Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Volkswagen I.D Buzz Concept – jelmaan semula ‘Kombi Van’ dengan janakuasa elektrik sepenuhnya

    Volkswagen I.D Buzz Concept – jelmaan semula ‘Kombi Van’ dengan janakuasa elektrik sepenuhnya

    Selain dari Beetle, Volkswagen mempunyai sebuah lagi kenderaan yang sangat ikonik dengan enjin boxer bersama sistem pendingin angin serta diletakkan di bahagian belakang, tidak lain dan tidak bukan Volkswagen Type-2 atau lebih dikenali juga sebagai Kombi Van. Ketika berlangsungnya Detroit Auto Show 2017, Volkswagen telah mendedahkan sebuah model konsep yang direka diinspirasikan dari van berkenaan, dan diberi nama Volkswagen I.D Buzz Concept.

    ‘Buzz’ pada nama I.D Buzz berkenaan diambil sempena perkataan ‘Bus’, dimana Kombi Van juga popular digelar sebagai ‘Microbus’. Berbeza dengan model asalnya, model konsep ini dijana sepenuhnya dengan kuasa elektrik, memacu semua roda, serta diberikan sistem pemanduan automatik.

    “I.D Buzz merupakan kenderaan generasi seterusnya yang dibina berasaskan Modular Electric Drive Kit (MEB) yang baharu, menawarkan keselesaan dan ruang yang banyak,” kata Dr.Frank Welsch, ahli lembaga pengurusan Volkswagen yang bertanggungjawab membina model ini. Dua buah motor elektrik berkuasa 201 hp diberikan pada I.D Buzz, sebuah pada gandar hadapan dan sebuah lagi pada gandar belakang, memberikan kuasa keseluruhan 369 hp. Ia dijana dengan bateri 111 kWh yang dapat memberikan jarak perjalanan sejauh 600 km dengan sekali cas penuh pada kitaran NEDC.

    Volkswagen I.D Buzz Concept – jelmaan semula ‘Kombi Van’ dengan janakuasa elektrik sepenuhnya

    Bateri berkenaan juga boleh di cas semula menerusi Sistem Pengecas Gabungan atau menggunakan inductive charging interface, yang menurut VW ia mampu mencapai 80% cas penuh dalam masa 30 minit. Platform MEB yang fleksibel juga membolehkan I.D Buzz beroperasi secara pacuan belakang sahaja menggunakan bateri 83 kWh yang lebih kecil, menghasilkan kuasa 268 hp, bergantung pada penggunaan.

    Van ini juga diberikan sistem pemanduan automatik yang menyeluruh, dan VW menggelarnya sebagai “kenderaan pelbagai guna pemanduan automatik sepenuhnya pertama di dunia.” Mod “I.D Pilot” iaitu mod pemanduan automatik pada van ini boleh diaktifkan dengan menolak dengan ringan roda stereng sehingga ia ‘termasuk’ke dalam panel instrumen. Ini boleh dilakukan dengan kolum stereng yang baru dibina, membolehkan gear stereng pisahkan semasa mod ini diaktifkan.

    Dalam mod ini juga, lampu bahagian dalaman akan berubah dari putih menjadi mood yang lebih relaks, serta kawasan tempat duduk bahagian belakangnya akan diperbesarkan lagi. Apabila pemandu telah menyerahkan tugas memandu sepenuhnya kepada sistem, tempat duduk pemandu boleh dipusingkan 180 darjah ke belakang untuk menghadap penumpang. Dengan hanya satu sentuhan pada roda stereng, pedal brek atau pedal pendikit, pemandu boleh mengambil semula semua kawalan terhadap van tersebut.

    Antara peralatan yang digunakan untuk sistem pemanduan sendiri pada model konsep ini adalah penderia laser, penderia ultrasonic, penderia radar, bersama kamera pandangan sisi dan juga kamera pandangan hadapan. Sistem Cloud pula membolehkan ia menerima data trafik secara berterusan, dan akan dibandingkan datanya sendiri.

    Dengan sistem Volkswagen User-ID yang disepadukan, I.D Buzz boleh menyimpan larasan profil untuk ramai pengguna bagi sistem seperti larasan tempat duduk dan penghawa dingin, sistem bunyi, stesen radio dan larasan muzik, konfigurasi sistem navigasi, lampu suasana serta perincian senarai kenalan.

    I.D Buzz juga menggunakan telefon pintar untuk dijadikan sebagai kunci pintar, yang juga dihubungkan bersama Volkswagen User-ID bagi tujuan mengenalpasti pengguna, serta melaras larasan-larasan peribadinya. Dengan penggunaan User-ID dan aplikasi telefon pintar ini juga, sistem infotainmen dan nvigasi boleh dikawal menggunakan peranti mudah alih berkenaan, manakala peta laluan van tersebut akan dipaparkan pada tablet onboard.

    Volkswagen I.D Buzz Concept – jelmaan semula ‘Kombi Van’ dengan janakuasa elektrik sepenuhnya

    Volkswagen mensasarkan untuk membina kenderaan-kenderaan elektrik sepenuhnya mereka dalam masa tiga tahun, menurut Dr. Herbert Diess, pengerusi ahli lembaga pengurusan Volkswagen.

    “Serangan besar-besaran kenderaan berkuasa elektrik berjenama Volkswagen akan bermula pada tahun 2020 dengan model-model binaan baharu sepenuhnya. Perkara ini akan berlaku apabila kami melancarkan keseluruhan kenderaan elektrik sepenuhnya, dihubungkan sepenuhnya generasi baharu ke dalam pasaran. Menjelang 2025 kami mahu menjual satu juta unit kenderaan sedemikian setahun. Kami akan membuatkan mobiliti elektrik sebagai trademark baharu kepada Volkswagen,” katanya.

    I.D Buzz Concept ini merupakan antara langkah Volkswagen dalam menuju Stretegy 2025 yang dirancang, yang akan membawa jenama tersebut untuk melancarkan 30 kenderaan elektrik sepenuhnya baharu menjelang 2025.

     
     
  • Volkswagen Tiguan Allspace 2018 – 7 tempat duduk

    Volkswagen Tiguan Allspace 2018 – 7 tempat duduk

    Gambar rasmi untuk Volkswagen Tiguan 2018 telah pun dikeluarkan, sekali dengan perinciannya, apabila ia dipertonton buat pertama kali semasa North American International Auto Show 2017 di Detroit.

    SUV ini diberitahu dibangunkan secara spesifik untuk menepati keperluan pelanggan di Amerika Syarikat, di mana ia adalah sebuah kenderaan yang lebih besar daripada Tiguan Eropah dan datang dengan pilihan tempat duduk baris ketiga untuk menjadikannya boleh memuatkan tujuh orang. Di Jerman, SUV ini akan dikenali sebagai Tiguan Allspace untuk membezakannya dengan yang asal. Di China, ia akan dipanggil sebagai Tiguan L.

    Sama seperti Atlas yang lebih besar, Tiguan juga diasaskan daripada platform Modular Transverse Matrix (MQB). Jika dibandingkan dengan Tiguan generasi kedua, Allspace mempunyai lebih ruang – panjang 4,704 mm, dan ini adalah 272 mm lebih panjang dan 57% lebih kapasiti kargo.

    Volkswagen Tiguan Allspace 2018 – 7 tempat duduk

    Jarak roda 2,791 mm Tiguan menunjukkan ia telah dipanjangkan 112 mm, dan selain tempat duduk baris ketiga (standard pada model FWD, pilihan untuk versi AWD), tempat duduk baris kedua juga boleh dilungsur ke depan dan belakang, dalam jarak 178 mm.

    Di Amerika Syarikat, Tiguan 2018 akan dikuasakan oleh enijn 2.0 liter TSI yang diperbaharui, dengan 184 hp dan 300 Nm tork, memacu dua tayar hadapan melalui transmisi automatik lapan kelajuan. Sistem pacuan empat roda 4Motion dengan ciri Active Control empat mod ditawarkan sebagai pilihan tambahan.

    Kamera undur didatangkan secara standard, dan ciri Adaptive Cruise Control dipertingkat supaya boleh digunakan dalam trafik yang kerap berhenti dan jalan. Forward Collision Warning dan Autonomous Emergency Braking dengan Pedestrian Monitoring, Blind Spot Monitor dengan Rear Traffic Alert, Lane Departure Warning dan Automatic Post-Collision Braking System semuanya ada pada Tiguan 2018.

    Volkswagen Tiguan Allspace 2018 – 7 tempat duduk

    Bahagian dalam SUV ini datang dengan fabrik tempat duduk bercorak rombus untuk model permulaan, dan yang lain datang dengan tempat duduk kulit, tempat duduk boleh dilaras secara elektronik, tempat duduk hadapan dan stereng dengan ciri pemanas, bumbung panoramik, pintu but yang boleh dibuka dengan pengesan yang diletakkan di bawah, paparan Digital Cockpit (seperti yang dilihat pada Passat B8) dan sistem audio Fender Premium.

    Sistem VW Car-Net disediakan sebagai pilihan, menyediakan rangkaian servis kenderaan berpenghubung, termasuk teknologi App-Connect standard yang menawarkan integrasi telefon pintar bersama tiga platform utama iaitu Apple CarPlay, Android Auto dan MirrorLink.

    Tiguan standard (bukan versi yang besar ini) akan dilancarkan di Malaysia pada tahun ini sebagai sebuah model pemasangan tempatan (CKD) dan ia sudah ditemui di Kuantan sebelum ini.

     
     
  • Pemandu teksi perlu berubah untuk bersaing – Nazri

    Pemandu teksi perlu berubah untuk bersaing – Nazri

    Pengusaha teksi di negara ini perlu sedia untuk berubah termasuk menerima penggunaan aplikasi dalam talian dan mengubah kaedah pemasaran untuk kekal relevan dalam industri ini.

    Menurut Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz, golongan ini perlu bersaing dengan kepantasan teknologi dan tidak boleh menyalahkan pihak lain yang menawarkan kemudahan lebih baik kepada pengguna, laporan Berita Harian.

    “Kerajaan membenarkan perkhidmatan Uber dan Grab Car kerana kebanyakan pelancong asing menggunakan aplikasi tersebut. Jadi, Malaysia terutamanya Kuala Lumpur tidak boleh ketinggalan dalam menawarkan perkhidmatan Uber dan Grab, kerana ia sangat popular digunakan di negara lain,” ujar Nazri yang turut menegaskan kerajaan tidak mahu pelancong asing ditipu apabila menggunakan pengangkutan awam di negara ini.

    Tambahnya lagi, pemandu teksi harus mempunyai aplikasi dalam talian mereka sendiri untuk terus bersaing.

    “Jika golongan ini tidak bersetuju, ini bermakna mereka ketinggalan ke belakang. Malah Malaysia menyediakan platform perkhidmatan operasi yang diperlukan rakyat dan pelancong seperti yang berlaku di negara jiran, Thailand dan Indonesia,” katanya ketika diminta mengulas mengenai dakwaan masih ramai pelancong asing dianiaya dan ditipu oleh pemandu teksi yang mengenakan caj mahal dan tidak munasabah.

     
     
  • Persimpangan bertingkat Kuang Sistem dibuka hari ini

    Persimpangan bertingkat Kuang Sistem dibuka hari ini

    Kementerian Kerja Raya telah mengumumkan jalan keluar-masuk Persimpangan Bertingkat Kuang Sistem di Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) akan dibuka untuk kegunaan orang ramai mulai 5 petang hari ini.

    Menurut menterinya Datuk Seri Fadillah Yusof, jalan itu menyediakan laluan lebih mudah dan cepat dari Kuala Lumpur (KL) ke Kundang serta kawasan sekitarnya di utara Selangor, laporan Bernama.

    “Melalui laluan dari Plaza Tol Rawang Selatan di PLUS, jarak dan masa perjalanan dari ibu negara akan dikurangkan kira-kira 10km atau 15 minit,” katanya sewaktu merasmikan pembukaan jalan tersebut.

    Jalan sepanjang 3.1km itu mula dibina pada tahun 2012 dan siap pada 5 Januari lalu dengan kos pembinaan kira-kira RM30 juta.

    “Jalan yang terletak di persimpangan Lebuhraya KL-Kuala Selangor (LATAR), Lebuhraya Koridor Guthrie (GCE) dan PLUS itu juga akan mendorong lagi pembangunan pesat di kawasan sekitar Kundang dan meningkatkan tahap sosioekonomi penduduk,” katanya.

     
     
  • Warga Singapura paling ramai belum bayar saman

    Warga Singapura paling ramai  belum bayar saman

    Warga Singapura paling ramai belum jelaskan saman trafik di sini, dengan sejumlah 184,014 saman sejak 2010, serta anggaran bernilai jutaan ringgit, memetik laporan The Sun.

    Mendedahkan data berkenaan, Ketua Bahagian Penyiasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman, SAC Datuk Mohamad Akhir Darus menjelaskan dari tempoh 2010 hingga 2016, seramai 5,358 pesalah trafik warga asing telah dikeluarkan waran tangkap di atas pelbagai kesalahan trafik di Malaysia. 3,423 orang daripada jumlah berkenaan merupakan warga Singapura.

    Menurut Mohamad, dengan perlaksanaan permit kemasukan kenderaan (VEP) yang dijadual akan mula berkuatkuasa pada Jun nanti, ia akan memudahkan pihak polis untuk mengesan pesalah trafik warga asing yang terlibat. “Jika mereka mempunyai rekod kesalahan trafik di Malaysia, ia tidak akan dipadamkan walaupun selepas 10 tahun,” ujar beliau.

    Antara kesalahan utama yang dilakukan ialah memandu melebihi had laju dan meletak kereta ditempat yang tidak sepatutnya. Jumlah saman yang dikenakan biasanya bermula dari RM70 hingga RM100, sementara bagi kegagalan mematuhi had laju pula, saman RM300 dikenakan.

    Dalam masa yang sama, beliau memaklumkan polis juga mengeluarkan waran tangkap di atas kesalahan trafik terhadap 1,116 warga Thailand, 509 warga Brunei, 36 warga Indonesia dan 274 warga asing dari negara lain.

     
     
  • Biodiesel B10 lebih bersih, baik untuk enjin – MPIC

    Biodiesel B10 lebih bersih, baik untuk enjin – MPIC

    Kementerian Perusahaan Peladangan dan Komoditi (MPIC) telah mengeluarkan kenyataan berkenaan dengan penggunaan biodiesel B10 yang ditangguhkan beberapa kali. Di mana bahan api itu yang menggunakan adunan 10% minyak kelapa sawit metil ester dengan 90% diesel petroleum, sepatutnya diimplementasi bulan lalu, namun telah ditangguhkan ekoran harga pasaran minyak kelapa sawit mentah dan diesel yang tidak menentu.

    Menterinya Datuk Seri Mah Siew Keong berkata ketika melancarkan ekspedisi 4×4 untuk menguji bahan api biodiesel B10 yang kini dalam siri ujian bagi memperbaiki usaha yang berterusan, perkara ini telah disahkan oleh penanda aras komprehensif dan ujian lapangan jangka masa panjang yang dilakukan di dalam dan luar negara.

    Malah ia juga telah mencapai standard adunan biodiesel antarabangsa dan disokong oleh “pengalaman dan penilaian mengikut ujian berjuta-juta kilometer di atas jalan raya sebenar” oleh pelbagai jenis kenderaan dan model semasa yang beroperasi di kebanyakan negara yang telah mengimplemenkan mandat biodiesel B10 atau lebih tinggi.

    Menteri terbabit turut menambah, ekspedisi yang pernah dijalankan sebelum ini dijadikan sebagai platform ujian lanjut untuk membuktikan bahawa biodiesel B10 lebih bersih dan mampu memberikan manfaat pada enjin. Malah tidak akan mendatangkan kemudaratan dalam jangka masa panjang kerana telah diterima secara meluas.

    Malah apabila ia sudah memasuki stesen minyak, biodiesel B10 ini juga bersedia untuk memberikan manfaat terhadap persekitaran terutamanya dalam emisi pengeluaran gas rumah hijau. Pengenalan bahan api (dengan adunan B7 untuk sektor perindustrian) dijangka mampu mengurangkan emisi dalam satu jumlah bersamaan dengan 100,000 unit kenderaan diesel di atas jalan raya.

    Kini, semua bahan api diesel yang dijual di Malaysia mempunyai adunan biodiesel B7. Ia telah diperjelaskan oleh pihak kementerian (dan diperakui oleh BHPetrol dan Petronas) bahawa walau pun mandat bagi biodiesel B10 berkuatkuasa, diesel Euro 5 akan dikekalkan dalam adunan B7 kerana ia telah dikecualikan dalam mandat.

     
     
  • Ujian RON 95 VS RON 97: Mana yang jadi pilihan?

    Soalan mengenai penggunaan bahan api mana yang lebih relevan, sama ada RON 95 atau pun mahu yang lebih berkuasa tetapi pastinya lebih mahal, RON 97, sering kali berlegar-legar. Apatah sejak kebelakangan ini, harga bagi kedua-dua bahan api terbabit tidak menentu. Ada masanya setiap bulan mengalami peningkatan harga, sesekali ia turun. Jadi persoalan tersebut sukar untuk dimuktamadkan bagi jawapannya.

    Artikel ini mungkin dapat membantu anda, dua tahun yang lalu (dan ia masih relevan), paultan.org pernah mengadakan ujian bagi penggunaan RON 95 dan RON 97. Dengan menggunakan dua unit Volkswagen Polo Sedan dan dua unit Jetta TSI, kami memandunya memasuki pusat bandar Kuala Lumpur pada waktu pagi dengan keadaan jalan yang agak sesak, kemudian merentasi Lebuhraya Utara-Selatan sebelum memasuki daerah Tanjung Malim, Perak.

    Jadi, kami dapat menentukan penggunaan kedua-dua bahan api terbabit, dalam pelbagai keadaan jalan. Sama ada di kawasan bandar yang sering kali sesak, di lebuhraya dan juga kawasan luar bandar.

    Ujian RON 95 VS RON 97: Mana yang jadi pilihan?

    Mengapa memilih untuk menggunakan dua kenderaan terbabit? Soalan ini, kami telah sediakan jawapannya, ia moden, memiliki enjin yang lebih berteknologi termasuk respons terhadap penggunaan bahan api bergred tinggi, serta dapat menguji enjin pengecas turbo dan membandingnya dengan enjin naturally-aspirated. Jadi kami dapat menguji kedua-duanya dalam masa yang sama.

    Polo Sedan menggunakan penjana kuasa 1.6 liter MPI (multi-port injection) mewakili enjin tradisional, sementara enjin 1.4 liter pengecas berkembar (pengecas turbo dan supercharged), dengan motor TSI suntikan-terus pada Jetta turut terlibat dengan ujian bahan api ini.

    Kami telah merancang perjalanan sejauh 230 km, termasuk ibu kota Kuala Lumpur pada hari bekerja biasa (pada waktu puncak), kemudian merentasi lebuhraya dan melalui jalan lama ke Tanjung Malim dan balik.

    Dengan merentasi trafik yang begitu sesak, jalan yang adakalanya lengang, dan sibuk di lebuhraya, jalan yang agak sempit di kawasan kampung, semuanya kami lalui. Bagi kami, keadaan jalan yang pelbagai ini memang sesuai untuk melakukan ujian bahan api.

    Sebelum memulakan perjalanan, kami mengosongkan tangki bahan api sebanyak yang mungkin, dan kemudian mengisinya semula sehari sebelum ujian dilakukan. Untuk mengekalkan keadaan kenderaan, tayar bagi setiap unit kereta juga telah dipam dengan jumlah tekanan yang dicadangkan.

    Bagi ujian bahan api ini, kami telah melakukan tiga kaedah klik (berhenti sehingga nozel minyak berhenti secara automatik sendiri, kemudian ulang sebanyak tiga kali selepas selang 10 saat) dengan menggunakan stesen minyak yang sama.

    Bermulalah perjalanan dengan satu unit Polo Sedan menggunakan RON 95, dan satu lagi RON 97. Begitu juga dengan Jetta yang digunakan.

    Empat kenderaan ini bergerak secara konvoi sepanjang perjalanan. Malah kami juga sempat bertukar pemandu di pertengahan perjalanan untuk mengenal pasti kesan terhadap gaya pemanduan (dan berat pemandu juga). Malah larasan penghawa dingin juga ditetapkan bagi kedua-dua kenderaan ini.

    Bagi ujian ini, kami lakukan ‘serealiti’ yang mungkin, jadi pemandu perlu mengikut aliran dan kelajuan yang biasa seperti pemandu yang lain, dan kekalkan jarak dengan kenderaan di hadapan terutamanya ketika berhadapan dengan kesesakan lalu lintas, dengan kelajuan antara 100 hingga 130 km/j di laluan laku merentasi lebuhraya yang agak lengang. Ia agak realistik bukan?

    Ujian RON 95 VS RON 97: Mana yang jadi pilihan?

    Selepas mengakhiri semua laluan yang dirancang, konvoi telah merentasi perjalanan sejauh 236.7 km dengan keadaan pemanduan yang pelbagai. Setiap kereta telah diisi semula bahan api sekali lagi untuk menentukan proses yang disebutkan di atas (mengenal pasti kaedah tiga-klik, menggunakan stesen minyak yang sama) untuk menentukan jumlah sebenar bahan api yang telah digunakan.

    Keputusannya adalah seperti berikut: Polo Sedan menggunakan RON 95 sejumlah 18.160 liter, sementara satu lagi menggunakan RON 97 dengan 17.612 liter. Angka itu menyamai 13.03 km per liter (7.67 l/100 km) untuk kereta yang menggunakan RON 95, dan 13.44 km per liter (7.44 l/100 km) untuk kereta yang diuji dengan RON 97. Ia menunjukkan perbezaan sebanyak 3.15% bagi RON 97.

    Bagi Jetta pula, kereta yang menggunakan RON 95 mencatatkan 17.505 liter (purata 13.52 km per liter atau 7.40 l/100 km), berbanding RON 97 dengan jumlah 17.857 liter (13.26 km per liter atau 7.54 l/100 km). Perbezaan sebanyak -1.92% bagi RON 95. Keputusan ini turut memeranjatkan kami juga.

    Ujian RON 95 VS RON 97: Mana yang jadi pilihan?

    Rujuk jadual di atas untuk mengetahui keputusan akhir ujuan ini. Volkswagen Polo Sedan 1.6 MPI, dengan menggunakan RON 97 dapat memberikan bahan api yang lebih ekonomi sekitar 3.15%. Manakala bagi Jetta 1.4 TSI, melibatkan defisit yang lebih kecil iaitu sekitar 1.92% bagi bahan api bergred tinggi.

    Bagaimana dengan faktor kosnya pula? Bagi RON 97 (kini RM2.40 seliter) dengan premium sejumlah 14.3% berbanding RON 95 (RM2.10 seliter). Walaupun ia melibatkan 5% margin, namun ujian itu menunjukkan bahawa bahan api yang lebih murah mampu membantu daripada sudut kewangan.

    Walau bagaimana pun, seperti yang didakwa bahawa bahan api dengan RON yang lebih tinggi menawarkan prestasi enjin yang lebih bagus, namun keempat-empat pemandu uji ini tidak merasakan sebarang perbezaan terhadap kedua-dua bahan api tersebut. Jadi, konklusinya di sini, pemilihan sama ada mahu menggunakan RON 95 atau RON 97 adalah bergantung pada kemahuan serta bajet anda.

     
     
  • Kia Stinger 2018 didedahkan – model produksi sebenar kereta sport empat-pintu dari konsep Kia GT

    Kia Stinger 2018 didedahkan – model produksi sebenar kereta sport empat-pintu dari konsep Kia GT

    Setelah berberapa siri teaser didedahkan, kini kereta sport empat-pintu dari Korea iaitu Kia GT telah didedahkan berserta nama rasminya – Kia Stinger 2018.

    Walaupun hanya hadir sebagai model produksi sebenar enam tahun lalu setelah diperkenalkan sebagai model konsep pada Frankfurt Motor Show 2011, Stinger masih mengekalkan DNA reka bentuknya dengan berberapa perincian dirombak semula. Muka Stinger menampilkan gril hadapan “hidung harimau”, diapit sepasang lampu hadapan tirus, tetapi liang kemasukan udara pada bampar yang direka ‘tertusuk’ terus ke lampu utama pada model konsep tidak diteruskan pada model produksi ini.

    Pada bahagian sisi, rekaan Stinger masih mengekalkan tiang-C landai seperti Optima serta menampilkan bonet hadapan yang panjang, memberikan bayangan badan sebuah kereta sport enjin hadapan pacuan roda belakang (FR) sebenar. Ia turut diberikan liang udara pada fender hadapan – berfungsi mengalirkan udara dari liang udara hadapan, memberikan kesan aerodinamik yang lebih baik.

    Bahagian bahu kereta ini juga kelihatan lebih teguh dengan trek keseluruhan pada bahagian hadapan dan belakang yang direka sangat lebar. Profil sisi Stinger juga memperlihatkan ia diberikan pilihan rim bersaiz 18- dan 19-inci, dan turut diberikan sistem brek dari Brembo secara standard.

    Kia Stinger 2018 didedahkan – model produksi sebenar kereta sport empat-pintu dari konsep Kia GT

    2018 Stinger

    Beralih bahagian belakang, rekaan dari model konsep juga jelas diadaptsikan pada Stinger. Ia diberikan lampu belakang yang direka bersambung antara kedua-duanya, serta dilanjutkan lagi dengan jalur lampu yang dipanjang bahagian sisi. Namun model produksi diberikan rekaan diffuser belakang yang lebih kompleks, yang turut diberikan dua tip ekzos berkembar.

    Jika dilihat dari maklumat atas kertas, dimensi Stinger adalah lebih panjang dan lebih lebar dari pesaing-pesaingnya seperti BMW 4 Series Gran Coupe, Audi A4, Lexus IS serta Infiniti Q50, dengan ukuran 4,831 mm panjang dan juga 1,869 mm lebar. Jarak roda Stinger juga diukur lebih panjang dari Lexus GS serta Mercedes-Benz CLS dengan ukuran 2,905 mm.

    Casis Stinger dibina dengan 55% keluli berkekuatan-tinggi yang lebih maju, memberikan pengendalian dan pemanduan yang lebih baik serta mengurangkan NVH. Sistem suspensi Topang McPherson diberikan pada bahagian hadapan dan juga sistem multi-link di bahagian belakang. Kia turut memperkenal penyerap hentak boleh laras elektronik buat pertama kali menerusi Stinger, di gelar Dynamic Stability Damping Control.

    Penyerap hentak berkenaan memberikan lima mod talaan berbeza untuk Stinger, membolehkan pemandu memilih untuk menggunakan mod Eco, Sport, Comfort, Smart atau Personal. Kereta sport empat pintu ini juga diberikan sistem stereng elektrik yang diletakkan pada rak, bagi memberikan respon stereng yang lebih baik serta mengurangkan gegaran yang tidak diperlukan.

    Kia Stinger 2018 didedahkan – model produksi sebenar kereta sport empat-pintu dari konsep Kia GT

    Masuk ke dalam kabin pula, pemandu akan disapa dengan panel meter analog berwarna dan turut memberikan informasi seperti daya-G semasa mengambil selekoh, rekod masa sepusingan di dalam litar dan juga suhu minyak enjin. Ia juga diberikan roda stereng kulit tiga-jejari serta tempat duduk dengan opsyen balutan kulit Nappa.

    Skrin infotaimen haptic tujuh-inci direka bersendirian di tengah papan pemuka, dan di bawahnya diberikan tiga liang penghawa dingin bahagian tengah berbentuk bulat. Tombol penukar gear berbentuk petak seperti tombol gear Mercedes-AMG A45 diberikan, diletakkan di atas konsol tengah yang direka agak tinggi.

    Stinger diberikan enam-pembesar suara dihubungkan kepada sistem infotaimen UVO secara standard, manakala model varian lebih tinggi dilengkapi sembilan-pembesar suara serta unit amplifier berasingan. Kia turut menawarkan sistem bunyi Harmann Kardon 720 W dengan 15-pembesar suara sebagai ciri opsyenal. Selain itu, model ini turut diberikan paparan head-up dan pad pengecas telefon pintar tanpa wayar dikonsol tengah.

    Untuk keselamatan, Stinger dilengkapi dengan Bantuan Pelanggaran Hadapan (FCA) bersama brek kecemasan automatik, Bantuan Kekal Laluan (LKA), Advanced Smart Cruise Control (ASCC), Pengesan Titik Buta dan Amaran Lintasan Trafik Belakang (RCTA), dan juga sistem Amaran Perhatian Pemandu (DAA) yang buat pertama kali diperkenalkan oleh Kia.

    Stinger ditawarkan dengan dua enjin berbeza iaitu enjin 2.0 liter empat-slinder turbo berkuasa 255 hp pada takat 6,200 rpm serta tork maksima 353 Nm bermula 1,400 hingga 4,000 rpm, dan juga enjin V6 3.3 liter turbo berkembar Lambda II berkuasa 365 hp pada takat 6,000 rpm dan juga tork maksima 510 Nm bermula 1,300 hingga 4,500 rpm. Kia mensasarkan model dengan enjin V6 bakal memberikan pecutan 0-100 km/j dalam masa hanya 5.1 saat dan kelajuan maksima 269km/j.

    Kedua-dua enjin ini hanya akan dipadankan dengan kotak gear lapan-kelajuan automatik dari Optima K9, bersama pedal penukar gear serta torque converter jenis Centrifugal Pendulum Absorber (CPA) pertama dari Kia untuk mengurangkan getaran kilasan pada sistem transmisi. Pelanggan juga diberikan pilihan sama ada untuk membeli model pacuan belakang sepenuhnya dengan LSD mekanikal dibekalkan secara standard, atau model pacuan-semua roda dengan agihan tork lebih ke bahagian belakang bersama sistem Dynamic Torque Vectoring Control yang beroperasi bersama sistem brek.

     
     
  • Harga Yamaha NVX atau Aerox 155 sudah keluar di Indonesia – lebih murah berbanding NMax tanpa ABS

    Harga Yamaha NVX atau Aerox 155 sudah keluar di Indonesia – lebih murah berbanding NMax tanpa ABS

    Yamaha NVX 155 sebelum ini pernah muncul di Litar Antarabangsa Sepang, semasa perlumbaan MotoGP yang berlangsung, dan itu adalah penampilan pertama bagi motosikal skuter ini di Asean. Kita di Malaysia masih menanti ketibaannya, tetapi di Indonesia, harga untuk model yang ditunggu-tunggu ini sudah dikeluarkan.

    Melihat kepada laman web Yamaha Indonesia, NVX 155 atau dikenali sebagai Aerox 155 di sana, akan ditawarkan dalam tiga varian iaitu yang asas, R-Version dan S-Version. R-Version kelihatan lebih kepada prestasi tunggangan dengan tambahan suspensi belakang yang lebih berprestasi manakala S-Version pula dilengkapi brek ABS. Model asas tidak mempunyai ABS.

    Di antara tiga varian ini, Yamaha Indonesia telah mengeluarkan harga bagi versi asas, iaitu 21,850,000 rupiah (RM7,314), dan jika dibandingkan dengan model NMax tanpa ABS, ia adalah lebih murah 3,100,000 rupiah (RM1,037). NMax tanpa ABS dijual di Indonesia pada harga 24,950,000 rupiah (RM8,352).

    Ini sekaligus boleh memberi petanda awal kepada harga NVX 155 di Malaysia, kerana ramai yang menyangka ia akan menjadi lebih tinggi daripada NMax dan walaupun menggunakan enjin sama, dilihat lebih cenderung ke arah prestasi dan agresif. NVX 155 dikuasakan oleh enjin 155 cc suntikan bahan api, dengan teknologi Blue Core dan VVA, berkuasa 14.8 hp dan 14.4 Nm tork. Berbeza dengan NMax, NVX 155 ditambah dengan sistem Start/Stop dan berat keseluruhannya adalah 11 kg lebih ringan.

    Di Malaysia, NMax yang ditawarkan tidak dilengkapi dengan ABS, dan ia dijual pada harga RM8,812 termasuk GST. Bila tiba waktu NVX 155 dilancarkan di Malaysia nanti, dan jika benar harganya akan lebih rendah sehingga RM1,000, pasti ia akan menjadi sebuah skuter yang hangat. Anda teruja?

    GALERI: Yamaha NVX 155 di Litar Sepang

     
     
  • Mercedes-Benz GLA facelift tampil rasmi di Detroit

    Mercedes-Benz GLA facelift tampil rasmi di Detroit

    Selepas gambar teaser dikeluarkan, akhirnya Mercedes-Benz GLA membuat penampilan secara rasmi di Detroit Auto Show, dengan SUV kompak ini menerima sedikit perubahan gaya, pilihan enjin baharu dan tambahan kelengkapan. Kemunculannya adalah bersesuaian untuk menjadikan model ini lebih segar dalam pasaran.

    Pada bahagian luar, muka depannya mendapat gril rekaan baharu, dengan elemen berpetak pada jalurnya dan lampu utama LED High Performance didatangkan sekali. GLA juga mendapat bampar baharu, yang menggantikan corong udara hiasan di bahagian tepi dengan lampu kabus.

    Bahagian bawah bampar yang direka semula juga mendapat tema berpetak seperti yang terdapat pada gril beberapa model, manakala yang lain mendapat bahagian dengan skid plate. Pada bahagian tepi, sehingga ke bucu belakang, semuanya sama seperti sebelum ini.

    Mercedes-Benz GLA facelift tampil rasmi di Detroit

    Bampar belakang model ini adalah baharu, dengan terdapat kemasan hitam berkilat pada diffuser, dan kini bersepadu lebih baik dengan muncung ekzos. Lampu belakang juga mendapat grafik baharu, bersama pilihan roda tambahan, dan pada masa hadapan, pakej Night.

    Menurut Mercedes, penggayaan baharu ini membantu meningkatkan kecekapan aerodinamik kenderaan ini, dari 0.29 menjadi 0.28 cd. Sebagai tambahan, GLA yang lebih ranggi seperti di dalam gambar ini mendapat warna baharu – canyon beige – dan datang dengan pilihan suspensi Comfort yang meningkatkan tinggi badan kenderaan sebanyak 30 mm.

    Pada bahagian dalam, pembaharuan yang diberi termasuk meter serta jarumnya, kemasan krom pada butang pengawal tempat duduk elektrik, tempat barangan pada konsol tengah dan pilihan kain baharu untuk tempat duduk dan trim pintu.

    Mercedes-Benz GLA facelift tampil rasmi di Detroit

    Senarai kelengkapan untuk model ini juga ditambah dengan sokongan Android Auto dan Apple CarPlay, skrin paparan 8 inci standard untuk semua varian, kamera undur dan sistem kamera dengan pandangan keseluruhan kenderaan.

    Enjin (diesel dan petrol) pula masih lagi sama seperti sebelum ini, dan varian GLA 220 ditambah dengan enjin petrol, yang menawarkan 184 hp dan 300 Nm tork. Ia hanya boleh didapati dengan sistem pacuan empat roda 4Matic, dan seterusnya meletakkan GLA 220 di antara GLA 200 (154 hp) dan GLA 250 (211 hp).

    Sekiranya anda mahukan lebih kuasa, terdapat model GLA 45 AMG yang mempunyai kuasa sebanyak 381 hp dan 475 Nm tork, datang daripada enjin 2.0 liter. Menurut timbalan presiden jualan dan pemasaran Mercedes-Benz Malaysia, Mark Raine, GLA baharu ini dijangka tiba di Malaysia pada pertengahan tahun ini.

    Mercedes-AMG GLA 45

    Mercedes-Benz GLA 220d

    Mercedes-Benz GLA 250

    Mercedes-AMG GLA 45 Yellow Night Edition

     
     
  • Kamera AES akan dipasang di tujuh lagi lokasi bahaya

    Kamera AES akan dipasang di tujuh lagi lokasi bahaya

    Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai dipetik sebagai berkata bahawa tujuh lagi kamera Automated Enforcement System (AES) akan dipasang di kawasan yang kerap kemalangan, termasuk Pagoh, Johor di mana kemalangan maut melibatkan bas ekspres yang mengorbankan 13 nyawa baru-baru ini – serta di Kampar, Perak.

    Seperti dilaporkan oleh The Sun, beliau memaklumkan, sekiranya ada keperluan dan permintaan, kamera AES di kawasan baharu akan dipasang. Menurut beliau, permintaan itu dilakukan oleh badan-badan bukan kerajaan, pengendali lebuhraya serta kerajaan tempatan untuk dipasang dalam kawasan seliaan mereka.

    Sesetengah pihak berkuasa tempatan meminta untuk dipasangkan kamera berkenaan di persimpangan jalan yang kerap berlaku kemalangan, termasuk di persimpangan lampu isyarat. Menurut Liow lagi, setakat ini 14 kamera AES sedia ada tidak pernah dibatalkan dan kekal beroperasi. Bagaimana pun, beliau menolak dakwaan yang beredar di dalam media sosial bahawa terdapat 200 lagi kamera AES akan dipasang di seluruh negara.

    Menurut Liow, setakat ini kementeriannya hanya menerima permintaan terhadap tujuh pihak sahaja, dan telah mengeluarkan arahan kepada jabatan-jabatan yang berkaitan untuk tindakan lanjut, termasuk Jabatan Kerja Raya, PDRM dan SPAD.

    Beliau juga menambah, kamera AES telah disepadukan ke dalam Automated Awareness Safety System (Awas), yang turut merangkumi sistem mata demerit.

     
     
  • Nissan sahkan tiada integrasi produk bersama Mitsubishi, tiada Lancer dan Lancer Evo selepas ini

    Nissan sahkan tiada integrasi produk bersama Mitsubishi, tiada Lancer dan Lancer Evo selepas ini

    Dengan pengambilalihan 34% saham dalam Mitsubishi Motors Corporotion (MMC) oleh Pakatan Renault-Nissan seterusnya membolehkan MMC menjadi milik mereka, tentu ramai yang beranggapan Nissan akan membantu Mitsubishi membina semula Lancer generasi baharu, dan yang paling ditunggu-tunggu, varian berprestasi tingginya – Lancer Evolution XI.

    Namun perkara ini disangkal oleh ketua pegawai perancangan global Nissan, Philippe Klein, ketika ditemu bual oleh CarAdvice di Consumer Electronics Show (CES) 2017 Las Vegas dengan mengatakan “kami tidak akan berintegrasi dengan Mitsubishi.”

    Menurut Klein, pendekatan Nissan terhadap Mitsubishi ialah dengan memacu skala dalam pembuatan dan komponen untuk meningkatkan margin keuntungan, bukan membina model klon dari model sedia ada dengan hanya berbeza lencana jenama. Integrasi antara Nissan dengan Mitsubishi akan mengakibatkan kegagalan jika pelanggan menganggap kedua-dua jenama berkenaan adalah sama.

    “Kami akan cuba dan mewujudkan hubungan yang kami ada antara Renault dan Nissan, bermaksud kami akan cuba dan berkongsi komponen, platform, dan teknologi sebanyak yang mungkin tetapi Mitsubishi bertanggungjawab untuk merekabentuk kereta mereka sendiri dan kekal sebagai syarikat yang berbeza, jadi ia menjadi kaedah yang sama digunakan kepada Renault dan Nissan yang telah kami gunakan selama 17 tahun,” jelas Klein.

    Menurut Klein lagi, Mitsubishi, Nissan dan Renault mempunyai warisan dan visi mereka tersendiri, jadi Mitsubishi mempunyai kekuatannya di dalam segmen dan negara tertentu, begitu juga Renault dan Nissan.

    Setakat ini, Mitsubishi sedang menumpukan pada kereta-kereta elektrik dengan bajet R&D yang agak terhad, menyebabkan sedan segmen-C mereka – Lancer – yang kini generasi sedia ada sudah pun mencapai usia sepuluh tahun, tidak akan diteruskan pengeluarannya. Ini juga akan menyaksikan legasi Lancer Evolution juga berakhir kerana ketiadaan platform yang berpotensi.

    Perkara ini juga telah disahkan timbalan presiden eksekutif dan COO Mitsubishi Amerika Utara, Don Swearingen kepada Autoblog sebelum ini bahawa produksi Lancer akan ditamatkan pada Ogos nanti dan model tersebut akan lenyap pada musim panas 2017 setelah stok-stok akhir dijual dan tiada model generasi baharu dibangunkan.

    Menurut Swearingen, pasaran sedan semakin mengecil dan syarikatnya perlu membina model-model yang boleh mendatangkan keuntungan. Oleh itu Mitsubishi kini lebih menumpukan pembinaan model-model crossover yang kini sedang berkembang dan menguasai pasaran.

    Walau bagaimanapun, berbalik kepada Klein, Mitsubishi Triton generasi berikutnya akan dibina berasaskan platform Nissan Navara. Tetapi, pembinaan Triton baharu tersebut bukan sekadar semudah menukar logo di mana Mitsubishi perlu membina sendiri trak pikap versinya, sama seperti yang dilakukan oleh Mercedes-Benz yang turut membina trak pikap menggunakan platform Navara.

     
     
  • Toyota Fortuner terima status EEV, harga turun RM16k

    Toyota Fortuner terima status EEV, harga turun RM16k

    Berita baik dipermulaan 2017 bagi penggemar SUV keluaran Toyota. Bermula hari ini, harga bagi Toyota Fortuner akan dikurangkan harganya sehingga RM16,000; model berkenaan menerima kelayakan sebagai sebuah kenderaan cekap tenaga (EEV) di Malaysia.

    Dengan insentif yang diberikan di bawah Dasar Automotif Nasional ketika ini, harga-harga baru bagi Fortuner adalah seperti berikut; Toyota Fortuner 2.7 SRZ 4×4 (RM183,800) dan Toyota Fortuner 2.4 VRZ 4×4 (RM175,400). Harga yang dinyatakan ini ialah harga atas jalan termasuk insurans untuk Semenanjung.

    “Kami berbesar hati kerana Fortuner kini diiktiraf sebagai kenderaan EEV. Sejak pengumuman Dasar Automotif Nasional pada Januari 2014, UMW Toyota menyokong dasar berkenaan; pemasangan kenderaan EEV kami di sini menjadi petunjuk kepada komitmen kami.

    “UMW Toyota Motor juga berkerjasama dengan lebih dekat dengan Toyota Motor Corporation untuk mengenalpasti model-model akan datang yang akan dipasang di sini agar ia menepati kriteria EEV,” jelas Timbalan Pengerusi UMW Toyota Motor, Akio Takeyama.

    Toyota Fortuner terima status EEV, harga turun RM16k

    “Lebih penting, kelayakan terhadap status EEV ini juga menjadi cerminan kepada pelaburan yang dilakukan, pemindahan teknologi, penghasilan komponen tempatan serta sumbangan ekonomi syarikat untuk negara,” ujar Presiden UMW Toyota Motor, Ravindran Kurusamy.

    “Toyota Fortuner merupakan SUV 4×4 pertama yang layak menerima status EEV, selain menjadi model dengan harga yang paling berpatutan dalam kelasnya. Ia juga merupakan model keempat Toyota yang dipasang di Malaysia yang menerima status EEV yang sama setakat ini, selain Camry, Vios dan Innova,” tambah beliau.

    Dalam menepati kriteria EEV, Fortuner 2.7 liter petrol dan 2.4 liter turbodiesel ditala untuk mendapatkan kecekapan penggunaan bahan api terbaik daripada tangki 80 liter yang tersedia. Begitu juga dengan transmisi automatik enam-kelajuan yang diselia secara elektronik – semuanya untuk tujuan mendapatkan kecekapan yang tinggi.

    Fortuner diberikan penarafan ASEAN NCAP lima-bintang bagi aspek keselamatan dan ketahanan casisnya untuk memberikan perlindungan terbaik kepada penumpang. Bagi model tahun 2017, spesifikasinya kekal sama seperti sejak ia mula diperkenalkan pada Mei 2016.

    Varian paling tinggi dilengkapi antara lain dengan lampu utama Bi-LED, tujuh beg udara SRS dan kawalan kestabilan VSC. Selain itu, ia juga hadir dengan jaminan 5 tahun tanpa had perbatuan. Untuk mengetahui lebih lanjut berkaitan model ini, anda boleh layari laman Carbase.my.

     
     
  • Maserati Quattroporte facelift tiba di Malaysia – varian GranSport, GranLusso; 3.0 V6, harga dari RM779k

    Maserati Quattroporte facelift tiba di Malaysia – varian GranSport, GranLusso; 3.0 V6, harga dari RM779k

    Maserati telah mengumumkan ketibaan model facelift bagi Maserati Quattroporte di Malaysia, yang ditawarkan dengan tiga bentuk iaitu Quattroporte, Quattroporte S dan Quattroporte GTS. Dan kesemua varian adalah pacuan roda-belakang.

    Bagi model asas Quattroporte, ia mampu menghamburkan lebih 20 hp berbanding sebelum ini, menjadikannya dengan sejumlah kuasa 350 hp dan tork 500 Nm dari enjin 3.0 liter pengecas turbo berkembar V6. Manakala V6 pula mampu menghasilkan kuasa sebanyak 410 hp dan tork 550 Nm, dengan enjin yang sama iaitu 3.0 liter turbo V6. Bagi Quattroporte GTS pula, dipadankan dengan enjin 3.8 liter pengecas turbo berkembar V8 dengan terjahan kuasa sehingga 530 hp dan tork 710 Nm.

    Bagi pacuan 0-100 km, model asas Quattroporte mampu mencatat masa dalam tempoh 5.5 saat dan menjejaki kelajuan maksimum sehingga 270 km/j. Menurut Maserati, Quattroporte S pula mampu mencatat masa 5.1 saat dan kelajuan maksimum 286 km/j. Sementara Quattroporte GTS pula dengan 4.7 saat dan kelajuan maksimum mencecah 310 km/j.

    Maserati Quattroporte facelift tiba di Malaysia – varian GranSport, GranLusso; 3.0 V6, harga dari RM779k

    Bagi semua versi, pacuan disalurkan dari roda belakang menerusi transmisi automatik ZF lapan-kelajuan, sementara peredam Skyhook kawalan elektronik pula menguruskan pergerakan badan Quattroporte.

    Model Quattroporte facelift ini diberzakan mengikut bampar yang direka semula, dengan profil matte black di hadapan dan matte black extractor untuk belakang. Kawalan Air Shutter pelarasan elektrik mengawal aliran udara ke bahagian hadapan kereta dan juga mengawal selia suhu penyejuk, manakala seretan pula dikurangkan sehingga 10% dengan rekaan bawah dan air conveyor yang lebih rata.

    Maserati Quattroporte facelift tiba di Malaysia – varian GranSport, GranLusso; 3.0 V6, harga dari RM779k

    Dengan dua varian, GranSport dan GranLusso, ia tampil lebih sporty dan mewah. Ditawarkan dengan pelbagai penambahbaikan, sementara GTS yang dikuasakan oleh V8 turut ditawarkan pada kedua-dua varian tersebut sebagai standard. Profil GranLusso menggabungkan skirt sisi, sementara bahagian belakang pula tampil dengan ukiran reflektor dan spoiler yang sama dengan warna badan, dipadankan dengan rim Mercurio 20-inci dan kaliper brek hitam.

    Ruang dalaman GranLusso pula menerima rekaan pilihan Ermenegildo Zegna Edition dengan menampilkan fabrik sutera pada tempat duduk, pintu, headliner dan pelindung matahari. Sementara kayuan Radica menjadi hiasan pada papan pemuka dan roda stereng. Elemen lain yang turut ditampilkan termasuklah pedal kaki berkuasa, tirai matahari belakang larasan elektrik, empat zon penyaman udara, tempat duduk belakang dengan suhu panas dan kemasukan tanpa kunci.

    Sementara itu, GranSport menawarkan elemen yang lebih agresif di bahagian hadapan, manakala bahagian belakang pula dihiasi dengan spoiler hitam berkilat. Sebagai pilihan, gril hadapan bagi GranSport boleh ditempah dalam kekemasan hitam berkilat. Tona biru turut ditampilkan pada logo hadapan Trident dan sisi Saetta, sementara rim Titano 21-inci turut dihiasi biru Trident.

    Untuk bahagian dalam GranSport, tempat duduk hadapan dan belakang direka secara berlainan, menampilkan konsep “prestasi pemanduan sport yang dipertingkatkan,” menurut Maserati. Manakala roda stereng pula menampilkan kekemasan sama ada gentian karbon atau pun kulit sepenuhnya. Kekemasan hitam berkilat turut digunakan pada papan pemuka, manakala material aluminium pada pedal penukar gear di belakang roda stereng, serta keluli tahan karat untuk pedal kaki. Pilihan Pek Karbon turut ditawarkan secara tambahan bagi GranSport, dengan cermin sisi, pemegang pintu dan pelindung tiang-B dihiasi dengan gentian karbon.

    Maserati Quattroporte facelift tiba di Malaysia – varian GranSport, GranLusso; 3.0 V6, harga dari RM779k

    Bagi Quattroporte ini, ia menerima elemen termasuk unit infotainme dengan paparan pelbagai-sentuhan kapasitif 8.4-inci, yang boleh disambung dengan Apple CarPlay dan Android Auto, berkongsi ruang konsol tengah dengan kawalan suhu baharu dan tempat penyimpan barang baharu. terowong tengah turut menerima padanan lid baharu dengan ruang storan telefon bimbit, serta tuil gear, tombol fungsi dan pemutar nada suara turut diberi rekaan semula.

    Bagi menambah rasa keselesaan, pengesan kualiti udara baharu boleh mengesan tahap pencemaran dari luaran dan menghalangnya daripada memasuki kabin Quattroporte. Bagi keselamatan hadapan, sistem bantuan pemanduan termaju turut ditawarkan dan pakej ini termasuklah kawalan kelajuan adaptif dengan fungsi Stop&Go, amaran penukaran lorong, amaran pelanggaran hadapan dengan bantuan brek serta brek kecemasan sendiri.

    Dengan harga bermula RM778,800 bagi model asas Quattroporte, sementara Quattroporte S dan GTS pula hanya boleh didapati berdasarkan permintaan. Semua model turut ditawarkan dengan waranti tiga-tahun, pakej servis 60,000 km dan harga termasuk cukai dan duti tempatan.

    Maserati Quatrroporte GranLusso

    Maserati Quattroporte GranSport

     
     
  • Naza World sampaikan hadiah pertandingan Merdeka Autofair – 1 bawa balik Ducati Panigale, 5 dapat Vespa

    Naza World sampaikan hadiah pertandingan Merdeka Autofair – 1 bawa balik Ducati Panigale, 5 dapat Vespa

    Bersempena dengan acara promosi Ducati Red Weeekend yang kini sedang berlangsung, sehingga esok di Naza Automall, Petaling Jaya, Naza World turut mengadakan satu majlis penyampaian hadiah kepada pemenang pertandingan Merdeka Autofair Spend and Win.

    Seorang pemenang bertuah, Juzmaini Binti Hassan, yang pada asalnya membeli sebuah Ducati Monster 821, membawa pulang hadiah utama yang juga merupakan motosikal Ducati iaitu Panigale 1199 ABS dengan pelekat bercorak WSBK.

    Sementara itu, lima lagi pemenang hadiah saguhati iaitu Sheila Devi a/p Muniandy, Mohd Zaidi bin Mohd Zin, B&M Concept Sdn Bhd (Bok Siew Mun), Johari bin Matsah dan Khor Chin Eng menerima hadiah masing-masing sebuah Vespa LT150.

    Kesemua mereka layak menyertai pertandingan ini setelah membeli pelbagai kenderaan yang ditawarkan oleh Naza World termasuk Toyota Estima, Toyota Wish, Vespa Sprint 150, N5R dan Indian Vintage.

    Naza World sampaikan hadiah pertandingan Merdeka Autofair – 1 bawa balik Ducati Panigale, 5 dapat Vespa

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.10
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.85 (-0.05)
EURO 5 B7 RM3.05 (-0.05)
Last Updated Aug 21, 2025