Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • PLUS akan guna bayaran elektronik (ETC) pada 2017

    toll plaza plus

    Seluruh Lebuhraya PLUS akan menggunakan sistem bayaran tol secara elektronik (ETC) pada 2017, memetik kenyataan yang dikemukakan oleh Pengarah Urusan PLUS, Datuk Noorizah Abd Hamid, seperti yang dilaporkan The Sun.

    Setakat ini, 23 daripada 94 plaza tol PLUS sedia ada sudah melaksanakan sistem ETC, dengan bakinya akan mengikut langkah sama tahun depan. ETC kini juga sudah dilaksanakan di sembilan plaza tol terbaharu – Hutan Kampung, Alor Star Utara, Alor Star Selatan, Pendang, Gurun, Sungai Petani Utara, Sungai Petani Selatan, Bertam dan Sungai Dua.

    Dalam lawatan ke Plaza Tol Sunga Dua semalam, Noorizah berkata sekitar 90% pengguna Lebuhraya Plus sudah beralih kepada sistem bayaran elektronik berkenaan (Touch n’ Go dan SmartTAG). Baki 10% lagi pengguna turut digesa untuk berbuat demikian.

    “Kami boleh mengendalikan antara 600 hingga 1,000 transaksi sejam dengan kaedah ETC ini, berbanding 180 transaksi sejam secara tunai,” tambah beliau.

     
     
  • Tidak perlu pindaan undang-undang untuk kurangkan saman AES – diturunkan kepada RM150 selepas ini

    AES_Camera

    Tidak perlu pindaan undang-undang untuk menurunkan kadar saman AES. Ini merupakan kenyataan Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai, yang memaklumkan kadar saman AES dari RM300 sebelumnya kepada RM150 selepas ini tidak memerlukan pindaan pada Akta Pengangkutan Jalan 1987.

    Memetik laporan The Sun, Liow berkata; “Kuasa untuk menentukan kadar saman di bawah akta berkenaan, termasuk AES, adalah di bawah bidang kuasa pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ). Kami telah mengambil keputusan bahawa RM150 ialah tawaran saman yang diberikan kepada pesalah trafik untuk mereka menjelaskan segala saman AES sama ada yang tertunggak sebelum ini, saman semasa atau saman yang akan dikeluarkan selepas ini,” ujar beliau.

    Sementara itu, saman RM300 di bawah Seksyen 79 (2) akta berkenaan masih kekal. Pengurangan bayaran saman ini diperkenalkan sebagai langkah untuk pesalah trafik sedia ada menjelaskan 2.5 juta saman AES tertunggak setakat ini. Jangka masa enam bulan ditetapkan untuk mereka berbuat demikian.

    “Kami akan mengumumkan dalam masa terdekat, bila jangka masa enam bulan ini akan bermula untuk pesalah trafik menjelaskan saman mereka,” jelas Liow. Perintah mahkamah tidak diperlukan untuk melunaskan saman-saman AES sejak 2012. Terdahulu, Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Aziz Kaprawi menyatakan jika mereka gagal menjelaskan saman, jumlahnya akan meningkat. “Anda tangguh, anda akan membayar lebih banyak,” ujarnya.

     
     
  • GALERI: Honda CR-V 2017 dalam penampilan penuh

    2017 Honda CR-V

    2017 Honda CR-V

    Diperingkat global, Honda CR-V 2017 merupakan satu daripada model penting yang diperkenalkan tahun ini. Ia pertama kali dipertontonkan untuk pasaran Amerika Syarikat; dengan penampilan yang lebih menonjol, matang sekali gus lebih premium.

    Dari luaran sahaja, sekali pandang, SUV generasi kelima keluaran Honda ini seperti menjanjikan banyak perkara dan penambah baikan berbanding model sebelumnya. Antara yang terawal yang akan menarik perhatian anda ialah saiznya yang nampak besar, dengan sentuhan rekaan luaran yang semakin mantap.

    Ia kini ditampilkan dengan gril krom yang lebih besar pada bahagian hadapan (dengan Automatic Shutter Grille System pertama dari Honda), yang bersambung pada lampu utama LED sepenuhnya, serta mengetengahkan pendekatan gaya Solid Wing Face yang sama dimiliki oleh model-model terbaharu Honda, seperti Civic.

    Aspek enjinnya juga memberi pilihan penawaran yang menarik. Pertama, ia dilengkapi enjin 1.5 liter turbo, yang ditawarkan buat pertama kalinya pada CR-V; enjin yang sama digunakan pada model Civic FC. Dengan ciri suntikan terus DOHC ia menghasilkan kuasa sehingga 190 hp pada 5,600 rpm dan tork 243 NM antara 2,000 hingga 5,000 rpm. CR-V turbo ini turut menampilkan ciri seperti sistem Remote Engine Start yang juga ada pada Civic.

    Kedua, turut ditawarkan untuk pasaran Amerika Syarikat ialah enjin 2.4 liter i-VTEC suntikan terus, dengan kuasa 184 hp pada 6,400 rpm dan tork 244 Nm pada 3,900 rpm. Ia ditawarkan sebagai model dengan varian paling asas. Bagi transmisi, kedua-duanya dipadankan dengan transmisi CVT dengan Honda G-Shift Control Logic.

    Dari segi rekaan, unjuran bahagian D-pillar yang sinonim dengan model CR-V sebelum ini masih dikekalkan. Namun, banyak pendekatan rekaan yang menjadikannya kelihatan lebih agresif; palang krom ditambah di belakang, disertakan dengan corong ekzos berkembar. Selain itu, buat pertama kalinya juga, ia menampilkan ciri Hands-Free Access Power Tailgate.

    Honda CR-V dengan spesifikasi pasaran Amerika Syarikat ini juga mempunyai pertambahan dimensi; 4,587 mm panjang (+30 mm) dan 1,854 mm lebar (+35 mm). Bagi varian pacuan depan, ia hadir dengan ketinggian 1,679 mm, manakala versi pacuan AWD pula ialah 1,689 mm tinggi – kedua-duanya melibatkan pertambahan 36 mm. Jarak antara roda juga bertambah 40 mm, kepada 2,659 mm kini.

    Pertambahan dimensi ini menyumbang kepada ruang kabin yang lebih luas. Ruang untuk penumpang kini ialah 2,999 liter, naik 51 liter berbanding sebelumnya. Ruang kaki pula menerima penambahan 53 mm, manakala ruang kepala menerima tambahan 15 mm. Ruang barangan yang direkodkan ialah 2,146 liter dengan tempat duduk diturunkan (+139 liter).

    Ruang dalamannya juga diberikan ciri yang lebih premium; panel instrumen dengan skrin berwarna, sistem audio dengan paparan skrin sentuh 7.0-inci berasaskan Android, sokongan Apple CarPlay dan Android Auto. Ia juga dilengkapi penghawa dingin dwi-zon, pencahayaan ambien LED, brek parkir elektronik dan port bagi USB di belakang sebagai beberapa ciri tambahan.

    Untuk pasaran US, ia turut menerima ciri keselamatan termaju Honda Sensing dan bantuan pemanduan. Ciri ini merangkumi fungsi-fungsi seperti berikut; Collision Mitigation Braking System, Forward Collision Warning (FCW), Lane Keeping Assist System (LKAS), Road Departure Mitigation, Lane Departure Warning (LDW) dan Adaptive Cruise Control (ACC).

    Bagi penggunaan minyak pula, enjin 2.4 liter mampu memberikan bacaan penggunaan bahan api (gabungan penggunaan lebuhraya/bandar) 10.1 l/100 km (sistem pacuan depan) dan 10.5 l/100 km (AWD). Sementara itu, versi 1.5 liter turbo pula memberikan 9.4 l/100 km (pacuan depan) dan 9.7 l/100 km (AWD).

     
     
  • Harga petrol, diesel bagi Disember 2016 turun 5 sen

    Petronas Dynamic Diesel Euro5 BM 011

    Bermula tengah malam ini, harga petrol bagi bulan Disember 2016 akan diturunkan sebanyak 5 sen berbanding harga pada bulan November lalu. Setelah dinaikkan 15 sen pada bulan November, petrol RON95 bagi Disember 2016 akan dijual pada harga RM1.90 seliter.

    Bagi petrol RON97 pula, ia akan dijual pada harga RM2.20 seliter. Hal yang sama bagi bahan api diesel bagi bulan Disember; ia diturunkan sebanyak 5 sen kepada RM1.85 seliter. Bagi diesel Euro 5 pula, ia akan dijual pada harga RM1.95 seliter.

    Sebagai rekod, harga petrol bagi November 2016 ialah seperti berikut; RON95 – RM1.95 seliter, RON97 – RM2.30 seliter, diesel Euro 2M – RM1.90 dan diesel Euro 5 – RM2.00 seliter.

     
     
  • TUNGGANG UJI: Vespa S125 – skuter retro moden dengan penawaran teknologi terbaik untuk harganya?

    vespa-s125-bm-37

    Apa yang menarik tentang tentang Vespa S125? Jika ada yang mengajukan soalan ini, terutama ketika berbual dengan teman-teman yang nampak sangat berminat untuk membeli sebuah skuter – dan Vespa sudah tentu berada dalam senarai teratas – saya sendiri tertanya-tanya jawapan yang bagaimana patut diberi dan dapat menjawabnya dengan cara yang padat, ringkas dan memuaskan.

    Selepas beberapa ketika berkesempatan mencubanya untuk tempoh seminggu tempoh hari, saya mungkin sudah berjumpa jawapan yang harapnya dapat berlaku adil; pertama, kepada skuter dengan rekaan retro ini, dan kedua kepada individu yang ingin tahu tentangnya.

    Jawapannya mudah, untuk beberapa ketika pengenalan model-model Vespa moden yang pernah dipasarkan di Malaysia, Vespa S125 merupakan yang pertama dengan kapasiti enjin 125 cc. Sebelum ini, jika tidak silap ingatan, skuter Vespa di Malaysia sebelum ini hanya ditawarkan dalam kapasiti 150cc sebagai enjin yang paling rendah.

    Bagaimana kapasiti enjin yang lebih rendah menjadi satu kelebihan untuk model S125? Bukankah sepatutnya terbalik; enjin yang lebih besar biasanya akan lebih menarik dengan prestasi yang lebih baik? Dari satu sisi, pandangan itu memang betul. Tapi, dari sisi yang lain, enjin yang lebih kecil ini memberi satu kelebihan dari sudut penawaran harga.

    Populariti Vespa memang tidak dinafikan, tetapi ramai juga yang berminat untuk memilikinya terpaksa menahan diri kerana tanda harganya bukanlah yang paling mesra poket, jika dibandingkan dengan pesaing model skuter dalam kelas enjin yang sama yang lain.

    Baca laporan selanjutnya di sini

     
     
  • ASEAN NCAP 5 bintang untuk Honda Civic, Toyota Sienta, Nissan Navara, Mitsubishi Pajero Sport dan Hyundai Elantra; model lain dapat empat bintang

    Sewaktu majlis ASEAN NCAP Grand Prix yang berlangsung semalam, pertubuhan itu mengumumkan keputusan ujian perlanggaran kenderaan yang dijalankan pada suku keempat tahun 2016.

    Daripada sembilan kereta yang dinilai, lima menerima penarafan penuh lima bintang untuk perlindungan penumpang dewasa (AOP). Terletak dalam senarai itu adalah Honda Civic, Toyota Sienta, Nissan NP300 Navara, Mitsubishi Pajero Sport dan Hyundai Elantra, yang juga mendapat taraf empat bintang untuk perlindungan penumpang kanak-kanak (COP).

    Seperti biasa, terdapat syarat untuk taraf yang diberikan itu – model Civic yang tidak mempunyai amaran tali pinggang penumpang hadapan, serta Sienta, Pajero Sport dan Elantra yang tidak dilengkapi dengan pengawal kestabilan elektronik (ESC) semuanya hanya mendapat penarafan empat bintang dalam AOP.

    Kereta selebihnya yang diuji mendapat taraf empat bintang AOP. Ini termasuk kembar segmen A Toyota Calya dan Daihatsu Sigra; bezanya adalah Calya juga mendapat empat bintang untuk COP, tetapi Sigra cuma mendapat dua bintang. Model Sigra yang tidak mempunyai beg udara juga cuma mendapat satu bintang untuk AOP.

    Akhir sekali adalah Honda Brio dan Proton Ertiga, yang juga mendapat dua bintang bagi COP. Keputusan Porotn Ertiga dibawa daripada model kembar Suzuki-nya yang diuji pada bulan April.

     
     
  • Proton, Perodua cemerlang di ASEAN NCAP GP 2016

    proton_saga_ext-4

    Bersempena dengan acara Stop the Crash ASEAN 2016 yang sedang berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) selama dua hari, turut dianjurkan majlis penyampaian anugerah ASEAN NCAP Grand Prix (GP) 2016. Ia juga adalah bagi meraikan ulang tahun ASEAN NCAP yang kelima.

    Proton telah diumumkan memenangi tiga anugerah menerusi kategori ‘Kereta Paling Mampu Milik ASEAN NCAP lima-bintang di Malaysia’ menerusi Iriz. Selain itu, Preve juga telah memenangi anugerah yang sama di bawah kategori Thailand. Malah Saga baharu juga tidak ketinggalan dikurniakan anugerah ‘Rising Star’ selepas menerima peningkatan empat-bintang apabila diuji pada tahun 2016, daripada hanya tiga-bintang (2013) dan dua-bintang (2012).

    “Dengan rasa rendah diri, kami amat gembira dengan pengiktirafan yang diberikan. Ini merupakan kemuncak kepada usaha berterusan PROTON dalam memberikan lebih nilai kepada pelanggan. Proton memberikan penekanan kepada aspek keselamatan dan kami berbesar hati menerima pengiktirafan ini,” kata Dato’ Ahmad Fuaad Kenali selaku CEO Proton.

    Perodua_Bezza_Ext-3

    Dalam penganjuran majlis yang sama, Perodua turut mencatatkan sejarah peribadinya apabila Bezza telah menerima anugerah Perlindungan Penumpang Kanak-kanak (COP) Terbaik dan Perlindungan Penumpang Dewasa (AOP) Terbaik, kedua-duanya bagi kategori kereta keluarga kecil.

    “Kedua-dua anugerah ini merupakan pengiktirafan ke atas usaha kami yang sentiasa mengutamakan keselamatan dan keselesaan pelanggan dalam produk kami,” kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua) Datuk Dr Aminar Rashid Salleh dalam satu kenyataan.

    Pada 16 Julai 2016, Bezza juga diberikan penilaian lima-bintang daripada ASEAN NCAP, menjadikannya kereta sedan nasional mesra alam lima-bintang pertama di Malaysia.

     
     
  • Mazda mula pasang CX-5 2017 di Hiroshima, Jepun

    2017-mazda-cx-5-on-assembly-line-bm

    Model CX-5 adalah antara model yang penting bagi Mazda dan sejak diperkenalkan pada tahun 2011, ia diterima baik, dengan pengeluaran mengikut permintaannya mencatat 1 juta unit pada April 2015. Ia juga adalah model kedua terpantas mencapai tahap ini selepas Mazda3.

    Kini, bagi model CX-5 serba baru yang diperkenalkan di LA Auto Show dua minggu lalu, proses pengeluarannya sudah bermula di kilang nombor 2 Ujing berdekatan ibu pejabat Mazda di Hiroshima. Model ini akan dipasarkan bermula di Jepun pada bulan Februari 2017 diikuti pasaran global lain selepas itu.

    Mazda CX-5 serba baru ini mempunyai penampilan yang berbeza daripada kenderaan sebelum ini. Walaupun masih mengekalkan konsep rekaan KODO, boleh dilihat ia mempunyai lampu lebih nipis di depan dan belakang. Malah, warna merah pada model yang dipertonton di LA Auto Show itu juga adalah warna baru yang dievolusi daripada warna sebelum ini.

    all-new-mazda-cx-5-5

    Bahagian dalam juga direka semula, melihatkan penggunaan papan pemuka baru bersimetri lebih baik bersama stereng tiga jejari baru. Walaubagaimanapun, beberapa bahagian seperti suis pendingin hawa, tombol Commander Control, pemilih gear, butang start/stop enjin dan panel meter masih seperti model semasa Mazda yang lain.

    Di bawah hudnya, CX-5 baru ini dikekalkan dengan enjin yang sama seperti barisan model terdahulu (tiada 2.5 liter turbo seperti CX-9) iaitu dua unit petrol SkyActiv-G 2.0 liter dan 2.5 liter, serta penjana kuasa diesel 2.2 liter SkyActiv-D. Kesemua enjin ini dipadankan dengan transmisi automatik enam-kelajuan. Turut ditampilkan pada model ini adalah teknologi kawalan pergerakan kenderaan SkyActiv-Vehicle Dynamics termasuk sistem G-Vectoring Control (GVC).

     
     
  • VIDEO: BMW M760Li – lebih perincian ditunjuk, guna enjin V12 6.6 liter TwinPower Turbo 610 hp, 800 Nm

    BMW M760Li xDrive memang adalah sebuah jentera hebat dengan kuasa sebanyak 610 hp dan 800 Nm tork. Jumlah ini datang daripada enjin V12 6.6 liter TwinPower Turbo dan boleh memecut sedan besar ini dari kedudukan pegun ke 100 km/j dalam masa 3.7 saat sahaja, sehinggalah kelajuan maksimum 250 km/j (dihadkan secara elektronik). Jika pakej Driver’s Pack dipilih, ia boleh memecut sehingga 305 km/j.

    Secara standard, M760Li menggunakan bahagian muka hadapan M Performance, dengan lubang kemasukan udara lebih besar, rangka cermin berwarna hitam dan muncung ekzos lebih menonjol. Cuba memahami penggunanya, BMW turut menyediakan gaya lebih ‘bersahaja’ dan tidak agresif pada model ini, digelar sebagai BMW M760Li xDrive Model V12 Excellence.

    Ia menggunakan lebih banyak bahagian krom seperti pada kemasan yang menyambungkan keseluruhan bahagian depan dari kiri ke kanan, penjuru bawah bampar, gril, skirting tepi serta keliling cermin pintu. Pada bahagian belakang, selain keliling muncung ekzos, juga terdapat kemasan krom sepanjang bampar tersebut.

    Dalam perkara berkaitan dengan varian 7 Series berprestasi tinggi ini, syarikat dari Buchloe, Jerman iaitu Alpina juga ada menghasilkan sebuah 7 Series dengan kuasa sebanyak 600 hp dan 800 Nm tetapi menggunakan enjin V8 4.4 liter Turbo dari BMW, dan bukannya V12. Sudah tentu, sebagai sebuah kenderaan yang membawa lencana Alpina, ia mempunyai beberapa kemasan tersendiri di luar dan dalam.

    GALERI: BMW M760Li xDrive


    GALERI: BMW M760Li xDrive Model V12 Excellence

     
     
  • SPYSHOT: Toyota Innova baharu dikesan, bakal dilancarkan untuk pasaran Malaysia tidak lama lagi

    toyota-innova-spied-1

    Toyota Innova baharu telah pun dibuka tempahannya sejak 3 November lalu, malahan ia dijangka bakal dilancarkan pada awal minggu hadapan. Foto kiriman pembaca, Azree Majid, yang mengesan kelibat Innova baharu ini diangkut di atas treler, mungkin sedang menuju ke bilik pameran.

    Didedahkan di Indonesia pada tahun lalu, Innova generasi-kedua ini akan ditawarkan dengan tiga varian iaitu 2.0E MT, 2.0E AT dan 2.0G AT, pada harga masing-masing RM109k, RM117k dan RM126k. Ia masih mengekalkan enjin seperti model sebelum ini iaitu 1TR-FE 2.0 liter petrol, tetapi kini dilengkapi dengan teknologi Dual VVT-i. Ia menjana 139 PS pada 5,600 rpm dan 183 Nm tork pada 4,000 rpm; 3 PS dan 1 Nm lebih berkuasa berbanding sebelumnya. Model paling asas menggunakan kotak gear manual lima-kelajuan, manakala selebihnya dilengkapi transmisi automatik enam-kelajuan – tiada lagi kotak gear empat-kelajuan.

    toyota-innova-spied-3

    Di bahagian dalamnya, ia turut menawarkan unit radio dengan input USB, Bluetooth dan enam pembesar suara adalah ciri standard bagi semua varian. Pelanggan boleh juga memilih naik taraf kepada unit DVD-AVX (RM2,968) atau DVD-AVN (RM3,816) – dengan skrin sentuh lapan inci dengan sambungan kepada telefon pintar, input HDMI serta kamera undur. Pilihan AVN turut melibatkan tambahan ciri GPS. Dash-cam DVR turut ditawarkan pada harga RM636.

    Bagi aspek keselamatan, varian 2.0G menerima penarafan lima bintang bagi ASEAN NCAP, paling lengkap dengan elemen termasuk tujuh beg udara, Bantuan Brek (BA), Kawalan Kestabilan Kenderaan (VSC) dengan kawalan cengkaman, Bantuan Mula Mendaki dan Isyarat Berhenti Kecemasan. Varian 2.0E hanya ada tiga beg udara dan ABS.

    Toyota Innova Type Q IIMS 2016

     
     
  • Ford Fiesta generasi seterusnya muncul – 4 varian

    ford_fiesta2016_st-line_34_front_01-1-850x446-bm

    Acara Ford Go Further 2016 di Cologne, Jerman menyaksikan pengenalan Ford Fiesta generasi baru. Walaupun syarikat itu senang hati menunjukkan bagaimana rupa kereta tersebut, perincian penuhnya masih lagi belum didedahkan.

    Kelihatan dari luar, bentuk asas Fiesta masih dikekalkan, tetapi elemen lain seperti lampu (dengan DRL) diubahsuai untuk memberikan gaya lebih ‘lembut’. Lampu belakang juga adalah baru, dengan bentuk seperti lampu EcoSport, menggantikan unit sebelum ini yang berbentuk segi tiga.

    Daripada gambar ini juga, Fiesta baru kelihatan lebih besar berbanding sebelum ini namun belum dapat dipastikan kerana Ford tidak mendedahkan catatan dimensinya. Juga boleh dilihat adalah penggunaan bumbung panoramik yang besar.

    ford_fiesta2016_active_profile_10-1-850x408-bm

    Sekali dengan gambar ini, Ford turut memberitahu bahawa Fiesta akan didatangkan “bukan satu, bukan dua, tetapi empat varian.” Ia adalah Titanium, ST-Line, Vignale dan Active – setiap satunya mempunyai gaya tersendiri untuk memastikan ia unik di antara satu sama lain.

    Setiap varian ini mempunyai gril dan bahagian bawah bampar yang berlainan. Varian ST-Line dijadikan lebih sporty dan agresif manakala varian Active pula cuba membawa gaya ‘crossover’ dengan kedudukan lebih tinggi, kemasan plastik tambahan termasuk di lengkuk tayar, rel bumbung dan skid plate di bawah.

    Di dalam, Ford Fiesta datang dengan papan pemuka serba baru yang rekaannya lebih kontemporari daripada sebelumnya. Pada bahagian tengahnya terdapat skrin sesentuh ‘terapung’ berukuran lapan inci dan disambung dengan sistem informasi dan hiburan SYNC 3, serta buat pertama kalinya, sistem bunyi B&O.

    ford_fiesta2016_vignale_cockpit_03-850x607-bm

    Tema bulat pada suis pengawal juga telah ditinggalkan, paling jelas pada pengawal pendingin hawa. Corong pendingin hawa pula kini lebih bersudut dan mempunyai kemasan hitam berkilat di kelilingnya.

    Pada bahagian lain, terdapat bahan yang lebih baik pada kemasan pintu, pengawal baru untuk kunci pintu dan cermin sisi, rekaan tempat duduk baru (bergantung pada varian), serta jahitan berwarna kontras. Butang untuk sistem bantuan pemandu dan sistem keselamatan juga telah diubah kedudukannya ke bahagian berhampiran brek tangan (sebelum ini di bawah pengawal pendingin hawa).

    Untuk enjin Fiesta baru ini, kita masih perlu menunggu kenyataan rasmi daripada Ford sendiri, tetapi, apa yang boleh dijangka adalah enjin tiga dan empat silinder petrol dan diesel. Dalam acara sama, Ford turut menunjukkan enjin petrol 1.0 liter EcoBoost mereka yang memenangi anugerah – dilengkapi teknologi nyah aktif silinder. Ia juga boleh dijangka ditawarkan pada Fiesta generasi baru ini.

     
     
  • Tiada rancangan bina jambatan ketiga – PM Singapura

    johor-causeway-jam-bernama-pix-630x388

    Singapura mengesahkan negara itu tidak mempunyai sebarang perancangan untuk membina jambatan ketiga yang menghubungkan pulau itu dengan Malaysia.

    Seperti dilaporkan Bernama; “Kami tidak merancang untuk membina jambatan ketiga. Saya sedia maklum tentang beberapa kenyataan daripada pihak Malaysia yang cenderung kepada hal itu, namun High-Speed Rail (HSR) merupakan sebuah projek yang sangat bercita-cita tinggi (ambitious),” ujar Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong, ketika ditanyakan sama ada jambatan ketiga diperlukan untuk projek kereta api laju berkenaan.

    Ia cadangan diusul, menyatakan bahawa jambatan ketiga adalah perlu memandangkan dua jambatan sedia ada, Lingkaran Kedua Malaysia-Singapura dan Tambak Johor tidak mampu menampung jumlah trafik yang ada. Laporan yang dimaksudkan itu juga menyebut bahawa jambatan ketiga berkenaan akan dibina di kawasan Kong Kong di Pasir Gudang, memasuki Singapura melalui Sembawang.

    “Saya akan memberi tumpuan sepenuhnya terhadap projek HSR sebelum kami mengerjakan mana-mana projek besar yang baharu,” ujar Lee, yang telah menandatangai perjanjian persefahaman dengan Malaysia Julai lalu, bertujuan untuk mempermudah projek berkenaan.

    Projek HSR merangkumi landasan berkembar dua hala sepanjang 350 km (335 km di Malaysia, dan 15 km di Singapura), dan akan mempunyai lapan hentian keseluruhannya – Singapore, Iskandar Puteri, Batu Pahat, Muar, Ayer Keroh, Seremban, Putrajaya dan Kuala Lumpur.

    Kerja-kerja pembinaan dijangka bermula pada 2018, dan akan tamat pada 2025 dengan operasi yang dijadualkan bermula pada tahun berikutnya.

     
     
  • GALERI: Toyota Camry Hybrid Luxury baharu

    toyota-camry-hybrid-luxury-1_bm

    Sebelum ini, UMW Toyota Motor telah mengumumkan barisan model Camry yang bakal hadir dengan versi dikemaskini dan sudahpun boleh ditempah. Minggu lalu, Camry varian 2.0G X telah pun dipamerkan di Mitsui Outlet Park, dan kini ketika berlangsungnya acara Stop The Crash di Litar Antarabangsa Sepang, UMWT telahpun mempamerkan Camry Hybrid varian tertinggi iaitu 2.5 Hybrid Luxury.

    Untuk keseluruhan, model ini sama seperti Camry Hybrid sedia ada, tetapi ia kini diberi sedikit peningkatan. Roda aloi berdiameter 17-inci pada model Luxury ini masih lagi sama, tetapi diberikan kemasan perak yang berbeza. Lampu kabus hadapan kini diberikan lampu dari jenis LED manakala sistem audio JBL pula diberikan dua unit pembesar suara tambahan, menjadikan jumlah keseluruhan 12-unit pembesar suara. Kamera rekod pemanduan juga diberikan secara standard.

    toyota-camry-hybrid-luxury-2_bm

    Varian Camry Hybrid Premium baharu dijual pada harga lebih mampu milik RM164,900 dan hadir tanpa ciri seperti pengecas telefon pintar tanpa wayar Qi, nanoe ioniser serta skrin sesentuh infotaimen bersaiz 7.0-inci (ditawarkan sebagai opsyen). Varian ini juga diberikan tayar bersaiz 215/60R16 berbanding 215/55R17 pada model Luxury; sama seperti Camry Hybrid 2015.

    Camry Hybrid Luxury dijual pada harga sama seperti Hybrid Premium sebelum ini yang diperkenalkan pada tahun lalu iaitu RM174,900. Barisan Camry yang dikemaskini ini menawarkan lebih pilihan kepada pelanggan. Semua varian Camry termasuk model asas 2.0 liter kini didatangkan standard dengan tujuh-beg udara serta Kawalan Stabiliti Elektronik (ESC).

     
     
  • Holden tamatkan pengeluaran enjinnya, sebelum penutupan keseluruhan jenama itu tahun hadapan

    Holden Commodore VFII-01 cropped

    Susulan laporan sebelum ini yang menyatakan Holden akan menamatkan keseluruhan operasinya pada tahun 2017, semalam merupakan hari terakhir produksi enjin untuk jenama berkenaan setelah kumpulan terakhir enjin V6 Holden disiapkan, menurut laporan CarAdvice.

    Operasi produksi Holden akan ditamatkan keseluruhannya tahun hadapan setelah kumpulan terakhir Holden Commodore disiapkan. Penutupan operasi produksi enjin ini menyaksikan 175 orang pekerja Holden kini kehilangan portfolio tugas mereka. Namun syarikat berkenaan menyatakan 57 orang telahpun mengangkat kaki sebelum tugas terakhir semalam lengkap, majoriti selebihnya sedang mencari pekerjaan di tempat lain serta sebahagian kecil mengambil keputusan untuk terus bersara.

    Sejak tahun lalu, Holden telah menyediakan khidmat bantuan pertukaran untuk pekerja yang terlibat seperti sesi informasi, bengkel, kaunseling karier, ekspo pencarian pekerjaan, menulis resume, persediaan kemahiran ketika temuduga dan juga latihan yang diiktiraf bernilai sehingga AUD3,000, namun sehingga kini, masa hadapan sebahagian besar daripada mereka masih lagi terumbang-ambing.

    “Holden sedar akan impak terhadap penutupan operasi tempatan kepada pekerja-pekerja kami dan ahli keluarga mereka, diseluruh negara dan juga industri. Kami membuat semua yang termampu bagi membolehkan pekerja kami membuat pilihan dan membantu mereka beralih ke peluang seterusnya.” kata Holden dalam satu kenyataan yang dikeluarkan.

    “Holden secara proaktif berhubung dengan HR dan ketua-ketua perniagaan di Victoria dan antara negeri yang telah melawat kilang di Port Melbourne dan melihat pelbagai kemahiran serta kebolehan tenaga kerja kami. Pekerja yang telah mendapatkan pekerjaan boleh meminta pakej pelepasan awal, membantu mereka mengambil peluang tersebut.” tambah kenyataan berkenaan.

    Holden telah membina lebih dari 10 juta enjin di Australia sejak produksi penuh untuk enjin bermula pada tahun 1948, manakala jumlah keseluruhan 1,137,282 unit enjin dikeluarkan dari kilang HFV6 Fishermans Bend di Port Melbourne sejak ia beroperasi pada tahun 2003. Jumlah 1 juta enjin dicapai pada awal 2014, enam bulan sebelum pengumumannya untuk menghentikan produksi tempatan.

    Hanya separuh dari enjin HFV6 yang dibuat di Australia dieksport keluar negara, manakala sejumlah 699,806 unit digunakan pada kereta-kereta domestik. Holden turut membina enjin V8 untuk model Kingswood dan Monaro di Port Melbourne, tetapi unit V8 buatan Australia tersebut digantikan dengan enjin yang diimport bermula era abad ke-20. Enjin empat-silinder juga pernah dihasilkan secara produksi tempatan, namun seperti juga enjin V8, ia turut digantikan dengan enjin-enjin yang diimport.

    Enjin HFV6 yang dibuat semalam akan disimpan sebagai sebahagian dari koleksi warisan Holden. Komponen-komponen dan enjin masih lagi dihasilkan sebelum Commodore terakhir dilengkapkan dan sebahagiannya untuk komitmen pasaran ekport dan menurut Holden, ini adalah amalan biasa dalam industri automotif.

    Penutupan operasi tempatan di Australia ini bukan sahaja melibatkan Holden. Oktober lalu, Holden menamatkan produksi hatchback Cruze dan pada masa yang sama Ford menutup keseluruhan produksi di sana selepas 91 tahun beroperasi, melibatkan penghentian penghasilan model Falcon dan SUV Territory. Toyota juga dilaporkan akan menghentikan operasi produksinya di Australia menjelang tahun hadapan.

     
     
  • Jaguar F-Pace dilancarkan di Malaysia – 3.0L supercaj V6, varian Prestige, R Sport, harga dari RM599k

    jaguar-f-pace_bm

    Jaguar Land Rover (Malaysia) Sdn Bhd telah melancarkan SUV berprestasi tinggi Jaguar F-Pace yang serba baharu di Malaysia yang menjanjikan prestasi yang mengagumkan serta dinamik yang tiada tandingannya untuk kebolehgunaan harian. Malah ia juga digambarkan sebagai ‘kereta sport paling praktikal di dunia’.

    Ia menawarkan dua varian iaitu Prestige dan R Sport yang kedua-duanya dilengkapi enjin petrol 3.0 liter V6 supercaj dari F-TYPE di bawah bonet aluminium yang terbentuk rapi dengan output 340 PS pada 6,500 rpm dan tork 450 Nm pada 4,500 rpm.

    Penjana kuasa ini turut dipadankan dengan transmisi automatik elektronik lapan-kelajuan dengan Jaguar Sequential Shift™. Ini membolehkan F-Pace yang serba baharu untuk memecut dari 0-100 km/j dalam masa hanya 5.8 saat sebelum mencapai kelajuan maksimum yang dihadkan secara elektronik iaitu 250 km/j.

    Dihasilkan menggunakan Lightweight Aluminium Architecture oleh Jaguar, F-Pace memenuhi komitmen yang menjanjikan kenderaan konsep perintis C-X17 dan menggandingkan ketulenan garisan, permukaan dan keseimbangan dengan ciri yang diilhamkan oleh F-TYPE seperti rasuk belakang yang berkuasa, sirip pengadang dan grafik lampu belakang yang tersendiri.

    Gril hadapan yang menyerlah dan bonet yang tegap membayangkan potensi prestasi kenderaan ini. Elemen seperti lampu hadapan LED sepenuhnya yang tirus dan unjuran yang pendek di bahagian hadapan membawa visi reka bentuk konsep C-X17 sehingga sampai ke tahap pengeluarannya.

    Bagi mereka yang ingin menyerlah, terdapat pilihan Black Pack R Sport yang eksklusif dengan gril radiator dan kelilingnya yang hitam berkilat, salutan warna badan pada pintu dengan kemasan hitam berkilat dan sirip kuasa hitam berkilat dengan lencana R Sport.

    Lightweight Aluminium Architecture menyediakan permulaan yang ideal bagi pasukan pereka dan jurutera Jaguar yang kini diiktiraf secara global sebagai pemimpin dalam teknologi dan reka bentuk aluminium. Pada permulaannya ia direka sebagai struktur modular, supaya tayar boleh dimuatkan betul-betul di tempat yang sepatutnya untuk memberikan keseimbangan, dinamik dan kebolehgunaan yang begitu penting bagi sebuah crossover berprestasi tinggi.

    Pada ukuran 4,731 mm panjang dan dengan jarak roda 2,874 mm, F-Pace serba baharu ini menawarkan profil yang rapi dan unjuran depan yang pendek iaitu ciri reka bentuk Jaguar beserta bahagian dalaman yang begitu luas.

    jaguar_f-pace_ext-13

    Struktur badannya yang ringan dan teguh adalah 80% aluminium dan merupakan satu-satunya kerangka intensif aluminium dalam segmennya. Penjimatan berat tambahan adalah dari komposit yang digunakan untuk bahagian belakang dan magnesium untuk bahagian seperti rasuk silang kereta.

    Keteguhan kilasan badan yang tinggi membolehkan sistem gantungan hadapan double wishbone yang diambil dari F-TYPE dan sistem gantungan belakang Integral Link yang canggih berfungsi dengan lebih baik. Digandingkan dengan Torque Vectoring sebagai standard dan penalaan sistem Electric Power Assisted Steering untuk memberikan rasa dan tindak balas yang terbaik, F-PACE yang serba baharu menjadi penanda aras bagi pemanduan dan pengendalian.

    Peredam monotube yang dijadikan standard juga memberi kelebihan kepada model permulaan Prestige, tetapi untuk pemanduan dan pengendalian yang lebih baik, sistem Adaptive Dynamics (standard dalam R Sport) yang dikawal secara elektronik mengukur pergerakan badan dan tayar, masing-masing sebanyak 100 dan 500 kali sesaat, untuk memastikan kuasa redaman yang optimum dalam apa jua keadaan.

    Bagi pemandu yang agresif, disediakan Configurable Dynamics yang merupakan standard bagi R Sport. Pertama kali digunakan untuk F-TYPE, ciri ini membolehkan pelarasan berasingan untuk pendikit, transmisi automatik, stereng, dan juga sistem Adaptive Dynamics sekiranya ada.

    jaguar_f-pace_ext-6

    Torque on-demand all-wheel drive (AWD) F-Pace merupakan system yang tercanggih bagi Jaguar setakat ini, dan mempunyai kapasiti tork tertinggi. Ia menonjolkan sistem kawalan in-house termaju yang pertama kali dihasilkan untuk F-TYPE AWD: Intelligent Driveline Dynamics (IDD). Ia memelihara ketangkasan pacuan roda belakang dan ciri pengendalian tetapi dapat mengalihkan tork ke tayar hadapan dengan lancar untuk menggunakan kelebihan prestasi cengkaman yang lebih pada semua permukaan dan jenis cuaca.

    Adaptive Surface Response (ASR) pada R Sport, yang dihasilkan daripada teknologi Terrain Response dari jenama Land Rover yang telah dipatenkan dan telah memenangi anugerah, menjadikan sistem AWD lebih berkesan dalam keadaan yang mencabar. ASR yang disepadukan ke dalam JaguarDrive Control mengenal pasti jenis permukaan dan mengoptimakan pemetaan powertrain dan sistem Dynamic Stability Control.

    Pertama kali dilancarkan dalam XF yang serba baharu, ASR telah dipertingkatkan oleh mod ketiga yang dihasilkan untuk salji yang tebal dan kerikil. Teknologi tambahan yang disediakan untuk memastikan prestasi bagi semua jenis permukaan termasuklah sistem Jaguar yang sedia ada iaitu All Surface Progress Control dan Low Friction Launch yang merupakan ciri standard.

    F-Pace yang serba baharu ini boleh menempatkan lima orang dewasa dengan begitu selesa dengan ruang kepala dan lutut yang luas serta ruang bagasi yang lapang dengan isi padu 508 liter walaupun setelah dimuatkan dengan tayar ganti sementara.

    jaguar_f-pace_int-1

    Ia turut didatangkan dengan teknologi infotainmen dan sambungan adalah yang termaju dalam industri. Ini termasuklah sistem info-hiburan Jaguar InControl Touch sebagai standard dalam Prestige. Dengan skrin sentuh berkapasiti lapan-inci, interface pengguna yang intuitif dan grafik yang jelas, ia dapat menyokong isyarat telefon pintar dan tablet seperti “swipe” untuk beralih dari satu laman ke laman yang lain.

    Sistem premium InControl Touch Pro, yang tersedia dalam varian R Sport, adalah berasaskan skrin sentuh 10.2-inci, dengan pemproses quad-core yang berkuasa dan pemacu solid-state, serta menggunakan Ethernet yang ultra pantas. Hasilnya ialah interface pengguna yang ‘instinctive’ dan amat pantas dengan grafik yang sangat responsif dan jelas.

    Navigasi juga dapat dipaparkan pada skrin penuh iaitu dalam bentuk 3D dan pada kelompok peralatan maya HD 12.3-inci yang didatangkan dalam Pakej InCrontrol Touch Pro yang standard dalam R Sport.

    Ia juga membawakan penampilan Activity Key Jaguar buat kali pertama di dunia. Jalur pergelangan tangan yang kalis air dan hentakan dengan transponder bersepadu yang juga pertama dalam segmennya adalah teknologi guna-pakai untuk gaya hidup aktif kerana ia membolehkan kunci fob disimpan dengan selamat di dalam kenderaan. Dengan mengunci kenderaan menggunakan Activity Key, kunci fob yang ditinggalkan di dalam kenderaan akan dilumpuhkan. Activity Key boleh didapati sebagai aksesori pilihan.

    F-Pace 3.0 liter Supercharged Prestige yang diimport sepenuhnya dijual pada harga RM598,800 sementara R Sport iaitu model spesifikasi yang lebih tinggi berharga RM658,800. Harga yang ditawarkan adalah termasuk GST tetapi tidak termasuk cukai jalan, pendaftaran dan insurans.

    Setiap pembeliannya turut didatangkan dengan Jaguar Care, yang merangkumi waranti selama lima-tahun dan lima-tahun servis percuma serta Jaguar Roadside Assistance untuk tiga-tahun.

    Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai spesifikasi penuh Jaguar F-Pace ini, sila layari laman web Carbase.my.

    GALERI: Jaguar F-Pace R Sport

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (-0.04)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.90 (-0.04)
EURO 5 B7 RM3.10 (-0.04)
Last Updated Aug 14, 2025