2016 merupakan tahun yang agak sukar bagi industri automotif Malaysia. Dengan nilai ringgit yang menjunam sehingga kini, ia menjadi faktor utama menurunnya permintaan daripada pengguna, seterusnya penguncupan jumlah jualan keseluruhan kenderaan berbanding 2015.

Mungkin juga, disebabkan faktor berkenaan, banyak aktiviti mengambil tempat, di dalam usaha pengeluar kenderaan untuk meningkatkan jumlah jualan masing-masing. Jadi, artikel ini akan membariskan kenderaan-kenderaan baharu yang dilancarkan sepanjang 2016, sebagai panduan dan rujukan anda.

Audi

Audi Malaysia akhirnya melancarkan model A4 B9 pada September, selepas lebih setahun ia membuat penampilan diperingkat global. Lebih ringan dan laju, juga lebih menjimatkan serta ditawarkan dengan teknologi yang lebih banyak berbanding model terdahulu, ia ditawarkan dengan varian 2.0 TFSI (RM248,900, atas jalan tanpa insurans). Akan datang, varian 1.4 TSI dan 2.0 TFSI Quattro bakal menyusul.

2016 juga menyaksikan sedikit kenaikan harga bagi A5, A6, Q3, TT dan TTS, serta pengenalan varian asas 2.0 TFSI bagi Q7. Tahun ini, Audi dijangka akan ada beberapa pengenalan model baharu; Q2 serta Q5 serba baharu. Model facelift yang dijangka pula ialah A3, A5 Sportback dan R8, begitu juga dengan model-model S dan RS.

BMW

BMW Malaysia memperkenalkan beberapa model, bermula dengan 7 Series G12, diikuti oleh M2 Coupe dengan 370 hp. Model-model CKD bagi X1 xDrive20i, X1 xDrive20d dan X4 xDrive28i pula menurut jejak selepas itu. Harga bagi model-model 1 Series, 3 Series, 3 Series GT, X3 dan 5 Series juga dipotong, hasil daripada status EEV yang diperoleh. Jaminan tayar dua tahun BMW juga mula diperkenalkan.

Selain itu, 420i dan 430i baharu turut diperkenalkan – yang menggunakan enjin baharu 2.0 liter B48 turbo yang sama digunakan pada 3 Series F30 – serta 528i M Performance Edition. BMW juga mengumumkan akan mula mengeksport model-model 3 Series, 5 Series dan 7 Series pemasangan tempatan ke Vietnam dan Filipina pada 2018.

Bagaimanapun, dua model plug-in hybrid yang dilancarkan paling mencuri tumpuan; X5 xDrive40e, dengan harga RM388,800 yang mengalihkan perhatian umum daripada Volvo CKD XC90 T8 Twin Engine CKD. Juga, model 330e, dengan harga RM248,800. Tahun ini, BMW 5 Series G30 pula dijangka tiba.

Chevrolet

Bagi Chevrolet di Malaysia, 2016 agak senyap; hanya ada satu model sahaja dilancarkan. Chevrolet Colorado facelift diperkenalkan pada bulan Oktober dengan penampilan baharu yang agak menonjol. Ruang kabin juga menerima pembaharuan, termasuk sambungan Apple CarPlay, enjin baharu dan ciri-ciri keselamatan tambahan seperti Collision Alert dan Lane Departure Warning. Ia dijual pada harga bermula RM99,911 hingga RM132,874, atas jalan dengan insurans.

Ford

Bagi Ford, model pertama yang dilancarkan tahun lalu ialah MPV S-Max serba baharu, diikuti oleh Focus facelift, kini dengan enjin 1.5 liter EcoBoost turbo dan kotak gear automatik SelectShift enam-kelajuan yang menggantikan Powershift klac berkembar. Focus dijual pada harga antara RM118,888 hingga RM139,888, atas jalan dengan insurans.

SUV Ford Everest menyusul kemudiannya, tetapi pengenalan yang memberi impak terhadap jenama itu ialah pada Jun, melalui Ford Mustang. Model paling larisnya pula, Ranger menerima perkhabaran yang kurang menarik; dua kali harganya dinaikkan.

Honda

Honda Malaysia memulakan tahun lalu dengan perkembangan yang kurang menyebelahi mereka; kenaikan harga barisan model yang ada. Setelah itu, aktiviti bagi meningkatkan kesedaran pengguna berhubung panggilan semula beg udara Takata dijalankan; hab servis sentral dan hab bergerak diperkenalkan. Khidmat sama dilanjutkan dari rumah ke rumah serta ketika siri jelajah Honda Family Road Trip.

Bagaimanapun, bukan semuanya berita kurang menarik yang menunggu Honda. Paling utama ialah pelancaran Honda Civic generasi kesepuluh, kini dengan enjin 1.5 liter VTEC Turbo baharu, CVT, kawalan kestabilan dan enam beg udara sebagai standard. Ia dijual pada harga RM113,800 hingga RM135,800. Ciri keselamatan tambahan turut ditawarkan pada Accord facelift, dijual pada harga RM144,800 hingga RM172,800.

Selain itu, Honda Malaysia memperkenalkan warna merah baharu bagi City, Jazz dan HR-V; dengan rim aloi 17 inci serta harga yang lebih tinggi bagi HR-V. Edisi terhad X bagi Jazz dan City dengan kit badan tambahan juga menemui pengguna. Tahun ini, BR-V menjadi model pertama dilancarkan, dan dijangka diikuti oleh Jazz Hybrid.

Hyundai

Pelancaran model utama bagi Hyundai juga hanya satu, mendekati hujung tahun dengan model Ioniq Hybrid. Dilengkapi enjin 1.6 liter suntikan terus dengan gandingan motor elektrik dan transmisi DCT tujuh-kelajuan, ia ditawarkan pada harga yang sangat menarik; bermula RM100,328 dan RM110,828. Baca laporan pandu uji untuk maklumat lanjut.

Model lain yang menerima pembaharuan ialah Grand Starex Royale facelift, kini dengan rekaan gril yang lebih besar dan ketara. Kekal dengan enjin 2.5 liter turbodiesel, ia dijual pada harga RM168,888. Beberapa model baharu dijangka tahun ini, seperti Elantra dan Tucson T-GDI petrol dan CRDi Turbodiesel.

Isuzu

Isuzu pula tahun ini hanya memberi tumpuan kepada trak pikap D-Max; pada Mei, edisi D-Max Beast diperkenalkan, terhad kepada 360 unit. Ini diikuti dengan versi D-Max yang dipertingkat – kemasan luaran dan dalaman, serta kelengkapan ABS dan kawalan kestabilan. Bagaimanapun, Malaysia masih belum menerima versi enjin 1.9 liter turbodiesel seperti di Thailand.

D-Max kekal dengan enjin 2.5 liter dan 3.0 liter turbodiesel, dengan harga bermula dari RM80,424 hingga RM124,312. Turut diperkenalkan ialah MU-X Type-S, versi edisi khas dengan pertambahan kit badan yang dijual pada harga RM176,640.

Jaguar

Jaguar memperkenalkan beberapa model bagi 2016. Antaranya pesaing bagi BMW 3 Series, Jaguar XE. XF generasi kedua mengikuti tak lama selepas itu. XJ facelift pula menemui peminatnya di sini pada Mei, dan kemudiannya disudahi dengan pengenalan SUV pertama keluaran jenama itu, F-Pace – yang dijana oleh enjin 3.0 liter supercaj V6 340 PS.

Kia

Selain pengumuman kenaikan harga bagi modelnya di awal tahun, Kia turut memperkenalkan beberapa model baharu, antaranya Rio Sedan pada harga RM72,888, yang dilengkapi kemudiannya oleh varian Rio Sedan X pada Mac.

Seterusnya, mereka melancarkan Kia Sportage. Dengan enjin 2.0 liter petrol, harganya ialah dari RM121,888 hingga RM141,888. Sorento baharu juga diperkenalkan dalam masa yang sama, dengan enjin 2.2 liter CRDi atau 2.5 liter MPI petrol; dijual dari RM155,888 hingga RM175,888.

Kia Picanto facelift juga mula dijual, dalam jumlah yang kecil. Khabarnya Kia ingin beralih tumpuan kepada penjualan SUV sahaja selepas ini. Pada November, kempen Value 5 diperkenalkan, sebagai satu cara mengekalkan nilai jualan balik kenderaan Kia dalam kalangan pelanggan setianya. Tahun ini, seperti yang sudah sedia maklum, MPV Kia Grand Carnival akan mencuri perhatian terlebih dahulu kelak.

Land Rover

2016 juga merupakan tahun yang senyap bagi Land Rover. Bagi pelancaran tempatan, hanya Range Rover Evoque facelift diperkenalkan, dengan enjin 2.0 liter Si4 petrol pada harga RM430,000, serta varian baharu bagi model Discovery Sport – 2.2 liter SD4 turbodiesel (RM450,000). Discovery generasi baharu mungkin akan masuk pasaran tahun ini.

Lexus

Begitu juga dengan Lexus – agak senyap. Selain daripada pengumuman kenaikan harga pada awal tahun, jenama ini memperkenalkan model GS F janaan 477 PS pada bulan Mei, dengan harga jualan RM1.1 juta. Model ES 250 Luxury edisi terhad kepada 50 unit dengan penawaran warna serta kemasan dalaman baharu, diperkenalkan pada Jun. Tahun ini, kita menanti kehadiran model LC 500 dan LC 500h.

Mazda

Bagi Mazda, CX-5 facelift CKD yang ditawarkan dengan enjin 2.0 liter dan 2.5 liter menjadi antara yang utama tahun lalu – dijual pada harga RM128,375 hingga RM166,666. Seterusnya, Mazda 2 menerima pertambahan ciri lampu utama LED, harga juga bertambah RM5,300.

Bagaimanapun, Bermaz menaikkan lagi harga sebanyak RM3,000 pada Oktober, atau naik RM2,000 bagi model dengan lampu utama halogen biasa, Trak BT-50 diberikan sentuhan facelift baharu pada Mac, sementara pada Julai dua model diesel yang dinanti-nanti diperkenalkan – CX-5 dan Mazda 6 diesel, masing-masing pada harga RM161,529 dan RM202,830.

Tahun ini, antara model yang dijangka akan dilancarkan ialah MX-5 RF (dengan pilihan manual buat pertama kali) dan CX-9. Begitu juga dengan Mazda 3 facelift dan kemungkinan juga CX-5 baharu. Tahun ini, dijangka harga kenderaan Mazda akan naik lagi, begitu juga dengan CX-3 CKD yang nampak gayanya masih belum dapat dijadikan kenyataan – apa lagi dengan harga yang lebih rendah.

Mercedes-Benz

2016 merupakan tahun yang menarik bagi jenama ini. Banyak model diperkenalkan. Bermula dengan GLC (kemudiannya dalam versi CKD yang lebih murah), GLE dan GLE Coupe, dan diikuti dengan A-Class facelift. Turut diperkenalkan ialah varian asas C 180 Avantgarde (RM228,888) dan yang paling tinggi C 300 AMG Line (RM307,888) serta varian pertengahan, C 200 Exclusive (RM252,888).

Pada bulan Jun, berita lebih menarik diterima. Pelancaran E-Class W213 baharu, sebuah sedan eksekutif yang ditawarkan dalam beberapa varian – E 200 Avantgarde, E 250 Avantgarde dan E 250 Exclusive, dengan harga di antara RM395,888 hingga RM425,888. E 300 AMG Line mengikut jejak sama selepas itu, dengan versi CKD dijangka tidak lama lagi.

Model-model lain yang diperkenalkan tahun lalu termasuk CLA facelift, C-Class Coupé dan Cabriolet, AMG C 63 S Coupé, GLC Coupé, GLS, G 63 AMG dan SLC. Yang paling utama tentulah pelancaran C 350e plug-in hybrid, pada harga antara RM288,888 hingga RM298,888. Bagi kenderaan perdagangan, Nusa Otomobil memperkenalkan Vito Tourer, pilihan yang lebih ringkas dan murah bagi V-Class.

MINI

MINI di Malaysia sempat memperkenalkan beberapa model tahun lalu. Dimulakan dengan MINI Countryman Park Lane pada Januari dan Clubman pada April. Kemudian, model edisi khas untuk Malaysia, MINI John Cooper Works Pro Edition – hanya 20 unit ditawarkan. Model Countryman baharu dijangka tiba tahun ini.

Mitsubishi

Mitsubishi memulakan 2016 dengan pengenalan Triton Phantom edisi terhad, diikuti pula dengan versi “putih”, Triton Knight. Pada Februari semua harga setiap model (kecuali Mirage) terpaksa dinaikkan, ada yang sehingga RM8,500.

Pada April, SUV Outlander pula dilancarkan pada harga RM166,720. Kemudian, bulan Jun pula menyaksikan pengenalan ASX Orange Edition dan yang terakhir, Triton dengan enjin baharu yang lebih berkuasa dan jimat – 2.5 liter MIVEC turbodiesel bagi varian VGT dan VGT Adventure. Tak lupa juga varian VGT Adventure X; semuanya dari harga antara RM102,619 hingga RM125,005.

Nissan

Tiada model baharu dilancarkan oleh Nissan pada 2016. Tetapi, memerapa model sedia ada ditawarkan semula dengan pertambahan kit badan yang lebih bergaya. Antaranya ialah X-Trail dan Serena S-Hybrid dengan kit Impul, manakala Teana pula menerima Nismo Performance Package selepas itu. Pakej aksesori Ironman bagi Navara NP300 juga diperkenalkan.

Sama seperti pengeluar lain, Nissan juga tidak dapat mengelak daripada menaikkan harga bagi kenderaan mereka pada April. Ini diikuti dengan panggilan semula bagi 133,118 kenderaan akibat beg udara Takata. Terbaharu, Nissan menawarkan pakej jaminan yang pertama seumpamanya bagi pasaran tempatan; jaminan tujuh tahun tanpa had perbatuan bagi semua kenderaan penumpang Nissan dan Infiniti bermula 1 Januari 2017.

Perodua

2016 bagi Perodua ialah tentang model Bezza. Sedan pertama yang dihasilkan, ia menampilkan hasil kerahan tenaga kerja tempatan sepenuhnya. Ia juga model yang pertama menggunakan keyless entry, fungsi Start/Stop pada enjin, kawalan kestabilan dan ABS sebagai ciri standard bagi Perodua. Harga pula adalah di antara RM37,300 hingga RM50,800. Ia mencecah jualan 10,000 unit dalam tempoh sebulan selepas dilancarkan.

Axia juga menerima peningkatan tahun lalu; kini dilengkapi dengan ciri ABS bagi Axia 1.0 Standard G dengan sedikit kenaikan harga, serta memperkenalkan Myvi dengan skim dwi-tona warna bagi varian 1.5 Advance. Turut diumumkan tahun lalu ialah program ProGanti, alat ganti aftermarket yang lebih murah.

Selebihnya, Perodua juga merasmikan kilang baharu di Sendayan, Negeri Sembilan – Perodua Global Manufacturing (mengeluarkan Axia sejak 2014) dan Daihatsu Perodua Engine Manufacturing (memasang enjin 1.3 liter 1NR-VE untuk Bezza).

Peugeot

Peugeot juga tidak banyak melancarkan model baharu tahun lalu. Antara yang memasuki pasaran ialah 308 THP Active (RM119,888) dan kemudiannya pada pertengahan tahun, model 408 e-THP (RM143,888) pula diperkenalkan. Selain itu, Peugeot mengumumkan pelaburan RM5 juta bagi aktiviti lepas jualannya dalam usaha untuk memperbaiki aspek kepuasan pelanggan.

Tahun ini mungkin akan sedikit berbeza. Model 208 dan 2008 facelift sedang menanti untuk dilancarkan – bakal tampil dengan enjin 1.2 liter PureTech turbo (112 PS/160 Nm) baharu yang digandingkan dengan transmisi automatik enam-kelajuan Aisin. Juga akan tiba di Malaysia ialah model SUV 3008 dan 5008, serta MPV Traveller.

Proton

Proton sangat sibuk sepanjang tahun 2016, dengan pelancaran empat model dalam tempoh itu. Di awal tahun, Proton mengumumkan sedang membangunkan siri enjin 1.3 dan 1.5 GDI terbaharu, serta enjin NE01 turbo 2.0 liter yang akan dikeluarkan hujung 2017. Turut dilancarkan ialah kempen It’s In The Drive! dan logo baharu.

Perletakan jawatan sebagai pengerusi oleh Tun Mahathir Mohamed turut menjadi titik tolak penting Proton. Kedudukan itu kemudiannya diambil alih oleh Syed Faisal Albar. Datuk Abdul Harith Abdullah selaku CEO turut meletak jawatan selepas itu, dan diganti oleh Datuk Radzaif Mohamed. Selepas beberapa lama, pinjaman RM1.5 bilion kepada Proton oleh kerajaan pun diluluskan untuk menyelamatkan Proton.

Ini diikuti berikutnya oleh pelancaran Perdana, sedan segmen D yang didasarkan kepada Honda Accord. Ia disusuli pula oleh pengenalan Persona dan Saga, sebelum hasil usaha sama antara Proton-Suzuki, MPV Ertiga pula dilancarkan pada November. Preve dan Exora kini juga hanya ditawarkan dengan enjin turbo, manakala edisi terhad bagi Iriz serta Suprima Active Concept turut diperkenalkan.

Harga kenderaan Proton turut dinaikkan pada Februari 2016, kemudian mengeksport Preve ke Chile pada Jun. Aplikasi MyProton turut diperkenalkan pada Ogos. Perjanjian dengan Bank Rakyat juga berjaya dimeterai; untuk memberikan pinjaman 100% – kini semakin meluas dan ditawarkan oleh semua bank. 2017, Proton dijangka akan memperkenalkan pula sebuah model SUV (dari Suzuki Vitara mungkin?) dan mengumumkan rakan kongsi dan kerjasama baharu.

Renault

Jenama Perancis ini awalnya mengumumkan harga rasmi crossover segmen B, Captur (RM117,200), serta memulakan jualan bagi model elektrik sepenuhnya Zoe, pada harga RM145,888. Syarikat itu juga memperkenalkan model Fluence Formula Edition pada Ogos, namun pelancaran terbesarnya tahun lalu ialah bagi model Koleos baharu – saingan kepada SUV seperti Nissan X-Trail, dijual pada harga RM172,800.

Subaru

Subaru memperkenalkan beberapa versi kenderaan tahun lalu. Bermula dengan Subaru XV facelift dengan kit tambahan, ia dijual pada harga RM132,725 hingga RM137,075. Momentumnya diteruskan dengan pelancaran Forester facelift, kini pemasangan CKD dan lebih murah – bermula RM144,948.

Ogos pula menyaksikan pengenalan dua model, model wagon Levorg dan XV Crosstrek edisi khas – masing-masing dijual pada harga RM199,720 dan RM119,500. Tahun ini akan jadi lebih menarik; antara yang dijangka ialah pengenalan model Impreza dan XV baharu. Syarikat ini juga mengesahkan akan mula memasang model generasi baharu berdasarkan Subaru Global Platform di Segambut.

Toyota

Antara model yang dilancarkan tahun lalu ialah Hilux dan Fortuner, kedua-duanya dengan enjin dan transmisi baharu, kelengkapan tambahan dan tujuh beg udara serta kawalan kestabilan buat pertama kali. Ini diikuti oleh pengenalan Alphard dan Vellfire – jualan dari saluran rasmi yang julung kalinya bagi Vellfire.

MPV kompak Sienta pula masuk pasaran selepas itu, dengan harga dari RM92,900 hingga RM99,900. Sementara itu, Vios juga menerima peningkatan; kini dengan enjin Dual VVT-i baharu, CVT dan kawalan keselamatan bagi semua varian – dengan harga yang sedikit rendah.

Pada Disember pula, model Camry dan Altis facelift juga ditawarkan dalam versi baharu – dengan tujuh beg udara bagi semua varian, serta harga yang sedikit rendah bagi Altis. Pada bulan yang sama juga, MPV Innova dilancarkan, dengan harga dari RM109,000 hingga RM126,000. Toyota juga menaikkan harga pada awal tahun lalu, dan melancarkan jaminan lima tahun tanpa had perbatuan serta mengumumkan kilang baharu di Bukit Raja, Klang, yang akan mula beroperasi pada 2019.

Volkswagen

2016 tahun yang mencabar bagi Volkswagen. Potongan harga “gila-gila” yang dilakukan syarikat ini menerima maklum balas yang pelbagai; Polo ketika itu dijual serendah RM69,888, Jetta pada RM88,888 dan Passat pada RM115,888. Golf juga menerima penampilan baharu – rim 17 inci, keyless entry, Push Start dan enjin 1.4 TSI yang lebih berkuasa, pada harga yang lebih rendah, RM160,635.

Pada bulan Mei, jenama itu melancarkan Polo Sedan, kini dikenali sebagai Vento dan dikuasakan oleh enjin 1.2 liter TSI dengan kotak gear DSG tujuh-kelajuan – harga dari RM80,646 hingga RM94,461. September pula satu detik penting yang baharu; Volkswagen Group Malaysia (VGM) menyerahkan tugas pengedarannya kepada Volkswagen Passenger Cars Malaysia (VPCM), dengan pertambahan jaminan lima tahun pengeluar. Tambahan jaminan dua tahun bagi kotak gear DSG turut juga diumumkan.

Juga pada September, Polo hatchback menerima potongan harga sebanyak RM13,000 menjadi RM77,646, sementara Jetta facelift masuk pasaran pada hujung bulan yang sama. Passat B8 pula dilancarkan pada November, dengan harga dari RM160,937 hingga RM200,030. Beetle Dune dengan hanya 50 unit turut diperkenalkan sekali. Tahun ini, Tiguan CKD antara pelancaran yang dinanti-nantikan.

Volvo

Volvo pula memasuki 2016 dengan memperkenalkan model S60 T6 Drive-E; enjin 2.0 liter turbocaj dengan janaan 306 hp itu ditawarkan pada harga RM280,888. Pada September pula, dengan insentif EEV, harganya dikurangkan kepada RM238,888.

Model XC90 T8 Twin Engine plug-in hybrid yang dilancarkan pada 2015 pula dipasang CKD dan diperkenalkan semula pada Jun, dengan harga RM50,000 lebih rendah menjadi RM403,888. Model V40 T5 Drive-E pula menyusul selepas itu, dengan enjin yang sama dengan S60 tetapi output yang lebih rendah, pada harga RM192,888.

Sama seperti S60, V40 turut menikmati insentif EEV dan harganya turun kepada RM180,888. Begitu juga dengan XC60 T5 dan T6, merekodkan penurunan harga sebanyak RM22,000, masing-masing menjadi RM266,888 dan RM298,888.

Pada Oktober, Volvo mengumumkan pakej Polestar Performance Optimisation bagi S60, V40 dan XC60. Tahun ini juga tak kalah menariknya bagi Volvo; model S90 dijangka akan tiba, sangat berkemungkinan dalam versi T8 Twin Engine plug-in hybrid untuk layak menerima kelebihan sebagai EEV.