Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • LLM bakal usul pindaan akta bagi menambah baik kawal selia lebuh raya, syarikat konsesi di negara ini

    highway

    Pengerusi Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), Datuk Dr Noor Azmi Ghazali telah mengesahkan Akta Lembaga Lebuhraya Malaysia (Perbadanan) 1980 akan dipinda sebagai usaha untuk menambah baik kawal selia lebuh raya dan syarikat konsesi di negara ini.

    Katanya, rang undang-undang bagi pindaan akta itu dijangka dibentang di Parlimen tahun depan, laporan Bernama

    “Ketika ini LLM dalam proses merangka draf pindaan itu dan ini dilakukan demi kepentingan pengguna serta rakyat khasnya,” katanya kepada pihak media semalam.

    Tambahnya lagi, pindaan akta berkenaan perlu supaya perancangan dan pembinaan lebuh raya baharu adalah pada tahap terbaik selain memudahkan pemantauan terhadap lebih 30 syarikat konsesi.

    Dalam masa yang sama, Dr Noor Azmi turut mengulas, keputusan kerajaan tidak menaikkan kadar tol pada tahun ini dan tahun depan bukti keprihatinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak terhadap rakyat.

    Katanya walaupun ekonomi global tidak menentu, kerajaan tetap komited memastikan rakyat menikmati kemudahan termasuklah dengan membina Lebuh Raya Pesisiran Pantai Barat yang menghubungkan Taiping dengan Banting.

    Projek itu diyakini bukan sahaja memudahkan pergerakan penduduk, tetapi dapat merangsang ekonomi masyarakat setempat, katanya.

     
     
  • Honda NeuV boleh berinteraksi baik dengan manusia

    honda-neuv-bm

    Sementara ada yang menganggap kereta masa hadapan akan jadi lebih aerodinamik, Honda menunjukkan sebaliknya apabila mengeluarkan gambar model konsep terbaru mereka, NeuV yang hanya akan diperkenalkan secara rasmi Januari 2017 nanti semasa acara pameran elektronik konsumer di Las Vegas, Nevada, Amerika Syarikat.

    Perincian berkenaan kenderaan yang cukup kemas ini masih lagi dirahsiakan, tetapi yang diketahui, ia menggunakan kuasa elektrik (EV) dan boleh bergerak sendiri (autonomous). Honda juga menggelarkan enjin NeuV sebagai ‘enjin beremosi’, dan ia dikatakan boleh menghasilkan interaksi lebih baik dengan manusia, atau lebih utama, pemandunya.

    Selain NeuV konsep, ketua pegawai eksekutif pembangunan dan penyelidikan Honda, Yoshiyuki Matsumoto memberitahu, mereka juga akan membawa beberapa kenderaan lain termasuk motosikal yang diterapkan dengan teknologi robot Honda untuk memeriahkan suasana sewaktu acara itu.

    Honda juga akan mengumumkan beberapa kerjasama dengan syarikat teknologi lain untuk pembangunan kereta pintar dan seterusnya menyokong keseluruhan ekosistem mobiliti. Kenderaan pintar Honda juga dikatakan dapat memberi nilai yang baru kepada penggunanya.

     
     
  • PDRM umum penutupan Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu, Jambatan Pulau Pinang pada 7 Disember ini

    Mitsubishi Triton Penang Drive-46

    Cawangan Trafik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang telah mengeluarkan kenyataan memaklumkan Lebuhraya Tun Dr Lim Choong Eu dan Jambatan Pulau Pinang di sini, akan ditutup pada 7 Disember ini mulai 10.30 pagi hingga 5 petang.

    Menurut jurucakapnya, penutupan itu adalah bagi tujuan siasatan forensik balistik Polis Diraja Malaysia (PDRM) di lokasi kejadian kes bunuh yang berlaku 1 Disember lepas, laporan Bernama.

    Berikutan penutupan ini, pihak polis memohon kerjasama semua pengguna jalan raya bagi mengelakkan kesesakkan lalu lintas. Malah jalan alternatif turut disediakan dan pengguna jalan raya diminta untuk mengikut arahan pegawai polis yang bertugas.

    Sehubungan itu, orang ramai diminta menggunakan perkhidmatan feri atau jambatan kedua (Jambatan Sultan Abdul Halim Muadzam Shah) atau menggunakan laluan dari arah jalan Sultan Azlan Shah atau Lebuhraya Sungai Nibong menghala ke jambatan pertama Pulau Pinang untuk ke tanah besar.

     
     
  • KL MRT: Sebahagian laluan Kajang ke Lebuhraya Hubungan Timur-Barat ditutup mulai hari ini

    mrt sbk cuepacs

    MMC-Gamuda KVMRT Sdn Bhd telah mengumumkan penutupan sebahagian lorong kiri jalan bawah dari Kajang ke arah Lebuh Raya Hubungan Timur-Barat akan ditutup mulai hari ini (6 Dis) hingga 30 Dis depan.

    Menurut syarikat terbabit, penutupan jalan sepanjang 150 meter itu bertujuan memudahkan pembinaan stesen Mass Rapid Transit Taman Connought. Walau bagaimana pun, sepanjang penutupan tersebut, satu lorong dibuka untuk pengguna dari Kajang menuju ke arah lebuh raya hubungan Timur-Barat.

     
     
  • LaFerrari ke-500 dilelong dengan nilai RM31 juta

    laferrari-500th-auctioned

    Model LaFerrari ke-500 telah pun berjaya dilelong dengan nilai USD7 juta (RM31,097,150) menerusi acara Finali Mondiali di Daytona International Speedway, Florida. Sekaligus menjadikan ia sebagai “barangan automobil yang paling berharga pada abad 21 yang berjaya dilelong”.

    Lelongan ini dianjurkan oleh RM Sotheby dengan kerjasama National Italian American Foundation’s Earthquake Relief Fund, di mana hasilnya akan disalurkan untuk membantu semula binaan yang runtuh akibat gempa bumi.

    Jentera yang dilelong ini memang mengikut tema Itali, dengan warna utama pada badannya iaitu merah, bersama jaluran putih pada bahagian hud dan belakangnya.

    Malahan bendera Itali juga dilukis di bawah logo hadapan, sebagai gambaran “hadiah oleh Ferrari untuk negara kelahirannya”. Selain itu, jentera ini turut dilengkapi plak peringatan bagi memberikan nilai yang eksklusif.

    Walau bagaimana pun, tiada perubahan pada bawah hudnya, ia masih dilengkapi dengan penjana kuasa hibrid yang termasuk dengan enjin 6.3 liter naturally-aspirated V12 dengan hamburan kuasa 950 hp dan tork 900 Nm, bersama padanan sistem HY-KERS dari Ferrari sendiri.

    Mengikut perancangan awal, pembuat kereta Itali ini hanya mampu memproduksi sejumlah 499 LaFerrari, tetapi telah menambah satu lagi bagi membantu mangsa gempa bumi.

     
     
  • Toyota Innova – enjin diesel dipertimbang untuk M’sia

    toyota-innova-2-0e-15

    Sewaktu sidang media sempena dengan pelancaran Toyota Innova serba baharu sebentar tadi, UMW Toyota turut diajukan pertanyaan adakah Malaysia bakal menerima varian berenjin diesel pada masa akan datang. Buat masa ini, Innova hanya ditawarkan dengan enjin petrol enjin petrol 1TR-FE 2.0 liter Dual VVT-i empat-silinder.

    Menurut pengarah pemasaran UMW Toyota Justin Kwan, enjin diesel kini sedang dipertimbangkan bagi model Innova, namun masanya masih belum ditetapkan. Malah Innova di Indonesia juga turut memiliki pilihan varian enjin 2.4 liter empat-silinder turbodiesel, sama seperti Hilux.

    Ia mampu memberikan kuasa sehingga 149 PS pada 3,400 rpm dan tork 359 Nm antara 1,200 hingga 2,600 rpm, serta dipadankan dengan kotak gear automatik enam-kelajuan atau manual lima-kelajuan, pacuan roda belakang. Ternyata kuasanya melebihi enjin petrol yang sekitar 139 PS pada 5,600 rpm dan tork 183 Nm pada 4,000 rpm.

    Memandangkan negara kita juga dicadangkan untuk memperkenalkan B10 biodiesel, dan penggunaan diesel Euro 5 juga semakin meluas, maka varian Innova diesel pastinya antara alternatif dan ditunggu-tunggu bukan? Apa komen anda mengenainya, kongsikan bersama kami.

     
     
  • Parkir kenderaan secara mengundur adalah jauh lebih baik dan selamat; ini antara sebab-sebabnya

    reverse-parking-2

    Sebagai maklum balas kepada sebuah artikel yang diterbitkan The Star yang mendapat perhatian di media sosial hari ini, berkenaan kecenderungan pemandu di Malaysia yang memilih untuk memasuki ruang letak kereta secara mengundur. Di sini, kami ingin pula menjelaskan mengapa cara itu sebenarnya adalah lebih baik dan selamat dan bukannya bermasalah seperti yang dibangkitkan dalam artikel berkenaan.

    Antara lain, penulis artikel berkenaan merungut, disebabkan pilihan untuk parkir secara mengundur itu, yang “sepatutnya hanya melibatkan pusingan 3-poin tetapi kemudiannya menjadi 83-poin kerana pemandu tidak cekap dan sebagai akibat, hal itu menyusahkan pula orang lain yang terpaksa menunggu dan kemudian, menyebabkan kesesakan.”

    Ini pula pandangan balas kami berkaitan hal berkenaan. Memang benar, kemampuan dan kemahiran memandu dan menganggarkan jarak adalah berbeza daripada seorang individu dengan individu yang lain – itu tidak disangkal. Namun, memasukkan kenderaan secara mengundur pada ruang parkir adalah jauh lebih baik dan cekap berbanding memandu masuk bahagian depan dahulu.

    Jika seseorang yang kurang mahir memandu dan ingin memasukkan kenderaan pada ruang parkir, ia akan memerlukan lebih banyak masa juga – tidak kira ketika memandu masuk bahagian depan kenderaan dahulu atau secara mengundur – berapa banyak masa, itu bergantung kepada individu terlibat.

    reverse-parking-1

    Namun, memasuki ruang letak kenderaan secara mengundur adalah lebih selamat; pendekatannya juga lebih cekap dan berkesan bagi pemandu. Mengapa? Ini mungkin lebih tertumpu ketika anda ingin mengeluarkan semula kenderaan kemudiannya dari ruang letak kereta berkenaan.

    Jika masuk parkir secara mengundur, kereta anda akan menghadap keluar; ini memudahkan penglihatan pemandu terhadap keadaan trafik dan lalu lintas ketika ingin mengeluarkan kenderaan selepas itu. Bayangkan, misalnya jika ada orang atau kanak-kanak yang berjalan, dan ingin melintasi kenderaan anda.

    Dalam kedudukan kenderaan memelakangi aliran trafik (sekiranya memasuki tempat parkir bahagian depan kenderaan dahulu), penglihatan adalah sangat terhad. Risiko untuk terlepas pandang pejalan kaki juga lebih tinggi ketika anda dalam proses mengeluarkan kenderaan dari kedudukan yang begitu. Bukankah kita juga sudah kerap mendengar banyak kemalangan yang berlaku – yang melibatkan kanak-kanak misalnya – ketika pemandu mengundurkan kenderaan?

    Melainkan kenderaan anda dilengkapi ciri kamera undur yang imejnya dipaparkan pada skrin, pergerakan orang atau kenderaan lain di luar mungkin sedikit mudah diperhatikan. Tetapi, jika anda memasuki ruang letak kereta secara mengundur, ketika ingin keluar kemudiannya, keadaan adalah lebih selamat bagi anda dan juga orang lain yang ada disekitar; pemandu dapat memerhatikan persekitaran dengan lebih baik.

    sync3-reverse-camera

    Ini kerana, anda akan menyedari setiap pergerakan yang mungkin ada – kereta lain atau orang – hanya kerana sebagai pemandu, anda menghadap secara berdepan dengan arah laluan yang ingin dituju; itu jauh lebih selamat berbanding ketika perlu mengundur keluar. Selain itu, pemandu juga akan menjadi lebih peka.

    Tambahan pula ketika berhadapan dengan pemandu lain yang tidak mahu memberikan kerjasama atau bertolak ansur dengan anda ketika sedang ingin mengeluarkan kenderaan dari parkir. Jika kenderaan menghadap keluar, anda sebagai pemandu boleh berinteraksi secara terus dengan pemandu lain di depan, menggunakan isyarat tangan atau pandangan mata untuk meminta laluan yang lebih mudah ketika ingin keluarkan kenderaan – cara ini juga biasanya akan menjadikan situasi lebih tenang untuk semua, dan bukan sebaliknya.

    Ada juga kelebihan lain parkir secara mengundur ini. Katakanlah, anda terlupa menutup lampu depan, dan selepas beberapa tempoh, bateri akan habis dan kenderaan anda enjinnya tidak boleh dihidupkan. Dalam posisi muka kenderaan menghadap ke luar, sangat mudah untuk orang membantu “jump-start” kereta anda. Begitu juga sekiranya kenderaan tiba-tiba rosak dan perlu ditunda ke bengkel; ia akan memudahkan urusan penundaan tersebut.

    Kelihatannya, memasuki ruang letak kereta secara mengundur kami fikir adalah lebih baik dan berkesan dalam banyak keadaan. Lebih penting lagi, pendekatan selamat yang mampu diberikannya kepada pemandu serta pengguna lain dalam persekitaran yang sama – kita sendiri pasti pernah berdepan dengan situsi sukar ketika ingin mengeluarkan kereta secara mengundur kerana tidak jelas penglihatan terhadap aliran trafik yang ada disekitar.

    Jika anda belum pernah atau merasakan susah untuk memasuki parkir secara mengundur, apa kata anda cuba dahulu selepas ini dan bandingkan. Kami berpendapat cara ini lebih selamat. Anda pula bagaimana, ada pandangan yang berbeza?

     
     
  • KTM panggil balik model Adventure – 1190, 1190 Adventure R dan 1290 Super Adventure semua terlibat

    ktm-1290-super-adventure-s_action

    Satu panggilan balik telah dikeluarkan oleh pengeluar motosikal dari Austria, KTM untuk model siri Adventure mereka. Ini termasuk 1190 Adventure, 1190 Adventure R dan 1290 Super Adventure, untuk menyelesaikan masalah berkaitan dengan sistem brek ABS.

    Dalam panggilan balik ini disebutkan bahawa dalam keadaan tertentu, sistem pendawaian motosikal ini boleh terjuntai dan terkena kepada modulator ABS, seterusnya menyebabkan arus elektrik mengalir padanya. Apabila ini berlaku, berkemungkinan saluran brek juga boleh mempunyai kuasa elektrik.

    Apabila terdapat elektrik pada salur brek tersebut, ia juga boleh jadi terlebih panas, dan cair, seterusnya mengakibatkan kegagalan fungsi brek. Pemilik motosikal siri Adventure KTM diminta untuk menghantar motosikal mereka ke pusat servis rasmi KTM untuk baik pulih dan ini termasuk model tahun 2016.

    Maklum balas daripada KTM Malaysia menyatakan memang ada unit 1190, 1190 Adventure R dan 1290 Super Adventure di Malaysia yang terlibat, tetapi hanya untuk model keluaran awal tahun 2016. Sejak Ogos 2016, 11 unit 1290 Super Adventure telah dijual di Malaysia.

     
     
  • Khairul Idham Pawi sah sertai Moto2 musim 2017

    2016-Moto3-Khairul-Idham-Pawi-18-850x567

    Selepas menunjukkan prestasi membanggakan dalam perlumbaan kategori Moto3 – dengan memenangi tempat pertama sebanyak dua kali dan menjadi pelumba Malaysia pertama yang mencatat pencapaian sebegitu, Khairul Idham Pawi kini dinaikkan untuk menyertai perlumbaan musim hadapan dalam kategori Moto2.

    Perkara ini dinyatakan oleh Idemitsu Honda Team Asia, iaitu pasukan yang akan disertai oleh Khairul Idham (juga dipanggil Super KIP) dan beliau akan disertai oleh seorang lagi pelumba berpengalaman, Takaaki Nakagami dari Jepun.

    Walaupun baru satu musim menyertai perlumbaan antarabangsa Moto3, Khairul dilihat sebagai mempunyai potensi dan seorang pelumba yang cukup komited. Dengan ini, bermakna pada musim 2017, terdapat dua orang pelumba Malaysia dalam kategori Moto2 iaitu Khairul dan Hafizh Syahrin yang berlumba untuk pasukan Petronas Raceline.

    “Khairul Idham Pawi adalah seorang pelumba yang penuh semangat dan tidak berhenti berlatih, termasuk pada musim sejuk. Saya percaya beliau mempunyai potensi untuk menjadi pelumba pertama Asia Tenggara yang memenangi kejuaraan dunia (Moto2),” kata pengurus pasukan Idemitsu Honda Team Asia, Tadayuki Okada.

    “Saya belajar banyak perkara sepanjang tahun pertama dalam perlumbaan kejuaraan dunia. Bagi tahun 2017, saya akan memulakan cabaran baru dalam kategori Moto2, dan tahu tahapnya adalah lebih tinggi dan sukar. Saya sedia untuk belajar dari mula sekali lagi. Saya memang teruja,” kata Khairul.

     
     
  • Mercedes-Benz Digital Light – ciri lampu tercanggih

    mercedes-benz-digital-light-headlights-850x478

    Mercedes-Benz telah menghasilkan teknologi lampu termaju bagi kenderaan, dikenali sebagai Digital Light, yang bertujuan untuk memperbaiki pencahayaan daripada sistem lampu utama. Di dalam konfigurasi baharu ini, cip lampu utama berdefinisi tinggi yang mengandungi lebih daripada sejuta mikcromirrors, bagi kedua-dua sisi berbeza pada kenderaan.

    Ini membolehkan cahaya dicapahkan dengan tepat, yang sesuai dengan keperluan persekitaran dengan baik. “Faktor penting yang ada padanya bukanlah teknologi lampu utama itu shaja, tetapu kepintaran digital disebaliknya,” jelas Ketua Pembangunan Rekaan Luaran dan Sistem Operasi Daimler AG, Gunter Fischer.

    Cip lampu berdefinisi tinggi berkenaan berfungsi sekali dengan sistem kamera dan radar yang digunakan pada kenderaan Mercedes-Benz untuk mengesan pengguna jalan raya lain di sekitar. Lampu utama yang berkuasa dana adaptif yang berupaya memberikan fungsi seperti itu telah pun memasuki fasa produksi, termasuk oleh jenama-jenama seperti Audi dan BMW melalui lampu laser.

    Bagi Mercedes-Benz, yang ingin dicapai bukanlah sekadar untuk rekod semata-mata, tetapi untuk berupaya mencapai penglihatan optimum dalam cahaya yang maksimum tanpa menyilaukan mata. Sebagai tambahan kepada itu, Digital Light ini akan menjadi satu cara kenderaan Mercedes-Benz untuk memancarkan maklumat secara visual ke permukaan jalan, yang berguna kepada pengguna jalan raya lain juga.

    Ia direka untuk membantu pemandu misalnya ketika melalui jalan yang garisan pada permukaan jalan telah pudar, begitu juga dengan tanpa amaran dan tanda arah. Kepada pengguna jalan raya yang lain, ia boleh memancarkan simbol, seperti zebra crossing, sekiranya situasi adalah selamat untuk mereka melintas di hadapan kenderaan tersebut.

     
     
  • iXoost Esavox – pembesar suara dengan bentuk seperti Lamborghini Aventador LP700-4, harga RM93k

    ixoost-esavox-2-850x478-bm

    Harga 19,900 euro (RM93,494) untuk pembesar suara iXoost Esavox ini memang satu jumlah yang besar, tetapi anda akan mendapat sedikit bahagian seperti daripada sebuah Lamborghini – lebih tepat, bahagian bawah bampar belakang berserta ekzosnya. Bentuk pembesar suara ini dihasilkan dengan melihat kepada Lamborghini Aventador dan dibina dengan gentian karbon serta bahan lain seperti aluminium dan kayu.

    Pada kedua-dua sisinya, terdapat pembesar suara full-range 6.5 inci yang duduk dalam perumbah gentian karbon, dan sebuah woofer lapan inci, manakala subwoofer 15 inci downward-firing diperbuat daripada Neodymium dan mengambil tugas untuk bunyi frekuensi rendah. Dua stereo valve preamp dan amplifier 600-watt memberi kuasa kepada tweeter, pembesar suara midrange dan woofer, manakala subwoofer pula mendapat kuasa sendiri daripada amplifier 200-watt.

    Paip ekzos pada pembesar suara ini bukan sekadar hiasan. Ia mempunyai beberapa bukaan yang boleh dilaras, untuk melepaskan tekanan udara di dalam subwoofer, manakala dua daripada tiub tersebut mempunyai tweeter Mylar berukuran satu inci.

    Saiz iXoost Esavox boleh dikatakan besar dan berat – 53 kg dan berukuran 125 sm panjang, dan 65 sm dalam. Berat ini disokong dengan adanya penyerap hentak pasif pada bahagian bawah dan tahap ketinggian yang boleh dilaras.

     
     
  • Toyota Innova generasi kedua dilancarkan di Malaysia – 3 varian, 139 PS/183 Nm, EEV, harga dari RM106k

    img_0675

    Tahun ini menyaksikan beberapa pelancaran model facelift dan baharu daripada UMW Toyota Motor (UMWT). Bagi model serba baharu, Toyota Hilux telah dilancarkan pada Mei lalu, bersama-sama dengan model SUV Fortuner. Pada Ogos lalu, giliran MPV mewah Alphard dan Vellfire pula diperkenalkan dengan model generasi baharu. Dalam bulan yang sama, mini MPV Sienta turut dilancarkan.

    Selain itu, UMWT turut melancarkan model Vios generasi ketiga versi dipertingkatkan pada Oktober lalu. Merancakkan lagi langkah yang agresif, model Camry 2016 yang mengalami sedikit perubahan gaya turut meluncur di pasaran awal bulan ini. Terbaru dan paling terakhir untuk tahun ini, giliran MPV Innova generasi kedua pula dilancarkan hari ini.

    Innova generasi kedua ini adalah model pemasangan tempatan (CKD) yang dipasang di kilang milik UMWT di Assembly Services Sdn.Bhd, Shah Alam.

    toyota_innova_mop_ext-3

    Innova baharu ini turut didatangkan dengan tiga varian iaitu 2.0E MT, 2.0E AT dan spesifikasi tertinggi, 2.0G AT. Ia dilengkapi dengan enjin petrol 1TR-FE 2.0 liter, yang mampu menghamburkan kuasa 139 PS pada 5,600 rpm dan tork 183 Nm pada 4,000 rpm iaitu lebih tiga PS dan satu Nm berbanding sebelum ini.

    Malah ia juga dipadankan dengan transmisi baharu iaitu automatik enam-kelajuan (kecuali varian 2.0E MT dengan kotak gear manual lima-kelajuan), menggantikan kotak gear empat-kelajuan pada model lama. Malah ia juga menerima pengsijilan kenderaan cekap tenaga (EEV), di mana ia merupakan MPV keluaran pertama Toyota yang menerima kelayakan ini.

    Berbanding dengan model sebelum ini, Innova baharu ini lebih panjang sebanyak 150 mm (4,735 mm), 55 mm lebih lebar (1,830 mm) dan 35 mm lebih tinggi (1,795 mm). Jarak rodanya pula tidak berubah iaitu 2,750 mm. Walau bagaimana pun, Innova baharu ini lebih berat berbanding terdahulu iaitu antara 105 hingga 125 kg.

    Bagi ciri-ciri luarannya, semua varian dipadankan dengan lampu utama halogen projektor dan rim aloi 160inci. Walau bagaimana pun, varian 2.0G ada tambahan lampu kabus hadapan (lampu kabus belakang adalah standard bagi semua varian), puddle lamp dan kemasan krom pada gril depan dan pemegang pada pintu. Ciri cermin sisi boleh lipat dengan lampu serta pengelap cermin depan dengan pemasa boleh ubah juga hanya untuk varian tersebut.

    toyota_innova_mop_int-1

    Menjengah kabinnya, Innova 2.0G menggunakan instrumen kluster Optitron dengan MID berwarna, pendingin hawa automatik depan dan belakang, roda stereng pelarasan Tilt & Telescopic dan tombol balutan kulit, termasuk lampu pencahayaan ambien LED pada bumbung. Kemasan kayu turut ada konsol tengah dan stereng. Malahan kekemasan pintunya cukup menarik dengan balutan fabrik bersama kemasan perak dan hitam berkilat.

    Malahan varian 2.0G ini turut menerima kemasukan tanpa kunci dengan butang Push Start, serta pintu kuasa Easy Closer di belakang. Selain turut mempunyai perehat lengan, cupholder, ruang barangan di konsol tengah serta meja boleh lipat di bahagian penyandar kerusi bagi tempat duduk barisan yang mampu menampung berat barangan sehingga 10 kg.

    Manakala bagi varian 2.0E AT dan MT pula, panel instrumennya hanya dengan kekemasan hitam dan perak, penghawa dingin hadapan dan belakang secara manual, roda stereng pelarasan Tilt & Telescopic dan tombol gear balutan material urethane dan kekemasan pintu balutan fabrik.

    Semua varian juga menerima tempat duduk balutan fabrik (cuma untuk 2.0G ia dihiasi dengan rekaan jaluran yang menarik) dengan bentangan 2-3-3 iaitu barisan kedua boleh lipat 60:40 dan barisan ketiga 50:50 adalah sebahagian daripada ciri Easy Space Up.

    Unit radio dengan input USB, Bluetooth dan enam pembesar suara adalah ciri standard bagi semua varian. Pelanggan boleh juga memilih naik taraf kepada unit DVD-AVX (RM2,968) atau DVD-AVN (RM3,816) – dengan skrin sentuh lapan inci dengan sambungan kepada telefon pintar, input HDMI serta kamera undur. Pilihan AVN turut melibatkan tambahan ciri GPS. Dash-cam DVR turut ditawarkan pada harga RM636.

    Bagi aspek keselamatan, varian 2.0G paling lengkap dengan menerima tujuh beg udara, Bantuan Brek(BA), Kawalan Kestabilan Kenderaan (VSC) dengan kawalan cengkaman, bantuan mula mendaki, Isyarat Berhenti Kecemasan dan dua cagak Isofix sebagai standard. Ia juga menerima penarafan lima-bintang daripada ASEAN NCAP. Manakala varian 2.0E AT dan MT hanya menerima tiga beg udara dan ABS sahaja.

    Harga atas jalan tanpa insurans yang ditawarkan bagi ketiga-tiga varian ialah RM105,764.31 untuk 2.0E MT, manakala 2.0E AT pula RM113,543.83 dan 2.0G AT pula RM122,323.35. Kesemua model turut ditawarkan dengan waranti selama lima-tahun tanpa perbatuan terhad.

    Menurut Presiden UMWT, Datuk Ismet Suki, “Bagi generasi kedua ini, Toyota telah menaik taraf Innova agar menjadi lebih premium termasuk bagi imej luaran dan dalamannya. Ia memang cukup sesuai untuk kegunaan keluarga. Kami mensasarkan jualan sebanyak 4,000 unit Innova pada tahun 2017, dan setakat ini telah menerima 500 tempahan.”

    Untuk perincian lanjut dan spesifikasi penuh mengenai Innova baharu ini, sila layari carbase.my.

    GALERI: Toyota Innova 2.0G AT

    GALERI: Toyota Innova 2.0E AT

     
     
  • Kia Cerato facelift – harga masih kekal, dari RM91,888

    kia_cerato_2000_fl_ext-1

    Harga bagi Kia Cerato facelift, yang sudah berada di pusat pameran sejak bulan lalu kini didedahkan oleh Naza Kia Malaysia. Harga jualan atas jalan, termasuk insurans bagi model asas 1.6 KX adalah RM91,888 diikuti RM101,888 untuk 1.6 SX dan RM119,888 bagi varian paling tinggi 2.0L.

    Ini bermakna Naza Kia masih mengekalkan harga Cerato, di mana bagi model sebelum facelift ini, dijual dengan harga sama. Ini dilakukan, meskipun keadaan tukaran mata wang asing tidak begitu berpihak kepada Malaysia.

    Cerato facelift ini dilihat pertama kali di tempat asalnya iaitu Korea Selatan sebagai K3 dan menggunakan gril ‘tiger nose‘ yang lebih lebar, nipis dan terletak lebih rendah, bersama lampu utama yang juga lebih lebar dan kemas, serta lampu siang LED nipis. Rendah di bawah, salur udara dan lampu kabus diselaraskan manakala salur udara di tepi bampar pula kelihatan seperti yang terdapat pada model BMW.

    kia_cerato_2000_fl_ext-6

    Di bahagian belakang, lampu belakang direka semula untuk kedua-dua jenis mentol (1.6 KX) dan LED (1.6 SX dan 2.0), dengan lampu penunjuk arah dan undur terletak di bawah, berbanding atas sebelum ini. Juga terdapat kemasan rear apron yang lebih ringkas di bawah. Rim 17 inci dua tona warna baru melengkapkan perubahan luaran kenderaan ini.

    Pada bahagian dalam pula, paparan grafik panel meter direka semula bersama tombol kawalan, terdapat corak gentian karbon di sekeliling corong pendingin hawa, dan kemasan krom dan hitam berkilat di beberapa bahagian. Roda stereng yang rata di bawah tidak ditawarkan pada model ini.

    Kelengkapan lain kebanyakannya masih lagi sama, dengan semua model mendapat rim 17 inci, sistem kemasukan tanpa kunci, butang pemula, lampu utama automatik, cruise control, corong pendingin hawa di belakang, berat stereng yang boleh dilaras (Flex Steer), pengesan jarak depan dan belakang, sistem informasi dan hiburan bersama skrin sesentuh lapan inci, sistem navigasi dan kamera undur.

    kia_cerato_2000_fl_int-22

    Varian 1.6 SX mendapat tambahan lampu belakang LED, pengawal suhu dua zon automatik bersama cluster ioniser, pedal aluminium, tempat duduk pelarasan elektronik bersama memori, pedal penukar gear di stereng, cermin pandang belakang boleh malap automatik, roda stereng dibalut dengan kulit dan kain lembut pada bahagian atas trim pintu.

    Pada varian 2.0L pula, anda akan mendapat spoiler belakang, bumbung suria, skrin paparan informasi (MID) berwarna Supervision dan tempat duduk kulit – kini dengan pemanas dan sistem pengudaraan untuk kedua-dua tempat duduk hadapan.

    Pada aspek keselamatan, 1.6 KX masih datang dengan dua beg udara dan tiada sistem kestabilan elektronik (ESC). Anda perlu pergi ke varian 1.6 SX untuk mendapatkan enam beg udara dan ESC. Tiada perubahan pada enjin kenderaan ini dan masih menggunakan unit 1.6 liter Gamma II berkuasa 130 PS/ 157 Nm dan padanan kotak gear automatik enam kelajuan. Bagi varian 2.0L ia adalah uit 2.0 Nu MPI dengan kemampuan 161 PS dan 194 Nm.

    GALERI: Kia Cerato 2.0 facelift

    GALERI: Kia Cerato 1.6 facelift

     
     
  • Johammer J1 – motosikal elektrik pertama dengan jarak perjalanan 200 km; penawaran dalam dua varian

    johammer_action_freilandstr_3_bm

    Dua pereka motosikal dari Austria, Leonie Lawniczak dan Jean-Marie Lawniczak mempunyai imaginasi yang sangat berlainan ketika membayangkan sebuah motosikal. Apatah lagi sebuah motosikal elektrik; tak hanya reka bentuk luarannya sahaja yang perlukan penampilan futuristik, malahan ciri serta inovasinya juga perlu canggih.

    Maka terhasillah siri jentera dua roda yang digelar sebagai Johammer J1; motosikal elektrik sepenuhnya yang pertama mampu mencapai jarak perjalanan 200 km. Dua varian diperkenalkan, iaitu Johammer J1.150 dan J1.200. Motor elektrik dan semua fungsi kawalannya adalah bersepadu, dan ditempatkan pada bahagian roda belakang – tanpa perlu diselenggara.

    Sedikit tentang dimensi jentera elektrik dua roda ini; ia 2,200 mm panjang dan 1,200 mm tinggi. Jarak antar rodanya ialah 1,455 mm, manakala ketinggian tempat duduknya pula 650 mm. Pusat tarikan graviti jentera ini adalah 350 mm.

    Dari segi janaan kuasa, motosikal ini secara purata menghasilkan sejumlah 11kW tenaga, manakala output maksimumnya pula ialah 16kW. Baterinya menggunakan jenis lithium-ion yang dibangunkan khas oleh Johammer sendiri.

    Dua varian berkenaan masing-masing mampu mencapai jarak perjalanan 150 km dan 200 km. Kelajuan maksimumnya dihadkan secara elektronik kepada 120 km/j. Bagi varian J1.150, ia dilengkapi dengan pek bateri 8.3kWh – ia memerlukan masa selama dua jam dua puluh minit untuk dicas semula. Beratnya ialah 159 kg.

    Bagi varian J1.200 pula, ia dilengkapi dengan pek bateri dengan kapasiti 12.7 kWh. Tempoh mengecas pula ialah 3.5 jam, dengan pengecas 80 minit sebagai pilihan. Jentera ini adalah seberat 178 kg. Badan motosikal ini diperbuat daripada aluminium sepenuhnya.

    Model berkenaan kini mula dijual di pasaran Eropah dengan tanda harga seperti berikut; Johammer J1.150 bermula dari 22,900 Euro (RM108,758), sementara J1.200 pula pada harga 24,900 Euro (RM118,256).

     
     
  • Perodua tidak boleh pasang ESC pada model semasa, kecuali Bezza – model baharu dijangka pada 2018?

    Perodua_Bezza_Advance_Fullcar-3

    Minggu lalu, Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai mengumumkan kerajaan mempunyai perancangan mewajibkan semua kenderaan perlu dilengkapi dengan ciri kawalan kestabilan elektronik (ESC) menjelang Jun 2018. Berhubung dengan perkara itu, Perodua memberitahu keadaan bagi kenderaan mereka.

    “Kita (Perodua) sudah memperkenalkan sistem ini pada model Bezza, yang mana direka untuknya. Bagi model semasa lain, ia tidak dibangunkan untuk dilengkapi dengannya. Kita tidak boleh sekadar terus memasangnya pada model yang tidak dibangunkan untuknya,” kata presiden dan ketua pegawai eksekutif Perodua, Datuk Aminar Rashid Salleh.

    Walaubagaimanapun, beliau turut menyatakan, Perodua sentiasa mengalu-alukan sebarang langkah untuk meningkatkan keselamatan. Pada masa sama, Perodua juga perlu meneliti kos dan pembangunan untuk melengkapkan kenderaan mereka dengan ciri keselamatan ini.

    “Pada masa ini, izinkan kami berbincang terlebih dahulu dengan kerajaan kerana perkara ini masih berada di dasar. Masih banyak perkara yang belum dijelaskan berkenaan perkara ini. Seterusnya barulah langkah boleh diambil,” tambah Aminar.

    Jika benar keperluannya adalah semua model baru yang dijual bermula Jun 2018 perlu dilengkapi ESC dan model Perodua selain Bezza tidak boleh dilengkapi dengannya, kami menjangkakan mungkin beberapa model serba baru akan diperkenalkan pada waktu itu. Model apa yang anda mahu lihat diperkenalkan?

    Apabila ditanya adakah akan ada model baru yang akan diperkenalkan pada tahun hadapan, Aminar meminta maaf kerana tidak boleh mendedahkannya. Apa yang diberitahu, mereka semestinya mempunyai perancangan untuk model yang lebih segar bagi mencapai sasaran jualan, tetapi bagi model serba baru, ia tidak didedahkan.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (-0.04)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.90 (-0.04)
EURO 5 B7 RM3.10 (-0.04)
Last Updated Aug 14, 2025