regulation (ASR) dan Kawalan Kestabilan Dinamik (DCS). Selain itu, ia turut turut menampilkan binaan badan Keluli Ketahanan Sangat Tinggi, Bantuan Mula Mendaki (HSA), dan tiga set ISOFIX untuk tempat duduk belakang.

    Bagi 208 Puretech, ia ditawarkan dengan enam warna menarik iaitu Digital White, Virtual Blue, Nera Black, Atomic Orange, Rouge Red dan Aluminium. Manakala untuk 2008 SUV Puretech hadir dengan empat warna iaitu Digital White, Ultimate Red, Emerald dan Artense Grey.

    Menurut Dato’ Samson Anand George, COO Kumpulan, AUtomotive Group, Naza Corporation Holding, pihaknya mensasarkan jualan sebanyak 2,500 unit bagi 208 dan 1,100 unit untuk 2008 pada tahun 2017, iaitu merangkumi 44% daripada sasaran jualan keseluruhan Peugeot di Malaysia.

    Bagi mengetahui lebih terperinci mengenai spesifikasi, sila layari Carbase.my bagi 208 Puretech dan 2008 SUV Puretech.

    GALERI: Peugeot 208 facelift

    GALERI: Peugeot 2008 facelift

     
     
  • Triumph Street Triple 765 2017 dilancarkan di UK – harga dari RM43,625, dijangka tiba di M’sia pada April

    Triumph Street Triple 765 2017 dilancarkan di UK – harga dari RM43,625, dijangka tiba di M’sia pada April

    Triumph Street Triple telah wujud sejak 10 tahun yang dulu, dan dalam selang masa itu, ia menerima beberapa kali pembaharuan, dengan yang paling ketara adalah pada tahun 2013. Kini, pengeluar motosikal dari United Kingdom itu melancarkan model Street Triple serba baharu, yang menggunakan enjin 765 cc dan ditawarkan dalam tiga variasi bermula dengan Street Triple S, Street Triple R dan Street Triple RS.

    Enjin 765 cc yang digunakan pada model baharu ini diasaskan daripada enjin 675 cc pada model Daytona, dan diubah suai, dengan hanya 10 peratus komponen enjin sahaja yang sama dengan Street Triple sebelum ini dan 50 peratus lagi daripada Daytona. Selebihnya adalah baharu – 80 komponen termasuk piston, crank dan barrel aluminium yang disalut Nikasil.

    Bagi Street Triple S, ia berkemampuan 111.5 hp pada 11,250 rpm dan 73 Nm tork pada 9,100 rpm, manakala Street Triple R mampu menghasilkan 116.4 hp pada 12,000 rpm dan 77 Nm tork pada 9,400 rpm. Paling tinggi, Street Triple RS mampu menghasilkan 121.2 hp pada 11,700 rpm dan 77 Nm tork pada 10,800 rpm.

    Triumph Street Triple 765 2017 dilancarkan di UK – harga dari RM43,625, dijangka tiba di M’sia pada April

    Semua model Street Triple 765 kini menggunakan sistem pendikit ride-by-wire, traction control dan mod tunggangan, namun terdapat sedikit perbezaan. Model asas S hanya disediakan dengan dua mod iaitu Rain dan Road, manakala model R mendapat tambahan dua lagi mod iaitu Sport dan Rider yang boleh ditetapkan mengikut kegemaran. Model paling tinggi RS ditambah dengan satu lagi mod – Track.

    Pada bahagian lain, model R dan RS mendapat klac jenis slipper dan panel meter digital TFT berwarna, manakala penukar gear quickshifter – yang dikatakan oleh Triumph lebih cepat sebanyak 2.5 kali berbanding penukar gear biasa diberikan hanya pada model RS.

    Untuk suspensi, model S sekadar menggunakan padanan fork USD 41 mm Showa dan monoshock piggyback reservoir dengan pelarasan pra beban, manakala model RS menggunakan fork piston besar (BPF) USD 41mm Showa dengan pelarasan penuh dan monoshock piggyback reservoir dengan pelarasan pra beban. RS pula mendapat suspensi paling baik – fork piston besar (BPF) USD 41mm Showa dengan pelarasan pra beban, lantunan dan mampatan, serta monoshock piggyback reservoir Öhlins STX40.

    Selain itu, model RS juga diberikan dengan brek setaraf dengan superbike, iaitu unit radial monobloc empat piston Brembo M50 di depan dan angkup satu piston Brembo di belakang manakala bagi model R, brek hadapannya diganti dengan unit radial monobloc empat piston Brembo M4.32. Model S pula masih menggunakan brek belakang yang sama, tetapi di depan ditukar dengan unit asas Nissin dua piston.

    Bagi bahagian badannya, walaupun kelihatan serupa seperti sebelum ini, Triumph menyatakan penggayaannya adalah baharu, dengan penghadang angin, salur udara dan panel-panel badan lain semuanya baharu.

    Triumph Street Triple ini dilancarkan di UK dengan harga bermula 8,000 pound (RM43,265) bagi model asas S, manakala bagi model R dan RS, harganya masih belum dikeluarkan. Di Malaysia, Triumph Street Triple 675 R 2016 kini dijual pada harga promosi RM49,900 sehingga Februari 2017.

     
     
  • Akademi Bas Rapid kini terbuka kepada umum untuk latihan – langkah atasi kekurangan pemandu bas

    Akademi Bas Rapid kini terbuka kepada umum untuk latihan – langkah atasi kekurangan pemandu bas

    Akademi Bas Rapid kini dibuka kepada umum dan pihak-pihak yang berminat untuk menjadi pemandu bas atau ingin melatih mereka bagi tujuan menyelesaikan masalah kekurangan jumlah pemandu bas di negara ini, memetik laporan The Star.

    Ketua akademi berkenaan, Jaslino Mohamed Yusoff memaklumkan, kemudahan itu mula dibuka kepada umum sejak November tahun lalu, namun tidak menerima sebarang permohonan. Kemudahan berkenaan mula beroperasi sejak 2012, namun hanya bertujuan untuk kegunaan dalaman syarikat itu sahaja untuk tujuan latihan.

    “Pengusaha bas, persatuan atau individu yang berminat untuk dilatih menjadi pemandu bas boleh menghubungi kami,” ujar beliau. Sementara itu, CEO Kumpulan Prasarana, Datuk Seri Azmi Abdul Aziz berkata, syarikat itu telah menentukan penanda aras tersendiri bagi tujuan latihan kepada kapten bas yang bernaung di bawah syarikat itu.

    “Tahap atau aras yang kami tentukan ini juga sudah disahkan oleh pihak berkuasa tempatan serta kumpulan antarabangsa,” tambah beliau. “Untuk itu, kami berada pada tahap standard dan kualiti yang sepatutnya untuk menawarkan latihan ini kepada umum, dan ini merupakan sebahagian sumbangan kami terhadap indsutri,” tambah beliau.

     
     
  • Pemilik kenderaan turut disaman sekiranya beri kebenaran warga asing memandu tanpa lesen – JPJ

    Pemilik kenderaan turut disaman sekiranya beri kebenaran warga asing memandu tanpa lesen – JPJ

    Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor Nazli Md Taib menegaskan pihaknya akan turut menyaman pemilik kenderaan yang dipandu oleh warga asing yang dikesan memandu tanpa lesen, menurut laporan Bernama.

    “Saman tidak hanya dikeluarkan kepada pemandu, malah pemilik kenderaan yang dipandu mereka turut akan dikenakan saman,” katanya kepada pemberita selepas selepsai Ops Warga Asing di Plaza Tol Batu Tiga Isnin lalu.

    Operasi berkenaan disertai 115 anggota JPJ serta 21 anggota Jabatan Imigresen Selangor dan berjalan serentak di tujuh lokasi seluruh Selangor yang dikenal pasti sebagai lokasi panas di mana ramai warga asing memandu kenderaan. Sejumlah 25 warga asing disaman kerana memandu tanpa lesen dan sembilan kenderaan persendirian dan perdagangan yang dipandu oleh warga asing disita oleh JPJ bagi tujuan pemeriksaan sepanjang operasi tersebut berjalan.

    “Kesemua warga asing ini ada memandu kenderaan persendirian dan perdagangan dan terdiri daripada tujuh warga Pakistan, India (dua), Indonesia (tujuh), Bangladesh (1), Syria (1), Myanmar (lima) dan masing-masing seorang warga Yaman dan Kemboja,” kata Nazli.

    Lebih 500 kenderaan diperiksa dan 173 saman melibatkan kesalahan antaranya tiada lesen memandu, lesen tamat tempoh dan memandu tanpa cukai jalan dikeluarkan dalam operasi yang bermula pada pukul 8 pagi sehingga pukul 12 tengah malam itu.

     
     
  • Proton tawar promosi sempena Tahun Baru Cina 2017 – rebat sehingga RM12k, sah sebelum 31 Januari

    Proton tawar promosi sempena Tahun Baru Cina 2017 – rebat sehingga RM12k, sah sebelum 31 Januari

    Menjelang sambutan perayaan Tahun Baru Cina yang akan tiba tak lama lagi, Proton kini mengadakan promosi bagi semua model yang ditawarkan, dengan rebat di antara RM500 hingga RM12,000.

    Bagi model Saga dan Persona, yang masing-masing dijual pada harga RM36,800 dan RM46,350, rebat sejumlah RM500 diberikan. Sementara itu, MPV Exora pula yang dijual pada harga bermula RM69,840 kini didatangkan dengan rebat sehingga RM4,000.

    Proton tawar promosi sempena Tahun Baru Cina 2017 – rebat sehingga RM12k, sah sebelum 31 Januari

    Model Preve dan Perdana, yang masing-masing dijual pada harga RM59,710 dan RM113,438, diberikan rebat sehingga RM5,000 setiap satu. Model hatchback dari segmen B, Iriz kini diberikan rebat sehingga RM9,300 dari harga permulaannya RM41,520.

    Satu-satunya model yang menerima rebat paling banyak ialah Suprima S, iaitu sebanyak RM12,000. Ia dijual pada harga bermula RM69,840. Sah sehingga 31 Januari 2017, harga dan rebat yang dinyatakan bagi promosi Tahun Baru Cina ini adalah bagi Semenanjung Malaysia sahaja.

     
     
  • Mazda perkenal enjin HCCI pada penghujung 2018

    Mazda perkenal enjin HCCI pada penghujung 2018

    Mazda bakal memperkenalkan enjin pembakaran dalam dengan teknologi baharu, yang akan memberikan peningkatan kecekapan bahan api sehingga 30%. Enjin berkenaan yang bakal membuat kemunculan sulungnya pada penghujung tahun hadapan – menampilkan teknologi Homogeneous Charge Compression Ignition (HCCI), yang menggunakan tekanan untuk memulakan pembakaran tanpa penggunaan palam pencucuh, lapor Nikkei Asian Review.

    Tiada perincian teknikal didedahkan setakat ini tetapi menurut Mazda mereka telah menemui kaedah untuk menghasilkan pembakaran yang lebih efisien dengan menggunakan tekanan, berbanding menggunakan palam pencucuh pada enjin konvensional biasa.

    Berbanding enjin petrol konvensional yang memerlukan palam pencucuh (spark plug) atau enjin diesel yang memerlukan suntikan bahan api untuk memulakan pembakaran setelah campuran udara-bahan api dimampatkan dalam kebuk pembakaran, enjin HCCI ini sebaliknya hanya memerlukan titik pembakaran yang terjadi secara semula jadi dengan nisbah mampatan yang tinggi dan campuran udara-bahan api pada keadaan lean (bahagian udara lebih banyak berbanding bahagian bahan api dalam nisbah campuran).

    Mazda perkenal enjin HCCI pada penghujung 2018

    Ini membuatkan pembakaran berkenaan berlaku pada suhu yang lebih rendah berbanding enjin pembakaran lain. Oleh itu, selain dari menggunakan bahan api dengan jumlah yang lebih sedikit, suhu rendah berkenaan mampu untuk melenyapkan hampir keseluruhan penghasilan gas berbahaya Nitrogen Oksida (NOx).

    Enjin baharu ini akan diletakkan sebagai enjin SkyActiv generasi-kedua yang disasarkan sebagai enjin dengan teknologi mesra alam dan bakal menjana Mazda 3 baharu (atau dikenali juga sebagai Axela di Jepun) tahun hadapan. Laporan Nikkei itu juga menyatakan, penggunaan enjin tersebut juga bakal diperluaskan kepada model lain.

    Untuk pasaran global, Mazda mensasarkan pasaran Amerika Syarikat dan Eropah, tetapi menyatakan mereka bercadang untuk memperkenalkan enjin baharu yang bakal memberikan penggunaan petrol sekitar 30 km seliter kepada Mazda 3 ini ke pasaran membangun pada 2030.

     
     
  • Honda Civic Type R Black Edition – hanya 100 unit

    Honda Civic Type R Black Edition – hanya 100 unit

    Sempena memperingati berakhirnya pengeluaran model semasa Civic Type R dikilangnya di Swindon, Honda United Kingdom telah mengasingkan 100 unit terakhir yang keluar dari kemudahan mereka untuk dijadikan model Black Edition.

    Dianggap sebagai true collector’s item, Civic Type R berkenaan menempatkan beberapa sentuhan rekaan yang unik bertujuan untuk membuatkannya berlainan daripada versi biasa. Di bahagian luar, spoiler belakang kini diwarnakan merah, sementara ruang dalaman dengan latar warna hitam turut menerima kemasan merah.

    Ia kekal menggunakan enjin K20C1 2.0 liter turbocaj empat silinder dengan janaan 310 PS pada 6,500 rpm dan 400 Nm pada 2,500 rpm, dipadankan dengan kotak gear manual enam-kelajuan. Bacaan 0-100 km/j pula dalam masa 5.7 saat, dan mampu mencapai kelajuan maksimum 270 km/j.

    Honda Civic Type R Black Edition dijual pada harga yang sama dengan model GT di UK, iaitu 32,300 pound Sterling (RM175,278) – semua penambah baikan yang dibuat pada versi ini adalah percuma. Menurut syarikat itu, kilang di Swindon berkenaan sedang membuat persediaan untuk mengeluarkan versi terbaru Civic Type R, dijangka dalam tahun ini.

     
     
  • Ford Bronco akan muncul semula pada tahun 2020 – guna asas daripada Ranger, tawar kemampuan offroad

    Ford Bronco akan muncul semula pada tahun 2020 – guna asas daripada Ranger, tawar kemampuan offroad

    Semasa di pameran North American International Auto Show 2017 di Detroit, Ford mengumumkan akan mengeluarkan kembali sebuah model dengan nama yang sudah digunakan sejak tahun 60 an lagi iaitu Bronco. Model baharu Bronco ini dirancang untuk pasaran tahun 2020 dan dibina atas platform sama dengan Ranger generasi seterusnya. Ranger baharu ini akan berada dalam pasaran pada tahun 2019 dan kedua-duanya akan dibina di Amerika Syarikat.

    “Ramai yang menggemari Bronco di luar sana. Jika anda melihat kepada segmen SUV ranggi, dalam masa lima tahun yang lepas, ia menunjukkan seperti segmen yang kedua paling pantas berkembang,” kata ketua pegawai eksekutif Ford, Mark Field kepada USA Today.

    Bronco sebelum ini sentiasa adalah sebuah 4×4 tiga pintu yang kecil, dan kemungkinan besar Ford tidak akan mengubahnya untuk model baharu ini. Disebabkan ia diasaskan daripada trak pikap dan disebut sebagai “4×4 saiz sederhana tanpa kompromi”, ini bermakna Bronco baharu akan mempunyai kemampuan jalan lasak yang berpatutan. Ford mengatakan ia adalah sebuah model global, dan Malaysia juga mempunyai kemungkinan untuk menerimanya.

    “Ini adalah sebuah kenderaan 4×4 saiz sederhana tanpa kompromi, khas untuk mereka yang sentiasa mencari sesuatu yang mencabar dan mahukan kebebasan, bersama kemampuan menjelajah jalan offroad serta pelbagai lagi kegunaan padanya. Bronco mampu menakluk apa sahaja, daripada penggunaan harian, sehinggalah jalan lasak,” kata presiden bahagian Ford America, Joe Hinrichs.

     
     
  • Perodua Myvi 1.5 Extreme automatik dieksport ke Jepun dan menerima talaan turbo oleh FEED?

    Perodua Myvi 1.5 Extreme automatik dieksport ke Jepun dan menerima talaan turbo oleh FEED?

    Laman facebook Fuel Garden dari Malaysia telah menyiarkan gambar-gambar sebuah Perodua Myvi 1.5 Extreme automatik yang telah diimport ke Jepun dan menerima sentuhan dari syarikat penala yang terkenal dengan ubahsuai enjin rotari Mazda – Fujita Enginnering atau FEED.

    Dengan melakukan siasatan lebih lanjut, kami ditemukan dengan sebuah blog bertajuk That’s why S Okay! milik seorang rakyat Jepun yang juga pemilik Myvi tersebut. Menurut blog ini, Myvi berkenaan diimport dari Malaysia dan sampai ke Jepun pada tahun 2012, dan projek ini sudah pun siap pada 2015.

    Setelah sampai di Jepun, pemilik berkenaan menyatakan keinginannya untuk mengubahsuai Myvi tersebut agar ia lebih pantas dari kembar Myvi di Jepun iaitu Toyota Passo TRD. Pemiliknya juga tidak terus menghantar Myvi ini terus ke FEED, tetapi memulakannya dengan seperti menukar set suspensi asal kepada set suspensi Hypermax S-Style dari HKS, set brek dari Project Miu dan juga rim aloi Advan RG2 dibaluti tayar Yokohama Advan AD08.

    Sentuhan dari Fujita Engineering bermula apabila pemiliknya mahukan pengecas turbo dipasang pada Myvi berkenaan. Mengapa FEED? ini kerana dia juga memiliki kereta sport Mazda RX-7 SA22C dan juga Roadster MX-5 NB8C. Pemiliknya juga terpaksa memesan omboh dan rod penghubung keluaran CP-Carillo dari Amerika Syarikat, bagi memastikan ia mendapat nisbah mampatan yang sesuai iaitu sekitar 8.5:1 setelah mendapat udara tambahan dari pengecas turbo dan juga memastikan rod penghubung tidak patah apabila dipaksa untuk mengerah lebih tenaga.

    Perodua Myvi 1.5 Extreme automatik dieksport ke Jepun dan menerima talaan turbo oleh FEED?

    Untuk projek ini juga, pemiliknya tidak menggunakan enjin asal dari perut Myvi ini, sebaliknya membeli sebuah lagi enjin 3SZ-VE yang sama dalam keadaan terpakai, tetapi dari badan Toyota bB. Selain dari omboh dan rod penghubung, pemilik turut membuat imbangan semula pada aci engkol.

    Kepala silinder asal 3SZ juga tidak lagi digunakan, di mana FEED memadankan kepala silinder dari enjin K3-VET Passo yang telah menerima proses ‘port and polish‘ pada liang kemasukan dan liang ekzos. Setelah semua bahagian dalaman enjin dipasang, pemilik memadankan pula turbin GT-SS dari HKS dengan sistem paip binaan khas. Unit intercooler dari ARC yang asalnya dibuat untuk Mazda RX-7 FC3S dipasang pada Myvi ini bagi memberikan udara yang lebih sejuk masuk ke kebuk pembakaran.

    Untuk memastikan bekalan bahan api mencukupi dihantar ke kebuk pembakaran, pam bahan api asal ditukar kepada pam berkapasiti 275 liter sejam dari SARD serta kesemua penyuntik bahan api asal ditukar kepada penyuntik berkapasiti 400 cc dari Mazda RX-8.

    Kotak komputer enjin asal Myvi masih digunakan, tetapi telah ‘ditipu’ dengan kotak komputer piggy-back tambahan FCON-iS dari HKS bagi menala semula nisbah campuran bahan api dan udara bagi membolehkan enjin ini mengerah kuasa yang paling optimum. Tekanan boost turbo pula ditetapkan pada paras 1 bar menerusi pengawal boost EVC 6 juga dari HKS. Tugas membuang tekanan boost lebihan pula diberikan kepada injap blow-off HKS Super SQV IV D.

    Setelah mendapat kuasa yang jauh lebih buas, kotak gear automatik asal Myvi ini turut dipertingkatkan bagi memastikan ia kekal bertahan. Penyejuk bendalir transmisi automatik diberikan bagi memastikan suhu ATF kekal rendah walaupun sedang dipandu secara agresif. Kapasiti klac dan tekanan hidraulik di dalam kotak gear serta torque converter juga dipertingkatkan bagi menampung kuasa yang lebih besar. Pemilik turut memadankan LSD mekanikal yang dibina untuk Daihatsu Copen AT keluaran ATS.

    Setelah kesemua ini lengkap, pemilik Myvi ini sekali lagi merombak sistem suspensinya, kali ini dengan memadankan set suspensi Super Ohlins pula.

    Kesemua ubahsuai ini sebenar merupakan ubahsuai peringkat pertama yang ditala untuk digunakan sebagai sebuah kereta litar. Menurut pemilik, Myvi 1.5 Extreme Turbo miliknya ini mudah untuk mencapai kelajuan 200 km/j. Tetapi bampar hadapan akan menjadi renggang kerana tidak tahan dengan rintangan angin pada kelajuan tersebut oleh kerana varian Extreme ini dipadankan dengan spoiler pada bahagian bampar, dan beliau terpaksa merapatkan kembali bahagian tersebut setiap kali selepas mencatatkan kelajuan 200 km/j.

    Untuk peringkat kedua ubahsuai Myvi ini, pemilik lebih menumpukan untuk menjadikan Myvi ini sebuah hatchback yang sempurna untuk digunakan diatas jalan raya. Oleh itu, komputer asal Myvi+HKS FCON-iS kini ditukar kepada kotak komputer stand alone Haltech Elite 1500.

    Walaupun berada di Jepun, Myvi ini masih berbentuk seperti Myvi tanpa pengubahsuaian komponen badan dari Toyota Passo atau Daihatsu Boon. Pemilik hanya menebuk bonet enjin asal bagi memadankan liang udara terus ke penapis udara serta memadankan GT-Wing yang dibina untuk Passo TRD pada pintu tailgate belakang.

    Begitu juga pada bahagian dalaman, hampir kesemua komponen Myvi masih kekal ditempatnya termasuk roda stereng. Pemilik hanya menukar tempat duduk asal kepada tempat duduk lebih sporty dari Recaro, serta memadankan berberapa meter tambahan seperti meter Defi ADVANCE ZD (memberikan bacaan suhu air, suhu minyak pelincir, boost turbo serta kelajuan) dan juga meter bacaan nisbah bahan api/udara M300TE.

    Oleh kerana Myvi ini dari Malaysia, pemilik juga terpaksa mengubahsuai sistem penghawa dinginnya kepada sistem yang mempunyai pemanas (heater). Menerusi ulangkaji yang dijalankan oleh pemilik sendiri, sistem penghawa dingin Myvi dan Passo/Boon adalah tidak serupa, tetapi ia hampir sama dengan sistem pada Toyota bB, dimana kebanyakkan komponennya boleh dipasang terus pada Myvi, termasuk suis kawalan pada papan pemuka.

    Walau bagaimanapun, tahun lalu pemilik ini mengambil keputusan untuk menjual Myvi ini, dan meminta Fujita Engineering menanggalkan sistem turbo serta menukar semula enjin asalnya.

     
     
  • Audi Q8 Concept dipertonton di Detroit – plug-in hybrid dengan 488 hp, 0-100 km/j dalam masa 5.4 saat

    Audi Q8 Concept dipertonton di Detroit – plug-in hybrid dengan 488 hp, 0-100 km/j dalam masa 5.4 saat

    Static photo
    Colour: Bombay blue

    Selain model SQ5, Audi mempunyai satu lagi model konsep menarik yang dipertontonkan di Detroit; Audi Q8 Concept. Ia merupakan sebuah kenderaan bersaiz besar, dan sarat dengan pendekatan teknologi maju. Untuk mendapat bayangan terhadap saiznya, model ini dibangunkan dalam dimensi fizikal seperti berikut; 5.02 meter panjang, 2.04 meter lebar, 1.7 meter tinggi serta 3 meter jarak antara roda.

    Janaan kuasanya pula digerakkan oleh sistem plug-in hybrid, dengan output 330 kW dan 700 Nm tork. Unit utamanya terdiri daripada enjin 3.0 liter TFSI dengan janaan 333 hp dan 500 Nm tork. Ia juga digandingkan dengan motor elektrik dengan kemampuan maksimum mengeluarkan 136 hp kuasa dan 330 Nm tork.

    Kombinasi dua unit janaan kuasa ini memberikan angka output yang mengkagumkan untuk Q8 Concept ini; 448 hp dan 700 Nm tork, dengan transmisi lapan-kelajuan Tiptronic. Dari segi angka prestasi pula, ia mampu mencapai 0-100 km/j dalam tempoh 5.4 saat dan kelajuan maksimum 250 km/j.

    Bagi unit elektriknya, bateri lithium-ion dengan 104 prismatic cell digunakan, dengan kapasiti 17.9 kWh. Jarak yang boleh dilalui dalam mod elektrik sepenuhnya ialah sehingga 60 km. Jika digabungkan dengan enjin pembakaran dalaman yang digunakan, jarak maksimum yang boleh dicapai ialah 1,000 km.

    Soket output 7.2kW boleh mengecas penuh kenderaan plug-in hybrid ini dalam masa 2.5 jam. Model ini juga menjadi asas kepada sebuah model sebenar yang bakal dikeluarkan oleh Audi tahun ini. Q8 Concept merupakan SUV yang berada satu tahap lebih tinggi berbanding model sedia ada Q7.

    Kelainan yang ada padanya ialah penggunaan gril Singleframe oktagonal dengan perincian honeycomb dengan enam palang berkembar menegak dengan. Kedudukan unit masukan udara luarannya lebih ke dalam, dengan bucu bawah bampar depan diberikan kemasan aluminium.

    Audi Q8 Concept dipertonton di Detroit – plug-in hybrid dengan 488 hp, 0-100 km/j dalam masa 5.4 saat

    Static photo
    Colour: Bombay blue

    Antara ciri yang melengkapi SUV konsep ini penggunaan sensor sentuh yang bertindak selaku pemegang pintu – jika ada sentuhan tangan, pintu akan dibuka pada sudut tertentu. Garis badan di bahagian bawah tingkap pada pintu, bahagian bahu SUV ini serta di bahagian bawah kerangka pintu semakin tinggi dibahagian belakang. C-pillar yang “rata” dan ketara mengembalikan ingatan kepada Quattro asli.

    Di belakang, spoiler di hujung bumbung tersedia, sementara rekaan kedudukan lampu dan pencahayaannya mirip seperti yang pernah dilihat khusus pada e-tron. Lampu belakangnya juga bertindak sebagai lampu brek serta lampu isyarat.

    “Q8 Concept merupakan reka bentuk kenderaan Audi pada kemuncaknya. Ia mempamerkan kekuatan jenama kami, dari segi teknologi dan rekaan, dan dalam masa yang sama memberi idea terhadap SUV saiz penuh yang akan dikeluarkan nanti,” ujar ahli lembaga pengurusan, jualan dan pemasaran Audi AG, Dietmar Voggenreiter.

    Di bahagian dalam, Q8 Concept sangat luas. Ruang barangan sahaja tersedia dengan kapasiti 630 liter. Rekaan pada bahagian ini juga semuanya dilakukan untuk melahirkan rasa keluasan maksimum pada penumpang. Paparan ditengah pula adalah melalui skrin TFT 12.3 inci dengan resolusi 1920 x 720, dengan butang kawalan pada stereng.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.10
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.85 (-0.05)
EURO 5 B7 RM3.05 (-0.05)
Last Updated Aug 21, 2025