Tahun 2016 menandakan 25 tahun kewujudan syarikat pengeluar ekzos dari Slovenia iaitu Akrapovic dan sebagai salah satu cara sambutannya, syarikat itu mengeluarkan ekzos edisi terhad sebanyak 25 unit, terdiri daripada model untuk pelbagai motosikal termasuk Ducati Multistrada, Yamaha YZF-R1, BMW S1000RR, Kawasaki Ninja ZX10-R dan KTM 1290 Super Duke R.
Tujuan utama penghasilan ekzos edisi terhad ini adalah untuk mengutip derma bagi beberapa persatuan kebajikan termasuk Two Wheels For Life yang memperjuangkan kebajikan penduduk tempat terpencil di Afrika. Setiap ekzos ini akan dijual secara lelongan di beberapa acara dan laman web.
Bagi menjadikan ekzos ini istimewa, selain mempunyai logo khas ulang tahun ke-25 Akrapovic, ia juga akan ditandatangani oleh pelumba antarabangsa terkenal termasuk Jonathan Rea, Valentino Rossi, Jorge Lorenzo, Andrea Dovizioso, Casey Stoner, Brad Binder, Loris Capirossi, Tom Sykes dan Sylvain Guintoli. Ekzos ini dihasilkan menggunakan titanium dan mempunyai cat lapisan nano untuk memastikan keadaannya mampu bertahan lama, meskipun diguna pada motosikal (biasanya barangan edisi terhad seperti ini hanya sekadar akan menjadi barang pameran).
Melihat kepada laman web www.charitystars.com yang sudah pun menjalankan sesi lelongan lima ekzos edisi terhad ini, terdiri daripada yang ditandatangani oleh Jonathan Rea, Tom Sykes, Sylvain Guintoli, Chaz Davies dan Markus Reiterberger, harga akhir yang diperolehi adalah antara 1,010 euro (RM4,720) hingga 2,000 euro (RM9,346). Nampaknya, ia tidaklah begitu tinggi seperti yang dijangka tapi lihatlah pula nanti berapa harga unit yang ditandatangani oleh Valentino Rossi, Jorge Lorenzo dan Casey Stoner.
Dia telah berjaya; Nico Rosberg akhirnya dinobatkan sebagai yang terunggul bagi Kejuaraan Formula 1 2016, menjadikan kedudukan tiga sama bagi pasukan Mercedes-AMG PETRONAS F1 di dalam era perlumbaan jentera V6 hibrid kini.
Nico Rosberg naik ke tingkat podium teratas lima kali pada tahun pertama ketika era penggunaan jentera hibrid V6, dan enam kali pada 2015. Tahun ini dia merangkul sembilan kejuaran dan 16 kedudukan podium daripada 21 perlumbaan yang ada untuk merebut gelaran juara; menamatkan tahun yang gemilang untuknya dengan 385 mata kejuaraan – angka terkumpul terbesar seumpamanya yang pernah diraih oleh mana-mana pemandu F1 dalam satu musim.
Tambah menakjubkan, dia mencatatkan 23 kemenangan (kini melebihi Mika Hakkinen, Kimi Raikkonen, Stirling Moss dan Jenson Button) dan semuanya kecuali satu daripada 57 kedudukan podium bersama dengan Mercedes-AMG PETRONAS. Kesetiaan kini membuahkan hasil bagi pemandu berbangsa Jerman berusia 31 tahun itu, yang telah bersama dengan pasukan berkenaan sejak awal lagi.
Sejak bermulanya era jentera hibrid V6 pada 2014 – perubahan peraturan terbesar yang pernah diperkenalkan sepanjang sejarah F1 – pasukan Mercedes-AMG PETRONAS F1 kerap mengungguli saingan. Di antara Nico Rosberg dan Lewis Hamilton, pasukan ini telah berjaya memenangi 53 daripada 61 perlumbaan dalam tempoh tiga musim kebelakangan ini, mengesahkannya sebagai pasukan paling dominan dalam saingan F1 yang pernah disaksikan setakat ini.
Dengan kejayaan yang tidak pernah dicapai oleh mana-mana pasukan ini, ternyata pasukan Mercedes-AMG PETRONAS F1 berada di dalam kelas yang tersendiri. Ia jauh melangkaui persaingan sedia ada; sesuatu yang sangat membanggakan, jika mengambil kira tahap persaingan tinggi serta teknologi maju yang digunakan dalam sukan terbabit.
Dan tentunya, yang menjadi tulang belakang kepada kejayaan yang diraih ini ialah rakan teknikalnya, PETRONAS. Selalunya, sifat glamor sukan ini lebih ke depan dan mengaburi kerja keras yang dilakukan oleh pasukan teknikal di belakang tabir. Terlalu banyak kerja yang perlu dilakukan oleh pasukan teknikal yang terlibat yang terpaksa dikerah sehabis daya dalam setiap perlumbaan.
Sewaktu di awal musim 2014, sudah kedengaran bahawa akan berlaku banyak perubahan dalam kitaran evolusi F1 sendiri, yang dipacu oleh penguatkuasaan perubahan bagi peraturan sedia ada ketika itu. The Silver Arrows muncul sebagai watak utama, memberikan keputusan positif kepada kerja-kerja yang dilakukan di Brixworth (Mercedes-AMG HPP) dan di Villestellone, Itali serta Kuala Lumpur (pasukan teknikal PETRONAS).
Ketika prestasi kekal menjadi pertimbangan utama bagi sesebuah pasukan F1, kekangan yang ketat terutama yang dikenakan pada 2014, memaksa pasukan untuk lebih berhati-hati untuk memastikan sistem janaan kuasa sentiasa tahan dan kukuh. Sudah pasti, yang menerima perhatian utama dalam perkara ini adalah enjin dan kotak gear.
Era di mana enjin 3.0 liter V12 atau V8 kini sudah terkambus di dalam sejarah; kini, pasukan menggunakan enjin yang lebih kecil. Enjin 1.6 liter V6 turbo hibrid – yang sememangnya lebih maju dari aspek teknikal, lebih rumit dan jauh lebih canggih berbanding enjin dengan kapasiti yang sama pada kenderaan lain di atas jalan – lebih mirip kepada enjin yang digunakan pada kenderaan kebanyakan daripada kita – yang juga sangat penting bagi PETRONAS.
Cabarannya adalah untuk membekal dan mengawal semua kuasa berkenaan (dalam lingkungan 850 hp) serta tork bergantung kepada pemandu melalui kotak gear dengan cekap dan berkesan. Ini menambah kerumitan bagi tumpuan terhadap komponen-komponen penyumbang lain, dalam kes ini bahan api, minyak pelincir serta minyak gear.
Dengan peraturan yang semakin ketat yang dikenakan terhadap kadar aliran bahan api dan tampungannya ketika perlumbaan, kerja-kerja ke atas pelincir dan minyak-minyak lainnya menjadi lebih kritikal dalam menyumbang kepada peningkatan prestasi; mempengaruhi secara langsung kedua-dua kadar kelajuan dan prestasi masa dalam pusingan sebenar.
Keprihatinan keseluruhannya terletak kepada kebolehpercayaan, PETRONAS mempergiat fokus terhadap aspek endurans dan daya tahan. Sudah tentu peranan yang dimainkan oleh pelincir dan minyak-minyak berkenaan amat penting dalam menyediakan kuasa dan melindungi enjin serta kotak gear dan dengan ini, terlahirlah Fluid Technology SolutionsTM (FTS) – produk-produk superior yang dicipta khas untuk kereta-kereta terpantas di Formula One.
Ini bermaksud PETRONAS perlu mereka dan membangunkan pelincir enjin dan minyak-minyak yang terlibat yang mampu menampung daya yang sangat besar dan yang kerap kali lebih hebat daripada daya graviti dengan beban yang lebih tinggi. Amat wajarlah untuk menyatakan peranan, minyak dan pelincir bagi prestasi kereta begitu penting sekarang berbanding dengan era-era sebelum ini.
Melihat hasilnya kini, ia adalah satu pencapaian yang menakjubkan bagi PETRONAS, membuktikan bakat-bakat yang dimilikinya juga mampu untuk menghasilkan apa yang disebut oleh pasukan Mercedes-AMG PETRONAS F1 sebagai formula kemenangan.
“Permintaan terhadap pelincir dan minyak di dalam F1 sebenarnya adalah hampir sama dengan keperluan kenderaan di jalan raya, begitu juga dengan bahan api,” jelas Pengarah Urusan Mercedes AMG High Performance Powertrains, Andy Cowell. Bagi PETRONAS, pelajaran yang diceduk dari F1 dipindahkan secara terus kepada produk-produk lain bagi kenderaan di atas jalan biasa, seperti bahan api PETRONAS Primax, pelincir PETRONAS Synthium dan minyak PETRONAS Tutela.
Ini dicerminkan melalui penggunaan eksklusif pertama minyak enjin PETRONAS pada model-model Mercedes-AMG seperti A 45, CLA 45 dan GLA 45.
Pendek kata, kepakaran teknikal yang sama yang diberikan terhadap bahan api dan pelincir yang digunakan oleh jentera lumba Nico Rosberg dan Lewis Hamilton yang mengungguli kejuaraan dunia tiga kali berturut-turut, sudah pun dipindahkan di dalam penghasilan bahan api dan pelincir yang ditawarkan kepada pengguna produk-produk PETRONAS di Malaysia.
Memanfaatkan Formula 1 sebagai medan ujiannya, pasukan saintifik PETRONAS menggunakan pendekatan yang sama dalam membangunkan penyelesaian bendalir khas bagi tujuan penggunaan dalam situasi ekstrem dan mendesak hinggalah kepada kejuruteraan minyak melalui teknologi canggih, bagi menghasilkan minyak dan pelincir untuk kegunaan kenderaan di atas jalan raya biasa. Kecenderungan yang sama diterapkan – memaksimumkan kuasa, kecekapan dan daya tahan enjin dan dalam masa sama, mengurangkan penggunaan minyak.
Inilah formulasi kemenangan untuk anda, yang menguasakan pasukan Mercedes-AMG PETRONAS F1 dan Nico Rosberg menuju mercu kejayaan yang penuh makna; dibawakan dari litar terus ke jalan raya untuk dinikmati oleh semua orang. Akhir sekali, semua pihak dapat menikmati manfaatnya.
Suzuki Landy generasi ketiga kini telah diperkenalkan di Jepun dan akan mula dijual bermula 20 Disember ini. Seperti juga generasi-generasi sebelum ini, MPV lapan-tempat duduk berkenaan masih lagi dibina berasaskan dari Nissan Serena.
Rekaan Landy generasi baharu ini kelihatan hampir seiras dengan kembarnya, Nissan Serena generasi kelima yang telah pun mula dijual Ogos lalu. Ia masih mengekalkan lampu hadapan dua tingkat, bumbung kelihatan seperti terapung, garisan bahu badan yang kelihatan ketara bermula dari lampu hadapan bersambung ke rel pintu gelangsar dan berakhir di lampu belakang.
Untuk membezakan Landy dan Serena, gril hadapan V-Motion digantikan dengan gril krom dengan rekaan dua bar dan logo Suzuki serta roda aloi dengan rekaanya yang tersendiri.
Bahagian dalaman Landy juga seiras dengan Serena, menampilkan stereng tiga jejari dan rata di bahagian bawah, paparan instrumen digital lebih lebar berserta paparan berwarna tujuh-inci serta bahagian tengah papan pemuka yang terapung. Dimensi kabin Landy juga sama dengan Serena iaitu 3,240 mm panjang dan 1,545 mm lebar, didakwa terbaik dalam kelasnya.
Tempat duduk barisan kedua Landy boleh digelangsarkan kehadapan dan kebelakang dengan jarak 690 mm. Tempat duduk baris ketiga turut boleh digelangsarkan bagi membolehkan ruang lutut dan ruang kargo belakang dilaras. Ciri praktikal lain yang turut diberikan pada Landy ini termasuk lima-port USB (termasuk dua port untuk setiap baris tempat duduk belakang) dan juga soket kuasa 12V berasingan pada bahagian hadapan.
Varian tertinggi 2.0G menerima pintu gelangsar pada kedua-dua sisi (varian lain hanya pada bahagian kiri), manakala untuk kesemua varian, Landy diberikan suis pembuka pintu di tempat duduk baris ketiga untuk memudahkan penumpang bahagian berkenaan keluar. Pintu tailgate juga boleh dibahagikan kepada dua bahagian dimana bahagian tingkap pintu tersebut boleh dibuka jika hanya barangan kecil dan ringkas mahu diletakkan kedalam bahagian kargo.
Suzuki Landy juga menerima enjin dan transmisi yang sama seperti Serena. Varian asas 2.0S dijana enjin petrol empat-silinder 2.0 liter MR20DD twin-CVT suntikan bahan api terus berkuasa 150 PS pada takat 5,600 rpm dan tork maksima 200 Nm pada takat 4,400 rpm, dipadankan dengan kotak gear Xtronic CVT, memacu roda hadapan. Padanan ini memberikan penggunaan petrol 15 km/l pada kitaran ujian JC08 Jepun.
Untuk varian lebih tinggi iaitu 2.0X dan 2.0G pula, ia diberikan sistem S-Hybrid dari Nissan yang terdiri dari motor elektrik ECO berkuasa 2.6 PS yang mengawal fungsi auto start/stop pada enjin dan juga berfungsi sebagai pengecas regenerative braking ketika MPV ini menyah-pecut. Motor elektrik 1.8kW/200 A itu juga memberikan bantuan tork ketika ia mula bergerak, dengan tork tambahan 50 Nm dalam masa sehingga satu saat.
Dengan bantuan sistem S-Hybrid ini, versi pacuan roda hadapan mampu mencatatkan penggunaan petrol 16.6 km/l, manakala versi pacuan semua roda (opsyenal) pula mencatatkan penggunaan petrol 15.0 km/l.
Untuk keselamatan, semua varian didatangkan standard dengan sistem brek kecemasan automatik, amaran keluar laluan, sistem pengenalan tanda dilarang masuk, monitor paparan sekeliling dengan pengesan objek bergerak (MOD) dan juga bantuan pengelak pelanggaran yang mengelakkan dari terjadinya kemalangan sekiranya pemandu tersalah memijak pedal.
Varian 2.0G dan 2.0X turut menerima bantuan parkir dan juga beg udara tirai sebagai tamabahan dua beg udara sedia ada. Walau bagaimanapun, kesemua varian Landy tidak menerima sistem pemanduan semi-automatik ProPILOT seperti pada Serena.
Suzuki Landy dijual pada harga 2,500,200 yen (RM94,500) untuk varian 2.0S, 2,721,600 yen (RM102,900) untuk varian 2.0X 2WD serta 2,965,680 yen (RM112,100) untuk versi 4WD. Manakala untuk varian 2.0G pula, ia dijual pada harga 2,961,360 yen (RM112,000) untuk versi 2WD dan 3,248,640 yen (RM122,800) untuk versi 4WD.
Dalam usaha berterusan untuk mempamerkan kemampuan sebenar trak pikap Mitsubishi Triton 2.4L MIVEC, pengedarnya Mitsubishi Motors Malaysia (MMM) mengeluarkan sebuah video terbaharu, yang menunjukkan percubaan trak pikap berkenaan untuk menarik beban seberat 31 tan – sebuah trak sisa buangan CAT 796D.
Ujian dengan beban yang memerlukan daya tinggi untuk melaksanakannya ini benar-benar menguji kemampuan dan ketangkasan sebenar enjin baharu 2.4 liter MIVEC VGT turbodiesel pada model berkenaan; ia mampu menjana 181 PS kuasa dan 430 Nm tork. Enjin baharu ini menampilkan penggunaan blok aluminium aloi – yang pertama bagi segmennya – dan mengurangkan sehingga 30 kg berat berbanding blok logam.
Ia juga memberi tambahan kuasa sebanyak 3 PS dan 30 Nm berbanding enjin 2.5 liter VGT (178 PS/400 Nm) terdahulu, dengan penjimatan penggunaan bahan api 15% lebih baik – dengan kadar cukai jalan yang lebih rendah juga. Pilihan transmisi adalah antara automatik lima-kelajuan dengan Sport Mode, atau manual enam-kelajuan (mengganikan 5MT).
Dalam video ini, yang mengendalikan trak pikap berkenaan ialah Leona Chin, duta jenama Mitsubishi yang sudah tidak asing lagi. Selain percubaan ini, kami juga sempat mencuba kemampuan trak pikap ini di dalam satu daripada acara offroad yang paling mencabar di rantau ini Oktober lalu, iaitu Borneo Safari 2016 di Sabah. Nampaknya Mitsubishi memang ingin benar-benar membuktikan bahawa prestasi terbaik yang ditonjolkan Triton dengan enjin baharu ini bukan sekadar gimik pemasaran semata-mata.
MINI baru mengeluarkan lebih banyak gambar untuk John Cooper Works Clubman baru, iaitu kenderaan enam pintu yang tampil buat kali pertama semasa Paris Motor Show 2016. Bersama gambar ini juga, kami mendapat beberapa perincian tambahan berkenaan kelengkapan kenderaan ini.
Menggerakkan JCW Clubman adalah enjin petrol 2.0 liter, yang pertama kali digunakan bersama sistem pacuan empat roda ALL4 syarikat itu. Enjin ini mampu menghasilkan 231 hp pada 5,000 hingga 6,000 rpm dan 350 Nm tork pada 1,450 hingga 4,800 rpm. Jumlah tork ini adalah 30 Nm lebih berbanding jumlah yang boleh didapati pada JCW Hardtop dan Convertible.
Transmisi manual enam kelajuan didatangkan secara standard pada JCW Clubman, dengan pilihan kotak gear automatik Steptronic lapan kelajuan. Kedua-duanya boleh memacu JCW Clubman 0-100 km/j dalam masa 6.3 saat dan kelajuan maksimum 238 km/j.
Untuk melengkapi kuasa enjin ini, JCW Clubman turut mendapat brek Brembo lebih besar, pilihan suspensi Dynamic Damper Control, ekzos sport dengan dua paip krom, rim 18 inci Black Grip Spoke (pilihan 19 inci juga disediakan) dan kit badan JCW yang lebih agresif.
Kelengkapan standard lain untuk model varian tertinggi ini termasuk lampu utama LED automatik, MINI Driving Modes, Park Distance Control, Comfort Access, Radio MINI Visual Boost, butang pelbagai fungsi di stereng dan cruise control dengan fungsi brek.
Di bahagian dalam, terdapat skrin berwarna 6.5 inci untuk sistem informasi dan hiburan (boleh dinaik taraf kepada skrin sesentuh 8.8 inci), pendingin hawa automatik dua zon, bumbung panoramik kaca, tempat duduk balutan kulit Dinamica, MINI Excitement Package dan sistem bunyi Harmon Kardon.
Bagi yang mencari perincian lebih tersendiri, mereka boleh memilih jalur sport, penutup luar cermin sisi krom, pek dalaman Chrome Line, pakej lampu suasana, roda stereng sports balutan kulit MINI Yours dan MINI Yours Interior Styles (tiga varian).
Naza Kia Malaysia telah membuka pusat kemudahan baru di Pulau Pinang – Kia Bayan Lepas, terletak di Jalan Sungai Tiram. Ia menyediakan khidmat 3S (jualan, servis dan alat ganti) kepada pelanggan di kawasan Bayan Lepas dan berhampiran dengannya.
Pusat khidmat ini dibina dengan kos RM1.2 juta, melibatkan bangunan berkeluasan 4,600 kaki persegi yang menempatkan pusat pameran untuk empat buah kenderaan, empat ruang servis kenderaan dan boleh menerima sehingga 14 kenderaan setiap hari.
Kia Bayan Lepas mempunyai sasaran jualan sebanyak 20 unit setiap bulan, dan ia juga menyediakan kemudahan lain kepada pengguna seperti ruang rehat dan sambungan WiFi sementara mereka menunggu kenderaan diservis. Syarikat itu juga menyatakan akan terus mempertingkatkan kemudahan lain di seluruh negara, dengan masa menunggu yang lebih pendek untuk servis selepas jualan.
Nissan kini telah mula menjual model Note e-Power Nismo, sebuah kenderaan elektrik yang kini tampil dengan imej yang lebih ranggi, sebagai tambahan kepada dua lagi versi terdahulu – Note Nismo dan Note Nismo S. Penawaran terbaharu ini dijual pada harga 2,458,080 yen (RM92,900).
Versi Nismo dibezakan dari model-model e-Power yang lain melalui penampilan bampar depan yang agresif dengan lampu nyalaan siang LED, kit badan sisi serta diffuser dibahagian belakang – semuanya disertakan dengan perincian rona merah, seperti juga cermin sisi. Turut menguatkan lagi penampilannya ialah gril unik dengan logo Nismo (kemasan biru untuk membezakannya dengan model Nismo yang lain), dan penggunaan rim aloi 16 inci dwi-tona dengan tayar Yokohama DNA S.drive.
Untuk bahagian dalam, versi ini menggunakan stereng tiga-jejari balutan kulit Alcantara, tempat duduk sport serta padel pintu dengan material suede serta pedal aluminium. Panel meter kluster juga khas Nismo, dengan lambang dan perinciannya yang tersendiri.
Ia menggunakan enjin 1.2 liter HR12DE tiga-silinder 79 PS/103 Nm yang digandingkan dengan motor elektrik dengan janaan kuasa 109 PS/254 Nm yang sama seperti model terdahulu. Namun, versi Nismo kali ini dilengkapi Vehicle Control Module (VCM) bagi mendapatkan maklum balas pendikit dan regenarative braking yang lebih baik.
Sistem suspensi juga menerima pembaharuan, termasuk palang kestabilan di depan, pengukuhan badan pada bahagian-bahagian tertentu dan stereng elektrik yang ditala semula untuk pemanduan yang lebih “keras”. Paip ekzosnya pula bersaiz 85 mm yang melengkapkan imej agresif dan sporty model ini.
September lalu, Volkswagen Passenger Cars Malaysia (VPCM) melancarkan Volkswagen Jetta facelift 2016, dan ini adalah model pengganti bagi Jetta CKD yang mula dipasarkan di Malaysia pada bulan April 2014. Langkah ini adalah perlu bagi memastikan Jetta dapat bersaing dalam pasaran menentang model-model baru dalam segmennya seperti Mazda 3 Sedan, Honda Civic dan Ford Focus Sedan.
Pembaharuan yang diberikan pada Jetta facelift ini, selain penampilan, juga termasuk enjin dan transmisi. Oleh itu, VPCM menganjurkan satu sesi pandu uji ulang alik ke Melaka khas untuk wakil media bagi merasakan sendiri bagaimana ia dapat menjadikan model ini lebih baik. Kenderaan yang disediakan semua terdiri daripada varian Highline, iaitu varian tertinggi yang mengatasi Comfortline dan Trendline.
Harga jualan Jetta Highline adalah RM129,578, dan ini sebenarnya adalah sedikit rendah berbanding Jetta CKD yang dulunya dijual pada harga RM130,888, meskipun ia mempunyai lebih banyak kelengkapan. Jika dibandingkan pula dengan pesaingnya, Jetta facelift lebih murah sekitar RM10,000 dan RM2,300 berbanding Ford Focus Sedan dan Honda Civic 1.5 TC Premium, dan lebih mahal RM8,473 berbanding Mazda 3 Sedan.
Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, lebih ramai rakyat Malaysia akan menerima konsep Kenderaan Cekap Tenaga (EEV) melalui inisiatif di bawah Dasar Automotif Nasional (NAP) 2014, menurut laporan Bernama.
Tambah beliau lagi, NAP 2014 yang menggariskan usaha Malaysia ke arah untuk menjadi hab EEV pada masa akan datang, akan membawa kepada peningkatan pendaftaran EEV baharu.
“Pada 2015 sahaja, sebanyak 32.6 peratus daripada jumlah kereta baharu yang didaftarkan adalah EEV. Kami menjangka jumlah ini akan terus meningkat hingga 2017.
“Kerajaan, melalui Institut Automotif Malaysia (MAI), baru-baru ini menggariskan pelan tindakannya hingga 2050, dan mahu memastikan kita terus kompetitif dengan memudahkan pembangunan teknologi dalam industri domestik kita,” katanya.
Antara polisi Dasar Automotif Nasional yang diumumkan pada 2014 berkenaan adalah mensasarkan Malaysia akan menjadi hab kenderaan EEV di rantau ASEAN. Skop EEV digunakan supaya ianya mencakupi kenderaan-kenderaan cekap tenaga bukan sahaja dari jenis hibrid atau elektrik sepenuhnya (EV), tetapi turut melibatkan kenderaan yang dijana enjin pembakaran dalam biasa dan kesemua kenderaan yang diiktiraf sebagai EEV ini perlulah dipasang secara CKD di Malaysia.
Insentif khas pengecualian cukai akan diberikan kepada kereta-kereta yang diiktiraf sebagai EEV, bagi membolehkan ianya dijual dengan harga lebih mampu milik, seterusnya memberikan daya saing yang lebih kompetitif. Setakat ini, EEV bukan sahaja memberikan faedah kepada kereta-kereta biasa seperti Toyota Vios dan Perodua Bezza, malah jenama-jenama mewah seperti BMW dan Volvo turut menerima potongan cukai yang membolehkan ianya dijual dengan harga yang lebih rendah.
Awal tahun lalu, Mustapa turut menyatakan sejumlah 200,260 EEV dijual pada tahun 2015, meningkat sebanyak 19% berbanding tahun sebelumnya.
Sebuah laporan oleh Autocar UK mengesahkan Volkswagen akan memperkenalkan model up! GTI yang akan menjadi penawaran spesifikasi paling tinggi bagi kereta urban berkenaan. Dijangka mula dikeluarkan pada 2018, ia akan didatangkan dalam kedua-dua versi tiga pintu dan juga lima pintu.
Menjadikan Fiat Abarth 595 sebagai “sasaran”, Volkswagen up! GTI akan menggunakan enjin baharu yang lebih berkuasa syarikat itu, 1.0L turbocaj tiga-silinder. Pada Volkswagen up! versi facelift, enjin berkenaan menghasilkan 90 PS dan 160 Nm tork. Bagi versi GTI, ia akan memberikan output 115 PS dan 200 Nm tork.
Ia juga didatangkan dengan pilihan kotak gear manual lima kelajuan atau mungkin juga kotak gear klac berkembar tujuh-kelajuan automatik. Dari segi prestasi, laporan berkenaan juga menyatakan prototaip model berkenaan mampu mencapai 0-100 km/j dalam masa 8.8 saat (berbanding 10 saat bagi model facelift), dengan kelajuan maksimum 191 km/j.
Volkswagen up! Facelift
Jika dibandingkan dengan pesaing keluaran Itali itu, yang menggunakan enjin lebih besar, 1.4 liter turbocaj empat-silinder, up! GTI ada kekurangan dari segi janaan kuasa. Enjin T-Jet pada 595 Turismo menyediakan 165 PS kuasa dan 230 Nm tork, manakala 595 Competizione lebih lagi – 179 PS/250 Nm.
Selain kuasa, up! GTI turut menerima sistem suspensi yang ditala semula; dari jenis MacPherson strut di bahagian hadapan dan torsion beam di belakang – yang menampilkan kadar penyerapan tersendiri, serta kedudukan yang lebih rendah.
Kemasan luarannya juga akan menerima penggayaan GTI yang khusus, untuk melengkapi aspek prestasinya. Antaranya, bampar berlainan, roda 16 inci dengan profil 205/40 serta penghadang bahagian tingkap. Konsep GT up! yang diperkenalkan di Frankfurt pada 2011 mungkin menjadi rujukan terbaik bagaimana versi GTI nanti akan ditampilkan.
MPV segmen-B Suzuki Ertiga dengan unit janakuasa diesel bakal diperkenalkan di Indonesia pada awal tahun 2017, menurut laporan berita di republik berkenaan. Setakat ini, pasaran Indonesia hanya menerima Ertiga yang di jana oleh enjin petrol 1.4 liter, sama seperti kembarnya di Malaysia iaitu Proton Ertiga.
Ertiga diesel bakal diberikan enjin turbodiesel DDiS empat silinder 1.3 liter D13A dipadankan bersama sistem Smart Hybrid Vehicle by Suzuki (SHVS), serta kotak gear manual lima-kelajuan, memacu roda hadapan.
Walau bagaimanapun, sistem ‘hibrid’ pada SHVS ini bukanlah sistem hibrid komprehensif seperti pada Toyota Prius mahupun Honda Insight. Komponen SHVS terdiri dari sebuah bateri 12V berkapasiti tinggi (juga bertindak sebagai bateri utama kereta) serta unit alternator lebih besar digelar Intergrated Starter Generator (ISG) yang bukan sahaja boleh mengecas tenaga elektrik semasa enjin berputar, malah turut boleh bertindak sebagai generator untuk sistem regenerative braking.
Bateri berkapasiti tinggi berkenaan akan membantu sistem auto start/stop enjin ketika kenderaan berhenti seketika, manakala ISG pula membantu meringankan beban enjin diesel tersebut ketika MPV ini memecut. Secara ringkas, SHVS berfungsi hampir sama seperti sistem S-Hybrid pada Nissan Serena C26, tetapi tanpa sebuah lagi bateri tambahan.
Di India, unit janakuasa ini berupaya menjana 90 ps/200 Nm dan penggunaan bahan api dicatatkan pada kadar 24.52 km/l. Suzuki Indonesia juga dilaporkan tidak akan memasang Ertiga Diesel ini secara CKD di sana, sebaliknya membawa unit-unit CBU dari India.
Ujian terbaharu dari Program Penilaian Kereta Baharu Australiasian (ANCAP) menyaksikan Subaru Impreza generasi kelima menerima penarafan lima-bintang. Model Impreza generasi terbaharu ini dijual dalam versi hatchback dan sedan di Australia, dengan empat varian iaitu 2.0i, 2.0i-L, 2.0i Premium dan 2.0i-S.
Impreza pasaran Australia ini diberikan kelengkapan keselamatan standard yang terdiri dari tujuh-beg udara (dua hadapan, dua sisi, tirai dan lutut pemandu), amaran pemakaian tali pinggang keledar untuk semua tempat duduk serta cagak tempat duduk kanak-kanak Isofix. Semua varian kecuali varian asas 2.0i diberikan pakej EyeSight sebagai ciri standard yang terdiri dari adaptive cruise control, amaran keluar laluan, dan juga sistem brek pra-pelanggaran.
Ciri tambahan dari pakej EyeSight iaitu Vision Assist pula hanya diberikan pada varian tertinggi 2.0i-S. Pakej ini terdiri dari pemantau titik buta, bantuan tukar laluan, amaran lintasan trafik belakang, pemantau bahagian sisi serta bantuan lampu tinggi.
Menurut ANCAP, Impreza berjaya mendapat 14.8 markah dari 16 markah penuh bagi ujian pelanggaran offset hadapan, manakala untuk pelanggaran bahagian sisi, ia berjaya menerima 16 markah penuh. Untuk ujian perlindungan pejalan kaki pula, Impreza menerima 29.93 markah dari 36 markah penuh, dikelaskan dalam penarafan ‘Baik’.
Walaupun menerima markah yang cukup baik, ANCAP tidak berpuas hati kerana pakej EyeSight tidak diberikan pada model asas 2.0i. “Agak mengecewakan teknologi-teknologi ini tidak diberikan sebagai ciri standard untuk setiap varian dalam barisan model dan untuk keselamatan semua pengguna jalan raya kami mahu lihat peningkatan penggunaan teknologi ini,” kata CEO ANCAP James Goodwin.
Impreza generasi baharu ini membuat kemunculan sulungnya pada New York International Auto Show (NYIAS) awal tahun ini, dan dibina menggunakan Subaru Global Platform baharu yang menawarkan dinamik yang lebih baik. Platform baharu ini juga dibina dengan dimensi yang lebih besar, seterusnya menjadikan Impreza baharu tersebut lebih besar dari generasi sebelum ini.
Model baharu ini dijana oleh enjin boxer empat-silinder FB20 2.0 liter DOHC suntikan bahan api terus yang diolah semula, dipadankan bersama kotak gear Lineartronic CVT serta sistem pacuan semua roda Subaru Symmetrical AWD. Menurut Subaru, unit janakuasa baharu ini memberikan daya pecutan lebih baik serta penggunaan bahan api yang lebih ekonomi.
Di Malaysia, Impreza generasi sebelum ini dibayangi oleh model berprestasi tingginya iaitu Impreza WRX dan WRX STi (untuk model-model baharu, WRX dan WRX STi tidak lagi menggunakan plat nama Impreza) kerana pengimport persendirian (grey importer) lebih gemar mengimport model berkenaan berbanding model biasa tanpa pengecas turbo.
Walau bagaimanapun, menerusi pengedar rasmi Subaru terbaharu di Malaysia iaitu Motor Image (dibawah naungan Tan Chong Motor), Impreza dijangka akan dipasang secara pemasangan tempatan (CKD) di Malaysia bersama XV dan Forester, dan bakal bersaing dengan Honda Civic, Toyota Altis, Mazda 3 serta pesaing-pesaing lain dalam pasaran sedan segmen-C tempatan.
Dalam laporan sebelum ini, pengarah eksekutif Tan Chong International, Glenn Tan memberitahu paultan.org bahawa kilang syarikatnya yang terletak di Segambut bersedia untuk memproduksi model-model Subaru generasi-seterusnya yang meggunakan platform baharu berkenaan pada bila-bila masa sahaja.
Kini, untuk memilih, menilai dan membeli kenderaan tidak lagi sesukar mana, semuanya di hujung jari sahaja. CarBase.my merupakan laman web bagi pangkalan data yang lebih meluas dan komprehensif sebagai pusat sehenti mencari kenderaan baharu yang dijual di Malaysia.
Laman web ini mula diperkenalkan sejak Mei 2014, menawarkan pelbagai keperluan yang dikehendaki bagi mereka yang mencari maklumat pembelian, senarai harga, spesifikasi lengkap, perincian mengenai waranti (pengeluar atau lanjutan-insurans), foto resolusi tinggi dan juga pendapat umum/pakar, semuanya terhimpun di bawah laman web yang sama.
Kini, anda tidak perlu lagi bergantung pada PC atau komputer riba untuk mencari maklumat seumpamanya, kerana ia juga telah ditawarkan untuk pengguna telefon bimbit menerusi peranti Android yang boleh diakses dengan lebih mudah. Ya, aplikasi CarBase.my kini telah sudah boleh dimuat turun menerusi telefon bimbit yang menggunakan sistem Android.
Seperti versi laman web, anda kini boleh mencari maklumat mengenai jenis kerangka, segmen, harga dan banyak lagi, malah ulasan dari pengguna serta berita terkini dari paultan.org juga terpapar menerusi aplikasi ini. Bukan itu sahaja, turut disertakan ialah kalkulator untuk pinjaman kenderaan, insurans dan cukai jalan, serta panduan nilai pasaran bagi kereta.
Aplikasi CarBase.my Android kini sudah boleh dimuat turun menerusi Google Play, dan anda boleh muat turunnya di sini.
Baru saja dipertonton ketika pameran Los Angeles Auto Show bulan lalu, Mazda CX-5 2017 kini mula dijual untuk pasaran Jepun. Tempahan bagi model ini sudah mula diambil, dan dijangka akan mula diserahkan kepada pemilik pada 2 Januari.
Ia menggunakan barisan enjin sedia ada, dengan tambahan enjin 2.2 liter SkyActiv-D Twin Turbo diesel dengan janaan kuasa 172 PS/420 Nm serta enjin 2.0 liter (155 PS/196 Nm) dan 2.5 liter (184 PS/245 Nm) SkyActiv-G yang dipadankan dengan transmisi SkyActive-Drive automatik enam-kelajuan. Sistem pacuan pula terdirid daripada dua jenis; 2WD atau Mazda i-Activ All-Wheel Drive.
Untuk pasaran Jepun, Mazda CX-5 dijual pada harga 2,462,400 yen (RM93,600) bagi CX-5 20S 2WD petrol, hinggalah 2,689,200 yen (RM102,200) bagi versi 20S Proactive 2WD yang ditambah dengan ciri i-ActivSense sepenuhnya sebagai ciri keselamatan serta rim aloi 19 inci.
Bagi varian dengan enjin yang lebih besar, versi 25S AWD dan 25S Proactive AWD masing-masing dijual pada harga 2,689,200 yen dan 2,916,000 yen (RM110,800), dan bagi spesifikasi paling tinggi, 25S L Package yang melibatkan tambahan material kulit serta lampu kabus LED dijual pada harga 2,986,200 yen (RM113,500) bagi model 2WD dan 3,213,000 yen (RM122,100) bagi versi AWD.
Bagi enjin diesel, varian spesifikasi asas XD dijual pada harga 2,775,600 yen (RM105,500) untuk 2WD dan 3,002,400 yen (RM114,100) untuk AWD, varian XD Proactive pula pada harga 3,002,400 yen bagi 2WD dan 3,229,200 yen (RM122,800) bagi AWD. Sementara itu, varian XD L Package dijual pada harga 3,299,400 yen (RM125,400) bagi 2WD dan 3,526,200 yen (RM134,000) bagi AWD.
Merupakan model generasi baharu Mazda yang pertama menerima reka bentuk semula, CX-5 baharu ini tampil dengan pendekatan rekaan Kodo dengan lebih “pekat”, dengan tema “refined toughness” digunakan pada kenderaan terbabit. Gril depan yang besar mungkin nampak biasa, sebaliknya ia menampilkan corak tiga dimensi bahari bagi mendapatkan imej yang lebih sporty. Lampu utama juga kelihatan lebih “sempit”.
Sementara itu, “sayap” yang ada pada bahagian gril berkenaan juga lebih lebar dan kini diletakkan di bawah lampu utama. Bampar pula menggunakan bentuk trapezoidal untuk kelihatan lebih kukuh. Ia menggunakan SkyActiv-Body yang diperkukuh dilebih banyak bahagian, seperti A-pillar – kini 15.5% lebih kukuh daripada sebelumnya.
Model ini datang dengan ciri G-Vectoring Control sebagai standard. Dari segi keselamatan, ia dilengkapi antaranya oleh ciri seperti lampu adaptif LED, Trafic Sign Recognition, pengesan pejalan kaki bagi sistem Advanced Smart City Brake Support (SCBS) dan sistem Mazda Radar Cruise Control (MRCC) yang membolehkannya mengikut kenderaan di depan dari kedudukan pegun hingga 100 km/j.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan hari ini bahawa perkhidmatan Mass Rapid Transit (MRT) yang akan memulakan operasi seawal 6 pagi esok akan ditawarkan secara percuma selama sebulan, seperti dilaporkan The Malay Mail.
Hadir pada majlis pelancarannya hari ini, bagi fasa satu laluan Sungai Buloh-Kajang, beliau turut memaklumkan bahawa perkhidmatan percuma itu juga akan melibatkan bas perantara yang disediakan untuk kemudahan pengguna.
“Sebagai hadiah tahun baru kepada orang-ramai serta memberi peluang kepada semua untuk mencuba perkhidmatan baharu ini, saya ingin mengumumkan bahawa Rapid Rail akan menyediakan perkhidmatan percuma bagi MRT bermula esok hingga 16 Januari 2017,” ujar beliau.
“Ini termasuk perkhidmatan bas perantara. Tambang hanya akan dikenakan bermula 17 Januari 2017,” tambah beliau lagi.