Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Toyota Innova Venturer untuk Indonesia dibongkar

    Imej brosur yang didedahkan dari Autonetmagz telah membongkarkan varian baharu yang bakal menyertai barisan Toyota Innova di Indonesia tidak lama lagi. Bakal digelar Venturer, model Innova baharu ini ditawarkan dengan pilihan petrol dan diesel.

    Ini termasuklah enjin 2.0 liter Dual VVT-i 1TR empat-silinder yang memberikan kuasa sehingga 139 PS pada 5,600 rpm dan tork 183 Nm pada 4,000 rpm, juga enjin 2GD-FTV 2.4 liter empat-silinder turbodiesel dengan kuasa 149 PS pada 3,400 rpm dan tork 359 Nm dari 1,200 hingga 2,600 rpm. Pilihan transmisi termasuk manual lima-kelajuan atau automatik torque converter enam-kelajuan.

    Bagi elemen yang ditampilkan, Venturer akan lebih kurang sama dengan varian spesifikasi tertinggi 2.0G yang kita terima di Malaysia, termasuklah paparan pelbagai-info TFT berwarna 4.2-inci, penghawa dingin automatik, cermin tingkap automatik, operasi tanpa kunci, pencahayaan ambien di dalam kabin serta lampu utama reflektor halogen.

    Walau bagaimana pun, Venturer akan tampil lebih bergaya pada bahagian luarannya termasuk ditampilkan dengan kit badan berwarna hitam dengan lip hadapan, skirt sisi, spoiler sisi dan gerbang roda. MPV ini juga menerima jaluran krom tambahan berhampiran cermin belakang, paip ekzos krom, rim aloi 17-inci dan warna luaran eksklusif Wide Red.

    Buat setakat ini, tiada perincian mengenai perubahan pada bahagian dalamannya, namun mungkin ia akan menerima tempat duduk balutan kulit dengan karpet lantai. Selanjutnya, hanya akan diketahui apabila ia dilancarkan kelak.

    GALERI: Toyota Innova 2.0G AT (spesifikasi Malaysia)

     
     
  • SPYSHOT: Honda BR-V kelihatan lagi – bakal dilancarkan secara rasmi di Malaysia minggu depan

    SPYSHOT: Honda BR-V kelihatan lagi – bakal dilancarkan secara rasmi di Malaysia minggu depan

    Bukan lagi rahsia; SUV tujuh tempat duduk Honda BR-V akan dilancarkan secara rasmi untuk pasaran Malaysia pada 5 Januari 2017. Dan, ehsan daripada seorang pembaca paultan.org yang hanya dikenali sebagai Dave, model berkenaan dikesan lagi, kali ini sedang diangkut di atas trak.

    Pernah dipertontonkan di MIECC tidak lama dahulu, dan selepas itu ruang dalamannya pula yang bocor, ini mungkin versi paling hampir bagi unit sebenar yang akan ditawarkan kepada pengguna di Malaysia. Antaranya, rim yang dipertontonkan sebelumnya juga hampir pasti akan ditawarkan sebagai produk akhir model ini nanti – mungkin juga ini versi spesifikasi paling tingginya.

    Bahagian enjin, BR-V akan menggunakan enjin 1.5 liter SOHC i-VTEC yang sama digunakan pada Jazz dan City, dengan janaan 120 PS dan 145 Nm. Bagi transmisi, ia menggunakan CVT Earth Dreams. Di dalam, BR-V menawarkan tiga barisan tempat duduk, yang boleh dilipat untuk mendapatkan ruang barangan sehingga 539 liter.

    Dari aspek keselamatan, semua tempat duduk mempunyai tali pinggang keselamatan, sementara varian yang dilengkapi dengan ESC menerima penarafan ASEAN NCAP lima-bintang. Sementara kita menanti tarikh pelancarannya untuk mengetahui lebih banyak perincian bagi unit yang akan dijual di Malaysia, ikuti dulu laporan pandu uji unit dengan spesifikasi Thailand yang sempat kami sediakan sebelum ini.

     
     
  • Hab bergerak dan servis dari pintu-ke-pintu penukaran beg udara Takata Honda M’sia dilanjutkan ke Mac 2017

    honda-malaysia-tech-with-airbag-inflator

    Dalam usaha untuk mempercepatkan penukaran semua kenderaannya yang terjejas kerana inflator beg udara keluaran Takata, Honda Malaysia mengumumkan operasi hab bergerak yang telah diwujudkan sebelum ini akan dilanjutkan ke tiga pusat membeli belah setiap hujung minggu di bahagian tengah negara, Johor Bahru, Kedah dan juga Pulau Pinang sehingga Mac 2017.

    Menyokong lagi proses ini, khidmat dari pintu-ke-pintu untuk menukar inflator beg udara berkenaan bagi kenderaan terlibat yang disediakan oleh semua 84 pengedar seluruh negara turut akan dilanjutkan hingga Mac 2017 (dari 31 Disember 2016).

    Selain itu, Honda Malaysia juga memperkenalkan satu lagi inisiatif baharu iaitu Servis Karavan Bergerak, yang akan beroperasi tujuh-hari seminggu untuk menukar segera inflator beg udara di mana-mana sahaja bagi kenderaan-kenderaan yang terlibat dalam panggilan semula ini. Servis Karavan Bergerak ini turut akan mengunjungi pengedar-pengedar kenderaan terpakai serta syarikat-syarikat korporat dalam bahagian tengah Malaysia untuk penukaran segera dilokasi berkenaan.

    01_honda_malaysia_mobile_hub_bm

    Servis penukaran inflator beg udara Takata ini juga masih dijalankan di setiap pertunjukkan Honda Family Road Trip dan juga Honda Mobile Roadshow. Walau bagaimanapun, Honda Malaysia mengumumkan, Hab Servis Sementara Bahagian Tengah (SCH) untuk aktiviti panggilan semula ini akan ditutup menjelang 31 Disember 2016 setelah dilanjutkan operasinya sejak Oktober lalu.

    Honda Malaysia telah mengumumkan sebelum ini bahawa stok alat ganti inflator beg udara bahagian penumpang hadapan disasarkan mencapai 70% pada Disember, manakala stok untuk inflator beg udara bahagian pemandu telah pun mencapai 100% buat masa sekarang.

    Jika anda ragu-ragu sama ada kenderaan Honda anda terlibat atau tidak dengan panggilan semula ini, anda boleh lawati laman web khas yang disediakan DI SINI, dan masukkkan nombor pengenalan kenderaan (VIN) atau dikenali juga sebagai nombor casis kereta anda DI LAMAN TERSEBUT. Anda juga boleh memeriksa status kereta anda atau untuk mengetahui dengan lebih lanjut berkenaan apa-apa juga tentang isu ini dengan menghubungi talian 1800-88-2020 atau kunjungi mana-mana pengedar sah Honda.

     
     
  • MINI John Cooper Works Rally akan bersaing dalam Rali Dakar 2017 – guna enjin 3.0L enam silinder BMW

    MINI John Cooper Works Rally akan bersaing dalam Rali Dakar 2017 – guna enjin 3.0L enam silinder BMW

    MINI sekali lagi akan bersaing dalam perlumbaan lasak jarak jauh Rali Dakar pada tahun 2017 dan jentera yang akan digunakan kali ini adalah MINI John Cooper Works Rally. Ia ditunjuk kepada orang ramai, sebelum perlumbaan sebenar bermula 2 Januari nanti.

    Kenderaan rali ini diasaskan daripada model Countryman 2017, dan dijadikan sesuai untuk perlumbaan oleh sekutu sukan permotoran MINI iaitu X-Raid, dari Jerman. Tujuan pembangunannya sudah tentu adalah supaya dapat menunjukkan prestasi cemerlang seperti MINI ALL4 Racing yang digunakan dalam perlumbaan musim 2016.

    Setelah mengambil kira aspek respon, kuasa, penyampaian tork dan ketahanan, enjin BMW TwinPower Turbo 2,993 cc enam silinder telah dipilih untuk memacu MINI John Cooper Works Rally dan ia mampu menghasilkan sehingga 340 hp pada 3,250 rpm dan 800 Nm tork pada 1,850 rpm. Padanan transmisi yang digunakan adalah kotak gear enam kelajuan sequential.

    Bagi menjadikan kuasa ini dapat digunakan sepenuhnya sepanjang perlumbaan mencabar ini, bahagian casis dan kerangka turut diubah suai, dengan kerangka pemegang enjin dibina kembali supaya boleh dicabut dengan senang apabila perlu, dan bahagian sokongan lain dibina daripada besi aeroangkasa.

    MINI John Cooper Works Rally akan bersaing dalam Rali Dakar 2017 – guna enjin 3.0L enam silinder BMW

    Bahagian suspensi pula menggunakan khidmat daripada Reiger Racing Suspension, di mana mereka telah memasang dua penyerap hentak bagi setiap roda dan secara keseluruhannya, kenderaan ini mempunyai jarak pergerakan roda sebanyak 250 mm. Brek pula adalah unit cakera 320 mm dan angkup enam piston pada semua bahagian, lengkap dengan sistem penyejukan, manakala tayar bersaiz 245/80 R16.

    Untuk panel badan luarnya pula, kebanyakan bahagian menggunakan bahan komposit gentian karbon dan Kevlar, dengan tujuan selain tahan lasak, juga lebih ringan dan mudah ditanggalkan apabila mahu melakukan servis atau rosak. Bahagian bawah kenderaan juga mempunyai lapisan pelindung dengan bahan yang sama.

    Walaupun mempunyai kedudukan yang lebih tinggi, Raid Racing telah mengambil kira aspek titik graviti yang lebih rendah untuk menjadikan kereta ini lebih stabil dengan meletakkan tiga tayar simpanan di bahagian bawahnya. Secara keseluruhannya, MINI JCW Rally mempunyai berat 1,952.5 kg.

    Dua unit MINI JCW Rally ini akan digunakan dalam Rail Dakar 2017, dipandu oleh Mikko Hirvonen dan Yazeed Al-Rajhi manakala lima lagi pasukan akan menggunakan MINI ALL4 Racing. Rali Dakar 2017 akan bermula pada 2 Januari dan ia akan melibatkan perlumbaan sekitar 9,000 km melalui pelbagai kawasan dalam tiga negara, Paraguay, Bolivia dan Argentina.

     
     
  • FCA akan jual Maserati, Alfa Romeo dan Magnetti Marelli sebagai langkah mengawal hutang?

    FCA akan jual Maserati, Alfa Romeo dan Magnetti Marelli sebagai langkah mengawal hutang?

    Fiat Chrysler Automobiles (FCA) mungkin akan melepaskan Maserati dan Alfa Romeo dari naungannya bagi memudahkan mereka mengawal hutang-piutang yang kini mencecah US$7 bilion (RM31.4 bilion) pada penghujung suku ketiga 2016. Menurut penganalisis industri, langkah bijak yang diambil oleh FCA yang kini menumpukan kepada penghasilan SUV dan crossover tidak cukup untuk mengeluarkannya dari situasi getir berkenaan.

    Pada suku ketiga 2016, FCA mencatatkan pendapatan bersih US$634 juta (RM2.84 bilion), berbanding kerugian bersih yang bernilai US$352 juta (RM1.58 bilion) pada tempoh yang sama tahun lalu. Manakala untuk subsidiarinya, Maserati, memperolehi pendapatan US$108 juta (RM484 juta) berbanding US$12 juta (RM53.82 juta) pada tahun lalu, setelah pelancaran SUV Levante.

    Penyelidik pelaburan Evercore ISI berkata, CEO FCA Sergio Marchionne merupakan salah seorang yang mengambil berat terhadap nilai pemegang saham dalam industri automotif. “Walaupun Marchionne tidak memberikan prestasi yang baik, kami percaya beliau lebih menjaga soal pemegang ekuiti berbanding CEO lain dalam industri ini,” kata salah seorang penganalisis Evercore ISI, George Galliers dalam laporan Forbes.

    FCA akan jual Maserati, Alfa Romeo dan Magnetti Marelli sebagai langkah mengawal hutang?

    Dari April hingga September, harga saham FCA dilihat sedikit jatuh dan kemudian meningkat semula pada kadar yang lebih tinggi dan stabil sekitar 9 euro (RM42.51), kerana panggilan semula berkenaan transmisi ZF yang dipasangkan pada kenderaan-kenderaan keluaran FCA tersebut berpontensi mengalami masalah kekeliruan pada penukar gear – menyebabkan pemandu keluar dari kereta dalam keadaan gear kereta masih lagi pada kedudukan ‘D’.

    FCA juga mengharapkan lonjakan jualan dari pentadbiran Trump yang menyokong stoknya, kerana keuntungan kumpulan berkenaan kini diperolehi kebanyakkannya dari SUV dan trak pikap di Amerika Utara. Sementara itu, Morgan Stanley menunjukkan nilai Jeep iaitu salah satu subsidiari FCA, manakala Berenberg Bank menambah Magneti Marelli juga tersenarai bersama Maserati dan Alfa Romeo sebagai calon untuk dijual.

     
     
  • Volvo akan masukkan aplikasi Skype for Business pada kenderaan 90 Series untuk bantu pemandu

    Volvo akan masukkan aplikasi Skype for Business pada kenderaan 90 Series untuk bantu pemandu

    Volvo adalah antara pengeluar yang sering mengambil penting keselamatan di atas jalan raya. Terkini, syarikat itu ingin memasukkan terus aplikasi Skype for Business oleh Microsoft ke dalam kenderaan 90 Series mereka supaya pemandu dapat melakukan panggilan video penting semasa di dalam kenderaan.

    Perkara ini dilakukan selepas memikirkan ramai orang yang ingin melakukan persidangan video menghadapi masalah apabila memegang telefon dan pandangan sepatutnya tidak teralih daripada pemanduan. Dengan adanya Skype for Business pada kenderaan, ia tidak akan lagi berlaku.

    Skype for Business menunjukkan satu lagi langkah penting untuk penawaran komunikasi dan hubungan dalam kenderaan. Dengan wujudnya kereta autonomous, kita melihat masa depan dengan kenderaan yang dilengkapi dengan pelbagai alat produktiviti, yang dapat membantu mengurangkan masa di dalam pejabat. Ini cuma satu permulaan kepada cara baru untuk melihat bagaimana kita menghabiskan masa dalam kenderaan,” kata timbalan presiden servis sambungan pelanggan Volvo Car Group, Tylman-Mikiewicz.

    Selain Skype, Volvo juga bekerjasama dengan Microsoft untuk pembangunan Cortana, iaitu satu sistem pembantu peribadi pintar, yang dapat berkomunikasi melalui suara dengan pemandu dan mampu memberikan pandangan awal serta menjangka keperluan pengguna.

     
     
  • Harga bateri dan tayar import bakal naik pada 2017?

    Harga bateri dan tayar import bakal naik pada 2017?

    Menurut laporan yang disiarkan oleh Nanyang, harga tayar dan bateri di Malaysia dijangka mengalami peningkatan pada 2017. Ia melibatkan tayar baharu yang diimport dan dibaikpulih (kecuali dari China), dianggarkan meningkat antara lebih 5-10% berbanding sebelum ini. Sementara itu, harga tayar dari China pula dijangka naik lebih daripada 10%.

    Menurut Wu Suxing, presiden Persatuan pengedar Tayar Johor, peningkatan harga tayar ini didorang oleh kenaikan harga bahan mentah, terutamanya getah SMR20 (Standard Getah Malaysia).

    Pada Januari, purata harga bagi SMR20 (data dari Lembaga Getah Malaysia) adalah 466.89 sen/KG, tetapi ia telah naik secara progresif sekitar RM837.89 sen/KG pada Disember. Faktor kenaikan harga tayar ini didorong oleh penyusutan ringgit Malaysia.

    Harga bateri dan tayar import bakal naik pada 2017?

    Di antara tayar import yang dijual di Malaysia termasuk Bridgestone, Michelin, Falken dan Yokohama, manakala beberapa syarikat seperti Goodyear, Toyo, Silverstone dan Continental mempunyai kilang pembuatan tempatan, yang turut disebut dalam laporan terbabit.

    Selain tayar, harga bateri juga dijangka naik tahun hadapan iaitu sehingga 10%, selain didorong oleh nilai ringgit Malaysia yang susut, peningkatan harga plumbum iaitu dari US$1,800 (RM8,072) per tan metrik hingga lebih kurang US$2,500 (RM11,211) per tan metrik turut menjadi penyebabnya.

    Wu Suxing turut menyebut, pengedar tayar/bateri kebiasaannya akan melakukan inventori sekurang-kurangnya dua bulan sebelum, justeru pelanggan masih boleh membeli tayar/bateri pada harga semasa. Beliau turut menambah, walau bagaiamana pun terdapat pengedar yang mungkin memilih untuk menyerap kenaikan harga berkenaan dalam kos operasi mereka.

     
     
  • Bas ekspres lama perlu sukarela pasang SLD – MKJR

    Bas ekspres lama perlu sukarela pasang SLD – MKJR

    Ekoran kemalangan jalan raya yang membabitkan bas ekspres dilihat makin membimbangkan, semua kenderaan terbabit yang dipasang dan didaftarkan sebelum tahun 2015 digalakkan memasang alat pengehad kelajuan (SLD). Ia perlu dilakukan secara sukarela demi keselamatan para penumpang.

    Buat masa ini hanya bas baharu yang dipasang mulai Januari 2015 sahaja yang diwajibkan memasang SLD selaras Peraturan 89 Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), manakala bas yang dikilangkan sebelum itu tidak tertakluk dengan peraturan terbabit.

    Menurut Ahli Majlis Keselamatan Jalan Raya (MKJR), Tan Sri Lee Lam Thye, pengusaha bas diminta supaya dapat mengambil inisiatif untuk memasang SLD secara sukarela.

    “Ini adalah demi keselamatan penumpang bagi mengelakkan pemandu bas daripada membawa laju selain mahu mengelakkan tragedi yang berlaku di Muar, Sabtu lalu berulang,” katanya kepada Berita Harian.

    Dalam pada itu, Lam Thye turut memuji tindakan Kementerian Pengangkutan, yang sudah melaksanakan 22 daripada 51 syor disenaraikan dalam laporan penilaian bebas pelan tindakan menangani nahas jalan raya. Syor itu dirumuskan susulan kemalangan bas di Kilometer 3.6 Jalan Genting Highlands-Kuala Lumpur pada tahun 2013. Beliau berharap semua syor lain akan dapat dilaksanakan oleh agensi berkaitan.

     
     
  • RM5 juta dibelanjakan oleh PLUS untuk memperbaiki pagar-pagar di LPT2 yang dipotong penduduk sekitar

    RM5 juta dibelanjakan oleh PLUS untuk memperbaiki pagar-pagar di LPT2 yang dipotong penduduk sekitar

    Untuk memastikan keselamatan pengguna jalan raya di di Lebuhraya Pantai Timur Fasa 2 (LPT2) dari terlanggar haiwan-haiwan ternakan, PLUS Malaysia Berhad (PLUS) terpaksa membelanjakan kira-kira RM5 juta sepanjang tahun ini bagi membaiki pagar di lebuhraya tersebut yang diroboh atau dipotong oleh mereka yang tidak bertanggungjawab, menurut laporan Bernama.

    Ketua Pegawai Operasi PLUS Mohammad Fuad Khusairi menjelaskan, pagar-pagar berkenaan telah dipotong dan dirobohkan oleh penduduk di kawasan sekitar untuk membolehkan mereka melalui kawasan itu dan membawa serta melepaskan binatang ternakan memakan rumput di sekitar dan di tengah-tengah lebuh raya, berikutan rumput di LPT2 itu didakwa sangat subur.

    Justeru, Mohammad Fuad menyeru dan memohon supaya penduduk sekitar LPT2 agar tidak memotong pagar tersebut kerana tindakan tersebut akan membahayakan pengguna lebuhraya berkenaan. Beliau juga menyatakan berikutan kesukaran untuk menahan mereka yang melakukan pencerobohan itu, PLUS akan mengadakan rondaan yang lebih kerap bagi memastikan kejadian tersebut tidak berulang.

     
     
  • Big Blue Taxi laksana sistem tiket elektronik untuk semua teksinya bagi elak penumpang ditipu

    Big Blue Taxi laksana sistem tiket elektronik untuk semua teksinya bagi elak penumpang ditipu

    Syarikat pengendali teksi Big Blue Taxi Facilities Sdn Bhd telah melancarkan sistem tiket elektronik ‘Big Blue e-Ticketing’ yang bakal dilaksanakan untuk semua teksi di bawah seliaannya.

    Sistem ini bakal dilaksana mulai 1 Januari 2017 bertujuan untuk melindungi penumpang daripada ditipu pemandu teksi yang tidak bertanggungjawab dengan melalui jalan jauh dengan niat mahu mengenakan caj meter yang tinggi.

    Menurut penasihatnya, Datuk Shamsubahrin Ismail, menerusi sistem ini, semua teksi di bawah syarikatnya tidak akan lagi menggunakan caj bermeter tetapi penumpang akan dicaj mengikut kadar harga tetap tanpa caj tersembunyi, laporan Bernama.

    “Penumpang tidak lagi perlu risau akan ditipu pemandu teksi memandangkan mereka (penumpang) akan diberikan resit pembayaran terlebih dahulu sebelum menaiki teksi tersebut, malah data pemandu dan kenderaannya turut direkodkan dalam sistem ini,” katanya dalam sidang media semalam.

    Tambahnya lagi, pengguna juga boleh memilih sama ada mahu menggunakan teksi bajet, teksi eksekutif dan sebagainya serta dapat membuat pilihan kaedah bayaran secara tunai, kad debit atau kad kredit di kaunter-kaunter ini.

    Bagi jumlah caj yang dikenakan kepada penumpang turut merangkumi perlindungan insurans bagi menjamin keselamatan penumpang. Walau bagaimana pun, caj tambahan 50% akan dikenakan ketika waktu puncak iaitu mulai 5 petang hingga 8 malam.

    Shamsubahrin berkata setakat ini, perkhidmatan Big Blue e-Ticketing hanya boleh didapati di kaunter tiket syarikat tersebut di Kuala Lumpur City Centre (KLCC) dan Publika sahaja.

    Syarikatnya juga merancang untuk memperluaskan perkhidmatan tersebut di kawasan-kawasan lain antaranya Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur dan Berjaya Times Square.

    Tambahnya, pelaksanaan sistem ini juga bertujuan menyahut gesaan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) yang menggalakkan syarikat pengendali teksi menggunakan sistem ‘e-hailing’, agar dapat bersaing dengan perkhidmatan perkongsian kenderaan seperti Uber dan Grabcar.

     
     
  • Volkswagen Golf GTI Clubsport Edition 40 – 265 PS

    Volkswagen Golf GTI Clubsport Edition 40 – 265 PS

    Sempena ulang tahun ke-40 Volkswagen Golf GTI, cawangan pengeluar itu di UK telah mengeluarkan gambar-gambar Golf GTI Clubsport Edition 40, model khusus yang direka untuk sambutan berkenaan. Ini bukanlah versi GTI seperti sedia ada; Volkswagen turut membuat talaan baharu pada enjinnya.

    Dalam versi ini, enjin 2.0 liter TFSI yang digunakan menjana 265 PS dan 350 Nm tork; ia 45 PS lebih berkuasa berbanding enjin GTI biasa. Dengan fungsi overboost jika digunakan ketika full throttle, ia akan menghasilkan tambahan 25 PS dalam tempoh sehingga 10 saat.

    Kesannya, bacaan 0-100 km/j kini mencapai 6.3 saat, 20 peratus lebih pantas dari enjin biasa, dengan kelajuan maksimumnya kini ialah pada 249 km/j berbanding 246 km/j. Peningkatan prestasi ini adalah bagi kedua-dua kotak gear manual enam-kelajuan serta DSG.

    Walaupun tidak sepantas Golf GTI Clubsport S, versi Edition 40 ini turut didatangkan dengan penggayaan Clubsport sepenuhnya. Antaranya termasuk bampar depan baharu, pelapik sisi, diffuser belakang dan spoiler pada bumbung untuk kesan aero yang lebih baik. Juga, 1,000 unit Edition 40 ini akan ditawarkan kepada pelanggan di UK; tidak seperti edisi Clubsport S yang hanya dijual 150 unit (daripada 400 unit) sahaja untuk pasaran UK.

    Di dalam, tempat duduk dengan material Alcantara/ Recaro fabrik adalah standard, dengan tempat duduk sport balutan kulit sebagai pilihan. Perincian lain seperti pada papan pemuka dan tapat kerangka pintu disertakan dengan trim Honeycomb 40, serta stereng dengan material Alcantara.

     
     
  • GALERI: Haval H2 – enjin 1.5L turbo, bermula RM87k

    GALERI: Haval H2 – enjin 1.5L turbo, bermula RM87k

    Haval H2 merupakan sebuah SUV yang diperkenalkan untuk pasaran Malaysia oleh pengedarnya, GO Auto Sales Sdn Bhd. Sebuah produk buatan China, ia ditawarkan di dalam tiga varian; RM87,246.01 bagi model Standard, RM95,997.97 bagi varian Comfort AT dan RM98,915.29 bagi varian paling tinggi, Premium AT.

    Harga yang dipaparkan adalah termasuk GST, tanpa insurans. Semua varian Haval H2 didatangkan dengan jaminan lima tahun, atau 150,000 km. Versi yang dipaparkan di sini ialah dari varian Comfort AT, yang dibezakan daripada varian Premium AT dengan penggunaan warna tunggal bagi ruang kabinnya.

    Ia menggunakan enjin 1.5 liter VVT petrol dengan turbocaj, dengan janaan kuasa 147 hp pada 5,000 rpm dan 210 Nm tork di antara 2,200 rpm hingga 4,500 rpm. Enjin ini dipadankan dengan kotak gear sama ada enam-kelajuan manual (hanya bagi varian Standard) atau transmisi automatik enam-kelajuan (bagi varian Comfort dan Premium).

    Bagi aspek luaran, varian Standard dipasangkan antena “sirip jerung” dan rak bumbung aluminium, sementara pada varian Comfort dan Premium pula ia memlibatkan penambahan ciri seperti lampu utama dan pengelap cermin automatik serta sunroof. Semua varian disertakan dengan lampu utama halogen penyelarasan secara manual, dengan lampu nyalaan siang LED dan lampu kabus bahagian hadapan.

    Bagi ruang dalaman, versi Standard antaranya dilengkapi dengan paparan TFT 3.5 inci untuk maklumat pemanduan, instrumen panel kedua, penunjuk kedudukan gear, sistem masukan tanpa kunci, sistem Push Start, perehat lengan boleh laras di bahagian tengah. Ini termasuk sistem Bluetooth dengan empat pembesar suara. Bagi dua varian yang lebih tinggi, ia dilengkapi dengan lapan pembesar suara.

    Tambahan bagi versi Comfort dan Premium pula adalah butang kawalan sistem audio pada stereng, cruise control, pendingin hawa dwi-zon, cermin sisi elektrik dengan lampu isyarat boleh lipat, kemasan kulit, tempat duduk pemandu diselaras secara elekrik (enam kedudukan), perehat lengan di bahagian tengah dan kamera undur.

    Ciri-ciri keselamatan yang melengkapinya pula terdiri daripada dua beg udara di hadapan (versi Standard), sementara versi Comfort dan Premium disertakan dengan enam beg udara serta blind spot monitoring system. Semua varian dilengkapi dengan ciri ESP, penunjuk tekanan tayar, collision-detecting fuel cutoff system, sensor undur, immobilise dan sistem penggera anti-kecurian sebagai ciri standard.

     
     
  • PROLINTAS umum laluan kontra di LKSA mulai 3 Jan

    PROLINTAS telah mengumumkan sistem laluan kontra bakal dilaksanakan di Lebuhraya Kemuning-Shah Alam (LKSA) mulai 3 Januari 2017. Ia akan bermula dari KM5.2 hingga KM7.6 menghala ke Pusat Bandar Shah Alam (melalui Dataran Shah Alam).

    Sistem laluan kontra ini hanya beroperasi dari Isnin hingga Jumaat bermula jam 6.30 pagi hingga 8.30 pagi sahaja. PROLINTAS turut menambah, laluan kontra ini hanya dibuka untuk kenderaan ringan sahaja namun motosikal dilarang menggunakannya.

    Para pengguna lebuhraya terbabit diminta mematuhi arahan kawalan trafik untuk tujuan keselamatan dan memastikan perjalanan berjalan lancar. Untuk sebarang maklumat terkini, para pengguna boleh mengikuti twitter @LKSAtrafik.

     
     
  • Bas terlibat nahas di Pagoh dibuat pada 2013, tidak wajib pasang pengehad kelajuan – Liow Tiong Lai

    Bas terlibat nahas di Pagoh dibuat pada 2013, tidak wajib pasang pengehad kelajuan – Liow Tiong Lai

    Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai menjelaskan, bas ekspres yang terlibat dalam kemalangan di Lebuhraya Utara-Selatan berhampiran Pagoh, Johor tidak mempunyai alat pengehad kelajuan (SLD) kerana ia dibuat dan didaftarkan pada 2013, sebelum pemasangan alat itu diwajibkan bagi bas yang dibuat selepas Januari 2015, menurut laporan Bernama.

    “Kementerian Pengangkutan mewajibkan semua bas model baharu yang dibuat mulai Januari 2015 dipasang dengan SLD, sejajar dengan Peraturan Bangsa Bersatu 89,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Satu Panel Penasihat telah ditubuhkan untuk menilai dan menyemak laporan mengenai siasatan selepas kejadian nahas bas Genting Highlands-Kuala Lumpur pada 2013 dan panel berkenaan mengemukakan laporannya berserta 51 syor kepada kementerian itu pada Januari 2014.

    Daripada jumlah itu, 22 langkah yang terletak di bawah bidang kuasa Kementerian Pengangkutan telah dilaksanakan, termasuk kewajipan memasang SLD. Langkah selebihnya dilaksanakan 16 agensi dan pihak berkepentingan lain yang berkenaan, jelas Liow.

    Kemalangan maut terbaharu berkenaan membabitkan sebuah bas ekspres, menyebabkan 14 maut serta mencederakan 16 penumpang lain selepas ia terjunam ke dalam cerun sedalam 10 meter di KM137.3 Lebuh Raya Utara-Selatan di Muar, Johor pada Sabtu lepas.

    Liow menambah, kementeriannya melalui Bahagian Logistik dan Pengangkutan Darat, akan menjalankan audit menyeluruh mengenai keseluruhan rantaian reka bentuk dan pembinaan serta prosedur kelulusan dan pemeriksaan kenderaan perkhidmatan awam.

    “Audit ini akan meliputi penyenggaraan jalan raya oleh agensi berkenaan. Audit baharu akan dilakukan dan disediakan laporannya pada suku pertama 2017,” katanya.

    Kementeriannya juga dalam proses menubuhkan Lembaga Keselamatan Pengangkutan Malaysia seperti yang disyorkan Panel Penasihat berkenaan, dengan kerjasama Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) untuk melaksanakan fungsi penyiasatan secara bebas dan telus mengenai kejadian keselamatan utama, menjalankan penyelidikan untuk mengemukakan syor bagi meningkatkan keselamatan dan memantau serta menilai inisiatif keselamatan semua kaedah pengangkutan.

    “Kementerian ini akan mengumumkan tentang status laporan mengenai pelaksanaannya melalui laman sesawang rasmi agensi berkaitan, dari semasa ke semasa,” katanya.

     
     
  • Terowong SMART disenaraikan sebagai salah satu daripada 10 terowong terbaik di dunia oleh CNN

    Terowong SMART disenaraikan sebagai salah satu daripada 10 terowong terbaik di dunia oleh CNN

    CNN dilaporkan telah menyenaraikan Terowong Jalan Raya dan Pengurusan Air Banjir (Stormwater Management and Road Tunnel – SMART) di Malaysia sebagai salah satu daripada 10 terowong terbaik di dunia.

    Laporan tersebut turut menyebut Terowong SMART mampu mengelakkan kerugian berbilion dolar sekiranya berlaku banjir besar di Kuala Lumpur, malah turut membantu mengurangkan masalah kesesakan lalu lintas di pusat bandar. Panjang terowong tersebut adalah 9.7 kilometer tetapi laluan untuk kenderaan hanyalah 3.3 kilometer. Ia merupakan terowong lencongan air yang terpanjang di Asia Tenggara dan kedua terpanjang di Asia.

    Dibina pada tahun 2007, ia direkabentuk bagi kegunaan kenderaan ringan dengan ketinggian maksimum 2 meter serta had laju yang ditetapkan adalah 60 km/j. Motosikal serta kenderaan berat seperti lori dan bas tidak dibenarkan melalui terowong tersebut.

    Objektif utama terowong ini adalah untuk menyelesaikan masalah banjir kilat di Kuala Lumpur dan juga untuk mengurangkan kesesakan trafik di sepanjang Jalan Sungai Besi dan jejambat Loke Yew di Pudu semasa waktu sesak. Secara asasnya, terowong ini mempunyai dua dek laluan sehala bagi kenderaan manakala ruang paling bawah adalah untuk laluan air.

    Terowong SMART disenaraikan sebagai salah satu daripada 10 terowong terbaik di dunia oleh CNN

    Terowong ini bermula di tasik Kampung Berembang berdekatan dengan Sungai Klang di Ampang dan berakhir di tasik Taman Desa berdekatan Sungai Kerayong di Salak Selatan. Projek ini diketuai oleh kerajaan, termasuklah Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan juga satu syarikat pakatan kerjasama di antara Gamuda Berhad dan Malaysian Mining Corporation Berhad (MMC).

    Artikel tersebut turut menerangkan operasi terowong yang boleh dilakukan dengan tiga cara iaitu cara pertama menjadi terowong jalan raya sekiranya tidak berlaku banjir. Kedua, jika berlaku banjir pada tahap sederhana, aliran air akan dialihkan dari saluran yang lebih rendah dalam terowong manakala tingkat atas terowong tetap terbuka kepada pemandu.

    Ketiga, jika berlaku banjir besar, terowong terbabit akan ditutup dari laluan trafik dan digunakan sepenuhnya untuk saliran air. Sejak ia beroperasi, ia dapat mengurangkan risiko banjir di kawasan yang sering dilanda bencana alam tersebut sebelum ini, termasuk Masjid Jamek, Dataran Merdeka, Leboh Ampang dan Jalan Melaka.

    Dengan kos pembinaan sebanyak RM1,887 juta, terowong SMART juga kerap kali menerima pengiktirafan di peringkat antarabangsa termasuklah menerima anugerah projek yang paling inovatif di peringkat dunia pada April 2015.

    Lain-lain terowong yang turut berada dalam senarai Top 10 oleh CNN ini ialah Gotthard Base Tunnel di Switzerland, Channel Tunnel yang menghubungkan UK dan France, Eisenhower Tunnel di USA, Spiralen Tunnel dan Laerdal Tunnel, kedua-duanya terletak di Norway, Guoliang Tunnel di Wilayah Henan dan Bund Sightseeing Tunnel di Shanghai, China, Seikan Tunnel dan Tokyo Bay Aqua-Line, Jepun.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (-0.04)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.10
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.90 (-0.04)
EURO 5 B7 RM3.10 (-0.04)
Last Updated Aug 14, 2025